1.0 PENDAHULUAN
Negara Filipina dikatakan sebuah wilayah yang terdiri daripada beberapa pulau besar dan kecil. Pulau yang paling besar ialah Pulau Luzon dan Mindanao iaitu dua pertiga daripada seluruh Filipina. Kawasan Filipina ini juga dikatakan mempunyai banyak gunung berapi seperti Gunung Mayon di daerah Albay, Gunung Camlon di Negros Utara dan Gunung Apo di Davao. Penduduk di Filipina majoritinya beragama Kristian manakala orang yang beragama Islam dan agama lain pula hanyalah minoriti sahaja. Pada asalnya majoriti penduduk Filipina adalah beragama Islam, namun kedatangan Sepanyol telah mengubah keadaan apabila agama Kristian telah disebarkan ke seluruh Filipina. Walau bagaimanapun, terdapat juga kawasan-kawasan tertentu yang menentang kuat penyebaran Kristian seperti di Kawasan Selatan Filipina iaitu Mindanao dan Sulu. Penentangan umat Islam di Selatan Filipina ini telah menyebabkan Sepanyol bertindak secara kekerasan dalam menyebarkan agama Kristian dan di sinilah titik permulaan konflik dan kemelut yang berlaku kepada umat Islam di Selatan Filipina.
Menurut kamus dewan ‘konflik’ bermaksud perselisihan atau pertentangan antara individu, idea dan kepentingan.Kemelut pula bermaksud keadaan yang genting atau berbahaya. Kemelut juga dapat diertikan dengan keadaan yang sangat genting atau berbahaya. Bagi umat Islam di Filipina, mereka sentiasa menghadapi kemelut dan konflik semenjak daripada kedatangan kuasa Sepanyol ke Filipina lagi. Terdapat beberapa kemelut dan konflik yang berlaku di Filipina iaitu bermula dengan konflik penyebaran Kristian oleh Sepanyol yang melibatkan penindasan ke atas orang Islam, masalah penguasaan perdagangan dan juga melibatkan Perang Moro yang tercetus di antara Orang Islam dan Sepanyol di Filipina.
Konflik atau kemelut di Filipina ini banyak terjadi di kawasan Selatan Filipina iaitu kawasan Mindanao dan juga kawasan Sulu. Umat Islam di Selatan Filipina ini sering terlibat dalam penindasan, peperangan dan pembunuhan oleh Sepanyol kerana kawasan ini merupakan kubu kuat umat Islam di Filipina yang kekal sehingga kini. Konflik yang berlaku di Filipina ini mula diatasi dengan kerajaan Filipina mula menubuhkan badan yang menjaga kebajikan umat Islam di negara tersebut. Terdapat juga beberapa pejuang yang lahir untuk menentang Sepanyol dalam membebaskan umat Islam daripada ditindas. Namun begitu, konflik ini masih tidak dapat diselesaikan sehinggalah pada hari ini.
2.0 KONFLIK YANG BERLAKU PADA UMAT ISLAM DI SELATAN FILIPINA
2.1 Konflik Dari Segi Politik
Filipina telah melalui era penjajahan dua kuasa besar asing iaitu Sepanyol dan Amerika Syarikat. Kedatangan kedua-dua kuasa asing ini telah mencetuskan pelbagai kemelut dan konflik dari segi politik terutamanya ke atas umat Islam di Selatan Filipina. Konflik pertama yang dihadapi oleh umat Islam di Selatan Filipina setelah kedatangan Sepanyol ialah isu penyebaran agama Kristian yang semakin berleluasa.[1] Peratusan penduduk di kawasan utara Filipina yang telah dimurtadkan semakin bertambah. Hal ini telah mencetuskan kemelut kerana terpaksa berhadapan dengan kerenah orang Sepanyol yang mencuba pelbagai taktik seperti menggunakan cara kekerasan, pujukan, sogokan hadiah dan kedudukan sosial untuk memurtadkan penduduk Islam di Filipina dan seterusnya tersebar hingga ke bahagian Selatan.
Tekanan seterusnya yang dihadapi oleh masyarakat Islam di Filipina ialah penggunaan istilah ‘Moro’. Perkataan Moro ialah sebutan orang Sepanyol bagi ‘Moor’ yang bermaksud Muslim atau Moslem (orang Islam).Perkataan ini berasal daripada perkataan Latin, Maurus yang digunakan oleh orang Sepanyol dahulu untuk menyebut orang Moor (Islam) dan kemudiannya untuk orang Filipina Islam yang menduduki Mindanao, Sulu dan lain-lain di Selatan Filipina.Selain itu, perkataan tersebut juga merujuk kepada buta huruf, jahat, tidak bertuhan dan juga pembunuh. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa masyarakat Islam di kawasan selatan Filipina sebagai golongan gasar dan tidak bertamadun. Oleh itu, hal sebegini telah mencetuskan tekanan kerana di label sebegitu.
Selain itu, masyarakat Islam Filipina turut menghadapi kemelut daripada Sepanyol melalui Perang Moro yang tercetus pada tahun 1578 hingga 1898. Peperangan ini berlaku antara pihak Sepanyol dengan kerajaan Islam di Mindanao dan Sulu. Peperangan ini juga terjadi akibat pihak Sepanyol menggunakan alasan bahawa penduduk Islam di kawasan tersebut sebagai lanun. Perang Moro yang berlaku dianggap sebagai peristiwa hitam masyarakat Islam Filipina apabila mereka kehilangan banyak harta benda selepas kampung-kampung mereka di Sulu, Maguindanao dan Lanao di bakar oleh tentera Sepanyol dan juga penduduk Kristian Filipina.
Selanjutnya, golongan wanita dan kanak-kanak Islam turut ditangkap tanpa alasan yang kukuh serta mereka juga dijadikan hamba di Mindanao atau dijual di Makasar dan Betawi untuk dijadikan sebagai hamba. Di samping itu juga, tekanan semakin hebat dihadapi apabila gabenor wilayah Zamboanga iaitu Jeneral Almonte telah memasuki kampung-kampung orang Islam di Sulu dan melakukan kekejaman dengan menggantung semua penduduk di sana sehingga mati.[2] Setelah tamat pemerintahan Sepanyol ia diganti dengan pentadbiran penjajahan Amerika Syarikat (1898-1949) dan terpaksa meneruskan peperangan Moro yang tercetus.[3]
Oleh itu, situasi penduduk Muslim di selatan sungguh menyedihkan khususnya selepas dekad pertama abad ke-19 ekoran daripada kemasukan orang-orang barat. Banyak pertempuran ganas berlaku antara masyarakat Muslim tempatan, persaingan suku kaum antara Kristian dan Islam. Pada tahun 1970, Presiden Marcos menjadikan alasan kekacauan yang berlaku di selatan Filipina untuk menjalankan undang-undang tentera terhadap Filipina. Kesan undang-undang tentera semakin memburukkan keadaan di Selatan dan bukannya mengurangkan konflik tersebut.
2.2 Konflik Dari Segi Politik Sosial
2.2.1 Penyebaran Agama Kristian
Seterusnya, konflik yang telah berlaku terhadap umat Islam di Selatan Filipina ialah apabila berlakunya penyebaran agama Kristian setelah kedatangan orang-orang Sepanyol pada tahun 1521M. Orang-orang Sepanyol ini telah berjaya memperluas kedaulatannya hampir ke seluruh wilayah Filipina melalui pelbagai cara antaranya kekerasan, pemujukan serta menundukkan secara halus dengan pemberian hadiah-hadiah. Namun demikian, walaupun Sepanyol dengan mudah dapat menakluk wilayah utara Filipina. Namun demikian, keadaan ini tidak semudah untuk mereka menakluk wilayah selatan Filipina. Tentera kolonial Sepanyol perlu bertempur bermati-matian untuk melawan Kesultanan Islam di wilayah selatan Filipina iaitu Sulu, Manguindau serta Buayan. Rentetan peristiwa peperangan yang panjang ini telah menambahkan lagi ketegangan antara orang Kristian dengan orang Islam di Filipina.
Tujuan utama penaklukan Sepanyol ke atas Filipina ini adalah disebabkan oleh tiga faktor. Faktor pertama ialah disebabkan tarikan politik iaitu untuk menjadi kebanggaan sebagai sebuah empayar besar dunia. Seterusnya disebabkan oleh faktor ekonomi dalam memonopoli perdagangan manakala faktor yang terakhir yakni telah mencetuskan konflik di selatan Filipina ialah faktor tarikan agama iaitu keinginan untuk memaksa umat Islam Filipina menjadi Kristian.Hal ini dapat dibuktikan dengan kandungan dalam surat wasiat terakhir Ratu Isabella (1474-1504) yang tertulis :
...Tujuan utama negara kita adalah sentiasa untuk menukarkan agama penduduk- penduduk pulau-pulau Hindia dan Terra Firma kepada agama suci kita dan menghantar mereka biskop-biskop, mubaligh dan orang terpelajar yang lain untuk mengajar, mendidik dan melatih mereka supaya bertata-tertib...[4]
Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh orang-orang Sepanyol semasa penaklukan ke atas Filipina dalam menghapuskan pengaruh serta orang-orang Islam. Antaranya ialah dengan memurtadkan penduduk Filipina. Hal ini berjaya dilakukan oleh orang Sepanyol hasil daripada bantuan kewangan dan senjata serta kekerasan yang diberikan oleh kerajaan Sepanyol. Keadaan ini telah berlangsung dengan sistematik dan berjaya apabila sebanyak 83% penduduk Filipina menjadi penganut Kristian Katolik dan secara tidak langsung telah menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mempunyai penduduk Kristian yang terbesar.
Selain itu, dalam melakukan penyebaran agama Kristian juga, pihak Sepanyol juga telah menimbulkan konflik dalam menghapuskan pengaruh Islam dengan melakukan kekerasan terhadap pemimpin-pemimpin di Filipina. Sebagai contoh, Sepanyol menghantar Kapten Esteban Rodriguez de Figueroa ke Sulu untuk menuntut ufti daripada pemimpinnya dan seterusnya ke Mindanao.Malah, Sepanyol juga telah bertindak mengarahkan pemimpin Islam supaya tidak lagi menerima pelajar-pelajar yang ingin mendalami Islam, membakar masjid-masjid, melakukan pemusnahan terhadap Al-Quran dan manuskrip Arab serta memusnahkan makam-makam sultan dan mubaligh Islam.
Namun, tidak seluruh orang Filipina dapat dikristiankan oleh Sepanyol terutamanya umat Islam Sulu, Mindanao dan sekitarnya yang bukan sahaja menolak untuk dikristiankan malah telah melakukan penentangan. Keadaan ini telah menimbulkan peperangan yang berpanjangan antara pemimpin Sepanyol, pemimpin Amerika Syarikat, kerajaan Filipina merdeka dengan bangsa Moro di Filipina selatan sehingga ke hari ini.[5]
2.3 Konflik Dari Segi Ekonomi
Jika melihat kepada perbincangan di atas, faktor sosial dan politik merupakan faktor utama yang menyebabkan konflik yang berlaku pada umat Islam di Filipina berlaku. Walau bagaimanapun, dalam mengukuhkan penguasaan dua kuasa barat iaitu Sepanyol dan Amerika Syarikat di Filipina, kedua kuasa barat ini telah menumpukan penguasaan ekonomi mereka di negara Filipina. Oleh yang demikian, kita dapat melihat di sini bahawa faktor ekonomi juga turut menyumbang terhadap penguasaan kuasa Barat seperti Sepanyol khususnya untuk menakluki Filipina. Hal inilah yang telah menimbulkan konflik dan kemelut terhadap umat Islam di Selatan Filipina khususnya.
Jika dilihat dari segi ekonomi perdagangan khususnya, sebelum kedatangan Sepanyol lagi ianya telah menunjukkan bahawa Filipina telah pun menjadi pelabuhan antarabangsa kepada pedagang Asia. Malahan, jika dilihat pada kedudukan Manila di Pulau Luzon yang merupakan laluan perdagangan antara China dan Jepun, serta merupakan pusat perdagangan entrepot perdagangan Timur Jauh, ianya dilihat telah memberi satu peluang kepada Sepanyol untuk menguasai pelabuhan tersebut.[6] Konflik pertama yang menyebabkan persengketaan di antara orang Sepanyol dengan orang Islam di Kepulauan Filipina bermula sekitar waktu ketibaan Legazpi dan berakhir dengan pencerobohan Sepanyol ke atas Brunei pada tahun 1578 hingga 1581.[7] Dalam tempoh tersebut, Sepanyol telah pun dapat menghalang kegiatan-kegiatan perdagangan orang Borneo di Luzon dan Pulau Visaya dengan menawan penempatan Borneo di Manila pada tahun 1571 serta memusnahkan penempatan orang Islam di Mindaro pada tahun sebelumnya.
Hal ini kerana, Sepanyol beranggapan bahawa orang Borneo bukan sahaja merupakan saingannya dalam perdagangan, tetapi Borneo juga merupakan ejen untuk memperkuatkan Islam di Filipina.Hal ini telah menjadikan Borneo sebagai musuh ketat Sepanyol. Malahan, pertembungan pertama yang berlaku di antara angkatan perang Legazpi dengan angkatan Islam telah memperlihatkan kejayaan Sepanyol menawan kapal dagang Borneo. Walaupun pertempuran ini tidaklah sebesar mana, namun peristiwa inilah yang merupakan suatu titik permulaan persaingan perdagangan di antara orang Sepanyol dengan orang Borneo di perairan Filipina.
Selain itu, konflik lain yang dihadapi oleh masyarakat Islam di Selatan Filipina adalah disebabkan oleh tindakan Sepanyol yang bertindak menjadikan Mindanao sebagai jajahannya, khususnya kawasan Maguindanao demi kepentingan ekonomi mereka. Hal ini kerana, Mindanao merupakan sebuah kawasan yang kaya dengan sumber-sumber semula jadinya.Kekayaan sumber pertanian ini dapat membekalkan makanan yang mencukupi kepada penduduk dalam kesultanan tersebut. Kepentingan inilah yang menjadikan Sepanyol berminat untuk menakluk Mindanao untuk kepentingannya yang tersendiri.
Selain itu, terdapat juga percubaan-percubaan Sepanyol untuk memaksa orang Islam supaya membayar ufti kepada mereka.Malahan, konflik ini jelas dapat dilihat apabila berlaku pertikaian di antara Sepanyol dan Kesultanan Maguindanao yang disebabkan oleh isu pembayaran penghormatan (ufti) oleh kepulauan Visayan yang perlu dibayar sama ada kepada Sepanyol atau kepada Kesultanan Muguindanao.[8] Ini kerana, sebelum kedatangan Sepanyol, kepulauan Visayan telah pun berada di bawah jajahan takluk Kesultanan Maguindanao di mana pembayaran ufti perlu dibayar kepada sultan. Namun, disebabkan oleh kedatangan Sepanyol, ianya telah merencatkan pembayaran ufti Visayan dan telah membawa konflik antara kedua belah pihak.[9] Hal ini telah menyebabkan berlakunya lagi permusuhan di antara Sepanyol dengan Islam di mana pihak Islam telah melancarkan serangan ke atas Sepanyol di Filipina namun, diserang balas oleh Sepanyol. Konflik-konflik tersebut jelas sekali menunjukkan bahawa kedatangan Sepanyol ke Filipina dilihat memberi kesan yang buruk terhadap ekonomi masyarakat Islam di Filipina khususnya. Konflik inilah yang menyebabkan berlakunya beberapa siri pemberontakan dan peperangan menentang Sepanyol disebabkan oleh kebangkitan penduduk Islam di Selatan Filipina.
3.0 LANGKAH KE ARAH PENYELESAIAN KONFLIK UMAT ISLAM DI SELATAN FILIPINA
3.1 Pembentukan Pemerintahan Wilayah Yang Autonomi (Regional Autonomous Government/RAG)
Pada tahun 1971 satu pertubuhan telah ditubuhkan bertujuan bagi memperjuangkan kemerdekaan bangsa Moro iaitu dikenali sebagai Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro atau Moro National Liberation Front (MNLF). Pertubuhan ini didirikan oleh Nur Misuarisebagai satu pertubuhan yang menggantikan MIM atau Muslim Independence Movement yang lebih radikal sebelum ini bagi membela umat Islam. Ideologi pertubuhan ini terdiri daripada tiga tujuan utamaiaitu pertama membentuk bangsa Moro (Bangsamoro) yang mempunyai identiti sebagai bangsa Islam dan memiliki budaya yang tersendiri, kedua iaitu agar dapat membentuk orang Moro sebagai satu bangsa yang sah di sisi undang-undang bagi memastikan hak bangsa Islam Moro pada masa hadapan terjamin, dan yang ketiga iaitu MNLF berperanan untuk berjihad melawan Filipina bagi menegakkan keadilan orang Islam Moro.
Oleh sebab itu, pada 23 Disember 1976 satu kesepakatan telah ditandatangi oleh Pemerintahan Filipina bersama MNLF di Tripoli (Libya)[10]. Kesepakatan ini ingin mewujudkan dua pemerintahan yang berbentuk wilayah autonomi. Kedua-dua pemerintahan tersebut merupakan kesatuan politik untuk memperkuat pemerintahan tempatan yang berfungsi sebagai pendorong bagi mencapai perdamaian dan kestabilan, memberikan penempatan kepada keluarga yang berpindah ke tempat lain dan yang terakhir bagi mempercepat pembangunan sosio-ekonomi wilayah. Langkah ini diambil mengatasi isu politik yang berlaku ke atas wilayah Selatan Filipina terutama apabila pihak Amerika Syarikat cuba untuk menyatukan wilayah Sulu dengan Filipina. Oleh itu pembentukan wilayah minoriti akan memberi peluang kepada wilayah tersebut untuk membentuk pemerintahan yang tersendiri.
Sangguniang pampook atau Badan Legislatif yang berperanan sebagai perangka perancangan pembangunan kebangsaan dan Lupong Tagapagpaganap ng Pook atau Badan Badan Eksekutif yang berperanan sebagai pelaksana polisi, program dan udang-undang yang dibuat oleh Badan Legislatif. Tujuan dua unit ini dibina bagi memastikan fungsi yang disepakat oleh Pemerintah Filipina dan MLNF dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya. Walaupun pemerintahan yang berautonomi memiliki kekuasaan eksekutif dan legislatif pada peringkat wilayah tetapi mereka secara langsung berada di bawah pengendalian dan pengawasan Presiden. Pengerusi RAG akan menyampaikan laporan kepada Presiden mengenai apa yang dilaksanakan dan berlaku.
RAG ini turut mengawal pelbagai kegiatan dan pelaksanaan kerja kementerian-kementerian kesihatan, pendidikan dan kebudayaan, jalan raya, pertanian, kegiatan sosial, pekerjaan, penempatan, industri dan perkembangan aktiviti golongan pemuda serta kegiatan sukan di peringkat wilayah[11]. Walau bagaimanapun, kerjasama ini tidak dapat berjalan dengan lancar hal ini kerana kurang mendapat respon daripada kedua-dua pihak.
3.2 Mendirikan Institut Pengajian Islam di Universiti Manila.
Institut ini didirikan pada 22 Disember 1973 sebagai satu bahagian daripada Pusat Pengajian Lanjutan Filipina dengan Dekri Presiden No. 342.Walau bagaimanapun, penubuhannya mempunyai tiga tujuan utama iaitu menyediakan peluang bagi para mahasiswa untuk melibatkan diri lebih banyak dalam kehidupan nasional dan pembangunan melalui bidang akademik, melahirkan sifat yang saling memahami dan saling menghormati antara warga Muslim dan warga lain serta memberi lebih banyak informasi mengenai sejarah Filipina, tempat dan peranan warisan kebudayaan Islam dalam membentuk negara Filipina dan negara-negara lainnya di Asia Tenggara.
Institut ini mendorong dan mendukung pelbagai penelitian yang dilakukan oleh mahasiswa Muslim. Lembaga ini juga menjadi pusat pertemuan bagi para ilmuwan yang tertarik pada sejarah dan kebudayaan Islam.Kini ia merupakan sebuah daripada perpustakaan Islam terbesar di Filipina.Pada bulan November 1974, institut ini memulakan program Sarjana Muda dalam pengajian-pengajian Islam. Melalui program ini diajar mengenai Bahasa Arab, sejarah Islam, falsafah, kesenian, undang-undang, badan-badan sosial dan politik, sejarah Filipina, hukum adat, sastera dan tradisi kesenian pelbagai kelompok etnolinguistik Muslim. Manakala pada tahun 1975, telah diberikan biasiswa bagi mahasiswa Muslim yang mempunyai prestasi yang baik dan mulai tahun 1980 juga telah menerima mahasiswa-mahasiswa untuk memperolehi (MA) dalam bidang Pengajian Islam.Langkah ini dapat mengatasi isu konflik sosial dalam kalangan umat Islam iaitu dapat memberikan mereka peluang untuk mendapatkan pendidikan tinggi dan pendidikan agama agar mereka kekal dan memahami ajaran agama Islam yang sebenarnya.
3.3 Pelaksanaan Dialog Nasional Muslim-Kristian
Dialog antara Muslim dan Kristian secara nasional sudah sering dilakukan antara lain tahun iaitu 1974, 1976 dan 1978.Dialog ini diadakan pada 30 November hingga 4 Disember 1981 yang diadakan di Kota Marawi.Dialog ini juga merupakan kali yang keempat dan telah mengambil tema iaitu Pelbagai Impak Moral dan Spiritual Hubungan Muslim-Kristian di Filipina. Dialog ini telah dihadiri seramai 26 orang delegasi yang mewakili sektor swasta yang datang dengan keinginan murni untuk belajar, mengungkap pandangan dan pengalaman mereka serta terbuka dan peka terhadap masalah yang dianggap paling penting dalam masyarakat masing-masing.
Tema yang diketengahkan adalah berbeza setiap tahun iaitu mencerminkan pelbagai situasi dan kenyataan di wilayah lokasi dialog semasa.[12] Misalnya, dialog sebelumnya memusatkan perhatian pada situasi-situasi yang menyedihkan dan darurat serta berusaha menganalisis sebab-sebabnya. Selain itu, merekodkan penyelesaian yang menghentikan atau mengurangi konflik dan akibat-akibat konflik serta meringankan penderitaan.[13]
3.4 Penubuhan King Faisal Centre Of Islamic And Arabic Studies, Mindanao State Universiti.
Selain itu, langkah penyelesaian yang telah diambil untuk mendamaikan masyarakat Islam Filipina ialah seperti mendirikan King Faisal Centre of Islamic and Arabic Studies, Mindanao State Universiti. Institusi ini didirikan pada tahun 1973 yang merupakan institusi Islam pertama yang dikelola oleh kerajaan. Pada awal penubuhannya institusi ini menggunakan nama Institute of Asian and Islamic Studies dan kemudiannya menukarkan namanya setelah mendapat bantuan daripada pemerintah Arab Saudi. Menurut Cesar Adib Majul, walaupun institusi ini tidak dikendalikan dan diawasi oleh umat Islam namun sedikit sebanyak pihak atasan institusi ini telah memperbaiki keadaan agama Islam, pendidikan ulama, latihan dakwah dan terus mengangkat kualiti hidup umat Islam di Filipina.Kuliah diberikan dengan menggunakan pendekatan instruksional yang mana ianya tidak mengikat, hal ini disebabkan Filipina yang dikenali sebagai negara sekular yang mana melarang penggunaan dana awam untuk tujuan khusus dalam pembangunan keagamaan.
Pada 3 Jun 1976, institusi ini dinaikkan taraf menjadi sebuah pusat pengajian yang mempunyai empat fungsi yang utama iaitu yang pertama mengenai pengajaran, penelitian dan perkhidmatan dengan tujuan khusus seperti melakukan penelitian mengenai warisan budaya Islam di Filipina untuk menguatkan pemahaman tentang kebudayaan dan tradisi Islam. Fungsi yang kedua ialah mengembangkan pelbagai program yang dirancang untuk memperbaiki keadaan sosio-ekonomi warga Muslim dan komuniti-komuniti yang lain di Filipina. Ketiga ialah untuk mengembangkan pendidikan untuk warga Muslim supaya mereka menjadi warga negara yang aktif serta dapat memahami peranan kesatuan nasional dalam keagamaan manakala fungsi yang keempat ialah mendorong untuk meningkatkan kesedaran di Asia dan Timur Tengah mengenai identiti dan kerjasama wilayah.
Selain itu, institusi ini juga turut menawarkan pelbagai jenis program pengajian seperti Bachelor of Arts (BA) bagi bidang pengajian Islam atau bahasa Arab, hubungan antarabangsa dan pengajian Muslim Filipina.Manakala bagi program Master of Arts (MA) pula menawarkan kursus dalam bidang hukum sivil Muslim Filipina. Program pensijilan juga turut diadakan selama satu tahun bagi yang ingin mendalami ilmu pengajaran bahasa Arab khusus kepada guru-guru madrasah dan program enam bulan intensif bagi guru-guru sekolah umum.Untuk mendapatkan pendidikan Islam di peringkat yang lebih tinggi, para pelajar boleh mendapatkan biasiswa-biasiswa yang telah ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi luar negara seperti di al-Azhar. Hal ini dilakukan untuk melahirkan ulama-ulama yang berpendidikan dan profesional. Sehubungan dengan itu, perkara ini telah menarik minat mahasiswa Muslim dan juga Kristian dalam mempelajari mengenai sejarah, kebudayaan dan masyarakat Islam. Secara umumnya, kaum Muslim Filipina menganggap bahawa pendidikan agama Islam tetap memainkan peranan penting dalam masyarakat bagi menjalinkan hubungan dengan masyarakat muslim lainnya.
3.5 Philippines Amanah Bank dan Dana Pembangunan Muslim
Di samping pembangunan dalam bidang pendidikan, terdapat juga pembangunan dalam bidang ekonomi seperti melancarkan Philippines Amanah Bank dan Dana Pembangunan Muslim. Bank ini didirikan di bawah Dekri Presiden 264 pada 2 Ogos 1973 yang hanya bermodalkan 100 juta peso pada penglibatan pertamanya. Tujuan penubuhan bank ini adalah untuk membiayai dan memperkembangkan dalam bidang pertanian, perkilangan, pengangkutan dan industri serta pelbagai sumber yang belum diteroka oleh baik yang lain di wilayah Mandanao.Selain itu, tujuan utama penubuhan bank ini adalah untuk menggalakkan dan meningkatkan usaha muslim Filipina Selatan.Bank ini menawarkan pelbagai pinjaman tanpa dikenakan sebarang faedah atas dasar kerjasama dengan para penabung. Antaranya ialah para peminjam mendapat setengah keuntungan yang diperoleh dari pembiayaan untuk bantuan pengelolaan dan pengawasan syarikat. Para penabung juga turut mendapat keuntungan secara ansuran, biasiswa dan keuntungan-keuntungan daripada sumber sosial lainnya.
Dalam pada itu, setengah daripada keuntungan bank akan disalurkan kepada Dana Pembangunan Muslim (Muslim Development Fund/ MDF) untuk membiayai projek pembangunan sosial, pendidikan, kebudayaan dan ekonomi warga Muslim. Bank ini memiliki pejabat pusatnya di Manila dan cawangan-cawangannya di bandar-bandar yang terdapat masyarakat Muslim yang lain di Selatan Filipina.
4.0 KESIMPULAN
Sebagai rumusan dalam perbincangan ini, kemelut ataupun konflik yang berlaku terhadap umat Islam di Selatan Filipina khususnya di kawasan Mindanao dan Sulu telah dibincangkan melalui konflik politik, sosial dan ekonomi. Walau bagaimanapun, kemelut yang dialami oleh umat Islam iaitu yang paling utama adalah mengenai isu penyebaran agama Kristian. Penyebaran agama Kristian ini yang bersifat kekerasan telah menyebabkan orang Islam terasa diancam dan mula bertindak balas kepada kuasa barat Sepanyol.
Oleh yang demikian, kesemua usaha yang dijalankan sedikit sebanyak dapat menyelesaikan konflik yang berlaku terhadap masyarakat Islam di Selatan Filipina. Walaupun terdapat langkah yang diambil gagal mewujudkan perdamaian dalam kalangan umat Islam di Selatan Filipina tetapi masih ada usaha untuk mewujudkan perdamaian dan mengurangkan diskriminasi yang berlaku ke atas masyarakat di Selatan Filipina. Isu umat Islam sebagai golongan minoriti dalam sebuah negara sememangnya tidak dapat diatasi kerana sudah menjadi lumrah bagi golongan minoriti untuk tidak mendapat apa-apa keistimewaan. Maka bangsa itu sendiri perlu memajukan bangsanya agar dapat mengekalkan kedudukan dan juga mendapat hak sebagai seorang warganegara.
[1] Susetyo. H. (2009). The Journal of a Muslim Traveler. Jakarta : PT Lingkar Pena Kreativa. hlm 8.
[2]Ibid. hlm 28.
[3] Onofre D. Corpuz. (1972). Filipina. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
[4]Maruwiah Ahmat. (2006). Penjajahan Portugis dan Sepanyol Ke Atas Asia Tenggara. Selangor : Publication Karisma. hlm 126-127.
[5] Saifullah Mohd Sawi dan Samsu Adabi Mamat. (2009). Sejarah dan Tamadun Islam di Asia Tenggara. hlm 104.
[6] Khoo,G. (1989). Sejarah Asia Tenggara sejak Tahun 1500. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd. hlm 184.
[7] Chesar Adib Majul (Terjemahan Shamsuddin Jaafar). (1988). Islam di Filipina. hlm 155.
[8] Guerero,A. (1970). Philippine Society And Revolution. Manila : Pulang Tala Publications. hlm 5.
[9]Ibid. hlm 6.
[10] Taufik Abdullah dan Sharon Siddique (Ed.). (1987). Islam and Society in Southeast Asia. Singapore : Institute of Southeast Asian Studies. hlm. 288.
[11]Ibid. hlm 289.
[12] Taufik Abdullah & Sharon Siddique (1986). Tradisi dan Kebangkitan Islam di Asia Tenggara.hlm 360.
[13]Ibid.
terima kasih atas perkongsian ilmu....kebetulan saya mencari bahan untuk presentati0n pengajian am...^^
ReplyDelete