nuffnang

Sunday, May 26, 2013

Analisakan perkembangan Komunis di China sebelum Perang Dunia Kedua

PENDAHULUAN
Komunis adalah sebuah gerakan politik yang memberikan tumpuan kepada hak yang sama rata kepada semua rakyat dalam semua bidang. Komunis mementingkan masyarakat tanpa kelas dan tanpa negara berdasarkan kepada pemilikan dan kawalan sama ke atas faktor pengeluaran dan harta. Sejarah komunisme adalah sangat panjang dan telah dimodenkan oleh Karl Marx pada tahun 1845 sehinggalah ke hari ini. Karl Marx menganjurkan komunisme sebagai peringkat akhir dalam masyarakat manusia, yang boleh dicapai melalui revolusi golongan proletariat. Karl Marx menafsirkan "Komunisme suci" dengan merujuk kepada masyarakat tanpa kelas, tanpa negara dan bebas penindasan di mana keputusan tentang pengeluaran dan dasar yang dibuat secara demokratik bermakna membenarkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan dari segi ekonomi, politik dan sosial.Ideologi komunisme mula diterapkan ketika meletusnya Revolusi Bolshevik di Rusia pada 7 November 1917 dan terus diamalkan sehingga tahun 1991. Sejak itu komunisme disebarkan sebagai sebuah ideologi ke negara lain

Parti Komunis China merupakan barisan pelopor kelas pekerja China dan juga merupakan barisan pelopor rakyat China dan bangsa China, teras pimpinan usaha sosialisme bercirikan China, mewakili permintaan tenaga produktif masa hadapan China untuk arus pembangunan, mewakili arah kemajuan budaya China dan mewakili kepentingan asas majoriti rakyat China.Cita-cita luhur dan matlamat muktamad Parti Komunis China ialah mewujudkan komunisme.

Parti Komunis China ditubuhkan pada Julai tahun 1921. Dari tahun 1921 hingga tahun 1949. Rakyat China yang diketuai oleh Parti Komunis China telah melancarkan perjuangan yang gigih bagi menggulingkan penguasaan dari imperialisme, feudalisme dan birokratisme. Setelah penubuhan Negara, Parti Komunis China memimpin rakyat pelbagai etnik seluruh negara china untuk memelihara kemerdekaan dan keselamatan Negara serta mewujudkan perubahan masyarakat China ke sosialisme dari demokratisme.

PENUBUHAN PARTI KOMUNIS CHINA
Selepas perang Candu, bangsa China semakin merosot dari suatu bangsa yang memiliki peradaban yang cemerlang sebelum kedatangan Barat dan menjadi bangsa yang tertindas serta dihina oleh Barat. Bahkan Jepun yang merupakan negara kecil di Asia mampu untuk menindas peradaban bangsa China ini. Kemudian, ketika Russia dilanda Revolusi Bolshevik 1917, kerajaan Rusia ditumbangkan dan diganti dengan Republik Soviet Union di bawah kekuasaan Parti Komunis Russia. Revolusi Bolsevik ini memiliki impak yang cukup besar bagi perkembangan Parti Komunis China. Golongan intelek di China berpendapat bahawa sebuah ideologi revolusi yang digunakan dalam masyarakat seperti masyarakat di Rusia kemungkinan juga terjadi di China.
            Oleh itu, kejayaan Revolusi Bolshevik pada Oktober 1917 memberi ransangan kepada pemimpin China untuk menggunakan fahaman komunis sebagai panduan untuk membina negara mereka. Revolusi Bolshevik ini merupakan revolusi yang dilakukan oleh pihak komunis Russia, di bawah pimpinan Lenin yang berjaya menggulingkan pemerintahan nasionalis di bawah pemerintahan Alexander Kerensky. Idea komunis juga mendukung prinsip sama rata dan menentang kapitalisme dan imperalisme.
            Pada tahun Julai 1921, Parti Komunis China (PKC) secara rasminya ditubuhkan  bertujuan untuk melancarkan revolusi komunis oleh pekerja sehingga terbentuknya sebuah negara komunis. Parti ini ditubuhkan oleh beberapa pemimpin fahaman komunis seperti Chen Tu-hsiu, Li Ta-chao dan Mao Tse-tung dengan bantuan daripada ejen comintern (Kongres Komunis Antarabangsa) iaitu Gregory Voitinsky.  Penubuhannya berkai rapat dengan Gerakan 4 Mei 1919 yang memberi laluan kepada pengaliran pelbagai ideologi Barat seperti anakisme, guild socialism, new village doctrine dan marxisme. Gerakan ini menampakkan bahawa golongan buruh turut menyertai pelajar memprotes Perjanjian Versailles. Oleh itu, apabila Perjanjian ini dianggap tidak rasional dan melampau terhadap kedaulatan China maka pelajar pun bangkit menentang perjanjian itu.
Sebelum meletusnya Gerakan 4 Mei 1919 pegerakan komunis tidak begitu ketara dan lebih merupakan individu. Mereka tidak bertindak dalam satu organisasi. Keadaan ini berlainan selepasnya malah gerakan ini dianggap sebagai pengasas tertubuhnya PKC ini. Tanggapan ini berdasarkan pemimpin-pemimpin yang memainkan peranan dalam gerakan ini seperti Chen Tu-hsiu dan Li Ta-chao. Hal ini demikian kerana peristiwa ini merupakan tindak balas yang dilakukan oleh golongan pelajar yang membantah perjanjian yang dilakukan antara tiga orang rakyat China yang dianggap pembelot bertanggungjawab mengadakan perjajian sulit dengan Jepun untuk menyerahkan Shantung. Tiga orang pembelot itu ialah Tsao Ju Lin, Chang Tsung-hsiang dan Lu Zongyu. Pada mulanya gerakan ini hanya 5000 orang pelajar yang mengadakan bantahan supaya Shantung dikembalikan kepada China. Akibatnya beberapa pemimpin pelajar telah ditangkap dan mengakibatkan pelajar ini terus mendesak supaya Presiden China pada ketika itu melepaskan pelajar berkenaan. Gerakan ini telah tersebar luas ke seluruh China. Mereka mengadakan aktiviti-aktiviti dengan menubuhkan persatuan-persatuan dan menerbitkan telegram antiperjanjian tersebut untuk menyelamatkan kedaulatan China. Hasilnya gerakan ini meresap ke seluruh lapisan penduduk China yang mempengaruhi golongan pekerja kilang, pekerja pejabat dan pekedai.
Antara kesan utama gerakan 4 Mei 1919 ialah berlakunya perkembangan ideologi Barat di China. Guild Socialism merupakan salah satu ideologi yang berasal dari Britain di bawa oleh golongan pertengahan pada abad ke-20 sebagai salah satu cara melakukan perubahan dalam masyarakat. Ideologi ini menekankan pembentukan autonomi industri dan menghapuskan pengeksploitasikan ke atas pekerja dan mengakui hak kebebasan pekerja. Pendukung ideologi ini ialah Li Qichao dan Zhang Dongsun menerusi penerbitan Liberation and Reform. Dalam perkembangan berkaitan, impak yang paling jelas sehingga ke hari ini ialah perkembangan ideologi marxisme. Ideologi ini di bawa oleh Li Ta-chao yang menggerakkan usaha-usaha untuk menyebarkan ideologi ini menerusi penulisan, penterjemahan dan mengadakan kelas-kelas untuk memahami Marxisme. Marxisme adalah ideologi politik dan ekonomi yang menekankan pentingnya perjuangan kelas dalam masyarakat. Hal ini didasarkan pada karya Karl Marx yang berusaha mengeluarkan masyarakat dari penindasan kapitalis ke masyarakat sosialis tanpa kelas melalui perjuangan pekerja atau buruh. Li Ta-chao menulis dalam artikelnya iaitu “Comparison Between the French and Russian Resolutions”, “Victory of Volshevism” dan menggunakan akhbar Morning News melalui ruangan khusus untuk memperkenalkan ideologi Marxisme iaitu Marxist Study. Artikel Li Ta-chao ini diterbitkan untuk disebarkan ke kolej-kolej di Peking dan penubuhan Persatuan Pembelajaran Marxisme bagi membantu belia dalam pembelajaran teori Marxisme ini.
Pada peringkat awal, penubuhan PKC dimulakan dengan menubuhkan sel-sel parti di Shanghai Ogos 1920, Beijing Oktober 1920 dan beberapa lagi sel komunis ditubuhkan sekitar tahun 1920-1921 seperti di Wuhan, Changsa, Canton, Paris dan Jepun oleh pelajar China yang berada di sana. Sel-sel parti komunis inilah yang berperanan dalam menyebarkan fahaman komunis dalam kalangan pekerja dan pelajar Cina.    Pada 23 Julai 1921, PKC telah mengadakan kongresnya yang pertama di Shanghai. Kongres ini telah mengambil keputusan untuk menubuhkan Biro Pusat PKC dan Chen Tu-hsiu dilantik sebagai setiausaha agung.
Pakatan Parti Kuomintang dan Parti Komunis China
Selepas penubuhan Parti Komunis China,parti ini bergerak menerusi penubuhan sel-sel atau cawangan-cawangan Komunis di Shanghai,Canton,Wuhan,Peking dan Changsa. Untuk memperkuatkan lagi pengaruh Komunis di China,satu kongres diadakan untuk menubuhkan organisasi parti tersebut.Kongres pertama PKC telah diadakan pada 23 Julai 1921 di Sekolah Swasta Perempuan di Shanghai.Namun begitu,mesyuarat sulit komunis ini telah diserbu oleh pihak polis dan memaksa mereka memindahkan pusat perbincangan ke Tasik Niehpu,Chekiang.
            Penggabungan di antara Parti Kuomintang dan Parti Komunis China ini berlaku atas desakan Comintern yang bermatlamatkan supaya usaha menghapuskan imperialisme Barat dan pengaruh golongan panglima perang. Penggabungan PKC dan KMT secara rasminya berlaku semasa Kongres Penyusunan Semula Organisasi KMT pada Januari 1924. Apabila ahli PKC menjadi ahli KMT secara atas nama,maka ahli Komunis bertindak pada skala yang berbeza.Apabila perkara tersebut berterusan,PKC muncul sebagai sebuah organisasi yang paling dinamik,paling tersusun sehinggakan apabila terdapatnya ura-ura untuk melakukan pemberontakan,mereka sudah bersedia. Keanggotaan PKC mencecah 10,000 orang ahli pada November 1925.Jumlah keahlian PKC bertambah tiga kali ganda pada 8 bulan yang berikutnya iaitu 30,000 pada Julai 1926 sebelum meningkat lagi kepada 58,000 ahli pada musim bunga tahun 1927.
            Namun begitu,apabila pengaruh PKC semakin meluas dalam KMT,maka bibit-bibit perpecahan tidak dapat dielakkan lagi.KMT terpecah kepada dua puak,iaitu puak kanan dan puak kiri.Puak Kanan tidak mempersetujui pakatan KMT dan PKC kerana mereka beranggapan bahawa ahli komunis dalam KMT tidak jujur dalam pakatan tersebut. Usaha tersebut walau bagaimanapun ditolak oleh Sun Yat Sen kerana Sun Yat Sen tidak menganggap perkara tersebut sebagai ancaman kepada KMT.Krisis ini berterusan sehingga kematian Sun Yat Sen pada 12 Mac 1925.Terdapat pertelagahan yang berlaku di antara Puak Kanan dan Puak Kiri yang nyata memecahbelahkan KMT ini.Pergeseran ini mencapai kemuncaknya melalui peristiwa pembunuhan Liao Zhongkai pada 20 Ogos 1925,salah seorang penyokong Puak Kiri dan sahabat baik PKC. Pada November 1925,The Western Hills Conference Clique telah dibentuk oleh golongan Kanan yang menentang tiga polisi dasar dan kerjasama KMT-PKC.Pada bulan Januari 1926,KMT telah mengadakan kongres kedua dan di dalam kongres tersebut telah diberi penegasan bahawa betapa perlunya kerjasama dengan Soviet Rusia dan mengulangi persetujuan bahawa komunis menyertai KMT dan bersama-sama menyempurnakan revolusi kebangsaan serta kempen untuk membantu pekerja dan petani.
Kemunculan Chiang Kai Shek
Ketika berlakunya perpecahan di dalam KMT,telah munculnya seorang pemimpin yang semakin meningkat pengaruhnya dalam bidang ketenteraan dan politik.Beliau adalah Chiang Kai Shek.Penglibatannya dalam politik memang tidak dapat disangkal lagi kehebatannya,kerana beliau telah menyertai Revolusi 1911 dan berjuang bersama-sama Sun Yat Sen.Perjuangan beliau bersama-sama Sun Yat Sen berterusan sehingga menjadi orang kanan kepada Sun Yat Sen.
            Selepas kematian Sun Yat Sen,kuasa KMT sebenarnya dibayangi oleh Borodin yang cuba menyeimbangkan kuasa antara Puak Kanan dan Puak Kiri.Secara umumnya,terdapat tiga tokoh yang mempunyai kuasa sebenar dalam KMT iaitu Borodin,Wang Ching Wei dan Chiang Kai Shek.Wang Ching Wei diberi amanat untuk memangku jawatan pengerusi KMT.Disebabkan Wang Ching Wei ini lebih memihak kepada Puak Kiri,perkara tersebut amat tidak disukai Chiang Kai Shek kerana beliau adalah pendokong kuat kepada Puak Kanan.
            Keadaan tersebut menjadi genting menjelang pertengahan Mac 1925 apabila kapal Chungshan yang dipimpin oleh Li Zhilong pergi ke Pelabuhan Whampoa dan dituduh merampas kuasa.Chiang Kai-Shek kemudiannya mengisytiharkan undang-undang darurat untuk mengepung kapal tersebut.Peristiwa tersebut menyebabkan penasihat Rusia bersama-sama ahli komunis telah ditahan.Pada 15 Mei 1926,Chiang Kai-Shek memanggil persidangan Jawatankuasa Eksekutif Pusat untuk mengesahkan tindakannya dan mengehadkan pengaruh komunis dalam KMT.Persidangan tersebut juga telah meletakkan beliau sebagai Komander untuk operasi Ekspedisi ke Utara.
Ekspedisi ke Utara dan Kesan Selepasnya
Ekspidisi ke Utara dilancarkan pada 9 Julai 1926.Ekspedisi ini mencapai kejayaan yang sangat cemerlang kerana tentera Chiang Kai Shek berjaya menewaskan tentera-tentera panglima perang Wu Pei-fu,Sun Chuan-fang,Chang Chung-chang dan Chang Tso-Lin.Setelah hampir tiga tahun dilancarkan,Ekspidisi ke Utara mencapai banyak kejayaan.Satu per satu panglima perang berjaya ditumbangkan dan kesan daripada kejayaaan ekspedisi tersebut,sebahagian kecil panglima perang mula mengakui kehebatan KMT.Walaubagaimanapun,kesan daripada gerakan ini memberi satu masalah baru kepada kerajaan Nasionalis iaitu mengembalikan semula keutuhan dan kesatuan KMT yang retak akibat masalah kepimpinan dan masalah kedua ialah masalah menangani kegiatan komunis.
            Dengan pengaruh yang dimiliki oleh Chian Kai-Shek dengan menguasai golongan tentera,maka beliau telah bertindak dengan menghapuskan ahli-ahli komunis dalam kawasan yang dikuasainya.Peristiwa White Terror di Shanghai pada April 1927 merupakan sejarah hitam bagi sejarah komunis.Chiang Kai-Shek juga mengeluarkan arahan kepada beberapa orang jeneralnya untuk menghapuskan gerakan komunis.Contohnya,di Canton,Jeneral Tang Yin-hua bertindak dengan mengeluarkan perisytiharan untuk menangkap semua pengikut komunis dan menekan kesatuan sekerja. Penghapusan golongan komunis dalam KMT sekaligus memberi tekanan kepada ahli komunis yang lain,sekaligus menyebabkan ahli komunis melancarkan gerakan untuk menumbangkan Chiang Kai-Shek.
PKC Era 1928 – 1942
 Selepas ekpedisi ke utara yang menyebab konflik antara PKC dengan KMT. Ramai ahli PKC yang ditangkap dan dijatuhkan hukuman bunuh. Ini dibuktikan dengan peristiwa serbuan di Kedutaan Rusia oleh pihak KMT yang berpusat di Peking. Pihak KMT turut merampas maklumat mengenai pergerakan kamunis di China termasuk daftar ahli nama PKC dan buku-buku mengenai mengenai komunis. Akibat sebuan ini, beberapa ahli ahli komunis telah ditangkap dan dihukum  bunuh. Antaranya ialah Li Ta-chao yang dijatuhkan hukuman bunuh kerana terlibat dalam pergerakan kamunis. Akan tetapi, PKC tidak lemah untuk mengalah dan kembali menyusun strategi dalam menguasai China dan cuba mempengaruhi rakyat China.
            Polisi Comintern merupakan salah satu strategi yang digunakan oleh pihak PKC untuk cuba menawan China. Polisi ini diasaskan oleh Joseph Stalin yang juga pemimpin kepada Soviet Rusia. Polisi ini adalah gabungan antara PKC dan KMT berhaluan kiri yang telah berpaling tadah kepada KMT. Stalin masih percaya bahawa gerakan komunis harus berpusat pada pakatan pihak komunis dengan golongan KMT kiri berpusat di Wuhan. Jeneral Chiang telah menindas dan membunuh ramai orang-orang komunis dan golongan yang menyokong komunis seperti yang dilakukan di Shanghai pada 12 April 1927. Idea Stalin ini telah dikritik oleh Leon Trosky yang mahukan pihak komunis berpecah daripada golongan KMT kiri dan mendirikan kerajaan Soviet. Pihak Comintern telah mengarahkan ahli-ahlinya untuk mendukung polisi ini di bandar-bandar utama China dengan mengadakan pelbagai pelbagai permogokan, sabotaj dan piket.
            Moa Tse-tung mengambil keputusan untuk tidak menyertai pihak Comintern dan mengambil keputusan untuk menjayakan idea perjuangan bersama petani di Hunan. Idea ini diambil berdasarkan laporan penyiasatan di Hunan yang diterbitkan pada Mac 1927. Pada 7 September 1927, satu kebangkitan petani telah diadakan di Hunan yang dikenali sebagai Kebangkitan Musim Menuai. Kebangkitan ini telah meletus di Jalan Keretapi Canton-Hankow. Namun begitu, kebangkitan Musim Menuai ini berjaya digagalkan oleh tentera Nasionalis dalam tempoh seminggu. Kegagalan Moa Tse-tung ini dikritik oleh Ch’u Ch’iu-pai yang menyokong polisi Comintern. Beliau menyatakan bahawa kebangkitan petani yang tulen tanpa pimpinan dan pertolongan pihak pekerja tidak akan mencapai kejayaan.
            Usaha untuk merialisasikan polisi ini telah membuka jalan kepada Besso Lominadze dihantar ke China untuk membantu pihak komunis dalam usaha kebangkitan mendapatkan China. Pihak komunis berpakat dengan pihak KMT kiri di bawah pimpinan Ho Lung dan Yeh T’ing dalam merancang dalam rampasan kuasa di Nanchang, Kiangsi pada 1 Ogos 1927. Pakatan ini berjaya dalam usaha merampas kuasa di Nanchang tetapi ianya tidak lama kerana pihak Tentera Nasionalis  telah bertindak balasa dengan mengepung  bandar tersebut. Pada 5 Ogos 1927, pihak komunis berjaya melepaskan diri daripada kepungan tentera Nasionalis dan melarikan diri ke Kwangtung, Kiangsi dan Fukien. Apa yang dapat daripada kegagalan kebangkitan itu telah menampakkan kegagalan polisi yang telah menyebabkan kepimpinan PKC berubah .
            Pada 7 Ogos 1927, mesyuarat khas pemimpin PKC telah diadakan di Hankow untuk membincangkan kelemahan strategi yang digunakan oleh komunis dan menyusun semula gerakan revolusi untuk menawan China. Pihak pimpinan PKC telah memecat Chen Tu-hsiu yang juga setausaha agung PKC kerana kesilapan yang dilakukan semasa rampasan kuasa di Nanchang. Manakala tempat Chen Tu-hsiu telah digantikan dengan Ch’u Ch’iu-pai yang merupakan anak didik Stalin. Kepimpinan baru ini menerima sepenuhnya idea polisi  Moscow dan mereka telah bersedia untuk melancarkan kebangkita bersenjata untuk mendapatkan China.
           
Pada Julai 1928, PKC telah mengadakan Kongress Keenam di Moscow dengan cuba untuk menghapuskan pengaruh Trotskyite dan melancarkan beberapa seruan kepada ahi PKC. Pertama ialah menggulingkan kerajaan KMT dan memusnahkan kuasa ketenteraannya. Kedua menubuhkan kerajaan Soviet di China. Ketiga revolusi tanah dan merampas tanah milik tuan tanah dan keempat menyatukan China dengan menyingkirkan imperialis. Dalam kongress itu juga telah melantik Hsiang Chung-fa dan Li Li-san sebagai ketua baru PKC dan setiausaha agong dan pengarah propaganda. Mereka diamanahkan untuk melancarkan gerakan gerakan kebengkitan komunis, menubuhkan soviet dan menyelaras gerakan di luar bandar dengan perjuangan kelas pekerja di pelbagai bandar di China.
            Perkembangan lain yang dilakukan oleh komunis untuk menguasai China adalah menubuhkan Soviet. Soviet Kiangsi telah dibina pada Oktober 1927, dianggap sebagai pengkalan revolusi luar bandar yang pertama. Pemimpin komunis Chu Teh dan Ch’en Yi bergabung dengan Mao Tze Tung membentuk Tentera Merah Keempat yang dipimpin oleh Chu Teh. Selain itu, Soviet Kwangsi ini turut disertai oleh tentera KMT berhaluan kiri yang dipimpin oleh P’eng Te-huai. Gabungan daripada kesemua tentera ini telah membentuk satu pasukan yang kuat dan mampu untuk menyerang tentera kerajaan Nasionalis.  Mereka kemudiaannya pergi ke Juichin pada Julai 1928.  Di Juachin, mereka telah membina formula kemengangan revolusi komunis dengan bekerjasama dengan pihak petani dalam bidang ekonomi dan politik. Selain itu, mereka telah mempelajari teknik perang gerila yang sesuai digunakan untuk peperangan menentang tentera kerajaan. Selain itu, Universiti Merah turut ditubuhkan untuk melatih tentera merah dengan pelbagai ilmu.
            Perkembangan lain yang oleh pihak PKC dalam menguasai China adalah melalui perang saraf terhadap KMT. Perang saraf ini digunakan oleh PKC adalah untuk mempengaruhi pemikiran penyokong KMT agar menamatkan perang saudara antara mereka. Tujuan perang ini adalah untuk perpaduan dan kepentingan negara. Pada ketika itu, China berdepan dengan masalah serangan daripada Jepun. Oleh itu, PKC meminta gencatan senjata dengan KMT tetapi kurang mendapat perhatian oleh Jeneral Chiang Kai Sheik. Pada 1 Ogos 1935, Jawatankuasa Pusat PKC mengeluarkan Deklarasi Ogos Pertama yang merayu semua orang China menentang Jepun bertujuan menyelamatkan negara. PKC menyeru kepada semua rakyat, kerajaan dan tentera untuk bersatu dalam membina pertahanan untuk menentang serangan daripada pencerobohan Jepun.
            Pihak komunis telah bercadang untuk menubuhkan United Anti-Japanese Armed Force. Pihak komunis memberi syarat dimana pihak kerajaan menghentikan perang saudara keatas wilayah-wilayah komunis dan bergabung untuk mempertahankan negara. Pada 9 Disember 1935, pihak komunis mengetuai demonstasi pelajar universiti dan sekolah di Peking menuntut kerajaan KMT menamatkan perang saudara. Akan tetapi, saranan dan seruan yang dilakukan oleh PKC tidak diambil kisah oleh Jeneral Chiang Kai Shek sebaliknya beliau lebih mementingkan musuh dalaman daripada musuh luaran. Oleh itu, apa yang dapat diperhatikan, saranan ini berjaya untuk mempengaruhi pelbagai lapisan rakyat China dan kelas masyarakat untuk menyokong usaha gabungan tersebut.     
Kempen-kempen perang saraf ini Berjaya untuk melemahkan semangat dan mempengaruhi Tentera Barat Laut pimpinan Chang Hsueh-liang dan Tentera Barat Daya pimpinan Yang Hu-ch’eng untuk tidak menyokong kepada perang saudara. Selepas peristiwa  di Sian pada 12 Disember 1936 iaitu penculikkan Jeneral Chiang Kai Shekoleh Sun Min Chu, Jeneral Chiang Kai Shek telah Berjaya di pengaruhi untuk bergabung dengan PKC. Oleh itu, daripada peristiwa itu maka lahir gabungan tentera yang dikenali sebagai Barisan Anti-Jepun.
Selain itu, perkembangan lain ialahgerakanluarbandar. Gerakan ini diasaskan oleh Mao Tse Tung. Gerakan ini melibatkan kawasan pedalaman Kwangsi dan Hunan.Permulaan kepada gerakan ini ialah ketidak sehaluan Moa Tse Tung dengan pemimpin ortodok yang memilih untuk menyebarkan gerakan kepada penduduk bandar.Moa Tze Tung berpendapat bahawa warga petani menjadi tunjang kepada revolusi komunis ini. Ini kerana penduduk luar bandar merangkumi 88 peratus daripada penduduk China. Manakala penduduk bandar hanya sekitar 22 peratus sahaja.Oleh itu, sokongan terkuat adalah daripada penduduk luar bandar dan kelemahan mereka hanyalah tidak tahu membaca dan menulis. Oleh itu, petani-petani ini diberi peluang belajar menulis dan membaca untuk meningkatkan kemahiran mereka. Selainitu, pihak komunis telah mengagihkan lebihan  tanah untuk mendapatkan sokongan mereka. Dalam pada itu juga, mereka menubuhkan Persatuan Petani yang bertujuan untuk menjaga hal ehwal petani. Secara tidak langsung, seramai tiga juta orang telah menyertai perjuangan PKC.
           
            Sekitar tahun 1930 hingga 1934, keselamatan Soviet ini adalah tidak menentu. Ini kerana Jeneral Chiang Kai-shek telah melancarkan lima gerakan pengepungan dan penghapusan keatas kamunis di Kiangsi. Empat kempen awal berlangsung berlangsung dari 19 disember hingga 29 april 1933 telah berjaya dipatahkan oleh pihak komunis. Kegagalan kempen ini telah memberi keuntungan kepada pihak komunis untuk merampas beribu-ribu senjata daripada tentera KMT dan menahan beributentera KMT. Pihak KMT dengan telah melakukan kempen kelima yang membawa kepada kejayaan mereka.Dengan bantuan daripada penasihat tentera Jerman iaitu Jeneral Hans Von Seeckt yang telah membawa seramai kira-kira 700 000 tentera untuk mengepung kedudukan komunis. Disebabkan itu, kubu komunis akhirnya berjaya ditawan oleh pihak KMT. Akhirnya Mao Tse-tung mengambil keputusan pada 15 Oktober 1934 untukberundur dan mencari pengkalan tentera merah yang baru di bahagianbarat laut.
            Menurut anggaran Ibu Pejabat Pusat Tentera Merah seramai kira-kira 75 000 – 81 000 menyertai perjalanan jauh ke barat laut. Tentera komunis ini terpaksa merempuh kepungan tentera KMT dan menuju ke barat. Kejayaan merempuh ini bukan bermakna mereka berjaya menghapuskan pihak musuh,tetapi masih banyak lagi halangan yang perlu mereka tempuhi. Kebanyakan tentera komunis hany aberjalan kaki dan terpaksa berhadapan dengan halangan geografi seperti gunung yang sejuk, sungai yang besar, tanah jerlus serta kawasan gurun. Keadaan bertambah sukar setelah mendapat tentangan yang hebat dari KMT, panglima perang dan penduduk minoriti.
            Pada Januari 1935 tentera komunis sampai di utara Kweichow. Persidangan PKC diadakan di Tsunyi. Persidangan ini penting dalam sejarah komunis China kerana buat pertama kalinya Moe Tse Tung diiktiraf sebagai pemimpin utama komunis apabila dilantik sebagai presiden PKC. Mao Tse-tung kemudiannya meneruskan perjalanan ke barat laut dan sampai ke Yanan, utara Shansi dengan tentera yang hanya tinggal kira-kira 7 000 ke 8 000 pada Oktober 1935. Ramai ahli rombongan itu  telah terkorban akibat pelbagai sebab. Antara sebabnya ialahkelaparan, kebuluran dan ancaman cuaca berbeza serta serangan pihak musuh merupakan ancaman utama dalam perjalanan tersebut. Perjalanan sejauh kira-kira 10 000 km itu juga menghadapi ancaman serangan hendap yang bukan sahaja datang daripada KMT tepai  juga dari pihak panglima perang dan puak-puak minoriti yang menceroboh.
Di bandar Yanan dan Shansi Moe Tse-tung dikatakan bebas daripada arahan Comintern dan mula mengatur strategi komunis komunis berdasarkan idea beliau iaitu bekerjasama dengan kumpulan petani. Beliau menyangkal langkah untuk bersekutu bengan bojuis revolusioneri kerana jumlah ploleterian masih lagi kecil di China. Baginya petani mampu bangkit dan mengadakan revolusi. Oleh yang demikian matlamatnya adalah untuk membangunkan golongan petani.
Namun demikian,jika dilihat sejarah perkembangan, PKC lebih memberi kesan kepada golongan tani. Walaupun pada awalnya kelihatan tidak berkesan, namun kejayaan PKC menggulingkan KMT pada 1949 membuktikkan kebenarannya. Golongan ini terbahagi kepada dua peringkat. Peringkat pertama ialah pada 1922-27 yang merupakan kaum pekerja di bandar (ploletariat) dan  1927-1937 yang merupakan tahap penting. Dalam jangka waktu tersebut PKC berusaha meletakkan kaum tani di barisan depan dalam perjuangan parti tersebut.
Moe Tse-tung merupakan salah seorang pemimpin komunis yang telah mencipta formula kemenangan komunis dengan berusaha untuk kerjasama dengan golongan petani. Kerjasama ini menunjukkan bahawa fahaman komunis tulen iaitu menggerakkan golongan proletariat untuk mengadakan revolusi gagal difahami penduduk China. Penduduk China masih mempunyai ideologi komunis iaitu pembebasan China dari imperialisme Barat dan tekanan daripada golongan kaya terutama tuan tanah. Oleh yang demikian, PKC menggunakan slogan nasionalisme untuk mendapat sokongan penduduk tempatan.
Pakatan komunis dan KMT dalam Barisan Bersatu sejak awal lagi mengalami keretakan. Kedua-dua pihak mempunyai perancangan memperteguh kedudukan masing-masing. Pada Mac 1938, KMT mengadakan Kongres Kebangsaan di Wuchang. Tujuan kogres tersebut diadakan adalah untuk menyekat peperangan dan pembinaan semula kebangsaan dan berada di bawah pimpinan KMT. Pihak komunis telah mempersiapkan 30,000 orang tentera merah di susun  menjadi Tentera Kelapan di bawah pimpinann Chu Teh dan Peng Te-huai. Tentera ini dihantar untuk menentang Jepun di  utara China. Sementara itu Tentera Keempat di Selatan Sungai Yangtze.
Namun demikian,kelebihan ini dipandang negatif oleh KMT bukanlah sebagai kelebihan menentang Jepun. Mereka menganggap sebagai ancaman kepada KMT. Kemuncak krisis antara PKCdan Barisan Bersatu apabila Tentera Keempat meluaskan pengaruhnya kebahagian hilir sungai Yangtze. Tindakan ini melanggar arahan Chiang Kai- Shek untuk mara ke utara. Pada 17 Januari 1941, kerajaan Nasionalis mengharamkan Tentera keempat dan menahan pemimpinnya. Walaubagaimanapun PKC berkeras membantah dengan menghidupkan kembali Tentera Keempat dengan membahagikannya kepada tujuh divisyen. Pertelagahan antara kedua-dua pihak ini berlarutan sehingga selepas perang.
PENUTUP
Natijahnya, dapat dikatakan bahawa perjuangan yang dibawah oleh Parti Komunis China ini mendapat tentangan dari pihak kerjaan dan pelbagai pihak. Parti komunis china juga telah bekerjasama dengan komintang namun Pada awal tahun 1927, kerjasama Kuomintang dengan Parti Komunis Cina akhirnya berlaku perpecahan di dalam barisan pemberontakan. Parti Komunis Cina dan sayap kiri Kuomintang telah memutuskan untuk memindahkan pusat kerajaan Nasionalis dari Guangzhou ke Wuhan. Sebaliknya, Chiang yang Ekspedisi Utaranya yang menubuhkan sebuah kerajaan anti-komunis di Nanjing padabulan April 1927.
Tokoh-tokoh yang  terlibat dalam komunis cina ini seperti Chen Tu-shiu, Li Ta-chaodan Mao tse-tung serta yang lian-lain banyak mempengaruhi pergolakan parti di negara China. Perjuangan Komunis China telah mengubah politik Negara tersebut walaupun separuh perjuangannya yang dilakukan terhalang dan tidak mencapai matlamat.  Walaubagaimanapun, kesan yang dibawah oleh parti komunis china ini telah dirasai sehinggasekarang.
Kini pertubuhan pusat Parti Komunis China meliputi kongres rakyat kebangsaan, jawatankuasa pusat, biro politik jawatankuasa pusat, jawatankuasa tetap biro politik jawatankuasa pusat, secretariat jawatankuasa pusat, suruhanjaya ketenteraan pusat dan suruhanjaya pemereksaan disiplin pusat dari Parti Komunis China. Kongres Kebangsaan Parti Komunis diadakan 5 tahun sekali. Dalam tempoh kongres kebangsaannya, jawatankuasa pusat merupakan badan pimpinan tertinggi Parti Komunis China.

No comments:

Post a Comment