nuffnang

Thursday, June 6, 2013

Masalah Kashmir merupakan ‘duri dalam daging’ dalam hubungan India-Pakistan. Jelaskan

1.0      Pengenalan
Kashmir merupakan sebuah wilayah kecil yang terletak di bahagian paling utara benua kecil India. Kedudukannya juga strategik antara Asia Tengah (India-Pakistan), Asia Selatan (Afganistan) dan Asia Timur (China).[i] Kashmir mempunyai kawasan seluas lebih kurang 222.236 kilometer persegi dan 84 000 kilometer persegi daripada keluasannya adalah kawasan tanah lembah.[ii] India menguasai 100.569 kilometer persegi dari wilayah Kashmir manakala Pakistan pula mempunyai keluasan 78.932 kilometer persegi dari wilayah Kashmir. Berdasarkan data bancian penduduk pada tahun 2001, jumlah penduduk Kashmir seramai 10.069.917 orang di wilayah yang India manakala penduduk Kashmir di bawah wilayah Pakistan ialah 3000.000 orang. Jumlah penduduk Kashmir secara keseluruhannya pada tahun 2001 seramai 13 069 917 orang.
                Ibu kota wilayah Jammu-Kashmir yang dikuasai India ialah Srinagar manakala pusat pentadbiran wilayah Azad Kashmir yang dikuasai Pakistan ialah Muzaffarabad. Lembah Kashmir meliputi lima wilayah penting iaitu Jammu, Srinagar, Ladakh, Baltistan dan beberapa wilayah seperti Hunza, Nagar, Gilgit, Chilas, Astor, Yasin, Ishkuman dan sebahagian Dardistan.[iii] Manakala China menguasai wilayah di bahagian timur laut iaitu Aksai Chin dan Trans-Karakoram.[iv] Ini menunjukkan bahawa wilayah Kashmir di kuasai oleh tiga negara namun India dan Pakistan tidak pernah mengiktiraf pemilikan antara satu sama lain di wilayah Kashmir. India mendakwa bahawa kawasan dibawah kuasanya termasuk kawasan yang diserahkan oleh Pakistan kepada China iaitu laluan Trans-Karakoram merupakan sebahagian daripada wilayahnya manakala Pakistan menuntut seluruh kawasan Kashmir kecuali Aksai Chin dan laluan Trans-Karakarom. Kashmir menjadi wilayah British sehingga tahun 1947 sebelum termasuk dalam pemisahan India dan Pakistan. Selepas pembentukan negara Pakistan, India dan Pakistan telah bersetuju supaya Kashmir diberi hak untuk memilih menyertai Pakistan atau India. Kashmir berada di bawah negeri yang ditadbir oleh Raja India.[v]
                Nama Kashmir merujuk kepada kawasan lembah yang terletak antara Himalaya Besar dan banjaran gunung Pir Panjal di kawasan paling utara India. Lembah merupakan kawasan lembah yang berair. Nama Kashmir merupakan cantuman perkataan ‘Ka’ yang bermaksud air dan perkataan ‘Shimir’ bererti yang dikeringkan. Oleh yang demikian, nama Kashmir membawa maksud lembah yang dikeringkan airnya.[vi] Terdapat teori yang menyatakan lembah Kashmir berasal dari Tasik Satisar yang telah kering airnya.[vii]
                Pada tahun 1981, terdapat tiga agama utama yang menjadi anutan dan pegangan masyarakat di wilayah Kashmir iaitu agama Islam, agama Hindu dan agama Buddha.[viii] Setiap wilayah mempunyai pegangan mazhab yang berbeza. Misalnya, wilayah Kashmir majoritinya mengamalkan mazhab Sunni dan wilyah Baltistan berpegang kepada mazhab Syiah.[ix] Agama Islam majoriti menjadi pegangan penduduk di wilayah Gilgir, Baltistan dan lembah Kashmir. Wilayah Jammu penduduknya pula menganut agama Hindu dan Sikh serta Ladakh menganut agama Buddha. Berdasarkan statistic menunjukkan agama Islam sebagai agama yang dianuti oleh majoriti penduduk di wilayah Kashmir mengikut pecahan 74.16% penduduk memeluk agama Islam, 23.72% penduduk menganut agama Hindu dan Sikh serta agama Buddha sebanyak 1.2% sahaja penganutnya. Islam disebarkan wilayah tersebut apabila Kashmir ditakluk orang Islam pada akhir abad pertama hijrah dibawah pimpinan Muhammad bin Qasim. Penyebaran Islam di wilayah Sind dan India pada  94H  kemudian tersebar di sebahagian wilayah India yang lain pada zaman Abbasiyah, Khalifah al-Muktasim sekitar 218H hingga 225H. Islam terus tersebar dibenua itu meliputi negara India, Pakistan, Kashmir dan Bangladesh.[x] Mahatma Gandhi memberi jolokan Kashmir sebagai Lembah Sinar Harapan dalam Kegelapan yang diterangi dengan keagamaan.[xi]
                Kegiatan ekonomi utama penduduk Kashmir berasaskan pertanian. Tanaman utama ialah padi kerana beras menjadi makanan ruji penduduk di Kashmir. Kashmir sejak zaman silam terkenal sebagai pengeluar bulu kambing Cashmere untuk dieksport ke seluruh dunia. Kashmir kaya dengan kesenian melalui penghasilan barangan kraftangan dan dijual kepada masyarakat tempatan dan eksport keluar. Barangan kraf yang dihasilkan seperti selendang, permaidani sutera, permaidani tebal dan tembikar. Wilayah Srinagar terkenal sebagai pusat barangan perak, gam, ukiran kayu dan tenunan sutera. Selain menjana ekonomi dalam bidang pertanian, pendapatan penduduk turut diperolehi daripada aktiviti pelancongan di Kashmir yang berkembang pesat sekitar abad ke-19. Bentuk muka bumi Kashmir yang berhampiran dengan banjaran telah menjadikan suhu yang sejuk dan menarik pelancong untuk datang ke Kashmir.  Kashmir kaya dengan sumber alam yang menarik, tumbuhan hidup subur dan dikelilingi pergunungan yang airnya mengalir dari lembah-lembah dan menjadi salah satu tempat yang paling indah di dunia.[xii] Selain itu, kawasan utara Skardu popular sebagai tapak untuk mendaki gunung di Karakoram. Bandar Rawalakot juga kawasan yang popular untuk pelancongan di Kashmir selain Srinagar.
                Wilayah Kashmir sehingga hari ini sering bergolak sejak mendapat kemerdekaan dari Inggeris pada tahun 1947. India dan Pakistan telah berperang disebabkan konflik Kashmir ini selian India membantu Pakistan Timur melepaskan diri dari Islamabad. Wilayah Kashmir menjadi rebutan antara India dan Pakistan kerana masing-masing beranggapan Kashmir berada diwilayahnya. Pakistan beranggapan kerana penduduk Kashmir majoritinya beragama Islam maka harus berada di bawah wilayahnya. Kashmir terdiri atas dua negeri merdeka iaitu Jammu dan Kashmir. Selepas pemisahan India dan Pakistan, Kashmir tersepit ditengah-tengah apabila diberi pilihan untuk masuk ke India atau Pakistan. Terdapat beberapa faktor berlakunya konflik di Kashmir yang akan dijelaskan persoalannya tentang Kashmir yang tidak selesai sehingga hari ini.


2.0      Asas-asa Konflik di Kashmir
Faktor pertama yang menyebabkan berlakunya konflik di Kashmir ialah perbezaan agama. Pada peringkat awal, Kashmir merupakan pusat penting bagi agama Hindu dan Buddha sebelum munculnya ajaran Kashmir Shaivism pada abad kesembilan.[xiii] Selain agama Hindu dan Buddha, penduduk Kashmir menerima agama Islam yang dibawa oleh Muhammad bin Qasim pada 94H di Sind dan India kemudian tersebar meluas ke sebahagian wilayah India lain pada 218-225H masa pemerintahan Abbasiyah. Shah Mirza merupakan pemerintah Islam pertama di Kashmir dan memulakan susur galur pemerintahan Salatin-i-Kashmir pada tahun 1349. Kashmir telah diperintah selama lima abad oleh kerajaan monarki Islam termasuk pemerintahan Moghul sehingga tahun 1751 kemudian kerajaan Afghan Durranis mengambil alih tampuk pemerintahan sehingga tahun 1820. Kashmir kemudian ditawan Ranjit Singh yang beragama Hindu dari Punjab pada tahun 1819. Beliau tidak dapat memerintah dengan baik dan Inggeris berjaya mengambil Kashmir. Melalui Perjanjian Amritsar 1946, Inggeris telah menjual Kashmir dengan harga 7.5 juta Rupee kepada Maharaja Galub Singh. Galub Singh ialah seorang tuan tanah keturunan Dogra dari Jammu yang menabalkan dirinya sebagai raja.[xiv] Pemerintahan Dogra ini tamat pada tahun 1947, apabila Kashmir menjadi wilayah bergolak dan ditadbir oleh tiga negara iaitu India, Pakistan dan China. Bermula pada tahun 1349, agama Islam menajdi agama yang dominan di Kashmir dan penduduknya hidup dalam keadaan yang harmoni kerana mereka berpegang kepada cara hidup sufi di Kashmir yang mengamalkan cara hidup seperti dalam ajaran Islam. Kerajaan sufi ini digantikan oleh Akhbar Khan pada 1588 dengan kerajaan monarki Islam.
                Sehingga awal abad ke-19, lembah Kashmir telah diperintah beberapa kerajaan sehingga pemisahan India dan Pakistan. Kashmir telah diletakkan di bawah India tanpa sempat membuat pilihan yang sewajarnya. Pemilihan Muhammad Ali Jinnah untuk keluar dari India membentuk negara sendiri adalah tepat. Hal ini kerana pemerintahan India di bawah Kongres Kebangsaan India telah mengabaikan hak dan kebajikan orang Islam. Orang Hindu mendapat keistimewaan dalam majlis dan berhak mengundi.
Kashmir lambang identiti kepada India dan Pakistan. Pakistan telah menyatakan keraguan mengenai penagmbilan Kashmir oleh India selepas pemisahan Pakistan dan India pada tahun 1947.[xv]  Islamabad turut menuduh New Delhi mengingkari resolusi PBB tentang kebebasan untuk menentukan kehendak rakyat Kashmir. India beranggapan bahawa pengambilan Kashmir berdasarkan undang-undang sehinggalah pada November 1956 satu deklarasi Kashmir merupakan sebahagian daripada persekutuan India.[xvi] Keinginan Pakistan untuk mengambil alih Kashmir tidak pernah luntur dari India kerana Pakistan yakin dengan teori dua bangsa yang memperjuangkan Hindu dan Islam. Teori dua bangsa telah memisahkan India dan Pakistan. Bagi Pakistan masuknya Kashmir dalam Pakistan kerana majoriti penduduk di Kashmir penganut agama Islam. Ini menunjukkan bahawa teori dua bangsa memberi reaksi negatif yang membentuk nasib Asia Selatan dalam pertengahan abad ke-20.
                Faktor yang kedua berkait dengan isu bersempadanan. Pemisahan Pakistan dari India bertujuan membentuk negara Muslim di Asia Selatan. Terdapat anggapan bahawa Kashmir yang mmepunyai majoriti penduduk Musliam harus bergabung dengan Pakistan. Misalnya, pada tahun 1950, 4.70 00 orang penduduk Jammu-Kashmir, 3.101 247 orang atau 77.1% adalah Muslim manakala Hindu hanya sekitar 20.1% dan agama Sikh 1.64% sahaja. Fakta tersebut dipegang kuat oleh Pakistan untuk menyatakan wilayah ini wajar masuk ke Pakistan. Selain itu, keadaan geografi Kashmir lebih berkait kepada Pakistan kerana kesampaiannya lebih terbuka dari Pakistan. Sehingga kini cara mudah untuk sampai ke Kashmir adalah melalui bahagian barat Pujat ke Sialkot dan Rawalpindi. Semasa pasca perang tahun 1947, India membangunkan jalan melalui Pathanakot tetapi tidak sesuai kerana keadaannya yang keras. Oleh yang demikian, wilayah Kashmir mempunyai ikatan yang lebih erat kepada Pakistan sebagai jalan masuknya.
                Berdasarkan pembahagian yang dipersetujui akan mempunyai dua sempadan iaitu wilayah Islam (Pakistan) dan wilayah Hindu (India) seperti yang pelan pembahagian di bawah Indian Independence Act pada 3 Jun 1947. Penduduk yang beragama Islam akan masuk ke Pakistan manakala penduduk yang agama Hindu akan tinggal di India.  Pada 8 Julai 1947, seorang peguam British, Sir Cyril Radcliffe datang ke India untuk membahagikan dua bahagian iaitu di sebelah barat ada Punjab dan sebelah kawasan timur ada Bengal.[xvii]
                Selain itu, Liga Muslim telah berhasrat untuk memiliki Kashmir dalam membentuk negara Pakistan supaya menjadi negara Islam yang baru.[xviii] Menurut Choudri Rahmat Ali telah membentuk akronim PAKISTAN dan menyatakan bahawa huruf K dalam perkataan PAK merujuk kepada Kashmir.[xix]
                India berpegang kepada Instrument of Acession yang Maharaja Hari Singh tandatangan sebagai tanda sah dengan India kerana maharaja terancam dengan serbuan suku-suku asing di perbatasan Pakistan. Suku Pashtun telah memberontak pada Oktober 1947 untuk menentang kekuasaan maharaja yang mendapat sokongan Inggeris bagi menekan penduduk Kashmir. Pakistan turut menghantar pasukannya bagi menyokong pemberontakan tersebut. Maharaja Hari Singh meminta pertolongan daripada Pandit Jawaharlal Nehru dengan dikenakan beberapa syarat. Syarat pertama, maharaja mesti bergabung dengan India dan Kashmir perlu dapat izin dari Sheikh Muhammad Abdullah untuk bergabung dengan India. Tentera India dapat menguasai semula daerah-daerah yang dikuasai oleh pemberontak dan tentera Pakistan. Masalah ini dibawa kepada Persatuan Bangsa-Bangsa(PBB) oleh Nehru. Pakistan telah diberi amaran supaya tidak bertindak agresif melalui resolusi No.47 pada April 1948 kerana PBB akan mengadakan pertemuan dengan India dan rakyat Kashmir untuk menentukan sama ada Kashmir perlu bergabung di bawah India atau Pakistan.[xx]
                Tentera India dikatakan masuk secara haram kerana Pakistan dan Kashmir memperotes kedatangan tentera tersebut. Mereka ragu dengan dokumen yang ditandatangani oleh Nehru dan maharaja. PBB dan Inggeris sendiri tidak mengakui kenyataan India menduduki Kashmir hasil persetujuan perjanjian itu. Ini kerana Kashmir lebih layak berada di bawah Pakistan dengan alasan sebahagian besar penduduk Kashmir beragama Islam dan Kashmir lebih mengembangkan ekonominya ke Pakistan.[xxi]
                Satu perjanjian Karachi ditandatangani oleh India dan Pakistan pada Julai 1949 dan perjanjian ini bertahan sehingga 1965 apabila India melanggar perjanjian tersebut.[xxii] Kesannya, terbentuk garis genjatan sejata disepanjang daerah yang diduduki oleh India dan Pakistan. Pada tahun 1972, garis ini menjadi garis kawalan (Line of Control, LOC) tetapi penentuan penentuan garisan ini tidak dapat meredakan hubungan India-Pakistan kerana kedua-duanya mempertahankan untuk menguasai wilayah Kashmir. Persempadanan dibahagikan seperti berikut yang mana sepertiga wilayah Kashmir dikuasai oleh Pakistan iaitu Azad Kashmir dengan pusat di Muzaffarabad manakala India berkuasa duapertiga ibu kota Srinagar.[xxiii]  Ini menunjukkan wilayah Kashmir dimiliki oleh tiga negara. Pakistan menguasai Azad Kashmir, India mengawal Jammu, Kashmir dan Ladakh manakala China menguasai bahagian timur laut iaitu Aksai Chin dan Trans-Karakoram. India berkuasa ke atas majoriti Glasier Siachen termasuk kawasan Ridge Saltoro Pas, manakala Pakistan menguasai sebahagian barat daya Ridge Saltoro. India mengawal 101.338 kilometer persegi (39.127 batu persegi) wilayah yang dipertikaikan, Pakistan 85.846 kilometer persegi  (33.145 batu persegi) dan keluasan berbaki 37.555 kilometer persegi (14.500 batu persegi) di bawah kawalan China.
Seterusnya, faktor kedudukan Kashmir yang strategik telah mendorong India dan Pakistan berjuang dan bertahan untuk menguasai Kashmir. Kashmir mampu memberi sumbangan dari aspek politik, ekonomi dan sosial kepada India dan Pakistan. Kepentingan Kashmir kepada Pakistan antaranya bekalan atau sumber air yang berterusan dari Sungai Indus, Chenab dan Jhelum mengalir melalui Kashmir untuk kegiatan pertanian di Pakistan. Ketiga-tiga sungai ini mengalir ke Pakistan Barat dari Kashmir ditambah sungai Sutley dan Ravi yang berhulu di India.  Jika Pakistan gagal mendapatkan Kashmir, Pakistan akan menghadapi ancaman bahaya terhadap aktiviti pertanian seluas 19 juta ekar yang bergantung sepenuhnya kepada ketiga-tiga sungai tersebut. Wilayah Kashmir yang strategik sangat penting kerana terletak di dataran tinggi yang bergunung dan sesuai untuk dijadikan tempat pertahanan dan memantau musuh yang hendak menyerang Kashmir.[xxiv]
Selain itu, Kashmir penting untuk membentuk majoriti Islam sejajar dengan hasrat pembentukan Pakistan apabila dipisahkan dari India. Di Kashmir penganut agama Islam paling ramai berbanding agama Hindu dan Sikh. Justeru, Pakistan cuba mempertahankan Kashmir untuk dimasukkan dalam wilayah Pakistan. Selain itu, keindahan dan kemakmuran Kashmir terkenal di seluruh dunia mampu menjana pendapatan ekonomi Pakistan melalui aktiviti pelancongan dan perdagangan eksport barangan kraftangan dan pengeluar bulu kambing Cashmere ke seluruh dunia.
                India mahu menguasai Kashmir untuk kepentingan negaranya. Antara kepentingan Kashmir kepada India adalah keadaan bentuk muka bumi Jammu-Kashmir yang bergunung-ganang sesuai untuk benteng pertahanan. Benteng pertahanan penting kerana kedudukan Kashmir yang bersempadan dengan Tibet, China, Afghanistan dan Soviet Union kerana Jammu-Kashmir menjadi laluan atau pintu utama kepada dunia luar. Selain itu, kepentingan ekonomi kerana Kashmir mempunyai potensi untuk maju dengan aktiviti pertanian padi dan sayur-sayuran di samping pemandangan indah untuk menarik pelancong ke Kashmir. Kashmir juga penting untuk membentuk komuniti yang beragama Hindu.[xxv] Pakistan mahu isu ini dibawa ke PBB tetapi India tetap perpegang kepada Perjanjian Simla yang ditandatangani.
                Seterusnya, faktor ketenteraan usaha untuk menyatukan India pada abad ke-18 dan 19 apabila Barat turut menggunakan tentera untuk menguasai India.[xxvi] Tentera British telah menunjukkan kekuatannya semasa dalam perang Panipat dan Plassey dalam usaha menguasai Bengal seterusnya menguasai India. Semasa British berkuasa di India mereka menguasai penuh India dan sebarang penentangan akan dibunuh. Misalnya, peristiwa berdarah pada tahun 1919 di Jaliawalla yang mengorbankan lebih 300 orang tempatan yang beragama Sikh. Penguasaan Bristish ini tamat apabila India dan Pakistan merdeka pada 1947 untuk membentuk negara Hindu dan Muslim.[xxvii]
                Selepas kemerdekaan Pakistan pada 14 Ogos 1947 dan India pada 15 Ogos 1947[xxviii], tentera India telah masuk ke Kashmir selepas Bristish memasukkan Kashmir di bawah India tanpa persetujuan Kashmir. Walhal sebelum itu, Kashmir telah diberi pilihan untuk memilih masuk ke India atau Pakistan. Terdapat tiga jenis pasukan keselamatan India di Kashmir iaitu polis tempatan, angkatan tentera dan tentera biasa. Mereka diberi latihan, organisasi, komposisi etnik dan pekerjaan harian bagi mengalahkan pemberontakan. Jumlah tentera yang diletakkan di seluruh wilayah Kashmir seramai 6 000 000 orang. Pendudukan tentera India tidak disenangi oleh penduduk  Kashmir. Tentera India pernah mendapat pasukan senjata nuclear dari Soviet Union pada tahun 1984 dan keadaan pada ketika itu seperti bazaar senjata.[xxix] Pakistan turut mendapat bantuan senjata dari luar iaitu Amerika Syarikat supaya mampu bersaing dengan India. Wilayah India-Pakistan boleh mengancam antara satu sama lain dengan bantuan senjata nuklear. India terkenal dengan kekuatan tentera dan penduduk yang ramai serta berhampiran dengan Rusia. Ini menyebabkan masyarakat antarabangsa tidak berani menghukumnya dan India semakin menindas. Kemuncak kepada kehebatan tentera  India pada 27 Oktober 1947 apabila lebih daripada 300 000 orang penduduk Kashmir telah terkorban dalam tempoh dua bulan tentera  India menakluk wilayah Jammu dan Kashmir.[xxx]  Peristiwa ini memberi kesan hebat dan membawa titik hitam dalam hidup penduduk di Kashmir. India telah mencabul Akta Kemerdekaan India dan Rancangan Pemisahan tahun 1947 dengan menghantar tentera untuk wilayah tersebut. Mengikut Akta Kemerdekaan India dan Rancangan Pemisahan yang diluluskan oleh Parlimen Britain pada 18 Julai 1947, kerajaan Britain telah memutuskan bahawa India sebagai negara jajahan perlu dibahagikan kepada dua hingga terbentuk India dan Pakistan. Ini berdasarkan syarat yang mana kawasan berpenduduk majoriti Hindu akan membentuk negara India manakala kawasan yang penduduk majoriti Islam di wilayah barat dan Bengal timur akan menyertai negara baru Pakistan. India telah membawa masalah Kashmir ke PBB pada 1 Januari 1948 untuk mendapatkan bantuan. Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan resolusi bahawa penaklukan dan pendudukan India ke atas Kashmir adalah tidak sah.[xxxi]
                Selain itu, India membawa isu Kashmir ke PBB dan genjatan senjatan mula dikuatkuasakan. Namun, India gagal mematuhi janji untuk memberi hak kepada Kashmir memilih masa depan mereka untuk bersama India atau Pakistan. Penduduk Kashmir kecewa lalu bertindak untuk memberontak secara besar-besaran pada 1989 bagi mendesak India memulangkan hak mereka untuk menentukan masa depan mereka. Pemberontakan tersebut disokong kuat oleh penduduk Kashmir. Keadaan semakin meruncing menyebabkan Perdana Menteri India, Atal Bihari Vajpayee membuat rundingan dengan Presiden Pakistan, Jen (B) Perves Musharraf pada 6 Januari 2004. Rundingan India-Pakistan masih berterusan sehingga hari ini. Namun, tentera India menjadi penghalang kepada penyelesaian krisis Kashmir. India bertindak mendiamkan diri terhadap tuntutan Kashmir untuk menjadi kawasan bebas tentera dan melepaskan penduduk Kashmir membentuk kerajaan sendiri bagi menyelesaikan konflik ini. Tentera India terus mencabul hak asasi penduduk Kashmir apabila beribu-ribu penduduk Kashmir hilang dalam tahanan. Penemuan kubur yang tidak bernama membuktikan bahawa mereka yang hilang telah mati dibunuh sejak konflik bersenjata di Jammu dan Kashmir pada 1989. [xxxii] Selain itu, India dan Pakistan mula menggunakan senjata nuclear untuk menakut-nakutkan lawannya. Perdana Menteri, Atal Bihari Vajpayee telah melakukan serangkai ujian nuklear pertama sebagai tanda meyakinkan keamanan India dan menyatakan India akan membangunkan kekuatan nuklear yang besar lagi. Pakistan turut melakukan ujian nuklear sejauh 1400 kilometer pada bulan Mei di daerah Chagai berhampiran perbatasan Pakistan-Iran. Tindakan kedua-dua negara telah dikeji oleh pemerintah seluruh dunia kerana melanggar perjanjian Comprehensive Test Ban Treaty yang ditandatangani bersama 149 negara pada tahun 1996 yang melarang sebarang ujian nuklear. Hal senjata nuklear ini telah memburukkan lagi konflik Kashmir yang tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini.

3.0      Cara Mengatasi Konflik Kashmir dalam Hubungan India-Pakistan
Konflik Kashmir ini perlu diselesaikan dengan segera kerana memberi kesan buruk yang merangkumi aspek politik, ekonomi dan sosial. Hubungan yang tidak sihat telah mengkucar-kacirkan pentadbiran kerana masing-masing mempertahankan Kashmir milik mereka. Pergolakan dan pemberontakan yang berlaku telah memusnahkan harta benda dan mengorbankan banyak nyawa. Masalah ini turut mengganggu aktiviti ekonomi kerana penduduk Kashmir sibuk mempertahankan wilayahnya daripada kacau-bilau yang ditimbulkan oleh India. Keadaan yang tidak aman menghalang kemasukan pelancong sekaligus menyebabkan pendapatan ekonomi tidak dapat dicipta.
Masalah Kashmir melibatkan hubungan agama dan persempadanan.  Maka penyelesaiannya melibatkan pihak antarabangsa seperti PBB. PBB perlu memainkan peranannya dan bersikap tegas dalam mengadili bersempadanan dan agama ini. Setiap dokumen dan perjanjian mengenai dakwaan Kashmir milik India perlu dikaji dan suara penduduk Kashmir perlu didengar supaya tidak berlaku penindasan dikemudian hari. Pihak berkecuali boleh membantu dalam mendapatkan suara rakyat Kashmir.[xxxiii] Pihak PBB perlu menentukan semula garis sempadan yang jelas wilayah Kashmir dengan India dan Pakistan. Selain itu, PBB memberi kemerdekaan kepada Kashmir seperti yang dikehendaki mereka untuk membentuk sebuah negara yang bebas.

4.0      Kesimpulan
Hubungan India dan Pakistan telah berlarutan sejak tahun 1947 setelah pemisahan India dan Pakistan sehingga kini masih tiada jalan penyelesaiannya. Keadaan berterusan ekoran pergolakan dan pemberontakan apabila India dan Pakistan mempertahankan Kashmir adalah milik mereka. Masalah ini akan kekal berterusan selagi tidak diselesaikan sama ada Kashmir diberi kemerdekaan atau ditentukan hak milik sebenar dengan penentuan persempadanan semula. Kashmir wajar diberi hak untuk membentuk negara yang bebas merdeka setelah bertahun-tahun hidup dalam penderitaan.



[i] Ita Mutiara Dewi. 2006. Dilema Masalah Kashmir Dalam Kerangka Hubungan India-Pakistan. MOZAIK Vol.1. No.1. July 2006. ISSN 1907-6126. Hlm 1.
[ii] Victoria Schofield.1996. Kashmir Vale of Tears, Home of Tragedy.  London: I.B.Tauris & Co Ltd. Hlm 5.
[iii] Ita Mutiara Dewi. 2006. Dilema Masalah Kashmir Dalam Kerangka Hubungan India-Pakistan. MOZAIK Vol.1. No.1. July 2006. ISSN 1907-6126. Hlm 1.
[iv] Alastair Lamb.1966. Crisis in Kashmir  1947 to 1966. Londan Routledge & Kagen Paul Ltd. Hlm 53.
[v] Abdullah Zakaria Ghazali et al. 2000. Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm. 424.
[vi]Mustafa Kamal Basri. 2008. Sejarah Lembah Kashmir. Diperoleh pada Mei 10, 2013 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_12.htm
[vii] Ibid.
[viii] Alastair Lamb. Crisis in Kashmir  1947 to 1966. Hlm 15.
[ix] Ita Mutiara Dewi. 2006. Dilema Masalah Kashmir Dalam Kerangka Hubungan India-Pakistan. MOZAIK Vol.1. No.1. July 2006. ISSN 1907-6126. Hlm. 2.
[x] Dipetik daripada Ita Mutiara Dewi. 2006. Dilema Masalah Kashmir Dalam Kerangka Hubungan India-Pakistan. MOZAIK Vol.1. No.1. July 2006. ISSN 1907-6126. Hlm 3 dalam Hizb–ut- Tahrir. Qadlaya Siyasah. Ab. Abdul Halim. 2005. Negeri-negeri Muslim yang Terjajah. Bogor: Pustaka Thariqul Izzah. Hlm. 52.
[xi] Ummul Hasanah. 2011. Spektrum Konflik Kashmir Antara India dan Pakistan. Diperoleh pada Mei 13, 2013 daripada http://www.academia.edu/3082348/india_and_pakistan_of_kashmir_conflict
[xii] Ummul Hasanah. 2011. Spektrum Konflik Kashmir Antara India dan Pakistan. Diperoleh pada Mei 13, 2013 daripada http://www.academia.edu/3082348/india_and_pakistan_of_kashmir_conflict
[xiii] Mustafa Kamal Basri. 2008. Sejarah Lembah Kashmir diambil Diperoleh pada Mei 10, 2013 daripada http://www.mailarchive.com/sahabatinteraktif@yahoogroups.com/msg19845.html
[xiv] Ita Mutiara Dewi. 2006. Dilema Masalah Kashmir Dalam Kerangka Hubungan India-Pakistan. MOZAIK Vol.1. No.1. July 2006. ISSN 1907-6126. Hlm. 2-3.
[xvi] Ibid.
[xvii] Victoria Schofield. 1996. Kashmir Vale of Tears, Home of Tragedy. London: I.B. Tauris & Co Lt. Hlm 20.
[xviii] Ibid.
[xix] Alastair Lamb.1966. Crisis in Kashmir. 1947 to 1966. Londan: Routledge & Kagen Paul Ltd Hlm 38.
[xx] Chairul Aftah. 1 Julai 2005. Studi Tentang Posisi Kashmir Dalam Hubungan India-Pakistan. Vol 6. No 11. Diperoleh pada Mei 12, 2013 daripada http://portal.fisipunmul.ac.id/site/wpcontent/uploads/2013/03/jsp_vol6_no11_1jul05_2chairul%20(03-14-13-02-53-38).pdf
[xxi] Ita Mutiara Dewi. 2006. Dilema Masalah Kashmir Dalam Kerangka Hubungan India-Pakistan. MOZAIK Vol.1. No.1. July 2006. ISSN 1907-6126. Hlm. 10.
[xxii] Alastair Lamb.1966. Crisis in Kashmir 1947 to 1966. Londan: Routledge & Kagen Paul Ltd. Hlm 54.
[xxiii] Chairul Aftah. 1 Julai 2005. Studi Tentang Posisi Kashmir Dalam Hubungan India-Pakistan. Vol 6. No 11. Diperoleh pada Mei 12, 2013 daripada http://portal.fisipunmul.ac.id/site/wpcontent/uploads/2013/03/jsp_vol6_no11_1jul05_2chairul%20(03-14-13-02-53-38).pdf
[xxiv] Chairul Aftah. 1 Julai 2005. Studi Tentang Posisi Kashmir Dalam Hubungan India-Pakistan. Vol 6. No 11. Diperoleh pada Mei 12, 2013 daripada http://portal.fisipunmul.ac.id/site/wpcontent/uploads/2013/03/jsp_vol6_no11_1jul05_2chairul%20(03-14-13-02-53-38).pdf
[xxv] Chairul Aftah. 1 Julai 2005. Studi Tentang Posisi Kashmir Dalam Hubungan India-Pakistan. Vol 6. No 11. Diperoleh pada Mei 12, 2013 daripada http://portal.fisipunmul.ac.id/site/wpcontent/uploads/2013/03/jsp_vol6_no11_1jul05_2chairul%20(03-14-13-02-53-38).pdf
[xxvi] Azharudin Mohd Dali. 2008.  Kashmir:Konflik Yang Tiada Penyelesaian. Dalam Abdullah Zakaria Ghazali dan Zulkanain Abdul Rahman (ed.). Konflik Dunia Abad ke-20. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 264.

[xxvii] Azharudin Mohd Dali. Kashmir:Konflik Yang Tiada Penyelesaian. Dalam Abdullah Zakaria Ghazali dan Zulkanain Abdul Rahman (ed.).  Konflik Dunia Abad ke-20. Hlm. 265.
[xxviii] Azharudin Mohd Dali. 2004. Tamadun India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 316.
[xxix] Ita Mutiara Dewi. 2006. Dilema Masalah Kashmir Dalam Kerangka Hubungan India-Pakistan. MOZAIK Vol.1. No.1. July 2006. ISSN 1907-6126. Hlm. 9.
[xxx] Mustafa Kamal Basri. 2008. Sejarah Lembah Kashmir diambil Diperoleh pada Mei 10, 2013 daripada http://www.mailarchive.com/sahabatinteraktif@yahoogroups.com/msg19845.html

[xxxi] Mustafa Kamal Basri. 2008. Sejarah Lembah Kashmir diambil Diperoleh pada Mei 10, 2013 daripada http://www.mailarchive.com/sahabatinteraktif@yahoogroups.com/msg19845.html


[xxxii] Mustafa Kamal Basri. 2008. Sejarah Lembah Kashmir diambil Diperoleh pada Mei 10, 2013 daripada http://www.mailarchive.com/sahabatinteraktif@yahoogroups.com/msg19845.html


[xxxiii] Azharudin Mohd Dali. 2008.  Kashmir:Konflik yang tiada penyelesaian.  Dalam Abdullah Zakaria Ghaali dan Zulkanain Abdul Rahman (ed.). Konflik Dunia Abad ke-20. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 279.

No comments:

Post a Comment