nuffnang

Thursday, June 13, 2013

BINCANGKAN PEMIKIRAN TOKOH-TOKOH BERIKUT : HERODOTUS THUCYDIDES ST. AUGUSTINE LEOPORD VON RANKE KARL MARX

PENGENALAN

            Pensejarahan atau historiografi bukanlah satu bidang yang baru dalam dunia intelektual, malahan bidang ini telah dikaji dan ditulis oleh sejarawan Barat sejak abad ke-5 sebelum masihi (SM). Historiogarfi ialah merujuk kepada hasil pengkajian dan penulisan sejarah. Ia tidak menekankan kepada pencatat sejarah sahaja, ia perlu juga menerangkan pemikiran dan pengaruh zamannya, ke atas hasil penulisannya tentang karya-karya lain yang bercorak sejarah semasa.

            Pensejarahan Barat dapat dibahagikan kepada tiga zaman iaitu zaman klasik, pertengahan dan moden. Pensejarahan zaman klasik bermula pada abad ke-5 sebelum masihi, pada zaman Yunani dan Rom. Sejarawan yang pertama dalam penulisan sejarah ialah Herootus dan Thucydides.

            Zaman pertengahan juga dikenali sebagai zaman Gelap. Pada ketika itu, masyarakat Eropah telah dikongkong oleh gereja yang mendomnasi pentadbiran kerajaan berdasarkan agama dan mereka cuba mempertahankan dogma-dogma tradisi tersebut. Terdapat banyak tulisan sejarah berbentuk teologi atau falsafah keagamaan yang dihasilkan oleh paderi-paderi kristian. Mereka menggunakan kitab Bible sebagai sumber rujukan utama. Tokoh terkenal pada masa ini ialah St. Augustine

            Zaman moden pula muncul pada abad ke-19. sejarawan pada masa ini mula melakukan penyelidikan dengan menggunakan kaedah moden dan kemudiannya mengambil idea baru bagi menyelesaiakan masalah-masalah mereka. Mereka telah membahagikan sejarah kepada pelbagai bidang dan menekankan fakta-fakta serta bukti yang bersifat objektif, Tokoh pada zaman ini ialah Leopord Von Ranke dan Karl Marx.[1]


HERODOTUS

BIODATA


            Herodotus dilahirkan kira-kira tahun 484 S.M di wilayah Halicarnassus iaitu Bodrum di Turki sekarang. Beliau dikatakan berketurunan daripada keluarga berpengaruh di wilayah tersebut tetapi disingkirkan oleh Lygdamis yang memerintah dengan kejam. Kemudian beliau meninggalkan Halicarnassus dan pergi ke usat perkembangan di negara Kota Athens. [2] Dari Negara Kota Athens beliau mula mengembara dan mengumpul maklumat bagi menulis bukunya yang terkenal iaitu Histories. Beliau dikenali sebagai Bapa Sejarah dan Antropologi oleh pengkaji-pengkaji sejarah. Beliau meninggal dunia pada tahun 424 S.M selepas meletusnya Perang Pelopenesia.

KARYA PENSEJARAHAN

Dalam karya pensejarahannnya dikatakan beliau telah menghasilkan sembilan buah buku. Buku-buku ini telah disalin semula oleh seorang penyalin yang membahagikannya kepada tiga bahagian besar. Bahagian pertama daripada tiga bahagian besar mengenai pemerintah-pemerintah Cyrus, Canbyses dan Kemahkotaan Darius di Parsi. [3] Bahagian pertama ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian yang kecil pula. Pertama, kebangkitan kejayaan-kejayaan empayar Parsi. Kedua, mengenai Eropah dan peristiwa pertempuran antara Parsi dan Yunani dan ketiga, Yunani dan kemenangannya ke atas Parsi. Manakala bahagian kedua daripada tiga besar ialah mengenai tentang pemerintahan Yertes. [4] Melalui karya inilah sejarah Perang Parsi yang berlaku pada tahun 478 S.M di pertempuran Salamis. Peperangan antara  kedua-dua pihak akhirnya dimenangi oleh tentera Athens. Namun Herodotus percaya bahawa peperangan bermula disebabkan pemberontokan pihak tentera Athens terhadap pemerintahan empayar Parsi yang diperintah oleh Danius I, di samping takdir Tuhan yang telah mengatur segala-galanya.

MOTIF PENULISAN
           
            Berkaitan motif penulisan pula, Herodotus telah mengusahakan pensejarahan itu secara bersendirian. Baginya pensejarahan itu adalah suatu yang timbul dari minat untuk membuat penyelidikan dan penulisan agar generasi akan datang tidak melupakannya. Kajian-kajian ke atasnya yang antara lain menganggap keobjektifan sikapnya dalam membicarakan perhubungan permusuhan, ataupun konflik berterusan, di antara kedua negara yang berlainan peradaban itu.[5] Menurut Stephen Usher, tiga motif yang nyata dalam mukadimah prasejarahnya ialah pertama Herodotus berminat untuk mangabdikan catatan-catatan mengenai tindakan-tindakan manusia, kedua ialah mengagungkan tindakan antara orang Yunani mahupun orang biadap yakni Parsi dan ketiga ialah memenuhi minat saintifik untuk mencari sebab berlaku pertelagahan yang berpanjangan di antara kedua peradaban ternama yang berhampiran kedudukannya.[6]

KAEDAH PENULISAN

            Dalam kaedah penulisan yang digunakan, Herodotus telah mengembara bagi mandapatkan sumber-sumbernya. Beliau mengembara bagi mendapatkan sumber-sumbernya. Beliau mengembara ke Negara-negara luar yang terlibat dengan Perang Parsi
seperti Mesir, Syria, Mesopotamia, Scythia, Cyrene dan juga bekas medan-medan pertempuran di antara Yunani dengan Parsi. Kaedah penyelidikan yang digunakan sedikit sebanyak sudah mempunyai ciri-ciri kaedah yang dianggap saintifik dan sikap yang agak kritis sumber-sumbernya. Khususnya sumber lisan, menguatkan lagi kedudukannya sebagai sejarawan.[7] Contohnya, beliau menyelidik dan mencari maklumat bertulis serta menemubual daripada saksi-saksi yang terlibat dengan Perang Parsi. Beliau juga melihat sendiri tempat berlakunya pertempuran I samping meninjau kehidupan dan kebudayaan negara itu. Di samping itu, beliau menulis dan  menceritakan hasil penyelidikan kepada masyarakatnya yang gemar mendengar kisah-kisah peperangan, kepahlawanan, kesakitan serta cerita-cerita dongeng. Pengaruh unsur sastera berupa puisi dan penglipur lara yang wujud dalam karyannya kerana beliau terpengaruh dengan karya Homer berupa epik ternama Iliad dan Odyssey. Beliau turut memasukkan unsure ‘ketentuan’ dalam penulisan kerana menganggap bahawa dewa-dewi atau Tuhan turut berperanan dalam proses pergerakan sejarah.

KELEMAHAN KARYA
            Antara kelemahan yang wujud dalam karya Herodotus ialah dari segi penyelidikan beliau menampakkan beberapa kelemahan. Sungguhpun beliau dikatakan oleh J.B Bury telah memperkenalkan prinsip kritikan dalam penyelidikan sejarah namun pengertian dan amalannya tidaklah begitu mendalam. [8] Misalnya beliau masih menerima sumber-sumber lisan yang berupa dogengan ataupun khayalan bagi menerangkan sesuatu peristiwa walaupun secara peribadi ia tidak mempercayainya.

            Menurut J.C Bottom, penulisan Herodotus “dipenuhi dengan data-data yang kerap menimbulkan kesangsian, walaupun mengagumkan, tentang geogfari dan juga manusia daripada zamannya, disulami dengan pelbagai kisah ngeri yang mustahil yang dipercayai.[9]

            Beliau juga dianggap sebagai pengarang ataupun “penglipur lara” yang telah mencetuskan tradisi Homer, terutamanya daripada segi stail, jalan cerita, penggunaan bahasa motif bagi menghiburkan hadirin dan pendengar. Atas alasan ini Herodatus dan pensejarahannya telah menerima kritikan yang tajam oleh Thucydides yang menganggapnya sebagai golongan ahli “logographoi” ( penglipur lara ) malah sebagai bapa pembohong.

            Kesimpulannya, Herodatus merupakan sejarawan pada zaman klasik yang juga dikenali sebagai bapa sejarah. Namun secara amnya bukanlah bererti pensejarahannya itu tidak mempunyai sebarang kelemahan yang ketara. Pensejarahan itu adalah merupakan titik tolak kepada satu lambang pensejarahan tradisi Eropah yang penting untuk pengkajian sumber sejarah pada masa kini.

THUCYDIDES

BIODATA


            Thucydides telah dilahirkan di antara tahun 470-460 SM, di Athens, daripada golongan orang yang berada serta berpengaruh di kalangan ahli-ahli politik pada ketika itu. Menjelang tahun 424 SM, ketika beliau berumur kira-kira 30 tahun, beliau telah menyandang jawatan strategoes ataupun general dalam pasukan Athens. Pada ketika itu, Perang Teloponesia itu baru sahaja bermula dan beliau diperintahkan memimpin sepasukan tentera bagi mempertahankan Amphi polis, iaitu di bahagian timur laut negaranya. Tetapi beliau telah gagal dalam melaksanakan tugas itu, lantas dihukum buang negeri. Sesetengah sejarawan mengatakan bahawa beliau melarikan diri kerana malu. Thucydides sebenarnya bercita-cita untuk menulis sejarah Perang Teloponesia sebaik sahaja ia meletus kerana suatu peristiwa besar yang patut diabadikan. Hukuman dibuang negeri yang dikenakan ke atasnya telah memberikan peluang untuk belia menulis sejarah perang tersebut. Dalam pada itu, hasil perlombongan emas dan perak kepunyaannya di Thrace telah memberikan sumber kewangan yang mencukupi bagi menampung kehidupan dan juga penyelidikannya. Beliau telah kembali semula ke Athens, selepas Athens dikalahkan oleh Sparta pada tahun 404SM. Beliau telah meninggal dunia di Thrace pada 399SM.[10]


HASIL KARYA

Hasil karya, beliau telah menulis buku tentang Perang Pelopponesia. Tulisan beliau telah merangkumi masa kira-kira dua puluh tahun. Buku yang ditulisnya terdiri daripada 8 jilid. Jilid I, merupakan pengenalan, manalaka 7 jilid yang lain adalah sejarah
peperangan tersebut sejak awal, hinggalah tahun 411SM. Jilid II, menceritakan serangan Thebes terhadap Platea, wabak yang melanda di Athens, pidato pengkebumian oleh Pricles dan kematiannya, dan serangan-serangan tentera laut Athens dibawah pimpinan Pharmio. Jilid III,menceritakan tentang pemberontakan Mytilene, Platea menyerah kalah, penghasutan di Coreyra, serangan Athens untuk pertama kali ke Sicily dan gerakan-gerakan Athens dibahagian barat laut. Jilid IV, memuatkan usaha-usaha dan cadangan pihak-pihak Sparta untuk berdamai, tetapi telah ditolak oleh Athens, kejayaan Athens menawan Tylos dan Sphacterian dan Pulau Cythera. Kejayaan Sparta dalam pertempuran Delium dibahagian barat laut. Jilid V pula menceritakan gerakan yang dibawa oleh Cleon membawa kematian dan termaktubnya perjanjian Micius dan kejayaan Athens menawan Melos. Jilid VI dan VII pula menceritakan keseluruhan ekspedisi ke Sicily. Manakala Jilid VIII, menceritakan peperangan yang disambung semula, sehinggalah tahun 411SM apabila usahanya terhenti secara tba-tiba. [11] Pemberhentiannya dengan tiba-tiba itu menimbulkan tanda tanya, kerana pada masa itu beliau masih hidup sehinggalah perang berakhir, salah satu kemungkinannya ialah beliau sedang membuat penyemakan semula penulisan yang telah dilaksanakan sambil memuatkan dialog-dialog dan pidato-pidato yang dirasakan perlu. [12] Namun demikian, karyanya itu tetap merupakan suatu hasil karya pensejarahan yang terbaik daripada segi penerangan terhadap sebab-sebab berlakunya peperangan.

MOTIF PENULISAN

Dari segi motif penulisan, beliau merupakan tokoh sezaman yang terlibat secara langsung dalam peprangan yang menjadi bidang kajiannya, Apa yang dituliskan atau yang dipersembahkan adalah suatu peristiwa, suatu kisah peperangan sebenar yang berlaku sezamannya. R.G Collingwood menganggapThucydides bersikap “anti-sejarah” kerana tidak menjelmakan atau menghidupkan harapan Herodatus, sebaliknya beliau lebih menumpukan kepada sejarah kontemporari. Karya beliau lebih bercorak empirik iaitu tidak mampu menghadapi arus nasionalisme Greek yang nyata lebih dominan.[13] Motif utamanya untuk menghasilkan karya pensejarahannya itu, iaitu untuk mewujudkan ataupun mendapatkan kebenaran sejarah itu dengan setepat-tepatnya. Beliau juga berpendapat bahawa sejarah sezaman itulah satu-satunya sejarah yang boleh ditulis dengan kebenaran kerana melaluinya sejarawan mempunyai peluang yang luas untuk memaparkan perkara-perkara atau peristiwa-peristiwa yang boleh dibuktikan kebenarannya.[14]

KAEDAH PENULISAN

Dalam menghasilkan karya pensejarahan terbaik, Thucydides telah menggunakan beberapa kaedah penulisan iaitu, sikap yang kritis. Beliau telah dikenali oleh para pengkajinya sebagai seorang sejarawan purba yang mementingkan ketepatan agar tidak terjerumus ke dalam tradisi dongeng dan juga “logographoi” yang lalu.[15] Tidak bersifat penglipur tetapi tegak, keras dan kasar.untuk mewujudkan pensejarahan yang besar serta tepat. Disebabkan keupayaan beliau mencari kebenaran sejarah berdasarkan bukti-bukti
yang benar dan bersikap kritikal, maka beliau dianggap sebagai pengasas sejarah berbentuk kritikal dan saintifik.[16]

            Beliau juga terpengaruh dengan golongan sofis dan Hippocrates. Sofis merupakan golongan bijak pandai yang bergerak dari sebuah bandar ke sebuah bandar mengajar segala ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh seorang negarawan dan ahli-ahli politik.[17] Ilmu yang berguna serta praktikal itu haruslah tepat dan benar. Atas pengaruh itulah Thucydides berhasrat menghasilkan karya pensejarahan yang saintifik dan maujud supaya ia kekal dan dapat digunakan selama-lamanya sebagai panduan kepada yang memerlukannya. Selain itu, beliau dipengaruhi oleh cara penerangan Hippocrates dalam menerangkan sesuatu peristiwa-peristiwa sejarahnya yang mementingkan ketepatan urutan-urutan. Oleh sebab itu juga, Collingwood menganggap beliau sebagai “bapa psikologis”. Cara penerangannya adalah berbentuk keperihalan yang kritis, tegas dan menumpu kepada apa yang ingin diterangkannya tanpa menggunakan bahasa yang berbunga-bunga.

            Beliau  mengunakan dua sumber dalam penghasilan pensejarahan iaitu, sumber lisan dan sumber bertulis. Melalui sumber lisan kebanyakannya didapati melalui pertanyaan, temuduga, ataupun perbualan sepanjang penyelidikannya itu. Manakala sumber bertulis sebahagian besar adalah terdiri daripada dokumen-dokumen yang
berkaitan yang boleh didapati pada ketika itu, umpamanya naskah-naskah perjanjian, ataupun arahan rasmi dan juga surat-surat.[18] Setiap sumber diperiksa dan dibandingkan untuk menentukan keutuhannya serta mengelakkan daripada sumber yang palsu.

            Beliau memuatkan unsur-unsur pidato bagi menjelaskan sesuatu peristiwa, mengukuhkan pandangan dan menerangkan sesuatu perkara pidato-pidatoyang dimuatkan tidaklah terdiri daripada pidato-pidato politik sahaja, tetapi terdapat pidato-pidato para panglima .perang, pengkebumian dan juga pidato-pidato perbahasan. Pidato seperti ini merupakan ciri-ciri yang lazim bagi pensejarahan tradisi orang Yunani. Ia adalah sebahagian daripada cara ia menyatakan kebenaran dan ketepatan sejarahnya, iaitu tanpa melakukan kenyataan yang umum seperti yang dilakukan oleh sejarawan moden.[19]

KELEMAHAN KARYA

            Dalam karya pensejarahan Thucydides terdapat juga kelemahan penulisannya. Dari sudut penggunaan sumber lisan dan bertulis, beliau menyatakan kesukaran dalam menentukan fakta-fakta. Ini merupakan suatu kelemahan perkaedahan dari sudut pensejarahan moden, tetapi beliau menulis dalam zaman yang jauh berbeza dari zaman lahitrnya serta berkembangnya pensejarahan moden. Baginya, pensejarahan itu tidaklah sekali-kali didasarkan kepada sumber yang mula-muka didapati tetapi sebahagiannya pula kepada apa yang disaksikannya oleh orang lain yang ketepatan laporannya akan sentiasa diuji dengan cara terperinci.[20]

            Manakala dari sudut sumber pidato pula, pidato-pidato tersebut mengandungi lebih banyak imaginasi dan bukannya sejarah, mengikut pandangan Grote. Nyatalah bahawa Thucydides juga tidak dapat memisahkan pensejarahan sepenuhnya daripada cirri-ciri dan bentuk pensejarahan tradisi secara am telah dikecamnya sebagai digenangi oleh dongeng-dongeng yang karut.[21]

            Beliau mengemukakan konsep “tyche” ataupun nasib dalam menerangkan beberapa perkara yang dilihatnya tidak dapat diterangkan daripada sudut tindak tanduk manusia semata-mata. Contohnya, beliau membicarakan tentang wabak yang melanda di Athens, beliau tidak menerangkan tentang ubat-ubatan atau cara mengatasinya tetapi penyembuhannya adalah bergantung kepada nasib daripada rawatan tersebut.

            Sesetengah pengkritik pula menganggap beliau telah menyempitkan lapangan sejarah itu kepada gejala politik dan ketenteraan sahaja. Beliau tidak menghiraukan kepentingan dokongan-dokongan budaya, sosial dan ekonomi yang lebih mendalam dalam sejarah.

            Walau bagaimanapun, apa yang dapat dirumuskan di sini ialah, sebagai seorang sejarawan Thucydides telah melaksanakan dan menghasilkan pensejarahan dengan cara yang paling baik jika dibandingkan dengan keadaan yang wujud pada ketika itu. Selainitu, pensejarahan yang dibuat oleh Thucydides juga menggambarkan hubungan dan timbal balik di antara kepentingan sejarah dengan kepentingan sejarawan berkaitan dengan pensejarahannya, dan beliau berjaya memenuhi tuntutan itu dengan jayanya

AURELIUS AUGUSTINUS

BIODATA

Nama sebenarnya ialah Aurelius Augustinus tetapi dalam dunia pensejarahan dan juga keagamaan beliau dikenali sebagai St. Augustina yang berasal dari Hippo. Beliau dilahirkan pada T.M 354 di Thagaste dan meninggal dunia pada T.M 430 di Hippo ketika bandar itu berada dalam kepungan suku kaum randal. [22] Ibu beliau bernama Monica yang berpegang teguh kepada ajaran agam Kristian manakala bapanya pula masih menganut kepercayaan tradisi pada masa ini. Pada masa kecilnya, beliau belum menganut agama Kristian. Beliau hanya memeluk agama Kristian pada usianya 32tahun iaitu bermula pada T.M 387 melalui pengaruh dan penghujahan biskop Ambrose sewaktu di Milan. Beliau menerima pendidikan awal di Madura dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Yunani. Selepas itu, beliau menyambung pengajaran di Carthage dalam retorika. Pada usia 19 tahun, beliau mula membaca karangan-karangan yang ditulis oleh Ucero yang merupakan negarawan dan pemidato Rumawi yang terkenal pada masa tersebut. Akibat daripada minat beliau dengan penerangan Cicero mengenai kebahagian hidup yang boleh dicapai dengan mengabdikan diri kepada usaha-usaha mencari ilmu dan mencapai kebijaksanaan, beliau telah menyertai kumpulan penganut ajaran Manichees. Setelah tamat pengajian beliau kembali ke Thagaste dan menjadi guru retorika di sana dan pada penghujung tahun 1370-an beliau mangambil keputusan untuk mangajar di Chartage pula. Pada tahun T.M 384, beliau dilantik menjadi pemidato umum di Milan. Di Milan, beliau bertemu dan bergaul dengan paderi-paderi agama Kristian. Oleh itu, pada zaman pertengahan ini beliau merupakan paderi yang terkenal pada zaman tersebut.

KARYA PENULISAN

St. Augustine menghasilkan dua karya yang terbesar, iaitu The Confessions dan The City of God. The Confessions terdiri daripada 13 jilid yang menceritakan tentang riwayat hidupnya sendiri sejak kecil sehinggalah beliau memeluk agama Kristian ketika berusia 32 tahun. Bahagian ini meliputi sebahagian besar daripada Confessions iaitu sebanyak 9 jilid. Dalam 9 jilid yang terawal ini juga menceritakan perihal kedua ibu bapanya dan juga mengenai kegiatan zaman-zaman remajanya yang dianggapnya telah menyeleweng daripada ajaran agama Kristian. Sesungguhnya semua itu dicatatkan oleh beliau dengan sewenang-wenangnya [23]. 4 jilid yang seterusnya pula memuatkan perbahasan-perbahasan yang bersifat keagamaan. Dalam karyanya The City of God mengandungi sebanyak 22 jilid yang menceritakan mengenai hal ehwal manusia yang tinggal dalam dua kota yang berbeza iaitu kota Tuhan dan kota Syaitan[24]. Karya ini menceritakan bagaimana dan mengapa manusia boleh menjadi penghuni salah satu daripada kota tersebut dan bagaimana kehidupan yang terdapat dalam kota-kota yang berkenaan. Kota Tuhan itu melambangkan manusia atau masyarakat yang beriman kepada Tuhan dan taat kepada hokum-hukum agama manakala kota Syaitan merujuk kepada manusia atau masyarakat yang tidak beriman dan ingkar kepada ajaran-ajaran agama.

Tujuan St. Augustine menghasilkan kedua-dua karya yang terbesar iaitu The Confessions dan The City Of God bukanlah untuk menghasilkan pensejarahan yang berwibawa tetapi untuk memenuhi maksud keagamaan. The Confession ditulis bagi mencari kebenaran yang berlandaskan agama kristian manakala karyanya The God Of City pula dihasilkan demi mempertahankan daripada cemaran-cemaran dan tohmahan-tohmahan orang jahil.[25] Orang Pagan menuduh orang Kristian yang menyembah tuhan menyebabkan keruntuhan Empayar Rumawi di tangan suku kaum Vandal, Alan, dan Serevi kerana penganut agama kristian enggan menyembah dewa-dewa purba yang diagumg-agungkan dalam zaman Yunani dan Rumawi sebelum kedatangan Kristaian.[26]

KAEDAH KAJIAN
            Kaedah kajian beliau tidak sama dengan dan teknik penyelidikan sejarah yang telah dilaksanakan oleh sejarawan sekular seperti sejarawan Yunani –Rumawi dahulu. Beliau telah menggunakan sumber kajian sejarahnya yang pertama dan utama iaitu kitab Bible. Sumber-sumber lain, seperti penulisan-penulisan berbentuk falsafah dari Rumawi misalnya digunakan sebagai sumber  rujukan bagi penghujahan intelek.Bagi St.Augustine sumber-sumber ang digunakan tidaklah dipilih dengan bebas tetapi dipilih mengikut kesesuaian dengan tuntutan agama Kristian.

MOTIF PENULISAN

 St.Augustine mengkaji sejarah demi kepentingan keagamaan dan demi mengukuhkan keimanannya.Oleh yang demikian,beliau melihat sejarah itu daripada sudut keagamaan dan menerangkan prosesnya daripada sudut tersebut. Dengan kata lain,tujuan kajian dan kaedah penerangan yang  digunakan harus disesuaikan dengan tuntutan keagamaannya.Bagi beliausejarah merupakan proses yang diatur oleh.Oleh itu, penerangannya perlu dilakukan mengikut garis-garisyang telah diwahyukan oleh Tuhan.



LEOPOLD VON RANKE

BIODATA
           
Leopold von Ranke dilahirkan pada 21 Disember 195 di daerah Wieche, Saxony. Beliau merupakan antara tokoh yang membawa kepada perkembangan dalam bidang persejarahan dunia Barat sehingga sejarah menjadi sector disiplin ilmu moden. Beliau meninggal dunia pada usia 91 tahun pada 23 Mei 1886. beliau memulakan pendidikan di Sekolah Menengah Schulforta dan kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Leipsic dalam bidang teologi dengan penghuraian terhadap teks-teks lama.seterusnya, beliau menjadi guru di salah sebuah sekolah menengah di Krankfurt dan berkhidmat selama tujuh tahun di situ iaitu dari tahun 1818 sehingga 1825. selepas menghasilkan karya pensejarahan beliau yang pertama berjudul Sejarah Bangsa-bangsa Latin di Tentonic:1494-1514, beliau telah dilantik menjadi penolong professor di Universiti Berlin dalam bidang sejarah. Namun demikian, pada ketika beliau berusia 82 tahun, beliau telah memulakan usaha untuk menulis apa yang dianggapnya sebagai ‘sejarah dunia’. Hakikatnya ‘sejarah dunia’ yang dimaksudkannya itu hanyalah merupakan sejarah Eropah dalam jangka waktu yang telah dinyatakan di negara-negara lain di dunia hanyalah disentuh seolah-olah seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.

KARYA PENULISAN

            Dianggarkan Ranke telah menghasilkan sebanyak 63 jilid penulisan sejarah yang sebahagiannya merupakan karya-karya pensejarahan yang tinggi nilai kesejarahannya.[27] Antara karyanya yang terawal berjudul Sejarah Bangsa-bangsa Latin di Tentonic:1494-1514. Seterusnya beliau menghasilkan karya-karya yang panjang pada pertengahan tahun 1830-an. Pada tahun 1840-an, beliau telah menghasilkan dua karya yang terbaik iaitu Sejarah Paus-paus(1834-1836) dan Sejarah Zaman Islah di Jerman(1839-1847). Seterusnya, Ranke menghasilkan pula Sejarah Prussia(1847-1848), Sejarah Perancis(1852-1856), dan Sejarah England(1859-1868). [28]Beliau telah menghasilkan karyanya yang terakhir pada usianya telah mengjangkau lapan puluhan iaitu ‘Sejarah Dunia’ yang berjaya dikajinya sehingga kurun ke-15. Karya beliau yang pertama dihasilkan merupakan sejarah politik dan hubungan diplomatik yang biasa sahaja[29]. Kebanyakan kajian beliau dalam karya-karyanya memberi penekanan dalam bidang sejarah politik dan kegiatan-kegiatan hubungan diplomatik. Dalam karyanya Sejarah Perancis, Sejarah England, Sejarah Prossia, dan Sejarah Jerman, beliau menganggap bahawa landasan-landasan politik dan diplomasi itu merupakan landasan-landasan yang lumrah serta boleh dipraktikkan di mana-mana dan pada setiap tahap sejarah manusia. Selain itu, beliau juga ingin menganggapnya sebagai suatu bentuk hokum sejarah kerana beliau yakin bahawa tenaga pendorong yang unggul dalam perkembangan tokoh sejarah dapat disaksikan dalam kesedaran kebangsaan dan politik kuasa-kuasa besar yang berkenaan. Setiap karyanya juga mesti mengandungi masa lalu yang dikajinya, walaupun kebenaran itu tidak semestinya mutlak tetapi cukuplah sekiranya dapat dibuktikan sebagai menyerupai kebenaran masa lalu.

MOTIF PENULISAN

            Ranke menganggap bahawa peristiwa-peristiwa sejarah harus ditulis dan diceritakan dengan benar juga.Selain itu, beliau juga menganggap sejarah itu sebagai suatu tindakan daripada Tuhan yang Maha Berkuasa[30]. Bahkan, beliau juga menuntut agar sejarah itu dikaji dan ditulis dengan sebenar-benarnya kerana baginya tindakan Tuhan tidak wajar dipalsukan mahupun ditokok tambah oleh manusia. Oleh itu, untuk mendapatkan kebenaran sejarah itu, konsepnya adalah melalui pendidikan. Pengkajian sejarah didasarkan dengan penyelidikan terhadap sumber-sumber yang boleh digunakan bagi mentafsir atau memaparkan kembali peristiwa-peristiwa masa lalu itu. Sumber yang digunakan merupakan sumber-sumber utama yang terdiri daripada bahan-bahan ertulis yang terdapat dalam beberapa buah arkib di Eropah pada ketika itu. Bagi Ranke, sepucuk surat asal oleh seseorang tokoh bersejarah adalah lebih penting berbanding daripada penceritaan yang disampaikan oleh orang lain. Ertinya sesuatu dokumen yang asli itu adalah lebh penting daripada sumber kedua. Beliau telah menjadikan arkib sebagai gedung pensejarahan yang mesti didampingi oleh sejarawan-sejarawan dalam membuat penyelidikan masing-masing.


KELEMAHAN KARYA

            H.E.Barnes telah merumuskan empat kelemahan yang digunakan oleh Ranke dalam penyelidikan dan penulisan beliau. Antara kelemahan tersebut ialah kegagalan menggunakan keseluruhan sumber-sumber yang dapat diperolehi bagi tujuan kajiannya. Selain itu, beliau yjuga menganggap Ranke terlalu menekankan soal-soal politik dan tokoh-tokoh. Ranke yang dianggap terlalu taat kepada agama sehingga menyebabkan teori sejarahnya berbentuk ketuhanan. Bahkan H.E.Banes juga menganggap Ranke terlalu ghairah untuk menuliskan sejarah mengenai Luther, keluarga Hohenzolleru dan Prussia[31]. Secara umumnya, terdapat banyak kelemahan dalam penghasilan karya-karya beliau kerana terdapat unsure dualisme dalam proses perkembangan sejarah itu. Hal ini berlaku kerana di satu pihak beliau melihat proses sejarah itu daripada sudut ketuhanan tetapi di satu pihak yang lain pula beliau menekankan unsur politik, diplomasi dan ketokohan yang sekular sebagai unsur-unsur pendorong yang unggul bagi perkembangna sejarah sesuatu zaman. Selain itu, teknik penulisannya, ataupun persembahannya, seperti cara membuat nota kaki, pengaturan bibliografi dan sebagainya masih belum begitu teratur seperti yang didapati pada hari. Bahkan Ranke juga telah mengabaikan aliran-aliran yang lain disebabkan oleh penipuannya dalam bidang-bidang yang dianggapnya merangkumi keseluruhan sejarah masa lalu.[32]

            Kesimpulannya, sumbangan Von Ranke adalah amat besar dan tidak dapat dilupakan begitu sahaja. Sejarawan Eropah yang lain menganggapnya sebagai sejarawan yang paling ulung pada zaman moden ini bukan sahaja disebabkan beliau telah mengasaskan kajian yang saintifik terhadap sumber-sumber dan mempunyai sikap yang saksama yang tidak ada tolok bandingnya, tetapi disebabkan oleh kegigihan usahanya dan panjang usianya telah membolehkan menghasilkan karya-karya pensejarahan yang terbaru dan jumlahnya tidak dapat ditandingi oleh sejarawan lain. Ringkasnya di sebalik kelemahan dan kritikan yang telah disuarakan oleh para pengkajinya, beliau sesungguhnya telah memberikan sumbangan yang abadi dalam bidang pensejarahan moden Eropah.
KARL MARX


BIODATA
           
            Nama penuh Karl Marx ialah Karl Heinrich Marx, lahir pada 5 May 1818. Beliau berketurunan Yahudi dan dilahirkan di Trier, Prussia (Jerman). Merupakan seorang ahli falsafah , politik dan pakar teori kemasyarakatan Prussia. Marx mendapat pendidikan di Universiti Bonn pada 1833 dalam jurusan undang-undang namun disingkirkan kerana terlalu aktif dalam berparti. Beliau bertukar ke Universiti Friedrich-Wilhelms (Universiti Humbold) di Berlin pada 1834 yang telah menjurus Marx dalam bidang falsafah ‘Young Hegelians’ yang diketuai oleh Bruno Bauer yang mempertahankan siri Historical Dialectic yang menjadikan Marx sebagi radikal Hegelian Muda. Pada tahun 1842, Marx menceburi bidang kewartawanan dan menjadi penyunting penerbitan Rheinische Zeitung, akhbar radikal Cologne. Pada tahun 1843, Marx kembali ke bidang falsafah, aktif politik dan menjadi pemberita bebas selepas penerbitan tersebut ditutup kerana wujud pertelingkahan dengan kerajaan. Bekerjasama dengan Friedrich Engels yang menarik minat Marx kepada ekonomi dan memberi perhatian kepada ekonomi dan memberi perhatian kepada kelas pekerja. Marx telah meninggal dunia pada 14 March 1883.[33]

PENGARUH HEGEL DAN DIALEKTIK MATERIALISME

Satu percubaan yang lebih besar untuk melihat falsafah sejarah sebagi sesuatu yang saintifik yang telah dilakukan oleh Karl Marx pada pertengahan kurun ke-19. beliau terkenal dengan konsep fahaman kebendaan atau dialektik yang mana dikenali sebagai sosialisme atau komunisme bagi ideologi sosiopolitiknya yang baru itu.[34]Oleh sebab itu idea-idea yang dikemukakan oleh Marx juga diperkatakan oleh ahli-ahli fakir sebelumnya. Keistimewaan Marx ialah, beliau telah dapat memberi analisis dan sintesis yang logik berdasarkan proses pergerakan sejarah.

            Pengaruh Hegel dan Diakletik Materialisme. Teori proses pergerakan yang dikemukakan oleh Marx memang dipengaruhi oleh dialektik Hegel. Pada peringkat awal perkembangan, Marx memandang tinggi teori Falsafah Hegel itu. Tetapi disebabkan penekanan dan penegasannya terhadap konsep materialisme, iaitu menampakkan satu natijah yang sugguh berbeza daripada teori Hegel, maka beliau menafikan yang teorinya dipengaruhi oleh Hegel. Baginya sejarah adalah sesuatu yang berkembang terus-menerus disebabkan persengketaan di antara kelas-kelas masyarakat yang berebut sumber ekonomi. Kelas masyarakat yang berjaya menguasai ekonomi dapat memegang tampuk pimpinan negara. Di dalam penulisannya iaitu “Communist Manisfeto” (1847) falsafah sejarah bagi semua masyarakat wujud sampai kini adalah perjuangan kelas.

            Manusia bebas dan hamba, golongan bangsawan dan rakyat, tuan tanah dan hambanya yang menindas dan tertindas sentiasa sahaja bertentangan antara satu sama lain. Mereka melaksanakan perjuangan terus menerus yang kadang kala tersembunyi dan kadang kala terbuka, yang setiap kali berakhir sama ada dengan pembentukan semula revelusioner bagi masyarakat.[35]

            Dengan ini, jelas bahawa yang menjadi pendorong utama perjuangan kelas untuk merebut penguasaan ekonomi yang dengan sendirinya menjelaskan konsep materialisme. Dengan hal yang demikian, proses perkembangan sejarah adalah berdasarkan oleh faktor-faktor ekonomi.

PERINGKAT PERKEMBANGAN SEJARAH

            Karl Marx telah membahagikan perkembangan sejarah Eropah kepada lima peringkat yang jelas. Pada peringkat permulaannya, manusia Eropah hidup dalam keadaan primitif dan seterusnya berkembang kepada peringkat kedua iaitu masyarakat hamba abdi. Daripada peringkat ini maka ia berkembang kepada peringkat yang ketiga iaitu feudalisme. Pada peringkat ini, masyarakat dianggap sudah agak sisitematik landas dikiranya sebagai tesis di dalam dialektik triadnya.[36] Daripada peringkat ini, masyarakat Eropah akan melahirkan dan berubah kepada kapitalisme dan akhirnya sosialisme dan komunisme. Peringkat feudalisme atau ‘tesis’ akan runtuh kerana keadaan serta keperluannya dengan sendirinya menimbulkan persengketaan dan pertentangan. Akan tetapi peringkat kapitalisme tidak kekal, kerana turut mengalami keruntuhan ataupun diruntuhkan. Persengketaan dan pertentangan timbul secara automatis yang akhirnya dan seterusnya akan meruntuhkan kapitalisme atau ‘antitesis’ itu. Runtuhnya ‘antitesis’ atau kapitalisme membuka jalan kepada tebentuknya ‘sintesis’ yang merupakan pangkat sosialisme. Seterusnya, komunisme iaitu satu system masyarakat yang dianggap ideal iaitu tidak wujud pelbagai kelas masyarakat. Pada masa ini, persengketaan dan pertentangan tidak lagi wujud dan pangkat itu kekal serta tidak berubah selama-lamanya.[37]

MOTIF PENULISAN

            Karl Marx adalah seorang aktivis revolusioner yang mengemukakan teori atau falsafahnya demi kepentingan ideologinya. Bagi membuktikan kebenaran teorinya, beliau telah merujuk kepada sejarah. Marx telah membina satu model falsafah dialektik triad dan kemudian mengisikannya dengan perkembangan sejarah Eropah sebagi usaha beliau membuktikan kesejarahan lantas kebenaran model tersebut. Sebenarnya Marx yelah menjadikan falsafah sejarahnya sebagai satu falsafah ideologi.

            Beliau juga menyatakan bahawa sejarahnya itu adalah saintifik.[38] Pada anggapannya ia memang berlaku sama ada di dalam sejarah atau pada masa yang akan dating dan ia adalah satu teori yang tepat serta tidak disangkal kebenaran dan logiknya atas hakikat bahawa ia adalah saintifik. Namun, anggapan beliau tidak boleh diterima secara keseluruhannya tentang kebenaran serta ketetapannya, sama ada yang merujuk masa silam apatah lagi kepada masa yang akan dating. Teori beliau juga tidaklah tepat sebenarnya atau saintifi, hakikat ini bukn sahaja ternyata pada peringkat akademik semata-mata tetapi lebih jelas lagi apabila ia telah dijadikan sebahagian daripada asas-asas ideologi peringkat politik atau negara.

KARYA PENULISAN

            Antara karya dan sumbangan Karl Marx ialah On The Jewish Questian iaitu penilaian terhadap Bauer dan kumpulan Hegelians Muda dan kritikan pada pendapat semasa mengenai hak awam dan kebebasan politik. The German Ideology iaitu kritikan mengenai falsafah Hegel dan Hegelians Muda. The Poverty of Philosophy (1847) kritikan mengenai fikiran sosialis Perancis. The Eighteen Brimaire of Lois Bonarparte (1852) pamphlet yang menganalisa tentang pengambil alihan Perancis oleh Napoleon. Capital : A Critique of Political Economy (1867) satu set himpunan Dass Kapital berkenaan dengan hasil pemikiran sejarah serta teori daripada Marx.

RUMUSAN
            Hakikatnya, terdapat sesetengah pemikiran sejarawan barat ini ada yang berunsurkan mitos, dongengan, pengaruh agama, ketepatan fakta atau kebenaran dan juga timbulnya idea menghasilkan teori sendiri dalam menghasilkan karya-karya pensejarahan. Kaedah-kaedah baru yang diperkenalkan oleh para sejarawan barat amat penting penggunaannya dalam penyelidikan sejarah pada masa kini. Kita juga haruslah menghargai karya-karya pensejarahan tradisi barat  kerana menjadi sumber kajian sejarah pada masa kini.

BIBLIOGRAFI
Arba’iyah Mohd .Noor.2002.Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
http:// id. Wikipedia.org/wiki/Karl-Marx.
Mohamed Yusof Hussain. 2002. Sejarah Falsafah Barat Moden. Karisma Publication Sdn Bhd.
Mohd.Yusof Ibrahim & Mahayudin Hj.1988.  Yahaya.Sejarawan Dan Pensejarahan Ketokohan Dan Karya. Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Muhd.Yusof Ibrahim. 2002. Ilmu sejarah.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.
R.Suntharalingam. 1985. Pengenalan Kepada Sejarah.Kuala Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn Bhd.
Stephen Usher.1969. The Historicans Of Greece and Rome. New York: Taplinger Publishing co.




[1] Arba’iyah Mohd Noor , Ilmu Sejarah dan PensejarahanKuala Lumpur ,2002, hlm.48-49
[2]  Stephen Usher, The Historians of Greece and Rome. Taplinger Publishing Co: New York, 1969, hlm. 34.
[3]  Mohd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Hj. Yahaya,Sejarawan dan Pensejarahan . Dewan Bahasa dan Pustaka: 1988,hlm.33
[4]  Ibid ,hlm.34
[5] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur, 2002, hlm.51.
[6]  Stephen Usher, The Historians of Greece and Rom. hlm.1 dan seterusnya hlm.5-17 .
[7] Ibid, hlm.54
[8]  J.B bury, The Ancient Greek Historius. hlm.69-71
[9] H.E. Barnes, A History of Historical Writing. hlm.88
[10]Mohd.Yusuf Ibrahim & Mahayudin Hj. Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya.Dewan Bahasa Dan Pustaka: Kuala Lumpur,1988,hlm .51
[11]  Stephen Usher, The Historian Of Greece and Rome. hlm. 24-25
[12] Ibid, hlm.22
[13] Ibid , hlm.22
[14]Mohd Yusof Ibrahim dan Mahayuddin Hj. Yahaya  Sejarah dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya . Dewan Bahasa dan Pustaka :Kuala Lumpur ,1988, hlm.52-53
[15] Ibid, hlm.54
[16]  Arba’iyah Mohd Noor , Ilmu Sejarah dan Pensejarahan . Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur, 2002 , hlm.64
[17] Mohd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Hj. Yahaya , Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya. Dewan Bahasa dan Pustaka :Kuala Lumpur, 1988, hlm.58-60  
[18] Ibid , hlm.66
[19] R. Suntharalingam , Pengenalan kepada Sejarah . Marican & Sons (M) Sdn. Bhd : Kuala Lumpur , 1985, hlm. 50
[20] Mohd Yusof Ibrahim dan Mahayuddin Hj. Yahaya , Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya . Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur, 1988, hlm.67
[21] Ibid, hlm.68
[22] Mohd Yusof Ibrahim dan Mahayuddin Hj. Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur, 1988, hlm.91-92
[23] Ibid, hlm.94-97
[24] H.E.Barnes, A History of Historical Writing, hlm.43
[25] Ibid, hlm.45
[26] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur, 2000, hlm.69
[27] Mohd Yusof  Ibrahim dan Mahayuddin Hj. Yahaya. Sejarawan dan Pensejarahan dan Ketokohan dan Karya. Dewan Bahasa dan Pustaka : 1988, hlm.72
[28] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur    1988, hlm..68
[29]Ibid., hlm.69
[30] http : // id. Wikipedia.org / wiki / Leopord Von Ranke.
[31] H.E.Barnes, A History of Historical Writing, hlm.46
[32] Mohd Yusof Ibrahim dan Mahayuddin  Hj. Yahaya , Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya. Dewan  Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur, 1988, hlm.77
[33] Mohammed Yusoff Hussain,  Pengenalan kepada Sejarah Falsafah Barat Moden. Karisma Publication Sdn. Bhd  : Shah Alam,  2002, hlm.74
[34] Muhd Yusof Ibrahim , Ilmu sejarah. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur, 2000, hlm.83
[35] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah. Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur, 2000, hlm.85.
[36] R. Suntharalingam , Pengenalan Kepada Sejarah. Marican & Sons (M) Sdn, Bhd : Kuala Lumpur , 1985, hlm. 75
[37] Ibid,  hlm.77
[38] http:// id. Wikipedia.org/wiki/Karl-Marx.

1 comment: