nuffnang

Thursday, June 13, 2013

PENGERTIAN DAN KEPENTINGAN SEJARAH

PENGENALAN.
Umum telah mengetahui bahawa sejarah adalah salah satu cabang ilmu pengetahuan , satu disiplin ilmu berdasarkan sumber, bukti dan teori, falsafah serta kaedahnya.[1] Namun banyak persoalan timbul untuk menuntut bukti mahu pun kenyataan yang realiti. Kedudukan dan  peranan sejarah juga dipersoal seperti pada tahun 1987, Theodore S. Homerow, seorang  sejarawan Amerika Syarikat telah menyuarakan kebimbangannya terhadap potensi dan perkembangan ilmu sejarah yang semakin merudum jatuh,  khususnya pada tahun 1980.[2] Namun begitu, sejarah masih  mempunyai keistimewaan tertentu, iaitu ia sentiasa merangsang manusia untuk terus menyoal tentang peristiwa dan keadaan serta mendapat faedah daripada persoalan yang diberikan.
Sebenarnya bidang kajian sejarah dan ilmu sejarah bermula dengan pelbagai persoalan utama seperti Bila? Mengapa? Siapa? dan Bagaimana ?. Sejak Universiti Gottingen ditubuhkan pada tahun 1737, diikuti pula dengan perlantikan profesor-profesor sejarah yang berwibawa seperti Johann Cristoph dan Arnold Hermann, bidang sejarah mula mendapat pembelaan.[3] Universiti Gottingen telah membuka jalan dan petunjuk untuk mengkaji sejarah dan sejarah dianggap sebagai satu bidang penyelidikan secara ilmiah.[4]
Sejarah dengan konsep hermeneustik  berbeza dengan sejarah seperti awal penemuaannya. Konsep sejarah hermeneustik lebih menekankan kepada sumber dan kebenaran ,serta berusaha untuk menolak lagenda dan unsur mitos.[5] Ilmu sejarah juga amat berbeza dengan ilmu sains sosial. Hal ini kerana ilmu sejarah bersifat individu yang khusus, manakala ilmu sains sosial bersifat sejagat dan dapat dirumuskan melalui pola perubahan hukum.[6] Menurut  Leopold Von Ranke, sejarah bersifat khusus dan bukan menekankan persamaan, pengulangan  mahupun penyeluruhan.[7] Hal ini bermakna sejarah ialah suatu ilmu yang mengkhusus kepada sesuatu perkara.
Merujuk kepada soalan , masyarakat bermaksud kumpulan manusia yang hidup dan bergaul bersama-sama di suatu tempat seperti di kampung atau  di bandar, dan dapat dikelaskan kepada kelas sosial tersendiri, selain mempunyai pentadbiran dan peranan sosial yang berbeza[8]. Negara pula bermaksud sebuah kawasan yang mempunyai sempadan tertentu, bilangan penduduk yang tetap dan mempunyai dasar pentadbiran yang tersendiri.[9]
Dalam bahagian pengertian sejarah, penulis akan menerangkan maksud sejarah dari aspek etimologi sejarah, konsep dan teori sejarah, dan pandangan ahli sejarawan barat, Islam mahupun tempatan dalam membuat pentakrifan sejarah, selain menyatakan persamaan dan perbezaan pendapat mereka tentang pengertian sejarah. Bahagian kepentingan sejarah dapat dibahagikan kepada dua, iaitu kepentingan sejarah kepada masyarakat (manusia) dan negara. Namun begitu, ilmu sejarah bersifat rigid dan memerlukan kajian yang mendalam untuk memahami dan menghayatinya, sekaligus menghasilkan insan yang berpaksikan kepada kebenaran.


PENGERTIAN SEJARAH.
            Pengertian sejarah juga boleh dilihat dari aspek etimologi sejarah. Pada tahap awal penemuan sejarah, perkataan sejarah dikatakan berasal daripada bahasa Inggeris, iaitu history yang pada asasnya berasal daripada perkataan Yunani purba, iaitu historia, yang bererti penyelidikan.[10] Penyelidikan yang dimaksudkan ialah pencatat sejarah, mencatat sejarah berdasarkan peristiwa yang benar-benar berlaku, berdasarkan penyaksian, penelitian, dan pendengaran.[11] Ilmu sejarah yang diterima tanpa proses penyelidikan tidak boleh dianggap benar.[12]
Menurut R. O. Winstedt, perkataan sejarah berasal daripada perkataan Arab, seperti salasilah, tawarikh, atau babad. Besar kemungkinan perkataan Arab itu ialah syajaratun yang bererti pohon.[13] Dari sudut sejarahnya, masyarakat Arab akan menggunakan rajah pohon berdaun lebat untuk menggambarkan susur galur atau salasilah keturunan mereka.[14] Perkataan tawarikh atau riwayat sering digunakan dalam penulisan  sejarah berbahasa Melayu untuk memberikan maksud yang sama. Perkataan ini berasal dari perkataan Arab juga, iaitu tarikh.[15] Hal ini terbukti benar apabila perkataan tawarikh digunakan oleh Raja Ali Haji dalam bukunya ,iaitu Tuhfat al-Nafis. Riwayat juga digunakan dalam penulisan sejarah berbahasa Melayu untuk memberikan pengertian sejarah,tetapi istilah ini kebiasaannya merujuk kepada biografi sahaja.[16]
Pengertian sejarah boleh diberikan berdasarkan kamus bahasa mahupun kamus sejarah. Menurut Za’ba, sejarah bermaksud peristiwa benar yang berlaku pada zaman dahulu ,dan dirakam atau dituliskan kisahnya ,selain satu kumpulan karya yang dianggap bersejarah dan ditulis oleh penulis istana untuk meningkatkan martabat seseorang raja,khususnya dalam buku Sejarah Melayu.[17] Sejarah menurut Kamus Bahasa Melayu Klasik adalah hikayat tentang satu peristiwa yang terjadi, terutamanya tentang negeri, bangsa dan kejadian yang luar biasa, yang mempengaruhi masyarakat, dan sukar untuk dilupakan.[18] Pendek kata, ilmu sejarah ialah satu cabang ilmu pengetahuan tentang satu kejadian yang berlalu.[19] Menurut Kamus Masyarakat, sejarah ialah ilmu pengetahuan yang mengkaji peristiwa-peristiwa yang berlaku pada waktu lalu.[20]
Walau bagaimanapun, pengertian sejarah yang diambil secara terus daripada kamus seperti yang dinyatakan di atas hanyalah bersifat umum sahaja. Hal ini kerana, pengertian sejarah tersebut tidak menyatakan peristiwa sejarah, tarikh, mahu pun ahli sejarawan yang terlibat. Maka, pengertian sejarah secara tepat boleh didapati berdasarkan maksud yang diberikan oleh tokoh-tokoh sejarawan dari barat, Islam dan tempatan.
Peringkat awal penemuan sejarah berlaku sekitar abad ke-19 di Eropah. Menurut Leopold Von Ranke ,`sejarah lama’telah wujud sebelum abad ke-19 lagi ,dan beliau telah menggunakan istilah sejarah dalam kajiannya terhadap perubahan dan perkembangan kehidupan manusia, khususnya dalam bidang kajian sejarah politik.[21] Namun, menurut Gatrude sejarah bukan sahaja mengkaji politik manusia, sebaliknya merangkumi keseluruhan kehidupan manusia.[22] Gatrude telah mengesahkan pendapat Leopold Von Ranke  yang mengatakan `sejarah lama’ telah wujud sebelum abad ke-19 ,dan berperanan besar kepada golongan intelektual di Eropah. Sekitar abad ke-20, sejarawan Perancis, Annales telah menggunakan sejarah dalam kajiannya terhadap kehidupan manusia sahaja.[23] Sebaliknya, menurut Henry Pirene, sejarah bukan sahaja mengkaji kehidupan manusia, sebaliknya merangkumi ruang lingkup yang luas, dan tiada had sempadan.[24]
            Coldwell pula menyatakan perkataan asal sejarah,iaitu history yang bermaksud penyelidikan telah berubah maksudnya daripada penyelidikan  kepada segala catatan peristiwa lalu ,yang telah berlaku atau ingatan terhadap masa lalu.[25] Sejarawan Yunani abad pertama selepas Masihi,Dionysius misalnya telah mengatakan bahawa sejarah adalah satu bentuk falsafah yang memberikan pengajaran melalui contoh-contohnya.[26]
Sejarawan Barat ,seperti Garraghan mentakrifkan sejarah sebagai satu peristiwa masa lalu yang sebenarnya berlaku,mempunyai catatan terhadap sejarah,selain mempunyai teknik dalam mencatat sejarah.[27] A.Marwick pula mentakrifkan sejarah kepada tiga perkara utama,iaitu keseluruhan masa lalu,kedua;merupakan cara manusia menghuraikan atau mentafsir masa lalu,dan ketiga; sejarah sebagai satu disiplin ilmu pengetahuan.[28] A.L. Rowse pula berpendapat sejarah sebagai keseluruhan masa lalu bagi benda, peristiwa, alam, manusia, ataupun makhluk amnya.[29]
P.Demieville berpendapat sejarah bukan sahaja mengumpulkan dokumen oleh ahli-ahli birokrasi ,bukan hiburan bagi sejarawan,sebaliknya harus digunakan untuk memperbaiki dunia.[30]
Bagi J.B Burry, sejarah adalah sains, tidak kurang dan tidak lebih.[31] R.G. Collingwood mengatakan sejarah ialah kajian terhadap masa lalu, atau masa silam, atau sezaman dengan penulis, yang ditulis seperti benar-benar berlaku.[32] E.H. Carr pula berkata, sejarah adalah satu proses interaksi berterusan antara ahli sejarah dengan fakta-faktanya berkenaan dengan masa lampau.[33] Leopold Von Ranke pula mengatakan sejarah ialah kajian tentang masa lalu yang melibatkan susunan peristiwa.
Al-Masudi, sejarawan Islam yang amat berpengetahuan luas dalam ilmu sejarah mentakrifkan sejarah sebagai catatan yang terhimpun tentang keseluruhan ilmu pengetahuan manusia dan dianggap paling mulia dalam sains.[34]Ibn Khaldun berpendapat sejarah ialah penjelasan yang halus tentang asal-usul,dan pengetahuan bagaimana sesuatu peristiwa itu berlaku.[35]
Pada masa yang sama, sejarawan tempatan juga tidak ketinggalan untuk memberikan pengertian sejarah. Menurut Poespowardojo, sejarah ialah satu peristiwa yang telah berlaku, saling berkaitan antara kehidupan manusia dengan peristiwa lalu, dan menjadikannya sebagai pegangan agama.[36]
Sidi Ghazalba pula berpendapat sejarah mempunyai empat pengertian, pertama; berupa masa lalu, kedua;sebagai riwayat masa lalu,ketiga;sebagai pengetahuan masa lalu, dan keempat; sebagai ilmu yang berusaha mewariskan ilmu pengetahuan.[37] Suntharalingam berpendapat sejarah ialah satu cabang ilmu pengetahuan tentang masa lalu.[38] Shaharom Hussein mengatakan sejarah ialah pelajaran tawarikh, dan dapat menyingkap semula lembaran sejarah darihal kebangkitan, kemajuan, kejatuhan dan kemunduran sesuatu bangsa.[39]
Terdapat persamaan dan perbezaan maksud sejarah yang diberikan oleh sejarawan barat, Islam mahupun sejarawan tempatan. Dari aspek persamaan,  kesemua sejarawan  sependapat bahawa sejarah itu adalah kajian atau catatan atau ingatan tentang masa lampau yang berkepentingan. Hal ini jelas kelihatan dalam pengertian sejarah yang dibuat oleh E.H. Carr, Collingwood, dan Sidi Ghazalba.[40]
Selain itu, sejarawan turut bersetuju bahawa sejarah memerlukan kajian atau penelitian seperti yang dikatakan oleh Paul D.Leedy, Garraghan, Ibn Khaldun dan Sidi Ghazalba.[41] Pada masa yang sama,pemahaman konsep sejarah moden lebih memfokuskan kepada manusia sebagai objek utama dalam kajian, manakala makhluk lain seperti haiwan dikelompokkan di dalam cabang sains tabii yang terasing.[42]
Sejarawan juga berbeza pendapat tentang aspek benar-benar berlaku. Collingwood memang menekankan kepada aspek ini ,sebaliknya Leopold Von Ranke menekankan kepada aspek penulisan  dan penyusunan peristiwa sejarah.[43] Sejarawan tempatan seperti Sidi Ghazalba menganggap sejarah itu bukan sahaja ilmu pengetahuan, sebaliknya merupakan alat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat {pewaris ilmu}, sedangkan sarjana barat lebih menekankan kepada unsur pengetahuan dalam memberikan pengertian sejarah.[44]
Seterusnya, pengertian sejarah di alam Nusantara telah diresapi dengan unsur-unsur mitos,lagenda,dan khayalan.[45] Hal ini sememangnya ditolak oleh sejarawan Barat apabila memberikan pengertian sejarah.[46]
Pengertian sejarah juga boleh dilihat dari aspek teori, dan konsep sejarah. Kita boleh membicarakan teori sejarah dari sudut persoalan yang berlandaskan kepada dua landasan perbincangan yang umum serta luas. Pertama,asal-usul kedatangan sejarah ,dan kedua;bagaimanakah masyarakat mempelajari,menghuraikan ,serta menghayati sejarah dalam kehidupan.[47] Maka secara amnya,teori sejarah ialah kajian terhadap asal-usul kemunculan sejarah dan pensejarahan,serta perkembangannya yang melalui kaedah bersistematik.[48]
Konsep sejarah pula boleh diterangkan melalui dua unsur utama,iaitu asas empirikal,dan asas rasional.Asas empirikal melihat keobjektifan dalam sejarah,sama ada wujudnya objek di luar manusia secara terpisah dan bebas.[49] Sebaliknya, asas rasional berpendirian bahawa tidak ada objek yang wujud di luar diri manusia.Maka dengan itu,golongan rasional ini melihat sejarah sebagai sebahagian daripada tahap pemikiran manusia.[50] Hasil gabungan antara pengertian, teori dan konsep sejarah melahirkan beberapa kepentingan sejarah yang akan dibincangkan dibahagian seterusnya.



KEPENTINGAN SEJARAH.
            Umum mengetahui ilmu sejarah mempunyai kepentingan dan konsepsi yang tersendiri kepada mesyarakat. Walaupun ilmu sejarah itu dipersoalkan keabsahannya yang lebih bersifat abstrak dan tidak nyata selain bersifat sastera kuno. Menurut Karls Jaspers, ”...manusia kini hidup di bawah satu sejarah yang agung lagi gemilang”.[51] Kenyataan ini memaparkan akan kepentingan sejarah manusia terdahulu kepada menusia moden.
Apabila mempelajari sejarah, manusia akan tertarik kepada masa lalu dan menjadikan segala peristiwa yang terjadi sebagai langkah awal untuk merancang sesuatu. Seorang individu mungkin menyukai sesuatu peristiwa silam disebabkan dirinya menerima penghargaan daripada pemerintah atau memperolehi kejayaan tertentu.[52]  
Sebagai contoh, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi (Pak Lah) bersama-sama menteri kabinet yang lain dan dibantu oleh menteri kanan, wakil-wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin bawahan berganding bahu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi mencapai Wawasan 2020 yang tinggi melangit.[53] Sejak awal 1980-an, pelbagai rancangan awal atau ’earlier planning’ telah dibentuk, antaranya Dasar Pandang Ke Timur, yang membolehkan Malaysia mempelajari metodologi negara Jepun yang maju dalam pelbagai aspek material, seperti kecanggihan teknologi dan kemajuan industri automobil dan diaplikasikan reformasi itu di Malaysia.[54]
Melalui Dasar Pandang Ke Timur, warga Malaysia dididik menepati masa dan mengamalkan nilai-nilai korporat dalam perkhidmatan.[55] Semua ini bertitik-tolak apabila Malaysia menjadikan sejarah silam Jepun yang dibom (Hiroshima dan Nagasaki) oleh Tentera Bersekutu dan bagaimana negara ini dapat bangun dengan kepesatan yang pantas walaupun pernah dijajah oleh orang putih.[56] Maka dengan itu, tidak mustahil bagi Malaysia untuk maju dengan melihat sejarah silamnya dan sejarah Jepun yang amat pahit dalam usaha  menuju Wawasan 2020.[57]
            Sejarah juga berkepentingan sebagai sumber abstrak dan sumber nyata.[58] Sejarah dikatakan abstrak apabila sesuatu peristiwa silam telah berlaku dan tidak dapat dihidupkan lagi secara realistik, tetapi mempunyai kepentingan yang absolute, walaupun kebanyakan manusia alpa terhadapnya.[59] Sejarah dikatakan nyata apabila kita dapat membentuknya atau menggambarkannya kembali, walaupun tidaklah serealistik pada awal kejadian.[60] Hal ini terjadi melalui persembahan teater atau lakonan.
Sejarah lampau adalah gambaran kepada masa kini dan keadaan sekarang adalah imaginasi kepada masa hadapan. Contohnya, kejadian balai polis Bukit Kepong (Johor) yang diserang oleh komunis adalah peristiwa yang abstrak kerana telah tiada peristiwanya kini, walaupun masyarakat kini tidak memahami akan kekejaman komunis pada ketika itu,[61] tetapi ianya dapat dilakonkan semula untuk memberikan pengajaran dan kesedaran kepada masyarakat,selain menanamkan semangat cintakan tanah air,[62] khususnya kepada generasi muda.
 Contoh kedua ialah peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah bersama-sama umat Islam pada tahun 622 Masihi. Walaupun hijrah akbar ini tiada lagi pada masa kini, tetapi ianya semacam nyata apabila umat Islam sekarang melakukan hijrah pemikiran, iaitu daripada kejumudan kepada ketamadunan, selain memahami konsep alam semesta.[63] Dengan harapan hijrah yang disebutkan tadi mendorong umat Islam bangkit menongkah arus pembangunan dunia.
Peperangan Salib yang berlaku selama hampir 200 tahun lamanya, yang melibatkan 13 edisi peperangan, yang akhirnya memihak kepada umat Islam menunjukkan kepada kita bahawa penganut agama Kristian terdahulu amat kurang menyenangi perkembangan agama Samawi ini.[64] Peperangan ini menjadi nyata pada masa kini apabila peperangan yang sama motifnya berlaku di Timur Jauh atau Timur Tengah, walaupun berbeza dari aspek metodologi, mahu pun cara yang  digunakan.[65]
            Sejarah juga penting dari sudut psikologi dan falsafah untuk memenuhi tuntutan dan keperluan emosi.[66] Menurut E. H. Carr, sejarah pada masa kini telah mengambil alih fungsi kemasyarakatan yang dahulunya dipegang oleh golongan agama. Hal ini menimbulkan ketidaktenteraman hati para ahli sufi, walaupun sejarah itu berkait rapat dengan agama dan Sufisme.[67]
Sejarah dapat memberikan pengajaran melalui contoh-contohnya, dan menerangkan keadaan yang sedang berlaku berdasarkan peristiwa silam. Sejarah mendidik masyarakat supaya berpegang teguh kepada ajaran agama dan menunaikan kehendak agama, seperti yang terkandung dalam kaedah dan doktrin agama masing-masing. Contohnya, semangat jihad dan zuhud di kalangan umat Islam seperti Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq mendedahkan kepada umat Islam supaya memahami sejarah dalam konteks agama, dan menyambung perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda.[68]
Pemahaman agama Islam yang mantap membolehkan umat Islam mengatur langkah bagi mengembangkan pencapaian Islam, khususnya dalam zaman Saidina Umar Abdul Aziz yang mewarisi kepimpinan baginda SAW dan mempunyai kemantapan psikologi yang tersendiri.[69] Begitu juga halnya dengan kerajaan Turki Uthmaniyah yang terbentuk hingga menguasai ¾ dunia ketika masyhur dahulu.[70] Persoalannya, adakah masyarakat Islam kini mampu mencapai kegemilangan yang sama tarafnya seperti mereka yang dahulu atas sebab ’Islamic Psikologi’ ?
            Bukan itu sahaja, sejarah juga berperanan sebagai alat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat. Menurut R. G. Collingwood, tujuan asas mempelajari sejarah adalah untuk mendapatkan pengetahuan tentang diri manusia, supaya manusia dapat mengenali dirinya sendiri, selain nusa dan bangsa.[71]
Umpamanya, sebagai orang Melayu, kita akan dapat memahami diri dan identiti bangsa apabila kita memahami corak budaya dan sosialiti masyarakat lain seperti Cina dan India, memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam satu-satu agama, selain menghayati erti pluralisme atau kepelbagaian agama dengan tidak mencampur-adukkan amalan agama yang berbeza-beza pada satu-satu zaman kemanusian.[72] Hakikat ini akan membawa kepada kemantapan ilmu pengetahuan masyarakat.
Bagi pihak pelajar, sejarah mendedahkan kepada mereka beberapa insiden dunia yang boleh dikaji dalam subjek sejarah di sekolah. Dalam Perang Dunia Kedua umpamanya, pelajar dapat memahami kewujudan Tentera Bersekutu (Amerika Syarikat dan Britain) untuk menghapuskan armada tentera Jepun.[73] Selain itu,para pelajar dapat mengetahui perubahan dan reformasi yang dilakukan oleh reformis Jepun di Tanah Melayu dahulu,serta kesan-kesan pendudukan Jepun.Tambahan pula  kekejaman yang dilakukan oleh tentera Jepun hingga menyebabkan Koumintang Cina terbentuk yang menjadi asas kepada pertubuhan komunis di Tanah Melayu turut dimengertikan.[74]
Dalam Perang Dunia Pertama pula, pelajar dapat memahami peranan yang dimainkan oleh Hitler sebagai pemimpin Jerman untuk menentang Tentera Bersekutu yang menuduh Jerman sebagai punca peperangan, selain Jerman dipersalahkan hingga digesa membayar ganti-rugi peperangan.[75] Jerman juga tidak diberikan peluang untuk membela diri dalam rundingan Perjanjian Versailles.[76] Maka, Hitler cuba mempengaruhi rakyatnya dan menggunakan sejarah bagi menyedarkan rakyatnya bahawa Jerman telah ditipu atau telah dimanipulasikan oleh Tentera Bersekutu.[77] Melalui peristiwa ini, pelajar dapat memahami sejarah pembentukan fahaman Nazi di Jerman yang memperjuangkan kepentingan rakyat bawahan.
            Kesedaran moral juga dapat dijelmakan. Contohnya, dalam Kerajaan Temasik (Singapura) dahulu, antara faktor yang menyebabkan kejatuhan Singapura adalah disebabkan oleh sikap rajanya yang zalim dan menjatuhi sesuatu hukuman kepada pesalah di khalayak ramai. Hal ini dapat dijelaskan di dalam Tuhfat al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ahmad dan Raja Ali Haji.[78] Raja Iskandar dikatakan bebas menghukum pesalah tanpa asal usul periksa dahulu, selain tidak menjadi panduan hidup ’role model’ kepada rakyat bawahannya.[79]
Pada masa yang sama sejarah dikatakan sebagai warisan untuk generasi akan datang.[80] Generelisasi menyebabkan setiap perkara baik yang kita lakukan, sudah pasti kita mahu perkara itu diwarisi dan diperturunkan kepada generasi akan datang. Peristiwa terdahulu akan mempengaruhi corak penentuan kehidupan masa akan datang. Contohnya, adat masyarakat Melayu yang diwarisi berusia hampir 400 tahun lamanya, tetapi masih diamalkan secara relatif pada masa kini. Jadi boleh dikatakan bahawa adat yang diwarisi itu dipanjangkan melalui sejarah.[81] Daripada persoalan inilah, maka sejarah perlu dipelajari agar sesuatu yang dipusakai akan dapat terus diwarisi ketamadunannya, dan tidak hilang ditelan zaman.
Jika kita lihat daripada pensejarahan Melayu seperti Tuhfat al-Nafis, kita dapati kajian ini merupakan salah satu ingatan terhadap masa lampau seperti salasilah raja-raja, aspek pentadbiran, adab mengadap dan banyak lagi yang perlu diteruskan oleh generasi akan datang.[82]
            Sejarah juga berfungsi untuk meningkatkan pemikiran dan tahap intelektual masyarakat.[83] Pembelajaran sejarah diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang bijak, seperti kata Boardman dalam karangan beliau yang bertajuk History and Historial, manusia dan masyarakat dilatih supaya berfikiran kritikal dan empirikal terhadap sesuatu kejadian silam, dan menghubungkannya dalam kehidupan.[84]
Sejarah juga menyentuh  tentang pengalaman manusia sejak kelahiran manusia, yang secara langsung dapat membantu mereka memahami peradaban sesuatu tamadun.[85] Jika kita tidak mengambil tahu sebarang peristiwa lampau, mungkin masyarakat kini hidup dalam keadaan yang kucar-kacir, seperti yang berlaku di Afrika Selatan, yang disebabkan oleh orang berkulit putih menafikan hak golongan minoriti (orang kulit hitam), sedangkn mereka adalah ’penumpang’ dengan izin.
 Golongan elit atau intelektual yang dilahirkan melalui pemahaman terhadap ilmu sejarah mampu membawa perubahan dan pembaharuan dalam sesebuah tamadun. Hal ini jelas kelihatan  di  Malaysia apabila Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mengusir keluar Singapura pada tahun 1965 akibat propaganda-propagandanya memburuk-burukkan pembentukan Gagasan Malaysia.[86] Peristiwa yang bermakna ini berlaku berkemungkinan besar disebabkan Tunku Abdul Rahman memahami situasi politik di Tanah Melayu dan Singapura ketika itu, selain mempunyai pemikiran rasional yang  mendalam.[87]
            Penghayatan akan kepentingan sejarah kepada masyarakat seterusnya memberikan impak kepada negara. Sejarah silam dan semasa mampu digunakan oleh pemerintah untuk merangka dasar-dasar negara.[88] Menurut Louis Goltschalk, tanpa sejarah lalu, dasar atau garis panduan sesebuah negara sentiasa goyah, bagai diputarkan angin dan lesu.[89]
Di Malaysia, sesuatu dasar itu dibentuk setelah mengambil kira pelbagai kepentingan, seperti hubungan dengan negara serantau, kedudukan negara, kepelbagaian agama dan aspek perkembangan sejarah yang berbeza dengan negara lain.[90] Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan  pada tahun 1980-an oleh Tun Dr. Mahathir dengan mengambil kira negara-negara dunia ketiga seperti Korea dan Jepun yang boleh membangun dengan dasar yang tersendiri, walaupun dikolonialkan oleh bangsa luar.[91] Dari sini, Malaysia mengambil langkah drastik dan terkawal dengan mempelajari kejayaan negara-negara ini dan menghubungkaitknnya dengan sejarah awal Tanah Melayu dahulu.
Sejarah negara mencapai kemerdekaan turut mendasari pembentukan Dasar Berkecuali dengan menentang konsep Aparteid, khususnya di Afrika. Menurut Tunku Abdul Rahman, penyatuan Melayu, Cina dan India akan mendominasi negara untuk mencapai kemerdekaan  dari cengkaman kolonialis, dengan mengenepikan perbezaan gender, etnik mahu pun warna kulit.[92] Maka dengan itu, Malaysia lantang menyuarakan penentangan terhadap masyarakat berkulit putih yang mengeksploitasi hak dan kebebasan masyarakat Red Indian di Afrika, dengan harapan negara padang pasir ini turut mengalami proses modenisasi seperti yang berlaku di Malaysia.[93]
Peristiwa tragis, iaitu peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 telah mendesak kerajaan supaya merangka Dasar Perpaduan Nasional untuk mengurangkan jurang perbezaan ekonomi, sosial, dan pendidikan dalam kalangan etnik masyarakat.[94] Hasilnya, Jawatankuasa Perpaduan Antara Kaum ditubuhkan pada 1970-an bagi mengkaji sejarah pahit itu dan mencadangkan langkah-langkah mengatasi. Ini diikuti dengan pembentukan Rukun Negara yang menjadi garis panduan kepada pentadbir dan golongan ditadbir untuk menjamin kelangsungan pembangunan negara.[95] Hakikatnya, sejarah silam yang berlaku memang digunapakai oleh pentadbir negara untuk merangka satu-satu dasar negara.
            Dalam pada itu, visi negara juga dapat dirangka dengn menghargai dimensi sosial sejarah. Keinginan dan kemahuan negara untuk mencapai satu tahap pengukuran kejayaan dan modenisasi mesti diterapkan melalui Wawasa 2020.[96] Melalui Wawasan 2020 ini, masyarakat Malaysia diharapkan dapat memenuhi setiap wawasan yang ditetapkan, seperti menjadi masyarakat negara bangsa yang berpendidikan, mendukung undang-undang dan perlembagaan negara, menjadi tenaga mahir negara yng menyumbang kepada pelestarian kemajuan, selain menanamkan semangat patriotik dalam kotak fikiran masyarakat negara bangsa.[97] Visi yang maha penting ini lahir setelah negara meninjau kembali sejarah silamnya yang pernah dicengkam oleh pengaruh barat, dan berusaha untuk mengubah paradigma masyarakat bawahan.
Selain itu, dasar Pak Lah yang mementingkan kesederhanaan dalam pentadbiran dan mengutamakan kegemilangan dalam pencapaian turut menjadi panduan dalam pembentukan slogan Islam Hadhari, yang diiktiraf di peringkat dunia, seolah-olah negara barat tunduk kepada slogan ini.[98] Slogan ini bukan omong-omong kosong Pak Lak, sebaliknya merupakan terminologi baru dalam pentadbirannya.[99] Islam Hadhari menekankan beberapa prinsip yang menjadi pengukur kejayaan umat Islam dan bukan Islam di Malaysia khasnya dan masyarakat dunia amnya, seperti pembangunan modal insan atau ’human capital’, keperluan untuk mencapai kemajuan dalam bidang sains dan teknologi, keperluan untuk membela hak dan kepentingan golongan minoriti dan wanita, prinsip pluralisme agama dan budaya, dan keperluan untuk mengembangkan syiar Islam.[100]
Sebelum membentuk Islam Hadhari, Pak Lah berkemungkinan besar melihat situasi semasa, khususnya dunia Islam yang ditekan habis-habisan dan dilabel sebagai penganut agama teroris, dengan harapan prinsip-prinsip seperti yang dinyatakan mampu membuka mata golongan prejudis terhadap Islam, yang mereka pernah meminjam pencapaian ketamadunan Islam dahulu.[101]
            Pemahaman yang mendalam dan holistik terhadap sejarah silam mampu membentuk pencapaian yang gemilang dalam aspek kebudayaan dan kesenian negara.[102] Kemunculan beberapa nama besar dan masyhur sedikit masa dahulu dalam bidang seni lakonan, sebenarnya bertitik-tolak daripada kesedaran mereka terhadap sejarah negara mencapai kemerdekaan. Umpamanya, Tan Sri P. Ramlee yang dinobatkan sebagai Seniman Negara pada tahun 1980-an banyak melakonkan watak-watak pejuang negara, khususnya dalam lakonan Bintang Tiga, Tragedi Bukit Kepong dan Melayu Merdeka.[103]
            Selain itu, sejarah gemilang Melayu yang tertulis dalam Tuhfat al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ahmad dan Raja Ali Haji juga menggambarkan kepentingan sejarah dalam aspek kesusasteraan dan pensejarahan Melayu.[104] Dalam Tuhfat al-Nafis, tercatat dengan jelas salasilah keturunan Melayu, hubungan diplomatik negeri Melaka dengan negeri-negeri Melayu luar, undang-undang negara dan pelbagai aspek pentadbiran istana. Menurut Raja Ali Haji, Tuhfat al-Nafis adalah hadiah maha besar kepada generasi akan datang (masa kini dan seterusnya) dalam mengkaji perkembangan, kebudayaan dan pensejarahan Melayu.[105]
Pencapaian dalam keusasteraan dilangsungkan lagi oleh beberapa tokoh sasterawan negara yang banyak mengarang novel-novel atau hikayat masyarakat yang juga bersandarkan kepada kepentingan sejarah. Dato’ A. Samad Said sendiri menghayati sejarah negara dalam pelbagai lapangan dan menulis beberapa karangan bagi mewujudkan integriti masyarakat yang syumul.[106] Nama-nama besar seperti Boestaman, Raja Ali Faqir, Roslie Dobi dan ramai lagi telah menggunakan sejarah sebagai alat untuk menyedarkan masyarakat supaya membebaskan diri daripada cengkaman penjajah sedikit masa dahulu.[107] Oleh itu, pemahaman terhadap ilmu sejarah mampu memajukan bidang kebudayaan dan kesusasteraan negara.
             Sejarah juga menggesa kita supaya mengenang jasa para pejuang tanah air dalam usaha mereka mencapai kemerdekaan negara, dengan sanggup berkorban demi negara dan agama. Antara tokoh-tokoh yang seharusnya dikenang akan jasanya ialah seperti Rentap, Mat Kilau , Dato’ Bahaman, Dato’ Maharajalela, Sultan Abu Bakar (Johor) dan ramai lagi.[108]
Jasa dan pengorbanan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan selaku ’bapa kemerdekaan Malaysia’ juga patut dihargai. Tunku Abdul Rahman berperanan besar menuntut kemerdekaan negara dengan mengetuai angkatan diraja dan pentadbiran tertinggi negara ke London, dan menandatangani Perjanjian London 1956.[109] Menurut perjanjian ini, Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, selain perlu membentuk perlembagaannya sendiri.[110]
Tunku juga telah bekerjasama dengan pihak British, khususnya Sir General Briggs dalam program ’Perkampungan Briggs’ bagi mengurangkan kepesatan dan pergerakan komunis sekitar tahun 1948 hingga 1955.[111] Melalui program ini, Tunku menggesa masyarakat Melayu, Cina dan India supaya tidak menyalurkan sebarang maklumat kerajaan, dan tidak membekalkan bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada komunis bagi melumpuhkan pergerakan mereka.[112]
Dato’ Onn Jaafar berjasa besar mempengaruhi orang Melayu untuk memulaukan Malayan Union pada tahun 1948.[113] Malayan Union sebenarnya menafikan hak-hak orang Melayu sebagai warganegara dan penduduk asal, menghadkan kekuasaan sultan iaitu dalam soal-soal keagamaan dan adat–istiadat Melayu dan mencadangkan taraf kewarganegaraan diberikan secara bebas (Jus Soli) kepada orang bukan Melayu.[114]
Maka dengan itu, orang Melayu digesa memulaukan Malayan Union, dan berkabung selama seminggu dengan memakai songkok berlilitkan kain putih bagi orang lelaki.[115] Dato’ Onn  Jaafar juga menggesa raja-raja Melayu supaya memulaukan majlis pengumuman Malayan Union di Kuala Lumpur. Hasilnya, British sedar bahawa orang Melayu mempunyai kekuatan yang tersendiri, dan Malayan Union digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948.[116] Sesungguhnya, jasa-jasa mereka ini kepada negara amat besar dan tidak ternilai serta wajar dihargai.






PENUTUP.
            Berdasarkan perbincangan diatas,jelas menunjukkan ilmu sejarah merupakan satu cabang ilmu akedemik yang tematik sifatnya,dan dipenuhi dengan segala peristiwa yang telah berlalu.Justeru,sejarah merupakan satu keperluan asas kepada setiap individu dan masyarakatnya.Tanpa sejarah ,secara totalnya manusia akan kehilangan arah,malah tidak mempunyai identiti diri,bangsa dan budaya yang sebenar.[117]
            Secara ringkasnya,sejarah bermaksud suatu kajian tentang masa lalu,yang ditulis seperti yang benar-benar berlaku,dan mempunyai teknik atau kaedah untuk mencatat sejarah.[118] Sejarah amat  mementingkan kepada kesahihan sumber,bukti dan fakta yang benar sahaja,untuk memenuhi konsep hermeneustik.[119]Hal ini jelas kelihatan berdasarkan pengertian sejarah yang diberikan oleh tokoh-tokoh sejarawan ,sama ada sejarawan barat,Islam dan sejarawan tempatan.
            Pengkajian sejarah berfungsi sebagai pemberi teladan kepada manusia,selain dapat mengurangkan kekhuatiran manusia terhadap situasi-situasi yang kurang jelas.Dengan itu,masyarakat mampu membandingkan krisis atau keadaan sekarang,dengan keadaan masa lalu.Kepentingan sejarah kepada masyarakat dan negara perlu dihayati dari segi dimensi sosial dan dimensi intriksik.[120] Dimensi sosial bermaksud sumbangan seseorang individu kepada agama,masyarakat ,bangsa dan negara kesan daripada mempelajari sejarah.Dimensi intrinsik pula bermaksud keupayaan sesebuah negara itu melahirkan rakyat yang berpendidikan yang menyeluruh ,dan meresapi sejarah dalam kehidupan mereka



[1] Bilcher Bala,Penyelidikan dan Penulisan Sejarah,Bangi:Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Kebangsaan Malaysia,2002,hlm.3.
[2] Theodore S.Homerow,Reflection an History and Historious Madison,Wisconsin:The University Of Wisconsin Press,1987,hlm.3.
[3] Bilcher Bala,Penyelidikan dan Penulisan Sejarah,hlm.4.
[4] Ibid,hlm.3.
[5]
[6] Ibid,hlm.6.
[7] Rowse A.L,The Use Of History,New York:The Coolier Book,1965,hlm.7.
[8] Dato’ Abdul Aziz bin Ahmad, Peranan Masyarakat Dunia, Kuala Lumpur : Pustaka Ant Book Sdn Bhd, 1998,hlm.29.
[9] Ibnu Taimiyah, Etika Politik Islam , Kuala Lumpur : Risalah Rusdi Sdn Bhd, 2001,hlm.39.
[10] R. G. Collingwood, The Idea of History, New York : Winston and Millian Corp, 1987,hlm.7.
[11] Ibid,hlm.8.
[12] Ibid,hlm.9.
[13] Raja Ali Haji, Tuhfat al-Nafis, Sejarah Melayu dan Bugis, Kuala Lumpur : Pustaka Saujana Sdn Bhd, 1932,hlm.11.
[14] Ibid,hlm.12.
[15] Mahayuddin Haji Yahya, Pengertian Sejarah dan Permasalahannya, Kuala Lumpur : KDT Pustaka, 1998,hlm.31.
[16] Ibid,hlm.33.
[17] Abdul Aziz Ahmad, Kamus Za’ba, Kuala Lumpur : Pustaka Ansara Sdn Bhd, 2001,hlm.1006
[18] Yaakob Isa, Kamus Bahasa Melayu Klasik, Kuala Lumpur :Berita Publication Sdn Bhd,1997,hlm.164.
[19] Normah Abdullah, Kamus Lengkap Bahasa Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000,hlm.348.
[20] Abdul Aziz Rahman, Kamus Masyarakat, Kuala Lumpur : Federal Publication, 1999,hlm.630.
[21] Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah,hlm.6.
[22] Ibid, hlm.7.
[23] Ibid,hlm.8.
[24] Ibid,hlm.9.
[25] Coldwell, The Abcient World, New York : Richard and Winston Corp, 1965,hlm.34.
[26] H. E. Barnes, A History of Historical  Writing, New York : Richard and McMillian Corp, 1963,hlm.35.
[27] Gilbert J.Garraghan,A Guide of Historical Methode , New York : Fordham University Press, 1918,hlm.3.
[28] Mohd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1975, hlm.10.
[29] Mohd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah;
[30] P. Demieville, Chang Hu She and Historiografy, London : Oxford University Press, 1971,hlm.183.
[31] J.B. Burry, History as Service, New York : Vintage Book Publisher, 1973,hlm.223.
[32] R.G. Collingwood, Idea Sejarah , Kuala Lumpur : PTS Publisher, 1986,hlm.267.
[33] E.H. Carr, Apakah Sejarah ; Terjemahan Abdul Rahman Haji Ismail, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996,hlm.27.
[34] Talif al-Khindi , The Histories  of Masudi, Albany State : University of New York Press, 1975,hlm.32.
[35] Ibn Khaldun, al-Muqaddimah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1960, hlm.x.
[36] Poespowardojo, Salasilah Sejarah, Jakarta : Jakarta Limited, 1963,hlm.17.
[37] Mohd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah ; Falsafah, Pengertian, dan Kaedah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hlm.11.
[38] R.Suntharalingam,Pengenalan Kepada Sejarah,Kuala Lumpur : Maricon And Sons, 1985,hlm.14.
[39] Shaharom Hussein, Tawarikh Johor, Singapura : Singapura al-Ahmadiah Press, 1950, hlm.109.
[40] Ibid,hlm.110.
[41] E. H. Carr, Apakah Sejarah, hlm.28.
[42] Ibid, hlm.29.
[43] Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, hlm.10.
[44] Sidi Ghazalba,Pengantar Ilmu Sejarah, hlm.3.
[45] Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002,hlm.71.
[46] Ibid, hlm.72.
[47] R. Mohd Ali Ahmad, Apakah Teori Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998, hlm.62.
[48] Ibid, hlm.63.
[49] Abdul Rahman Hj Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, hlm. 2.

[50] Ibid, hlm.24.
[51] Karls Jaspers, The Origin and Goal Of  History, New Heaven : Yale University Press, 1965,hlm.28.
[52] Mohd Yusof Ibrahim, Pensejarahan Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, hlm.15.
[53] Dato’ Johan Jaafar, “Rancangan Malaysia Ke-9 Suatu Ilusi ?” , Berita Harian, hlm.25.
[54] Dr.Ibrahim Mahmud, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, Kuala Lumpur : Penerbitan Pustaka Antara, 1999, hlm.212.
[55] Ibid, hlm.213.
[56] Mustafa Haji Daud, Sejarah Melayu Menuju Kegemilangan, Kuala Lumpur : Penerbitan GST Sdn Bhd, 1999, hlm.128.
[57] Ibid, hlm.214.
[58] Athur Marwick, The Nature of History, New Jersey : Prentice Hall Co., 1922, hlm.29.
[59] Mohd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah : Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.29. 
[60] Gilbert J. Garraghan, A Guide of Historical Methode, hlm.27.
[61] Dato’ A. Samad Said, Sejarah Perjuangan Kemerdekaan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985, hlm.49.
[62] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur : Penerbitan Fajar Bakti Sdn Bhd, 1998, hlm.142.
[63] Mahayuddin Haji Yahya, Tamadun Islam dan Persoalannya, Kuala Lumpur : PTS Publication Sdn  Bhd, 1991, hlm.44.
[64] Mustafa Haji Daud, Sejarah Perjuangan Islam, Kuala Lumpur : GST Book Store Sdn Bhd, 2000, hlm.49.
[65] Ibid, hlm.50.
[66] Gatrude Himmelfarb, The New History, New Heaven : Yale University Press, 1923, hlm.58.
[67] E. H. Carr, The New Society, Boston : Beacon Press Limited, 1966, hlm.21.
[68] Mustafa Haji Daud, Sejarah Perjuangan Islam, hlm.50.
[69] Ibn Khaldun,al-Muqaddimah, hlm.238.
[70] Prof Dr. Yusof al-Qardhawi, Sejarah Islam, Kuala Lumpur : PTS Publication Sdn Bhd, 2001, hlm.158.
[71] Beverly Southgrate,  History : What and Why ?,New York : Taylor and Francis Group, 1987, hlm.87.
[72] R.Suntharalingam, Pensejarahan Alam Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998, hlm.120.
[73] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia,hlm.75.
[74] Ibid, hlm.79.
[75] Qasim Ahmad, Zaman Eropah Moden, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, hlm.148.
[76] Ibid, hlm.150.
[77] Rowse A. L, The Use of History,hlm.68.
[78] Raja Ali Haji, Tuhfat al-Nafis,Sejarah Melayu dan Bugis, hlm.42.
[79] Shaharom Hussein, Tawarikh Johor, hlm.47.
[80] Shellabear W. G, Sejarah Melayu, Kuala Lumpur : Penerbitan Fajar Bakti Sdn Bhd, 1992, hlm.45.
[81] Ibid, hlm.47.
[82] Mohd Yusof Ibrahim, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, hlm.39.
[83] Jr. Bourdman, History and Historian, New York : New York Press, 1965, hlm.121.
[84] Ibid, hlm.124.
[85] Leopold Von Ranke, Pensejarahan Alam Melayu (edisi terjemahan), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998, hlm.17.
[86] Dr. Ibrahim Nordin, Tunku Dalam Kenangan, Kuala Lumpur : Penerbitan Fajar Bakti, 1998, hlm.197.
[87] Ibid, hlm.201.
[88] Ibnu Taimiyyah, Politik Syarie, Kuala Lumpur : I Book Publication Sdn Bhd, 2005, hlm.49.
[89] Carl Becker, Heavenly City of Eighteenth Century Philosopher, New Heaven : Yale University Press, 1970, hlm.31.
[90] Ibnu Taimiyyah,Etika Politik Islam, hlm.52.
[91] Profesor Dr. Yusof al-Qardhawi, Malaysia dan Hala Tuju, Kuala Lumpur : Pustaka al-Hidayah Sdn Bhd, 1998, hlm.73.
[92] Dr. Masyukun Abdillah, Malaysia dan Demokrasi, Kuala Lumpur : GMP Sdn Bhd, 2001, hlm.45.
[93] Ibid, hlm.47.
[94] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malayan Union,Kuala Lumpur:Penerbitan Fajar Bakti Sdn Bhd,1995,hlm.158.
[95] Ibid, hlm.159.
[96] Wan Mohd Mahyiddin, Isu-isu Nasional, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, hlm.28.
[97] Profesor Dr. Nurcholish Madrid, Kerukunan dan Keagamaan, Kuala Lumpur : Kompas Publication Sdn Bhd, 2001, hlm.93.
[98] Dato’ Chameil Yahya, Islam Hadhari, Kuala Lumpur :  Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003, hlm.19.
[99] Ibid, hlm.22.
[100] Norazlan Syah Ahmad, Islam Hadhari dan Cabarannya, Kuala Lumpur : Utusan Melayu Publication Sdn Bhd, 2003 , hlm.28.
[101] Malek Bennabi, Teori Tamadun Islam, Kuala Lumpur : Pustaka Sarjana Sdn Bhd, 1969, hlm.22.
[102] Mustapha Hussein, Sejarah Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm.97.
[103] Laporan daripada Kementerian Penerangan dan Jabatan Kesenian Malaysia, Perkembangan Lakonan Melayu, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, hlm.25.
[104] W. G. Shellabear, Sejarah Melayu, Kuala Lumpur : Penerbitan Fajar Bakti, 1979, hlm.45.
[105] Raja Ali Haji, Tuhfat al-Nafis,Sejarah Melayu dan Bugis, hlm.45.
[106] Dato’ A. Samad Said,Sejarah Perjuangan Kemerdekaan, hlm.80.
[107] Mohd Zamberi Abdul Malik, Harimau Malaya, Bangi : Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm.58.
[108] Johanes Mardimin, Jangan Tangisi Tradisi Mereka, Kuala Lumpur :  Penerbitan Kanisus Sdn Bhd, hlm.105.
[109] Kua Kia Soong, Kenangan Tunku, Kuala Lumpur : Virlin Press Sdn Bhd, 2003, hlm.101.
[110] Ibid, hlm.101.
[111] Ibid, hlm.103.
[112] Kwong Kim Hong, Merdeka Malayan, Kuala Lumpur : Overseas Union Garden, 1984, hlm.95.
[113] Albert Lau, The Malayan Union Controversy, Bangi : Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, 1991, hlm.29.
[114] Ibid, hlm.32.
[115] N. L Gupta, Dato’ Onn Jaafar dan Memori, Kuala Lumpur : PTS Publication Sdn Bhd, 2002, hlm.149.
[116] Ibid, hlm.165.
[117] Wan Mohd Mahyiddin,Isu-Isu Nasional,hlm.29.
[118] Ibid,hlm.31.
[119] Bilcher Bala,Penyelidikan dan Penulisan Sejarah,hlm.2.
[120] Abdul Rahman  Hj Abdullah,Pengantar Ilmu Sejarah,hlm.60.

No comments:

Post a Comment