nuffnang

Friday, May 9, 2014

Pada abad ke-14, Melaka merupakan sebuah perkampungan kecil nelayan yang hanya mempunyai 20 hingga 30 buah keluarga. Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dari Palembang, keturunan Majapahit, pada tahun antara 1400 hingga 1403. Melaka mendapat nama sempena nama sebatang pokok. Melaka mempunyai empat tahap perkembangan iaitu tahap pembukaan (1400 hingga 1424), tahap pengukuhan (1424 hingga 1446), tahap kegemilangan (1446 hingga 1488) dan tahap kejatuhan (1488 hingga 1511).   Kesultanan Melaka memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewaskan oleh pihak Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 24 Ogos 1511. Antara pemerintah awal Kesultanan Melayu Melaka adalah Parameswara (Iskandar Syah 1400-1414), Megat Iskandar Syah (Raja Besar Muda 1414-1424) dan Seri Maharaja Muhammad Syah (Raja Tengah 1424-1445).
Melaka merupakan sebuah bandar kosmopolitan yang bermaksud negara yang terdiri daripada orang atau unsur-unsur dari seluruh dunia, bersifat sejagat yakni tidak terbatas kepada unsur-unsur setempat.[1] Melaka berfungsi sebagai feeder fort untuk Asia Tenggara serta menjadi tumpuan pendakwah-pendakwah unutk menyebarkan agama Islam kerana Islam merupakan agama rasmi kerajaan Melayu ini.  Zaman Kesultanan Melayu Melaka adalah manifestasi puncak perkembangan tamadun Melayu. Melaka adalah pelabuhan perdagangan bertaraf dunia yang terbesar di rantau ini dengan kekayaan yang tidak ternilai.[2] Melaka didiami oleh pelbagai bangsa. Masyarakat Melaka ada empat jenis atau kategori iaitu orang Melayu yang merupakan masyarakat teras, golongan bangsawan dari Palembang, orang laut yang diserapkan kerana ketaatan dan oarang asing. Mereka hidup secara aman dibawah naungan pemerintah  dan perpaduan antara rakyat tetap dipelihara kerana mereka sedar perpaduan akan membawa kepada keuntungan ekonomi.
Melaka mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Raja merupakan seorang pemerintah, disifatkan sebagai orang yang mulia dan mempunyai banyak kelebihan. Dalam sistem ini, raja Melaka adalah ketua negeri, ketua agama Islam dan ketua tentera. Baginda dibantu oleh pembesar-pembesar negeri seperti bendahara, laksaman, temenggung, penghulu bendahari dan syahbandar. Raja memainkan peranan penting dalam sisitem politik dan pentadbiran di Melaka. Antara peranan raja ialah menjadi ketua kerajaan dan berkuasa mutlak di dalam pemerintahan. Baginda berkuasa membuat undang-undang. Semua undang-undang yang dibuat bertujuan untuk mengukuhkan kedudukannya. Baginda turu memainkan peranan yang cergas di dalam bidang ekonomi. Ibu kota dijadikan pusat kegiatan ekonomi. Oleh itu, baginda menjalin hubungan erat dengan kawasan pengeluaran barangan. Baginda juga menjamin keamanan dan kemakmuran kerajaan dan keamanan rakyat. Raja menggunakan golongan brahmin bagi menonjolkan kesaktian dan kekuatannya untuk menanamkan keyakinan dan taat setia rakyat. Raja merupakan ketua angkatan tentera dan merupakan pemutus dalam semua hal. Baginda berperanan menyelesaikan masalah tanah dan pekerja apabila pegawai-pegawai tidak dapat menyelesaikan masalah itu melalui undang-undang.
Kemasyhuran Melaka sebagai pusat perdagangan di rantau ini menyebabkan Melaka didatangi oleh berbagai-bagai bangsa dan keturunan kaum. Orang asing di Melaka terdiri daripada orang dagang dan perantau. Terdapat dua jenis iaitu, terlibat dalam pelbagai kegiatan sosial seperti askar upahan kerajaan Melaka yang terdiri daripada orang Jawa dan Pasai. Jenis seterusnya ialah yang terlibat dalam kegiatan ekonomi seperti pedagang keci-kecilan, pemborong dan peniaga besar-besaran, pelombong bijih timah iaitu orang Cina dan pekerja mahir seperti tukang. Seterusnya, orang asing ini terbahagi pula kepada dua jenis berdasarkan kepada kehadiran mereka di Melaka iaitu ada yang menetap terus di Melaka dan pengunjung sekali-sekala. Golongan ini tertumpu di tiga kawasan utama iaitu Upeh (Tengkera sekarang), terletak di bahagian utara bandar Melaka yang mempunyai penduduk paling ramai, Iler, iaitu Bandar Hilir menganjur hingga ke Tanjongpacer (Ujung Pasir sekarang) di Selatan dan Sabac, kawasan sungai Melaka yang menganjur hingga ke arah hulu sungai.[3] Orang –orang asing yang terdapat di Melaka terdiri berasal daripada China, India, Parsi, Arab, Kepulauan Ryuku dan negara barat. Malahan Kepulauan Ryukyu pun turut mempunyai hubungan politik dan perdagangan dengan Melaka. Pedagang-pedagang Ryukyu datang dengan kapal-kapal besar yang setiap buah mempunyai anak kapal melebihi 150 orang. Barang-barang yang dibawa ke Melaka untuk diperdagangkan antaranya kain satin, pedang, bekas bunga, mangkuk dan kipas. Manakala barang-barang yang dibeli di Melaka ialah “hao san-lien ta-pu, hsi-chiao-ta-pu, nan-mo-na-pu, pich-pu hao-pe, je-na-li, pi-pu dan huo-wai”.[4] Maka tidak asing lagi dengan kenyataan bahawa di Melaka terdapat ramai sekali pedagang-pedagang asing menetap di sana.

BUKTI  MELAKA MENGAMALKAN SISTEM PEMERINTAHAN YANG TERBUKA DAN RAJA BERSIKAP TOLERANSI SEHINGGA MEWUJUDKAN KEPELBAGAIAN BANGSA DI MELAKA.


Kejayaan besar Melaka sebagai tempat tumpuan bangsa asing untuk menetap di Melaka bukan sahaja bersandar kepada kegemilangan dan kemasyhurannya sebagai pusat perdagangan[5]. Namun faktor utama yang mempengaruhi kewujudan pelbagai bangsa di Melaka sebenarnya disebabkan oleh sistem pemerintahan Melaka yang terbuka dan sikap toleransi raja – raja Melayu. Faktor inilah yang  banyak mempengaruhi pemikiran bangsa asing untuk menetap di Melaka. Corak pemerintahan yang terbuka memudahkan bangsa asing menikmati mobaliti sosial yang mudah. Malah, dari aspek kelas sosial, ekonomi dan konsep agama sememangnya dapat mencerminkan corak pemerintahan Melaka yang terbuka serta sikap toleransi raja – raja Melayu. Maka tidak hairanlah wujud pelbagai bangsa di Melaka sehingga hal ini turut mempengaruhi jumlah kependudukan di Melaka. Buktinya, setiap tahun kadar penduduk kian meningkat di Melaka.
Kedudukan anggota dalam tiap-tiap golongan tidak semestinya statik kerana ada para pedagang yang mengalami perubahan taraf kedudukan yang sering diistilahkan sebagai mobiliti. Mobaliti sosial merupakan salah satu daripada beberapa aspek lain yang membuktikan sistem pemerintahan Melaka yang terbuka serta sikap raja – raja Melaka yang toleransi sehingga menjurus kepada kewujudan pelbagai bangsa di Melaka.[6] Misalnya, Raja Melaka berbesar hati memberikan hak kerakyatan Melaka kepada bangsa asing tanpa prosedur yang jelas. Seseorang bangsa asing boleh menjadi rakyat Melaka dengan mudah, buktinya apabila terdapat ramai bangsa asing seperti Cina, India dan Gujerat bermaustautin di Melaka. Mereka gemar menetap di Melaka akibat daripada keterbukaan Melaka dalam menerima kehadiran mereka di Melaka.
Walau bagaimanapun mobaliti sosial boleh berlaku akibat dari perkahwinan, tawanan perang, kekayaan dan bakti. Sama ada perkahwinan diantara pedagang dengan penduduk tempatan atau golongan diraja Melaka berkahwin dengan kerabat di raja negara lain. Misalnya, mobaliti sosial melalui perkahwinan dapat dilihat dengan jelas melalui perkahwinan antara Sultan Mansur Syah dengan Puteri Hang Li Po. Perkahwinan ini telah menyebabkan bilangan penduduk Melaka bertambah secara mendadak akibat daripada 500 orang rakyat Cina telah mengiringi Puteri Hang Li Po ke Melaka. Malah akhirnya mereka turut memeluk agama Islam. Selain mengahwini Puteri Hang Li Po, Sultan Mansur Syah turut mengahwini puteri Raja Majapahit. Adanya hubungan inilah yang telah menyebabkan kewujudan pelbagai bangsa di Melaka.  Malah, wujud juga perkahwinan antara putera puteri bangsawan Melaka dengan golongan bangsawan negeri – negeri di Sumatera, Jawa dan Demak.[7] Ramai orang China dan Majapahit datang ke Melaka untuk mengiringi puteri yang dikahwini oleh raja Melaka. Hal ini meramaikan lagi penduduk Melaka dan dapat menggalakkan pula hubungan perdagangan dengan kedua-dua buah kerajaan besar itu.[8]
Sekiranya wujud perkahwinan di kalangan golongan atasan dengan kaum-kaum lain  maka akan lahirlah satu keturunan kerabat ‘darjat kedua’. Contohnya, Sultan Mansor telah mengahwini orang Cina. Hasil perkahwinan itu lahirlah Paduka Mimat, Paduka Seri Cina, Paduka Ahmad dan  Paduka Isap. Keturunan mereka menjadi Raja di Jeram dan Langat. Manakala contoh kedua ialah Sultan Iskandar Syah telah berkahwin dengan anak Kapitan Cina dan mempunyai cahaya mata yang bernama Raja Pute. Tetapi Raja Pute ini hanya jadi ketua di Bertao / Bertam dan tidak menjadi Raja Melaka walaupun dia lebih tua daripada Sultan  Muzaffar Syah dan Sultan Mansor Syah. Raja Pute hanya merupakan keturunan kerabat ’ darjat kedua’. [9]
Di samping itu juga, mobaliti sosial boleh berlaku akibat dari khidmat cemerlang, pemilikan ekonomi dan kekayaan. Contohnya, Khoja Baba dan Sayyid Muhammad yang berasal dari Parsi diberi anugerah Akhtiar Muluk kerana keberanian mereka dalam menyertai peperangan antara Melaka dan Kampar. Khoja Baba juga berasal daripada rakyat biasa yang berjaya meletakkan dirinya setaraf dengan pembesar Melaka yang lain.[10] Keturunan Khoja Baba dan Sayyid Muhammad bergelar Khawaja ataupun Koja dan Tun. Akhirnya, mereka juga termasuk dalam kelas bangsawan Melayu. Sayyid Muhammad merupakan seorang nakhoda. Beliau telah membantu Hang Nadim melarikan Tun Teja dari Pahang. Justeru itu, beliau memperolehi gelaran Syah Andika Menteri.[11] Manakala, mobaliti sosial melalui kekayaan adalah dapat dilihat melalui peristiwa Patih Adam dari Jawa telah dilayan seperti menteri kerana kekayaan beliau. Selain itu, pergerakan menegak melalui perkahwinan akan membawa seseorang individu dalam kelas-kelas tertentu mencapai tarafnya ke peringkat yang lebih tinggi.hal ini terjadi apabila seseorang itu berkahwin dengan salah seorang daripada anggota masyarakat yang mempunyai kelas yang lebih tinggi.[12]
            Selain itu, sistem pemerintahan yang terbuka dan sikap raja – raja Melayu yang toleransi dapat dibuktikan juga melalui sistem kelas sosial di Melaka. Raja – raja Melaka juga sebenarnya telah bersikap terbuka dalam soal kelas sosial apabila wujudnya bangsa asing dalam hierarki masyarakat Melaka, sama ada bangsa asing itu berada dalam golongan pemerintah atau golongan diperintah. Misalnya, bangsa asing turut terlibat dalam kegiatan  pedagangan kecil-kecilan iaitu menjadi pemborong, peniaga besar-besaran  serta menjadi pekerja mahir seperti tukang. Misalnya orang cina, mereka  terlibat dalam aktiviti melombong  bijih. Manakala, orang Jawa dan Pasai telah diupah untuk menjadi askar upahan kerajaan Melaka. Antara bangsa yang paling ramai berada di Melaka menurut Sejarah Melayu ialah orang India dan Arab. Adanya orang ini membawa kesan yang besar bagi politik Melaka dan mereka dikatakan bercampur bebas dengan orang-ornag istana Melaka.[13] Bukti yang paling jelas menunjukkan Melaka mengamalkan sistem pemerintahan yang terbuka dan Raja – raja Melaka bersikap tolenrasi adalah apabila bangsa asing berpeluang menjadi Syahbandar. Contohnya, empat orang Syahbandar telah dilantik untuk mewakili setiap bangsa. Seorang darinya mewakili bangsa Gujerat kerana bilangan bangsa Gujerat yang ramai iaitu kira – kira 1000 orang pada tahun 1509. Seorang lagi mewakili kaum India dari bahagian Selatan India dan Benggala beserta para pedagang dari Pegu di Burma dan dari Pasai. Yang ketiganya mewakili pedagang dari Jawa,Maluku, Banda, Palembang, Borneo dan Filipina ( sekarang ), manakala yang keempat untuk mewakili para pedagang dari Champa, benua China dan Kepulauan Ryuku ( barangkali termasuk Jepun ).
 Tugas – tugas Syahbandar ini ialah mengawasi segala urusan kelompoknya, menguruskan pasar dan gudang, membuat pemeriksaan ke atas alat – alat timbang sukat dan mata wang, dan juga menghakimi pertikaian yang timbul di antara kapten kapal dengan saudagar – saudagar yang berkenaan. Walau bagaimanapun, Raja Melaka tetap bertindak sebagai penimbang antara yang muktamad dalam peristiwa pergaduhan di antara kaum – kaum pedagang yang berlainan itu.  Malah apabila sebuah kapal masuk ke pelabuhan, kapten kapal tersebut akan melaporkan diri kepada Syahbandarnya  dan beliau akan merujukkan hal ini kepada Bendahara. Kemudian Syahbandar tadi akan memberi beberapa ekor gajah yang akan mengangkut kargonya ke gudang yang telah diperuntukkan kepada kapten tadi untuk menyimpan barangan yang dibawanya itu buat sementara waktu. Raja Mendeliar misalnya menjadi Syahbandar Melaka kerana beliau merupakan saudagar asing yang terlalu kaya.[14]
Keterbukaan sistem pemerintahan di Melaka dan sikap raja – raja Melayu yang toleransi dapat dilihat melalui aspek ekonomi. Masyarakat Melaka yang kosmopolitan sudah diketahui ramai kerana Melaka merupakan sebuah negara kota dan pelabuhan yang cukup terkenal sehinggakan ramai bangsa asing datang berdagang di Melaka. Bangsa asing ini bebas menjalankan aktiviti perdagangan serta aktiviti – aktiviti ekonomi yang lain di Melaka. Aktiviti perdagangan ini tidak mempunyai sekatan terhadap mana – mana pihak.  Pelbagai jenis barangan import telah dibawa oleh saudagar – saudagar asing ini untuk diperdagangkan di Melaka yang menjadi pelabuhan bebas. Orang – orang Gujerat, Tamil, China dan Jawa adalah antara saudagar dan pedagang yang aktif di Melaka. Salain daripada saudagar – saudagar tersebut, terdapat juga kumpulan saudagar asing datang dari serata dunia untuk berdagang di Melaka.
Antara barang – barang yang di perdagangkan adalah seperti emas, timah, kayu kayan, ubat – ubatan daripada akar kayu, kulit dan ukiran kayu. Damar merupakan bahan penting kerana damar merupakan bahan yang digunakan untuk membuat gam bagi membina perahu dan menghidupkan lampu pada waktu malam. Buah – buahan tempatan seperti durian, langsat, duku, cempedak dan manggis turut dijual kepada pedagang asing. Manakala pedagang asing pula seperti saudagar dari Arab dan India biasanya membawa masuk barang – barang seperti kain, barang kapas, alat solek, kain hiasan dan lain – lain. Saudagar China biasanya membawa barangan seperti sutera, tembikar kipas, benang emas, kain satin dan teh.[15]
Bagi menggalakan aktiviti perdagangan di Melaka, golongan pemerintah di Melaka telah membina tempat persinggahan kapal – kapal antarabangsa. Tempat persinggahan ini berfungsi sebagai tempat mencari bekalan makanan, rawatan, rehat dan tempat pertukaran barangan. Malah turut dijadikan tempat para pedagang berkumpul sementara menentukan pertukaran musim tiupan angin. Maka jelaslah, pihak pemerintah Melaka bersikap terbuka kerana mereka turut membenarkan bangsa asing menggunakan pelabuhan Melaka sebagai tempat perlindungan daripada taufan dan gelombang besar sehingga menyebabkan lahirnya pelbagai bangsa di Melaka. Malah raja – raja bersikap tolenrasi dalam memastikan kebajikan pedagang terjamin di samping memastikan aktiviti perdagangan di Melaka kian maju.
Kehidupan masyarakat Melaka memang bukan sahaja bergantung kepada kegiatan perdagangan, namun wujud juga kegiatan pertanian. Kepentingan kegiatan pertanian telah dijamin dengan wujudnya undang – undang Negeri Melaka yang telah memperuntukkan tentang hak ketuanan ( pengerjaan) tanah, cara membela binatang ternakan dan berjual beli binatang ternakan. Bangsa asing yang telah berkahwin dengan penduduk tempatan  turut terlibat dengan aktiviti pertanian seperti aktiviti memelihara binatang iaitu sebagai sumber makanan mereka selain menjalankan aktiviti perdagangan. Bangsa asing bebas mengerjakan tanah seberapa yang mahu, tetapi tidak boleh memilikinya kerana  pada umumnya tanah adalah milik raja. Keterbukaan pemerintahan serta sikap toleransi raja Melayu dalam mengusahakan tanah  telah menyebabkan bangsa asing boleh menyediakan keperluan kehidupan mereka sendiri. Walau bagaimanapun, pembesar biasanya di beri tanggungjawab untuk mengutip cukai atau membeli hasil tanaman daripada rakyat.
Di samping itu, bukti yang menunjukkan bahawa Melaka mengamalkan sistem pemerintahan yang terbuka serta raja – raja Melaka bersikap toleransi dapat dilihat melalui konsep agama. Raja Melaka merupakan seorang yang memeluk agama Islam  namun beliau bersikap terbuka dalam konsep keagamaan.[16] Raja Melaka tidak pernah memaksa bangsa lain untuk memeluk agama Islam sekiranya ingin menjalinkan hubungan dengan Melaka atau ingin menjalankan perdagangan di Melaka. Biarpun, hakikatnya ramai rakyat mula menerima kedatangan Islam selepas Sultan memeluk Islam namun semua itu terjadi akibat kerelaan hati mereka sendiri. Bukan paksaan dari mana – mana pihak. Oleh itu, bangsa asing bebas untuk menganut agama mereka sendiri namun mereka perlulah menghormati adat dan agama lain. Akibat dari keterbukaan dalam beragama serta sikap Sultan yang liberal  telah menggalakkan saudagar asing untuk datang dan menetap di Melaka. Walau bagaimanapun, aktiviti dakwah turut dijalankan sehingga menyebabkan ramai pedagang asing tertarik dengan Agama Islam.[17]
Bukti seterusnya yang menunjukkan Melaka mengamalkan sistem pemerintahan yang terbuka dan Raja – raja Melaka bersikap tolenrasi dapat dilihat melalui sistem sosial. Misalnya Melaka merupakan negari yang mempunyai kepelbagaian budaya dan adat. Hal ini kerana, raja Melaka membenarkan bangsa asing untuk mengamalkan adat dan budaya mereka sendiri asalkan adat tersebut tidak akan menimbulkan kekacauan di Melaka. Bangsa asing juga sebenarnya perlu hormat adat orang Melayu iaitu masyarakat Melayu pada zaman dahulu mengamalkan konsep Daulat dan Derhaka.[18] Keterbukaan dalam sistem sosial  juga dapat dilihat  dari sudut bahasa yang dipertuturkan. Walaupun, kebanyakkan masyarakat Melaka dari tahun 1400 – 1511 adalah terdiri daripada orang – orang melayu. Namun, terdapat juga bangsa asing yang berada di Melaka, antara lain bangsa asing ini ialah terdiri dari orang – orang Arab, India, Parsi dan juga Cina. Menurut Tome Pires, terdapat tidak kurang daripada 84 bahasa dipertuturkan saban hari di pelabuhan Melaka. Laporan Tome Pires jelas ternyata menunjukkan betapa ramainya kumpulan pedagang, perantau dan pengembara dari Alam Melayu dan asing. Walau bagaimanapun, Bahasa Melayu menjadi lingua franca, bukan sahaja bagi yang di Melaka tetapi bagi setiap yang ada hubungan dengan Melaka. Tetapi sekiranya pedagang tidak mampu menguasai Bahasa Melayu, Raja – Raja Melayu yang bersikap toleransi ini telah menyediakan satu kemudahan iaitu sebuah jabatan khas telah ditubuhkan. Jabatan Khas ini ditubuhkan bagi tujuan memudahkan cara berkomunikasi di antara berbagai bangsa dan jawatan jurubahasa telah diwujudkan. Misalnya, pada tahun 1905, apabila ada orang Portugis hendak berjumpa dengan pedagang Cina di Pelabuhan Melaka, seorang jurubahasa telah digunakan. Maka jelaslah terbukti bahawa sistem pemerintahan yang terbuka dan sikap raja – Raja Melayu yang toleransi telah menyebabkan kewujudan  ramai pedagang asing di Melaka.
Melaka sebagai sebuah kerajaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa, maka amat perlu Melaka memandang serius kepada tahap keselamatan. Hal ini kerana, keselamatan merupakan perkara pokok yang perlu dititik beratkan agar tidak terjadi perselisihan faham atau keadaan huru - hara. Sekiranya wujud perselisihan faham maka ekonomi dan kegiatan harian lain tidak dapat dijalankan. Justeru itu, sistem pemerintahan yang terbuka dan raja yang bersikap toleransi lagi adil telah memandang serius terhadap tahap keselamatan masyarakat Melaka sama ada masyarakat peribumi mahupun bangsa asing. Undang – undang telah dikanunkan sebagai sebahagian daripada jentera kehakiman dan pentadbiran yang berkemungkinan untuk meramal sesuatu dianggap mustahak bagi bangsa asing untuk rancangan jangka panjang mereka. Buktinya, Raja – Raja Melaka gemar berada di bandar berbanding pergi berburu demi mendengar sendiri dan membuat keputusan mengenai kekejaman atau kezaliman yang berlaku di Melaka.  Raja – raja Melaka tidak memilih bulu dalam menjatuhkan hukuman sama ada pesalah itu rakyat tempatan ataupun bangsa asing. Jaminan keselamatan pedagang atau bangsa asing di perairan Selat Melaka amat diutamakan. Justeru itu, Raja – raja Melaka telah mendapatkan sokongan Orang Laut untuk menjaga keselamatan perairan Selat Melaka.[19]  Orang laut turut memainkan peranan penting dalam perdagangan kerana mereka dapat menentukan dengan tepat terdapatnya barangan dagangan di dasar laut. Mereka juga merupakan golongan yang arif dalam mengendalikan kolek dengan selamat.
Kepelbagaian bangsa yang wujud di Melaka disebabkan oleh keterbukaan raja-raja Melaka. Di puncak kegemilangannya, ada 80 bahasa yang dipertuturkan di Melaka dan Melaka merupakan pertemuan pedagang timur dan barat, ilmu timur dan barat serta budaya timur dan barat. Sikap keterbukaan minda Melayu pada zaman kegemilangan Melaka membolehkan berlakunya perkembangan ilmu, perkembangan seni bina, perkembangan seni sastera yang keseluruhannya mencerminkan sifat inuvatif dan kreatif bangsa.[20] Raja-raja Melaka mengamalkan dasar luar yang dapat menarik ramai pedagang datang ke Melaka.
 Raja-raja Melaka bersikap terbuka untuk meningkatkan ekonomi Melaka.[21] Wujudnya ramai pedagang ke Melaka menyebabkan cukai yang diperolehi turut bertambah. Semakin banyak hasik pencukaian, semakin kukuhlah ekonomi dan ketenteraan (dari segi keperluan, penanggungan dan penyaraan tenaga manusia). Kesultanan Melaka mengamalkan dasar perniagaan yang agak bebas lagi adil dan tidak membebankan para pedagang dengan cukai yang mahal. Pires misalnya menyatakan bahawa pedagang dari sebelah barat Melaka seperti India, Sri Lankan, Pegu dan dunia Arab dikenakan cukai 6% dan pedagang tempatan dikenakan cukai 3%. Manakala pedagang dari timur seperti China, Jepun, Jawa dan Maluku tidak dikenakan cukai tetapi dikehendaki memberi hadiah sebagai pengganti cukai. Cukai seperti ini dikenakan adalah untuk menarik minat para pedagang supaya datang ke Melaka untuk berdagang.
Raja-raja Melaka bersikap terbuka adalah untuk menambah bilangan ketenteraan supaya dapat mematahkan serangan yang dilakukan oleh Siam serta lanun-lanun yang berada di laut. Askar upahan kerajaan Melaka terdiri daripada orang Jawa dan Pasai. Hubungan Melaka dengan Pasai bukan sekadar untuk kepentingan politik tetapi turut penting untuk keperluan mempardalamkan dan bertukar-tukar pendapat tentang hukum-hukum Islam. Selain itu, dasar keterbukaan ini bertujuan untuk menjamin keselamatan Melaka. Di peringkat awal penubuhan Melaka, ia menghadapi ancaman dari Siam dan Melaka belum begitu kuat dan kurang yakin yang ia boleh menentang Siam sendirian. Pada masa yang sama, kerajaan China melawat Melaka sejak tahun 1403 dan merupakan sebuah kuasa yang kuat dan giat berdagang di rantau Asia. Oleh itu, Kesultanan Melayu Melaka melihat minat dan kegiatan China sebagai peluang untuk menjaga keselamatan Melaka. Oleh sebab itu, Melaka telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan China semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah (1459-1477). Disebabkan kedudukannya yang strategik, Melaka menjadi sebuah pangkalan luar yang penting bagi kapal-kapal.  Bagi mengeratkan hubungan diplomatik dengan Melaka, Maharaja China telah menganugerahkan anaknya Puteri Hang Li Po dengan tujuan untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur Shah. Daripada peristiwa ini, wujudlah kelompok kaum peranakan, iaitu hasil daripada perkahwinan campur di antara pendatang Cina dengan penduduk tempatan yang dikenali sebagai Baba dan Nyonya pada hari ini. Keterbukaan sultan untuk menerima hubungan diplomatik dengan kerajaan China menyebabkan ramai pendatang Cina berkunjung ke Melaka sekaligus mewujudkan kepelbagaian bangsa di Melaka. Ketiadaan gangguan Siam serta adanya perlindungan daripada pihak China membolehkan Melaka mengukuhkan keududukannya.[22] Melaka seterusnya telah menikmati kemakmuran ekonomi dan berjaya memperluaskan tanah jajahan ke seluruh Tanah Melayu dan negeri-negeri di pesisir Sumatera Timur sehinggalah kejatuhannya pada tahun 1511 di tangan Portugis.
Dasar terbuka kerajaan Melaka adalah untuk mendapatkan keperluan bahan makanan. Oleh kerana terlalu ramai pedagang singgah dan bedagang di Melaka, Kesultanan Melayu Melaka perlu menyediakan bekalan makanan yang cukup kepada pedagang kerana ini menjadi salah satu daya tarikan Melaka sebagai pusat perdagangan yang luas. Oleh kerana kawasan di sekitar Melaka sendiri tidak mempunyai sumber makanan yang cukup untuk pedagang asing, maka kerajaan Melaka perlu memikirkan cara untuk membawa makanan masuk. Pada masa itu, Jawa dan Siam merupakan pengeluar beras dan bahan makanan lain yang penting. Jadi adalah penting untuk Melaka mengadakan perhubungan yang baik dengan kedua-dua negara ini. Tetapi pada masa yang sama, Melaka mempunyai hubungan yang teruk dengan Siam iaitu Siam merupakan musuh Melaka. Tetapi, untuk mendapatkan bahan makanan, Sultan Mansur Shah telah menghantar utusan untuk berbaik-baik dengan Siam.[23] Hal ini kita dapat lihat bahawa, kesultanan Melaka turut bersikap terbuka dengan musuhnya demi mengekalkan Melaka sebagai pusat perdagangan. Manakala Sultan Muzaffar Shah sentiasa mengekalkan hubungan dengan Jawa dan kebanyakkan bahan makanan datang dari Jawa. Hubungan dagang Melaka dan Jawa ini telah menempatkan sebahagian daripada orang-orang Jawa di Melaka dan sebahagian daripada askar-askar Kesultanan Melayu Melaka terdiri daripada orang-orang Jawa. Hubungan yang baik ini telah menggalakkan pedagang dari Siam dan Jawa untuk datang ke Melaka seterusnya berkahwin dengan penduduk tempatan dan mewujudkan kepelbagaian bangsa di Melaka. Dasar luar berbaik-baik dengan negeri serantau begini adalah semata-mata untuk mengekalkan kedudukan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan yang penting dan pusat penguasaan politik Melayu tanpa digugat oleh Siam lagi.[24]
Implikasi sistem pemerintahan yang terbuka dan sikap toleran raja-raja Melaka menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah penduduk di Melaka termasuk bilangan bangsa asing. Menurut Tome Pires, bilangan penduduk bertambah dari 1000 orang semasa Melaka mula dibuka kepada 6000 orang waktu kematian Megat Iskandar Syah.[25] Menurut R.O. Winstedt, Melaka seterusnya dianggarkan mempunyai penduduk seramai 40 000 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam masa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah (1477-1488).[26] Dalam Sejarah Melayu edisi Shellabear menyatakan, dalam masa pemerintahan Sultan Mahmud Syah, jumlah penduduk seramai 190 000 (19 laksa) orang dalam negeri Melaka sahaja dan belum termasuk negeri-negeri di bawah jajahan dan naungannya.[27] Kesan keterbukaan telah mewujudkan banyak perkampungan yang terdiri daripada perlbagai bangsa seterusnya menggalakkan pedagang datang ke Melaka. Mereka boleh mengamalkan adat dan budaya mereka sendiri. Menurut Barbara Watson Andaya, saudagar-saudagar China, India dan sebahagian Nusantara menjadikan Melaka sebagai pelabuhan yang terpenting kerana Melaka menyediakan kemudahan menyimpan barang sementara menanti kargo. Sikap keterbukaan raja-raja telah meningkatkan ekonomi di Melaka bertambah maju serta telah menjadi entrepot terpenting akibat pelbagai jenis perniagaan dijalankan.  Malah yang paling istimewa Melaka sebagai entrepot ialah peranan kembar yang dipegangnya sebagai pusat pemungutan utama bunga cengkih (Maluku) dan buah pala (Kepulauan Banda) serta tempat pembahagian semula yang penting bagi tekstil India (Gujerat, Koromandel, Malabar dan Benggala). Perdagangan Melaka pada keagungannya, dianggarkan bernilai 1 hingga 2 juta cruzado setahun, manakala cukai ke atas barangan dagangan di antara 40 000 hingga 50 000 cruzado setahun. Keagungan perdagangan Melaka ini menyebabkan Portugis datang ke Melaka dan akhirnya menakluki Melaka.[28]
Walaupun raja-raja Melaka mengamalkan keterbukaan yang membuatkan Melaka menjadi terkenal dan mempunyai pelbagai bangsa, keterbukaan ini sebenarnya turut mengundang implikasi yang negatif. Melaka telah mengalami kejatuhan kerana kemajuan ekonomi dan kepesatan perdagangan akibat keterbukaan raja-raja dan disebabkan itu Melaka telah menarik perhatian dan minat Portugis untuk menjajah Melaka. Pada 10 Ogos 1511, sebuah armada laut Portugis yang besar dari India diketuai oleh Alfonso de Albuquerque kembali ke Melaka dan membuat beberapa permintaan membina markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh Sultan Mahmud Syah. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos.

KESIMPULAN:
            Kesimpulannya, sistem pemerintahan yang terbuka dan sikap tolenrasi Raja – raja Melayu Melaka telah menggalakkan kewujudan pelbagai bangsa di Melaka. Di samping itu, sebenarnya terdapat juga faktor – faktor lain yang turut menyumbangkan kepada lahirnya kepelbagaian bangsa di Melaka sehingga menyebabkan bangsa asing tertumpu di Melaka. Malah keterbukaan ini diamalkan bertujuan untuk kepentingan rakyat dan negeri Melaka. Sehinggakan timbul implikasi sama ada dari sudut positif dan negatif terhadap negeri Melaka. Implikasi keterbukaan ini dapat dilihat secara jelas menurut perspektig masing – masing sama ada mendatangkan manfaaat atau mendatangkan keburukan.




[1] Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2000. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hal 708.
[3] Haron Daud, 1993. Sejarah Melayu:Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal 77.
[4] Ibid. hal 212 dan 213.
[5] Melaka menjadi pusat entrepot yang terkemuka kerana Melaka terletak di persimpangan jalan laut dari India dan China. Pelabuhan Melaka ini terlindung dari angin dan jauh dari paya bakau, sementara pintu pelabuhannya adalah cukup dalam dan membolehkan kapal besar berlabuh. 

[6] Mobiliti social merupakan satu proses perubahan individu atau kelompok dari satu lapisan social kepada lapisan social yang lain atau satu kedudukan kepada satu kedudukan baru dalam lapisan yang sama. Haron Daud, 1993. Sejarah Melayu:Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hal 64.
[7]  Sekiranya terdapat hamba wanita yang berkahwin dengan lelaki yang merdeka. Maka mereka akan menjadi orang merdeka.

[8] Muhammad Yusoff Hashim, 1992. Pensejarahan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal 175.
[9] Keturunan Raja yang berkahwin dengan orang Cina  akan memiliki gelaran Raja dan Paduka. Tetapi Keturunan Raja yang berkahwin dengan orang bukan Cina akan memperolehi gelaran Raja sahaja. Seperti Raja Kassim, Raja Abdullah, Raja Hussain dan Raja Majmud. Manakala keturunan Raja  berkahwin dengan orang Jawa/Raden Galuh akan memakai gelaran Raden seperti Raden Kelang / Raja Raden.

[10] Khoja Baba dianugerahkan gelaran Akhtiar Muluk kerana membantu tentera Melaka mengalahkan Kampar serta membunuh raja Siak, iaitu Raja Permaisuri. Muhammad Yusoff Hashim, 1992. hal 169.

[11] Diberi persalinan dan diberi gelaran Syah Andika Menteri bersama-sama dengan hadiah keris dan sebilah pedang bersalut emas, berdiri di balairung raja setaraf dengan bentara. Ibid . hal 169.

[12] Sebelum berkahwin dengan Sultan Mahmud, Tun Fatimah anak kepada Tun Mutahir hanya mampu menduduki taraf dan susun lapis kedua sahaja (bangsawan). Selepas berkahwin, kedudukannya berubah daripada susun lapis kedua ke susun lapis pertama, setelah beliau mendapat gelaran Raja Perempuan Besar Melaka, iaitu sebagai permaisuri Sultan Mahmud. Ibid . hal 168.
[13] Muhammad Yusoff Hashim, 1992. hal 184.
[14] Mobiliti tidak terhad kepada rakyat tempatan sahaja. Beberapa orang asing sama ada keturunan Keling atau Arab juga pernah menikmatinya. Raja Mendeliar, disebabkan terlalu kaya telah dinaikkan taraf social dari orang biasa kepada golongan bangsawan setelah diberi jawatan syahbandar. Lihat Sejarah Melayu:Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya. 1993. hal 67.
[15]  Selain pedagang China, Arab dan India. Terdapat juga pedagang dari Burma yang membawa barang dagangan seperti batu permata, delima, akek, bijih timah dan nilam. Manakala pedagang dari tanah seberang seperti Jawa, Maluku, Banda dan Timor membawa barang dagangan seperti beras, cengkih, buah pala, rempah, kayu gaharu dan cendana. Pedagang dari Sumatera membekalkan lada hitam, emas dan beras. Kalimantan pula membekalkan kapur barus, bijih timah dan emas.
[16] Masih menjadi pertikaian sama ada Parameswara atau Megat Iskandar Syah yang mula – mula memeluk Islam. Menurut Winstedt jikalau salasilah Raja-raja Melaka benar, bermakna Parameswaralah Raja Melaka yang mula-mula memeeluk Islam.Namun menurut pendapat Wang Gungwu, beliau berpndapat bahawa Megat Iskandar Syahlah Raja Melaka yang mula-mula memeluk Islam.

[17] Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa kedudukan agama Islam di Melaka di bawah kesulanan Melayu telah mencapai peringkat tertinggi, dalam tempoh inilah Melaka terbit sebagai pusat perkembangan kebudayaan, kesusasteraan, perundangan dan tasawuf, serta menjadi pusat penyiaran agama Islam itu sendiri. M.A.P. Meilink Roelofsz, Asian Trade and European Influence between 1500-1630, The Hague, 1962. hal 34.

[18] Konsep Daulat dan Derhaka merupakan waadat antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun.

[19] Orang Laut amat ditakuti oleh semua orang kerana kehandalan mereka dalam aspek ketenteraan. Namun, orang lain ini merupakan golongan masyarakat yang amat taat setia kepada Raja – Raja Melaka.
[21] Ekonomi merupakan segala kegiatan atas pekerjaan yang dijalankan oleh setiap anggota masyarakat untuk mendapatkan hasil bagi keperluan hidup mereka sama ada dalam bentuk makanan atau barangan lain. Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya. Hal 191.
[22] Sejarah Melayu: Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya. Hal 125.
[23] Utusan itu ialah Tun Telanai dan Menteri Jana Putera. Utusan kerajaan Melaka disambut baik oleh Raja Siam. Hal ini jelas dilihat dengan penganugerahan seorang puteri raja Siam, “Onang Minang Hang” kepada Tun Telanai. Muhammad Yusoff  Hashim, 1992. Pensejarahan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal 179.
[24] Ibid. hal 179.
[25] Sejarah Melayu:Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya. Hal 69.
[26] Ibid .hal 69.
[27] Ibid. hal 69 dan 70.
[28] Abu Hassan Sham, Martin ‘t Hart dan Wong Khek Seng, 1998. Pengajian Melayu Bersumberkan Belanda= Malay Studies From Dutch Sources. Kuala Lumpur: Penerbit Bersama Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan Perbadanan Muzium Melaka.

No comments:

Post a Comment