nuffnang

Sunday, May 26, 2013

Perang Dunia Pertama memperlihatkan penglibatan Asia Timur. Bahaskan faktor, kepentingan dan kesannya



1.0 PENGENALAN

Perang Dunia Pertama adalah merupakan konflik antarabangsa yang berlaku pada awal abad ke-20 iaitu sekitar tahun 1914 hingga tahun 1918 yang mana telah melibatkan negara-negara besar dunia seperti British, Perancis, Rusia dan Itali sebagai Kuasa Bersekutu manakala Jerman, Austria-Hungary dan Daulah Uthmaniyah sebagai Kuasa Pusat. Konflik antarabangsa yang berlaku ini adalah berpunca daripada peristiwa pembunuhan pewaris takhta Austria-Hungary iaitu Archduke Franz Ferdinand dan isterinya Dutchess Sophie oleh kelompok teroris Serbia, Gavrilo Principe di daerah Sarajevo. Pembentukan dua pakatan tersebut adalah berkait rapat dengan Sistem Pakatan Eropah yang wujud selepas peperangan di antara Jerman dan Perancis pada tahun 1870 yang mengakibatkan pembahagian Eropah kepada dua buah blok iaitu Jerman,Austria-Hungary dan Itali yang dikenali sebagai Triple Alliance dan pihak yang satu lagi adalah Rusia, British serta Perancis yang dikenali sebagai Triple Entente yang kemudiannya disertai Itali. Pada awal abad ke-20, Daulah Uthmaniyah dan Bulgaria turut menyertai Triple Alliance ini. Walau bagaimanapun, persaingan dalam kalangan negara Eropah telah menggugat sistem pakatan tersebut. Di samping negara yang dinyatakan tersebut, dua buah negara Asia Timur yakni China dan Jepun turut terlibat dalam Perang Dunia Pertama ini. Penglibatan Jepun dalam Perang Dunia Pertama sebagaimana yang sedia maklum adalah disebabkan oleh beberapa faktor penting yang ingin dicapai oleh mereka sekaligus memberi keuntungan kepada Jepun untuk satu tempoh masa yang panjang. 

Penglibatan Jepun dalam Perang Dunia Pertama adalah sekitar tahun 1914 iaitu lebih awal berbanding dengan negara China yang menyertai sekitar tahun 1917. Berbeza dengan Jepun, penyertaan China dalam Perang Dunia Pertama adalah agak lewat sedikit kerana China pada awalnya sememangnya tidak menunjukkan minat untuk menyertai perang tersebut. Malah China juga telah mengamalkan dasar berkecuali sehinggalah wujudnya desakan daripada pihak barat yang mendorong China untuk turut serta dalam peperangan tersebut. Demi menjaga dan memperoleh kepentingannya, China akur dan sekaligus terlibat secara langsung dalam siri peperangan ini. Akhirnya China telah mengisytiharkan perang ke atas Jerman pada 15 Ogos 1917. Berdasarkan faktor- faktor yang dinyatakan ini dapat dirumuskan bahawa penyertaan kedua-dua buah negara Asia Timur dalam Perang Dunia Pertama adalah mempunyai agenda mereka yang tersendiri sehingga meninggalkan impak yang besar terhadap kedua-dua buah negara tersebut.





2.0FAKTOR DAN KEPENTINGAN KEMASUKAN CHINA DALAM PERANG DUNIA

Sejak 1914 sehingga tahun 1917, Negeri China telah berjaya mengamalkan dasar berkecuali dan menjauhkan dirinya daripada mencampuri peperangan yang sedang berlaku. Namun, keadaan ini telah berubah apabila Jerman membuat pengumumannya untuk memulakan peperangan dengan menggunakan kapal selam secara besar-besaran dari tahun 1917. Hal ini mengakibatkan Amerika menjadi bimbang kerana mereka berpendapat bahawa peperangan kapal selam ini bukan sahaja sebagai satu perbuatan jenayah dan kejam terhadap kemanusiaan, malah telah mencabul undang-undang antarabangsa. Oleh itu, Amerika telah mendesak kuasa-kuasa lain yang telah berkecuali untuk berganding dengannya. Selain mengenai isu-isu tersebut, terdapat juga faktor yang lain yang menyebabkan China mengambil keputusan untuk memasuki Perang Dunia Pertama ini. Faktor tersebut boleh dikatakan datang daripada negara China itu sendiri iaitu, apabila China melihat Jepun mula bertapak di wilayah Shantung dan meluaskan kepentingannya di tempat lain di sekitar China. 

2.1 JEPUN MELUASKAN KEDUDUKAN DI WILAYAH SHANTUNG. 

Dalam hal ini, faktor utama yang menyebabkan China mengambil keputusan daripada sikap berkecuali dan seterusnya memasuki Perang Dunia Pertama ialah Jepun telah meluaskan pengaruhnya di wilayah Shantung dan kawasan-kawasan yang lain. Perluaskan kuasa dan wilayah di Shantung adalah disebabkan Jepun ingin menguasai pajakan Kiaochow di Shantung yang sebelum ini dikuasai oleh Jerman. Memandangkan sebelum ini pihak Jepun dan Jerman mempunyai masalah dalam perhubungan berkaitan dengan penempatan di Semenanjung Liautung jadi Jepun telah menggunakan alasan dengan mengambil perikatannya dengan British untuk menguasai pajakan Jerman di Shantung dan seterusnya ingin memperluaskan pengaruhnya di China. Jepun ingin memliki segala keistimewaan yang sebelum ini menjadi milik Jerman kerana sebelum ini Jerman mempunayi kepentingan ekonomi dan kawasan pangkalan tentera yang besesuaian di Shantung. Walaupun mendapat bantahan daripada China, namun Jepun terus memperluaskan kuasa ke wilayah China. Jepun yang merupakan kuasa kuat di benua telah menggunakan kekuasaannya untuk mendapatkan wilayah Shantung dan merampas semua kepentingan Jerman di Shantung serta kepentingan ekonomi di wilayah itu. Melihat kepada situasi yang merumitkan ini, Amerika Syarikat telah mendesak China supaya menyertai peperangan ini dan sebagai tindak balas, Amerika akan memelihara kepentingan China dan memberi perlindungan daripada pihak lawan. Desakan dan tawaran yang dikemukan ini jelas telah memperlihatkan bahawa China tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan kuasa Jepun. Hal ini boleh dilihat apabila China mengeluarkan beberapa amaran mengenai perluasan kuasa Jepun di Shantung, namun ia tidak dihiraukan oleh Jepun. Tiada tindakan kekerasan yang dijalankan oleh China sehinggalah Amerika memberi tawaran untuk memberi perlindungan musuh dari China. Selain itu, ‘tawaran’ yang dikemukan oleh Amerika Syarikat kepada China ini turut mendapat persetujuan daripada kalangan rakyatnya kerana, bagi mereka sekiranya China mneyertai peperangan ini, kuasa barat yang lain seperti Amerika Syarikat akan menolong mereka untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam negara mereka itu.

2.2 CHINA TERHUTANG BUDI KEPADA AMERIKA.

Desakan daripada Amerika Syarikat dengan pelbagai tawaran yang dihulurkan oleh negara barat itu, akhirnya China mengambil keputusan untuk menyokong pihak berikat (terdiri daripada Amerika Syarikat, Great Britian, Itali, Perancis dan Jepun) dengan memberi bantuan ketenteraan kepada Amerika Syarikat. Namun China juga akan mendapat kepentingan disebalik penyertaan dan bantuan yang dihulurkan ini. China akan mendapat keuntungan yang lumayan apabila Amerika Syarikat bersetuju untuk melupuskan semua hutang-hutang dan ganti rugi semasa peperangan sebelum ini seperti Pemberontakan Boxer. Memandang ekonomi di China yang semakin hari semakin merundum dan kadar inflasi yang meningkat serta keadaan politik yang huru-hara, akhirnya China telah bersetuju untuk menyokong Amerika Syarikat dan pihak berikat yang lain. Bukan setakat itu sahaja, China memilih untuk menyokong Parti Berikat kerana mereka dapat menjalinkan hubungan dengan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan sekutunya. Selain desakan Amerika Syarikat, China melihat kepentingan yang akan dapat apabila Amerika telah menawarkan dengan memelihara kepentingan China, sekiranya China masuk berperang dan memberi perlindungan daripada pihak lawan. Penerimaan tawaran yang dihulurkan dan situasi yang berlaku di China yang kucar-kacir ini telah menyebabkan China menglibatkan diri dalam Perang Dunia Pertama kerana bagi China apabila menjalinkan hubungan dengan kuasa-kuasa berikat, mereka ini akan menolong untuk menyelesaikan masalah dalaman yang berlaku di China. 

2.3 MENDAPAT TEMPAT DALAM RUNDINGAN DAMAI

Faktor yang seterusnya China mengambil keputusan untuk terlibat dalam peperangan ini adalah memberi peluang baginya untuk mendapat tempat di dalam satu rundingan yang akan diadakan oleh pihak yang menang di Persidangan Damai di Paris pada bulan Januari 1919. Hal ini demikian, jika China diberi tempat, maka mudahlah baginya bersuara terhadap apa jua keputusan yang akan diambil mengenai hal ehwal di Timur Jauh yang mana mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu. Sementara itu, China telah mengemukakan satu bantahan mengenai tindakan perang kapal selam oleh Jerman pada tahun 1917. Masalah penggunaan kapal selam ini juga sebenarnya telah di desak oleh Amerika Syarikat supaya China membuat bantahan terhadap Jerman. Namun, bantahannya tidak mendapat sebarang jawapan dan China telah memutuskan hubungan dengan kuasa-kuasa pusat. Dengan ini, setelah Perdana Menteri Tuan mendapat kebenaran daripada Presiden Chan Kuo Chang, sebagai satu langkah yang muktamad pada 15 Ogos 1917, beliau telah melancarkan peperangan terhadap Jerman dan sekutunya Austria. Namun kemasukan China ke dalam Persidangan Damai ini sebenarnya mendapat bantahan daripada Jepun. Hal ini disebabkan kerana, Jepun bimbang jika China membawa kes Tuntutan 21 ke persidangan ini. 

Walaupun apa jua tindakan yang dilakukan oleh China sekali pon, ia tidak membawa sebarang faedah dan manfaat kepada China kerana, boleh kita lihat dalam Perjanjian Versailles yang ditandatangani itu. Dalam persidangan ini, China telah menuntut supaya hak dan keistimewaan yang diberikan di China itu, harus dikembalikan semula kepadanya bukan kepada Jepun. Namun tuntutan China tidak dipedulikan oleh Barat kerana sebelum ini barat telah membuat perjanjian sulit dengan Jepun mengenai kedudukan Jepun di Shantung serta kepentingannya yang lain. 

2.4 PENUBUHAN SEBUAH KUASA KERAJAAN BARU.

Kepentingan yang kelima ialah penglibatan China ini akan membawa kepentingan kepada individu sahaja. Misalnya penubuhan sesebuah kerajaan baru semasa pimpinan Presiden Feng Kuo Chang dan Tung Chi-Jui sebagai Perdana Menteri telah mengisytiharkan masuk perang kerana rejim baru itu ingin mendapatkan sokongan dan pengiktirafan daripada negara-negara yang berkuasa. Rejim kerajaan baru ini telah mengisytiharkan diri dengan menyerang Jerman pada 15 Ogos 1917.

Oleh itu, penglibatan China dalam peperangan ini bukan sahaja membawa kepentingan kepada negara, malah ia turut membawa kepentingan kepada individu supaya kuasa mereka terus menjadi kukuh dan dapat menguasai China dengan sepenuhnya tanpa gangguan mana-mana pihak. Tujuan untuk menwujudkan kekuasaan ditaktor seperti yang dilakukan oleh pemerintahan sebelum iaitu Yuan Shih Kai. 

3.0 FAKTOR DAN KEPENTINGAN KEMASUKAN JEPUN DALAM PERANG DUNIA

Penglibatan Jepun dalam Perang Dunia Pertama mempunyai agendanya yang tersendiri. Antaranya adalah untuk memperluas dan memperkukuhkan kuasa ke atas wilayah-wilayah di China dan Korea, ingin mengaut keuntungan ekonomi serta memperbaiki dan memantapkan ekonomi Jepun, serta ingin menyamakan taraf mereka dengan kuasa Barat.Selain itu, Jepun turut melibatkan diri dalam Persetiaan Jepun-Inggeris 1902 untuk kepentingan dirinya.Seterusnya Jepun berusaha mencapai matlamat-matlamat tersebut secara jelasnya melalui Tuntutan 21 ke atas China.



3.1 PERSETIAAN JEPUN – INGGERIS 1902

Jepun tidak mampu mempertahankan kepentingannya di China dan Korea secara bersendirian kerana terdapat kuasa asing seperti Rusia dan Jerman yang telah menguasai beberapa wilayah China dan Korea.Jepun sendiri telah digesa untuk keluar dari Semenanjung Liaotung oleh kuasa Dreibund yang ingin memajak wilayah tersebut kepada Rusia. Jepun bersetuju menandatangani Persetiaan Jepun-Inggeris 1902 kerana Jepun mempunyai kepentingan yang tersendiri.Kemaraan Rusia ke China adalah untuk mendapatkan satu kawasan yang bebas dari pembekuan di musim sejuk bagi menggantikan pelabuahan Vladivostok yang merupakan pangkalan angkatan tentera laut Rusia. Selain itu, Rusia juga menunjukkan minat di Manchuria untuk membina kereta api Trans – Siberia Railway. Rusia juga mula campur tangan di Korea dengan menghantar penasihat-penasihat tenteranya dan mengendalikan kewangan Korea sedangkan Korea telah mencapai kemerdekaan melalui Perjanjian Yamagata – Labanoff 1896. Usaha-usaha Rusia mengukuhkan kuasa di China dan Korea telah mengancam kedudukan Jepun di China dan Korea lantas Jepun menjadikan Rusia sebagai musuh utama Jepun.

Kandungan Persetiaan Jepun-Inggeris ini antaranya Jepun perlu mengakui kepentingan Britain di China dan Britain mengakui kepentingan Jepun di Manchuria dan Korea. Syarat seterusnya ialah Jepun dan Britain perlu saling melindungi dan menyokong antara satu sama lain terutamanya dalam menjaga kepentingan masing-masing. Perjanjian ini berlangsung selama 5 tahun.

Dalam persetiaan ini, Jepun mendapat sokongan padu dari segi ketenteraan dan semangat untuk menentang Rusia yang sering menjadi ancaman kepada Jepun dan British dan mengusai Manchuria dan Korea tanpa rasa kental.Persetiaan ini lebih menyebelahi Jepun untuk muncul satu kuasa yang lebih kuat dan besar di dunia sehingga Jepun berani menentang Rusia.Perbalahan antara Rusia dengan Jepun untuk berebut wilayah Korea dan Manchuria menyebabkan meletusnya Perang Rusia-Jepun 1904. Peperangan telah melumpuhkan kekuatan Rusia lalu member laluan kepada Japun dan British bagi meneruskan kepentingan-kepentingan mereka tanpa sebarang ancaman.



3.2 MELUASKAN KUASA DAN PENGARUH

Penglibatan Jepun dalam Perang Dunia Pertama sememangnya mempunyai agenda yang tersendiri. Antaranya ialah memberi peluang dan ruang kepada Jepun untuk memperluaskan kuasa dan pengaruhnya di China seperti mengemukakan ’21 tuntutan’ yang disampaikan oleh Menteri Jepun di Peking kepada Presiden Yuan pada Januari 1915 secara rahsia. Tuntutan ini mengandungi lima bahagian yang menampakkan niat Jepun dalam menguasai kawasan seperti Shantung, Chefoo, Tsingtao Tsinan, Machuria dan sebagainya serta menampakkan pengaruh Jepun dalam politik dan ekonomi kepada Jepun.

Bahagian pertama, memberi kebenaran kepada Jepun untuk menduduki dan mengambil alih kepentingan Jerman di Shantung. Kerajaan China hendaklah bersetuju terhadap usaha Jepun membina jalan kereta api yang menyambung Chefoo dengan jalan kereta api Tsingtao-Tsinan. Bahagian kedua pula mengiktiraf kedudukan Jepun di Manchuria Selatan dan bahagia Timur Mongolia Dalam.Jepun juga meminta kebenaran untuk meningkatkan tempoh penyewaan Port Arthur dan Dairen dari 25 tahun kepada 99 tahun. Jepun ingin menguasai jalan raya kereta api Selatan Manchuria dan Antung Mukden.Bahagian ketiga mengenai rancangan penenaman modal Jepun dalam kegiatan industri di Yangtse, ia berkaitan dengan Syarikat Hanyehping yang mana Jepun mahu menjadikannya sebuah firma kongsi China Jepun bagi mendapatkan bekalan besi.Bahagian keempat berkenaan pernyataan yang jelas bahawa China tidak akan memberi mana-mana pelabuhan sebagai konsesi kepada sebarang kuasa asing.Bahagian kelima telah menunjukkan secara jelas niat Jepun ke atas China iaitu negera China akan terletak dibawah pengaruh Jepun dari segi politik, kewangan dan tentera disamping menerima penasihat Jepun. China perlu menerima bekalan senjata dari Jepun atau pembinaan kilang senjata akan terletak dibawah kawalan bersama Jepun-China.

Maka, jelaslah bahawa Jepun mempunyai agenda tersendiri dalam penglibatannya dalam Perang Dunia pertama. Kelemahan pentadbiran Presiden Yuan membolehkan Jepun mengemukakan 21 Tuntutan terhadap China sewaktu peperangan berlangsung sekaligus membuatkan Jepun memanfaatkan peluang ini dengan memaksa China bersetuju dengan Tuntutan tersebut.



3.3 MEMANTAPKAN EKONOMI JEPUN

Kato yang merupakan Menteri Luar Negeri Jepun telah berjaya meyakinkan kabinet Jepun untuk menyertai Perang Dunia Pertama kerana ianya dapat memberikan manfaat kepada Jepun apabila menyokong pihak British yang akan muncul sebagai juara dan sekiranya Pihak Bersekutu kalah ia tidak menjejaskan Jepun. Jepun mengambil peluang ini untuk mengukuhkan kedudukannya di Asia Timur dari aspek ekonomi.

Keadaan ekonomi Jepun selepas Perang Rusia-Jepun memberikan kesan buruk terhadap ekonomi Jepun.Ekonomi merosot dan rakyat terpaksa menanggung beban cukai demi keselamatan negara.Sebelum tahun 1914, ekonomi Jepun tidak stabil akibat daripada rancangan memperbesarkan angkatan laut Jepun yang menelan belanja besar untuk membeli 17 buah kapal besar dan 20 buah kapal penjelajahan. Ekonomi yang tidak stabil ini juga didorong oleh pertambahan penduduk yang pesat pada tahun 1900 apabila penduduk Jepun mencecah 44 juta orang.Bagi menampung bekalan makanan utamanya beras, Jepun terpaksa mengimport beras dari Korea.Jadi apabila perang meletus, kedudukan ekonomi Jepun bertambah baik kerana kapal dan kilang Jepun diperlukan oleh Pihak Berikat.

Manakala perkara-perkara yang terkandung dalam Tuntutan 21 pula sememangnya memperlihatkan keinginan Jepun untuk menguasai ekonomi di china.Antara tuntutan yang jelas menunjukkan minat Jepun ke atas ekonomi China dimana Jepun ingin menduduki Manchuria Selatan dan bahagian Timur Mongolia. Jepun juga ingin meminta kebenaran menyewa Port Arthur dan Dairen dari 25 tahun menjadi 99 tahun, bukan itu sahaja Jepun turut ingin menguasai jalan kereta api Selatan Manchuria dan jalan kereta api Antung-Mukden. Ini menunjukkan bahawa Jepun ingin menyekat kuasa Barat terutamanya Jerman di kawasan yang kaya dengan sumber alam ini.Sebab utama Jepun ingin menguasai Manchuria antaranya untuk mendapatkan keperluan bahan mentah seperti kayu kayan, arang batu, besi dan emas yang banyak bahan-bahan ini terutamanya besi sangat diperlukan untuk memajukan perusahaan Jepun. Oleh itu, dengan menguasai Manchuria ini akan memberikan masa depan ekonomi yang baik kepada Jepun. 

Seterusnya, kepentingan Jepun terhadap ekonomi China juga dapat dilihat dalam Tuntutan 21 iaitu pada bahagian ketiga dimana Jepun merancang menanam modal dalam perindustrian di daerah Yangtse. Jepun ingin mendapatkan bekalan besi dengan menjadikan Syarikat Han Yeh Peng sebagai sebuah syarikat kerjasama Jepun-China. Jepun juga menghalang China untuk menjual besi tanpa izin Jepun dan mendirikan perusahaan besi yang lain yang dapat menjejaskan persusahaan Jepun. Jelas disini menunjukkan bahawa Jepun telah mengambil peluang dalam Perang Dunia Pertama untuk mengambil kesempatan ke atas ekonomi di Chian untuk kepentingannya sendiri.Peningkatan ekonomi Jepun dalam Perang Dunia Pertama ini memperlihatkan permintaan besar bagi barang-barang Jepun diluar negeri terutamanya senjata dan alat-alat perang bagi sekutunya di Eropah.Jelaslah disini menunjukkan bahawa penglibatan Jepun dalam Perang Dunia Pertama ternyata memberikan manfaat yang besar kepada Jepun terutamanya dari aspek ekonominya.



3.4 PERSAMAAN TARAF DENGAN NEGARA BARAT

Abad ke-20 memperlihatkan Jepun sebagai sebuah kuasa imperialis yang baru.Jepun menggunakan konsep Barat iaitu kuasa besar perlu memerintah negara kecil untuk kebaikan negara kecil itu dan kepentingan politik bagi pihak penjajah.Berdasarkan konsep ini, Jepun melihat Korea sebagai kawasan yang sangat strategik untuk kejayaan Jepun. Kemenangan Jepun ke atas Rusia yang menjadikannya kuasa tunggal di Korea telah menjadi punca utama kebangkitan Jepun.Jepun telah diakui sebagai satu kuasa baru di Timur Jauh dan negara Barat terpaksa menerima Jepun sebagai setaraf dengan mereka.

Pada 1902, termeterainya Perjanjian Inggeris-Jepun telah menaikkan keyakinan Jepun kerana Britain dilihat mulai mengiktiraf Jepun sebagai sebuah kuasa dunia.Hal ini kerana Britain meminta bantuan Jepun yang hanya merupakan sebuah Kepulauan kecil di Asia untuk memerangi Rusia yang merupakan salah satu kuasa Barat yang kuat.Sekitar tahun 1905, Jepun yang menjadi sekutu tentera Britain telah menang ke atas Rusia dan muncul sebagai kuasa utama dunia dalam bidang ketenteraan.Kejayaan ini telah membuktikan kekuatan ketenteraan Jepun dalam menghadapi ancaman Barat malahan menunjukkan persamaan taraf di antara kekuatan Barat dan Jepun.

Selain itu, kemenangan ke atas Rusia telah menaikkan imej Jepun sekaligus digolongkan sebagai sebuah kuasa Eropah.Kekalahan Rusia telah menghapuskan mitos yang menyatakan bahawa kuasa Barat tidak dapat dikalahkan. Keadaan ini menjadikan Jepun berasa bangga kerana merasakan orang Eropah, Amerika Syarikat dan Asia telah mengiktiraf kekuatan tentera Jepun dan kuasa Barat telah memberi Jepun status sebuah kuasa besar. Kemenangan ini menjadi inspirasi kepada Jepun untuk mengorak langkah lebih jauh sehingga muncul sebagai sebuah kuasa besar dalam Perang Dunia Pertama.



3.5 KUASA KETENTERAAN UTAMA DUNIA

Jepun menerima pengiktirafan dan diakui sebagai sebuah kuasa dunia apabila memenangi peperangan ke atas Rusia.Sejak daripada itu Jepun tidak dapt dielakkan daripada melibatkan diri dalam hal ehwal politik dunia.Hal ini termasuklah melibatkan diri dalam Perang Dunia Pertama yang dirasakan oleh rakyat Amerika Syarikat berlaku atas faktor persaingan pertahanan.

Sejak zaman Meiji lagi kerajaan Jepun memberi tumpuan khusus kepada kewujudan sebuah angkatan tentera yang mengikut cara Barat kerana sedar bahawa Jepun hanya dapat berdiri teguh menghadapi ancaman Barat menerusi proses modenisasi angkatan tentera. Selain itu, Jepun akur kepada kemajuan teknologi senjata ketenteraan di negara Barat yang hebat.Tujuan utama pemodenan Meiji juga adalah untuk meningkatkan kekuatan negara dan mempertahankan kemerdekaan, selain ingim menjadikan Jepun diterima ke dalam masyarakat antarabangsa.

Pada abad ke-19, Jepun telah menambahbaik angkatan tenteranya sehingga menjadi sebuah angkatan tentera yang moden dan berkuasa. Mereka berazam untuk menguji kemahiran terhadap Rusia yang diiktiraf sebagai kuasa tentera yang terkuat di dunia.Hasilnya, Jepun menang besar ke atas Rusia dan menggantikan kuasa Rusia di Pasifik.Seterusnya semasa Perang Dunia Pertama, angkatan tentera semakin hebat dan peralatan ketenteraan menjadi lebih baik. Matlamat untuk menandingi tentera Barat jelas semakin berjaya apabila kapal perang “Nagato” dan “Mutsu” yang digunakan semasa Perang dunia pertama merupakan kapal tentera yang paling besar dan mahal didunia. Maka, menjelang tahun 1921, Jepun semakin berkembang sebagai kuasa tentera laut dan jelas kelihatan ketenteraan Jepun setaraf dengan ketenteraan kuasa Barat.

Kesimpulannya Jepun sememangnya mempunyai agenda yang tersendiri apabila menyertai Perang Dunia Pertama dimana telah menjadikan Jepun sebagai sebuah kuasa utama dunia dan diiktiraf kekuatannya oleh kuasa Barat.

4.0 KESAN PERANG DUNIA PERTAMA KEPADA CHINA DAN JEPUN



4.1. ROMBAKAN TERHADAP SATU CUKAI YANG TELAH DINAIKKAN DARIPADA 2 ½ % KEPADA 5%

Kesan pertama yang dapat dilihat adalah kepada China sendiri iaitu setelah berlakunya beberapa rundingan, cukainya telah dapat dikaji semula yang mana agak memberikan keuntungan yang besar kepadanya. Cukainya telah dinaikkan daripada dua setengah peratus kepada lima peratus. Hal ini sememangnya memberikan keuntungan kepada China kerana cukai tersebut telah bertambah sebanyak tujuh peratus daripada nilai yang dikenakan ke atas import dan eksport dalam tahun 1901. Namun, jika dikaji sebenarnya ia bukanlah merupakan satu keuntungan yang besar yang diberikan kepada China oleh negara-negara yang berkuasa tetapi ia dianggap sebagai tindakan saksama yang biasa sahaja. Hal ini demikian, China berhak menggunakan cukai sebanyak lima peratus ini di bawah protokol boxer (boxer protocol). Tetapi disebabkan oleh nilai-nilai telah berubah, maka perjanjian itu tidak dapat dikaji semula selepas tahun 1901, untuk memberi kepadanya hasil-hasil kastam mengikut peratus yang telah dipersetujui oleh negara-negara berkuasa.



4.2 CHINA DAPAT MENGUASAI SEMULA KAWASAN-KAWASAN TEMPAT KEDIAMAN

Disebabkan oleh China telah memutuskan hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa pusat dalam bulan Mac dan setelah perang diisytiharkan, China telah dapat menguasai semula kawasan-kawasan tempat kediaman di beberapa buah bandar pelabuhan yang dimiliki oleh Jerman dan Austria secara perjanjian. Misalnya, Tietsin yang telah diberi keizinan yang sepenuhnya kepada China. Selain itu, harta orang ramai dan harta persendirian yang dimiliki oleh Jerman dan Austria telah diambil atau dirampas hingga mendapat penyesuaian selepas perang. Selain itu, melalui satu persidangan yang diadakan antara Jepun dan China.Keadaan ini dapat dilihat apabila Jepun telah bersetuju mengembalikan semua wilayah yang dipajakkan termasuklah milik-milik Jerman kepada China. Jepun juga telah bersetuju untuk mengundurkan angkatan tenteranya yang ditempatkan di wilayah yang dipajakkan dan juga di sepanjang jalan kereta api Tsing-Tsinan dalam tempoh enam bulan setelah perjanjian selesai ditandatangani. Namun, dapat dilihat di sebalik semua ini banyak memberi keuntungan kepada pihak Jepun sebenarnya berbanding dengan China.Contohnya, mengenai keretapi Tsingtao, ianya memang telah dikembalikan kepada China namun dengan syarat China mestilah membayar balik kepada Jepun jumlah nilai harta benda tersebut. China juga telah berjanji untuk membenarkan Jepun mengekalkan semua tanah-tanah yang dikehendakinya guna mendirikan pejabat konsulnya di Tsingtao termasuklah pembinaan sekolah-sekolah, kuil-kuil serta rancangan-rancangan lain yang berfaedah.



4.3TUNTUTAN DUA PULUH SATU 

Semasa meletusnya Perang dunia 1 Jepun masih lagi tertakluk kepada Pakatan Inggeris Jepun. Dimana dalam perjanjian tersebut telah disebutkan bahawa jika mana-mana pihak samada Jepun atau Great Britain diserang oleh pihak ketiga, salah sebuah negara tersebut perlu menolong dan memberikan bantuan. Permintaan bertulis ini disebutkan dalam artikel II, Perjanjian Anglo- Jepun 1902. Keadaan ini juga telah menjelaskan penglibatan Jepun dalam Perang Dunia 1 dimana dalam peperangan ini Jepun telah membekalkan perlindungan dan keperluan keselamatan kepada pihak bersekutu yang diketuai oleh Britain. Menurut perjanjian tersebut sekiranya salah sebuah negara samada Jepun atau British diganggu oleh pihak ketiga, masing-masing akan saling bergantungan dan bantu mambantu antara satu sama lain. Ekoran daripada Perang Dunia 1, semua kuasa barat telah menumpukan perhatian kepada konflik yang berlaku di Eropah antara pihak bersekutu iaitu Britain, Perancis dan Rusia dengan pihak perikatan yang diketuai Jerman. Ini telah memberi peluang kepada Jepun untuk mengambil peluang dalam mengembangkan kepentingannya di China sehingga terjadinya peristiwa yang dikenali sebagai Tuntutan Dua Puluh Satu. 

Idea perluasan kuasa di China telah mendapat sokongan banyak pihak terutamanya oleh pemimpin-pemimpin ultranasionalisme seperti Toyama, Uchida dan Sukiyama yang berperanan mendesak kerajaan Taisho dalam memulakan perluasan kuasa di China. Tuntutan dua puluh satu dianggap sebagai satu percubaan Jepun bagi meletakkan China di bawah pengawasannya dan Perang Dunia 1 yang lebih menjurus ke arah negara Eropah telah mengalihkan perhatian barat, lebih-lebih lagi Britain dari negara China. Istilah tuntutan dua puluh satu merujuk kepada suatu senarai yang mengandungi Dua Puluh Satu Tuntutan yang telah dikemukakan oleh Jepun ke atas China pada bulan januari 1915. Keseluruhan tuntutan tersebut merupakan satu strategi Jepun untuk meluaskan pengaruhnya di China. Idea ini telah dikemukakan oleh menteri luar negeri Jepun iaitu Baron Kato pada 1912. Sejak awal lagi iaitu pada 1912 Kato telah menyedari tentang keperluan Jepun dalam menakluki Manchuria Selatan dan kawasan dalaman Mongolia yang dianggap berpotensi dan memiliki kepentingan ekonomi dan politik yang semakin bertambah. Selain itu, faktor ketegangan politik di China dan peranan Rusia yangg semakin menunjukkan minat ke atas kawasan Luar Mongolia menjadi punca kepada Kato dalam mengemukakan tuntutan tersebut.

Penglibatan Kato dalam tuntutan dua puluh satu ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi dan penglibatan Jepun dalam perang dunia pertama telah membuka mata barat bahawa Jepun bukanlah boleh dibuat main-main. Tuntutan dua puluh satu telah dikemukakan oleh Hioki, menteri Jepun ke China untuk diserahkan kepada Yuan Shih Kai. Tuntutan ini juga telah dibuat dalam lima kumpulan yang terdiri daripada dua puluh satu perkara yang telah dikemukakan kepada negeri China pada 18 januari 1915 dan telah dirundingkan berulang kali sehingga penghujung bulan Mei. Tuntutan ini dibahagikan kepada lima kumpulan untuk dikemukakan kepada Yuan Shih Kai, presiden negara China. Secara umumnya tuntutan-tuntutan tersebut meliputi hal-hal seperti pemindahan tanah-tanah pajakan Jerman di Shantung kepada Jepun dan meluaskan lagi hak Jepun di Manchuria Selatan. Selain itu, tuntutan-tuntutan seperti menyeru kerajaan China untuk mengambil orang-orang Jepun sebagai penasihat-penasihat politik, kewangan dan tentera dimana polis Jepun perlu diberikan kuasa untuk mentadbir bandar-bandar penting dan lebih daripada separuh bahan-bahan perang China mesti dibeli dari Jepun. Antara senarai-senarai yang terkandung dalam tuntutan dua puluh satu tersebut adalah meliputi kumpulan pertama hingga lima.

KUMPULAN PERTAMA

Terdiri daripada empat artikle yang merujuk kepada wilayah shantung. Dimana Jepun telah memaksa China supaya mengiktiraf hak Jepun untuk menyelesaikan dengan negara jerman berkenaan hak dan konsesi Jerman di wilayah Shantung. Jepun turut paksa China supaya berjanji tidak akan menyerah atau menyewakan wilayah Shantung kepada mana-mana kuasa lain. Selain itu, Jepun turut menuntut untuk membina sebuah landasan kereta api yang menghubungkan Chenfu atau Lungkow dengan Kiaochow serta mendesak China supaya membuka bandar-bandar utama kepada pendatang-pendatang asing bagi tujuan kediaman dan perniagaan. 

KUMPULAN KEDUA

Dalam kumpulan ini mengandungi tuntutan terhadap kawasan Manchuria Selatan dan Mongolia Dalam. Jepun mahu China meneruskan selama sembilan tahun lagi penyewaan Jepun ke atas pelabuhan Arthur, Dairen, landasan keretapi Manchuria selatan dan landasan Antung-Mukden serta tuntutan-tuntutan lain mengenai kebebasan perjalanan dan perdagangan yang sepenuhnya untuk rakyat Jepun di Manchuria selatan dan bahagian Timur Mongolia dalam. Keadaan ini bermakna, China harus memberikan kebenaran atau permit melombong kepada orang-orang jepun di kawasan tersebut manakala China tidak boleh mendapat pinjaman, memberi pinjaman atau kuasa bagi membina landasan keretapi di kawasan tersebut tanpa kebenaran daripada Jepun.

KUMPULAN KETIGA

Dalam kumpulan ini adalah berkaitan dengan Syarikat Hanyehping dimana Jepun mahu menjadikan syarikat ini sebagai sebuah firma perkongsian antara China dan Jepun.

KUMPULAN EMPAT

Deklarasi yang dibuat oleh China bahawa mereka tidak akan menyerahkan atau memberi mana-mana pelabuhan sebagai konsesi kepada kuasa asing.

KUMPULAN KELIMA

Dalam kumpulan ini juga, mengandungi senarai tuntutan-tuntutan yang mendatangkan kontroversi. Antara tuntutan yang terkandung adalah China harus mengambil orang-orang Jepun yang berpengaruh sebagai penasihat politik, ekonomi dan militari. China juga perlu memberi hak dan kuasa kepada rakyat serta organisasi-organisasi Jepun untuk membina hospital, sekolah, dan kuil-kuil di pedalaman China. Selain itu, China perlu mendapatkan bekalan senjata daripada Jepun dan menubuhkan gudang senjata di bawah kawalan bersama China-Jepun serta China perlu bersetuju menubuhkan pasukan polis bersama Jepun apabila diperlukan. Kerajaan Peking juga harus memberikan hak kepada rakyat Jepun untuk menjalankan dakwah di kawasan pedalaman. Terakhir adalah Jepun telah menuntut kuasa bagi membina landasan-landasan keretapi di kawasan Yangtze disamping menuntut Tokyo berunding dengan China berkenaan modal dan bantuan bagi membangunkan Fukien. 

KESAN-KESAN TUNTUTAN DUA PULUH SATU

Keadaan Jepun yang menuntut terlalu banyak daripada yang sepatutnya mereka dapat daripada China serta kelewatan menarik balik tuntutan tersebut telah menimbulkan pelbagai kesan.Antaranya adalah kebangkitan semangat Anti-Jepun di China, yang merosakkan perniagaan Jepun dengan China.Negara-negara Eropah tidak mempunyai masa untuk memantau keadaan yang berlaku di Jepun dan China walaupun menteri luar British telah memberi amaran kepada duta Jepun di London supaya Kato tidak melampau dalam tuntutannya.Walau bagaimanapun, di California telah wujud perasaan Anti-Jepun dimana ahli-ahli politik telah menggunakan prasangka bangsa bagi menyalahkan orang ramai menentang kemasukan orang Jepun ke Amerika.

Oleh itu, tuntutan dua puluh satu ini telah menjadi simbol perpaduan kepada pencinta tanah air China dan menyebabkan Jepun telah kehilangan kepercayaan daripada dunia luar. Kesan daripada ini adalah penarikan balik tuntutan kelima daripada tuntutan dua puluh satu serta persetujuan China walaupun terpaksa menandatangani persetujuan pemindahan kepentingan Jepun di Shantung kepada Jepun dan memberikan hak istimewa kepada Jepun di Manchuria Selatan dan Timur Mongolia Tengah. Pemberian ini merupakan terdiri daripada empat kumpulan tuntutan sahaja.

Selain itu, tuntutan ini juga telah membawa perubahan kepada hubungan Jepun-Amerika.Dimana selepas tahun 1915, Jepun tidak lagi mendapat penghormatan yang tinggi. Negara Jepun juga turut dikenali sebagai sebuah Negara yang lemah dan walau pun Jepun berkelakuan baik dengan China pada tahun-tahun sebelumnya mereka tidak mendapat penghargaan yang sewajarnya. Reputasinya juga turut tergugat di peringkat antarabangsa akibat pelaksanaan tuntutan dua puluh satu dimana turut kehilangan hubungan persahabatan dengan China dan digelar sebagai sebuah kuasa imperialisme.Hal ini kerana, kuasa-kuasa antarabangsa yakin bahawa China telah diugut dan dipaksa menerima tuntutan tersebut. Manakala di Jepun, menteri luar iaitu Kato telah dicela dan kedudukan beliau tergugat disebabkan oleh krisis tuntutan dua puluh satu tersebut. 

4.4 RUNDINGAN DAMAI PARIS 

Dalam perundingan damai ini, China telah mendapat faedah yang kurang berbanding dengan Jepun.Hal ini demikian, China tidak dapat bersuara dalam sebarang keputusan kerana telah dianggap sebagai kuasa yang kecil. Namun, China telah menaruh harapan yang besar terhadap rancangan Fasal Empat Belas yang akan dikemukakan oleh Presiden Wilson. Mereka yakin bahawa fasal ini akan memberi peluang kepada mereka dalam mempertahankan tuntutan mereka terhadap pengembalian semula kuasa-kuasa di Shantung beserta dengan konsesi yang telah diperolehi dari China semasa perang diisytiharkan tidak sah. Tambahan pula, penyertaan China dalam perang menyebabkan terdapatnya beberapa syarat, undang-undang serta wujudnya beberapa hubungan mengenai undang-undang. Pertama, menamatkan semua perjanjian yang telah dibuat antara China dan Jerman, sama ada dalam aspek penghambaan mahupun perjanjian yang menentang perlaksanaan Perang atau membuat pendamaian.

Seterusnya, semasa persidangan damai bersidang di Paris pada bulan Januari tahun 1919, parti-parti pembangkang China bersatu untuk menghantar satu rombongan bagi mewakili kepentingan-kepentingan China.Antara perkara yang dikemukakan adalah permintaan terhadap tanah-tanah yang telah disewakan serta hak-hak yang diberikan kepada Jerman di Wilayah Shantung itu dikembalikan kepada kepada China. China juga menuntut supaya perjanjian-perjanjian yang telah dibuat antara Jepun dan China mengenai Wilayah Shantung dalam tahun 1915 dan 1918 itu dimansuhkan. Perkara yang dikemukan ini berasaskan kepada beberapa pertikaian. Antaranya penyertaan China dalam perang bermakna jajahan yang telah disewakan kepada Jerman akan dikembalikan kepada China secara langsung. Seterusnya, China juga menggesa supaya perjanjian ini patut dianggap tidak sah secara keseluruhannya, termasuklah perjanjian Shantung.Hal ini demikian, perjanjian-perjanjian telah ditandatangani dengan pihak perunding China dalam keadaan yang diancam perang dan perjanjian itu tidak pernah dilakukan menurut cara-cara yang ditetapkan dalam perlembagaan China.

4.5 PERJANJIAN VERSAILLES

Pendamaian telah disytiharkan oleh Jerman pada jam 11.00 pagi bersamaan 1 November 1919 di Versailles.Dalam persidangan ini, Jepun telah diwakili oleh Marquis Saionji merupakan bekas Perdana Menteri manakalan China telah diwakili oleh C.T Wang dan Wellington Khoo. Dengan kuatkuasa pendamaian, China telah dibebaskan daripada semua tanggungan untuk menunaikan kewajipan-kewajipannya kepada Jerman di bawah syarat-syarat Protokol Boxer.China juga telah dibebaskan daripada tanggungan akibat daripada menahan warga Negara Jerman dalam masa perang serta merampas kapal-kapal Jepun yang ditahan dalam perairan China.China juga mendapat kembali peralatan-peralatan untuk mengkaji ilmu bintang yang telah dirampas dari Peking pada masa pemberontakan Boxer. Menurut satu perjanjian yang dibuat oleh Jepun secara tidak bertulis kepada Tiga Negara (Council of Three), ia telah berjanji akan memulangkan semua hak-hak dari segi politik dalam wilayah Shantung kepada China melalui perundingan secara langsung kecuali hak-hak serta kemudahan ekonomi.

Menerusi Perjanjian Versailles, China tidak mendapat banyak faedah sepertimana yang diperoleh oleh Jepun.Perjanjian ini telah menghapuskan hak wilayah asingan dan konsesi-konsesi di Tietsin dan Hankow yang diberi kepada Jerman.Selain itu, satu penentangan telah berlaku akibat daripada perjanjian yang banyak memihak kepada Jepun antaranya barang-barang buatan Jepun telah diboikot di seluruh Negeri China. Di Versailles, perwakilan China telah menandatangani perjanjian dengan Jerman. Dengan ini, Presiden Wilson dan pemimpin dunia yang telah menyedari hakikat tentang perasaan yang dilalui oleh orang-orang Cina.Justeru, Negeri China telah diberi peluang untuk menjadi ahli Liga Bangsa dan diberi sebuah kerusi di dalam Majlis.Seterusnya, hal ini diteruskan dengan hubungan diplomatik antara China dan Jerman dan pada 20 Mei 1921, satu perjanjian telah dicapai antara kedua-dua buah negara.

Manakala kesan penglibatan Jepun juga dapat dilihat dalam perang dunia pertama kerana penyertaan nominal Jepun telah membawa banyak faedah kepada Negara tersebut dari segi ekonomi dan imejnya telah meningkat dalam perhubungan antarabangsa.Selain itu, jepun telah muncul sebagai sebuah kuasa angkatan laut yang utama di kawasan pasifik. Antara kesan penglibatan Jepun dalam perang dunia pertama juga dapat dilihat melalui Perjanjian Versailles tersebut yang ditandatangani pada 1919.Kepentingan utama Jepun dalam Perjanjian Versailles telah mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi dan politiknya di Benua Asia dan Lautan Pasifik. Perjanjian Versailles merupakan satu daripada lima perjanjian yang telah ditandatangani semasa Persidangan damai Paris pada januari 1919. Perundingan ini diketuai oleh lima kuasa besar yang telah berjaya dalam perang dunia pertama. Terdapat tiga isu yang menjadi keutamaan Jepun ketika itu dimana perwakilan Jepun telah diketuai oleh Baron Makino Nobuakai dan Viscount Chuida Sutemi yang telah mengemukakan tiga tuntutan. Tuntutan pertama Jepun telah menuntut bahawa semua bekas pulau-pulau Jerman di pasifik utara diletakkan di bawah pemerintahan Jepun iaitu Pulau Mariana, Caroline dan Marshall. Seterusnya Jepun telah menuntut supaya hak milik Jerman yang telah ditinggalkan di Shantung disahkan. Manakala tuntutan ketiga adalah Jepun mencadangkan dan membuat satu pengisytiharan supaya diberi layanan yang sama dalam kalangan Negara-negara sebagai satu prinsip asas untuk liga bangsa-bangsa. 

Misi Jepun dalam Persidangan Versailles telah membawa kejayaan kerana dua daripada tuntutan yang telah dikemukakan telah berjaya diperolehi oleh mereka.Hal ini kerana, pertamanya mengenai isu tuntutan Jepun ke atas Shantung telah berjaya walaupun ditentang oleh rombongan China yang diketuai oleh C.T Wang dan Wellington Koo.Kejayaan ini adalah disebabkan adanya sokongan daripada Negara-negara Great Britain, Perancis dan Itali.Akhirnya, Jepun telah berjaya bertapak kukuh di Shantung dengan adanya pengiktirafan daripada kuasa-kuasa bersekutu.

Hal ini demikian kerana, apabila Perjanjian Versailles ditandatangani pada 28 jun 1919 Jepun telahpun mencapai objektif-objektifnya untuk menjamin kedudukannya di Shantung dan juga menguasai hak milik Jerman di Lautan Pasifik. 

4.6 KUASA-KUASA ENTENTE BERSETUJU MEMBATALKAN SYER-SYER JERMAN DAN AUSTRIA

Kesan yang seterusnya penglibatan China dalam Perang Dunia 1 adalah kuasa-kuasa entente bersetuju membatalkan syer-syer Jerman dan Austria dalam ganti rugi Boxer dan menangguhkan bayaran selama lima tahun. Hal ini secara tidak langsung telah bertambahnya hasil daripada kastam seterusnya menolong meringankan beban kedudukan kewangan. Tambahan pula, pihak China juga yakin bahawa mereka akan mendapat hak sebuah kerusi di persidangan keamanan berhubung dengan kedudukan yang setaraf dengan Jepun apabila diadakan persidangan.

4.7 KEUNTUNGAN KEPADA PIHAK BERIKAT

Penglibatan China dalam peperangan telah memberi keuntungan dari segi kebendaan kepada pihak Berikat. Antaranya, mereka telah dapat menggunakan buruh China.Hal ini demikian, mereka telah mudah mendapatkan pekerja-pekerja China, melatih dan menghantarnya ke Perancis. Namun, China tidak menghantar askar-askar ke Barat serta tidak mengambil bahagian yang besar dalam gerakan pihak Berikat di Siberia, tetapi secara tidak langsung telah memberi sumbangan yang jelas dalam peperangan iaitu penggunaan buruh di belakang medan perang di Perancis. Perkhidmatan buruh-buruh China ini sangat penting kepada pihak entete dan mereka telah dipuji kerana perkhdimatan mereka yang baik.

Selain itu, China juga telah bersetuju akan melengkapkan barang-barang utama bagi kegunaan pihak Berikat dan Kuasa-Kuasa Bersekutu (Associated Power). Antaranya adalah barang-barang berlebihan yang terdapat di China sama ada barang makanan atau barang-barang mentah. Walau bagaimanapun, bantuan kewangan yang dijanjikan oleh Amerika untuk diberikan kepada China tidak ditunaikan.Akibatnya China terpaksa meminta pertolongan daripada Jepun.Dapatlah dilihat di sini bahawa Jepun telah memperoleh faedah yang menguntungkan dan sebenarnya banyak merugikan pihak China akibat daripada janji kosong oleh Amerika Syarikat.

4.8 PERKONGSIAN DIWUJUDKAN SEMULA.

Perkongsian terdiri daripada empat buah kuasa-kuasa yang mana Jerman dan Rusia disingkirkan daripada kumpulan ini.Satu lagi perkembangan yang penting untuk diberikan perhatian dalam munculnya Perang Dunia adalah berkaitan dengan keenganan Presiden Wilson untuk memberikan sokongan kepada Kerajaan Amerika seperti yang diminta oleh orang-orang Amerika agar mengambil bahagian Kumpulan Bank Antarabangsa yang pertama. Walaubagaimanapun, dalam bulan November 1917, beliau telah membuat kesimpulan bahawa patut diberi kerjasama antarabangsa bagi membiayai China agar kewangan republik China terselamat daripada dikongkong oleh sebuah negara.Hasilnya, Jabatan Negara mengetahui pemberontakan semula Kumpulan Antarabangsa termasuklah Amerika Syarikat.

Pemberontakan ini dilakukan bertujuan untuk mengumpul semua perjanjian, sama ada yang telah dibuat pada masa dahulu mahupun pada masa depan bagi membiayai Kerajaan China serta memajukan perhubungan-perhubungan dan perusahaan-perusahaan negara itu. Oleh itu, setelah diadakan perundingan antara wakil-wakil perundingan-perundingan antara wakil-wakil kewangan yang diwakili oleh beberapa buah negara, maka tercapailah persetujuan berhubung dengan syarat-syarat kegiatan mereka dengan satu pengecualian.Jepun mahukan supaya Manchuria dan Mongolia Dalam di bahagian Timur disingkirkan dari lapangan kepentingan konsortiam walaupun jajahan itu adalah sebahagian daripada China. Namun, rancangan ini tidak dapat diteruskan kerana dikenakan tekanan dan mereka telah dijanjikan bahawa tidak akan terdapat usaha dijalankan di kawasan itu.

Namun, perkongsian ini telah muncul semula dalam tahun 1920, tetapi tidak dijalankan kegiatannya kerana orang-orang China memusuhi mereka. Hal ini demikian, orang-orang China takut sekiranya mereka hanya berpura-pura membantu dan memajukan sumber-sumber di negeri itu.Namun, kebimbangan ini beransur kurang apabila China mulai berasa yakin bahawa tujuan-tujuan yang diumumkan adalah juga tujuan perkongsian yang sebenarnya.Walaupun demikian, perkongsian itu tidak dibiarkan begitu sahaja akibat kekacauan dalam Negeri China serta kurang sambutan dalam kalangan sesetengah ahli-ahlinya dalam bidang usaha-usaha antarabangsa dari segi kebangsaan.



4.9 PERSETIAAN SEMBILAN KUASA

Pada 21 November 1921, satu persidangan Antarabangsa telah diadakan di Washington yang dikenali sebagai persidangan Washington.Tujuan utama persidangan ini adalah untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit di Timur Jauh.Bagi negeri China, persidangan yang diadakan telah menggunakan masa yang sepenuhnya untuk mengkaji cara-cara menyelesaikan masalah-masalah China. Oleh itu, sembilan buah kuasa yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jepun, Itali, Belgium, Belanda, Portugal bersama-sama dengan China telah menandatangani satu persetiaan yang dikenali sebagai Persetiaan Sembilan Kuasa. Persetiaan ini membincangkan tentang dasar-dasar dan prinsip-prinsip mengenai China.

Antara isi kandungan dua daripada artikel tersebut adalah:

Artikel 1

Kuasa-kuasa yang bersatu selain daripada Negeri China bersetuju:

1. Menghormati kedaulatan, kemerdekaan serta keutuhan wilayah dan pentadbiran Negeri China.

2. Memberikan Negeri China peluang yang sebaik-baiknya untuk memajukan dan memelihara bagi negeri itu satu kerajaan yang cekap dan stabil.

3. Menggunakan pengaruh-pengaruh mereka untuk menubuhkan dan memelihara secara berkesan prinsip-prinsip saksama untuk perdagangan dan perindustrian di seluruh negeri China kepada semua negara.

Artikel II

Negeri yang besetuju tidak akan membuat persetiaan, perjanjian, perancangan dan persefahaman dengan mana-mana pihak atau salah satu dari kuasa-kuasa itu sama ada secara bersendirian ataupun secara berkumpulan yang akan melanggar atau memisahkan prinsip-prinsip yang dirangkakan di dalam artikel 1. 

Sebenarnya, persetiaan ini adalah untuk menentukan bahawa negeri China mematuhi dasar pintu terbuka.Walaupun China telah gagal mendapatkan sesuatu di Manchuria dan tidak berjaya menamatkan hak-hak Jepun di China, namun persetiaan tersebut telah menyelamatkannya dari serangan-serangan Jepun pada masa hadapan.

Selain itu, dalam persidangan Washington juga dapat dilihat kesan yang dihadapi oleh Negara Jepun dalam mempertahankan hak mereka terhadap China dan juga penyelesaian masalah dengan kuasa-kuasa antarabangsa lain seperti Amerika Syarikat. Walau pun persidangan Damai di Versailles telah menamatkan Perang Dunia Pertama, masih lagi terdapat banyak persoalan yang belum diselesaikan. Keadaan ini menyebabkan Persidangan Washington diadakan pada tahun 1922 untuk menyelesaikan masalah-masalah yang ada terutamanya masalah yang berkaitan ketegasan perhubungan di antara Amerika Syarikat dan Jepun contohnya persaingan dagangan dan tentera laut diantara kedua-dua Negara.

Persidangan Washington termeterai kerana didorong oleh hasrat Amerika Syarikat, Britain dan juga Jepun bagi mencari penyelesaian kepada peningkatan persaingan kedudukan angkatan tentera laut antara ketiga-tiga kuasa tersebut serta keperluan bagi menggantikan Perikatan Inggeris-Jepun yang mendapat penentangan keras daripada Amerika Syarikat.Selain itu, isu Shantung juga menjadi salah satu faktor mendorong kepada persidangan terbabit.

Selain itu, faktor bantahan keras Amerika Syarikat terhadap Perikatan Inggeris-Jepun yang membentuk dasar luar Jepun 1902-1920 juga menjadi faktor persidangan ini perlu diadakan. Ini kerana Amerika Syarikat menginginkan pembatalan Perikatan Inggeris Jepun. Amerika melihat Perikatan Inggeris-Jepun dengan sikap curiga.Hal ini kerana dalam perjanjian tersebut Britain dikehendaki wajib menyebelahi Jepun jika berlaku peperangan antara Jepun dan Amerika Syarikat.Selain itu, beberapa buah Negara dari linkungan komanwel British seperti Kanada menginginkan supaya perikatan tersebut dibatalkan dan menggantikannya dengan sebuah perjanjian pelbagai kuasa yang lebih luas meliputi rantau pasifik.

Menjelang Julai 1921, Washington dan London telah bersetuju untuk mengadakan persidangan bagi menyelesaikan isu-isu di lautan pasifik terutamanya mengurangkan persaingan kekuatan tentera laut, kedudukan Jepun di Shantung, keutuhan dan kedaulatan Negara China, pembaharuan Perikatan Inggeris-Jepun dan juga status Pulau Yap yang menjadi faktor perselisihan di antara Amerika Syarikat dan juga Jepun. Persidangan tersebut juga telah membangkitkan beberapa isu antaranya adalah :

1) Kuasa-kuasa laut besar perlu menghentikan pembinaan kapal-kapal perang selama 10 tahun.

2) Pengurangan penggunaan dan juga pembinaan kapal perang.

3) Mewujudkan nisbah 5:5:3 bagi angkatan-angkatan tentera laut Amerika Syarikat, Britain, dan Jepun.

4) Penggantian kapal dihadkan oleh perjanjian kepada 500 000 tan bagi Amerika Syarikat dan Britain kepada 300 000 tan bagi Jepun.

5) Nisbah-nisbah yang seumpama ditetapkan bagi pengangkut-pengangkut kapal terbang dan kapal-kapal selam.

Persidangan ini telah terbahagi kepada dua bahagian iaitu jawatankuasa genjatan senjata dan jawatankuasa mengenai masalah-masalah kawasan asia timur dan pasifik. Pada awalnya, persidangan tersebut telah membincangkan isu perjanjian Inggeris-Jepun.Hal ini kerana, Britain ingin memperluaskan perikatan tersebut supaya meliputi Amerika Syarikat tetapi telah dibantah oleh Charles E. Hughes iaitu setiausaha Negara Amerika Syarikat.Beliau telah mencadangkan sebuah perjanjian empat- kuasa yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Jepun, Britain, dan Perancis.

Manakala dalam perjanjian tersebut keempat-empat kuasa berjanji untuk menghormati atau mengiktiraf milik antara satu sama lain di Lautan Pasifik. Persidangan Washington ini telah berlangsung selama empat bulan iaitu dari bulan November 1921 ke Februari 1922, dimana telah menghasilkan sebanyak tujuh persetian dan dua belas resolusi berkaitan dengan hal-hal Pasifik dan Asia telah diputuskan termasuklah Persetian 4 Kuasa Pasifik, Persetiaan Tentera Laut Lima Kuasa, Persetiaan Pintu Terbuka Sembilan Kuasa dan Persetiaan 9 Kuasa mengenai tarif China.

5.0 KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan dapat dirumuskan bahawa terdapat pelbagai faktor yang telah mendorong penyertaan kedua-dua buah negara ini dalam Perang Dunia Pertama. Sebagai contoh, penyertaan Jepun dalam peperangan ini telah menjadikan Jepun sebagai sebuah negara yang sama tarafnya dengan negara barat apabila berjaya mengalahkan Rusia yang merupakan kuasa Eropah terkuat pada waktu itu sehingga dapat menggantikan kuasa tersebut di Pasifik. Sementara bagi China pula, yang pada awalnya penyertaan mereka adalah atas desakan pihak Amerika, namun penyertaan ini telah membolehkan China untuk mendapatkan kembali kawasan-kawasan yang selama ini dimiliki dan dipegang oleh pihak Jerman dan Austria. Contohnya Tientsin yang telah diberikan keizinan sepenuhnya kepada China.



Menerusi Perang Dunia Pertama ini juga, pihak Jepun dikatakan lebih menguntungkan berbanding China kerana hampir setiap tuntutan yang dikemukakan oleh mereka berjaya diperolehi. Hal ini demikian kerana, peranan pihak Barat yang dikatakan berat sebelah sehingga tidak memberi sebarang keuntungan kepada China sama ada mereka menyertai peperangan ini ataupun tidak. Dalam hal ini, jelas menunjukkan bahawa walaupun penyertaan kedua-dua buah negara tersebut mempunyai agenda masing-masing namun peranan yang dimainkan oleh barat telah menyebabkan China tidak mendapat sebarang keuntungan sebagaimana yang diperoleh oleh negara Jepun.

No comments:

Post a Comment