nuffnang

Sunday, May 26, 2013

KAMPUNG MENDERANG (KAMPUNG S/C MENDERANG) , SUNGKAI, PERAK

Kampung Menderang dipercayai mendapat nama melalui satu peristiwa sewaktu kegiatan untuk membersihkan  (menerangkan) kawasan penanaman padi sawah yang dilakukan oleh pendatang dari tanah seberang (Indonesia) yang dikatakan berbangsa Mendeleng. Kegiatan yang dijalankan  oleh orang  Mendeleng ini merupakan penerokaaan pertama yang berlaku di Kampung Menderang dan penerokaan kedua diceritakan telah dilakukan oleh pendatang dari Kerinchi pula apabila kaum atau bangsa Mendeleng ini telah meninggal dunia dan ramai yang pulang ke tempat asal mereka. Kejadian penerokaan  ini berlaku sekitar tahun 1800 Masihi.  Mengikut sejarah, semasa kegiatan pembersihan yang  dijalankan di sawah padi itu, dikatakan bahawa terjadinya  satu fanomena cahaya yang sangat terang benderang mengelilingi kawasan tersebut. Oleh hal yang demikian, bersepakatlah semua penduduk di situ untuk menamakan kawasan tersebut dengan nama Menderang sempena cahaya yang sangat terang itu  dan disitulah dikatakan nama Kampung Menderang itu diambil.[1]
Menjelang tahun 1957, ramai dalam kalangan individu yang pernah menjawat jawatan Special Constable (SC) dalam perkhidmatan tentera waktu itu telah dipindahkan dan menetap di Kampung Menderang. Oleh hal yang demikian, nama Kampung Menderang telah berubah menjadi Kampung S/C Menderang kerana kampung ini banyak menempatkan bekas golongan S/C sewaktu zaman penjajahan Jepun dahulu. Maka,  nama Kampung S/C Menderang inilah yang kekal sehingga ke hari ini.  Peninggalan sejarah tentang kewujudan Kampung Menderang ini ialah dengan tanda sebatang pokok manggis yang terletak di tepi sebuah sungai yang dikenali sebagai Sungai Suor. Pokok itu masih wujud sehingga sekarang.
Di bawah pentadbiran ketua S/C Menderang ini, terdapat beberapa rangkaian kampung-kampung kecil yang lain seperti Kampung RTB (Rancangan Tanah Berkumpul) Menderang, Kampung RTB Hilir, dan Kampung RTB Hulu, Kampung Setia Jaya, dan Kampung Tali Api. Dianggarkan bahawa keluasan Kampung S/C Menderang ini secara keseluruhannya ialah sebanyak 940 hektar dan mempunyai penduduk dalam bilangan seramai 532 orang iaitu 279 orang lelaki dan 253 orang wanita.[2] Antara tempat tarikan orang luar ke Kampung S/C Menderang ini ialah terdapatnya Pusat Konservasi Hidupan Liar (Perhilitan) yang terletak tidak jauh dari kampung ini. Jarak Kampung S/C Menderang ke pekan Sungkai ialah 5 kilometer.  Kampung S/C Menderang waktu ini berada dibawah seliaan ketua kampungnya iaitu En. Haron B. Ahmad.


[1] Fail Profail Kampung S/C Menderang, oleh setiausaha En Suhaimi Bin Arifin .
[2] Fail Profail Kampung S/C Menderang, oleh setiausaha En 

2 comments: