nuffnang

Sunday, May 26, 2013

Tempoh 1916 sehingga 1928 dikenali sebagai zaman Panglima Perang di China. Bahaskan

1.0       PENGENALAN
Corak pemerintahan di China mengalami pelbagai perubahan kesan daripada ideologi yang diperjuangkan oleh pemerintah. Kegagalan Dr. Sun Yat-sen meneruskan revolusinya telah menyebabkan berlakunya tempoh ketidakstabilan dalam aspek pemerintahan di China. Banyak wilayah mengisytiharkan kemerdekaan melalui Revolusi 1911 daripada kerajaan Ch’ing, dan telah menggugat kedudukan mereka yang menyaksikan Yuan Shih-kai dilantik untuk mengetuai tentera darat dan tentera laut bagi menghapuskan Revolusi 1911. Kempen ketenteraan yang dilaksanakan oleh Yuan Shih-kai  mencapai kemajuan yang menggalakkan dan mendorong pelantikan beliau sebagai presiden baru. Pelantikan beliau juga menandakan bermulanya era baru dengan tertubuhnya Republik China. Sepanjang pemerintahan beliau, pemerintahan yang diamalkan adalah bersifat autokrasi dan selepas kematiannya pada 6 Jun 1916 menyebabkan tidak ada individu yang mengambil tempatnya sebagai pemimpin yang berkuasa di China kerana tidak mahu China berada dalam suasana kekacauan serta perpecahan.
Peking masih lagi dianggap sebagai kerajaan pusat Republik China tetapi tidak mempunyai kuasa untuk mengawal wilayah-wilayahnya dan ia mendorong kebangkitan zaman panglima perang atau warlord yang menguasai China pada tahun 1916 hingga 1927. Keadaan politik menjadi kacau bilau kerana jeneral-jeneral dan gabenor wilayah (warlord) saling berperang antara satu sama lain untuk mendapatkan kekuasaan. Panglima perang tersebut menganggap diri mereka sebagai nasionalis atau pejuang negara, dan secara umumnya setiap daripada mereka menguasai wilayah berbeza bagi mengelakkan salah faham dialek serta menggalakkan kecenderungan serantau. Panglima perang juga bebas memungut cukai di kawasan takluknya yang lebih menumpukan usaha untuk menguatkan lagi kekuasaan mereka. Setiap warlord mempunyai keperibadian yang kuat serta memiliki pegawai-pegawai penyokong dan satu pasukan tentera sendiri. Keteguhan seseorang warlord turut bergantung kepada sokongan dan bantuan daripada pemimpin-pemimpin tentera yang lain termasuklah dari negara asing. Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa hanya beberapa panglima perang sahaja yang terlibat dalam pergolakan politik kerana mereka mempunyai penyokong yang ramai dan sokongan yang diterima turut melibatkan daripada panglima perang yang kurang popular.
Peluasan kuasa oleh panglima perang bermula selepas pengganti Yuan Shih-kai iaitu Li Yuan Hung tidak mampu mentadbir China dengan baik dan menyebabkan beliau senang dimanipulasi oleh pemimpin-pemimpin tentera. Secara umumnya, panglima perang terdiri daripada pelbagai puak dan wilayah di China di mana kebanyakan daripada mereka muncul dari bahagian utara dan selatan China. Antara puak yang paling kuat dan berpengaruh ialah puak Fengtian, Chili, Anhwei dan panglima perang mereka terdiri daripada bekas jeneral tentera Peiyang yang memerintah kawasan tertentu dengan kuasa autonomi. Era panglima perang terbahagi kepada dua peringkat iaitu sebelum tahun 1920 dan selepas tahun 1920. Pada tahun sebelum 1920, golongan panglima perang berada dalam kedudukan yang kuat manakala kerajaan pusat dalam keadaan lemah. Tuan Chi-jui yang merupakan Perdana Menteri semasa China di bawah pimpinan Li Yuan Hung memerintah kumpulan Anhwei dan pengikutnya telah mendominasi kerajaan pusat sehingga menyebabkan Li Yuan Hung disingkir menjadi presiden pada 1917 dan digantikan dengan Feng Yu-Hsiang.
Pada tahun 1920, Tuan Chi-jui memimpin tentera Anhwei berperang dengan kumpulan Chili pimpinan Wu Pei-fu iaitu bekas anak muridnya di Akademi Ketenteraan Beiyang. Tentera Chili mendapat sokongan daripada kumpulan Fengtian yang membawa kekalahan puak Anhwei. Namun demikian, berlaku peperangan di antara Chili dan Fengtian pada tahun 1922 yang menyebelahi puak Chili apabila Wu Pei-fu mendapat sokongan daripada Feng Yu-hsiang. Akhirnya, Feng Yu-Hsiang pula merampas kuasa di Peking pada tahun 1924 mengakibatkan kumpulan Chili menjadi lemah. Rentetan peristiwa berkenaan menggambarkan bahawa individu atau kumpulan yang mempunyai pengaruh dan kekuatan akan dapat menguasai sesuatu kawasan seperti yang berlaku kepada puak-puak panglima perang di China. Terdapat pendapat daripada sarjana yang menyatakan bahawa sebanyak 140 peperangan telah berlaku antara tahun 1916 hingga tahun 1928. Secara keseluruhannya, perbincangan ini akan memfokuskan tentang corak pemerintahan yang berlaku dalam puak-puak utama di China yang merangkumi bahagian utara dan selatan serta peristiwa penting yang berlaku semasa zaman panglima perang. Fokus perbincangan akan turut mengetengahkan tentang signifikannya sesuatu peristiwa semasa zaman berkenaan dan pengaruhnya terhadap setiap aspek.                              

2.0       WILAYAH FENGTIAN (CHANG TSO-LIN DI TIMUR LAUT MANCHURIA)

Setelah mengalami kegagalan dalam pelbagai peperangan, China telah berada dalam keadaan tidak stabil akibat daripada pemberontakan dan pergerakan yang telah membawa kepada perpecahan yang amat ketara di China. Kelemahan pihak kerajaan China telah menyebabkan wilayah-wilayah jatuh ke tangan kumpulan-kumpulan tentera yang bertindak secara bebas. Dengan kata lain, mereka adalah separa merdeka. Sebenarnya, ketenteraan China merupakan satu kumpulan yang sangat lemah. Antara sebabnya adalah mereka tidak berdisiplin, kurang tersusun dan tidak teratur. Hal ini juga menyebabkan wilayah Liaoning dikuasai oleh Panglima Perang Chang Tso-lin. Tempoh panglima perang Liaoning juga dikenali sebagai Fengtian, gelaran ini digunakan untuk menutup bangsa Manchurian sebagai pemerintah di bawah kuasa Chang Tso-lin. Ibu negeri Liaoning adalah Shenyang juga disebut sebagai Mukden. Pada zaman panglima perang di Fengtian, tiga aspek utama iaitu ekonomi, sosial dan politik telah membuktikan antara tahun 1916 sehingga tahun 1928 sebagai zaman panglima perang.

2.1       PENTADBIRAN

Selain itu, dapat dilihat penguasaan panglima-panglima perang di wilayah-wilayah china melalui aspek pentadbiran. Aspek pentadbiran amat penting dalam sesebuah negara kerana aspek ini merupakan tunjang kepada pembentukan sesebuah negara. Aspek pentadbiran di wilayah Fengtian telah mengalami perubahan pada zaman panglima perang Chang Tso-lin. Pada zaman panglima perang ini, tiada sesiapa yang mengawal penguasaan panglima-panglima perang ini, malah tiada satu pun undang-undang, mahkamah atau hukuman bagi menghalang penguasaan mereka. Dalam hal ini, mereka bebas berhubung dengan kuasa asing untuk meluaskan kuasa atau mempertahankan wilayah mereka. Sebagai contoh, Chang Tso-lin pada tahun 1925 mendapat bantuan nasihat daripada Jeneral Horvart dan W. Grave. Jeneral Horvart yang pernah berkhidmat dalam pentadbiran Jalan Kerata Api China Timur, manakala Grave pula bekas setiausaha kepada Kedutaan Tzar Rusia.

Bagi mengukuhkan kedudukan Manchurian, Chang Tso-lin juga berhubung dengan pihak Jepun. Di sini kita dapat melihat bahawa berlakunya perbezaan ideologi antara panglima perang dan Chang Tso-lin merupakan seorang yang konservatif tanpa ideologi yang kuat dan seorang yang pro-jepun. Pada tahun 1925, pemberontakan yang dicetuskan oleh Guo Songling telah berlaku. Guo Songling telah mengarahkan tenteranya berarak di Shenyang. Dalam peperangan ini, Chang Tso-lin telah meminta bantuan dari pihak Jepun. Pihak Jepun telah membawa masuk bantuan untuk melindungi kepentingan mereka di Manchurian. Akhirnya Chang Tso-lin berjaya menghapuskan pemberontakan tersebut pada bulan Disember. Perhubungan antara panglima perang Chang Tso-lin dan pihak Jepun telah mengukuhkan kedudukan Jepun tanpa diganggu gugat oleh kuasa asing yang lain.

Perkembangan peperangan pada zaman ini juga memperlihatkan bilangan tentera yang berkembang secara mendadak. Hal ini sebenarnya sudah berlaku pada awal republik iaitu awal tahun 1920-an. Sebagai contoh, pada musim panas tahun 1920, Chang Tso-lin cuba menawan ke utara China untuk menjatuhkan Duan Qi-rui, dengan bantuan tentera akhirnya Chang Tso-lin berjaya menyingkirkan Duan Qi-rui. Chang Tso-lin juga pernah bekerjasama dengan sebilangan besar tentera tempatan untuk menghalang Manchurian jatuh ke dalam keadaan yang huru-hara. Sekurang-kurangnya 1.5 bilion askar lelaki yang berkhidmat dalam tentera formal bersenjata telah ditambah. Perubahan yang berlaku telah membuktikan bahawa antara tahun 1916 sehingga tahun 1928 merupakan zaman panglima perang di China.

2.2       EKONOMI
           
Pada zaman panglima perang, wilayah kekuasaan Chang Tso-lin di timur laut China iaitu Fengtian mempunyai mata wang sendiri yang dikenali sebagai Fengpiao. Terdapat dua jenis Fengpiao iaitu Fengpiao kecil untuk urusan pembayaran gaji dan urusan jual beli harian, manakala Fengpiao besar pula bagi urusan antara bank dan para peniaga untuk pembayaran yang mempunyai jumlah besar. Pada awal tahun 1920-an, Chang Tso-lin telah mewarisi kerajaan wilayah dengan sistem kewangan yang lemah. Sebagai contoh, pada tahun 1917 Fengtian telah menghadapi sepuluh pinjaman daripada konsortium yang dikawal oleh kuasa asing dan bank-bank berjumlah lebih 12 juta yuan. Disebabkan kelemahan pihak kerajaan, panglima perang Chang Tso-lin telah bangkit dan membetulkan keadaan yang huru-hara di wilayah Fengtian. Namun dalam hal ini juga kita dapat melihat bahawa wilayah-wilayah di China telah menghasilkan mata wang masing-masing sehingga menimbulkan kekeliruan dalam sistem kewangan.
Selain itu, wilayah-wilayah telah memulakan sistem cukai untuk diri mereka sendiri namun, mereka tidak bersedia untuk menghantar wang sebagai modal bagi wilayah yang miskin. Sistem cukai yang dikenakan ke atas petani ini adalah antara 20 peratus hingga 50 peratus. Mereka juga dikenakan cukai tambahan selain menghadapi masalah membayar cukai lebih awal daripada tarikh. Petani-petani yang terdesak untuk menyara hidup dan keluarga mereka terpaksa meminjam dan dikenakan kadar bunga yang tinggi oleh tuan-tuan tanah. Dalam hal ini, Wang Yongjiang iaitu ketua jabatan cukai yang dilantik oleh Chang Tso-lin telah mengadakan beberapa kawalan yang baru untuk membasmi masalah ini. Setelah mengetahui sistem cukai yang huru-hara dan penyalahgunaan sistem cukai, Wang Yongjiang telah mengarahkan firma kerajaan melakukan kajian terhadap masalah ini. Hal ini adalah bagi mengatasi masalah kewangan dan pendapatan negara. Pada tahun 1918, hasil wilayah telah meningkat secara berterusan dan pada tahun 1921, semua pinjaman yang tertunggak telah dibayar balik sehingga berlakunya lebihan pendapatan.
Dalam aspek ekonomi juga, Jepun melihat Chang Tso-lin sebagai seorang yang mampu memberi keuntungan kepada mereka pada masa hadapan terutama di bahagian utara China. Pihak Jepun juga mempercayai bahawa panglima perang Chang Tso-lin dapat mengadakan hubungan diplomatik dengan pihak Jepun untuk membangunkan sumber, membina kereta api dan kilang-kilang, dan menyelesaikan masalah-masalah golongan petani China. Hal ini bukan setakat membawa kemajuan dalam ekonomi pihak Jepun malah pihak China juga dapat berkembang dengan pesat. Walaupun berlakunya peperangan pada zaman ini, namun ekonomi wilayah Fengtian bawah kuasa Chang Tso-lin masih dalam keadaan stabil. Sebagai contoh, agensi-agensi Jepun dan pengusaha perniagaan swasta membuat pelaburan modal yang besar kerana mereka ingin menjadikan Manchurian sebagai sebuah kuasa ekonomi dan model kemodenan yang hebat.

Pada zaman panglima perang ini juga dapat diliihat berlakunya masalah ketenteraan tempatan pada lewat tahun 1910-an dan awal tahun 1920-an. Buktinya, beratus-ratus panglima perang telah bertindak menguasai kawasan tidak kira sama ada wilayah besar atau wilayah kecil. Dengan kata lain, mereka merupakan kumpulan yang cuba mengekalkan kekuasaan sendiri tanpa dikawal oleh mana-mana pihak. Oleh hal yang demikian, peperangan antara panglima perang berlaku tanpa berhenti untuk perebutan kuasa. Hal ini telah menyebabkan pertumbuhan sektor perindustrian yang perlahan dan sektor pertanian mula mengalami krisis yang berpanjangan. Disebabkan peperangan yang berlaku, produk China telah kehilangan permintaan dan dimanipulasi oleh mata wang antarabangsa pada tahun 1920-an.
Sistem panglima perang telah menyediakan sejumlah peluang pekerjaan yang besar sama ada secara langsung iaitu sebagai tentera atau tidak langsung iaitu dalam industri pembuatan dan perkhidmatan yang disediakan kepada tentera. Kesan daripada peningkatan jumlah penduduk tempatan, peluang pekerjaan tidak.begitu banyak namun peluang pekerjaan di kilang-kilang yang baru adalah untuk wanita muda sahaja. Peluang pekerjaan Manchurian yang dibawa oleh Jepun tidak terjejas oleh peperangan malah kekuatan ekonomi ini membangun dengan pesat dan membawa peluang pekerjaan yang banyak. Industri perkilangan baru juga dibuka untuk memenuhi permintaan domestik luar, dan hal ini berjaya menyebabkan berlakunya eksport bagi negara China. Antara salah satu industri yang paling berjaya adalah industri rokok. Hal ini demikian kerana, permintaan yang tinggi terhadap rokok di China telah berlaku. Perubahan yang berlaku telah membuktikan bahawa antara tahun 1916 sehingga tahun 1928 merupakan zaman panglima perang di China.

2.3       SOSIAL

Sebelum melihat secara teliti dalam perubahan dan kepentingan bahagian sosial, usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan menampakkan kelembapan untuk mewujudkan demokrasi di China. Hal ini telah menyebabkan rakyat China mulai bosan dan tindak-tanduk kerajaan China yang tidak bersungguh-sungguh melaksanakan pembaharuan di China. Pada zaman panglima perang ini telah menunjukkan kepentingan peperangan antara wilayah dalam aspek sosial. Hal ini telah menyebabkan kehidupan rakyat sengasara kerana mereka ditindas tidak kira kaum lelaki atau kaum perempuan. Pada april tahun 1919, permusuhan yang semakin teruk telah berlaku antara Chang Tso-lin di Mukden dan pihak kerajaan Duan Qi-rui di Peking. Hal ini demikian kerana perebutan kuasa untuk menguasai tentera barat laut Mongolia, Xinjiang, Gansu, dan Shaanxi. Peperangan ini telah mengubah kehidupan rakyat di China kerana penduduk tempatan diarah untuk berkhidmat dengan pihak tentera panglima perang untuk tujuan mengangkut barang.

Rakyat juga menerima kesan buruk daripada keganasan yang dilakukan oleh tentera panglima perang itu. Apabila perang meletus, rakyat diculik dan kereta sorong dirampas untuk membantu tentera panglima perang. Pada zaman panglima perang ini, golongan gadis telah dilindungi oleh keluarga mereka secara terlindung. Kebanyakan mereka menjalani kehidupan yang terkurung di dalam rumah. Hal ini demikian kerana, keadaan peperangan yang huru-hara telah menyebabkan ibu bapa kepada golongan gadis risau akan keselamatan mereka. Mereka hanya mampu terkurung dalam rumah dan hanya melakukan aktiviti harian dalam kawasan rumah sahaja. Hal ini telah membuktikan bahawa antara tahun 1916 sehingga tahun 1928 merupakan zaman panglima perang di China.

3.0       WILAYAH ANHWEI
Wilayah Anhwei terdiri daripada kelompok Anhwei yang merupakan satu kumpulan masyarakat di bahagian utara China dan salah satu puak yang paling berpengaruh. Kumpulan ini diketuai oleh Tuan Chi-jui dan berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan di China sehingga awal tahun 1920-an. Kumpulan Anhwei menguasai wilayah Anhwei, Shensi, Shantung, Chekiang, Fukien dan beberapa lagi wilayah lain di China. Tuan Chi-jui yang merupakan pengasas kumpulan ini memerintah dari tahun 1916 hingga tahun 1926. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memeterai ‘Pinjaman Nishihara’ pada bulan Ogos 1918. Terdapat sumber yang menyatakan bahawa pinjaman tersebut merupakan satu siri pinjaman yang dibuat oleh Tuan Chi-jui kepada kerajaan Jepun dari bulan Januari 1917 hingga bulan September 1918. Ia tercetus apabila Tuan Chi-jui menghadapi tentangan daripada pihak KMT  pimpinan Dr. Sun Yat-sen serta kerajaan baru di selatan dan meminta bantuan secara rahsia daripada luar dengan alasan negeri China akan menghadapi peperangan. Pada mulanya, beliau cuba mendapatkan bantuan daripada Amerika Syarikat tetapi gagal kerana Amerika Syarikat terlibat dalam peperangan. Oleh kerana tidak mempunyai jalan penyelesaian yang lain, akhirnya pinjaman telah dibuat daripada Jepun di mana sebanyak 145 juta yen telah disalurkan kepada kerajaan China.
Kerajaan China menganggap pinjaman yang diberikan oleh bank-bank swasta tersebut sebagai suatu usaha pelaburan untuk menggalakkan lagi pembangunan negara mereka. Namun demikian, pihak Jepun mengambil peluang tersebut untuk menyaingi kuasa-kuasa Barat lain yang turut ingin menguasai wilayah utara China. Jepun telah meminta balasan terhadap pinjaman yang diberikan iaitu menuntut wilayah Shandong yang merupakan bekas kawasan yang dipajak kepada pihak Jerman selepas berlakunya Perang Candu 1 pada tahun 1839 hingga 1842. Terdapat sebuah bandar di wilayah Shandong iaitu Qingdao yang merupakan sebuah pelabuhan laut, pangkalan tentera laut dan pusat industri penting di China di mana kawasan berkenaan telah menarik minat kuasa-kuasa luar. Jepun juga meminta kawalan kereta api di Shandong diserahkan kepada mereka dan hak tambahan di Manchuria daripada kerajaan Peking sebagai pertukaran kepada pinjaman yang diberikan. Semasa tempoh pinjaman tersebut, timbul perselisihan di antara Tuan Chi-jui dan Presiden Feng yang tidak bersetuju dengan cadangan Tuan Chi-jui supaya menggunakan tindakan tentera ke atas kerajaan baru di selatan pimpinan Sun Yat-sen.
Perselisihan di antara Tuan Chi-jui dan Presiden Feng mencapai kemuncak semasa tempoh jawatan presiden tamat dan ia membawa kepada pelantikan Hsu Shih-chiang sebagai presiden yang baru. Presiden Hsu telah disokong oleh golongan Anfu iaitu gabungan masyarakat Anhwei dan Fukien yang ditubuhkan oleh Tuan Chi-jui bagi mendapat sokongan yang lebih daripada orang ramai. Pada masa yang sama Tuan Chi-jui telah meneruskan pinjaman dari Jepun dalam usaha beliau untuk terus menguatkan kedudukan kewangan kerajaan China dan membina angkatan tentera. Apabila pinjaman dan butiran perjanjian rahsia tersebut didedahkan, ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat China kerana tindakan yang dilakukan oleh Tuan Chi-jui dianggap sebagai menjual negeri China kepada Jepun. Beliau telah digelar pengkhianat dan diserang oleh rakyat di mana sebahagian daripada hak-hak yang diberikan kepada Jepun adalah lebih kurang sama dengan kandungan Fasal 5 dalam ‘Tuntutan 21 Jepun’. Kerajaan China turut gagal dalam permintaan mereka untuk menghapuskan tuntutan berkenaan kerana ia dianggap ‘di luar persidangan damai’ semasa perjanjian damai Versailles di Paris pada tahun 1919. Kesannya, wilayah Shandong telah menjadi milik Jepun dan menyebabkan kedudukan kerajaan Peking terancam.
Peristiwa tesebut telah mendapat tentangan daripada golongan pelajar dan intelektual yang membawa kepada tercetusnya Gerakan 4 Mei 1919. Keadaan ini juga membuka lembaran baru dalam sejarah China kerana ia merupakan petanda munculnya pergerakan komunis di China. Secara keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa tindakan yang dilakukan oleh Tuan Chi-jui telah memerangkap kerajaan China dan membawa kejatuhan wilayah-wilayah penting kepada kuasa luar. Keadaan ini mencerminkan usaha yang dilakukan oleh Tuan Chi-jui tanpa memikirkan hak-hak rakyat semata-mata bagi mengukuhkan kekuasaan akhirnya telah memakan diri beliau sendiri serta memberi kesan kepada kerajaannya. Pihak Jepun yang pada awalnya seolah-olah dianggap membantu Peking dalam perang saudara akhirnya mendapat pulangan yang lumayan melalui Pinjaman Nishihara yang dimeterai. 
Selepas berlakunya kegoyahan dalam pentadbiran di Peking, beberapa usaha dan ekspedisi untuk menawan semula kawasan utara terutamanya Mongolia telah dilakukan. Xu Shuzheng yang merupakan orang kanan kepada Tuan Chi-jui telah mengetuai ekspedisi tersebut. Pada bulan Oktober tahun 1919, Xu mendapat perintah untuk mengetuai pasukan Tentera Pertahanan di sempadan barat laut China dan menyerang kawasan luar Mongolia yang baru sahaja mencapai kemerdekaan. Pada 17 November, beliau memaksa kerajaan luar Mongolia supaya menarik balik akuan autonomi serta membawa kembali Mongolia di bawah kekuasaan kerajaan China. Selepas itu, berlaku perang Chili-Anhwei pada 14 hingga 23 Julai 1920 yang melibatkan kumpulan Anhwei dan pesaingnya iaitu kumpulan Chili pimpinan Wu Pei-fu dan Cao Kun. Kedua-dua puak Anhwei dan Chili dahulunya saling bekerjasama kerana mereka berasal daripada tentera Beiyang yang berkuasa di China. Perpecahan di antara mereka bermula apabila terdapat percanggahan dalam aspek strategi semasa mereka berusaha menghapuskan panglima perang di selatan China. Tuan Chi-jui amat menggemari pendekatan peperangan di samping menyatukan semua wilayah di China. Namun demikian, kumpulan Chili pula tidak bersetuju dengan tindakan Tuan Chi-jui kerana mereka lebih suka menggunakan cara rundingan untuk mempengaruhi panglima perang di selatan terutama melalui sokongan kewangan dan politik.   
Kumpulan Chili telah menganjurkan satu pakatan pemimpin tentera dengan sokongan Zhang Zuolin daripada puak Fengtian untuk menentang puak Anhwei. Walaupun tentera Tuan Chi-jui dilengkapi senjata yang canggih dan dilatih oleh tentera Jepun, namun mereka menyerah kalah dengan mudah kepada kumpulan Chili dan menamatkan perang saudara tersebut. Tuan Chi-jui melarikan diri ke Tianjin untuk mencari penyelesaian dengan pihak Jepun dan menjadi tuan tanah pangsapuri semasa di sana. Kesannya, kumpulan Anhwei mula menjadi lemah menyebabkan terdapat beberapa ahli mereka menyertai kumpulan Chili dan Fengtian. Hanya kawasan Zhejiang kekal menjadi jajahan takluk Anhwei walaupun akhirnya ia jatuh pada tahun 1924. Kekalahan tersebut juga mengakibatkan kedudukan Xu Shuzheng di Mongolia terjejas dan digantikan dengan Chen Yi seterusnya memberikan semula kemerdekaan kepada kerajaan Mongolia pada tahun 1921. Walaupun menghadapai kekalahan, kumpulan Anhui masih lagi kekal sebagai kuasa terkuat di utara. Perang Chili-Fengtian Kedua yang berlaku pada tahun 1924 turut mempunyai kaitan dengan kumpulan Anhwei walaupun kekuasaan mereka semakin pudar selepas kejatuhan Tuan Chi-jui akibat kekalahan dalam perang Chili-Anhwei.
4.0       WILAYAH CHILI
Chili merupakan antara wilayah di bahagian utara China yang wujud sejak daripada zaman Dinasti Ming (1368-1644) lagi. Namun, wilayah ini telah dibubarkan pada tahun 1928 ketika era Republik China. Perkataan Chili sebenarnya membawa erti directly ruled ataupun terus memerintah, yang secara tidak langsungnya telah dibuktikan di mana kawasan ini terus diperintah oleh kerajaan Imperial China. Wilayah ini mula ditubuhkan semasa Dinasti Ming apabila ibu kota China pada ketika itu terletak di Nanjing iaitu di sepanjang Sungai Yangtze. Chili sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu utara dan selatan. Bahagian utara Chili terdiri daripada wilayah seperti Hebei, Henan, dan Shandong, manakala bahagian selatan pula meliputi Jiangsu, dan Anhui. Umumnya, sekitar tahun 1916 sehingga 1928 iaitu selepas kematian Yuan Shikai, wilayah Chili mula terlibat dengan satu zaman yang dikenali sebagai zaman Panglima Perang. Antara panglima yang terkenal di wilayah ini adalah seperti Wu Peifu, dan Feng Yuxiang. Zaman Panglima Perang yang berlaku pada ketika ini telah menyaksikan pertempuran di antara panglima bagi memperkukuhkan kepentingan mereka sehingga membawa kepada campur tangan daripada kuasa asing.
            Titik tolak kepada pertempuran di antara panglima perang adalah apabila Yuan Shikai meninggal dunia pada tahun 1916. Kematian beliau telah menyebabkan tentera darat Beiyang telah berpecah kepada beberapa puak yang saling bermusuhan, dan berjuang untuk ketuanan masing-masing. Antara puak-puak utama adalah seperti Puak Anhwei yang dipimpim oleh Duan Qirui, Puak Fengtian oleh Zhang Zuolin, dan Puak Chili sendiri yang diketuai oleh Feng Guozhang. Pada ketika ini, Wu Peifu merupakan salah seorang daripada ahli puak Chili. Wu Peifu merupakan panglima perang yang paling dihormati di antara panglima-panglima lain. Hal ini demikian kerana, beliau adalah komander perang yang terbaik di China, dan tidak pernah terlibat dengan rasuah. Konflik pertama yang berlaku ke atas Chili bermula daripada Perang Perlindungan Perlembagaan pada tahun 1917 yang melibatkan Anhwei. Puak Anhwei dilihat telah menguasai politik Beijing daripada tahun 1916 sehingga 1920. Walau bagaimanapun, mereka telah dipaksa untuk mengekalkan hubungan dingin dengan Puak Chili demi menjamin kestabilan. Duan Qirui yang memimpin Anhwei pada ketika itu dilihat sebagai seorang yang agresif dalam menyelesaikan masalah. Buktinya, ketika dalam usaha untuk berurusan dengan bahagian selatan yang sedang bergolak, Duan lebih memilik untuk menggunakan cara kekerasan iaitu penaklukan. Tindakan ini adalah bercanggah dengan Feng yang lebih kepada rundingan perdamaian.
            Kepimpinan Chili telah diganti oleh Cao Kun dengan sokongan Wu Peifu dan Sun Chuanfang selepas kematian Feng pada tahun 1919. Keadaan lebih menjadi rumit apabila Wu mengecam tindakan Duan yang bekerjasama dengan Jepun. Menurut Wu, Jepun hanya ingin mengambil kesempatan di atas kesusahan yang dialami China demi menggerakkan bala tenteranya, dan segala bentuk perjanjian yang dibuat bersama mereka hanya akan memalukan China, seperti Perjanjian Pinjaman Nishihara. Ia merupakan satu siri pinjaman yang dibuat oleh kerajaan Jepun terhadap Puak Anhwei pimpinan Duan daripada Januari 1917 sehingga September 1918, dalam pertukaran bagi konsesi hak dan wilayah di utara China. Kecaman ini telah menyebabkan Duan bersedia untuk melancarkan serangan ke atas Puak Chili. Pada masa yang sama, Cao dan Wu juga telah mengadakan satu pakatan yang besar termasuk dengan semua musuh puak Anhwei. Selain itu, pertemuan dengan wakil-wakil Tang Jiyao dan Lu Ronting yang merupakan panglima perang bagi Yunan dan Guangxi di Hengyang. Pertemuan ini telah membawa kepada termeterainya “Raugh Draft of The National Salvation Alied Army”, di samping membentuk perikatan Anti Puak Anhwei yang turut disertai Zhang Zoulin dari Puak Fengtian. Pada ketika ini, Wu Peifu dilihat mempunyai hubungan dan perlindungan yang sangat kukuh daripada British.
Akhirnya, pada Julai 1920 tercetuslah Perang Chili- Anhwei, di mana Chili diketuai Wu Peifu, dan Anhwei dipimpin Duan Qirai. Kehebatan Wu dalam mengepalai pasukannya terserlah apabila beliau berjaya merancang strategi walaupun pada mulanya nasib tidak menyebelahi Chili. Wu telah bertindak berani dengan mengesan kedudukan musuh terlebih dahulu sebelum melakukan serangan. Tindakan yang diambil ini telah menyebabkan puak Chili mendapat kejayaan besar. Tentera Anhwei telah runtuh dalam masa seminggu dan Duan Qirui telah melarikan diri ke Tianjin yang merupakan salah satu wilayah milik Jepun. Kemenangan ini telah menyebabkan Wu mula dikenali sebagai pakar perancang strategi peperangan terbaik di China pada ketika itu. Pihak barat iaitu British dan Amerika Syarikat turut menerima tempias daripada kejayaan ini. Hal ini demikian kerana, mereka mula melihat Wu sebagai pelindung kepada kepentingan mereka di Lembah Yangtze dan Timur China. Keadaan ini secara tidak langsung akan dapat mengukuhkan kedudukan mereka di kawasan tersebut. Pada tahun 1919, kuasa barat dilihat  tidak berminat untuk melawan Jepun yang cuba campuri urusan di China ekoran mereka telahpun mempunyai wilayah ataupun tanah pegangan sendiri. Menurut Nathaniel Peffer yang merupakan seorang penulis Amerika, perwatakan Wu adalah sama dengan Jeneral British yang pernah menyelamatkan China daripada Pemberontakan Taiping pada tahun 1860. Menurut beliau,
He received me in cotton gown in a rough office with ordinary wooden chairs, a cheap wooden table and bare, unplastered walls, and privates came and went without ceremony. Between his quarters and those of his lieutenants there was no mark of distinction. Between his clothes and those of a moderately successful lantern-shop proprietor the distinction would be all in the shopkeepers favour. Tall, thin and somewhat bowed, with the face and manner of a student, he, like Zhang Zuolin, looks more the esthete than the warrior. But unlike Zhang Zuolin, he really is scholar, if not an esthete.
Selain itu, kemenangan ini juga telah membawa kepada perkongsian kuasa di antara Chili dan Fengtian. Namun, Zhang Zuolin yang merupakan panglima Fengtian dilihat agak kurang selesa dengan pendirian tegas Wu yang anti- Jepun. Buktinya, Wu telah bertindak mengecam untuk menganggu persetujuan yang telah dicapai antara Jepun dengan Zhang Zuolin. Persetujuan ini sebenarnya dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan Zhang di Manchuria. Tindakan Wu dan Zhang ini secara tidak langsung telah menyebabkan gabungan ini musnah, dan ditambah dengan masalah lain, sehingga membawa kepada Perang Chili-Fengtian I. Konflik ini berlaku pada tahun 1922 dalam usaha untuk merebut kawalan ke atas Beijing. Pada mulanya, puak Fengtian telah bertindak menggantikan Perdana Menteri Jin Yunpeng dengan Liang Shiyi tanpa kebenaran rakan kongsi mereka iaitu puak Chili. Pada 25 Disember 1921, kabinet di bawah pimpinan Liang Shiyi telah ditubuhkan dengan sokongan kuat daripada Zhang Zoulin. Kabinet ini bertindak memberi pengampunan kepada enam bekas anggota kabinet daripada puak Anhwei. Tindakan ini telah mendapat tentangan hebat daripada Chili, namun tidak dilayan oleh Fengtian. Di samping itu, kabinet juga enggan untuk memberikan tiga juta dollar kepada puak Chili sebagai belanjawan tentera seperti yang telah dijanjikan sebelum ini.
Akhirnya, Perang Chili- Fengtian I telah meletus pada bulan April sehinggaMei 1922 di bahagian selatan Beijing dan Tianjun. Tentera Chili pada mulanya menghadapi sedikit masalah ekoran tentera Fengtian yang mempunyai kelengkapan yang serba lengkap. Walau bagaimanapun, dengan bantuan dan sokongan daripada pihak British, Feng Yuxiang, di samping pimpinan hebat Wu Peifu, Chili sekali lagi berjaya memperolehi kemenangan. Pihak British telah berjaya mempengaruhi puak Chili yang konsul British di Luanzhou boleh membuat satu rundingan damai untuk tamatkan permusuhan. Konsul British telah memberi cadangan kepada Zhang Zoulin yang British akan mengarahkan tentera mereka di Shanhaiguan, dan tentera Chili sendiri akan berhenti daripada mengejar mereka. Maka, pada 18 Jun 1922 wakil daripada kedua-dua belah pihak telah menandatangani satu perjanjian damai di atas kapal perang British yang berlabuh di luar pantai Qinghuangdao. Kemenangan ini telah menyebabkan Manchuria mula bebas daripada cengkaman Fengtian, Chili berjaya mengawal Beijing sepenuhnya, dan bahagian selatan pula telah dibahagikan kepada laksamana-laksaman dan saki baki puak Anhwei, serta Kuomingtang Sun Yat Sen.
Kejayaan Wu dalam Perang Chili-Fengtian I telah menjadikan beliau lebih terkenal dan mahsyur daripada mentornya sendiri iaitu Cao Kun. Wu pada ketika itu boleh dikatakan berjaya megawal keseluruhan Sungai Kuning, dan Yangtze. Malah, kuasa politiknya juga telah berkembang sehingga ke Fujian dan Guangdong. Tambahan lagi, kemenangan ini juga memberi jaminan kepada kedudukan British dan Amerika di Shanghai, dan Peking. Wu Peifu dilihat berjaya mengekalkan popularitinya adalah ekoran daripada sikap permusuhannya terhadap Jepun yang berterusan. Pada 1922, satu konferen telah diadakan di Washington antara kuasa maritime barat dengan China, dan Jepun. Konferen ini dilihat telah berjaya memberi tekanan kepada pihak Jepun untuk mengeluarkan tentera mereka daripada Shandong. Tindakan ini secara tidak langsung telah menyebabkan kuasa barat semakin kurang persaingan di China, di samping Chili pula boleh mengukuhkan kedudukan mereka ekoran sokongan Jepun terhadap Fengtian pimpinan Zhang Zuolin yang semakin berkurangan.
Beijing yang berada di bawah pimpinan Wu Peifu, disertai dengan sokongan British dan Amerika Syarikat dilihat semakin teguh. Li Yuanhong yang sebelum ini merupakan presiden sebelum ini telah dipanggil semula untuk mengisi jawatan tersebut, dan bagi anggota kabinet akan ditapis oleh Wu terlebih dahulu. Walaupun Beijing dilihat teguh dan aman, namun berlaku juga beberapa krisis di dalamnya. Antaranya, Wu cuba untuk menghalang Cao daripada memegang jawatan sebagai presiden tetapi gagal. Cao telah bertindak menggulingkan kabinet dan mempersoalkan kebolehpercayaan Li. Cao telah menghabiskan masa beberapa bulan berkempen untuk jawatan presiden, di samping mengisytiharkan yang beliau akan membayar sebanyak lima ribu dollar kepada mana-mana ahli parlimen yang menyokong. Walaupun tindakan ini mendapat tentangan hebat daripada penduduk, namun ia tidak menghalang Cao daripada dipilih sebagai presiden pada bulan Oktober 1923. Masalah yang berlaku di antara Cao dan Wu ini tidaklah membawa kepada kemusnahan Chili. Namun, krisis lain yang berlaku di selatan telah memberi kesan yang amat besar kepada Chili, dan sekali lagi melibatkan Fengtian.
Krisis ini berlaku di bandar Shanghai yang merupakan bandar terbesar China, dan menjadi pusat kekuatan negara. Bandar ini adalah sebahagian daripada wilayah Jiangsu, dan berada di bawah kawalan Chili. Namun, ia sebenarnya ditadbir oleh Zhejiang yang merupakan ahli puak Anhwei. Masalah mula timbul apabila puak Chili bertindak menuntut kembali Shanghai, tetapi Anhwei enggan berbuat demikian. Keadaan ini telah membawa kepada permusuhan di antara Chili dan Anhwei. Zhang Zoulin di Manchuria, dan Sun Yat Sen di Guangdong yang mengetahui perkara ini terus mengisytiharkan sokongan mereka kepada puak Anhwei dan bersiap sedia untuk berperang. Wu telah bertindak menghantar pegawai bawahan dan anak didiknya iaitu Sun Chuanfang ke selatan untuk berurusan dengan puak Anhwei. Zhang Zoulin yang begitu menyokong Anhwei sebenarnya mempunyai agenda lain di mana beliau ingin membalas dendam di atas kekalahan mereka dalam Perang Chili-Fengtian I. Akhirnya, Perang Chili- Fengtian II telah berlaku pada Oktober 1924 di kawasan berhampiran Tianjun. Fengtian pada ketika ini berada di Manchuria mendapat sokongan penuh daripada Jepun, manakala Chili yang mengawal Beijing pula disokong oleh Anglo-Amerika, London dan Washington. Sebenarnya, tindakan kuasa barat yang memberi sokongan ini adalah kerana mereka ingin menjaga kepentingan perniagaan di China.
Ramai yang berpendapat dan menjangka bahawa Chili di bawah pimpinan Wu Peifu bakal mendapat kejayaan besar seperti sebelumnya. Hal ini demikian kerana, Wu dilihat memiliki laksamana yang terbaik di China, dan beliau sendiri sudah biasa bertempur dengan Zhang Zoulin. Ahli falsafah menyatakan yang Wu “own the world’s largest diamond”. Ratusan ribu lelaki telah berjuang dalam pertempuran antara tentera Fengtian dan Chili. Walau bagaimanapun, ketika dalam peperangan salah satu sekutu Wu iaitu Feng Yuxiang telah bertindak meninggalkan baris hadapan. Feng Yuxiang dikenal sebagai salah satu panglima daripada puak Chili. Beliau diberi gelaran sebagai jeneral Kristian dan jeneral pengkhiatan. Hal ini demikian kerana, beliau merupakan seorang yang amat taksub kepada ajaran Kristian, dan banyak kali melakukan pengkhiatan. Tindakan beliau meninggalkan barisan hadapan dan berarak ke Peking adalah dengan alasan berlakunya rampaan kuasa di sana, di mana rejim lama telah ditumbangkan, dan kerajaan baru telah diisytiharkan. Namun, sebenarnya Feng telah bersekongkol dengan Fengtian dan pihak Jepun telah memberi rasuah sebanyak dua juta yen kepada beliau. Keadaan ini telah membuktikan yang Feng merupakan seorang jeneral pengkhianat.
Pengunduran Feng Yuxiang daripada barisan hadapan ini telah menyebabkan kesemua strategi yang telah dirangka Wu berantakan. Tentera Wu dilihat semakin lemah ekoran daripada pengkhianatan Feng, berpecah, dan melarikan diri. Akhirnya, puak Chili telah dikalahkan, dan Wu sendiri telah melarikan diri dengan kapal bersama beberapa anak buahnya. Kekalahan ini telah menyebabkan China telah dibahagikan kepada beberapa bahagian, di mana Kuomintang menguasai selatan, dan timur China, manakala Yangtze di bawah panglima Sun Chuanfang. Selain itu, perang ini juga telah menjadikan Chili kehilangan semua wilayah utara mereka kepada Zhang Zoulin dan Feng Yuxiang. Duan dilihat telah memberikan Shandong yang merupakan wilayah terakhir puak Anhwei kepada Zhang sebagai tanda perikatan. Kekalahan ini juga telah membawa kepada terbentuknya kerajaan sementara dengan Duan Qirui telah menjadi boneka bagi mengimbangi kepentingan Feng dan Zhang. Sun Yat Sen pula telah dijemput ke utara untuk berbincang mengenai penyatuan, tetapi gagal kerana beliau meninggal akibat kanser.
Walaupun Feng dan Zhang pada mulanya dilihat saling berkongsi kuasa, namun timbul pula masalah ekoran daripada perbezaan fahaman dalam kalangan mereka. Buktinya, Feng begitu taksub dengan Kristiannya, manakala Zhang pula lebih kepada Jepun. Keadaan ini telah menyebabkan mereka mula bermusuhan, dan berusaha mendapatkan Chili untuk dibuat sekutu. Pada bulan November 1925, Chili mula menunjukkan sokongannya kepada Zhang. Feng pula dilihat telah menyebelahi Pemberontakan Guo Songling yang akhirnya membawa kepada perang anti-Fengtian pada bulan Apri 1926. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan kerajaan sementara yang dibentuk musnah. Umumnya, perang pada tahun 1924 ini telah memberi kesan yang mendalam berbanding perang sebelumnya. Hal ini demikian kerana, kerajaan Beijing menjadi muflis dan orang-orang China mula melihat KMT dan pihak Komunis sebagai pemimpin baru mereka. Tambahan lagi, mereka juga telah bertindak memperkecilkan dan menentang pemimpin utara. Pada masa yang sama, KMT dan Komunis telah bersekutu dengan First United Front yang dikawal wilayah Guangdong, dan disokong Soviet.
5.0       WILAYAH SELATAN
Situasi di selatan pula  jauh bezanya dengan apa yang berlaku di utara China. Wilayah Kwangsi pada awalnya diperintah oleh Lu Ronting yang merupakan gabenor di Kwangsi sejak 1912 lagi. Beliau telah memindahkan ibu kota wilayah dari Guilin ke Nanjing dan menyusun semula sistem ketenteraan, pentadbiran dan kuasa ekonomi dengan caranya sendiri. Pada tahun 1916, beliau telah mengisytiharkan kebebasan Kwangsi daripada Yuan Shikai dan telah mengetuai angkatan tenteranya menduduki Hunan dan juga Kwangtung. Beliau juga dilantik sebagai Pesuruhjaya Pengawasan untuk Kwangtung dan juga Kwangsi dalam erti kata lain menguasai bandar Canton. Dalam masa yang sama, Sun Yat Sen cuba untuk menjadikan dirinya ketua kerajaan Republik di Guangzhou, tetapi beliau tidak mempunyai tenteranya sendiri. Kekurangan bilangan tentera daripada rakyat tempatan kerana mereka kerap ditindas oleh pihak berkuasa. Oleh yang demikian, kuasa Sun bergantung kepada panglima perang Kwantung dan juga Kwangsi iaitu Lu Ronting.
Pada tahun 1917, Sun Yat Sen telah menubuhkan kerajaan di selatan China dengan melantik dirinya sendiri sebagai general yang berpusat di Canton. Walaupun Lu menerima kedatangan Sun Yat San di Canton, tetapi beliau tidak merestui supaya China disatukan menjadi negara Republik. Hal ini demikian kerana, perbezaan ideologi telah berlaku antara mereka. Sun Yat Sen bersama-sama Wang Ching-wei dan Hu Han-min mula membentuk tentera Kwantung dengan melantik Chen Chiung-ming sebagai komander tentera. Untuk beberapa tahun berikutnya, Kwangsi dan Kwangtung sering kali terlibat dengan peperangan dan juga saling menduduki wilayah antara satu sama lain. Peperangan yang dimaksudkan ialah Perang Yui Gui pertama dan juga kedua atau  perang Kwantung -Kwangsi.
Perang Yue Gui pertama berlaku antara parti revolusi China dan juga Lu Ronting yang mana Chen Jiongming telah mendorong Sun untuk menentang Lu dan juga panglima perang yang lain. Chen Jiongming merupakan gabenor ketenteraan Kwantung dan sangat menyebelahi Sun Yat Sen. Lu Ronting tidak bersetuju dengan tindakan Sun Yat Sen yang mahukan supaya China disatukan menjadi negara Republik. Semasa Pergerakan Perlindungan Perlembagaan dilancarkan pada 1918, Lu telah mengawal ketenteraan kerajaan di Guangzhou dan telah melucutkan Sun Yat Sen daripada menjadi ketua. Sun Yat Sen melarikan diri ke Shanghai dan disana beliau telah melibatkan diri dalam penulisan dan mula merancang pembentukkan semula kepimpinannya. Oleh yang demikian, Chen telah membantu Sun menentang Lu dalam perang ini dan berjaya menghalau panglima perang Kwangsi keluar dari Kwantung. Chen dan Sun berjaya merampas Canton dari puak Kwangsi seterusnya menubuhkan kerajaan di Canton. Peperangan ini berterusan  pada 1921 dan Sun Yat Sen mengetuai tentera wilayah Kwantung, Yunnan, Guizhou dan Kiangsi bertindak untuk membalas dendam terhadap Lu Ronting serta cuba untuk menyerbu masuk ke bandar Nanjing dan Guilin. Ekoran kejadian itu, Lu Ronting telah melarikan diri ke Shanghai  dan pulang semula ke Kwangsi beberapa tahun kemudian sebagai Superitenden Perhubungan Ketenteraan di Kwangsi dengan bantuan Wu Peifu dan kumpulan Chili.
Walaupun Lu kembali semula ke Kwangsi, tetapi beliau tidak dapat untuk meluaskan pengaruhya lagi semenjak Kwangsi berpecah. Wilayah Kwangsi telah diambil alih oleh Li Zongren dan rakannya iaitu Bai Zhongxi  pada 1924 dan memulihkan ketenteraman di Kwangsi. Keadaan di Kwangsi semakin baik dengan tertubuhnya sebuah universti Kwangsi  Penggantian Li Zongren sebagai panglima perang di Kwangsi adalah rentetan daripada pembubaran tentera Lu Ronting yang telah menyebabkan berlaku peningkatan masalah jenayah di Kwangsi dan akhirnya Lu telah digulingkan. Di sini, kita dapat melihat masalah sosial di Kwangsi semakin meningkat sehingga memberi kesan kepada sistem pemerintahan Lu. Pada tahun yang sama, Li Zongren menduduki Nanning sementara wilayah tersebut telah dikepung oleh pemberontak di Guilin. Pada 1926, penasihat Soviet telah dihantar ke Kwangsi dan Li Zongren telah meletakkan tenteranya di bawah Kuomintang. Sebelum ini, Borodin telah dihantar untuk mentranformasikan parti Nasionalis Sun kepada pemerintahan cekap dan juga organisasi ketenteraan.
Dari sini, kita dapat lihat bahawa kumpulan baru Kwangsi yang diterajui oleh Li ini menyokong perjuangan Sun Yat Sen berbanding kumpulan yang terdahulu. Pada 1926, Li dan rakannya telah bersetuju untuk meletakkan tenteranya di bawah askar KMT. Penasihat Soviet telah dihantar ke Kwangsi dan askar-askar Li dinamakan Kor Tentera yang Ketujuh dan seterusnya terlibat dalam ekspedisi ke utara. Jika dilihat sebelum ini, Sun Yat Sen telah mendapatkan bantuan dari Rusia dan Rusia telah mengesyorkan kepada Sun Yat Sen supaya KMT bergabung dengan Parti Komunis Cina (PKC). Sun Yat Sen bersetuju untuk mendapatkan khidmat Rusia atas alasan kejayaan golongan komunis melancarkan ‘mass movement’ seperti gerakan 4 Mei 1919. Oleh yang demikian, Sun Yat Sen sekali lagi mendapatkan khidmat Rusia dalam ketenteraan Li. Kelebihan kemasukan Rusia di China ini telah menguatkan lagi kedudukan Sun Yat Sen di Canton. Penasihat Soviet iaitu Borodin dan Blyukher berusaha memujuk Li Zongren supaya menyertai komunis tetapi Li enggan kerana Li sangat setia terhadap Chiang Kai-Shek. Chiang Kai-Shek muncul selepas kematian Sun Yat Sen pada 1925 dan sebenarnya Chiang sangsi dengan kerjasama Rusia di China. Chiang telah  melancarkan satu serangan ke wilayah Kiangsi dengan tujuan untuk merampas Nanchang, Nanking dan Shanghai. Sebagai tindakan protes ke atas Rusia, Li membuat keputusan untuk pergi ke utara Yangtze bagi menyokong Chiang berurusan dengan Panglima Perang Nanking iaitu Sun Chuanfang yang merupakan ketua liga lima wilayah di timur China.
Manakala, wilayah  Yunan yang terletak di selatan China yang diketui oleh panglima perang T’ing Chi-yao. Wilayah ini turut menguasai bandar-bandar sekitarnya iaitu Guizhou dan Sichuan. Menjirani Guizhou dan Sichuan terdapat wilayah yang didiami oleh golongan minoroti China iaitu kaum Han. Wilayah Yunan ini banyak mendapat pengaruh Vietnam dan Burma dimana wilayah turut mendapat pengaruh Perancis yang sedang mengembangkan pengaruhnya Vietnam dan Burma. Paderi Perancis menjalankan usaha menyebarkan agama Kristian I kawasan selatan China terutamanya di Tonkin, dan menarik mereka memeluk Katolik serta  berusaha untuk memonopoli kekayaan mineral terutamnya besi dan bijih timah di Yunan. Wilayah ini turut menentang pemerintahan monarki Yuan Shi Kai yang dicetuskan oleh gabenor tentera Yunnan, Cai E pada tahun 1915.  bagi mengukuhkan kedudukannya, Cai E menyerang dan menakluk Sichuan yang merupakan jalan untuk ke tanah besar China dibantu gabenor Guizhou. Akhirnya, dengan beberapa siri penentangan Yuan Shi Kai dapat dijatuhkan  dan Cai E dilantik sebagai gabenor jeneral di Yunnan dan gabenor di Sichuan. Pada tahun 1916, Cai E ke Jepun untuk rawatan perubatan namun meninggal dunia tidak lama selepas itu. Wilayah Yunnan kemudiannya di tadbir oleh gabenor Guizhou iaitu Tang Ji Yao.
Pada lewat Julai 1917, Tang Ji Yao mewakili wilayah Yunan dan Lu Rong ting mewakili Kwangsi menyertai Kerajaan Perlindungan Berpelembagaan yang dicetuskan oleh Sun Yat Sen sebagai langkah menentang penguasaan puak utara seperti panglima perang Wu Pei Fu. Penubuhan parti ini dilakukan sejurus Sun Yat Sen pulang dari Jepun kerana mendapat berita kematian Yuan Shi Kai. Pergerakan ini ditadbir di salah sebuah wilayah selatan iaitu Guangzhou. Pada Ogos 25,seramai 100 orang ahli parlimen hadir ke Guangzhou bagi menubuhkan kerajaaan tentera di Guangzhou bagi melindungi perlembagaan sementara di  selatan yang dicadangkan oleh Sun Yat Sen. Pada September 1917, Tang Ji Yao dilantik sebagai ketua dalam Perang Perlindungan Kebangsaan bagiwilayah Yunnan. Perang  ini turut disertai oleh wilayah Kwangsi dan juga golongan revolusi selatan lain dibawah pimpinan Sun Yat Sen.
Setelah penubuhan kerajaan tentera di Guangzhou, puak selatan dan utara mengalami konfrontasi. Pihak tentera Yunan dan Kwangsi memberi sepenuh sokongan terhadap gerakan yang dijalankan Sun Yat Sen menentang puak utara. Namun pada tahun berikutnya, tentera Yunnan di Guangzhou kurang memberi sokongan terhadap penubuhan tentera Guandong oleh Sun Yat Sen dan hal ini menyebabkan tentera Sun Yat Sen mulai lemah. Pada penghujung tahun 1917, Tang Ji Yao, Mo Rongxin dan Tang Shaoyi membuat persidangan dan bersetuju melantik Feng Guozhang’s sebagai presiden dan membentuk sebuah kerajaan bersatu. Pada tahun 1921, alhi parlimen berrhimpun semula dan membatal kerajaan tentera  tetapi menubuhkan pula Majlis Kebangsaan bagi membentuk perlembagaan kerajaan di selatan. Namun hal ini mendapat tentangan daripada Chen Jiongming yang menganggap ini merupakan salah satu cubaan rampasan kuasa terhadap puak-puak di selatan.  Berikutan penubuhan ini, Duan Qi rui menghantar angkatan tentera bagi memusnahkan pihak kerajaan selatan di Guangzhou namun tidak berjaya. Maka, pada 22 November 1918, Duan Qi Rui meletakkan jawatan.
Di selatan China ini, walaupun mereka memberi sokongan kepada Sun Yat Sen namun, mereka tidak memberi sepenuh kuasa bagi Sun Yat Sen memerintahkan perjalanan tentera. Pihak panglima perang masih menguasai wilayah selatan dan hal ini menyebabkan cubaan Sun Yat Sen untuk menggunakan gabungan puak selatan bagi menentang penyebaran kuasa di utara. Namun akibat tekanan yang diberikan dari pihak utara yang cuba untuk memusnahkan kerajaan di selatan menyebabkan panglima perang di selatan kembali menyokog sepenuhnya perjuangan Sun Yat Sen. Pada 2 April 1921 pihak selatan bergabung semula dengan Sun Yat Sen bagi menubuhkan kerajaan republik kedua dan  Sun Yat Sen sendiri dilantik sebagai presiden. Namun kerajaan selatan Guangzhou ini masih tidak mempunyai program polisi asing yang tetap dan specific, malah  usaha-usaha untuk menentang puak  utara juga kurang dilaksanakan. Menyedari akan perkara ini, kerajaan selatan pimpinan Sun Yat Sen memikirkan cara untuk mendapatkan nasihat dan bantuan ketenteraan bagi membantu mereka membina angkatan ketenteraan moden menentang puak utara dan usaha menyatukan China. Bagi mencapai tujuan menyatukan China, Sun Yat Sen meminta bantuan dari Soviet Union pada January 1923 dan mula menerima bantuan ketenteraan daripada Soviet Comintern.

5.1       EKSPEDISI KE UTARA
Pada September 1922, Sun Yat Sen buat kali pertama bertemu dengan wakil Soviet Union iaitu Adolf Joffe disokong oleh panglima perang di wilayah selatan. Dengan bantuan panglima ini, Sun Yat Sen berjaya menakluk semula wilayah Canton dan menyingkirkan Ch’en Chung Ming. Kedudukan rapuh Sun Yat Sen yang menerima ancaman daripada saki baki tentera Ch’en Chung Ming dan terpaksa berdepan dengan ancaman dari utara di bawah Wu Pei Fu menyebabkan beliau mencari bantuan dalam dan luar negara untuk mengukuhkan kedudukannya dan membawa kebangkitan KMT pada tahun-tahun 1920 an dan 1930 an. Dari tahun 1920 hingga tahun 1925, Sun Yat Sen bercita-cita untuk menguasai semula politik di Beijing dan sebagai presiden untuk menyatukan dan mententeramkan keadaan di China.
Dalam ekspedisi ke utara yang tercetus pada 9 Julai 1926, tentera KMT dibahagikan kepada tujuh bahagian. Tentera pertama di bawah pimpinan Chiang Kai-Shek seramai 20,000 orang manakala selebihnya dibawah pimpinan jeneral KMT yang lain. Pada peringkat pertama Wu Pei-fu menerima kejutan yang besar apabila tentera KMT berjaya mara ke wilayahnya. Pada masa yang sama, beliau menerima kejutan pertama ekoran tindakan Jeneral Tang Sheng-chih yang merupakan tenteranya menyertai tentera KMT. Jeneral Kwangsi diberikan tugas untuk menyerang kedudukan Wu Pei-fu di Hankow. Dalam ekspedisi ini, beliau telah berjaya menawan beberapa bandar penting di tengah China seperti Changsha, Yoochow dan Tsunyang serta Wuhan. Kejatuhan Wunchang pada September 1926 membawa kekalahan teruk kepada Wu Pei-fu. Beliau telah berundur ke Sinyangchow dan cuba membuat pakatan dengan Sun Chuan-fang. Sun Chuan-fang ternyata marah dengan kejatuhan Wunchang dan menolak pelawaan KMT untuk bersatu. Penolakan ini menyebabkan tentera KMT terus mara dan mengancam wilayahnya.
Dalam usaha untuk merampas Nanking, askar-askar mereka telah membunuh beberapa orang asing dan sebahagian daripada mereka dapat melarikan diri. Chiang Khai Shek, Li Zongren dan ketua KMT yang lain dapat mengesan bahaya kuasa asing campurtangan jika hal ini berlaku lagi dan sekiranya komunis bertapak di Wuhan, ini akan menimbulkan masalah kekacauan di bandar-bandar besar. Ekoran daripada Pada 12 April 1927, parti Kuomintang mula menyingkirkan semua komunis dalam partinya bermula di Shanghai. Tindakan ini dilakukan oleh Chiang Kai-Shek dan mengarahkan puak Wuhan supaya menghapus penasihat Soviet dan mengusir keluar komunis dari puak tersebut. Perkara ini adalah disebabkan untuk melindungi KMT daripada ancaman komunis. Pada ketika ini, komunis dituduh cuba untuk memusnahkan kedudukan KMT di Canton. Hal ini memperlihatkan Chiang sangat meragui Rusia dan menganggap kedatangan Rusia di China adalah untuk mengembangkan pengaruhnya.
Kedudukan tentera Fengtian semakin sukar dengan meletusnya tentangan yang bertali arus daripada tentera penyokong KMT. Kerajaan Nasionalis didirikan di Nanking manakala Chang Tso Ling terpaksa berundur ke Mukden pada 4 Jun 1928 dan akhirnya ekspedisi ke utara terhenti di Peking sahaja apabila tentera Yen Hsi-san berjaya menawan Peking pada 8 Jun 1928 dan Tietsin pada 12 Jun 1928. Rumusnya, wilayah selatan ini telah mendapat kerjasama daripada panglima perang dan juga pihak KMT. Ini adalah disebabkan kerajaan KMT telah menubuhkan kerajaan di Canton dan sama-sama bersaing dengan penglima perang tempatan untuk memperluaskan kuasa di China terutama di utara.
6.0       KESIMPULAN
Secara keselruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa perkembangan zaman perang di China pada tahun 1916 hingga 1927 telah memberi kesan terhadap struktur pemerintahan yang dilaksanakan. Sepanjang tempoh tersebut, peperangan dan pertelingkahan membabitkan sesama wilayah telah berlaku dalam usaha mengukuhkan kekuasaan masing-masing. Ia didorong dengan adanya panglima-panglima perang yang berkuasa serta berpengaruh dalam memerintah kawasan jajahan mereka. Panglima perang seperti Tuan Chi-jui, Zhang Zuolin, dan Wu Pei-fu memainkan peranan penting dalam menggerakkan kawasan atau wilayah kekuasaan mereka. Perang saudara yang berlaku semasa tempoh berkenaan turut melibatkan campur tangan daripada pihak luar yang ingin mengambil peluang untuk menguasai kawasan-kawasan penting di China. Terdapat panglima perang yang terbunuh semasa zaman pemerintahan mereka dan ada juga yang melarikan diri selepas kehilangan kuasa akibat perang saudara.
Peristiwa Ekspedisi Utara yang berlaku pada 9 Julai 1926 sebelum berakhir pada penghujung 1928 telah menandakan bahawa tamatnya zaman panglima perang yang telah membawa kepada penguasaan pergerakan komunis di China. Panglima perang terakhir yang berkuasa iaitu Wu Pei-fu, Sun Chuan-fang, Zhang Zongchang dan Zhang Zuolin di mana akhirnya mereka tumpas kepada tentangan yang diberikan oleh pihak komunis. Oleh yang demikian, lenyaplah zaman kegemilangan panglima perang selepas peristiwa tersebut yang  memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan China.       

No comments:

Post a Comment