nuffnang

Thursday, June 13, 2013

PENTAFSIRAN

Pendahuluan

Istilah pentafsiran sebenarnya adalah satu perkara yang tidak asing lagi dalam bidang ilmu sejarah. Hal ini kerana, pentafsiran terhadap karya sejarah adalah perkara yang wajib dan mesti dilakukan walau dalam apa jua bentuk situasi sekali pun kerana tanpa pentafsiran, karya itu tidak akan menjadi pensejarahan. Dalam Kamus Dewan, istilah pentafsiran membawa maksud perihal (perbuatan) untuk mentafsirkan sesuatu perkara. [1] Namun, secara umumnya tafsiran membawa pengertian menerangkan sesuatu peristiwa sejarah dengan berdasarkan sumber-sumber yang berkaitan dengannya. [2]
Oleh itu, pentafsiran dapat ditafsirkan sebagai penerangan, penjelasan, ulasan, taksiran, malah kajian terhadap sesuatu keadaan, peristiwa atau kejadian yang pernah berlaku. Selain itu, perkara yang ditafsir dalam sejarah hanyalah gejala ataupun peristiwa yang telah pernah berlaku pada suatu ketika yang sumber-sumber masih dapat diperoleh. [3] Dari sudut Islam pula, pentafsiran lebih kepada usaha memahami, menerang atau member penjelasan serta ulasan terhadap ayat-ayat suci al-quran.[4] Manakala, pentafsiran dari sudut sejarah pula hanyalah mentafsir sesuatu peristiwa berdasarkan sumber, kaedah dan kritikan sesuatu. [5]
 Hal ini menunjukkan bahawa mentafsir sejarah adalah lebih mudah berbanding mentafsir dari sudut Islam kerana Al-Quran tidak boleh ditafsir sesuka hati berbanding sejarah boleh ditafsir berdasarkan sumber yang ada tetapi setiap sejarawan bebas mentafsir. Namun, wujud juga satu spekulasi iaitu Barat menganggap setiap pentafsiran yang dilakukan oleh sejarawan tradisi adalah tidak bermutu dan tidak objektif serta tidak mementingkan sumber. Oleh itu, sejarawan tradisi  telah mendapat tentangan dan kritikan hebat oleh sejarawan. Manakala, bagi sejarawan moden, Barat menganggap setiap pentafsiran yang dilakukan oleh mereka adalah sistematik, teratur, kritis dan mementingkan sumber dalam penulisan mereka.[6] Bagi Barat, pentafsiran yang dilakukan berdasarkan pegangan agama adalah lemah dari pensejarahannya kerana mereka berpegang kepada sekularisme iaitu memisahkan ssejarah it dari sudut keagamaan.
Hal ini menyebabkan perdebatan dan persengketaan yang timbul di kalangan sejarawan berkaitan kebenaran sejarah adalah disebabkan pentafsiran yang tidak  berbeza. Sejarawan abad ke 19 dan ke 20 mempunyai pendapat yang sangat berbeza tentang pentafsiran, secara tidak langsung telah menghasilkan perdebatan tentang pendapat masing-masing.  Pendapat sejarawan tentang pentafsiran ini dapat dilihat dalam beberapa perbahasan sejarawan tentang pentafsiran mereka.









PENDAPAT SEJARAWAN
Setiap sejarawan mempunyai pendangan yang berbeza tentang mencari kebenaran. Menurut Kamus Dewan, kebenaran bermaksud perihal benar (sesuatu), sebenarnya. [7]  Oleh itu, setiap ahli sejarah itu sentiasa berada dalam pertelingkahan pendapat di antara satu sama lain, misalnya tentang cara ataupun teknik penulisan sejarah termasuklah pengumpulan bahan-bahan, penyesuaian, penulisan dan akhirnya menjadikannya sebagai bahan bacaan umum  dan yang paling penting setiap sejarawan ini mempunyai pendapat tentang pentafsiran yang berbeza. Antara ahli sejarah yang akan diketengahkan ialah J.B Bury, E.H Carr, R.G Collingwood, Leopord Von Ranke, Carl Beaker, Garaghan, Gottschalk, Charles A.Beard, Karl marx, Bernetto Groce, Voltaire, Herbert Butterfield, Lord Acton,G.Kitson Clark, Burchahardt, Sartono, Husiono, Donald V. Gawronski, dan lain-lain lagi.  [8]

PENDAPAT SEJARAWAN TENTANG PENTAFSIRAN
Leopold Von Ranke
Salah satu persoalan yang kerap mencetuskan perbahasan ialah keupayaan ahli-ahli sejarah untuk menghasilkan ilmu yang bersifat objektif. Secara tidak langsung, perbahasan ini melahirkan kesangsian sama ilmu sejarah ini mampu untuk mengatasi kehebatan sains semula jadi. Menurut aliran “sejarah objektif” yang diasaskan oleh Leopold Von Ranke pada abad ke-19, beliau berpendapat tentang pentafsiran dalam penulisan sejarah mampu untuk menegakkan kebenaran objektif dengan memaparkan secara tepat dan teliti dalam kejadian masa lampau. [9]  Ranke secara terus terang telah menggariskan lunas-lunas yang harus mendukung sejarah yang objektif itu dan ini jelas diperkatakan dalam bukunya yang bertajuk The Histories of The Latin and The Germanic Nations yang diterbitkan dalam tahun 1824. [10] Ranke melihat kejadian sejarah sebagai memaparkan kejadian-kejadian yang lalu sebagaimana ia sebenarnya berlaku. Ranke juga mempunyai pendapat tentang mencari kebenaran sesuatu itu adalah dengan berusaha untuk membuat “satu persembahan tulen fakta-fakta” yang mesti berpandukan penyelidikan rapi ke atas peristiwa-peristiwa lepas yang khusus dan nyata dan juga berasaskan kepada tafsiran sumber-sumber asli itu. [11]
            Selain itu, Ranke juga pernah mengatakan bahawa untuk mentafsir sesuatu peristiwa sejarah, sejarawan perlu berada di luar kawasan yang dikajinya yang bermaksud setiap sejarawan perlu bersikap neutral atau tidak memihak mana-mana pihak dan hanya perlu berdasarkan sumber ataupun fakta-fakta. Namun,pendapat ranke tentang pentafsiran ini telah ditentang oleh banyak pihak termasuklah ahli-ahli sejarawan yang lain dan secara tidak langsung menimbulkan perdebatan yang hangat antara mereka.

J.B Bury
Zaman Von Ranke  yang telah menyuarakan pendapatnya tentang pentafsiran  telah mempengaruhi ahli-ahli sejarah pada masa itu antaranya ialah J.B Bury yang mentafsir  bahawa “sejarah itu adalah sains, tak lebih dan tidak kurang”. [12] Apa yang dimaksudkan oleh beliau ialah kebenaran akan dapat dicari dan diwujudkan melalui kaedah sains tersebut iaitu melalui pengamatan dan uji kaji. Pandangan itu jelas merupakan pancaran daripada pegangan potisitivisme yang menganggap bahawa bidang ilmu hanyalah boleh dianggap sebagai benar sekiranya ia didasarkan kepada sains dan kaedah penyelidikannya. [13] Apabila diteliti, pandangan ini memang boleh diterima iaitu bukan sahaja merujuk kepada kaedah yang digunakan tetapi juga beberapa persamaan luaran beberapa unsur dalam kedua-dua bidang tersebut.
 Bagi J.B Bury, sejarawan perlulah menjadi pemerhati kepada sesuatu peristiwa yang dikajinya. Ini adalah untuk menambahkan lagi ketepatan kesimpulan bahawa kebenaran dapat  dicari melalui usaha pengamatan dan pengajian. [14]Pendek kata, J.B Bury menyimpulkan bahawa kebenaran sejarah itu adalah saintifik iaitu sejarah adalah sains. Hal ini dapat dibuktikan pada abad ke 19, mereka ingin menjadikan sejarah itu suatu bidang yang tepat kerana terpengaruh dengan pergerakan positivisme oleh Auguste Comte (1789-1857). J.B Bury beranggapan bahawa kebenaran boleh diwujudkan melalui kaedah yang positif yakni yang saintifik  melalui kaedah yang positif yakni yang saintifik bertujuan untuk mewujudkan kebenaran secara sahih serta muthlak.
Cara ini telah menunjukkan ahli sejarah pada masa itu mempunyai pendapat tentang pentafsiran iaitu ahli sejarah sebenarnya berdiri di luar kejadian tersebut dan kemudiannya menganalisanya sebagai orang luar.  [15] Penegasan ini telah mentakrifkan bahawa sejarawan itu adalah ahli sains . Sejarah yang saintifik ini samalah ertinya menyatakan bahawa sejarah itu dikatakan seratus peratus objektif iaitu kebenaran boleh dibuktikan secara saintifik dan objektif ataupun lebih tepat lagi kebenaran sains adalah juga kebenaran sejarah. Konsep Objektif yang dikemukakan oleh Ranke dan Bury ini cuba meniru atau menyesuaikan dengan konsep ilmu sains. [16] Namun, apabila zaman beranjak ke abad 20 kenyataan ini telah dipersoalkan kerana kebenaran sejarah tidak semutlak kebenaran sains. Menjelang tahun 1930, beberapa sejarawan telah telah mula mengaitkan kesangsian terhadap penulisan sejarah yang tepat iaitu seperti sebenarnya berlaku. Bagi mereka sejarah yang tepat adalah sesuatu yang meustahi dicapai. Malah, pendapat Bury ini telah dikritik hangat oleh Burchahardt yang menganggap sejarah adalah sains sebagai suatu yang tidak wajar kerana bagi beliau sejarah itu adalah suatu bidang ilmu yang paling tidak saintifik, namun begitu banyak yang wajar diketahui untuk mendapatkan kebenarannya. [17]

Karl Marx
Walaupun sejarawan ada menghasilkan penyeluruhan tetapi penyeluruhan itu tidaklah boleh menjadi sesuatu hukum yang tepat di peringkat akhirnya. Malah, penyeluruhan sejarah itu tidaklah boleh menjadi sesuatu peristiwa yang dikajinya dan atas hakikatnya itu tidaklah semestinya malah tidak terpaksa diterima oleh seorang sejarawan yang lain jika ia ingin mengkaji peristiwa yang serupa.[18] Dalam mencari kebenaran Karl Marx mempunyai padangan terhadap pentafsiran iaitu beliau mencari kebenaran sesuatu peristiwa dengan memandang sejarah dari sudut kebendaan yang menekankan faktor ekonomi sebagai asas perkembangan kehidupan. Marx menyokong penuh pandangan Ranke iaitu mencari kebenaran melalui kaedah penelitian dan menganalisis secara kritis sebagaimana ia sebenarnya berlaku.
Kenyakinan Marx terletak di atas dakwaannya bahawa kajian terhadap sejarah masyarakat masa lalu itu didasarkan kepada kaedah kajian yang saintifik ; ia telah membuktikan dengan secara kajian yang saintifik  bahawa kajian itu telah pun berlaku pada masa yang lalu. Marx beranggapan bahawa kesejahteraan yang sempurna bagi manusia dijamin sains kerana dengan mendasarkan perkembangan sejarah kemasyarakatan melalui peringkat yang semakin progresif  kepada ekonomi semata-mata beliau menganggap fakta sejarah adalah sama seperti fakta sains. [19]
selain itu, jika dilihat Marx berpendapat bahawa pentafsiran yang baik ialah memandang sudut kebendaan dahulu. Beliau melihat pergelutan kelas antara golongan yang memerintah dan diperintah. Contohnya, Karl Marx mentakrif Perang Vietnam dari sudut pertelingkahan ataupun perjuangan kelas-kelas tertentu. Marx telah menyokong Amerika dan memburuk-burukkan Vietnam kerana Amerika dianggap lebih hebat dan mempunyai kelas yang tinggi berbanding Vietnam.

Lord Acton
Selain Marx, pada penghujung kurun ke-19 Lord Acton iaitu merupakan pengikut Von Ranke yang setia telah menyatakan rasa optimisnya terhadap kemungkinan tercapainya sejarah yang saintifik dan lengkap itu.[20] Beliau berpendapat bahawa dalam sedikit masa lagi sejarah yang lengkap bagi setiap negara di dunia ini akan dapat dilaksanakan. Apa yang perlu ada dalam sejarah ialah menghimpunkan fakta-faktanya dengan merujuk serta mendapatkannya daripada dokumen-dokumen yang asli seperti yang dilakukan  oleh Von Ranke dalam membuat kesimpulan.
Dalam erti kata lain, Acton juga bersetuju dengan pendapat Ranke dalam memberi pendapat tentang pentafsiran beliau dalam mencari kebenaran. Oleh itu, selepas semuanya sudah terhimpun semua fakata sejarah bagi semua sejarah dalam jangka waktu yang tertentu, maka tidak perlu lagi dikaji kerana keadaannya sudah lengkap seolah-olah seperti lengkapnya suatu kajian dalam bidang sains tulen yang berdasarkan kaedah ujikaji dan pengamatan ataupun kaedah yang induktif.

E.H Carr
Pada tahun 1933, pandangan tentang pentafsiran oleh Ranke dan Bury untuk mencari kebenaran telah ditolak dengan rasmi di Amerika Syarikat oleh tokoh-tokoh seperti Charles A.Beard, R.G  Collingwood serta E.H Carr. Bagi Carr, sejarah adalah suatu proses interaksi yang berterusan di antara sejarawan dengan fakta-fakta , suatu dialog yang tidak putus-putus dan berterusan  antara masa kini dan masa lalu. [21] Carr telah memperdebatkan perkara ini dengan luasnya dan menimbulkan keputusan kalau sejarah mahu dianggap sebagai sains yang dimaksudkan itu maka selebih-lebihnya hanyalah merupakan salah satu daripada sains sosial sahaja  dan bukannya sains tulen. [22]
Beliau mentafsir begitu adalah kerana seseorang sejarawan adalah tidak mungkin akan dapat menceraikan perasaaannya dari perkara yang ditulisnya kerana seseorang itu merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, tidak akan mungkin seseorang itu mampu bersifat neutral kerana penulis itu akan ada unsur bias dalam diri atau unsur membela suatu pihak. Manusia mempunyai perasaan dan tidak mampu untuk bersikap adil. Selain itu juga beliau berpendapat tentang pentafsiran dengan menegaskan soal keobjektifan sejarah tidak boleh ditentukan oleh ketepatan fakta tetapi kepentingannya dari sudut pentafsiran sejarawan.
Garraghan
Selain itu, Garraghan juga menyokong Von Ranke tentang pandangan pentafsiran. Kebenaran sejarah merupakan perkara penting dalam proses penghasilan sesuatu kajian sejarah. Penyelidikan tidak hanya merujuk kepada penyediaan maklumat serta pemaparan masalah sahaja tetapi ia mesti berakhir dengan terbinanya hasil penyelidikannya yang boleh memenuhi tujuan bagi mendapatkan kebenaran atau apa yang dikatakan objektif. Bagi Garraghan, untuk mencapai kebenaran objektif perlu mencapai tiga peringkat proses penyelidikan. [23] 
Beliau mempunyai pendapat bahawa dalam usaha mencari kebenaran, penulisan sejarah harus bertindak seperti seorang saintis. Dalam mempersembahkan penulisannya, penulis sejarah harus bertindak seperti seorang orang seni yang benar-benar berupaya menontonnya sehampir yang mungkin kepada realiti. Namun, dalam seni penulisan sejarah, penulis itu tidak ada pilihan yang bebas, yakni tidak boleh menulis sesuka hati dengan menggunakan beribu-ribu fakta yang ada. [24]
Louis Gottschalk
Beliau mempunyai pandangan tentang pentafsiran  bahawa penulisan yang objektif dapat menemukan kita pada kebenaran. Gottschalk menyatakan bahawa kebenaran mestilah berlandaskan bukti yang kukuh dan berdasarkan kepada daya imaginasi seorang sejarawan.  

Carl Beaker
Selain itu, Profesor Carl becker dalam sebuah rencana yang berjodol “Detachment and the Writing of History” yang diterbitkan pada tahun 1910, telah menyangkal dakwaan aliran sejarah objektif untuk mengesan “kebenaran muthlak” dalam hal-hal yang ditinjau itu. Sebaliknya, beliau mendakwa bahawa penulisan sejarah hanya mencerminkan kecenderungan para ahli sejarah objektif untuk mentafsirkan fakta-fakta atau peristiwa-peristiwa  dari sudut tujuan-tujuan mereka sendiri atau kepentingan –kepentingan zaman mereka sendiri. [25] Menurut Becker, fakta-fakta itu adalah hasil pemilihan yang dilakukan oleh sejarawan sendiri yang berpandukan kepada “pengalaman peribadinya”.
Memandangkan kepada hakikat bahawa keadaan sosial masyarakat menentukan pemilihan dan penafsiran fakta-fakta, dan keadaan sosial ini berubah dari satu zaman ke satu zaman yang lain, maka Becker menyatakan kebenaran sejarah bukanlah mutlak tetapi relatif. [26] Oleh kerana tafsiran ahli sejarah mencerminkan tujuan, kecenderungan dan prasangkanya, maka Becker berpendapat bahawa “sejarah sesuatu peristiwa adalah tidak sememangnya hal yang serupa untuk dua orang yang berbeza’. Hakikat hal ini, juga dapat dibuktikan dari kenyataan bahawa setiap generasi akan menulis sejarahnya sendiri. [27]
Charles A.Beard
Di samping itu, Prosefor Charles A.Beard menyatakan bahawa sejarah adalah merupakan pemikiran sezaman tentang masa lampau dan mencerminkan pemikiran sejarawan dalam masa dan konteks budayanya. Kenyataan ini telah disampaikan pada persidangan Persatuan Sejarah Amerika dalam ucapannya berjudul “Written History as as Act of Faith” pada 1933. [28] Beliau langsung tidak menyokong pentafsiran yang dilakukan oleh Ranke kerana baginya Ranke tetap mencerminkan sudut pandangan aliran sejarah konsevatif yang cuba memepertahankan kepentingan kelas-kelas yang berkuasa di Eropah. Akibat daripada itu, Beard telah dikecam dan akhirnya dengan nada yang keras beliau menegakkan kebenaran hujah-hujahnya.
Misalnya, Beard mendakwa bahawa Ranke jauh daripada menulis sejarah objektif yang merupakan salah seorang ahli sejarah  yang paling kerap ‘berat sebelah’ yang dilahirkan pada abad ke 19. Menurut Beard, beliau berpendapat pentafsiran yang baik untuk mencari kebenaran bukan hanya sekadar menggunakan sumber yang lengkap kerana hakikat bahawa sumber-sumber sejarah bukanlah lengkap. Hal ini disebabkan, banyak kejadian sejarah yang berlaku di dunia ini tidak dirakamkan oleh saksi-saksi atau di luar pengetahuan orang. Oleh itu, sejarawan hanya boleh mengeluarkan sekadar yang mampu dipaparkan melalui sumber yang dicatatnya.
 Sekali lagi, Beard turut menegaskan bahawa sejarah  ialah pemikiran  sezaman mengenai masa lampau. Ia marupakan hasil penulisan sejarah yang mempunyai kepercayaan, nilai-nilai atau prasangka yang dipengaruhi oleh pengalaman zaman tertentu dan sebab itu bagi Beard, Ranke sebenrnya tidaklah menulis sejarah objektif tetapi Cuma menulis sejarah politik sahaja dan hanya mementingkan kepentingan kelas-kelas konservatif yang berkuasa di Eropah. [29]Pandangan Beard tentang pentafsiran ini amat jelas berbeza dengan pandangan Ranke dan juga Bury. Hal ini menyebabkan Beard dan sejarawan lain sangat tidak bersetuju dengan pendapat Ranke yang teah menyebabkan perdebatan hebat berlaku disebabkan pentafsiran yang berbeza tentang  mencari kebenaran.
Benedetto Croce
Beliau terpengaruh dengan konsep materialisme Sejarah Karl Marx pada awalnya tetapi kemudiannya beliau menafikan kebenaran teori tersebut dan mengatakan bahawa semua sejarah adalah sejarah masa kini dan sejarah adalah kisah mengenai kebebasan.[30] Hal ini dapat dilihat dalam penulisan beliau, terutamanya yang berbentuk falsafah sejarah , akan dapat dilihat  beberapa teori dan pemikiran beliau mengenai sejarah iaitu sejarah adalah kisah mengenai kebebebasan, semua sejarah adalah sejarah semasa, sejarah tidak terbina daripada cerita-cerita tetapi daripada dokumen-dokumen. [31] 
Namun, beliau berpendapat ‘kekinian sejarah’ itu dapat dilihat daripada hakikat bahawa tafsiran sejarawan itu sering dipengaruhi oleh nilai, keperluan dan kepentingan, keghairahan malahan unsur bias yang wujud pada zaman sejarawan itu sendiri. [32]  Berdasarkan hakikat inilah, Croce beranggapan sejarawan tidaklah berdaya untuk sepenuhnya tidak bersikap berat sebelah atau objektif dalam kajiannya. Walaubagaimanapun, seseorang sejarawan itu haruslah menyedari hakikat ini supaya ia menghasilkan karya yang seimbang yakni tidak mengemukakan perkara yang subjektif semata-mata, tetapi haruslah memaparkan perkara-perkara yang boleh dikira sebagai kebenaran sejarah. [33]
R.G Collingwood
Donald v. Gawronski
Sartono dan husiono
Butterfield, G.kitson Clark, Voltaire
KESIMPULAN
Pentafsiran sejarah merupakan satu perkara yang sangat sukar jika kita hendak menentukan kebenaran dan ketepatannya kerana matlamat yang selalunya terhad kurang memuaskan malahan mengecewakan. Lazimnya, seorang sejarawan akan cuba menganalisa sesuatu perkara dengan tujuan menghampiri kebenaran, sedekat mungkin. [34]  Untuk mencari sesuatu kebenaran, kita perlu mentafsir sumber-sumber yang asli dan membuat penyelidikan yang terperinci terhadap fakta-fakta yang ada. Selain itu, pentafsiran yang berbeza ini disebabkan oleh fahaman sejarawan yang berbeza dalam mencari kebenaran. Bagi golongan objektif mereka mempunyai pandangan pentafsiran yang mementingkan penyelidikan rapi ke atas peristiwa dan sumber yang asli.
Walaubagaimanapun, pentafsiran subjektif juga boleh digunakan untuk mencari kebenaran kerana gambaran yang dihasilkan melalui perasaan, fikiran manusia dan dilihat oleh manusia walaupun berlaku bias. Pentafsiran dalam penulisan sejarah sering berlaku subjektif kerana setiap sejarawan yang menghasilkan sejarah tersebut mempunyai kejiwaan, perasaan dan akal fikiran yang terbatas dan sering kali memasukkan unsur-unsur ini ke dalam penulisan mereka. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa perdebatan antara sejarawan untuk mencari kebenaran adalah disebabkan pentafsiran yang berbeza.  





[1] Hajah Norisah Bt. Baharom, 2005, Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur, Hlm 1566
[2] Muhd. Yusuf Ibrahim, 1986, Pengertian Sejarah : Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala lumpur, Hlm 101
[3] Muhd. Yusuf Ibrahim, 2000, Ilmu Sejarah Falsafah, pengertian, dan Kaedah, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, Hlm 189
[4] Ibid
[5] Ibid
[6] Ibid, Hlm 190
[7]  Hajah Norisah Bt. Baharom, 2005, Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Hlm 159
[8] Muhd. Yusuf Ibrahim,1975, Pengertian Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur,Hlm 20
[9]  R. Suntharalingam, 1985, Pengenalan Kepada Sejarah, Maricon & Sons (M) Sdn.Bhd, Kuala Lumpur, Hlm 119
[10]  Ibid, Hlm 120
[11] Ibid
[12]  Muhd. Yusuf Ibrahim, 1975, Pengertian Sejarah, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, Hlm 24
[13] Muhd. Yusuf Ibrahim, 2000, Ilmu Sejarah Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Hlm 248
[14] Ibid, Hlm 249
[15] Muhd. Yusuf Ibrahim, 1975, Pengertian Sejarah, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, Hlm 25
[16] Ishak Saat, 2007, Ilmu sejarah Antara Tradisi Dan Moden, Karisma Publications Sdn Bhd, Shah ALam,        Hlm 29
[17]  Ibid, Hlm 30
[18] Muhd. Yusuf Ibrahim, 1983, Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan Mengenai Teori Dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm 138
[19] Ibid, Hlm 139
[20] Muhd. Yusuf Ibrahim dan Mahayudin haji Yahaya, 1988, Sejarawan dan  pensejarahan Tokoh dan Karya, Dewan Bahasa dan Pustaka kementerian pendidikan Malaysia, Hlm 289
[21] Ibid, Hlm 31
[22]  Muhd. Yusuf Ibrahim, 1975, Pengertian Sejarah, Dewan Bahasa Dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur, Hlm 25
[23] Ishak Saat, 2007, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Karisma Publications Sdn. Bhd, Shah Alam, Hlm 37
[24] Ibid
[25] R.Suntharalingam,1985, Pengenalan kepada Sejarah, Marican & Sons(m) Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Hlm  121
[26] Abdul Rahman Haji Abdullah, 2003, Pengantar Ilmu Sejarah Siri Pendidikan Jarak Jauh, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, Hlm 108
[27] R.Suntharalingam,1985, Pengenalan kepada Sejarah, Marican & Sons(m) Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Hlm  123

[28] Ibid,
[29] Abdul Rahman Haji Abdullah, 2003, Pengantar Ilmu Sejarah Siri Pendidikan Jarak Jauh, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, Hlm 108
[30] Muhd. Yusuf Ibrahim, 1983, Pengertian Sejarah Beberapa Perbahasan Mengenai Teori Dan Kaedah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm 143
[31] Muhd. Yusuf Ibrahim dan Mahayuddin haji Yahaya, 1988, Sejarawan dan pensejarahan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala lumpur, Hlm 305
[32] Ibid, Hlm 306
[33] Ibid
[34] Zainal Abidin bin  Abdul Wahid, 1992, Sejarah Malaysia Pentafsiran dan Penulisan, Penerbit Universiti kebangsaan Malaysia, Bangi, Hlm 16

No comments:

Post a Comment