nuffnang

Sunday, May 26, 2013

AWAL ABAD KE-20, JEPUN MUNCUL SEBAGAI KUASA ASIA PERTAMA MENGALAHKAN KUASA BARAT. BAHASKAN.

1.0       PENDAHULUAN
Jepun merupakan salah satu negara yang telah wujud di Asia Timur. Negara Jepun juga dikenali sebagai Nihon atau Nippon dan dalam Bahasa Jepun dikenali secara meluas sebagai Tanah Matahari Terbit. Nihon sebenarnya bermaksud asal matahari iaitu matahari terbit. Hal ini demikian kerana Jepun merupakan sebuah negara yang menerima sinar mentari paling awal setiap hari sehinggakan diberi gelaran tersebut. Perkembangan dan kegemilangan Jepun dapat dilihat semasa pemerintahan Maharaja Meiji. Justeru itu, M. Rajendran menyatakan bahawa semasa di bawah pemerintahan Maharaja Meiji Jepun telah diubah kepada sebuah negara yang moden dan berkuasa. Pemerintahan Meiji telah membolehkan Jepun mengalami era pemodenan dengan beberapa dasar yang telah diperkenalkan khususnya dari segi ketenteraan. Maka tidak dapat dinafikan lagi bahawa Jepun telah muncul sebagai salah sebuah kuasa dunia.
            Maharaja Meiji yang merupakan pemerintah Jepun pada ketika itu merupakan seorang pemerintah yang berpandangan jauh dan telah membuat perubahan penting dalam bidang politik, sosial dan ekonomi dengan memperkenalkan beberapa dasar untuk membangunkan negara Jepun itu sendiri menjadi sebuah negara yang disegani. Sebagai contoh yang dapat dilihat apabila Maharaja  Meiji telah memperkenalkan dasar yang dikenali sebagai ‘Fukoku Kyohei’ iaitu untuk menjadikan Jepun sebuah negara yang kaya dan mempunyai tentera yang kuat. Hal ini demikian kerana pemerintah Jepun telah sedar bahawa imprealisme yang dilakukan oleh pihak Barat sedikit sebanyak memberi ancaman kepada Jepun. Justeru itu, tidak hairanlah bahawa Maharaja Meiji memperkenalkan pemodenan di Jepun dengan menyerap seberapa banyak teknologi, pengetahuan dan sistem pentadbiran Barat secara besar-besaran.
            Rentetan daripada pemodenan yang telah dilakukan oleh Maharaja Meiji telah menyebabkan Jepun muncul sebagai kuasa Asia pertama yang dapat mengalahkan kuasa Barat pada awal abad ke-20. Hal ini jelas dapat dibuktikan apabila Jepun berjaya mengalahkan Rusia di dalam perang yang dikenali sebagai Perang Rusia-Jepun 1904-1905. Rusia merupakan salah sebuah negara yang disegani sebagai kuasa-kuasa besar Barat kerana merupakan salah sebuah negara yang besar dapat dikalahkan oleh Jepun yang merupakan sebuah negara yang kecil. Menurut M. Rajendran, kekalahan Rusia di tangan Jepun dalam tahun 1904-1905 bukan sahaja menhancurkan mitos bahawa kuasa-kuasa Barat tidak dapat dikalahkan tetapi juga meninggikan status Jepun sebagai sebuah kuasa besar di Asia Timur.
            Kemenangan Jepun ke atas Rusia merupakan satu titik tolak atau ‘turning point’ kepada keagungan Jepun sebagai sebuah kuasa yang dapat menewaskan Barat. Hal ini jelas telah menjadikan Jepun sebagai sebuah kuasa yang agung dan disegani oleh kuasa-kuasa Barat yang lain. Oleh itu, martabat Jepun sebagai sebuah kuasa Asia Timur semakin meningkat dan memeranjatkan kuasa Barat kerana Jepun merupakan sebuah negara yang kecil dapat menewaskan Rusia yang merupakan sebuah negara yang besar dan kuat. Pendapat ini telah disokong oleh Herbert H. Gowen yang menyatakan bahawa Jepun bukan sahaja merupakan kuasa Asia tetapi merupakan kuasa dunia dan penglibatannya dalam lingkungan asia tidak perlu dipersoalkan lagi serta mempunyai pengaruh yang kuat.
            Tambahan pula, pendapat bahawa Jepun merupakan kuasa Asia pertama yang menewaskan kuasa Barat turut disokong oleh Yoshihisa Tak Matsusaka yang menyatakan bahawa selepas kemenangan Jepun telah menyebabkan semangat pemerintah Jepun semakin meningkat untuk meluaskan kuasa dan menyebabkan persepsi pihak Barat terhadap Jepun yang mengatakan Jepun sebuah negara yang kuat dan tidak dapat ditandingi. Selain itu, Jon Livingston, Joe Moore dan Felicia Oldfather turut menyokong bahawa Jepun menjadi sebuah negara yang kuat selepas dapat menewaskan Rusia dan kejayaan Jepun tersebut menjadikannya sebagai ‘hero’ baru dalam kuasa dunia yang tidak dapat dinafikan lagi oleh kuasa-kuasa besar yang lain. Tambahan pula, pendapat ini turut disokong oleh W. G. Beasley yang menyatakan bahawa kekalahan Rusia telah menyebabkan Jepun menjadi sebuah kuasa Asia yang kuat dan tidak dapat ditandingi. Justeru itu, kemenangan Jepun yang dapat menewakan kusa Barat iaitu Rusia membolehkan Jepun semakin disanjungi oleh kuasa-kuasa Barat yang lain. Perkara ini jelas dapat dilihat apabila tercetusnya peperangan antara Rusia dan Jepun. Oleh itu, terdapat beberpa faktor yang membawa kepada peperangan tersebut dan menyebabkan berlakunya kekalahan Rusia ke atas Jepun serta menyebabkan beberapa kesan terhadap Jepun itu sendiri dan juga pihak Rusia.


2.0       FAKTOR PERANG RUSIA- JEPUN 1904
Tiada satu sebab yang boleh dianggap sepenuhnya sebagai punca Perang Rusia-Jepun 1904. Peperangan ini boleh dianggap berlaku sejak awal tahun 1875 lagi, dan perang yang sebenar hanya tercetus pada tahun 1904. Terdapat banyak faktor yang membawa kepada Perang Rusia Jepun sama ada dari segi dalaman Jepun sendiri mahupun faktor luar yang mencetuskan peperangan ini.

2.1       FAKTOR DALAMAN PERANG RUSIA JEPUN 1904
2.1.1    Perkembangan Ketenteraan Jepun
Kejayaan Jepun dalam Perang Rusia- Jepun tidak dapat dinafikan lagi didorong oleh kejayaan Jepun dalam memperkuatkan ketenteraannya. Bermula dari kejayaan pemulihan kuasa Meiji, meletusnya perang dengan China 1895 yang menandakan tamatnya “Zaman Pemulihan Jepun” serta permulaan zaman baharu bagi Jepun. Perkembangnnya berterusan sehinggalah kepada perluasan kuasa Jepun ke benua Asia dari tahun 1895 sehingga 1945. Menurut Edwin. O. Reischauer, zaman 45 tahun pemerintahan Meiji hakikatnya adalah merupakan zaman Jepun belajar, meminjam, dan secara beransur-ansur mengasimilasikan unsur –unsur tamadun Barat. Zaman pemerintahan Meiji yang penuh dengan kegemilangan tersebut digelar sebagai “Zaman Victoria” Jepun.
            Sejak itu, golongan tentera telah mendominasi senario politik Jepun. Mereka bertindak melakukan pencerobohan keatas Manchuria China, yang akhirnya mengheret Jepun ke kancah Perang Dunia Kedua. Jepun adalah merupakan sebuah negara yang mempunyai tradisi ketenteraan yang sangat kuat sehinggakan terdapat juga karya yang  mencatatkan bahawa tidak ada negara lain yang dapat menandingi  Jepun dimana anggota tentera mereka disambut dengan sanjungan yang cukup tinggi. Lantaran daripada itu dapat dilihat bahawa kerajaan baharu Jepun dibawah kuasa Meiji sangat memberi keutamaan dalam perkembangan tentera darat dan lautnya yang bakal mengubah keseluruhan perkembangan negara Jepun kelak. Lantaran itu, kerajaan Jepun memberikan keutamaan terhadap pembangunan tentera darat dan lautnya.
2.1.2    Kedatangan Barat Ke Jepun
Awal kurun ke-19, ramai pegawai Amerika dan Eropah yang berulang ke Jepun menghantar angkatan tentera bagi mempengaruhi Jepun membuka pelabuhannya kepada kapal-kapal asing namun tidak diperdulikan Edo. Kehadiran orang Eropah yang semakin meningkat terutamanya selepas kekalahan China dalam Perang Candu mendorong segelintir pelajar yang berpendididikan ketenteraan barat  menggesa kerajaan Jepun meningkatkan sistem pertahanannya melalui persenjataan dan organisasi Barat. Hanya sekitar tahun 1841 sahaja idea tersebut dipertimbangkan kembali.
            Terdapat juga dalam kalangan mereka yang belajar di Eropah menganjurkan pembukaan Jepun namun ditentang keras penduduk Jepun. Lantaran itu, Amerika telah bertindak menghantar angkatan lautnya yang besar memasuki perairan Teluk Jepun dibawah pimpinan Komander Matthew C. Perry pada Julai 1853 bagi menyampaikan surat Presiden Amerika menuntut pembukaan pelabuhan Jepun. Angkatan Perry kembali semula pada Februari 1854, dan dengan gertakan daripada meriam kapal-kapal Amerika, Tokugawa terpaksa membuka dua buah pelabuhannya kepada Amerika.  Dengan pembukaan pintu  Jepun, dalam masa dua tahun, Edo terpaksa menandatangani perjanjian membuka pintunya kepada England, Rusia dan Belanda. Kini Jepun sudah terbuka luas kepada dunia luar dan jelas bakal menerima sistem ketenteraan Barat serta perkembangan sains dan teknologi mereka.
2.1.3    Pengorganisasian Tentera
Jepun tahu bahawa untuk muncul sebagai kuasa yang kuat di Rantau Asia, mereka memerlukan permodenan dan perubahan pertama yang dilakukan adalah pengorganisasian tentera. Maka timbul keinginan mencipta Jepun moden dengan membangunkan kuasa tentera melalui pembaharuan dalam aspek ekonomi, sosial dan intelek. Organisasi ketenteraan adalah merupakan pemula kepada peralihan kuasa Tokugawa kepada Meiji melalui penyerapan organisasi bercorak Barat serta menggaji penasihat asing. Organisasi ketenteraan darat dan laut lantas menjadi organisasi terbesar dalam masyarakat Jepun dan merangsang pembangunan sistem-sistem yang lain. Pada  1850, Jepun berhadapan Barat tanpa adanya angkatan darat dan laut yang kukuh. Pendekatan terbaik untuk menjadikan organisasi tentera sepenuh masa adalah menggunakan unit samurai dalam tugas pengawalan dan polis.
Ketua Turus Angkatan Tentera yang dahulunya  terletak di tangan Menteri Awam telah dijadikan sebagai badan bebas  sekitar tahun 1878.  Tiga tahun kemudiannya, setelah lama menggunakan penasihat orang Perancis dan tambahan kekalahan Perancis di Tangan Prussia, kerajaan Jepun telah menggantikan mereka dengan penasihat Jerman. Hal ini demikian kerana orang-orang Jerman telah membuktikan bahawa mereka lebih handal dari orang Perancis ketika Perang Franco-Prusia di Eropah.
            Sejak Jepun menghapuskan dasar Isolasi, perhubungannya dengan kuasa-kuasa Barat adalah lebih kukuh berbanding sebelumnya. Orang-orang Jepun sentiasa mengawasi perkembangan- perkembangan dalam bidang sains moden dan teknologi yang dibangunkan oleh orang-orang Eropah pada ketika itu. Selepas 1868, ramai juruteknik luar yang muncul terdiri daripada orang Inggeris Britain, Amerika, Perancis, Jerman dan Belanda. Mereka digaji oleh Jepun sebagai nakhoda, jurutera keretapi dan kapal laut, penasihat keewangan dan undang-undang, pakar pertanian, guru-guru universiti dan sekolah serta model pelatih tentera darat dan laut. Menjelang tahun 1875, terdapat sekitar 600 penasihat asing dan jumlah mereka mencecah 3000 orang pada 1890. Semua penasihat diletakkan di bawah pegawai Jepun dan perkhidmatan mereka bakal ditamatkan setelah Jepun yakin boleh melakukan kerja berkenaan tanpa mereka lagi.
2.1.4    Tentera Laut
Kejayaan Jepun dalam Perang Russia Jepun sendiri adalah didorong oleh kemajuan tentera laut mereka. Dahulu, cubaan pertama Jepun adalah dengan membina angkatan laut kecil ala-Barat itu masih jauh kemampuannya untuk menyaingi tentera Barat. Bagi tentera laut, uniknya, kedudukan Jepun adalah merupakan sebuah negara kepulauan. Maka kebanyakkan orang Jepun adalah orang-orang pulau dan golongan ini memiliki kelebihan yang asli tentang perkara berkaitan laut. Dahulu mereka dilarang membina kapal untuk menyeberangi lautan, walhal nelayan-nelayan Jepun memiliki pengalaman yang luas dalam bidang pelayaran. Apabila keperluan untuk mendapatkan pelaut-pelaut muncul, maka kebanyakan orang-orang dan pelaut-pelaut Jepun yang sudahpun terlatih terus diserapkan sebagai angkatan tentera laut mereka. Walaupun bergitu, mulanya Jepun tidak mempunyai sebarang tentera laut.
Oleh hal yang demikian, bagi melengkapkan keperluan tentera mereka, beberapa penuntut-penuntut Jepun telah dipilih untuk dihantar ke Barat bagi mempelajari ilmu pelayaran serta pembentukan limbungan kapal. Negara Britain telah dipilih disebabkan oleh mereka memiliki angkatan tentera laut yang amat disegani pada ketika itu. Beberapa lama kemudian, limbungan-limbungan kapal telah mula dibina di Nagasaki dan Yokohama. Menjelang 1875, Jepun telah berjaya membina kapal mereka sendiri yang seberat 900 tan dan 1400 tan. Setelah itu, pengkalan tentera laut juga telah didirikan di Yokosuka, Sasebo, dan Kure. Pembinaan kapal-kapal perang ini ternyata telah membantu kejayaan Jepun di dalam menewaskan China pada 1894-1895 dan Rusia 1904-1905. Kemengan ini telah meninggikan lagi imej Jepun di kalangan negara-negara barat. Jepun melaksanakan revolusi industri berat  seperti penubuhan kilang-kilang simen, besi,pembinaan pelabuhan-pelabuhan.Revolusi perindustrian berat ini tidak akan berjaya jika pengangkutan perkapalan tidak dijalankan lebih dahulu. Untuk terus meningkatkan lagi bidang industri, kerajaan telah menubuhkan  Kementerian Perusahaan dalam bulan Disember 1870. Kerajaan Meiji mula mengimport mesin-mesin dan menjual mesin-mesin ini kepada pengusaha tempatan secara ansuran, perindustrian utama seperti kilang kain bulu dan tekstil, simen, dan kertas ditubuhkan.
Sebenarnya disebabkan kekangan teknologi yang lebih baik sendiri, kapal-kapal yang diperlukan oleh tentera Jepun telah diimport dan dibina dari limbungan di Britain. Tidak berapa lama kemudian, angkatan tentera laut Jepun yang mulanya hanya memiliki 14 buah kapal  sahaja pada 1872 kini sudah bertambah berlipat kali ganda. Penambahan jumlah kapal perang itu sendiri menjadi bukti kehebatan kuasa ketenteraan Jepun dan terbukti melalui kemenangan mereka dalam perang dengan China dan Rusia. Kemenangan inilah sebenarnya yang menaikkan semangat dan nafsu kemenangan Jepun bagi melancarkan dasar Imperialisme pada tahun-tahun berikutnya. Semangat ini jugalah yang telah menjerumuskan Jepun kedalam kancah peperangan pada zaman Meiji dan juga zaman selepasnya.
Menjelang 1870 juga, kerajaan pusat yang baharu menghadapi tugas membina tentera kebangsaan yang mana sumber tentera telah bertambah dengan banyaknya setelah wujud pelbagai hasil inovasi. Sepertimana negara- negara lain di dunia, Jepun juga beranggapan bahawa negara Barat adalah merupakan ancaman utama mereka. Tentera laut adalah merupakan organisasi pertama yang mencontohi struktur Barat dengan memperkenalkan latihan khusus kakitangan oleh tenaga pengajar Barat seperti menerima pakai seragam ala-Barat. Tentera Laut barat Daya boleh diwujudkan dalam khusus kosong “Vacant niche”. Tidak ada organisasi sedia ada yang menolak usaha transforrmasi model baharu. Institut latihan tentera laut telah ditubuhkan di Nagasaki dengan adanya enam tenaga pengajar Belanda yang melibatkan pengajaran tentang meriam, strategi pelautan, kejuruteraan dan pembinaan kapal tentera laut. Dalam meluaskan kuasa tentera laut Jepun, Bakufu mengakui dalam kalangan lelaki muda mereka, 129 dari 200 telah ditaja oleh mereka sendiri. Bagi mengekalkan negara Jepun sebagai sebuah negara yang berpengaruh dan berkuasa, pada tahun 1869, pemerintah Meiji telah menetapkan keputusan pembinaan kapal-kapal moden. Pengumunan ini telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri Jepun melalui arahan yang bernombor 968.
            Pada 1870, Jepun khuatir terhadap pencerobohan Barat dan mereka tidak mempunyai rancangan segera untuk dibentangkan bagi menanggani peluasan kuasa asing. Kapal perang Jepun yang pertama dibina ketika berada dibawah Keshokogunan, pembinaan keduanya pula terbengkalai sehingga 1876. Perbelanjaan yang besar bagi pengimportan kapal menyebabkan kerajaan enggan untuk menambahkan kekuatan tentera lautnya. Walau diminta oleh pegawai tentera laut, kerajaan Meiji hanya mengarahkan tempahan sebanyak enam buah kapal perang baharu sebelum 1886 iaitu tiga dari Britain dan tiga lagi daripada limbungan kapal Jepun. Purata tempoh masa latihan ketenteraan Laut di Barat juga adalah lebih lama iaitu sekitar 8-11 tahun. Kerajaan turut menubuhkan sekolah akademi kelautan, menghantar pelajar mereka ke luar negara dan menyatukan kementerian Tentera Laut walau bagaimanapun kedudukan tentera laut masih berada jauh di belakang tentera darat.
2.1.5    Tentera Darat
Tentera darat adalah merupakan tenaga tentera utama yang digunakan bagi memastikan kejayaan Jepun dalam Perang Russia Jepun. Dalam angkatan darat, selain mewujudkan secara rasmi struktur organisasi, model untuk mengabungkan teknologi barat dalam struktur tersebut juga turut dibangunkan. Model sedia ini melibatkan samurai peringkat rendah serta sebahagian tentera tradisional. Kerajaan Jepun secara rasminya menggunapakai Model Perancis bagi tentera daratnya tepat sebulan selepas Perancis dikalahkan Prussia di Sedan.
Awal tahun 1860, senjata baharu dengan pantasnya mula memasuki Jepun dan dapat dilihat berlakunya peningkatan bilangan pedagang Barat selepas pembukaan pelabuhan pada 1859. Ianya secara beransur-ansur mula menghakis kawalan keatas aliran senjata ke Jepun. Dalam import kedua  pelaburan berskala besar yang memerlukan kemudahan  domestik sangat mahal ini telah memakasa mereka bertekad untuk mengembangkan ketenteraan sama ada membina asas mereka atau mengalihkan sumber- sumber sedia ada. Beberapa domain terpaksa mengembangkan perdagangan mereka bagi membiayai pembelian senjata termasuk bakufu sendiri sehingga terpaksa mengurangkan perbelanjaan dalam bidang lain, menghapuskan pejabat sedia ada dan menghapuskan kewajipan keewangan tradisional. Langkah-langkah tersebut diambil adalah bagi menghapuskan struktur pentadbiran tradisional dan melemahkan kesetian samurai. Pada 1862 satu kaedah manual berkenaan ketenteraan Barat dan pengetahuan pasukan tenteranya dibuat bagi mewujudkan satu arahan baharu  bagi angkatan darat dan laut.  Pada 1867,  pencapaianya ketenteraan Jepun lebih hebat dengan penglibatan penasihat tentera Perancis dan Penasihat tentera Laut Inggeris.
2.1.6    Penubuhan Akademi Ketenteraan
Kejayaan Jepun dalam perang Russia Jepun juga dibantu oleh Dasar reformasi 1867 yang dibentuk telah mendorong pembukaan akademi latihan bagi tentera di Edo yang dianggotai oleh pegawai tentera Perancis. Bakufu juga menggunakan nasihat teknikal dari Perancis dalam pembinaan foundari besi dan limbungan kapal. Ramai pelatih Perancis dilahirkan daripada institut latihan ketenteraan yang ditubuhkan di Edo itu. Beberapa domain pula telah meneruskan pengimportan senjata, sebagai contohnya pengimportan beberapa ribu senapang jarum dari Jerman pada  1870 yang diiringi oleh pegawai Jerman bagi mengajar cara penggunanya. Kebanyakkan sekolah utama juga diperluaskan untuk mempelajari ketenteraan Barat. Sebagai orang baharu, satu  penyelarasan dan kawalan telah ditubuhkan termasuk kakitangan Am, jemaah nazir untuk menyelia dan menyeragamkan pendidikan  dan latihan tentera seperti yang dilaporkan seperti Staf Jeneral terus kepada Maharaja. Model-model utama untuk perubahan ini telah diambil dari Jerman. Tentera Perancis menekankan peranan sekolah tentera, kepentingan semangat dan nasionalisme.
Pada 1870, penentuan beberapa buah sekolah bagi melatih tentera darat dan laut dibuat berasaskan nasihat tentera asing  namun bersandar sepenuhnya kepada pengetahuan dan pengalaman daripada pelajar senior yang lebih awal atau mereka yang baharu pulang dari belajar di luar negara. Sekolah latihan tentera dibawah rejim baru yang pertama ditubuhkan di Kyoto pada 1868 dengan kokurikulumnya adalah berorientasikan kajian Barat namun ianya dikendalikan oleh pihak Jepun. Menjelang 1871, kerajaan Meiji memutuskan mengembalikan dasar lamanya dan membawa seramai 16 pegawai Perancis ke Jepun pada 1872. Perancis akan menyediakan kakitangan teras kelas pertama di Akademi tentera (Shikan Gakko). Sekolah tentera laut Meiji pertama ditubuhkan pada 1869 di Yokohama dan Jepun telah mengupah tenaga pengajar dari British. Kurang daripada separuh dari 450 000 samurai yang menganggur telah dimasukkan kedalam angkatan tentera yang baharu dan tentera laut berasaskan model barat. Bilangan mereka melebihi kekuatan tentera sebenar yang dikuasai oleh jepun.
2.1.7    Sistem Kerahan
Pertambahan jumlah tentera serta semangat tentera yang kuat hasil daripada pelaksanaan sistem keras mendorong kejayaan Jepun dalam perang mereka. Pengumuman yang dibuat lewat 1872 dan Perintah Kerahan 1873 telah diktiraf Tentera darat dan laut secara berterusan menerima sukarelawan samurai. Bilangan penduduk yang dikerahkan pula adalah sedikit sahaja sekitar 3 peratus daripada kesesuaian umur lelaki untuk berkhidmat dalam tentera pada 1870. Dalam perintah pengerahan tersebut, terdapat pengecualian bagi perkhidmatan iaitu seseorang lelaki yang menjadi ketua keluarga, orang yang mewarisi ladang dan perniagaan keluarga. Selepas pengembalian, kerajaan telah mengambil langkah-langkah permulaan ke arah pembentukan satu angkatan tentera yang moden bagi menandakan komitmen kerajaan Jepun membina negara bangsa moden mengikut model barat apabila peruntukan Undang-undang Kerahan yang pertama telah diluluskan  pada awal tahun 1872.
Melalui undang-undang ini, kerajaan mampu untuk memiliki satu kuasa angkatan tentera tetap seramai 240 00 orang anggota yang kemudiannya terus meningkat hampir setengah juta jumlahnya. Mengikut Yamagata, orang Jepun sama ada dari golongan tentera mahupun tidak, berasal daripada darah yang sama dan apabila tertakluk dengan tata tertib tentera maka mereka pasti tidak akan gagal menjadi askar-askar. Sebelum pengenalan undang-undang itu sendiri, dapat dilihat disebabkan status samurai yang tinggi dan penting dalam masyarakat feudal Jepun maka ianya agak sukar dihapuskan. Menyedarinya, Choshu mencari jalan bagi melucutkan  taraf samurai dalam kasta hulubalang dengan memperkenalkan perkhidmatan tentera negara yang seterusnya menjurus kepada Undang-Undang Kerahan.
Perlu diketahui juga, dalam proses pertama pembaharuan, Meiji bertindak pada mulanya dengan menghapuskan penggunaan senjata-senjata kuno. Dengan ini juga, golongan samurai yang selama ini mewarisi jawatan kepahlawanan secara turun temurun telah dihapuskan. Hal ini termasuklah melarang rakyatnya daripada membawa senjata terutamanya pedang kecuali tentera dan polis. Terdapat kira-kira setengah juta samurai semasa sistem feudal telah dihapuskan. Golongan samurai ini seterusnya telah menceburkan diri mereka dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian baharu di Jepun.
Terdapat cadangan diwujudkan Jabatan Hal Ehwal ketenteraan dan Pengerahan, 1872. Hal ini kerana angkatan tentera diperlukan bagi mempertahankan negara mereka. Seorang pemuda, apabila umurnya telah meningkat kepada 20 tahun, mereka akan dikerahkan untuk bertugas dengan aktif selama tiga tahun yang dikenali sebagai Khidmat Wajib Tentera. Ini diikuti pula selama empat tahun mereka terpaksa berkhidmat sebagai askar simpanan serta bersedia untuk menunaikan kehendak- kehendak darurat sehingga mereka mencapai umur 30 tahun. Pada tahun yang sama, kerajaan telah membubarkan Jabatan Hal Ehwal Tentera dan mengabungkannya dengan Jabatan Perang dan Angkatan Laut. Badan Pemimpin Agung yang berada di bawah Jabatan Perang telah dijadikan sebagi badan bebas pada tahun 1878 dan sebuah akademi ketenteraan telah ditubuhkan pada 1882. Dibawah pimpinan pegawai-pegawai muda yang berkebolehan seperti Yamagata dari Choshu, satu pasukan tentera daripada kaum petani telah dikerahkan dan dibentuk. Permulaanya ia menggunakan contoh tentera Perancis, dan kemudiannya beralih kepada Jerman.
Jepun telah menghantar pemudanya yang terbaik ke segenap Eropah bagi mempelajari setiap teknologi baharu seperti ke England bagi mempelajari tentang angkatan laut dan perkapalan perdagangan, ke Jerman untuk mempelajari tentang tentera darat dan perubatan, ke Perancis untuk undang-undang dan ke Amerika bagi mempelajai teknik perniagaan. Asasnya sudah tentulah bertujuan untuk membina kekuatan tentera darat dan laut yang kuat yang bermodelkan Barat. Bagi merealisasikannya, mereka memerlukan sokongan dari sistem politik yang kukuh, rakyat yang sihat jasmani dan cekap teknik strategi serta satu rangkaian sistem ekonomi yang kukuh dan maju dalam perusahan yang akhirnya akan membawa kepada matlamat mereka.
2.2       FAKTOR LUAR PERANG RUSIA-JEPUN 1904
2.2.1    Rusia Menduduki Pulau Sakhalin
Pada akhir abad ke-18 pihak Bakufu berasa amat gentar terhadap perluasan kuasa Rusia ke Selatan apabila meluaskan daerahnya hingga ke Sakhalin dan mengugut Pulau Yedo (Hokaido). Pada tahun 1875, apabila nasionalisme secara beransur-ansur berkembang di Jepun, Rusia cuba untuk menduduki Pulau Sakhalin yang merupakan milik Jepun. Oleh kerana Jepun tidak bersedia untuk berperang di peringkat ini, Rusia tidak pernah dilupakan oleh Jepun yang mahu mengambil peluang untuk pemulihan pada masa yang sesuai. Antara kepentingan Pulau Sakhalin ialah menambahkan lagi pasaran bagi barangan keluaran Jepun.
2.2.2    Kepentingan Manchuria
Manchuria terletak di atas garisan lintang 39º-53º 30’ Utara. Iklimnya sangat sejuk pada musim dingin dan sangat panas pada musim panas. Kebanyakan kawasan tersebut mengeluarkan hasil tanaman seperti kacang, sekoi, kaolin dan gandum. Pada asalnya, Rusia ingin memajukan daerah Siberia Timor yang lebih mundur daripada Manchuria, namun oleh kerana Manchuria mempunyai hasil kayu kayan dan galian seperti arang batu, besi dan emas menyebabkan Rusia memilih Manchuria yang difikirkan dapat menjadi asas untuk pekan baru dan perusahaan Rusia ingin mengembangkan ekonominya ke Manchuria.
Rusia perlu melanjutkan landasan kereta apinya ke Manchuria. Rusia membina landasan keretapi Trans-Siberia di Manchuria. Projek kereta apiTrans-Siberia telah dilancarkan pada tahun 1981. Dari tahun 1891 hingga tahun 1916, Rusia membina landasan kereta api Trans-Siberian. Sehingga landasan kereta api itu siap pada 1916, Rusia percaya landasan Trans-Manchuria dapat menghubungkan Eropah dan Asia Rusia. Landasan kereta api dikenali sebagai Chinese Eastern Railway (CER) yang mempunyai laluan sepanjang 1782 batu yang menghubungkan China dengan Vladivostok dan kawasan selatan ke Port Arthur. Chinese Eastern Railways (CER) ini mula beroperasi pada 1889. Perluasan Empayar Rusia merupakan faktor utama yang menyebabkan Rusia ingin membina Chinese Eastern Railway. Rusia telah lama berminat di Asia Timur sebagai nama yang dicadangkan iaitu ‘Vladivostok’ yang merupakan pelabuhan yang terpenting Rusia yang boleh diterjemahkan kepada “Ruler of the East”.
Rusia memerlukan Manchuria untuk tujuan politik terutama dari aspek ketenteraan. Hal ini dapat dilihat yang mana Rusia sangat memerlukan Manchuria untuk mendapatkan pangkalan tentera laut bagi menggantikan pelabuhan Vladivostok yang berada di Timur jauh. Rusia berminat untuk mendapatkan sebuah pelabuhan yang tidak terpengaruh dengan cuaca iklim atau pelabuhan yang tidak membeku pada musim sejuk (ice-free). Kuasa Eropah bersaing untuk mendapatkan kepentingan yang sebanyak mungkin di Timur. Rusia dari segi geografi dan sejarahnya, tidak tercabar dengan kuasa-kuasa lain kerana telah meluaskan pengaruhnya di Timur selama 500 tahun.
Perluasan kuasa ke Manchuria merupakan fasa yang terbaru dalam menjelajah di Asia Timur. Kepentingan ekonomi merupakan faktor yang lain yang menyebabkan Rusia ingin meluaskan pengaruhnya. Menteri Peperangan iaitu Jeneral Aleksei Nikolaevich Kuropatkin menulis pada tahun 1900 bahawa “apabila Rusia mempunyai kuasa landasan kereta api antara Laut Baltik dan Lautan Pasifik dan apabila Rusia mendapatkan Bosporus di Lautan India dan Lautan Pasifik, kemudian Rusia banyak sekali bekalan sumber semula jadi akan menyebabkan semua kuasa dunia akan mengagumkan persaingan ekonomi”. Tsar Nicholas II juga percaya akan Russian East Asia akan dapat membiaya diri sendiri.
Keselamatan negara merupakan faktor ketiga dan merupakan faktor segera dari kaca mata pemimpin Rusia. Dalam tempoh waktu dari Perang China-Jepun Pertama (1894-1895) bersambung sehingga Perang Rusia-Jepun (1904-1905), landasan kereta api Rusia berkembang di Asia Timur boleh dilihat sebagai dasar asingnya. Pembinaan landasan kereta api di Asia Timur merupakan reaksi kepada keperluan keselamatan negara Rusia. Pada 1881, China memaksa Rusia untuk berundur dari kawasan yang didudukinya sejak 1871 sehingga penentangan besar-besaran China Muslim yang berada di Xinjiang (Sinkiang) dari tahun 1862 hingga tahun 1978. China cuba untuk menghentikan penentangan ini dan menduduki kawasan ini yang merupakan kawasan Rusia. Oleh kerana masalah kewangan disebakan oleh Perang Rusia-Turki  (1877-1878), Rusia menghentikan Persetiaan Livadia 1879 dengan memberi wilayah ini, untuk menandatangani Persetiaan St. Peterburg 1881.
Manchuria pada dasarnya di perintah oleh China secara langsung. Bukan hanya Jepun yang risau akan kemaraan Rusia ke atas Manchuria, namun kuasa-kuasa Barat yang lain seperti Amerika Syarikat dan British juga bimbang akan perluasan kuasa Rusia di atas dasar-dasar dan usaha yang dilakukan Rusia di Manchuria. Manchuria dilihat sebagai pembekal dan perhubungan yang lebih baik kedudukannya di Siberia Timur. Manakala negara Jepun pula amat berminat terhadap Manchuria yang kaya dengan sumber asli seperti arang batu dan besi. Walaupun iklimnya keterlaluan, tetapi kebanyakan dari kawasan itu banyak mengeluarkan hasil.
2.2.3    Campur Tangan Tiga Kuasa Iaitu Rusia, Perancis Dan Jerman, 1895
Pada 23 April 1895, Jerman, Rusia dan Perancis menuntut supaya kerajaan Jepun membatalkan pemilikannya terhadap Semenanjung Lioutung dengan alasan “keamanan di Timur Jauh”. Campur tangan tiga kuasa iaitu Rusia, Jerman dan Perancis mengenai Lioatung menaikkan kemarahan Jepun. Oleh kerana menganggap China lemah lebih daripada yang disangkakan menyebabkan campur tangan kuasa Perancis, Jerman dan Rusia yang kononnya inginkan pembayaran pampasan untuk ‘melindungi’ China menentang Jepun untuk mengambil alih Jepun yang telah mendesak China namun telah ditolak oleh China. Kemenangan Jepun, dalam peperangan dengan China pada tahun 1895, menyebabkan Jepun menjadi kuasa yang hebat dan agung di Asia. Oleh itu, Jepun dapat bertapak di China dengan mudah selepas China kalah kepada Jepun dalam Perang China-Jepun. Namun begitu, Rusia dilihat kerap ingin menguasai kawasan di China. Boleh dikatakan bahawa Rusia yang menimbulkan rasa cemas di Jepun.
Sesetengah kawasan pelabuhan dibuka untuk syarikat asing. Wilayah sempadan bagi Perancis dan Rusia di kawasan utara ke selatan serta Jerman di Shantung. Selain itu juga boleh dilihat, Perancis dan Jerman kerap memberi bantuan kewangan kepada China yang dilihat seperti ingin membantu China untuk memodenkan dan pembaharuan di China. Pada tahun 1895 hingga tahun 1900 dikatakan mempunyai kata sepakat bagi kuasa-kuasa ini. Terdapat tiga ciri iaitu yang pertama, perolehan kereta api istimewa dan konsesi perlombongan di wilayah China, kedua kawasan pajakan termasuklah pusat operasi kapal laut yang mana kepentingan mereka dapat dilindungi dan perjanjian dengan China akan memastikan kawasan mereka tidak dicerobohi kuasa-kuasa lain. Kawasan di China seperti sudah tersusun untuk kuasa Barat bertapak seperti kemasukan Perancis ke wilayah Yunnan, Kwangsi dan Kwangtung pada tahun 1895-1896, Jerman di Shantung pada tahun 1897-1898 manakala Rusia pula di Manchuria pada tarikh yang berbeza di antara tahun 1896 hingga tahun 1898.

2.2.4    Rusia Berminat Ke Atas China
Pada tahun 1896, China telah menandatangani perjanjian sulit dengan Rusia yang berkaitan dengan melindungi China dari kemaraan Jepun. China membayar pampasan kepada Rusia untuk campur tangan dalam Perjanjian Shimonoseki bagi pihak China termasuk pajakan bagi kawasan Port Athur dan Dairen yang bersebelahan dengan Semenanjung Shantung dan Liaotung. Rusia menganggap tindakannya adalah kerana serangan dan ancaman Jepun ke arah keamanan di China. Peranan Rusia lebih menonjol dalam keselamatan di China tetapi dengan syarat menyediakan kestabilan di area tersebut. Fobia terhadap Rusia di kalangan orang Jepun yang dikenali sebagai Russophobia berfokuskan kepada hubungan Sino-Rusia yang merujuk kepada hubungan China dan Rusia. Di Jepun, telah tersebar luas mengenai China telah menjadi boneka kepada Rusia.
2.2.5    Rusia Ingin Menduduki Korea
Semasa Perang Sino-Japanese, Korea telah berada di bawah perlindungan tentera Jepun melalui persetiaan yang ditandatangani di Seoul pada 26 Ogos 1894. Walaupun kemerdekaan telah diakui melalui Perjanjian Shimonoseki, Jepun mendapat pengaruh dan perhatian yang utama selepas peperangan. Pada tahun 1895, permaisuri Korea telah dibunuh dan dikatakan kementerian Jepun menjadi dalang di sebalik kematiannya. Menurut Peter Duus, Miura merupakan seorang yang fanatik dengan aktivis kepada Jepun mengambil inisiatif sendiri dengan merancang pembunuhan Permaisuri Min yang di sangkakan merupakan  orang yang menjadi ketua kepada  puak anti-Jepun.
Pada awal tahun 1896, tentera laut Rusia telah singgah di Chemulpo (Inchon) dan Raja Korea telah berlindung di kementerian Rusia. Rusia sekarang menumpukan perhatian ke atas Korea dan Rusia mendapat hak istimewa di China dan Korea. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan kemaraan Jepun kerana Jepun terasa terancam. Rusia dan Jepun berminat untuk mendapatkan Korea. Dari segi kekuatan, Rusia mengatur secara terperinci protokol baru dengan Jepun berkaitan dengan Semenanjung Korea. Protokol ini memaksa Jepun untuk melepaskan dominasi  kepentingan politik dan ketenteraan ke atas Korea. 
Perjanjian Nishi-Rosen yang ditandatangani pada 25 April 1989 adalah untuk meminta Jepun dan Rusia sama-sama untuk menahan diri supaya tidak campur tangan dalam urusan Korea dan berunding sesama sendiri sebelum melantik tentera atau penasihat kewangan, termasuklah Rusia berjanji tidak akan menghalang pembangunan Jepun, pengaruh Jepun dan kepentingan ekonomi di Rusia. Hal ini bermakna idea Inoue pada Julai 1895 untuk membentuk pengaruh Jepun di Korea akhirnya dapat dijalankan. Hal ini dapat dilihat dalam perbankan, Jepun akhirnya dapat menonjolkan dirinya dan mendapat kelebihan yang besar. Bank Shibusawa Ei’ichi’s Dai Ichi mempunyai kepentingan dalam kewangan perdagangan Jepun dengan Korea setelah membuka cawangan baru di Pusan pada tahun 1878.
Kekurangan kekuatan dalam ketenteraan dan politik menyebabkan Jepun mengelakkan diri dari sebarang konfrontasi dengan Rusia. Jepun menganggap protokol ini sebagai ‘lampu hijau’ bagi dirinya untuk terlibat dengan perkembangan komersial perniagaan di Korea. Pada tahun 1900, perdagangan Jepun-Korea dan jumlah orang Jepun yang menetap di Korea semakin meningkat. Jepun memperoleh hak dalam pembinaan landasan kereta api bagi landasan Seoul-Inchon dan Seoul-Fusan. Konsortium bagi kepentingan perniagaan Jepun terjamin untuk membina laluan kereta api yang menghubungkan Seoul dengan bandar utama iaitu Pusan dan Inchon dan Kementerian Jepun berusaha untuk mengatur pinjaman-pinjaman dari bank Jepun untuk melabur kewangan dalam kerajaan Korea.
Kepentingan landasan kereta api merupakan salah satu kepentingan Jepun di Korea. Hal ini boleh dilihat dalam salah satu artikel di dalam majalah Tokyo iaitu Taiyo menyatakan bahawa pada Julai 1899, “makna memperluas wilayah tanpa menggunakan askar-askar… ialah polisi landasan kereta api”. Jepun telah mengambil alih konsesi landasan kereta api dari kerajaan Korea bagi landasan Seoul-Pusan dan Seoul-Inchon (Chemulpo). Namun begitu, konsesi bagi Seoul-Inchon telah diserahkan kepada Amerika. Oleh kerana kesukaran untuk membangunkan modal, oleh itu kerajaan Jepun menjual kepentingannya  pada tahun1897 kepada sindiket persendirian Jepun yang diketuai oleh Shibusawa dalam empat Syarikat Zaibatsu (Mitsui, Mitsubishi, Yasuda dan Okura).
Dari segi strategik Korea menjadi sebuah pusat yang penting bagi pertahanan Jepun dan juga menjadi batu loncatan bagi Jepun untuk meluaskan pengaruhnya di Asia Timur pada masa hadapan. Pada tahun 1890, Yagamata Aritomo Perdana Menteri Jepun ketika itu memberi pandangan beliau mengenai memorandum polisi luarnya bahawa ia merupakan prinsip asas yang mana untuk mengekalkan kedaulatan Jepun, Korea diperlukan untuk melindung Pulau Jepun. Jepun telah mendirikan banyak pengkalan tentera darat, laut dan udara serta telah membina landasan-landasan keretapi dan jalan raya dengan tujuan memenuhi keperluan ketenteraannya. Selain itu juga, Jepun dan Korea juga telah meletakkan askarnya dalam jumlah yang kecil di beberapa bahagian Korea untuk tujuan ketenteraan. Dengan perjanjian tempatan antara Jepun dan Korea pada tahun 1896, Jepun mempunyai kepentingan untuk meletakkan askarnya dalam jumlah yang kecil di Seoul, Pusan dan Wonsan agar dapat membentuk telegraf ketenteraan jika ada-ada kecemasan dan maklumat yang ingin disampaikan.
2.2.6    Persetiaan Anglo-Japanese 1902
Pada tahun 1900, Jepun cuba mencari rakan sekutu untuk menguatkan kedudukannya di Timur. Kemaraan Rusia di Timur menyebabkan Jepun mula terasa tergugat dan mula mencari jalan bagaimana untuk menghalang kemaraan Rusia. Kemaraan Rusia di Timur menyebabkan Perdana Menteri Jepun iaitu Taro Katsura yakin bahawa Rusia tidak akan berhenti untuk menghuni Manchuria. Percaya kepada teori mendominasi ‘domino theory’ di Timur, Taro Katsura mengatakan bahawa “Rusia akan dan pasti memperluaskan pengaruhnya ke Korea dan tidak akan berhenti sehingga tiada ruang lagi untuk kita”. Bagi Jepun, isu Korea berkaitan dengan soal hidup dan mati. Oleh itu, Jepun memerlukan rakan sekutu bagi menguatkan dirinya.
British berminat untuk menguasai China adalah kerana faktor ekonomi untuk mendapatkan keuntungan dan bukanlah untuk menguasai Korea. Oleh itu, bagi Jepun, Britain adalah negara yang sesuai untuk dijadikan sekutu. Kekalahan China dalam Perang China-Jepun 1894-1895 telah mengakibatkan dua masalah kepada England yang mana ia mencabar kedaulatan British di China dan membawa masalah kepada England untuk berhadapan dengan masalah untuk menyelesaikan polisinya dalam proses pemecahan China. British pula mula bimbang akan kemaraan Rusia di China kerana kepentingan ekonominya. Ditambah pula persetiaan di antara Perancis dan Rusia yang mana mereka akan bersatu untuk menentang Britain jika berlaku apa-apa. Persetiaan antara Rusia dan Perancis juga membimbangkan Jepun jika berlaku konflik ketenteraan antara Jepun dan Rusia. Oleh sebab kepentingan perdagangan British di China, British risau akan pemecahan China dan kemaraan Rusia di Timur akan mengganggu gugat kepentingan British. Oleh itu, Britain memerlukan sekutu untuk mengatasi masalah ini. Persetiaan yang dipersetujui antara Jepun dengan kuasa Eropah ini membentuk keyakinan diri dalam kalangan masyarakat Jepun.
Persetiaan di antara Britain dan Jepun ditandatangani di London pada 30 Januari 1902, yang diwakili oleh Hayashi untuk Jepun dan Lansdowne bagi Great Britain. Persetiaan Anglo-Japanese 1902 dikatakan merupakan peristiwa romantik dalam sejarah dunia yang mana ia merupakan kesatuan pertama di antara Timur dan Barat, pengesahan pertama Kesatuan Asia berkebolehan memberikan bantuan kepada kuasa yang terkenal di Barat. Hal ini adalah kerana tidak pernah ada kuasa di Asia yang bersekutu dengan Barat. Perkara yang penting dalam persetiaan ini ialah yang pertama England dan Jepun akan membantu satu sama lain di dalam kes peperangan dengan China dan Korea, kedua persetiaan ini mengakui kepentingan istimewa Great Britain di China dan Jepun di Korea, bila-bila masa England dan Jepun merasakan kepentingan mereka terancam dan ketiga kedua-dua negara ini akan berkomunikasi sepenuhnya dan secara terus-terang.
Persetiaan ini memberi kekuatan diplomatik perluasan kepentingan Jepun di Korea. Hal ini disokong oleh Taylor yang mana, “Persetiaan Anglo-Japanese ditandatangani pada 30 Januari 1902, memberi Jepun peluang dalam kepentingan istimewa mereka di Korea”. Persetiaan ini ditandatangani untuk mengekalkan kebebasan dan integriti wilayah di China dan Korea dalam masa yang sama untuk melindungi peluang yang sama di China dan Korea dalam perdagangan dan industri bagi semua bangsa. Persetiaan Anglo-Japanese merupakan penanda awal kepada imperialism Jepun di Korea. Selain itu, akibat tekanan daripada Perancis, Jerman dan Rusia ke atas Jepun menyebabkan Jepun membuat persetiaan dengan England pada tahun 1902 untuk menguatkan kedudukan mereka. Hal ini di sokong oleh Peter Duus yang mana kesan dari persetiaan ini akan memberi amaran kepada sekutu Rusia jika Rusia berperang dengan Jepun.
Rusia dan Jepun juga dilihat sibuk untuk melakukan pembalakan di Sungai Yalu. Jepun menentang tindakan Rusia kerana telah melanggar Persetiaan Anglo-Japanese. Oleh sebab yang kecil ini, tentera Rusia dan Jepun melakukan serangan dan menyebabkan beberapa orang tentera Rusia mati. Rusia tersinggung dengan peristiwa ini dan menghantar tentera-tenteranya ke Korea untuk menghukum Jepun. Jepun bersungguh-sungguh untuk melawan namun Rusia tidak memberi perhatian kepadanya. Oleh itu, Jepun telah mengisytiharkan perang menentang Rusia pada 5 Februari 1904. Sesetengah tokoh berpendapat bahawa punca yang mencetuskan perang Rusia-Jepun adalah kerana keadaan Jepun yang yakin akan kekuatannya.

3.0       KRONOLOGI PERANG RUSIA- JEPUN 1904
Peristiwa perang Rusia-Jepun merupakan peristiwa yang membuktikan bahawa Jepun merupakan sebuah negara Asia pertama yang mampu mengalahkan kuasa Barat. Jepun berjaya mendapatkan Manchuria, setengah Pulau Sakhalin dan Korea. Pada mulanya, Manchuria merupakan kepentingan utama Rusia manakala Korea sangat penting bagi Jepun. Kepentingan Manchuria bagi Jepun pada mulanya tidak mempunyai kepentingan. Namun setelah menemui sumber ekonomi dan sebagai kawasan jajahan bagi menempatkan penduduknya yang bersebelahan dengan negaranya, ia menjadi kepentingan ekonomi yang penting bagi Jepun.
Pergelutan antara Rusia dan Jepun ini bermula sebaik sahaja Persetiaan Shimonoseki ditandatangani. Perjanjian Shimonoseki ditandatangani pada 17 April 1895 dimana penyerahan Farmosa, Kepulauan Pescadores dan Semenanjung Liotung termasuklah Port Athur kepada Jepun. Jepun menyedari bahawa mereka terpaksa berkongsi kedudukan bersama Rusia di Korea. Kedua- dua buah Negara ini menanamkan cita- cita untuk menguasai China. Perjanjian ini merupakan titik permulaan Rusia untuk mendapatkan Port Athur. Rusia telah menggunakan pelbagai alasan untuk mendapatkannya.Pada awalnya, Jepun hanya ingin menahan penguasaan Rusia di China. Keadaan ini menunjukkan perbezaan ketara dengan ‘kerjasama imperialisme’ apabila Jepun terpaksa bergabung dan berkongsi keistimewaan bersama Rusia seperti mana yang termaktub dalam perjanjian tersebut. Rusia merupakan pencabar bagi Jepun kerana ia merupakan Tiga Intervensi yang telah dibuat jelas dengan beberapa petunjuk sokongan daripada Britain dan Amerika.
Pada 30 Januari 1902, Perjanjian Anglo-Jepun telah dimaterai di London bagi mengukuhkan ikatan antara Negara Jepun dan Britain. Hal ini merupakan usaha meningkatkan keselamatan Jepun pada masa hadapan. Dalam perjanjian ini, Britain bersetuju untuk mengekalkan kemerdekaan dan integriti wilayah China dan Korea serta mendapatkan peluang sama rata di negara-negara ini. Britain mengiktiraf perjanjian itu kerana kepentingannya di China dan melindungi kepentingan Jepun ke atas Korea. Perjanjian Anglo-Jepun adalah satu peristiwa penting dalam sejarah hubungan asing Jepun. Dalam tempoh 35 tahun pemulihan Meiji, Jepun telah mengalahkan China dan telah diikuti kemenangan Jepun mendapatkan kedudukan yang kukuh di Korea. Jepun telah mendapat pengiktirafan berbentuk perjanjian, Jepun mendapat kemajuan yang besar dalam tahun 1902. Namun Rusia dapatkan perundingan yang dibuat bagi mencadangkan pertukaran hak Rusia ke atas Manchuria dalam pertukaran hak Jepun ke atas Korea dengan membuat perjanjian dengan China untuk mendapatkan Manchuria pada April 1903. Ketegangan ini bertambah kerana kawalan Rusia terhadap Manchuria semakin meningkat menyebabkan Jepun merasa tercabar. Pada bulan Julai 1903, Jepun telah memulakan satu siri usaha diplomatik bagi mencapai persetujuan bagi pembahagia pengaruh China dan Korea.
Kepentingan Rusia di Manchuria ialah apabila diberi hak untuk membina jalan kereta api Trans-Siberia yang merentasi Manchuria Utara dari Kampung di China iaitu Vladivostok. Seterusnya Rusia diberi hak untuk membina jalan kereta api di selatan pula iaitu dari Harbin ke Port Athur. Rusia juga memajak Semenanjung Liaotong walaupun sebenarnya ia di bawah kekuasaan Jepun. Jepun pada mulanya berat hati untuk menyerahkan semula daerah Liaotong kepada China namun telah memberinya kepada Rusia bagi memperbaharui kedudukannya. Pada mulanya, cadangan perundingan datangnya dari Jerman, bukannya dari Jepun dan Great Britain bagi mengadakan ikatan antara tiga kuasa. Perikatan ini telah bekerjasama dengan membuat persetujuan dalam tahun 1900 untuk mengekalkan keadaan yang sedia ada di negeri China. Bagi Jepun, dengan mengadakan ikatan dengan salah sebuah Negara Barat yang terkuat, ia merupakan tanda kepada suatu kemajuan besar dalam pembangunan Jepun sebagai sebuah kuasa Asia. Ia juga menandakan Jepun mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Lembaga Majlis Asia.
Sejak tertubuhnya Perjanjian Anglo-Jepun dengan bantuan ketenteraan daripada Britain, Jepun boleh berurusan dengan isu- isu yang dibangkitkan berkenaan dengan pendudukan Rusia di Manchuria tanpa risau dengan campur tangan dari pihak Tiga Intervensi . Pada tahun 1902 dan 1903, ia merupakan pengunduran tentera Rusia dari Manchuria dan Korea. Pada mulanya, ia berjaya. Namun bagi kali kedua tidak pada semuanya berjaya dilakukan. Pada akhir tahun 1903, keputusan yang diambil ialah peperangan. Jepun merasakan bahawa impian untuk menguasai seluruh Asia terhalang apabila Rusia mara ke Manchuria dan Korea. Jepun ingin menjadikan kawasan ini sebahagian daripada kawasan jajahannya.  Ini kerana Manchuria merupakan sumber ekonomi bagi Jepun manakala jika Rusia menguasai Manchuria, Rusia akan turut campurtangan dalam Korea. Jadi Jepun merasakan bahawa peperangan adalah jalan yang memang sesuai untuk menyelesaikan masalah ini. Rusia tidak terburu-buru memberikan respon kepada cadangan Jepun. Apa yang terkandung cadangan itu bukanlah perkara yang baru. Pada 6 Februari 1904, tentera Rusia telah mendahului dengan menyerang Sungai Yalu untuk memasuki Korea. Pada masa itu juga, Jepun telah berlayar daripada Pengkalan Angkatan Laut Sasebo menuju ke Cemulpo. Pada 8 Februari 1904, angkatan tentera laut Rusia menyerang Pelabuhan Arthur dan ia dikepung. Pada masa itu juga tentera Jepun dikerahkan ke Incheon, korea. Dua hari kemudian, jepun mengisytiharkan perang.
Perang diisytiharkan pada 10 Februari, tetapi persengketaan sudah pun bermula dua hari lebih awal. Peperangan bermula di Korea dan di sepanjang pantai menuju ke  Liaotung. Pada bulan April kemenangan tentera laut di luar Port Arthur membolehkan Jepun mengawal seluruh laut yang diperlukan bagi menggerakkan bala tenteranya sekaligus membolehkan sekumpulan tentera pertama mereka untuk menyerang ke utara merentasi sungai Yalu ke Manchuria pada bulan Mei dan sekumpulan tentera kedua mendarat di semenanjung Liaotung beberapa hari kemudian. Dalam tempoh sebulan, sekumpulan tentera yang ketiga dibawah Jeneral Nogi Maresuke telah mengepung Port Arthur sendiri. Pertempuran ini berlaku sepanjang Liaoyang pada ogos dan awal september 1904. Penawanan Port Arthur oleh Jepun bermula pada awal Januari 1905. Mukden pula ditawan pada 10 Mac 1905 dan terdapat banyak jiwa yang terkorban. Namun pada akhir peperang tersebut, Jepun berjaya menewaskan Rusia.
Dalam peperangan tersebut, terdapat banyak kemusnahan dan kehilangan nyawa walaupun Jepun terus berjaya dalam menentang Rusia. Jepun sebenarnya mula menyedari bahawa mereka tidak mampu lagi untuk bertahan lama. Namun mereka tidak mahu menunjukkkan kelemahan- kelemahan tersebut. Jepun membuat keputusan untuk membuat rundingan damai dengan Rusia. Akan tetapi Rusia masih mahu untuk meneruskan perjuangan mereka bagi menebus kerugian yang mereka alami tetapi tidak mampu ekoran dari masalah kewangan dan keadaan negerinya. Jadi mereka terpaksa menerima rundingan tersebut. Pada tahun 1905, termeterainya Perjanjian di Portsmouth antara Viscount Komura dengan Count Witte. Dengan kemenangan ini, imej Jepun telah semakin meningkat di mata dunia. Kuasa- kuasa Barat merasa terperanjat dengan kekalahan Rusia di tangan Jepun, sebuah Negara yang kecil sedangkan Rusia merupakan sebuah Negara Eropah yang besar.

4.0       KESAN PERANG RUSIA-JEPUN 1904
Peperangan antara Jepun dan Rusia ini telah memberi kesan bukan sahaja kepada negara Jepun malah turut memberi kesan kepada pihak Rusia. Kesan yang berlaku meliputi kesan atau implikasi positif dan juga implikasi negatif. Perang yang tercetus antara dua negara tersebut telah menyebabkan kehilangan banyak nyawa dan berlakunya kecederaan iaitu di Jepun lebih daripada 40 ribu orang sementara Rusia mengalami nasib yang lebih teruk kerana kematiannya mencecah 150 ribu nyawa.
4.1       KESAN KEPADA JEPUN
Jepun merasakan kedudukannya adalah cukup kuat menjelang tahun 1905. Hal ini kerana, Jepun telah mempunyai permulaan empayar baru dengan kawasan jajahan yang baru. Antaranya Taiwan, yang digunakan sebagai kawasan penempatan bagi penempatan penduduk Jepun yang berkembang pesat. Perang yang berlaku antara Jepun dan Rusia ini sedikit sebanyak memberi kesan yang baik kepada perluasan kuasa mereka di samping peningkatan ekonomi negara walaupun pada mulanya dilihat ekonomi Jepun mengalami kejatuhan selepas Perang Rusia – Jepun ini. Antara kesannya ialah perluasan kuasa Jepun di Pulau Sakhalin, menyemarakkan semangat nasionalisme bukan sahaja dalam kalangan rakyat Jepun sendiri malah penduduk di Asia Tenggara serta kesan dalam aspek ekonomi di Jepun.
4.1.1    Perluasan Kuasa
Sebelum perang ini berlaku, Pulau Sakhalin dikuasai oleh Rusia. Pihak Bakufu pada akhir abad ke-18 sangat gentar dengan perluasan kuasa Rusia apabila berjaya meluaskan daerah pengaruhnya sehingga ke Pulau Sakhalin dan mengugut Pulau Yedo. Selepas perang tercetus, Perjanjian Portmouth ditandatangani pada 5 September 1905 di antara Rusia dan Jepun. Pihak Rusia diwakili oleh Baron Rosen dan Jepun diwakili oleh Baron Komura, Mr. Takahira dan Viscount Kaneko. Antara yang diputuskan dalam perjanjian tersebut ialah Rusia mengakui kepentingan jalan kereta api Selatan Manchuria, hak-hak Rusia di Semenanjung Liaotung dan sebahagian Pulau Sakhalin di garisan lintang 50’ hendaklah diserahkan kepada Jepun. Seterusnya kedua belah pihak perlu berundur serentak dari Manchuria dalam masa 18 bulan. Walau bagaimanapun, Jepun telah menawarkan kepada Rusia untuk menyewa semenanjung Liaotung dengan jalan kereta api dan lain-lain keistimewaan di selatan Kwan Cheng Tze dan Chang Chun. Nelayan Jepun dibenarkan menangkap ikan di perairan Laut Behring, dan Jalan Kereta api Manchuria hendaklah digunakan untuk perdagangan dan bukan untuk muslihat perang.
4.1.2    Membangkitkan Semangat Nasionalisme
Kemenangan Jepun telah menyebabkan satu gelombang kejutan kepada masyarakat antarabangsa. Bukan sahaja di Jepun, tetapi di seluruh Asia turut mengagumi kemenangan pertama negara Asia iaitu Jepun ke atas kuasa Eropah ini. Kemenangan Jepun memberi inspirasi kepada nasionalis di Asia. Eropah yang dikatakan kuat dan kebal telah dimusnahkan dan orang Asia telah membina kekuatan ketenteraan dan ekonomi negara mereka. Sentimen inspirasi ini telah dinyatakan dalam hampir setiap penulisan nasionalis terkemuka di Asia.
Peristiwa yang berlaku antara tahun 1904-1905 itu telah membentuk ingatan sejarah untuk diingati oleh masyarakat Jepun serta meningkatkan semangat nasionalisme yang meluap - luap dalam kalangan masyarakatnya sendiri termasuk perusuh di Tokyo.  Semua warga Jepun pada ketika itu menyumbang kepada usaha membantu tentera dalam aspek memberi makanan, menyediakan peralatan dan lain-lain. Hal ini telah menimbulkan rasa baru untuk membentuk warganegara. Begitu juga di India, hasil perang telah memberikan kepentingan tertentu kepada rakyatnya. Kejayaan Jepun pada masa itu telah membawa masyarakat India maju ke hadapan untuk mencari tempat yang sah dan terhormat di negara mereka. Hal ini kerana penjajah telah menakluk politik negara mereka dan mengeksploitasi ekonomi sehingga menyebabkan mereka hidup melarat.
Selain itu, di negara Asia yang lain turut mengalami masalah seperti kebuluran dan serangan penyakit  yang menyebabkan banyak nyawa terkorban. Kesengsaraan ini menyebabkan mereka bangun menentang penjajah. Dengan ini timbullah semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Asia. Ditambah pula akibat Perang  Russia-Jepun, di mana masyarakat Asia telah mengambil iktibar bahawa orang Timur bolah menewaskan orang barat. Secara tidak langsung juga kemenangan Jepun ini menghapuskan persepsi tentang White Burden. Jika dilihat di Tanah Melayu khususnya, peranan pendidikan dan media cetak diambil berat bagi menyebarkan semangat nasionalisme tersebut. Contohnya, usaha Syed Sheikh al-Hadi yang merupakan salah seorang tokoh Kaum Muda, mula menggalakkan orang Melayu memajukan diri mereka dalam aspek ekonomi dan sosial melalui ajaran Islam Beliau telah membina sekolah bagi pembelajaran formal pada tahun 1908 yang dikenali sebagai Madrasah al-Iqbal al-Islamiyah.
Selain itu, pejuang nasionalisme melihat media cetak sebagai medium yang memainkan peranan dalam membangkitkan semangat nasionalisme masyarakat Tanah Melayu. Seperti yang dilakukan oleh Kaum Muda yang menggunakan media cetak sebagai wadah menyebarkan fahaman mereka. Keluaran mereka yang terulung ialah al-Imam yang diterbitkan di Singapura pada Julai 1906. Al-Imam menyeru dipupuk kesedaran perpaduan Melayu Islam berasaskan perpaduan ummah dan berpendapat bangsa Jepun patut dijadikan model kepada orang Melayu.
Selain itu juga, pada tahun 1907, seorang tokoh bernama Abdullah Abdul Rahman telah menghasilkan karya berjudul ' Matahari Memancar' (The Rising Sun) yang menceritakan sejarah Jepun. Karya ini telah diterjemahkan oleh beliau daripada karya Mustafa Kamal dari Turki yang asalnya dalam Bahasa Arab. Menurut Za;ba, karya ini telah berjaya merangsang pembaca serta menimbulkan perasaan bangga dan harapan untuk membawa pembaharuan di timur dan ini termasuklah kepada pembaca Melayu. Masyarakat Melayu mula percaya bahawa dengan adanya teknologi dan pendidikan, mereka juga boleh menghalau keluar orang British dari Tanah Melayu. Hakikat ini telah disedari oleh golongan terpelajar di tanah Melayu. Perkembangan di Jepun mengalahkan kuasa Rusia telah membawa kesedaran dan keyakinan bahawa orang Melayu juga boleh mempertahankan kepentingan mereka daripada terus di tindas oleh pihak British. Secara tidak langsung, peperangan ini juga telah memberi sumbangan kepada masyarakat Asia.
Walau bagaimanapun, ada pihak yang tidak menyokong kebangkitan semangat nasionalisme di Asia diinspirasikan daripada Jepun. Contohnya di Indonesia, pergerakan kumpulan Muhammadiyah lebih menjadikan negara Timur Tengah sebagai sumber inspirasi mereka kerana Jepun lebih menyerupai pihak Barat. Pada tahun 1905, Hindia Timur Belanda masih baru bertapak di dan tiada petunjuk menunjukkan kemenangan Jepun mengalahkan Rusia sebagai sumber nasionalisme mereka.
4.1.3    Ekonomi
Jepun bukan sahaja mendapat kesan yang positif, tetapi juga kesan yang negatif akibat perang yang berlaku. Perang tersebut mengakibatkan kehilangan sejumlah besar nyawa dan mengosongkan perbendaharaan negara. Perang ini menelan belanja sebanyak 1500 juta Yen bagi pihak Jepun dan kos perang yang tinggi ini membebankan kerajaan Jepun. Rakyat jepun terpaksa menanggung beban cukai yang banyak. Namun begitu, selepas perang ini tercetus, Jepun telah memperlihatkan pembangunan industri berat yang menakjubkan contohnya dalam industri pembinaan kapal, industri keluli dan kimia. Contohnya, Yawata Steel Works, yang ditubuhkan pada tahun 1897 termasuklah  dalam industri pembinaan kapal. Ini dibuktikan, selepas tahun 1906, Jepun berjaya menghasilkan kapal setanding dalam saiz dan kualiti kepada mana-mana di dunia. Teknologi jepun terus maju dengan kemajuan dalam bidang baru seperti kejuruteraan elektrik dan industri ringan, terutamanya tekstil Industri tekstil terus berkembang dan berjaya mengeksport hampir separuh jumlah barangannya terutama sutera. Kerana kawalan kualiti yang unggul, eksport sutera Jepun mendahului orang-orang China.
4.2       KESAN KEPADA RUSIA
Perang ini bukan sahaja memberi kesan kepada pihak Jepun, malah Rusia turut menerima impaknya. Rusia mendapat keuntungan daripada kekalahan itu kerana ia menyumbang kepada tercetusnya Revolusi 1905. Kekalahan mereka menyebabkan rakyat Rusia mempersoalkan kekuatan pasukan ketenteraan kerajaan pusat. Kekalahan dalam perang Rusia Jepun ini merupakan kekalahan kedua selepas kekalahan mereka dalam Perang Crimea pada tahun 1853 hingga 1856. Kegagalan pemerintahan Tsar itu juga akhirnya menyebabkan Rusia kehilangan banyak negeri jajahannya. Contohnya, pengaruh Rusia di Asia iaitu di China berakhir dan pihak Rusia menumpukan semula ke kawasan Balkan yang telah lama ditinggalkan. Kewibawaan kepimpinan Tsar Nicholas II, pemimpin Rusia ketika itu semakin tercabar dan terpaksa melaksanakan pelbagai perubahan. Kelemahan Tsar ini juga memberi peluang kepada rakyat Rusia untuk membina kekuatan mencapai matlamat mereka, iaitu menghapuskan pemerintahan autokratik.
Secara kesimpulannya, dapat dilihat bahawa kesan daripada Perang Rusia-Jepun ini bukan menguntungkan sebelah pihak sahaja, malah turut memberi manfaat kepada kedua-duanya. Pihak Jepun dapat meluaskan perluasan kuasanya seiring dengan matlamat mereka yang disemarakkan oleh Maharaja Meiji. Walaupun Jepun memperoleh Pulau Sakhalin, namun Rusia masih mendapat tawaran untuk menyewa semenanjung Liaotung daripada pihak Jepun. Selain itu, kemenangan Jepun ini secara tidak langsung telah menaikkan semangat nasionalisme penduduk di kawasan Asia Tenggara. Hal ini kerana, Jepun merupakan sebuah negara Asia yang kecil tetapi mampu mengalahkan pihak barat dan ini menunjukkan satu kejayaan yang besar bagi mereka. Dari aspek ekonomi di Jepun pula, walaupun ekonominya jatuh selepas perang, kemenangan mereka telah membangkitkan semangat mereka untuk terus berusaha dan berjaya memulihkan ekonominya. Rusia jua memperoleh manfaat daripada kekalahannya. Akibat daripada kekalahan itulah tercetusnya Revolusi 1905 yang mana rakyat Rusia bangkit menentang pemerintahan Tsar. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa, kedua-dua pihak turut mendapat manfaat akibat daripada perang yang berlaku tersebut.
4.3       KESAN KEPADA KUASA BARAT
Perang antara Rusia dan Jepun bukan sahaja mendatangkan kesan kepada negara Jepun dan Rusia itu sendiri tetapi turut mendatangkan kesan kepada kuasa-kuasa Barat yang lain khususnya daripada segi imbangan kuasa dunia. Hal ini kerana keputusan Perang Rusia-Jepun merupakan salah satu pandangan baru mengenai keamanan dan keselamatan dunia. Hal ini kerana kemenangan Jepun yang merupakan sebuah negara yang kecil dapat mengalahkan kuasa Eropah yang besar menyebabkan kuasa Barat mula melihat Jepun sebagai sebuah negara yang besar dan mengiktiraf Jepun. Kesan yang dapat dilihat apabila Jepun mula bekerjasama dengan Britain dan Amerika kerana telah mengamalkan dasar pintu terbuka. Hal ini jelas telah menggugat campur tangan tiga kuasa iaitu Rusia, Perancis dan Jerman di kawasan mereka. Hal ini telah menyebabkan berlakunya bibit-bibit ke arah Perang Dunia Pertama.

5.0       KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, peperangan antara Jepun dan Rusia merupakan satu titik tolak kepada Jepun menjadi sebuah negara yang disegani dalam kalangan kuasa-kuasa besar Barat. Sememangnya kekuasaan Jepun dalam bidang ketenteraan tidak dapat dinafikan lagi dan telah menyebabkan Jepun muncul sebagai salah satu negara yang setanding dengan negara Barat walaupun merupakan sebuah negara yang kecil. Faktor luaran dan juga faktor dalaman yang telah menggerakkan peperangan antara Rusia dan Jepun telah menyebabkan Jepun semakin dapat memperluaskan kuasanya di Asia. Rentetan daripada perang antara Jepun dan Rusia meninggalkan kesan baik dan buruk kepada Jepun, Rusia dan kuasa-kuasa Barat yang lain. Bagi Jepun pula peperangan ini telah meningkatkan semangat warga Jepun untuk melakukan imprealisme. Justeru itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa  kemenangan Jepun telah membawa semangat imprealisme dalam kalangan pemerintah Jepun sehinggakan tercetusnya Perang Dunia Pertama sehinggakan kepada Perang Dunia Kedua serta Jepun dapat menguasai negara-negara lain seperti di Asia Tenggara.

No comments:

Post a Comment