nuffnang

Thursday, June 13, 2013

Huraikan perkembangan penyelidikan sejarah di Barat dari zaman klasik hingga zaman pensejarahan moden (kurun ke-19)

PENDAHULUAN

Sejarah dapat ditafsirkan seperti kisah-kisah yang berlaku pada masa lampau (events that happened or occurred). Sejarah yang wujud tidak bergantung pada kita untuk mewujudkannya. Tanpa kita atau tanpa sejarawan, masa lampau atau masa kini dan masa depan, sejarah  tetap wujud dalam keadaannya.
            Dari segi etimologinya, takrifan ini dikatakan secocok dengan makna asal istilah historia dari bahasa Greek yang kemudiannya dipakai dalam bahasa-bahasa lain seperti history (Inggeris) dan historia (Perancis) dangan maksud penyelidikan atau kajian yang dilakukan oleh sejarawan (Historia rerum gestarum).[1] R.G. Collingwood (1899-1943) seperti Hegel berpendapat bahawa semua sejarah ialah sejarah pemikiran. Bahkan baginya semua sejarah ialah pementasan kembali pemikiran masa lampau di dalam akal fikiran sejarawan.
            Menurut Carr yang memutuskan bahawa sejarah ialah suatu proses perhubungan antara ahli sejarah dengan bahan-bahannya, suatu dialog yang tidak putus-putus di antara zaman sekarang dengan masa yang telah lalu. Daripada definisi yang diberikan oleh beliau menunjukkan bahawa sejarah berfungsi untuk menyimpan dan meneruskan pengalaman – pengalaman sejarah serta  berfungsi untuk menyimpan pengalaman –pengalaman secara kolektif dari satu generasi ke satu generasi yang lain dan juga tindak balas antara pembaca terhadap penulisan sesebuah buku iaitu fakta-fakta yang ditulis oleh sejarawan.[2]
            Sejarah yang diputuskan oleh Carr itu belum merupakan satu perkembangan berbanding seorang ahli sejarah pada kurun ke-19 iaitu Von Ranke, dari Jerman yang telah memperkenalkan cara baru untuk memahami sejarah. Beliau yang terkenal dengan pernyataannya wie es eigentlivh gewesen menimbulkan satu tradisi yang amat terkenal dan kuat pengaruhnya pada masa itu.[3] Aliran ini bergantung pada fakta sejarah yang objektif dan bebas serta dapat dikaji secara saintifik dan kritis. Bagi Ranke, matlamat pengajian sejarah adalah untuk menggambarkan kejadian  seperti mana yang benar-benar berlaku berdasarkan fakta –fakta dan dokumen-dokumen yang dikaji secara saintifik.[4]
            A. Marwick pula membahagikan makna sejarah kepada tiga tahap atau bahagian. Pertama, sejarah merupakan konotasi tentang keseluruhan masa lalu manusia yang sebenarnya telah berlaku. Kedua, konotasi terhadap percubaan manusia untuk menggambarkan dan mentafsirkan masa lalu. Ketiga, sejarah adalah satu disiplin ilmu pengetahuan yang telah mantap atau sekurang-kurangnya setanding dengan ilmu falsafah, matematik, sains dan ilmu-ilmu lain.[5]
            Sesuatu hakikat yang menjadi renungan ialah betapa ilmu pengetahuan seperti yang berkembang pada masa ini tidaklah muncul atau wujud begitu sahaja tanpa latar belakang atau semangat sezaman (Zeitgeist) yang mempengaruhinya. Sesungguhnya ilmu pengetahuan yang diwarisi kini dalam bentuk dan wajahnya yang tertentu itu adalah hasil daripada proses sejarah yang panjang, atau lebih tepat, hasil daripada proses sekularisasi yang traumatik.[6] Khususnya tentang ilmu atau pengajian sejarah juga melalui proses pembentukan dan pengukuhan dari semasa ke semasa, berasaskan semangat, ruang, dan waktu tertentu. Ruangnya ialah dunia barat, dan waktunya ialah sejak dari zaman klasik hinngalah ke zaman moden pada masa ini.

ZAMAN KLASIK
Pensejarahan atau historiografi bukanlah satu bidang yang baru dalam dunia intelektual, malahan bidang ini telah dikaji dan ditulis oleh sejarawan Barat sejak abad kelima Sebelum Masihi (S.M.) iaitu pada zaman Yunani dan Rom (zaman klasik). Kesedaran yang begitu mendalam terhadap sejarah masih kurang dikalangan masyarakat Greek termasuk kurang memahami kepentingan sejarah.[7] Pada hakikatnya sejarah ilmu pengetahuan atau sains bermula di Timur Tengah, khususnya di Sumeria (Mesopotamia) dan Mesir. Tetapi secocok dengan prinsip kesatuan tersebut, ia berkembang bersama-sama dengan perkembangan agama, yakni bersifat teokratik atau berunsur mitos yang pelaku-pelaku utamanya ialah tuhan atau dewa-dewi. Sebab itulah bagi sesetengah pengkaji, yang wujud pada mulanya ialah sifat separa-ilmu, bukannya ilmu dalam pengertian yang sebenarnya.[8] Pada zaman klasik di barat, perkembangan penyelidikan sejarah telah bermula. Malah, Garraghan menyamakan istilah teknik itu dengan kaedah sejarah itu sendiri.[9]
 Bidang pensejarahan memang memainkan peranan penting  untuk mengesan  dan merujuk  semua peristiwa sejarah yang telah berlaku malah melaluinya jugalah  kita dapat mengolah, mengupas, dan menganalisis pemikiran ataupun idea-idea sejarah tokoh-tokoh. Dalam falsafah Greek umumnya dan sejarah Athens khususnya, kaum Sophist [10] memainkan peranan penting.
 Dari segi positifnya, sumbangan besar falsafah Sophisme ialah membawa falsafah yang selama ini menumpukan perhatian kepada alam kosmos itu, kini memandang manusia pula sebagai masalahnya yang utama. Sophisme bukan sahaja mengajarkan nilai relativisme bahkan juga skeptisisme.[11] Setiap pendapat manusia hanya benar unuk sementara dan semuanya harus disyaki kebenarannya.
Perkembangan-perkembangan inilah yang mempengaruhi pertumbuhan penyelidikan sejarah. Antara tokoh-tokoh yang terkemuka ialah Herodotus (484-445 S.M.). Beliau dilahir di Wilayah Halicarnassus, empat tahun selepas berlakunya Perang Salamis di wilayah tersebut.[12]      Herodotus dikenali sebagai ‘Bapa Sejarah dan Antropologi’ telah menulis karyanya yang terkenal iaitu Histories. Daripada karya Histories yang membawa penyelidikan atau penyiasatan terhadap peristiwa lalu.[13]  Melalui karya inilah sejarah Perang Parsi yang mengisahkan peperangan antara tentera Athens dengan Parsi yang berlaku pada tahun 478 S.M., serta dianggap sebagai peperangan antara peradaban Hellenic dan Timur dapat diungkap semula agar tidak luput daripada ingatan manusia. Walaupun peperangan antara kedua-dua pihak  itu akhirnya dimenangi oleh tentera Greek,[14] namun Herodotus percaya bahawa peperangan ini bermula disebabkan pemberontakan pihak tentera Greek terhadap pemerintahan empayar Parsi yang diperintah oleh Darius 1, disamping takdir tuhan yang telah mengatur segala-galanya.
 Dengan tujuan merakamkan peristiwa itu, Herodotus kemudiannya menjelajah untuk menyaksikan sendiri tempat-tempat berlakunya peperangan, serta menemubual orang-orang yang terlibat didalamnya. Hasil daripada penyelidikannya itu, lahirlah karyanya, Histories  atau Sejarah Perang Parsi. Atas dasar inilah beliau disifatkan oleh Cicero, penulis Rumawi purba, sebagai Bapa Sejarah, yang juga turut diakui oleh kebanyakan sejarawan moden.[15]
 Selepas Herodotus, Thucydides (456-396 S.M.) merupakan pengikut Herodotus yang cuba menulis tentang  Perang Peloponesia. Dalam  karyanya yang berjudul Peloponesian War, beliau telah memuatkan tentang asal usul perang tersebut. Beliau bersikap kritis terhadap sejarah dan cuba menolak sejarah yang berbentuk mitos dan lagenda seperti yang ditulis oleh Herodotus. Jadi, beliau telah memisahkan sejarah daripada unsur-unsur yang berkaitan dengan kepercayaan karut. Selain itu juga, beliau berhasrat untuk memaparkan sesuatu peristiwa yang telah berlaku itu, agar beliau tidak melakukan kesilapan yang pernah dilakukan oleh Herodotus.[16]
Keupayaan Thucydides mencari kebenaran sejarah berdasarkan bukti-bukti yang benar dan bersikap kritikal, maka beliau dianggap sebagai pengasas sejarah berbentuk kritikal dan saintifik.[17] Walaupun demikian, Thucydides masih lagi kurang dalam membuat analisis secara mendalam tentang sebab-musabab sesuatu peristiwa berlaku.                                                                                                                                                                                                              Sepanjang pengalamannya di Rom, beliau menyaksikan kebangkitan Empayar Rumawi yang berjaya menakluki Itali, Greek, Carthage, dan Sepanyol. Hasilnya lahirlah karyanya, Histories, yang terdiri daripada 40 buah buku, yang meriwayatkan sejarah imperialisme Rumawi sepanjang tahun 220 S.M-14 S.M. Jadi kalau sebelumnya tema penulisannya adalah tentang bangsa Greek, kini temanya adalah tentang bangsa Rumawi. Bahkan yang lebih penting daripada itu ialah bahawa ia tidak bercorak nasional, tetapi bercorak sejagat (universal). Namun corak kesejagatannya adalah berunsur “ecumenical”, yakni kesejagatan yang terpusat pada Empyar Rumawi dan wilayah-wilayah taklukannya.

Tokoh zaman Rumawi seperti Gaius Sallustus  Crispus (87-35 S.M.) pada mulanya ialah seorang tokoh politik dan sekutu Julius Caesar, yang pernah memegang jawatan-jawatan sebagai panglima tentera, gabenor wilayah dan ahli senat. Tetapi kerana tuduhan-tuduhan rasuah dan berzina, beliau telah dilucutkan kuasa dan jawatannya, dan kemudiannya menumpukan perhatian kepada penulisan sejarah. Tema penulisannya lebih menekankan kejadian-kejadian genting yang berlaku pada zamannya. Antara karyanya ialah Histories, yang menggambarkan sejarah Rom sepanjang tahun 78-6 S.M., The War With Catiline, tentang konspirasi Serius Catiline pada tahun 66-62 S.M., dan War Against Jugurtha, yang menggambarkan cabaran raja Numidia terhadap Empayar Rom pada tahun 111-105 S.M.

Tokoh seterusnya, Titus Livius (59 S.M.-17 S.M.) dilahirkan di Padua, dan merupakan rakan Augustus Caesar, tetapi tidak terlibat dengan kancah politik Rom, sebaliknya lebih berminat bersama tokoh-tokoh ilmu. Satu-satunya karya beliau ialah History of Rome, yang terdiri daripada 142 buku, yang mengisahkan sejarah Rom sejak pengasasannya pada tahun 753 S.M., hingga kematian Dursus pada tahun 9 M. Seperti Sallust, Tacitus juga memegang jawatan penting di Rom.Beliau juga seorang tokoh pemidato yang terkemuka. Tentang sejarah Empayar Rumawi, beliau menulis Annales dan Historiae yang meliputi tahun-tahun 14-68M. dan 69-97M. Beliau juga menulis Life of Agricola pada tahun 97 M., iaitu kisah bapa mertuanya yang menjadi gabenor Rom di Britain, serta Germania, yang menceritakan kebudayaan orang-orang Jerman purba.

 Sejarawan pada zaman empayar Rom itu tidak mempunyai teknik asas yang formal dan sistematik berkaitan dengan sumber-sumber sejarah, tetapi mereka berminat melihat nilai-nilai pragmatik sejarah sebagai tujuan utama dalam sesuatu peristiwa sejarah yang dikajinya.[18]

Sebagaimana kerajaan Athens atau Greek, kegemilangan kerajaan Rumawi juga tidak kekal lama, apabila pada tahun 410 M , ia diserang oleh kaum Visigoth pimpinan Alaric, dan juga kaum Vandal pada tahun 455 M. Dan akhirnya dengan serangan kaum Barbar dari Jerman pimpinan Odoacer pada tahun 476 M , lenyaplah kerajaan Rumawi Barat dari lipatan sejarah. Dengan peristiwa ini tamatlah Zaman Klasik, dan bermulalah pula Zaman Pertengahan dalam sejarah Barat atau Eropah.

ZAMAN PERTENGAHAN
            Zaman pertengahan boleh dibahagikan kepada tiga peringkat atau tahap, iaitu zaman  pertengahan awal(500M-1050M), zaman kemuncak pertengahan (1050M-1270M) dan  zaman akhir(1270M-1520M).Zaman ini bermula apabila orang-orang Gasar menyerang Rom .Perlu dijelaskan disini bahawa sewaktu orang Gasar menyerang  Rom,hanya Rom Barat yang jatuh ke tangan orang Gasar, manakala Rom Timur (Byzantium) masih berdiri megah dan kekal hingga 1453M.[19]Serangan orang Gasar menyebabkan Eropah mengalami zaman gelap atau zaman belenggu (Dark Age).
 Hampir 500 tahun lamanya Eropah  mengalami kemerosotan dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pentadbiran, dan termasuk juga penyelidikan sejarah. Pendek kata, Zaman Pertengahan Awal ialah zaman yang telah mengganggu perkembangan pesat kemajuan manusia Zaman Klasik (Greek dan Rom). Namun, zaman ini telah meninggalkan sumbangan berharga kepada tamadun Eropah, iaitu institusi Kristian dan Feudalisme.[20]                                                                                                
             Dari segi politiknya, Zaman Pertengahan menonjolkan konflik di antara kuasa Gereja dengan kuasa Raja. Pada peringkat awal zaman ini, persaingan kuasa dimenangi oleh pihak Pope yang dianggap sebagai Vicar of God itu, seperti yang terdapat dalam doktrin plenitudo potestatis.[21] Dengan monopoli kuasa oleh gereja itu bukan sahaja pihak rakyat tidak dibenarkan mempunyai fahaman yang berbeza dengan pegangan rasmi, bahkan mereka akan dihukum kerana perbezaan tersebut. Alat untuk melaksanakan hukuman tersebut ialah mahkamah-mahkamah inkuisisi, yang ditubuhkan untuk mengadili sebarang perlakuan yang dianggap menyeleweng atau sesat (heresy).
            Dengan kuasa mutlak tersebut akibatnya kemajuan agama dan ilmu menjadi terencat termasuklah penyelidikan sejarah. Khusus dalam bidang pensejarahan, hampir tidak ada kemajuan sama sekali sepanjang zaman ini. Kalaupun ada, ia hanyalah sekadar menyambung tradisi pensejarahan Helen-Rumawi.
            Zaman sebelum kurun  kelima belas, Eropah Barat diberikan gelaran zaman gelap oleh ahli-ahli sejarah terkemudian. Tanggapan mengenai zaman gelap itu timbul kerana orang-orang di Eropah pada masa sebelum Rennaisanse masih terselimut oleh nilai nilai agama dan norma-norma yang diperturunkan oleh paderi-paderi dan gereja.[22] Kecenderungan ahli-ahli sejarah zaman pertengahan untuk melihat masyarakat zaman pertengahan melalui kaca mata agama adalah disebabkan oleh sifat khusus dari sumber mereka. Tidak syak lagi bahawa gereja Kristian adalah institusi rasional zaman pertengahan.[23]
             Namun, zaman pertengahan juga terdapat perubahan kerana pada saat dunia barat mengalami kegelapan dalam bidang ilmu, dunia Islam mengalami kecerahan yang mengagumkan sekali hingga mendorong bangsa Eropah mendatangi dunia Islam untuk menyedut ilmu yang ada. Berkat kegigihan mereka itu mendorong kebangkitan semula dunia Eropah.[24]
            Antara perubahan pada zaman ini ialah kemajuan perdagangan. Yang dikatakan kemajuan perdagangan itu ialah akibat daripada pertambahan penduduk, pembukaan tanah untuk pertanian, kemunculan pedagang dan jalinan semula hubungan Eropah dengan Laut Mediterranean yang tertutup pada zaman gelap. Selain itu, wujud juga universiti-universiti yang ditadbir sendiri oleh para pengajarnya yang terdiri daripada ahli gereja.[25] Perubahan ini juga membawa kepada kemunculan Rennaisance. Namun, boleh dikatakan bahawa perubahan masyarakat Eropah pada waktu ini adalah pada Zaman Pertengahan Akhir.
            Sejarah juga dianggap penting dan membawa kepada penyelidikan sejarah dan penghasilan buku-buku sejarah pada zaman ini. Hal ini kerana sejarah dianggap bidang yang mempunyai kepentingan agama dan rohani.[26] Antara sejarawan yang terkenal ialah St. Augustine atau Aurelius Augustine yang yang merupakan seorang paderi terkenal pada zaman pertengahan. Beliau telah menulis karya bertajuk City of God sebagai balasan kepada konflik yang berlaku antara orang Pagan dengan orang Kristian. Orang Pagan menuduh orang Kristian yang menyembah tuhan secara total telah menyebabkan keadaan negara menjadi tenat.
            Dalam karyanya itu beliau telah menolak dakwaan tersebut dan mengkritik bukan sahaja institusi kerajaan malah empayar Rom yang berasa di bawah pemerintahan Constantine dan Theodosius. Augustine mengharapkan agar pemerintahan dapat dijalankan secara adil dan saksama dengan mengabdikan diri kepada tuhan yang agung.[27] Beliau juga menyifatkan sejarah sebagai pertentangan di antara Bandar dewa-dewa dan Bandar-bandar Iblis. Karya ini juga turut menggambarkan sejarah manusia sebagai perjuangan antara kerajaan tuhan (civitas Dei) dengan kerajaan dunia.[28]
            Tidak timbul, yakni sejak runtuhnya kerajaan Romawi –Yunani dan terbentuknya empayar Romawi yang suci, akan persoalan-persoalan yang mendalam mengenai nilai-nilai kebendaan.[29]Jadi boleh dikatakan bahawa matlamat utama karya City of God ini ditulis adalah untuk menentang masyarakat daripada menyembah banyak tuhan berjaya membawa kembali masyarakat kepada tuhan yang satu.[30] Karya ini dianggap karya yang masyhur pada ketika itu sehingga mempengaruhi pemikiran ramai sejarawan selepasnya seperti Eusebius, Phampilus, dan Paulus Orasius.
            Eusebius adalah seorang biskup yang berasal dari Palestine. Atas dorongan rakan-rakannya, seperti Origen dan Pamphilus, serta mengambil sempena dasar maharaja Constantine yang meletakkan agama Kristian secara terhormat,beliau muncul sebagai bapa dalam penulisan sejarah Gereja (Church History). Antara karyanya ialah Chronography, iaitu suatu kronologi sejarah bangsa dan tamadun purba, serta tokoh-tokoh yang terdapat dalam Perjanjian Lama, Ecclesitical History,  yang menggalurkan kejadian-kejadian penting dalam sejarah gereja, serta riwayat hidup Costantine sebagai penaung (patron) yang menggalakkan perkembangan Kristian.
            Selain itu, St.Isidore, seorang biskup di Sepanyol banyak berusaha mengukuhkan kedudukan gereja di Sepanyol dan menarik orang-orang Yahudi kepada agama Kristian. Beliau menulis karya yang berkisarkan kehidupan tokoh-tokoh agama Kristian. Antara tokoh zaman Kristian yang lain ialah St.Gregory. Beliau ialah seorang paderi di Tours, Perancis pada tahun 573M. Bukunya, History of the Frank, cuba meninjau tentang sejarah awal orang-orang  Frank dan kisah Raja Clovis yang memeluk Kristian.
            Antara tokoh yang lain juga ialah Venerable Bede. Beliau lahir di Monwermouth, England dan turut menulis buku sejarah gereja di England dan menulis buku biografi seorang tokoh mubaligh, The Life of St.Cuthbert, di samping memperkemaskan kronologi Kristian.
            Zaman ini juga dipengaruhi oleh pandangan hidup yang bercorak ketuhanan (God-centered), namun dengan peralihan kepada zaman moden, ia lebih memberi tumpuan kepada persoalan kemanusiaan (Man-centered). Dengan kemunculan zaman pertengahan ini yang didominasikan oleh agama Kristian, konsep perbezaan yang tumbuh sebelumnya diganti oleh pandangan dunia (world view) yang berasaskan konsep kesatuan manusia (unity of man).[31]
             Dengan kebangkitan zaman Rennaisanse pada abad pada abad-abad ke-13 dan 14, timbullah semula keghairahan ke arah menghidupkan warisan klasik yang dianggap lebih unggul. Karya berbentuk epik Kristian ini telah dapat bertahan sehingga abad ke-17. Daripada karya mereka itu, maka telah dapat dibuktikan bahawa wujudnya penulisan dan penyelidikan sejarah pada zaman pertengahan walaupun karya itu berbentuk teologi.[32]
             Terdapat sedikit perbezaan pensejarahan antara zaman klasik dengan zaman pertengahan terutama dari segi kualiti dan tema. Di samping kualiti pensejarahannya yang telah bertambah baik berbanding zaman sebelumnya, tema sejarah pada zaman pertengahan lebih berbentuk keagamaan Kristian atau falsafah Kristian (teologi). Hal ini kerana agama Kristian telah menjadi agama rasmi kerajaan Rom setelah maharaja Constantine memeluk agama Kristian, ditambahkan pula kebanyakan karya yang dihasilkan oleh pederi-pederi bersumberkan kitab Bible.[33]

ZAMAN MODEN
            Kemunculan Zaman Moden di Eropah memang berkait rapat dengan faktor luaran,iaitu adanya kontak dengan dunia Islam, baik secara langsung mahupun tidak langsung.[34] Tetapi factor yang sebenarnya mendorong kebangkitan semula Eropah ialah masalah dalaman sendiri, iaitu tekanan gereja dalam pelbagai rupa dan bentuknya, terutamanya terhadap golongan sarjana dan ahli sains. Setelah menyaksikan keghairahan umat Islam menghidupkan ilmu pengetahuan, termasuk dari warisan Barat (Greek dan Roman) sendiri, maka timbullah semangat untuk mencapai kemajuan yang sama. Dengan itu timbullah gerakan Renaissance, yang disebut juga gerakan Klasisme atau Antiquarianisme. Pada hakikatnya gerakan Renaissance yang bermula di Itali sekitar abad ke-14 dan 15 itu adalah langkah pertama ke arah proses sekularisasi ilmu dan kehidupan disamping permulaan kepada zaman moden. Kalau sebelumnya pada zaman pertengahan ia dipengaruhi oleh pandangan hidup yang bercorak ketuhanan (God-centred), kini ia lebih memberi tumpuan kepada persoalan kemanusiaan (Man-centerd). Ciri-ciri zaman Moden ini telah memungkinkan zaman ini menyumbangkan pelbagai kemajuan khususnya dalam bidang politik, ekonomi, dan sosial.

POLITIK
Dari segi politik, telah muncul penulis yang telah menulis buku-buku yang menyarankan system politik paling ideal bagi Negara Itali.[35] Tokoh yang terkenal ialah Niccolo Machiavelli menerusi bukunya The Prince.[36] Melalui buku ini beliau telah mnggalurkan cara-cara bagaimana seorang pemerintah boleh memiliki, mengekal, dan meningkatkan kekuasaan. Ia secara tidak langsung menjadi kitab teori politik bagi para pemerintah Eropah. Selain daripada Machiavelli, Rene Descartes menerusi bukunya Discourse On Method secara tidak langsung telah menghasilkan karya teologi yang unggul. Falsafah beliau menjadi asas kepada hukum logik yang kemudiannya menyedarkan masyarakat untuk berfikir secara bernas dalam mempersoalkan keadaan persekitaran mereka. Perubahan yang nyata hasil Renaissance ialah kemerosotan sistem feudalisme dan permulaan kemunculan negara bangsa. Kemungkinan untuk perubahan ini mengambil tempat adalah disebabkan fahaman kebendaan yang membanjiri Eropah, kemunculan bandar-bandar baru, kemasukan idea-idea baru dari luar dan perubahan lain yang menyusulinya. Ini telah mendorong tuan-tuan tanah dan raja-raja negara bangsa merebut kekayaan.
 Pada zaman Pertengahan, manusia melihat diri mereka sebagai petani, pahlawan dan rahib. Pada zaman ini, mereka mula melihat diri mereka sebagai orang Inggeris, Perancis atau Belanda. Dengan pertumbuhan semangat kebangsaan, kedudukan raja mula meningkat dari segi kepentingan. Raja mula menjadi simbol kemegahan dan kemewahan negara. Nasionalisme terbukti berfaedah untuk melemahkan feudalisme.[37] Keadaan ini juga dibantu oleh para penulis politik zaman berkenaan . Buku The Prince, karangan Machiavelli menyarankan cara bagaimana seorang raja harus mengekalkan kuasa. Menurutnya kerajaan adalah matlamat raja. Jika raja mendapati kedudukannya tergugat disebabkan seorang penasihatnya yang tidak jujur, raja harus mengorbankannya untuk kepentingan sendiri.

EKONOMI
Dari segi ekonomi, perdagangan berkembang pesat dan bandar di bahagian utara Itali seperti Milan, Genoa, dan Florence mula berfungsi sebagai pusat politik, ekonomi dan social.[38] Florence berkembang menjadi tempat tinggal para pedagang dan antara yang terkenalnya ialah keluarga Medici. Keluarga ini meraih kekayaan daripada perdagangan kain bulu, kemudian menceburi perbankan dan muncul sebagai golongan kelas pemerintah
Perkembangan ini telah mula mengubah sikap manusia dan telah membuka jalan kepada beberapa perubahan besar di Eropah. Antaranya ialah kemunculan negara bangsa. Pembentukan negara bangsa dibantu oleh perkembangan bahasa kebangsaan. Pada masa ini, buku-buku telah ditulis bukan dalam bahasa Latin tetapi dalam bahasa pertuturan masyarakat masing-masing. Raja-raja bangsa menggalakkan perkembangan Kapitalisme dan mengamalkan suatu dasar ekonomi yang dikenali sebagai Merkantilisme.[39] Gabungan kapitalisme dan merkantilisme membantu perkembangan Revolusi Perdagangan.

SOSIAL
Perubahan paling ketara ialah dalam bidang sosial. Berlaku kemajuan yang pesat dalam penulisan, seni lukis, seni  ukir, seni bina, dan sebagainya. Dalam penulisan, banyak karya-karya falsafah dan sejarah telah dihasilkan. Sebagai contoh, Leopold von Ranke telah menulis karyanya yang pertama iaitu Histories of the Latin and Germanic Nations from 1494-1514, telah mendapat pengiktirafan daripada ramai sejarawan sebagai sumbangan yang dianggap agung dan bermakna dalam disiplin sejarah. Beliau telah membawa era baru dalm bidang penyelidikan sejarah sehingga dianggap sebagai pengasas pensejarahan Jerman.[40] Kelahiran tokoh-tokoh penyelidikan sejarah amat memainkan peranan dalam perkembangan penyelidikan sejarah. Sebagai contoh, Niebuhr, Leopold von Ranke, Karl Marx dan sebagainya. Penemuan mesin cetak oleh Johanes Guttenberg pada tahun 1470 telah membantu penerbitan dan pengedaran buku penyelidikan sejarah secara meluas di Eropah. Buku menjadi perlu pada zaman ini kerana golongan pertengahan bandar rata-rata membaca, menulis dan mengira dalam usaha untuk mengurus perniagaan dan hal ehwal bandar.
Penduduk Eropah mengalu-alukan kedatangan para pengkaji Greek yang lari bersama manuskrip dan hasil pelajaran mereka di Turki. Ramai penulis terkenal telah lahir pada zaman ini. Antara mereka ialah Niccolo Machiavelli, Erasmus, Thomas More dan lain-lain. Penulisan mereka meliputi pelbagai aspek. Sebagai contoh, Mostesquieu (1689-1755) melalui karyanya The Spirit of the Laws (1748), telah menekankan bahawa betapa sejarah manusia tidak dapat dipisahkan sama sekali denagna faktor alam, seumpama keadaan geografi dan iklim.

KELAHIRAN GOLONGAN BARU
Sekiranya pada peringkat awalnya aliran humanisme masih dipengaruhi agama (Christian humanism), kemudiannya  telah timbul corak humanisme secular. Sungguhpun demikian, kontrovesi lama antara aliran rasionalisme dengan empirisisme bergema semula.[41] Bermula dengan gagasan rasionalisme oleh Descartes (1596-1650) yang juga melahirkan aliran skepticism, muncullah para pendukungnya yang terkemuka seperti Spinoza (1632-1677) dan Leibniz (1646-1716).
Di samping itu, terdapat golongan idealis yang bersifat sintesis antara rasionalisme dan empirisisme. Antara tokoh yang terkemuka ialah Immanuel Kant (1724-1804). Dengan lahirnya golongan baru ini,maka kewujudan golongan fhilosophy yang memberikan impak yang besar dalam penyelidikan sejarah. Sebagai contoh, Karl Marx ( 1818-1883) telah menulis karya Das Capital yang terkenal dengan konsep sejarah kebendaan yang menekankan faktor ekonomi sebagai asas hidup.
Pada awal abad ke-19, ramai sejarawan mula melakukan penyelidikan dengan menggunakan kaedah moden dan kemudiannya mengambil idea baru bagi menyelesaikan masalah-masalah yang mereka hadapi. Mereka telah membahagikan beberapa sejarah kepada pelbagai bidang dan menekankan fakta-fakta serta bukti-bukti yang bersifat objektif. Pada zaman ini juga dapat dilihat munculnya kajian sejarah moden sehingga menjadi suatu disiplin akademik, bermula di Jabatan Sejarah, Universiti Gottingen. Di sini, sejarawan mula menekankan bukti-bukti yang kukuh dan asas-asas sejarah bagi memenuhi keperluan sejarah sebagai disiplin akademik yang baru. Malah di sini jugalah asas-asas pengkaedahan telah mendapat tempat bagi membentuk struktur histiografi.
 Sejarawan ini telah merangkumkan satu bidang yang luas antara bidang falsafah sejarah dengan kemahiran teknikal golongan terpelajar dan juga tokoh yang dilatih dalam kritikan sumber.[42] Selain itu juga, sejarawan turut mengasimilasikan ilmu sejarah dengan ilmu-ilmu bantu yang lain seperti diplomatik, geneologi, geografi, dan pengajian terhadap dokumen dalam memberi latihan kepada pelajar sejarah..  Antara tokoh terkemuka dalam bidang penyelidikan sejarah ialah Leopold von Ranke.

Leopold von Ranke  
Beliau mendapat pendidikan peringkat awalnya dalam bidang teologi dan filologi klasik di Universiti Leipzig. Beliau dikatakan tidak berminat dengan sejarah pada ketika itu. Setelah beliau membaca karya Niebuhr iaitu History of Rome, beliau telah menukar bidang filologinya ke bidang sejarah. Sepanjang hayatnya selama 90 tahun, beliau telah menerbitkan 60 jilid karya. Karyanya yang pertama iaitu Histories of the Latin and Germanic Nations from 1494-1514, dianggap sebagai sumbangan yang dianggap agung dan bermakna dalam disiplin sejarah. Beliau telah membawa era baru dalam pensejarahan sehingga dianggap sebagai pengasas pensejarahan Jerman dan dikenali sebagai “bapa pensejarahan moden”. Ranke cuba membuat penyelidikan berdasarkan kaedah baru dengan menggunakan fakta-fakta yang benar bagi menunjukkan bahawa penulisannya berbeza daripada penulisan sejarah sebelumnya.[43] Beliau telah memperkenalkan asas teknik penyelidikan dan kaedah serta latihan yang sesuai bagi tenaga pengajar yang menjadi sejarawan di semua universiti di Jerman. Hal ini kerana beliau tidak berpuas hati dengan sesetengah sejarawan sebelumnya yang menulis sejarah dengan memasukkan segala perkara ghaib, dan fiksyen sehingga mencacatkan sejarah yang sebenarnya.

KESIMPULAN
Jika ditinjau semula karya-karya pensejarahan pada zaman tradisional,didapati banyak aspek dalam pensejarahan tersebut ditinggalkan oleh sejarawan moden sehingga aspek-aspek tersebut terputus (terpisah) dan tidak diteruskan oleh mereka. Jika dilihat dari faktor zaman, kita dapat saksikan bahawa perkembangan sains dan teknologi, maka semakin banyak karya ‘sejarah baru’ dihasilkan. Keadaan ini telah bermula di Universiti Gottingen, Jerman pada awal abad ke-19 apabila universiti itu telah melahirkan ramai sejarawan yang mula menjadikan sejarah sebagai disiplin akademik di samping memperkenalkan kaedah-kaedah moden bidang sejarah.
 Selain itu, ahli sarjana seperti Leopold von Ranke telah melahirkan sejarah yang bersifat saintifik dan kritis sehingga sejarah menjadi ‘ilmu baru’ yang terpisah daripada ilmu-ilmu lain. Aspirasi Ranke ini kemudiannya diteruskan oleh pengikutnya di serata dunia. Kemudian di Perancis pada tahun 1929, muncul dan berkembangnya karya-karya yang menekankan bukan sahaja karya yang bertemakan politik, malah juga ekonomi dan sosial.
Faktor kedua ialah faktor yang melibatkan perkembangan kaedah dan teknik baru  dalam pengkajian sejarah. Proses penyelidikan ini lebih menekankan penggunaan sumber primer (manuskrip, cetakan,dokumen,dan lain-lain) dan sumber sekunder (buku, rencana, artikel, surat khabar dan lain-lain) telah diperkenalkan. Hal ini berbeza dengan zaman sebelumnya,yang tidak mementingkan sumber dan bukti. Di samping itu juga, penggunaan kaedah kuantifikasi yang merupakan kaedah baru dalam metodologi sejarah terutamanya dalam sejarah ekonomi merupakan faktor perkembangan penyelidikan sejarah dari zaman klasik hingga zaman moden.



BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Haji Abdullah, 1994. Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Pusat Pengajian Luar Kampus USM.

            Arbai’yah Mohd Noor, 2002. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

            Carr E.H, 1984. Apakah Sejarah. Terjemahan Abdul Rahman Hj. Ismail. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

H. Butterfield, 1995. Man on His Past: The Study of the History of Historical Scolarship. Cambridge: Cambridge University Press.

            Hans Meyerhoff, 1959. The  Philosophy in Our Time.New York: Double Day Anchor Books

            Loh Wail Eng, 1994. Sejarah Baru dan Sejarah Ekonomi dalam Penulisan Sejarah Malaysia: Kertas Kerja Konvensyen Kebangsaan Malaysia.

            Mohd Yusof Ibrahim, 1975. Pengertian Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

            Suntharalingam R, 1993. Pensejarahan barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
            Sivachandralingam Sundara Raja, 2002. Sejarah Eropah. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
           
           
           
           



[1] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Pulau Pinang: Penerbit Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dan Pusat Pengajian Luar Kampus Universiti Sains Malaysia, 1994,  hlm. 23.
[2] Arbai’yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002,  hlm. 5.
[3] Mohd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah,  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975,  hlm. 1.
[4] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Pulau Pinang : Penerbit Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pengajian Luar Kampus Universiti Sains Malaysia, 1994, hlm. 23.
[5] Arbai’yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm.  5.
[6] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah,   hlm. 1.
[7] Hans Meyerhoff, (ed.), The Philosophy in Our Times, New York: Double Day Anchor Books:1959,
 hlm. 1.
[8] Abdul Rahman Haji Abdullah,  Pengantar Ilmu  Sejarah, Penerbit Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pengajian Luar Kampus Universiti Sains Malaysia :1994,  hlm. 2.
[9] G.J. Garraghan, A Guide to Historical Method, hlm. 33.

[10] Dengan kemenangan Greek ke atas Parsi menyebabkan berduyun-duyun rakyat dunia Greek mengambil kesempatan bertumpu ke Athens. Antara mereka termasuklah golongan Sophist yang datang untuk menjual ilmunya bagi mereka yang sanggup membayar, padahal selama ini pengajaran ilmu dijalankan dengan ikhlas tanpa sebarang ganjaran. Sebagai golongan opportunis, mereka hamya muncul pada zaman kemakmuran sahaja, oleh kerana pada zaman inilah orang dapat membeli ilmu mereka. Lihat Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, hlm. 3.
[11] Skeptisisme bermaksud sikap sangsi, syak, atau ragu - ragu
[12] Robert Maynard Hutchins (ed.), “The Texts of Herodotus, Thucydides: The History of  The Peloponesian War” dlm. Great Books of  Western World. London: The University of Chicago, 1988, hlm. Ix.
[13] Barnes H.E., History of Historical Writing, New York: Dover Publications, hlm. 20-30. Lihat juga Muhd Yusof  Ibrahim,  Aspek dan Perkembangan Falsafah Sejarah Dunia Barat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 3.
[14] Weech, W.N. (ed.), Sejarah Dunia: Jilid 1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, hlm. 180-181.
[15] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu  Sejarah, Pulau Pinang: Penerbit Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pengajian Luar Kampus Universiti Sains Malaysia, 1994,  hlm. 135.
[16] R.Suntharalingam,  Pensejarahan Barat, Kuala Lumpur: Fajar Bakti, 1993,  hlm. 13-17.
[17] Barnes H.E., History of Historical Writing, New York: Dover Publications, hlm . 30.
[18] R.Suntharalingam, Pensejarahan Barat, Kuala Lumpur: Fajar Bakti, 1994,  hlm. 44.
[19] Sivachndralingam Sundara Raja,  Sejarah Eropah, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2002, hlm. 61.
[20] Ibid, hlm. 63.
[21]Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah,  Penerbit Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,Pusat Pengajian Luar Kampus Universiti Sains Malaysia,Pulau Pinang, hal.7
[22] Muhd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975,  hlm. 54.
[23] Carr E.H,  Apakah Sejarah,  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988,  hlm.164.
[24] Abd Rahman Haji Abdullah,  Pengantar Ilmu Sejarah,  hlm.10.
[25] Sivachandralingam Sundara Raja, Sejarah Eropah,  hlm. 61.
[26] Arba’iyah Mohd Noor ,  lmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002,  hlm. 74.
[27] Ibid, hlm. 75.
[28] Abd Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah,  hlm. 139.
[29] Muhd Yusof Ibrahim,  Pengertian Sejarah, hlm. 54.
[30] Arbai’yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,  hlm. 75.
[31] Abdul Rahman Haji Abdullah,  Pengantar Ilmu Sejarah,  hlm. 94.
[32] Arbai’yah Mohd Noor,  Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, hlm.75.
[33] Ibid,  hlm. 76.
[34] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah,  hlm. 164.
[35] Sivachandralingam Sundara Raja, Sejarah Eropah, Kuala Lumpur: Penerbit Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2002.
[36] Machiavelli pernah memegang jawatan sebagai canselor kedua dan juga setiausaha kepada Majlis Sepuluh di Florence. Tetapi dengan kebangkitan kuasa Medici, beliau terlucut daripada jawatannya, dan menumpukan perhatiannya kepada bidang penulisan. Dengan tujuan untuk mendapatkan kembali kepercayaan daripada keluarga Medici, lalu ditulisnya karyanya yang terkenal, The Prince, pada tahun 1513. Melalui buku inilah terkenalnya prinsip realpolitik iaitu “the end justifies the means”. Bagaimanapun prinsip menghallkan setiap cara untuk mencapai matlamat ini hanya berlaku pada sesebuah negara yang rakyatnya mengamalkan rasuah. Bagi sesebuah tempat yang rakyatnya baik belaka, Machiavelli menyarankan supaya kuasa harus diperolehi melalui persetujuan rakyat. Malangnya saranan ini tidak dikenali berabnding denganm prinsip realpolitik. Selain buku-buku tersebut, Machiavelli juga menulis Florentine History dan Art of War. Keterangan lanjut sila lihat Pengantar Ilmu Sejarah, Abdul Rahman Haji Abdullah, hlm. 144-145.
[37] Feudalisme adalah suatu bentuk kerajaan yang terbentuk di Eropah Barat pada abad ke-9 Masihi, selepas pemecahan Empayar Charlemagne dan berlanjutan sehingga abad ke-13 Masihi. Sistem pemerintahan ini wujud apabila kuasa  kerajaan jatuh ke tangan orang persendirian. Sivachandralingam Raja, Sejarah Eropah, Kuala Lumpur: Penerbit Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. 2002.
[38] Sivachandralingam Sundara Raja,  Sejarah Eropah, Kuala Lumpur: Penerbit Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd, 2002.
[39] Kapitalisme adalah system yang menggalakkan pengumpulan modal, hak milik persendirian,persaingan untuk pasaran dan perniagaan untuk keuntungan. Merkantilisme merupakan system yang menjadikan negara kaya dan berkuasa. Lihat Sivachandralingam Sundara Raja, Sejarah Eropah, Kuala Lumpur: Penerbit Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2002.
[40] Suntharalingam, R., Pensejarahan Barat, Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1987, hlm. 95.
[41] Rasionalisme adalah teori pengetahuan melalui sumber akal manakala empirisisme adalah teori pengetahuan melalui  sumber pancaindera. Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah,hlm. 160-162.
[42] Butterfield, H., 1955. Man on His Past: The Study of  the History of  Historical Scholarship. Cambridge: Cambridge University Press, hlmn. 5 dan 43-44.
[43] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah,  hlm. 151.

1 comment:

  1. very good and useful information about zaman tiga fasa zaman eropah ni. glad to found your blog. thanks :)

    ReplyDelete