nuffnang

Friday, May 31, 2013

ANALISAKAN PERJUANGAN UMAT ISLAM PATANI PADA TEMPOH 1900-1954 DALAM MEMPERTAHANKAN IDENTITI MEREKA



PENDAHULUAN

Nama Lang-ya-shiu atau Langkasuka telah wujud pada abad ke-2 Masihi lagi. Langkasuka terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara Senggora (Songkhla) dan Kelantan. Langkasuka merupakan sebuah kerajaan yang termaju di Semenanjung Tanah Melayu dan merupakan pelabuhan yang terpenting sejak kurun ke-8 Masihi kerana Teluk Langkasuka sangat sesuai dijadikan tempat kapal-kapal dagang berlabuh dan berlindung daripada tiupan angin monsun. Langkasuka juga dikatakan menguasai jalan perdagangan timur-barat melalui Segenting Kra dan kekuasaannya meliputi kawasan Semenanjung sehingga Teluk Benggala sehingga abad ke-13 Masihi dan diganti dengan Kerajaan Melayu Patani.[1] Sebelum timbulnya nama Patani, nama Langkasuka terlebih dahulu ditukar kepada Wurawari yang bermaksud air jernih sehinggalah sepenuhnya ditukarkan kepada nama Patani.

Terdapat pelbagai pendapat tentang nama Patani ini. Pendapat yang paling popular adalah berkenaan dengan kisah Cau Sri Bangsa atau Rama Raja yang membuka negeri yang didiami oleh seorang nelayan tua yang bernama Pak Tani, sehinggalah nama tempat tersebut dinamakan Patani. Kisah ini dijelaskan lagi dalam Hikayat Patani tentang Phya Tu Nakpa, iaitu putera Phya Tu Krub Mahajana yang memerintah di Kota Mahligai, telah memindahkan ibu kotanya ke sebuah pantai yang diduduki oleh seorang tua yang bernama Pak Tani. Walaupun demikian, nama Patani sebenarnya berasal daripada sebutan ‘pantai ini’ yang kemudiannya dalam pemakaian loghat Kelantan (‘pata-ni’) ia berubah menjadi Patani.[2]

Agama Islam tersebar di Patani sejak abad ke-10 dan ke-11 Masihi lagi dalam kalangan rakyat jelata, dan pada abad ke-15 Masihi barulah diterima oleh pemerintahnya. Hal ini bermakna penyebaran Islam bermula sejak zaman Langkasuka lagi. Oleh sebab itulah, D’ Eredia, seorang Pelawat Portugis telah menyatakan Islam telah bertapak di Patani lebih awal daripada Melaka. Ketika itu Patani telah diperintah oleh Phya Tu Nakpa yang memeluk Islam pada tahun 1457 yang di Islamkan oleh Syaikh Said al-Barsisa dan menukarkan namanya kepada Sultan Ismail Syah. Semenjak itu, Patani telah menjadi tumpuan pedagang-pedagang Islam dari Timur dan Barat dan bertambah maju apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

DASAR KERAJAAN SIAM KE ATAS ORANG MELAYU ISLAM PATANI (OMIP)

Dasar yang dibuat oleh kerajaan Siam dalam memastikan OMIP tidak bangkit menuntut kuasa mereka dapat dilihat melalui konsep asimilasi. Asimilasi ini merujuk kepada dasar yang cuba menukar budaya dan identiti OMIP menjadi orang Thai-Buddha dan perkara ini telah menjadi nadi utama kepada kebangkitan OMIP memberontak menuntut hak dan keadilan.

Dasar pertama yang melibatkan keruntuhan budaya Melayu bermula pada 23 Disember 1894 apabila Raja Chulalongkhorn atau Rama V melaksanakan Dasar Integrasi Kebangsaan yang dikenali sebagai Thesaphiban. Pelaksanaan dasar ini telah melalui penyusunan semula sistem pentadbiran di Patani dengan memecahkan negeri Patani kepada tujuh wilayah dan melantik seorang Pesuruhjaya Siam selaku ketua pentadbiran. Kesan daripada dasar ini menyebabkan Raja negeri Patani dihapuskan dengan melantik raja-raja Melayu di tujuh wilayah yang dipecahkan. Malah kuasa yang dimiliki oleh mereka juga terbatas. Menurut Ahmad Fathy, mereka ini juga dianggap sebagai “Raja Patung” kerana memerintah mengikut telunjuk dan arahan Pesuruhjaya Siam.Kemuncak kepada dasar ini apabila semua jawatan raja-raja Melayu dihapuskan sama sekali. Melalui dasar Thesaphiban ini telah membawa kepada penentangan raja-raja Melayu apabila pada tahun 1902, Tengku Abdul Kadir selaku raja patani terakhir telah ditangkap dan dimansuhkan jawatannya.

Langkah seterusnya yang diambil oleh Thailand untuk mengasimilasikan orang Melayu Patani ialah dengan mengenakan Akta Pendidikan Rendah 1921 secara paksa selepas dua dekad menguasai Patani. Akta tersebut mengkehendaki semua pelajar Muslim Melayu menghadiri sekolah rendah anjuran Thai. Ia bertujuan menyebarkan penggunaan bahasa Thai kepada murid dan secara tidak langsung mengelak daripada mempelajari bahasa Melayu yang menjadi bahasa ibunda mereka sendiri. Orang Islam menganggap undang-undang ini sebagai sebahagian program mengsiamkan orang Patani dan menghapuskan agama serta budaya mereka. Kesan daripada penguatkuasaan pendidikan Thai ini telah menyebabkan berlaku beberapa pemberontakan di Patani antara tahun 1922 dan 1923.[3] Keadaan ini telah menampakkan penentangan orang Melayu secara terbuka bagi mengekalkan budaya dan identiti mereka terbela.

Selain itu, penerusan dasar yang mengcengkam kehidupan OMIP semakin parah apabila satu dasar baru negara diperkenalkan oleh kerajaan Thai di bawah Panglima tentera Phibun Songkhram yang mengambil langkah tegas terhadap asimilasi kebudayaan golongan minoriti dengan menjalankan dasar Pemerintahan Kebudayaan Thai (Thai Ratna Niyum) pada 1939. Arahan berbentuk dikri yang dikeluarkan adalah untuk memaksa semua rakyat untuk bersatu mencapai konsep satu bangsa iaitu “Negara Thai untuk Bangsa Thai”. Dasar yang dijalankan juga adalah bertujuan untuk menukar amalan kebudayaan masyarakat minoriti dan mengubahsuai tindak tanduk sosial seluruh penduduk. Kesan di bawah perintah ini menyebabkan orang Melayu Patani tidak dibenarkan memakai pakaian tradisional seperti bersongkok, berkain pelikat, berjubah, berbaju kurung, bertudung dan sebagainya. Sebaliknya lebih memaksa mereka memakai seluar, bertopi dan berbaju gaun bagi wanita. Lebih penting lagi, amalan Islam dan penggunaan bahasa Melayu diharamkan.Seterusnya, orang Islam turut dipaksa menyembah patung Buddha dan jika mereka enggan akan dihukum berat. Di samping itu, segala kelonggaran yang diberi semasa pemerintahan Rama VI telah ditarik semula khususnya yang berkaitan dengan peraturan syariat Islam yang berhubung hukum nikah cerai dan wasiat. Justeru, perundangan berkaitan dengan pengadilan secara syariat telah dipindahkan kepada mahkamah sivil yang diadili oleh hakim-hakim berbangsa Thai-Buddha.[4]

Sebagai kesimpulannya, pelaksanaan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Thai ini secara jelas telah menafikan hak orang Melayu di Patani untuk mengamalkan budaya dan identiti mereka. Oleh itu, sepanjang pemerintahan Phibul Songkram telah menyebabkan orang Melayu Patani mengalami proses asimilasi yang cukup hebat sehinggalah membawa kepada penentangan dalam kalangan pemerintah dan gologan ulama. Antaranya ialah Tuan Haji Sulong Abdul Kadir, Tengku Abdul Jalal, Tengku Mahmood Muhyideen dan lain-lain lagi.

PERJUANGAN UMAT ISLAM PATANI

GOLONGAN RAJA DAN KERABAT DI RAJA: TENGKU ABDUL KADIR

Setelah dua tahun Tengku Abdul Kadir memangku jawatan sebagai Raja Patani sejak kemangkatan Tengku Sulaiman Syarifuddin, kerajaan Siam telah mengesahkan jawatan baginda secara rasmi sebagai pemerintah di Patani. Sungguhpun baginda telah diakui sebagai Raja Patani tetapi keadaan ini tidak menyekat Pesuruhjaya Siam dan pegawai-pegawainya daripada campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri Patani. Keadaan ini menjejaskan kedaulatan dan kewibawaannya sebagai Raja Patani serta menimbulkan masalah kepada penduduk-penduduk negeri itu.

Oleh itu, usaha pertama yang dilakukan oleh baginda adalah menghantar rayuan kepada pihak berkuasa British di Singapura agar membetulkan keadaan yang dipandang sepi oleh pihak Siam. Pada bulan Mei 1901, Tengku Abdul Kadir telah menghubungi Frank Swettenham (Gabenor Negeri-negeri Selat) bagi menceritakan masalah yang dihadapi. Namun, usaha ini juga menemui jalan buntu apabila Frank Swettenham tidak mengambil sebarang tindakan demi menjaga kepentingan pihaknya.

Sikap negatif Swettenham terhadap rayuan baginda telah memaksa baginda memilih alternatif lain bagi membebaskan negerinya dari kongkongan Siam. Oleh itu, Tengku Abdul Kadir telah mengadakan mesyuarat dengan raja-raja Melayu lain di Istana Cabang Tiga bagi membincangkan langkah yang harus diambil untuk mempertahankan identiti mereka. Melalui persetujuan secara bersama, mereka telah merancang untuk melakukan pemberontakan pada akhir bulan Oktober 1901 selepas bekalan senjata dan peluru tiba dari Singapura.[5] Baginda juga telah meminta R. W. Duff (bekas ketua polis Negeri-Negeri Selat) untuk membantunya merancang pemberontakan tersebut. Namun, usaha ini juga membuahkan kegagalan apabila Duff tidak bersetuju dengan rancangan Tengku Abdul Kadir untuk menyelesaikan masalah ini secara kekerasan. Oleh itu, Duff telah menasihati baginda untuk menyelesaikan masalah tersebut secara rundingan. Kesannya, Tengku Abdul Kadir mengambil inisiatif dengan menghantar sepucuk surat rayuan kepada kerajaan British.

Surat rayuan yang dihantar oleh Tengku Abdul Kadir pada 13 Ogos 1901, melalui syarikat guamannya kepada Swettenham untuk disampaikan kepada kerajaan British di London membuahkan hasil apabila pada 23 Oktober 1901, Phya Sri Shadheb (timbalan kepada Putera Damrong) mengadakan pertemuan dengan Tengku Abdul Kadir di Istana Cabang Tiga bagi membincangkan masalah yang dihadapi. Namun, harapan Raja Patani dan umat Islam untuk melihat perubahan musnah apabila, Raja Patani telah silap menandatangani sepucuk surat yang disediakan oleh Phya Sri. Surat tersebut ditujukan kepada Putera Damrong yang kononnya baginda telah bersetuju untuk menerima ‘Undang-undang Siam R. S. 116’ untuk dikuatkuasakan di Patani.

Seterusnya, pada 13 November 1901 satu mesyuarat telah diadakan oleh Phya di Nong Cik bagi membentangkan secara lanjut mengenai cadangan pentadbiran baru yang diusulkan tersebut.[6] Namun, Tengku Abdul Kadir telah memulaukan majlis tersebut dengan cara menolak untuk hadir walaupun telah didesak beberapa kali oleh Phya Sri. Baginda menyedari akan penipuan dan muslihat Timbalan Menteri Siam itu dan tidak mahu terikat dengan apa jua keputusan yang telah dibuat oleh pihak Siam. Seperti yang diduga dalam pertemuan itu, Phya Sri telah mengemukakan peraturan baru bagi menguruskan pentadbiran tujuh kawasan di Negeri-negeri Melayu, walaupun hanya sebilangan kecil yang bersetuju tetapi sistem baru ini tetap dilaksanakan.

Oleh itu, memandangkan tindakan kerajaan yang makin ketat dalam mengawal kedudukan negeri-negeri di bawah Patani, Raja-raja Melayu di bawah pimpinan Tengku Abdul Kadir dilihat semakin kuat melaksanakan penentangan. Kesannya, pada awal Januari 1902, Tengku Abdul Kadir sekali lagi telah menghantar surat kepada Swettenham meminta supaya pihaknya campur tangan bagi mengatasi masalah di Patani.[7] Melalui surat tersebut juga, baginda memberi amaran sekiranya pihak British enggan untuk campur tangan, maka, rakyat Patani terpaksa bangkit menentang Siam dan jika perlu mereka tidak teragak-agak untuk meminta pertolongan dari kuasa Eropah yang lain.[8] Namun, amaran yang diberi oleh Tengku Abdul Kadir telah memberi kesan buruk kepada perjuangan dan kehidupan baginda.

Kesannya, pada hari Jumaat 21 Februari 1902 Tengku Abdul Kadir dan Raja-raja lain yang dianggap menentang telah ditangkap dan dibawa ke Songkhla dan terus ke Pitsanulok untuk dipenjarakan. Pada 6 Mac 1902, secara rasminya jawatan baginda sebagai Raja Patani telah dilucutkan. Berdasarkan kenyataan Mohd Zamberi A. Malek (1993:161), tindakan ganas para pegawai tinggi Siam yang dibantu oleh pasukan keselamatannya yang memberkas raja-raja Melayu Patani, Teluban, Reman dan Legeh kerana mereka sering membantah tindakan Siam telah menimbulkan kemarahan umat Islam Patani. Kemarahan ini telah menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat hingga menunjukkan tanda-tanda mereka akan memberontak.

Berita penangkapan raja-raja, tanda-tanda pemberontakan, dan huru-hara yang berlaku di Patani telah sampai kepada pihak Inggeris di London. Pihak Inggeris telah menyatakan bantahan dan beri tekanan secara bertalu-talu kepada pihak Siam. Oleh itu, sebagai satu langkah untuk meredakan perasaan tidak puas hati dalam kalangan umat Islam Patani dan tekanan Inggeris, kerajaan Siam telah mengambil keputusan membebaskan raja-raja Melayu Patani pada April 1903 iaitu Raja Legeh dan Raja Teluban setelah keduanya bersetuju untuk menerima Peraturan Pentadbiran 1901 itu. Manakala Tengku Abdul Kadir pula dibebaskan setahun kemudian.

Akhir sekali, pada tahun 1915, Tengku Abdul Kadir memutuskan untuk meninggalkan Patani dan menetap di Kelantan. Secara kasarnya, baginda telah gagal dalam mempertahankan identiti masyarakat Islam Patani, namun, usaha yang dilakukan oleh baginda telah berjaya membuka mata pihak British dan Siam terutamanya tentang kesungguhan masyarakat Islam Patani untuk bangkit menentang. Walaupun baginda berada di seberang perbatasan negeri, bekas Raja Patani ini tetap berusaha mengilhamkan pemberontakan bagi menjatuhkan kekuasaan Siam buktinya dalam tahun 1922 satu pemberontakan penting yang dikenali sebagai pemberontakan Namsaitelah tercetus. Perjuangan demi perjuangan dilakukan oleh baginda hingga ke saat kematiannya pada tahun 1933. Walaupun perjuangan ini tidak berjaya untuk mempertahankan identiti masyarakat Melayu Patani, namun, ianya tetap diteruskan oleh anak beliau iaitu Tengku Mahmud Mahyideen dan golongan ulama seperti Tuan Haji Sulung.

GOLONGAN ULAMAK: HAJI SULONG

LATAR BELAKANG HAJI SULONG

Haji Sulong Al- Fatani atau lebih dikenali sebagai Haji Muhammad Sulom telah dilahirkan pada tahun 1985 di Kampung Anak Ru, Patani. Nama sebenar beliau ialah Haji Sulong bin Haji Abdul Kadir bin Muhammad bin Haji Zainal Abidin bin Ahmad Alias Muhammad Al- Fatani.Beliau telah menerima pendidikan awal di rumahnya sendiri iaitu pelajaran membaca Al-Quran. Beliau telah diajar oleh ayahnya sendiri iaitu Haji Abdul Kadir.Sewaktu berumur lapan tahun, beliau telah belajar di Pondok Haji Abdul Rashid, Kampung Bandar, Sungai Pandan, Patani. Semasa berumur 12 tahun pula, iaitu selepas kematian ibunya iaitu Che Aminah, beliau telah belajar di Mekah.

Setelah 17 tahun berada di Mekah, pada 1924 beliau telah pulang semula ke Patani bersama isterinya Hajah Khadijah Binti Haji Ibrahim.Semasa kepulangannya pada tahun 1924, Patani telah mengalami pergolakkan dan terdapat beberapa siri penentangan terhadap Siam telah dilakukan. Jadi, beliau terpaksa menunda rancangannya untuk kembali ke Mekah semula.Pada tahun yang sama beliau telah menubuhkan Madrasah al-Ma’arif al-Wataniah yang dikatakan sebagai sekolah agama pertama di Patani.

SEBAB PERJUANGAN HAJI SULONG

Pada 24 Jun 1932, telah berlaku rampasan kuasa yang dilakukan oleh Siam. Corak pemerintah beraja telah bertukar menjadi rejim berperlembagaan. Pada masa itu Phibul Songgram telah berkuasa di Siam dan telah melaksanakan dasar kebudayaan “ mensiamkan” semua rakyat bagi matlamat kebangsaan. Undang-undang ini menyebabkan rakyat terpaksa mengikuti cara berpakaian Barat. Bahasa Melayu juga turut diharamkan di semua jabatan kerajaan. Oleh yang demikian, Haji Sulong telah menubuhkan Badan Hukum Syariah bagi melindungi hak dan kepentingan agama pada tahun 1939.[9] Ia bertujuan untuk mengembalikan tenaga dan memperolehi kerjasama pemimpin-pemimpin agama.

Beliau dikatakan sebagai salah seorang ulama yang menentang campur tangan Siam dalam hal keagamaan umat Islam.Tahun 1947 hingga 1954 merupakan tarikh penting bagi Patani. Haji Sulong telah dianggap sebagai wakil orang Islam Patani apabila beliau telah mengemukakan “Tuntutan Tujuh Perkara” iaitu:

i. Seorang ketua beragama Islam bagi empat buah wilayah tang dipilih oleh anak negeri dengan memberikan ketua tersebut kuasa penuh.

ii. Mengadakan pelajaran Bahasa Melayu pada setiap sekolah bagi kanak-kanak berumur tujuh tahun sebelum mereka belajar bahasa Siam.

iii. Hasil yang diperolehi dari empat wilayah hendaklah dibelanjakan dalam wilayah tersebut sahaja.

iv. 80% daripada kakitangan kerajaan terdiri daripada orang Islam.

v. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi.

vi. Mengasingkan mahkmah syariah daripada pejabat undang-undang negeri serta mengadakan undang-undang khas untuk memutuskan pendakwaan yang bersabit dengan hukum Islam.

vii. Mengiktiraf rakyat di empat wilayah itu yang berketurunan Melayu.

Kesan perjuangannya ini, beliau dituduh menderhaka kepada negara dan telah ditangkap oleh pemerintah pada 16 Januari 1948 kerana polis telah menemukan salinan surat yang dialamatkan kepada Tengku Mahmud Mahyideen sebagai bukti.

PENAHANAN HAJI SULONG

Tindakan- tindakan yang dilakukan oleh Haji Sulong telah menimbulkan reaksi negatif dari para pegawai Thai di Patani. Hal ini bermula dengan laporan Barbara Whittingham-Jones dalam mendedahkan masalah Patani kepada masyarakat antarabangsa sehinggalah beliau berjaya menyatupadukan kepimpinan masyarakat Melayu Patani.[10] Bagi menyelamatkan keadaan para pegawai Thai telah mendesak Gabenor Patani mengeluarkan surat penangkapan kepada Haji Sulong.

Pada 16 Januari 1948, Haji Sulong telah ditangkap bersama sahabatnya iaitu Wan Uthman bin Wan Mohamad, Haji Wan husin Wan Din dan Wan Mohamad Amin bin Sidin. Haji Sulong telah didakwa atas alasan terlibat dalam rancangan untuk memisahkan wilayah-wilayah Selatan serta cubaan untuk menubuhkan pasukan Gerila yang dikatakan bertujuan untuk menimbulkan kekacauan. Haji Sulong turut dituduh menderhaka kepada Siam kerana menghasut orang-orang Melayu supaya lebih menyintai Islam, mentaati sembahyang jumaat dan menyintai bangsa Melayu dengan semangat nasionalisme. Haji Sulong telah mencatatkan mengenai penangkapannya di dalam buku kecilnya yang berjudul Gugusan Cahaya Keselamatan yang dicetak sebanyak 5,000 naskhah.

Dengan penangkapan Haji Sulong, kerajaan Thai mengharapkan gerakan-gerakan yang bertujuan untuk menimbulkan kekacauan dapat dibendung. Haji Sulong telah ditahan di penjara di Wilayah Nakorn Sri Tammarat. Pada peringkat awal kes perbicaraan Haji Sulong diadakan di Wilayah Patani tapi dipindahkan ke Wilayah Nakorn Sri Tammarat disebabkan oleh reaksi masyarakat Islam yang sangat tinggi.Semasa berada di dalam tahanan dan perbicaraan di Mahkamah Patani, bilangan mereka yang datang menziarahi dan mendengar perbicaraan sangat ramai dan hal ini membimbangkan kerajaan. Selain itu, Haji Sulong juga dipindahkan atas permintaan pihak pendakwa raya dengan alasan tertuduh merupakan seorang yang amat berpengaruh di Patani dan saksi-saksinya hendaklah bebas daripada sebarang pengaruh. Bagaimanapun, perbicaraan ini terpaksa ditangguhkan kerana saksi kerajaan iaitu Gabenor Phraya Ratanapkadi tidak dapat menghadirkan diri. Apabila perbicaraan disambung, Haji Sulong dikenakan hukuman penjara tiga tahun. Tuntutan supaya Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dalam urusan kerajaan, mengadakan Kadhi di Mahkamah Syariah dan jurubahasa di setiap jabatan kerajaan adalah punca beliau dianggap menentang pemerintah Siam.

Pada 16 Februari 1948, Jawatankuasa Perwakilan Orang-Orang Melayu Selatan Siam telah menghantar perutusan kepada Khuang Aphaiwong yang meminta Haji Sulong dan para pemimpin lain dibebaskan dari penjara.[11] Jawatankuasa tersebut turut meminta diadakan pungutan suara di wilayah-wilayah Selatan. Dua alternatif dicadangkan berada di dalam pemerintahan Thai atau menyertai Persekutuan Tanah Melayu.

Haji Sulong menjalani hukuman penjara selama empat tahun lapan bulan atau satu pertiga daripada hukuman asal di Penjara Bangkuang dalam Wilayah Nonthori. Haji Sulong dibebaskan pada 15 Jun 1952, dua bulan 25 hari lebih awal disebabkan oleh suasana yang tegang di Patani. Pada 13 Ogos 1954, Haji Sulong bersama anaknya Ahmad, Wan Osman Wan Ahmad dan Che Ishak Abbas pergi ke Balai Polis Songkhla atas jemputan Ketua Penyiasatan Polis Siam Bunlert Lert Pricha. Haji Sulong kemudiannya telah dibunuh oleh Polis Siam dan ditenggelamkan di luar Pantai Samila berhampiran Pulau Tikus pada malam yang sama di Laut Singgora atau Songkhla. Namun, disebabkan kehilangan saksi utama kes ini, akhirnya, Pihak Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan supaya menutup kes ini dengan dakwaan menyatakan Haji Sulong dan rakan- rakannya melarikan diri ke luar negara.

TENGKU MAHMUD MAHYIDEEN (GOLONGAN KERABAT DIRAJA)

Tengku Mahmud Mahyyideen merupakan anak bongsu Raja Patani yang terakhir iaitu Tengku Abdul Kadir Kamarudeen (1908-1954). Tengku Mahmud merupakan anak daripada isteri ketiga Tengku Abdul Kadir Kamarudeen iaitu Cik Maimunah yang berasal daripada Kelantan. Tengku Mahmud merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan menerima tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan namun ditolaknya, jika tidak, beliau merupakan anak Melayu pertama yang menjadi doktor. Pada 5 Ogos 1933, Tengku telah dilantik menjadi Nazir Sekolah Melayu Kelantan dan kemudian pada 1938 menjadi Penguasa Pelajaran Kelantan.



MENYERTAI MISI KETENTERAAN BRITISH

Tengku Mahmud merupakan Tentera Sukarela negeri Kelantan (Kelantan Volunteer Force).[12] Namun, kemaraan Jepun menyebabkan tentera ini terpaksa berundur ke Singapura dengan British.Kemudian ke India dengan menaiki kapal S.S.Kuala.Di India, beliau telah ditugaskan di bahagian Propaganda dan Pengambilan di Kementerian Penerangan, New Delhi. Di sana beliau bertugas sebagai All-India Radio. Beliau terkenal sebagai “Harimau Malaya” dan “Raja Mopeng”.Di India juga beliau telah menubuhkan Force 136 cawangan Melayu. Seruan beliau untuk berjuang dengan Force 136 dan MPU (Malayan Planning Unit) yang bertanggungjawab membuat rancangan untuk menubuhkan gerakan terhadap Tanah Melayu bagi menentang Jepun.

Menurut Hj Mohd. Zain, Tengku sentiasa menyedari bahawa British juga penjajah sama seperti Jepun tetapi Jepun bertindak zalim terhadap penduduk Tanah Melayu. Beliau juga bukanlah bertujuan membantu penjajah British kembali bertapak dengan kukuhnya di Tanah Melayu.[13] Beliau berhasrat untuk menjaga kepentingan Tanah Melayu dan Patani. Namun begitu, beliau mempunyai rancangan masa depan yang tersendiri dalam perjuangan di wilayah-wilayah Patani di Selatan Siam. Menurut cadangan awal sekiranya ‘Operasi Zipper’ dapat dilancarkan sebagaimana dirancangkan beliau sudah boleh menubuhkan pasukan anti-Jepun dan anti-Siam dalam cawangan Force 136 di Patani yang berada di bawah pimpinan Tengku Abdul Kadir Petra yang akan mula bertindak.[14] Dalam Operasi Zipper, kawasan utara Tanah Melayu termasuk Patani akan menjadi sasaran tentera Berikat dan ini akan mengakibatkan Selatan Siam berada dalam kuasa British. Apabila hal itu terjadi Tengku akan meminta Liga Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membebaskan Patani daripada Siam. Tambahan pula, British memusuhi Siam yang bekerjasama dengan Jepun.Namun, perancangan tersebut tidak tercapai kerana pengguguran bom Hiroshima dan Nagasaki.Malangnya pula, Perjanjian Perdamaian Inggeris-Siam pula telah ditandatangani pada 1 Januari 1946 telah melupakan amarah British terhadap Jepun. Tuntutan dan cadangan Tengku tidak dilayan oleh British atas alasan ingin menjaga hubungan dengan Siam.

Lantaran sangat kecewa dengan keputusan British, beliau telah nekad mengatur langkah politik. Semasa kerajaan British sedang berunding dengan Siam di Kandy, Sri Lanka, Tengku Mahmud menghubungi Tengku Kadir Petra, Tengku Abd Jalal dan beberapa pemimpin untuk mengemukakan bantahan kepada kerajaan British di Tanah Melayu. Pada 1 November 1945, rayuan dan bantahan dikirim kepada Perdana Menteri British agar membantu beliau melepaskan keempat-empat wilyah Melayu-Islam di selatan Siam daripada belenggu penjajah dan disatukan dengan Tanah Melayu. Salinan surat turut dihantar kepada Pegawai Tertinggi Angkatan Tentera Berikat dan Pegawai Kanan Hal-Ehwal British. Tengku menerima hampir setiap hari surat rayuan dan pengaduan daripada rakyat Patani tentang layanan buruk oleh pegawai Siam ke atas mereka.[15]

Berikutan meletusnya Perang Dunia Kedua, Tengku Mahmud Mahyideen menawarkan diri berkhidmat dengan pihak British bagi membantu beliau membebaskan Patani. Pada Februari 1943, beliau telah menyusun satu memorandum yang panjang lebar untuk digubal sebagai perundangan pentadbiran negeri-negeri Tanah Melayu dan memajukan memorandum tersebut kepada Sir R.O Winstedt untuk dicadangkan kepada Pejabat Tanah Jajahan di London.

Namun, Ketua Perwakilan Bangkok tidak bersetuju kerana mendakwa bahawa tindakan ini mengganggu hubungan British-Siam. Tindakan Tengku telah menimbulkan rasa kurang senang British kerana kononnya telah menyemarakkan sentimen anti-Siam dalam kalangan orang Melayu. Tengku dan pimpinan Patani telah diberikan amaran oleh para pegawai British agar tidak meneruskan penentangan. Tengku tetap nekad dengan membawa idea beliau untuk mendapat sokongan daripada pemimpin serantau. Beliau pergi menemui Tuan Haji Sulung, Haji Samsudin Mustafa dan Presiden Sukarno. Pada 16 Februari 1948, beliau menerima berita penahanan Hj. Sulong oleh tentera Siam. Beliau menghantar telegram kepada Perdana Menteri Siam bagi memprotes tindakan tersebut.Selepas penangkapan Tuan Haji Sulung, ramai orang Melayu Patani telah melarikan diri ke Kelantan. Setelah gagal mendapat sokongan British di Tanah Melayu Tengku menerusi sahabatnya, Miss Barbara Whittingham-Jones cuba dapatkan publisiti antarabangsa mengenai masalah Patani dengan menubuhkan Persatuan Patani yang bergerak menerusi paparan kebudayaan sebagai pengenalan untuk mendapatkan perhatian dunia.[16] Namun usaha tersebut gagal.

PENUBUHAN GABUNGAN MELAYU PATANI RAYA (GEMPAR)

Setelah gagal mendapatkan bantuan daripada British untuk membebaskan Patani daripada pihak Siam, orang Melayu Islam Patani yang tinggal di Tanah Melayu telah menubuhkan GEMPAR. GEMPAR telah ditubuhkan pada bulan Mac 1948 dan merupakan sebuah badan kebajikan. Matlamat tersirat di sebalik penubuhan GEMPAR adalah untuk membebaskan Patani dari belenggu pemerintahan Siam. Penubuhan GEMPAR adalah hasil inisiatif Tengku Mahmud Mahyideen, Haji Sulung dan Tengku Abdul Jalal yang bergabung bagi menghasut pihak luar agar terus memberi tekanan kepada kerajaan Thailand.

Matlamat penubuhan GEMPAR yang pertama adalah untuk menyatukan keempat-empat wilayah iaitu Patani, Yala, Setul dan Narathiwat sebagai sebuah negara Islam dan melepaskan semua orang Melayu di keempat-empat wilayah tersebut daripada penindasan, ketindihan, penghinaan dan penganiayaan ke atas diri masing-masing, agama dan bangsa. Matlamat kedua GEMPAR adalah mengadakan pemerintahan di dalam negeri yang bersesuaian dengan kemajuan dan pendirian kebangsaan yang bercirikan kemelayuan, adat resam orang Melayu dan agama Islam. Matlamat ketiga GEMPAR pula adalah untuk meninggikan taraf bangsa Melayu serta mutu kehidupan anak-anak negeri supaya setiap orang mahupun seluruh daripada anak negeri memperoleh setinggi-tinggi sifat kemanusiaan, keadilan, kebebasan dan alam pelajaran yang bersesuaian dengan tuntutan masa dan tamadun.

Melalui pertubuhan ini, GEMPAR dilihat telah berjaya meraih sokongan dan simpati dari Raja-raja Melayu Semenanjung Tanah Melayu. GEMPAR juga menerima sokongan daripada pelbagai pertubuhan seperti Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Malay Nationalist Party (MNP), Parti Kebangsaan Melayu Cawangan Kelantan, Persatuan Melayu Singapura dan banyak lagi pertubuhan lain. Kesemua pertubuhan tersebut dan Raja-raja Melayu di Semenanjung telah menyatakan rasa simpati mereka terhadap nasib yang diterima oleh masyarakat Patani dan mereka juga menyokong perjuangan GEMPAR secara rasmi.[17]

GEMPAR juga telah mengecam Kerajaan Thai yang belum memperlihatkan tanda-tanda perubahan terhadap Bantahan Tujuh Perkara yang dituntut oleh umat Islam Patani. Ekoran daripada kecaman tersebut, pada 4 Mac 1948 telah berlaku perdebatan di parlimen Thailand. Perdana Menteri Thai telah mengakui bahawa terdapat tiga sebab utama yang menyekat tuntutan orang Melayu Patani. Antara sebabnya ialah penganiayaan oleh pegawai-pegawai kerajaan Thai yang tidak berpengalaman dan masalah korupsi yang berleluasa dilakukan dalam kalangan masyarakat Islam Patani, Dasar pentadbiran Thai sebelumnya berupa penekanan telah menghalang kebebasan beragama, walaupun telah dibatalkan tetapi masih meninggalkan kesan yang mendalam di hati masyarakat Islam Patani serta kebanyakan sekolah-sekolah yang terdapat di wilayah-wilayah Islam Patani selama ini cuma diajar dalam pengantar bahasa Siam dan bukannya bahasa Melayu.[18]

Berdasarkan pengakuan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri Thailand tersebut, beliau seolah-olah sudah memahami masalah yang dihadapi oleh orang Melayu Patani sepatutnya merombak kembali dasar-dasar yang dilakukan di wilayah Patani, namun tiada sebarang perubahan dasar yang berlaku. Perjuangan GEMPAR dilihat akan berakhir apabila Kerajaan Thailand cuba untuk menyekat aktiviti GEMPAR serta pemimpin-pemimpin Melayu Patani dengan mengadakan perbincangan bersama kerajaan British untuk menyekat segala aktiviti orang Melayu Islam Patani di Tanah Melayu. Pada bulan November 1948, pejabat GEMPAR di Singapura telah diserbu oleh pihak polis Singapura dan kerajaan Inggeris telah mengharamkan pertubuhan GEMPAR bagi melumpuhkan perjuangan Patani. British juga telah mengarahkan supaya Tengku Mahmud Mahyideen supaya tidak aktif dalam penglibatan untuk memperjuangkan kemerdekaan Patani.

Secara ringkasnya, segala usaha-usaha yang dilakukan oleh Tengku Mahmod Mahyideen menemui kegagalan. Tengku Mahmod Mahyideen juga terpaksa akur dengan keadaan bahawa British tidak dapat membantu perjuangan orang Melayu Patani demi kepentingan politik antarabangsa. Patani telah menjadi permainan politik kuasa-kuasa besar. Namun begitu, beliau telah berjaya menarik perhatian dunia terhadap masalah umat Islam Patani dalam perjuangan nasionalisme mereka di Selatan Thailand termasuklah Patani.

KESIMPULAN

Dasar-dasar kerajaan Siam yang dijalankan terhadap masyarakat Patani ialah Konsep Asimilasi (Akta Pendidikan Rendah 1921) yang bermotifkan menggunakan bahasa Thailand dan mengelakkan penggunaan bahasa Melayu , Dasar Integriti Kebangsaan (Thesaphiban) pula bermotifkan menghapuskan kuasa raja-raja Melayu, dan Dasar Pemerintahan Kebudayaan bermotifkan menukar amalan kebudayaan masyarakat minoriti dan mengubahsuai tindak tanduk sosial seluruh penduduk. Keadaan tersebutlah yang menyebabkan wujudnya penentangan daripada golongan raja dan kerabat, dan golongan ulama yang terdiri daripada Tengku Abdul Kadir, Tengku Mahmud Mahyidden, dan Haji Sulong Al- Fatani. Antara usaha-usaha yang diambil oleh pejuang-pejuang tersebut adalah menghantar rayuan dan surat kepada British, melakukan pemberontakan, mengemukan “Tuntutan Tujuh Perkara”, menubuhkan pasukan Gerila, menyertai misi ketenteraan British, menubuhkan GEMPAR, dan lain-lain lagi. Walaupun mereka tidak mampu untuk mempertahankan identiti mereka tetapi mereka tetap mampu untuk membuka mata pihak British dan Siam tentang semangat perjuangan mereka dalam mempertahankan identiti mereka melalui usaha-usaha yang telah mereka lakukan. Selain itu, pejuang-pejuang tersebut juga berjaya menarik perhatian dunia terhadap masalah umat Islam Patani dalam perjuangan nasionalisme mereka di Selatan Thailand termasuklah Patani.






[1]Nik Anuar Nik Mahmad. (2006). Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. hlm. 15.


[2]Abdul Rahman Abdullah. (2009). Sejarahdan Tamadun Asia Tenggara: Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. hlm. 313.


[3]Farid Mat Zain dan Zulkarnain Mohamed. (2008). Muslim Selatan Thailand: Konflik dan Perjuangan. Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd. hlm. 8.


[4]Nik Anuar Nik Mahmud. ( 2006). Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785- 1954. hlm. 51.


[5]Nik Anuar Nik Mahmud. (2006). Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954. hlm. 32.


[6]Mohd Zamberi A. Malek. (1993). Umat Islam Patani: Sejarah dan Politik. Shah Alam: Hizbi. hlm. 150.


[7]Ahmad Omar Chapakia. (2000). Politik Thai dan Masyarakat Islam di Selatan Thailand. hlm. 69.


[8]Ibid.


[9]Tajuddin Saman dan Ab. Manaf Haji Ahmad. (2006). Tokoh-Tokoh Agama dan Kemerdekaan di Alam Melayu. hlm. 98


[10]Mohd Zamberi A. Malek. (1993). Umat islam Patani :Sejarah dan Politik. hlm. 198.




[11]Nik Anuar Nik Mahmud. (2006). Sejarah Perjuangan Melayu Patani 1785-1954. hlm. 75.


[12]Ibid. hlm. 56.


[13]Ibid. hlm. 26.


[14]Ibid.


[15]Mohd. Zamberi Malek. (1999). Harimau Malaya: Biografi Tengku Mahmood Mahyideen. hlm. 105.


[16]Ibid. hlm. 144.


[17]Mohd Zamberi A. Malek. (1993). Umat Islam Patani: Sejarah dan Politik. hlm. 207.


[18]Mohd Zamberi A. Malek. (1993). Umat Islam Patani: Sejarah dan Politik. hlm. 208.

No comments:

Post a Comment