nuffnang

Sunday, May 26, 2013

FRASA KERJA

1.0 PENDAHULUAN

Dalam kajian yang dilakukan, pengkaji telah memilih untuk mengkaji artikel kesihatan yang bertajuk “Pneumokokal Boleh Membawa Maut” yang telah ditulis oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah di dalam berita Utusan pada 15 Januari 2012.

Kajian ini akan menfokuskan tentang frasa kerja yang terdapat di dalam artikel yang dikaji dengan menggunakan beberapa sumber sebagai rujukan bagi melihat dengan lebih jelas frasa kerja yang terdapat di dalam Bahasa Melayu.

Frasa kerja yang terdapat di dalam artikel ini akan dikaji struktur ayatnya dan dibandingkan dengan formula-formula yang dibuat oleh penahu-penahu Bahasa Melayu yang ada. Perbandingan ini diharapkan dapat mencapai tujuan kajian iaitu mengenal pasti frasa kerja di dalam sesebuah artikel sama ada sama atau berbeza mengikut pendapat penahu-penahu Bahasa Melayu.


2.0 DEFINISI DAN KONSEP

Frasa kerja ialah binaan yang boleh terdiri daripada satu perkataan atau lebih dan kata intinya kata kerja. (Nik Safiah Karim, 2004). Kata kerja pula terdiri daripada kata kerja tak transitif dan kata kerja transitif. Kata kerja tak transitif boleh berdiri sendiri atau diikuti oleh satu atau sederet perkataan, manakala kata kerja transitif pula wajib diikuti oleh objek serta unsur-unsur lain.

Frasa kerja dalam bahasa Melayu mengikut Payne (1970) di dalam Md Isa bin Hassan (1993) pula ialah suatu konstruksi yang mempunyai sekurang-kurangnya satu kata kerja yang dapat berfungsi sebagai suatu eksponen dalam predikat bagi sesuatu ayat. Kata kerja tersebut adalah inti dan boleh didahului dengan satu atau lebih kata bantu.

Manakala menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2007), frasa kerja mempunyai sekurang-kurangnya satu kata atau sekumpulan perkataan yang perkataan utamanya terdiri daripada kata kerja. Frasa kerja ialah satu daripada konstituen utama dalam binaan ayat.

Kata kerja merupakan kata inti yang wajib ada dalam sesebuah frasa kerja. Jadi, menurut Ahmad Khair Mohd Nor (2012), dari segi makna, kata kerja ialah kata yang merujuk kepada perbuatan atau sesuatu yang dilakukan. Manakala dalam tatabahasa Dewan (2008), kata kerja ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja.



3.0 BATASAN KAJIAN

Dalam batasan kajian ini, fokus yang dibuat adalah kepada bentuk binaan frasa kerja. Binaan frasa kerja terdiri daripada 2 jenis iaitu frasa kerja yang tidak mengandungi objek iaitu kata kerja tak transitif dan frasa kerja yang mengandungi objek iaitu kata kerja transitif.

3.1 Binaan Frasa Kerja Tanpa Objek

Binaan frasa kerja tanpa objek ini akan dihadiri oleh kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif ialah sejenis kata kerja yang tidak perlu disambut oleh sebarang frasa nama sebagai objek untuk melengkapkannya. Kata kerja ini dapat dikenalpasti dengan melihat kepada imbuhan iaitu imbuhan me-, ber-, ber-...-an dan ter- (Arbak Othman, 1985). Terdapat 3 jenis kata kerja tak transitif iaitu :

a) Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap.

b) Kata kerja tak transitif berpelengkap

c) Kata kerja tak transitif berpenerang

3.1 a) Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap

Kata kerja ini sudah mempunyai makna yang sempurna dan mampu berdiri sendiri. Jadi, ia tidak memerlukan sebarang pelengkap. Namun, ia dapat diberikan keterangan selepasnya (Ahmad Khair Mohd Nor, 2007). Keterangan tersebut berfungsi sebagai maklumat tambahan. Keterangan biasanya terdiri dalam bentuk frasa sendi nama dan ia boleh digugurkan tanpa merosakkan ayat.

3.1 b) Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap

Kata kerja ini biasanya tidak mempunyai makna yang lengkap sekiranya tidak diikuti oleh unsur pelengkap. Ayat ini adalah tidak dapat dipasifkan kerana unsur tersebut bukanlah objek. Contoh kata kerja tak transitif berpelengkap adalah beransur, tinggal, menjadi, berbuat, ada, berbantalkan, bertilamkan dan sebagainya. Terdapat 3 jenis pelengkap yang dirumuskan oleh Nik Safiah Karim et al. Iaitu kata adjektif, frasa sendi nama dan kata nama. Hal ini telah disokong oleh Ahmad Khair Mohd Nor dengan menyatakan hal yang sama. Contoh akan dilihat di dalam dapatan kajian yang akan dibuat.

3.1 c) Kata Kerja Tak Transitif Berpenerang

Kata kerja tak transitif berpenerang pula dihadiri oleh kata nama. Kata nama sebagai penerang ini boleh ditiadakan tanpa merosakkan kesempurnaan makna bagi frasa kerja.

3.2 Binaan Frasa Kerja Dengan Objek

Binaan frasa kerja dengan objek ini terbentuk dengan kehadiran kata kerja transitif sebagai inti dan diikuti frasa nama sebagai objek atau penyambut. Cara untuk mengenalpasti ayat ini adalah dengan melihat kepada imbuhannya. Imbuhan kata kerja transitif adalah meN-, mempeR-, meN-...-kan, meN-...-i, mempeR-...-kan, dan mempeR-...-i (Ahmad Khair Mohd Nor, 2007). Arbak bin Othman juga ada menyebutkan sepertimana imbuhan tersebut dalam proses mengenalpasti kata kerja transitif dengan menyatakan bahawa kata kerja jenis ini biasanya diterbitkan oleh awalan me-. Menurut Nik Safiah Karim et. al., ayat ini boleh dipasifkan. Ia dapat dipecahkan kepada 2 jenis iaitu frasa kerja yang mengandungi satu objek dan frasa kerja yang mengandungi dua objek.

3.2 a) Frasa Kerja Dengan Satu Objek

Sebagai contohnya, saya menjawab surat itu. Surat adalah objek bagi frasa kerja tersebut. Terdapat juga sejumlah perkataan yang berbentuk kata kerja tetapi membawa makna adjektif. Ia boleh menerima kata penguat, dan frasa nama yang mengikutinya boleh digugurkan (Nik Safiah Karim et. al, 2004). Contohnya, Filem itu sungguh menyeramkan (kami). Menyeramkan adalah adjektif dan kami pula boleh digugurkan tanpa mencacatkan frasa.

3.2.b) Frasa Kerja Dengan Dua Objek

Objek-objek yang berada di dalam frasa kerja dengan dua objek adalah dikenali sebagai objek tepat dan objek sipi (Nik Safiah Karim et. al, 2004). Objek tepat ialah objek yang menjadi penyambut secara langsung kepada kata kerja dan objek sipi ialah objek yang tidak menjadi penyambut secara langsung kepada kata kerja. Contohnya, Ahmad menghadiahkan buku kepada Ali. Ayat ini boleh diubah kepada Ahmad menghadiahi Ali buku. Objek tepat adalah Ali dan objek sipi adalah buku. Apabila ia dipasifkan, hanya frasa nama yang menjadi objek tepat yang akan mengalami penjudulan, iaitu unsur yang diterangkan.

3.3 Frasa Kerja Dengan Kata Bantu

Kata bantu menerangkan kata kerja dari dua sudut makna, iaitu mengikut makna yang didukung oleh kedua-dua jenis kata bantu iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam. Kata bantu aspek dapat dilihat secara ringkat seperti berikut :

Kata Bantu Aspek 

Sudah Dilakukan 
sudah
telah
pernah

Sedang Dilakukan 
Sedang
masih 

Belum Dilakukan
Belum
akan

Manakala kata bantu ragam pula terdiri daripada hendak, mahu, harus, boleh, dapat dan mesti.

3.4 Frasa Kerja Dengan Ayat Komplemen

Frasa kerja yang menerima ayat komplemen akan membentuk ayat majmuk (Nik Safiah Karim et. al, 2004).

3.5 Unsur Keterangan Dalam Frasa Kerja

Unsur keterangan berfungsi sebagai penerangan yang lebih lanjut lagi bagi menerangkan kata kerja.Terdapat 8 jenis unsure keterangan iaitu keterangan tempat atau arah (di, ke, dari, daripada, kepada dan pada), keterangan waktu (pada, dalam, sejak, hingga, semalam dan dua dekad yang lalu), keterangan cara (kata adjektif dan juga dengan), keterangan tujuan atau harapan (demi, untuk dan bagi), keterangan alat (dengan), keterangan penyertaan (dengan), keterangan hal (tentang, mengenai dan terhadap), dan keterangan bagai (seperti, bagai, sebagai dan bak).

4.0 DAPATAN KAJIAN

Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap

a) Kesan PnD adalah amat buruk tetapi sebenarnya boleh dielakkan.

b) ... tetapi penyakit tersebut boleh dicegah.

c) " Pfizer telah bekerjasama dengan beberapa buah negara dari seluruh dunia...

Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap

a) ...berusaha menjadi daya penggerak demi meningkatkan tahap kesihatan semua kanak-kanak di Malaysia," ujarnya.

b) ... ibu bapa berpeluang berganding bahu untuk tujuan murni dan ...

c) Penyakit ini menyebabkan Ashleigh meningitis dan seterusnya pekak sepenuhnya, sawan dan kurang upaya dari segi intelektual.

d) PnD merupakan penyakit...

Kata Kerja Tak Transitif Berpenerang
a) Ramai yang kurang prihatin terhadap masalah penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak.

b) ... kerana kira-kira dua juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati setiap tahun.

c) ... pembawa maut yang paling mudah berjangkit pada hari ini.

Kata Kerja Transitif

a) Dianggarkan seorang bayi meninggal dunia setiap seminit di seluruh dunia akibat jangkitan bakteria pneumokokus.

b) ...WHO menjelaskan, ia masih boleh dicegah dengan vaksin.

c) Dr. Musa memberitahu, ...

d) ...untuk mengurangkan penyakit dan kematian PnD.

e) "Menyedari hakikat ini, lebih 50 negara telah memperkenalkan Vaksin Konjugat Pneumokokus (PCV) dalam Program Imunisasi Kebangsaan termasuk di Hong Kong, Singapura dan Macau.

f) ... untuk mengasaskan program pencegahan penyakit PnD ...

g) ...bagi melindungi 22 juta kanak-kanak di seluruh dunia,"

h) ...katanya yang turut melancarkan sebuah laman web baru, www. abc4pneumococcal. com.

i) Laman web ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang PnD dan...

j) ... menekankan hakikat bahawa penyakit ini ...

k) ... ibu bapa boleh melindungi anak mereka daripada jangkitan.

l) ... ibu bapa dan individu digalakkan untuk menandatangani ikrar sokongan ...

m) ...bagi menyeru agar vaksinasi PnD disenaraikan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

n) ... Ashleigh menghidap penyakit pneumokokal ketika berusia enam bulan.

o) "Saya salah seorang daripada beribu-ribu ibu bapa dan keluarga yang mengalami kesan penyakit yang mengancam nyawa ini tetapi penyakit tersebut boleh dicegah.

p) Kita tidak harus mengekang kelantangan suara kita apabila berusaha mewujudkan masyarakat yang selamat dan sihat.

q) Dengan menandatangani ikrar ini,...

r) Perkara ini harus dipandang serius ...

s) ...boleh dicegah menerusi vaksinasi.

t) ...imunisasi melalui suntikan vaksin boleh dianggap sebagai cara paling cekap dan menjimatkan kos ...

u) “Kita perlu mendidik ibu bapa dan orang ramai...

v) ...tentang cara melindungi kanak-kanak daripada penyakit.


5.0 KESIMPULAN

Kesimpulan yang dapat dibuat berdasarkan kajian ini adalah penulis telah menggunakan ayat yang mudah dan ringkas di dalam artikel yang dibuat dengan menggunakan kata kerja yang jelas dilihat di dalam kategori-kategori yang telah disenaraikan di atas. Didapati bahawa kata kerja telah memainkan peranan yang penting dalam pengolahan penulisan oleh penulis dalam menyiapkan artikel tersebut. Kesalahan dalam penggunaan kata kerja dapat menyukarkan kefahaman audience dalam pembacaan lantas menyebabkan ketidakmahuan audience untuk meneruskan pembacaan tersebut. Jadi, dapat disimpulkan bahawa binaan frasa kerja yang betul dapat membantu penulis dalam menyiapkan artikel dengan mudah, malah dapat memberi kemudahan dengan bahasa yang ringan kepada audience untuk membaca.



BIBLIOGRAFI

Ahmad Khair Mohd Nor. (2012). Pembentukan Kata Dalam Bahasa Melayu Edisi Baharu. : Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Arbak Bin Othman. (1985). Mengajar Tatabahasa. Selangor : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Haji Musa. (1993). Binaan dan Fungsi Perkataan Dalam Bahasa Melayu : Suatu Huraian dari Sudut Tatabahasa Generatif. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Md Isa bin Hassan. (1993). Frasa Kata Kerja Dalam Bahasa Melayu : Masalah Penggunaan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Yang Berkesan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim et. al. (2004). Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

2 comments: