nuffnang

Sunday, May 26, 2013

KAMPUNG TIANG BERTARAH, SUNGKAI, PERAK

Kampung Tiang Bertarah pula berasal dari nama sebatang tiang berwarna hitam berupa kayu teras yang berukuran 6x6 inci. Ketinggiannya pula mencecah 20 kaki dan telah ditarah menggunakan kapak/beliung.  Walau bagaimanapun, dikatakan kapak/beliung itu telah tecacak pada batang tiang tersebut di satu kawasan yang dikenali sebagai Kuala Panglima. Selain itu, menurut sejarah juga telah mengatakan bahawa tiang tersebut telah dicabut oleh seekor burung yang amat besar yang diyakini sebagai burung garuda dan telah ghaib. Ada pula satu pendapat lain mengatakan bahawa tiang tersebut telah terbenam dalam muara sungai sehingga kini. Bukan sebarangan orang yang boleh menjumpai tiang tersebut dan sesiapa yang terjumpa dan cuba mencabut tiang bertarah tersebut, hujan panas akan turun serta merta. Dari situlah Kampung Tiang Bertarah mendapat namanya. Diceritakan juga bahawa Kampung Tiang Bertarah ini merupakan sebuah kawasan yang dahulunya menjadi tempat tinggal bagi raja-raja Melayu pada suatu ketika dahulu.[1]
Di bawah Kampung Tiang Bertarah ini juga wujud beberapa kampung kecil yang lain seperti Kampung Sabar Jaya, Felcra Changkat Sulaiman, Risda Changkat Sulaiman, dan juga Kampung Rimba Melati. Kesemua penduduk di Kampung Tiang Bertarah adalah Melayu dan keluasan kampung ini dianggarkan kira-kira 15 hektar. Lokasi Kampung Tiang Bertarah ini ialah di laluan untuk ke Felda Besout dari pekan Sungkai. Jarak di antara pekan Sungkai ke Kampung Tiang Bertarah ini ialah kira-kira 10 kilometer.


[1] Temubual bersama En Ramli Bin Alif, Biro Pendidikan dan pembangunan modal insan Kampun Tiang Bertarah pada 7 Oktober 2012.

No comments:

Post a Comment