nuffnang

Thursday, June 13, 2013

TEMA, KAEDAH, PEMIKIRAN


1.0 Pengenalan
             Zaman jahiliah kira-kira 300 tahun sebelum kerasulan nabi Muhammad s.a.w. Pensejarahan awal orang arab  di zaman jahiliah tidak mempunyai penulisan tetapi menggunakan cara lisan seperti syair,puisi, dan bercerita,namun itu hanya sebagai hiburan.Dan mereka hanya mempunyai dua sumber iaitu Al-ayyam dan Al-ansab[1].Asas pensejarahan islam pada peringkat mulanya bergantung pada dua sumber iaitu sumber pertama pada zaman jahiliah iaitu catatan jahiliah dan sumber kedua pada catatan selepas kedatangan islam,  pensejarahan zaman jahiliah berubah selepas kedatangan islam.
Pengertian sejarah dalam  bahasa arab ialah al-tarikh. Al-tarikh berasal dari perkataan Al-arkh. pensejarahan islam ini dapat di lihat dari pelbagai aspek iaitu tema,pemikiran dan kaedah.Tema bermaksud subjek yang mendasari sesuatu perbicaraan,wacana,karangan cerita,tajuk dan pokok[2].manakala pemikiran pula bermaksud perihal berfikir (memikir)[3].Kaedah terdapat dua maksud yang pertama  ialah cara atau peraturan  membuat sesuatu (yang bersistem  atau biasa) dan yang ke dua pula ialah mengajar cara mengajar  (berdasarkan prinsip tertentu)[4].
Pensejarahan islam ialah penulisan atau catatan sejarah selepas islam bertapak di tanah arab yang di sampaikan oleh para shabat, tabiin, berhubung peristiwa –peristiwa sejak dari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W, tugasnya menyebarkan islam , peperangan, kewafatan baginda  dan sebagainya[5].  Penulisan sejarah tidak bermula di zaman Nabi Muhammad S.A.W  ini kerana baginda sendiri pernah melarang para sahabat mencatat segala hadis baginda [6].maka para sahabat hanya menghafal  pada segala yang telah di ajar kepada mereka[7]. Tanpa disedari, melalui jihad, penaklukan dan pembukaan wilayah baru telah merangsang  perkembaangan pensejarahan islam. Pengumpulan bahan bermula semasa zaman Khulafa Al-Rasyidin, namun pensejarahan hanya bermula semasa Zaman Pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah. Oleh itu skop kajian kami bermula dari Zaman Kerajaan Umayyah hingga ke Zaman Kerajaan Abbasiyyah.




2.0 TEMA
            Menurut kamus dewan edisi keempat, tema bermaksud subjek yang mendasari sesuatu perbicaraan, wacana, karangan, cerita tajuk dan pokok.[8]Hal ini bermakna tema dapat dianggap sebagai tajuk bagi menunjukkan atau menerangkan tentang sesuatu perkara yang ingin dibincangkan.

            Kebanyakan sejarawan Islam di tanah Arab menggunakan tema tentang sejarah Nabi Muhammad s.a.w yang dikenali sebagai Al-Maghazi.[9]Al-Maghazi di sini bukan semata-mata mengenai Maghazi atau peperangan pada zaman Nabi tetapi termasuk juga hal-hal yang berkaitan dengan kerasulan, riwayat hidup nabi, dan ajaran Islam yang dibawanya.[10]Terdapat ramai tokoh sejarawan Islam yang menulis tentang tema ini antaranya, Urwah bin Zubayr Al-Zuhri, Al-Mas’udi, Al-Tabari, dan Al-Baladhuri.

Perkara-perkara yang disebut oleh Urwah dalam bukunya Al-Maghazi adalah lebih kepada kisah hidup Nabi bermula dari pengasingan diri baginda hingga kewafatan baginda, seperti peristiwa hijrah ke Madinah, peperangan dan kisah pembukaan Makkah.[11]

Bagi Al-Zuhri pula, penulisan tentang sejarah Al-Maghazi dalam karyanya Al-Maghazi didasarkan kepada karya Al-Maghazi oleh Urwah. Sebelum menulis mengenai penulisan sejarah Rasulullah dan para sahabatnya, beliau terlebih dahulu memaparkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Setelah itu diikuti dengan sejarah baginda di Kota Mekah dan Madinah.[12]Antara peristiwa zaman  sebelum Nabi beliau menceritakan tentang kisah Nabi-nabi terdahulu seperti Nabi Adam, Musa, Nabi Ayyub, Nabi Ibrahim, Nabi Ishaq a.s dan lain-lain. Setelah itu diceritakan secara khusus tentang riwayat hidup Baginda dan kaum keluarganya, pembinaan kaabah, Perjanjian Hilf al Fudul( antara anggota suku Quraisy yang lemah) dan Perang Fijar serta riwayat hidup isteri-isteri nabi,termasuk Sayidatina Khadijah dan tanda-tanda kerasulan Nabi.[13]
Sejarah selepas kerasulan Nabi Muhammad s.a.w pula diceritakan mengenai peristiwa penurunan wahyu, tindakan kaum Quraisy terhadap Nabi, kegiatan dakwah di Mekah, peristiwa Isra’ dan Mi’raj, hijrah ke Habsyah, pemulauan kaum Musyrikin terhadap Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib dan Peristiwa perjanjian Aqabah. [14]
Sejarah perkembangan Islam di Madinah diceritakan bagaimana proses penghijrahan ke Madinah, peristiwa pembinaan Masjid Madinah, peperangan yang disertai oleh Rasulullah, peristiwa penyingkiran kaum Yahudi dar Madinah, Perjanjian Hudaibyah, pembukaan kota Mekah, dan peristiwa-peristiwa lain yang berlaku di akhir-akhir hayat Nabi dan kewafatannya.[15]
Sejarah Al-Maghazi yang ditulis Al-Tabari didalam bukunya Tarikh al-Rusul wa al-Muluk pula merupakan olahan dan tafsiran dari karya Al-Maghazi yang dipetik dari catatan-catatan Urwah dan Al-Zuhri. Begitu juga dengan Al-Baladhuri dalam bukunya iaitu Futuh al-Buldan.[16]
Walaupun sejarawan Islam memilih tema yang sama, tetapi cara pengisian dan pengolahan mereka berbeza. Sebagai contoh, Urwah hanya memfokuskan sejarah Al-Maghazi kepada kisah Nabi Muhammad sahaja berbanding Al-Zuhri yang telah menceritakan dengan lebih jauh lagi iaitu tentang kisah-kisah nabi dan sejarah yang berlaku sebelum zaman kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian hasil Al-Maghazi Al-Zuhri dilengkapkan oleh anak muridnya yang juga ssejarawan seperti Ma’mar bin Rashid al-Yamani al-Basari pada 150 Hijrah 767 masihi, Muhammad bin Ishaq 151 hijrah 768 masihi dan Ibn Hisham 218 hijrah 833 masihi. Sejarah ini di tafsir dan diolah semula untuk generasi akan datang oleh sejarawan seperti Al-Tabari dan Al-Baladhuri.
Tema yang menerangkan tentang sejarah Khulafa Al-Rasyidin juga sering digunakan oleh sejarawan Islam di Tanah Arab seperti Urwah dan Al-Mas’udi. Urwah didalam bukunya Al-Maghazi telah menerangkan tentang Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. Antara perkara yang disentuh oleh Urwahh ialah mengenai peranan yang dimainkan oleh Saidina Abu Bakar ketika menghantar Usamah dalam ekspedisi tentera ke utara bagi menghadapi ancaman tentera byzantine dan mengenai gerakan Al-Riddah secara terperinci.[17]Beliau juga mencatatkan kegiatan tentera Islam dalam Perang Ajnadain di Syria dan perang Al-Qadisiyah di Iraq pada zaman Khalifah Umar dan juga tentang menandatangani perjanjian dengan tentera Byzantine oleh Umar di Bait al-Maqdis dan Perang Jamal(perang Unta) pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib.[18]
Al-Mas’udi pula menceritakan tentang pemerintahan Ali Bin Abi Talib dan menganggap Ali bin Abi Talib sebagai khalifah paling mulia dan layak memerintah, memuji khalifah Umar yang disifatkan sebagai tegas dan warak manakala menganggap khalifah Uthman tidak layak memerintah, begitu juga Muawiyah.[19]
Penulisan sejarah tentang Khalifah Al-Rasyidin yang ditulis oleh Al-Mas’udi dalam bukunya Kitab Muruj al-Dhahab wa Ma’adin al-Jawahir yang diterbitkan di Parsi dan Bulaq, Kaherah memperlihatkan unsur berat sebelah apabila hanya menitikberatkan pemerintahan Ali, berbanding dengan penulisan Urwah yang menceritakan setiap peranan Khalifah Al-Rasyidin dengan baik, saksama dan tidak memperlihatkan unsur berat sebelah. Hal ini penting kerana memudahkan generasi akan datang memahami dengan lebih mudah tentang sejarah tanpa hanya memihak kepada satu pihak sahaja.
Sejarah dunia juga dijadikan sebagai tema dalam penulisan sejarah oleh sejarawan Islam di Tanah Arab. Hal ini kerana isi kandungannya menyeluruh bermula dari aspek geografi sesuatu tempat, kejadian manusia sehingga sejarah pada zamannya, sejarah umat islam termasuk bangsa-bangsa didunia. Antara sejarawan yang menulis mengenai tema ini ialah Al-Mas’udi di dalam kitab Muruj Al-Dhahab wa Ma’ adin al-Jawahir. Separuh daripada kitab ini mengisahkan tentang sejarah Islam atau umat Islam. Selain itu, beliau juga membicarakan tentang bangsa-bangsa di dunia seperti Arab Jahiliyyah, Parsi, Rumawi, Qibti, Turki, India Cina, Syria dan Iraq. Al-Mas’udi juga menerangkan tentang kepentingan bangsa itu. Sebagai contoh, kepentingan bangsa Parsi dalam politik, dan Rumawi dalam bidang sains tabii(falsafah).[20]Ahli sejarah seperti Dinawari, Tabari, dan Ya’qubi juga membicarakan tentang bangsa-bangsa yang muncul sebelum kemunculan Nabi Muhammad s.a.w tetapi tidak sebanyak karya Al-Mas’udi. Hali ini kerana Dinawari hanya membincangkan tentang bangsa Parsi dan Rumawi, manakala Al-Tabari pula hanya menumpukan tentang sejarah bangsa Parsi sahaja. Walaupun Ya’qubi menerangkan tentang pelbagai bangsa tetapi beliau tidak membicarakan secara khusus tentang kepentingan bangsa tersebut kepada umat islam.[21]
Penulisan sejarah yang bertemakan seperti diatas nampaknya menunjukkan perbezaan dari sudut penceritaan dan perbicaraan antara para sejarawan islam di Tanah Arab, dimana Al-Mas’udi lebih menguasai dan telah membicarakan tema tersebut terutamanya mengenai bangsa-bangsa di dunia dengan terperinci untuk tatapan masyarakat pada masa akan datang,
Tema tentang sejarah kerajaan juga dibicarakan oleh para sejarawan Islam di Tanah Arab terutamanya oleh  Al-Mas’udi di dalam kitabnya Kitab Muruj al-Dhahab wa Ma’adin al-Jawahir.[22]Mengisahkan tentang Kerajaan Umayyah(41-132hijrah/661-749masih) dan Kerajaan Abbasiyyah(132-656 hijrah/749-1200 masihi).[23] Penulisan Al-Mas’udi mengenai kedua-dua kerajaan ini lebih sitematik teratur dan sistematis. Setiap khalifah disebut mengikut kronologi. Tetapi hanya Khalifah Umar bin Al-aziz sahaja yang dianggap sebagai khalifah dan menganggap khalifah Bani Ummayyah yang lain sebagai raja yang merampas kuasa.[24]Selain itu, sikap Al-Masudi terhadap Kerajaan Abbasiyyah kelihatan berat sebelah kerana tertakluk kepada sikap khalifah Abbasiyyah terhadap Ali dan kaum keluarganya. Oleh sebab itu, Al-Masudi hanya memuji khalifah Al- Manshur kerana menyokong perjuangan kaum Syiah.[25]  
Sekali lagi tema yang digunakan untuk penulisan sejarah ini juga memperlihatkan berat sebelah oleh sejarawan al-Mas’udi. Beliau membeza-bezakan antara kerajaan Umayyah dengan Abbasiyyah di mana beliau akan memuji pemerintah yang menyokong perjuangan Syiah kerana Al-Mas’udi mempercayai mengenai tentang Mazhab Syiah Imam Dua Belas.
Keagamaan juga digunakan sebagai tema dalam pensejarahan oleh sejarawan islam di Tanah Arab. Antara sejarawan yang menggunakannya  ialah Al-sakhawi yang menekankan terhadap ilmu Fiqah dan Hadis di dalam bukunya iaitu al-I’lan.[26] Beliau telah memberikan perhatian yang khusus terhadap kedudukan ilmu Hadis dan Fiqah dan beranggapan Hadis dan Fiqah bukanlah suatu bidang yang asing daripada sejarah. Oleh itu kajian terhadap ulama hadis dan ahli sejarah telah disatukan.
Pada tema ini, Al-Sakhawi cuba untuk mengembalikan semula tradisi pensejarahan bercorak pelbagai dimensi tetapi masih bersandarkan ilmu-ilmu agama. Namun, jika penggabungan antara ilmu-ilmu islam dengan ilmu sejarah terjadi, maka teori yang diutarakan oleh Al-Sakhawi ini akan tercapai.



















3.0 PEMIKIRAN

                Dalam pengertian yang lazim,pemikiran sebagai suatu proses merujuk kepada kegiatan mental yang waras bagi menghadapi dan mengatasi sesuatu masalah ataupun bagi melaksanakan sesuatu rancangan.Hasil daya usaha mentalnya itu dianggap sebagai lahiran pemikirannya.Pemikiran berlaku dan dilakukan oleh manusia pada setiap waktu dan tempat dan pada sepanjang zaman.Pada lazimnya juga,ketaakulan dan kerasionalan akan menjadi landasan kepada kegiatan mental yang waras itu[27].
  Sejarawan Islam di Tanah Arab mempunyai pemikiran yang tersendiri.Salah satu daripada pemikiran tersebut ialah penulisan sejarah boleh membantu masyarakat agar dapat memahami Al-Quran,hadis dan ilmu Islam.Menurut Urwah,hal ini demikian kerana Al-Quran dan hadis Cuma menjelaskan perkara asas tentang sesuatu perkara,hukum-hukum Islam mahupun peristiwa.[28]Contohnya,Urwah menulis dan mengkaji sejarah daripada Al-Quran itu sendiri.Beliau boleh dianggap sebagai pengasas pensejarahan Islam dan bidang kajian beliau tertumpu kepada sejarah Nabi Muhammad S.A.W.Sumber Al-Quran merupakan sumber bertulis utama dalam penulisan sejarah Islam.Al-Quran mula ditulis sejak zaman nabi lagi dan telah dibukukan pada zaman khalifah Uthman (23/644-35/656).Contohnya,Urwah telah memetik ayat-ayat suci Al-Quran bagi peristiwa-peristiwa tertentu seperti peristiwa Hijrah,Perang Badar dan sebagainya.
Kedua,terdapat sejarawan yang mempunyai pandangan penilaian sendiri terhadap sesuatu peristiwa dan beliau tidak terikut-ikut dengan pandangan masyarakat umum.Contoh sejarawan tersebut ialah Al-Zuhri.Hal ini terbukti semasa peristiwa Perjanjian Hudaibiah.Apabila beliau tidak bersetuju dengan pandangan masyarakat yang mengatakan bahawa perjanjian tersebut boleh menguntungkan pihak kaum musyrikin Quraisy.Pandangan Al-Zuhri sebaliknya apabila beliau berpendapat bahawa perjanjian tersebut lebih manguntungkan kaum muslimin seperti yang terbukti dalam sejarah.Kaum muslimin mencapai kejayaan demi kejayaan kesan daripada peristiwa itu sehingga agama Islam tersebar dengan meluasnya.[29]
Pemikiran ketiga ialah sejarawan berpendapat bahawa mempelajari ilmu sejarah merupakan suatu tugas agama yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu Muslim kerana dengan sejarah boleh membantu seseorang itu memahami ilmu-ilmu Islam yang lain.Pandangan ini merupakan pemikiran Al-Zuhri.Antara ilmu-ilmu tersebut ialah fiqah,tasawuf,tauhid dan sebagainya.Dengan pengetahuan sejarah juga,seseorang boleh menaikkan namanya dalam masyarakat[30].Maksudnya,sesiapa saja tanpa mengira sama ada dia rakyat biasa mahupun bukan yang memperoleh ilmu pengetahuan sejarah boleh dianggap istimewa pada zaman itu.
Pemikiran keempat ialah sejarawan mengatakan bahawa pendekatan yang rasional, ,kaedah dan perbahasannya yang analitikal dan terperinci menyebabkan Muqaddimah menjadi suatu bahan kajian yang penting dan menarik.Ini adalah pemikiran tokoh dan ahli fakir yang tiada taranya iaitu Ibn Khaldun.Ibn Khaldun telah menggunakan pendiriannya sendiri dengan mengetepikan pensejarahan tradisional dan sikap konservatif golongan ahli-ahli sejarah tradisi.Beliau berusaha mencari suatu penyelesaian terbaru lalu mewujudkan suatu falsafah yang baru.[31]
                Asas pemikiran sejarah Ibn Khaldun berpunca daripada ajaran Al-Quran kerana beliau telah mengasaskan teorinya kepada tindak-tanduk dan perkembangan manusia atau masyarakat.Al-Quran yang merupakan sumber utama sejarah Islam juga menganggap manusia sebagai watak utama dalam pementasan sejarah[32].Jadi,Al-Quran merupakan rujukan kepada Ibn Khaldun.
Selain itu,Ibn Khaldun menyarankan agar setiap sejarawan bersikap jujur pada diri sendiri dengan mengungkapkan perkara yang sebenarnya berlaku iaitu memisahkan kebenaran daripada kesilapan dengan membuat penyelidikan setiap fakta yang diterimanya.Sejarah yang ditulis itu kurang bermutu sekiranya tidak melihat kebenaran  dengan mata kepala sendiri.Seseorang sejarawan itu tidak akan dapat memahami sebab musabab dan sifat semulajadi sesuatu peristiwa tidak jujur.Sifat semulajadi ini merupakan sejarah bersifat dalam yang sepatutnya diberi keutamaan berbanding dengan sejarah bersifat luaran.[33]
Menurut Ibn Khaldun juga,manusia adalah makhluk sesat yang mempunyai roh,akal,dan tubuh badan dan masing-masing mempunyai tugas keperluannya.Kedua-dua unsur ini sangat penting dan seterusnya bekerjasama untuk mendapatkan kepuasan dan kebahagiaan hidup.Peradaban atau tamadun dicetuskan oleh perkembangan roh,akal,dan tubuh badan manusia melaluinya tamadun ini berjaya melahirkan sains sejarah.Sejarah mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan latar belakang masyarakat,dengan sebab itu,beliau sangat menekankan kepada aspek-aspek dalaman bagi sesuatu peristiwa.
Bagi pemikiran seterusnya ada sejarawan berpendapat bahawa sejarah merupakan salah satu cabang ilmu yang mengkaji peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa tertentu untuk menentukan sifat dan masanya.Beliau ialah Al-Sakhawi.Antara cabang-cabang ilmu tersebut termasuklah semua perkara yang telah dan sedang berlaku.Daripada segi bahan kajian,beliau berpendapat bahawa perkara utama yang menjadi bahan atau objek kajian sejarah ialah manusia dan masa.Sejarah dan pensejarahan melahirkan banyak masalah kepada kajian sejarah kerana ragamnya yang pelbagai.
                Al-Sakhawi juga berpendapat bahawa ahli sejarah perlu mempunyai kefahaman asas tentang berbagai-bagai cabang ilmu pengetahuan.Contohnya,menurut Al-Sakhawi,ahli-ahli sejarawan harus memahami ayat atau istilah teknikal dan cara-cara menggunakannya.Apabila mereka telah menyalahgunakannya di tempat yang salah atau mereka telah dituduh mengumpat dan memburukkan orang lain,hal ini akan menyebabkan mereka menghadapi masalah.Contohnya,situasi sebegini pernah berlaku kepada orang yang terkenal seperti Ibn Abi Hajlah dan Ibn Duqmaq.[34]
Pemikiran terakhir ialah seorang ahli sejarah itu mestilah bersifat benar.Ini merupakan pandangan daripada Al-Sakhawi.Apabila ahli sejarah melaporkan sesebuah hadis,ia mestilah patuh matan(teks) dan tidak bergantung kepada makna dan maksudnya sahaja.Ia tidak boleh melaporkan sesuatu hanya daripada hasil perbuatan.Ia juga mesti menyebut nama autoriti atau nama orang yang melaporkan(sesuatu cerita atau peristiwa).Cara dan proses pemindahan hadis sama dengan cara proses pemindahan bahan-bahan sejarah.[35]
                 










4.0 KAEDAH

            Sumber al-Quran merupakan sumber bertulis utama yang digunakan oleh para sejarawan Islam di Tanah Arab. Ini dilakukan dengan memetik ayat-ayat suci Al-Quran bagi peristiwa tertentu dan mentafsirkan beberapa ayat Al-Quran berhubung peristiwa tertentu. Al-Quran merupakan modal kepada buku-bukus ejarah lain telah menceritakan kisah teladan untuk pedoman kepada umatnya. Melalui Al-Quran, Allah S.W.T cuba mengajar umatnya agar memastikan segala cerita sejarah ditulis berdasarkan kebenaran . Kisah-kisah dalam Al-Quran turut membetulkan segala kisah dongeng Arab yang disampaikan oleh penyair-penyair Arab jahiliah dahulu. Contoh sejarawan Islam  yang menggunakan keadah ini ialah Al-Zuhri semasa beliau menulis tentang peristiwa perang Uhud, peristiwa penaklukan kota Makkah dan kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.
 Cara penulisan hadis turut merupakan keadah yang digunakan oleh para sejarawan di Tanab Arab. Antara ciri-ciri penting dalam penulisan hadis ialah penggunaan isnad. Isnad merupakan rangkaian pembawa-pembawa hadis. Perawi hadis mesti merupakan seseorang yang mempunyai daya ingatan yang kuat. Keistimewaan penulisan hadis adalah tidak ada unsur-unsur takwil atau tokok tambah. Ini amat penting kerana jikalau didapati terdapat perawi-perawi yang memalsukan hadis Nabi, maka mereka terpaksa berdepan dengan azab yang akan Allah s.w.t berikan[36]. Antara pengumpul hadis yang terkenal termasuk Imam Bukhari(194-256H), Abu Dawud(202-275H),dan Imam Abu Dawud(202-275H). Contoh-contoh sejarawan islam di tanah Arab yang menggunakan keadah ini ialah Urwah al Zubayr.Dalam penulisan karyanya, Urwah menggunakan bahasa yang mudah da jelas selaras dengan cara penulisan hadis. Beliau cuba mengelakkan sikapketerlaluan atau menokok tambah ketika menyampaikan cerita. Beliau menulis dan melaporkan berita secara bersambung-sambung seperti dalam peristiwa Perang Badar dan penghijrahan ke Habsyah.
                Kaedah seterusnya yang digunakan ialah memasukkan unsur sains dan falsafah. Kaedah ini ini di amalkan dengan memasukkan unsure sains dan falsafahdalam penulisan berdasarkan kaedah yang rasional. Kaedah ini cuba untuk mengubah penulisan daripada corak tradisional kepada yang lebih progresif dan saintifik bukan sahaja dari segi methodnya tetapi juga daripada segi skop dan temanya. Perlu dititikberatkan bahawa kaedah ini hanya memasukkan unsur sains dan falsafah sebagai bahan sejarah bukan sebagai kaedah penulisan sejarah.Contohnya sejarawan Islam yang menggunakan kaedah ini ialah Al-Masudi.Beliau telah menggabungkan bidang geografi dan bidang sejarah. Hasil karya beliau ‘Muruj al-Dhahab telah dikenali sebagainya sebuah ensiklopedia yang ditulis dalam bentuk susunan geografi.

                Sistem kronologi juga turut diamalkan dalam penulisan. Sistem kronologi merupakan sistem secara berurutan, sinambungan. Sistem kronologi yang digunakan dalam penulisan sesuatu karya amat penting untuk memastikan hasil penulisan mematuhi serta mempunyai konsep kesinambungan. Kaedah ini amat penting dalam penulisan sejarah kerana sebahagian daripada sejarah adalah bersangkut dengan tarikh-tarikh dan tempoh-tempoh tertentu[37]. Penggunaan kaedah kronologi dalam hasil penulisan membolehkan hasil karya yang bakal dihasilkan mempunyai jalan cerita yang sistematik dan bersinambungan. Ini secara langsung mampu meningkatkan ketepatan atau kesahihan hasil karya tersebut. Contoh tokoh sejarawan Islam yang menggunakan keadah ini ialah Al-Zuhri,Al-Tabari. Bentuk-bentuk cerita yang disampaikan adalah seperti peristiwa penaklukan kota Mekah dan kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.  
  Kaedah sosiologi juga digunakan sebagai salah satu kaedah. Dua aspek penting yang ditekankan dalam kaedah sosiologi. Pertama, mengenai sifat-sifat semula jadi dan kedua mengenai sebab-sebab sesuatu perkara itu berlaku. Jika hanya mengkaji sesuatu peristiwa yang berlaku tanpa memahami sejarah yang ditulis hanya boleh dianggap sebagai ‘sejarah am’ [38]sahaja. Namun, jika memahami dan mengkaji secara mendalam sifat semula jadi dna tindak-tanduk masyarakat peristiwa itu, maka sejarah yang dihasilkan dianggap sebagai ‘sejarah khas’. Sejarah khas pula dibahagi kepada dua kualiti iaitu zahir dan batin. Pada peringkat zahir, sejarah yang diceritakan ialah berita, perang, peristiwa lalu, serta jatuh bangunnya sesebuah kerajaan. Contoh sejarawan Islam yang menggunakan kaedah ini ialah Ibu Khaldun.
 Penggunaan cerita rakyat, cerita dongeng, dan syair Arab turut diamalkan. Tujuan kaedah ini digunakan adalah untuk keseronokan dan menghiburkan para pembaca sahaja. Penggunaan kaedah tersebut menurut. Al-Zuhri tidak akan mencacat hasil penulisan karya kerana dengan adanya sumber yang berbentuk pengalaman masyarakat menerusi cerita, puisi, dan syair akan memperjelaskan lagi ciri-ciri serta keperibadian pesejarahan Islam pada zaman itu. Tambahan pula, terdapat beberapa kategori yang ada kaitan dengan sejarah atau lebih dikenali sebagai syair bercorak sejarah[39]. Ini bermaksud, peristiwa sejarah dilukiskan dalam bentuk syair agar masyarakat mudah mengingatinya. Contoh sejarawan yang menggunakan kaedah ini kaedah tersebut ialah Urwah al-Zubayr. Beliau sering memetik syair-syair yang ada kaitan dengan peristiwa tertentu. Misalnya, beliau memetik syair-syair Waraqah bin Naufal berkaitan dengan penyeksaan kaum musyrikin Quraisy ke atas Bilal bin Rabah. Penggunaan kaedah ini turut penting dalam sesbuah penulisan. Ini kerana para sejarawan Islam pada abad ke 4/10 beranggapan bahawa salah satu tujuan atau objektif sejarah ialah untuk menghiburkan para pembaca dan bidang sastera adalah salah satu bidang ilmu yang dapat menghibur dan menarik minat pembaca.

  Kaedah seterusnya yang digunakan ialah ialah kaedah menemu bual, meninjau pendapat dan pandangan penduduk tempatan. Kaedah ini dilakukan dengan menemu bual golongan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk ahli perniagaan , kaum tani, ahli pelajaran dan sarjana pendapat dan pandangan mereka terhadap peristiwa terhadap peristiwa tertentu. Walaubagaimanapun, penggunaan kaedah tersebut oleh para sejarawan Islam amat terhad, ini kerana sumber lisan amat bergantung kepada daya ingatan dan hafalan. Melalui proses waktu, daya ingatan manusia menjadi semakin lemah serta tidak ada usaha untuk mengingati. Contoh sejarawan Islam yang menggunakan kaedah ini Al-Tabari. Ketika menulis sejarah Nabi-nabi, beliau banyak membuat penyelidikan secara lisan iaitu bertanya kepada orang yang boleh dipercayai dan mempunyai ingatan yang kuat(dhobit).[40]
 Kaedah terakhir yang digunakan ialah menggunakan Arkib Negara. Arkib Negara merupakan tempat kajian untuk mendapatkan bahan-bahan bertulis.Bahan-bahan yang terdapat di Arkib Negara merangkumi pelbagai bidang termasuk sejarah, geografi, astronomi, falsafah, sains tulen dan teologi yang bukan sahaja diperolehi daripada orang Islam tetapi juga bukan beragama Islam. Sejarawan Islam iaitu Al-Masudi berjaya menulis sejarah negeri-negeri dan penduduk yang sezaman dengannya dengan adanya bantuan daripada rujukan daripada Arkib Negara.
  Daripada isi-isi di atas jelaslah menunjukkan terdapat pelbagai kaedah yang digunakan oleh sejarawan Islam dalam usaha untuk menghasilkan sesebuah karya. Kaedah-kaedah yang digunakan bukan sahaja penting untuk memperolehi maklumat malah memperkukuhkan lagi hasil penulisan sesebuah penulis. Pendekatan sastera yang digunakan pula mampu menarik minat para pembaca. Walaubagaimanapun, penggunaan kaedah ini harus sesuai dengan karya yang bakal dihasilkan agak ketepatan serta kesahihan sesebuah hasil penulis tidak akan dipertikaikan.







5.0 PENUTUP.
            Pada peringkat awal, tema yang digunakan oleh para sejarawan Islam tidak dapat dibezakan dengan penulisan hadis kerana kebanyakan sejarawan islam merupakan ahli hadis. Namun, para   sejarawan moden islam telah mencetuskan tema-tema yang baru yang mengkaji sejarah dari sudut skop dan teori yang luas. Hal ini kerana para serajawan tersebut tidak lagi hanya membataskan kepada tema keagamaan tetapi telah melaus kepada disiplin ilmu duniawi yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat.
            Dari segi pemikiran kita dapat  melihat pemikiran sejarawan islam pada awalnya lebih kepada al-quraan,hadis dan tauhid.berlaku perubahan dari semasa ke semasa maka pemikira sejarawan islam berubah kepada lebih rasional  tetapi tetap mengekalkan  pemikiran yang lalu.
            Dari segi perubahan kaedah dapat kita lihat pelbagai kaedah dan pendekatan yang di guna kan untuk menyampaikan  maklumat sejarah pada awalnya cara penulisan hadis,kemudainya mengunakan sumber bertulis ,terdapat juga menyelitkan tentang unsure sains dan falsafah,juga terdapat kaedah kronologi.dan juga terdapat kaeadah penyampaian seperti cerita rakyat cerita dogeng dan syair arab.kaedah ini merangkumi kaedah formal dan tidak formal agar memastikan proses mendapat maklumat berjalan dengan lancar.
            Kesimpulan yang telah kami simpulkan  di sini ialah tema,pemikiran dan kaedah yang di gunakan oleh sejarawan islam pada awalnya lebih tertumpu kepada biografi nabi Muhammad dan kisah pada  zaman khulafa al-rasyidin. Namun ianya terus berkembang dengan pesat pada Zaman Pemerintahan Kerajaan Umayyah dan Kerajaan Abbasiyah disebabkan oleh perkembangan ilmu pengetahuan yang diketuai oleh pemerintah ada zaman tersebut.



















































































[1]Muhammad yusuf Ibrahim dan Mahyudin Haji Yahya,Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya,Selangor:Dewan Bahasa dan Pustaka,1988,hlmn110.
[2] Hajah Noresah bt Baharom ,Kamus Dewan Edisi ke empat ,kuala lumpur,Dewan bahasa dan pustaka,2007,hlmn1638.
[3] Hajah Noresah bt Baharom ,Kamus Dewan Edisi ke empat ,kuala lumpur,Dewan bahasa dan pustaka,2007,hlmn411.
[4] Ibid,hlmn 653.
[5] Muhammad yusuf Ibrahim dan Mahyudin Haji Yahya,Sejarawan dan Pensejarahan,Selangor,Dewan Bahasa dan Pustaka,hlmn166.
[6] Ibid,hlmn172.
[7] Ibid,hlmn172.
[8] Hajah Noresah bt Baharom ,Kamus Dewan Edisi ke empat ,Kuala Lumpur,Dewan Bahasa dan Pustaka,1988,hlmn1638.
[9] Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya, Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka,1988,hlmn 113.
[10] Ibid.
[11] Arba’iyah Mohd Noor,Ilmu Sejarah dan Pensejarahan Ketokohan dan Keaya,Selangor:Dewan Bahasa dan Pustaka,2002,hlmn 184.
[12] Ibid,hlmn 122.
[13] Ibid.
[14] Ibid,hlmn 122-123.
[15] Ibid,hlmn 123.
[16] Ibid,hlmn 114-115.
[17] Yang dimaksudkan dengan gerakan al-Riddah ialah gerakan penentangan daripada kaum murtad dan nabi-nabi palsu terhadap kerajaan Islam di madinah pada Zaman Khalifah Abu Bakar Al- Siddiq.
[18] Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya,Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya,Selangor:Dewan Bahasa dan Pustaka,1988,hlmn 115.
[19] Ibid,hlmn 134.
[20] Ibid,hlmn 132-133.
[21] Ibid.
[22] Ibid,hlmn 134.
[23] Ahmad al-Usairy,Sejarah Islam Sejak Zaman Nabi Adam hingga Abad XX,Jakarta:Akhbar Media Eka Sarana,2003,hlmn 179-258.
[24] Ibid,hlmn 134.
[25] Ibid,hlmn 135.
[26] Ibid,hlmn 205-206.

[27][27] Muhd.Yusuf Ibrahim,Ilmu Sejarah,Falsafah,Pengertian dan Kaedah,Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,2000,hlmn186.
[28] Arba’iyah Mohd Noor,Ilmu Sejarah dan Pensejarahan,Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,2002,hlmn 184.
[29] Muhd.Yusuf Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya,Sejarawan dan Pensejarahan,Ketokohan dan Karya:Kuala Lumpur,1988.hlmn 124.
[30] Ibid,hlmn 126.
[31] ibid,hlmn 180
[32] Ibid,himn 189
[33] Arba’iyah Mohd Noor,Ilmu Sejarah Dan pensejarahan,Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Dan Pustaka,2002,hlmn194
[34] Muhd. Yusof Ibrahim Mahayudin Haji Yahaya,Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan Dan Karya,Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,1988,himn 211
[35] Ibid, himn 213
[36]Arba’iyah Mohd Noor,Ilmu sejarah dan Pensejarahan,Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka,2002 himn 177
[37] Muhd Yusof Ibrahim,Ilmu Sejerah falsafah,Pengertian,dan kaedah,Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan PUstaka,2000 himn 226
[38] Mukaddimah Ilmu Khaldun,diterjemah oleh Ali Munawar,Kuala Lumpur:Oxford University  Press,1964
[39] Arba’iyah mohd Noor,ilmu sejarah dan Persejarahan,Kuala Lumpur:dewan Bahasa Dan Pustaka,2002,himn 35
[40]Ibid,himn 58

No comments:

Post a Comment