nuffnang

Thursday, June 13, 2013

Bincangkan perbezaan antara kritikan dalaman dan luaran dalam bidang sejarah.

Pengenalan.
Secara dasarnya, sebagai penyelidik dan sejarawan apa yang perlu dilakukan ialah mentafsirkan sumber atau dokumen yang diperolehi mengenai sesuatu peristiwa yang telah berlalu tanpa bertindak sebagai penyalin, perakam atau pemetik maklumat-maklumat yang disampaikan oleh sumber-sumber. Proses tafsiran sumber merupakan perkara yang amat penting dan utama bagi sejarawan bagi menyempurnakan sesuatu penyelidikan. Proses tafsiran ini berkait rapat dengan proses kritikan sumber kerana proses tafsiran tidak boleh dijalankan tanpa proses kritikan yang berterusan oleh ahli sejarah bagi mengetahui tentang data dan maklumat yang terkandung dalam sesuatu sumber dan dokumen. Leopold Von Ranke berpendapat bahawa penulisan dan pentafsiran sejarah secara kritikal dengan membuat kritikan terhadap perkara yang meragukan perlu berjalan seiring.[1]
Apakah yang dimaksudkan dengan kritikan sumber? Kamus Dewan Bahasa edisi ketiga mendefinisikan kritikan sebagai analisis, teguran, penilaian serta ulasan terhadap sesebuah karya mengenai kelemahan dan keburukan hasil sesebuah karya. Manakala sumber pula merupakan bahan yang amat luas meliputi pelbagai sifat dan bentuk.[2] Menurut sejarawan Marc Blooch, kritikan merujuk kepada kaedah menguji kebenaran sesuatu sumber kerana adanya kesangsian terhadap faktanya yang diberi oleh saksi tentang masa lampau.[3] Pendapat ini telah dipersetujui oleh R. G Collingwood yang menyifatkan bahawa kaedah kritikan sebagai ‘sejarah kritikal’ yang boleh diertikan pentafsiran sumber sebagai penilaian bagi memastikan sesuatu objek dan maklumat yang digunakan itu sama ada benar atau palsu.[4] Secara amnya, kritikan merujuk kepada proses pentafsiran bukti yang dilakukan oleh sejarawan bagi menghasilkan karya sejarah yang berkualiti dan mencapai tahap kebenaran sejarah.
Sejarah perkembangan kritikan bermula apabila seorang tokoh iaitu Jabal al-Ghazali banyak membahaskan soal kesangsian dan kemudiannya diperkembangkan oleh Descarto pada tahun 1856 – 1860. Mengikut pendapat sejarawan di Barat, kritikan sejarah terutamanya sumber sejarah telah bermula selepas berlakunya zaman kesedaran di Eropah pada sekitar abad ke – 18. Terdapat juga pendapat beberapa sejarawan yang mengatakan bahawa kritikan bermula dengan kemunculan Leopold Von Ranke yang mula menulis kritikan pada sekitar abad ke-19.[5] Ranke merupakan tokoh pensejarahan moden yang banyak berjasa dalam perkembangan bidang kritikan dalam penulisan sejarah. Beliau telah membawa perkembangan baru melalui seminar yang  diadakan di Universiti Berlin.[6] Beliau juga telah menggunakan istilah Quellinkritik yang merujuk kepada kajian yang kritis terhadap penulisan dan sumber-sumber sejarah. Hal ini kerana beliau merasakan bahawa penulisan dan pentafsiran sejarah secara kritikal dengan membuat kritikan terhadap perkara yang meragukan perlu dijalankan secara beriringan sehingga tidak menimbulkan kesangsian terhadap kebenaran sesuatu fakta sejarah tersebut. Manakala Louis Gottshalk dalam bukunya ’Understanding History’ telah menyatakan bahawa seseorang ahli sejarah perlu melakukan kritikan luaran dan dalaman terhadap sesuatu penulisan sejarah bagi mendapatkan keaslian dan kesahihan penulisan tersebut. Beliau telah menyarankan beberapa kaedah bagi menentukan kesahihannya itu dengan cara membuat perbandingan dokumen dengan dokumen lain yang sezaman dari segi jenis kertas, dakwat atau lain-lain alat yang digunakan.[7] Louis Gottschalk menegaskan bahawa kemungkinan besar dokumen yang digunakan adalah palsu disebabkan tuntutan palsu seseorang terhadap sesuatu jawatan, kedudukan, harta pusaka, mahupun takhta kerajaan.[8] Seterusnya, Ernst Bernheim pada tahun 1889 merupakan tokoh sejarawan yang benar-benar meletakkan asas kritikan sumber sejarah secara sistematik. Beliau telah membahagikan kritikan sumber kepada dua jenis iaitu kritikan luaran (external criticism) dan kritikan dalaman (internal criticism).[9] Berdasarkan pemikiran Bernheim inilah masalah kritikan sumber sejarah telah memberi penekanan terhadap dua aspek dalam proses pentafsiran iaitu aspek luaran dan juga dalamannya.

Kepentingan kritikan
Terdapat beberapa tujuan dan kepentingan kritikan sumber. Antaranya ialah kritikan amat penting dalam menyempurnakan sesuatu kajian seseorang sejarawan, maka mereka perlu mencari sumber dan bertolak daripada andaian bahawa bahan atau sumber yang dikutip itu seharusnya diuji kebenaran. Selain itu, kritikan berperanan dalam menentukan ketulenan dan keaslian sesuatu sumber dan mentafsir sumber dengan baik dan berkesan.[10] Sumber juga perlu dikritik bagi mengetahui siapa yang menulis dan dari mana sumber tersebut diperolehi. Sesuatu sumber yang diperolehi itu tidak semestinya sumber yang tulen. Oleh itu kritikan adalah bertujuan menentukan ketulenan dan kesahihan bukti atau sumber itu. Hal ini bagi mengelakkan fakta yang kurang tepat dan meragukan. Oleh yang demikian, berdasarkan pernyataan tersebut dapatlah dijelaskan bahawa kaedah kritikan membantu para penyelidik dan sejarawan dalam memastikan sama ada kajian-kajian yang dibuat sebelumnya adalah 100% benar ataupun wujudnya sebarang bentuk percanggahan fakta yang terdapat dalam dokumen dan sumber-sumber sejarah yang lain. 

Isi – isi.
Menjurus kepada kehendak soalan, skop yang ingin ditumpukan dalam kajian ini adalah terhadap perbezaan antara kritikan dalaman dan kritikan luaran dalam bidang sejarah. Terdapat beberapa perkara yang boleh dibuat perbandingan antara kritikan dalaman dan kritikan luaran iaitu dari segi maksud, bentuk kritikan, tujuan, persoalan, teknik dan proses kritikan.
            Perbezaan antara kritikan dalaman dan kritikan luaran boleh dikenalpasti melalui maksudnya. Kritikan dalaman bermaksud proses menentukan kemunasabahan, kerasionalan dan kewarasan bagi memastikan sesuatu sumber itu sama ada tulen atau  palsu dari segi isi kandungannya. Manakala kritikan luaran pula merujuk kepada usaha ahli-ahli sejarah bagi mengesan ketulenan, keaslian dan kesahihan sesuatu sumber sejarah daripada sifat fizikal dan luarannya sahaja.[11] Hal ini bermakna kritikan luaran adalah untuk mengesahkan sesuatu sumber yang lain daripada keterangan serta huraian isi kandungan sumber tersebut.
            Pertama sekali ialah mengenai kritikan luaran. Kritikan luaran adalah berbeza dengan kritikan dalaman. Jika kritikan dalaman adalah untuk menentukan kemunasabahan keterangan atau perihal boleh dipercayai atau tidak kewarasan isi kandungan, manakala kritikan luaran pula kaedah mengesahkan ketulenan dan kesahihan menerusi sifat-sifat luarannya. Kaedah kritikan luaran secara dasarnya lebih terperinci berbanding kaedah kritikan dalaman. Proses ini amat penting bagi mengelakkan pemalsuan sumber dan fakta sejarah. Kritikan luaran dijalankan dengan membuat beberapa persoalan terhadap sesuatu sumber itu iaitu ‘bila sumber itu dicatat atau direkodkan?, di mana ia dihasilkan?, siapa yang menghasilkan?, daripada bahan apa ia dihasilkan? dan daripada bentuk apa asalnya ia dihasilkan?’.
Terdapat beberapa kaedah bagi mengatasi masalah kepalsuan atau memastikan ketulenan sesuatu sumber dalam kritikan luaran iaitu melalui ujian kimia, ujian bahasa, ujian tulisan tangan dan ujian bahan-bahan. Pemalsuan dokumen dan sumber-sumber sejarah dapat dikenalpasti melalui ujian kimia ke atas bahan yang digunakan oleh sesuatu dokumen.[12] Ujian kimia adalah bertujuan untuk menentukan umur atau tarikh sebenar sesuatu dari segi keadaan kertas, dakwat, dan cap yang terdapat di dalam sesebuah dokumen yang akan berubah-ubah mengikut peredaran masa. Khidmat pakar-pakar kimia diperlukan dalam mengenalpasti sama ada sesuatu dokumen itu benar-benar di keluarkan pada masa yang didakwa oleh pihak-pihak yang memilikinya.[13]
Sebagai contoh, manuskrip jurnal yang disimpan oleh Frank Swettenham yang mengandungi catatan dari bulan April 1894 hingga Februari 1897 boleh disahkan ketulenannya oleh seseorang pakar kimia yang dapat menguji sama ada kertas serta dakwat yang digunakan itu sememangnya berumur lebih kurang 100 tahun.[14] Usaha ini adalah bertujuan mengelakkan perkara-perkara pemalsuan dokumen atau sesuatu sumber. Misalnya bahan-bahan untuk menghasilkan tembikar pada zaman tamadun Yangshao tidak sama dengan tamadun Loashang walaupun kedua-dua tamadun ini ternyata berbeza dari segi zaman kemunculannya.[15] Terdapat lagi satu contoh yang lain iaitu kes pemalsuan sebuah dokumen di Eropah yang dikenali sebagai Donation of Constantine sebelum pertengahan kurun ke – 15 oleh Paus yang menuntut kawasan yang pernah dijajah dan diperintah oleh Maharaja Constantine. Pada tahun 1400, Lorenzo Valla telah dapat membuktikan yang dokumen itu adalah palsu semata-mata.[16]
Kaedah lain dalam kritikan luaran ialah melalui ujian bahasa dalam sesebuah dokumen ataupun sumber sejarah. Oleh kerana sifat bahasa di dunia ini adalah dinamik dan sentiasa berubah mengikut zaman, maka ujian bahasa ini adalah penting dijalankan oleh ahli sejarah. Hal ini adalah kerana gaya bahasa sesebuah kelompok masyarakat akan berubah dari sudut nahu, struktur ayat, ejaan, istilah dan tanda bacanya. Masalah akan timbul apabila ahli sejarah membaca sesebuah dokumen kerana gaya penulisan antara tahun 1800 – an dan 1900 – an adalah berbeza. Oleh yang demikian, ahli sejarah perlu mempunyai kemahiran dan memahami bahasa sebagai satu peraturan.
Dalam hal ini, penggunaan kamus, daftar istilah sejarah dan ensiklopedia berfungsi dalam proses terjemahan.[17] Menerusi evolusi bahasa di dunia, satu perkataan mempunyai makna yang berbeza pada zaman yang berbeza. Garragahan misalnya menunjukkan gaya tulisan Latin oleh Livy pada abad yang pertama tidaklah serupa dengan gaya tulisan Latin Einhard pada abad ke – 9.[18] Kebenaran perkara ini boleh dibuktikan jika kita meneliti gaya tulisan Bahasa Malaysia moden mempunyai perbezaan yang amat ketara jika dibandingkan dengan gaya tulisan Bahasa Melayu tradisional contohnya dalam gaya tulisan teks klasik Sejarah Melayu dan Tuhfat al – Nafis.[19] Perbezaan dari segi ejaan, istilah, kata keturunan menunjukkan perbezaan yang ketara. Contohnya seperti perkataan randaukan, kasadnya, dipisitnya dan sebagainya.[20] Kesulitan yang timbul akan bertambah sekiranya hasil karya atau dokumen yang dipalsukan itu didakwa sebagai tulisan seorang tokoh yang terkenal seperti Napoleon, Bismarck, Lincoln atau Churchill kerana tokoh-tokoh ini mempunyai gaya tulisan yang tersendiri yang tidak mudah untuk ditiru oleh orang lain.
Di samping itu, ahli sejarah juga perlu menjalankan ujian tulisan tangan yang terdapat dalam sesuatu dokumen atau sumber sejarah. Seperti yang kita tahu, dokumen atau sumber-sumber pada ketika dahulu banyak dihasilkan dalam bentuk tulisan tangan. Ujian ini hanya dapat dijalankan terhadap dokumen yang ditulis dengan tangan sahaja dan bukannya dokumen yang ditaip atau bercetak. Menurut Garraghan lagi, setiap bentuk tulisan tangan mempunyai ciri-ciri tersendiri.[21] Maka, pakar-pakar dalam bidang ini boleh mengenalpasti dan mendedahkan perbuatan untuk meniru tulisan tangan orang lain. Ujian tulisan tangan ini juga dijalankan oleh ahli sejarah adalah untuk menguji ketulenan sesuatu sumber dengan membandingkan tulisan tangan yang ditulis individu yang lain. Kaedah perbandingan ini dapat mengenalpasti ciri-ciri persamaan dan perbezaan tulisan yang dihasilkan oleh seseorang yang sama ataupun individu yang berlainan. Contohnya, dalam kes pemalsuan buku harian Hitler, yang mana semua catatan telah dibuat dalam tulisan tangan Hitler, termasuk menurunkan tandangan Hitler pada setiap helaian muka surat buku harian tersebut, pakar-pakar telah menguji ketulenan dokumen itu dengan membandingkan tulisan tangan itu dengan dokumen-dokumen lain yang ditulis oleh Hitler.[22] Namun begitu, adalah sukar bagi seseorang berniat untuk memalsukan dokumen atau karya terutamanya hasil karya tokoh-tokoh terkenal.
Satu lagi kaedah untuk membuktikan ketulenan sesuatu dokumen juga dapat dikenalpasti dengan menentukan sama ada bahan-bahan yang digunakan dalam menghasilkan dokumen itu memang sudah wujud pada masa yang ditarikhkan dalam dokumen itu sendiri. Oleh itu, ahli sejarah perlu mempunyai kemahiran dalam mengenalpasti bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu sumber. Misalnya, jika kertas digunakan sebelum tahun 1150 T.M, boleh dikatakan bahawa dokumen itu adalah palsu kerana pada ketika itu hanya kulit kambing digunakan sebagai kertas dokumen. Kertas yang paling awal telah dicipta oleh Tshai Lun pada 105 masihi iaitu di China. Begitu juga dengan sebuah dokumen yang tulisannya dibuat dengan pensil dan didakwa telah dikeluarkan pada abad ke – 15. Maka, kita boleh mengandaikan bahawa dokumen tersebut adalah palsu kerana pensil hanya mula digunakan pada sekitar abad ke – 16. Begitu juga dengan pemalsuan Buku Harian Hitler yang dapat dibongkar dengan mendedahkan bahawa benang-benang yang digunakan dalam penjilidan buku harian itu hanya mula digunakan selepas tahun 1945, iaitu selepas kematian Hitler. Keputusan yang sama juga boleh dibuat mengenai sebuah dokumen bercetak yang ditarikhkan pada tahun 1350 kerana teknik percetakan hanya diperkenalkan  pada abad ke- 15.[23] Pada ketika ini kaedah percetakan moden boleh menyebabkan berlakunya kegiatan pemalsuan dokumen dan sumber sejarah seperti terdapatnya individu yang tidak bertanggungjawab akan cuba mencetak sumber-sumber sejarah seperti dokumen, manuskrip, surat perjanjian, buku serta diari dengan tujuan mengaut keuntungan.
Persoalan utama yang perlu dikenalpasti oleh setiap ahli sejarah dalam menjalankan ujian terhadap bahan-bahan yang digunakan ialah apakah jenis bahan atau material yang digunakan bagi bagi menghasilkan dokumen atau sumber tersebut sama ada sudah wujud pada tarikh dokumen tersebut dikeluarkan. Sekiranya ahli sejarah tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam menyelesaikan masalah yang wujud terhadap bahan-bahan dalam sesuatu dokumen seterusnya gagal menentukan bahan-bahan yang digunakan benar-benar wujud, maka ahli sejarah perlu meminta khidmat pakar dalam bidang ilmu sains.[24]
Seterusnya ialah kritikan dalaman. Kritikan dalaman bermula selepas proses kritikan luaran selesai dengan sempurna. Berbeza dengan proses kritikan luaran yang sasaran utamanya adalah untuk menentukan proses ketulenan dan keaslian (authentic and genuine) sesuatu sumber sejarah itu, manakala proses kritikan dalaman pula lebih banyak menumpukan kepada proses tafsiran ke atas kandungan sumber-sumber sejarah. Walaupun dari sudut luaran sumber tersebut adalah asli, namun jika isi kandungannya tidak munasabah dan rasional, maka sumber tersebut tidak harus dijadikan sumber rujukan sejarah. Kaedah kritikan dalaman telah dipraktikkan oleh orang Arab sejak zaman dahulu lagi disebabkan usaha mereka dalam mengumpulkan hadis dan Al-Quran selepas kewafatan Khalifah al – Rasyidin. Hal ini adalah bagi memastikan isi kandungan Al-Quran itu sahih dan tidak ada unsur penyelewengan sehingga menjejaskan mesej yang hendak disampaikan.
Kemunasabahan dan kerasionalan sesuatu sumber boleh diteliti dengan menghubungkaitkan dengan beberapa persoalan seperti ‘siapa, bila dan di mana’.[25] Persoalan ‘siapa’ berkait rapat dengan siapa yang mengarang. Justeru, kita perlu mengetahui latarbelakang penulis tersebut bagi mengenalpasti sama ada fakta yang diberikan itu benar atau palsu. Sikap kecondongan (bias) dalam pentafsiran idea yang sedia ada perlu dielakkan berikutan terdapatnya perbezaan dari segi pendekatan, keterangan dan tafsiran yang dibuat oleh penulis adalah kurang tepat.[26] Begitu juga dengan persoalan ‘bila dan di mana’. Hal ini amat penting apabila sejarawan tersebut terlibat secara langsung kerana fakta yang diterima daripadanya akan lebih bersifat objektif dan jelas berbanding dengan penulis yang hidup pada zaman yang sama tetapi tinggal di kawasan yang lain dan menulis melalui pembacaan dan perkhabaran sahaja. Comtohnya antara dua orang penulis iaitu Raja Ali Haji yang tinggal di Pulau Penyengat, Riau, dan sejarawan yang lain dari Tanah Melayu yang sama-sama menulis tentang kehidupan masyarakat Bugis pada awal dan pertengahan abad ke - 19. Sudah tentunya tulisan Raja Ali Haji yang perlu diberi keutamaan kerana beliau hidup pada zaman  tersebut dan berdepan dengan keadaan sosiopolitik masyarakat Bugis pada ketika itu. Maka akan wujud perbezaan dari segi pandangan, pentafsiran kerana sejarawan tersebut tidak mengalami secara langsung kehidupan dan keadaan pada zaman tersebut.[27]
Selain itu, kaedah menguji kewarasan isi kandungan berdasarkan kaedah kritikan dalaman juga dapat dibuktikan dengan persoalan sama ada kandungannya itu benar, rasional dan logik. Contohnya aliran rasionalisme yang terdiri daripada tokoh-tokoh seperti Bennedict Spinoza dan Immanuel Kant yang telah membuat kesimpulan mengenai isi kandungan kitab – kitab suci iaitu Taurat dan Injil yang tidak sahih lagi kerana bertentangan dengan logik akal ekoran daripada kesangsian terhadap kitab suci tersebut. Seterusnya terbentuk aliran Higher Criticsm yang mendakwa isi kandungan Injil adalah bertentangan antara satu sama lain. Malah merupakan mitos dan dongeng semata-mata.      Persoalannya disini apakah Injil yang ada pada ketika ini adalah tulen dan yang sebenarnya, bukan yang sudah mengalami sebarang bentuk perubahan dan pindaan serta bertentangan (contradictory) antara satu sama lain. Contohnya adalah tentang berlakunya perubahan pada ayat yang dikenali sebagai “comma Johannium” atau Tiga Kesaksian Langit yang menurut Charles Francis Potter, ayat tesebut dianggap sebagai suatu bentuk pemalsuan yang disengajakan.[28]
            Proses kritikan dalam adalah lebih tertumpu pada proses tafsiran. Hal ini berbeza dengan kritikan luaran yang menggunakan kaedah seperti ujian kimia, ujian bahasa, ujian tulisan dan ujian terhadap bahan-bahan yang digunakan. Terdapat beberapa tahap tafsiran semasa diperingkat sumber iaitu tafsiran verbal, tafsiran teknikal, tafsiran logik, tafsiran psikologi dan tafsiran fakta.[29] Tafsiran verbal memfokuskan kepada aspek bagi mengetahui makna sesuatu perkataan dalam dokumen dan seterusnya menerangkan makna perkataan serta ayat bagi mendapatkan idea yang cuba ditonjolkan oleh penulis dokumen berkenaan. Proses ini amat memerlukan pengetahuan dari pelbagai sudut bahasa dan juga dari segi perbendaharaan kata. Tafsiran ini juga melibatkan proses terjemahan yang dikenali sebagai proses literasi iaitu petikan daripada satu bahasa yang  diterjemah kepada bahasa yang lain. Proses terjemahan amat penting bagi memahami sesuatu dokumen ataupun sumber sejarah.
            Tafsiran seterusnya ialah tafsiran teknikal. Kaedah tafsiran ini dapat menjelaskan tujuan penulisan sumber yang dilakukan oleh seseorang penulis. Tafsiran ini berasaskan dua pertimbangan iaitu tujuan penulis dan melakukan bentuk pembacaan yang tepat. Kedua-duanya dapat membezakan sumber yang hanya memberi maklumat sahaja atau sumber yang bercampur kepada ahli sejarah. Setelah ahli sejarah berjaya melakukan tafsiran teknikal, tumpuan seterusnya ialah tafsiran logik yang bertujuan menyambung pelbagai bahagian sumber mengikut kaedah pemikiran yang betul.[30] Kebolehan ahli sejarah dalam membuat tafsiran logik dapat mengemukakan fakta yang jelas dan sahih.[31] Seterusnya, ahli sejarah akan melakukan proses tafsiran psikologi iaitu proses membaca mengikut sudut pandangan bagi mendapatkan pemikiran ahli sejarah yang dipengaruhi oleh faktor persekitaran fizikal, sosial, dan intelektual. Proses tafsiran yang terakhir sekali ialah tafsiran fakta. Kaedah tafsiran ini digunakan setelah memahami makna sumber dan dokumen yang dikaji. Menerusi kaedah tafsiran ini juga, ahli sejarah dapat mengemukakan fakta-fakta sejarah yang disignifikan sama ada secara individu atau berkumpulan bagi menjelaskan sebab dan akibat sesuatu peristiwa sejarah itu berlaku.[32] Menurut Ibnu Khaldun, “Kebenaran sejarah adalah bergantung kepada kebenaran fakta.”[33]
            Terdapat satu lagi aspek penting dalam penulisan iaitu bahasa kerana melalui bahasa, kita dapat mengetahui dan memahami sesuatu teks. Bahasa yang sukar akan memberi masalah kepada ahli sejarah untuk membuat tafsiran.[34] Oleh yang demikian, ahli sejarah perlu mengambil kira beberapa aspek penting di dalam kritikan dalaman  iaitu dari segi memahami bahasa, maksud tulisan penulis dan mengetahui akan ragam, niat serta fikirannya itu sama ada seseorang ahli sejarah itu prejudis atau mudah terpengaruh dengan fakta lain. Perkara ini amat penting kerana ianya akan memberi kesan terhadap fakta-fakta yang disampaikan sama ada fakta tersebut boleh dipercayai atau tidak. Maka, setiap perkataan yang ditulis oleh ahli sejarah perlulah diterangkan semula dengan mengemukakan penerangan, huraian, dan penjelasan yang nyata dan terang.[35] Hal ini berikutan kerana setiap penulis mempunyai tafsirannya tersendiri terhadap setiap perkara yang ditulisnya.
            Kerasionalan dan kemunasabahan isi kandungan sesuatu sumber bukan sahaja tertumpu kepada aspek-aspek tersebut. Dewasa ini, terdapat beberapa sumber dan fakta sejarah yang kurang munasabah telah mula dipertikai dan menimbulkan kesangsian oleh beberapa sejarawan moden dengan menitikberatkan dan melihat beberapa sudut lain yang dirasakan rasional untuk dikritik. Sebagai contoh, Thucydides ketika penulis mengenai karyanya mengenai Perang Peloponnesia telah menolak cerita-cerita berunsur mitos kerana ia tidak masuk akal. Salah satu cerita yang tersebar luas dalam kalangan rakyat ketika Perang Peloponnesia ialah kepercayaan bahawa kejangkitan wabak pes yang menimpa negeri tersebut adalah berpunca daripada tindakan tuhan. Thucydides ketika menolak cerita ini telah mengakui kejahilannya tentang punca sebenar penyakit itu.[36]
            Selain itu terdapat contoh lain iaitu kenyataan yang pernah dikemukakan oleh sejarawan Arnold Toynbee telah dikritik secara mendalam pada suatu ketika dahulu. Arnold Toynbee telah mebuat kenyataan bahawa Marco Polo, seorang pelayar berbangsa Itali telah tiba ke Asia terutamanya ke negara China pada sekitar tahun 1271 – 1295. Toynbee telah menyebut bahawa Marco Polo akan singgah di istana Kublai Khan setibanya ke negara China. Namun begitu, kini kenyataan tersebut dianggap tidak benar oleh sejarawan moden atas beberapa alasan yang dikira logik dan munasabah. Frances Wood dalam bukunya Did Marco Polo Go to China telah mengatakan bahawa tiada bukti yang kukuh mengenai kedatangan atau pelayaran Marco Polo ke China. Justeru, kenyataan yang dikemukakan itu adalah palsu.[37] Terdapat beberapa bukti kukuh mengenai pemalsuan fakta yang dibuat oleh Marco Polo berhubung dengan pelayaran beliau ke negara China iaitu mengenai ketiadaan rekod yang dicatatkan tentang kedatangan beliau ke China. Selain itu, Marco Polo juga gagal mengemukakan fakta tentang budaya makan rakyat di China dengan menggunakan penyepit, tradisi mengikat kaki mahupun minuman kegemaran orang Cina iaitu teh. Beliau juga tidak mengatakan tentang sahabat-sahabat atau sesiapa yang ditemuinya ketika berlayar ke negara China. Seterusnya, Marco Polo juga gagal menulis mengenai Tembok Besar China yang menjadi kemegahan rakyat China.[38] Bukan itu sahaja, malahan beliau juga telah membuat kenyataan yang kurang tepat dan salah dari sudut geografi China. Banyak kenyataan yang dibuat olehnya terutama tentang pengalaman daripada peristiwa-peristiwa tertentu hanya berlaku selepas ketiadaannya. Kritikan yang begitu hebat terhadap lawatan Marco Polo ini walaupun masih tiada jawapan yang betul-betul pasti tentang perkara tersebut masih lagi gagal dibuktikan faktanya. Namun ahli sejarah masih lagi menunggu sekiranya terdapat bukti-bukti lain yang terkini dan membolehkan sumber itu dibuat pemeriksaan dan penyelidikan yang teliti serta diperbaiki semula.  

Kesimpulan.
Secara kesimpulannya, jelaslah menunjukkan bahawa terdapat perbezaan antara kritikan dalaman dan luaran dalam bidang sejarah. Namun begitu, walaupun kedua-duanya berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama iaitu kritikan bertujuan untuk mewujudkan kebenaran sejarah. Proses penyelidikan tidak akan sempurna tanpa melibatkan kritikan dalaman dan luaran. Hal ini kerana, proses kritikan sumber menerusi kaedah kritikan dalaman dan luaran dapat membantu menghasilkan dokumen, sumber dan fakta sejarah yang sahih tanpa menggunakan sumber yang bercanggah dan disangsikan. Secara tidak langsung, kaedah kritikan dalam penulisan sejarah dapat menyumbang kepada terbentuknya penulisan sejarah yang lengkap dan padat seterusnya menghasilkan karya yang berkualiti seta mencapai tahap kebenaran sejarah.
           



[1] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber-sumber sejarah, Karisma Publications Sdn. Bhd., Shah Alam, 2004, hal. 34.
[2] Kamus Dewan Bahasa edisi ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka , Kuala Lumpur, 1997, hal. 712.
[3] R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Marican & Sons (M) Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 1985, hal. 35.
[4] Ibid, hal. 36.
[5] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, hal. 58.
[6] Ibid, hal. 58.
[7] Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah: Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, 1986, hal. 96.
[8] Louis Gottschalk, ed., Generalization in the Writing of History., The University of Chicago Press, Chicago & London, 1969, hal. 118.
[9] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Siri Pendidikan Jarak Jauh, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996, hal. 76.
[10] Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2000, hal. 65.
[11] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, hal. 41.
[12] R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, hal. 36.
[13] Ibid, hal. 36.
[14] Ibid, hal. 37
[15] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber-sumber Sejarah, hal. 43.
[16] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1997, hal.183.
[17] Jacques Barzun and Henry F. Graff, The Modern Researcher: The Classic Work on Research and Writing Newly Revised and Expanded, Brace & World, New York, Harcourt, 1977, hal. 410.
[18] R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, hal. 36.
[19] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber- sumber Sejarah, hal. 44.
[20] Ibid, hal. 44.
[21] R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, hal. 38.
[22] Ibid, hal. 38
[23] Ibid, hal. 38.
[24] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber-sumber Sejarah, hal. 46.
[25] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, hal. 60.
[26] Ibid, hal. 61
[27] Ibid, hal. 62
[28] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, hal. 77.
[29] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, hal. 48.
[30] Ibid, hal. 52.
[31] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, dan Kaedah, , hal. 354.
[32] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, hal. 55.
[33] Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Hj. Yahya, Sejarawan dan Pensejarahan: Ketokohan dan karya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hal. 183.
[34] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, hal. 63.
[35] Ibid, hal. 64.
[36] R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, hal. 43.
[37] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, hal. 65.
[38] Ibid, hal.65. 

2 comments: