nuffnang

Thursday, June 13, 2013

SEJARAH MELAYU


         
  PENGENALAN



              Buku Sejarah Melayu merupakan sumber penting dalam membuat kajian

terhadap masyarakat melayu. Pengkajian sumber terhadap buku ini menimbulkan

perdebatan oleh para tokoh sejarah.Terdapat 32 versi atau naskah buku Sejarah

Melayu yang berbeza antara satu sama lain  yang tersimpan di perpustakaan seluruh

dunia. Namun dalam pengkajian terhadap sumber  sejarah,keaslian sumber boleh

dibahagikan kepada tiga klasifikasi iaitu keaslian sumber, kandungan sumber,dan

tujuan mengkaji sumber.[1] Oleh itu, dalam membuat kajian ahli sejarah perlu peka

kepada sifat-sifat sumber sejarah yang dirujuk. Pada peringkat awal mereka haruslah

meneliti beberapa perkara penting antaranya bilakah masa sesuatu  dokumen dihasilkan

dari segi tarikh  dokumen ditulis atau dicatat .Tajuk asal buku Sejarah Melayu ialah

Sulalat us-Salatin. Sejarah  Melayu telah diselenggara dan diterbitkan oleh beberapa

orang ahli sarjana seperti, W.G.Shellabear, C.O.Blagden, R.O.Winstedt, A.Samad

Ahmad dan beberapa sarjana yang lain. Naskah  Sulalat us-Salatin yang dikenali sebagai

Raffles  Malay 18 adalah salah sebuah daripada 32 naskah Sejarah Melayu.Karya ini

memaparkan hal bersabit asal-usul, ketulenan, dan kesahihan Sulalat us-Salatin,  corak

pensejarahan melayu serta perkembangan sebenar kesultanan Melayu Melaka.[2] Justeru

buku Sejarah Melayu wajar dijadikan sebagai sumber sejarah yang berwibawa.






KEWAJARAN BUKU SEJARAH MELAYU DIJADIKAN SEBAGAI SUMBER SEJARAH YANG BERWIBAWA



                        Hasil daripada pembacaan saya, saya berpendapat buku Sejarah Melayu

wajar digunakan sebagai sumber sejarah yang berwibawa. Hal ini dapat dikukuhkan

dengan adanya ciri-ciri kesejarahan dalam buku Sejarah Melayu .Pertama terdapatnya

fakta-fakta sejarah  atau sumber sejarah. Sumber sejarah merujuk kepada bahan-bahan

sejarah yang amat luas meliputi pelbagai sifat mengenai peristiwa sejarah pada masa

lampau. [3]   Wujudnya tokoh-tokoh sejarah dalam masyarakat melayu yang mewakili

golongan tertentu. Sultan Alaud Din Riayat  Syah merupakan  tokoh sejarah yang

mewakili golongan pemerintah. Tokoh sejarah dari golongan bangsawan pula diwakili

oleh Tun  Perak dan Hang Tuah pula mewakili golongan rakyat. Hal ini jelas

menunujukkan buku Sejarah Melayu wajar dijadikan sumber sejarah yang berwibawa

kerana sehinggah hari ini tokoh-tokoh  sejarah ini menjadi contoh kehebatan orang-orang

melayu.


             
                  Selain itu, buku Sejarah Melayiu juga menceritakan tentang asal-usul seperti

jurai keturunan raja-raja melayu yang dikatakan berasal daripada keturunan raja Iskandar

Zulqarnain iaitu anak Raja Darab yang berbangsa Rom dan berasal dari Makaduniah.

Seterusnya ada juga diceritakan asal-usul sesebuah negeri. Ia menceritakan bagaimana

sesebuah negeri ditemui dan mendapat namanya.Dalam Sulalat us Salatin ,




banyak peristiwa menceritakan asal-usul pembukaan negeri seperti Pasai, Temasik, dan

Melaka. Singapura asalnya dikenali sebagai Temasik dan sememangnya tercatat  dalam

sejarah. Semasa ketibaan Seri Teri Buana ke Temasik baginda telah melihat seekor Singa

sebesar kambing Randuk yang tangkas dan hebat. Sempena peristiwa itu nama Temasik

ditukar kepada Singapura sempena nama binatang tersebut.


                          Merah warnanya tubuhnya, hitam kepalanya, dan putih dadanya, sikapnya terlalu pantas dan perkasa, besarnya besar sedikit daripada kambing randuk (halaman 91).


Walaupun kedua-dua unsur asal-usul ini dikatakan mitos namun ia boleh diterima sebagai

fakta sejarah kerana unsur mitos merupakan kepercayaan kepada masyarakat. .

Ia diterapkan untuk menunjukkan ketinggian martabat raja melayu  dan kedaulatan

suatu tempat. Apabila  menjadi kepercayaan secara tidak langsung ia merupakan nilai

hidup masyarakat. Oleh itu wajarlah buku Sejarah Melayu digunakan sebagai sumber

sejarah yang berwibawa.



                 Dalam buku Sejarah Melayu juga terdapat ciri-ciri kebudayaan yang boleh

dianggap sebagai sumber sejarah. Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup

manusia dan masyarakat yang merangkumi unsur-unsur cultural universals seperti

sistem sosial, sistem ekonomi, sistem politik, sistem agama, moral, adat  istiadat,

undang-undang, kesenian, bahasa, ilmu pengetahuan dan sebagainya.[4]Kebudayaan dalam






buku Sejarah Melayu dapat dilihat dari sudut adat istiadat yang menjadi prinsip bagi

menjalankan pemerintahan untuk mewujudkan hak-hak antara raja dan rakyat. Dari

segi adat raja dikatakan mempunyai cara perhiasan iaitu  bahasa dalam (patik, beta)

pakaian, dan peralatan tertentu.Rakyat dikatakan tidak boleh menggunakan  benda-benda

ini kerana menjadi larangan di raja. Selain itu ada juga istiadat tertentu seperti perlantikan

raja yang mengamalkan sistem keturunan atau  wasiat, cara mengadap raja, adat

perkahwinan dan lain-lain. Istiadat menjadi satu peraturan dan akan dijalankan

mengikut  keadaan dan upacara tertentu. Fakta tentang budaya dalam  Sejarah Melayu

dapat  dikukuhkan lagi dengan adanya adat istiadat ini yang masih dikekalkan

sehingga sekarang. Contohnya bahasa istana ( patik , beta ), adat persandigan dalam

perkahwinan dan sebagainya.                      
                                                                                                         
               
            
                Sumber sejarah berikutnya yang boleh dijadikan bukti bahawa buku Sejarah

Melayu  berwibawa adalah berkaitan perkembangan ajaran Islam di Nusantara  dan

kedudukan agama Islam dalam masyarakat melayu Melaka. Dalam buku Sulalat us-

Salatin, Tun Bambang menceritakan tentang kedatangan agama Islam dan tokoh-tokoh

yang menyebarkannya. Selain itu turut diceritakan juga tentang pengislaman raja-raja

melayu. Perkembangan Agama Islam diceritakan bermula apabila Merah Silau

diislamkan oleh Fakir Muhammad. Merah Silau juga dikatakan telah bermimpi

didatangi  oleh Rasulullah S.A.W.

              
         




pada malam, maka Merah Silau pun tidur,maka ia bermimpi dirinya berpandangan dengan RasululLahi sallalLahu alayhi wasallam (halaman 107)”

Bermula daripada peristiwa itu, maka ajaran Islam diceritakan telah berkembang dan

ramai rakyat Melaka yang memeluk Islam. Ajaran Islam juga dapat dilihat dalam sistem

pemetrintahan dan pentadbiran. Raja menggunakan gelaran sultan, contohnya Merah

Silau  telah ditukar nama kepada sultan Malik al-Salih, istana dijadikan sebagai pusat

ilmu  pengetahuan dan adanya undang-undang bercorak Islam seperti Hukum Kanun

Melaka, undang- undang Laut Melaka dan sebagainya. Selain itu wujud juga hubungan

luar dengan kerajaan Islam yang lain.Contohnya perhubungan dengan kerajaan Islam

Pasai yang wujud apabila timbul kemusykilan berkaitan dengan syurga dan neraka dalam

kitab Duril – Maalum. Sehingga hari ini ajaran agama Islam masih kekal dan diamalkan

dalam kalangan masyarakat melayu.


                          
                       Dalam buku Sejarah Melayu juga menceritakan tentang Melaka sebagai

pusat  perdagagan  utama  dan  menjadi tumpuan para pedagang serta saudagar-saudagar

dari  Negara  Arab, China dan Benua Keling. Melaka mempunyai kedudukan yang

strategik dari segi geografi. Hal ini kerana Melaka terletak di tengah-tengah jalan sutera

iaitu jalan perdagagan antara China dan India. Melaka juga terkenal sebagai pelabuhan

entrepot  pada masa itu. Justeru itu jelaslah menunjukkan buku Sejarah Melayu boleh

digunakan  sebagai sumber sejarah yang berwibawa.








               Dalam penulisan Sejarah Melayu terdapat juga unsur-unsur anakronisme, yang

bermaksud kesalahan meletakkan susunan tarikh berhubung dengan sesuatu peristiwa

orang, tempat, bahasa, dan sebagainya. Contoh  latar peristiwa  yang mengisahkan

kerajaan Melayu Melaka wujud serentak dengan kerajaan Majapahit. Mengikut sejarah

sebenarnya Melaka wujud terkemudian seratus tahun daripada kerajaan Majapahit.

Walaubagaimanapun unsur anakronisme  ini tidak melemahkan kewibawaan sumber

sejarah dalam buklu Sejarah Melayu kerana unsur ini dimasukkan untuk meninggikan

taraf kerajaan Melayu Melaka setanding dengan kerajaan Majapahit.
                          



                Selain itu unsur mitos dan lagenda  yang wujud dalam masyarakat Melayu

tradisional  juga boleh menjadikan buku Sejarah Melayu sebagai sumber sejarah yang

berwibawa. Hal ini kerana unsur-unsur ini diadakan mempunyai matlamat dan tujuan

yang tersendiri, kita tidak boleh mempertikaikan unsur ini kerana ia sudah sebati

dengan masyarakat ketika itu. Antara tujuan unsur mitos dan lagenda diadakan

adalah untuk menggambarkan kedudukan serta martabat seseorang raja sebab itulah

ianya diadakan,  contohnya asal-usul raja melayu berasal daripada keturunan Iskandar

Zulqarnain diceritakan kerana baginda seorang yang terkenal dengan  kepahlawanan dan

ketokohannya. Begitu juga dengan lagenda Hang Tuah yang disemarakkan kerana Hang

Tuah merupakan laksamana yang  cerdik dan perkasa. Lagenda Hang Tuah dan Hang

Kasturi juga penting untuk menyatakan bahawa masyarakat melayu  perlulah mentaati





dan setia  kepada pemerintah. Hal ini jelas menunjukkan buku Sejarah Melayu wajar

digunakan sebagai sumber sejarah yang berwibawa walaupun bertentangan dengan

pengertian sejarah tetapi unsur mitos dan lagenda itu tercatat sebagai suatu kebenaran

menurut pandangan dunia dan nilai masyarakat melayu tradisional ,dalam konteks

tersebut ia adalah bercorak subjektif, bukan kebenaran yang bercorak objek.[5]



                Sindiran dan perbandingan didalam Sejarah Melayu tidak mencacatkan

kewibawaan Sejarah Melayu sebagai sumber sejarah. Tujuan sindiran dan

perbandingan  diterapkan adalah untuk mengkritik secara halus agar golongan tertentu

tidak tersinggung. Peristiwa peminangan Puteri Gunung  Ledang  memberitahu kita

secara tidak langsung tentang keburukan raja. Begitu juga episod  Sultan Mansur yang

beristeri lagi bukan untuk kasih sayang tetapi untuk mempamerkan kelebihan dan

kekuasaannya. Hal ini jelas menunjukkan buku Sejarah Melayu berwibawa untuk

dijadikan sebagai sumber sejarah kerana sindiran tidak mencacatkannya tetapi

memberitahu kita bahawa masyarakat melayu kaya dengan budi bahasa .
                     














     PENUTUP


                  Setelah mengkaji nilai- nilai kesejarahan dan tujuan karya penulisan yang

dilakukan, kita boleh membuktikan bahawa buku Sejarah Melayu wajar diterima sebagai

sumber sejarah yang berwibawa. Hal ini bersesuaian dengan pendapat Caldwell yang

mengatakan bahawa sejarah adalah peristiwa yang pernah berlaku pada masa lalu dan

juga ingatan yang tercatat tentang masa lalu itu.[6] Bottom bersama beberapa orang sarjana

lain menekankan Sejarah  Melayu adalah karya atau sumber sejarah yang penting, fakta

yang ditulis oleh sejarawan melayu dapat dicungkil oleh seseorang yang pakar serta

mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang  oleh periode berkenaan.[7] Karya

historiografi melayu tradisional tidak menolak bahawa sejarah melayu memang  boleh

digunakan untuk menyusun sejarah kemasyarakatan kerana karya tersebut merupakan

sumber sejarah yang penting. Buku Sejarah Melayu juga memberikan satu gambaran

yang jelas tentang kehidupan  di Melaka pada abad ke-15.[8] Secara konklusinya

jelaslah bahawa  buku Sejarah Melayu boleh dijadikan sebagai sumber sejarah yang

berwibawa.

     



[1] Rozeman Abu Hassan, 2004, Mengenali Dan Mentafsir Sumber Sejarah Shah Alam, Karisma Publication Sdn Bhd, hal 11
[2] Cheah  Boon Kheng,  1998,Sejarah Melayu ,Perepustakaan Negara Malaysia , The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society dan Academe Art and Printing Services Sdn Bhd, hal 8
[3] Rozeman Abu  Hassan ,2004, Mengenali Dan Mentafsir Sejarah ,Shah Alam , Karisma Publication Sdn Bhd, hal 8
[4] Abdul Rahman Haji Abdullah, 1994, Pengantar Ilmu Sejarah, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka  Dan USM.
[5] Dr.Ismail Hamid 1987, Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama,   . Petaling Jaya, Longman Malaysia Sdh Bhd  hal 191.
[6] Mohd. Yusof Ibrahim, 2000,Ilmu Sejarah Falsafah,Pengertian, dan Kaedah  Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
[7] Haron Daud, 1989,Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya, Kuala Lumpur ,Dewan Bahasa dan Pustaka
[8] Ibid, hal 4

No comments:

Post a Comment