FAKTOR EKONOMI
Dalam kurun ke-15, Melaka telah berkembang menjadi
sebuah emporium yang penting. Menurut kata Tom Pires, ‘sebegitu penting serta
menguntungkan hingga pada pandangan saya tiada bandingannya dalam dunia ini’.[21]
Hal ini menunjukkan bahawa pada abad ke-15 dan ke-16 Melaka adalah sebuah
kerajaan yang agung sebagai pusat perdagangan.
Mengikut
Sejarah Melayu, Melaka digelar oleh orang Arab sebagai “Malakat” iaitu
perhimpunan segala dagang-dagang. Ini bermakna pedagang-pedagang dari seluruh
dunia melakukan aktiviti perdagangan di pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan
abad ke-16. Pedagang-pedagang ini terdiri daripada pelbagai bangsa.
Dari
segi sejarahnya ternyata bahawa Melaka adalah sebuah negara kota dan pelabuhan yang cukup terkenal,
khasnya pada ke-15 dan abad ke-16.[22]
Kemajuan dan kemakmuran Melaka adalah kerana beberapa faktor. Antaranya ialah
kedudukan geografinya yang strategik. Hal ini adalah kerana Melaka terletak di
tengah-tengah perjalanan antara Timur dan Barat yang dapat menghubungkan antara
kumpulan pedagang-pedagang dari Asia Barat dan Eropah, Asia Selatan(India ), Burma ,
kawasan serantau di Alam Melayu, Indochina, Asia Timur(China , Jepun dan Korea ).[23]
Disamping itu, pada abad ke-15 dan ke-16
Melaka telah menjadikan pelabuhan sebagai tempat persinggahan. Melaka juga
mempunyai persediaan yang baik untuk memenuhi kehendak fizikal pedagang. [24]Umpamanya
gudang bawah tanah dibina untuk sausagar-saudagar menyimpan barangan mereka.
Oleh itu, pemilihan sebuah tapak disifatkan sebagai satu perkara yang amat penting untuk kejayaan untuk dijadikan
pelabuhan perdagangan. Ia terletak di persimpangan dari angin dan jauh dari
paya bakau, sementara pintu pelabuhannya pula adalah rangkaian hubungan untuk
membolehkan kapal besar masuk berlabuh. [25]Hal
ini kerana, di perairan Selat Melaka lautnya adalah dalam.
Peranan
orang laut juga penting dalam perdagangan. Orang Laut amat ditakuti, tetapi
penuh perasaan taat setia, bertugas melindungi para langganan Melaka sambil
melakukan pembalasan terhadap saingan Melaka. Melaka juga dikenali sebagai
pelabuhan entreport. Pelabuhan ini dibina di muara-muara sungai.
PENGGUNAAN
MATA WANG.
Dalam sistem perniagaan ekonomi di
Melaka, pengunaan matawang adalah penting. Urusan perniagaan mempunyai dua
bentuk, iaitu pertama melalui system tukar barang dan kedua menerusi proses
penjualan dan pembelian. [26]Matawang
yang digunakan dalam urusan jual beli adalah diperbuat daripada ‘colains’ iaitu
dalam bentuk timah. Pada permukaan duit tersebut terdapat nama sultan yang
memerintah ketika itu. Tom Pires mendakwa bahawa pengenalan dan penggunaan wang
logam ini adalah pengaruh langsung dari tradisi perniagaan Pasai. [27]Emas
dan perak juga digunakan dalam urusniaga dan bukan sahaja untuk dijadikan
barang pasaran. Pertukaran matawang berlaku apabila orang tempatan melakukan
urusan jual beli dengan Pasai. Hal ini dibuktikan apabila seratus colains
dikatakan bersamaan dengan tiga cruzades.
SISTEM
SUKATAN DAN TIMBANGAN.
Selain itu, penggunaan sukatan dan
timbangan dalam urusan perniagaan juga digunakan di Melaka. Sukatan dan
timbangan ini biasanya diukur dengan menggunakan unit tahil dan kati iaitu
setahil sama dengan enam belas mas. Terdapat banyak jenis ukuran yang
digunakan. Emas dan perak, bahan wangian, kapur, kelembuk, dan permata
ditimbang dengan menggunakan ukuran kati.
KEKAYAAN
HASIL MAHSUL.
Kekayaan hasil mahsulnya juga
menjadi salah satu faktor yang membawa kepada kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka. Faktor inilah yang
menjadi daya penarik kepada masyarakat
antarabangsa untuk tertumpu di negeri
Melaka. Hal ini disebabkan mereka menyedari
tentang tingginya nilai hasil
mahsul yang terdapat di Melaka ini. Antaranya,
seperti hasil hutan iaitu cengal, damar, rotan dan sebagainya. Selain
itu Melaka turut masyhur disebabkan
kekayaan hasil rempahnya. Sebagai
buktinya, kira-kira pada tahun 1506, Raja Portugal telah mendapat maklumat tentang
kemakmuran perdagangan Melaka .[28]
Antara maklumat yang diperolehinya itu
adalah dihantar oleh Vasco da Gama iaitu ahli pelayaran barat. Malah dalam Regimento, bertarikh 16
April 1506, Raja Portugal
antara lain telah membangkitkan tentang
hal ehwal Melaka. Antaranya mengenai
kekayaan dan hasil mahsulnya, kebesaran negeri Melaka raja-raja Melaka, tentang orang Islam,
perdagangan yang berlangsung di Melaka, harga-harga
barang serta kegiatan perkapalannya.
KEGIATAN PERTANIAN
Kegiatan pertanian turut menjadi penyumbang
kepada kemasyhuran Kerajaan Melayu
Melaka. Ketika itu kegiatan pertanian
adalah begitu penting hinggakan kegiatan pertanian telah
dijamin oleh undang- undang negeri
Melaka yang telah memperuntukkan
tentang hak ketuanan (pengerjaan) tanah,
cara membela binatang ternakan, dan juga cara berjual beli binatang
ternakan Namun begitu pada umumnya tanah adalah milik Raja, tetapi rakyat
masih boleh untuk mengerjakan tanah
seberapa banyak yang mereka
mampu. Namun begitu mereka tidak boleh
untuk memiliki tanah tersebut.[29]
Kemudiannya,
para pembesar biasanya akan
ditugaskan untuk mengutip cukai atau membeli
hasil tanaman atau hasil hutan daripada rakyat. Selain itu,
rakyat juga boleh dikerah oleh para pembesar dan Raja untuk bekerja di tanah mereka. Oleh sebab itu, keperluan kehidupan
rakyat hanyalah cukup untuk hidup ataupun dalam kata lain pertanian rakyat Melaka ketika itu hanyalah
berdasarkan kepada sistem sara diri.
SISTEM
PENGURUSAN PENTADBIRAN EKONOMI YANG CEKAP.
Sementara itu, faktor seterusnya
yang turut menyumbang kepada
kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka adalah kerana adanya sistem pengurusan pentadbiran
ekonomi yang cekap. Pelaksanaan sistem pentadbiran ini dapat dilihat pada
beberapa sudut. Antaranya perlaksanaan Undang-undang Perdagangan dalam negeri
ataupun dikenali sebagai Hukum Kanun Melaka dan Undang –undang Laut yang dilaksanakan di pelabuhan.[30]
Selain itu, turut dilaksanakan pengurusan pentadbiran perlabuhan serta
pelaksanaan sistem cukai. Sebagai contohnya , dalam Undang-undang negeri
dan laut ada beberapa fasal yang
telah digubal khas untuk membolehkan
kegiatan jual beli secara Islam dilaksanakan. Misalnya soal aqad jual beli dan juga soal transaksi dalam
perniagaan Undang-undang Pelabuhan turut menggariskan peraturan tentang kapten dan kelasi kapal.
Nakhoda kapal adalah dianggap sebagai wakil Raja didalam kapal dan setiap arahannya adalah wajib untuk dipatuhi. Nakhoda turut
diberi keistimewaan untuk menjalankan setiap urusan perdagangannya.
Pegawai kerajaan
yang menjalankan tugas dalam pentadbiran pelabuhan ialah Shahbandar.
Shahbandar bertanggungjawab untuk mengendalikan cukai pelabuhan, menerima wakil
pedagang dari luar negeri, menyediakan rumah tumpangan untuk pedagang dari luar
negeri dan menyediakan kawasan perkampungan
saudagar.
Malah
sumber-sumber China
turut menyatakan tentang rimah-rumah
tumpangan dan layanan yang istimewa di Melaka. Selain itu juga sumber Portugis
ada menyatakan yang terdapat gudang-gudang di Melaka yang telah dibina
dari batu batan dan ditempatkan dibahagian bawah tanah bagi mengelakkan terlibat dalam kebakaran. Bahkan sumber-sumber
luaran
juga ada menjelaskan tentang
wujudnya Nakhoda dan Ku Lang Kaya Kaya
(Orang Kaya Kaya) yang mana
berfungsi bagi memudahkan hubungan
diantara pelbagai bangsa. Malah sebuah jabatan khas turut ditubuhkan bagi memudahkan cara berkomunikasi dan jawatan jurubahasa juga telah diwujudkan. Sebagai buktinya pada tahun 1509
terdapat orang Portugis yang hendak
berjumpa dengan pedagang
Cina di Pelabuhan Melaka, maka seorang jurubahasa telah digunakan.. Kawasan perkampungan saudagar turut disediakan oleh Jabatan Shahbandar. Kampung Kling, Kampung Cina dan Kampung Jawa menjadi kawasan perkampungan yang utama
dan terkenal.
Pengurusan pentadbiran ekonomi di Melaka ketika itu juga melaksanakan cukai perdagangan yang dikenakan keatas setiap barang import. Sebagai contoh,
barang-barang dagangan yang dibawa masuk
dari Tanah Arab ,India dan Pegu
akan dikenakan cukai import sebanyak
enam peratus daripada nilai hasil
dagangannya. Barang-barang dari Timur seperti Annam , China ,Kemboja
,Pulau Ryukyu(Jepun), Maluku dan Jawa biasanya
tidak akan dikenakan sebarang cukai sebaliknya para saudagar ini akan memberi persembahan kepada raja. Setiap
nilai persembahan adalah bergantung kepada nilai taksiran yang bakal
diberikan oleh pegawai kastam. Pada dasarnya Raja dan pembesarlah yang akan menerima barang persembahan dari saudagar-saudagar dari luar negeri. Pedagang Melaka pula hanya dikehendaki membayar cukai sebanyak tiga peratus dari nilai hasil dagangannya.
Cukai harta juga dikenakan oleh Kerajaan Melaka ke atas setiap hartanah atau rumah yang telah dijual. Malah mereka juga perlu mendapat
keizinan sultan atau pembesar sebelum menjual sebarang harta mereka. Setiap hasil daripada kutipan
cukai yang dikenakan akan digunakan untuk pembiayaan pertahanan Melaka dan juga
pembiayaan ekonomi kaum kerabat.
FAKTOR SOSIAL
PENYEBARAN
AGAMA ISLAM
Agama Islam dibawah tajuk besar sosial
merupakan faktor penting kegemilangan Melaka. Sebelum agama Islam, penduduk
Melaka menganuti agama Hindu Buddha dan ada yang masih dengan animism. Agama
Islam telah membawa cahaya baru dalam kehidupan masyarakat Melaka justeru
mengubah cara hidup mereka kepada lebih efektif dan ini secara tidak langsung
membawa kepada kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.
Selain
terkenal sebagai pusat perdagangan, Melaka juga diknali sebagai pusat
penyebaran agama Islam. Ramai pedagang dan saudagar dari Arab dan India
yang beragama Islam sering berkunjung ke Melaka. Kedatangan mereka ke Melaka
pada zaman kesultanan Melayu Melaka saling berkait langsung dengan tujuan
kegiatan perdagangan dengan perkembagan agama Islam.
Setakat ini, persoalan-persoalan mengenai
pengasas negeri Melaka, tarikh penubuhannya, dan juga tarikh kemangkatan
pemerintah pertama Melaka mungkin sukar hendak dijelaskan. Walaubagaimanapun,
satu perkara yang masih menjadi tanda Tanya ialah adakah pemerintah pertama
Melaka memeluk agama Islam sebelum kemangkatannya. Menurut Hukum Kanun Melaka,
Sultan Iskandar Syah merupakan raja pertama yang memerintah Melaka serta yang
pertama memeluk agama Islam di Melaka.
Pelbagai
cara telah digunakan oleh baginda untuk menarik kedatangan pedagang-pedagang
Islam ke Melaka. Antaranya, baginda telah mengahwini puteri Pasai yang juga
beragama Islam dan menukar nama baginda kepada Megat Iskandar Syah. Pasai pada
waktu itu merupakan antara negeri terawal di kepulauan tanah melayu yang
menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi kerajaan.
Kesan
daripada pengislaman Raja Melaka pada waktu itu ialah agama Islam turut dianuti
oleh rakyat Melaka. Dengan menganuti agama Islam, budaya Islam turut disebarkan
dan meresap ke dalam masyarakat tempatan. Contohnya, adat istiadat keagamaan
yang terdiri daripada sejadah ke masjid pada malam dua puluh tujuh Ramadhan. Kesan seterusnya ialah pengislaman
di Melaka telah membawa kepada perkembangan agama Islam ke serata tempat di
Tanah Melayu seperti di kerajaan-kerajaan kecil lain di sekitar Melaka.
Dengan penyebaran agama Islam di Melaka,
budaya pemikiran dalam kalangan penduduk Melaka berubah. Melalui agama Islam
ini, kelas atasan iaitu golongan Raja sebagai pemerintah mendapat kekuatan dan
kuasa yang besar, berkesan dan lebih bermakna terhadap undang-undang tertinggi
kerajaan dan kedaulatan. Apabila Islam menjadi dominan dalam kebudayaan Melayu
di Melaka, raja yang memerintah dianggap sebagai Khalifatullah fi al ard
(khalifah Allah di dunia).[31]
Raja dianggap khalifah Tuhan di dunia untuk memerintah umat Islam. Kepercayaan
sejagat Tuhan dan Rasul juga digabungkan dengan konsep daulat. Derhaka terhadap
raja bermaksud derhaka terhadap Rasul seterusnya kepada Tuhan.
Islam
dikatakan telah member warna baru terhadap institusi setempat terutamanya
hokum-hukum adat yang dikaitkan dengan undang-undang dan syariat Islam.
Hukum
adat di Melaka dan undang-undang laut Melaka.Dalam Undang-undang Laut
Melaka,Hukum yang menurut undang-undang islam hanya jelas pada satu fasal
sahaja,iaitu berhubung dengan kesalahan zina.[32]Namun,dalam
Hukum Kanun Melaka, hamper 40.95% adalah menurut undang-undang Islam.
Walaubagaimanapun, Hukum Kanun Melaka di sini ‘ketat’ cirinya dan dilakukan
dengan sewenang-wenangnya tanpa tiada sifat ‘tolak ansur’ seperti terdapat
dalam al-Quran.
Perkembangan agama Islam juga telah
menyumbang kepada perkembangan mental dan intelektual masyarakat setelah
tulisan jawi diperkenalkan di Melaka. Dengan ini jelas, lahirlah
intelek-intelek istana dalam kalangan pembesar-pembesar, bangsawan dan tokoh
agama yang berbangsa melayu. Perkembangan ini telah member jalan kepada
kemunculan pelbagai jenis hasil kesusasteraan Melayu Islam dan juga pelbagai
jenis bentuk sastera, prosa, puisi (seloka, pantun, gurindam) yang berbentuk
lisan dan masyhur dalam kalangan rakyatnya.
Dengan tersebarnya agama Islam ke seluruh
negeri Melaka, berlaku plbagai perubahan. Antaranya, seperti yang diketengahkan
tadi iaitu kuasa sultan yang dimartabatkan, pemerintahan Melaka memasukkan
unsur-unsur Islam dalam pemerintahan di negeri sendiri dan seterusnya di negeri
naungan dan taklukan. Pedagang juga dapat melihat sendiri Islam dalam amalannya
dan raja-raja negeri lain turut ingin mencontohi Melaka. Pedagang Islam turut
mendapat jaminan keselamatan dan disediakan tempat untuk beribadah. Justeru,
fungsi istana sebagai pusat penyebaran Islam bertambah kukuh.
Reaksi
positif orang tempatan terhadap agama Islam tentu menarik perhatian ramai ulama
dan mubaligh Islam yang terdiri daripada para pedagang, mubaligh dan para ahli
sufi yang menjalankan kegiatan dakwah Islamiyah. [33]Contoh
ahli ulama dan ahli sufi yang terkenal adalah seperti Sayyid Abdul Aziz, Abu
Bakar, Sadar Jahan dan Karim al-Makhdum. Mereka menggunakan gelaran seperti
Maulana dan Makhdum dan mempunyai pengaruh agama yang sangat kuat. Mereka telah
dilantik untuk mengajar agama kepada penduduk. Sebagai penyebar agama yang
gigih di rantau ini, Melaka telah melahirkan tokoh agama dan pengkaji Islam
yang terdiri daripada peribuminya sendiri.[34]
Contohnya ialah Tun Muhammad yang fasih dalam ilmu sarf, pengetahuan fikah dan
nahu Arab. Dengan adanya ulama dan para ahli sufi, keperluan kerohanian
raja-raja kea rah mencapai dan mengukuhkan daulat serta hak asasi politik dalam
sistem pemerintahan berjaya dicapai.
SISTEM
MASYARAKAT DAN HIERARKI SOSIAL.
Salah satu faktor yang turut
membawa kepada kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka ialah system masyarakat di
Melaka. Pada waktu itu, wujud sistem sosial yang kompleks dan mempunyai kaitan
dengan kegiatan ekonomi dan perdagangan. Selat Melaka dapat dikategorikan
sebagai selat yang dikunjungi oleh pelbagai bangsa masyarakat dan turut didiami
oleh pelbagai kaum.
Pada asalnya Melaka hanya didiami
oleh peribumi Melaka yang terdiri daripada orang melayu tempatan. Walau bagaimanapun,
dengan peranan sosiobudaya asing yang singgah dan menetap di Melaka, akhirnya
wujud pelbagai jenis institusi peribumi yang wujud dan turut terlibat dalam
pelbagai jenis kegiatan ekonomi dan sebagainya. Walhal sebagai sebuah kuasa
kelautan, Melaka adalah Bandar pelabuhan kosmopolitan.[35]
Melaka terdiri daripada rakyat yng berbilang kaum. Orang tempatan yang terdiri
daripada orang melayu mengekalkan persefahaman yang sewajarnya seperti yang
dikehendaki oleh kerajaan melayu Melaka yang bergantung kepada aktiviti
kelautan, pedagang dan saudagar yang berniaga disitu. Hal ini secara langsung
membawa kepada pertembungan antara masyarakat tempatan dan luaran.
Orang laut yang sering dirujuk sebagai orang
selat ialah masyarakat yang tinggal di persisiran pantai dan menjaga atau
menguasai kawasan tersebut. Orang laut mempunyai peranan yang sangat penting
dalam kegiatan kelautan di Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Orang
laut dikatakan telah banyak membantu Parameswara meninggalkan Singapura dan
Muar. Jadi, penggabungan tenaga antara raja pada masa itu dengan orang
lauttelah membawa kepada kekukuhan Kesultanan Melayu Melaka. Kekukuhan ini
menjadi sumber tenaga yang sangat besar untuk meningkatkan kegiatan dan cabaran
ekonomi, politik, ketenteraan, dan sosial pada tahap-tahap yang berikutnya.[36]
Pada zaman itu, seperti yang
diketahui, Selat Melaka terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik yang berasal
daripada Negara China, India, Tanah Arab, dan Parsi selain daripada beerapa
buah Negara jiran di Nusantara. Kepentingan masyarakat majmuk ini amat
ditekankan sehinggalah terdapat fakta yang mengatakan Iskandar Syah yang adil
amat menggalakkan orang ramai serta para saudagar dating berdagang dan bertumpu
di Melaka. Maka, denagan ini juga wujudlah masyarakat yang bercorak
cosmopolitan, sehinggalah pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin, rakyat Melaka
mencecah kepada 40 ribu orang. Kemunculan masyarakat yang sedemikian adalah
kerana kedudukan dan peranan sosioekonomi tradisional Melaka itu sendiri.[37]
Pertambahan rakyat dari semasa ke
semasa dan kegiatan yang dijalankan membawa kepada pengelasan masyarakat
mengikut peranan tertentu di Melaka. Kelahiran golongan masyarakat inilah yang
menyebabkan wujudnya ‘kelas-kelas’ dalam masyarakat.[38]
Pengelasan ini dipercayai bermula daripada tradisi persetiaan antara Sang
Sapurba (lambang kelas pemerintah) dengan Demang Lebar Daun (kelas yang
diperintah) di Palembang.
Pada
masa yang sama, agama Hindu turut meletakkan raja di tempat teratas dengan
konsep ‘dewa raja’, seterusnya agama islam yang menggelar ‘khalifah Allah di
dunia’. Ini menjadikan kedudukan raja berada di tempat yang suci. Kedudukan ini
dengan jelas dapat dilihat di Melaka yang mana terdapat pembahagian antara
golongan pemerintah dan yang diperintah. Pihak pemerintah terdiri daripada Raja
(sultan) yang mempunyai daulatnya yang tersendiri serta pembesar dan bangsawan
manakala golongan yang diperintah pula merupakan rakyat merdeka dan hamba.
Dalam kalangan mereka, wujud juga golongan agama.
Setiap anggota masyarakat sedar
akan kelas yang mereka duduki.[39]
Seperti juga bidang kuasa sultan yang tidak terhad dan berkuasa mutlak, namun
perlu bersikap adil demi memastikan kebajikan rakyat terjamin. Golongan
pembesar pula yang terdiri daripada kaum kerabat dan bukan kaum kerabat juga
memastikan bahawa tugas mereka dilakukan dengan baik. Pembesar bukan daripada
kerabat diraja tidak akan mendakwa mereka daripada keturunan raja. Hakikat ini
terbukti secara bertulis dalam Hukum Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka.
Rakyat perlu menjalankan tugas mereka iaitu menyokong institusi raja dan
pembesar dalam seluruh rangka system dan organisasi kerejaan, contohnya sebagai
pemangkin ekonomi berteraskan cucuk tanam dan perikanan, manakala hamba perlu
melakukan pelbagai jenis kerja untuk kepentingan dan keperluan status ekonomi
tuannya. Golongan hamba pada masa itu amat penting kerana dapat meninggikan
taraf hidup tuannya. Hamba terdiri daripada hamba biasa, hamba berhutang dan
hamba raja.
Orang asing yang berhijrah ke
Melaka juga mempunyai tugas dan peranan yang tersendiri. Contohnya orang Cina yang
bergiat aktif dalam perlombongan bijih timah dan peniaga. Orang Jawa pula
berperanan sebagai ulama dan guru agama kepada masyarakat Melaka. Orang India
pula pada waktu itu amat ramai dan mendapat perhatian istimewa terutamanya yang
beragama Islam daripada Kesultanan Melayu Melaka.
KONSEP
DAULAT DAN DERHAKA
Dalam konsep daulat dan derhaka,
Raja yang memerintah dianggap berdaulat. Daulat juga dihubungkan dengan konsep
spiritual dan kepercayaan tradisi tentang derhaka. Daulat saling berhubungan
demgan derhaka. Sesiapa yang ingkar perintah raja dianggap menderhaka. Mereka
akan ditimpa ‘tulah’ iaitu nasib buruk yang akan menimpa si penderhaka. Contoh
beberapa bentuk penderhakaan kepada raja dapat dirujuk dalam Hukum Kanun
Melaka. Antaranya membunuh orang yang membawa titah raja, menyangkal titah
raja, bermaharajalela, dan cuba
menentang raja. Si penderhaka samada dibunuh denagan sara disalang atau disula.
Sejarah melayu menyebut bahawa Sang Rajuna Tapa, iaitu Penghulu Bendahari
kepada Raja Iskandar di Singapura, telah ditimpa tulah dengan menjadi batu
kerana bersubahat dengan Majapahit menyerang Singapura.[40]
Walau bagaimanapun, ini hanyalah sekadar sumber lisan dan tidak direkodkan.
Pada hakikatnya, kepercayaan adanya daulat dan derhaka itulah yang menjadi
teras kuasa dan hak mutlak kerajaan Melaka sebagai pemerintah yang patut
dihormati dan digeruni oleh golongan masyarakat yang diperintah.
PENGGUNAAN
BAHASA LINGUA FRANCA.
Sebagaimana kita ketahui bahawa Melaka adalah Bandar pelabuhan
cosmopolitan kerana didiami oleh pelbagai kaum atau suku. Orang melayu tempatan
yang menjadi teras anggota masyarakat jenis ini mengekalkan perpaduan dan
persefahaman sewajar dengan yang dituntut kerana Melaka bergantung pada
kepentingan laut dan saudagar-saudagar asing yang dating dan berniaga disitu.
Oleh sebab adanya peluang social tertentu, ada juga orang asing ini yang turut
sama terlibat dalam proses dan sejarah perkembangan masyarakat rakyatnya.
Intergrasi
antara kelas melayu daripada kalangan diraja dan bangsawan dari Palembang ini dengan Orang
Laut dan suku-sukunya telah melahirkan
perpaduan masyarakat yang sangat kukuh. Kekukuhan ini menjadi sumber tenaga
yang sangat besar untuk meningkatkan kegiatan ekonomi, politik, ketenteraan,
dan social di Melaka.
Kedatangan
pedagang-pedagang asing dari seluruh pelusuk dunia seperti China , India , Parsi dan semenanjung Tanah
Arab telah menyebabkan wujudnya pelbagai jenis bahasa di Melaka. Pada awal
pemerintah Iskandar Syah, masyarakat Melaka yang berjumlah lebih daripada 1,000
orang[41]
telah meningkat menjadi lebih kurang 40,000 orang dan meningkat kepada 190,000
orang semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah. Dianggarkan terdapat 84
jenis bahasa di Melaka tetapi bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa perantaraan
atau ‘Lingua Franca’ untuk memudahkan segala urusan samada politik, ekonomi,
dan social.[42]
Bahasa Melayu ini dijadikan bahasa rasmi untuk surat-menyurat dalam hubungan
diplomatic Melaka dengan negeri-negeri asing. Jelaslah disini bahawa
penyelarasan Lingua Franca ini telah memudahkan segala urusan di Melaka
seterusnya menjadi salah satu factor terpenting yang mendukung kegemilangan
Melaka sebagai satu pelabuhan yang unngul.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, kegemilangan Kesultanan Melayu
Melaka pada kurun ke-15 bukan sahaja disebabkan kepentingannya sebagai pusat
perdagangan. Di samping kegiatan perdagangan, terdapat beberapa faktor lain
yang berpengaruh dan menyumbang kepada kegemilangan kerajaan tersebut.
Antaranya ialah faktor politik, faktor ekonomi, dan faktor sosial. Faktor ini
merupakan tiga factor utama yang merangkumi kesemua faktor kegemilangan Melayu
Melaka seperti sistem pemerintahan dan pentadbiran yang sistematik, hubungan
antara kelas melayu dengan orang laut, kekayaan hasil bumi, penggunaan lingua
franca, system masyarakat, penyebaran agama Islam dan sebagainya. Kesemua
faktor tersebut amat bertetapan dalam semua aspek yang diperlukan dalam
membentuk kerajaan Melaka seterusnya dijadikan asas dalam mengukuhkan
Kesultanan Melayu Melaka.
BIBLIOGRAFI
Abdul
Rahman Hj Ismail,1985.”Kewibawaan Mutlak Raja Dan Ketaatan Mutlak Rakyat Kepada
Raja:Satu Penilaian Semula Lunas Perhubungan Raja-Rakyat Masyarakat Melayu
Tradisional seperti yang terdapat di dalam Kitab-Kitab Saster Sejarah Melayu”,Kajian Malaysia,jilid 2,No 1.
A.Samad
Ahmad,1996,Sulalatus salatin,cetakan
ke 5,Kuala Lumpur :Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Andaya,
Barbara Watson & Leonard Y. 2001. A
History of Malaysia (second
edition), Basingstoke :
Palgrave.
Barbara
Watson Andaya & Leonard Y. Andaya, 1983. Sejarah Malaysia ,
Bangi, Universiti Kebangasaan Malaysia .
Cheah
Boon Keng, 1998,”The Fall and Rise Of The Great Melakan Empire:Moral Judgment
in Tun Bambang`s Sejarah Melayu”,JMBRAS,Vol
LXXI,Part 2.
Hooker,Virginia
Matheson,1991.Tuhafat Al-Nafis:Sejarah Melayu-Islam,Kuala Lumpur :Dewan Bahasa dan Pustaka,
Liang
Liji 1996,Lembaran Sejarah
Gemilang:Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming abad ke 15,Bangi:Penerbit UKM.
Muhammad
Yusoff Hashim Ph.D, 1986. Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur , Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Muhammad
Yusoff Hashim Ph. D, 1989. Kesultanan Melayu Melaka: Kajian Beberapa
Aspek tentang Melaka pada abad ke-15 & abad ke-16 dalam sejarah Malaysia , Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wolters,O.W.1970.The Fall of Srivijaya in Malay History,New York :Cornell
University
[21] Barbara Watson Andaya
dan Leonard Y.Andaya,Sejarah Malaysia,Petaling
Jaya:Macminllan Publisher(M)Sdn Bhd,1983,halaman 42.
[23] Ibid, hal 184
[26] Muhammad
Yussof Hashim Ph.D, Kesultanan
Melayu Melaka, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka,1986,
hal 225
[31] Muhammd
Yusoff Hashim PHD,Kesultanan Melayu
Melaka,Kuala Lumpur,Dewan Bahasa dan Pustaka,1990,halaman 276.
[40] Timothy,J.moy,The
Sejarah Melayu Tradition of Power of
Political Order,Sebuah Tesis Sarjana Sastera,Di Jabatan Sejarah,Universiti
Malaya,Kuala Lumpur,1978,halaman 134-135.
[41] Menurut
Tom Pires,selepas kemangkatan Paremeswara,jumlah penduduk Melaka bertambah
kepada 6000 orang.Rujuk Armando Cortesao.Halaman 234-236.
No comments:
Post a Comment