nuffnang

Sunday, May 26, 2013

PERJUANGAN UMAT ISLAM PATANI TAHUN 1900-1954

Patani merupakan antara negeri yang paling awal menerima agama Islam iaitu sekitar abad ke-10 dan ke-11 Masihi. Namun, pada ketika itu, penyebaran Islam hanya berlaku dalam kalangan rakyat jelata sahaja. Pada abad ke-15 Masihi pula barulah Islam diterima oleh pemerintah Patani. Hal ini telah dipersetujui oleh D’ Eredia, seorang pelawat Portugis yang menyatakan Patani telah menerima Islam lebih awal daripada Melaka. Manakala, pada tahun 1457, pemerintah Patani iaitu Phya Tu Nakpa telah memeluk Islam dan menukar namanya sebagai Sultan Ismail Syah. 
Permulaan krisis umat Islam yang berlaku di Patani adalah bermula apabila raja-raja Melayu Patani gagal dalam mempertahankan kuasa mereka. Pada 10 Mac 1909, termetrainya perjanjian Bangkok yang menyebabkan Patani berada di bawah kekuasaan Siam. Kesan yang dapat dilihat hasil daripada perjanjian Bangkok 1909 telah menyebabkan wujud siri penentangan oleh golongan umat Islam Patani. Terdapat dua golongan utama yang menentang iaitu golongan raja dan kerabatnya serta golongan alim ulama.
Secara kasarnya, golongan raja dan kerabat diraja melakukan penentangan kerana semua jawatan raja-raja Melayu telah dihapuskan sama sekali dalam pentadbiran di Patani.  Hal ini dapat dilihat ke atas Tengku Abdul Kadir yang telah tidak berpuas hati dengan kekuasaannya yang diganggu oleh Pesuruhjaya Siam dan para pegawainya dalam aspek pemerintahan di Patani. Pada awalnya, Tengku Abdul Kadir cuba untuk menyelesaikannya dengan cara baik. Namun akhirnya, beliau tidak berpuas hati dengan layanan British terhadap rayuannya dalam meminta bantuan British tentang masalah tersebut menyebabkan beliau menghantar surat amaran kepada Sweettenham untuk menentang Siam dengan meminta bantuan negara Eropah lain. Hal ini telah menyebabkan beliau ditangkap bersama rakan seperjuangannya. Lalu tercetusnya pemberontakan besar rakyat Patani yang dikenali sebagai Pemberontakan Namsai 1922.
Manakala penentangan oleh golongan alim ulama pula berlaku apabila Siam telah mengatur langkah untuk mengasimilasikan orang Melayu Patani mengikut cara dan budaya Siam dengan mengenakan Akta Pendidikan Rendah 1921 secara paksa. Akta tersebut telah memaksa semua pelajar Muslim Melayu menghadiri sekolah rendah anjuran Thai yang bertujuan untuk menyebarkan penggunaan bahasa Thai. Kesannya, rakyat Patani telah melakukan pemberontakan pada tahun 1922 dan 1923. Tujuan pemberontakan tersebut adalah untuk mempertahankan dan mengekalkan budaya dan identity mereka agar tidak terhapus. Hal ini dapat dilihat ke atas Haji Sulong yang telah memperjuangkan hak-hak orang Melayu Islam Patani  dengan memperjuangkan “tuntutan tujuh perkara”. Hasilnya, belaiu telah dituduh sebagai penderhaka negara dan ditangkap oleh kerajaan kerana dipercayai terlibat dalam rancangan memisahkan wilayah-wilayah Selatan.

 Pemberontakan telah membawa kepada penubuhan Gabungan Melayu Patani Raya (GEMPAR) pada Mac 1948. GEMPAR telah ditubuhkan oleh para pejuang iaitu Tengku Mahmod Mahyideen, Haji Sulung dan Tengku Abdul Jalal. Penubuhan ini adalah bertujuan untuk member tekanan kepada kerajaan Siam dan membebaskan Patani dari kerajaan Siam itu sendiri. Terdapat tiga matlamat penubuhan iaitu menyatukan keempat-empat wilayah iaitu Patani, Yala, Setul dan Narathiwat sebagai negara Islam, melaksanakan pemerintahan dalam negeri dengan menggunakan cirri kemelayuan, adat resam Melayu dan agama Islam serta meninggikan taraf Melayu. Namun, secara keseluruhannya perjuangan pejuang-pejuang Patani adalah gagal. Mereka tidak dapat mempertahankan identity mereka, namun usaha-usaha tersebut patut dipuji kerana semangat mereka dalam mempertahankan adat serta agama Islam itu sendiri dari dipermainkan sesuaka hati oleh penjajah

1 comment: