1.1 Pengenalan :
Terminologi Islam itu sendiri jelas memberi gambaran yang sangat unggul dalam keupayaanya untuk tersebar luas di seluruh dunia sejak dari awal kurun selepas masihi lagi. Nusantara atau Alam Melayu juga tidak terkecuali daripada menjadi tapak penting berkembangnya agama Islam melalui proses penyebarannya seawal kurun ke-7 masihi. Catatan-catatan dan kesan-kesan sejarah Islam telah memberi gambaran yang jelas kepada kita bahawa Islam telah tersebar sejak zaman Rasulullah SAW lagi melalui para pedagang Arab yang datang ke Kepulauan Melayu untuk mendapatkan kapur barus. Meskipun keunggulan Islam dan faktor perdagangan itu membolehnya tersebar luas di Nusantara, namun penglibatan golongan ulama dilihat sebagai satu faktor terpenting dalam penyebarannya. Dari aspek tasawwur (world view), ulama adalah sebagai agen penyebaran yang sangat berjaya dalam usaha menyebarkan Islam ke Nusantara. Sumbangan golongan ulama dilihat begitu jelas dan menyeluruh dalam penerapan ciri-ciri dan nilai-nilai Islam bagi masyarakat dan pemerintahan pada zaman pemerintahan awal kerajaan Islam di Nusantara.
Golongan telah menerajui penyebaran Islam di Nusantara dengan pelbagai cara. Kegiatan ulama yang tersebar di daerah ini adalah faktor yang mengukuhkan lagi kefahaman keagamaan di kalangan orang-orang Islam di rantau tersebut berabab-abab lamanya. Meskipun kemudiannya Nusantara telah ditewaskan oleh kuasa Barat namun Islam masih tetap teguh sebagai satu anutan. Ini jelas menunjukkan bahawa penyebaran Islam di Nusantara bukanlah semata-mata berdasarkan teori perdagangan. Tetapi lebih dipercayai bahawa ahli-ahli ulama yang lebih aktif dan berperanan penting sehingga menjadikan Islam termasyhur di rantau ini.
2.1 Latar Belakang Ulama:
Islam adalah agama universal untuk seluruh manusia yang tidak dikhususkan untuk bangsa tertentu dan tidak pula dibatasi oleh zaman atau sempadan yang tertentu.Pada abad ke-7 sehingga abad ke-16, Islam telah mula bertapak dan berkembang sehingga mencapai kegemilangannya di Nusantara seperti Tanah Melayu, Indonesia, dan Patani. Walaupun terdapat pelbagai faktor lain, namun peranan ulama adalah lebih jelas kerana peranan ulama sememangnya penting dalam penyebaran Islam di Nusantara. Hal ini kerana keperibadian, pendidikan serta karya-karya para ulama ini membuka mata masyarakat di Nusantara untuk menerima Islam sehinggakan para ulama ini mempunyai murid-murid serta para pengikut yang setia juga berperanan sebagai pembantu dalam menjalankan dakwah yang menjadi salah satu cara dalam menyebarkan Islam di Nusantara.
a) TANAH MELAYU
Buktinya, setiap negara Islam di Nusantara mempunyai ulama yang unggul termasuklah di Tanah Melayu. Ulama yang terkenal di Tanah Melayu ialah Syeikh Abdul Malik yang berasal daripada Terengganu.[1] Beliau mendapat pendidikan daripada para ulama di Terengganu dan meneruskan pembelajarannya ke Aceh. Beliau telah menerima talqin bai’ah Thariqat Syathariyah daripada ulama Aceh yang terkenal iaitu Syeikh Abdul Rauf bin Ali Al-Fansuri. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Makkah dan Madinah. Beliau juga telah menerbitkan karya seperti Al Kitabul Kifayah dan manuskrip yang berkaitan dengan soal jawab dalam perkahwinan.
b) INDONESIA
Selain dari Tanah Melayu, Indonesia juga mempunyai ulama yang terkemuka iaitu Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Mankatsi. Antara gelaran beliau ialah “Tuanta Salamaka” dan “Abul Mahasin”. Beliau dilahirkan di Makassar dan merupakan ulama yang pertama muncul dari daerah Bugis-Makassar. Beliau berperanan sebagai seorang mufti, guru bagi putera sultan dan merupakan penasihat sultan Banten. Beliau telah didedahkan dengan agama Islam sejak kecil lagi dan telah mengaji Al-Quran dengan Daeng Ri Tasammang. Pendidikan beliau diteruskan dengan ilmu nahwu, sharaf, dan mantiq dengan Saiyid Ba ‘Alawi bin al-Allamah Abdullah Thahir di Bontoala. Pada usia 15 tahun pula, beliau telah berguru dengan Syeikh Jalaluddin al-Aidid yang berasal daripada Aceh. Akhirnya, beliau telah berlayar ke Banten, Jawa Barat untuk mempelajari ilmu agama yang lebih mendalam. Ajaran yang dibawa adalah mengenai kesucian batin dan konsep Allah iaitu kewujudan Allah, zat dan sifat dan ajaran tentang pencipta alam serta konsep tentang manusia iaitu hakikat dan keabadian roh, hubungan roh dengan jasad dan insan kamil.[2]
Syeikh Yusuf juga telah menghasilkan beberapa karya dalam mengembangkan Islam di Indonesia melalui tiga bahasa iaitu Arab, Melayu dan Bugis. Contohnya, Ar-Risalatun Naqsyabandiyah yang ditulis dalam bahasa Arab. Keperibadian dan ilmu yang dimiliki telah membuatkan pengaruhnya sebagai ulama unggul tersebar sehinggakan beliau mempunyai ramai pengikut baik di sekitar Sulawesi Selatan, Banten, Ceylon mahupun Tanjung Pengharapan.Contohnya, Abdul Qadir Karaeng Majeneng iaitu seorang tokoh yang juga giat mengembangkan ajaran Islam. Pada peringkat awal beliau hanya memantapkan pengajaran agama kepada pengikutnya. Kemudian beliau mempengaruhi orang lain yang didatangkan ke Kaap, Afrika Selatan.
c) PATANI
Sama seperti negara Nusantara lain, Patani juga mempunyai ulama terkenal yang berperanan menyebarkan Islam iaitu Syeikh Wan Abdur Rahman bin Syeikh Wan Abdul Mubin III yang berketurunan Arab. Beliau mendapat pendidikan awal daripada ayahnya yang juga pengasas sekolah pondok Pauh Bok. Sekolah pondok ini merupakan yang tertua di Patani. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Makkah dan menerima bai’ah Thariqat Samaniyah. Beliau pernah mengajar di Masjid an-Nabawi Madinah dan Masjidil Haram Makkah serta merupakan orang Melayu pertama yang pernah mengajar di Masjid an-Nabawi Madinah. Beliau telah menyebarkan Islam dengan menggunakan kaedah Thariqat Khalwatiyah Sammaniyah dan sering menjalankan dakwah di alam Melayu seperti di Kelantan, Terengganu dan Brunei. Antara karya beliau adalah Mir-atul Haq atau cermin yang sebenar-benarnya. Beliau juga lebih menekankan ilmu tasawuf. Selain daripada anak dan cucunya, beliau juga mempunyai murid yang ramai kerana beliau pernah menjadi guru di pelbagai tempat seperti Masjidil Haram Makkah. Beliau telah meninggal dunia di Madinah.Oleh itu, berdasarkan beberapa latar belakang para ulama, jelaslah bahawa peranan ulama adalah sangat penting dalam penyebaran Islam di Nusantara. Buktinya, di dalam setiap negara Islam di Nusantara terdapat golongan ulama yang menjadi tulang belakang dalam memastikan ajaran Islam sentiasa berkembang.
3.1 Cara Penyebaran Islam Oleh Ulama
Terdapat pelbagai cara digunakan oleh ulama bagi memastikan Islam tersebut dapat tersebar luas di Nusantara yang meliputi beberapa aspek dan sudut.
a. Melalui Kegiatan Perdagangan
Perdagangan juga menjadi faktor penyumbang dalam penyebaran Islam di Nusantara. Namun begitu, walaupun kedatangan Islam ke Nusantara dikatakan berkait rapat dengan kegiatan perdagangan tetapi para ulama tetap ditegaskan sebagai faktor yang paling penting dalam menyebarkan dan mengembangkan Islam di Nusantara. Hal ini demikian kerana pedagang Islam juga terdiri daripada para ulama. Melalui kegiatan perdagangan, para pedagang dari Arab, India, dan Parsi mula bertapak dan menumpukan kegiatan perdagangan mereka di Nusantara mulai pertengahan abad ke 7 lagi. Al- Mas’udi menceritakan mengenai kedudukan Kedah yang terletak di pertengahan jalan ke China.
Hal ini demikian kerana pada abad ke- 14, Kedah merupakan sebuah pelabuhan yang tersusun di bahagian Barat Semenanjung Tanah Melayu[3] dan juga dilabelkan sebagai sebuah emporium perdagangan bagi pelbagai komoditi termasuklah kayu- kayu harum, terompah, dan sebagainya.Selain itu, banyak lagi tempat yang dinyatakan seperti Pahang, Acheh, Sumatera, dan sebagainya yang membuktikan bahawa orang- orang Islam pernah mengunjungi tempat- tempat tersebut sebagai pedagang sekaligus sebagai pendakwah untuk menyebarkan Islam. Kegiatan perdagangan yang dijalankan oleh mereka ini bukan sahaja bertujuan berdagang semata- mata tetapi juga dianggap sebagai satu peluang yang baik dan jalan pintas bagi para pedagang Islam untuk menyebarkan Islam kepada penduduk tempatan di kawasan- kawasan yang disinggahi di Nusantara. Jelaslah menunjukkan bahawa Islam tersebar melalui peranan ulama yang dibawa melalui aktiviti perdagangan.
Kejujuran dan sifat amanah pedagang Islam membolehkan mereka juga dilantik sebagai syahbandar dan Islam tersebar menerusi peranan syahbandar yang dapat dilihat di pelabuhan Melaka. Selain itu, kedatangan pedagang Islam pada abad ke- 10 di pesisir pantai Sumatera Barat yang menjalankan kegiatan dakwah telah berjaya mewujudkan Kesultanan Islam pertama di Perlak yang muncul pada akhir abad ke- 12 dan melahirkan pusat ilmu Islam pertama yang dikenali sebagai Zawiyah Cot Kala. Zawiyah merupakan sebuah pusat ilmu yang diwujudkan oleh para ulama yang berkiblatkan Masjid Haramayn dan Rasulullah S.A.W. Zawiyah bertindak sebagai pusat penyebaran ilmu, kebajikan, pendidikan, penyelidikan, penjaringan, dan juga penerbitan. Sebelum kemunculan Zawiyah ini, masyarakat tempatan berada dalam keadaan buta huruf dan hanya menimba pengetahuan melalui pengalaman alam sekeliling yang diwariskan secara lisan dari satu generasi ke generasi yang lain.[4] Di sini peranan ulama yang begitu ketara kerana kehadiran Zawiyah telah berjaya menghapuskan buta huruf dalam kalangan masyarakat tempatan. Jelaslah menunjukkan bahawa tanpa peranan para ulama ini, kegiatan penyebaran Islam tidak dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna.
b. Melalui Kesusasteraan dan penulisan
Walaupun pada ketika itu kesusasteraan dan penulisan menjadi saluran penting dalam penyebaran Islam di Nusantara namun peranan ulama masih menjadi faktor terbesar yang menyumbang dalam penyebaran Islam. Hal ini demikian kerana selepas kedatangan Islam telah wujud tulisan jawi yang berasal daripada huruf Arab. Di sinilah kita dapat melihat para ulama dan pendakwah berperanan penting dalam menyebarkan Islam kepada penduduk tempatan di Nusantara dengan lebih mudah dan lancar. Hal ini disebabkan oleh para ulama dapat menguasai tulisan jawi dengan baik sekaligus memudahkan mereka mengajar tentang ilmu yang berkaitan dengan Islam. Bertitik- tolak daripada inilah lahir pelbagai bentuk sastera Arab termasuklah syair, sajak, nazam, gurindam, dan sebagainya yang mempengaruhi bahasa Melayu.
Keadaan ini telah menyebabkan sastera- sastera Islam dapat dikembangkan melalui Bahasa Melayu sekaligus keadaan ini telah berjaya mengembangkan lagi fahaman penduduk- penduduk tempatan mengenai ajaran Islam yang sebenar- benarnya. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa para ulamalah yang memberi sumbangan besar dan penting dalam menyebarkan Islam sehingga lahirnya ramai tokoh pengarang Islam dalam kalangan ulama yang menghasilkan karya- karya yang berunsurkan Islam sama ada dalam bentuk asli mahupun terjemahan. Sebagai contoh karya- karya yang telah dihasilkan ialah Hikayat Nabi Bersyukur, Hikayat Nur Muhammad, HIkayat Nabi Wafat, HIkayat Amir Hamzah, dan sebagainya.[5]
Peranan yang dimainkan oleh para ulama ini terbukti sangat penting dalam penyebaran Islam apabila mereka gigih menterjemahkan karya ini dalam Bahasa Melayu sehingga berjaya menarik minat dan perhatian penduduk- penduduk tempatan untuk membaca dan menghayatinya. Oleh itu, terbuktilah bahawa peranan para ulama telah berjaya menyebarkan Islam sekaligus menyumbang dalam kepesatan bidang kesusasteraan di Nusantara.[6] Secara tidak langsung, kita dapat lihat semangat jihad ditiupkan oleh ulama melalui hasil penulisan mereka sekaligus melahirkan tokoh- tokoh sastera seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al- Raniri di Acheh.
c. Melalui Penaklukan
Penaklukan juga menjadi antara faktor penting yang dibahaskan oleh sesetengah sejarawan dalam penyebaran Islam di Nusantara kerana agama Islam dapat berkembang dan tersebar dengan lebih cepat. Penaklukan hakikatnya bukanlah faktor utama kepada berlakunya penyebaran Islam di Nusantara berbanding dengan peranan ulama. Walaupun penaklukan dilakukan oleh kerajaan Islam, namun begitu tiada paksaan untuk rakyat di bawah jajahannya menjadi seorang Islam. Melaka muncul sebagai sebuah kuasa penakluk di Nusantara pada zaman Paduka Raja Tun Perak (1456M-1498M). Pada zaman kegemilangannya, empayar Melaka meliputi Pahang, Terengganu, Kedah, Patani, Johor, Kelantan, Kampar, Siak, Rokan, Inderagiri, Siantan, Kepulauan Riau-Lingga, Jambi dan lain-lain. Setelah menawan wilayah baru, pihak pemerintah menjemput ulama untuk mengajar Islam secara lebih mendalam kepada penduduk yang baru memeluk agama Islam.
Dharmawijaya dalam bukunya yang bertajuk Kesultanan Islam Nusantara menyatakan di Pasai, Sultan Malik al-Zahir mengutus ulama ke pelbagai wilayah di Nusantara untuk berdakwah. Misalnya beliau mengutuskan Maulana Malik Ibrahim dan Maulana Ishak untuk berdakwah di Pulau Jawa serta mengutuskan sekumpulan pendakwah ke Sulawesi di bawah pimpinan Raja Abdul Jalil bin Sultan al-Qahhar serta seorang ulama Arab bernama Syeikh Ali al-Qaisar. Antara lainnya ialah Kerajaan Islam Demak pernah menakluki daerah-daerah yang diperintah oleh kerajaan Hindu iaitu Kerajaan Majapahit. Penaklukan ini berjaya mengislamkan hampir keseluruhan rakyat dan secara tidak langsung menjadikan kerajaan Majapahit sebagai sebuah kerajaan Islam. Melalui penaklukan, Islam diterima dan disebarkan atas sebab keselamatan nyawa, ingin mendapatkan pangkat, mengambil hati dan yang paling utama ialah kemurnian agama Islam itu sendiri.[7] Pengislaman yang dilakukan melalui penaklukan dan mata pedang seolah-olah menggambarkan paksaan. Namun begitu, faktor kesetiaan terhadap pemerintah menyebabkan masyarakat di rantau Nusantara beramai-ramai menerima agama Islam sebagaimana pemerintah mereka. Hal ini dapat dikaitkan dengan konsep taat setia kepada pemerintah. Tambahan pula, pengislaman oleh rakyat yang berada di bawah jajahan takluk bukanlah serta-merta tetapi usaha giat yang dijalankan oleh para ulama yang dihantar oleh pemerintah kerajaan Islam untuk mengajar dan membentuk kefahaman yang mendalam tentang Islam.
d. Melalui Perkahwinan
Perkahwinan turut menjadi faktor kepada penyebaran agama Islam di Nusantara namun begitu peranan ulama masih lagi mendominasi penyebaran agama Islam di Nusantara. Terdapat dua jenis perkahwinan. Perkahwinan antara golongan kerabat diraja atau pemerintah tempatan. Proses ini dikenali sebagai perkahwinan siasah. Contohnya ialah perkahwinan Merah Silu dengan Puteri Ganggang dari Kesultanan Perlak yang akhirnya mengislamkan Merah Silu dan kemudiannya memakai gelaran Malikul Salleh. Beliau mendapat seruan dakwah daripada Syeikh Ismail yang tiba dari Mekah sekita abad ke-13M. Perkahwinan Parameswara dengan puteri Pasai pula menyebarkan Islam dari Pasai ke Melaka. Perkahwinan ini merapatkan hubungan Melaka dengan Pasai yang pada ketika itu merupakan pusat agama Islam dan kerajaan Islam tertua. Parameswara memeluk Islam setelah mendapat seruan daripada seorang ulama yang datang dari Jeddah dan menukarkan namanya kepada Sultan Iskandar Shah. Sultan juga seringkali menghantar utusan ke Pasai untuk bertanya tentang hal agama dan hukum yang tidak dapat diselesaikan di Melaka. Maka, sekali lagi di sini terlihat peranan ulama yang ketara dalam usaha menyelesaikan permasalahan agama dalam negara. Begitu juga perkahwinan anak-anak raja Melaka dengan putera puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah menyebabkan kedua-duanya menjadi negeri Islam. Ada juga dalam kalangan pedagang yang datang dari kebanyakan tempat seperti Arab, Parsi dan Gujerat yang berkahwin dengan puteri kerajaan tempatan. Sebagai contoh Syed Maulana Ishak yang berkahwin dengan Dewi Sekardadu iaitu puteri Prabu Menak Sembuyu, pemerintah wilayah Blambangan.
Penyebaran agama Islam turut berlaku dalam perkahwinan antara pedagang Islam dengan penduduk tempatan. Hal ini berlaku ketika para pedagang Islam menanti peralihan angin untuk belayar dan hal ini mengambil masa yang agak lama. Oleh itu, tidak hairanlah jika berlaku perkahwinan dalam tempoh tersebut. Di sini, dapat dilihat peranan ulama dalam perkahwinan kerana kebanyakan pedagang Islam yang datang adalah daripada golongan ulama. Islam mensyaratkan agar pasangan yang hendak berkahwin mestilah beragama Islam. Wanita tempatan yang dilamar oleh pedagang Islam akan diislamkan dan syarat ini mudah diterima oleh wanita dan keluarga masyarakat tempatan Melayu. Hal ini demikian kerana, golongan pedagang meruapakan salah satu pekerjaan yang dikagumi oleh para penduduk. Pengislaman wanita yang menjadi isteri kepada pedagang Islam mendorong kepada pengislaman kebanyakan ahli keluarga. Perhubungan kekeluargaan yang terjalin memudahkan para pedagang Islam berdakwah secara terus dengan kaum kerabat sendiri. Oleh itu, jelaslah di sini ulama memainkan peranan yang besar dalam penyebaran Islam di Nusantara sama ada dalam penaklukan mahupun perkahwinan. Dalam Sejarah Melayu menceritakan soal kedudukan alim ulama dalam sosio masyarakat Melayu Melaka. Golongan ulama mempunyai taraf yang istimewa dalam kerajaan Melayu Melaka. Peranan mereka bukanlah sekadar mengislamkan pemerintah dan rakyat tetapi juga menjaga institusi pemerintah dari sudut agama. Walaupun ulama bukanlah daripada keluarga istana tetapi mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan raja-raja Melaka. Ulama mempunyai fungsi yang tersendiri dalam hal ehwal agama. Islam disebarkan ke Nusantara melalui banyak faktor tetapi peranan ulama begitu ketara. Hal ini demikian kerana, setiap individu Islam itu sendiri adalah ‘pendakwah’.
4.1 Sumbangan Ulama Di Nusantara
Kedatangan golongan ulama ke Nusantara telah membawa banyak perubahan ke atas sosioekonomi dan kerangka dalam sifat serta budaya masyarakat. Sumbangan tersebut telah disumbangkan dalam pelbagai bidang.
a. Sumbangan Ulama Di Nusantara
Ulama di Nusantara telah memainkan peranan penting dalam usaha penyebaran Islam di Nusantara dalam pelbagai aspek. Dari segi politiknya, peranan ulama dalam usaha menyebarkan Islam di Nusantara dapat dilihat melalui tertubuhnya kerajaan-kerajaan Melayu-Islam hasil daripada gerakan dakwah yang oleh para mubaligh. Pada abad ke-9, muncul kerajaan Islam yang pertama di Perlak. Kerajaan ini ditubuhkan pada tahun 840 Masihi dan rajanya yang pertama ialah Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah. Tidak lama kemudian, disusuli pula dengan penubuhan kerajaan Samudera-Pasai pada tahun 1042 Masihi dengan raja pertamanya Meurah Giri yang memakai gelaran Maharaja Mahmud Syah. Seterusnya, Islam dikatakan berada pada zaman kegemilangan apabila pengasas Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka memeluk agama Islam iaitu Parameswara yang menukarkan namanya kepada Sultan Iskandar Syah dan membangunkan Melaka sebagai pusat penyebaran Islam dengan bantuan para ulama.
Usaha mengubah polisi pemerintahan yang dilakukan oleh para ulama ini adalah bertepatan dengan kedudukan mereka sebagai penegak amar makruh dan nahi mungkar. Sebagaimana yang diketahui, ulama diberi tanggungjawab dan amanah untuk menegakkan syariat Islam dengan cara mempengaruhi polisi kerajaan supaya sentiasa berpaksikan kepada Al-Quran dan Hadis. Pada awalnya, usaha penyebaran dakwah Islam ini tidak terus kepada orang ramai tetapi cukup sekadar mempengaruhi penguasa yang membuat dasar dan keputusan dalam sesebuah kerajaan. Selain itu, golongan ulama turut diangkat sebagai penasihat sultan. Para ulama ini akan menasihati sultan dalam hal-hal berkaitan agama dan pada masa yang sama mereka turut memberi penerangan rakyat tentang keagamaan. Hubungan silaturahim antara pemerintah atau dalam kalangan istana dengan para ulama pada masa itu boleh digambarkan sebagai satu hubungan yang sangat erat dan harmoni. Sultan bertindak sebagai pemegang utama kekuasaan politik dan pentadbiran manakala golongan ulama sebagai pemegang kekuasaan dalam soal hukum hakam agama.Di Patani, peranan para ulama dari Pasai dalam mengambil tempat dan kedudukan di negeri berkenaan bermula sejak awal abad ke 13 dan 14 lagi. Raja Patani yang bernama Phya Tu Nakpa telah diislamkan oleh seorang ulama dari Pasai bernama Sheikh Said dan memakai gelaran Sultan Ismail Shah Zillullah fi al-‘Alam. Ulama tersebut telah dilantik menjadi guru istana dan diberi gelar Dato’ Seri Raja Faqih. Kemudian setelah rasmi menjadi kerajaan Islam pada tahun 1457, Patani mula melahirkan para ulama dan menjadi sebuah negeri yang kuat dan berpengaruh di pantai timur Semenanjung Melayu serta berperanan dalam penyebaran dakwah Islamiyah di Nusantara amnya.
Sejarah umat Islam sepanjang zaman telah membuktikan bahawa ulama berperanan mengawasi pemerintah agar tidak tergelincir daripada ajaran Allah s.w.t. dan mengingatkan mereka agar berjalan atas kebenaran membawa umat ke mercu kejayaan dunia dan kemuliaan akhirat. Ulama juga berani menegur ketidakadilan dan mengukuhkan politik dan pemerintahan kerajaan yang adil. Justeru itu, ulama mempunyai peranan dan sumbangan yang besar kepada kemajuan politik dan negara. Institusi ulama merupakan salah satu sistem kawalan sosial yang bertindak untuk memastikan pemerintah melaksanakan amanah Allah s.w.t. Berdasarkan asas inilah, nasihat yang hak daripada ulama perlu diterima dan diguna pakai oleh pemerintah agar masyarakat dapat dipimpin berteraskan aqidah yang sebenar.
Dari segi perundangan pula, sumbangan dan peranan ulama dalam menyebarkan Islam di Nusantara dapat dilihat dalam penggubalan undang-undang pentadbiran serta memutuskan hukum hakam negeri. Menurut Abdul Rahman Abdullah (1990), kedudukan ulama dipandang tinggi di Aceh misalnya taraf Kadi Malik al-‘Adil yang tinggi membolehkan beliau menjadi wakil sultan untuk sementara waktu sekiranya raja mangkat sehingga dipilih sultan yang baru. Pada masa yang sama, beliau merupakan Jaksa Agung yang memegang hukum syarak Allah s.w.t dan hukum Adat Kanun Syarak Acheh. Dari segi pemilihan pemerintah pula berdasarkan persetujuan ulama dan pembesar-pembesar yang lain bagi memastikan pemerintah mengikut syarat-syarat dalam hukum Islam yang berasal daripada pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w.
Jika dilihat dari sudut yang lain, ulama telah berperanan mengubah penggunaan dan gelaran raja-raja di Nusantara iaitu penggunaan gelaran “Sultan” yang merupakan perubahan paling jelas dalam penyebaran Islam seterusnya menyebarkan Islam dalam pemerintahan. Jika sebelum ini pemerintah Nusantara terkenal dengan konsep dewaraja akibat pengaruh Hindu, dengan penglibatan ulama-ulama Islam ini telah menyesuaikannya dengan fahaman tasawuf, iaitu kedudukan Sultan sebagai Sayyid al- Mukammil atau pemerintah yang sempurna dengan mengikut jejak Nabi Muhammad sebagai Insan al-Kamil.[8] Peranan ulama dalam memperbaiki aqidah dan keperibadian sultan ini bukan sahaja membantu pengekalan agama Islam tetapi membantu mempercepatkan proses penyebaran Islam di Nusantara dengan pengislaman penduduk tempatan.
Kesimpulannya, sejarah penyebaran Islam di Nusantara telah membuktikan bahawa golongan ulama telah berperanan dalam menimbulkan kesedaran dalam kalangan pemerintah dan masyarakat agar tidak terikat dengan tradisi lama yang mengongkong kehidupan mereka. Sebaliknya golongan ulama ini membangkitkan semangat juang masyarakat agar berubah ke arah yang lebih positif melalui aspek pengurusan politik dan pentadbiran, hukum hakam, perundangan dan sebagainya. Sewajarnya, ulama merupakan antara individu terpenting dalam tugas memberikan panduan-panduan yang diperlukan dalam sesebuah pentadbiran bagi menyelesaikan urusan masyarakat yang pelbagai dan seterusnya membantu penyebaran Islam di Nusantara.
b. Dalam Bidang Sosial
Alam Melayu merupakan tempat yang sentiasa digemari oleh alim ulama Timur Tengah. Golongan ulama ini telah datang ke Alam Melayu dan menyampaikan ajaran-ajaran Islam. Penyebaran ajaran Islam ini telah membentuk beberapa institusi pendidikan yang tersendiri seperti istana, balai di Brunei dan masjid. Pada abad ke 19, peranan ulama dlihat banyak menjurus ke arah penyediaan tapak dalam pendidikan khususnya dalam pembentukan pondok. Sebagai contoh, ulama Abdul Qadir al-Jailani telah menyampaikan alirannya melalui ilmu Tasawuf bermula pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah sehingga zaman Sultan Mahmud. Antara ulama Makkah lain yang terdapat di Melaka ialah Maulana Sadar Johan dan beliau pernah menjadi penasihat agama kepada Sultan Mahmud, Raja Ahmad dan Bendahara Seri Maharaja.[9] Menurut R. O. Winstedt, rekod Jawa telah mencatatkan dua orang tokohWali Songo (Wali Sembilan) dari iaitu Sunan Bonang dan Sunan Giri datang ke Melaka untuk menuntut ilmu pada akhir abad ke 15. Manakala, di Brunei, sejak awal lagi, pendidikan agama diterapkan kepada rakyat melalui para mubaligh dari luar dan para ulama dari Brunei sendiri menggunakan pusat-pusat pengajian seperti masjid dan balai.
Selain sumbangan terhadap perkembangan institusi pendidikan, para ulama juga giat menyampaikan pengaruh dalam kegiatan penulisan melalui penghasilan karya-karya termasuk dalam bidang kesusasteraan. Sebagai contoh, Syeikh Abul Khair sendiri telah menulis kitab Al-Saiful Qati iaitu sebuah kitab tasawuf. Penguasaan bidang agama jelas dilihat dalam karya dan ketokohan ulama seperti Syeikh Nuruddin al-Raniri melalui ilmu fikah, tasawuf dan sirah, Syeikh Abdul Ra’uf al Singkeli melalui ilmu fikah, tasawuf dan tafsir serta Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani yang termasyur melahirkan karya fikah di samping karya Usuluddin,tasawuf dan sejarah. Kebanyakkan karya ulama ini adalah dalam bidang prosa atau juga lebih dikenali dengan istilah kitab jawi atau kitab kuning, tetapi mereka juga melahirkan karya-karya agama dalam bidang puisi. Kemunculan ulama telah melahirkan banyak pusat peradaban Islam seperti Acheh, Palembang, banjar, Patani, Johor-Riau, Kelantan,Terengganu dan lain-lain. Keadaan ini juga dapat dilihat pada zaman Rasulullah s.a.w apabila penyair-penyair Islam seperti Hasan bin Thabit, Ka’a bin Malik, Abdullah bin Rawahah dan Kaab bin Zuhair telah lama menggunakan syair sebagai alat untuk media dakwah Islamiah pada zaman Rasulullah s.a.w.[10]
Pengaruh Islam yang dikembangkan oleh golongan ulama juga telah banyak memberi impak dari segi gaya hidup atau budaya di Alam Melayu. Perkembangan ajaran Islam yang disampaikan oleh golongan ulama telah banyak mengubah sistem sosial masyarakat Melayu walaupun tidak secara total. Menurut pendapat Wertheim, kedatangan Islam telah menjadikan golongan bawahan merasakan diri mereka berharga seperti golongan lain.[11] Nilai-nilai persamaan taraf, persaudaraan dan perpaduan Islam sejagat adalah pembaharuan yang telah diterapkan kepada masyarakat di seluruh Alam Melayu. Fahaman kesamarataan dalam Islam telah merubah radikal sistem kelas yang selama ini menjadi anutan masyarakat Nusantara. Di samping itu, perubahan sosial ini berlaku dengan adanya perubahan mental yang diketengahkan oleh Islam dalam masyarakat Nusantara. Sifat keadilan sosial adalah merupakan sistem hidup dalam Islam.Pelbagai sifat mahmudah yang diterapkan oleh golongan ulama dalam ajaran Islam yang disampaikan iaitu seperti masyarakat mula mengamalkan nilai-nilai murni iaitu menghormati jiran, keluarga, dan tanggungjawab saling membantu antara satu sama lain. Nilai-nilai akhlak dalam Islam adalah merupakan asas di dalam pembinaan seseorang individu, keluarga dan masyarakat di Nusantara. Kemunculan golongan ulama beserta ajaran Islam jelas membawa revolusi besar bukan sahaja dari segi luarannya sahaja tetapi juga dalamannya sekali.
Selain itu, meneliti daripada sudut kesenian pula satu implikasi hebat yang mempunyai nilai estetika yang tinggi mengikut acuan Islam juga turut dapat dilihat secara jelas. Antara aspek kesenian yang berunsurkan Islam adalah seni bina,muzik, suara, ukir, hias dan lain-lain. Peranan besar ulama yang telah menyebarkan dan menerapkan pelbagai ajaran-ajaran dan nilai-nilai Islam juga telah mampu mempengaruhi seni bina Melayu yang dapat dilihat dalam pelbagai bentuk yang terdapat dalam bangunan masjid seperti kubah, mimbar, mihrab, menara azan, relung dan lain-lain. Antara contoh bangunan awam yang mendapat pengaruh Islam ialah Stesen Kereta Api Tanah Melayu dan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Corak hiasan bangunan memperlihatkan ciri keislaman termasuk ukiran yang bercorak berbentuk kaligrafi yang mengandungi ayat-ayat al-Quran atau nama Allah atau Nabi Muhammad. Penulisan karya-karya kreatif yang dilakukan oleh golongan ulama juga telah menyebabkan berlakunya perkembangan dalam bidang seni kaligrafi atau seni khat dalam masyarakat Islam khususnya di Alam Melayu. Antara fungsi seni khat adalah sebagai hiasan untuk mengindahkan lagi bangunan masjid atau sebagainya. Selain itu, seni khat ini juga banyak diukirkan pada mimbar masjid, batu-batu nisan, kayu-kayu untuk hiasan sekolah dan rumah, papan-papan kenyataan, lambang-lambang negeri, slogan-slogan, kain-kain hiasan dan berbagai-bagai lagi. Seterusnya, kesenian dari segi seni suara dan seni muzik. Kebanyakkan ulama menghasilkan karya kreatif yang mempunyai unsur keislaman dan unsur seni Arab dan Parsi khususnya seni suara dan seni muzik. Dalam aspek seni suara, marhaban dan qasidah merupakan sejenis seni suara arab yang telah diubahsuai menjadi satu bentuk lagu Melayu tradisional. Manakala, aspek seni lagu yang pula adalah ghazal yang berasal dari nama sejenis puisi Arab bercorak percintaan. Sememangnya, banyak pengaruh keislaman yang disebarkan oleh golongan ulama dalam aspek kesenian di rantau ini. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa peranan ulama amat penting dan memberi impak yang besar dalam pengaruh Islam di Asia Tenggara dari pelbagai sudut dan aspek sosial.
c. Dalam Bidang Perundangan
Kedatangan Islam yang tersebar luas ke Asia Tenggara yang telah disebarkan oleh golongan ulama ini juga dapat dibuktikan dari aspek perundangan itu sendiri. Apabila agama Islam telah tersebar luas melalui dakwah yang dilakukan oleh golongan ulama, undang-undang dalam negeri-negeri seperti di Tanah Melayu telah memperlihatkan pengaruh Islam yang cukup jelas.[12] Namun begitu, tidak dinafikan bahawa unsur tempatan pada waktu itu turut diasimilasikan dalam pelaksanaan undang-undang yang dibuat. Contoh undang-undang yang dapat dilihat yang terkenal di Tanah Melayu waktu itu ialah seperti Undang-Undang 99 Perak yang diperkenalkan oleh orang-orang Arab dari Hadralmaut iaitu seorang yang bernama Syed Husain al Faradz sekitar abad ke -17. Keturunan Syed Husain ini kemudiannya dilihat menjadi Bendahara di Perak pada sekitar abad ke 18.
Selain itu, dalam Hukum Kanun Melaka itu juga dapat dilihat menjalankan perundangannnya mengikut syariah Islam. Buktinya, bagi kesalahan zina Fasal 40.1 dan 40.2 untuk golongan muhsan (orang yang sudah berkahwin) akan dikenakan hukuman rejam sampai mati, manakala untuk ghair muhsan (orang yang belum berkahwin) pula akan dihukum dengan sebatan seratus kali serta dibuang negeri setahun. Di Brunei pula, undang-undang yang dilihat menerapkan unsur-unsur Islam dalam pelaksanaannya ialah seperti Hukum Kanun Brunei yang mencakupi aspek perihal perkahwinan, penceraian, kesalahan jenayah dan mahkamah, serta turut membincangkan soal urusan jual beli berlandaskan Islam. Hal ini dapat dikesan dilaksanakan sewaktu zaman pemerintahan Sultan Hassan (1605-1619).
Manakala di Acheh pula, antara perundangan yang menerapkan unsur perundangan Islam secara mendalam itu dapat dilihat dalam Undang-Undang Melayu Lama iaitu Kanun Syara’ Kerajaan Acheh dalam zaman Sultan Alauddin Mansur Syah (1857-1870M). Sehubungan dengan itu, di Filipina pula dikatakan telah menghasilkan undang-undang yang sama dengan Undang-Undang Melaka yang menerapkan unsur Islam dalam pelaksanaannya. Hal ini berlaku pada zaman Kesultanan Maguindanao sewaktu pemerintahan Sultan Amiruddin Hamza tahun 1726-1755M.[13] Undang-undang ini dikenali sebagai Lawaran atau Parualan dan banyak dipengaruhi oleh pendapat mazhab Shafie.
Sementara itu, Muhammad Arsyad b. Abdullah Al-Banjari pula adalah salah seorang dari ulama yang dilihat memperjuangkan kepentingan perlaksanaan Islam dalam bidang perundangan ini di Kalimantan. Beliau telah mengambil langkah untuk memperbaharui administrasi keadilan di Kesultanan Banjar.[14] Dalam hal ini, beliau telah menjadikan doktrin-doktrin Islam sebagai acuan utama dalam pengadilan jenayah serta memperkasakan jabatan mufti yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa-fatwa bagi menyelesaikan setiap masalah. Keadaan ini turut dilihat berlaku di Pattani apabila golongan ulama seperti Syaikh Gombak dan muridnya Abd Al- Mukmin dari Minangkabau dan Syaikh Faqih Shafi Al-Din dari Pasai memberikan sumbangan yang sama dalam usaha menstabilkan semula keadaan politik di Kesultanan Pattani yang dilihat menghadapi masalah sekitar separuh kedua abad ke 16 di sana waktu itu.
Hal ini jelas membuktikan bahawa apabila golongan ulama itu datang menyebarkan agama Islam ke Asia Tenggara ini, secara tidak langsung ia telah mempengaruhi aspek perundangan mengikut syariat Islam seperti yang dapat dilihat berlaku dalam sistem perundangan di Tanah Melayu dan negara-negara Islam yang lain itu sendiri.
d. Dalam Bidang Ekonomi
Melihat kepada aspek ekonomi pula, sumbangan ulama dalam menerapkan unsur-unsur pengajaran Islam itu juga turut wujud. Hal ini dapat dibuktikan apabila karya-karya mereka itu sendiri telah menyentuh tentang aspek penting dalam kegiatan ekonomi itu sendiri menerusi karya-karya mereka. Contohnya seperti karya dari ulama Acheh iaitu Abdul Al- Rauf Singkel yang bertajuk Mir’ath Al-Thullab yang membicarakan aspek muamalat dari sudut fikah.Antara masalah-masalah mu’amalat yang dikupas ialah tentang hukum jual beli, riba, khiyar, sharikah, qirad:, sulh, hiwalah, daman, wakalah, iqrar, musaqah, laqit dan lain-lain.[15]
Selain itu, sumbangan ulama dalam bidang ekonomi juga dapat dibutikan menerusi aspek perdagangan itu sendiri. Dalam perdagangan, kehadiran para ulama ini bukan sahaja untuk menyebarkan dakwah dan agama Islam tetapi golongan ini secara tidak langsung telah menyebabkan lahirnya teori perdagangan sebagai salah satu faktor tersebarnya agama Islam itu secara meluas. Hal ini dikukuhkan lagi dengan bukti seperti wujudnya perhubungan perdagangan yang erat antara ulama di Melaka dengan pedagang dari Jawa ini dan seterusya membawa kepada berlakunya pengislaman di Tanah Jawa itu sendiri.
Sehubungan itu juga, para ulama Islam ini dilihat menggalakkan supaya setiap anggota masyarakat itu supaya berniaga, bertani dan sebagainya untuk memantapkan ekonomi masing-masing. Selain itu, ajaran Islam yang disebarkan oleh golongan ulama ini menekankan aspek perniagaan yang menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.Pada masa yang sama, masyarakat turut didedahkan dengan sistem zakat yang merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang lima serta menegah keras unsur penipuan dalam timbangan dan sukatan. Ternyata bahawa sumbangan ulama dalam menyebarkan agama Islam telah mewujudkan keadaan yang lebih baik dalam usaha membangunkan ekonomi berteraskan Islam pada masa itu.
Sehubungan itu juga, sumbangan para ulama Islam ini turut memberikan revolusi besar terhadap ekonomi masyarakat di Asia Tenggara. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila kedatangan pedagang yang rata-ratanya terdiri dari golongan para ulama untuk berdagang di pelabuhan-pelabuhan utama seperti Melaka dan lain-lain untuk menjalankan aktviti perdagangan, mereka akan turut menyebarkan ajaran Islam pada waktu yang sama. Kemuliaan perkerti dan akhlak mulia terpuji yang ditunjukkan oleh golongan ulama ini telah menarik minat masyarakat dan golongan atasan untuk memeluk Islam. Hal ini dapat dibuktikan dengan peranan ulama seperti Sayyid Abdul Aziz, seorang ulama dari Jeddah yang telah mengislamkan raja Melaka iaitu Raja Iskandar Syah seterusnya membawa kepada pengislaman seluruh rakyat Melaka.
Oleh itu, izhar dapat dinyatakan bahawa peranan ulama yang turut sama berdagang dan memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam telah memberikan kesan yang cukup besar terhadap aspek ekonomi berteraskan unsur islam di Alam Melayu ini.
5.1 Kesimpulannya
Peranan ulama dalam penyebaran Islam di Nusantara tidak dapat dinafikan lagi dengan usaha dan kebijaksana mereka bagi memastikan Islam berkembangan di alam ini. Walaupun terdapat faktor-faktor lain yang menjadi medium untuk proses penyebaran Islam, namun golongan ulama telah disifatkan sebagai agen penyebaran yang paling berjaya dan berkesan. Mereka telah memberi sumbangan yang besar khususnya dalam bidang perundangan, sosial, budaya, politik dan juga ekonomi dan diaplikasikan penyebarannya dalam cara yang pelabagai. Keupayaan golongan ulama juga dilihat dengan jelas apabila ramai tokoh-tokoh dan para pemikir Islam menjadi tokoh penting dalam pengasasan Kerajaan awal Islam di Nusantara yang meliputi Tanah Melayu, Brunei, Pattani, Filipina dan juga Indonesia.
Disamping itu, mengenali ulama juga melalui keperibadiaan mereka yang mulia dan terpuji. Tertegaknya Islam di Alam Melayu atau Nusantara telah mengubah kerangka masyarakat tempatan malah telah mencorak kebudayaan Islam yang baharu serta diselaraskan dengan budaya dan tradisi tempatan. Kerajaan Melayu yang muncul adalah berteraskan agama Islam sehingga memampukan mereka menjadi sebuah kuasa yang kuat di rantau Nusantara.
[1] Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah (1999). Penyebaran Islam dan Salasilah Ulama Sejagat Dunia Melayu Jilid 6. Kuala Lumpur: Persatuan Pengkaji Khazanah Nusantara dan Khazanah Fathaniyah. Hlm. 17.
[2] Abu Hamid (2005). Syekh Yusuf : Seorang ulama, sufi dan pejuang. Indonesia: Jakarta. Hlm. 158.
[3] Amran Kasimin (1993). Agama dan Perubahan Sosial Di Kalangan Penduduk Asli di Semenanjung Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 151
[4] Amran Kasimin (1993). Agama dan Perubahan Sosial Di Kalangan Penduduk Asli di Semenanjung Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 176
[5] Ibid. Hlm. 262
[6] Ibid. Hlm. 263
[7] Mohd Jamil Bin Mukmin (2004). Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Melaka : Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP). hlm 84.
[8]Ibid.Hlm 109.
[9] Abdul Rahman Haji Abdullah.(1981).Sejarah dan Pemikiran Islam.Selangor:Penerbitan Pena Sdn. Bhd. Hlm. 251.
[11] Mohd. Jamil Mukmin.(2004).Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Melaka:Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP). Hlm. 154.
[12] Farid Mat Zain. (2007). Islam di Tanah Melayu Abad ke 19. Selangor: Karisma Publication Sdn Bhd. Hlm 73
[13]Ibid. Hlm. 137.
[14] Mastura. M.O. (1979). “The Rules of Maquindanao in Modern Hisrtory” 1511-1903. Philipines : Philipines Social Science Council. Hlm. 265-266.
[15] Prof Madya Dr. Ali Mohammad. Peranan Ulama dalam Memartabatkan Tamadun Islam di Nusantara : Tumpuan Terhadap Abdul Rauf Singkel.Hlm. 91.
Maaf Kak, sekedar memberi saran. Kalo bisa, tolong pemberian spasi lebih banyak, soalnya kalo terlalu panjang, yang baca pasti bosen. Sama ada beberapa pemilihan kata yang gak sesuai (gak nyambung lah istilahnya). Pemilihan katanya juga banyak yang salah, soalnya kalo misal si kata ini di anonim-in ke beberapa kata yang maknanya sama kayak yang kakak tulis, beda arti, kayak kata "namun" anonim katanya "tapi", kalo dipake sebagai, contoh -Namun begitu,...- (itu yang kakak pake) gak nyambung, masa arti lainnya bakal jadi -tapi begitu-? seharusnya, kata namun ganti pake "meski & dengan", soalnya lanjutannya "walaupun..."
ReplyDeletecuman kasih saran aja. kalo kakak emang ngerasa udh bener ya udh, anggap aja angin lalu.
Delete