nuffnang

Thursday, June 6, 2013

Dengan memilih sama ada pertanian dan perindustrian, bincangkan usaha British untuk menguasai ekonomi India pada abad ke-19 dan 20



1.0 PENGENALAN 

Sektor ekonomi sememangnya menjadi salah satu faktor yang mendorong kepada kuasa barat untuk menjajah negara-negara di Asia tenggara. Kekayaan sumber ekonomi ini dapat menjamin kepada bekalan sumber makanan yang mencukupi. Faktor ini didorong dengan kepesatan perkembangan ekonomi yang berlaku di luar India iaitu melalui botanical imperialisme. Kecenderungan untuk menyelidik dan menjalankan kajian mengenai tumbuhan telah menyebabkan kuasa barat ini berlumba-lumba untuk mendapatkan kawasan yang kaya dengan sumber ekonomi. Buktinya, kajian terhadap tumbuhan botani telah mendorong kepada wujudnya Kew Garden di England.[i] Manakala, taman botani yang pertama di India terletak di Calcuta.

Di India, aktiviti pertanian sememangnya menjadi aktiviti utama mereka yang didorong dengan faktor tanah yang subur. Kedatangan British di India telah menjadi satu detik pengenalan terhadap tanaman-tanaman baru untuk dikomersialkan. Antara tanaman yang menjadi pilihan British untuk dikomersialkan ialah teh. Teh yang mempunyai nilai eksklusif yang tersendiri hanya dinikmati oleh golongan atasan menjadi lambang kepada pengelasan kedudukan seseorang dalam lapisan masyarakat.[ii] Peluang ini digunakan oleh British untuk mendapatkan keuntungan melalui usaha-usaha penanaman teh. 

Secara tidak langsung, British mulai menguasai ekonomi India dengan memperkenalkan tanaman baru yang secara perlahan-lahan menjadi tanaman utama di India. Dengan adanya tanaman bersifat monopoli ini, British secara tidak sedar mengusai sistem ekonomi India melalui dasar ekonomi yang diperkenalkan. Dasar ekonomi yang bersifat berat sebelah telah menyebabkan petani tempatan mulai tertindas dan mengalami kebuluran.

2.0 JENIS-JENIS TAMANAN PERTANIAN

India telah menjadi negara pengeksport utama untuk tanaman seperti kapas mentah, beras, candu, gandum, jut mentah dan teh. Keenam - enam sumber ini menghasilkan 60 peratus daripada keseluruhan eksport India pada tahun 1890.[iii]

2.1 Teh

Salah satu tanaman komersial yang diusahakan di India ialah teh. Untuk beberapa dekad, India merupakan negara yang paling penting dalam menghasikan dan mengeksport teh di dunia.[iv] Teh juga ditanam sebagai usaha British supaya tidak terlalu bergantung kepada Negara China. Menurut Micheal Lipton and John Firn, di bawah pemerintahan British, India telah berkembang menjadi pengeluar terbesar dan pengeksport teh di dunia dan Britain menjadi pasaran utama bagi India.[v] Malahan menjelang tahun 1900, India telah menggantikan Negara China sebagai pengeluar teh utama teh dunia. 

Walaubagaimanapun, dalam tahun 1960-an, ianya digantikan oleh Ceylon sebagai pengeksport terbesar teh dunia.[vi] Kebanyakan ladang-ladang teh di India telah dibuka di kawasan sesuai di kaki banjaran Himalaya, terutama di barat Assam dan Darjeeling. Tanaman teh tumbuh di daerah yang taburan hujan yang banyak, pengaliran air yang baik dan tanah yang berteres untuk mengelak hakisan tanah.[vii] Teh jenis Assam dikatakan berbatang tunggal dengan ketinggian pohon antara 6m-8m. Jenis ini juga boleh dibahagikan kepada lima jenis teh lagi iaitu teh Assam berdaun cerah, teh Assam berdaun kelam, Manipuri, Burma dan Lushai.[viii]

2.2 Jut 

Selain teh, Jut juga merupakan salah satu tanaman komersial yang diusahakan di India. Jut merupakan tanaman utama di barat Bengal dan Bangladesh dan dikatakan dari 68 kilang jut di India, 62 unit tersebut terletak di Barat Bengal. Manakala industri jut di Bangladesh meliputi 77 kilang jut dengan 25, 979 tenun dipasang setiap tahun dan mampu mengeluarkan sebanyak 5, 50, 000 tan produk jut secara purata.[ix] Oleh yang demikian, tidak hairanlah dalam tahun 1960, India merupakan negara pengeluar dan pengeksport terbesar jut di dunia. Ia menyumbang 45 peratus daripada anggaran pengeluaran industri jut dunia dan hampir tiga perempat daripada eksport dunia. Jut akan diproses untuk menghasilkan benang dan kain dan menjadi bahan mentah untuk membuat kain guni, tali, beg dan sebagainya.[x] Barangan berasaskan jut juga merupakan eksport paling penting iaitu 21 peratus daripada jumlah pendapatan pertukaran asing negara ini.[xi]



2.3 Kapas

India mempunyai kawasan yang luas untuk penanaman kapas berbanding negara lain di dunia.[xii] Ini dapat dibuktikan iaitu antara negara-negara yang kurang membangun, India adalah negara yang pertama mengeksport kapas pada skala yang besar. Seawal 1948-1950, kapas telah menyumbang lebih daripada 11 peratus daripada perdagangan kapas dunia. Sehingga tahun 1960, kapas adalah sumber pendapatan yang penting bagi negara India. Hal ini kerana dalam tempoh tahun 1950-1960, mereka menyumbang antara 10-13 peratus daripada jumlah perolehan eksport setiap tahun.[xiii] Di India, kapas ini banyak ditanam dan penting di sebelah selatan terletaknya bukit-bukit Vidhya, Bhanrer dan Kaimur.[xiv] Bagi memperkembangkan ekonomi di India, British telah melaksanakan beberapa usaha dan inisiatif. Secara keseluruhannya, kedatangan British di India telah memberi kesan kepada perkembangan ekonomi komersial di India. 

3.0 USAHA-USAHA BRITISH DALAM MENGUASAI EKONOMI INDIA

Kedatangan kuasa British ke India telah membawa kesan yang sangat besar terhadap perkembangan sejarah dan tamadun di Benua Kecil iaitu India. India yang kaya dengan sumber ekonominya telah mendorong pihak British untuk mengeksploitasi ekonomi di India. oleh yang demikian, pihak British telah menjalankan beberapa usaha untuk menguasai ekonomi di India.

3.1 Pemilikan Tanah 

Bagi menguasai ekonomi India, British telah memperkenalkan sistem tanah baru di India. Sistem tanah baru yang diperkenalkan oleh British adalah pemilikan tanah secara persendirian.[xv] Individu-individu yang berkemampuan atau kaya telah menjadi tuan tanah baru seperti zamindar,[xvi] ketua kampung, peniaga atau pemberi pinjaman wang. Sementara orang-orang ini mendapat hak pemilikan tanah, petani-petani pula kehilangan hak tanah yang merupakan warisan keturunan mereka untuk mencari rezeki.[xvii] Dengan pengenalan sistem baru ini, petani boleh diusir bila-bila masa oleh pemilik tanah baru sekiranya mereka rasakan perlu.[xviii] Misalnya, di kawasan-kawasan seperti Bengal pemilikan tanah telah diberikan kepada zamindar. Pada awal abad ke-20, kebanyakan isi rumah atau ahli keluarga petani bekerja sebagai penyewa di atas tanah keluarga petani yang lain. Dalam tahun 1950-an, melalui kaji selidik yang dilakukan 75 peratus daripada petani hanya mempunyai kurang daripada lima ekar tanah manakala 23 peratus lagi tidak mempunyai tanah.[xix]

3.2 Membawa Masuk Pemodal Eropah Ke India 

Faktor ekonomi merupakan titik tolak yang membawa kepada penglibatan British di India. Sejak abad ke-18 lagi, British telah menguasai Bengal manakala Perancis menguasai bahagaia Chandernagar dan Pondicherry.[xx] Setelah Perjanjian Paris ditandatangani, Perancis tidak lagi menjadi satu ancaman bagi British di India. Usaha British bagi menguasai ekonomi di India telahpun wujud sejak abad ke-18 lagi apabila telah meluaskan pengaruh mereka dalam bidang ekonomi dengan keuntungan eksport tekstil dari Bengal pada tahun 1690 hingga 1740 malah British turut memperkenalkan sistem percukaian tanah baru oleh Lord Cornwallis yang dikenali sebagai Sistem Zamindar.[xxi]. Signifikan terhadap sistem ini adalah sebagai satu motif ekonomi yang menggalakkan kemasukan pemodal Eropah dalam pelaburan ke atas tanah di India.[xxii] Pihak British mengambil pendekatan tersebut bagi memenuhi keinginan British untuk memaksimumkan eksploitasi ekonomi di India dan sekaligus mendapat keuntungan yang banyak hasil daripada pelabuhan di Calcutta, Bombay dan Madras.

Kehadiran Barat telah memberi pengaruh yang cukup besar dalam perkembangan sistem ekonomi bersifat komersial di Asia Selatan. Pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, masyarakat di Asia Selatan secara umumnya menjalankan aktiviti pertanian sebagai aktiviti utama yang tidak dihasilkan untuk nilai-pertukaran. Ekonomi komersial di India mampu berkembang bukan sajaja kerana kemampuannya mengeluarkan bahan-bahan mentah tetapi juga kerana dibantu oleh pihak British.[xxiii] Perubahan ekonomi yang meningkat di India menyebabkan munculnya golongan pemodal dalam kalangan bukan sahaja daripada golongan orang India, tetapi juga golongan pemodal Eropah. Pemodal-pemodal Eropah meletakkan pelaburan dalam perusahaan seperti kilang-kilang kapas yang sangat penting dalam industri tekstil pada abad ke-19 dan abad ke-20.[xxiv] Pemodal akan memberi pinjaman kepada masyarakat India atas dasar mempertingkatkan kualiti hidup mereka.[xxv] Kepadatan penduduk India serta pendapatan yang rendah menyebabkan kemiskinan yang memudaratkan. Oleh yang demikian, pemodal British telah memberi pinjaman kepada yang petani yang memerlukan wang. Usaha yang dilakukan oleh British dengan membawa pelabur-pelabur daripada Eropah adalah bagi memastikan bahawa ekonomi kapitalis di India akan berkembang dan memberikan kepentingan kepada pihak British.



3.3 Mewujudkan Botanical Garden

Sektor pertanian komersial di India boleh dikatakan memasuki satu fasa baru dengan kehadiran pelabur-pelabur luar terutamanya pelabur Eropah. Hal ini kerana pelabur dari Eropah lebih tertumpu kepada komoditi pengeluaran besar-besaran atau menjalankan aktiviti penanaman secara besar-besaran iaitu ditanam dalam bentuk ladang. Menurut Gadgil, sistem perladangan adalah satu kegiatan baru di India yang dibawa dan diperkenalkan oleh orang Eropah yang bertujuan untuk menggembangkan sektor perindustrian dan perdagangan.[xxvi] Ekoran daripada Revolusi Pertanian di Eropah dan diikuti dengan pengenalan ekonomi kapitalis di seluruh negara jajahan British termasuklah India, pihak British telah mengambil beberapa usaha untuk memajukan ekonomi dengan mewujudkan Botanical Garden.[xxvii] Antara tujuan penubuhan taman botani ini adalah untuk penyelidikan bagi menentukan kawasan yang sesuai untuk penanaman pokok seperti tea dan getah, dan bertangungjawab menjalankan penyelidikan secara saintifik serta mengenal pasti jenis-jenis tanaman yang sesuai ditanam secara komersial di India.[xxviii] Botanical Garden telah dibina di seluruh India seperti Culcutta dan Munsai. Pada tahun 1816, Calcutta Botanic Garden dihiasi dengan tasik, pokok-pokok, perladangan dan taska.[xxix] Rajah 1 menunjukkan pelan Calcutta Botanic Garden.

Pada abad yang ke-19, India telah menjadi negara pengeksport utama bagi kapas mentah, beras, candu, gandum, jut merah dan teh kesan daripada penubuhan beberapa cawangan Botanical Garden di India[xxx]. Menurut Neil Charlesworth, India telah menghasilkan 60 peratus daripada keseluruhan tanaman eksport India.[xxxi] Antara hasil penyelidikan yang telah dijalankan termasuklah penanaman teh dan getah diusahakan secara komersila di India. Pada abad ke-20 juga memperlihatkan pembukaan kawasan ladang-ladang teh di kaki banjaran Himalaya terutamanya di Assam.[xxxii] Antara syarikat utama yang mengusahakan perladangan teh adalah Syarikat Teh Assam. Ladang yang dibuka ini kemudiannya dijadikan asas kepada perkembangan perusahaan teh di India.[xxxiii] Pada tahun 1853, keluasan tanah bagi kawasan penanaman teh adalah seluas 2425 ekar dan bernilai £366700. Keluasan dan nilai teh menunjukkan peningkatan pada tahun 1929 apabila kawasan ekar bagi penanaman teh dianggarkan seluas 790,000 ekar dengan nilai sebanyak £4,330,000. Jadual 1 menunjukkan nilai eksport bagi tea di India pada tahun 1860 sehingga 1935 yang menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.[xxxiv] Kesan yang besar dapat dilihat daripada usaha yang dilaksanakan oleh British dalam memajukan ekonomi komersial di India apabila menjelang tahun 1900, India telah menggantikan negara China sebagai pengeluar utama teh di dunia. 

3.4 Pengkhususan Tanaman

British turut menjalankan pengkhususan jenis tanaman atau corak pengkomersialan mengikut kawasan di India bagi mengelompokkan hasil pertanian. Bagi penanaman teh, ladang teh diuruskan secara langsung oleh British dengan menggunakan tenaga buruh yang dipaksa. Manakala bagi tanaman lain, petani menanam tanaman tersebut berdasarkan kepada arahan penjajah. Misalnya, petani di timur Bengal diminta menanam Indigo, petani di Deccan menanam kapas, petani di U.P menanam tebu, manakala petani di wilayah tengah pula diarah menanam candu.[xxxv] Dari tahun 1820 hingga 1920-an, Pengkomersialan hasil pertanian ini telah mengubah corak luar bandar di India. 

Usaha yang dilakukan oleh British ini telah berjaya mengembangkan dan meningkatkan aktiviti pertanian pada tahun 1881 hingga 1931 iaitu telah mempunyai peningkatan sebanyak 28 peratus.[xxxvi] Menurut banci pada tahun 1941, dinyatakan bahawa dari 75 orang bergantung kepada pertanian di rantau Bengal, kurang daripada 20 orang mempunyai 5 ekar atau lebih banyak tanah, manakala yang lain mempunyai kurang daripada 5 ekar. Satu keluarga yang mempunyai lima atau enam ahli sekurang-kurangnya memerlukan 5 ekar tanah pertanian.[xxxvii]

3.5 Kemudahan Pengangkutan dan perhubungan serta pemprosesan ditingkatkan

Satu lagi usaha yang dilakukan oleh British untuk menguasai ekonomi India dari pertanian adalah dengan meningkatkan kemudahan seperti pengangkutan dan perhubungan. Bagi mendedahkan ekonomi India kepada kitaran ekonomi global terutamanya bahan-bahan mentah seperti kapas, jut, the, kopi, dan gandum, British telah meningkatkan kemudahan pengangkutan seperti kereta api dan kapal wap.[xxxviii] Oleh itu, kawasan pertanian yang kebanyakannya terletak di kawasan pedalaman yang terletak jauh dari kawasan bandar atau pekan dapat dihubungkan. Tujuan penjajah adalah bagi memudahkan mereka mengurus dan memantau keadaan pertanian yang dijalankan .[xxxix]

Pada tahun 1869 hingga awal abad ke-20, India mengalami masalah kebuluran terutamanya dalam kalangan petani. Sehubungan dengan itu, pengkomersialan hasil pertanian di India iaitu bekalan tanaman makanan dikurangkan di pasaran. Namun demikian, kontrak British dengan kawasan pedalaman yang telah dicapai oleh pengangkutan dan perhubungan seperti kereta api dan jalan raya masih terikat dan berjalan seperti biasa. Misalnya, walaupun berlaku kebuluran, British tetap mengarahkan aktiviti penjualan hasil tanaman di luar tetap berjalan. Ini bagi mengelakkan bekalan tanaman pertanian berkurangan sekali gus memberi kesan kepada keuntungan British.[xl] Walaupun tindakan British ini memburukkan lagi masalah kebuluran namun penjajah lebih mementingkan hubungan ekonominya dengan ekonomi India lebih terjamin. Sasaran British untuk melaksanakan rancangan ini adalah melalui individu-individu yang dikenal pasti seperti pemimpin tradisional India.[xli]

Tempat pemprosesan seperti kilang turut dibuka oleh British dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil pertanian di India. Pada tahun 1856, British telah membina kilang kapas yang menggunakan kuasa wap di Bombay.[xlii] Kilang ini merupakan kilang pertama yang dibuka oleh British di India. Pembukaan kilang ini telah menjadi pendorong kepada perkembangan pesat industri tekstil India di Bombay sekitar tahun 1870 dan 80-an.[xliii]

3.6 Membuat Akta Berkaitan dengan Penanaman Teh

Assam merupakan satu tempat di India yang memulakan perusahaan teh di India. Pada tahun 1820-an, seorang pegawai British iaitu Robert Bruce telah menemui daun teh di Assam yang dihidangkan kepadanya oleh kaum Singpho.[xliv] British East India Company yang menyedari bahawa mereka boleh mendapatkan kepentingan daripada kelebihan yang ada pada kawasan Assam akhirnya mengambil alih kawasan ini pada tahun 1826 daripada Raja Ahom melalui satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Yandaboo.[xlv] Pada tahun 1837, ladang teh yang pertama telah dibuka di Chabua, Dibrugarh di daerah atas Assam dan pada tahun 1840, Syarikat Teh Assam mula memulakan pengeluaran teh secara komersial. Industri teh mula berkembang pesat dari tahun 1850-an dan seterusnya.[xlvi] Melalui usaha British dengan mewujudkan akta berkaitan dengan penanaman teh, tanah-tanah yang luas dibersihkan dan ladang-ladang teh baru diwujudkan sehingga Assam menjadi salah sebuah kawasan penanaman teh yang terkenal.

Di India, penanaman teh mula dibangunkan dengan bersungguh-sungguh selepas mendapat laluan mudah dalam Assam Clearance Act pada tahun 1854 yang memberikan sehingga tiga ribu ekar tanah untuk penanaman teh kepada mana-mana pemodal dan pengusaha Eropah yang menjanjikan untuk mengusahakan teh secara besar-besaran untuk dieksport. [xlvii] Pihak British terdesak untuk melaksanakan perusahaan teh di India kerana melihat kepada senario keperluan teh yang tinggi oleh Eropah sedangkan bekalan teh dari China mula terganggu kerana masalah di China yang berkaitan dengan dasar hubungan mereka dengan Barat.

Pada tahun 1850, terdapat hanya sebuah ladang penanaman teh di India yang mengeluarkan kira-kira 200,000 pounds teh setahun namun atas usaha British, pada tahun 1871, terdapat lebih kurang 295 ladang dengan jumlah tuaian sekitar 6.25 juta pounds. Perusahaan teh berkembang pesat merentasi Assam sehingga ke wilayah-wilayah pergunungan Punjab di sekitar Kangra, selatan pergunungan Nilgiri berdekatan Mysore. Selepas tahun 1873 berpindah ke Darjeeling[xlviii] Ia mengalami pertumbuhan yang pesat pada suku akhir abad ke-19 di mana pengeluaran teh meningkat daripada 6,000,000 lb pada 1872 kepada 75,000,000 lb pada tahun 1900 dan keluasan tanah untuk penanaman teh meningkat daripada 27,000 ekar kepada 204,000 ekar. Keperluan buruh juga meningkat daripada 107,847 pada tahun 1885 kepada 247,760 pada tahun 1900.[xlix]

3.7 Menghantar Perisik ke China



Sejarah teh dimulakan oleh China sekitar 2700 BC semasa kegemilangan pemerintahan Maharaja Shen Nung. Dari China, tradisi meminum teh sampai ke Jepun sekitar abad ke 6. Teh diusahakan kemudiannya di India dan diimport ke seluruh England.[l] Apabila diteliti, China merupakan pelopor kepada penanaman teh dan mereka sememangnya mahir dalam proses penanaman dan juga pemprosesan teh. Walaupun British di India sudah menemui dan memulakan penanaman teh namun kualiti teh yang dihasilkan tidak setanding dengan kualiti yang dihasilkan di China. 

Bagi mengatasi masalah kualiti teh yang rendah ini, salah satu usaha yang dilakukan oleh British untuk menguasai pertanian teh di India adalah dengan menghantar perisik yang mahir dalam bidang botani ke China.[li] Seperti yang diketahui, China dan Jepun merupakan tempat asal-usul bagi penanaman teh dan merupakan sejenis minuman yang amat popular sebelum kedatangan British lagi. Teh menjadi terkenal di kalangan orang Eropah semasa ketibaan mereka ke China pada abad ke-17. Pada masa yang lama, China menjadi pembekal kepada bekalan teh dunia. Justeru, penghantaran perisik ini ke China yang tahu berbahasa China bertujuan untuk mencari rahsia penanaman dan pembuatan teh. Maklumat yang diperoleh oleh perisik ini dibawa ke India dan England untuk tujuan kajian dan memulakan langkah pemprosesan teh.



Benih-benih teh juga berjaya dibawa oleh perisik-perisik ini ke India. Sebanyak 80,000 benih telah berjaya dibawa oleh perisik yang dihantar oleh British ini ke India.[lii] Benih-benih ini kemudiannya diuji di makmal di Calcutta di mana saintis-saintis British telah mendapati bahawa semua teh berasal dari satu spesies. Sekurang-kurangnya, British mendapati bahawa hanya terdapat satu cari dalam pertumbuhan, penuaian dan hanya cara penapaian yang berbeza yang menghasilkan pelbagai variasi rasa bagi teh. Setelah misi pertama ini berjaya, British menghantar lebih banyak perisik ke China untuk mengetahui pelbagai lagi variasi perisa teh di China. Salah seorang perisik yang berjaya mendapatkan banyak maklumat adalah Robert Fortune yang mengembara selama tiga tahun di China yang berselindung dengan identiti sebagai seorang pedagang.[liii] Beliau berjaya mendapatkan semua maklumat yang diperlukan oleh British. Usaha British tidak terhenti di sini apabila mereka menjalankan banyak lagi penyelidikan untuk menghasilkan teh yang standing dengan China.[liv]

3.8 Mengimport Buruh Cina Untuk Bekerja Di Ladang Teh

Antara dasar yang dilakukan oleh British mengenai ekonomi adalah amalan sistem ekonomi bebas atau laissez-faire. Ekonomi British menekankan kepada keuntungan semata-mata dan ini merupakan salah satu tujuan kedatangan mereka iaitu untuk mengeksploitasi ekonomi tempatan. Tanaman untuk tujuan komersial seperti teh akhirnya telah mampu menyaingi dan memecahkan pengeluaran teh dari China yang merupakan pengeluar teh terbesar. Sekitar tahun 1890-an, teh menjadi eksport India yang penting. Antara kawasan penanaman yang besar adalah di Assam, Darjeeling, Jalpaiguri, Nilgiris, Coimbatore, Idukki dan Wynad.[lv]

Salah satu usaha lain yang dijalankan oleh British adalah mengimport buruh dari China untuk bekerja di ladang the di Assam.[lvi] Namun, usaha ini gagal kerana pekerja yang dibawa ini tidak mahir dalam penanaman dan pemprosesan teh. Pekerja yang dibawa adalah dari selatan China yang tidak mahir berbanding pekerja di utara China. Kegagalan ini turut dipengaruhi oleh kesukaran untuk beradaptasi dengan apa yang berlaku di India.[lvii] Berbanding dengan penghantaran perisik bagi mengetahui rahsia pemprosesan dan penanaman teh yang berjaya, usaha ini kurang berjaya. Namun, kejayaan yang dibawa oleh perisik mampu mengatasi masalah yang dihadapi berkaitan dengan buruh-buruh Cina ini.

4.0 Kesimpulan 

Kepentingan ekonomi British di India dapat dilihat dengan ketara melalui pengenalan tanaman baru yang mampu untuk memecahkan monopoli tanaman lain. Demi memastikan penanaman tanaman baru berjaya, British menjalankan pelbagai usaha termasuklah membawa masuk buruh cina, menghantar perisik ke China dan menubuhkan akta berkaitan dengan teh. Melalui usaha-usaha ini, British telah menguasai ekonomi India walaupun pada awalnya menghadapi halangan daripada masyarakat tempatan.






[i] H. selin. 1997. Encyclopedia of the History of Science, Technology, and Medicine in Non-western Cultures. Netherlands: Kluwer Academic Publishers. Hlm.227. 


[ii] Rana P. Behal. 2006. Power Structure, Discipline, and Labour in Assam Tea Plantations During Colonial (in Rana P. Behal & Marcel Van der Linden: Coolies, Capital, and Colonialism: Studies in Labour History). Cambridge: University of Cambridge. Hlm. 135. 


[iii] Neil Charlesworth. 1982. British Rule and the Indian Economy 1800-1914. London: Macmillan. Hlm. 24. 


[iv]Deepak Nayyar. 2007. India’s Exports and Export Policies in the 1960’s. Cambridge: Cambridge University Press. Hlm. 87. 


[v] Micheal Lipton and John Firn. 1975. The Erosion of a Relationship: India and Britain Since 1960. London: Oxford University Press. Hlm. 49. 


[vi] Ibid. 


[vii] Elaine Jackson. 2007. India: Mengenal Ragam Budaya dan Geografi. Solo: Tiga Serangkai. Hlm. 12. 


[viii] Djoehana Setyamidjaja. 2000. Teh Budidaya & Pengolahan Pascapanen. Yogyakarta: Kanisius. Hlm. 17. 

[ix] Md. Firoze Shah Sikdar, Biswa Nath Banerjee. 1990. Jute Cultivation in India and Bangladesh: A Comparative Study. New Delhi: Mittal Publications. Hlm. 1. 


[x] Ibid. 


[xi]Deepak Nayyar. 2007. India’s Exports and Export Policies in the 1960’s. Hlm. 35. 

[xii] Usha Barwale Zehr. 2010. Cotton: biotechnological advances. New York: Springer. Hlm. 183. 


[xiii] Usha Barwale Zehr. 2010. Cotton: biotechnological advances. Hlm. 61. 


[xiv] Irwan Suhanda (Editor). 2007. India: Bangkitnya Raksasa Baru Asia: Calon Utama Dunia Di Era Globalisasi. Jakarta: PT Kompas Media Nusantara. Hlm. X. 


[xv] sebelum ini petani bebas mengusahakan tanah yang ada mengikut kehendak masing-masing tanpa halangan atau sewaan daripada tuan-tuan tanah. 


[xvi] pemilik tanah yang memajakkan tanah kepunyaan mereka kepada golongan petani. 


[xvii] S.N. Sen. 2006. History Modern India. New Age International. Hlm. 83. 


[xviii] petani-petani atau penyewa ini terdiri daripada keluarga yang miskin dan datang dari kasta yang rendah. Pada tahun 1881, seorang pegawai british mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai makanan yang mencukupi. Judith E. Walsh. 2006. A Brief History Of India. New York: An Imprint Of Infobase Publishing. Hlm. 143. 


[xix] Judith E. Walsh. 2006. A Brief History Of India. New York: An Imprint Of Infobase Publishing. Hlm. 143. 


[xx] Marshall Cavendish. 2007. World And Its Peoples. Estern And Southern Asia. Singapura : marshall Cabendish Corporation. Hlm. 336. 


[xxi] Sistem Zamindar adalah untuk mengubah dasar yang sedia ada di Bengal di mana sebelum ini Zamindar mempunyai kuasa yang besar dalam pengutipan cukai, kuasa ketenteraan dan perundangan telah dibataskan hanya kepada pengutipan cukai dan pengkongsian pendapatan sebagai pengutip cukai telah dihapuskan oleh British. Untuk keterangan lanjut, sila lihat John Holland Rose, Ernest Alfred Benians & Arthur Percival Newton (ed.). 1928. The Cambridhe History Of The British Empire. Cambridge : Cambridhe University Press. Hlm. 474. 


[xxii] Robert Travers. Deology And Empire In Eighteenth-Century India : The Britihs In Bengal. New York : Cambridge University Press. 2007. Hlm. 174-177 


[xxiii]D. Rothermund. 1993. An Economic History Of India: From Pre-colonials Times To 1991. United States: Routledge. Hlm. 91. 


[xxiv] C.H Philips. 1966. Sejarah India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 85. 


[xxv] Lewis S.S O’malley. 1968. Moderm India And The West: A study of The Interaction of Their Civilizations. New York : Oxford University Press. Hlm 264. 


[xxvi] D.R Gadgil. 1971. The Industrial Evolution Of India In Recent Times 1860-1939. New York: Oxford University Press. Hlm. 49. 


[xxvii] Mark Harrison. 2010. The Calcutta Botanic Garden And The Wider World, 1817-1846. Dalam Uma Dasgupta (ed.). Science And Modern India: An InstitutionalHistory, 1784-1947. Delhi: Pearson Education India. Hlm. 236. 


[xxviii] Dordon Johnson, Stewart Gordon & Christopher Alan Bayly. (ed.). 1989. The New Cambridge History Of India : Volumes 3-5. New York : Cambridge University Press. Hlm. 47. 


[xxix] Annual Report Of The Calcutta Garden For 1843-1844. Dalam British Library, London. 


[xxx] B.R Tomlinson. 1996. The Economy OfModern India 1860-1970. New York : Cambridge University Press. Hlm. 53. 


[xxxi] Neil Charlesworth. 1982. British Rule And The Indian Economy: 1800-1914. Australia : Macmillan. Hlm. 24. 


[xxxii] Ajay Singh Rawat. 1999. Forest Management In Kumaon Himalaya : Struggle Of The Marginalised People. Delhi : Indus Publishing. Hlm. 117. 


[xxxiii] H.A Antrobus. 1957. A History Of The Assam Company: 1839-1953. Delhi: Priv. Print By T. & A. Constable. Hlm. 141. 


[xxxiv] K.N Chaudhuri. 1983. Foreign Trade And Balance Of Payments (1757-1947). CEHI. Hlm. 10-11. 


[xxxv] Mohammad Tarique. Modern Indian History. Tata Mcgraw-Hill Education. Hlm. 5.3 


[xxxvi] Judith E. Walsh. 2006. A Brief History Of India. New York: An Imprint Of Infobase Publishing. Hlm. 143. 


[xxxvii] Mohammad Tarique. Modern Indian History. Tata Mcgraw-Hill Education. Hlm. 5.6 


[xxxviii] Douglas M. Peers. 2006. India Under Colonial Rule: 1700-1885. Great Britain: Pearson & Education Limited. Hlm. 73. 


[xxxix] Mohammad Tarique. Modern Indian History. Tata Mcgraw-Hill Education. Hlm. 2.5 


[xl]Judith E. Walsh. 2006. A Brief History Of India. New York: An Imprint Of Infobase Publishing. Hlm. 144. 


[xli] Douglas M. Peers. 2006. India Under Colonial Rule: 1700-1885. Great Britain: Pearson & Education Limited. Hlm. 73. 


[xlii] Ashwini Tambe & Harald Fischer-Tine. 2009. The Limits of British Colonial Control in South Asia: Space of Desorder in the Indian Ocean Region. Canada: Routledge. Hlm. 23. 


[xliii] Judith E. Walsh. 2006. A Brief History Of India. New York: An Imprint Of Infobase Publishing. Hlm.117. 


[xliv] Sharit K. Bhowmik. 2010. Inequalities among the Working Class: a Historical Perspective (in T.K Oommen. Classes, Citizenship, and Inequality: Emerging Perspective). India: Dorling Kindersley. Hlm. 37 


[xlv]Niranjan Ch. Pathak & Guptajik Patha. 2008. Assam’s History and it’s Graphics. New Delhi: Mittal Publications. Hlm. 125. 


[xlvi] Rana P. Behal. 2006. Power Structure, Discipline, and Labour in Assam Tea Plantations During Colonial (in Rana P. Behal & Marcel Van der Linden: Coolies, Capital, and Colonialism: Studies in Labour History). Cambridge: University of Cambridge. Hlm. 145. 


[xlvii] Stanley Wolpert. 2000. A New History of India (6th Edition). New York: Oxford University Press. Hlm. 247. 


[xlviii] Ibid. 


[xlix] Rana P. Behal. 2006. Power Structure, Discipline, and Labour in Assam Tea Plantations During Colonial (in Rana P. Behal & Marcel Van der Linden: Coolies, Capital, and Colonialism: Studies in Labour History). Cambridge: University of Cambridge. Hlm. 143. 


[l] John H. Weisburger. Tea and Health: a Historical Perspective. New York: American Health Foundation. Cancer Letters 114 (1997) 315-317. 


[li] Aaron Brachfeld & Mary Choate. 2007. Eat Your Food: Gastronomical Glory From Garden to Gut. Colorado: Coastalfields Press. Hlm. 280. 


[lii] Ibid. 


[liii] Pengalaman Robert Fortune selama beliau mengembara di China selama tiga tahun turut ditulis oleh beliau dalam bukunya yang bertajuk Three Years Wanderings in the Northern Provinces of China. 


[liv] Ibid. Hlm. 281. 


[lv] Sharit K. Bhowmik. 2010. Inequalities among the Working Class: a Historical Perspective (in T.K Oommen. Classes, Citizenship, and Inequality: Emerging Perspective). India: Dorling Kindersley. Hlm. 37 


[lvi] John S. Bowman. 2000. Chronologies of Asian History and Culture. Columbia: Columbia University Press. Hlm. 651. 


[lvii] Semasa pembukaan tanah-tanah untuk ladang teh, pelbagai masalah wujud berkaitan dengan suasana persekitaran dan penyakit seperti malaria dan sebagainya yang mengganggu tahap kesihatan pekerja ladang teh. Sharit K. Bhowmik. 2010. Inequalities among the Working Class: a Historical Perspective (in T.K Oommen. Classes, Citizenship, and Inequality: Emerging Perspective). India: Dorling Kindersley. Hlm. 39.

No comments:

Post a Comment