nuffnang

Friday, May 31, 2013

Analisakan artikel yang bertajuk Islam di Malaysia: Kedatangan dan Perkembangan (Abad 7-20M) oleh Wan Hussein Azmi dalam Memperkatakan Mengenai Peranan Melaka dalam Perkembangan Islam di Nusantara



1.0 PENGENALAN

Artikel ini bertajuk Islam di Malaysia: Kedatangan dan Perkembangan (Abad 7-20M). Artikel oleh Wan Hussein Azmi diperolehi daripada buku Melaka dan sejarahnya (1982) daripada halaman 135 hingga halaman 157. Perpustakaan Penulisan artikel ini bertujuan untuk memberi gambaran secara ringkas mengenai sejarah kedatangan Islam dan perkembangannya di Malaysia sejak dari mula datangnya pada abad ke 7M hinggalah ke abad 20 Masihi. Melalui artikel ini pembaca akan mengetahui tentang kajian beliau mengenai sejarah kedatangan Islam dan perkembangannya di Malaysia dalam lingkungan abad ke 7M hingga 20M. Tajuk artikel ini telah dibahaskan oleh beliau melalui bukti jumpaan serta sudut pandangan daripada ahli-ahli sejarawan Islam dan Barat. Walau bagaimanapun, tugasan ini berfokus kepada peranan Melaka dalam perkembangan Islam di Nusantara.

2.0 RINGKASAN ARTIKEL

Melalui artikel ini, Wan Hussein Azmi telah mengkaji tentang kedatangan dan perkembangan Islam di Malaysia. Beliau telah menyatakan ketibaan dakwah Islam berdasarkan kepada pendapat sebelum dan selepas 1883M serta kedatangan Islam pada 977M dari Timur. Pendapat tentang kedatangan Islam sebelum tahun 1883M di kepulauan Melayu adalah secara langsung dari Semenanjung Tanah Arab dan selepas tahun 1883M adalah dari India manakala pada 977M iaitu pada abad ke 10M, Islam telah datang dari China ke Tanah Melayu. Beliau menjelaskan bahawa pendapat mengenai kedatangan Islam datang dari Semenanjung Tanah Arab adalah lebih kukuh melalui bukti perjalanan saudagar-saudagar yang telah memeluk Islam dari Arab ini sebelum tiba ke Asia Tenggara telah melalui banyak jalan bermula dengan jalan darat dari utara Parsi masuk ke Afganistan kemudian ke Canton di China terus ke kepulauan Melayu manakala melalui jalan laut ke Ceylon India terus ke kepulauan Melayu. Saudagar-saudagar Islam Arab ini telah melalui China dan India sebelum tiba di Malaysia. Oleh itu, daripada ketiga-tiga pendapat ini, beliau telah membuat kesimpulan bahawa agama Islam telah disebarkan dari ketiga-tiga tempat iaitu Semenanjung Tanah Arab, India dan China pada abad ke 7M dan berkembang pada abad ke 9M. Penyebar-penyebar Islam dari ketiga-tiga tempat ini seterusnya berjumpa di tempat yang sama bagi menjalankan hubungan perniagaan di Malaysia.

Menurut penulisan ini, Wan Hussein Azmi menyatakan tentang perkembangan Islamdi Malaysia bermula pada abad ke 9M sehingga ke 14M telah mencetuskan kepada kelahiran kerajaan-kerajaan Islam seperti Kelantan, Melaka dan Terengganu. Menurut beliau, kerajaan Islam Kelantan merupakan kerajan Islam pertama yang wujud di Malaysia iaitu pada pertengahan kedua abad ke 12M berdasarkan kepada bukti sekeping dinar emas dengan ditulis perkataan Arab yang dijumpai di Kelantan pada tahun 1914M. Pendapat beliau mengenai kerajaan Islam Terengganu pula yang wujud pada abad ke 14M adalah berdasarkan bukti jumpaan Batu Bersurat di Kuala Brang Terengganu berkenaan hukum Syara’. Menurut beliau lagi, jumpaan Batu Bersurat ini telah membuktikan bahawa negeri Terengganu merupakan salah satu pusat penyebaran Islam di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke 14M. Menurut beliau lagi, berdasarkan pendapat ahli sejarawan Indonesia berkenaan dengan Kerajaan Islam Melaka yang wujud pada abad ke 13M adalah akibat daripada perkahwinan, perdagangan, dan usaha Parameswara Iskandar Syah mengembangkan Islam di sekitar Tanah Melayu dan seterusnya memberi kesan kepada perkembangan Islam di Nusantara. Kerajaan Melaka terkenal dengan zaman kegemilangannya pada abad ke 15 telah mengalami zaman kejatuhan pada tahun 24 Ogos 1511M setelah dikalahkan oleh Portugis. Walau bagaimanapun, kejatuhan Melaka tidak menghalang perkembangan Islam di Nusantara sekaligus menggagalkan gerakan Kristianisasi. Keadaan ini berlaku kerana, kejatuhan Melaka telah melahirkan semangat jihad dalam kalangan pendakwah yang menyebabkan mereka meningkatkan usaha menyebarkan Dakwah Islamiah. Pada zaman penjajahan, Islam tersebar secara perlahan-lahan di Tanah Melayu melalui kegiatan pengajaran membaca Al-Quran, mendirikan sekolah agama rakyat peringkat rendah dan menengah, menubuhkan persatuan-persatuan Islam dan sebagainya.

Setelah Malaysia mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Islam diisytiharkan sebagai agama rasmi bagi negara Malaysia. Kegiatan-kegiatan keIslaman di Malaysia selepas merdeka dibahagikan kepada kegiatan bersifat rasmi dan kegiatan yang tidak bersifat rasmi. Kegiatan bersifat rasmi terbahagi kepada dua iaitu kegiatan kerajaaan pusat dan kegiatan Majlis-majlis Agama Islam di wilayah-wilayah. Kerajaaan pusat menyalurkan kegiatan keIslaman melalui agensi-agensi kerajaan iaitu Kementerian Penerangan (Radio dan Televisyen), Kementerian Pelajaran dan melalui Kemeterian Kemajuan Tanah dan Wilayah. Selain melalui agensi kerajaan, kerajaan turut menjalankan kegiatan keIslamannya sendiri untuk menghidupkan syiar Islam di Malaysia, antaranya ialah mengadakan Musabaqah Al-quran, menubuhkan Perbadanan Tabung Haji dan menubuhkan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama.

Kegiatan keIslaman di Malaysia yang tidak bersifat rami pula diselenggara oleh pihak bukan kerajaan iaitu kegiatan yang dijalankan oleh masyarakat Islam. Antara usaha yang dijalankan ialah menubuhkan persatuan-persatuan Dakwah Islamiah seperti Jami’ah Dakwah Islamiah Selangor, Persatuan Kebajikan Islam (PERKIM), Angkatan Belia Islam (ABIM) dan sebagainya. Persatuan-persatuan ini juga telah berjaya menarik masyarakat agama lain untuk memeluk Islam. Menurut penulis juga, bilangan orang yang memeluk Islam antara tahun 1970 hingga 1974 ialah sebanyak 71,915 orang. Sesungguhnya ramai orang bukan muslim memeluk Islam selepas merdeka dengan rela hati tanpa ada paksaan. Dengan cara inilah Islam berkembang di Malaysia khususnya dan di Nusantara umumnya semenjak dari mula tibanya Islam ke daerah ini.

3.0 PERANAN MELAKA DALAM PERKEMBANGAN ISLAM DI NUSANTARA

3.1 Peranan Melaka di dalam Perkembangan Islam di Nusantara: Menerusi perdagangan

Berdasarkan artikel yang diulas iaitu Islam di Malaysia Kedatangan dan Perkembangan oleh Wan Hussein Azmi, Melaka berperanan dalam memperkembangkan Islam di Nusantara dan salah satunya ialah menerusi aktiviti perdagangan dan hubungan perniagaan. Walaupun Melaka bukanlah merupakan negeri yang terawal menerima Islam di Nusantara, namun Melaka merupakan negeri yang paling menonjol dan memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Nusantara terutama pada abad ke-15 dan 16.[1]

Melaka merupakan pusat perdagangan terpenting di Nusantara pada kurun ke-15 kerana kedudukannya di antara Lautan Hindi dengan China. Kedudukannya yang berada di tengah-tengah laluan timur dan barat memudahkan hasil-hasil dari kepulauan Melayu dibawa dan dikumpulkan di sini. Dalam catatan Sulalatus Salatin, sejak zaman Sultan Muhammad Syah wilayah kekuasaan Melaka begitu luas sehingga meliputi Bruas Ujung Karang di barat dan Terengganu di Timur.[2] Melaka berkembang menjadi kuasa dan empayar kelautan yang agung dan gagah sehingga telah mengatasi kerajaan di pantai timur Sumatera seperti Haru, Jambi, Pedir dan Samudera-Pasai. Seterusnya pelabuhan Melaka juga mencapai taraf perdagangan antarabangsa dan menjadi tumpuan pedagang-pedagang Islam dan bukan Islam dari Arab, parsi, India, China, Champa dan Pulau Ryukyu di Jepun.

Kepesatan aktiviti perdagangan di Melaka mendorong kepada perkembangan Islam di Nusantara. Di samping menjalankan aktiviti perdagangan, pedagang-pedagang Islam juga telah memperkenalkan agama Islam yang dianuti oleh mereka kepada penduduk tempatan dan juga para pedagang bukan Islam yang turut berdagang di Melaka. Sifat-sifat mulia, keperibadian yang tinggi dan amalan-amalan agama yang dilakukan oleh pedagang-pedagang Islam telah menarik minat pemerintah, pembesar dan rakyat jelata Melaka untuk menerima agama yang dibawa oleh mereka.[3]

Setelah agama Islam berkembang di Melaka, pentadbiran Melaka mula memberi layanan yang istimewa kepada pedagang-pedagang Islam. Ini menyebabkan ramai pedagang bukan Islam cenderung untuk memeluk agama Islam. Oleh sebab itu atas kepentingan perdagangan dan jalan dagang itu sendiri, pedagang-pedagang yang singgah ke Melaka turut berdakwah atas dorongan daripada pemerintah Melaka dengan menggunakan pelabuhan-pelabuhan pantai dari utara Jawa, Maluku, Palembang, tanjung Pura, Gerisek di Jawa, Puntianak di Kalimantan, Sulawesi dan lain-lain tempat lagi di Nusantara.

Selain itu, dalam melaksanakan urusan perniagaan, undang-undang berjual beli yang diamalkan di Melaka adalah juga berlandaskan undang-undang Islam. Umpamanya, Islam melarang amalan riba atau keuntungan berlipat kali ganda daripada pusingan modal yang sebenarnya. Hukum ini adalah untuk membataskan sifat tamak atau kecenderungan mengambil keuntungan berlebihan dan pembeli pula dapat dilindungi. ‘Muamalat’ Islam berhubung dengan soal tersebut ada terkandung dalam Fasal 30 Hukum Kanun Melaka.

Seterusnya, hukum Islam ada mensyaratkan supaya semua maklumat atau butir hutang dicatatkan dengan disaksikan oleh dua orang lelaki. Ini bertujuan untuk mengelakkan kesulitan dan perbalahan pada masa depan. Barang-barang yang diperniagakan mestilah barang-barang yang suci, berguna dan bukan barangan haram. Fasal 30 Hukum Kanun Melaka ada menentukan barang-barang yang boleh diperniagakan serta yang dilarang oleh Islam seperti arak, babi, anjing dan tuak. 48 Amalan membayar zakat turut diperkenalkan di Melaka. Amalan ini mewujudkan hubungan yang erat sesama umat Islam dalam kalangan rakyat. Semua ciri tersebut merupakan ciri-ciri ekonomi Islam seperti yang disarankan dalam al-Quran. Pengurusan perdagangan yang lancar dan terjamin dengan menggunakan hukum Islam ini telah menggalakkan lagi para pedagang bukan Islam di Melaka untuk memeluk Islam sebagai agama seterusnya menyebarkan agama Islam ke tempat asal mereka.

Oleh sebab Melaka menjalinkan hubungan perniagaan di daerah-daerah di Nusantara sejak sebelum kedatangan Islam ke Melala lagi, maka secara tidak langsung boleh dikatakan bahawa hubungan perdagangan antara daerah-daerah ini telah memperlihatkan peranan Melaka dalam penyebaran Islam di Nusantara.

3.2) Kestabilan Politik Dan Hubungan Antarabangsa

Dengan merujuk artikel yang dikarang oleh Wan Hussein Azmi berkaitan Islam di Malaysia: Kedatangan dan Perkembangan dan memfokuskan kepada perkembangan Islam di Melaka, faktor kestabilan politik Kerajaan Islam Melaka telah berjaya menyebabkan Melaka berperanan penting dalam perkembangan Islam di Nusantara. Hal ini dapat dilihat ketika zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah dan Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Sultan Mansur Syah telah mengirimkan beberapa perutusan persahabatan ke negeri-negeri lain di Asia Tenggara. Sulalatus Salatin mengatakan utusan muhibah telah dikirimkan ke Goa(Sulawesi), Majapahit dan Siam. Kestabilan politik menyebabkan Melaka menjadi pelabuhan yang digemari dalam kalangan pedagang Islam dan bukan Islam. Malah, Kerajaan Kesultanan Melaka juga telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Islam dan bukan Islam seperti China dan Siam.[4] Disebabkan hubungan diplomatik yang baik inilah Melaka dapat meluaskan lagi pengaruh Islam ke seluruh Nusantara.

Sejak tahun 1403 hingga tahun 1521 lagi, hubungan antara Dinasti Ming dengan empayar Melaka sangat erat dan akrab. Dalam catatan sejarah, ada tiga orang raja Melaka yang melakukan lawatan diraja ke negeri China iaitu Parameswara, Megat Iskandar Syah dan Seri Maharaja,dan juga ada lima kerabat diraja Melaka melakukan misi persahabatan ke negeri China.[5] Hubungan diplomatik awal dengan China menyebabkan baginda telah dihadiahkan dengan ahli-ahli pertukangan dan arkitek China yang beragama Islam. Peristiwa ini menyebabkan Masjid-masjid di Melaka berbentuk seni bina China. Malah, Raja China dikatakan menghadiahkan puterinya Hang Li Po kepada Sultan Mansur Syah untuk dijadikan isteri. Hal inilah yang menyebabkan Puteri China serta pengiring-pengiringnya yang seramai 500 orang berjaya diIslamkan oleh baginda. Artikel ini juga mengatakan mengenai perkahwinan Hang Li Po dengan Sultan Mansur Syah. Secara tidak langsung ia telah mengeratkan lagi hubungan diplomatik Melaka dengan China. Perkahwinan antara seseorang raja dengan puteri-puteri raja di negeri jiran atau negeri taklukan meningkatkan lagi penyebaran ajaran Islam. Oleh kerana Melaka mengamalkan dasar berbaik-baik dengan kuasa-kuasa asing seperti Siam, Majapahit dan China, kedudukan politik, pentadbiran, ekonomi dan keselamatan Melaka semakin bertambah baik dan hal inilah yang menyebabkan Melaka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap perkembangan Islam sama ada di dalam mahupun luar negeri.Buktinya, Siam tidak mengancam lagi Melaka kerana Melaka mendapat perlindungan dan pengiktirafan daripada China. China ketika itu merupakan kuasa paling besar dan paling disegani di nusantara. Oleh yang demikian, Melaka bebas daripada ancaman kerajaan-kerajaan asing di Nusantara.

Apabila hubungan dengan Negara China mula renggang, Melaka yang menghadapi ancaman Siam tidak lagi takut kerana ketika itu kekuatan Melaka telah berjaya mengatasi kekuatan Siam. Atas nasihat Tun Perak, Sultan Mansur Syah menghantar utusan damai ke Siam iaitu Tun Telanai dan Menteri Jana Putera. Utusan ini disambut baik dan dianugerahkan seorang Puteri Raja Siam iaitu Onang Minang Hang kepada Sultan Mansur Syah.[6] Hal ini menunjukkan hubungan diplomatik dan dasar luar berbaik-baik dengan negara serantau dapat mengekalkan peranan Melaka dalam menyebarkan agama Islam tanpa diganggu oleh Siam dan mana-mana negeri luar serantau.

3.3) Melaka Mengembangkan Islam Ke Tanah Jajahan Takluk

Di samping itu, penulis turut menyatakan bahawa Melaka telah mengembangkan Islam di dalam kawasan yang di bawah takluknya. Melaka telah muncul sebagai sebuah negara penakluk di Nusantara pada zaman Bendahara Paduka Raja Tun Perak (1456 - 1498M). Di bawah pentadbiran Tun Perak, empayar Melaka berkembang dengan pesat sehingga beliau dianggap sebagai “Pembina Empayar”.Artikel Wan Hussein ada menyatakan bahawa kawasan taklukkan Melaka termasuklah Gugusan Pulau-Pulau Melayu. Kenyataan Wan Hussein ini disokong oleh Mohd Jamil Mukmin yang tercatat dalam penulisannya bahawa empayar Melaka meliputi Pahang, Terengganu, Kedah, Pattani, Johor, Kelantan, Kampar, Siak, Rokan, Inderagiri, Siantan, Kepulauan Riau-Lingga, Jambi dan lain-lain.[7] Melaui penaklukan ini, Islam telah disebarkan dan diterima baik oleh pemerintah-pemerintah negeri yang ditakluk atas sebab keselamatan nyawa, ingin mendapat pangkat, mengambil hati dan yang penting ialah kemurniaan agama Islam itu sendiri.[8] Hal ini menyebabkan perkembangan agama Islam tersebar luas di tanah yang ditakluk oleh Melaka. Melalui cara ini hubungan Melaka dengan tanah takluknya bertambah erat disebabkan mempunyai agama yang sama. Oleh itu, Melaka telah menjadi pusat penyebaran Islam di seluruh rantau Melayu. Artikel penulisan Wan Hussein Azmi yang menyatakan Melaka telah mengembangkan Islam di dalam kawasan di bawah takluknya tidak dapat disangkal lagi kerana banyak disokong oleh penulisan sejarahwan yang lain.

3.3.1 Penyebaran Islam ke Selangor

Di negeri Selangor, terdapat peninggalan awal tentang perkembangan Islam.Tiada fakta konkrit dan jelas menceritakan perkembangan Islam di Selangor sehinggalah kurun Masehi ke-15 yang melaporkan penyebaran Islam berlaku secara meluas bila sahaja Selangor menjadi jajahan takluk Kesultanan Melayu Melaka.Penyebaran Islam berlaku dengan meluas dan diteriman oleh rakyat Selangor kerana dibawah oleh ketua atau pemerintah yang dilantik oleh Kerajaan Melaka. Di masa Sultan Muzaffar memerintah Melaka (1445 – 1456M) Tun Perak, iaitu anak Bendahara Seri Wak Jawa dilantik menjadi Penghulu di Kelang atas permohonan orang-orang Kelang.Hal ini bermaka penyebaran Islam ke Selangor salah satu caranya adalah dibawa oleh Tun Perak kerana beliau telah dilantik menjadi penghulu di Kelang oleh Kerajaan Melaka. Hasil daripada penyebaran Islam di Selangor, terdapat banyak pembaharuan yang berlaku di Selangor termasuklah terdapat guru-guru agama dan kewujudan madrasah. Pada akhir abad ke 19, terdapat guru-guru agama yang terkenal seperti Haji Mahmud dari Kampung Baharu, Sabak Bernam, Kiyai Mansur daripada batu 38, serta Kiai Nawawi dan Haji Karie dari kampong Batu 36.Khusus di Sabak Bernam, Madrasah yang pertama kali didirikan ialah madrasah Awammiyah oleh Mohd Awam bin Mohd Rosdi. Dan sepanjang 1930-1940, telah berdirinya madrasah-madrasah yang lain yang juga berkembang dengan pesat.Penaklukan dan pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka ke atas Selangor merupakan proses penting dalam perkembangan Islam di Selangor. ini adalah kerana menerusi penaklukan, Kerajaan Melaka telah dapt menyalurkan fahaman agama yang mereka anuti kepada jajahan takluknya lebih-lebih lagi apabila ajaran Islam itu sendiri telah diterapkan dalam system pemerintahan sebagai sebahagian dari perundangan kehidupan seharian.[9]

3.3.2 Penyebaran Islam ke Johor

Dalam kurun Masehi yang ke-15, tempat-tempat dalam negeri Johor ini menjadi jajahan takluk dan seiring dengan ini penyebaran Islam dari Melaka mula berlaku secara meluas dengan pengaruh daripada Sultan-Sultan Melayu Melaka.Pada masa yang sama, Johor juga telah mempunyai hubungan yang rapat dengan Melaka. Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa ketua-ketua daerah di Johor dan juga penduduknya yang begitu jauh terasing di pedalaman telah memeluk Islam hasil secara langsung dari penerimaan agama Islam di Melaka.Antara Madrasah yang telah didirikan hasil daripada penerimaan Islam di Johor adalah Madrasah Haji Taib di Kampung Parit Jamil, Muar, yang pernah dibantu oleh tokoh reformis terkenal iaitu Syekh Muhammad Tahir Jalaluddin. Negeri Johor turut melaksanakan undang-undang Islam yang dipengaruhi oleh Undang-Undang Melaka sama ada secara langsung ataupun tidak langsung sehinggalah campur tangan Inggeris yang membantutukan penukaran undang-undang adat kepada undang-undang Islam. Sehubung dengan itu, bolehlah disimpulkan bahawa perkembangan agama Islam berlaku di Johor melalui proses pemerintahan Sultan Mansur Syah ( 1456-1477M) dan kemudiannya kedudukan agama Islam ini dikukuhkan lagi apabila Sultan Mahmud Syah membentuk Kerajaan Melayu Johor.

3.4 Kesungguhan Pemerintah Berdakwah

Wan Hussein Azmi juga menyatakan bahawa kesungguhan pemerintah Melaka berdakwah menyebabkan Melaka memainkan peranan yang penting kepada perkembangan Islam di Nusantara. Hal ini banyak membantu kelancaran perjalanan penyebaran dakwah yang baru berputik dan tersebar ke seluruh Melaka. Hal ini kerana Melaka merupakan sebuah emporium dan pusat perdagangan yang umumnya menerima para pedagang yang terdiri daripada saudagar-saudagar arab pada abad ke-15 dan awal abad ke-16. Kedatangan saudagar-saudagar yang membawa bersama aliran Islam sedikit sebanyak telah meningglakan kesan kepada Melaka dan bermulalah penyebaran agama ini dalam kalangan para pemerintah tertinggi. Kesungguhan pemerintah berdakwah menyebarkan Islam bermula apabila Parameswara Iskandar Syah yang telah membuka Melaka sekaligus telah membangunkan kerajaan Islam di Melaka dan beliau merasakan Islamlah yang mempunyai daya tahan untuk mendapat kemenangan dan pengaruh yang luas di bumi nusantara berbanding agama Hindu dan Buddha. Parameswara mula menganut Islam pada tahun 1414 masihi dan telah menukar nama kepada Megat Iskandar Shah. PengIslaman raja ini diikuti oleh pembesar-pembesar dan kemudian rakyat jelata. Hal ini menunjukkan peranan orang besar yang bersedia menggantikan kepercayaan , keyakinan dan pegangan hidunya selama ini kepada corak dan kebudayaan Islam setelah Islam yang dibawa masuk itu telah memperlihatkan kebenaran agama dan sangat diyakini.

Berdasarkan rujukan yang dilakukan dalam Peradaban Melayu dan Islam tulisan Dr. Ismail Hamid, sejarah melayu menyatakan terdahulu bahawa raja-raja dan golongan pembesar di Melaka yang mula menunjukkan minat yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan. Kesungguhan pemerintah dalam berdakwah dapat dibuktikan dengan tindakkan Sultan Mahmud Syah setelah beliau memeluk Islam , baginda telah mempelajari ilmu keagamaan daripada Sayid Abdul Aziz. Dalam era pemerintahan Sultan Mahmud juga, pegawai-pegawai tinggi kerajaan turut digalakkan untuk mempelajari agama Islam di bawah pimpinan Maulana Sadar Jahan.[10]

Ketika pemerintahan Sultan Mansur Syah di Melaka pula, kesungguhan beliau sebagai pemerintah Melaka dalam mengembangkan Islam adalah dengan usaha baginda yang gigih untuk mengkaji dan mempelajari kitab Dur al-Manzum dengan Maulana Abu Bakar sehingga menerima pujian dari Maulana Abu Bakar kerana kepintaran beliau dalam pengajian. Hal ini menunjukkan usaha para pemerintah untuk mendalami agama Islam secara sempurna bagi menggalakkan penyebaran Islam di dalam kerajaanya.Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah juga agama Islam berkembang dengan pesatnya. Ajaran tasawuf (sufi) berkembang dan diterima serta diguna pakai secara berleluasa. Menurut buku Sejarah Islam karya Mahayudin Hj. Yahya dan Ahmad Jelani Halimi, ada menyatakan pada era pemerintahan Sultan Mansur Syah juga, baginda telah meminta putera pelarian dari Cempa (Champa) yang datang memohon perlindungan di Melaka bersama orang-orangnya memeluk agama Islam.

Contoh lain yang dapat dilihat berkaitan kesungguhan pemerintah berdakwah dapat dibuktikan ketika Melaka di bawah pemerintahan Sultan Muzafar Shah (1446-1456M), baginda telah menggunakan kuasa politik untuk menyebarkan Islam dalam kerajaan Melaka pada ketika itu. Segala peraturan-peraturan pemerintahan di Melaka telah dipraktikkan dan diperkemaskan mengikut acuan yang dibenarkan dalam Islam.Ketika Melaka di tadbir dibawah pemerintahan Alauddin Riayat Syah yang naik menggantikkan takhta Mansur Syah yang mangkat pada tahun 1477 M, baginda digambarkan dalam Sulalatus Salatin sebagai seorang pemerintah yang alim dan sering menasihati putera baginda untuk mengutamakan Allah dalam segala urusan setelah kemangkatan beliau, takhta baginda diganti oleh puteranya Raja Mamad dengan memakai gelaran Sultan Mahmud Syah. Walawpun akhlak sultan Mahmud Syah ini tidak begitu baik,namun Islam masih terus berkembang subur di Melaka. Malah baginda sendiri pergi berguru kepada seorang Maulana Yusof.[11]

Dengan minat dan kesungguhan raja-raja Melaka kepada ilmu pengetahuan dan Islam itu sendiri menyebabkan Melaka telah berkembang menjadi pusat pengetahuan dan kebudayaan melayu Islam di kepulauan melayu. Kesungguhan para pemerintah Melaka yang pergi berdakwah dan menuntut ilmu banyak mempengaruhi perkembangan Islam di Melaka.

PENUTUP

Secara keseluruhannya, Kerajaan Islam Melaka memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan Islam di Nusantara melalui pelbagai cara seperti kestabilan politik dan hubungan antarabangsa, perdagangan, penaklukan ke atas wilayah sekitar dan perkahwinan. Namun, pada sekitar tahun 1511M Kerajaan Islam Melaka telah mengalami kejatuhan kerana serangan daripada Portugis yang menjadikan Melaka sebagai langkah pertama Portugis untuk mengahapuskan Islam di Nusantara. Walau bagaimanapun, kejatuhan Kerajaan Islam Melaka tidak berjaya menyekat perkembangan Islam di Nusantara kerana wujudnya semangat jihad dalam kalangan ulama yang terus melipat gandakan usaha menyebarkan Dakwah Islamiah di Nusantara. Buktinya, sehingga kini Islam masih menjadi agama utama di Asia Tenggara khususnya di Malaysia, Indonesia dan Selatan Thai.






[1] Mahyudin Yahya. (2001). Islam di Alam Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 15.


[2] Mahyudin Yahya. (1993). Sejarah Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 639.


[3] Mohd Jamil bin Mukim. (2004).Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Melaka: Institut kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP). Hlm. 81.


[4] Mohd.Jamil bin Mukmin.(2004). Melaka:Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Hlm 87.


[5] Liang Liji.(2009). Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad ke 15. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm 76.


[6] Mohd.Jamil bin Mukmin.(2004). Melaka:Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Hlm 63.


[7] Mohd Jamil Mukmin. (2004). Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Hlm 84.


[8].Mohd Jamil Mukmin. (2004). Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara . Hlm. 84.


[9] Mohd Jamil Mukmin. (2004). Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Hlm 90.


[10] Dr.Ismail Hamid. (1985). Peradaban Melayu dan Islam. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.Hlm. 30.


[11]Ibid.Hlm .641.

No comments:

Post a Comment