nuffnang

Sunday, May 26, 2013

Bandingkan politik dan sosio-ekonomi China di bawah pentabbiran Mao Tse-dung dan Deng Xio Peng

PENDAHULUAN
Negara China merupakan salah satu negara yang berada di dalam lingkungan kawasan Asia Timur. Sejarah negara ini sering dibincangkan di peringkat antarabangsa. Negara China telah mengalami beberapa corak pentadbiran seperti pemerintahan bercorak dinasti iaitu kekuasaan berada di tangan Maharaja China yang memerintah mengikut dinasti, kewujudan sistem Republik China dan juga kemunculan Republik  Rakyat China yang kekal sehingga ke hari ini.
            Dinasti Shang merupakan dinasti pertama yang memerintah negara China iaitu bermula dari tahun 1570 S.M sehingga 1045 S.M. Memang tidak dapat dinafikan lagi, kemunculan Dinasti ini merupakan permulaan kepada kemunculan dinasti- dinasti yang lain. Namun begitu, kepincangan yang berlaku sewaktu pemerintahan Maharaja China dan juga berlakunya pelbagai masalah dalam kehidupan masyarakat seperti masalah bencana alam serta kebuluran telah mendorong berlakunya penentangan daripada golongan masyarakat China. Antara contoh penentangan yang telah berlaku pada waktu ini ialah munculnya Revolusi 1911 yang bermatlamat  menggulingkan Dinasti Manchu. Revolusi 1911 ini diilhamkan oleh tokoh terkenal China iaitu Dr Sut Yat Sen. Hasil daripada Revolusi 1911 ini sebenarnya telah menghancurkan sistem Kemaharajaan di China dan digantikan dengan corak pentadbiran yang baru. Corak pentadbiran yang baru ini dapat dilihat apabila wujudnya sistem Republik China yang dibentuk pada tahun 1912 sehingga 1949.
            Namun begitu, disebabkan oleh pelbagai masalah sewaktu pengimplementasian sistem Republik China di bawah pengawalan Parti Kuomintang (KMT) ini, telah membawa kepada peralihan bentuk pentadbiran yang baru iaitu Republik Rakyat China. Salah satu peristiwa yang telah menerbitkan bibit- bibit awal peralihan kuasa kepada pihak komunis ini ialah pihak KMT telah menyerah kalah kepada pihak komunis di Peking pada Januari 1949.  Secara rasminya selepas KMT menyerah kalah, pihak komunis telah membentuk Republik Rakyat China yang berpusat di Beijing pada 1 Oktober 1949. Pada era Republik Rakyat China inilah telah muncul dua kuasa yang dominan dalam mencorak pentadbiran negara China. Kedua- dua tokoh yang dimaksudkan ini ialah Mao Tze Tung dan Deng Xiaopeng yang merupakan pencorak kepada sistem politik, ekonomi dan sosial negara China berlandaskan idea dan falsafah mereka yang tersendiri. Oleh hal yang demikian, kumpulan kami akan melakukan analisis untuk mengkaji perbandingan politik dan sosio-ekonomi China di bawah pentadbiran Mao Tze Tung dan juga Deng Xiaopeng dengan lebih terperinci pada bahagian yang seterusnya.
           
LATAR BELAKANG MAO TZE TUNG DAN DENG XIAOPENG
LATAR BELAKANG MAO TZE TUNG
Mao Tse-tung dilahirkan pada 26 Disember 1893 di Shao-shan di Negeri Hunan, China. Tse bermaksud bersinar dan Tung bermaksud timur. Jadi namanya bermaksud "bersinar di timur". Beliau dilahirkan daripada keluarga petani miskin. Sejak kecil Mao harus bekerja keras dan hidup dalam keadaan serba kekurangan. Selepas beberapa tahun keadaan ekonomi keluarganya semakin meningkat sehingga Mao dapat hidup lebih baik. Ketika beliau berusia 10 tahun ayahnya sudah menjadi seorang petani menengah dan memperolehi pendapatan yang agak tinggi dengan berniaga secara kecil-kecilan.

Ketika kecil Mao dihantar untuk belajar di sekolah tradisional. Pendidikannya sewaktu kecil juga merangkumi ajaran-ajaran Klasik Konfusianisme. Pada usianya 13 tahun, beliau didesak supaya berhenti sekolah dan disuruh bekerja di ladang oleh bapanya. Mao memberontak dan bertekad ingin menamatkan pendidikannya. Hal ini telah menyebabkan Mao nekad keluar dari rumah dan meneruskan pengajianya di tempat lain. Pada tahun 1905, Mao mengikuti peperiksaan awam yang ketika itu sudah mula membuang fahaman Confucianisme dan digantikan oleh pendidikan cara Barat.

 Pada tahun 1911, Usia Mao sudah menjangkau 19 tahun dan ketika beliau masih lagi belajar, revolusi China telah dilancarkan dan telah menghancurkan Dinasti Ming. Hanya dalam masa yang singkat pemerintahan Ming dapat ditumbangkan dan China menjadi sebuah negara republik. Tetapi sayang pemimpin-pemimpin revolusi tidak mampu mendirikan suatu pemerintahan kukuh dan stabil, dan berlakunya perang saudara dalam waktu yang lama, sehingga tahun 1949.

Pada bulan Jun 1918, Mao telah menamatkan pengajiannya di Akademi Latihan Guru dan bekerja sebagai pustakawan dan kemudian sebagai guru di Peking. Pada 4 Mei 1919 berlakunya satu demonstrasi jalanan terbesar di Peking. seterusnya Mao terlibat dengan aktif dalam kumpulan mahasiswa militan yang berasaskan ketenteraan. Pada usia 27 tahun, Mao telah menjadi seorang komunis yang berkuasa dalam Parti Komunis China (PKC) setelah memimpin Long March sepanjang 10000 km pada bulan Oktober 1934.

LATAR BELAKANG DENG XIAOPENG
Deng Xiaopeng pula dilahirkan pada 22 Ogos 1904 di sebuah perkampungan bernama yang terletak di sebuah kampung yang bernama Paifan yang terletak di daerah Sinchuan. Jika diukur dengan piawaian orang komunis, keluarga Deng boleh dianggap sebagai ‘kelas penindas’ kerana ahli keluarganya terkenal dengan berkhidmat sebagai pegawai kerajaan untuk beberapa generasi. Deng Xiaoping merupakan anak sulung di dalam keluarganya dan beliau dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh kedua ibu-bapanya. Hal ini kerana ibu bapanya yakin bahawa suatu hari nanti beliau akan menjadi pewaris keluarganya. Deng Xiaopeng telah mengambil alih pentadbiran secara rasmi selepas kematian Mao Tze Tung pada tahun 1976 sehingga 1997.

PENGLIBATAN AWAL POLITIK DENG XIAOPING
Ketenteraan
Ketika beliau berumur 16 tahun, ayahnya telah menghantar beliau ke Perancis. Bapanya telah membuat keputusan terhadap penghijrahan Deng ke luar negeri. Tindakan Deng Wenming ini merefleksikan sikap sebilangan rakyat China yang inginkan generasi anak mereka menimba ilmu moden orang Barat demi memajukan tanah air. Pengalaman merantau ini cukup penting bagi Deng kerana beliau sekurang-kurangnya mempunyai satu imej ringkas terhadap kapitalis yang sebenar sebelum menganuti fahaman komunis. Ini mungkin salah satu cara yang membezakan corak pemikiran Deng dengan golongan yang tidak pernah ke luar negeri. Namun, Deng tidak dapat menghabiskan pelajarannya di sana.
Menyertai Pemuda Parti Komunis China
Beliau telah menyertai pemuda PKC dengan aktif sehingga pihak polis Perancis mengawasinya. Bagaimanapun, sebelum pihak polis menahannya beliau telah meninggalkan negara itu dan bertolak ke Soviet Union. PKC telah memandang berat terhadap orang muda ini dan telah menghantarnya untuk mendalami komunis. Akan tetapi Deng juga tidak sempat melanjutkan pelajarannya ke Soviet Union. Ketika itu Deng telah dipanggil balik oleh partinya untuk meneruskan perjuangan partinya. Kualiti kepimpinan Deng sudah mula ketara ketika beliau masih belajar dan bekerja di Perancis. Beliau bergaul dengan Zhou Enlai dan rakan-rakannya yang lain dan kemudian menjadi tokoh komunis China. Setelah Zhou meninggalkan Paris, Deng menjadi pemimpin cabang Parti Komunis China di sana. Beliau menganggotai Parti Komunis China sewaktu berumur lebih 20 tahun. Deng kemudian pergi ke Rusia sebelum kembali ke China. Di sana ia tetap aktif dalam PKC. Ia bahkan menjadi seorang komisar komunis yang amat muda dan giat dalam aktiviti untuk menggulingkan pemerintah KMT. Ketika komunis dikepung, beliau mengikuti Tentera Merah dan melakukan long march.

POLITIK  CHINA DI BAWAH PENTADBIRAN MAO TSE TUNG
PENTADBIRAN
Slogan Kebebasan Rakyat China

Pada tahun 1956 Mao mengumumkan Undang-undang Seratus Bunga Berkembang, yang diambil dari ungkapan "biarkan seratus bunga mekar dan seratus aliran bersaing suara" yang secara teori bermaksud kebebasan yang lebih besar dalam bidang seni, sastera, dan ilmu pengetahuan. Slogan ini ingin mendapat sokongan dari rakyat China yang terpelajar yang diperlukan oleh negara dan mengajak para intelektual untuk mengemukakan pendapatnya terhadap perkembangan politik, ekonomi, dan sosial di China pada ketika itu. Sebenarnya undang-undnag ini muncul kerana kebimbangan Mao dengan situasi yang berlaku di Hungary. Pada tahun 1956 kumpulan intelektual Hungary membentuk Lingkaran Petofi (Petofi Circle) yang memberi kritikan kepada kerajaan Hungary. Kumpulan ini sering mencetuskan gerakan revolusi nasional Hungary, tetapi akhirnya berjaya ditumpaskan oleh tentera Soviet.

Membenarkan Kritikan Kepada Pemimpin

Di bawah pentadbiran Moa lebih kurang satu tahun seluruh negara China menikmati keadaan yang tenang dan terkawal. Pada tahun 1957 parti yang memerintah kepada golongan intelektual untuk memberi kritikan kepada para pemerintah dari pelbagai sudut. Mao Tse Tung membenarkan golongan intelektual untuk berbincang mengenai masalah-masalah dalam masyarakat dan negara. Pada awalnya terdapat kesukaran, tetapi lama-kelamaan banyak artikel surat khabar, filem, dan karya sastera mengenai masalah birokratisme dan otoriterisme dalam parti dibincangkan. Tetapi pada masa yang sama Mao juga menyampaikan hal-hal lain seperti mencari siapa saja orang yang berani menentang rejimnya. Mao melihat bahawa sebahagian besar orang Cina yang terpelajar memegang liberalisasi dan cuba untuk menentang rejimnya.

UNDANG-UNDANG
Undang-Undang Anti Kanan

Undang-undang anti kanan ini ialah undang-undang di mana Mao Tse Tung mahu menghapuskan golongan-golongan yang mahu menetang rejimnya. Hal ini kerana, apabila Moa membenarkan kritikan kepada pemimpin hal ini telah memudahkan Mao mengenalpasti golongan kanan yang mahu menghancurkan rejimnya. Mao menyedari bahawa muncul banyak ketidakpuasan dari kaum intelektual. Setelah pelbagai kritikan dilemparkan maka pemerintah Mao akan mengeluarkan pentadbiran baru, iaitu undang-undang anti kanan. Pada awal Jun 1957 pidato Mao menyatakan bahawa orang-orang kanan telah mengamuk dan menyerang parti komunis dan sistem sosialis China. Dalam pemikiran Mao, orang kanan terdiri daripada golongan terpelajar dan pegawai-pegawai yang tidak jujur ​​dalam menjalankan tanggungjawab dan mereka perlu dihapuskan demi menjaga namanya dan partinya. Untuk memudahkan pelaksanaannya ditentukan angka 5% sebagai kuota untuk jumlah orang kanan yang harus ditangkap.

Undang-undang anti kanan tidak mempengaruhi rakyat secara keseluruhan. Para petani dan buruh tetap hidup seperti biasa. Undang-undang anti kanan ini tidak menjejaskan rakyat secara keseluruhannya. Para petani dan buruh tetap hidup seperti biasa. Semua intelektual yang mengkritik PKC dituduh beraliran kanan. Tuduhan ini akan menyebabkan para tertuduh akan menerima hukuman berat.Setelah satu tahun dilaksanakan, maka undang-undang anti kanan pun berakhir. Dianggarkan 550,000 orang dicap sebagai kaum anti kanan, iaitu pelajar, guru, penulis, artis, ahli sains, dan golongan intelek yang lain. Banyak di antara mereka yang ditangkap akan dipecat daripada jawatannya.


Memberi Kebebasan dalam penulisan
Undang-undang dalam bidang seni dan sastera juga terdapat kelonggaran berbanding dengan masa sebelumnya. Pada saat itu tema-tema sejarah banyak digunakan untuk mengemukakan sindiran terhadap pemerintah dan Mao. Contohnya adalah drama tentang Mandarin Ming, iaitu tentang seorang pemerintah yang hidup pada zaman Dinasti Ming (1368-1644). Drama tersebut menceritakan mengenai keadilan dan keberanian Hai Rui dengan mempertaruhkan nyawa dan memprotes Maharaja demi memperjuangkan nasib rakyat yang menderita. Akibatnya Hai Rui kemudian dipecat dari jawatannya dan dibuang. Drama Hai Rui ini dianggap sebagai kritikan terhadap Mao mengenai program Gerakan Melompat Ke Hadapan sehingga dipecat dan dihukum buang oleh Mao.

Tujuan undang-undang ini adalah untuk memelihara ideologi komunisme, budaya, dan adat orang Cina Tradisional. Komunisme merupakan satu-satunya kekuatan yang meliputi keseluruhan, mengawal penuh ke atas semua wilayah, bukan hanya fizikal dan fikiran semata-mata. Revolusi kebudayaan memaksa pemujaan sepenuhnya terhadap parti komunis dan Mao Tse Tung. Oleh kerana itu unsur-unsur ini harus dihilangkan dan dibersihkan dalam PKC. Tradisi dan budaya harus dihilangkan, seperti ajaran Konfusianisme dan adat-adat yang lain.

Revolusi Kebudayaan (1966-1969)

Polisi Mao yang lain adalah Revolusi Kebudayaan (1966 - 1969). Revolusi kebudaaan adalah konsep pembangunan yang mendasarkan diri pada mobilisasi politik, bukan pada prinsip teknokratisme. Mobilisasi politik inipun masih mendasarkan pada dialektik materialis yang mengutamakan transformasi individu sebagai alat dan matlamat pembangunan sosialis. Menurutnya pembangunan ekonomi akan mencapai sasaran apabila dilakukan secara merata dan seimbang sehingga seluruh anggota masyarakat dapat mengambil keuntungan bersama.

Revolusi Kebudayaan meliputi dua bidang utama iaitu pembaharuan pengurusan industri dan sistem pendidikan. Dalam bidang pengurusan industri dilakukan supaya penyertaan pekerja dalam bidang pentadbiran serta penglibatan kadar dalam kerja buruh (liang san), penyertaan masa secara positif dalam pengeluaran (yi gai) dan perikatan segitiga antara aktivis, pekerja, dan kakitangan dalam menyokong pentadbiran awam.

Dalam bidang pendidikan Revolusi Kebudayaan diarahkan untuk menggabungkan dan diselarikan dengan perkembangan ekonomi dengan revolusi sosial. Hal ini dilakukan untuk menjadikan keadaan masyarakat agar tidak bergantung pada teknokrat yang berkhidmat bagi kepentingan sendiri. Strategi yang dilakukan adalah dengan mempertingkatkan usaha pendidikan ideologi agar tercipta kesedaran politik. Buku merah yang mengandungi pemikiran politik Mao menjadi bacaan wajib bagi masyarakat. Sementara itu integrasi antara teori dan amalan dimaksudkan agar sistem pendidikan lebih responsif terhadap keperluan langsung pengeluaran di kawasan luar bandar. Revolusi ini menghadapi pelbagai halangan, liang san sangat sulit direalisasikan kerana bidang kepakaran pekerja dan kadar sangat jauh berbeza. Sedangkan gerakan pembaharuan pendidikan Mao lebih banyak dinilai sebagai cara mengekalkan karismanya. Revolusi Kebudayaan sangat mempengaruhi keadaan ekonomi China. Kemerosotan ekonomi dan mutu pendidikan menjadi masalah utama pasca gerakan ini. Namun dari segi pembahagian (egalitarianisme strategy) polisi pembangunan Mao membuat China mengalami kemajuan yang mengagumkan berbanding dengan negara-negara membangun lain pada masa itu.

Langkah organisasional Mao selama revolusi ini adalah dengan membentuk rantai komando peribadi yang beroperasi di luar parti, walaupun secara rasmi menyatakan berada di bawah Politik dan jawatankuasa pusat. PKC tidak boleh dijadikan sumber sah kerana terdapat kubu Liu Shao Qi dan Deng Xiao Ping. Mao menggerakkan tentera, kaum intelektual radikal dan para pelajar. Mao juga menguasai media khususnya Surat khabar yang paling berpengaruh iaitu "harian rakyat". Pada bulan Jun, Mao membuat beberapa siri editorial yang menganjurkan rakyat untuk menegakkan kuasa mutlak ketua Mao, menyapu bersih semua setan, lembu, iblis, ular (musuh kelas) dan mendesak rakyat agar mengikuti Mao dan bergabung dalam Revolusi Kebudayaan yang sangat luas dan belum pernah ada sebelumnya.

Menghapuskan Orang Borjuis

Revolusi Kebudayaan yang dilakukan oleh Moa dibahagikan kepada empat tahap. Mobilisasi tahap pertama dalam Revolusi Kebudayaan berlangsung dari tahun 1965 hingga bulan Jun 1966. Dalam tempoh ini kepimpinan pusat saling bercakaran dalam masalah bagaimana menghadapi tuntutan Mao akibat berkembangnya pengaruh kaum revisionis. Kritik terbuka dilancarkan terhadap sejumlah kecil intelektual dan propaganda parti yang telah menyebarkan tulisan-tulisan anti Maois dalam tahun 1961 - 1962. Selama bulan Jun dan Julai 1966, Revolusi Kebudayaan meluas menjadi suatu gerakan massa terbuka untuk mengahapuskan semua "penguasa borjuis", khususnya dalam lembaga-lembaga pendidikan dan propaganda.

Pengawal Merah

Tahap kedua adalah serangan terbuka yang dilancarkan oleh kumpulan Pengawal Merah yang berlangsung dari bulan Ogos hingga bulan November 1966. Revolusi Kebudayaan dikawal oleh Pengawal Merah yang ditubuhkan oleh mahasiswa dan pelajar pada tahun 1966. Pengawal Merah menjadi kekuatan utama Revolusi Kebudayaan dan disokong oleh Tentera Pembebasan Rakyat. Dengan sokongan kuasa rasmi tersebut dan ditutupnya kegiatan sekolah-sekolah, organisasi-organisasi Pengawal Merah berkembang dengan cepat, membawa berjuta-juta pemuda turun ke jalan berdemonstrasi menyokong ketua Mao Tse-tung, mengutuk dan mencaci mereka yang menetang Mao, dan menghancurkan pelbagai lambang kebudayaan "borjuis" atau reaksional. Akan tetapi walaupun cara mereka memaksa orang supaya memberi ketaatan fanatik terhadap Mao, mereka masih tidak mampu menyingkirkan penentangan terhadap Mao. Antara tahun 1966-1967 negara China mengalami keadaan kacau bilau oleh tindakan Pengawal Merah menyerang pegawai-pegawai rendah dan menengah serta aktivis-aktivis parti. Mereka mengecam sesiapa yang berada dalam kedudukan pimpinan. Ancaman ini sering berubah menjadi hukuman. Dalam pelaksanaannya Pengawal Merah membuat kekacauan di masyarakat dan menghalang perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi sehingga dibubarkan oleh Mao Tse-tung.

Tahap ketiga berlangsungnya Revolusi Kebudayaan adalah perebutan kuasa yang berlangsung dari bulan Disember 1966 hingga bulan September 1968. Gerakan tersebut meluas sampai ke daerah pedalaman, syarikat-syarikat, dan kerajaan serta parti. Kelompok "pemberontak revolusional" baru umumnya berasal dari masyarakat pekerja, dan dengan demikian merupakan organisasi-organisasi massa yang lebih luas daripada para pengawal Merah yang terdiri dari kaum mahasiswa dan pelajar. Gagasan tentang "rampasan kuasa" dari bawah merupakan serangan langsung terhadap bidang kuasa dan organisasi parti tempatan. Golongan Maois di Peking menganggap pergolakan di daerah-daerah ini sebagai suatu keperluan dan seharusnya berlaku, tetapi mereka dengan cepat menyekat gerakan ini.

Tahap keempat atau terakhir adalah tahap pembangunan semula, kepimpinan China menyatakan kemenangan ukuran dasan daripada Revolusi Kebudayaan, tetapi mengakui pula bahawa pembangunan semula parti dan ekonomi serta struktur politik yang stabil masih harus dicapai.

KETENTERAAN

Perkembangan kekuatan ketenteraan merupakan suatu keperluan bagi China, seiring dengan kemajuan ekonomi negara, dalam rangka menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara, wilayah, keselamatan negara, dan untuk menjamin peningkatan ekonomi, serta meningkatkan kekuatan nasional secara sistematik dan berterusan. China yang kuat adalah impian para elit sejak lebih dari satu abad yang lalu, dan hal ini menjadi sasaran dan tema utama dalam kepimpinan moden China sejak masa Mao Tse Tung mahupun Deng Xiaoping sebagai pemimpin reformasi China hingga kepemimpinan Jiang Zemin dan Hu Jintao.

Dokrin Perang Rakyat (People 's War)

Pada 1960-an, Lin Biao menggunakan pemikirannya dalam tulisannya yang berjudul Long Live the Victory of People s War. Pemikiran Mao tentang doktrin Perang Rakyat diterjemahkan dengan istilah Maoist Triad iaitu strategi perang (attrition) dalam bentuk pertahanan mendalam (defense-in-depth) secara operasi yang dilakukan dalam bentuk taktik bertahan (defense), mengendap (stalemate), dan menyerang (offensive) . Doktrin perang rakyat telah berulang kali mengalami pembaharuan dan penyesuaian-penyesuaian yang diperlukan untuk perubahan baik.

POLITIK  CHINA DI BAWAH PENTADBIRAN DENG XIAOPING
PENTADBIRAN
Pembaharuan dasar Di China
Situasi politik di China mula mengalami perubahan sekitar tahun 1970-an. Perubahan awal berlaku dengan kejatuhan Lin Biao. Lin Biao selepas Revolusi Kebudayaan menunjukkan sikap yang tidak sabar untuk mengambil alih kuasa daripada Moa Tse-Tung. Lin Biao menggunakan nama Moa Tse-Tung untuk mengembangkan pengaruhnya. Pada masa yang sama beliau merancang untuk merampas kuasa kepimpinan utama di China. Namun demikian, rancangannya digagalkan apabila komplot rampasan kuasanya terbongkar. Akibat rahsianya terbongkar, maka Lin Bao melarikan diri dengan kapal terbang menuju ke Soviet Union. Malangnya kapal terbang yang dinaiki kehabisan minyak dan terhempas pada 13 September 1971.
            Perubahan politik kedua adalah pulihnya semula kerjaya politik Deng Xiaoping. Beliau telah diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada April 1973. Orang yang mengembalikan Deng Xiaoping pada kedudukan ini ialah Chou En-lai. Gandingan Chou En-lai dan Deng Xiaoping telah memulakan dasar yang lebih sederhana dalam pemodenan sektor ekonomi yang disahkan pada persidangan Kongres Kebangsaan Rakyat kali ke-10 pada Ogos 1973. Sokongan ini membawa kepada pengumuman Chou En-lai berkaitan “Empat Modenisasi” iaitu usaha untuk memodenkan empat sektor utama iaitu pertanian, industri, pertahanan dan sains.
            Ketika beliau mula memenangi tampuk pemerintahan, Deng Xiaoping sekali lagi dilucutkan semua jawatan dalam Politburo PKC tetapi masih mengekalkan keahlian PKC. Seterusnya, Hua Guofeng, ahli dalam Biro Politik, Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri Keamanan Awam telah dinamakan sebagai pemangku perdana menteri dan penolong pengerusi yang pertama dalam parti. Manakala kedudukan Mao Tse-Tung masih lagi kuat, walaupun beliau dalam keadaan kurang waras dan kesihatannya terganggu. Pada bulan Jun 1976, beliau tidak dapat lagi menerima pelawaan untuk ke luar negeri. Saat ini merupakan saat kegeringan Mao Tse-Tung sebelum meninggal dunia pada bulan September 1976. Selepas kematian Mao Tse-Tung, nasib Deng Xiaoping kembali menyinar dengan penyingkiran kumpulan yang menentangnya iaitu Kumpulan Empat. Beliau mula beransur-ansur mengembalikan pengaruhnya dengan mengenepikan kepimpinan Hua Guofeng. Pada tahun 1977, beliau menegaskan pihak parti dan kerajaan tidak hanya menekankan soal ideologi dan doktrin parti. Bermula dengan itu, Deng Xiaoping meneruskan dasar pembangunan Chou En-Lai untuk memodenkan China. Usaha ini menampakkan kejayaan dan kepesatan pembangunan industri dan infrastruktur dimajukan. Deng Xiaoping menjadi pemimpin utama negara China yang baru. Beliau mengadakan pembangunan yang perlahan-lahan di China dengan hanya mencontohi cara pembangunan bekas Soviet Union, dan berpendapat bahawa China mesti melaksanakan cara pembangunan yang baru untuk mempercepat langkah pembangunan. Deng Xiaoping memutuskan bahawa China harus mengadakan pembaharuan terhadap dasar pentadbiran dalaman, dan juga harus lebih giat membuka pintu dalam pelaksanaan dasar luar.

Mengadakan Empat Modernisasi
Walau bagaimanapun pengalaman pahit Deng Xiaoping ketika berlaku Revolusi kebudayaan telah menyebabkan beliau bangkit menjadi pemimpin yang ulung. Setelah Deng menyingkirkan Komplot Empat, beliau telah mengadakan Empat Modernisasi. Beliau telah membuang pendekatan komunis yang ortodoks yang mengutamakan ideologi dan insentif moral dan menggantikannya dengan pendekatan dengan lebih liberal iaitu mengutamakan pragmatisme dan insentif materi. Ucapannya yang terkenal ialah: “Tidak penting kucing itu berwarna putih atau hitam, kalau ia pandai menangkap tikus, itulah kucing yang baik”. Deng juga turut menentang pemerintahan Mao walaupun beliau pernah berada di bawah pimpinan Mao. Beliau menyatakan bahawa, mundurnya China kerana disebabkan oleh ajaran Mao yang salah. Beliau ingin membangunkan China dengan membuka pintu kepada Barat dan Jepun. Membuka bidang ekonomi sahaja tidak cukup, beliau juga ingin membuka bidang politik secara beransur-ansur
            Deng seorang komunis tulen tetapi berbeza dengan Mao. Deng tidak menganggap politik sebagai panglima. Bagi Deng, pandangan politik haruslah komunis, tetapi ekonomi tidak harus. Sebab tujuan pembangunan ekonomi China adalah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Menjalinkan Kerjasama Dengan Negara Luar
Konsep pentadbiran Deng Xiaoping telah memberi pengaruh yang penting kepada pembangunan China dan kesannya masih boleh dilihat pada hari ini. Deng Xiaoping mempunyai pengetahuan luas dan mendalam tentang hal-ehwal China serta antarabangsa. Pandangannya tentang hal-ehwal tersebut juga sangat mendalam dan jelas. Beliau bukan sahaja dapat memahami fenomena baru dengan cepat, tetapi juga mempunyai pandangan jauh terhadap perkembangan sesuatu isu. Deng Xiaoping sangat mementingkan pendidikan dan meletakkan pendidikan di tempat teratas dalam senarai pembangunan negara. Dasar pendidikannya telah mendapat sokongan dan bantuan daripada kebanyakan orang Cina yang terkenal di A.S. Deng Xiaoping juga menumpukan perhatian untuk menimba dan mempelajari pengalaman serta dasar berjaya negara-negara maju dalam bidang industri. Atas usaha beliau dalam kedua-dua bidang tersebut, China telah mencapai kemajuan besar. Deng berjaya mengurangkan kemiskinan global, jauh melebihi mana-mana pemimpin lain di dunia  dalam abad ini. Menurut Bloomberg, lebih 250 juta warga China telah melepaskan diri daripada genggaman kemiskinan dalam zaman pemerintahan beliau.
UNDANG-UNDANG
Konsep Tiga Tidak
Demokrasi begitu penting di dalam pembangunan dan pemodenan China. Dengan berpendapat bahawa dengan adanya suasana demokrasi barulah pembebasan fikiran rakyat boleh dicapai. Konsep demokrasi yang diungkapkan oleh Deng di sini sebenarnya bermaksud konsep “Demokrasi Dipusatkan”. Deng masih percaya bahawa suasana demokrasi yang sebenar hanya wujud apabila sebuah kerajaan Komunis yang mendapat mandat daripada majoriti rakyat memerintah berkuasa mutlak. Deng dengan lantas membidas kerajaan PKC yang sebelum itu mendapat kuasa yang dipusatkan itu tetapi bukan berdasarkan kehendak majoriti rakyat.
            Oleh itu, pemerintahan mereka gagal membangunkan negara dan juga menyebabkan kejatuhan mereka. Sehubungan dengan itu, Deng telah mengumumkan “Konsep Tiga Tidak” (sanbu zhuyi) untuk membina semula suasana demokrasi masyarakat. “Konsep Tiga Tidak” itu ialah “Tidak Mengungkit Kesilapan yang Lepas” (buzhua bianzi), “Tidak Mengaibkan Sesiapa” (bukou maozi), “Tidak Menggunakan Kekerasan Terhadap Sesiapa Sesuka Hati” (buda gunzi).
Deng juga telah secara berterus terang menggesa satu reformasi perlu diadakan terhadap sistem pentadbiran organisasi kerajaan. Idea-idea pragmatis beliau menonjol sekali dalam gesaan tersebut. Contohnya beliau memperkenalkan Sistem Pentadbiran Bertanggungjawab. Setiap pegawai kerajaan diminta bertanggungjawab terhadap keputusan dan tindakan yang diambil dibawah bidang kuasa kerja masing-masing. Melalui cara ini, mereka tidak dapat mengelakkan diri daripada menanggung tanggungjawab sesuatu dasar dengan alasan tanggungjawab kolektif yang selalu dipakai oleh orang Komunis.

Memperkenalkan Dasar Berkaitan Ekonomi
Apa yang menarik untuk dibincangkan di sini ialah Deng juga turut mengeluarkan dasar-dasar berkaitan ekonomi. Deng mencadangkan supaya kerajaan membenarkan sebahagian rakyat dari sesuatu tempat menjadi kaya terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, dasar ekonomi pragmatis yang pernah dilaksanakan pada zaman pemerintahan PKC sebelum itu, contohnya Period Demokrasi Baru Awal 1960-an dan 1970-an, semuanya bersifat ekonomi pasaran. Walau bagaimanapun, dasar-dasar tersebut tidak berpanjangan kerana pemimpin pada masa itu Moa Tse-Tung telah membatalkannya. Namun, apabila Mao Tse-Tung meninggal dunia, Deng Xiaoping sekali lagi mempelopori idea-idea ini. Akan tetapi, amalan pengharaman dasar-dasar yang bersifat ekonomi pasaran telah menjadi salah satu prinsip yang kekal dalam fikiran pemimpin PKC. Oleh itu, jika cadangan Deng tersebut dijadikan sebagai dasar, tentu mereka merasakan sukar untuk menyesuaikan diri semasa pelaksanaan dasar-dasar itu. Perubahan ini merupakan satu transformasi yang mendadak terhadap ekologi masyarakat China yang sekian lama di bawah Sistem Ekonomi Terancang. Bagaimanapun, idea-idea asas reformasi Deng ini telah mendapat sokongan majoriti Ahli Jawatankuasa Pusat PKC dalam Mesyuarat Kerja Pusat tersebut.
Memperkenalkan Empat Prinsip (jianchi sixiang jiben yuanze)
Di dalam suatu mesyuarat Kerja Pusat, Deng Xiaoping yang pada ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan rasmi yang menyemarakkan aktiviti Dinding Demokrasi di jalan Xidan, Beijing. Di antaranya Deng pernah mengumumkan bahawa dia tidak akan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang melekatkan poster pandangan pada Dinding Demokrasi itu walaupun poster-poster itu mengkritik kerajaan PKC. Kenyataan-kenyataan ini dapat mewatakkan imej Deng sebagai pemimpin yang bertoleransi. Deng juga telah mengumumkan “Ucapan Empat Prinsip” (jianchi sixiang jiben yuanze). Empat prinsip itu ialah mesti mengekalkan haluan perjalanan sosialisme, mesti mengekalkan diktaktorsip kelas proletariat, mesti mengekalkan pimpinan PKC dan mesti mengekalkan fahaman Marxis-Lennis dan Maois.
Melalui pengumuman ini, Deng jelas telah memaparkan batasan had toleransinya. Beliau mahu rakyatnya bebas berfikir di dalam satu rangka atau bingkai besar yang dinamakan fahaman Marxis-Lennis dan Maois. Dengan garisan batasan ini, rakyat jelata baru tahu kebebasan fikiran yang dialu-alukan oleh Deng pada akhir 1978 itu mempunyai had dan kawasan larangannya. Jika mereka melampaui batasan larangan tersebut, kerajaan PKC akan melayan mereka seperti penjenayah.
Tentera Pembebasan Rakyat
Peristiwa protes Lapangan Tiananmen 1989 adalah sebuah rangkaian demonstrasi yang dipimpin mahasiswa yang diadakan di Lapangan Tiananmen di Beijing, Republik Rakyat Cina, antara 15 April dan 4 Jun 1989. Protes ini ditujukan terhadap ketidakstabilan ekonomi dan korupsi politik yang kemudian membawa kepada demonstrasi pro-demokrasi yang memang merupakan suatu yang belum lazim di Cina. Lebih dari 3000 orang meninggal sebagai akibat tindakan dari pasukan bersenjata. Mahasiswa memulai protes pada pertengahan April 1989, dipicu oleh kematian Hu Yaobang, Setiausaha Jenaral Parti yang mengundurkan diri. Hu dipandang sebagai seorang yang berfikiran liberal dan dipaksa mengundurkan diri dari posisinya oleh Deng Xiaoping. Ramai yang beranggapan terutama kaum intelektual, menganggap ini sebagai sebuah perlakuan yang tidak adil.
Protes bermula dalam skala kecil, dalam bentuk peringatan terhadap Hu Yaobang dan meminta partai membaharui pandangan rasmi mereka terhadap Hu. Protes ini berkembang setelah berita tentang konfrontasi antara mahasiswa dan polis berterusan meskipun pemerintah mengumumkan Undang-undang Darurat pada 20 Mei, demonstrasi terus berlaku. Setelah para pemimpin Komunis berunding, maka keluarlah perintah untuk menggunakan kekuatan militer untuk memecahkan krisis itu, dan Zhao Ziyang dilucutkan dari kedudukannya sebagai pemimpin politik kerana dianggap gagal dalam mencegah aksi militer. Lalu Parti Komunis memutuskan untuk menghentikan situasi itu sebelum berkembang lebih parah.  Tentera Pembebasan Rakyat dikirim untuk mengendalikan kota. Pasukan-pasukan ini diserang oleh para buruh dan mahasiswa Cina di jalan-jalan kota Beijing dan kekerasan yang muncul sesudah itu mengakibatkan kematian di antara penduduk dan militer. Pemerintah Cina mengakui bahawa beberapa ratus orang mati dalam insiden ini. Pada 4 Jun 1989, “Tentera Pembebasan Rakyat” (yang kononnya), menyembelih pelajar di Tiananmen, rakyat jelata justeru itu sudah berasa kecewa total dengan masa depan politik.

Penentangan Terhadap Politik Deng Xiaoping
Penentangan terhadap pentadbiran Deng Xiaoping juga turut dilakukan oleh Moa Tse-Tung sendiri. Hal ini kerana apabila menyentuh berkenaan dengan Revolusi Kebudayaan. Deng amat menghargai budi Moa yang pernah menyelamatkannya, tetapi idea-idea yang di sampaikan di dalam Tiga Dokumen yang bertujuan untuk mempercepatkan dasar-dasar ekonomi yang pragmatis tetapi anti-Moa. Deng juga tahu bahawa tindakannya ini pasti akan menyebabkannya mengalami nasib yang dasyat seperti semasa berlakunya Revolusi Kebudayaan. Moa Tse-Tung telah mengesyaki bahawa Deng akan menafikan pengiktirafan terhadap Revolusi Kebudayaan sebagai satu kejayaan PKC. Beliau kemudian mengumumkan kritikan terhadap Tiga Dokumen itu sebagai satu usaha yang cuba memulihkan pemerintahan  kelas kapitalis dan mengancam penerusan revolusi kebudayaan.
            Selain itu, semenjak 1978, Deng Xiaoping telah melakukan beberapa siri pembaharuan ekonomi dan politik yang membawa kepada perubahan dalam ekonomi pasaran China dan sedikit liberalisasi politik yang mengendurkan sistem tinggalan Mao Tse-Tung. Seawal 1989, pembaharuan politik dan ekonomi ini membawa kepada ketidakpuasan hati dua kumpulan rakyat terhadap kerajaan. Kumpulan pertama terdiri dari para pelajar dan golongan cendekiawan yang percaya China perlu menumpukan lebih pembaharuan dalam sistem politik kerana pembaharuan dalam ekonomi hanya memberi kebaikan kepada golongan petani dan pekerja kilang berbanding golongan cendekiawan yang mana pendapatan mereka masih ketinggalan jauh serta tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada polisi pembaharuan.  Golongan cendiakawan lebih prihatin terhadap kawalan sosial dan politik yang dipegang oleh Parti Komunis China.
Penentangan ini merupakan satu cabaran kepada Deng dan beliau harus bijak menyelesaikannya supaya tidak berlaku perkara buruk dan boleh menggugat kerajaan. Kumpulan kedua terdiri dari golongan pekerja industri di bandar yang percaya pembaharuan sosial dan politik sudah tersasar jauh. Kelonggaran dalam pengawalan ekonomi telah mengakibatkan inflasi dan pengangguran yang mengancam kehidupan seharian mereka. Bantahan Dataran Tiananmen pada tahun 1989 boleh dikatakan didorong oleh kematian bekas Setiausaha Agung Hu Yaobang.  Perletakan jawatan  Hu Yaobang sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis China diumumkan pada 16 Januari 1987. Gesaan beliau kepada pembaharuan dan kebencian beliau kepada pembaziran golongan Maois menjadikan beliau sasaran kambing hitam bagi Deng Xiaoping dan lain-lain selepas bantahan pro-demokrasi pelajar 1986-1987. Perletakan jawatan beliau disertakan dengan kritikan terhadap diri sendiri yang dipercayai dipaksa oleh jawatankuasa pusat Parti Komunis. Kematian mengejut Hu Yaobang kerana serangan jantung pada 15 April 1989 memberi peluang kepada pelajar untuk berkumpul sekali lagi, bukan hanya untuk meratapi kematiannya tetapi juga mendesak ditarik balik hukuman ke atas Hu Yaobang serta memberi perhatian kembali kepada isu-isu yang dibangkitkan semasa bantahan pro-demokrasi 1986-1987 juga 1978-1979.
ANALISIS PERBANDINGAN POLITIK MOA TSE-TUNG DAN DENGXIAOPING
Di dalam faktor politik perbezaan yang agak ketara dapat dilihat didalam pentadbiran kedua-dua tokoh pemerintah Republik Rakyat China ini. Sejarah kehidupan mereka juga membuktikan corak pemerintahan mereka yang berbeza. Sepanjang riwayat hidup Deng, beliau hidup bersama-sama dengan ibu tiri yang terdiri daripada ibu tiri, isteri, anak-anak dan cucu cicitnya. Corak kehidupan ini dipercayai beliau tidak begitu ekstrem dalam membuat apa-apa tindakan politik berbanding dengan Moa Tse-Tung.
            Di dalam politik, Deng Xioaping pernah menjadi orang yang paling disukai oleh Moa Tse-Tung dan pernah menjadi musuh ketat oleh Moa Tse-Tung. Dari sudut pemikiran mereka begitu berbeza. Deng Xioaping juga merupakan seorang komunis tulen dan hal ini berbeza dengan pemikiran Moa. Bagi Deng, pandangan politik haruslah besikap komunis tetapi di dalam ekonomi tidak sama sekali. Hal ini kerana tujuan pembangunan ekonomi China adalah untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Jika ditinjau dari sudut pembaharuan dasar, Deng dianggap seorang yang reformis. Deng telah memperkenalkan banyak dasar baru yang lebih baik kepada rakyat berbanding dengan Moa Tse-Tung.
Deng juga telah mengumumkan “Ucapan Empat Prinsip” (jianchi sixiang jiben yuanze). Empat prinsip itu ialah mesti mengekalkan haluan perjalanan sosialisme, mesti mengekalkan diktaktorsip kelas proletariat, mesti mengekalkan pimpinan PKC dan mesti mengekalkan fahaman Marxis-Lennis dan Maois. Deng telah mengumumkan “Konsep Tiga Tidak” (sanbu zhuyi) untuk membina semula suasana demokrasi masyarakat. “Konsep Tiga Tidak” itu ialah “Tidak Mengungkit Kesilapan yang Lepas” (buzhua bianzi), “Tidak Mengaibkan Sesiapa” (bukou maozi), “Tidak Menggunakan Kekerasan Terhadap Sesiapa Sesuka Hati” (buda gunzi).Deng juga telah secara berterus terang menggesa satu reformasi perlu diadakan terhadap sistem pentadbiran organisasi kerajaan.
Pembaharuan-pembaharuan dasar dan kemajuan ekonomi yang dilakukan oleh Deng ini telah menonjolkan bahawa beliau merupakan seorang tokoh pemerintah yang ulung di China berbanding dengan Moa Tse-Tung. Beliau juga telah melakukan banyak perubahan di dalam budaya, undang-undang dan politik. Liberalisasi fikiran yang telah diterapkan oleh Deng juga telah membantu rakyat China untuk mencapai kejayaan di dalam kehidupan mereka. Deng telah membuat dasar pengekonomian berpusat untuk memajukan ekonomi China. Hal ini tidak terjadi pada zaman Moa Tse-Tung. Oleh itu, jelaslah bahawa Deng Xiaoping merupakan tokoh pemerintah China yang telah berjaya membawa banyak perubahan kepada rakyar dan negara China. Walaupun karier politiknya begitu mencabar dan mempunyai banyak halangan tetapi beliau sentiasa berpegang pada pendirian beliau untuk memajukan Republik Rakyat China.
EKONOMI CHINA DI BAWAH PENTADBIRAN MAO TZE TUNG.
Pemulihan Ekonomi (1949- 1952)
Pemulihan ekonomi yang bermula di antara tahun 1949 sehingga 1952 merupakan tahap pertama pembangunan ekonomi yang ditekankan oleh para pemimpin China. Perang China Jepun (1937- 1945) dan Perang Saudara (1946- 1949) merupakan pencetus kepada pemulihan ekonomi dalam aktiviti pertanian dan perindustrian. Selain itu, dalam tempoh masa ini juga China telah terlibat dalam Perang Korea pada tahun 1950. Masalah- masalah inilah yang mendorong kepada dasar pemulihan ekonomi China ini. Jika dilihat dari aspek pertanian, pemulihan yang telah dilakukan ialah berlakunya Reformasi Tanah pada Jun 1950 dan berakhir pada Disember 1950. Kemunculan Reformasi Tanah ini adalah untuk menghapuskan kelas tuan tanah dan memperkenalkan sistem pemilikan tanah kepada para petani. Namun begitu, sektor industri tidak begitu dititikberatkan kerana mereka berpendapat tahap potensi pengeluaran industri ini sangat rendah dan kadar pertumbuhannya tidak begitu memberangsangkan. Secara keseluruhannya kami mendapati pemulihan ekonomi yang dijalankan adalah langkah yang terbaik dalam membaik pulih sistem ekonomi negara China yang semakin merosot sebelum ini ekoran daripada kucar- kacir yang berlaku dalam politik dan juga masalah dalam peperangan itu sendiri.
Kemunculan Kempen “San Fan ( Tiga Anti) dan Wu Fan (Lima Anti)
Kempen san fan (tiga anti) ini bermula pada September 1951 dan berakhir pada April 1952 manakala kempen wu fan (lima anti) ini bermula pada Oktober 1951 dan berakhir pada Jun 1952. Jika diperhatikan dengan teliti kempen san fan ini diwujudkan bertujuan untuk menentang anasir jahat seperti ‘ rasuah, pembaziran dan birokrasi’  Slogan yang dilaungkan ini bertujuan untuk menghapuskan pegawai tadbir awam yang tidak cekap serta menentang PKC dan mereka ini akan digantikan dengan pegawai- pegawai yang lebih efektif dan bertindak secara birokrasi seiring dengan kehendak Mao Tze Tung.
Kempen wu fan ini pula merupakan salah satu pergerakan yang diwujudkan untuk menghapuskan ahli perniagaan yang degil dan mempratikkan rasuah. Hal ini dapat dilihat bagi memenuhi tujuan utama PKC. Melalui kempen ini PKC cuba menentang amalan rasuah, pencuri harta dan aset negeri, pencuri maklumat rahsia negeri, penipuan dalam pemberian kontrak kerajaan dan pengelakan cukai. Hal inilah yang menyebabkan kempen ini dikenali sebagai kempen lima anti kerana terdapat 5 tumpuan atau fokus yang telah ditekankan.
            Memang tidak dinafikan lagi, kempen yang dijalankan ini memberikan kesan negatif kepada ramai perintis industri dan ahli perniagaan. Terdapat di antara mereka yang perlu membayar cukai yang tinggi, dipenjara, dihukum bunuh dan membunuh diri. Hal ini dapat dilihat, apabila terdapat seramai 323100 orang yang telah ditangkap dan 280 lagi telah membunuh diri. Namun begitu, dapat diperhatikan di sini bahawa kedua- kedua kempen yang dijalankan ini memberikan kesan positif kepada PKC. Hal ini dapat dilihat apabila Mao Tze Tung menyatakan wang diperolehi daripada kedua- dua kempen ini boleh digunakan untuk 8 bulan peperangan.
Rancangan Lima Tahun China Fasa Pertama (1953- 1957)
Rancangan Lima Tahun China Fasa pertama ini merupakan kesinambungan  daripada pemulihan ekonomi yang telah diimplementasikan sebelum ini. Jangka masa 1953 sehingga 1957 ini merupakan langkah awal ke arah peralihan ekonomi kapitalis kepada sosialis. Bagi melaksanakan rancangan ini, pihak kerajaan China telah mengadaptasi model pembangunan ekonomi jangka panjang Soviet Union. Mao Tze Tung sendiri turut mengakui mereka tidak memikirkan apa-apa kaedah di dalam membangunkan rancangan ini kecuali meniru kaedah Soviet Union. Antara fokus utama yang digariskan oleh PKC dalam rancangan ini adalah berkaitan dengan perubahan ekonomi menjadi lebih condong kepada sosialis dalam sektor industri dan juga pertanian.
            Sektor perindustrian merupakan salah satu daripada sektor yang diberi perhatian di dalam Rancangan Lima Tahun China Fasa Pertama ini. Pembangunan industri berat amat dititikberakan oleh pihak kerajaan dengan menjadikan model Soviet Union sebagai panduan dan rujukan mereka. Hasil daripada fokus untuk membangungkan bidang industri berat ini, terdapat sebanyak 694 projek yang telah dilaksanakan dan 156 daripada projek tersebut mendapat bantuan daripada Soviet dari segi penyelidikan, perancangan dan persetujuan teknikal. Melalui perancangan ini jumlah kasar pengeluaran industri telah meningkat sebanyak 98.3 peratus antara tahun 1952 sehingga 1957. Kejayaan yang dapat dilihat di dalam pembangunan industri berat ini ialah menjelang penghujung tahun 1957 China mampu menghasilkan traktor, kereta, kapal kargo dan jet pejuang.
            Dalam konteks yang lain, bidang pertanian juga menjadi salah satu tumpuan di dalam perancangan ini. Memang tidak dapat dinafikan lagi bidang pertanian ini juga merupakan bidang yang cuba dilakukan proses transformasi ke arah sosialis dengan mengadakan pertanian secara bekerjasama. Berdasarkan rancangan ini kita dapat melihat beberapa perubahan yang cuba dilakukan oleh pihak kerajaan di dalam sektor pertanian. Hal ini dapat dilihat apabila rancangan fasa pertama ini menetapkan menjelang 1957 , 1/3 daripada petani akan terlibat dengan pertanian secara bekerjasama. Kerjasama pertanian ini diwujudkan bagi meluaskan pengeluaran pertanian yang mana sebelum ini hanya dilakukan dalam skala yang kecil dan persendirian sahaja. Namun begitu sudah menjadi kelaziman apabila terdapat juga sesetengah yang menentang rancangan yang telah ditetapkan ini. Pertanian yang dijalankan secara berkumpulan bagi memenuhi keperluan penduduk yang bertambah dan pembelian teknologi Soviet Union ini turut mendapat tentangan orang ramai. Namun begitu, campurtangan Mao Tze Tung telah berjaya menyekat penentangan ini dan akhirnya usaha ini membuahkan hasil apabila 90 peratus objektifnya tercapai.
            Setelah dianalisi kami mendapati industri berat dalam Rancangan Lima Tahun China Fasa Pertama ini telah menunjukkan perkembangan yang positif berbanding dengan sewaktu pemulihan ekonomi, sektor industri ini tidak begitu dititikberatkan. Selain itu, dari segi sektor pertanian pula telah berlaku perubahan yang drastik. Hal ini dapat dilihat apabila pihak kerajaan cuba mensosialisasikan bidang pertanian. Hasil pertanian ini diberikan sama rata dalam kalangan petani yang mana sebelum ini pertanian dijalankan secara persendirian. Oleh hal yang demikian, pekembangan ekonomi yang bersifat individu secara beransur- ansur dapat dikurangkan melalui sosialisasi sektor pertanian ini. Melalui rancangan ini juga pihak kerajaan berjaya mencapai objektif pemilikan awam melalui perubahan ke arah sosialis di dalam pertanian dan perindustrian.
Rancangan Lima Tahun China Fasa Kedua (1958-1962)
Rancangan ini telah diperkenalkan oleh Mao Tze Tung semasa perlaksanaan Gerakan Melompat ke Hadapan. Kempen ini dijalankan oleh Mao Tze Tung untuk membangunkan pembangunan teknikal dan mencapai tahap ekonomi yang memberangsangkan. Kempen ini disuarakan oleh Mao Tze Tung sebagai langkah sokongan kepada keberkesanan fasa pertama Rancangan Lima Tahun Pertama. Pada tahap ini, Mao Tze Tung telah melancarkan sistem ekonomi yang mengutamakan penggunaan tenaga kerja yang banyak dan menggunakan selain menghasilkan pengeluaran dengan cara tradisional. Selain itu, ekonomi pada tahap ini juga memberikan tumpuan kepada industri besi, pembangunan tenaga elektrik, arang batu, dan minyak juga diberikan tumpuan. Industri pengeluaran juga cuba dipertingkatkan apabila jaringan kereta api dan lebuh raya dibina di China. Sektor pertanian pula dititikberatkan dalam pembangunan ekonomi pada tahap ini.
            Demi melaksanakan dasar ekonomi yang telah dirancang, golongan massa atau petani telah dipindahkan dalam kawasan perkampungan yang dikenali sebagai commune. Melalui cara ini, kerajaan dapat menjaga keuntungan ekonomi petani selain memudahkan mereka menerima bantuan dalam usaha meningkatkan pengeluaran mereka. Demi mencapai kekuatan yang besar, satu commune yang besar telah dibina dan dapat menempatkan lebih 10,000 orang atau 10,000 orang isi rumah. Adalah dianggarkan bahawa satu commune  itu sama saiz dengan sebuah pekan. Tenaga yang besar amat diperlukan oleh kerajaan China untuk gerakan pembangunan projek mega seperti projek pembinaan terusan dan beberapa lagi projek pembinaan.
            Ekonomi masyarakat commune ini pula berdasarkan ekonomi sara diri. Setiap ahli commune akan diberikan tanah untuk bercucuk tanam dan menghasilkan barangan industri kampung. Selain itu, individu juga tidak dibenarkan untuk memiliki harta. Hak milik tanah petani akan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan. Setiap individu juga tidak dibenarkan untuk menerima upah atas setiap pekerjaan yang dilakukan. Mereka hanya diberikan keperluan yang sama rata seperti semua individu dalam commune. Tujuan dasar ini dijalankan adalah untuk membuang sikap individualistic dalam kalangan penduduk China untuk membentuk masyarakat yang mengamalkan ekonomi sosialis.
            Kerajaan China telah mengumumkan bahawa pengeluaran negara dapat dipertingkatkan pada tahun 1958. Hal ini demikian kerana, pada 1957, 65 peratus pengeluaran industri dapat dipertingkatkan selain pertambahan peralatan mesin sebanyak tiga kali ganda, keluli dan besi bertambah dua kali ganda, minyak bertambah 50 peratus dan elektrik bertambah 40 peratus. Malangnya, pertambahan ini berlaku hanya dari aspek kuantiti dan bukannya kualiti. Walaubagaimanapun, peningkatan pengeluaran ini hanya satu tipu helah kerajaan sahaja demi menutup kegagalan dasar yang dijalankan. Hal ini demikian kerana, laporan yang terperinci telah menjelaskan bahawa terdapatnya mesin-mesin yang terbengkalai dan tidak dipakai secara optimum. Contohnya di Louyang, tiga kilang telah mengeluarkan banyak lebihan besi-besi tidak boleh digunakan dalam mana-mana industri iaitu sebanyak 2500 tan. Di Shenyang pula, pengeluaran besi tidak bermutu.
            Setelah dianalisis, ‘Gerakan Melompat ke Hadapan’ ini telah memberikan kesan kepada ekonomi rakyat dan negara. Walaupun kerajaan mengatakan gerakan ini berjaya, tetapi kenyataannya, gerakan ini dilihat gagal kerana berlakunya banyak pembaziran daripada pengeluaran. Selain itu, barangan yang dihasilkan juga tidak berkualiti untuk dipasarkan dengan harga yang tinggi. Bagi rakyat pula, mereka tetap hidup dalam kemiskinan kerana mereka tidak dibenarkan untuk memiliki harta atas hasil usaha mereka.
Penstrukturan Semula Ekonomi (1963-1965)
 Penstrukturan ekonomi merupakan satu langkah yang dilakukan oleh kerajaan China untuk mengatasi kelemahan yang dialami dalam ‘Gerakan Melompat ke Hadapan’. Terdapat empat panduan yang telah ditetapkan dalam masa tiga tahun ini. Panduan itu ialah penyesuaian, penggabungan, pemantapan, dan menaikkan taraf atau kedudukan.
Panduan kepada penyesuaian telah diperkenalkan untuk menekankan bidang agrikultural di samping menghentikan kacau-bilau yang berlaku disebabkan perasaan tidak puas hati rakyat atas kekegagalan gerakan yang dilakukan sebelum ini sehingga menimbulkan kesan kebuluran yang teruk kepada rakyat. Penggabungan pula bermaksud penumpuan kepada penukaran autoriti dan fungsi dalam sistem commune dan juga pengurusan industri. Hal ini disebabkan kegagalan kedua-dua sistem ini untuk meningkatkan ekonomi negara. Pemantapan pula dilakukan oleh kerajaan China untuk menguatkan hubungan yang lemah diantara unit ekonomi. Peningkatan kepada kualiti bahan pengeluaran diberi penekanan dalam panduan menaikkan taraf. Hal ini disebabkan untuk memenuhi permintaan pengguna yang tinggi.
Secara keseluruhannya, penstrukturan semula ekonomi ini menyebabkan pelaburan dalam industri berat dikecilkan dan mengubah struktur industri yang tidak relevan. Selain itu, langkah ini berjaya mengembalikan kestabilan ekonomi China dan mengurangkan pembaziran dalam pengeluaran barangannya yang tidak berkualiti. Hal ini membuktikan penstrukturan semula ekonomi di China berjaya membawa perubahan positif dalam sejarah ekonomi China.
Rancangan Lima Tahun China Fasa Ketiga (1966-1970)
Dalam fasa ini, Mao Tze Tung tidak banyak memfokuskan tentang pertumbuhan ekonomi China. Hal ini demikian kerana, beliau risau dengan penglibatan golongan kapitalis dalam ekonomi China yang muncul pada tahap ini seperti Liu Shaoqi, Deng Xiaoping, Peng Zhen, dan Luo Ruiqing. Pada pendapat beliau, golongan ini dilihat boleh mempengaruhi golongan petani, belia dan generasi akan datang. Penglibatan golongan kapitalis bermula selepas kegagalan gerakan ‘Melompat ke Hadapan’. Disebabkan pentadbiran commune yang telah dirombak dalam penstrukturan ekonomi, petani telah dibenarkan untuk menjual barang di pasaran bebas selain bantuan kewangan diberikan kepada industri-industri di China. Walaupun banyak gerakan-gerakan yang dilakukan oleh Mao Tze Tung dalam fasa ini, gerakan itu tidak banyak menyentuh kepada ekonomi China cuma perpindahan penduduk kawasan industri di bandar ke kawasan pertanian di kawasan luar bandar telah memberikan impak negatif kepada ekonomi China. 

EKONOMI CHINA DI BAWAH PENTADBIRAN DENG XIAOPENG
Deng Xiaoping dari sudut ekonomi telah membuat satu perubahan serta memberi kesan yang besar dalam sistem ekonomi China. Dalam idea Deng Xiaoping, China yang diakui sebagai sebuah negara komunis telah berubah kepada sistem kapitalis dari sudut ekonominya. Hal ini sebenarnya bercanggah dengan pegangan komunis yang mana segala aspek sosial, politik dan ekonomi diserahkan kepada kerajaan.Walaubagaimanapun, dengan melihat kejayaan sistem ekonomi kapitalis di negara jiran seperti Jepun, Deng Xiaoping telah berjaya merubah ekonomi China dengan menggunakan prinsip yang sama.

            Dalam memegang slogan “Menjadi kaya itu mulia”, Deng Xiaoping telah menyusun sistem ekonomi China dengan baik. Beliau pada peringkat awalnya terlebih dahulu memberi fokus kepada  para petani dan juga sektor pertanian. Setelah itu fokus mula diberikan kepada sektor industri. Dalam sektor industry ini memperlihatkan keberanian Deng Xiaoping dalam membuka kembali perdagangan China kepada negara-negara luar. Selain itu, sistem pertahanan yang memberi kelebihan pada ekonomi juga diberikan tumpuan oleh Deng Xiaoping dan akhir sekali, perubahan ekonomi turut dilaksanakan dari aspek sains dan teknologi.


Pertanian
            Dalam memajukan sektor pertanian, Deng Xiaoping lebih menumpukan perhatiannya kepada kebajikan para petani. Sebelum era Deng Xiaoping, para petani berada dibawah kuasa tuan tanah. Dalam hal ini, hasil pertanian tidak dapat disumbangkan sepenuhnya kepada ekonomi negara.Sebaliknya perlu diberikan kepada tuan tanah. Keadaan ini menyekat perkembangan ekonomi di China yang sememangnya merupakan sebuah negara yang berasaskan pertanian. Lantaran itu, pada tahun 1978, Deng Xiaoping telah pun membebaskan para petani daripada cengkaman tuan tanah. Melalui kaedah ini, segala hasil pertanian yang diusahakan petani dapat dipasarkan mengikut harga yang telah ditetapkan oleh pasaran yang sememangnya menguntungkan para petani. Keadaan ini menggalakkan lagi petani untuk berusaha dengan lebih gigih dalam pertanian sekaligus merancakkan ekonomi China.
Dalam pada itu, Deng Xiaoping juga telah membuat satu perjanjian atau lebih dikenali sebagai kontrak dengan para petani di China. Dalam kontrak tersebut, para petani perlu menjual hasil pertanian kepada kerajaan dan dibeli dengan harga pasaran yang berpatutan. Dengan kontra kini, ianya menggalakkan lagi petani untuk menambah baik hasil pertanian mereka. Kontrak tersebut juga boleh dipanjangkan untuk 3, 5, dan juga 15 tahun. Kontrak ini juga boleh diwarisi ,dibeli dan juga dijual. Keadaan ini menunjukkan bahawa kebebasan telah diberikan kepada para petani dalam usaha untuk memajukan ekonomi China dari aspek pertanian. Perkembangan dalam bidang pertanian ini telah membawa kepada perkembangan sektor perindustrian.

Perindustrian
Dalam sektor ini, Deng Xiaoping telah mengubah sistem ekonomi di China kepada ekonomi yang berasaskan pasaran. Dalam sistem ini, terdapat beberapa kawasan yang dijadikan kawasan khas untuk perkembangan ekonomi China.Kawasan ini dinamakan Zon Ekonomi Khas yang terletak di Guangdong, Fujian, dan Hainan. Dengan adanya kawasan ini, segala bentuk industri yang menghasilkan barangan komoditi China berjaya dipasarkan dan dieksport. Strategi ini berjaya merubah negara China daripada sebuah negara pengeksport komoditi bermutu rendah kepada pengeksport komoditi yang bermutu tinggi. Hal ini sekaligus meningkatkan kadar eksport China kepada 10 kali ganda dan menjadikan China sebagai sebuah negara pengeksport komoditi yang bertaraf dunia.

            Dibuktikan juga, dengan perkembangan sektor perindustrian, mulawujud perusahaan kecil dan sederhana yang dijalankan di China. Perusahaan ini banyak memberikan keuntungan kepada rakyat China. Lantaran itu, perangkaan telah membuktikan bahawa, lebih 100,000 perniagaan persendirian ditubuhkan berasaskan keluarga pada sekitar tahun 1978. Perusahaan ini pula meningkat kepada 6 juta pada tahun 1983 dan meningkat lagi kepada 17 juta pada tahun 1985. Walaubagaimanapun, perusahaan ini banyak bergantung kepada sumber dan bahan dari dalam negara China. Oleh sebab itulah, melalui kaedah membuka pintu oleh Deng Xiaoping, ramai pelabur asing masuk ke China dan meningkatkan jumlah dagangan luar China. Hasilnya, jumlah dagangan luar China meningkat mendadak kepada $ 38 Bilion sekitar tahun 1980.

            Dalam sektor perindustrian, Deng Xiaoping dengan berani telah merubah dasar China dengan membuka ruang kepada negara asing untuk melabur di China. Kerana keberjayaan sektor perindustrian,seramai 200 000 warga asing telah melabur dalam negara China. Pelaburan tersebut pula telah memberi keuntungan sebanyak 60 Bilion dolar kepada China. Selain itu juga, bilangan pekerja industry di China juga semakin bertambah iaitu sebanyak 900 juta orang. Kebanyakan mereka merupakan para petani yang menjadi penyumbang utama sektor perindustrian China.

Dalam sektor perindustrian juga, Deng Xiaoping telah merubah sistem ekonomi di China. Melalui sektor perindustrian, sudah pasti banyak syarikat-syarikat yang terlibat dalam menyumbang kepada kemajuan industri China. Dalam pada itu, syarikat-syarikat yang terlibat ini diberi kebebasan untuk memiliki saham – saham yang penting atau dominan. Apabila kebebasan ini diberi, syarikat yang terlibat akan mudah untuk mendapat keuntungan tanpa sebarang sekatan ataupun pengawalan daripada pihak kerajaan. Perkara ini membuktikan bahawa, China pada zaman Deng Xiaoping telah banyak memberi ruang dan peluang kepada agen perkembangan ekonomi untuk memilih cara mereka sendiri dalam mendapatkan keuntungan.

            Secara keseluruhannya, sektor perindustrian yang membawa kepada dasar bukapintu China telah memberi kesan kepada sektor perkhidmatan pula. Hal ini demikian kerana, apabila ramai pelabur asing melabur dalam negara China, pekerjaan dalam bidang perkhidmatan sangat diperlukan bagi memastikan setiap pelaburan yang dibuat mendatangkan hasil. Hal ini sekaligus merancakkan sektor perkidmatan dan juga turut mempromosikan sektor perkhidmatan China ke negara luar.


Zon Ekonomi Khas
Sepanjang pentadbiran Deng Xiaoping, beliau berjaya memperkukuhkan sistem eknomi China sehingga menjadi kuasa besar dalam ekonomi dunia dengan menubuhkan Zon Ekonomi Khas. Dalam penubuhan Zon Ekonomi Khas, Deng Xiaoping bijak memilih kawasan persisiran pantai dan juga berdekatan dengan pelabuhan utama seperti Hong Kong dan juga Macau. Dengan pemilihan kawasan persisiran pantai, ianya dapat menarik ramai pelabur ataupun pedagang asing untuk melabur. Hal ini demikian kerana, kawasan persisiran pantaiakan memudahkan pergerakan dan perdagangan pelabur luar.

            Dalam Zon Ekonomi Khas, antara tempat yang menjadi tumpuan Deng Xiaoping ialah seperti di Xiamen, Shantou, Shenzhen dan juga Zuhai. Kawasan pelabuhan ini berkembang maju sehingga menjadi sumber utama kepada kemajuan ekonomi China.Sebagai contoh di Zuhai, pengambilannya sebagai Zon Ekonomi Khas telah menjadikannya sebagai kawasan pertanian yang membangun. Semenjak tahun 1980 lagi, terdapat sebanyak 11, 254 buah syarikat pelaburan asing telah melabur di Zuhai dengan bermodalkan pelaburan sebanyak RM 43.6 bilion. Hal ini membuktikan bahawa ramai pelabur asing mula mempercayai China dan seterusnya menjadikan China sebagai kuasa besar ekonomi dunia dan mampu bersaing dengan negara maju yang lain.

Ketenteraan Dan Teknologi
Dalam pada itu, perkembangan dan kemajuan ekonomi di China telah banyak membantu memajukan sistem ketenteraan di China. Hal ini demikian kerana, segala keuntungan ekonomi yang diperoleh sedikit sebanyak digunakan untuk membeli peralatan dan kelengkapan senjata tentera China. Hal ini sekaligus menjadikan segala keperluan ketenteraan China serba lengkap dan maju. Dari sudut teknologi pula, dengan mewujudkan Zon Ekonomi Khas segala bentuk teknologi terkini dibawa masuk ke China. Dengan strategi ini, ramai pemodal luar bermina tuntuk berdagang di China, Dengan penggunaan teknologi, banyak infrastruktur dan kemudahan dibina seperti jalan raya, pelabuhan dan juga menyediakan kos buruh yang murah. Antara tempat yang dibangunkan dalam kawasan Zon Ekonomi Khas ini pula ialah seperti di Shenzen, Zuhai, Shantou dan Xiamen. Perubahan ini sekaligus meransang pemodal dari luar untuk masuk ke China dan meningkatkan tahap ekonomi China.

Secara kesimpulannya, Deng Xiaoping telah berjaya merombak semula sistem ekonomi di China yang lebih mundur pada zaman Mao Zedong yang lebih tertumpu kepada ekonomi dalam negara China sahaja. Bahkan, melalui sistem buka pintu yang telah diperkenalkan oleh Deng Xiaoping,  China berjaya untuk membuktikan bahawa ekonomi mereka setaraf dengan negara-negara maju yang lain dan perkembangan dari zaman Deng Xiaoping ini masih lagi diteruskan oleh China sehingga ke hari ini.


ANALISIS PERBANDINGAN EKONOMI MAO TZE TUNG DAN DENG XIAOPENG.
Jika dilihat dari aspek ini juga terdapat jurang perbandingan yang cukup ketara antara pentadbiran Mao Tze Tung dan Deng Xiaopeng dalam melestarikan aspek ekonomi di China.  Hal ini dapat dilihat sewaktu mao Tze Tung memegang tampuk pemerintahan beliau banyak mengadaptasikan model ekonomi Soviet Union iaitu Rancangan Lima Tahun Ekonomi. Berdasarkan model inilah kerajaan China cuba menstruktur semula ekonominya yang semakin merosot sejak beberapa abad yang lalu terutamanya sewaktu proses membentuk Revolusi 1911 sehingga terbentuknya Republik Rakyat China pada tahun 1949. Kerajaan China pada waktu ini mendapat bantuan modal, kepakaran, nasihat dan peralatan ekonomi daripada Soviet Union. Selain itu, fokus utama di dalam aspek ekonomi ini berteraskan kepada sektor industri dan juga pertanian. Pelbagai usaha telah dibuat bagi membangunkan ekonomi negara China seperti mengadakan Gerakan Melompat Ke Hadapan dan juga Revolusi Kebudayaan. Namun begitu, pada akhirnya segala usahan dan perancangan yang dilakukan tidak membuahkan hasil yang begitu memberangsangkan.
            Berbanding dengan aspek ekonomi sewaktu pentadbiran Den Xiaopeng pula, beliau telah mengambil pendekatan yang berbeza dengan apa yang telah dilakukan oleh Mao Tze Tung. Hal ini dapat dilihat dari aspek ekonomi ini, Deng Xiaopeng telah memberikan fokus kepada pertanian, perindustrian, teknologi dan juga ketenteraan. Selain itu, beliau juga turut memperkenalkan Zon Ekonomi Khas pada waktu ini yang telah memberikan keuntungan kepada ekonomi China kerana aktiviti import dan eksport semakin berkembang. Hasil daripada pengenalan Zon Ekonomi Khas yang dijalankan atas dasar membuka ruang yang lebih luas kepada dunia luar negara China juga telah berjaya membawa masuk pelbagai teknologi terkini daripada luar.
            Secara keseluruhannya, perbezaan ideologi di antara kedua- dua tokoh ini telah membawa kepada pengenalan ekonomi yang berbeza di antara satu sama lain. Pada waktu pentadbiran Mao Tze Tung ekonomi China tidak begitu pesat membangun berbanding dengan era pemerintahan Deng Xiaopeng yang berjaya membawa China menjadi salah sebuah negara yang mempunyai kekuatan ekonomi yang mantap sehingga ke hari ini.

SOSIAL CHINA DI BAWAH PENTADBIRAN MAO TZE TUNG
KESAN PENTADBIRAN MAO TZE TUNG DARI ASPEK SOSIAL
Sejak Mao Tze Tung berjaya dilantik menjadi pengerusi PKC pada 1 Oktober 1949, beliau telah membuat banyak perubahan dan pembaharuan dalam sistem pentadbiran China. Kesan pembaharuan yang dilakukan dalam aspek politik dan ekonomi sedikit sebanyak telah mempengaruhi dan memberi kesan tidak langsung kepada aspek sosial masyarakat China. Hal ini demikian kerana, masyarakat China dilihat semakin dekat dalam usaha menggerakkan dasar komunisme di China pada ketika itu. Jika dilihat dalam usaha pembentukan masyarakat China itu sendiri, kerajaan China telah menafsirkan rakyat republik tersebut berasakan kepada empat kelas sosial iaitu pekerja, petani, bojuis kecil, dan juga kapitalis kebangsaan. Hal ini dapat memberikan gambaran bahawa semua rakyat China penting dan diberi perhatian dalam pentadbiran yang dijalankan oleh Mao Tze Tung. Seperti juga ekonomi, kesan sosial boleh dilihat melalui fasa atau tahap yang telah dilakukan oleh Mao Tze Tung.
Kebajikan Rakyat Terjaga
Jika ditinjau dari aspek petani itu sendiri mereka mendapat peluang dalam memberikan tuduhan dan aduan terhadap kekejaman dan ketidakadilan yang telah dilakukan oleh golongan tuan tanah. Hal ini dapat dilihat di Utara China apabila tuan tanah terpaksa berhadapan dengan tuduhan yang dilemparkan mengenai kekejaman yang dilakukan seperti menyumpah dan memukul para petani yang cuba memungut hasil gandum di tanah mereka. Tuan tanah ini dibicarakan di mahkamah orang awam berdasarkan aduan dan tuduhan yang dikemukan oleh para petani yang tertindas. Keadaan ini jelas menunjukkan kepada kita kehidupan petani yang selama ini sering tertindas dengan kekejaman tuan tanah mendapat pengadilan yang sewajarnya. Namun jika diperhatikan dengan lebih dalam lagi, pengenalan Reformasi Tanah ini sebenarnya memberikan impak negatif kepada kehidupan sosial tuan- tuan tanah. Hal ini dapat dilihat apabila kelas tuan tanah telah dimalukan dengan terpaksa menyerahkan segala aset ekonominya dan terdapat juga dalam kalangan mereka telah dibunuh. Sebagai contohnya di Shanghai, tuan tanah terpaksa membahagikan segala peralatan pertanian, ternakan dan rumah milik mereka dalam kalangan petani. Keadaan yang berlaku ini jelas menunjukkan keistimewaan para petani yang terjamin sebelum pengenalan Reformasi Tanah semakin lama semakin terhakis.
            Di samping itu, sewaktu Fasa Pemulihan Ekonomi, kesan sosial lain yang wujud pada waktu ini ialah wujudnya Undang- Undang Perkahwinan 1950 yang telah diperkenalkan oleh Republik Rakyat China. Pengenalan undang- undang ini telah mengubah sikap masyarakat China terhadap perkahwinan dan kekeluargaan. Sebagai contohnya, pada masa ini perkahwinan yang diatur dan perkahwinan yang dibeli telah diharamkan. Hal ini demikian kerana, setiap lelaki dan wanita berhak memilih pasangan hidup masing-masing. Selain itu, hak kaum wanita juga semakin dititikberatkan pada waktu ini. Kaum wanita berhak mendapat hak yang sama di salam guna tenaga kerja dengan mendapat gaji yang sama rata bagi kerja yang sama. Keadaan ini jelas menunjukkan norma- norma tradisional yang diamalkan  sebelum ini mula diubah mengikut arus kemodenan.
Penggunaan Tenaga Buruh yang Banyak
Dalam fasa ini, kesan kepada rakyat China dapat dilihat apabila rancangan untuk menubuhkan commune telah diutarakan. Rancangan ini telah dilaksanakan oleh kepimpinan Parti Komunis China (PKC) selama lima bulan iaitu antara April dan September 1958. Sebanyak 98.2 peratus isi rumah keluarga petani telah disusun ke dalam 26,425 commune. Tujuan sebenar commune dijalankan adalah untuk menggerakkan ekonomi negara dengan menggunakan tenaga buruh yang banyak.
            Oleh hal yang sedemikian, Mao Tze Tung telah menggunakan rakyat China yang ramai sebagai penggerak kepada rancangan ini. Hal ini dapat dibuktikan apabila golongan petani atau massa ini telah digunakan dalam pembangunan projek besar. Selain itu, tenaga buruh juga digunakan untuk tugas-tugas penting yang lain seperti membekalkan makanan dan juga bahan mentah untuk perindustrian selain digunakan untuk membina jalan, jambatan, pengairan dan lain-lain lagi. Hal ini menunjukkan setiap individu dalam negara merupakan aset penting dalam pembangunan negara.

Kehidupan Rakyat Terkongkong dan Tertekan
Sistem commune juga mengumpulkan rakyat China untuk tinggal dalam satu komuniti yang besar. Setiap commune mengamalkan ekonomi sara diri dimana mereka menghasilkan makanan melalui pertanian kecil-kecilan yang dilakukan di belakang rumah mereka atau dikenali sebagai relau pig-iron. Pentadbiran commune diletakkan di bawah kelolaan separa tentera dan mempunyai dapur, dewan besar dan nursery. Golongan petani pula telah melantik satu jawatankuasa untuk menguruskan sesebuah commune. Sebanyak 24 commune telah dibentuk pada tahun 1958.
Hal ini telah memberi kesan kepada rakyat apabila masyarakat China tidak lagi tinggal bersama keluarga mereka. Hal ini demikian kerana, mereka harus hidup dalam satu keluarga besar. Masyarakat commune akan makan secara beramai-ramai dalam dewan makan awam yang telah disediakan. Adalah dikatakan bahawa pada akhir tahun 1959, sebanyak 3.9 juta dewan makan telah didirikan di China. Oleh itu, jelas disini bahawa masyarakat China perlu bergaul dengan masyarakat setempat sama ada mereka suka atau tidak. Dari segi ekonomi pula, rakyat mengalami kesusahan kerana tidak mereka tidak dibenarkan memiliki harta dan menerima upah atas kerja yang dilakukan tetapi digantikan dengan keperluan seperti ahli commune yang lain.
            Berikutan itu, muncul pula masalah sosial di kalangan petani. Golongan ini telah lari meninggalkan commune masing-masing dan menuju ke Bandar untuk menjadi peminta sedekah. Selain itu, mereka juga melakukan kegiatan jenayah seperti menyerang hendap trak-trak dan merompak pengembara. Bagi gadis-gadis pula, mereka memilih untuk menjadi pelacur walaupun kerajaan Komunis telah mengharamkan kegiatan itu sejak awal 1950-an.
Pengabaian Sistem Pertanian dan Kadar Kematian Rakyat yang Tinggi
Dasar Mao Tze Tung untuk menaikkan industri besi di China juga memberi kesan kepada petani. Hal ini disebabkan kerana, golongan petani diminta untuk meleburkan segala besi yang dijumpai termasuklah periuk, tombol pintu, dan alat-alat pertanian untuk menambahkan bahan mentah tersebut untuk digunakan dalam industri berat. Mengikut laporan, sebanyak 140,000 tan peralatan pertanian telah dileburkan dalam kebuk bakar di wilayah Henan. Hal ini telah menyebabkan golongan petani mengabaikan sektor pertanian dan mengakibatkan masalah kekurangan makanan. Kesan lain ialah masalah kekurangan makanan yang teruk selain kekurangan zat makanan. Hal ini telah menyebabkan pelbagai penyakit timbul dalam masyarakat China seperti batuk kering dan beri-beri. Hasilnya, kadar kematian rakyat China telah meningkat sehingga 25 juta orang menjelang tahun 1959.
Budaya Tradisional China Dihapuskan
Selepas kegagalan Gerakan Melompat ke Hadapan, Mao Tze Tung telah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi Republik Rakyat China pada April 1959. Hal ini telah memberikan laluan kepada Liu Shaoqi untuk mengambil jawatan beliau. Liu Shaoqi telah menjalankan ekonomi yang lebih bersifat terbuka. Mao Tze Tung merasakan bahawa dasar yang dijalankan oleh Liu Shaoqi akan membawa China kembali kepada gaya kapitalisme. Oleh itu, Mao Tze Tung telah memperkenalkan Revolusi kebudayaan ini untuk menarik semula dan mengingatkan masyarakat China tentang ideologi komunis selain mengubah budaya tradisional China kepada budaya Barat.
            Dari segi kebudayaan pula, Mao Tze Tung melarang seni persembahan yang bersifat lama dan feudal dan menggantikan seni persembahan yang berbentuk sosialis selain menyerap unsur-unsur persembahan dari Barat seperti muzik klasik dan kontemporari Barat ke dalam masyarakat China. Skrip-skrip opera pula telah ditulis semula untuk menunjukkankehebatan komunis seperti opera The White Haired Girl yang menyelitkan kehebatan komunis menyelamatkan seorang gadis daripada Jepun. Kesannya, ramai seniman feudal seperti pelakon pentas, penulis skrip opera, pelakon drama, dan pemain muzik kehiangan pekerjaan mereka dan dihantar bekerja ke kilang dan ladang. Selain itu, kebudayaan China tidak dapat dipertahankan dan hilang begitu sahaja.
 Rakyat Hidup dalam Kekacauan
Demi melaksanakan matlamat penyebaran ideologi ini, Mao Tze Tung telah membentuk Red Guards yang disertai oleh golongan muda dan lepasan universiti. Hal ini menjadikan golongan ini sebagai penyokong terkuat Mao Tze Tung. Sesuai dengan slogan Mao Tze Tung yang mengamalkan kekuasaan dengan keganasan, golongan muda ini telah bertindak ganas dengan bertindak membunuh mereka yang menentang, membakar patung-patung agama selain berlakunya huru-hara akibat penentangan rakyat terhadap tentera ini. Mao Tze Tung juga telah mengarahkan Red Guards untuk menggeledah rumah dan bangunan untuk mencari dan memusnahkan simbol feudal dari China. Red Guards juga turut memusnahkan tinggalan sejarah dengan membakar buku-buku lama dan memusnahkan bangunan lama seperti rumah ibadat dan tinggalan sejarah yang lain. Dianggarkan bahawa sebanyak 4922 buah bangunan lama telah dimusnahkan sepanjang kempen ini dijalankan selain tingkap kedai yang mempamerkan barangan asing turut dimusnahkan. Tindakan liar yang dilakukan oleh Pengawal Merah ini telah menyebabkan rakyat China hidup dalam kekacauan dan ketakutan
Pendidikan Rakyat Terjejas
Sistem pendidikan turut terjejas semasa pemerintahan Mao Tse Tung. Hal ini demikian kerana, sistem pendidikan telah diatur dan diuruskan oleh pemerintahan komunis dimana pelajar sekolah perlu memberikan komitmen kepada parti dan kerajaan komunis. Pelajar sekolah yang baru menghabiskan persekolahan akan dihantar ke luar bandar untuk dijadikan Pengawal Merah. Hal ini membuktikan bahawa pelajar lepasan sekolah diikat dengan polisi kerajaan contohnya kempen Socialist Education Campaign yang dijalankan oleh Mao Tse Tung pada tahun 1962 yang memfokuskan perjuangan parti yang berteraskan pendidikan. Kesannya, kerajaan China berjaya mengurangkan kos untuk mencari pelapis Pengawal Merah. Hal ini berjaya memberi kesan kepada pentadbiran Mao Tse Tung apabila beliau berjaya mengukukuhkan kekuasaannya.
            Umumnya, pentadbiran yang dilakukan oleh Mao Tse Tung ini dilihat berjaya dan memberi kesan positif kepada rakyat China pada peringkat awalnya. Namun begitu, semakin lama dasar beliau dijalankan, semakin banyak kepincangan yang dapat dilihat dalam dasar tersebut. Secara tidak langsung, rakyat China menerima padah dan hal ini memberi kesan negatif pula kepada rakyat China.

PERUBAHAN SOSIAL DI BAWAH PENTADBIRAN DENG XIAOPENG
Golongan Wanita Ditindas
Hak terhadap wanita dalam pemerintahan Komunis telah dipelihara sejak zaman pemerintahan Mao Tse Tung lagi. Hal ini dapat dibuktikan apabila aktiviti pelacuran telah diharamkan sejak awal tahun 1950-an lagi. Namun begitu, semasa era pemerintahan Deng Xiaopeng, hak wanita semakin terabai dan dilupakan. Hal ini demikian kerana, kebajikan wanita seperti pekerjaan, penjagaan kesihatan, pendidikan, keselamatan, dan juga urusan pencen yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan pada masa itu membawa kesan buruk apabila kerajaan gagal untuk menjaga kebajikan kaum wanita ini. Kesannya, ramai pekerja wanita yang dibuang kerja, dipaksa bersara lebih awal berbanding lelaki, kebajikan wanita diabaikan selepas diberhentikan kerja, dan sukar untuk mendapatkan semula pekerjaan selepas diberhentikan. Bagi wanita yang bekerja pula, mereka menghadapi masalah apabila mereka hanya diberikan pekerjaan yang memerlukan wanita bekerja lebuh 8 jam sehari, pekerjaan yang melibatkan persekitaran yang berbahaya, golongan wanita tidak dilindungi semasa bekerja, dibayar dengan gaji yang rendah dan kadang-kala menghadapi masalah pembayaran gaji yang lewat.
            Walaupun terdapat kesan positif seperti wanita boleh memiliki tanah, golongan wanita masih tidak dapat disamakan tarafnya seperti golongan lelaki (Li dalam Tinker & Summerfield). Hal ini dapat dibuktikan apabila kaum wanita terpaksa berkongsi tanah yang diwarisi mereka dengan suami ataupun keluarga suami mereka. Kesannya, jika seseorang wanita itu diceraikan, mereka terpaksa berdepan dengan masalah ketiadaan tanah.
            Selain itu, wanita juga dibebankan dengan kerja yang banyak seperti bercucuk tanam dan menguruskan rumah tangga. Oleh yang demikian, golongan wanita menghadapi masalah dalam melakukan pekerjaan ini. Contohnya, golongan wanita bekerja sendirian di kawasan bercucuk tanam. Mereka hanya dibantu oleh suami, anak-anak dan saudara-mara apabila tiba musim menanam dan menuai. Selain itu, mereka juga sibuk dalam menguruskan rumahtangga kerana kemudahan yang disediakan semasa era commune tidak lagi disediakan seperti tempat asuhan kanak-kanak.
Taraf Hidup Rakyat Meningkat
Sejak tahun 1978, perniagaan di China telah melalui satu reformasi yang besar. Hal ini demikian kerana, orang China melihat perniagaan ini merupakan salah satu jalan untuk mendapatkan keuntungan dengan cepat dan banyak. Oleh hal yang demikian, dasar ramai rakyat China yang memilih untuk bekerja dalam sektor perniagaan berbanding sektor lain seperti ketenteraan. Bagi golongan pelajar pula, mereka menetapakan bahawa perniagaan merupakan pekerjaan yang akan dipilih selepas tamat pengajian. Kesannya, rakyat China mempunyai mata pencarian yang kukuh disamping berjaya meningkatkan taraf hidup mereka.
            Selain itu, kesan daripada kemunculan perniagaan yang banyak ini, kerajaan China telah melaksanakan dasar atau langkah yang proaktif untuk menjamin keuntungan peniaga ini. Contohnya, kerajaan China telah melakukan penyesuaian semula kadar upah atau gaji dan mengkaji semula suasana di tempat kerja. Taraf hidup rakyat China juga boleh dikatakan meningkat apabila polisi Deng Xiaopeng yang mementingkan perniagaan tersebut berjaya meningkatkan ekonomi kawasan bandar dan luar bandar. Kesannya, rakyat dapat menikmati taraf hidup yang lebih selesa seperti mendapat bantuan makanan, kadar sewa rumah yang berpatutan, pengankutan awam, penjagaan kesihatan, pencen dan banyak lagi kemudahan hasil daripada aktiviti perdagangan yang pesat ini. Kesannya, masyarakat di pedalaman juga mendapat faedah hasil daripada aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh pedagang ini.
Masalah Penyelewengan Berleluasa
Deng Xiopeng merupakan individu yang mementingkan pembangunan ekonomi. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau telah melaksanakan dasar perdagangan yang terbuka dengan pihak-pihak luar telah menyebabkan usahawan China berpeluang untuk memperluaskan perniagaan mereka ke satu tahap yang lebih tinggi. Hal ini disokong pula dengan slogan Deng Xiaopeng yang mengatakan bahawa ‘getting rich is glorious’ atau ‘menjadi kaya itu mulia’.
            Dengan sokongan yang diberikan ini, rakyat China telah berlumba-lumba untuk mencari kekayaan walaupun dengan cara penyelewengan. Hal ini ternyata berbeza dengan ekonomi pada era pemerintahan Mao Tse Tung dimana rakyat tidak dibenarkan untuk menyimpan harta dan sesekali tidak dibenarkan untuk bersikap materialistik dan invidualistik.  Penyelewengan yang dilakukan oleh masyarakat China pada masa itu sangat besar dan menyeluruh untuk mendapatkan projek pembangunan, aset, dan juga bantuan pembangunan.
Pendidikan
Sewaktu pentadbiran Deng Xiaopeng, kita juga dapat melihat berlakunya perubahan dalam bidang pendidikan. Sejak berlakunya pembaharuan dalam ekonomi dan penerimaan kepada dasar buka pintu, Deng Xiaopeng menyedari bahawa pendidikan merupakan unsur yang penting dalam menuju ke arah pemodenan. Beliau turut menegaskan pembangunan ekonomi di China tidak boleh dipisahkan dengan bidang pendidikan.
Memang tidak dapat dinafikan lagi, sebelum pentadbiran beralih kepada Deng Xiaopeng , Mao Tze Tung tidak begitu menitikberatkan aspek pendidikan ini. Hal ini dapat dilihat apabila ramai guru- guru dan pelajar dihantar ke pelbagai tempat seperti kilang- kilang, kawasan desa dan kem tentera untuk belajar daripada pekerja, petani dan tentera sewaktu Revolusi Kebudayaan. Namun begitu berlakunya perubahan yang drastik berkaitan dengan aspek pendidikan  ini apabila Deng Xiaopeng memegang tampuk pemerintahan. Deng Xiaopeng telah memberi keutamaan kepada bidang pendidikan kerana bidang ini dapat menyediakan kakitangan yang mencukupi  bagi melaksanakan pembangunan Empat Modernisasi.
Antara usaha yang telah dilakukan oleh Deng Xiaopeng dalam membangunkan bidang pendidikan ini ialah dengan menggalakan bidang sains dan teknologi di universiti, pembangunan sekolah rendah dan sekolah menengah yang tidak begitu penting sewaktu era pentadbiran Mao Tze Tung.  Melalui kemajuan dalam aspek pendidikan ini juga, negara China berhasrat untuk mencapai 100 peratus kadar celik huruf dalam kalangan rakyatnya. Pada tahun 1986 Kongres Kebangsaan Rakyat telah mengeluarkan Undang-Undang Wajib Pendidikan yang memerlukan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah sekolah rendah selama 6 tahun dan ke sekolah menengah selama tiga tahun.
Jelaslah kepada di sini bahawa, sewaktu era pentadbiran Deng Xiaopeng ini institusi pendidikan telah diberikan perhatian yang khusus oleh pentadbirannya. Hal ini demikian kerana, bidang pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan sesebuah negara kerana pendidikan merupakan tunjang kemajuan kepada sesebuah negara. Segala usaha yang telah dilakukan oleh Deng Xiaopeng ini sedikit sebanyak telah memberikan peluang kepada kanak- kanak untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya berbanding dengan kanak- kanak yang hidup pada zaman Mao Tze Tung. Hal ini demikian kerana, sewaktu era pemerintahan Mao Tze Tung, pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah tidak dapat dibangunkan dengan sewajarnya kerana kekurangan sumber kewangan. Oleh itu,  dapatlah disimpulkan bahawa keberkesanan pendidikan sewaktu pentadbiran Deng Xiao Peng ini akhirnya telah menjadi asas kepada kemajuan pendidikan di negara China hingga ke hari ini.

Mobilisasi Buruh
Selain daripada itu, perusahaan milik negara yang diperkenalkan iaitu “denwei” menyebabkan buruh di kota terpaksa menanggung beban. Hal ini kerana sistem mangkuk besi(tiefan wan) yang digunapakai tidak memberi jaminan kepada buruh seumur hidup oleh pemimpin. malah, perusahaan yang berskala kecil sukar bersaing dengan perusahaan yang besar sehingga membawa kepada pemecatan buruh yang ramai. Perubahan dan akibat yang terjadi memang akan dirasai oleh mana-mana negara pun apatah lagi negara China sendiri, khsusnya bahi mereka yang tinggal di desa bahagian barat dan tengah China. Kehidupan mereka yang dihimpit oleh kemiskinan dan kesusahan menyebabkan mereka mencari cara terbaik untuk meringankan beban mereka. Kebanyakkan daripada mereka telah berhijrah ke bahagian timur China untuk menjadi buruh kerana ketika itu Timur China sedang membangun dengan industri perindustrian.
 Perkara sedemikian sangat berbeza semasa pemerintahan Mao kerana Zaman Mao mengamalkan sistem Hukou secara ketat sehinggakan perhijrahan penduduk dari desa ke kota adalah jarang sekali. Hal ini kerana pelbagai syarat telah dikenakan kerana ditentukan oleh unit kerja atau kommune. Reformasi Ekonomi 1978 telah menyebabkan peningkatan jumlah golongan imigran ke kawasan kota dan daerah perindstrian. Faktor penolakan yang berlaku di kawasan asal mereka telah menyebabkan mereka memilih untuk berhijrah kerana terdapat banyak peluang pekerjaan dan upah yang tinggi. keadaan sedemikian telah memacu  kepada pembangunan di kota dan daerah perindustrian.
ANALISIS PERBANDINGAN SOSIAL MAO TZE TUNG DAN DENG XIAOPENG.
Setelah dianalisis, pendekatan yang dilakukan oleh Mao Tze Tung telah menyebabkan rakyat hidup dalam ketakutan. Hal ini demikian kerana, pentadbirannya yang lebih kepada ketenteraan dan menumpukan kepada perkara yang tidak penting telah menjejaskan golongan petani sehingga menyebabkan masyarakat ini terseksa. Berikutan itu, banyak masalah sosial telah timbul dan mengakibatkan rakyat terseksa. Contohnya keganasan yang dilakukan dalam Revolusi Kebudayaan telah menyebabkan China mengalami kerugian dari segi harta benda dan korban nyawa. Pendidikan pada masa ini dilihat hanya mengutamakan dasar-dasar kerajaan yang bersifat komunis.
            Hal ini berbeza dengan masyarakat pada zaman pemerintahan Deng Xiaopeng yang hidup lebih selesa dari sebelumnya. Hal ini dapat dilihat apabila Deng Xiaopeng menjalankan dasar ekonomi yang lebih terbuka. Kesannya, ekonomi rakyat berjaya dipertingkatkan. Selain itu, pendidikan rakyat pada masa ini juga dapat dipertingkatkan apabila Deng Xiaopeng memperkenalkan semula ujian untuk kemasukan ke sekolah dan universiti. Cuma, terdapatnya beberapa kepincangan yang berlaku disebabkan permodenan yang cuba dilakukan oleh beliau. Pendidikan juga dititikberatkan selain sistem pendidikan disusun lebih teratur dan bersistematik. Umumnya, terdapat perbezaan kehidupan rakyat pada kedua-dua zaman ini.
KESIMPULAN
Pada keseluruhannya, kumpulan kami mendapati terdapatnya perbezaan yang nyata dalam pentadbiran kedua-dua pemimpin ini. Perbezaan ini dapat dilihat dalam politik dan sosio-ekonomi. Hal ini dapat dilihat sewaktu pentadbiran Mao Tze Tung, ideologi sosialisme merupakan tunjang utama dalam pentadbirannya. Hal ini berbeza dengan Deng Xioapeng yang lebih menjurus kearah kapitalis dan hubungan luar. Namun begitu, kita tidak dapat menafikan bahawa kedua-dua pemimpin komunis ini memainkan peranan yang penting dalam perjalanan mewujudkan sebuah negara komunis yang besar. Tetapi, keberhasilan pentadbiran kedua-dua pemimpin ini menampakkan perbezaan yang nyata yang mana pentadbiran Mao Tze Tung tidak begitu berjaya berbanding Deng Xiaopeng yang berjaya membawa China menjadi sebuah negara yang maju dari segi ekonominya dan kesannya dapat dilihat sehingga ke hari ini.  

1 comment:

  1. assalamualaikum.. terima kasih ats info yg sgt2 membantu dlm penulisan ini..saya cuma nak tanya..buku apa ea yg boleh dirujuk utk mengetahui karya2 beliau..sbb saya da cari di library tp x byk dinyatakan.terima kasih

    ReplyDelete