nuffnang

Friday, May 31, 2013

ANALISAKAN PENDAPAT SARJANA-SARJANA BERHUBUNG DENGAN KEDATANGAN ISLAM DI ASIA TENGGARA.



PENDAHULUAN

Kedatangan Islam ke Asia Tenggara merupakan satu isu yang terus diperdebatkan dan dibincangkan oleh sarjana-sarjana terutamanya oleh para Sarjana Islam. Terdapat juga perselisihan pendapat antara satu sama lain dalam membicarakan tentang kemasukan Islam ke Asia Tenggara ini. Hal ini terjadi berpunca daripada ahli sejarah khususnya yang mengkaji tentang sejarah kedatangan Islam masih kekurangan bukti mengenai isu tersebut.Seterusnya, telah menyebabkan timbulnya pelbagai pendapat tentang masa, tempat dan arah tuju Islam di rantau Asia Tenggara. Antara tokoh-tokoh orientalis yang pernah terlibat dalam perbahasan ini ialah J.P Moquette, Pijnappel, R.A. Kern, R.O. Winstedt, G.E. Marrison, Snouck Hurgronje, J.B.O Schrieke, Thomas Arnold, D.G.E. Hall, John Crawfurd dan lain-lain lagi.[1]Manakala antara sarjana-sarjana Islam ialah S.Q. Fatimi, Hamka, Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan C.A. Majul.

Sementara itu, terdapat sekurang-kurangnya tiga pendapat utama mengenai kemasukan Islam ke Asia Tenggara iaitu Islam datang daripada Arab, China dan India.Namun demikian, dikatakan bahawa secara umumnya sebahagian besar orientalis Barat mendakwa bahawa kemasukan atau pertapakan Islam serta perkembangannya di Nusantara tidak lebih awal daripada abad ke-13 Masihi.Ia dikatakan mula tersebar di Sumatera diikuti oleh Melaka pada abad ke 15 Masihidan kemudiannya Pulau Jawa. Islam juga merupakan agama yang kukuh dianuti oleh penduduk di Pulau Maluku pada permulaan abad ke 16 Masihi, dan selepas itu berlaku pula pengislaman di Borneo dan Filipina.

Namun, menurut S.Q.Fatimi, beliau mengakui bahawa selewat-lewatnya pada abad ke-9 Masihi telah terdapatnya penempatan saudagar-saudagar Islam dari berbagai-bagai negara di bandar-bandar Kepulauan Melayu dan Islam telah diperkenalkan di Asia Tenggara sejak 674 Masihi lagi.Kita akan lihat pendapat para sarjana tentang kedatangan Islam ke Asia Tenggara melalui Arab, India, dan China dan Champa.

Kedatangan Islam ke Asia Tenggara dari Arab

Pendapat yang mengatakan kedatangan Islam ke Asia Tenggara dari Arab merupakan antara pandangan yang dikemukakan oleh golongan sarjana dan ahli sejarawan apabila membincangkan kedatangan Islam ke rautau ini.Teori ini diperkenalkan oleh Profesor S. Keyzer pada tahun 1859.[2] Teori ini kemudiannya menjadi terkenal sekitar tahun 1860 dan mendapat sokongan daripada golongan sejarawan dan juga golongan sarjana seperti G. W. J. Drewes, G. K. Niemann, J. J. de Hollander dan Syed Naquib Al-Attas.[3]Golongan ini mempunyai pendapat masing-masing dalam menyokong teori Profesor S. Keyzer ini.

Drewes berpendapat bahawa penyebaran Islam di Indonesia dan Tanah Melayu dibawa oleh orang Arab.Hujah Drewes berkaitan dengan pendapat beliau ini ialah:

“It Is obvious that in former times the spread of Islam in Indonesiaand Malay Peninsula should have been ascribed to Arabs. Seeing that Islam originated in Arabia it seemed self-evident to seek a link betweenthis religion and the presence of Arabs wherever both Arabs and Islam were encountered. In Indonesia and Malay Peninsula, Arabs were foundin many places. So it seemed that they were the ones who had broughtIslam to the region.”(Drewes 1985, p. 7.)


Maka, Drewes, berdasarkan pendapat beliau di atas, telah menyokong teori kedatangan Islam di Asia Tenggara dibawa secara terus dari Arab. Tidak dapat dinafikan bahawa Islam sememangnya bermula di Semenanjung Tanah Arab iaitu di kawasan yang mendapat gelaran Al-Hijaz yang mana meliputi Makkah dan Madinah.Persoalannya ialah benarkah orang Arab dari Semenanjung Tanah Arab yang membawa Islam ke Asia Tenggara?Sekiranya mengambil kira pendapat Drewes ini, siapakah pula golongan Arab yang dimaksudkan oleh beliau itu?Adakah mereka golongan pedagang atau golongan ulama yang datang bersama-sama dengan pedagang Arab Muslim yang berdagang ke rantau ini?

Golongan sarjana dan ahli sejarawan berpendapat bahawa terdapat dua golongan yang bertanggungjawab dalam membawa dan menyebarkan Islam ke Asia Tenggara iaitu golongan pedagang Arab Muslim dan golongan sufi atau ulama. Bagi memahami kedatangan Islam di Asia Tenggara, haruslah melihat kembali pada akar umbi hubungan antara Arab dan Asia Tenggara itu sendiri iaitu hubungan perdagangan.Hubungan perdagangan antara Arab dengan India dan China telah berlaku sebelum kewujudan Islam lagi iaitu pada zaman kerajaan-kerajaan bandar seperti kerajaan Main, Qatban, Sa’ba dan Himyar.[4]Abdul Rahman Abdullah juga menyebut tentang sumber Yunani iaitu Periplus of the Erytraean yang menyatakan bahawa kerajaan-kerajaan ini pernah mempunyai armada yang besar untuk membawa barang-barang perniagaan dari Somali, India, Sumatera dan China ke pelabuhan Yaman.[5]Daripada sumber ini, telah terbukti bahawa hubungan perdagangan antara Arab dan Asia Tenggara telah wujud sejak dahulu lagi.Hubungan ini kemudiannya berterusan sewaktu pemerintahan Islam di Arab seperti mana yang dinyatakan oleh Sebastian R. Prange iaitu pedagang-pedagang Muslim telah berlayar ke pelabuhan-pelabuhan di Sumatera sewaktu bermulanya kerajaan Abbasiyah pada pertengahan abad ke-8.

Abdul Rahman Abdullah juga turut menyebut mengenai peringkat persinggahan dalam pengislaman di Asia Tenggara yang mana peringkat ini berlaku pada zaman Nabi Muhammad dan Khulafa’ al-Rasyidin dan juga merupakan penerusan aktiviti perdagangan Arab di Asia Tenggara sebelum kemunculan Islam di Mekkah.[6]Menurut Abdul Rahman Abdullah lagi, pedagang-pedagang Arab-Parsi Muslim yang singgah ke Nusantara dikatakan telah bercampur dengan penduduk Sumatera sejak abad ke-4.Percampuran antara pedagang-pedagang Arab-Parsi dengan masyarakat tempatan sudah semestinya akan membawa kepada proses asimilasi budaya dan kepercayaan sesama mereka. Keadaan ini akhirnya membawa kepada pengislaman masyarakat tempatan seperti mana yang dikatakan oleh Tan Ta Sen iaitu pengislaman merupakan proses akulturasi yang mana berlakunya pertembungan antara dua kumpulan budaya yang berbeza dan seterusnya membawa kepada pembentukan satu corak budaya baru oleh salah satu atau kedua-dua kumpulan dan akhirnya membawa kepada penerimaan kesemua atau sebahagian daripada budaya yang dibawa oleh salah satu pihak. Dalam konteks ini, budaya yang bertembung dengan budaya masyarakat Asia Tenggara ialah budaya Islam yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab Muslim.

Selain daripada pedagang Arab Muslim, golongan sufi atau ulama juga memainkan peranan penting dalam proses pengislaman di Asia Tenggara. Menurut Sebastian, R. Prange, kawasan yang amat berkait rapat dengan aktiviti perdagangan dan keagamaan di Malabar dan Asia Tenggara adalah Hadhramaut yang terletak di Yaman. Menurut Mohammad Abu Bakar pula, penghijrahan secara besar-besaran golongan Sayid Alawiyyah dari Hadramaut ke Jawa, Sumatera, Acheh dan Tanah Melayu berlaku sejak abad ketujuh belas hinggalah awal abad dua puluh.[7]Namun begitu, Abdul Rahman Abdullah menyatakan bahawa golongan Sayid Alawiyyah ini telah menetap di Campa sejak abad kelapan lagi apabila mereka melarikan diri setelah kalah dalam sebuah pemberontakan.Golongan ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan masyarakat tempatan Asia Tenggara sehinggakan mampu menubuhkan kerajaan Islam di Asia Tenggara seperti kerajaan Syiah di Perlak pada tahun 804 Masihi.Golongan ini juga telah berjaya mengislamkan pemerintah di Asia Tenggara seperti Maharaja Derbar Raja II yang telah menukar nama kepada Sultan Muzaffar Syah setelah memeluk Islam melalui usaha dakwah Syeikh Abdullah Yamani yang datang dari Arab pada 1136 Masihi.

Oleh itu, berdasarkan fakta yang dikemukakan di atas, kewujudan Islam di Asia Tenggara kesan daripada aktiviti perdagangan pedagang Arab Muslim dan golongan ulama adalah sesuatu yang tidak boleh disangkal. Oleh itu, pendapat Drewes yang mengaitkan kedatangan Islam di Asia Tenggara dengan orang Arab adalah sesuatu yang benar.Orang Arab Muslim sememangnya merupakan golongan yang membawa Islam ke Asia Tenggara.



Kedatangan Islam ke Asia Tenggara dari India

Antara tokoh yang mengemukakan Islam datang ke Asia Tenggara melalui India adalah daripada pendapat sarjana iaitu Pijnappel.Beliau menyatakan bahawa Islam datang ke kawasan Asia Tenggara melalui sebuah kawasan di India iaitu Gujerat.[8] Beliau memberi pendapat sedemikian kerana beliau memberi pandangan bahawa Islam datang terus ke kawasan di Asia Tenggara ini melalui Gujerat dan Malabar,dan bukan datang terus daripada Tanah Arab.Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui kewujudan penduduk Islam di kawasan pantai timur pulau Sumatera dan kawasan timur laut pulau Jawa.

Kedatangan Islam di Asia Tenggara telah diperdebatkan dalam kalangan para sarjana sama ada kedatangan Islam di kawasan ini adalah datang daripada China,India mahupun tanah Arab itu sendiri.Terdapat berbagai fakta yang telah diutarakan oleh sarjana-sarjana mengenai bagaimana Islam bertapak di Asia Tenggara.Antara sarjana yang memberi pendapat bahawa Islam bertapak di Asia Tenggara melalui India adalah M.B.Hooker di dalam buku beliau iaitu Islam in South-east Asia.

Antara bukti yang menunjukkan bahawa agama Islam dibawa daripada India ke Asia Tenggara adalah melalui batu bersurat di daerah Pasai,utara Sumatera,yang bertarikh sekitar separuh abad pertama abad ke-15,dan satu lagi batu bersurak di Gresik di timur Jawa yang bertarikh tahun 1419.[9] Kedua-dua batu bersurat ini dipercayai mempunyai asal-usul dari India.Selain itu,terdapat juga batu-batu bersurat yang ditemui di timur Jawa yang bertarikh 1298 hingga 1397 yang mempunyai transkripsi Tralaya juga antara bukti-bukti menunjukkan bahawa agama Islam dibawa ke Asia Tenggara daripada India.

Selain daripada bukti batu bersurat,terdapat juga bukti lain yang membolehkan sarjana M.B.Hooker ini mengatakan bahawa agama Islam bertapak di Asia Tenggara melalui tanah India.Antara buktinya adalah catatan rekod pelayaran pelayar-pelayar zaman dahulu.Antara bukti catatan pelayar dahulu adalah pelayar terkenal,Marco Polo telah melawat Pasai pada tahun 1345 dan mengatakan bahawa penduduk di kawasan tersebut beragama Islam. Selain itu,terdapat juga catatan daripada pelayar lain iaitu Tome Pires di dalam karya Suma Oriental,dan beliau mengatakan bahawa Pasai pada abad ke-14 adalah seperti sebuah kota kosmopolitan dan di dalam komuniti masyarakat Pasai tersebut terdapat populasi Muslim yang penting dan populasi tersebut terdiri daripada orang-orang Benggali.

Antara intrepretasi sarjana mengenai bukti-bukti kedatangan Islam di Asia Tenggara adalah melalui India melalui bukti batu bersurat adalah,sarjana-sarjana akan mentafsirkan epigrafi yang boleh dibaca daripada batu bersurat tersebut,dan memberi perkaitan dengan catatan awal pelayar.Kaitan yang dibuat sarjana melalui bukti yang didapati daripada batu bersurat dengan catatan awal pelayar adalah dengan memberi perkaitan antara geografi dengan peluasan agama Islam itu sendiri.

Bukti yang menyatakan Islam bertapak di Aisa Tenggara melalui India yang dibuktikan dengan catatan Marco Polo dan Tome Pires.Sarjana M.B Hooker memberi interpretasi bahawa catatan pelayaran yang ditulis oleh Marco Polo dan Tome Pires menunjukkan bahawa catatan mereka boleh dikaitkan dengan bukti-bukti daripada Sumatera,yang mempunyai perkataan-perkataan yang berasal daripada Parsi dan perkataan Parsi yang digunakan itu berasal daripada kawasan pantai barat India.Secara tidak langsung,bukti-bukti yang diperolehi tersebut membolehkan sarjana mengaitkan kedatangan Islam di Asia Tenggara dikatakan berasal daripada kawasan India.

Selain daripada kedatangan Islam dari kawasan Gujerat dan selatan India, para sarjana juga turut memperkatakan perkara tersebut berasal dari kawasan Bengal dan Colomandel dan Malabar.S.Q. Fatimi mengatakan bahawa Islam di bawa dari Bengal.[10] Beliau menyatakan bahawa batu nisan makam Malik al-Saleh itu sama sekali berbeza dengan batu nisan di Gujarat tetapi sama dengan batu nisan dari kawasan Bengal.Di samping itu, S.Q. Fatimi berpendapat Islam dari kawasan Bengal bukan sahaja berdasarkan batu nisan tetapi juga berasaskan kepada catatan Tom Pires iaitu Sultan Malik al-Saleh berketurunan India dari Bengal.[11]Hal demikianlah yang menyebabkan S.Q Fatimi mengukuhkan lagi pandangannya mengenai teori kedatangan Islam dari kawasan Bengal.Jika dilihat teori ini sebenarnya lemah kerana kawasan Bengal dan Nusantara sebenarnya berbeza mazhab.Penganut Islam di kawasan Bengal bermazhab Hanafi manakala kawasan Asia Tenggara bermazhab Syafi’i.

Terakhir adalah pendapat sarjana yang menyatakan Islam itu dari kawasan Colomander dan Malabar.Teori ini dipelopori oleh Thomas W. Arnold.Beliau mengemukakan pandangannya berasaskan kepada persamaan mazhab yang dianuti oleh penduduk di Colomandel dan Malabar dengan kawasan Asia Tenggara iaitu mazhab Syafi’i.Hal Ini diperkukuhkan lagi dengan pemerhatian yang dilakukan oleh Ibnu Battutah apabila beliau melawat kawasan ini.Pandangan Thomas W. Arnold ini disokong oleh sarjana lain iaitu Morrison. Morrison menyatakan bahawa tidak mungkin Islam itu berasal dari Gujerat kerana sewaktu tegaknya kerajaan Islam Pasai yang dianggap sebagai kerajaan Islam di Nusantara, Gujerat masih belum lagi dikuasai oleh Islam.[12]Hal ini juga turut diperkatakan oleh Thomas W. Arnold yang menyatakan kawasan Colomandel dan Malabar sememangnya terlebih dahulu menerima Islam dari Gujerat. Tambahan pula, Saifullah dan Samsul Adabi (2009) menyatakan bahawa kedatangan Islam di Pasai adalah lebih awal berbanding perkembangan kota Gujerat yang baru berkembang sekitar 1402 Masihi.[13]Bukan itu sahaja, peranan pedagang dari kawasan Colomandel dan Malabar sememangnya memainkan peranan penting dalam perdagangan antara India dan kepulauan Melayu sebelum kedatangan Islam lagi.Dengan tersebarnya Islam ke kawasan ini maka pedagang yang terdiri daripada orang Islam secara tidak langsung terlibat dalam penyebaran agama baru iaitu Islam ke kawasan dagangan mereka.

Jika dilihat dari keempat-empat kawasan yang diperkatakan oleh sarjana mengenai dari mana Islam itu datang, teori Thomas W. Arnold adalah paling menonjol berdasarkan pandangan beliau mengenai persamaan mazhab, peranan pedagang dan bukti bahawa Islam terlebih dahulu diterima oleh penduduk di kawasan Colomandel dan Malabar berbanding Gujerat. Mengenai teori dari Gujerat, Selatan India dan Bengal, kawasan ini mungkin bukan kawasan pertama yang menyebarkan Islam tetapi tidak dinafikan bahawa kawasan ini juga turut menyumbang kepada kedatangan Islam ke kawasan Asia Tenggara.

Walaupun para sarjana telah membuktikan bahawa Islam itu datang dari India, namun teori ini dapat disangkal kerana menurut dakwaan orientalis, Islam itu tersebar ke Asia Tenggara pada abad ke-13 Masihi. Kebanyakan teori yang dikemukakan oleh para sarjana adalah berasaskan catatan Marco Polo dan Ibnu Battutah yang mana mereka ini melawat kawasan ini sekitar abad ke-13 Masihi dan abad ke-14 Masihi.S.Q Fatimi menyatakan bahawa Islam diperkenalkan di Asia Tenggara sejak 694 Masihi lagi.Beliau juga turut mengakui bahawa selewat-lewatnya pada abad ke-9 Masihi sudah terdapat penempatan saudagar Islam daripada pelbagai negara di bandar-bandar pinggir kepulauan Melayu.[14] Tetapi proses islamisasi besar-besaran berlaku pada abad ke-13 Masihi oleh para sufi.

Bukan itu sahaja, terdapat batu-batu nisan yang lebih awal dijumpai yang dapat membuktikan bahawa Islam telah datang sebelum abad ke-13 Masihi lagi seperti Batu Nisan Syeikh Abdul Qadir Bin Husin Syah Alam di Langgar, Kedah bertarikh 903 Masihi; Batu Bersurat Phan-Rang di Kemboja bertarikh 1025 Masihi; dan Batu Nisan di Pekan, Pahang bertarikh 1028 Masihi. Para sarjana kebanyakannya melihat kepada jumpaan batu nisan apabila memperkatakan tentang kedatangan Islam, sebenarnya batu nisan merupakan barang dagangan yang boleh dijual oleh sesiapa sahaja sama ada seorang Islam atau tidak. Jadi, tidak tepat menyatakan bahawa batu nisan yang dijumpai di sesebuah kawasan itu dari India membuktikan Islam datang dari India. Teori dari India ini sememangnya dapat disangkal kerana kedatangan Islam ke Nusantara sejak abad ke-7 Masihi lagi.Namun, tidak dinafikan bahawa pendakwah dari India juga turut memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam ke Nusantara sekitar abad ke-13 Masihi dan abad-abad selepasnya.

Kedatangan Islam ke Asia Tenggara dari China dan Champa

S.Q Fatimi juga merupakan salah seorang sarjana yang mengemukakan pendapat berkenaan kedatangan Islam di Asia Tenggara. Selain menyatakan bahawa Islam datang dari kawasan Bengal di India, beliau turut menyatakan bahawa Islam di Asia Tenggara ataupun alam Melayu ini berkemungkinan dibawa dari sebelah timur iaitu dari China ataupun Indo China[15] dan pendapat ini sekaligus menyokong pendapat lain yang menyatakan bahawa pergerakan para pedagang Arab adalah melalui jalan darat. Jalan darat yang dimaksudkan di sini adalah perjalanan yang diambil oleh para pedagang Arab iaitu bermula dari Syria atau Iraq ke Khurasan, utara Farsi ke Afghanistan, kemudiannya ke negara China seterusnya ke Gugusan Kepulauan Melayu.Teori yang dikemukakan oleh Fatimi ini diperkukuhkan dengan penemuan batu nisan yang terdapat di Nusantara. Antaranya batu nisan di Pekan, Pahang bertarikh 1082 Masihi, batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu bertarikh 1303 Masihi, duit syiling emas di Kubang Labu, Kelantan bertarikh 1181 Masihi dan batu bersurat Telok Cik Munah, Pahang bertarikh 419 Hijrah.Seperti yang diketahui hubungan antara orang Arab dengan Cina sebenarnya telah bermula sejak pemerintahan Dinasti Sui pada sekitar tahun 581-681 Masihi, iaitu sebelum kelahiran Islam lagi.

Hubungan ini seterusnya telah mewujudkan penempatan awal orang Islam di China iaitu di Canton sekitar tahun 627-650 Masihi.Penempatan yang dinyatakan ini disokong oleh Syed Naquib Al-Attas menerusi kajiannya berkenaan catatan pengembara Cina yang menyatakan bahawa pada 55 Hijrah(674 Masihi) sudah terdapat penempatan orang Islam di Sumatera Timur (San Fu Chi- Srivijaya- Palembang).[16] Menurut catatan Cina itu juga tertulis penemuan Fo-lo-an atau Terengganu di sebelah Laut Cina Selatan yang menunjukkan Islam telah sampai di Pantai Timur Tanah Melayu dan hal ini turut disokong oleh Syed Naquib Al-Attas dan Prof. Abdul Jalil Hassan.Selain itu juga dikatakan bahawa sebelum abad ke-8 sudah terdapat masyarakat Arab di sebelah utara Sumatera serta kawasan perdagangan lain di Asia Tenggara seperti Phang-Rang, Vietnam Selatan, dan terutamanya di Canton.Kedatangan Islam ke Asia Tenggara melalui China ini juga turut disokong oleh seorang saintis Sepanyol, Emanuel Godinho Eradia pada tahun 1613 Masihi.Beliau menyatakan bahawa,

“Aqidah Muhammad telah diterima terlebih dahulu di Patani dan Pan dipesisiran Pantai Timur dan selepas itu barulah diterima dan disebarkan oleh Permicuri (Parameswara) di Melaka pada tahun 1411 Masihi.”

Selain dari China, terdapat juga pendapat bahawa Islam telah dibawa ke Asia Tenggara dari Champa atau Kemboja. Pendapat ini telah dikemukakan oleh R.A. Kern yang menyatakan bahawa orang-orang Islam di Nusantara berasal dari Indo-China dan dikatakan orang-orang Melayu telahpun mengadakan hubungan dengan penduduk-penduduk Champa dan Kemboja. Islam dikatakan telah berkembang di Champa iaitu di daerah Phan-rang sejak abad ke-8 Masihi lagi. Pendapat ini telah disokong oleh S.Q Fatimi yang menyebut bahawa wujud hubungan “Melayu-Polynesian” dari kerajaan Champa dengan penemuan batu nisan di Leren, Jawa Timur bertarikh 1082 Masihi.



KESIMPULAN

Kedatangan Islam di Asia Tenggara pada awalnya amat berkait rapat dengan aktiviti perdagangan serta bidang pelayaran.Sungguhpun golongan sarjana sehingga ke hari ini tidak dapat memberi kata muktamad akan kedatangan Islam di Asia Tenggara sama ada dari Arab, India atau China, tidaklah boleh disangkal bahawa pada awalnya pedagang-pedagang Arab muslimlah yang membawa Islam bertapak di Asia Tenggara. Namun begitu, oleh kerana berlaku perdagangan antara pedagang-pedagang Arab Muslim dengan India dan China, maka, tidak hairanlah sekiranya golongan pedagang dari India dan China yang berlayar melalui Kepulauan Asia Tenggara turut menyumbang dalam menyebarkan Islam di Asia Tenggara. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa ketiga-tiga teori kedatangan Islam di Asia Tenggara adalah benar. Ketiga-tiga teori ini boleh dikatakan saling berkait antara satu sama lain dan gabungan teori-teori inilah yang akhirnya menjadikan agama Islam dianuti di setiap negara di Asia Tenggara sama ada dalam kelompok majoriti seperti di Malaysia dan Indonesia ataupun dalam kelompok minoriti seperti di Myanmar dan Thailand.






[1]Abdul Rahman Abdullah. (2000). Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara: Sebelum dan Sesudah Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. Hlm. 215.


[2] Tan Ta Sen. (2009). Cheng Ho And Islam In Southeast Asia. Singapore: Institute Of Southeast Asian Studies. Hlm.141.


[3]Ibid.


[4] Abdul Rahman Abdullah. (2003). Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara.Hlm. 217.


[5]Ibid.


[6] Abdul Rahman Abdullah. (2003). Sejarah Dan Tamadun Asia Tenggara.Hlm. 220.


[7]Mohammad Abu Bakar.(1979). Sayid Abdul Rahman Bin Muhammad Al-Idrus (Tukku Paloh). Dalam Islam Di Malaysia (m.s. 34-51). Kuala Lumpur: Penerbitan Persatuan Sejarah Malaysia. Hlm. 35.


[8] Abdul Rahman Hj Abdullah (2007).Sejarah Asia Tenggara Tradisional.Jakarta:Penerbit Pena.Hlm 13.


[9] M.B.Hooker (1982).Islam in Southeast Asia.The Netherlands:Leiden.Hlm 3.


[10]Nursyam.(2005).Islam Pesisir. Yogyakarta: LKiS Yogyakarta. Hlm. 60.


[11]Abd. Jalil Borham. (2002).Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri Johor. Skudai: Penerbit Universiti Malaysia.Hlm. 15.


[12] Ahmad Jelani Halimi. (2008).Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu.Hlm. 159.


[13]Saifullah dan Samsu Adabi.(2009).Sejarah dan Tamadun Islam di Asia Tenggara. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd. Hlm. 34.


[14]Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Hlm. 160.


[15]Ibid. Hlm. 161.


[16]Dzul Haimi Md. Zain et al. (2007).Ragam Hias Al Qur’an di Alam Melayu.Hlm. 8.

No comments:

Post a Comment