nuffnang

Friday, May 9, 2014

1.0 PENGENALAN
          Mengikut sejarah Malaysia, Sabah dan Sarawak juga antara negeri yang tidak terlepas daripada menerima kemasukan pengaruh luar dalam pemerintahan. Sebelum abad ke-19, dapat dilihat bahawa sistem poltik Sabah dan Sarawak diterajui oleh ketua-ketua tempatan yang memerintah kawasan bedasarkan etnik masing-masing. Namun begitu, terdapat pengaruh  kuasa luar yang bertindak sebagai penguasa terutamanya dalam hal ehwal politik dan ekonomi iaitu Kesultanan Sulu dan Brunei. Masalah dalaman, huru-hara dan keinginan terhadap keuntungan perniagaan merupakan pencetus kepada kemasukan kuasa Eropah yang seterusnya telah membawa perubahan besar dalam mencorak sistem politik dan ekonomi di Sabah dan Sarawak.Ini dapat dibuktikan melalui apa yang berlaku di Sarawak di mana pemberontakan Datu Patinggi Ali menjadi punca utama yang telah membawa kepada penguasaan Brooke ke atas Sarawak.
            Penulisan  kami secara amnya akan menyentuh aspek-aspek berkaitan sejarah awal kedua-dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak yang merangkumi sistem politik awal dan pengaruh Kesultanan Brunei dan Sulu terhadap kedua-dua negeri ini.Seterusnya kami akan mengulas tentang bagaimana bermulanya kemasukan dan pengasasan James Brooke di Sarawak dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara di Sabah.     




2.0 SEJARAH AWAL SARAWAK SEBELUM ABAD KE-19
           Sebelum abad ke-19, Sarawak dikatakan berada di bawah kekuasaan kerajaan Srivijaya iaitu pada abad ke-10 hingga abad ke-13. Penguasaan kerajaan Srivijaya ke atas wilayah persisiran Sarawak telah membolehkan orang-orang Melayu dari Sumatera berhijrah dan menetap di kawasan persisiran Sarawak. Orang Melayu, ketika itu telah membuka penempatan mereka di Santubong yang merupakan pelabuhan Entrepot yang terpenting di Nusantara.[1] Hal ini telah dibuktikan dengan penemuan bahan artifak seperti, pasu zaman Dinasti Han China di Santubong. Berkenaan dengan pasu tembikar tersebut, orang Sarawak menggelarkannya sebagai “ tajau” dan masih disimpan di Sarawak hingga kini oleh orang Iban terutamanya puak Bidayu. Mereka menganggap tajau tersebut sebagai benda suci dan sepatutnya dihormati.[2] Setelah kejatuhan kerajaan Srivijaya pada kurun ke-13, Sarawak telah dikuasai oleh kerajaan majapahit. Seorang putera Raja Majapahit iaitu, Raden Menteri Dipati Jepang telah berhijrah ke Sarawak pada kurun ke-15 dan berkahwin dengan Datu Permaisuri yang merupakan anak perempuan kepada Raja Jarom Jawa di Johor sebelum berhijrah ke Sarawak. Pada masa itu, beberapa buah tempat di bahagian barat Kalimantan, Borneo telah ditakluk oleh Majapahit. Hal ini dibuktikan apabila, Orang Iban puak Bidayu di Sarawak menyebut nama tuhan mereka dengan perkataan “ Jewata” yang berasal daripada bahasa Hindu asli dan dipercayai bahasa tersebut di bawa ke Sarawak pada masa kerajaan Hindu Majapahit menguasai wilayah di Nusantara ini.[3]



3.0 SISTEM POLITIK MASYARAKAT SARAWAK SEBELUM
      PENGASASAN BROOKE
                   Masyarakat Sarawak Bumiputera Asli terdiri daripada Orang Ukit, Orang Bukitan, Orang Punan dan Orang Dayak. Selain itu, terdapat juga bangsa lain seperti Kayan, Kenyah, Kedayan, Murut, Iban, Melanau, Bisaya dan Melayu. Bagi Orang Melanau, sesetengah masyarakatnya beragama Islam dan ada juga yang beragama Kristian dan Pagan. Mereka tinggal di Tanjong Kedorong dan Kuala Rejang. Orang Melanau dianggap sebagai “ pagan” dan diperintah oleh ketua masing-masing. Kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai pengutip cukai, hakim tempatan dan pembantu Pegawai Daerah.[4] Selain Orang Melanau, di Sarawak juga terdapat orang Murut di mana seorang ketua akan di pilih dalam kalangan ahli komuniti untuk mengetuai masyarakat Murut. Dalam masyarakat Murut, orang tua memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan serta memberikan perlindungan kepada mereka. Manakala golongan agama dan Bobohizan pula memainkan peranan penting dalam upacara keagamaan.[5]
            Selain itu, masyarakat Iban di Sarawak merupakan suku kaum majoriti yang menetap di Sarawak.[6] Masyarakat ini dikatakan berasal dari Kepulauan Riau-Lingga.[7] Dalam kalangan mereka seorang penghulu akan dilantik daripada 20-30 buah rumah panjang. Penghulu tersebut bertanggungjawab dalam mengekalkan peraturan dan kawasan yang didiami mereka. Di samping itu juga, setiap pintu atau bilik akan dilantik seorang ketua yang dikenali sebagai “ Tuai Bilek”. Masyarakat seterusnya yang mendiami Sarawak ialah Orang Melayu (sebelum kedatangan Islam) yang kebanyakannya berasal dari Sumatera. Mereka tinggal di daerah Kuching, Sadung Simanggang dan Sibu. Pemerintah yang terkenal dalam kalangan Orang Melayu ialah Datuk Andi dan anak-anaknya yang terdiri daripada seorang perempuan dan empat lelaki iaitu, Datuk Permaisuri yang memerintah Kuching, Datuk Kembali yang memerintah Saribas, Datuk Terawah yang memerintah Sg. Samarahan, Datuk Sabtu yang memerintah Sg. Rajang dan Datuk Makam yang memerintah bahagian hulu Sungai Sarawak.[8]













4.0 SARAWAK DALAM TAHUN 1839
          Pada abad ke-19, Sarawak diperintah oleh Kesultanan Brunei. Sultan Brunei telah melantik beberapa pembesar baginda untuk memerintah Sarawak. Antara pembesar tersebut ialah Syarif Sahap yang menjadi ketua di daerah Sg. Skrang iaitu cabang batang Sg. Lupar di Sarawak. Selain itu, Sultan Brunei juga telah melantik Pangeran Mahkota dan Datu Patinggi Ali untuk memerintah di Kuching. Semasa pemerintahan Pangeran Mahkota di Kuching, beliau telah bertindak zalim terhadap orang Melayu, Bidayu dan Cina yang diketuai oleh Datu Patinggi Ali ketika itu. Pangeran Mahkota dan pegawainya telah bertindak mengambil beras, ikan, sarang burung yang merupakan hasil bagi Orang Melayu, Bidayu dan Cina tanpa membayar harga barang tersebut. Beliau telah mengenakan cukai yang mesti di bayar kepadanya oleh orang-orang Datu Patinggi Ali.[9]
            Akibat daripada tindakan Pangeran Mahkota, Datu Patinggi Ali bersama-sama dengan Orang Melayu , Bidayu dan Cina menentang pihak Pangeran Mahkota dan orang-orang besar Brunei. Penentangan yang dilakukan bertujuan untuk membebaskan Sarawak dari pemerintahan pembesar Brunei yang zalim. Datu Patinggi Ali telah menghantar utusannya ke Betawi untuk meminta pertolongan daripada Kompeni Belanda tetapi, tidak mendapat perhatian daripada kompeni tersebut. Keadaan tersebut telah menyebabkan Sultan Brunei telah menghantar Pangeran Muda Hashim untuk memadamkan pemberontakan tersebut. Walaubagaimanapun, kehadiran Pangeran Muda Hashim tidak diendahkan oleh Pangeran Mahkota yang terus menentang Datu Patinggi Ali.[10]

5.0 KEDATANGAN JAMES BROOKE KE SARAWAK
          Pada awal 1939, sebuah kapal Inggeris telah karam di laut yang terletak tidak jauh dari laut pantai bandar Sarawak. Pangeran Muda Hashim telah memberikan pertolongan serta makanan dan minuman kepada orang Inggeris (kelasi kapal) yang karam itu dan telah menghantar mereka ke Singapura. Pertolongan yang diberikan oleh Pangeran Muda Hashim telah mendapat penghargaan daripada Gabenor dan ahli dewan perniagaan Singapura melalui penghantaran ucapan serta hadiah kepada Pangeran Muda Hashim. Mereka telah meminta pertolongan daripada James Brooke untuk menghantar ucapan terima kasih serta hadiah kepada Pangeran Muda Hashim di Sarawak. James Brooke bersetuju dan telah memulakan pelayarannya dengan kapal “ Royalist” ke Sarawak untuk menemui Pangeran Muda Hashim.[11] Pada 15 Ogos 1839, James Brooke telah berlabuh di Sg. Sarawak yang bertentangan dengan rumah Pangeran Muda Hashim ketika itu. James Brooke telah menemui Pangeran Muda Hashim dan menyampaikan ucapan serta hadiah daripada Gabenor dan ahli dewan perniagaan Singapura. Semenjak peristiwa itu, kedua-dua mereka menjadi sahabat baik dan James Brooke telah menetap di Sarawak selama sebulan. James Brooke telah meninggalkan Sarawak dan Pangeran Muda Hashim telah meminta James Brooke datang kembali ke Sarawak.




6.0 JAMES BROOKE DILANTIK SEBAGAI RAJA SARAWAK
           Setahun selepas itu, James Brooke datang kembali ke Sarawak pada 29 Ogos 1840 untuk menemui Pangeran Muda Hashim. James Brooke mendapati, keadaan di Sarawak tidak terkawal kerana terdapat penentangan yang diketuai oleh Datu Patinggi Ali terhadap Pangeran Mahkota dan Pangeran Muda Hashim.[12] Pangeran Muda Hashim telah meminta pertolongan James Brooke untuk mengamankan Sarawak dan berjanji untuk menyerahkan Seniawan dan Sarawak kepada James Brooke sekiranya berjaya mengamankan Sarawak. Beliau juga berjanji untuk memberikan gelaran Raja Sarawak kepada James Brooke sekiranya keadaan di Sarawak kembali aman. Tawaran tersebut telah menarik perhatian James Brooke lantas membawa askarnya seramai 10 orang putih dari kapal “ Royalist” bersama-sama dengan 2 buah meriam besar naik ke darat untuk menentang Datu Patinggi Ali. Dalam penentangan tersebut, James Brooke telah bergabung bersama dengan Pangeran Muda Hashim untuk menentang Datu Patinggi Ali di Lidah Tanah. Namun begitu, penentangan terhadap Datu Patinggi Ali menemui kegagalan.[13]
            Pada 20 Disember 1840, berlaku pertempuran di Sekudis antara pasukan James Brooke yang bersatu dengan Pangeran Muda Hashim menentang pasukan Datu Patinggi Ali. Dalam pertempuran tersebut, Pangeran Matusin ( Muhammad Husain) serta beberapa pengikut daripada kalangan orang Melayu, Cina dan Bidayu telah menemui James Brooke untuk berdamai. Permintaan untuk berdamai telah dipersetujui oleh James Brooke dan mereka meminta James Brooke untuk menjadi Raja Sarawak.[14] Hubungan baik antara Datu Patinggi Ali dengan James Brooke telah dicemburui oleh Pangeran Muda Hashim dan beliau telah bertindak untuk bekerjasama dengan Pangeran Mahkota menentang James Brooke.
            Pada tahun1841, Pangeran Mahkota telah menghantar seramai 2500 orang Iban dari Sg. Skrang ke Kuching untuk membuat huru-hara dan membunuh orang Melayu, Cina dan Bidayu yang menyebelahi James Brooke dan Datu Patinggi Ali. Ekoran daripada tindakan tersebut, James Brooke telah membawa askarnya dari kapal “Royalist” dan “ Swift” yang lengkap bersenjata dengan senapang serta meriam naik ke darat untuk menentang orang Iban.[15]Penentangan telah berjaya dipatahkan oleh James Brooke dan askar-askarnya dan menyebabkan orang Iban pulang semula ke Sg. Skrang. Ini bermakna rancangan jahat Pangeran Mahkota untuk menjatuhkan James Brooke telah gagal.
            Orang-orang Melayu, Cina dan Bidayu yang menyokong James Brooke telah mendesak James Brooke dilantik menjadi Raja Sarawak. Tindakan Pangeran Mahkota yang berterusan ingin menghalau James Brooke keluar dari Sarawak telah menyebabkan James Brooke membawa kapal “Royalist” ke Sg. Sarawak yang berhampiran dengan istana Pangeran Muda Hashim dan menghalakan meriam ke arah istana Pengeran Muda Hashim. Beliau telah mendesak Pangeran Muda Hashim supaya menghalau Pangeran Mahkota keluar dari Sarawak.[16] Ekoran desakan yang di buat oleh James Brooke itu, Pangeran Muda Hashim telah bertindak memecat Pangeran Mahkota daripada jawatannya sebagai wakil Sultan Brunei.
            Pada 24 September 1841, satu perhimpunan telah diadakan yang melibatkan penduduk Sarawak di tanah lapang di bandar Kuching. Ketika peristiwa tersebut, Pangeran Muda Hashim telah mengisytiharkan James Brooke sebagai Gabenor dengan membawa gelaran “Raja Sarawak”.[17] Satu surat perjanjian pertukaran pemerintahan Sarawak telah diberikan kepada Brooke sebagai bukti James Brooke dilantik sebagai Raja Sarawak. Antara isi kandungan perjanjian tersebut ialah James Brooke akan menjadi tuan punya kepada hasil cukai yang diperolehi di Sarawak. Selain itu, James Brooke juga akan mengakui bahawa undang-undang dan adat istiadat orang Melayu di Sarawak hendaklah sentiasa di hormati dan di pelihara kerana negeri Sarawak tertakluk kepada Sultan Brunei, Pangeran Muda Hashim dan Raja-Raja Melayu.[18]
            Apabila James Brooke menjadi Raja Sarawak, beliau telah bertindak memecat orang-orang besar Brunei dan melantik ketua-ketua orang Melayu untuk memegang jawatan dalam kerajaan. Pada awal tahun 1842, James Brooke telah menggubal undang-undang yang mudah difahami dalam bahasa Melayu sebanyak 8 fasal.[19] 







7.0 PENYERAHAN SARAWAK OLEH SULTAN BRUNEI PADA 1842
          Pada 14 Julai 1842, James Brooke telah ke Brunei untuk mendapatkan pengesahan daripada Sultan Brunei mengenai perlantikannya sebagai Raja Sarawak.[20] Semasa berada di Brunei, James Brooke telah berunding dengan Sultan Umar Ali Saifuddin II yang ketika itu menjadi Sultan Brunei.[21] Pada 1 Ogos 1842, baginda telah membuat satu perjanjian dengan James Brooke mengenai penyerahan Sarawak dan segala cukai yang diperolehi di Sarawak. James Brooke dikehendaki membayar sebanyak $2500 setiap tahun kepada Sultan Brunei. James Brooke juga tidak boleh menyerahkan negeri Sarawak kepada pihak lain tanpa persetujuan daripada Sultan Brunei. Selain daripada itu juga, James Brooke diingatkan agar tidak sesekali menggangu agama serta adat istiadat yang diamalkan oleh penduduk Sarawak. Setelah selesai, James Brooke telah kembali semula ke Sarawak bersama-sama dengan surat perjanjian tersebut.[22]            








8.0 SEJARAH AWAL SABAH
                  Sistem politik awal disabah sebelum kedatangan Inggeris diperintah oleh dua sistem kesultanan iaitu Kesultanan Sulu dan juga Kesultanan Brunei. Pada masa tersebut sistem politik di Sabah dibahagikan kepada tiga sistem politk iaitu sistem politik kesultanan, sistem politik kesukuan dan juga sisitem politik ketua bebas.

8.1 SISTEM POLITIK SEMASA KESULTANAN BRUNEI.
SISTEM POLITIK KESUKUAN
                        Sistem politik kesukuan yang diamalkan di Sabah diamalkan oeh kebanyakkan suku kaum, ini termasuklah kaum Dusun, Murut, Orang Sungai serta beberapa kaum minoriti lain lagi di Sabah. Setiap kaum ini  mempunyai identiti yang berbeza.Setiap kaum mempunyai ketua yang berbeza yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal komuniti kaumnya, sistem poltik ini dikatakan berdasarkan ikatan kekeluargaan dan juga sanak saudara. Sistem politik ini juga dikatakan banyak dipengaruhi oleh sistem adat. Mengikut adat mereka lebih mengutamakan golongan tua dan golongan ini diberi keutamaan dalam menerajui pentadbiran dan kebiasaanya mereka akan memegang jawatan ketua kampung. Ketua kampung pastinya yang dipilih itu mempunyai kredebiliti sebagai seorang pemimpin iaitu mempunyai keberanian, kebijaksanaan serta adil dan saksama ini bagi menjamin keharmonian dalam masyarakat yang ditadbirnya. Selain itu kemahiran dan pengetahuan yang luas terutamanya dalam adat, tradisi, dan salasilah keturunan juga perlu diketahui oleh ketua kampung tersebut. Peranan ketua kampung bukan sahaja berat kerana dia dianggap sebagai ketua bukan sahaja kepada dirinya tetapi kepada masayarakat. Antara tugas ketua kampung ialah memelihara keamanan, memimpin kampungnya dalam peperangan, bertindak sebagai hakim, penyiasat pentaksir serta tugas-tugas yang lain[23]. Dalam pada masa yang sama ketua tidak dibayar gaji ketika melaksanakan tugasnya.Ketua amat dihormati ketika dikampungnya, menurut Rutter dalam mengerjakan sawah padi ia dibantu oleh orang kampungnya sendiri dan dia akan diajak ke majlis-majlis keramaian[24].
                                 Peranan ketua kampung terutamanya dalam bidang kehakiman amatlah penting kerana bagi menjamin institusi sosial yang diperintahnya dalam keadaan amani dan damai. Ketua yang dilantik haruslah bijaksana dan adil ketika membuat keputusan .selain itu ketua juga berperanan ketika berlakunya perebutan atau pertikaian harta pusaka disamping menghakimi dan menguatuasakan undang-undang dan menjalankan hukuman sekiranya berlaku sumbang muhrim atau zina dikalangan masyarakatnya[25].
                                 Selain itu majlis kampung yang terdapat dikampung merupakan institusi sosial yang kedua terpenting selepas ketua kampung. Badan ini merupakan badan yang bertanggungjawab dalam memilih ketua kampung dan merangkap sebagai pembantu kanan kepada ketua kampung. Badan ini dianggotai oleh kebanyakkan orang tua dikampung tersebut serta menjadi institusi terpenting untuik menyelesaikan apa saja masalah yang berkaitan orang kampung[26].
                                 Selain majlis kampung terdapat golongan yang dominan selepasnya iaitu golongan agama .Golongan ini merupakan golongan yang diberi pengiktirafan yang tinggi oleh masyarakat kerana kewibawaanya dalam bidang agama. Golongan ini begitu sinonim dengan sebagi pendukung kepada adat serta perubatan tradisional.  Mereka diberi kepercayaan dalam merawat pesakit. Golongan ini juga menjadi tunjang kepada masyarakat dalam memandu mereka kearah sikap yang baik serta mengikut adat serta lunas-lunas dalam masyarakat[27].
SISTEM POLITIK KESULTANAN.
                                 Sistem pentadbiran di Sabah dibahagi kepada dua bahagian iaitu dibahagian pantai timur ia diperintah oleh Datu-Datu dari Kesultanan Sulu manakala dibahagian baratnya pula ia diperintah oleh wakil Kesultanan Brunei. Dibawah pentadbiran Kesultanan Brunei sungai-sungai serta penduduknya dibahagi kepada tiga bahagian.[28] Pertama sungai dan penduduknya disifatkan sebagai sungai kerajaan dan penduduknya sebagi hamba kerajaan, manakala kategori kedua pula dipunyai oleh empat orang wazir negeri yang digelar sebagai sungai kuripan iaitu menteri yang berada dibawah pemarintahan Kesultanan Brunei. Manakala yang ketiga pula dikenali sebagai sungai Tulen yang dimiliki oleh sultan ataupun golongan bangsawan dimana ia merupakan pemilikan persendirian.[29] Pada asasnya pemilikan tanah serta penduduk adalah milik sultan namun apabila kewujudan golongan bangsawan Brunei menyebabkan pembahagian kuasa antara mereka. Golongan ini mempunyai kuasa tersendiri dikawasan yang diperintah oleh mereka, pemilikan ini menjadikan mereka berkuasa terutamanya dalam sumber kekuasaanya serta sumber pendapatanya.
SISTEM KETUA BEBAS
                                 Kategori ketiga dalam sistem politik di Sabah pula ialah Ketua Bebas. Kebanyakkan ketua bebas ini mempunyai pertalian secara langsung dengan kesultanan Brunei, sulu ataupun keturunan Arab Sahif. Mereka ini wujud kerana keberanian, ketangkasan,dengan mencabar kekuasaan sultan yang berada di pesisir pantai[30] . golongan ini mempunyai kekuasaan sendiri dalam menolak undang-undang seta menentukan undang-undangnya sendiri. Golongan ini juga tidak mengiktiraf kedaulatan sultan kerana menganggap mereka mempunyai kuasa serta autoritinya sendiri.

8.2 SISTEM KESULTANAN SULU
                        Sulu merupakan sebuah kerajaan yang agak terkemuka dan dikatakan mengalami zaman keagungannya sekitar abad ke-18 serta abad ke-19. Suatu ketika dahulu,  penduduk daerah pantai Timur Borneo juga dikatakan telah membayar ufti kepada Sultan Sulu tetapi keadaan ini telah diberhentikan oleh masyarakat tempatan sendiri[31]. Menurut Casino dalam bukunya yang bertajuk The Jawa Mapun (1976) menerangkan bahawa dalam kerajaan sulu ini terdapat tiga golongan pentadbir atau pembesar utama iaitu Datu, Pangeran, serta Syarif. Gelaran Datu merupakan gelaran yang amat terkenal dalam masyarakat Filipina sebelum kedatangan kuasa Sepanyol lagi. Gelaran Pangeran pu;la merupakan gelaran yang berasal daripada pembesar Jawa yang didapati  di Mindanau, Sulu, dan Borneo. Manakala gelaran bagi sarif atau syarif pula merupakan gelaran yang sama seperti Syed yang berasal daripada perkataan arab yang membawa maksud tuan ataupun pembesar. Gelaran ini bukan sahaja untuk golongan tertentu tetapi juga untuk diberikan kepada golongan tertentu untk membuktikan kekuasaanya. Dikatakan  Datu  merupakan pembesar tertinggi dalam sistem kesultanan Sulu tetapi kuasa Datu ini hanyalah terbatas kepada kawasan yang dimilikinya sahaja kecualilah mereka mendapat sokongan daripada Sultan Sulu untuk meluaskan kuasa atau pengaruhnya. Sultan sulu menguasai pendalaman Sabah dan kekuasaan ini adalah melalui sultan itu sendiri ataupun pembesarnya iaitu Datu. Secara teorinya dikatakan sultan merupakan ketua agama dan politik tetapi realitinya kekuasaan sultan bergantung kepada kekayaanya, personaliti, dan sumber kewangannya dimana barulah dia boleh bersaing dengan Datu. Kerajaan sulu tidak mempunyai pentakrifan yang baik terutamanya dalam struktur institusi korporat di peringkat pusat. Kelemahan dan kekuatan sultan terletak dibawah kekuasaan Datu dimana jika Datu itu patuh kepada sultan maka sultan itu akan berkuasa dan begitulah sebaliknya. Sultan kadangkala menggunakan sistem pembuangan atau pelupusan sekiranya kuasa Datu melebihi mereka kerana mahu menjaga kekuasaanya. Untuk membuktikan kekuasaannya, sultan sulu menyuruh supaya dibacakan namanya ketika khutbah jumaat berlangsung. Manakala kekuasaan Datu pula akan disahkan melalui cop atau edik dimana ia biasanya akan dibacakan di mahkamah.









9.0 KE ARAH PEMBENTUKAN SYARIKAT BERPIAGAM BORNEO UTARA 1881
Sebelum tertubuhnya Syarikat Berpiagam Borneo Utara, Sabah dikendalikan oleh secara persendirian oleh individu-individu tertentu.  Hal ini berlaku kerana Sultan Brunei tidak berminat untuk membangunkan Sabah sebagai bidang ekonomi sebaliknya hanya menyerahkan tanah untuk dipajak untuk menghasilkan keuntungan.  Antara yang terawal mengusahakan kawasan di Sabah ialah  Lee Mosess yang telah mendapatkan 2 konsesi pajakan daripada Sultan Brunei pada ketika itu.  Namun, Mosess juga melihat kawasan yang beliau perolehi lambat berkembang serta keuntungan yang beliau perolehi pula adalah sedikit.  Oleh itu, beliau telah mengambil keputusan untuk menjual pajakan tersebut kepada dua orang rakyat Amerika di Hongkong iaitu William Torres dan B. Harris serta seorang pedagang cina pada ketika itu iaitu Wong Han.
  Torres telah menubuhkan The American Trading Company yang telah ditaja oleh British.[32]  Torres juga telah menjalankan aktiviti penanaman komersial seperti tebu, lada dan padi namun perusahaannya juga mengalami kerugiaan.  Torres pula telah menjual semula hak pajakannya kepada Gustavo Baron de Overback pada tahun 1877.  Overback cuba menarik minat pelabur asing untuk melabur dalam perusahaannya tetapi tidak berjaya.  Overback kemudiannya telah menawarkan perkongsian kepada adik beradik Dent untuk meluaskan modalnya.
Pada tahun 1877, seorang Inggeris bernama Alfred Dent telah mendahulukan modal bagi membolehkan konsul besar Austria di Hongkong, Baron von Overback membeli kawasan pajakan Amerika di Borneo Utara yang belum diusahakan itu yang akan tamat tempohnya.  Dengan sokongan kuat daripada William Treacher, Gabenor muda di jajahan takluk Inggeris Labuan (kemudiannya menjadi Residen-Jeneral kedua di NNB), Overback telah merundingkan kawasan pajak yang baru seluas 17 252000 hektar dari Sultan Brunei dengan bayaran sebanyak $15 000 setahun.  Satu ciri penting dalam perjanjian ini adalah Borneo Utara dari semua segi adalah bebas dari kerajaan Brunei.  Tidak lama kemudian, dengan ditemani oleh Treacher, Overback telah pergi ke Jolo iaitu ibukota Sulu.  Di sana, Sultan Sulu telah menyerahkan hak-haknya di Borneo Utara dengan sewa setahun sebanyak $5000 dan menjadikan Overback ‘agung dan merdeka’.[33] Pada 22 Januari 1878, satu perjanjian telah ditandatangani dan Sultan Sulu bersetuju menyerahkan kesemua tanah dan hak pertuanan meliputi kawasan dari Sungai Sibuku hingga Sungai Padasan di Sabah kepada syarikat kepunyaan Overbeck dan Dent.[34]
Pada September 1880, Overbeck menjual hak miliknya dalam syarikat perkongsian itu kepada Alfred Dent setelah gagal mendapat bantuan kewangan untuk menjalankan perniagaan di Sabah. Ini menjadikan Dent sebagai pemilik tunggal konsesi di Sabah, tetapi beliau tidak mempunyai cukup modal untuk menjalankan perniagaan secara bersendirian.[35] Dengan bantuan orang saudagar British, Dent menubuhkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Persatuan Sementara Borneo Utara British Berhad (British North Borneo Provisional Association Limited). Beliau menjual saham syarikat untuk mendapatkan modal dan memohon piagam diraja daripada kerajaan British.[36]
Piagam ini merupakan titik tolak penting kepada perkembangan syarikat yang telah ditubuhkan oleh Overbeck kerana ini menandakan peningkatkan nilai perniagaan syarikat hasil daripada pengiktirafan kerajaan British serta mendorong kepada pengukuhan kuasa British sebagai kuasa Barat tunggal yang bertapak di Sabah. Pada 1 November 1881, kerajaan British bersetuju memberi piagam diraja kepada Persatuan Sementara Borneo Utara British Berhad. Sejak itu nama syarikat ini telah ditukar kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara (British North Borneo Chartered Company)[37] 













10.0 KESIMPULAN
            Secara keseluruhannya dapat disimpulkan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai sistem pentadbiran yang tersendiri sungguhpun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya. Keadaan ini berbeza dengan situasi di negeri-negeri Melayu dimana pemerintahan didominasi oleh pembesar-pembesar berbangsa Melayu berasaskan sistem kesultanan Melayu melaka. Dapat  dikatakan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai pelbagai kaum dan setiap kaum itu mempunyai ketua masing-masing. Walaubagaimanapun, corak pemerintahan awal ini telah berubah dengan kemasukan pengaruh daripada kesultanan Brunei, Sulu dan seterusnya Barat.
           









11.0 BIBLIOGRAFI
www.wikipedia.org/ sejarah Sarawak

Haji Buyong Adil, Sejarah Sarawak, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1974.
Bob Reece, The White Rajahs of Sarawak : A Borneo Dynasty, Archipelago Press, Singapura: 2004.
Ismail Yusof, Politik dan Agama di Sabah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor: 2004.
D.S Ranjit singh, The Making Of Sabah 1865-1941, Universiy Malaya Press, Kuala Lumpur: 2003.
Ismail Yusof, Politik dan Agama di Sabah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor:  2004.
Dr. Nazir Hj Abdullah, Sejarah Malaysia, (Pentadbiran British), Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor: 2004.
Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Macmillan Publishers(M) Sdn. Bhd, Kuala Lumpur: 1982.
K. G. Tregonning, Under Chartered Company Rule(North Borneo 1881-1946), University of  Malaya Press, Singapore: 1958.        
A. F. Porter, Land Administration in Sarawak, Kuching: 1967.








[1] www.wikipedia.org/ sejarah Sarawak
[2] Haji Buyong Adil, Sejarah Sarawak, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur: 1974, hlm. 2.
[3]A. F. Porter, Land Administration in Sarawak, Kuching: 1967, hlm 10.
[4] Ibid, hlm. 5.
[5] Ibid, hlm. 6.
[6] Ibid, hlm. 5.
[7] Ibid, hlm. 7.
[8] Ibid, hlm. 8.
[9]Ibid, hlm. 10.
[10] Ibid, hlm. 11.
[11] Ibid, hlm. 13.
[12] Ibid, hlm. 17.
[13] Ibid, hlm. 14.
[14] Ibid, hlm. 19.
[15] Ibid, hlm. 19.
[16] Bob Reece, The White Rajahs of Sarawak : A Borneo Dynasty, Archipelago Press, Singapura: 2004, hlm. 25.
[17] Ibid, hlm. 20.
[18] Ibid, hlm. 21.
[19] Ibid, hlm. 22.
[20] Bob Reece, The White Rajahs of Sarawak : A Borneo Dynasty, Archipelago Press, 2004, Singapura, hlm. 25.
[21] Ibid, hlm. 27.
[22] Ibid, hlm. 27
[23] Ismail Yusof, Politik dan Agama di Sabah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor: 2004, hlmn 35
[24] D.S Ranjit singh, The Making Of Sabah 1865-1941, Universiy Malaya Press, Kuala Lumpur: 2003, hlmn 206
[25] Ibid, hlmn 47
[26] Ibid, hlmn 36
[27] Ibid, hlmn 36
[28] Ibid,hlmn 37
[29] D.S Ranjit singh, The Making Of Sabah 1865-1941, Universiy Malaya Press, Kuala Lumpur, 2003, hlmn 66
[30] Ismail Yusof, Politik dan Agama di Sabah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor:  2004, hlmn 38.
[31] Dr. Nazir Hj Abdullah, Sejarah Malaysia, (Pentadbiran British), Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor: 2004, hlmn 206.
[32] Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Macmillan Publishers(M) Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 1982, ms 214.
[33]Ibid., ms 215.
[34] K. G. Tregonning, Under Chartered Company Rule(North Borneo 1881-1946), Singapore: University of  Malaya Press, 1958, hlm 14.
[35] Ibid, hlm 25.
[36] Ibid, hlm 27.
[37] Ibid, hlm 27.