nuffnang

Sunday, May 26, 2013

SUNGKAI, PERAK

Sungkai merupakan satu kawasan yang tergolong di salah sebuah mukim dalam mukim Batang Padang di negeri Perak. Sungkai merupakan sebuah kawasan pekan yang terletak di tengah-tengah laluan di antara Bidor dan Slim River. Sungkai dikatakan telah wujud sekitar tahun 1800. Mengikut sejarah, nama Sungkai diambil bersempena dengan nama sejenis pokok liar yang tumbuh di kawasan kampung dan sekitar Sungai Sungkai  iaitu Pokok Sesungkai. Secara fizikalnya, teras batang pokok ini lembut seperti pokok ubi dan daunnya pula seperti daun pokok mengkudu.  Selain itu, orang tua-tua dahulu amat gemar mengambil batang pokok Sesungkai ini untuk dibuat ‘tiang jambo’(pondok kecil yang biasanya dibuat di dusun durian atau kebun) kerana tiang tersebut akan tahan lama. Pokok Sesungkai yang  dikatakan mempunyai batang yang lurus ini juga sering dijadikan sebagai penghalang bagi mengelakkan tebing sungai daripada roboh.[1]  
Sungkai mempunyai sejarahnya yang tersendiri kerana mengikut cerita orang tua-tua dahulu, di Sungkai ini dahulunya raja Perak dikatakan mempunyai kaitan dengan puteri buih kerana sultan Perak telah mengahwinkan anaknya dengan Puteri Buih yang dikatakan datang daripada golongan orang bunian. Oleh hal yang demikian, sebagai tanda kebesaran Puteri Buih itu, maka perjanjian telah dibuat di antara pihak Panglima Hitam (bunian) dengan pihak sultan dan dua syarat telah ditetapkan iaitu 7 keturunan cucu cicit Puteri Buih ini dilarang memijak tanah Sungkai tanpa adat istiadat diraja yang beralaskan kain kuning dan tidak boleh meminum air yang berpunca daripada Sungai di Mukim Sungkai. Sekiranya perkara ini dilanggar, maka sesuatu bencana atau malapetaka akan menimpa tanah Sungkai.  Hal ini tidak tidak diketahui sejauhmana kesahihannya sehinggalah membawa kepada satu peristiwa pada 15 tahun lepas  apabila  Sultan Perak, Raja Nazrin Syah telah datang ke Sungkai untuk merasmikan masjid jamek di salah sebuah kampung di Sungkai. Sesudah baginda sampai di Sungkai, dan memijak tanah Sungkai dengan tidak semena-mena telah berlakunya ribut dan angin yang sangat kuat di tanah Sungkai sehingga menyebabkan 20 buah rumah di beberapa kampung di Sungkai mengalami kerosakan yang serius.

Selain itu, kejadian yang mengukuhkan lagi fahaman terhadap sumpahan Puteri Buih terhadap keturunan raja Perak ini berlaku sekali lagi pada tahun ini  sewaktu Raja Muda Perak iaitu Sultan Azlan Syah datang berbuka puasa di Masjid Sungkai pada tarikh 12.8.2012. Dikatakan pada ketika itu baginda telah membawa  air sendiri dari istana baginda untuk  dibuat air bagi  mengambil wuduk. Hendak ditakdirkan, selepas sahaja baginda berangkat pulang dari Sungkai tidak kurang dalam sepuluh minit selepas keberangkatan pulang baginda itu, tanah Sungkai sekali lagi dilanda ribut yang amat kuat sehingga menyebabkan Sekolah Menengah Sungkai dan beberapa buah rumah di sekitar Sungkai menghadapi kerosakan yang agak teruk. (Rujuk rajah 2). Hal ini diperakui oleh semua golongan terdahulu di Sungkai dan cerita ini telah sebati dengan penduduk di Sungkai apabila diajukan mengenai sejarah Sungkai.[2] Namun begitu, sejauhmana kebenaran tentang cerita ini hanya Allah yang lebih mengetahui.
Dalam mukim Sungkai ini terdapat beberapa pecahan kawasan termasuklah kawasan kampung, ladang, taman dan FELDA. Oleh hal yang demikian, kumpulan kami telah bersepakat untuk mengkaji berkaitan dengan kegiatan sosioekonomi dalam kampung-kampung tradisional yang terdapat dalam Mukim Sungkai ini. Kampung-kampung tradisional dalam Mukim Sungkai ini terbahagi kepada 7 kampung iaitu Kampung S/C Menderang, Kampung Guntong/Perlok, Kampung Pekan Lama, Kampung Tiang Bertarah, Kampung Rahmat Changkat Sulaiman (Kampung Rahmat Changkat Sulaiman), Kampung AA TIN, dan juga Kampung Klah Baru.


[1] Temubual bersama En Rafix Bin Hj Jamil, Ketua Kampung  Pekan Lama, pada 7/10/2012.
[2] Temubual bersama En Rafix Bin Hj Jamil, Ketua Kampung  Pekan Lama, pada 7/10/2012.

No comments:

Post a Comment