nuffnang

Thursday, June 13, 2013

JELASKAN PERKEMBANGAN AWAL ABAD KE-20 DI MALAYSIA DENGAN MEMBERIKAN CONTOH-CONTOH YANG SESUAI.

PENGENALAN
      Perkembangan pensejarahan pada awal abad ke-20 khususnya dalam konteks Malaysia merupakan satu persoalan yang berkaitan dengan perkembangan penulisan pensejarahan dalam kalangan sejarawan British mahupun tempatan. Sebelum persoalan ini dihuraikan secara mendalam, sepatutnya maksud pensejarahan difahami terlebih dahulu. Pensejarahan atau historiography adalah penulisan sejarah tentang peristiwa yang telah berlaku iaitu prosesnya melibatkan kejadian, sumber, dan gambaran yang dilakukan oleh sejarawan dalam menghasilkan karya sejarah untuk makluman dan rujukan masyarakat umum.[1] Selain itu, pensejarahan boleh juga ditakrifkan sebagai “ the record of events or the events themselves” yang bermaksud catatan peristiwa-peristiwa dan peristiwa-peristiwa ini saling berkaitan.[2]
Pensejarahan moden awal abad ke-20 mempunyai dua bentuk  iaitu pensejarahan yang masih  lagi terpengaruh dengan tradisi Melayu lama,[3] dan pensejarahan yang ditulis oleh sejarawan British yang bersifat Euro-centric.[4] Perkembangan pensejarahan pada awal abad ke-20 yakni dari tahun 1900 sehingg 1960. Namun, pengkajian ini akan mencangkupi perkembangan pensejarahan selepas tahun 1960-an secara ringkas. Perkembangan pensejarahan di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua tahap mengikut kronologi tahun iaitu yang ditulis oleh sejarawan British dan sejarawan tempatan. Sejarawan British cenderung mentafsir sejarah tempatan dari kaca mata Barat dan sejarawan tempatan akan mentafsir sejarah dari kaca mata tempatan. Kecenderungan  sejarawan mentafsir sejarah, sama ada secara Euro-centric mahupun dari kaca tempatan sebenarya telah memperkayakan pensejarahan Malaysia.
FAKTOR-FAKTOR SEJARAWAN MENULIS
          Sejarawan Britsh amat berminat untuk mengkaji tentang sejarah tempatan kerana telah wujud tradisi keilmuan di Barat, mereka akan cuba merakamkan segala peristiwa yang disaksikan ke dalam karya-karya mereka. Selain itu, mereka ingin mengetahui mengenai keadaan sosio-politik dan ekonomi tempatan. Contoh karya yang berkaitan dengan  kekayaan negara yang dijajah adalah Political and Statistical Accounts of the British Settlements in the Straits of Malacca oleh T.J.Newbold pada tahun 1839 yang mengambarkan  keadaan ekonomi Negeri-Negeri Selat dan Semenanjung Tanah Melayu.[5] Ini menunjukkan sejarawan British amat berminat untuk mengkaji tentang sejarah tempatan demi kepentingan politik dan ekonomi mereka, seterusnya mengukuhkan kedudukan mereka di Tanah Melayu.
            Manakala sejarawan tempatan menulis tentang pensejarahan disebabakan karya- karya sejarah ditulis oleh sejarawan British yang tidak menggambarkan pensejarahan yang sebenar dan agak meragukan terutama dari segi isi kandungan.  Karya yang ditulis oleh sejarawan British umpamanya oleh Swettenham terlalu memendang rendah akan orang Melayu apabila mengatakan Melayu itu malas.[6]  Selain itu, karya-karya yang terdapat pada masa itu tidak berkualiti yakni tidak memberi sebarang pengajaran kepada orang Melayu supaya tidak mengulangi kembali sejarah lalu, karya-karya tersebut adalah  seperti Hikayat Awang Sulong Merah Muda, Hikayat Malim Deman dan Hikayat Bayan Budiman. Karya bukanlah ditolak seratus peratus tetapi isi kandungan boleh menyebabkan orang Melayu menganggap  hikayat-hikayat tersebut sebahagian daripada kehidupan mereka, disamping merendah-rendahkan martabat orang Melayu. Inilah antara beberapa sebab yang memaksa golongan terpelajar Melayu untuk bangkit menentang pandangan songsang sejarawan British terhadap orang Melayu yakni melalui penulisan sejarah..
            Dua golongan ini menulis pensejarahan mengikut persepsi tersendiri dan cuba untuk merungkai sejarah tempatan dari kaca mata masing-masing. Oleh itu, karya mereka mempunyai pentafsiran yang berbeza-beza antara satu sama lain.
PERKEMBANGAN PENSEJARAHAN
            Pensejarahan pada awal abad ke-20 telah dimulakan oleh Frank Swettenham pada tahun 1906 menerusi karyanya iaitu British Malaya: An Account of the Origin and Progress of British influence in Malaya. Karya-karya lain adalah seperti Kamus  Perbendaharaan kata bahasa Inggeris-bahasa Melayu, Surat-surat tanpa alamat dan Keterangan-keterangan ringkas  Melayu. Antara pentafsiran yang bercirikan Euro-centric  yang dikemukakan beliau adalah seperti orang  Melayu tidak mempunyai institusi politik dan orang Eropah  secara semulajadi lebih pintar daripada orang Asia        ( Melayu).[7] Pendapat ini amat bercanggah dengan fakta sebenar iaitu orang Melayu telah mempunyai institusi politik sejak zaman kerajaan Srivijaya dan kesultanan Melayu Melaka. Cuma yang berbeza hanya sistem politik yang digunakan oleh orang Melayu dengan orang Eropah. Swettenham merupakan seorang sejarawan yang mengkaji sejarah tempatan dari kaca mata Barat terutama sekali apabila memberi pendapat mengenai masyarakat Melayu.
            Beliau juga menyatakan orang Melayu ini malas tanpa mempunyai apa-apa peraturan pun.[8] Beliau dengan sesuka hati telah menyatakan orang Melayu malas tanpa menyelidiki secara mendalam, hanya dengan pengamatan beliau terhadap kehidupan orang Melayu, beliau telah mengeluarkan pendapat ini.
            Perkembangan pensejarahan bertambah pesat  apabila beberapa sejarawan Brirtsh begitu berminat untuk mengkaji pensejarahan tempatan. Antara sejarawan tersebut ialah R.J.Wilkinson yang telah menghasilkan karya-karya  History of Penisular Malays pada tahun 1908, History of Perak  pada tahun 1934 bersama dengan R.O.Winstedt dan The Malacca Sultanate. Antara pendapat beliau adalah seperti  perluasan kuasa di Perak, bukanlah atas kehendak British tetapi keadaan tempatan yang sering bergolak sehingga memaksa British  untuk berbuat sesuatu. [9] Manakala dalam karyanya iaitu The Malacca Sultanate, beliau menyatakan pembukaan Melaka, “apabila perkampungan kecil nelayan orang asli pada kurun ke-13 telah menjadi sebuah pusat perdagangan kosmopolitan menjelang awal abad ke-20”. Penggunaan perkataan “orang asli” jelas menggambarkan beliau tidak mengiktiraf orang Melayu sebagai bangsa yang bertamadun yakni sebelum Melaka, walaupun dari segi fakta orang Melayu sudah bertamadun sejak zaman Srivijaya lagi.
            Sejarawan British iaitu J.M.Gullick  telah menghasilkan karya-karya seperti A History of Negri Sembilan  pada tahun 1916 dan Indigenous Political Systems of Western Malaya. Beliau mengatakan penanaman padi amat tidak sesuai untuk masyarakat Melayu.[10] Pandangan ini merupakan suatu pendapat yang menyatakan orang Melayu hanya pandai menanam padi dan tidak seharusnya menceburi bidang lain. Gambaran sejarawan British  tentang keadaan politik  Tanah Melayu menjelang tahun 1874 sering kali diandaikan sebagai benar juga bagi seluruh Tanah Melayu.[11] Pandangan Gullick  dalam Indigenous Political Systems of Western Malaya ditafsirkan sebagai benar untuk seluruh Tanah Melayu. Ini merupakan pandangan yang karut kerana sejarah tersebut bersifat setempat dan tidak boleh mewakili keseluruhan Tanah Melayu. Pengamatan sejarawan ini hanya di Negeri Sembilan, tetapi kesimpulannya mewakili keseluruhan orang Melayu di Tanah Melayu.
            Seterusnya, sejarawan seperti R.O.Winstedt telah menyumbangkan beberapa karya iaitu A History of Malaya pada tahun 1935, History of Perak  pada tahun 1934 bersama dengan Wilkinson, History of Johore pada tahun 1932 dan British and Malaya:1786-1941 yang dikarang pada tahun 1944. Beliau  telah memburuk-burukan sistem perhambaan yang terdapat di Perak, juga tentang sistem berbangsa-bangsanya dan sistem percukaian serta keadaan hamba abdi adalah sangat menyedihkan.[12] Pandangan ini merupakan suatu usaha untuk merendah-rendahkan martabat orang Melayu. Selain itu, pihak British tidak berkehendak untuk menguasai Perak ataupun negeri-negeri Melayu yang lain tetapi pergolakan dalaman iaitu huru-hara yang berlaku telah memaksa British untuk berbuat sesuatu.[13] Pandangan ini telah menghalalkan penjajahan British di Perak dengan menyatakan British tidak berniat pun untuk menguasai Perak. Sejarawan seperti Winstedt telah memutar-belitkan fakta sejarah demi kepentingan penjajah.  Peristiwa sejarah sering kali dikaitkan dengan kelemahan dan kepincangan yang melanda pemerintah Melayu pada masa itu.[14] Oleh itu,  British terpaksa mendamaikan huru-hara yang berlaku dengan cara campur tangan dalam pentadbiran Perak menerusi perjanjian Pangkor.[15]
            Bidang pensejarahan tempatan telah dikejutkan dengan pandangan seorang sejarawan dari Amerika Syarikat iaitu Rupert Emerson. Karyanya iaitu Malaysia: A Study in Direct and Indirect rule yang dikarang pada tahun 1937 secara jelas cuba untuk mengkritik dasar-dasar imperialisme British di Tanah Melayu.[16] Ini menujukkan bahawa bukan semua sejarawan Barat menulis demi kepentingan penjajah, dan terdapat juga sejarawan yang menulis seperti yang sebenarnya berlaku.[17]
            Perkembangan pensejarahan di Tanah Melayu mengalami suatu perubahan pada tahun 1918 apabila mata pelajaran sejarah ( tawarikh pada masa itu) telah dipisahkan daripada mata pelajaran kesusateraan dan dijadikan sebagai salah satu daripada mata pelajaran di Maktab Melayu Melaka.[18]
            Orang Melayu mula menyedari bahawa mereka telah disogok dengan karya sejarah yang merendah-rendahkan martabat orang Melayu terutama sekali karya-karya sejarawan British. Oleh itu, pada tahun 1925, cikgu Abdul Hadi Hassan telah mengarang buku Sejarah Alam Melayu.[19] Penghasilan karya ini merupakan suatu manefestasi cikgu Abdul Hadi terhadap karya Winstedt yang suka merendah-rendahkan keupayaan bangsa Melayu. Sebanyak tiga jilid telah dihasilkan oleh cikgu Abdul Hadi dan  telah diselesaikan menjadi lima jilid oleh Haji Buyong Adil.[20] Beliau telah cuba menaikkan semangat nasionalisme orang Melayu melalui pensejarahan, disamping  menjadi inspirasi kepada tokoh pejuang Melayu seperti Ibrahim Yaacob.
            Disamping itu, terdapat seorang sejarawan Melayu yang telah menggunakan karya-karya agung Melayu seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah sebagai sumber utama pensejarahan. Beliau adalah Ahmad bin Abdullah yang telah mengarang beberapa buku, antaranya adalah Darah Melaka, Keris Melaka, Falsafah Hang Tuah, Melayu Ta’kan Hilang dan Hujan Darah Di Selat Melaka.[21]
 Beliau telah mendapat tunjuk ajar daripada cikgu Abdul Hadi, tidak hairanlah jika penghasilan karyanya mencerminkan kehebatan dan ketertinggian martabat orang Melayu menerusi karya yang berkaitan dengan Melaka.[22] Penggunaan karya seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah  merupakan suatu usaha untuk mencari kembali kekuatan bangsa yang dikatakan pernah menakluk kawasan nusantara pada kurun ke-15 sama ada melalui ketenteraan mahupun melalui pengaruh. Zaman penjajahan British telah menenggelamkan kehebatan bangsa Melayu. Oleh itu, usaha beliau mengarang buku ini amat perlu demi menyemai kesedaran dalam hati orang Melayu bahawa mereka mereka merupakan bangsa yang hebat dan setaraf dengan orang Inggeris.
Selain daripada buku-buku yang dihasilkan oleh sejarawan tempatan, terdapat juga makalah yang berkaitan dengan pensejarahan dalam akhbar dan majalah. Misalnya, makalah yang bertajuk “Tarikh” yang dimuatkan dalam majalah Tunas Melayu keluaran 1913,  manakala majalah Neraca antara tahun 1911-1915 serta majalah Pengasuh antara tahun 1918-1932 telah memuatkan makalah yang mengimbau kembali peristiwa sejarah agar menjadi teladan kepada masyarakat. Kesemua makalah ini cuba memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya sejarah  agar dapat dijadikan sebagai iktibar demi memajukan bangsa dan memupuk semangat cinta akan tanah air.[23]
Selain daripada itu, terdapat tokoh yang cukup berjasa kepada pensejarahan tempatan iaitu Haji Mohd. Said Haji Sulaiman. Beliau telah menerbitkan majalah Peredar  antara tahun 1935-1940, disamping menulis tentang sejarah Johor dan antarabangsa seperti Hikayat Queen Victoria, Ringkasan Tawarikh Nippon dan  Tawarikh England. Beliau merupakan tokoh yang banyak menulis tentang sejarah tempatan mahupun antarabangsa demi keperluan orang Melayu yang perlu mengetahui sejarah melalui kaca mata tempatan agar tidak terpengaruh dengan dakyah penjajah untuk merendah-rendahkan martabat orang Melayu.
Selain itu, terdapat juga usaha dalam kalangan sejarawan tempatan untuk menterjemah karya dalam bahasa asing ke bahasa Melayu agar orang Melayu dapat menilai sendiri karya tersebut. Misalnya, Za’ba telah menterjemah makalah Winstedt iaitu Malaya dalam majalah Guru. Abdul Samad Ahmad pada tahun 1936 telah menterjemah karya yang berjudul Abraham Lincoln karya Earnest Foster, penterjemahan ini bukanlah bertujuan untuk menyanjung tokoh Barat itu, tetapi untuk dijadikan sebagai iktibar daripada tokoh ini yang merupakan seorang budak miskin yang cekal dan gigih berusaha sehingga berjaya menjadi seorang peguam seterusnya menjadi presiden Amerika Syarikat, beliau hendak orang Melayu mengambil iktibar daripada kesungguhan  tokoh ini supaya orang Melayu boleh berjaya.[24] Ahmad Boestamam telah menterjemah karya A.J.Toynbee iaitu Dunia dengan Barat, dan Abdul Rahman al-Kudsi telah menterjemah karya R.O.Pringle iaiatu  Kisah Hidup Sir Stamford Raffles.
Za’ba telah menegaskan “ jangan sekali-kali disentuh oleh bangsa pemerintah dan kekayaanya serta kekuatannya kerana itu boleh memarakkan  api daripada bara yang sememangnya terdapat dalam hati  setiap bangsa yang diperintah oleh bukan sebangsa dengannya”.[25] Penegasan ini merupakan manefestasi daripada seorang tokoh yang berpendapat penulisan sejarah tidak sepatutnya dikongkong oleh pandangan euro-centric seperti “jangan sekali-kali disentuh oleh bangsa pemerintah dan kekayaanya serta kekuatannya”  Ini bermaksud penulisan sejarah haruslah berteraskan aspirasi orang tempatan iaitu menuntut kemerdekaan dan tidak dipengaruhi oleh dakyah penjajah yang mahu mengekalkan kekuasaan mereka di bumi Malaya.
Terdapat juga karya-karya pensejarahan yang dikarang dengan tujuan untuk menaikkan semangat nasionalisme Melayu, disamping mengesa orang Melayu agar belajar daripada sejarah silam. Antara tokoh yang menulis adalah Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin al-Helmi. Kemunculan golongan ini adalah sebelum Perang Dunia Kedua yakni antara tahun 1935-1940. Golongan ini merupakan wartawan dan juga sejarawan yang menghasilkan karya-karya dengan hanya satu tujuan iaitu memberi kesedaran  kepada masyarakat Melayu tentang nasionalisme ( fahaman kebangsaan ).
Golongan ini telah mengarang beberapa karya, antaranya ialah  Melihat Tanah Air pada tahun 1941, Sejarah dan Perjuangan di Malaya  pada tahun 1948, Nusa dan Bangsa pada tahun tahun 1951 dan Sekitar Malaya Merdeka pada tahun 1957. Ahmad Boestamam telah mengarang beberapa makalah dalam akhbar seperti Majlis dan Warta Malaya. Misalnya dalam akhbar Majlis pada tahun 1940, beliau telah mengesa pihak British memberi layanan dan dasar politik yang lebih kepada orang Melayu dan menentang penggunaan nama British Malaya.[26] Nama-nama besar seperti Boestamam dan ramai lagi telah menggunakan sejarah sebagai alat untuk menyedarkan masyarakat supaya membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.[27] Mereka dengan sedaya upaya berusaha membebaskan tanah air tercinta melalui mata pena yakni menggunakan sejarah sebagai sumber inspirasi.
Selain itu, beliau turut menulis dalam akhbar Warta Malaya pada 1 April 1940 iaitu “ Bangsa Melayu patut sedar bahawa pada masa ini semua perniagaan dalam genggaman bangsa asing . Makanan bergantung kepada bangsa asing, pakaian  bergantung kepada bangsa asing”.[28] Beliau merupakan seorang yang berjiwa patriotik dan sentiasa mengesa orang Melayu agar belajar daripada kesilapan nenek moyang mereka yang telah menggadaikan  negara ini demi kepentingan wang ringgit sedangkan generasi selepas mereka dijajah dan dipergunakan demi kepentingsn penjajah.
Terdapat juga majalah atau akhbar yang berbentuk pensejarahan  yang cuba membangkitkan semangat perjuangan orang Melayu untuk menentang penjajah Barat. Majalah ini ialah Fajar Asia,[29] yang memuatkan cerita sejarah seperti Dol Said dan Tun Fatimah, malah turut memuatkan cerita tentang kehebatan Diponegoro, Raden Adjeng Kartini dan Hayam Wuruk.[30] Tujuan utama cerita-cerita ini dimuatkan dalam majalah ini adalah untuk mengingatkan orang Melayu bahawa pada suatu masa dahulu telah wujud golongan pejuang yang hebat menentang penjajah, dan orang Melayu harus mengambil contoh daripada keberanian mereka untuk menetang penjajah. Selain itu, penulisan pensejarahan yang terdapat dalam Fajar Asia merupakan seruan khusus iaitu mendorong serta membangkitkan semangat perjuangan menentang penjajah Barat dan membangunkan anak bangsa sendiri.[31]
Golongan wartawan merupakan dominan dalam penghasilan karya-karya sejarah dan karya mereka sering kali melawan arus apabila menentang pendapat sejarawan British. Mereka amat tidak bersetuju dengan pendapat sejarawan British yang disifatkan suka memperlekeh orang Melayu apabila menulis tentang Tanah Melayu. Namun begitu, selepas kemerdekaan, peranan golongan ini kian pudar dan tugas penulisan sejarah telah dipikul oleh golongan terpelajar yakni mahasiswa Universiti. Mereka telah diajar tentang kaedah saintifik semasa menghasilkan sesuatu penulisan sejarah. K.J. Trigony menegaskan bahawa penulisan sejarah Tanah Melayu seharusnya  ditulis dari kaca mata tempatan dan tidak lagi dikongkong  oleh pandangan euro-centric. Mahasiswa universiti telah digalakkan untuk menulis daripada pelbagai sudut. Pendedahan inilah yang menggalakkan merka untuk mereka untuk menulis tentang sejarah tempatan.
Namun selepas tahun 1960-an, terutama sekali selepas kemunculan ramai sejarawan tempatan berkelulusan universiti yang mengarang buku-buku pensejarahan berdasarkan kaca mata tempatan seperti R.Sutharalingam, Khoo Kay Kim dan Muhd Yusof Ibrahim.
KESIMPULAN
            Bidang pensejarahan Malaysia pada awal abad ke-20 merupakan suatu perkara yang amat menarik untuk dikaji, ini disebabkan terdapat pelbagai golongan yang cuba untuk menghuraikan sejarah mengikut pandangan mereka. Jelas sekali peranan golongan ini tidak boleh disanggkal sekalipun terdapat  antara pendapat mereka yang jelas bercanggah dengan fakta yang sebenarnya. Walaupun begitu, bidang pensejarahan amat penting kepada negara seperti kata-kata George Santayana iaitu sesiapa yang tidak mengetahui sejarah akan mengulanginya. Jika tanpa sejarah , manusia secara keseluruhannya akan kehilangan arah, malah tidak mempunyai identiti diri, bangsa dan budaya yang sebenar.[32]
Kepentingan sejarah kepada masyarakat dan negara perlu dihayati dari segi dimensi sosial dan dimensi intriksik.[33] Dimensi sosial bermaksud sumbangan seseorang individu kepada agama, masyarakat , bangsa dan negara kesan daripada mempelajari sejarah. Dimensi intrinsik pula bermaksud keupayaan sesebuah negara itu melahirkan rakyat yang berpendidikan yang menyeluruh , dan meresapi sejarah dalam kehidupan mereka. Pensejarahan malaysia seharusnya dikaji secara mendalam dan dihayati oleh generasi masa ini agar semangat dan keazaman sejarawan dahulu yang bersusah payah menulis karya-karya sejarah dapat dijadikan sebagai suatu inspirasi agar generasi kini mampu mempertahankan keaslian pensejarahan Malaysia daripada ditafsir secara semberono oleh sejarawan asing. Seterusnya, mempertahankan negara ini daripada dijajah semula sama ada secara fizikal mahupun pemikiran. Akhir sekali, pesanan Tun Seri Lanang kepada orang Melayu iaitu “…supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkan oleh mereka itu, syahdan beroleh faedah daripadanya”[34]






BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Hj Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
           dan  Pustaka, 1996.

Abdul Rahman Haji Ismail, “Nasionalisme Melayu dan  Nasionalisme Setanah Melayu”,
dalam Isu-Isu Pensejarahan, Abu Talib Ahmad (ed.), Georgetown: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 1995.


Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
            dan Pustaka, 2002.

A.Samad Ahmad (ed ), Sulalatus Salatin ( Sejarah Melayu), Kuala Lumpur: Dewan
 Bahasa dan Pustaka, 1979.
           
Gullick, J.M,  A History of Negri Sembilan,  JMBRAS, 1916, Terbitan Semula, MBRAS,
            2003.

Mohd Zamberi Abdul Malik, Harimau Malaya, Bangi : Penerbitan Universiti
Kebangsaan  Malaysia, 1999

Muhammad Yusoff Hashim, Buku Pensejarahan Melayu. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa
            dan Pustaka. 1992.

Muhd. Yusuf Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah,Pengertian dan Kaedah, Kuala
            Lumpur,:Dewan Bahasa  dan Pustaka, 1997.

Mohd. Yusuf Ibrahim, Pensejarahan Melayu: 1800-1960, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
            dan Pustaka, 1997.

Ramlah Adam, Ahmad Boestamam: Satu Biografi Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
            dan Pustaka, 1994.
.
Wan Mohd Mahyiddin, Isu-isu Nasional, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka,
            1978.

 Winstedt, R.O dan Wilkinson, R.J, A History of Perak, JMBRAS, 1934, Terbitan
            Semula, MBRAS, 1974.









[1] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm 68.
[2] Muhammad Yusoff Hashim, Buku Pensejarahan Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,           1992, Hlm.2.
[3] Hikayat-hikayat lama misalnya Misa Melayu.
[4] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm 132.

[5] Ibid. hlm 133.
[6] Muhd. Yusuf Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah,Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur,:Dewan Bahasa  dan Pustaka, 1997, hlm 204.

[7] Ibid, hlm 204.
[8] Ibid.
[9] Ibid, hlm 206.
[10] J.M.Gullick, A History of Negri Sembilan,  JMBRAS, 1916, Terbitan Semula, MBRAS, 2003,  hlm 128.
[11] Abdul Rahman Haji Ismail, “Nasionalisme Melayu dan  Nasionalisme Setanah Melayu”, dalam Isu-Isu Pensejarahan, Abu Talib Ahmad (ed.), Georgetown: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 1995, hlm 164.
[12] R.O, Winstedt dan R.J, Wilkinson, A History of Perak, JMBRAS, 1934, Terbitan Semula, MBRAS, 1974,  hlm 91.
[13] Muhd. Yusuf Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah,Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur,:Dewan Bahasa  dan Pustaka, 1997, hlm 206.
[14] Kekacauaan dan huru-hara yang berlaku di Perak disebabkan perebutan takhta antara Raja Abdullah dengan Raja Ismail, selain itu pembesar lebih berkuasa daripada sultan telah memburukkan keadaan.
[15] Ditandatangani oleh Sultan Abdullah dengan pihak British pada tahun 1874.
[16] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm 135.
[17] Muhd. Yusuf Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah,Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur,:Dewan Bahasa  dan Pustaka, 1997, hlm 22.
[18] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, 2002, hlm 135.

[19] Ibid, hlm 136.
[20] Ibid.
[21] Ibid,  hlm 137.
[22] Kesultanan Melayu Melaka dianggap oleh orang Melayu sebagai simbol  keagungan tamadun Melayu, selain itu Melaka merupakan antara kuasa terpenting di rantau nusantara pada kurun ke-15.
[23]  Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm 138.

[24] Mohd. Yusuf Ibrahim, Pensejarahan Melayu:1800-1960, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm 129.
[25] Abdul Rahman Haji Ismail, “Nasionalisme Melayu dan  Nasionalisme Setanah Melayu”, dalam Isu-Isu Pensejarahan, Abu Talib Ahmad (ed.), Georgetown: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 1995, hlm 170.
[26] Ramlah Adam, Ahmad Boestamam: Satu Biografi Politik, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, hlm 25
[27] Mohd Zamberi Abdul Malik, Harimau Malaya, Bangi : Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm.58.
[28]Ramlah Adam, Ahmad Boestamam: Satu Biografi Politik, 1994, hlm 27.
[29] Diterbitkan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942-1945.
[30] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm 140.
[31] Mohd. Yusuf Ibrahim, Pensejarahan Melayu:1800-1960, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm 156.
[32] Wan Mohd Mahyiddin, Isu-isu Nasional, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, hlm 29
[33]Abdul Rahman Hj Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, hlm.60.
[34] A.Samad Ahmad (ed ), Sulalatus Salatin ( Sejarah Melayu), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, hlm 3.

No comments:

Post a Comment