nuffnang

Thursday, June 13, 2013

MANUSKRIP MELAYU

PENDAHULUAN
        Manuskrip melayu mempunyai istilah atau definisinya yang tersendiri. Manuskrip melayu didefinisikan sebagai naskhah tulisan tangan. Ia juga merupakan versi atau bahan seperti sesuatu karya yang disediakan oleh penulis untuk dicetak atau diterbitkan dalam bentuk buku.[1] Manuskrip melayu ini turut dianggap sebagai sastera melayu tradisional. Sastera melayu ini ialah segala yang tertulis dalam bahasa melayu dalam bentuk manuskrip dan lisan sebelum abad ke-19.[2] Manuskrip melayu banyak mengalami perubahan sehingga abad yang ke19. Perkembangan manuskrip ini telah melalui banyak perkembangan dari segi bentuk dan jenisnya. Kita melihat bahawa ia telah berkembang dari satu jenis kepada jenis yang lain. Ia bermula dengan sastera jenis lisan atau sastera rakyat, kemudian berkembang menjadi manuskrip melayu seperti hikayat atau sastera bertulis. Perkembangan ini dapat berlaku kerana adanya proses perjalanan masa yang panjang. Ia telah mengalami tahap-tahap masa atau zaman tertentu yang mempengaruhinya untuk menghasilkan manuskrip melayu. Perkembangan manuskrip boleh dilihat melalui dua pembahagian zaman yang utama iaitu zaman sebelum abad ke-18 atau zaman tradisional dan zaman selepas abad ke-18 atau zaman moden.[3] Zaman tradisional terbahagi kepada zaman Hindu dan zaman Islam. Manakala zaman moden merangkumi zaman Abdullah Munsyi. Namun demikian terdapat juga penulis yang lain yang terdapat pada zaman ini.
           Manuskrip melayu telah mengalami banyak perubahan sehingga abad ke lapan belas. Hal ini kerana Nusantara banyak menerima pengaruh asing seperti pengaruh Hindu, Islam dan Barat. Perubahan ini dikenal pasti secara mendalam melalui beberapa ciri-ciri yang terdapat dalam manuskrip itu sendiri. Antara ciri yang menjadi kajian utama ialah berdasarkan jenis manuskrip, pola penceritaan, tema, nilai, dan pengaruh. Kadang kala manuskrip melayu di kaji dari aspek kesusasteraan. Namun terdapat juga manuskrip melayu yang dikaji dari aspek sejarah.
         Oleh kerana manuskrip itu berkembang dalam masa yang tidak sama, maka kedua-dua zaman ini mempunyai beberapa perbezaan secara umum. Perbezaan yang pertama dapat dilihat melalui alat penyebaran. Manuskrip melayu dalam zaman tradisional hanya disampaikan secara lisan. Sebaliknya, manuskrip melayu pada zaman moden merubah keseluruhan sastera yang disampaikan dalam bentuk tulisan dan percetakan. Perbezaan kedua dapat dilihat melalui soal hal cipta. Manuskrip melayu pada zaman tradisional adalah pancaran masyarakat lama yang padu dan merupakan hasil ciptaan bersama serta tidak mempunyai nama pengarang. Manakala, hak cipta dalam manuskrip moden menyatakan perasaan pengarang sebagai seorang individu dan tidak mempunyai nama pengarang. Perbezaan ketiga ialah melalui isinya. Manuskrip melayu pada zaman tradisional mengutamakan penceritaan hal-hal yang banyak mengandungi khayalan daripada kenyataan. Akibatnya, perkara-perkara yang lebih bersifat kenyataan seperti keagamaan dan perundangan telah dicampuradukkan dengan unsur khayalan. Manakala manuskrip melayu pada zaman moden menceritakan perkara-perkara yang didasarkan pada pengalaman atau kebenaran.[4] Perbezaan seterusnya ialah melalui cara penyebarannya. Manuskrip melayu pada zaman tradisional mengalami penyebaran yang terbatas. Hal ini kerana, sifatnya yang kecil dan hanya tersebar di kalangan kelompok kecil sahaja. Ini bertentangan dengan sifat penyebaran manuskrip melayu pada zaman moden. Hasil manuskrip melayu pada zaman tersebut adalah tercetak dalam bilangan naskhah yang besar dan penyebarannya menjadi lebih mudah, cepat serta rata.
           Melalui perbezaan secara umum ini kita dapat lihat bahawa kedua-dua kesusasteraan tersebut mempunyai norma-norma sastera tertentu yang dapat mewarnai ciri-ciri khusus bagi manuskrip tersebut. Ini seterusnya membawa kepada perkembangan, perbezaan dan perubahan manuskrip melayu tersebut mengikut perubahan zaman sehingga abad ke-19. Perubahan-perubahan dalam beberapa faktor iaitu jenis sastera, pola penceritaan, tema, nilai atau pengajaran, pengaruh dan sumber penciptaan manuskrip melayu.

1.0 PERUBAHAN MANUSKRIP SEBELUM ABAD KE-19.
         
             Perkembangan manuskrip melayu dapat dilihat menerusi dua pembahagian zaman yang utama. Pertama ialah perkembangan yang berlaku dalam zaman sebelum abad ke-18. Pada zaman ini, masyarakat melayu belum lagi dipengaruhi oleh peradaban Barat.[5] Zaman ini juga mempunyai dua zaman Hindu dan zaman Islam. Zaman ini biasanya disebut sebagai zaman tradisional.[6] Kedua pula ialah perkembangan yang terlaksana dalam zaman selepas tahun 1800 Masihi. Zaman ini sering disebut sebagai zaman moden yang lebih fokus kepada zaman Munsyi Abdullah. Pada zaman ini, masyarakat melayu mula diresapi dan dipengaruhi oleh peradaban Barat. Oleh sebab itu, perkembangan manuskrip melayu yang dilihat berkembang sejak zaman moden tadi dinamakan sebagai kesusasteraan baru atau kesusasteraan moden.[7]
           Manuskrip melayu pada zaman Hindu bermula lebih kurang dari abad ketujuh masihi dan berakhir pada abad keempat belas masihi dengan kedatangan agama Islam ke nusantara.[8] Terdapat dua buah karya sastera Hindu utama yang digunakan iaitu Ramayana dan Mahabhrata.[9] Epik Ramayana merupakan sebuah karya agung dalam sastera klasik India. Ia ditulis dalam bentuk puisi oleh seorang Resi yang bernama Valmiki. Epik ini terdiri daripada 24,000 seloka yang pada setiap satu terdiri daripada 32 suku kata serta terbahagi dalam 7 kanda (kitab). Kitab pertama dan terakhir dikatakan sebagai tambahan kepada epik Ramayana. Tokok tambah ini dilakukan oleh ahli-ahli agama. Tindakan ini dilakukan bagi menaikkan taraf Rama dari seorang insan biasa kepada seorang Dewa.[10] Seterusnya adalah satera Hindu Mahabharata. Mahabharata merupakan sebuah kitab Hindu tua yang mengandungi rangkaian cerita tentang pahlawan-pahlawan keturunan Bharata. Mahabharata terdiri daripada 100,000 seloka yang terbahagi pula kepada 18 parwa (buku). Ia merupakan susunan Bhogowon Vyosa selama 800 tahun, yakni 400 tahun sebelum masihi sehingga 400 masihi. Orang Hindu menganggap Kitab Mahabharata sebagai sebuah Kitab Suci Kasta Brahman.[11]
           Selain daripada kitab Ramayana dan Mahabharata, terdapat juga kitab Hindu lain yang bernama Panca Tantra yang bermakna “Lima Cerita”. Kitab ini telah diterjemahkan dalam beberapa bahasa termasuk bahasa melayu antaranya diterjemahkan oleh Munsyi Abdullah. Penterjemahan ini dilakukan dengan bantuan seorang sahabatnya yang berbangsa Tamil, iaitu Tambi Muttu Virabattor pada 12 Oktober 1835.[12] Panca Tantra merupakan kisah-kisah haiwan yang digubah oleh Baidaba dengan bahasa sastera yang indah. Bahasa sastera yang indah ini digunakan untuk membidas secara tajam dan halus ke atas kaum feudal serta golongan cerdik pandai, Ksatria dan Brahaman yang memperbodoh-bodohkan rakyat dengan bertopengkan agama.
          Dari aspek pola penceritaan pula, karya sastera pada zaman Hindu dapat dilihat dari tiga ciri-ciri utama iaitu jalan cerita, watak dan bahasa yang digunakan di dalam sesuatu karya. Ciri yang pertama dalam penghasilan karya pada zaman Hindu ialah jalan cerita. Jalan cerita ini dapat dilihat menerusi Kitab Hindu iaitu Panca Tantra. Jalan cerita Kitab Panca Tantra ini bermula dengan seorang raja yang mempunyai empat orang anak. Baginda hampir berputus asa apabila mengenangkan kelakuan kesemua anak-anaknya yang malas dan hanya tahu berfoya-foya sahaja. Raja tersebut khuatir jika dia mangkat, tiada siapa yang layak untuk menggantikannya. Baginda memanggil beberapa orang Brahman untuk bertanya jika mereka sanggup mengajar anak-anaknya itu. Namun, hanya seorang sahaja Brahman yang sanggup mengajar anak raja tersebut.[13] Dari segi watak dan perwatakan dalam Kitab Panca Tantra pula terdapat hanya watak yang ditonjolkan di dalam kitab ini. Antaranya ialah keempat-empat anak raja yang bebal, malas serta hanya tahu berfoya-foya. Terdapat juga watak raja yang prihatin dengan permasalahan yang wujud dalam kalangan anak-anaknya. Akhir sekali, watak Brahman yang diwujudkan sebagai golongan yang alim dan bijak serta dapat menangani masalah sikap yang wujud dalam diri anak-anak raja terbabit. Golongan Brahman dapat mengubah sikap kesemua anak raja menjadi seorang yang cerdik dan bijak.
           Dari aspek bahasa pula, Kitab Panca Tantra menggunakan bahasa sastera yang indah untuk membidas secara tajam dan halus ke atas kaum feudal dan golongan cerdik pandai seperti Ksatria dan Brahman. Selain itu, Kitab Panca Tantra telah diterjemahkan oleh Munsyi Abdullah dalam bahasa melayu. Buku terjemahannya ini dinamakan ‘Panca Tanderan’ serta salinan daripada karangan Abdulah Ibnu Mukatta yang melalui Bahasa Arab dan Parsi. Buku ini terkenal dengan nama Kalilah dan Daminah iaitu salinan Ismail Djamil dalam tahun 1940 yang diterbitkan oleh Balai Pustaka.[14]
           Manuskrip Melayu pada zaman Hindu pula memperlihatkan tema dan konsep kegagahan pahlawan-pahlawan dari keturunan Hindu. Tema ini terdapat pada dua karya utama Hindu iaitu Ramayana yang dicipta oleh Valmiki serta Mahabharata yang ditul
is oleh Vyasa. Kedua-dua kitab ini juga lebih berkonsepkan kepada kitab suci masyarakat Hindu ketika itu. Daripada epik Ramayana, masyarakat kita mengubahsuainya sehingga lahir sebuah karya epik yang dikenali sebagai Hikayat Seri Rama.[15] Tema dalam Hikayat Seri Rama mempunyai tiga tema iaitu yang pertama, tema peperangan yang terpaksa dilakukan kerana hendak mendapatkan kembali isteri Rama yang di culik oleh Maharaja Rawana. Dalam peperangan ini, Seri Rama mendapat bantuan daripada Haruman dan Laksamana serta penyokong-penyokong mereka. Peperangan ini berakhir dengan kemenangan di pihak Seri Rama serta Sita Dewi dapat diselamatkan. Tema yang kedua pula adalah pengembaraan Seri Rama dan perebutan Sita Dewi dalam satu sayembara serta berjaya membunuh Raksasa. Diselitkan juga dalam pengembaraannya ini, Seri Rama menyelamatkan isterinyayang diculik oleh Maharaja Rawana yang disebabkan oleh penyamaran kijang emas. Tema terakhir dalam Hikayat Seri Rama ini ialah percintaan suci di antara Seri Rama dengan Sita Dewi. Seri Rama sanggup menghadapi pelbagai rintangan untuk mendapatkan kembali isterinya. Begitu juga dengan Sita Dewi yang rela dibakar demi menunjukkan kesucian dirinya walaupun berada didalam istana Maharaja Rawana ketika itu.[16]
            Banyak nilai-nilai murni yang terdapat di dalam karya sastera pada zaman Hindu. Masyarakat kita telah mengubahsuai epik Mahabharata kepada karya saduran yang dikenali dengan sebutan Hikayat Pendawa.[17] Antara nilai-nilai murni yang diselitkan oleh pengarang ialah kepentingan mempumyai perasaan yang baik. Perasaan yang baik mendorong manusia ke arah hidup yang sempurna dan suci. Manakala perasaan yang jahat melontarkan manusia ke jurang hawa nafsu yang membinasakan hidup mereka sendiri. Di samping itu, terdapat juga nilai murni yang menyelitkan kepentingan sahabat yang setia. Sahabat yang setia serta mempunyai jiwa yang murni merupakan tunggak kekuatan perpaduan yang dapat meraih kemenangan dan kestabilan. Hal ini kerana kekuatan tentera dan kekayaan sesebuah negara daripada kemusnahan.[18]
           Pengaruh Hindu telah lama bertapak di alam melayu khususnya kepada penulisan manuskrip melayu. Pengaruh ini mula dikesan bermula pada abad pertama hingga abad ke-15. Pengaruh Hindu mula menyerap dalam kesusasteraan melayu. Di sini telah berlaku kegiatan menyalin dan menyadurkan karya-karya Hindu seperti Epik Ramayana kepada Hikayat Seri Rama dan Epik Mahabharata diterjemah kepada Hikayat Perdawa.[19] Di Alam Melayu, pengaruh Hindu telah lama bertapak. Pengaruh ini bukan sahaja bertapak di Malaysia tetapi juga di Indonesia seperti di Jawa. Pada zaman perkembangan kerajaan Majapahit di Jawa dalam abad ke-14, cerita panji merupakan jenis sastera yang paling luas tersebar dan berpengaruh. Lahir tiga versi cerita panji melayu yang terkenal iaitu Hikayat Cekal Waneng Pati, Hikayat Panji Kuda Semirang dan Hikayat Panji Semirang. Keseluruhan cerita ini merupakan hasil karya tempatan namun terdapat unsure-unsur pengaruh Hindu. Cerita-cerita panji ini kebanyakannya mengisahkan tentang pengembaraan dan percintaan. Hal ini menyebabkan ia tergolong dalam jenis sastera yang disebut sebagai “roman” (romance). Cerita-cerita memasukkan unsur-unsur Islam apabila Islam mula bertapak di Alam Melayu.[20]

            Manuskrip melayu mengalami perubahan apabila kedatangan pengaruh islam ke Nusantara. Pengaruh islam mula bertapak di alam melayu dalam abad ke-15. Pengaruh ini berkembang dengan pesatnya pada abad ke-16 dan ke-17 apabila hampir seluruh penduduk di kepulauan melayu menganut agama islam. Kedatangan agama islam telah membawa perubahan yang besar dalam bidang politik dan perdagangan malah dalam hal perkembangan ilmu pengetahuan dan kesusasteraan. Kedatangan Islam telah merubah bahan dan fokus penulisan manuskrip melayu. Penulisannya lebih bercorak keagamaan menerangkan keindahan agama Islam seperti kepercayaan kepada Allah. Contonya, penghapusan kepercayaan kepada dewa dewi yang menjadi pegangan utama masyarakat sebelum itu, juga cara-cara beribadah di mana masyarakat pada waktu itu belajar cara-cara beribadah di mana masyarakat pada wakyu itu belajar cara-cara untuk solat, berpuasa, menunaikan zakat dan lain-lain.[21]
            Kedatangan agama islam telah mengembangkan  pelbagai jenis sastera dalam tempoh abad ke-15 hingga awal abad ke-18. Secara keseluruhannya, jenis sastera pada zaman ini terdiri daripada dua bahagian iaitu sastera prosa dan puisi. Sastera prosa mengandungi pelbagai jenis antaranya sastera yang berhubungan dengan cerita-cerita tentang Nabi Muhammad, nabi-nabi lain dan para sahabat juga tentang para tokoh islam.[22] Di samping itu, sastera prosa ini juga terdiri daripada cerita tentang pahlawan islam . jenis cerita ini pula terbahagi kepada dua iaitu epik islam dan  legenda ahli sufi.[23] Di samping itu terdapat juga sastera berbentuk sastera sejarah dan sastera ketatanegaraan. Contohnya sejarah melayu, Hikayat Aceh, Undang-undang Melaka dan Undang-undang Melaka.
            Manakala sastera berbentuk puisi yang terdapat dalam zaman pengaruh islam lebih cenderung kepada puisi yang berbentuk ‘syair’. Syair ini pula terbahagi kepada empat bentuk iaitu Syair Agama, Syair Romantik, Syair Sejarah dan Syair Kiasan. Walau bagaimanapun, syair ini berkembang pesat pada abad ke-18. Syair Agama banyak di cipta oleh Hamza Fansuri dalam abad ke-16. Contohnya Syair Perahu, Syair Burung Pangai dan Syair Fakir. Manakala syair romantik pula bercorak naratif. Antara contoh syair ini ialah Syair Tajul Muluk, Syair Bidasari, Syair Dandan Setia dan Syair Yatim Nestapa. Syair sejarah pula seperti Syair Perang Aceh dan Syair Singapura Terbakar. Karya syair bercorak kiasan pula ialah Syair Ikan Terubuk, Syair Burung Pungguk dan Syair Nuri.[24] Jenis-jenis manuskrip ini muncul akibat kedatangan agama Islam.
             Dari segi pola penceritaan pula, manuskrip melayu ini mengalami perubahan sejak abad ke-16 iaitu selepas kedatangan Islam di Nusantara. Dari segi watak yang digunakan, sastera pada abad ini menonjolkan ketokohan dan sifat para nabi terutamanya Nabi Muhammad s.a.w. selain itu, karya-karya sastera pada abad ini juga banyak mengutarakan watak sahabat-sahabat nabi dan pahlawan-pahlawan islam seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar Al-Khattab dan Tamin al-Dari.[25] Namun demikian, masih terdapat watak raja-raja dalam karya sastera pada abad ini, contohnya dalam Sejarah Melayu masih menunjukkan ketokohan pemerintah Melaka seperti Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mansur Syah.
             Jalan penceritaan sastera abad ini lebih kepada corak penceritaan yang berunsurkan dongeng, mitos dan lagenda. Unsur ini lebih banyak terdapat dalam sastera jenis sejarah dan ketatanegaraan. Sebagai contoh dalam Sejarah Melayu, dinyatakan bahawa keturunan raja melayu dikatakan berasal daripada anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain yang turun dari Bukit Seguntang.[26] Sastera ini dianggap mempunyai unsur mitos apabila ia dikaji sebagai karya sejarah. Namun demikaian, tidak semua karya sastera pada abad ini mengandungi unsur-unsur tersebut. Antara karya tersebut ialah Bustan al-Salatin. Penulis manuskrip ini cuba mengetepikan unsur-unsur mitos dan legenda dalam karyanya.[27] Jalan cerita Bustan al Salatin ini ditulis mengikut kronologi iaitu semua peristiwa yang ditulis disusun mengikut tarikh yang berurutan.[28]   
           Dari segi bahasa yang digunakan dalam penulisan manuskrip melayu turut berubah. Menurut Ismail Hussain (1981:30), dengan kedatangan pengaruh Islam ke Nusantara, Bahasa Melayu merempuh zaman baharu akibat daripada kemasukkan pembendaharaan kata lama, terutamanya yang diwarisan daripada Bahasa Sanskrit.[29] Antara contoh karya yang mengandungi bahasa Arab ialah Bustan al-Salatin fi dhikr al-awwalin wa-akhirin. Secara tersurat, tajuk yang digunakan oleh penulis telah menggambarkan karya ini menggunakan Bahasa Arab iaitu bermaksud Taman Raja-raja dan mengatakan permulaan segala kejadian dan sesudahnya.[30]
            Secara umumnya, tema manuskrip melayu pada abad ke-15 hingga abad ke-17 banyak mengandungi tema yang berunsurkan keislaman. Penulis-penulis manuskip melayu banyak menonjolkan tema ketokohan Nabi Muhammad s.a.w dan kepahlawaan para pahlawan dan sahabat baginda, sebagai contoh tema ini terdapat dalam Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Rasulullah, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, dan Hikayat Abu Bakar.[31] Dalam sastera puisi pula, tema yang sering digunakan ialah tema percintaan antara putera puteri, tema pengorbanan dan pengembaran dan tema tentang kehidupan.
           Manuskrip melayu juga mengalami perubahan dari segi nilai yang diterapkan oleh penulisan melalui karya mereka. Terdapat karya yang ditulis lebih menekankan kepada kesusilaan raja-raja dan pembesar-pembesar. Nilai kesusilaan ini, merangkumi pekerti, kewajiban dan keadilan para raja dan para pegawai.[32] Sebagai contoh dalam Bustan al-Salatin yang banyak mengandungi petunjuk jalan bagi pemerintahan untuk berlaku adil dan bagi rakyat untuk berlaku taat kepada pemerintahan serta Allah.[33]                     
            Pada sekitar abad ke-15 hingga abad ke-16, kesusasteraan melayu banyak menerima pengaruh islam. Hal ini kerana agama islam berkembang pesat di Nusantara pada abad tersebut.[34] Pengaruh Hindu mulai lemah pada zaman ini. Sebagai contoh dalam karya Bustan al-salatin tulisan Syeikh Nuruddin ar-Raniri, pengaruh islam cukup menonjol dalam penulisannya serta beliau memandang rendah terhadap penulisan-penulisan melayu yang mempunyai kepercayaan yang berunsur Hindu.[35] Di samping itu, dalam Sejarah Melayu, terdapat bab yang membicarakan tentang kedudukan alim ulama dalam sosiomasyarakat melayu Melaka. Dalam hal ini golongan alim ulama mempunyai  kedudukan atau taraf yang istimewa dalam kerajaan melayu Melaka.[36] Dalam hal ini, dapat digambarkan bahawa pada abad tersebut Melaka telah menerima pengaruh islam. Jadi pengaruh ini secara tidak langsung meresap dalam penulisan
pada ketika itu.



2.0 PERUBAHAN MANUSKRIP PADA ADAB KE-19.
        
         Manuskrip melayu terus mengalami perubahan selepas tahun 1800 Masihi. Pada kurun kesembilan belas ini, antara tokoh-tokoh yang boleh dianggap sebagai sejarawan yang telah membawa perubahan-perubahan itu ialah Abdullah Munsyi bin Abdul Kadir dan Raja Ali Haji dari Riau.[37] Abad kesembilan belas ini juga dikenali sebagai Zaman Munsyi. Zaman Abdullah Munsyi ini berlaku pada antara kira-kira tahun 1800 hingga 1923. Zaman ini juga dikatakan berada di dalam zaman kelahiran kerana bermulanya kelahiran atau kemunculan bentuk-bentuk baru dalam kesusasteraan  melayu.[38] Terdapat beberapa perubahan yang berlaku pada zaman ini iaitu berlaku pembaharuan dan perubahan berbanding dengan kesusasteraan tradisional.
             Antara perubahan yang boleh dilihat dalam manuskrip pada abad ini ialah melalui jenis sastera. Pada abad ini, karya yang terkenal ialah Salasilah Melayu dan Bugis dan Tuhfat al-Nafis karya Raja Ali Haji. Salasilah Melayu Dan Bugis ini diusahakan pada 5 Rabiulakhir 1282 Hijrah bersamaan 28 Ogos 1865.[39] Manakala Tuhfat al-Nafis pula dihasilkan pada tahun 1865. Seterusnya karya Abdullah Munsyi pula meliputi Kisah Pelayaran Abdullah (1838) dan Hikayat Abdullah (1840).[40] Perubahan ketara dapat dilihat melalui karya-karya yang dihasilkan oleh Abdullah Munsyi. Hal ini kerana, perubahan-perubahan yang diperkenalkan dalam kedua-dua karya Abdullah Munsyi tadi bersifat radikal.[41] Selain itu, terdapat juga karya sastera yang berbentuk puisi, contohnya Syair Siti Sainah, Syair Sinar Gemala Mastika Alam dan Syair Nasihat.[42]
             Perubahan seterusnya dapat dilihat melalui aspek pola penceritaan yang digunakan oleh pengarang. Pada abad ini, perubahan yang ketara dapat dilihat melalui karya-karya yang dihasilkan oleh Abdullah Munsyi. Hal ini kerana kedua-dua karya yang dihasilkan oleh beliau tidak lagi mengisahkan tentang perkara-perkara dongeng yang berlaku sekitar istana dan diri watak utama dalam sesebuah karya. Kedua-dua karya ini lebih menceritakan tentang pengalaman diri pengarang. Jadi watak yang ditonjolkan dalam karya ini lebih kepada watak pengarang itu sendiri. Dalam Kisah Pelayaran Abdullah pula, watak yang ditimbulkan adalah terdiri daripada manusia biasa yang lemah.[43] Manakala dalam karya Tuhfat al-Nafis pula, watak yang ditimbulkan masih lagi kepada watak raja-raja dan pahlawan Bugis.[44]
             Pada peradaban ini, kebanyakan manuskrip tidak lagi mengandungi unsur mitos dan lagenda. Contohnya dalam hasil karya Abdullah Munsyi lebih berfokus kepada pengalamannnya di dalam hidupnya berbanding dengan karya kesusasteran klasik yang lebih membawa kepada penceritaan orang lain. Perkara-perkara yang ditulis beliau ialah perkara-perkara yang ditemui melalui sehari-hari termasuklah pengalaman pelayaran beliau ke Kelantan, Pahang dan Terengganu.[45] Di samping itu, Raja Ali Haji pula lebih cenderung menggambarkan tentang kehandalan pahlawan Bugis dalam karyanya Tuhfat al-Nafis. Beliau menceritakan kehandalan Bugis dalam peperangan sehingga mereka dapat memegang beberapa jawatan tinggi dalam tampuk pemerintahan kerajaan melayu Johor pada ketika itu.
             Di dalam kesusasteraan moden ini, Abdullah Munsyi telah membuat sedikit perubahan di mana tema yang diperlihatkan oleh beliau adalah radikal di mana membawa maksud sifat. Beliau lebih memfokuskan hasil karyanya kepada pengalaman pengarang sendiri akan tetapi tema yang beliau terapkan tidak dapat diterima oleh pengarang-pengarang lain yang sezaman dengannya. Ini dapat dibuktikan apabila selepas kematian Abdullah Munsyi (1854), tidak terdapat hasil sastera atau pengarang yang mencontohi segala pembaharuan yang dibawa oleh beliau.[46] Dalam karya Tuhfat al-Nafis, tema karya ini lebih menceritakan sedikit sebanyak tentang keistimewaan orang orang Bugis, pencapaian politik mereka.[47] Tema yang diutarakan oleh Raja Ali Haji lebih cenderung kepada cerita raja-raja dan masyarakat Bugis atau boleh dianggap sebagai Bugis-centric. Dari tema ini, dapat dilihat perubahan dalam penkaryaan manuskrip melayu.
              Nilai yang terdapat dalam karya-karya pada zaman Munsyi tidaklah mengalami perubahan dari zaman sebelumnya kerana nilai yang diperolehi adalah pengajaran daripada setiap peristiwa yang telah berlaku. Di samping itu, penceritaan berunsur nasihat dapat dilihat contohnya di dalam hasil karya beliau iaitu Hikayat Abdullah. Hasil karyanya juga menerangkan nilai-nilai yang perlu ada bagi setiap manusia melalui penceritaan riwayat.
                Antara pengaruh yang dapat dikesan di dalam manuskrip melayu ialah pengaruh barat. Melalui kedua-dua karya Abdullah Munsyi telah mengalami kemasukan sebilangan kecil perkataan-perkataan asing yang berasal dari bahasa Inggeris. Ini adalah kerana, pengaruh barat telah mula meresap ke manuskrip-manuskrip melayu pada abad ke-19. Buktinya tradisi penyelenggaraan, memperbaiki dan mengeluarkan edisi baru manuskrip bukanlah perkara baru yang dimulakan oleh sarjana dari negara Barat pada abad ke-19.[48] Namun demikian, pada zaman ini masih terdapat pengaruh Arab. Raja Ali Haji yang merupakan seorang tokoh berpendidikan dan berpengetahuan agama yang luas telah memasukkan unsur-unsur keagamaan dan pengaruh Arab dalam karyanya Tuhfat al-Nafis. Bukti yang jelas ialah melalui ialah tajuk karya ini sendiri adalah daripada perkataan Arab walaupun kandungannya berbahasa Melayu-Jawi. Turut juga disebut beberapa perkataan Arab seperti Bismillahir rahmanir rahim, hijrat al-nabi salla Allahu ‘alaihi wasallam dan al-bab al-awwal fi silsilatihim.[49]
                   
                            
3.0 KESIMPULAN
             Kesimpulannya, jelaslah di sini bahawa manuskrip melayu telah mengalami banyak perubahan sehingga abad ke-19. Perubahan ini dapat dilihat melalui dua pembahagian zaman yang utama iaitu zaman tradisional dan zaman moden. Perubahan yang dapat kita melalui kedua-dua zaman ini merangkumi jenis sastera, pola penceritaan, tema, nilai-nilai, pengaruh dalam sesebuah manuskrip itu. Sejak kedatangan agama Hindu ke Nusantara hingga kedatangan agama islam, manuskrip melayu mengalami perubahan disebabkan oleh pengaruh kedua-dua agama ini. Demikian juga selepas kedatangan kuasa barat ke Nusantara, penulis manuskrip melayu dilihat telah menyerap pengaruh barat secara tidak langsung dalam penulisan mereka.
            Di samping itu, jelaslah perubahan dalam manuskrip melayu daripada kedua-dua zaman ini didorong oleh perbezaan dalam zaman tersebut iaitu dari segi penyampaiannya, soal hak cipta, isi dan cara pennyebarannya. Jelaslah bahawa manuskrip ini akan terus berkembang tanpa putus biarpun adanya perubahan-perubahan sosial, agama dan politik kesan daripada adanya perubahan tersebut.









BIBLIOGRAFI
Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka(2002)

Ding Choo Ming, Kajian Manuskrip Melayu (Masalah, Kritikan dan Cadangan), Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd(2003)

Hajah Noresah binti Baharom, Kamus Dewan (edisi ke-3), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka(2000)

Hashim Awang, E. et al, Kesusasteraan Melayu, Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd(1985)

Harun Jaafar, Wacana Kesusasteraan Melayu Klasik, Tanjong Malim: Penerbit  Universiti Pendidikan Sultan Idris(2002)
Ismail Hussein, Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita, Selangor darul Ehsan: Ultimate Sdh Bhd(1992).
Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahuyudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarah (Ketokohan dan Karya), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka(1988)
Muhammad Yusof Hashim, Pensejarahan Melayu (Kajian Tentang Tradisi Sejarah Melayu Nusantara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka(1992)

Munir Ali, Kajian Kesusasteraan Melayu Klasik, Selangor: FLO Enterprise Sdn. Bhd(1989)

.





[1] Hajah Noresah binti Baharom, Kamus Dewan (edisi ke-3), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, halaman 860.
[2] Ismail Hussein, Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita, Selangor darul Ehsan: Ultimate Sdh Bhd, 1992, halaman 3.
[3] Hashim Awang, E. et al, Kesusasteraan Melayu, kuala lumpur: Penerbit fajar bakti sdh bhb, 1985, halaman 51-52. 
[4] Ibid. halaman 53.
[5] Hashim Awang, E-et al, Kesusasateraan Melayu, 1985, Petaling Jaya: Fajar Bakti Shn. Bhd, halaman 51.
[6] Ibid, halaman 52.
[7] Ibid.
[8] Munir Ali, Kajian Kesusasteraan Melayu Klasik, Selangor: FLO Enterprise sdn. Bhd, 1989, halaman 30.
[9] Hashim Awang, Kesusasteraan Melayu Klasik, petaling jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1989 halaman 57.
[10] Munir Ali, Kajian Kesusasteraan Melayu Klasik, Selangor: FLO Enterprise Sdn. Bhd, 1989, halaman 33.
[11] Ibid, halaman 37.
[12] Ibid, halaman 42.
[13] Munir Ali, Kajian Kesusasteraan Melayu Klasik, Selangor: FLO Enterprise Sdn. Bhd, 1989, hlm 44.
[14] Ibid, hlmn 42.
[15] Hashim Awang, E. et al, Kesusasteraan Melayu,Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1985, hlmn 57.
[16] Munir Ali, kajian Kesusasteraan Melayu Klasik, Selangor: FLO Enterprise Sdn. Bhd, 1989, hlmn 36.
[17]Hashim Awang, E. et al, Kesusasteraan Melayu,Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1989, hlmn 57.
[18][18] Munir Ali, kajian Kesusasteraan Melayu Klasik, Selangor: FLO Enterprise Sdn. Bhd, 1989, hlmn 38.
[19] Ibid, hlmn 57.
[20] Ibid, hlmn 58.
[21] Faisal @ Ahmad Faisal bin Abdul Hamid dan Helwana binti Mohammad, Manuskrip Perubatan Melaya-Islam di Fatani: Ulasan Terhadap Manuskrip Kitab Tayyai al-Ihsan Fi Tibb al-Insan Karya Syeikh Ahmad al-Fatani, Myais.fsktm.um.edu.my/7547/1/110-127_U.Faisal. pelf.
[22] Ibid, hlmn 59.
[23]Ibid, hlmn 60.
[24] Ibid, hlmn 64.
[25] Ibid, hlmn 59.
[26] Ibid, hlmn 60.
[27] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlmn 120. 
[28] Ibid, hlmn 121.
[29] Harun Jaafar, Wacana Kesusasteraan Melayu Klasik, Tanjong Malim: Penerbit  Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2002, hlmn 11. 
[30] Arba’yah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpu: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlmn 117.
[31] Ibad, hlmn 59.
[32] Ibid, hlmn 64.
[33] Ibid, hlmn 61.
[34] Ibid, hlmn 59.
[35] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlmn120.
[36] Muhammad Yusof Hashim, Pensejarahan Melayu (Kajian Tentang Tradisi Sejarah Melayu Nusantara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1992, hlmn 165.
[37] Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahuyudin Haji Yahaya, Sejarawan dan Pensejarah (Ketokohan dan Karya), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlmn 246.
[38] Hashim Awang, E. et al, Kesusasteraan Melayu, Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1985, hlmn 65.
[39] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlmn 124.
[40]Hashim Awang, E. et al, Kesusasteraan Melayu, Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1985, hlmn 65.
[41] Ibid, hlmn 67.
[42] Ibid.
[43] Ibid, hlmn 66.
[44]  Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlmn 125.
[45] Ibid, hlmn 58.
[46]Hashim Awang, E. et al, Kesusasteraan Melayu, Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1985, hlmn 67.
[47]  Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlmn 128.

[48] Ding Choo Ming, Kajian Manuskrip Melayu (Masalah, Kritikan dan Cadangan), Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd, 2003, hlmn 197.
[49]  Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlmn 128.

No comments:

Post a Comment