nuffnang

Thursday, June 6, 2013

Tunjukkan bukti yang jelas Sayyid Ahmad Khan adalah ‘Bapa Permodenan Masyarakat Islam’ di India.

1.0       PENGENALAN
Sayyid Ahmad Khan merupakan seorang tokoh Islam yang memperjuangkan kepentingan agama Islam dan masyarakat Muslim di India. Pemikiran dan idea beliau merupakan satu cetusan kepada kebangkitan pemodenan dalam Islam. Beliau lahir pada tahun 1817. Beliau pernah bekerja di bawah pentadbiran British di India sebagai orang bawahan. Beliau telah bersara pada tahun 1876. Datuknya juga pernah menjawat jawatan sebagai perdana menteri di Istana Mughal dan menjadi duta Iran dan Burma untuk pihak kerajaan India Timur Inggeris di Calcutta. Di samping itu, beliau adalah seorang yang berfikiran luas dan gemar mendapatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Bapa beliau telah meninggal dunia semasa beliau berusia dua puluh satu tahun. Beliau pernah menjadi Ketua Hakim di Muradabad. Selanjutnya, setelah bersara daripada jawatan tersebut, beliau telah menubuhkan satu institusi pendidikan iaitu Muslim University of Aligarh. Dalam tugasan ini, akan dihuraikan berkaitan dengan bukti bahawa Sayyid Ahmad Khan adalah seorang Bapa Pemodenan Masyarakat Islam di India.
Beliau merupakan seorang pemimpin yang mempunyai daya pengaruh yang luas dalam masyarakat Muslim India. Imej masyarakat Muslim di India telah tercalar akibat daripada peristiwa Dahagi 1857. Semasa dalam pertubuhan Amir All’s National Muhammedan Association yang diasaskan pada tahun 1877, penglibatan beliau adalah begitu terhad dari segi pengaruhnya dan pencapaiannya. Beliau turut mendapat tentangan hebat daripada Sayyid Jamaludin al-Afghani. Sayyid Jamaludin menganggap program pendidikan yang ditubuhkan beliau sebagai untuk membantu karier politik beliau di bawah pemerintahan Inggeris. Beliau muncul tatkala masyarakat Muslim India mengalami satu zaman kemunduran. Beliau banyak menerbitkan buku dan beberapa risalah. Beliau banyak berkunjung ke dunia Barat khususnya di London dan Universiti Cambridge untuk melihat perkembangan keilmuan yang ada di sana untuk diaplikasikan di tanah airnya. Sebagai contoh, karya Tahzib al-Akhlaq merupakan salah satu karya yang dikarang oleh beliau untuk menyampaikan idea berkaitan dengan pembaharuan sosial sekembalinya beliau daripada London. Idea yang diutarakan oleh beliau banyak membantu meningkatkan kefahaman dalam kalangan Muslim India untuk melakukan pembaharuan.
2.0       BUKTI SAYYID AHMAD KHAN SEORANG BAPA PEMODENAN MASYARAKAT MUSLIM
2.1       Bertindak sebagai orang tengah antara perhubungan India Muslim dengan Pihak Inggeris
Kebijaksanaan beliau terserlah ketika menjadi hakim di Bijnore. Beliau berjaya memujuk ketua pemberontak iaitu Nawab Mahmod Khan untuk mengadakan perbincangan di meja rundingan bagi membolehkan masyarakat Eropah yang berada di Binjore pulang dengan selamat. Seterusnya, muncul golongan Zamindar yang menyerang golongan Nawab Mahmud Khan. Semasa Pemberontakan Dahagi pada tahun 1857, Sayyid Ahmad Khan meyakinkan pihak Inggeris bahawa pemberontakan yang berlaku bukan disebabkan pertelingkahan masyarakat Muslim dan Hindu dengan golongan penganut agama Kristian. Beliau mendakwa bahawa masyarakat Islam masih patuh kepada kerajaan Inggeris di India. Selain itu, beliau mengatakan bahawa pemberontakan yang berlaku disebabkan tiada penglibatan masyarakat India dalam badan legislatif. Kritikan dilontarkan kepada pihak Inggeris kerana memperuntukkan jumlah wang yang besar untuk mengembangkan agama Kristian. Dalam buku The Cause of The India Revolt, menyatakan bahawa pemberontakan 1857 merupakan kelemahan pihak Inggeris. Di samping itu, beliau menyarankan masyarakat Muslim supaya mengambil contoh cara kehidupan Barat yang menekankan pendidikan sekular dan sains. Ia bertujuan melakukan transformasi secara menyeluruh dalam masyarakat Muslim. Antara aspek yang ditekankan dalam hal ini ialah berkaitan dengan kekeluargaan, hak kewanitaan, penggunaan teknologi Barat, pengenalan kepada teknik moden dalam pertanian dan penyebaran teknologi dan sains Barat. Oleh itu, jelaslah beliau sentiasa berusaha untuk menyebarkan idea kemajuan kepada masyarakat Muslim di India.
2.2       Melakukan pelbagai pembaharuan dalam aspek pendidikan dan sosial masyarakat
Sayyid Ahmad Khan banyak melakukan pembaharuan dalam bidang pendidikan masyarakat India. Idea-idea dikemukakan dengan matlamat memajukan pendidikan dalam kalangan masyarakat. Pada pandangan beliau, masyarakat Islam di India mundur disebabkan ketiadaan kemajuan teknologi moden dan aspek keilmuan yang maju. Beliau menggalakkan kemajuan masyarakat Muslim selaras dengan perkembangan zaman. Selain itu, beliau berpendapat bahawa dengan sikap suka menganalisis tentang sejarah dapat meningkatkan tahap kemajuan dalam kalangan masyarakat Muslim.
Dengan sokongan seluruh masyarakat, beliau telah menubuhkan sekolah beraliran Inggeris di Mudarabad dan Ghazipur. Sambutan yang diberikan kepada sekolah beraliran Inggeris yang diwujudkan adalah berbeza berbanding sekolah Inggeris yang diwujudkan oleh pihak pendakwah Kristian. Hal ini kerana, masyarakat India lebih memberikan kepercayaan kepada golongan intelek tempatan untuk menubuhkan sekolah Inggeris. Sikap prejudis dalam kalangan masyarakat India terhadap pihak Inggeris masih lagi wujud. Beliau telah menubuhkan institusi The Translation Society di Ghazipur pada 1864. Tujuan penubuhannya adalah untuk menterjemahkan segala pengetahuan moden ke dalam Bahasa Urdu. Antara karya yang diterjemahkan Bahasa Urdu ialah buku History of India tulisan Elphinstone. Pada tahun 1878, telah ditubuhkan Muslim University of Aligarh dengan bantuan pihak Inggeris. Melalui usaha penubuhan ini, ia memberikan contoh kepada golongan reformis.
Berdasarkan kepada penubuhan institusi pengajian tinggi ini, pengajaran kurikulum mengikut kepada kaedah Eropah. Pengajaran yang dilaksanakan ini memperlihatkan keterbukaan memperoleh peluang pendidikan dalam kalangan seluruh masyarakat di India tanpa mengira agama. Peluang yang diwujudkan ini membolehkan Sayyid Ahmad Khan diangkat sebagai seorang Bapa Pemodenan. Beliau sentiasa mempunyai idea untuk meningkatkan keupayaan pendidikan masyarakat Muslim. Kesedaran demi kesedaran disebarkan ideanya oleh beliau sehingga tercetusnya penubuhan sebuah persidangan iaitu Mohamadan Educational Conference pada tahun 1890. Melalui persidangan ini, terkumpulnya seluruh cendekiawan Muslim dengan perkara pokok yang dibincangkan seperti pendidikan masyarakat Muslim di India. Sesungguhnya, persidangan ini memberikan impak positif terhadap pembangunan masyarakat Muslim khusus dari aspek pendidikan mereka. Perbincangan lanjut dalam kongres ini lebih menjurus ke arah perkara yang melibatkan kepentingan masyarakat Muslim di India.
Sebuah institut iaitu Muhammadan Anglo-Oriental College yang ditubuhkan di Aligarh melatih pelajarnya dalam bahasa Inggeris. Kolej tersebut mengajarkan pengajian Islam dan kurikulumnya berpaksikan kepada British. Ia turut menjadi sebuah pusat politik, kebudayaan dan kesusasteraan terhadap hidup masyarakat India Muslim. Satu perkara yang berlaku dalam kolej ini ialah terhadap pelajar beragama Hindu. Kolej ini menerima pelajar Hindu tetapi mereka telah dikecualikan daripada pengajaran beragama. Bagi Sayyid Ahmad Khan, beliau mempunyai alasan tersendiri mengapa pengajaran dilakukan dalam bahasa Inggeris.
Beliau menganggap ia adalah satu langkah yang boleh menyelesaikan masalah kemunduran dalam kalangan masyarakat Muslim di India.  Selain itu, beliau telah mewujudkan The Scientific Society of Aligarh. Ia bermatlamat untuk menterjemahkan klasik Barat kepada bahasa Urdu dengan tujuan dapat membuka minda yang luas dalam kalangan pemikiran masyarakat Muslim dari aspek pembelajaran. Selaras dengan perkembangan ilmu pengetahuan di India pada pertengahan abad ke-19, Sayyid Ahmad Khan telah menubuhkan bidang Homeopati. Ia merupakan kaedah perubatan. Bagi beliau, pengubatan menggunakan kaedah Homeopati adalah sesuai dengan kemahuan alam. Oleh yang demikian, beliau turut berusaha untuk memajukan pendidikan masyarakat Muslim India.
2.3       Bergiat aktif dalam bidang penulisan dan karya
Bidang penulisan sememangnya menjadi satu peluang kepada Sayyid Ahmad Khan untuk menyampaikan pelbagai idea beliau. Beliau dikatakan menghasilkan lebih 30 buah karya agama, enam buah karya berkaitan dengan Sejarah dan lebih 10 buah buku penulisan umum. Beliau menghabiskan masanya untuk menulis buku berkaitan dengan riwayat hidup Nabi Muhammad dengan kesalahan fakta kehidupan junjungan besar yang ditulis oleh pengkarya barat. Antara karya yang ditulis beliau berjudul Essays on the Life of Muhammad. Pihak Barat sentiasa mempunyai propaganda untuk memutarbelitkan fakta tentang agama Islam. Sikap prejudis ini mendorong beliau untuk mematahkan hujah barat melalui penulisan. Isu yang disentuh adalah berkaitan dengan poligami dan perhambaan dalam Islam.
            Terdapat karya yang bertajuk Monument of The Great pada tahun 1847 menceritakan situasi di bandar Delhi sebelum berlakunya Pemberontakan Dahagi 1857.  Selain itu, beliau juga turut menyumbangkan idea melalui penerbitan dua buah buku iaitu, The Causes of the Indian Mutiny pada tahun 1858 dan The Loyal Mohammedans of India pada tahun 1860. Melalui penerbitan karya penulisan ini, ia telah memberikan impak yang baru kepada pemikiran masyarakat India dan Muslim untuk lebih maju dalam kehidupan sosial. Pada tahun 1870, Sayyid Ahmad Khan telah melancarkan program pendidikan. Untuk tujuan itu, beliau telah menerbitkan bahan bacaan bulanan yang bertajuk Tahzib-ul-Akhlaq. Karya ini ditulis sekembalinya beliau daripada England pada tahun 1870. Ia dikarang dalam bahasa Urdu dan bahasa Inggeris.
            Karya ini diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dengan judulnya The Muhammadan Social Reformer. Dalam karya ini, ia melambangkan sokongan beliau terhadap pemikir sosial daripada Barat seperti Montesquieu dan Addison yang membantu mempercepatkan transformasi masyarakat di Barat. Beliau turut menyuarakan hasrat beliau dengan lebih jelas dalam karya The Muhammadan Social Reformer agar perubahan dalam masyarakat dapat dilakukan. Dalam karya ini, beliau telah dikritik oleh seorang Kristian iaitu Rev Imad-ud-din berkaitan dengan idea keagamaan yang diutarakan oleh beliau. Ia memberikan kesan kepada pemikiran para mubaligh berikutnya terhadap Sayyid Ahmad Khan.
            Pada tahun sebelumnya iaitu pada 1866, beliau menerbitkan bahan yang berjudul The Aligarh Institute Gazette. Ia diterbitkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Urdu. Karya tersebut berupaya menjana idea kepada masyarakat Muslim untuk meningkatkan pemahaman mereka tentang kepentingan untuk berjuang meningkatkan kualiti diri. Melalui karya ini, ia dimuatkan dengan artikel tentang masalah sosial, ilmu pengetahuan, politik dan sebagainya lagi. Beliau merupakan orang yang pertama di India yang menyedarkan tentang betapa perlunya untuk menterjemahkan agama Islam sebagai satu cara yang bersifat liberal, moden dan progresif. Pengenalan kepada cara pemikiran beliau telah membuka sedikit sebanyak pemikiran masyarakat Muslim. Perjuangan yang dilakukan oleh Sayyid Ahmad Khan bertujuan untuk membuktikan kepada dunia bahawa agama Islam adalah satu agama yang membawa kebenaran kepada semua. Beliau berhasrat untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat dan meningkatkan imej masyarakat Muslim di India.
            Melalui bidang penulisan, beliau telah menganjurkan perhubungan yang baik antara masyarakat Muslim dan orang Inggeris. Beliau menerangkan dalam buku yang berjudul Ahkam Ta’am Ahl Kitab yang diterbitkan pada tahun 1868. Ia menerangkan bahawa masyarakat Muslim boleh makan bersama dengan orang Eropah. Tujuannya adalah untuk mendamaikan kedua belah pihak. Kesannya, sikap prejudis kedua-dua belah pihak ini semakin berkurangan dan masyarakat Muslim mula berminat untuk belajar daripada orang Barat. Beliau pernah menerbitkan The Mohamedan Commentary on the Holy Bible. Karya ini telah menimbulkan kontroversi kerana beliau telah digelar sebagai seorang yang kafir. Berita ini menjadi satu khabar angin yang cukup hebat di India. Ada sesetengah pihak yang menganggap bahawa beliau akan menukarkan agama kepada agama Kristian.
            Para penulis Barat menganggap beliau sebagai seorang yang berpemikiran liberal, progresif dan mampu menyedarkan masyarakat. Keadaan ini berlangsung walaupun setelah kematian beliau. Ia menunjukkan bahawa, apa yang disampaikan oleh Sayyid Ahmad Khan dalam karya yang dihasilkan menjadi inspirasi kepada golongan yang terpengaruh dengan wadah beliau. Sehinggakan seorang sarjana pernah menyatakan bahawa beliau adalah orang pertama yang memberikan kesedaran tentang tanggapan baharu terhadap Islam yang liberal, moden dan progresif. Selanjutnya, ia memberikan kesan kepada pengetahuan agama Islam dan aspek intelektual dalam pemikiran Sayyid Ahmad Khan.
2.4       Sumbangan beliau dalam bidang politik dan pertubuhan
Sumbangan Sayyid Ahmad Khan amat meluas dalam bidang politik. Beliau telah menubuhkan British Indian Association di Aligarh pada tahun 1866.  Ia berperanan sebagai sebuah saluran untuk menyampaikan masalah berkaitan dengan pemerintahan. Masyarakat Muslim di India turut terpalit dengan imej yang kurang baik. Justeru itu, beliau menerbitkan karya berjudul The Loyal Mohammadans of India dengan tujuan meningkatkan imej masyarakat Muslim dalam ketaatan mereka kepada pihak pentadbir Inggeris. Beliau turut memperbetulkan tanggapan berkaitan dengan kemenangan peperangan di pihak Turki setelah menang ke atas Greek. Beliau telah menggiatkan dasar untuk kepentingan masyarakat Muslim India.
            Beliau mencadangkan berkaitan dengan dasar dalam karyanya, Causes of the Indian Revolt pada tahun 1858. Sayyid Ahmad Khan telah memutuskan bahawa masyarakat Muslim sepatutnya membatasi segala aktiviti mereka dalam bidang bukan bersifat politik. Dalam karya The Loyal Mohammadans of India, beliau menafikan tuduhan yang dicipta oleh masyarakat Hindu dan Anglo-India yang hanya masyarakat Muslim sahaja bertanggungjawab dalam revolusi yang berlangsung. Beliau menyatakan bahawa revolusi yang berlaku pada tahun 1857 telah dimulakan terlebih dahulu oleh masyarakat Hindu. Kesan daripada apa yang berlaku telah menyebabkan kesengsaraan dan prejudis berlaku terhadap masyarakat Muslim. Beliau sedar akan hal ini dan menafikan pelbagai tuduhan liar yang ditujukan kepada masyarakat Muslim India.
            Penubuhan Kongres Kebangsaan India (KKI) pada tahun 1855 mendapat reaksi kurang baik daripada beliau yang menyatakan bahawa penubuhan kongres tersebut akan menyebabkan nasib masyarakat Muslim seperti telur di hujung tanduk. Masyarakat Muslim disarankan supaya tidak menyertai KKI. Beliau mengatakan bahawa kongres tersebut merupakan sebuah organisasi politik. Kongres ini lebih menonjolkan golongan Brahmin dan lebih mengutamakan kepentingan bangsa India yang beragama Hindu. Tindakan beliau merupakan satu pertentangan kepada cara politik dalam kongres ini.
            Beliau tidak menyokong perubahan dalam perhubungan masyarakat Hindu-Muslim. Beliau telah menubuhkan United Patriotic Association untuk mengutarakan masalah masyarakat Muslim di India kepada parlimen British. Masalah yang timbul adalah penubuhan KKI tidak menitikberatkan kepentingan golongan masyarakat Muslim. Suasana ini merupakan situasi yang menidakkan hak golongan minoriti di India. Kebanyakan penulis seperti Rajendra Prasad menganggap beliau sebagai seorang nasionalis India pada peringkat awal sehingga pada tahun 1880-an.
            Jasa Sayyid Ahmad Khan merangkumi masyarakat seluruhnya sama ada beragama Hindu atau Islam. Beliau mengetuai The Scientific Society, sebuah organisasi yang dianggotai bersama pemimpin Muslim dan Hindu. Menurut beliau, masyarakat Muslim tidak dapat membentuk kerjasama pemerintahan bersama masyarakat Hindu kerana melalui organisasi ini, masyarakat Hindu cuba mempertahankan hak mereka dengan mendesak penggunaan bahasa Hindi digunakan di mahkamah menggantikan bahasa Urdu. Melalui The Scientific Society, pengetahuan Barat dapat disebarkan kepada masyarakat dengan penggunaan bahasa India. Selanjutnya beliau menyatakan idea untuk menubuhkan negara Pakistan. Melalui penubuhan organisasi ini juga, ia berperanan dalam menterjemahkan buku-buku pelajaran ke dalam bahasa Inggeris. Antara bidang kajian yang diterjemahkan adalah tentang ekonomi, sejarah, geografi dan pertanian.
2.5       Pembaharuan Sayyid Ahmad Khan mendapat tentangan
Usaha Sayyid Ahmad Khan sentiasa dihargai kerana beliau sanggup menjadi perantara kepada dua kaum yang bertelagah demi untuk menegakkan semangat keamanan. Beliau sentiasa mendapat tentangan daripada golongan Inggeris sejak menghadiri majlis anjuran mereka. Selain itu, tentangan terhadap beliau menjadi semakin serius apabila beliau menterjemahkan buku yang berjudul History of India karya Elphinstone ke dalam bahasa Urdu. Perkara yang menjadi kontroversi adalah beliau dikatakan mendakwa Nabi Muhammad adalah nabi palsu. Sejak daripada peristiwa tersebut, beliau dikatakan sebagai golongan yang bukan daripada penganut agama Islam. Krisis yang begitu serius ini menyebabkan muncul khabar angin bahawa beliau menganut agama Kristian setelah pulang daripada England.
            Terdapat golongan yang menentang beliau antaranya Maulana Muhammad Qassim Nanotawi yang turut mengatakan berkaitan dengan 15 pegangan Sayyid Ahmad Khan yang didakwa menyeleweng daripada agama Islam. Seorang penulis buku mengatakan bahawa beliau telah terperangkap dengan kebudayaan barat. Syeikh Jamaludin Al-Afghani mengeluarkan kritikan kepada Sayyid Ahmad Khan. Beliau telah dikritik oleh Syeikh Jamaludin dalam pelbagai artikel yang ditulis di India pada lewat 1870-an. Kebanyakan artikel yang dikarang ini ditulis dalam bahasa Arab pada tahun 1884 kemudiannya. Sarjana Barat mengatakan bahawa al-Afghani ini secara terbuka mengkritik Sayyid Ahmad Khan dalam aspek falsafah dan keagamaan. Sayyid Ahmad Khan dikatakan sebagai seorang yang bersifat naturalis dan materialis. Oleh yang demikian, ia menunjukkan bahawa Sayyid Ahmad Khan terpaksa menghadapi pelbagai kritikan oleh pelbagai pihak. Beliau juga dikatakan sebagai seorang yang tidak gentar berkonfrontasi dengan pemikiran moden dan sentiasa mengukuhkan pemikiran keagamaannya.
5.0       KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, perjuangan Sayyid Ahmad Khan memberikan sumber inspirasi kepada perkembangan perjuangan masyarakat Muslim di India. Perjuangan beliau adalah amat menarik untuk dikaji kerana terdapat sebilangan idea yang bersifat ke arah membangunkan masyarakat Muslim di India. Walaupun setelah kematiannya, idea keagamaan dan reformasi terus diperjuangkan oleh golongan yang sealiran dengannya. Perjuangannya dalam memartabatkan kemajuan bangsa India Muslim disambung oleh tokoh modenis selanjutnya. Oleh itu, beliau seolah-olah menjadi ikon kepada masyarakat Muslim di India. Beliau banyak memperjuangkan idea-idea beliau menerusi karya yang beliau terbitkan. Walaupun begitu, tidak dinafikan beliau turut mendapat tentangan daripada golongan yang kurang menyenangi idea reformis yang diutarakan. Kekuatan pengaruh beliau adalah lebih menonjol dalam memperkenalkan idea-idea baharu untuk memajukan masyarakat India. Beliau banyak menghadapi kesukaran dan oleh sebab jiwa reformisnya kuat, maka beliau berjaya menjadi tokoh yang memajukan masyarakat Muslim di India. Rumusannya, memang benar bahawa Sayyid Ahmad Khan adalah tokoh pemodenan masyarakat Muslim di India.

No comments:

Post a Comment