nuffnang

Friday, May 9, 2014

1.0 Pengenalan.

            Menyelusuri sorotan peristiwa dan kronologi cerita tentang perjuangan orang Melayu menentang salah satu kuasa imperialis Barat iaitu Belanda, pastinya minda kita mengimbas kembali detik-detik penentangan orang Melayu terhadap Belanda di Melaka sejak tahun 1782 hingga 1784. Kebenaran di sebalik tabir peristiwa atau adegan ini sebenarnya amat berlainan permulaan dan pengakhirannya. Sebelum Bygis mula berkuasa dalam pentadbiran di Johor, hubungan Johor dengan Belanda amatlah baik sejak tahun 1641 lagi kerana Johor telah membantu Belanda untuk merampas Melaka dari kuasa Portugis. Kepincangan jalinan ini bermula setelah peristiwa kapal Betsy yang berlabuh di Pelabuhan Riau di Pulau Bayan. Belanda telah berpakat dengan Perancis untuk merampas segala muatan berisi candu dalam kapal tersebut dan membahagikan harta rampasan tersebut antara Belanda dengan Perancis sahaja. Apabila perkara ini sampai kepada pengetahuan Raja Haji, beliau mula marah kerana jelas menunjukkan Belanda telah memungkiri janji perjanjian yang telah termaktub sebelum ini. Akhirnya wujudlah permusuhan yang ketara antara Johor dan Belanda namun tidaklah bererti wujud peperangan antara Johor dengan Belanda ketika ini dan Cuma hanya wujud bibit-bibit permusuhan atau fenomena “bermasam muka”






2.0 Tokoh yang terlibat dalam peperangan dengan pihak Belanda.
Raja Haji.

            Nama sebenar Raja Haji ialah Raja Haji Bin Opu Daeng Chelak. Raja Haji merupakan salah seorang daripada raja-raja Bugis lima bersaudara. Raja Haji telah dilahirkan di Kota Lama Hulu Sungai Riau iaitu pada tahun 1139 Hijrah. Raja Haji dikatakan sebagai salah seorang daripada Raja-raja Bugis lima bersaudara kerana ayahnya berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis iaitu di negeri Luwuk manakala ibunya berasal dari keturunan raja-raja Melayu. Raja Haji telah terlibat dengan satu persetiaan bersaksikan Al-Quran di mana dia dan raja-raja Bugis yang lain telah mengakui bersaudara dengan pihak Raja Sulaiman untuk saling tolong menolong menerusi persetian yang dikenali sebagai Persetian Marhum Sungai Baru.[1] Selain persetiaan tersebut, Raja Haji juga telah terlibat dalam perkahwinan beramai-ramai antara raja-raja Bugis dengan raja-raja Melayu Johor-Riau. Dalam upacara tersebut, Raja Haji telah dikahwinkan dengan Tengku Mandak iaitu saudara kepada Raja Sulaiman.[2]

            Raja Haji telah dilantik menjadi Yamtuan Muda Riau yang keempat pada tahun 1778  menggantikan Daing Kemboja Yamtuan Muda kerajaan Johor-Riau yang telah mangkat pada tahun 1777 di Pulau Riau.[3] Pada tahun 1756M sehingga 1758M, Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja telah memimpin Perang Linggi menentang Belanda. Dalam setiap peperangan yang disertai, Raja Haji telah berjaya menyatukan orang-orang Melayu menentang penjajah iaitu Belanda. Raja Haji telah mencetus semangat jihad dalam kalangan masyarakat Melayu beragama Islam. Selain itu, Raja Haji telah berjaya menyatukan Sultan Ibrahim dengan Penghulu Rembau dalam misi menentang Belanda. Dalam penentangan orang Melayu menentang Belanda, Raja Haji merupakan watak utama yang banyak menaikkan semangat memperjuangkan tanah air dari campur tangan penjajah.

            Raja Haji seorang yang amat berpengaruh semasa penentangannya. Kebolehannya menyebabkan kebanyakan pemerintah-pemerintah lain begitu beria-ria untuk menjadi seperti Baginda. Baginda ke Jambi dan kemudiaan Baginda dikahwinkan dengan Ratu Mas. Selain itu Baginda juga telah membantu Sultan Inderagiri dalam menentang Minangkabau dan akhirnya sebagai ganjaran Baginda dikahwinkan dengan anak pemerintah tersebut iaitu Raja Halimah. Baginda juga telah menyerang Kedah bagi pihak Sultan Selangor selain pernah berperang bagi pihak negeri Pontianak.[4]

            Baginda juga turut ke Pahang untuk bertemu dengan Bendahara Abdul Majid untuk melantiknya sebagai Yang Dipertuan Muda kerana Pahang pada masa itu adalah di bawah penjajahan Johor kerana kesinambungan di bawah penjajahan Melaka. Dengan pihak Belanda, Raja Haji telah menjalinkan hubungan baik sehinggalah tahun 1782. Baginda menandatangani perjanjian bahawa Baginda akan mendapat separuh daripada pendapatan pihak Belanda. Pihak Belanda telah merampas candu daripada sebuah kapal British iaitu Betsy yang dipandu oleh Kapten Robert Geddes. Hasil pendapatan itu, telah dikongsi bersama Kapten Perancis iaitu Mathurin Barbaron. Kapten Perancis tersebut telah berkata bahawa beliau sebenarnya telah mendapat kebenaran daripada Raja Haji akan tetapi Raja Haji telah berkata bahawa Baginda tidak memberi apa-apa kebenaran.

            Apabila Raja Haji mendapat tahu tentang hal ini, Baginda telah meminta pertolongan daripada Selangor dan Rembau untuk mengadakan pemberontakan di Selat Melaka. Keadaan menjadi huru-hara sehinggalah pihak Belanda telah bercadang untuk menakluk Riau iaitu Koloni pihak Bugis. Dijangka bahawa orang-orang Melayu dari Terengganu telah menolong pihak Belanda dalam pemberontakan itu. Enam buah kapal dari Batavia telah ke Selat Melaka untuk membantu pihak Belanda mengatasi pemberontakan Raja Haji. Raja Haji telah memberi amaran kepada setiap kapal.

            Pada 6 Januari 1784, penaklukan secara langsung terhadap Riau apabila kapal kepunyaan Lemker iaitu Malakka’s Welvaren musnah akibat kejadian tembak- menembak. Kemudian sebanyak 1594 orang telah tiba ke Melaka bagi pihak Belanda untuk melakukan serangan.








3.0 Sebab/ punca tercetusnya penentangan orang melayu.

            Antara sebab atau punca tercetusnya penentangan orang melayu di Melaka adalah disebabkan oleh situasi politik di Eropah. Sebelum tahun 1782, ada berlakunya perselisihan antara Johor dengan Belanda tetapi tidak mencetuskan pertempuran yang hebat. Situasi politik di Eropah merujuk kepada permusuhan Belanda dengan Inggeris dalam dua kurun mengheret Belanda dalam hal ehwal di Tanah Melayu.[5] Pergolakan politik di Eropah menarik Belanda ke dalam hal-ehwal di Tanah Melayu. Peristiwa di Eropah mempengaruhi tindakan politik Belanda di Tanah Melayu, contoh pada tahun 1780. British telah mengisytiharkan perang ke atas Republik Belanda untuk menghalangnya dari memasuki Liga Neutral Bersenjata yang dipelopori oleh Rusia.[6] Pekerja dan pegawai Belanda di Asia turut mengakui perkembangan ini dari jauh. Berita peperangan ini melanjutkan permusuhan atau persaingan antara Belanda dan Inggeris di Asia dari segi atau aspek perdagangan dan penyebaran pengaruh. Keadaan permusuhan ini bertambah parah semasa Perang Inggeris-Belanda keempat iaitu pada 1780 sehingga 1784, sehingga mengheret permusuhan dikatakan berlanjutan di Tanah Melayu.

            Punca kedua penentangan orang melayu ialah masalah pembahagian harta rampasan perdagangan. Seperti yang diketahui, Raja Haji telah membuat perjanjian dengan orang Belanda iaitu setiap harta rampasan yang diperolehi oleh orang Belanda dan Raja Haji di perairan berdekatan dengan Johor-Riau haruslah dibahagi dua di antara Kompeni Belanda dengan Raja Haji.[7] Setelah lebih kurang lima tahun Raja Haji menjadi Yamtuan Muda, suatu hari semasa tahun 1782, sebuah kapal dagang Inggeris bernama Betsy telah berlabuh di kepulauan Riau di Pulau Bayan dengan membawa muatan candu diketuai oleh Nakhodanya yang bernama Kapten Robbert Geddest dan apabila mengetahui hal ini, Residen Belanda  di Riau Gerrid Pangal telah memberitahu Gabenor Belanda di Melaka mengarahkan supaya kapal kompeni Inggeris ini ditahan.[8] Hal ini menunjukkan lanjutan permusuhan antara Inggeris dan Belanda di Tanah Melayu.

            Gabenor Belanda di Melaka, Pieter Gerurdus de Bruijn telah berpakat dengan nakhoda berbangsa Perancis bernama Mathurin Barbaran yang kebetulan itu sedang berlabuh di Pelabuhan Melaka. Nakhoda Perancis pergi ke Riau lalu menyerang kapal orang Inggeris dan merampas candu yang ada dalam kapal itu dan membawanya ke Betawi.[9] Candu dan segala muatannya telah dijual serta wang yang diperolehi hasil daripada penjualan candu ini telah diagihkan antara kompeni Belanda dengan Nakhoda Perancis.

            Apabila perkara ini sampai kepada pengetahuan Raja Haji, beliau telah menuntut Gabenor Belanda di Melaka supaya bahagian daripada jualan candu itu diserahkan kepadanya. Tindakan Raja Haji ini atas dasar kerana rampasan ini dilakukan di Perairan Riau.[10] Raja Haji merupakan Yamtuan Muda Riau yang keempat ketika itu mendapati bahawa Belanda telah “memungkiri janji”
       Tuhfat al-Nafis.
        “ Sebermula adalah kaul yang pertama yang dapat di dalam sejarah Selangor sebab lahirnya aku periksa. Iaitu adalah Yang Dipertuan Muda Raja Haji itu ada perjanjian konon dengan Kompeni Belanda, musuh Belanda musuh Raja Haji. Ada pun jika ada pekerjaan tangkap menangkap, rampas merampas, musuhnya itu ada bahagian di dalam itu antara keduanya.[11]

            Khabarnya di antara Raja Haji dengan Belanda terdapat satu perjanjian persahabatan yang tidak akan mengganggu antara satu sama lain dalam apa bidang sekali pun. Malah dari segi politik, kedua-dua pihak telah berjanji untuk melindungi antara satu sama lain dan sesiapa menjadi musuh Belanda maka secara tidak langsung akan menjadi musuh Bugis atau Riau. Dari segi ekonomi pula, sebarang keuntungan seharusnya dibahagi bersama dan kerugian ditanggung bersama.

            Raja Haji telah pergi ke Muar untuk mendesak tuntutan haknya yang dinafikan oleh Belanda. Gabenor Belanda di Melaka telah menghantar seorang pegawai Belanda dan seorang Kapten Melayu pergi ke Muar untuk berunding dengan Raja Haji.[12] Dalam perundingan itu, Raja Haji telah menerangkan kepada pegawai-pegawai pihak Belanda tentang kegiatan rampasan itu dan haknya atau bahagiannya yang sepatutnya diperoleh oleh beliau hasil daripada wang jualan harta rampasan itu mengikut sebagaimana yang telah ditetapkan dalam perjanjiannya dengan Belanda sebelum ini. Setiap rampasan oleh pihak Belanda di Perairan Riau-Johor hendaklah dibahagi bersama. Tetapi pegawai-pegawai pihak Belanda telah atau tetap mengatakan bahawa Raja Haji tidak ada hak untuk mendapatkan bahagiannya daripada harta rampasan tersebut.[13]

            Raja Haji berasa marah dengan layanan dan sikap memungkiri janji yang dilakukan oleh pihak Belanda. Adat melayu berpegang pada janji. Raja Haji telah berasa sangat tercabar dengan sikap Belanda ini. Beliau telah bertindak dengan mengembalikan surat perjanjian yang dibuatnya berdasarkan pernyataan “ apalah gunanya perjanjian yang syaratnya setengah dipakai dan setengahnya tidak itu” lalu Raja Haji pulang ke Riau sebaik sahaja memulangkan surat perjanjian itu.[14]

            Sejak itu, Raja Haji telah mula mengganggu perniagaan Belanda di Selat Melaka. Hal ini telah menimbulkan kemarahan Gabenor Belanda di Melaka.
      “ Syahdan apabila Gabenor Melaka tidak menerima seperti maksud Raja Haji itu, maka Yang Di pertuan Raja Haji itu pun memulangkan surat-surat perjanjian itu. Kemudian ia pun berangkat balik ke Riau. Syahdan adapun Gabenor Melaka apabila Raja Haji memulangkan surat perjanjian itu maka marahlah ia, maka musyawarahlah dengan Raja Laut yang bernama Piter Jakub Pemberam, kata suatu kaul orang-orang besar Holanda, namanya Tuan Abo, maka di dalam tengah-tengah bicara itu banyaklah fitnah-fitnah disampaikan orang-orang yang khianat mengatakan Yang Dipertuan Raja Haji hendak memukul negeri Melaka serta telah siap segala kelengkapannya. Maka berkatalah Gabenor Melaka itu kepada Jakub Pemberam itu, “ Raja Haji mahu memukul Negeri Melaka iaitu kita pergi pukul dahulu.[15]

            Sebab atau punca lain yang mencetuskan penentangan orang melayu terhadap Belanda ialah peranan Tun Dalam. Pada masa itu, di Riau, Tun Dalam dan Bendahara Tun Hasan iaitu ketua suku melayu mempunyai hubungan yang dingin dengan orang suku Melayu Bugis. Ini kerana Orang-orang Melayu cemburu dengan Orang-orang Besar Bugis kerana Orang-orang Besar Bugis telah memegang beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Johor-Riau.[16] Orang Bugis juga telah menguasai politik dan pentadbiran Johor-Riau. Sultan Terengganu yang bergelar Sultan Mansur Syah yang juga disebut Yang dipertuan Kecil ialah menantu kepada Sultan Sulaiman. Berusia 20 tahun bergelar Tun Dalam, sebelum Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah mangkat, Baginda telah bersemayan di Riau dan pentadbiran kerajaan Terengganu ditinggalkan kepada Orang-orang Besar Terengganu yang mana lebih memihak kepada Belanda dan mengharapkan Belanda mampu menghapuskan kuasa Bugis di Riau.[17]

Permusuhan Tun Dalam dengan Raja Haji dalam Perang Linggi.
            Semasa di Riau, Tun Dalam telah berselisih faham dengan Raja Haji. Tun Dalam sentiasa mencari jalan untuk Raja Haji. Perselisihan antara Bugis dengan orang melayu telah membawa kepada hubungan tegang dengan pihak Belanda. Sultan Sulaiman telah menitahkan Tun Dalam bersama dengan Raja Haji pergi ke Linggi menjemput Yamtuan Muda Daeng Kemboja balik ke Riau. Dalam perjalanan singgah di Melaka, Tun Dalam tanpa pengetahuan Raja Haji telah bertemu dengan Belanda iaitu membuat pakatan dengan Belanda untuk membunuh Raja Haji. Tun Dalam juga atas nama Sultan Sulaiman meminta orang Belanda di Melaka menyerang Daeng Kemboja di Linggi. Namun perkara ini telah sampai ke pengetahuan Daeng Kemboja lalu memberitahu Sultan Selangor iaitu Sultan Salehuddin, kekanda Raja Haji dan menyuruh Sultan Selangor menyelamatkan Raja Haji.

            Sultan Salehuddin telah berjaya menyelamatkan Raja Haji daripada dibunuh oleh Belanda. Empat bulan selepas itu, iaitu pada akhir Jun 1756, satu angkatan perang Belanda dari Melaka yang dibantu oleh beberapa buah perahu dari Terengganu yang diketuai oleh Tun Dalam telah datang menyerang Linggi. Yamtuan Muda dan Raja Haji berundur serta pengikut berundur ke Rembau. Hubungan baik di bina antara Penghulu dan pembesar Rembau. Perbuatan Tun Dalam ini telah menimbulkan permusuhan antara Daeng Kemboja dengan orang Belanda. Perang Linggi boleh dikatakan menjadi bibit permusuhan antara orang Bugis dan Belanda disebabkan oleh hasutan daripada Tun Dalam. Sehinggalah Raja Haji dilantik menjadi menjadi Yamtuan Muda Riau menggantikan Daeng Kembija hubungan antara orang Besar Melayu dengan orang-orang Bugis dalam kerajaan Johor-Riau tidak juga baik. Tun Dalam, Yang diPertuan Terengganu telah mengadakan suatu pakatan sulit dengan Bendahara Abdul Majid di Pahang dan Raja Indera Bongsu di Riau.[18]Mereka telah mengirimkan surat kepada orang Belanda di Melaka dan orang-orang Inggeris di Benggala, Madras dan Ceylon untuk meminta mereka menyerang Riau dan mengambil Sultan Mahmud yang di bawah pengaruh Raja Haji. Namun tidak mendapat sebarang reaksi daripada dua kuasa tersebut. Pakatan sulit ini diketahui oleh Raja Haji melalui seorang raja di Terengganu yang tidak menyetujui tindakan Tun Dalam.
            Tun Dalam lebih cenderung menjalinkan kerjasama dengan Belanda sementara Raja Haji mewakili orang Bugis pula cenderung menentang Belanda. Dalam masa yang sama dikedua-dua pihak iaitu Tun Dalam dan Raja Haji bertelagah. Keadaan ini dilihat memberi keuntungan dan faedah buat Belanda untuk mendapat bantuan daripada Tun Dalam dan orang Melayu lain yang memusuhi Raja Haji. Contohnya semasa berlaku pertempuran antara Bugis dan Belanda di Melaka antara tahun 1782 hingga 1784, Tun Dalam mengambil peranan secara tidak langsung membantu Belanda. Pada bulan Mei 1784, Gabenor Belanda di Melaka telah menerima surat daripada Raja Muhammad Ali Siak dan daripada Tun Dalam yang mengatakan kesedian mereka hendak membantu orang Belanda di Melaka melawan orang Bugis.[19]
            Sebab penentangan ini tercetus bermula sejak daripada hubungan dingin antara orang Bugis di Riau dengan Belanda di Melaka. Peranan Tun Dalam menimbulkan permusuhan antara Bugis dengan Belanda bertujuan menghapuskan pengaruh Bugis dalam kerajaan Johor Riau –Lingga- Pahang.


4.0 Rentetan Perang.



Hampir 5 tahun Raja Haji dilantik menjadi Yamtuan Muda, pada tahun 1782, sebuah kapal milik Inggeris yang bernama Betsy ,nahkotanya pula ialah kapten Robert Geddes, mula masuk di perairan Riau dan mendarat berhampiran Pulau Bayan dengan membawa isi muatan yang mengandungi candu sekitar 1154 buah peti.[20] Residen Belanda iaitu Gerrid Pangal yang berada di Riau telah menyampaikan berita itu kepada Gabenor Belanda di Melaka pada waktu itu iaitu Pieter Gerurdus de Bruijn.[21] Beliau telah meminta nahkoda bangsa Perancis yang bernama Mathurin Barbaron, pergi merampas candu yang berada di dalam kapal Betsy itu. Pada masa itu, secara kebetulan Inggeris dan Perancis saling bermusuhan antara satu sama lain.[22]

Mathurin Barbaron terus menuju ke Riau untuk menyerang kapal Betsy lalu mereka terus merampas semua candu dalam kapal dan di bawa ke Betawi.[23] Rampasan candu itu telah dijual. segala keuntungan yang diperoleh akan dibahagikan antara Belanda dengan Mathurin selaku nahkota perancis yang menolong dalam misi rampasan candu itu.[24]

Setelah Raja Haji mendapat berita  mengenai rampasan dan penjualan candu itu, beliau merasa sangat marah lalu meminta haknya dalam pembahagian hasil daripada jualan candu daripada Gabenor Belanda di Melaka kerana beliau mempunyai alasannya iaitu rampasan candu itu berlaku di perairan pulau Riau dan kebetulan beliau juga ada melakukan perjanjian dengan Belanda yang mana hasil rampasan yang berhampiran dengan Johor Riau akan dibahagikan kepada dua.[25]

Oleh itu , Raja Haji telah pergi ke Muar menemui Gabenor Belanda di Melaka untuk memberitahu tuntutannya. Tetapi gabenor telah mengutuskan pegawai belanda dan ‘’kapitan melayu’’ di Melaka untuk pergi ke muar semata-mata untuk bertemu dengan Raja Haji.[26] Dalam pertemuan itu Raja Haji menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Belanda kerana merampas candu di perairan pulau Riau dan mahu menuntut hasil jualan rampasan itu memandangkan kedua-duanya sudah terikat dalam satu perjanjian tetapi dibantah keras oleh Belanda yang menyatakan Raja Haji tidak layak untuk mendapatkan haknya. Atas bantahan ini menyebabkan Raja Haji marah kerana Belanda sendiri yang telah mengingkari perjanjian yang telah dibuat.[27]

Atas peristiwa inilah , Raja Haji mula memusuhi Belanda dan melancarkan serangan terhadap kapal-kapal di perairan selat melaka. Tujuannya  adalah untuk menganggu kelancaran perniagaan di selat melaka.pada 1782 , 7 buah kapal perang telah dihantar ke Riau dengan disertai seramai 594 orang askar untuk menolong Belanda menewaskan Riau berikutan kehebatan pasukan perang Raja Haji.[28] Tidak cukup dengan 7 buah kapal pada akhir tahun 1782, Belanda menghantar lagi 17 buah kapal kecil serta 600 orang askar yang dipimpin oleh Malakka’s Welvaren.[29]

Sehingga 1783, penentangan Raja Haji terhadap Belanda masih berjalan, anehnya Belanda tidak boleh lagi untuk mmenakluki Riau seperti yang diharapkan. Pada akhir 1782, Sultan Ibrahim dan adiknya Raja Nala telah membawa angkatan perang dari Selangor khususnya orang Melayu yang terdiri daripada orang-orang Bugis turut bersama-sama menyerang Belanda di Melaka . Hal ini demikian kerana baginda mendapat tahu bahawa Raja Haji selaku ayah saudaranya mahu melancarkan serangan terhadap Belanda. Sultan Ibrahim pergi ke Rembau untuk berunding dengan penghulu-penghulu di Rembau tentang rancangan untuk menyerang  orang-orang Belanda di Melaka. Penghulu-penghulu ini terus bersetuju untuk memberi bantuan kepada orang-orang Selangor untuk menentang Belanda. Selepas persetujuan itu orang-orang Selangor telah bersatu dengan orang Rembau dan berkubu di Sungai Baru Melaka.[30]

Pada 6 januari 1784, Belanda mula melancarkan peperangan terhadap Riau yang dimulakan dengan kapal  malakka’s wellveran. Tanpa diduga satu letupan yang besar terjadi pada kapal yang dinaiki oleh ketua orang belanda yang mengetuai serangan ke  atas Riau iaitu Arnolaus Lemker. Kesemua anak-anak kapal termasuk lemker terkorban dan dianggarkan lebih kurang 500 orang mati. Pada pertengahan bulan januari 1784, peperangan ke atas Riau telah berhenti sekejap kerana Gabenor Melaka telah memanggil angkatan Belanda di Riau untuk pulang semula ke Melaka.[31]

Sekitar 14 januari 1784, askar-askar Sultan Ibrahim dari Selangor dan orang-orang Rembau yang telah menolong Sultan Ibrahim telah bertolak dari Sungai Baru untuk pergi melakukan serangan di sepanjang pantai laut Melaka sehingga ke Batang Tiga.[32]Setelah itu, mereka telah mendirikan sebuah kubu di situ yang merupakan kubu yang terbesar milik Sultan Ibrahim semasa baginda menentang Belanda di Melaka. Orang-orang Rembau dan Selangor yang dipimpin oleh Sultan Ibrahim telah mula membakar rumah-rumah di kawasan Tanjung Keling dan kawasan yang berhampiran dengannya.[33] Pada 15 januari 1784, satu serangan terhadap kubu kuat Sultan Ibrahim di Batang Tiga telah diserang oleh askar-askar Belanda dari kota Melaka. Namun serangan itu, berjaya dipatahkan oleh Selangor dan  Rembau sehingga mereka meneruskan untuk membakar kampung-kampung di kawasan itu.[34]

Angkatan kapal perang bBelanda dari Riau telah datang ke Melaka pada tahun 24 januari 1784. Satu peristiwa telah berlaku di kapal Malakka’s Welvaren di Riau yang telah mengakibatkan Arnoldus Lemker dan 500 orang askar Belanda telah terkorban.[35] Berita kematian ini telah sampai ke pengetahuan Gabenor Melaka dan beliau tersangat marah dan kesal .Pada awal bulan februari 1784, Sultan Ibrahim bersama-sama dengan sebuah perahu kakap berserta 30 hulubalang mula bertolak dari Melaka untuk pergi ke  Riau, ketika orang –orang Selangor yang dibantu oleh orang Rembau masih meneruskan serangan terhadap Belanda.[36] Setelah Sultan Ibrahim tiba di Riau baginda telah mempelawa  Yamtuan Muda Raja Haji  untuk bersama-sama terlibat dalam penentangan Belanda di Melaka. Tetapi pelawaan itu tidak disenangi oleh pembesar-pembesar Bugis namun Raja Haji tidak mempedulikannya dan berkeras untuk pergi kerana beliau memikirkan orang-orang Selangor dan Rembau yang berada dalam kesusahan dan penentangan ini juga dianggap sebagai satu jihad untuk melawan orang-orang kafir.[37] Selain itu, Raja Haji tidak sanggup menolak memandangkan Sultan Ibrahim ialah anak saudaranya.

Raja Haji mula bertolak dari Riau dengan membawa tidak kurang 1000 orang askar perangnya ke Melaka , di samping itu, Sultan Mahmud juga turut menyertai misi peperangan itu.[38] Setelah sampai di Muar Raja Haji telah meninggalkan Sultan Mahmud dan pengiringnya ,sementara Raja Haji meneruskan perjalanan ke Melaka sehingga tiba di Teluk Ketapang. Pada 13 februari 1784, beliau mendarat dan membina sebuah kubu perang di Tanjung Palas yang terletak 5 batu dari Bandar Melaka manakala Sultan Ibrahim pula telah menuju ke Batang Tiga untuk bergabung semula dengan pasukannya
yang mendirikan kubu di situ.[39]

Pada 25 februari 1784 orang Riau khususnya orang Bugis dari Teluk Ketapang, orang Rembau dan Selangor mula melakukan serangan ke kawasan seperti Punggur, Duyung, Pernu, Semabok, Bunga Raya, Bukit Cina dan sebagainya.[40] Tetapi malangnya semua serangan itu telah ditentang oleh orang-orang Belanda dan telah mengakibatkan berlaku kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa penduduk Melaka.[41]

Sehingga pertengahan bulan Mac 1784, serangan demi serangan terus berlaku sehinggakan tidak cukup pada waktu siang mereka menyambung semula pada waktu malam.[42] Akibatnya penduduk Melaka dihantui perasaan takut sepanjang masa.Keadaan ini berlarutan sehingga ke bulan Jun 1784.[43]Gabenor Belanda telah meminta bantuan daripada Gabenor Jeneral Belanda di Betawi.Akhirnya pada 1 jun 1784 satu angkatan kapal perang belanda telah sampai di Melaka . Beliau membawa 6 buah kapal besar dan beberapa buah kapal kecil dengan disertai oleh 2130 orang askar dan 326 pucuk meriam. Kapal yang dinaiki oleh Laksamana Van Braam yang bernama Utrecht telah berlabuh di Teluk Ketapang. Natijahnya lepasan meriam besar dari kapal Belanda itu selalu membedil sasarannya iaitu kubu Raja Haji yang terletak di Tanjung Palas. Askar-askar Belanda yang berada di Bandar Melaka pada waktu itu bekerja kuat untuk mempertahankan serangan terhadap kubu-kubu berparit orang Bugis di Semabok dan Ujung Pasir , tetapi serangan daripada Belanda tidak begitu mendatangkan kesan.[44]

Pada mei 1784, Gabenor Melaka telah menerima surat daripada Raja Muhammad Ali Siak dan Sultan Terengganu iaitu Tun Dalam yang menyatakan mereka ingin membantu orang-orang Belanda di Melaka menentang orang-orang Bugis.[45] Pada 14 mei 1784 pula ,Raja Muhammad Ali dan anak saudaranya Saiyid Ali dari Siak dengan 3 perahu dan 78 orang pengikut telah sampai di Melaka .Mereka diterima baik oleh pihak Belanda dan diberikan rumah tumpangan di luar pintu gerbang Terang Kera.

Pada 18 jun 1784  askar belanda lengkap bersenjata yang mendarat pada waktu malam telah menyerang kubu Raja Haji di Teluk Palas dan berlakulah pertempuran yang besar sehinggakan tembakan meriam tidak putus-putus menembak Raja Haji tidak kira yang berada dalam perahu atau darat. Dalam waktu petempuran itu, Raja Haji dan pengikutnya berlawan dengan begitu semangat dan bermati-matian. Malangnya dalam suasana yang huru-hara satu peristiwa yang sedih berlaku yang mana Raja Haji telah terkorban kerana terkena tembakan daripada pihak Belanda.Selepas kemangkatan Raja Haji pengikutnya melarikan diri ke Muar dan mengambil Sultan Mahmud yang ditinggalkan di situ lalu pulang semula ke Riau. Sultan Ibrahim kembali ke Selangor dan orang Rembau pulang semula ke Rembau.

Pada 24 jun 1784, mayat Raja Haji telah di bawa ke Teluk Ketapang dari Bandar Melaka. Proses ini dibantu oleh kapitan Melayu. Almarhum Raja Haji dikenali sebagai Marhum Teluk Ketapang manakala Belanda mengelarkannya sebagai Raja Api kerana mayat beliau tidak terbakar semasa berlaku letupan di atas kapal Dolphijn.[46] Pada 25 Jun 1784 mayat Raja Haji dimakamkan di lereng bawah bukit Melaka,  tetapi tidak lama kemudian makamnya telah digali semula dan dimakamkan di Pulau Penyengat di Riau.
Kemangkatan  Raja Haji tidak menandakan berakhirnya perjuangan Orang Melayu menentang Belanda. Perjuangan beliau diteruskan oleh anak saudaranya Sultan Ibrahim Sultan Selangor. Walaupun Selangor berjaya dikalahkan oleh Belanda di Kuala Selangor, namun Sultan Ibrahim berjaya menawam semula negerinya yang telah ditawan oleh Belanda dengan bantuan orang Pahang seramai lebih kurang 2000 orang yang diberikan oleh Bendahara Tun Abdul Majid.[47] Semangat untuk mempertahankan maruah diri, agama dan bangsa yang diwarisi daripada semangat jihad Raja Haji telah menjadi pembekal semangat buat Sultan Ibrahim untuk meneruskan perjuangan menentang Belanda .




5.0 Kesan Perjuangan dan Tindakan Belanda terhadap Selangor
           

            Setelah Melaka berjaya diselamatkan, VOC telah mengambil peluang dengan menyerang dan mengalahkan Riau. Kesannya pada 10 November 1784, telah termenterai satu perjanjian antara Sultan Mahmud di Riau-Johor dengan Belanda. Antara isi kandungan perjanjian tersebut ialah Sultan Mahmud sentiasa terhutang budi kepada Belanda yang telah membebaskan  Baginda daripada belenggu Bugis. Riau Johor telah menjadi jajahan takluk Belanda dan orang-orang Melayu hanya memerintah atas kehendak Belanda. Selama itu, hanya Orang Bugis kecuali yang dilahirkan di Riau telah dihalau keluar. Belanda juga menetapkan bahawa orang Bugis tidak dibenarkan memegang jawatan Yamtuan Muda dan semua peperangan dikawal ketat oleh VOC.[48]

            Pada 13 Julai 1784, Belanda telah diketuai oleh Jacob Pieter Van Broom telah menyerang Kuala Selangor yang merupakan tempat bersemayam Sultan Ibrahim. Hal ini berlaku berikutan perasaan marah orang Belanda kepada Sultan Ibrahim, iaitu Sultan Selangor yang telah membantu Raja Haji menyerang Melaka. Belanda turut dibantu oleh Raja Muhammad Ali dari Siak dan anak saudaranya Sayid Ali.[49]
Setelah angkatan kapal perang Belanda tiba dengan menaiki kapal Utrect yang diketuai oleh Jacob itu, maka berlakulah pertempuran tembak-menembak dengan meriam antara kapal Belanda dengan meriam dari Kota Sultan Ibrahim.[50]

Pasukan perang Sultan Ibrahim diketuai oleh seorang panglima yang bernama Sayid Jaafar. Setelah lebih kurang dua minggu berlaku serangan, pada 2 Ogos 1784, askar-askar Belanda yang lengkap bersenjatakan senapang dan senjata-senjata modem yang lain berjaya menawan Kota di Kuala Selangor. Oleh yang demikian, Sultan Ibrahim bersama-sama Raja Nala Sayid Jaafar ( Raja Muda Selangor ), keluarga diraja Selangor serta pengikut-pengikut Baginda telah berundur ke Hulu Selangor. Orang Belanda telah cuba untuk mengejar Sultan Ibrahim namun tidak berjaya. Setelah itu Kuala Selangor jatuh ke tangan Belanda.[51] Sultan Ibrahim dan pengikutnya telah berundur lagi dan pergi ke Pahang untuk berjumpa dengan Bendahara Tun Abdul Majid yang merupakan ketua pemerintah di Pahang. Setelah Sultan Ibrahim menceritakan semua kejadian yang berlaku, Bendahara telah bersetuju untuk membantu Baginda dalam menyediakan kelengkapan perang dan ketenteraan untuk menyerang Orang Belanda di Kuala Selangor.[52]

Setelah berjaya menawan Kuala Selangor, Belanda telah mengambil Kota Batu Sultan Ibrahim di atas Bukit Tanjung Keramat dan sebuah kubu di atas bukit di Kuala Selangor. Kubu tersebut telah mengalami kerosakan akibat serangan Belanda. Namun kerosakan tersebut telah dibaiki oleh Belanda. Belanda telah melantik Raja Muhammad Ali Bin Raja Alam menjadi pemangku Yang Dipertua Selangor dengan dibantu oleh Sayid Ali. Sultan Siak telah diberi ganjaran atas khidmatnya untuk memerintah Selangor yang berada di bawah kedaulatan Belanda.[53]

Penghujung tahun 1784, Raja Muhammad Ali telah kembali ke Siak. Sayid Ali mengisytiharkan dirinya sebagai Yang Dipertuan Selangor, di bawah kuasa Belanda. Namun Orang-orang Besar Selangor tidak mahu mengiktirafnya sebagai Raja mereka. Oktober 1784, Laksamana Jacob Pieter van Broom kembali semula ke Melaka. Belanda telah berkuasa di Kuala Selangor hamper setahun sebelum angkatan perang Sultan Ibrahim yang seramai dua ribu orang yang diberi oleh Bendahara ke negeri Selangor dengan tujuan untuk menghalau orang Belanda dari negeri Selangor.[54]

Angkatan perang orang Pahang yang dibawa oleh Sultan Ibrahim tiba di suatu tempat di Selangor yang bernama Teram Buruk. Sultan Ibrahim turut menerima bantuan orang besar di Permatang. Ketika waktu malam pada 27 Jun 1785, satu serangan mengejut telah dilakukan oleh angkatan perang Sultan Ibrahim. Keesokannya, Belanda dengan segera mengundurkan diri naik ke kapal mereka dan kembali ke Melaka.[55]


6.0 Kesimpulan.

            Secara konklusinya, pada peringkat awal Johor-Riau dengan Belanda mempunyai hubungan yang baik. Hal ini dapat dilihat melalui termeterainya perjanjian perdagangan 1641. Namun begitu, penentangan orang Melayu terhadap Belanda ini disebabkan oleh perlanggaran perjanjian perdagangan yang telah menggugat hubungan baik antara Raja Haji dengan Belanda yang mana perlanggaran perjanjian itu telah membawa kepada siri peperangan. Selain itu juga terdapat faktor lain yang membawa kepada penentangan orang Melayu ini iaitu hasutan Tun Dalam yang cemburu dengan kuasa Bugis yang hebat di Johor. Hal ini disebabkan rasa tidak puas hati Tun Dalam kerana ramai orang Bugis mempunyai jawatan yang tinggi di Johor. Oleh itu beliau cuba mewujudkan satu perselisihan antara orang Melayu dengan orang Bugis. Hal ini dapat dilihat apabila beliau meminta bantuan Belanda untuk membunuh Raja Haji dan menyerang Daeng Kemboja di Linggi. Dalam peperangan ini, perjuangan Raja Haji menentang Belanda ini dikatakan jihad Fisabillillah kerana Baginda berperang untuk memerangi orang kafir iaitu orang Belanda. Penentangan ini menunjukkan semangat persaudaraan dalam kalangan orang Melayu kerana Raja Haji berjaya menyatukan orang Melayu untuk menentang penjajah. Akhirnya Raja Haji mangkat kerana dibunuh dan jenazahnya telah ditanam di Melaka dan kemudian digali semula untuk disemadikan di tanah kelahirannya di Pulau Penyengat, Riau. Kesan peperangan ini juga telah membawa kepada perjanjian antara Sultan Mahmud dengan Belanda pada 10 November 1784.


Bibliografi.

Andaya, Barbara W. E Andaya, Leonard Y. 1983. Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur: Macmillan Publisher ( M ) Sdn.Bhd.
Haji Buyong Adil. 1983. Perjuangan Orang Melayu menentang Penjajahan Abad 15-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Haji Buyong Adil. 1971. Sejarah Johor. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji, Editor Virginia Matheson. 1982. Tuhfat Al-Nafis. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
.



[1] Haji Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, Hlm. 114 -115.
[2] Ibid, Hlm. 115.
[3] Haji Buyong Adil, Perjuangan Orang Melayu menentang Penjajahan Abad 15-19, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1983, Hlm. 103.
[4] R.O Windstedt, A History of Johore (1365-1941), Malaysian
[5] Barbara Watson Andaya, dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd, 1983, Hlm. 120.
[6] Ibid, Hlm. 121.
[7] Haji Buyong Adil, Perjuangan Orang Melayu menentang Penjajahan Abad 15-19, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1983, Hlm. 104.
[8] Ibid, Hlm. 103.           
[9] Ibid, Hlm. 103.
[10] Ibid, Hlm. 104.
[11] Virginia Matheson, Tuhfat Al-Nafis, Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji, Kuala Lumpur, Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1982, Hlm. 201.
[12] Haji Buyong Adil, Perjuangan Orang Melayu menentang Penjajahan Abad 15-19, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1983, Hlm 104.
[14] Haji Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, Hlm. 151-152.      
[15] Virginia Matheson, Tuhfat Al-Nafis, Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji, Kuala Lumpur, Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1982, Hlm. 202.
[16] Haji Buyong Adil, Perjuangan Orang Melayu menentang Penjajahan Abad 15-19, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1983, Hlm. 96
[17] Ibid, Hlm. 99.          
[18] Haji Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971,Hlm 150.
[19] Haji Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971,Hlm 155.

[20] Haji Buyong Adil, Perjuangan Orang Melayu menentang Penjajahan Abad 15-19, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1983, Hlm. 103.
[21] Ibid, Hlm. 103.
[22] Ibid, Hlm. 103.
[23] Ibid, Hlm. 103.
[24] Ibid, Hlm. 103.
[25] Ibid, Hlm. 103-104.
[26] Ibid, Hlm. 104.
[27] Ibid, Hlm. 104.
[28] Ibid, Hlm. 105.
[29] Ibid, Hlm. 105.
[30] Ibid, Hlm. 105.
[31] Ibid, Hlm. 105-106.
[32] Ibid, Hlm. 106.
[33] Ibid, Hlm. 106.
[34] Ibid, Hlm. 106.
[35] Ibid, Hlm. 106.
[36] Ibid, Hlm. 106.
[37] Ibid, Hlm. 106-107.
[38] Ibid, Hlm. 107.
[39] Ibid, Hlm. 107.
[40] Ibid, Hlm. 107.
[41] Ibid, Hlm. 107.
[42] Ibid, Hlm. 107.
[43] Ibid, Hlm. 107.
[44] Ibid, Hlm. 108.
[45] Haji Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, Hlm. 155.
[46] Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji, Editor Virginia Matheson, Tuhfat Al-Nafis, Kuala Lumpur, Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1982, Hlm. 179.
[47] Haji Buyong Adil, Perjuangan Orang Melayu menentang Penjajahan Abad 15-19, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1983, Hlm 111.
[48] Barbara Watson Andaya, dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd, 1983, Hlm. 121.
[49] Haji Buyong Adil, Perjuangan Orang Melayu menentang Penjajahan Abad 15-19, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1983, Hlm. 109.
[50] Ibid, Hlm. 109.
[51] Ibid, Hlm. 109.
[52] Ibid, Hlm. 110.
[53] Ibid, Hlm. 110.
[54] Ibid, Hlm. 110-111.
[55] Ibid, Hlm. 111.

No comments:

Post a Comment