nuffnang

Friday, May 9, 2014

PENGENALAN

            Selepas kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka, muncul Kerajaan Johor-Riau sebagai pewaris Kerajaan Melaka. Kerajaan Johor-Riau ditadbir oleh keturunan Sultan Melaka dan selepas kemangkatan Sultan Mahmud, pemerintahan Johor-Riau diwarnai dengan pelbagai pihak dalam pentadbirannya. Antaranya adalah masyarakat Bugis. Seperti yang diketahui, orang-orang Bugis dalam kelompok-kelompok lain dari Sulawesi Selatan mula tiba di wilayah Melayu sejak suku terakhir kurun ke-17.[1] Makasar merupakan tempat asal orang Bugis, iaitu kedudukan negeri yang sesuai kerana ia berada dipertengahan jalan di antara Jawa dengan Pulau Moluku. Mereka meninggalkan tanah air mereka di Sulawesi Selatan akibat dari perang saudara yang berlarutan di sana.[2] Disamping berlaku pergolakan dengan pihak Belanda kerana dasar Makasar yang menerima semua pedagang dengan baik telah menyebabkan Belanda tidak dapat memonopoli pasaran. Kurun ke-18, kerap kali disebut sebagai ‘zaman Bugis’ di dalam sejarah Melayu. Pada abad ke-18, datang lima orang Bugis Bersaudara (raja) untuk mengembara ke Barat Nusantara terutama di sekeliling Tanah Melayu dan kepulauan Riau, dengan pelbagai tujuan. Sebelum hadirnya orang Bugis di Johor, orang Bugis telah menapak di Selangor terlebih dahulu sekitar 1750, yang diterajui oleh Raja Lumu yang diiktiraf oleh istana Melaka.[3] Antara lima orang Bugis Bersaudara itu ialah Daeng Chelak, Daeng Marewah, Daeng Perani, Daeng Menambun dan Daeng Kemasi. Jelaslah kedatangan mereka telah memainkan peranan penting dalam Kerajaan Johor-Riau.

KEDATANGAN ORANG BUGIS
BILA BERHIJRAH KE TANAH MELAYU? dan DARI MANA?
            Orang-orang Bugis telah datang ke Tanah Melayu pada awal kurun Masihi ke-18. Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi Bugis sudah berada di Tanah Melayu. Bugis merupakan satu kaum yang berasal dari Makasar iaitu dari Sulawesi Selatan. Mereka ini telah keluar dari negara mereka sendiri dan mengembara ke seluruh Alam Melayu dan mereka berjaya menempatkan diri masing-masing dalam arena politik dan pemerintahan kerajaan Melayu terutamanya di bahagian Barat Alam Melayu sejak kurun ke-18 lagi. Menurut Buyong Adil, kedatangan mereka adalah bertujuan untuk mendapatkan kuasa politik untuk memerintah di negeri yang bebas dari kuasa pemerintahan Sulawesi Selatan. Kedatangan Bugis juga akibat daripada perang saudara yang berlarutan yang memerlukan orang Bugis campur tangan ekoran daripada jemputan pembesar-pembesar Tanah Melayu yang meminta bantuan Bugis dalam perang saudara. Kedatangan Bugis juga dipengaruhi oleh kegagalan Bugis untuk membuka negeri di bawah kekuasaan mereka di tempat lain seperti Surabaya, Bali dan lain-lain. Pergaduhan di antara Tengku Tengah dengan Raja Kechil telah menyebabkan Bugis terpaksa campur tangan. Hal ini kerana baginda telah berubah hati dengan tudak mahu berkahwin dengan Tengku Tengah tetapi baginda telah berkahwin dengan Tengku Kamariah.[4]

PENGARUH BUGIS
            Kaum Bugis dan kaum-kaum lain dari Sulawesi mula mencari petempatan di kawasan Melayu sejak suku terakhir abad ke-17. Disebabkan perang saudara yang berpanjangan, mereka ini cuba tetapi gagal mendiami tempat-tempat seperti Sumbawa, Lambok, Bali dan Jawa. Hal ini kerana mereka ingin bebas daripada penguasa-penguasa tempatan, oleh itu mereka berlindung di tempat-tempat yang kurang penduduknya dan yang tidak ditadbir rapi di Sumatera dan di Semenanjung Tanah Melayu (Selangor, Linggi dan Klang). Mula-mula Kerajaan Melayu tidak berasa terancam oleh pendatang Bugis kerana mereka telah menjadi pembantu kearah pencapaian kuasa ekonomi dan politik.[5]
                                                                                                                                  
PERKEMBANGAN PENGARUH BUGIS
            Walaupun ada pertalian perkahwinan di antara pemimpin Melayu dan pemimpin Bugis, namun begitu, pergelutan kuasa tetap berlaku di antara dua puak yang berbeza budaya itu. Pada pertengahan abad ke-18, keadaan menjadi semakin renggang kerana orang Melayu di luar Riau-Johor pun berasa tidak puas hati terhadap pengaruh Bugis yang semakin meluas. Dalam tempoh 1754, seluruh masyarakat Bugis meninggalkan Riau dan telah tinggal di Linggi dan menyebabkan perdagangan di Riau merosot.

FAKTOR-FAKTOR ORANG BUGIS BERHIJRAH (KENAPA BERHIJRAH?)
FAKTOR TOLAKAN
          Terdapat banyak faktor yang menyebabkan Bugis keluar berhijrah dari tanah air mereka dan berhijrah serta belayar keseluruh pelusuk Nusantara terutama di bahagian barat dengan membawa harapan agar dapat membina pengaruh mereka. Mereka ialah anak raja lima bersaudara iaitu Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi. Antara faktor yang membawa kepada penghijrahan mereka ialah perselisihan antara Makasar iaitu tanah air lima bersaudara ini dengan pihak Belanda. Perselisihan terjadi apabila pihak Belanda ingin menjadikan Makasar sebagai hak milik khas mereka. Kelima-lima Daeng ini telah keluar berhijrah apabila Makasar dengan secara rasminya  telah menjadi milik khas Belanda pada tahun 1667. Mereka telah menjadi lanun yang terkenal kerana kepakaran di laut yang mereka miliki[6].

             Selain itu, pembunuhan seorang raja Makasar oleh salah seorang anak raja ini juga merupakan faktor mereka berhijrah. Menurut khabar angin, pembunuhan yang berlaku adalah disebabkan masalah percintaan. Peristiwa ini telah menimbulkan persengketaan antara kelima-lima putera Bugis dan pihak istana dan ini telah memaksa Daeng Rilaka iaitu ayah kepada kelima-lima Daeng ini keluar dari Makasar dengan kelima-lima puteranya dan belayar keseluruh pelusuk nusantara[7].

             Pensengketaan mahupun perang saudara yang berlaku di tanah air mereka juga merupakan faktor yang menyebabkan mereka berhijrah dan telah melakukan percubaan untuk membuka negeri di kawasan seperti Sunbawa, Lombok, Bali dan Jawa sendiri  namun, tidak berjaya kerana telah wujud persengketaan dengan penguasa tempatan. Persengketaan telah mendorong kelima-lima Daeng ini mencari tempat yang jauh dari penguasa tempatan iaitu di jurusan Barat yang bebas.[8]


FAKTOR TARIKAN
              Dari segi faktor tarikan yang membawa kepada kedatangan Bugis dan seterusnnya berjaya menempatkan diri di dalam sistem pentadbiran kerajaan Melayu khususnya negeri Johor mempunyai perkaitan dengan Raja Kechil. Kejayaan Raja Kechil menakluki negeri Johor pada Mac tahun 1718,[9] telah memaksa Putera Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV iaitu Raja Sulaiman bertindak untuk mengajak kelima-lima putera Bugis membantu baginda untuk merampas kembali takhta kerajaan Johor. Ajakan ini secara tidak lansung telah menggalakan lagi kedatangan orang Bugis ke Johor.[10]

DIMANA MEREKA MEMBINA PETEMPATAN?
             Sebelum Bugis mendirikan petempatan di tempat lain seperti Selangor, Linggi dan sebagainya. Mereka terlebih dahulu menjadikan Pulau Siantan sebagai tempat pusat kekuatan mereka.[11] Pada penhujung kurun ke-17 mereka telah mula membina petempatan di pantai barat semenanjung iaitu Selangor, Linggi dan Kelang yang merupakan jajahan takluk kerajaan Johor pada waktu itu dan seterusnya bertapak kuat di Johor apabila salah seorang anak Raja Bugis ini telah menjadi Yamtuan Muda negeri  pada Johor pada tahun 1722.[12]

REAKSI RAJA-RAJA MELAYU TERHADAP PEMBUNUHAN RAJA DI  JOHOR
            Sultan Mahmud iaitu keturunan Kesultanan Melayu Melaka yang memerintah Johor pada akhir kurun ke-17 telah dibunuh pada bulan Julai dan ada riwayat mengatakan pada bulan Ogos 1699. Riwayat Thai pada kurun ke-19 ada menyebut bahawa setelah kemangkatan Sultan Mahmud, tiada pernah didengar kisah salasilah keturunan Sultan Mahmud kerana baginda tidak meninggalkan seorang pun waris bagi takhta kerajaan Johor dan peristiwa ini dianggap sangat penting.[13] Pembunuhan Sultan Mahmud dikatakan dilakukan oleh seorang pahlawan Bentan yang mempunyai kekuatan luar biasa bernama Megat Sri Rama. Pembunuhan tersebut dilakukan kerana beliau hendak membalas dendam terhadap Sultan yang telah membunuh isterinya yang sedang sarat mengandung dengan cara membelah perut dan mengeluarkan kandungannya. Oleh itu, semasa Sultan Mahmud sedang berangkat untuk menunaikan solat Jumaat, baginda telah ditikam oleh Megat Sri Rama. Dikatakan bahawa pembunuhan tersebut merupakan konspirasi pakatan sekumpulan pembesar negeri termasuk Bendahara.

            Setelah peristiwa tersebut berlaku, pelbagai reaksi muncul terutama pengutukan terhadap peristiwa pembunuhan raja itu datang dari dua orang Sultan iaitu Sultan Palembang dan Sultan Perak yang mana kedua-duanya telah mengakui nasab keturunan raja yang dibunuh itu adalah berasal dari zuriat yang mulia iaitu jurai keturunan Raja Iskandar Zulkarnain yang mana tiga orang daripada puteranya yang muncul di Bukit Si Guntang di Palembang.[14] Kedua-dua Sultan tersebut telah merayu kepada VOC supaya mengenakan hukuman dan balasan yang keras kepada orang-orang yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan tersebut. Namun, rayuan mereka tidak diendahkan oleh Belanda.

            Selain itu, Orang Laut yang selama ini terkenal dengan sifat taat setia kepada Raja dan Sultan Melaka-Johor selama 300 tahun telah mengutuk pembunuhan tersebut dengan sekeras-kerasnya. Beberapa kumpulan orang laut mendakwa lebih rela bertuankan Sultan Palembang dari bertuankan kepada perampas takhta. Ada juga yang berpakat hendak mengkhianati Johor, namun mereka sedar, sama ada dengan rela atau tidak, mereka tetap perlu berbaik-baik dengan pemerintahan yang baru bagi mengelak permasalahan yang mendatang.[15]

BILA BUGIS MULA MEMAINKAN PERANAN DALAM POLITK JOHOR
Pada tahun 1718 Raja Kechil telah muncul di Sungai Riau dengan satu angkatan Minangkabau yang besar dan bertindak menyerang Kerajaan Johor-Riau dengan tujuan untuk merampas kuasa daripada Sultan Abdul Jalil. Dalam pertempuran awal antara angkatan Raja Kechil dengan angkatan Johor-Riau, Orang Laut yang menjadi tulang kepada pasukan tentera Johor telah berpaling tadah dan bertindak menyebelahi Raja Kechil. Tindakan Orang Laut ini menyebabkan angkatan Johor-Riau menjadi lemah dan akhirnya dikalahkan oleh angkatan Minangkabau di bawah pimpinan Raja Kechil. Setelah berjaya menawan ibu negeri Johor di Riau, Raja Kechil telah mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah Johor-Riau yang baru. Sultan Abdul Jalil pula telah diturunkan pangkatnya semula kepada bendahara Johor-Riau. Namun akibat tidak tertahan dengan keadaan sekeliling Sultan Abdul Jalil teah bertindak meninggal Johor-Riau dan berundur ke Terangganu.[16]

 Sejurus peristiwa kekalahan Sultan Abdul Jalil dan sebelum baginda mengambil keputusan berundur, anakanda baginda Tengku Sulaiman telah meminta pertolongan lima Bugis bersaudara untuk mengusir Raja Kechil keluar dari negeri Johor. Di samping itu adinda Tengku Sulaiman yang bernama Tengku Tengah berjanji untuk berkahwin dengan Daeng Perani jika mereka dapat membantu mengalahkan pihak Raja Kechil. Bagaimanapun tindakan Sultan Abdul Jalil yang berundur dari negeri Johor menyebabkan pakatan tersebut tertangguh.[17]

Kekalahan Sultan Abdul Jalil dan tindakan Tengku Sulaiman meminta pertolongan daripada lima Bugis bersaudara merupakan titik permulaan kuasa Bugis meresap dalam sistem pentadbiran politik dan pentadbiran Johor. Sultan Abdul Jalil yang telah berundur ke Terangganu telah mendirikan kerajaan baru dengan sokongan pembesar-pembesar tempatan dan juga dari Pahang dan Kelantan.[18] Walau bagaimanapun Raja Kechil yang telah mengetahui pakatan yang diadakan oleh Tengku Sulaiman dengan pihak Bugis, telah bertindak mengarahkan hulubalangnya membunuh Sultan Abdul Jalil. Kemangkatan Sultan Abdul Jalil telah menyemarakkan perasaan dendam kaum keluarga baginda terutamanya Tengku Sulaiman. Tengku Sulaiman telah menulis surat kepada pihak Bugis untuk menyerang Raja Kechil di Riau. Akhirya dengan kekuatan Bugis, Raja Kechil berjaya diusir keluar dari Johor. [19]

Apabila lima putera Bugis berjaya menghapuskan kekuasaan Raja Kechil daripada Kerajaan Johor, maka dibuatlah satu perjanjian antara pihak Melayu dan Bugis yang dikenali sebagai Persetiaan Marhum Sungai Baru. Dengan termeterainya perjanjian tersebut terbentuk jawatan Yam Tuan Muda Riau yang dianugerahkan kepada Opu-opu Bugis sebagai balasan jasa mereka. Persetiaan Marhum Sungai Baru telah mennyingkap satu era baru dalam pemerintahan Kerajaan Johor, yang mana buat pertama kalinya, para pembesar Melayu berkongsi kuasa dengan pembesar Bugis dalam urusan pentadbiran dan politik Johor. Selain itu, buat pertama kalinya juga perlantikan seorang raja Melayu dibuat bukan sahaja oleh permuafakatan para pembesar Melayu tetapi turut melibatkan pembesar Bugis. Sebagai rumusan, perjanjian yang dibuat dengan pihak Bugis telah menjadi titik permulaan kekuasaan Bugis meresap dalam politik Johor.

SERANGAN BUGIS KE ATAS RIAU BERJAYA
            Akibat gagal dalam perang Johor dan telah hilang wilayah yang diduduki Bugis di Semenanjung telah menjadi permulaan kepada perkembangan-perkembangan lanjut yang memisahkan Johor dan termasuk seluruh alam Melayu. Pada tahun 1717 seorang bernama Raja Kechil telah muncul di Siak, salah satu jajahan takluk Johor di pantai timur Sumatera, lalu mendakwa dirinya putera Sultan Mahmud yang dibunuh pada tahun 1699.[20] beberapa orang pengkaji telah tertarik dengan keterangan ‘Hikayat Siak’ tentang keturunan Raja Kechil yang dikatakan berasal daripada keturunan Sultan Mahmud II atau Sultan Abdul Jalil. Seorang penulis, Dianne Lewis, mengatakan bahawa “This Prince was most probably of Minangkabau origin, though a rumour was circulated that he was the posthumous son of the mudered Sultan Mahmud”. Sementara itu dalam satu nota kaki rencananya, Lewis mengutarakan lagi “ Contemporary Dutch records refer to the rumour that he was the son of the murdered King of Johore, but give no indication that they believed this story”.[21] Pernyataan beliau yang menggunakan perkataan ‘rumour’ (khabar angin) jelas menunjukkan tentang kesahihan keturunan Raja Kechil itu.

            Menurut beberapa penulis, kenyataan yang terdapat dalam ‘Hikayat Siak’ merupakan helah politik. Benarnya saranan ini memang dapat dipastikan kerana selepas Raja Kechil dikalahkan oleh orang Bugis, baginda tidak pernah menyebut atau mebnagkit-bangkitkan lagi soal keturunannya.[22] Peristiwa pembunuhan raja pada tahun 1699, menyebabkan perasaan benci dan syak wasangka yang meluap di kalangan rakyat ditambah lagi tentangan dari rakyat Johor. Dengan tuntutan Raja Kechil sebagai keturunan Sultan Mahmud II, Orang Laut telah menyertai Raja Kechil seacra beramai-ramai.

            Pada awal tahun 1718, Raja Kechil telah muncul di Sungai Riau dengan satu pasukan Minangkabau yang besar dan diserang dalam satu peperangan dengan angkatan laut Johor. Orang Laut menjadi tulang belakang angkatan Johor pada pertarungan awal, telah membelot dan menyertai Raja Kechil dengan beberapa orang Bangsawan Johor.
Raja Kechil telah mengishtiharkan dirinya sebagai Sultan setelah berjaya menawan ibu negeri Johor di Riau dan telah mengahwini puteri Sultan Abdul Jalil. Bagaimanapun, orang-orang Bugis telah muncul sebagai pemenang.[23] Raja Kechil telah kehilangan ramai penyokong bukan sahaja kerana membunuh tanpa sebab terhadap beberapa orang ketua Orang Laut bahkan juga kerana mengarahkan pembunuhan Sultan Abdul Jalil. Baginda kemudian telah menyerang orang-orang Bugis dan dalam beberapa petempuran di laut tidak berjaya menumpaskan orang-orang Bugis yang lebih handal dalam taktik peperangan maritim.[24]

            Walaupun orang-orang Bugis mendapat serangan Raja Kechil dari pangkalannya di Siak sekali-sekala, orang-orang Bugis telah berjaya mengekalkan kedudukan mereka sehingga Raja Kechil putus harapan untuk menawan semula kerajaannya di Riau.

PERJANJIAN
Bugis juga memainkan peranan yang penting dalam permuafakatan politik dengan Raja-raja melayu. Permuafakatan ini telah menbenarkan keturunan bendahara Tun Habib menjadi sultan Johor sehinggalah menjelang abad ke-20. Bagi menjamin penggantian tersebut berkekalan, satu perjanjian politik Melayu-Bugis telah diadakan.[25] Perjanjian ini bermula apabila Raja Sulaiman dan saudaranya Tengku Tengah bercadang untuk meminta pertolongan daripada Raja-raja Bugis yang ada pada masa  itu di Johor untuk membantu mereka  mengalahkan Raja Kecil yang  sedang memerintah. Mereka juga mencadangkan agar Tengku Tengah dikahwinkan  dengan salah seorang daripada Raja Bugis. Ayahanda mereka, Sultan Abdul Jalil turut bersetuju dengan rancangan yang dibuat.[26] Rancangan  ini telah bermula dengan jemputan yang dibuat oleh  Raja Sulaiman dan Tengku Tengah ke atas Raja-raja Bugis lima bersaudara ke satu jamuan di istana. Oleh itu, secara diam-diam Tengku Tengah dan Raja Sulaiman meminta Daeng Perani dan saudaranya agar  membantu mereka dalam usaha menebus kembali  kehormatan mereka di atas perbuatan Raja Kecil. Mereka amatlah bernasib baik kerana Daeng Perani menyatakan persetujuannya dan bersetuju untuk merampas  kembali kerajaan Johor dari tangan  Raja Kecil. Namun, Daeng Perani telah meletakkan syarat perjanjian di antara Raja Sulaiman dan orang-orang Bugis. Dalam perjanjian itu, sekiranya Raja-raja Bugis berjaya merampas  kembali kerajaan Johor dari  tangan  Raja Kecil,  salah  seorang  daripada  mereka  akan  dilantik  menjadi  Yamtuan Muda  (Yang Dipertua Muda)  atau  Raja Muda.
            Bagi mengukuhkan lagi   perjanjian yang dibuat antara  kedua-dua  pihak,  Tengku Tengah  dikahwinkan  dengan  Daeng Perani. [27] Hasilnya, kerajaan Johor telah berjaya dirampas dari tangan Raja Kecil. Hasil daripada keputusan masyarakat di antara  Raja Bugis dengan orang-orang besar Melayu, akhirnya  Raja-raja Bugis bersetuju untuk melantik dan menabalkan Raja Sulaiman menjadi  Yang Dipertua Besar atau Sultan di daerah takluknya dengan memakai gelaran  Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil (Sultan Johor yang ke-XII) iaitu pada 4 Oktober 1722. Mengikut perjanjiannya, dengan pilihan serta persetujuan bersama Raja-raja Bugis lima bersaudara, maka Daeng Marewah telah dilantik  menjadi  Yamtuan Muda  dengan  gelaran Sultan Alauddin Shah yang pertama. Namun, beliau lebih dikenali dengan gelaran Yamtuan Muda Riau dan Yamtuan Muda Riau Daeng Marewah atau gelaran bugisnya Kelana Jaya Putera. Pada Ketika itu, Sultan Sulaiman dan abangnya Tun Abbas  menjadi  Bendahara  Johor-Riau dengan  gelaran  Bendahara Seri Maharaja.[28]

YAMTUAN MUDA
            Selepas kekalahan Raja Kecil di tangan Sultan Sulaiman dengan bantuan Raja-raja Bugis lima bersaudara, Raja Sulaiman secara sah menjadi Sultan kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang serta daerah taklukannya pada 4 Oktober 1722[29]  oleh Raja-raja Bugis. Ekoran daripada itu maka terlaksanalah perjanjian untuk melantik  salah  seorang daripada Bugis lima bersaudara sebagai memegang jawatan sebagai Yang Dipertuan Muda. Yang Dipertuan Muda pertama adalah Daeng Marewah atau lebih dikenali sebagai Kelana Jaya Putera.
 Pada masa yang sama  berlakulah persetiaan dengan  bersumpah  bersaksikan al-Quran yang mengakui Bugis lima bersaudara akan tolong-menolong di antara Sultan Sulaiman dan Yamtuan Muda Daeng Marewah. Walaupun Raja Sulaiman yang  menduduki  takhta pemerintahan  kerajaan Johor-Riau, namun   kekuasaan  atau  kuasa pemerintahan yang mutlak sebenarnya terletak di tangan  Yamtuan Muda,  sehingga ada   sesetengah pihak yang menyatakan bahawa  Sultan  Sulaiman  hanyalah  sebagai  boneka, yang  dijadikan  sebagai  simbol pemerintahan  sahaja. Malah  boleh dikatakan  segala  keputusan  tentang  pentadbiran kerajaan Johor  terletak  di tangan  Yamtuan Muda Bugis bahkan Yang Dipertuan Muda juga  berperanan dalam  menguruskan  tentang  hal-hal  yang berkaitan  dengan  perdagangan  yang  menguntungkan  Bugis.

            Selain itu,  Yamtuan Muda  Bugis  juga  turut memainkan peranan  dalam  memperluaskan  kawasan  taklukan  Johor  dengan  membantu  raja  menduduki  takhta. Hal ini  dapat  dilihat  semasa  peristiwa kekuasaan Yamtuan Muda Daeng Marewah yang membantu  Raja  Kedah  yang tua[30]  dalam  peperangan  baginda  dengan adiknya  yang  ingin  merampas  takhta pemerintahan.  Yamtuan  Muda  Riau  juga  turut  berperanan  bagi  memastikan  kawasan  taklukan  Johor-Riau barada dalam keadaan yang aman dan tenteram.  Ekoran  daripada itulah Yamtuan  Muda  Riau sering  mengadakan  lawatan  ke daerah-daerah  jajahan kerajaan Johor-Riau. Hal ini  dapat  dibuktikan,  apabila  Yamtuan  Muda  Riau pertama telah mangkat  dalam  pelayaran  beliau semasa  melawat  daerah  taklukan  kerajaan  Johor-Riau  di timur  Sumatera.[31]


PANDANGAN TUHFAT AL-NAFIS
            Orang Bugis memainkan peranan yang penting dalam sistem politik di Johor. Hal ini dapat dibuktikan dan dapat dilihat melalui perlantikan Raja Sulaiman menjadi Sultan Johor  dengan  gelaran  Sultan  Sulaiman  Badrul  Alam  Syah  pada  tahun 1772. Dalam karya  Tuhfat al-Nafis,  menceritakan  dengan  lebih  jelas  tentang  perlantikan  Raja  atau  Sultan  Sulaiman  Badrul  Alam  Syah.  Karya  beliau  telah  menerangkan  mengenai salasilah  dan  keturunan  Sultan  Sulaiman,  iaitu  baginda  merupakan  anak  Sultan  Abdul  Jalil. Al-Sultan  Sulaiman  Badrul Al-Alam Syah,  ia sudah  menjadi  raja  Johor  dan seorang  anaknya  bernama  Raja  Abdul  Al-Rahman anak daripada  Encik  Nusantara (ibunya), iaitu dua lelaki dan empat  belas perempuan.[32]

            Demi membalas jasa Bugis, Bugis yang telah membantu baginda mengalahkan Raja Kecil. Sultan  Sulaiman  telah  bermuafakat  dengan  Bendahara  Seri Maharaja  Tun  Abbas  untuk  melantik  Daeng  Marewah dengan  memegang  jawatan  Yang Dipertuan  Muda dengan  gelaran  Yamtuan Muda  Riau 1 dan  Daeng Perani pula  dikahwinkan  dengan  adindanya  Sultan  Sulaiman iaitu  Tengku Tengah.  Daeng  Chelak  pula  dikahwinkan  dengan  Tengku  Mandak  yang  juga  merupakan  Sultan  Sulaiman.  Dalam  hal ini  dapatlah  dilihat  bahawa  orang Bugis  secara  tidak  langsung  telah  melibatkan  diri  mereka  ke  dalam  sistem  politik di  Negeri Johor.[33]  Kekuasaan  Bugis  di  Johor  berkekalan  kerana  sikap  bertolak  ansur  dan Raja-raja  Melayu  itu  sendiri  yang  ingin  membalas  jasa  Raja-raja Bugis  berkenaan.

            Peranan Bugis sekali lagi dapat dilihat di dalam sistem politik Johor sewaktu kemangkatan Sultan Ahmad pada tahun 1761. Dalam usaha untuk mencari pengganti, baginda iaitu Sultan Ahmad, di sini telah berlaku satu perbalahan di antara Raja-raja Melayu dengan orang Bugis. Dalam hal ini Raja Melayu tetap berkeras hendak melantik salah seorang saudara Marhum Raja di Baruh atau pun dikenali sebagai Sultan Abdul Jalil Muadzam Syah, contohnya Tengku Abdul Kadir, Temgku Othman dan Tengku Buang untuk dilantik menjadi Sultan Johor. Tetapi berlaku percanggahan pendapat di mana, pihak Bugis pula bercadang untuk memilih Raja Mahmud iaitu saudara Sultan Ahmad, Putera Sultan Abdul Jalil di Baruh untuk ditabalkan menjadi raja ataupun sultan, kekuasaan sultan secara tidak langsung akan berpihak kepada Bugis.[34]

            Di samping itu juga, berdasarkan kepada pandangan Tuhfat al-Nafis, dapat juga diketahui peranan orang-orang Bugis dalam sistem politik di Johor. Hal ini di mana Tuhfat al-Nafis menceritakan mengenai kemunculan Raja Kecil. Dikatakan  bahawa  Raja  Kecil  telah  mengalahkan  Sultan  Abdul  Jalil IV di Johor  dalam  satu  peperangan. Manakala, dalam  masa itu juga  Sultan Abdul  Jalil  IV  telah meminta  pertolongan  pahlawan-pahlawan  Bugis  untuk  mengambil  kembali  takhta kerajaan Johor.  Sebagai  balasanya,  baginda  berjanji  akan melantik  salah  seorang  daripada lima orang bugis bersaudara  menjadi Yamtuan  Muda Johor.  Hasrat Sultan  Abdul  Jalil IV  tidak  kesampaian,  namun usahanya diteruskan oleh anakandanya iaitu Raja Sulaiman dan baginda berjaya  merampas kembali  pusat pemerintahan Johor iaitu Riau dari  tangan  Raja  Kecil.  Pertolongan  daripada Daeng  Perani  dan Bugis di Selangor dan di Langat telah berjaya membantu  Raja  Sulaiman  menghalau  Raja  Kecil dari  Johor.[35]
Namun, perlantikan Raja Sulaiman  menjadi  Sultan Johor tidak  dapat diteruskan,  hal  ini  kerana  alat-alat  kebesaran  kerajaan Johor  berada di tangan  Raja Kecil yang  dilarikannya ke  Siak  selepas  mengalami  kekalahan.  Oleh hal yang demikian, Bugis telah bertindak ke Siak  untuk  merampas  kembali  alat-alat kebesaran Johor dari  tangan Raja Kecil. Akhirnya  kemenangan telah berpihak  kepada  Bugis  apabila  alat  kebesaran  tersebut  telah  diserahkan  oleh  Raja  Kecil,  setelah  diserang  oleh  pihak  Bugis.[36]

PERANAN DALAM PERKAHWINAN
            Jawatan Yamtuan Muda yang dipegang oleh Raja-raja Bugis sebenarnya telah memberi peluang kepada Bugis lima bersaudara ini membina pengaruh dan kekuatan mereka di Johor. Bagaimanapun, kita dapat lihat bahawa telah berlaku perkahwinan dalam kalangan raja-raja tempatan dan Raja-raja Bugis. Sesungguhnya ikatan perkahwinan ini telah menguatkan lagi pengaruh dan seterusnya peranan orang-orang Bugis dalam politik dan pentadbiran kerajaan Johor menjadi lebih penting. Kita lihat jalinan perkhawinan ini mula wujud semenjak kedatangan Bugis lima bersaudara ke Johor buat kali pertamanya atas jemputan Raja Kecil sebagai tetamu kehormat Johor.[37] Bagaimanapun Raja Sulaiman dan Saudaranya Tengku Tengah telah mengambil kesempatan ini dan mengadakan satu pakatan dengan Bugis lima bersaudara untuk membantu mereka dalam mengalahkan Raja Kecil dan juga turut berbincang untuk mengahwinkan Tengku Tengah dengan salah seorang daripada Bugis lima bersaudara.[38]

            Di sini jelas ikatan perkahwinan itu sebenarnya telah wujud sejak di peringkat awal kedatangan Bugis lima bersaudara ke Johor, selepas persetujuan dua belah pihak akhirnya Tengku Tengah pun dikahwinkan dengan Daeng Perani. Setelah pertabalan Raja Sulaiman sebagai Sultan atau Yang Dipertuan Besar Kerajaan Johor-Riau-Lingga selesai pada masa itu jugalah berlaku perkahwinan beramai-ramai di antara Raja-raja Bugis dengan Raja-raja Melayu tempatan.[39] Sebagai contohnya, Daeng Marewah iaitu Yamtuan Muda pertama dikahwinkan  dengan Tun Che’ Ayu (anak Temenggung Riau serta balu kepada Al-marhum Sultan Abdul Jalil iaitu ayahanda kepada Raja Sulaiman) tetapi dikatakan bahawa mereka belum bersama dengan  marhumnya kerana usianya pada masa itu masih kecil lagi. Begitu juga dengan Daeng Chelak yang juga dikahwinkan dengan Tengku Tipah dan lain-lain. Sejak daripada ikatan perkahwinan inilah, kekuatan dan pengaruh orang-orang Bugis di bahagian Barat Nusantara yang dahulunya di bawah kekuasaan kerajaan Selangor telah berpindah ke bawah kekuasaan Johor-Riau-Lingga.[40]

TRADISI JAWATAN YAMTUAN MUDA
            Daeng  Marewah  dijadikan  Yamtuan  Muda  (Yang Dipertua Muda)  yang  juga  dikenali  sebagai  Kelana  Jaya  Putera. Daeng  Marewah  diangkat  sebagai  Yamtuan Muda  bagi  membalas  jasa   beliau  menghalau  Raja  Kecil dari  kerajaan Riau dan seterusnya mengangkat  Raja Sulaiman  menjadi Sultan  yang bergelar  Sultan  Sulaiman  Badrul Alam Syah.[41] Di mana, dalam salasilah Melayu dan Bugis di katakan:

“Yamtuan Besar jadi seperti perempuan sahaja, jika diberinya makan maka baharu makan ia. Dan Yamtuan Muda jadi seperti laki-laki; dan jika datang satu-satu hal  atau apa-apa juga bicara melainkan apa kata Yamtuan Muda”.[42]

Berdasarkan teks di atas jelas menunjukkan kedudukan Sultan Sulaiman hanya sebagai boneka di bawah kuasa pemerintahan Bugis.
Selepas Daeng Marewa mangkat pada tahun 1728, dan digantikan dengan Daeng Celak (1728-45) dan lama-kelamaan puak-puak Bugis yang lain di Semenanjung telah diketepikan walaupun mereka membawa menentang puak Bugis yang berkuasa di Riau. Pada tahun 1742 Daeng Celak telah menyerang Perak, dan mengangkat Raja Muda menjadi sultan Muhammad Syah, manakala Sultan Muzaffar Syah lari ke Sayong. Menjelang tahun 1743, segala pengaruh Bugis di Riau, dan Selangor dianggap sebagai daerah jajahan di bawah keluarga Yamtuan Muda.[43]

            Setelah Raja Kechil meninggal di Siak pada tahun 1740 kerajaannya direbut oleh kedua-dua anaknya iaitu Raja Alam dan Raja Muhammad. Raja Alam merayu bantuan Bugis melalui perkahwinannya dengan Raja Khadijah iaitu Daeng Kemboja yang merupakan Yamtuan Muda III (1745-1777).[44] Perkahwinan antara puak begini menunjukkan bahawa pertelingkahan di rantau ini bukanlah kerana puak, tetapi kerana sebab lain seperti perebutan kuasa politik, ekonomi dan keselamatan diri.

Raja Ali yang menjadi Yamtuan Muda IV pada 1777. Pada tahun 1782, apabila Gabenor Belanda di Melaka mendengar ada sebuah kapal dagang Inggeris di Riau, beliau terus menahan kapal itu. Raja Ali membantah keras tetapi turut menuntut separuh daripada barangan itu. Raja Ali  telah menyerang Melaka apabila tuntutan beliau ditolak. Ketibaan Skuadron besar kapal Belanda telah menyebabkan Raja Haji mangkat dalam pertempuran itu.[45]
            Di Riau, anak Daeng Kemboja iaitu Raja Ali telah diangkat sebagai Yamtuan Muda V. semasa pemerintahan Raja Ali, satu perjanjian telah dibuat pada tahun 1784 oleh Sultan Mahmud Riau-Johor yang menyatakan rasa terima kasihnya kepada  Belanda kerana membebaskan dirinya daripada belenggu Bugis. Belanda menjadikan Riau-Johor sebagai negeri naungan Belanda, kecuali yang lahir di Riau sahaja, semua orang Bugis terpaksa keluar dan tidak diangkat sebagai Yamtuan Muda.[46]

            Kedudukan kaum Bugis (bukan sahaja Yamtuan Muda) di Riau dijamin oleh satu sumpah setia, dan persahabatan antara Sultan Sulaiman dan Yamtuan Muda. Sumpah setia Yamtuan Muda dihadapan Sultan berbunyi “Yakinlah Sultan Badrul Alam Syah, akulah yang Dipertuan Muda yang semak berduri di hadapanmu, aku cucikan”[47]

KESIMPULAN

            Dapatlah disimpulkan di sini bahawa dalam perbincangan di atas jelas bagaimana peristiwa kedatangan orang-orang Bugis lima bersaudara ke Johor itu sebenarnya didorong oleh dua faktor iaitu faktor penolak dari tempat mereka sendiri dan juga faktor penarik yang mendorong mereka untuk datang ke Johor. Oleh itu setelah berjaya membina pengaruh di Johor, maka orang-orang Bugis telah memainkan peranan yang amat penting dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan Johor-Riau-Lingga yang pada masa itu di katakan berada dalam kekuasaan mereka terutamanya Yamtuan Muda. Sehinggakan ada pendapat mengatakan bahawa zaman itu merupakan “zaman orang-orang Bugis”. Tetapi walaupun pada peringkat  pertamanya kehadiran orang-orang Bugis ini dapat diterima oleh penduduk tempatan, namun menyedari akan kekuasaan dan pengaruh mereka mulai samar ataupun berkurangan, maka penduduk  tempatan khususnya  para golongan pembesar sudah mulai menentang dan menginginkan  agar orang-orang Bugis disingkirkan di dalam pentadbiran kerajaan Johor-Riau-Lingga.  Kekalahan di tangan  pihak   Belanda  secara  langsung   telah menamatkan  pengaruh Bugis di Johor-Riau-Lingga. Secara keseluruhannya memang tidak dinafikan bahawa orang-orang Bugis memang memainkan peranan yang amat penting dalam sistem politik dan pentadbiran kerajaan Johor-Riau-Lingga.










[1] Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, P.J Macmillan Press Ltd, 1983,
   hlm.91
[2] Ibid., hlm.91
[3] Muhammad Yusof Hashim Ph.D, Kesultanan Melayu Melaka, Kajian Beberapa Aspek tentang Melaka
   pada Abad ke-15 dan Abad ke-18 dalam Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Maziza Sdn.Bhd., 1990,
   hlm.354
[4] Shaharom Husain, Sejarah Johor (Kaitannya dengan Negeri Melayu), Kuala Lumpur: Fajar Bakti
   Sdn.Bhd, 1995, hlm.29
[5] Dr. Mohd Raif B Abdul Karim, Malaysia Kita, Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN),
  1991, hlm.10
[6] Joginder Singh Jessy, Sejarah Tanah Melayu(1400-1959), Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,
   1978, hlm.65.
[7] Ibid., hlm.67.
[8] Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: Macmillan
   Publishers (M) Sdn. Bhd, 1983, hlm.91.
[9] Haji Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, hlm.106.
[10]Joginder Singh Jessy ,Sejarah Tanah Melayu (1400-1959), hlm.65.
[11] Haji Buyong Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, hlm.101.
[12] Barbara Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Macmillan Press Ltd, 1983, 
    hlm. 92.
[13] Peter Bellwood, Man’s Conquest of the Pacific: The Prehistory of  Southeast Asia and Oceania
    (Auckland, 1978), bab 5 dan 8
[14] Barbara Natson Andaya dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Penerbitan Macmillan Press Ltd.,
    1983, hlm.89
[15] Ismail Hussien A. Aziz Deraman dan Abd Rahman Al Ahmadi, Tamadun Melayu Jilid Satu, Kuala
    Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.191
[16] Barbara Watson Andaya, Leonard Y.Andaya Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur, Macmillan Publishers
    Sdn. Bhd, 1983. hlm 94.
[17] Tun Suzana Tun Hj Othman, Institut Bendahara: Permata Melayu Yang Hilang, Kuala Lumpur, Pustaka
    BSM Enterprise, 2002, hlm. 34.
[18] Barbara Watson Andaya dan Leonard Y.Andaya, Sejarah Malaysia, hlm. 94.

[19] Tun Suzana Tun Hj Othman, Institut Bendahara: Permata Melayu Yang Hilang, hlm. 35.
[20] Barbara Watson dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd, 1983,    
     hlm.93
[21] Dianne Lewis, The Dutch East India Company and Straits of Malacca 1700-1784, (tesis untuk
    Ph.D.A,N,U 1970), didapati dalam bentuk salinan offset, di Perpustakaan Universiti Malaya, hlm.133
[22] Muhammad Yusoff Hashim Ph.d, Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
    Pustaka, 1989, hlm.71
[23] Barbara Watson dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd, 1983,
    hlm. 94
[24] Ibid., hlm. 94-95
[25] Mohd. Akbal Bin Abdullah, Pensejarahan Johor-Riau abad ke-17 sehingga abad ke-19: Latar Belakang dan Peranannya, Penerbit Seminar Sejarah dan Budaya Johor, 2000, hlm. 7.
[26] Haji Buyung Adil, Sejarah Johor, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, hlm. 107.
[27] Ibid. hlm. 108.
[28] Ibid. hlm. 114.
[29] Ibid. hlm. 114.
[30] Ibid. hlm. 116.
[31] Ibid. hlm. 118.
[32] Lihat Virgina Matheson Hooker, Penterjemahan Ahmad Fauzi Basri, Tuhfat Al-Nafis, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hlm. 143-144.
[33] Ibid. hlm. 213-216.
[34] Ibid. hlm. 302-310.
[35] Ibid. hlm. 187-202.
[36] Ibid. hlm. 211-213.
[37] Ibid. hlm. 108.
[38] Ibid. hlm. 108.
[39] Ibid. hlm. 115.
[40] Ibid. hlm. 115.
[41] Dr. Mohd. Rais Abdul Karim, Malaysia Kita. Kuala Lumpur: Jabatan Pencetakan Negara, 1991, hlm. 182.
[42] Ibid., hlm.182
[43] Ibid., hlm.183
[44] Ibid., hlm.183
[45] Ibid., hlm.185
[46] Ibid., hlm.185
[47] Raja Ali Al-Haj Riau, Tuhfatu’l- Nafis, Singapura: 1965, hlm.62

1 comment:

  1. Alhamduillah.....adakah anak hasil perkawin tun ayu dengan daeng merewah adalah tok langgar.....pengasas kg serkam melaka

    ReplyDelete