nuffnang

Thursday, June 13, 2013

SURAT-SURAT PERISTIWA KEMANGKATAN SULTAN MAHMUD SYAH

PENGENALAN

            Kemangkatan Sultan Mahmud Syah III pada 12 hb. Januari tahun 1812 di Lingga telah menimbulkan pelbagai masalah waris takhta Johor.[1] Masalah ini juga telah menyumbang kepada perpecahan  Empayar Johor dengan adanya campur tangan kuasa lain seperti Bugis, Belanda dan Inggeris dengan masing-masing mempunyai kepentingan dan motif yang tertentu.[2]  Bahkan Andaya (1975:312) berpendapat bahawa :
“…the conflict of an outside group(s) wanting to enter into the internal structure of a society and thereby encroaching on the priveleges and positions of established members of that society is a themein the history oh Johore through the eighteen century”.
            Setelah Tengku Abdul Rahman telah dilantik menjadi Sultan, masih ramai lagi orang-orang besar termasuk Bendahara Tun Ali di Pahang yang sukakan Tengku Hussain dilantik menjadi sultan. Mereka tidak dapat mengubah ketetapan yang telah dibuat oleh Yamtuan Muda Riau Raja Jaafar. Ini kerana pada masa itu, Raja Jaafar ialah orang yang berkuasa sekali dalam kerajaan itu. Dalam pada itu, kesatuan Kerajaan Johor yang meliputi Johor, Riau, Lingga, Pahang, Singapura dan pulau lain dalam Kepulauan Riau Lingga, telah mulai retak.[3]
            Sejak itu hingga pertengahan tahun 1818, keadaan dalam Kerajaan Johor berjalan seperti biasa. Tetapi tidak lama selepas itu, orang-orang Inggeris dan Belanda telah berebut-berebut mencampuri hal ehwal Kerajaan Johor.[4] Dapat dilihat di sini bahawa orang-orang Inggeris lebih berjaya dalam mendapatkan kawasan Singapura. Kelemahan Kerajaan Johor ketika ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh Inggeris untuk memenuhi kehendaknya. Masalah perwarisan takhta itu berkesudahan dengan Tengku Hussain diperakui sebagai Sultan Singapura serta daerah takluk rantau jajahanya melalui sebuah perjanjian yang ditandatangani pada 6 Februari 1819.[5] Mulai tahun 1819 dan menerusi perjanjian yang lebih menguntungkan Inggeris, Inggeris telah dibenarkan menduduki dan menguasai Singapura.
Setelah Singapura diserahkan kepada British, ramai pembesar Melayu yang berasa kurang senang dengan tindakan Stamford Raffles. Bagi menyuarakan  rasa kekhuatiran dan menyatakan kedudukan yang sebenar, Mejar William Farquhar dan pembesar-pembesar Melayu seperti Yang Di Pertuan Muda Riau Raja Ja’afar, Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman membuat pendiplomasian dengan mengirimkan surat. Namun begitu, keempat-empat  surat tersebut sebenarnya adalah bercanggah isi kandungannya. Hal ini kerana, setiap pengirim surat-surat tersebut mempunyai pendirian masing-masing untuk kepentingan mereka.
Dokumen 1(a)
Melalui surat ini, kita dapat mengetahui motif-motif setiap pelaku sejarahnya. Sultan Hussain adalah abang kepada Sultan Abdul Rahman yang juga dikenali sebagai Tengku Long. Sultan Hussain merupakan putera kepada Sultan mahmud Syah III. Manakala Temenggung Abdul Rahman ialah putera kepada almarhum Temenggung Abdul Hamid. Nama sebenarnya Daing (Engku) Abdul Rahman. Sultan Mahmud Syah III telah melantiknya menjadi Temenggung dengan memakai gelaran Temenggung Seri Maharaja, dipertanggungjawabkan memerintah daerah jagaanya, tanah besar Johor, Pulau Singapura dan pulau lain sekitar Johor.[6]
            Melalui dokumen pertama, Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman telah menyatakan penjelasan kepada Lord Hasting (Gabenor Jeneral Benggal) dan Colonel Bannerman (Gabenor Pulau Pinang) akan tujuan mereka sebelum ini menulis surat kepada Belanda dan YDM Riau. Mereka perlu memberitahu perkara yang sebenarnya kepada British kerana mahu menjaga perhubungan sesama mereka. British merupakan kuasa penting yang telah menaikkan taraf Tengku Hussain kepada seorang sultan yang sah. “Kompeni  Inggeris akan membayar wang kepada Sultan Husain Shah sebanyak $5,000/-tiap2 tahun selagi Inggeris mempunyai loji atau loji-lojinya di Singapura, dan Kompeni Inggeris akan melindungi Sultan Husain Shah selagi baginda diam di Singapura.”[7] Manakala Temenggung Abdul Rahman pula telah diberikan ganjaran yang lumayan. Beliau diberi hak mendapat sebahagian daripada cukai barangan dagangan dan cukai kapal dan perahu tempatan selain daripada menerima pencen sebanyak $3000 setahun daripada Inggeris dengan syarat Temenggung hanya berurusan dengan pihak Inggeris.[8] Oleh yang demikian mereka berdua telah bersepakat untuk memastikan kedudukan mereka tidak tergugat dalam keadaan sebegini. Boleh dikatakan mereka berdua mahu menjaga kepentingan kuasa mereka.
            Selain itu, mereka juga tidak mahu pihak British berlaku prasangka kepada mereka. Memang sudah jelas kedatangan British ke Singapura adalah diatas persetujuan mereka sendiri tanpa ada paksaan seperti yang dikatakan mereka dalam surat yang dihantar kepada Gabenor Belanda di Melaka dan YDM Riau. Satu perjanjian turut telah dibuat yang ditandatangani antara William Farquhar dengan Temenggung Abdul Rahman; “Ini surat tanda-suka Temenggung bersahabat dengan Kompeni Inggeris, serta dengan suka redha-nya jikalau ada dengan Tengku Long memberikan Pulau Singapura ini kapada Kompeni Inggeris, ia-itu kapada Raffles dan Tuan Farquhar akan di-perbuat mereka itu negeri.”[9]
            Mereka juga perlu menulis surat kepada pihak Belanda dan YDM Riau. Ini kerana, mereka berdua mahu menjaga kepentingan dan kuasa mereka dan tidak mahu tindakan mereka dengan menerima kedatangan British di Singapura dikecam dan dimusuhi oleh pihak Belanda dan YDM Riau. Belanda merupakan kuasa penjajah yang kuat. Mereka tidak mahu pihak Belanda berdendam, dan menggunakan kekuatan ketenteraanya untuk menyerang Singapura kelak. YDM Riau pula merupakan orang yang berpengaruh di Riau-Lingga, wajarlah kiranya mereka berdua menjaga hatinya daripada berlakunya prasangka dengan tindakan mereka ini. 
Dokumen 1(b)
            Menurut Temenggung Abdul Rahman di dalam suratnya ini, kedatangan British ke Singapura adalah bukan dengan persetujuanya, tetapi lebih kepada terpaksa untuk menerima kedatangannya. “Maka dikejutnya sahaja Paduka anakanda. Sekali-kali tidak tahu dan tidak sesuka dengan Paduka anakanda datang dikejutnya. Tidak anakanda dapat berilah lagi dia hendak duduk di Singapura, serta lalulah ia menaikkan serdadunya dan barang-barangnya.”(perenggan ke-2, baris ke-5). Pada hakikatnya, sebelum Raffles ke Singapura William Farquhar terlebih dahulu berjumpa dengan Temenggung Abdul Rahman dan menyatakan hasratnya yang diperintahkan Tuan Raffles untuk mencari kawasan yang baik untuk dibuat negeri; “Dalam rundingan itu, Tuan Farquhar telah mengatakan kepada Temenggung bahawa kedatangannya ke Singapura itu sebenarnya telah mendapat persetujuan dari Tuan Raffles dan keredaan dari Tengku Hussain(Tengku Long) sendiri supaya mengambil Singapura dijadikan negeri untuk menimbulkan nama baik sultan-sultan Melayu yang terdahulu dan sebagai tanda tulus ikhlas Tengku Husain dan Temenggung Abd. Rahman kepada Kompeni Inggeris.”[10]  Bolehlah kita rumuskan di sini bahawa tindakan Temenggung ini adalah untuk menjaga kepentingan peribadinya daripada dikecam oleh para pembesar terutamanya YDM Riau Raja Jaafar kerana telah bersekongkol dengan pihak British.
            Tengku Long ke Singapura bukanlah seperti yang dikatakan oleh Raja Embong, “...mendengar khabar Raja Embong mengatakan kapal yang banyak di Singapura.”(perenggan ke-2, baris ke-13). Ini kerana, Raffles mahu menguatkan lagi kedudukan Inggeris di Singapura, dan juga mengikut Perjanjian Sementara bertarikh 30 Januari 1819 itu. Lalu Raffles dan Temenggung Abdul Rahman pun mengahantarkan orang mereka pergi ke Riau mengambil Tengku Long (Tengku Hussain) untuk dibawa ke Singapura.[11] Antara orang yang bertanggungjawab mengambil Tengku Long dari Riau ialah Raja Embong. Pada hakikatnya kedatangan Tengku Long ke Singapura bukanlah kerana kapal yang banyak, tetapi kerana mahu berunding bersama Temenggung Abdul Rahman mengenai orang Inggeris yang hendak menduduki dan membangunkan loji perniagaan Singapura yang akhirnya kehendak Inggeris itu dipersetujui oleh Tengku Long.
            Penyataan yang dinyatakan oleh Temenggung Abdul Rahman dalam Surat 2 yang dikirimkan kepada Yang Dipertuan Muda Riau yang menyatakan Sultan Husin dipaksa oleh Raffles menjadi sultan di Singapura adalah tidak benar; “Maka dikerasainya, dijadikannya Raja serta digelar Sultan Husin. Maka diberatinya atas anakanda “...................Maka berjumpa dengan Raffles. Maka dipegangannya.”(perenggan ke-2, baris ke-11).  Hal ini kerana Sultan Husin dijemput dari Riau ke Singapura oleh Raja Embong adalah setelah mendapat perintah Temenggung Abdul Rahman; “Maka jawab Temenggung, ‘Baiklah’. Lalu disuruhnya Raja Ambung mengambil Tengku Long ke Riau.”[12] Sebelum Stamford Raffles mengisytiharkan perlantikan Sultan Husin sebagai Sultan Singapura dan perjanjian ditandatangani, Raffles terlebih dahulu berbincang dengan Sultan Husin; “Maka berkhabarlah Tuan Raflis itu kepada Tengku Long dengan perkataan yang lemah lembut serta nasihat dan pujuk-pujuk yang halus-halus. Maka menerimalah Tengku Long itu apa-apa maksud Tuan Raflis itu.”[13]
Dokumen 1(c)
            Merujuk kepada dokumen ini, YDM Riau seolah-olah begitu risau apabila British sudah mula bertapak di Singapura. baginda menunjukkan rasa kesal dan juga kekuatiran dengan tindakkan British yang menduduki Singapura tanpa pengetahuannya. Antara isi kandungan surat tersebut berbunyi; “.....jangan sahabat kita jauh hati kepada kita memeriksa sedikit kepada sahabat kita dari perkara yang mana, dari jalan yang mana, maka sahabat kita sangatlah sukanya hendak duduk di jajahan Johor ini. Boleh kita mengerti dengan sebenar-benarnya. Kiranya kita ini orang yang lemah, yang tiada menaruh daya dan upaya, dan kita yang tiada menaruh kuasa ini juga yang menaggung sakitnya.” (perenggan ke-2, baris ke-4). Walaupun ayatnya seolah-seolah seperti sekadar mahu mengambil tahu mengenai perkembangan Singapura, namun hakikatnya YDM Riau berasa begitu bimbang British mampu menjatuhkan pengaruh dan kuasanya di Riau. Secara kasarnya, British memang cepat dalam melakukan pembangunan di Singapura. Sehingga tahun 1822 sahaja, Singapura telah mempunyai kadar penduduk mencecah 10000 orang dan terdiri daripada pelbagai bangsa seperti Cina, Melayu, Bugis, Arab dan lain-lain lagi. Di Singapura telah sibuk dengan kegiatan perdagangan yang pelbagai.[14]
            Timbul persoalan di sini, kenapakah YDM Riau perlu mengetahui tindak tanduk British di Singapura. YDM Riau kelihatan agak berpihak kepada Belanda atau pro-Belanda. Ini dapat dilihat apabila YDM Riau mengenepikan perjanjian dengan Inggeris bertarikh 19 Ogos 1818. YDM Riau lebih percaya kepada Belanda walau pun sebelum ini pihak Inggeris telah memberitahunya bahawa Belanda akan menyerang Riau. Namun semua kenyataan Inggeris itu adalah fitnah dan pada 26 November 1818, suatu perjanjian baru telah dibuat antara Sultan Abdul Rahman dan Yamtuan Muda Raja Jaafar serta orang besar lain bagi pihak kerajaan mereka dengan Admiral Wolterbeek bagi pihak pemerintah Belanda di Melaka. Tengku Long dan Temenggung Abdul Rahman lebih mempercayai Inggeris. Oleh kerana berlaku pertentangan kepercayaan inilah menimbulkan lebih kerisauan kepada diri Raja Jaafar. Ketidaksefahaman ini  digunakan oleh Inggeris untuk meluaskan pengaruhnya di Singapura dengan mencampuri hal-ehwal pentadbirannya.
Yamtuan Muda Raja Ja’afar turut merasa terkilan dengan tindakan Stamford Raffles mengisytiharkan perlantikan Sultan Husin sebagai Sultan Singapura tanpa berunding dengan baginda. Sebaliknya Stamford Raffles mengadakan perbincangan dengan Temenggung Abdul Rahman yang hanya sebagai wakil Sultan untuk menjaga wilayah Singapura. Yamtuan Muda Raja Jaafar beranggapan tindakan Stamford Raffles ini, seolah-olah cuba memperkecil-kecilkan kuasa baginda dengan mengangkat kedudukan Sultan Husin sebagai Sultan. Sebenarnya Yamtuan Muda Raja Jaafar tidak bersetuju dengan perlantikan Sultan Husin sebagai Sultan Singapura dan beranggapan bahawa perlantikan Sultan Husin sebagai Sultan Singapura tidak sah kerana, pemerintah yang sebenar bagi kerajaan Johor-Riau-Lingga ialah Sultan Abdul Rahman. Hal ini kerana, semasa almarhum Sultan Mahmud gering, baginda sempat mewasiatkan kepada Yamtuan Muda Raja Jaafar agar mewariskan takhta kerajaan baginda kepada putera baginda yang kedua iaitu Tengku Abdul Rahman; “Jaafar, jikalau aku dikehendaki Allah taala aku mati di dalam sehari dua ini atau yang di belakangnya si Komeng, (yakni puteranya Tengku Abdul Rahman), engkau wakilku dan lagi wasiatku jikalau aku mati si Komenglah engkau gantikan kerajaanku.”[15]. Menurut adat istiadat pertabalan, hanya seorang sahaja putera raja yang dilahirkan oleh permaisuri raja ditabalkan sebagai raja dengan penuh istiadat.[16] Selain itu, seseorang Sultan yang dilantik perlu mendapat persetujuan orang-orang besar kerajaan dan mesti bersama-sama memakamkan jenazah almarhum. Namun, pada masa itu semasa Sultan Mahmud mangkat, Tengku Husin berada di Pahang untuk istiadat perkahwinannya. Yamtuan Muda Raja Jaafar mengambil kesempatan ketiadaan Tengku Husin untuk menabalkan adik baginda, Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan bagi kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang menggantikan almarhum ayahanda baginda.[17]
Selain itu YDM Riau berasa bimbang akan pengaruh Sultan Hussain semakin mekar dan mampu menggangu gugat kedudukannya. Sultan Hussain mempunyai sokongan kuat daripada pihak British. Lihat sahaja kepada perjanjian kedua bertarikh 6 Februari 1819 fasal yang kedua, “...dan laka kompeni Inggeris berjanji pelihara sultan itu selama-lamanya dia duduk dekat tempat diperintah kompeni Inggeris tetapi betul Sultan boleh mengerti kompeni Inggeris di dalam janji sahabat bersahabat ini dan di dalam janji ini memeliharakan Sultan kompeni Inggeris tiada berjanji masuk di dalam bicara hal Kerajaan atau pemerintah Sultan dan tiada dia janji berperang pada lain-lain negeri dari sebab mahu mendirikan adat perintahnya.”[18] Tambahan pula, William Farquhar sebelum ini pernah bersahabat dengan Sultan Husin; “Maka adapun sebab di-suroh-nya tuju Singapura itu, oleh kerana Tuan Farquhar itu sudah bersahabat dengan Tengku Long, putera Sultan Mahmud, tatkala masa ia di Melaka juga; maka khabar-nya ku dengar ada-lah Tengku Long itu sudah mengambil beberapa wang daripada Colonel Farquhar.”[19] Maka perhubungan persahabatan Sultan Husin yang sangat erat dengan William Farquhar ini sedikit sebanyak mampu mengangkat kedudukan Sultan Husin sebagai pemerintah yang agung di Singapura dan mengganggu-gugat kedudukan baginda di Riau.
Dokumen 1(d)
            Dokumen ini menjelaskan kehadiran sebenar British ke Singapura. Farquhar telah menjelaskan bahawa kedatangan Inggeris adalah semata untuk berniaga, “Ini sebab hendak buat tempat berniaga serta menjaga segala kapal-kapal Inggeris yang pergi datang berniaga ke sebelah timur ini.”(Perenggan Pertama,Baris ke-7).Sebenarnya, apa yang ditulis oleh Farquhar itu hanyalah untuk menjaga hati YDM Riau semata. Sememangnya tujuan Inggeris ke Singapura adalah lebih daripada yang dinyatakan. Ini jelas kerana dalam kronologi perjanjian antara Inggeris dengan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman menunjukkan Inggeris berjaya menguasai sedikit demi sedikit pentadbiran Singapura. Sehingga akhirnya tanggal 2 Ogos 1824, Singapura terlepas terus daripada pegangan pentadbiran Raja Melayu. Merujuk kenyataan dalam penulisan buku karya Buyong Hj Adil, mulai pada hari itu, setelah selesai dibuat perjanjian itu kuasa pemerintahan Singapura pun terlepas daripada tangan Raja Melayu kepada kompeni Inggeris.[20] Mengikut ‘Hikayat Abdullah’, lima hari selepas perjanjian itu dibuat, Residen Crawfurd telah menyuruh orang memukul canang di merata tempat dalam Singapura hingga ke Kampung Gelam di mana Sultan Hussain Syah tinggal dan Teluk Belangga di mana Temenggung Abdul Rahman tinggal untuk memberitahu penduduk Singapura.
            Farquhar juga mempunyai hubungan yang baik dengan Gabenor Jeneral Benggal (Hindia Timur) iaitu Lord Hasting. Farquhar sebelum dilantik menjadi Reseiden di Singapura, beliau merupakan seorang Residen Inggeris yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal pentadbiran Inggeris di Melaka. Hubungan yang baik ini dapat dilihat apabila Farquhar mengikut segala arahan yang telah dikeluarkan oleh Gabenor Jenral Benggal. Sebagai contoh, dalam bulan Ogos tahun 1818, seorang Residen Inggeris di Melaka bernama William Farquhar telah pergi berjumpa Sultan Abdul Rahman di Lingga. Selepas itu, ia berjumpa pula dengan YDM Raja Jaafar di Riau. Dalam perjumpaan itu, Farquhar telah memujuk YDM dengan menghadiahkan beberapa pucuk meriam dan kain-kain dengan mengatakan kepada Raja Jaafar bahawa orang Belanda akan datang menyerang Riau dan meminta supaya Raja Jaafar memusuhi orang Belanda. Setelah itu berlakulah perjanjian antara mereka pada 19 Ogos 1818, “dengan kuasa yang diberi kepadanya oleh Seri Sultan Abdul Rahman, Yang Dipertuan Kerajaan Johor, Pahang daerah takluknya.”[21]
            Kewujudan ‘serdadu’ di Singapura seperti yang dinyatakan dalam surat ini adalah kerana mengikut arahan daripada Gabenor Jeneral Benggal. Hakikatnya, Farquhar tidak menjelaskan sepenuhnya mengapa wujudnya serdadu itu di Singapura. Di dalam perjanjian bertarikh 6 Februari 1819, Inggeris telah dibenarkan untuk menduduki Singapura. Mereka dibenarkan menaikkan bendera kompeni Inggeris, membina loji perniagaan, menempatkan tentera mereka sebagai langkah keselamatan orang-orang Inggeris. Jelasnya di sini, walaupun Farquhar memberitahu YDM Riau di dalam surat ini, kedatangan Inggeris hanyalah mahu berniaga dan dan tidak lebih daripada itu, tetapi hakikatnya, Inggeris mahu mendapatkan terus pentadbiran Singapura secara keseluruhan. Seperti yang diketahui, Pulau Singapura begitu strategik bagi menggantikan Melaka yang sudah diserah kembali kepada Belanda 1818, dan Pulau Pinang yang semakin kehilangan pengaruhnya.
KESIMPULAN
            Secara kesimpulanya dapatlah difahami bahawa Riau adalah sebuah wilayah yang berada di bawah empayar Johor-Riau.Di mana Riau adalah pusat pemerintahan Kerajaan Johor-Riau pada awal kurun ke-19.Manakala Singapura pula adalah sebuah wilayah Kerajaan Johor-Riau yang di perintah oleh seorang Temenggung yang bergelar Temenggung Abdul Rahman yang telah dilantik oleh Yang Dipertuan Muda Riau iaitu    Pemerintah Kerajaan Johor-Riau.British pula adalah kuasa penjajah yang sedang mencari tanah jajahan baru di sektar Kepulauan Melayu.Orang yang bertanggungjawab menjalankan tugas ini adalah Raffles dan Farquhar.Mereka begitu berusaha kerana kehilangan kuasa akibat kembalinya Belanda ke Melaka selepas tamatnya perang di Eropah.Perhubungan dengan Singapura dapat dilihat selepas British berada di Singapura.
            Tafsiran yang boleh dibuat di sini, kedatangan British adalah berasaskan dua tujuan penting iaitu untuk memastikan kelangsungan perniagaan kloni-kloni British di timur dan untuk mendapatkan pengaruh.Ini kerana Singapura adalah amat penting sebagai kawasan persingahan kapal-kapal British.Tambahan kedudukan Singapura yang strategik di antara timur dan barat.Manakala perlantikan Tengku Long sebagai sultan adalah satu tipu muslihat yang dilakukan British untuk bertapak di Singapura seperti yang di lakukan ke atas Pulau Pinang.



BIBLIOGRAFI
Abdullah bin Abdul Kadir Munsi. 1966. Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur: Pustaka
Antara.

Ahmad Fawzi Basri. 1988.  Johor 1955-1917.  Pentadbiran dan perkembangannya.
Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Badriyah Haji Salleh. 1999. Warkah al-ikhlas 1818-1821. Ampang/Hulu Kelang
Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haji Buyong bin Adil. 1972. Sejarah Singapura, rujukan khas mengenai peristiwa
sebelum tahun 1824. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haji Buyong bin Adil. 1980. Sejarah Singapura, rujukan khas mengenai peristiwa
sebelum tahun 1824. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

K. Ratnam. 2001. Sejarah (Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan & Asia Timur. Subang
Jaya: Pustaka Sarjana Sdn Bhd.

Rahimah Abdul Aziz. 2000. Sejarah Pembaratan Pemerintahan Johor(1800-1945) Suatu                                   Analisis Sosiologi Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji (editor, Virgina Matheson). 1982. Tuhfat Al-Nafis.
Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd.

Shaharom Husain. 1995. Sejarah Johor kaitannya dengan Negeri-negeri Melayu. Kuala
Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd.




[1] Haji Buyong bin Adil, 1972. Sejarah Singapura, rujukan khas mengenai peristiwa sebelum tahun 1824. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.58
[2] Rahimah Abdul Aziz, 2000. Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945) Suatu Analisis Sosiologi Sejarah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.42
[3] Raja Ali Haji Riau, 1965. Tuhfat’n Nafis, Malaysia Publications Ltd., Singapura, hal.260
[4] Haji Buyong bin Adil, 1980. Sejarah Singapura, rujukan khas mengenai peristiwa sebelum tahun 1824. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.65
[5] Rahimah Abdul Aziz, 2000. Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945) Suatu Analisis Sosiologi Sejarah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.43
[6] Haji Buyong bin Adil, 1980. Sejarah Singapura, rujukan khas mengenai peristiwa sebelum tahun 1824. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.64
[7] Haji Buyong bin Adil. 1972. Sejarah Singapura, rujukan khas mengenai peristiwa sebelum tahun 1824. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.65
[8] Rahimah Abdul Aziz, 2000. Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945) Suatu Analisis Sosiologi Sejarah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.43

[9] Abdullah bin Abdul Kadir Munsi. 1966. Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, hal.163
[10] Shaharom Husain. 1995. Sejarah Johor kaitannya dengan Negeri-negeri Melayu. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd, hal.61.
[11] Haji Buyong bin Adil, 1980. Sejarah Singapura, rujukan khas mengenai peristiwa sebelum tahun 1824. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.69

[12] Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji (editor, Virgina Matheson). 1982. Tuhfat Al-Nafis. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd, hal.277
[13] Ibid.
[14] Haji Buyong bin Adil, 1980. Sejarah Singapura, rujukan khas mengenai peristiwa sebelum tahun 1824. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.87
[15] Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji (editor, Virgina Matheson). 1982. Tuhfat Al-Nafis. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd, hal.264..
[16] K. Ratnam. 2001. Sejarah (Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan & Asia Timur. Subang Jaya: Pustaka Sarjana Sdn Bhd, hal.1

[17] Haji Buyong bin Adil. 1972. Sejarah Singapura, rujukan khas mengenai peristiwa sebelum tahun 1824. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.58
[18] Rahimah Abdul Aziz, 2000. Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945) Suatu Analisis Sosiologi Sejarah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.246

[19] Abdullah bin Abdul Kadir Munsi. 1966. Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, hal.159
[20] Haji Buyong bin Adil, 1980. Sejarah Singapura, rujukan khas mengenai peristiwa sebelum tahun 1824. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.104

[21] Haji Buyong bin Adil, 1980. Sejarah Singapura, rujukan khas mengenai peristiwa sebelum tahun 1824. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka, hal.66

No comments:

Post a Comment