nuffnang

Friday, May 9, 2014

PENGENALAN

         
          Pada kurun ke-18, negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan di bawah naungan Siam. Pada ketika ini Kedah di bawah pemerintahan Sultan Muhamaad Jiwa Zainal Azilin Muazzam Shah diikuti oleh anakanda baginda Sultan Abdullah Mukkaram Shah. Di Kedah pada abad ke-18, perebutan takhta antara keluarga diraja amat ketara dan ia ditambah lagi dengan campurtangan Bugis dan Raja Kecil di dalam pergolakan ini. Manakala di Terengganu pula, ia diperintah oleh Sultan Zainal Abidin I dan di Kelantan pula ia diperintah oleh Long Yunus. Kelantan dan Terengganu mempunyai hubungan secara langsung antara mereka. Hal ini dapat dilihat melalui pengaruh Sultan Terengganu keatas pemerintahan Kelantan pada masa tersebut. Malah kebanyakkan pembesar Kelantan dikatakan berasal dari Terengganu semasa pemerintahan Sultan Muhammad Shah.
           
Pengaruh Siam ke atas ketiga-tiga negeri ini dikatakan bermula pada abad ke-18. Hal ini dapat dibuktikan melalui penghantaran bunga emas oleh ketiga-tiga negeri tersebut kepada kerajaan Siam. Namun begitu, persoalannya adakah ketiga-tiga negeri tersebut benar-benar berada di bawah naungan Siam? Justeru itu kami akan membincangkan secara terperinci tentang pengaruh serta kekuasaan Siam terhadap negeri-negeri tersebut dan akhirnya menentukan status sebenar penguasaan Siam keatas ketiga-tiga negeri tersebut.




HUBUNGAN AWAL ANTARA KEDAH DAN SIAM

Pada peringkat awal, hubungan Kedah dan Siam adalah berada dalam keadaan baik sahaja. Hal ini dibuktikan apabila perhubungan Kedah dengan Ayuthia dan kemudiannya dengan Thailand (Siam) merupakan perhubungan perdagangan dan politik.[1] Namun, dalam masa yang sama, Kedah dan beberapa negeri lain seperti Pattani dan Senggora dipaksa menghantar ufti berupa pohon emas, setinggi 5 kaki setengah dan sepohon lagi daripada perak setiap tiga tahun.[2] Tindakan mengarahkan penghantaran bunga emas ini dilakukan juga supaya Kedah tidak menggunakan wang hasil perdagangan di negeri mereka untuk mengukuhkan pertahanan dengan membesarkan angkatan tentera yang akhirnya berkemungkinan dapat mengancam Siam. Walau bagaimanapun, Siam turut mencari alasan untuk menyerang negeri Kedah jika Kedah tidak menghantar ufti tersebut atau terlambat menghantarnya.[3] Hal ini, secara tidak langsung telah menimbulkan bibit-bibit permusuhan antara Kedah dan Siam.

SULTAN MUHAMMAD JIWA ZAINAL AZILIN MUAZZAM SHAH II, (1710-1778)
            Setelah kemangkatan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I, Raja Bendahara dan Orang-Orang Besar Kedah telah melantik anakanda baginda iaitu Tunku Muhamaad Jiwa menjadi Sultan dan Yang Dipertuan Kedah ke sembilan belas bergelar Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muazzam Shah II.[4] Baginda merupakan raja yang berjasa terhadap negeri Kedah dan pada zaman pemerintahan baginda telah berlaku pergolakan di dalam keluarga diraja Kedah. Antara sumbangan baginda ialah mengatur pemerintahan negeri Kedah dengan mengadakan undang-undang, adat istiadat dan peraturan hukum syarak serta menetapkan tugas pembesar Kedah. Sultan Muhamaad Jiwa beristerikan Cik Puan Paduka Bonda dan berputerakan Tunku Long Putera dan Tunku Anjang. Sementara itu, dengan Tunku Puteri baginda telah mempunyai dua cahaya mata iaitu Tunku Rahimah dan Tunku Abdullah. Akhir sekali, melalui perhubungan dengan salah seorang gundik istana, baginda telah memperolehi putera yang bernama Tunku Dhiauddin.[5]
           
Semasa pemerintahan baginda terdapat pergolakan keluarga diraja Kedah. Sultan Muhammad Jiwa telah menghadapi tentangan dan tekanan daripada adinda tirinya Raja Nambang. Menurut Raja Nambang, beliau lebih layak menduduki takhta Kedah daripada kekandanya Sultan Muhammad Jiwa. Hal ini telah membawa kepada meletusnya perang di antara dua beradik ini. Sultan Muhammad Jiwa telah mendapatkan bantuan daripada orang Bugis pimpinan Daeng Parani[6] manakala adindanya Raja Nambang mendapatkan bantuan daripada Orang Siak pimpinan Raja Kecil. Hal ini juga menunjukkan permulaan campur tangan Bugis ke atas politik Kedah dan ini dianggap juga lanjutan daripada peperangan Bugis dan Raja Kecil yang sebelum ini di Johor-Riau.
            Pada 1724, keadaan menjadi tenang semula apabila Bugis kembali semula ke Selangor dan Raja Kecil telah berundur ke Siak. Dalam peperangan sebelum ini ia telah dimenangi oleh Sultan Muhammad Jiwa. Namun pada 1726, ketegangan berlaku lagi apabila Raja Nambang sekali lagi dengan bantuan Raja Kecil telah merampas takhta daripada Sultan Muhammad Jiwa. Namun begitu, dengan bantuan Bugis sekali lagi baginda berjaya mendapatkan takhta baginda semula. Sebelum peperangan ini Bugis pernah meminta Raja Kecil untuk mendamaikan dua orang raja beradik ini tetapi tidak dihiraukan oleh Raja Kecil yang ingin meneruskan peperangan.[7] Dalam peperangan ini, Daeng Parani telah terkorban apabila baginda terkena peluru meriam di dadanya.[8]
           
Raja Nambang kembali semula ke Kedah bersama dengan orang-orang Minangkabau yang dipimpin oleh Syed untuk menyerang Kedah. Antara yang turut serta dalam serangan ini ialah Raja Alam (Sultan Minangkabau) dan Syahbandar Siak. Menurut Barbara Watson Andaya, peperangan ini tidak mempunyai keterangan lanjut mengenai siapa pemenangnya.[9] Namun boleh diandaikan bahawa peperangan ini dimenangi Sultan Muhammad Jiwa kerana baginda terus bertakhta selepas itu.
           
Selain adinda baginda, baginda juga ditentang oleh anak-anak saudaranya serta anakandanya sendiri. Hal ini bermula apabila perlantikan Tunku Abdullah sebagai Raja Muda tidak dipersetujui kebanyakan kerabat diraja Kedah dan juga perlantikan Tunku Dhiauddin sebagai Raja Muda Kayang. Putera baginda dengan isteri pertama, Cik Puan Paduka Bonda iaitu Tunku Long Putera dan Tunku Anjang telah diketepikan oleh baginda dan hal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dua orang putera raja itu. Kedua-dua anak raja ini telah meminta bantuan daripada Selangor dan Perak secara sulit.[10] Pada 1769, Bugis di Selangor telah menyerang Kedah dan tentera Bugis yang  pada masa itu dipimpin oleh Raja Ali Haji.[11] Orang Bugis tersebut telah mendapatkan bantuan daripada 40 orang askar upahan Eropah dan turut disertai oleh Tunku Anjang dan Tunku Long Putera.[12] Bagi pihak Bugis, motif mereka menyerang Kedah adalah kerana Kedah gagal membayar upahan kepada Bugis semasa Daeng Parani dan Bugis membantu Kedah pada 1726.
           
Namun begitu perikatan Tunku Anjang, Tunku Long Putera dan Bugis tumpas dalam tangan Kedah kerana rakyat Kedah bersatu menewaskan mereka. Hal ini disebabkan rakyat Kedah membenci dan tidak menyukai campur tangan luar dalam negeri mereka. Setelah itu, perjanjian damai telah dimeterai antara kedua-dua pihak dan keadaan menjadi damai semula pada tahun 1780 iaitu dua tahun selepas kemangkatan Sultan Muhammad Jiwa. Almarhum digelar dengan marhum Kota Setar I dan telah digantikan oleh Sultan Abdullah Mukarram Shah.[13]
SULTAN ABDULLAH MUKARRAM SHAH (1778-1789)

Sultan Abdullah telah menggantikan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Azilin Muazzam Shah II selepas beliau mangkat pada tahun 1778. Pada tahun 1781, baginda telah menghantar “Bunga Emas” dan “Bunga Perak” kepada Raja Siam.[14] Penghantaran Bunga Emas ini diteruskan kerana kerajaan Siam telah kembali menjadi kuat selepas berperang dengan Burma. Pada masa yang sama terdapat pengaruh Inggeris di sana. Pada tahun 1786 angkatan tentera Burma telah datang ke Kedah dan ketuanya telah meminta bantuan berupa peluru dan senjata untuk menawan Thalang yang terletak di utara Langkawi.[15] Pada masa yang sama Sultan Abdullah turut memberikan bantuan kepada kerajaan Siam yang terkepung di Thalang. Hal ini kerana untuk menjaga keselamatan Kedah daripada serangan musuh.

Orang besar Siam iaitu “Uparat” telah meminta Kedah untuk menguatkan lagi pengiktirafannya ke atas Siam. Pada bulan Ogos 1786, Uparat telah memberi amaran kepada Kedah supaya tidak melindungi pelarian Pattani.[16] Disebabkan terlalu ramai pelarian, maka kerajaan Kedah tidak dapat mengawal pelarian tersebut. Hal ini telah menyebabkan kerajaan Kedah berasa bimbang dengan ancaman Siam. Pada bulan November tahun 1786, Siam telah berjaya menakluki Pattani. Disebabkan Pattani terletak berhampiran Kedah maka ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap Sultan Abdullah. Pada bulan Disember tahun 1787 Sultan Abdullah telah menerima ancaman daripada Siam. Kerajaan Siam telah memerintahkan Kedah memberikan bantuan sebanyak 200 buah perahu untuk menyerang Burma.[17] Antara bantuan lain yang diperlukan ialah senjata, ubat bedil dan makanan untuk 10,000 orang tentera. Disebabkan takut ancaman Siam maka Sultan Abdullah telah memberikan bantuan sebanyak 140 buah perahu dan 5000 orang tentera.

SULTAN DHIAUDDIN MUKARRAM SHAH II (1798-1804)
             Pada 1801-1802 Tunku Ahmad Tajuddin iaitu putera almarhum Sultan Abdullah bersama rombongan dari negeri Kedah telah pergi ke Singgora (Songkhla). Disana Tunku Ahmad Tajuddin telah berjaya memujuk Gabenor Siam untuk membawanya pergi menghadap Raja Siam.[18] Sultan Ahmad Tajuddin telah meminta bantuan Siam supaya melantiknya kembali menjadi Sultan Kedah. Pada bulan September tahun 1803, Siam telah menghantar satu angkatan tentera Siam seramai 5000 orang menghantar Tunku Ahmad Tajuddin balik ke negeri Kedah dan mahu orang besar Kedah menabalkan Tunku Ahmad Tajuddin sebagai Sultan Kedah dan memerintahkan Tunku Dhiauddin supaya turun daripada takhta kerajaan  Kedah.[19]

SULTAN AHMAD TAJUDDIN HALIM SHAH II (1804-1821)-1843
          Sultan Ahmad Tajuddin meneruskan tradisi menghantar bunga emas kepada Siam. Pada tahun 1810, Siam memerintahkan Sultan Kedah memberikan bantuan kelengkapan perang dan makanan. Pada tahun 1811 pula, baginda telah diarahkan membantu Siam memadamkan pemberontakan di Pattani dan mengusir angkatan perang Burma dari Pulau Phuket.[20] Sultan Kedah juga telah menghantar Bunga Emas kepada Raja Siam yang telah diperintah oleh King Rama II dan selepas itu Raja Siam telah memerintahkan Sultan Kedah memberikan wilayah Setul dan Lungu kepada Gabenor Singgora sebagai hadiah menolong Tunku Bisnu. Lembahan Sungai Yan, Sungai Merbok dan Sungai Muda diserahkan kepada Tunku Bisnu.[21] Pada  Februari 1821,  seramai 6000 askar Siam telah berada di Bangkok dan bersedia hendak menyerang Kedah melalui Singgora kerana Kedah tidak menghantar Bunga Emas.[22] Kemudiannya, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah yang berada di Kuala Muda telah memohon suaka daripada Inggeris di Pulau Pinang.[23] Akhirnya, baginda dan kerabatnya kemudian dipindahkan oleh Inggeris ke Melaka. Walau bagaimanapun, Inggeris telah membantu Siam mengekalkan pencerobohan mereka terhadap Kedah selama 22 tahun.[24] Namun, dalam tempoh masa 22 tahun itu, tidak bermakna penduduk Kedah tidak bertindak apa-apa untuk mempertahankan Negeri Kedah. Rakyat Kedah telah bertindak dengan melakukan serangan dengan tujuan untuk membolehkan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah menaiki takhtanya semula.[25]
Pada tahun 1829, Raja Ligor telah menyerahkan kawalan Kedah kepada Tunku Anum dengan syarat Kedah menghantar bunga Emas sebanyak tiga tahun sekali.[26] Selepas itu, Tunku Anum telah mengajak Sultan Ahmad  Tajuddin memerintah semula negeri Kedah selepas krisis reda tetapi Sultan Ahmad Tajuddin enggan.

NEGERI TERENGGANU DARUL IMAM
Semasa Sultan Mahmud Syah memerintah kerajaan Melaka iaitu sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis, Terengganu merupakan antara negeri yang berada dalam  jajahan takluk Melaka. Menurut Sejarah Melayu, Telanai Terengganu merupakan pemerintah Terengganu dan digambarkan sebagai seorang yang kuat. Namun, Telanai telah dibunuh oleh Seri Akar Raja atas titah Raja Pahang setelah pulang dari Melaka. Salasilah sebenar Kesultanan  Terengganu dikatakan bermula sejak abad ke-17.[27]

PENGASAS NEGERI TERENGGANU
SULTAN ZAINAL ABIDIN I
Sultan Zainal Abidin I merupakan pengasas Kesultanan Terengganu pertama. Sultan Zainal Abidin ialah anak kepada Tun Habib Abdul Majid. Bendahara Padang Saujana Johor dan saudara ( berlainan ibu) dengan Tun Sulung ( Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah Johor). Hal ini secara langsung menjelaskan bahawa Kesultanan Terengganu berketurunan keluarga Bendahara Johor berkait rapat dengan dengan Kesultanan Johor-Riau.[28] Menurut Tuhfat Al-Nafis, Sultan Zainal Abidin ditabalkan sebagai sultan Terengganu oleh Daeng Menempuk atau Raja Tua atas perintah Sultan  Sulaiman Badrul Alam Shah.[29]Sumber lain pula mengatakan Sultan Zainal Abidin ditabalkan di atas takhta kerajaan Terengganu oleh Phra Nang Chau Yang, iaitu Raja Patani yang dikatakan ayah angkat baginda sewaktu baginda pergi ke Patani. Semasa di Patani, Sultan Zainal Abidin telah berkahwin dengan anak  saudara Nang Chau Yng yang bernama Nang Rogayah.[30] Perkahwinan baginda dengan Nang Rogaiyah dikurnia 4 orang putera. Sultan Zainal Abidin memerintah Terengganu selama enam tahun dan mangkat pada tahun 1733 dan dimakamkan di Bukit Kekedang.

SULTAN MANSUR SYAH
            Setelah kemangkatan Sultan Zainal Abidin (I) pada 1733 ketiga-tiga orang kekanda kepada Raja Mansur sepakat melantik Ku Tana Wangsa (Tun Dalam) untuk mengantikan ayahandanya kerana ketiga-tiga mereka ingin menjadi Raja Terengganu[31] Keaadaan ini didorong oleh ramalan yang dibuat oleh Tuk Pulau Manis di mana mengikut ramalannya bahawa Tun Tana Wangsa akan menjadi pemerintah yang mashyur ditambah dengan sifat luar biasanya sejak kecil lagi. Namun disebabkan Ku tana Wangsa baru berusia 7 tahun, pemerintahan dan pertadbiran Terengganu telah dilaksakan oleh bendahara Tun Hussain iaitu adik Sultan Sulaiman Johor.[32]  Rogayah A. Hamid dan Mariyam Salim. Pada 1735, Sultan Sulaiman telah kembali ke Riau  dengan membawa bersama-sama Ku Tana Wangsa. Semasa di sana, Ku Tana Wangsa telah dikahwinkan dengan Raja Bulang iaitu Puteri Yamtuan Muda Daing Celak ( Johor) pada bulan 4 tahun 1739 dan pada tahun yang sama, Ku Tana Wangsa dikahwinkan pula dengan Raja Bakul iaitu puteri Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah.[33] Pada tahun 1741, Sultan Sulaiman telah melantik menantunya sebagai Yang Dipertuan Terengganu dan kemudiannya Long Pandak dilantik sebagai Datuk Seri Maharajalela . Dengan pertabalan ini maka Tun Tana Wangsa telah menggunakan gelaran Sultan Mansur Syah 1 sebagai Sultan Terengganu ke-2.
           
Namun, urusan pemerintahan kebanyakkan ditadbir oleh Bendahara Tun Husain, terutamanya ketika Sultan Mansur berada di Riau selama 14 tahun. Semasa di Riau, Sultan Mansur dikatakan terlibat dengan persaingan antara suku Melayu, baginda dikatakan cuba mengatasi pengaruh suku Bugis dalam kerajaan Johor  sehingga dianggap oleh Raja Ali Haji sebagai orang yang membawa punca perselisihan dan peperangan antara kedua-dua suku.[34] Contohnya, Sultan Mansur telah mengancam dan membuat fitnah terhadap orang Bugis untuk mengeruhkan suasana di Riau, selain meminta Belanda menangkap Raja Aminah, Raja Halimah dan Raja Ali Haji. Cerita ini sampai ke pengetahuan Sultan Sulaiman dan puteranya. Raja di Baruh ( Raja Abdul Jalil ) akan hal sebenar, baginda menjadi murka sehinggalah Raja di Baruh berselisihan faham dengan Sultan Mansur Syah.
           
Pada tahun 1760, Sultan Mansur Syah telah meninggalkan Riau dan balik ke Terengganu disebabkan perselisihan faham yang berlaku di Riau. Setelah pulang ke Terengganu, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan iaitu membantu Long Yunus iaitu Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar (Yang Dipertua Kelantan) untuk menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776. Sultan Mansur Syah I mangkat pada tahun 1207 H bersamaan 1793 M ketika baginda berusia 68 tahun dan digelar ‘Marhum Janggut’.[35]

SULTAN ZAINAL ABIDIN II (1794-1808)
            Selepas kemangkatan Sultan Mansur Syah pada 1794, anak baginda Sultan Zainal Abidin II telah menggantikan Almarhum dan menjadi Sultan Terengganu yang ke-3. Beliau turut dikenali sebagai ‘Yamtuan Mata Merah’ ketika berusia lebih kurang 50 tahun.[36] Beliau mempunyai anak yang ramai. Tiga orang putera beliau telah menjadi Sultan Terengganu mengikut giliran.
           
Semasa pemerintahan beliau pada tahun 1975 adik Sultan Zainal Abidin iaitu Tengku Muhammad menjadi menantu Long Yunus iaitu Sultan Kelantan suami Cik Ku Wan Teh. Pada tahun 1794 Long Yunus telah mangkat dan anak-anak beliau telah mengadakan perbincangan untuk memilih pengganti Long Yunus menjadi Sultan Kelantan. Anak-anak Long Yunus serta adik beradik yang lain talah bersetuju untuk memilih ipar mereka iaitu Tengku Muhammad  suami kepada Cik Ku Wan Teh untuk menjadi pemangku sultan Kelantan selama 100 hari.[37]  Sebelum tempoh seratus hari itu, Tengku Muhammad telah pulang ke Terengganu dan tidak sampai seratus hari beliau telah datang semula ke Kelantan bersama  beberapa puluh orang Terengganu yang terdiri daripada kerabat diraja dan juga rakyat Terengganu. Kedatangan Tengku Muhammad bersama rombongan itu membuatkan anak-anak Long Yunus menyedari bahawa Tengku Muhammad benar-benar ingin menjadi  Sultan Kelantan. Semasa pemilihan yang sebenar untuk melantik Sultan Kelantan, Long Yunus menasihati  kerabat Kelantan agar tidak membuat huru-hara semasa pemilihan Tengku Muhammad dan akhirnya Tengku Muhammad telah ditabalkan menjadi Sultan Kelantan.[38] Sultan Zainal Abidin II telah mangkat pada 1808 dan digantikan oleh anak beliau Tengku Ahmad dan digelar Sultan Ahmad Syah (I)                                             

HUBUNGAN TERENGGANU DENGAN SIAM MELALUI  PENGHANTARAN BUNGA EMAS.
Semasa pemerintahan Sultan Mansur  (I), Terengganu telah menghantar bunga emas kepada Siam. Kisahnya bermula apabila Sultan Mansur I yang ketika itu sedang menyusuri sungai Kelantan. Ketika itu Siam dalam perjalanan untuk menyerang Legor, dan Raja Siam meminta bantuan Sultan Mansur Syah untuk menyerang Legor  dan dipersetujui oleh Sultan Mansur. Legor diserang dan kalah sebagai balasan segala harta rampasan  perang diserahkan kepada Sultan Mansur. Setibanya di Terengganu, beliau telah mengadakan mesyuarat dengan Siam. Seorang saudagar dari India, Nashrudin mencadangkan agar dibuat sepohon emas dan perak kerana Terengganu kaya dengan bahan itu.
           
Selepas bunga emas dan perak itu siap beberapa adat dijalankan antaranya bunga itu diarak ke seluruh negeri Terengganu. Bunga emas yang pertama dihantar ke Siam ialah pada 1781 dan seterusnya dihantar 3 tahun sekali. Tujuan penghantaran bunga emas itu ialah semata-mata sebagai membalas budi Siam, tetapi Siam menganggap penghantaran bunga emas sebagai ufti tanda tunduk dan takluk di bawah kuasa kerajaan Siam.[39]

Penghantaran bunga emas ini belum memaparkan lagi hubungan antara kedua pihak tetapi semakin merenggangkan. Pada tahun 1786, Raja  Siam meminta Sultan Terengganu datang menghadap untuk mengakui ketuanan Siam tetapi ditolak kerana tidak pernah Sultan Terengganu meninggalkan negeri Terengganu. Raja Siam mengancam untuk menyerang Terengganu. Sultan Mansur Syah telah menghantar utusan kepada Francis Light bertujuan meminta bantuan kepada beliau tetapi tidak dilayan dan akhirnya ancaman Siam itu hanya khabar angin sahaja.


NEGERI KELANTAN DARUL NAIM
            Pada abad ke-15, Kelantan dikatakan mempunyai keluasan yang tidak jelas dan tidak dapat ditentukan secara tepat. Walaupaun begitu, menurut Sejarah Melayu, negeri Kelantan pada abad ke-15 lebih masyhur daripada Pattani.[40] Oleh sebab kemasyhurannya, Melaka yang pada itu di bawah pemerintahan Sultan Mahmud telah memerintahkan untuk menakluk Kelantan. Oleh yang demikian, Sultan Kelantan pada masa itu iaitu Sultan Mansur Shah telah meninggalkan Kelantan. Baginda melarikan diri ke Pattani, dan baginda telah kembali ke Kelantan setelah mengaku kekuasaan Melaka.
           
Walaupun begitu, kekuasaan Melaka terhadap Kelantan telah berakhir setelah Melaka ditawan oleh Portugis. Johor merupakan waris kepada kerajaan Melaka itu. Namun, setelah kemangkatan Sultan Hussein pengaruh kerajaan Johor terhadap Kelantan telah berkurang. Pada awal abad ke-17, Kelantan telah berpecah kepada beberapa kota dan kota-kota ini telah dikuasai oleh beberapa raja. Antara kota-kota yang muncul ialah Kota Jembal yang diperintah oleh Raa Loyor dan Kota Jelasin yang diperintah oleh Raja Abdullah.[41]

Pada abad ke-18, tidak wujud hubungan langsung atau khusus di antara Kelantan dengan Siam. Hubungan diplomatik lebih ketara di antara Kelantan dengan Terengganu.  Dalam lingkungan waktu ini, Kelantan masih berada dalam keadaan terumbang-ambing ekoran pergolakan politik di peringkat dalaman yang tidak putus-putus. Long Yunus merupakan  anak kepada seorang pemerintah Kelantan iaitu Long Sulaiman yang disingkirkan (dibunuh) oleh Raja Legeh.[42] Asalnya Long Yunus tidak menuntut takhta kerajaan Kelantan (Kota Kubang Labu) daripada Long Deraman atau Raja Legeh tetapi perubahan semasa menuntut Long Yunus mencari jalan untuk mendapatkan takhta Kerajaan Kubang Labu daripada penguasaan Legeh.  Kemunculan Long Yunus adalah kerana bantuan Terengganu.  Kerajaan Terengganu pada ketika itu diperintah oleh Sultan Mansur Shah. Long Yunus telah berjaya menambat hati Sultan Mansur Shah sehinggakan sanggup memberikan sebuah angkatan tentera kepada Long Yunus untuk menyerang Kelantan. Kota Kubang Labu Yang ditadbir oleh Long Pandak mendapat naungan daripada raja Legeh. Long Yunus sangat mengimpikan takhta kerajaan Kelantan yang sepatutnya diwarisinya daripada ayahandanya. Setelah mendapat bantuan ketenteraan daripada Sultan Mansur Shah, Long Yunus yang dibantu oleh Long Ghaffar dan orang-orang Siak telah menyerang Kelantan atau Kota Kubang Labu yang dinaungi kerajaan Legeh.[43] Akhirnya Long Pandak tewas ditangan Long Yunus sekaligus pengaruh kerajaan Legeh terhadap Kelantan berjaya disingkirkan. Long Yunus menjadi pemerintah Kelantan dan membina sebuah dinasti baru menjelang tahun 1776.[44] Long Yunus mentadbir bahagian Utara Kelantan manakala Long Ghaffar yang banyak membantu Long Yunus membina kredibiliti pemerintahan di Kelantan diberi hak untuk mentadbir bahagian selatan Kelantan.
Walaupun menjadi satu kebanggaan bagi Long Yunus untuk membina sebuah dinasti baru di Kelantan, tetapi terdapat beberapa kelemahan yang ditonjolkan oleh baginda sehinggakan kewibawaannya sedikit tercalar. Kelemahan Long Yunus dapat dilihat melalui tindakannya yang bergantung kepada Terengganu walaupun setelah berjaya menyingkirkan kerajaan Legih. Sebagai contoh, Long Yunus cenderung untuk merujuk segala hal berkaitan pentadbiran dan ketenteraan kepada kerajaan Terengganu. Selain itu,  kebanyakkan pembesar negeri yang dilantik oleh Long Yunus adalah orang Terengganu dan hal ini secara tidak langsung mengukuhkan pengaruh Terengganu di Kelantan.[45] Satu lagi hal yang menunjukkan kelemahan pemerintahan Long Yunus di Kelantan ialah dalam hal perwarisan takhta. Baginda tidak meletakkan putera-puteranya sebagai waris sebelum kemangkatannya walaupun mempunyai beberapa orang putera yang layak untuk mewarisi takhta kerajaan Kelantan.[46] Malah baginda telah memperkenan Tengku Muhammad iaitu putera Sultan Mansur Shah sebagai penggantinya. Keadaan ini menyebabkan timbul pergolakan politik diantara putera-putera Long Yunus dengan kerabat diraja Terengganu yang akhirnya menyebabkan Terengganu berseteru dengan Kelantan.

Selepas kemangkatan Long Yunus pada tahun 1795, Tengku Muhammad telah mengantikan tempat baginda sebagai raja di Kelantan dengan memakai gelaran Yang Dipertuan Kelantan. Sungguh Terengganu tidak lagi terlibat secara langsung dengan pemerintah di Kelantan, ternyata Tengku Muhammad berjaya mempengaruhi putera-putera Long Yunus dan para pembesar Kelantan supaya melantiknya menjadi raja Kelantan. Namun begitu, salah seorang putera Long Yunus iaitu Long Jenal tidak bersetuju sepenuhnya dengan perlantikan Tengku Muhammad sebagai raja Kelantan dan hanya menganggap perlantikan tersebut hanya untuk sementara waktu sahaja.[47] Setelah mengetahui perkara tersebut, Tengku Muhammad cuba mengukuhkan kedudukannya sebagai raja Kelantan dengan membawa lebih ramai pengikutnya dari Terengganu yang terdiri daripada rakyat jelata dan pembesar Terengganu. Keadaan ini telah menimbulkan rasa tidak senang hati dikalangan putera Long Yunus dan para pembesar Kelantan. Sekitar tahun 1800, telah berlaku penentangan bersenjata ekoran daripada tindakan Tengku Muhammad ingin mengahwinkan puterinya dengan putera Sultan Mansur Syah iaitu Zainal Abidin II. Tengku Muhammad terpaksa melarikan diri ke Terengganu akibat daripada penentangan bersenjata yang dipimpin oleh Long Muhammad untuk mendapatkan bantuan dari Terengganu.

Sultan Terengganu telah mengisytiharkan perang terhadap Kelantan dan telah mendapatkan bantuan dari Pattani. Serangan daripada Terengganu tidak dapat ditahan oleh Long Muhammad dan terpaksa mengundurkan diri ke Ulu Kelantan. Di sana, Long Muhammad telah berjaya mendapatkan sokongan daripada orang Cina dan melancarkan seranagan balas terhadap musuhnya yang kembali bertapak semula di Kelantan.[48] Akhirnya Long Muhammad telah berjaya merampas kembali tampuk pemerintahan Kelantan daripada Tengku Muhammad. Walaupun Tengku Muhammad telah melancarkan serangan ke atas Kelantan pada sekitar tahun 1801 – 1802, semua serangannya telah menemui kegagalan. Pada 1801, Majlis Negeri Kelantan telah melantik Long Muhammad sebagai raja Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I. Sultan Muhammad telah melantik putera Long Yunus iaitu Long Jenal sebagai Raja Bendahara.

Sekitar tahun 1818 M, negeri Kelantan dalam keadaan yang aman dan damai. Namun Kelantan mula menghadapi musuh-musuh dari negeri-negeri jiran. Oleh itu, Kelantan merasa bimbang terhadap serangan dari luar terutamanya dari Terengganu yang bersekongkol dengan Pattani. Maka pada tahun 1832 M, Sultan Kelantan telah menghantar utusan ke Ligor dan dari Ligor ke Bangkok untuk menghadapi Seri Maharaja Siam. Utusan itu telah disambut dan diterima baik oleh Raja Siam. Kepulangan utusan itu membawa pulang sepucuk surat yang mencadangkan atau menganjurkan satu persetiaan atau perjanjian antara negeri Kelantan dan kerajaan Siam. Oleh itu, Kelantan bersetuju menghantar ufti berupa bunga emas setiap tiga tahun sekali kepada Siam sebagai balasan di atas kesanggupan Siam mengawasi musuh-musuh Kelantan dari luar. Walaupun Kelantan bersetuju menghantar ufti bunga emas kepada Siam, tidak bermakna Kelantan berada di bawah naungan Siam. Namun, Siam tetap mengganggap Kelantan adalah salah satu negeri jajahannya kerana menghantar ufti kepada Siam.[49]



KESIMPULAN
            Merujuk kepada persoalan pada kurun ke-18 negeri-negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan adalah dibawah naungan Siam. Melalui penerangan dan dapatan daripada perbincangan maklumat ini, ketiga-tiga negeri ini tidak mempunyai hubungan sebagai negeri di bawah naungan Siam. Kedah menghantar bunga emas pada abad ke-18 adalah hanya sebagai tanda bersahabat dan berbaik-baik. Terengganu pula bertujuan untuk membalas hadiah pemberian Siam kerana membantu Siam dalam melaksanakan serangan dan menawan Legor dan juga sebagai tanda hormat kepada kerajaan Siam yang kuat dan besar. Di Kelantan pula pada abad ke-18,  negeri ini belum lagi menghantar bunga emas ke Siam. Bunga emas hanya dihantar ke Siam pada abad ke-19 setelah satu perjanjian di antara Kelantan dan Siam dimeterai. Secara ringkasnya isu bunga emas dan bunga perak yang dihantar oleh ketiga-tiga negeri tersebut terhadap Siam hanya sebagai lambang persahabatan semata-mata. Namun begitu, Siam menganggap Kedah, Terengganu dan Kelantan sebagai negeri pertuanannya.
           











BIBLIOGRAFI
Abdullah Zakaria bin Ghazali, Terengganu: Tokoh, Pentadbiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia, 1996.

Barabara Watson Andaya, “The Role Of The Anak Raja in Malay History: A Case Study from Eighteenth Century Kedah, Dalam Journal of Southeast Asia Studies, 1979.

Haji Buyong Adil, Sejarah Kedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980.

Haji Buyung Adil, Sejarah Terengganu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
 Kementerian Pelajaran, 1974.

J.Kennedy, History of Malaya, London: Macmillan, 1970.

Muhammad Yusoff Hashim, Terengganu Darul Iman : Tradisi Persejarahan Malaysia, Selangor, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1991.

Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji, Tuhfat Al-Nafis: Editor Virginia Matheson, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, 1982.

Rahmat Bin Saripan, Perkembangan Politik Melayu Trdisional Kelantan 1776-1842, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979.

Rogayah A. Hamid, Dan Mariyam Saleh, Sejarah Kesultanan Melayu Kedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2006.

Rogayah A.Hamid dan Mariyam Salim, Kesultanan Melayu Terengganu, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006.

Sa’ad Shukri Bin Haji Muda, Abdullah Al-Qari Bin Haji Salleh dan Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi (Universiti Gajah Mada, Indonesia) , Detik-detik Sejarah Kelantan, PAP, Kelantan.

Virginia Matheson Hooker, Tuhfat Al-Nafis (Sejarah Melayu-Islam), Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Pendidikan Malaysia, 1991.





[1] Rogayah A. Hamid, Dan Mariyam Saleh, Sejarah Kesultanan Melayu Kedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2006,  hlm. 149-150.

[2] Ibid, hlm. 150.

[3] Ibid, hlm. 150.

[4] Haji Buyong Adil, Sejarah Kedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, hlm. 28.

[5] Ibid., hlm. 29.

[6] Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji, Tuhfat Al-Nafis: Editor Virginia Matheson, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, 1982, hlm.88.
[7] Ibid., hlm. 91.

[8] J.Kennedy, History of Malaya, London:Macmillan, 1970, hlm. 62.

[9] Barabara Watson Andaya, “The Role Of The Anak Raja in Maly History: A Case Study from Eighteenth Century Kedah, dlm Journal of Southeast Asia Studies, 1979,  hlm. 177.

[10] Haji Buyong Adil, Sejarah Kedah, op. cit., hlm. 36.

[11] Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji, Tuhfat Al-Nafis: Editor Virginia Matheson, op. cit., hlm. 184.

[12] Barabara Watson Andaya, “The Role Of The Anak Raja in Maly History: A Case Study from Eighteenth Century Kedah,  Dalam Journal of Southeast Asia Studies, hlm. 182.

[13] Haji Buyong Adil, Sejarah Kedah, hlm. 39.


[14] Ibid, hlm. 39.

[15] Ibid., hlm. 41.

[16] Ibid., hlm. 42.

[17] Ibid., hlm. 43.

[18] Ibid., hlm. 52.

[19] Ibid, hlm. 53.

[20] Rogayah A. Hamid, Dan Mariyam Saleh, Sejarah Kesultanan Melayu Kedah, op. cit , hlm. 152.

[21] Haji Buyong Adil, Sejarah Kedah, op. cit, hlm. 55.

[22] Ibid, hlm. 62.

[23] Rogayah A. Hamid, Dan Mariyam Saleh, Sejarah Kesultanan Melayu Kedah, op. cit., hlm. 152.

[24] Ibid, hlm. 152.

[25] Ibid, hlm. 152.

[26] Haji Buyong Adil, Sejarah Kedah, op. cit., hlm. 66.

[27] Rogayah A. hamid dan Mariyam Salim, Kesultanan Melayu Terengganu, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, hlm. 9.

.

[28] Muhammad Yusoff Hashim, Terengganu Darul Iman : Tradisi Persejarahan Malaysia, Selangor, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, 1991, hlm.  213-214.

[29] Virginia Matheson Hooker, Tuhfat Al-Nafis (Sejarah Melayu-Islam), Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Pendidikan Malaysia, 1991,  hlm 213- 214.

[30]  Haji Buyung Adil, Sejarah Terengganu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
 Kementerian Pelajaran, 1974.hlm. 13.

[31] Ibid., hlm. 22.

[32]  Rogayah A.Hamid dan Mariyam Salim,  Kesultanan Melayu Terengganu, Kuala Lumpur:                    Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, hlm. 11.

[33]  Ibid., hlm. 23-24.

[34]  Ibid., hlm. 12


[35] Ibid., hlm. 13.

[36] Ibid., hlm. 13.

[37] Haji Buyung Adil, Sejarah Terengganu, op. cit , hlm. 53.

[38]  Ibid., hlm. 54.

[39]  Ibid.,  hlm. 42.

[40] Rahmat Bin Saripan, Perkembangan Politik Melayu Tradisional Kelantan 1776 – 1842, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, hlm. 4.

[41] Ibid, hlm. 7.

[42] Ibid., hlm. 32.

[43] Abdullah Zakaria bin Ghazali, Terengganu: Tokoh, Pentadbiran dan Perjuangan, Kuala Lumpur: Persatuan Muzium Malaysia, 1996, hlm. 15-16.

[44] Rahmat Bin Saripan, Perkembangan Politik Melayu Trdisional Kelantan 1776-1842, op. cit., hlm. 43.

[45] Ibid., hlm., 50.

[46] Ibid., hlm., 51.

[47] Rahmat Bin Saripan , Perkembangan Politik Melayu Tradisional Kelantan 1776 – 1842, op. cit., hlm. 10.

[48] Ibid, hlm. 11.

[49] Sa’ad Shukri Bin Haji Muda, Abdullah Al-Qari Bin Haji Salleh dan Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi (Universiti Gajah Mada, Indonesia) , Detik-detik Sejarah Kelantan, PAP, Kelantan, hlm. 71 -72.

No comments:

Post a Comment