nuffnang

Tuesday, May 6, 2014

AYAT PENYATA

1.0 PENGENALAN
            Kajian mengenai ayat penyata telah banyak dilakukan oleh penahu-penahu terdahulu seperti Asmah Hj. Omar (1993), Zainal Abidin Ahmad (2000). Nik Safiah Karim et al. (2003), Abdullah Hassan (2006) dan ramai lagi. Berdasarkan pembacaan yang dibuat, penahu-penahu telah mengelompokkan kajian-kajian tersebut kepada beberapa kriteria iaitu konsep, jenis ayat penyata. ciri-ciri yang digunakan dalam ayat penyata serta perbezaan ayat penyata mengikut penahu-penahu yang dipilih.
            Ayat penyata dilihat merupakan tajuk yang sangat kecil di dalam kajian-kajian yang dilakukan oleh penahu-penahu yang terdahulu. Ini menunjukkan sama ada ayat penyata merupakan ayat yang tidak begitu penting dalam Bahasa Melayu atau pun ayat tersebut belum lagi diterokai dengan lebih mendalam oleh penahu-penahu terdahulu. Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang dilakukan oleh penahu yang berbeza mempunyai persamaan dan perbezaan yang tertentu bergantung kepada pemikiran penahu itu sendiri.
            Bagi mengkaji dengan lebih mendalam ayat penyata ini, kajian telah dilakukan untuk melihat pecahan atau pembahagian yang dilakukan oleh sesetengah penahu terhadap ayat penyata ini. Buku yang digunakan bagi menyiapkan tugasan ini adalah buku Nahu Melayu Mutakhir yang ditulis oleh Asmah Haji Omar dan juga Tatabahasa Malaysia yang ditulis oleh Arbak Othman. Selain daripada itu, terdapat lagi buku-buku lain yang digunakan sebagai rujukan sampingan bagi mendalami lagi ilmu ayat penyata ini.
            Di dalam buku Tatabahasa Malaysia, Arbak Othman beliau telah meletakkan ayat penyata ke dalam satu bab yang bertajuk jenis-jenis ayat. Walau bagaimanapun, ayat penyata tidak banyak diterangkan. Namun, isi yang diberikan cukup padat dan ringkas untuk memberi pemahaman yang jelas kepada pembaca.
            Di dalam buku Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Haji Omar, beliau meletakkan ayat penyata ke dalam bab yang diberi nama ayat dan modus. Modus didefinisikan sebagai sistem yang memberi pilihan peranan kepada penutur dan pendengar. Terdapat tiga pembahagian modus yang dibuat oleh penulis iaitu modus tunjukan (indicative mood) dan modus perintah (imperative mood) dan modus seru.  Modus perintah adalah penutur sendiri yang memainkan peranan sebagai pengawal wacana dan pendengar adalah orang yang dikawal oleh mesej dalam wacana tersebut. Manakala modus tunjukan pula penutur tidak memerlukan gerak balas dalam apa bentuk sekalipun. Manakala modus seru pula ialah modus yang menggambarkan emosi.
            Kesimpulan kecil yang dapat dibuat terhadap kajian terdahulu adalah ayat penyata adalah ayat yang dapat difahami dengan cara yang padat oleh penutur-penutur terdahulu. Ayat penyata biasanya akan digunakan di dalam kawasan-kawasan yang tertentu dan sifatnya tidak tetap iaitu mengikut penahu-penahu itu sendiri sama ada ingin meletakkan ayat penyata ke dalam mana-mana ayat lain untuk digabungkan dan di jelaskan penggunaannya kepada pembaca.


2.0 BATASAN KAJIAN
Berdasarkan tugasan yang akan dikaji iaitu berkaitan dengan ayat penyata, kajian ini hanya akan menumpukan tentang konsep, bentuk, penggunaan dalam ayat serta jenis ayat penyata dengan lebih mendalam menerusi penerangan selanjutnya. Bagi memantapkan lagi perbincangan mengenai ayat penyata ini, kami telah menggunakan dua buah buku utama sebagai perbandingan iaitu Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Haji Omar dengan Tatabahasa Malaysia oleh Arbak Othman. Kami juga akan memfokuskan perbandingan antara kedua-dua buah buku tersebut agar dapat melihat perbezaan dan persamaan ayat penyata dalam kedua-dua buku tersebut.

3.0 KONSEP AYAT PENYATA
(i)                 Ayat
Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa perkataan yang pengucapannya dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan serta mengandungi intonasi yang sempurna. Ayat juga merupakan perkataan-perkataan yang mempunyai susunan tertentu dan makna yang lengkap. Ayat yang lengkap mempunyai subjek dan predikat. Dalam bahasa Melayu terdapat beberapa jenis ayat iaitu ayat penyata, ayat tanya (ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya),  ayat perintah (ayat suruhan, ayat silaan, ayat permintaan, dan ayat larangan) dan ayat seruan (ayat seru tanpa kata seru dan ayat seru dengan kata seru)
Ayat juga merupakan unsur penting dalam kajian bahasa. Menurut Kamus Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, ayat ialah pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap yang pengucapannya dimulai dan diakhiri dengan kesenyapan serta mengandungi intonasi yang sempurna (Nik Safiah Karim et.al: 2006:414. Manakala menurut Asmah Hj. Omar (1980:359), menerangkan “ayat ialah unit yang paling tinggi dalam skala tatatingkat nahu. Dalam perkataan lain, dalam tatabahasa tidak ada unit yang lebih tinggi yang mempunyai ayat sebagai unsurnya. Ayat yang terdiri daripada klausa yang disertai dengan intonasi ayat yang lengkap, iaitu yang dimulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan dan intonasinya menyatakan bahawa ayat itu sempurna dan selesai”.
Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir dalam bukunya Komsas dan Tatabahasa Melayu menerangkan konsep ayat sebagai satu atau beberapa perkataan yang berstruktur sebagai satu rangkaian yang merupakan kesatuan yang membawa sesuatu maksud. Ayat juga dikenali sebagai kalimat. Menurut beliau “(2003:41) bahawa ayat ialah ujaran yang mengandungi satu idea yang lengkap, yang mempunyai intonasi-intonasi tertentu dan dibentuk berpandukan kepada empat pola ayat asas bahasa Melayu, iaitu:



Frasa Nama + Frasa Nama
Frasa Nama + Frasa Kerja
Frasa Nama + Frasa adjektif
Frasa Nama + Frasa Sendi Nama
 



(ii)               Ayat Penyata
Seterusnya, seperti yang telah dinyatakan terdapat beberapa jenis ayat  yang ditentukan berdasarkan intonasi ayat. Empat jenis ayat tersebut ialah ayat perintah, ayat penyata, ayat seruan dan ayat tanya. Batasan kajian yang akan diterangkan adalah ayat penyata. Ayat penyata didefinisikan sebagai ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu penyataan (Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga:441). Ayat penyata bertujuan untuk menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu perkara, benda atau orang. Selain itu, ayat jenis ini juga disebut sebagai ayat berita atau ayat keterangan.
            Ayat penyata juga ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu pernyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan untuk menyatakan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal. Ayat ini juga disabit sebagai ayat berita atau ayat keterangan. Ayat penyata juga tergolong dalam ayat ragam. Selain itu, ayat penyata juga dikenali sebagai ayat berita atau ayat keterangan
            Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir dalam bukunya Komsas dan Tatabahasa Melayu, ayat penyata dikenali juga sebagai ayat keterangan atau ayat berita. Ayat penyata merupakan ayat yang diucapkan untuk membuat satu penyataan atau member penerangan dalam sesuatu hal; apabila dalam ayat, ayat penyata kebiasaannya diberikan tanda noktah (.). Contohnya:  Aminah sedang sembayang hajat.
Selanjutnya, kami akan menerangkan konsep ayat penyata secara mendalam, oleh itu kami telah membahagikan konsep ayat penyata kepada dua iaitu konsep dari segi makna dan konsep dari segi intonasi ayat penyata. Kami juga akan membuat perbandingan antara dua buah buku utama bagi menjalankan kajian ini iaitu buku Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Haji Omar dengan buku Arbak Othman yang bertajuk Tatabahasa Malaysia. Secara umumnya, perbandingan yang dibuat dalam kedua-dua buah buku iaitu Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Haji Omar dengan buku oleh Arbak Othman dapat menjelaskan tentang persamaan dan perbezaan tentang konsep. Secara keseluruhannya kedua-dua buku menyatakan konsep dari segi makna dan juga konsep dari segi intonasi.


i)                    Konsep dari segi makna.
Berdasarkan buku Arbak Othman, beliau menyatakan bahawa ayat penyata ialah ayat yang membawa maksud, memberi keterangan atau menyatakan sesuatu hal atau perkara yang berupa keterangan. Selain itu, menurut Arbak Othman lagi ayat penyata juga haruslah mengandungi subjek dan predikat manakala Nahu Melayu Mutakhir, Asmah Haji Omar pula ialah menyampaikan berita dan tidak mensyaratkan adanya gerak balas, baik bersifat kebahasaan mahupun fizikal. Berdasarkan kedua-dua buku ini jelas menunjukkan bahawa konsep dari segi makna adalah  berbeza di mana satu buku lebih kepada ayat yang menyatakan keterangan manakala satu buku lagi menyatakan tentang tujuannya untuk menyampaikan berita.
ii)                  Konsep dari segi intonasi.
     Secara keseluruhannya, kedua-dua buku menyatakan konsep dari segi intonasi, berdasarkan buku Arbak Othman, ayat penyata merupakan ayat yang diucapkan dengan intonasi yang sederhana dengan nada penutup menurun manakala buku Nahu Melayu Mutakhir pula menyatakan ayat berita atau ayat penyata mempunyai nada yang menurun sebelum kesenyapan. Kesimpulan kecil yang boleh dibuat berdasarkan kenyataan konsep dari segi intonasi ini ialah kedua-dua buah buku menyatakan bahawa ayat yang diucapkan mempunyai nada menurun semasa di akhir pengucapannya.


Rajah 1 : Konsep Ayat Penyata.

Konsep

Arbak Othman

Asmah Haji Omar

Memberi keterangan

ü   


Menyampaikan berita


ü   

Tidak mempunyai gerak balas


ü   

Intonasi sederhana

ü   


Intonasi penutup menurun

ü   

ü   


Berakhir dengan kesenyapan

ü   

ü   

Mengandungi Subjek dan Predikat.

ü   


4.0 JENIS-JENIS AYAT PENYATA
Dalam mengkaji perbandingan jenis-jenis ayat penyata berdasarkan buku yang telah dipilih di antara Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Haji Omar dengan Tatabahasa Bahasa Melayu Oleh Arbak Othman, terdapat perbezaan dalam pembahagian jenis-jenis ayat penyata yang di lakukan. Bagi rujukan buku Arbak Othman, Ayat penyata tidak dihuraikan jenis yang terkandung di dalamnya. Menurut Arbak Othman, ayat penyata digolongkan dibawah jenis-jenis ayat dari segi intonasi. Jenis ayat lain yang diletakkan di bawah sub topik ini antaranya, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan.
Dalam karya Asmah Haji Omar, ayat penyata di bahagikan kepada beberapa jenis dan pecahan lain dalam memberikan gambaran jelas fungsi dan jenis sesuatu ayat penyata tersebut. Ayat Penyata dalam Nahu Melayu Mutakhir dipecahkan kepada empat jenis iaitu jenis penyataan, pengakuan dan pengesahan, amaran dan pengandaian dan syarat. Dalam sub jenis penyataan, terdapat pecahan kecil yang membentuk jenis penyataan biasa dan pentakrifan.
                                         


Rajah di atas merupakan pecahan yang dilakukan oleh Asmah Hj. Omar dalam usaha mengelaskan jenis-jenis ayat penyata berdasarkan peranan dan fungsi ayat tersebut. Setiap jenis ayat tersebut mempunyai fungsi dan peranan yang berbeza yang akan dihuraikan secara terperinci. Ayat penyata bagi jenis pernyataan  merupakan salah satu pengungkapan fikiran untuk menyatakan atau memberi maklumat tentang sesuatu,keadaan, peristiwa, sifat dan sebagainya. Pernyataan ini pula dipecahkan kepada I) pernyataan biasa dan II) pentakrifan.
Pernyataan biasa adalah makluman yang disampaikan melalui ayat berita berkaitan apa sahaja. Pentakrifan pula adalah pernyataan yang menghuraikan sesuatu konsep dengan memberi ciri-ciri atau sifat khusus bagi menjelaskan konsep tersebut dan membezakan konsep berkenaan dari konsep yang lain.
Jenis kedua yang dipecahkan oleh Asmah Hj. Omar adalah ayat penyata pengakuan dan pengesahan. Secara umunya tiada perbezaan dari segi modus berkaitan pengakuan dan pengesahan. Kedua-dua aspek ini memberi penilaian benar-tidak (truth-value) sesuatau kenyataan yang di buat. Dari segi struktur kedua-dua aspek ini menggunakan struktur yang sama iaitu ayat kompleks yang terdiri dari klausa utama dan klausa objek. Beza yang jelas dapat dilihat dari aspek ciri iaitu penglibatan kata kerja yang digunakan. Bagi pecahan pengakuan, kata kerjanya ialah mengaku, bagi pengesahan pula, kata kerjanya ialah mengesahkan. Seterusnya cirri kedua yang membezakan struktur ini ialah ciri wajib yang perlu ada pada jenis pengesahan dan tidak bagi pengakuan. Secara kesimpulanya pengakuan dan pengesahan membawa makna yang berbeza yang dapat dilihat pada perbezaan dari aspek cirri yang telah dihuraikan.
Bagi jenis seterusnya ayat penyata terdiri daripada jenis amaran iaitu sejenis pernyataan yang meminta gerak balas yang positif dari orang yang menjadi suspeknya.  Amaran juga boleh diwujudkan oleh ayat suruhan atau ayat berita.
Jenis terakhir yang kelaskan jenis ayat penyata adalah pengandaian dan syarat yang ditandai oleh kata penghubung pengandaian seperti jika atau seerti dengannya. Secara umunya, Hasil karya Asmah dalam Nahu Melayu Mutakhir menggambarkan bahawa ayat penyata mempunyai beberapa jenis dan pecahan kecil dalam jenis-jenis ayat tersebut. Berbeza dengan Arbak Othman yang tidak membincangkan ayat penyata secara mendalam dan mengkalsifikasikan ayat penyata sebagai salah satu ayat yang berbeza dari segi intonasi.




5.0 AYAT PENYATA BERDASARKAN PENAHU-PENAHU TERDAHULU
5.1 NAHU MELAYU MUTAKHIR (ASMAH HJ. OMAR)
CIRI-CIRI
NAHU MELAYU MUTAKHIR
( ASMAH HJ. OMAR )
Mempunyai intonasi
 Mempunyai tujuan

Menurut Asmah Hj. Omar dalam bukunya Nahu Melayu Mutakhir (2008:432), ciri-ciri ayat penyata terbahagi kepada dua iaitu ayat penyata mempunyai intonasi dan juga mempunyai tujuan tertentu apabila disampaikan. Intonasi ayat penyata yang ditegaskan dalam buku ini merupakan nada yang menurun sebelum kesenyapan. Hal ini disokong oleh Ahmad Khir Mohd Nor et. al dalam bukunya Tatabahasa Asas (2012:426) apabila beliau juga menyatakan bahawa salah satu ciri ayat penyata adalah mempunyai intonasi dan intonasi tersebut diakhiri dengan nada turun sebelum kesenyapan.
Selain itu, ayat penyata ini pula bertujuan untuk menyampaikan berita dan tidak menetapkan perlunya sesuatu tindak balas sama ada bersifat kebahasaan mahupun yang bersifat perbuatan secara fizikal. Hal ini disokong oleh Ahmad Khir Mohd Nor et. al dalam bukunya Tatabahasa Asas (2012:426) apabila beliau juga menyatakan bahawa ayat penyata diujarkan tanpa mengharapkan jawapan atau gerak balas sama ada bersifat kebahasaan atau bersifat perbuatan.


5.2 TATABAHASA MALAYSIA (ARBAK OTHMAN)
CIRI-CIRI
TATABAHASA MALAYSIA
( ARBAK OTHMAN)
Mempunyai intonasi
Mempunyai tujuan
Struktur tersendiri

Menurut Arbak Othman dalam bukunya Tatabahasa Bahasa Malaysia (1984:261), ayat penyata mempunyai ciri seperti mempunyai intonasi yang tersendiri, mempunyai tujuan dan mempunyai struktur yang tersendiri dalam sesuatu ayat. Ciri-ciri dari segi intonasi ayat penyata yang dinyatakan dalam buku ini ialah ayat penyata perlu diucapkan dengan intonasi yang sederhana dan diakhiri dengan nada penutup menurun.
Selain daripada ciri intonasi, ayat penyata juga mempunyai tujuan yang tersendiri iaitu memberi keterangan dan menyatakan sesuatu hal atau perkara yang berbentuk keterangan. Pernyataan ini juga telah disokong oleh Ahmad Khir Mohd Nor et. al dalam bukunya Tatabahasa Asas (2012:426) apabila beliau menyatakan bahawa ayat penyata bertujuan untuk menyatakan sesuatu. Selain daripada Ahmad Khir Mohd Nor et. al dalam bukunya Tatabahasa Asas (2012:426), Nik Safiah Karim dalam bukunya Tatabahasa Dewan (2008:441) juga berpendapat bahawa ayat penyata bertujuan menyatakan atau memberi keterangan mengenai sesuatu hal. Buku ini juga memberikan penekanan daripada struktur ayat penyata apabila penulisnya menekankan bahawa sesuatu struktur ayat penyata perlulah mengandungi di dalamnya subjek dan predikat.


6.0 PERBANDINGAN CIRI-CIRI AYAT PENYATA BERDASARKAN NAHU MELAYU MUTAKHIR DENGAN TATABAHASA BAHASA MALAYSIA.

CIRI-CIRI
NAHU MELAYU MUTAKHIR
( ASMAH HJ. OMAR )
TATABAHASA MALAYSIA
( ARBAK OTHMAN)
Mempunyai intonasi
Mempunyai tujuan
Struktur tersendiri
x

Berdasarkan kedua-dua buku ini iaitu Nahu Melayu Mutakhir (2008) oleh Asmah Hj. Omar dengan Tatabahasa Bahasa Malaysia (1984) oleh Arbak Othman, terdapat beberapa persamaan. Antara persamaan yang boleh dilihat ialah dari segi intonasi dan tujuan ayat penyata. Walaupun kedua-dua buku ini mempunyai ciri yang sama namun huraiannya telah di sampaikan dengan cara yang berbeza. Jika kita lihat dari segi intonasi, Asmah Hj. Omar menyatakan bahawa ayat penyata perlu diucapkan dengan nada yang menurun sebelum kesenyapan manakala Arbak Othman pula menegaskan bahawa ayat penyata perlulah diucapkan dengan intonasi yang sederhana dan diakhiri dengan nada penutup menurun.
            Ciri-ciri lain yang mempunyai persamaan adalah dari segi tujuan. Kedua-dua buku ini ada menerangkan tujuan ayat penyata. Namun seperti intonasi, tujuan ayat penyata juga dihuraikan dengan cara yang berbeza. Berdasarkan buku Nahu Melayu Mutakhir (2008432), ayat penyata bertujuan menyampaikan berita. Ayat ini juga tidak menetapkan perlunya sebarang tindak balas sama ada bersifat kebahasaan mahupun yang bersifat perbuatan secara fizikal. Namun, berbeza pula dengan tujuan ayat penyata yang disampaikan dalam buku Tatabahasa Bahasa Malaysia (1984:261) iaitu memberi keterangan dan menyatakan sesuatu hal atau perkara yang berbentuk keterangan.
            Selain daripada persamaan, kedua-dua buah buku ini juga mempunyai perbezaan ciri-ciri dari segi struktur ayat penyata. Hal ini kerana dalam karya Asmah Hj. Omar langsung tidak disebut tentang struktur ayat penyata. Struktur ayat penyata ini hanya disebut oleh Arbak Othman. Menurut Arbak Othman dalam bukunya Tatabahasa Bahasa Malaysia (1984:261), ayat penyata mempunyai struktur yang tersendiri iaitu sesuatu struktur ayat penyata perlulah mengandungi di dalamnya subjek dan predikat.

7.0 KEDUDUKAN  AYAT  PENYATA  DALAM  AYAT
Menurut buku yang telah ditulis oleh Asmah Hj.Omar (1986) iaitu Nahu Melayu Mutakhir telah menggunakan penggunaan ‘ayat berita’ bagi mengambarkan ayat penyata. Hal ini kerana setelah dirujuk definisi bagi ayat berita sama seperti definisi ayat penyata yang telah dirujuk dari rujukan lain. Menurut beliau, ayat berita merupakan ayat yang mempunyai intonasi sendiri, yakni yang mempunyai nada yang menurun sebelum kesenyapan. Definisi bagi ayat berita yang dijelaskan juga sama seperti definisi bagi ayat penyata di dalam buku Tatabahasa Malaysia yang telah ditulis oleh Arbak Othman (1981) yang menyatakan ayat penyata merupakan ayat yang diucapkan dengan intonasi yang sederhana dan diakhiri dengan nada penutup menurun. Jadi, dapat dilihat bahawa ayat penyata merupakan ayat berita dan begitu juga sebaliknya.
            Bagi melihat kedudukan ayat penyata dalam ayat, penjelasan yang diberikan oleh Asmah  lebih banyak berbanding dengan Arbak Othman. Di dalam buku Nahu Melayu Mutakhir telah menjelaskan beberapa pembahagian ayat berita atau penyata ini kepada berbagai-bagai-bagai jenis fungsinya dalam komunikasi. Terdapat 4 pembahagian menurut fungsi iaitu yang pertama ialah pernyataan. Pernyataan merupakan pengungkapan fikiran untuk menyatakan atau memberi maklumat tentang sesuatu keadaan, peristiwa, sifat atau sebagainya. Pernyataan ini pula dapat dibahagikan kepada 2 jenis iaitu pernyataan biasa dan pentakrifan. Pernyataan biasa merupakan makluman yang disampaikan melalui berita sama ada konkrit mahupun abstrak manakala pentakrifan pula ialah pernyataan yang menghuraikan sesuatu konsep dengan memberi ciri-ciri atau sifat-sifat khusus yang dimiliki oleh konsep tersebut. Sifat khusus tersebut akan memberikan perbezaan konsep tersebut dengan konsep-konsep lain.
            Kedua, ialah pengakuan dan pengesahan iaitu sekiranya dilihat melalui struktur, keduanya menggunakan struktur yang sama iaitu ayat kompleks yang terdiri dari klausa utama dan klausa objek. Klausa objeknya akan ditandai dengan perkataan bahawa manakala subjek bagi kedua-duanya ialah saya. Bagi jenis pengakuan dan pengesahan ini tidak memberi perbezaan dari segi modusnya kerana kedua-duanya memberi penilaian mengenai ketidakbenaran sesuatu pernyataan yang dibuat. Namun, perbezaannya tetap ada dan boleh dilihat melalui 2 ciri iaitu pertamanya dapat dilihat pada kata kerja yang dipilih. Bagi pengakuan, kata kerjanya ialah mengaku manakala bagi pengesahan pula kata kerjanya ialah mengesahkan. Ciri yang kedua pula ialah di dalam pengesahan wajib terdapatnya penyungguhan, tetapi tidak bagi pengakuan.
            Seterusnya, fungsi ayat berita ini dalam komunikasi juga dapat dilihat dalam amaran. Amaran merupakan sejenis pernyataan yang meminta gerak balas yang positif dari orang yang menjadi sasarannya. Amaran ini boleh diwujudkan oleh ayat suruhan atau ayat berita. Sekiranya dilihat melalui bentuk ayat berita, perlu dimulakan dengan Adalah dan kemudiannya diikuti dengan ungkapan menjadi kesalahan, atau yang sama dengan ayat tersebut. Sebagai contoh, Adalah suatu kesalahan yang boleh dihukum, bagi apa-apa maksud yang berhubung dengan Ordinan ini. Akhir sekali ialah fungsi ayat berita ini dalam ayat juga melalui pengandaian. Modus pengandaian ini ditandai oleh klausa pengandaian yang ditandai oleh kata penghubung pengandaian seperti jika. Sebagai contoh, permohonan tidak akan dilayan jika tidak dikirim melalui Ketua Pejabat. Gambaran bagi melihat lebih jelas lagi mengenai fungsi ayat berita ini menurut Prof. Dr. Asmah dalam bukunya Nahu Melayu Mutakhir dapat dilihat seperti rajah di bawah :
 


                                   

          
             Menurut buku Tatabahasa Malaysia oleh Arbak Othman pula tidak menjelaskan secara terperinci mengenai fungsi atau kedudukan ayat penyata dalam ayat. Namun, Arbak Othman ada juga menyatakan pandangannya yang dilihat dari segi makna. Ayat penyata ini memberi maksud keterangan atau menyatakan sesuatu hal atau perkara yang berupa keterangan. Ayat penyata ini juga menurutnya hendaklah mengandungi subjek dan predikat di dalamnya. Sebagai contoh,
i) Burung itu terbang
ii) Mereka makan nasi


NAHU MELAYU MUTAKHIR

TATABAHASA MALAYSIA













PERBEZAAN

·         Menjelaskan secara terang mengenai fungsi ayat berita atau ayat penyata dengan membuat pembahagian kepada 4 jenis iaitu pernyataan, pengakuan dan pengesahan, amaran, serta pengandaian.
 


·         Memberikan contoh yang sesuai dalam memberi kefahaman kepada pembaca bagi setiap pembahagian  bagi fungsi atau  ayat penyata dalam ayat


 

·         Menggunakan istilah ayat berita bagi menggambarkan ayat penyata.

·         Tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai fungsi ayat penyata dalam ayat.






·         Contoh yang diberi bersifat umum dalam memberi kefahaman kepada pembaca mengenai makna ayat penyata.




·         Menggunakan istilah ayat penyata bagi menjelaskan mengenai ayat yang diucapkan dengan intonasi yang sederhana dan diakhiri dengan nada penutup menurun.


PERSAMAAN
·         Menjelaskan definisi ayat berita dengan jelas iaitu ayat yang ditandai oleh intonasi tersendiri, yakni yang mempunyai nada yang menurun sebelum kesenyapan.

·         Menjelaskan definisi ayat penyata iaitu ayat yang diucapkan dengan intonasi yang sederhana dan diakhiri dengan nada penutup menurun.



7.1 RUJUKAN LAIN
Ayat Penyata juga turut dinyatakan oleh Nik Safiah Karim et. al dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga ( 2008) . Ayat penyata ini juga turut didefinisikan sebagai ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu pernyataan. Seperti yang telah dinyatakan dalam buku Tatabahasa Bahasa Malaysia, Nik Safiah et. al juga turut menyatakan tujuan ayat penyata ialah untuk menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal dan ayat ini juga disebut sebagai ayat berita atau ayat keterangan. Selain itu, ayat penyata ini juga merupakan salah satu ayat yang termasuk dalam intonasi dalam ayat Bahasa Melayu.


8.0 DAPATAN KAJIAN SECARA KESELURUHAN



Penahu




Dapatan Kajian

Arbak Othman


Asmah Haji Omar
Memberi Keterangan

Menyampaikan Berita

Pengkelasan Jenis-jenis Ayat Penyata

Intonasi
Mengandungi Subjek dan Predikat



9.0 KESIMPULAN
Dalam kajian yang dibuat, terdapat persamaan dan perbezaan yang telah dikemukakan oleh para-para penahu yang dipilih iaitu Arbak Othman dan juga Asmah Haji Omar.       Hasil daripada kajian yang telah dibuat telah dapat memberikan kefahaman atau hipotesis lain kepada penyelidik dengan melihat kepada dapatan kajian secara keseluruhan yang telah dilampirkan diatas.
            Setelah membuat perbincangan bersama dengan beberapa orang ahli kumpulan, para penyelidik telah bersepakat untuk menggolongkan dan memberikan cirri-ciri ayat penyata kepada lima bahagian. Iaitu ayat penyata bersifat member keterangan, menyampaikan berita, pengkelasan jenis-jenis ayat penyata, intonasi dan mengandungi subjek dan predikat dalam ayat. Huraian-huraian yang ringkas tentang perbadingan antara penauh-penahu terdahulu telah dibuat dan hipotesis penyelidik sendiri tentang perbezaan mereka telah diberikan.
            Jadi, kesimpulan besar yang dapat dibuat adalah telah terbukti bahawa ayat penyata bukanlah ayat yang tidak penting sifatnya. Malah, ayat penyata sering digunakan dalam pertuturan harian seseorang. Ayat penyata mempunyai kegunaan yang meluas dalam bahasa Melayu. Walaupun huraian dan penjelasan yang diberikan oleh para penahu adalah kurang. Namun ayat penyata mempunyai makna yang sangat luas dan banyak pecahannya sekiranya kajian dilakukan dengan lebih mendalam lagi. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa ayat penyata adalah ayat yang penting dalam penggunaan bahasa Melayu sama ada dari segi teori atau praktikalnya.


BIBLIOGRAFI
Arbak Othman. (1981). Tatabahasa Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Sarjana Enterprise.
Asmah Haji Omar. (1986). Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan    Pustaka.
Ahmad Khir Mohd et. al (2007). Tatabahasa Asas. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan    Pustaka.
Nik Safiah Karim et. al (2005) Kamus Tatabahasa Dewan (edisi ketiga). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir. (2007). Komsas dan Tatabahasa Melayu. Kuala Lumpur :          Dewan Bahasa dan Pustaka.


No comments:

Post a Comment