nuffnang

Sunday, May 26, 2013

1.2 KAMPUNG GUNTONG/ PERLOK, SUNGKAI, PERAK

Kampung Guntong pula telah diterokai kira-kira lebih dari seratus tahun lalu iaitu pada pertengahan tahun 1850. Menurut sejarah, nama Guntong ini diberi bersempena dengan kejadian yang pernah berlaku pada suatu ketika dahulu iaitu peristiwa serangan daripada orang-orang Mendeling dari Sumatera. Oleh hal yang demikian, penduduk kampung telah melarikan diri dan sampai bersembunyi di sebuah gaung yang dikenali sebagai gaung Guntong. Akhirnya, di situ penduduk telah mendirikan petempatan dan diberi nama Guntong.
Manakala Kampung Perlok pula telah wujud sekitar  tahun 1935 apabila orang-orang dari Kampung Guntong telah meneroka kawasan di Kampung Perlok ini waktu itu. Nama Perlok pula telah diambil bersempena dengan nama sebatang anak sungai Sungkai yang pada bahagian kualanya penuh dengan lolok (lumpur). Dari situlah dikatakan nama Perlok telah diambil. Dikatakan bahawa Kampung Perlok dahulu dikenali dengan nama Kampung Perlok Lama atau Kampung Kota Aria. Oleh kerana keadaan darurat telah memuncak pada tahun 1950, Kampung Perlok Lama ini telah diserang oleh pengganas komunis. Oleh itu, disebabkan pelbagai kemusnahan yang berlaku, pada tahun 1951, kerajaan telah mengambil tindakan dengan mengambil sebidang tanah milik seorang ceti India dan diberikan kepada penduduk sebagai tapak rumah dan mengarahkan perpindahan penduduk Kampung Perlok lama ke sebuah kawasan lain yang berhampiran yang dikenali sebagai Kampung Perlok Baru yang wujud sehingga sekarang. Difahamkan pada waktu itu seluas 60x90 kaki persegi tanah telah diperuntukkan dan penduduk dikenakan bayaran cukai tahunan. [1]
Di bawah Kampung Guntong/Perlok ini terdapat beberapa kampung-kampung rangkaian yang lain seperti Kampung Kuala Alah, Kampung Awong, Kampung Cegur Macang dan setiap satu kampung-kampung ini mempunyai tidak lebih daripada 70 buah rumah. Secara keseluruhannya, kampung ini mempunyai keluasan sebanyak 10, 112 ekar. Kampung ini juga terdiri daripada semua kaum Melayu dengan bilangan penduduk lelaki seramai 466 orang dan penduduk wanita 521 orang.
Kampung Guntong dan Perlok ini digabungkan di bawah pentadbiran seorang ketua kampung dan pada waktu ini ketua kampung yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal kampung ialah Encik Yusuf b Jamit. Segala maklumat berkaitan dengan Kampung Guntong / Perlok ini telah diperolehi sewaktu sesi temuramah yang kami jalankan.


[1]Fail profail Kampung Guntong/Perlok oleh setiausaha, Abdul Rahim Bin Hj Yunus.

No comments:

Post a Comment