nuffnang

Thursday, June 13, 2013

MENGAPAKAH PENGADILAN MORAL TIDAK DAPAT DI PISAHKAN DI DALAM PENULISAN SEJARAH

Pendahuluan
Kepentingan dan penggunaan pengadilan moral dalam penulisan sejarah memang tidak dapat disangkal lagi berdasarkan faktor-faktor tertentu. Menurut Kamus Pelajar edisi Kedua, pengadilan memberi maksud mahkamah yang menjadi tempat pengadilan, dimana suatu keputusan dapat dicapai setelah mengadili sesuatu, cara mengadili atau menjadi sidang hakim ketika mengadili sesuatu perkara. Manakala moral pula begitu sinonim terhadap akhlak, budi pekerti, budi bahasa, kesopanan, kesantunan, sopan santun , ketertiban, adab dan abik perangai.
Manakala ahli sejarawan  barat iaitu Andrian Oldfield merumuskan bahawa pengadilan moral adalah berbentuk penilaian baik ataupun buruk dalam bentuk pujian atau kutukan yang dibuat berdasarkan peristiwa ataupun perlakuan seorang pelaku dalam sejarah seperti :
                        “…pengadilan moral terutama pengadilan moral berbentuk pujian atau
kutukan. Penyataan moral bergantung kepada perbezaan tahap samaada
                        baik atau buruk…”[1]
       Adrian Oldfield juga dalam rencananya yang bertajuk "Moral Judgements in History" menganggap bahawa masalah pengadilan moral tidak dapat dielakkan (inevitable) dalam penulisan sejarah.
Qasim Ahmad  pula menyatakan bahawa pengadilan moral merupakan perlakuan-perlakuan menjatuhkan hukuman, ataupun mengenakan penilaian tertentu, kepada suatu peristiwa sejarah atau kepada seseorang pelaku dalam sejarah.[2]  Manakala Abdul Rahman Haji Abdullah memerihalkan pengadilan moral adalah suatu peristiwa sejarah ataupun perbuatan atau perlakuan yang mendorong pernilaian yang memuji atau mengeji dengan menggunakan istilah seperti baik, kejam, jahat dan sebagainya bagi menunjukkan pujian ataupun kutukan serta label-label yang digunakan oleh media Barat terhadap golongan muslim seperti militant, fanatic, separatist, extremist dan sebagainya.
Ini kerana penyelidikan yang dijalankan akan dipengaruhi oleh  pengalaman serta latar belakang penulis yang akan mempengaruhi perasaan penulis. Dalam kes ini, penulis haruslah meletakkan diri mereka di luar ruang lingkup penyelidikannya dan perlu bersikap neutral tetapi tidak dapat dinafikan bahawa penulis secara semulajadinya akan menjatuhkan pengadilan moral terhadap sesuatu perkara tanpa disedari. Ini diterangkan oleh Muhd Yusof Ibrahim yang menyatakan bahawa 
Kemampuan untuk  berbuat demikian terletak pula kepada pengaruh yang membentuk pendirian dan pandangannya, yang diterimanya dari masyarakatnya, pelajarannya, pengalamannya, serta juga pemikirannya. Semua ini merupakan unsur-unsur yang merupakan tenaga pengaruh dalam penulisannya”[3]
Secara umumnya, pendirian ahli sejarahwan terhadap pengadilan moral mendorong kepada wujudnya dua aliran pemikiran iaitu aliran pemikiran konservertif dan juga aliran pemikiran progresif. Kedua-dua aliran ini mempunyai pendapat yang berbeza terhadap isu pengadilan moral. Aliran konservatif merupakan suatu aliran pemikiran yang menyokong dan menggunakan pengadilan moral dalam penulisan mereka. Manakala aliran pemikiran progresif pula menentang penggunaan pengadilan moral dalam penulisan mereka.
Golongan aliran pemikiran konservatif berpendapat bahawa penggunaan pengadilan moral dalam penulisan mereka dapat memudahkan pembaca atau masyarakat memahami sejarah atau peristiwa yang berlaku dengan lebih tepat. Antara sejarawan yang mempunyai aliran pemikiran konservatif ialah Voltaire, Lord Action, E.H Carr, Agnes, Livy, Arnold Toyabee dan Tatinus. Ahli sejarawan ini mengganggap pengadilan moral penting bagi menunjukkan perlakuan ataupun peristiwa dalam sejarah yang dapat memuji individu yang berjasa dan memalukan orang yang berdosa.[4] Ini dapat dilihat melalui pandangan Voltaire yang menyatakan bahawa penggunaan pengadilan moral dalam sejarah  dapat memerangi kejahatan seperti feudalisme, kekejaman dan keganasan.
Manakala Agnes pula menyatakan bahawa pengadilan moral adalah bertujuan untuk menilai orang melalui perlakuan individu tersebut yang bukan bertujuan untuk mengadili tetapi hanya untuk memperlihatkan keadaan yang berlaku sebenarnya.
Penggunaan unsur pengadilan moral dalam penulisan sejarah memang tidak dapat dielakkan dalam penulisan sejarah seperti yang telah nyatakan oleh Berlin dan Oldfield.[5] Jika pengadilan moral dikikiskan, Oldfield berpendapat bahawa “ sejarah tinggal tidak lebih daripada cerita”[6]

Kepentingan pengadilan moral dalam penulisan sejarah
Memberi gambaran tentang tingkah laku ataupun sikap manusia
Pengadilan moral yang dijatuhkan terhadap seseorang ataupun peristiwa sejarah adalah untuk menunjukan atau memberi gambaran awal terhadap sikap manusia. Ini dapat dilihat perkataan seperti kejam, ganas, mulia, suci dan sebagainya digunakan dalam penulisan yang mendorong kepada gambaran ataupun penilaian untuk memuji dan menyatakan kelemahan seseorang pelaku dalam sejarah.  Pengadilan moral yang yang dijatuhkan kepada pelaku ataupun peristiwa dalam sejarah terdiri daripada dua bahagian iaitu pengadilan sekular dan pengadilan teologi. Pengadilan sekular memerupakan pengadilan yang berunsurkan puji-pujian seperti terhadap apa yang berlaku oleh pelaku sejarah yang boleh diterima dan menunjukkan sifat yang terpuji dalam kalangan masyarakat  pada zaman tersebut. Manakala pengadilan teologi pula, ia melibatkan persoalan pahala dan dosa berdasarkan pandangan agama Islam.
Sejarahwan Mansor Abdullah telah memerihalkan pelaku iaitu Panglima Nayan yang berniat untuk membantu rakyat dengan cara mencuri dan membahagikan harta yang diperoleh dari hasil rompakan kepada rakyatnya. Ini dapat memperlihatkan bahawa Panglima Nayan merupakan seorang panglima yang memperjuangkan nasib orang miskin agar tidak ditindas dan diekspotasi tenaga oleh Orang Kaya.  Pengadilan yang berbentuk sekular dapat dilihat iaitu penulis mengatakan bahawa Panglima Nayan membantu orang miskin dengan memberi harta yang telah dirompak. Pengadilan moral yang telah dijatuhkan memperlihatkan pelaku mempunyai sikap yang terpuji walaupun telah mencuri dan merompak harta daripada pihak lain. Ini memperlihatkan penulis tidak bersikap bias terhadap pelaku dalam sejarah iaitu tidak mengutuk sikap pelaku sebaliknya memuji dan memperlihatkan sikap positif pelaku.
Contoh yang lain dapat dilihat adalah Herodotus telah memuji kemenangan Greek dalam pentempuran Marathon dan Salamis serta mengganggap Athens sebagai penyelamat negara-negara Greek tapi telah menuduh raja-raja Parsi sebagai seorang yang angkuh dan kejam.
Pernyataan yang telah dibuat oleh Herodotus telah menggambarkan bahawa raja-raja parsi yang merupakan golongan atasaan yang bersifat tidak berperikemanusiaan, raja yang zalim dan sebagainya. Ini dapat dilihat apabila Herodotus menjatuhkan pengadilan moral kepada raja-raja Parsi yang telah menggambarkan tentang tingkah laku raja tersebut melalui perkataan ‘angkuh dan kejam” yang telah dijatuhkan. Tafsiran yang dibuat oleh Herodotus memudahkan pembaca ataupun masyarakat menilai dan memahami sendiri peristiwa yang berlaku berdasarkan gambaran sikap dan perilaku pelaku dalam peristiwa sejarah.
Selain daripada itu, unsur berat sebelah dapat dielakkan dengan memasukkan unsur-unsur pengadilan moral. Ini dapat dilihat sendiri dalam penulisan Herodotus yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam penulisannya. Beliau telah menyatakan sendiri kebaikan dan keburukan pihak yang terlibat dengan niat tidak memasukkan unsur bias. Penglibatan unsur pengadilan moral dalam penulisan ini dapat menggelak daripada mengutuk dan menyatakan keburukkan satu pihak sahaja.




.
Menghindar daripada unsur bias iaitu memihak pada satu pihak sahaja.
Unsur bias ataupun berat sebelah memang tidak dapat dielakkan dalam penulisan sejarah. Ini terjadi akibat penulis tidak dapat mengawal diri dan tidak dapat meletakkan diri mereka di luar bidang kajiannya. Contohnya, dalam penulisan sejarah, penulis perlulah bersifat neutral agar tidak  mempengaruhi cara penulisan .Namun begitu, penulis atau ahli sejarahwan juga manusia yang mempunyai perasaan dan pendapat tersendiri terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Secara tidak lansung  atau tanpa disedari , penilaian atau pentafsiran terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku akan berlaku dengan menjatuhkan pengadilan moral.
Ini sekaligus dapat menghindari daripada penghasilan penulisan yang bersifat berat sebelah iaitu penulisan sejarah yang ditulis adalah bertentangan dengan kejadian atau peristiwa dan yang lebih tepat sekali ialah ia bertentangan dengan fakta dalam sejarah. Unsur pengadilan moral yang tidak digunakan dalam penulisan menyebabkan pihak dalam peristiwa sejarah dikutuk dan dianggap hina walaupun pada hakikatnya pihak tersebut tidak bersalah. Namun jika adanya penglibatan pengadilan moral dalam penulisan sejarah, peristiwa yang berlaku akan ditafsirkan dengan menerapkan nilai adil dalam penulisan tersebut agar semua pihak atau pelaku dalam peristiwa sejarah tersebut dapat dibela dan tidak dikutuk tanpa usul  periksa.
Ini dapat dilihat melalui tindakan Tun Sri Lanang yang telah menulis mengenai  sejarah raja-raja melayu dalam karyanya yang bertajuk ‘Sejarah Melayu’ yang hanya memaparkan kehebatan dan keagungan raja-raja melayu yang memerintah. Ini jelas sekali tidak memaparkan unsur-unsur negatif dalam penulisan beliau terhadap raja-raja melayu iaitu dalam erti kata yang lain beliau telah menyembunyikan fakta-fakta sejarah yang boleh memalukan dan memperkecilkan raja melayu. Tambahan pula ketika itu, Tun Sri Lanang merupakan Bendahara  yang begitu mementingkan dan menjaga prinsip ‘pantang rakyat derhaka raja’. Ini dapat memperlihatkan simbolik kepada nilai ketaatan yang ada dalam setiap diri rakyat yang perlu mengganggap raja sebagai individu yang mulia. Ini dapat disokong melalui  prinsip daulat[7] dan derhaka[8] yang mengatakan bahawa perintah ataupun arahan sultan perlu diikuti dan jika tidak sultan akan murka yang menyebabkan bala[9] akan menimpa  serta hukuman  dijalankan.
Secara logiknya, jika pengadilan moral tidak dapat digunakan dalam penulisan ini, sudah pastinya perbuatan golongan raja yang berunsur negatif akan diketahui dan dinyatakan. Ini akan menyebabkan rakyat yang selama ini menghormati raja telah hilang kepercayaan terhadap pemerintah tersebut. Kewujudan masyarakat yang anti kepada raja juga akan terbentuk. Dari sudut di zaman moden pula, pendedahan ini menyebabkan orang luar ataupun masyarakat mengganggap institusi raja merupakan  hanyalah pada nama “raja” dan mempunyai taraf yang sama dengan rakyat biasa. Peristiwa pengeboman bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun oleh British telah memperlihatkan unsur bias yang bersifat mengagungkan kuasa asing iaitu British oleh para sejarahwan. Ini kerana sejarahwan berpendapat bahawa British telah memusnahkan kuasa yang terkuat di Asia Tenggara bagi menjamin serta menjaga keamanan dunia. Antara kesan daripada perbuatan ini jelas dapat dilihat melalui pembunuhan atau mangsa pengeboman yang telah mengorbankan beribu-ribu mangsa yang tidak berdosa hanya kerana sifat ego kedua-dua pihak yang tidak mahu menyerah kalah. Melalui peristiwa ini, kita dapat melihat bahawa penulis hanya memuji dan mengagungkan pihak British yang dikatakan menjaga keamanan tanpa memikirkan kesan yang berlaku kepada Jepun yang telah mengalami kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa yang banyak. Pengadilan moral yang telah dijatuhkan menyebabkan pembaca mengganggap tindakan British mengebom Nagasaki dan Hiroshima adalah tindakan yang wajar. Kelakuan ataupun motif sebenar British telah disembunyikan oleh penulis bagi mengelakkan pembaca berfikiran negatif terhadap British.
Qassim Ahmad yang berpendapat bahawa karya Butterfield yang telah menjadikan ibu Hitler sebagai rujukan utama untuk menulis kisah mengenai Hitler. Ini dapat dilihat bahawa sudah semestinya seorang ibu akan menceritakan kebaikan anaknya sahaja. Namun, kenyataan sebenar telah disembunyikan oleh ibu Hitler iaitu Hilter telah membunuh orang yahudi dengan cara yang kejam iaitu mengurung mereka didalam bilik dan melepaskan gas beracun sehinggakan mereka meninggal dunia.[10]






Menjadi teladan dan pengajaran
Melalui penulisan ini, pengadilan moral perlu kerana pengadilan atau menjatuhkan hukuman terhadap pihak dalam peristiwa sejarah haruslah berdasarkann penyelidikan dan kajian sebelum membuat pengadilan. Ini dapat dilihat melalui karya Butterfield, ahli sejarahwan yang lain tidak perlu menerima pandangan beliau secara keseluruhan kerana ahli sejarahwan lain turut mempunyai pendapat tertentu. Ini kerana Butterfield memegang prinsip keobjektifan[11] dalam penulisannya. Unsur pengadilan moral memang tidak dapat dipisahkan dalam penulisan sejarah , ini kerana hukuman pengadilan moral yang dijatuhkan terhadap pelaku ataupun peristiwa sejarah akan memberi pengajaran kepada masyarakat akan datang. Ini kerana, sudah pastinya kesilapan pada masa lampau tidak ingin diulangi lagi. Namun begitu, seorang ahli sejarah perlu menjalankan penyelidikan secara terperinci dan mengumpul sumber yang boleh  dipercayai sebelum menjatuhkan pengadilan moral terhadap pelaku dalam peristiwa sejarah. Hal ini penting agar penulis dapat mentafsir dan tidak menerima sepenuhnya  sumber yang diperolehi ke rana terdapat sumber-sumber yang cenderung kepada unsur bias atau menceritakan sesuatu peristiwa secara objektifContoh peristiwa yang memberi pengajaran kepada masyarakat adalah peristiwa 13 Mei 1969. 
 Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 ialah rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan "Pilihan Raya Umum 1969" merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia. Akibat daripada kejadian ini, ramai orang yang menjadi mangsa rusuhan tersebut. Ini dapat melalui angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan serta211 kenderaan musnah. Tapi ramai telah menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD. daripada Universiti California, Berkeley menganggar seramai 20,000 orang hilang nyawa dalam peristiwa 13 Mei. [12] Statistik tidak rasmi menunjukkan jumlah kematian orang Melayu adalah 86 orang, Cina 342 orang dan lain-lain 3 orang. Statistik tersebut tidak begitu tepat kerana daripada kacamata orang ramai yang menjadi saksi, mereka melihat berderet-deret lori membawa mayat yang tidak sempurna ke balai polis Jalan Travers waktu itu.

Rajah 1: Polis dan tentera sedang mengawal Panggung Odeon yang menjadi sasaran rusuhan.




Rajah 2: Akibat daripada rusuhan maut tersebut, kesesakan jalanraya turut berlaku
Peristiwa ini memberikan kesan yang amat mendalam dalam diri masyarakat pada ketika itu. Ini sekaligus member pengajaran kepada masyarakat agar mewujudkan suatu masyarakat yang bersatu padu, berkerjasama dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Jika pengadilan moral tidak dijatuhkan dalam peristiwa atau pelaku dalam peristiwa sejarah ini, sudah pastinya peristiwa ini hanya menjadi suatu fakta sahaja.
Menunjukkan tujuan penulis (ideologi).
     Dalam penulisan sejarah, pengadilan moral tidak dapat dipisahkan kerana penulis menulis bertujuan untuk mempengaruhi pembaca. Walaupun pada dasarnya kita dapat lihat terdapat fakta yang sama, tetapi disebabkan wujud pengadilan moral yang bertujuan untuk mempengaruhi ideologi pembaca, maka ianya terus digunakan dan tidak dapat dipisahkan dalam penulisan sejarah kerana dinilai dari kaca mata yang berbeza. Menurut Agnes, pengadilan moral adalah menilai seseorang daripada perlakuan.[13] Oleh itu, walaupun sesuatu perkara yang berlaku adalah berbeza mengikut pandangan seseorang. Maka, pengadilan moral yang digunakan juga adalah berbeza berdasarkan ideologi dan tujuan mereka menulis.
Sebagai contohnya, Sarjana Mansor Abdullah telah mengatakan Panglima Nayan di Kedah telah membantu orang miskin dengan cara merompak orang kaya yang telah mengeksploitasikan golongan miskin dan membahagikan harta tersebut kepada golongan miskin.[14] Oleh itu beliau telah digelar panglima (pembela) oleh rakyat. Cheah Boon Kheng  menganggap Panglima Nayan sebagai pembela rakyat yang ditindas oleh golongan kaya malah turut digambarkan sebagai “bandit social” olehnya.[15] Oleh itu pengadilan moral tidak dapat dipisahkan dalam penulisan sejarah dan selaras dengan pendapat Voltaire iaitu pengadilan moral digunakan untuk memuji orang yang melakukan kebaikan.[16] Cheah Boon Kheng melihat perkara ini dari sudut positif (kaca matanya) dan mengatakan panglima nayan telah melakukan perkara yang berjasa dan memuji Panglima Nayan. Perkara ini pula berbeza mengikut kaca mata atau ideologi Mansor Abdullah sendiri. Beliau telah menyifatkan tindakan Panglima Nayan sebagai tindakan yang kejam dan mengatakan panglima nayan seorang penyamun yang kejam kerana ketika merompak harta tersebut Panglima Nayan telah membunuh Taukeh Ah Leng. [17] Fakta ini dapat mengukuhkan lagi mengapa pengadilan moral dalam penulisan sejarah tidak dapat dipisahkan dalam penulisan sejarah. Oleh kerana wujud pelbagai pandangan dalam sesuatu peristiwa, maka pengadilan moral perlu digunakan bagi menunjukkan keadaan pada waktu itu berdasarkan pandangan yang berbeza.
Selain itu, pengadilan moral juga tidak dipisahkan dalam penulisan sejarah kerana ianya digunakan untuk mempengaruhi masyarakat. Sebagai contohnya peristiwa penggubalan Akta Nuremberg 1935 oleh Hilter.[18] Menurut Lucy S. Dawidowiez, beliau mengatakan penggubalan akta tersebut adalah kejam kerana telah membenarkan Bangsa Jerman untuk bertindak kasar termasuk membunuh kaum yahudi yang menetap di jerman. Penulisan beliau ini mampu mempengaruhi ramai orang dan  mereka telah menyifatkan tindakan Hitler ini melampaui batasan manusia.
Menurut Qasim Ahmad, tiada bukti yang mengatakan bahawa perbuatan beramai-ramai ini dilakukan dengan cara yang tidak disengajakan. Dalam erti kata lain, beliau juga turut menyokong pandangan  Lucy S. Dawidowiez yang menganggap dan menjatuhkan pengadilan moral terhadap Hitler sebagai seorang kejam. Oleh itu, pengadilan moral sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam penulisan sejarah dan dapat disokong melalui pendapat Voltaire iaitu memalukan mereka yang bersalah.[19]
Dalam konteks ini, kita dapat lihat bahawa  Lucy S. Dawidowiez dan Qasim Ahmad menjatuhkan pengadilan moral atas dasar ingin menceritakan hal sebenar walaupun terdapat unsur untuk mempengaruhi. Menurut pandangan kami, mereka ingin mempengaruhi masyarakat lain kerana mereka ingin menceritakan hal yang sebenar berdasarkan pandangan mereka. Bagi Rakyat Jerman pula, mereka menganggap perbuatan Hitler ini sesuatu yang suci dan mulia. Hal ini adalah kerana, akta berkenaan digubal bagi tujuan membentuk bangsa jerman yang unggul didunia iaitu bangsa Aryan.[20] Oleh sebab itulah, Lucy S. Dawidowiez dan Qasim Ahmad mengatakan Hitler kejam kerana mereka khuatir ada masyarakat lain akan melakukan tindakan yang sama atau terpengaruh oleh bangsa Jerman yang menganggap tindakan Hitler itu sesuatu yang mulia.
 Selain itu, peristiwa pendudukan Jepun di Tanah Melayu juga dianggap kejam oleh masyarakat dunia kecuali masyarakat Jepun juga adalah kerana wujudnya pengadilan moral yang menggambarkan peristiwa berkenaan. Sebagai contohnya, Ghazali Mayuddin yang telah menggunakan pengadilan moral dalam penulisannya bagi menggambarkan kekejaman jepun pada waktu itu. Sebagai contoh beliau beliau telah menjatuhkan pengadilan moral ialah, Jepun telah membunuh orang cina beramai-ramai sebaik sahaja tiba di Johor Bharu dan perbuatan ini telah berlarutan ke tempat-tempat lain.[21] Secara tidak langsung, pembaca akan terpengaruh dan turut sama menjatuhkan pengadilan moral kepada Jepun kerana melalui pengaruh penulisan ini, mereka dapat memahami peristiwa yang sebenarnya berlaku pada waktu itu. Maka, pengadilan moral sememangnya perlu dan tidak dapat dipisahkan dalam penulisan sejarah atas sebab untuk menunjukkan tujuan penulis atau ideologi mereka serta menceritakan peristiwa yang sebenar.
Melihatkan keagungan dan penghargaan
       Pengadilan moral dalam penulisan sejarah juga tidak dapat dipisahkan kerana pengadilan moral berfungsi sebagai melihatkan keagungan dan memberi penghargaan samaada kepada individu atau organisasi. Pandangan Agnes iaitu sudah menjadi naluri manusia akan menilai apa yang telah dilakukan. Lazimnya, apabila seseorang itu menilai mengikut naluri sendiri, kebanyakkan orang akan menceritakan kebaikannya berbanding keburukannya. Sebagai  buktinya, kebanyakkan penulis akan cenderung untuk menceritakan kehebatan atau keagungan mereka.  Sebagai contohnya, di negara barat,  Putera Henry banyak menggalakkan penjelajahan pada abad ke-15 untuk menjadikan abad tersebut sebagai “Tahun Penjelahan Portugis”.[22] Walaupun Putera Henry tidak menggunakan perkataan pengadilan moral, namun ia jelas ia menunjukkan bahawa putera Henry telah cuba mengagungkan Portugis dalam kalangan negara barat yang lain dengan menyatakan bahawa abad Ke-15 sebagai tahun penjelajahan portugis. Dalam erti kata lain, pengadilan moral telah dijatuhkan oleh Putera Henry sendiri untuk mengagungkan bangsa portugis.
Selain itu, ketika Alfonso D’ Albuquerque berjaya menawan Melaka pada 1511, beliau telah berucap dihadapan tenteranya dengan penuh bangga dan bertujuan untuk menaikkan semangat tenteranya agar memusnahkan agama Islam supaya tidak muncul lagi dimuka bumi.[23] Pernyataan ini juga jelas menujukkan bahawa Alfonso d’ Albuquerque mengagungkan agama kristian dan ingin memusnahkan islam. Oleh sebab itulah, pengadilan moral tidak dapat dipisahkan dalam penulisan sejarah kerana ia perlu untuk melihatkan keagungan seseorang atau sesebuah institusi. Selain itu, terdapat juga penulis seperti Tun Seri Lanang yang mengagungkan Melaka sebagai pusat ekonomi yang terkenal. Beliau telah menjatuhkan pengadilan moral terhadap Melaka dengan cara menceritakan kehebatan melaka dan menyembunyikan keburukan melaka. Sebagai contohnya, perkembangan Melaka sebagai pusat pelabuhan perdagangan antarabangsa semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1424-1444) menjadi bertambah pesat di zaman Sultan Muzaffar Syah (1446-1458).[24]
Melaka juga dianggap sebagai pusat pengumpulan rempah di Asia berdasarkan keagungannya menjadi pelabuhan entraport serta pelabuhannya juga disinggahi oleh kapal dari negeri- negeri lain yang membawa barang dagangan dari Timur Tengah, bandar-bandar pelabuhan Mediterranian, Eropah dan sebagainya.[25] Ini adalah bukti wujudnya konsep pengadilan moral walaupun ia tidak menggunakan kata-kata tertentu, namun ia jelas mengagungkan melaka pada waktu itu. Inilah sebab mengapa pengadilan moral tidak dapat dipisahkan kerana setiap penulis cenderung untuk melihatkan keagungan negara atau individu yang berada di pihak mereka. 
Hak asasi manusia
            Hak asasi manusia ditafsirkan sebagai suatu hak manusia untuk mempunyai kebebasan bersuara dan melakukan perkara yang ingin dilakukan  tanpa sekatan daripada pihak lain selagi tidak melanggar norma-norma masyarakat. Penggunaan unsur pengadilan moral dalam penulisan sejarah dapat memperlihatkan dan menyedarkan masyarakat tentang hak asasi yang dipunyai setiap individu. Ini dinyatakan oleh R.Sutharalinggam bahawa pengadilan moral merupakan ukuran dalam penilaian ahli sejarah yang bukan sahaja berdasarkan kepada persoalan tentang kepentingan rakyat  secara keseluruhannya. Malah ia turut melihat kepada pihak yang manakah yang menodai hak asasi manusia yang menjadi aspek terpenting yang perlu dititikberatkan dalam penulisan sejarah.
Contoh yangdapat dilihat dalam penulisan sejarah ialah peristiwa pendudukan Jepun di Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua.  Peristiwa yang berlaku ini menyebabkan penduduk di Tanah Melayu mangalami suatu proses perubahan cara hidup yang mendadak termasuklah penerapan unsur-unsur Niponisasi,  pengekspotasian hasil bumi, corak pemerintahan yangberubah dan sebagainya. Ini menyebabkan penduduk merasa hak asasi mereka dicabuli kerana mereka tidak boleh menyuarakan pendapat dan kesukaran untuk menjalankan aktiviti harian kerana pihak Jepun seringkali mengawasi tindak-tanduk rakyat di Tanah Melayu. Keperitan ini semakin dirasai apabila ramai penduduk di Tanah Melayu telah dibunuh dengan kejam akibat menentang Jepun.
Daripada rekod yang tidak rasmi mengenai jumlah rakyat yang telah dibunuh ialah 6119 orang termasuklah 5493 orang Cina, 551 Orang Melayu, 44 orang India dan 31 orang Serani. Melalui rekod ini, dapat dilihat bahawa kaum Cina merupakan kaum yang mempunyai jumlah kematian yang banyak berbanding yang lain. Ini disebabkan Jepun tidak bersependapat dengan orang Cina. Perang China-Jepun Kedua (7 Julai1937–9 September 1945), juga dikenali sebagai Perang Menentang Jepun, ialah perang utama antara Republik China dan Empayar Jepun sebelum dan semasa Perang Dunia II. Walaupun kedua-dua pihak telah menyerang satu sama lain, mulai dari tahun 1931, perang telah berlaku secara besar-besaran pada tahun 1937 dan hanya diakhiri dengan penyerahan Jepun pada tahun 1945. Pencerobohan adalah satu strategi yang dilakukan oleh Tentera Diraja Jepun sebagai sebuah rancangan besar untuk menguasai China.
Sebelum tahun 1937, kedua-dua pihak telah melancarkan serangan yang digelar "peristiwa." Penaklukan Manchuria oleh Jepun pada tahun 1931 dikenali sebagai "Peristiwa Mukden". 'Peristiwa' terakhir pada tahun 1937 yang dikenali sebagai Peristiwa Jambatan Marco Polo menandakan permulaan peperangan antara kedua-dua negara. Sejak dari tahun 1937 hingga tahun 1941, China melawan tanpa bantuan. Melalui peperangan ini, China telah berjaya menewaskan Jepun.[26]
Peristiwa ini menyebabkan Jepun menyimpan dendam terhadap orang Cina. Kaum wanita pula menjadi sasaran untuk memuaskan nafsu mereka. Melalui penulisan yang dihasilkan oleh para sejarahwan, kaum cina dan golongan wanita merupakan rakyat yang paling menderita sepanjang pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Ini menunjukkan hak mereka telah dicabuli oleh pihak Jepun yang hanya dikatakan ingin menjaga keamanan dan keharmonian di Asia Tenggara melalui propaganda “Asia Untuk Orang Asia” yang telah disebarkan. Pencabulan hak asasi ini dapat menyedarkan masyarakat sekarang tentang kepentingan hak asasi setiap individu.  Ini dapat dilihat jika pengadilan moral tidak digunakan dalam penulisan ini, hak asasi manusia tidak dihiraukan dan akan mewujudkan masyarakat yang mementingkan diri sendiri sahaja. 
Kesimpulan

            Penggunaan unsur pengadilan moral amat penting dalam penulisan sejarah. Ini bagi memastikan pelaku atau peristiwa dalam sejarah dapat ditafsirkan dengan menyatakan kebaikan dan kelemahan tanpa bersikap bias kepada mana-mana pihak. Penggunaan unsur ini menampakkan  peristiwa sejarah menjadi mudah difahami dan dapat ditafsirkan oleh pembaca mengikut idealogi mereka dan peristiwa sejarah tidak menampakkan unsur kaku. Ketiadaan unsur pengadilan moral dalam penulisan sejarah ini menampakkan penulisan seolah-oleh hilang pertimbangan. Oleh itu, sekali lagi kami ingin tegaskan bahawa pengadilan moral sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada penulisan sejarah berdasarkan faktor-faktor yang telah kami huraikan.



[1] Adrian Oldfield, Moral judgement in History, History and theory, jilid XX, bil 3, 1981, hlm. 260.
[2] Qasim Ahmad, Pengadilan Moral dalam sejarah: Kes Nazi di Jerman, Dewan Masyarakat, Jilid XIX, bil.6(Jun 1981), hlm 54.
[3] Muhd Yusof Ibrahim(1975). Pengertian Sejarah, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 52.
[4] R. Suntharalingam(1985).  Pengenalan kepada Sejarah. Kuala Lumpur, Marican & Son (M) Sdn Bhd,hlm 93.
[5] Ibid, hlm 97.
[6] Ibid.
[7] Daulat dikatakan berasal daripada perkataan Arab, “daulah” yang bermaksud “negeri”. Walau bagaimanapun, daulat bermaksud kesucian seseorang raja dan bagi masyarakat melayu, konsep ini menjadi batas pemisah antara raja dengan rakyat biasa. Konsep ini juga merupakan unsur asas kepada kekuasaan dan keagungan seseorang raja dan kerajaannya. http://www.geocities.com/cominglucky/, 2 Oktober 2009
[8] Konsep derhaka ini seiring dengan konsep daulat. Dalam konsep ini, seseorang yang melanggar konsep daulat didapati menderhaka kepada sultan atau raja dan akan ditimpa tulah. Kepercayaan yang begini terus diperturun sejak zaman berzaman. Sebenarnya, konsep ini dibiuat semata-mata untuk meninggikan kedudukan raja-raja Melayu. Golongan ini akan dipandang mulia dan disanjung sebagai seorang yang sacral. http://www.geocities.com/cominglucky/, 2 Oktober 2009
[9] Bala bermaksud bencana atau kemalangan yang menimpa. www.dbp.gov.my, 2 Oktober 2009.
[10] Qassim Ahmad, Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 1991, hlm 44
[11] Menurut Donald V. Gawronski  mengatakan bahawa konsep objektif bermaksud menggunakan fakta sejarah tanpa ada perasaan memihak dan prasangka. (Donald V,.Gawronski (1975), History meaning and Method, Philipine :Scott, Foresman and Company , hlm 15)
[12] Hwang, In-Won (2003). Personalized Politics: The Malaysian State under Mahathir. Institut Pengajian Asia Tenggara. hlm 88.
[13] Ishak Saat(2007), Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden. Selangor Darul Ehsan: Karisma Publication SDN.BHD,hlm 74.
[14] Ibid, hlm 75.
[15] Ibid.
[16] Ishak Saat(2007), Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden. Selangor Darul Ehsan: Karisma Publication SDN.BHD,hlm 76.
[17] Ibid.
[18] Ishak Saat(2007), Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden. Selangor Darul Ehsan: Karisma Publication SDN.BHD,hlm 78.
[19] Ibid, hlm 77.
[20] Ibid.
[21] Ishak Saat(2007), Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden. Selangor Darul Ehsan: Karisma Publication SDN.BHD,hlm 86.
[22] Maruwiah Ahmat, 2006, Penjajahan Portugis Dan Sepanyol Keatas Asia Tenggara : Satu pengamatan semula, Shah Alam:Karisma Publications Sdn. Bhd. Hlm. 66.
[23] Ibid. hlm114.
[24] Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), 1998, Melaka – Pengamatan Melalui Lukisan & Diorama, Melaka: Percetakan Surya Sdn. Bhd. Hlm 35.
[25] Joginder Singh Jessy, Sejarah Tanah Melayu 1400- 1959, 1978 Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.. Hlm. 1-2.
[26] ms.wikipedia.org/wiki/Perang_China-Jepun_Kedua, 2 Oktober 2009.

5 comments:

  1. Tulisan yang sangat berguna khususnya untuk rujukan saya. Saya ada merujuk kepada penulisan yang lain tapi kurang faham dengan penjelasan yang diberikan. Tapi saya lihat artikel ni lebih jelas. Terima kasih sebab saya memang tak tahu apa-apa tentang pengadilan moral. Kosong. Penerangan jelas, mudah difahami dengan contoh-contoh dipetik daripada topik-topik Sejarah yang memang didapati daripada sukatan pelajaran sekolah menengah

    ReplyDelete
  2. ia sangat berguna kepada rujukkan saya.. terimah kasih byk...

    ReplyDelete
  3. ia sangat berguna untuk rujukan saya...terima kasih byk....

    ReplyDelete
  4. Terima kasih huraian yang sangat akademik dan dapat membantu pembaca memahami pwngadilan moral. Sebagai tambahan pengadilan moral juga terkandung dalam buku "City of God" karya St. Austine yang mebgutuk hebat orang pagan Rom dengan gelaran kita mereka sebagai "The Devil" atau Kota Syaitan.

    ReplyDelete
  5. terima kasih atas perkongsian..mohon halalkn ilmu ini yer
    sangat membantu saya dalam subjek ini.
    terima kasih byk2 kpd penulis

    ReplyDelete