nuffnang

Thursday, June 6, 2013

Nyatakan faktor-faktor yang menyebabkan British lebih berjaya dalam usaha menguasai India berbanding kuasa-kuasa Barat yang lain

1.0 Pengenalan

Kedatangan kuasa-kuasa Barat untuk penjelajahan dan penerokaan meninggalkan kesan yang besar terhadap sejarah peradaban di India. Kemerosotan keagungan empayar Mughal membuka ruang kepada beberapa kuasa besar Eropah untuk menaklukinya. Antaranya ialah Portugal, Belanda, Perancis dan British. Negara-negara ini pada asalnya tiba sebagai pedagang mula mengambil kesempatan terhadap beberapa kelemahan India untuk menubuhkan negara jajahan. Portugis merupakan antara kuasa Eropah yang berjaya merintis jalan ke Afrika Barat dan Selatan. Sejarah Portugal di India bermula pada tahun 1498 apabila Vasco De Gama sampai di Calicut pantai barat daya India diikuti oleh Cabral sekitar tahun 1500.[i] Namun begitu, Portugal masih ragu-ragu akan kedudukan mereka di India seperti yang terjadi pada tahun 1542 dan 1570 ketika pertelagahan berlaku sama ada memilih Estado da India atau Morocco. Belanda bermula dengan penguasaan bahagian Pulicat di bahagian Timur Madras pada tahun 1609, Masulipatnam dan Surat. Walau bagaimana, tumpuan yang lebih diberikan ke Jawa menyebabkan pengaruhnya agak terhad. [ii]

Perancis pula menubuhkan La Compagnie des Indes Orientales dan bertapak di Poncherry pada 1674. Perancis menjadi pilihan kuasa-kuasa tempatan untuk mendapatkan bantuan dari segi teknikal, peperangan, senjata dan sebagainya.[iii] Hal ini demikian kerana, pada waktu tersebut wujud persaingan antara pemerintah tempatan untuk mengekalkan kuasa. Pada awalnya, British hanya ingin menjalankan aktiviti perdagangan sahaja sebagaimana Belanda sehingga tahun 1500 ditubuhkan East Indian Company of London (EIC). Pada tahun 1612, EIC mendapat keizinan untuk aktiviti perdagangan di Surat (Gujerat). Di sinilah bermulanya pertapakan kuasa British di India.[iv] British secara perlahan-lahan meluaskan pengaruh mereka di India melalui cara pengilhakan. Proses ini melalui tiga zaman iaitu zaman Lord William Bentick (1825-1835), zaman Lord Ellenborough (1836-1846) dan zaman Lord Dalhousie (1846-1856). Sekitar tahun 1856, kebanyakan India tertakluk di bawah kawalan Syarikat Hindia Timur Inggeris dan menjelang abad ke-17 British sudah berjaya menguasai beberapa tempat penting di sekeliling India. 

Perancis dan British masing-masing cuba untuk merebut India dalam beberapa siri peperangan. British diketuai oleh Robert Clive manakala Perancis pula Dupleix. Perancis pada permulaannya sangat kuat di Madras dan Deccan sehingga mereka mampu membantu Nizam Hyrabad dalam persaingan untuk mewarisi kerajaan. Namun begitu, selepas Dupleix digantikan dengan Lally, mengakibatkan kekalahan teruk kepada Perancis. Clive ternyata lebih hebat dan dapat menguasai Pondicherry. Tambahan pula kemenangan British ke atas Perancis dalam Perang Tujuh Tahun (1754-1763) menjadikan Britain sebagai kuasa dominan penjajah.[v] Perjanjian Paris yang ditandatangani pada 1763 menyebabkan Perancis tidak lagi menjadi batu penghalang untuk British terus menguasai keseluruhan negara India. Penjajahan Syarikat India Timur ke atas India lengkap pada tahun 1857. Sehingga tahun 1949, Perancis hanya menduduki tiga kota kecil iaitu Pandicherry berdekatan Madras, Chandarnagar dan Tellicherry. Warren Hasting dilantik menjadi gabenor jeneral pertama di India dalam usaha mengukuhkan kekuasaan British. Dalam Akta Majlis India (1861) pula dinyatakan wizurai British akan dibantu oleh lima pegawai British dalam bidang eksekutif. Peruntukan ini secara tidak langsung meletakkan gabenor jeneral sebagai pemerintah tertinggi di India. Di sebalik kejayaan British menguasai India, wujud beberapa faktor yang mendorongnya mengatasi kuasa Barat lain.

2.0 Faktor-faktor kejayaan British menakluki India berbanding kuasa Barat yang lain.

2.1 Faktor dalaman

2.1.1 Kelemahan pemimpin

Mughal merupakan kerajaan Islam Islam yang penting terhadap perkembangan peradaban Islam selain Kerajaan Turki Uthmaniyah dan Kerajaan Safawi. Ibu kota pentadbirannya terletak di Delhi. Dinasti ini didirikan oleh Zahiruddin Muhammad Babur (1526M-1858M) dan mencapai zaman keemasan pada zaman pemerintahan Akbar Khan (1556-1605). Pada zaman pemerintahan Aurengzeb, Islam dijadikan agama rasmi negara. Aurangzeb digelar Alamgir Padshah Ghazi. Aurangzeb mengamalkan dasar yang keras terhadap orang Hindu dan Sikh kerana tidak berkrompomi dengan masyarakat bukan Islam. Corak pemerintahan yang dilaksanakan oleh beliau secara tidak langsung merenggangkan hubungan antara penganut Hindu dan orang Islam khususnya. 

Beliau merupakan pengikut sunni yang tidak bertoleransi dengan mazhab dan agama lain dan sangat bertegas dalam melaksanakan negara Islam. Dasar-dasar Aurangzeb bagaikan anti-Hindu dikesan melalui pengenalan semula bayaran jizyah.[vi] Cukai jizyah diertikan sebagai cukai perlindungan yang dikenakan kepada golongan bukan Islam yang tinggal di egara Islam untuk menjamin perlindungan dan keselamatan nyawa, harta benda serta amalan mereka. Daripada perspektif yang lain, pembayaran jizyah dikategorikan sebagai anti-Hindu kerana penganut Hindu boleh terlepas daripada pembayaran tersebut sekiranya mereka memeluk Islam. Penganut Hindu yang ingin mengelak daripada pembayaran jizyah terpaksa memluk Islam. Dalam satu peristiwa, beribu-ribu penganut Hindu membuat bantahan terhadap pelaksanaan cukai jizyah ini namun mereka diarahkan untuk bersurai dalam masa satu jam. Sekiranya ingkar dengan arahan tersebut, meraka akan dibunuh. [vii]

Baginda juga dikecam kerana meruntuhkan kuil sebagaimana di Amber dianggarkan sebanyak 66 buah kuil dimusnahkan. [viii]Hal ini demikian kerana, dalam kebanyakan kuil wujud pengaruh politik yang akan menggugat kestabilan politik dinansti Mughal. Contohnya pada tahun 1669M di Banaras yang dipimpin oleh Shivaji, mereka menggunakan kuil setempat untuk perancangan pemberontakan. Aurengzeb bertindak menghancurkan kuil Banaras. Perkara yang sama juga terjadi pada 1670M di Mathura semasa isu pemberontak membunuh tokoh-tokoh agama Islam, beliau menanganinya dengan menghancurkan kuil. Perkara inilah yang lama-kelamaan mencuit egarant penganut agama Hindu. Menghukum bunuh guru Sikh yang membangkitkan penentangan orang bukan Islam.[ix] Orang-orang Hindu dan Sikh menganggap Aurangzeb sebagai seorang pemerintah yang kejam sebaliknya orang Islam menganggap baginda pemerintah yang adil. Beliau menghadkan orang Hindu dalam jawatan kerajaan termasuk ketenteraan dan kehakiman sebaliknya lebih gemar orang Muslim untuk memegang jawatan tersebut. Hal ini menyebabkan orang-orang Hindu termasuklah Rajput, Jat dan Mahratta mengumpulkan kekuatan untuk melancarkan pemberontakan. [x]Malah, beliau melarang kanak-kanak Islam belajar di kuil Hindu dan dalam masa yang sama menghapuskan peraturan istana yang bertentangan dengan Islam. 

Beliau mengharamkan kembali minuman arak, nyayian, tarian dan gundik yang sekian lama bermaharajalela dalam dinasti Mughal. Larangan terhadap sebarang bentuk hiburan termasuk muzik juga dibuat. Segalanya selain daripada zikir, selawat dan lagu-lagu memuji Allah dilarang keras. Hal ini menimbulkan kejutan yang amat sangat dalam kalangan pemuzik-pemuzik egara kerana sebelumnya bidang muzik sangat disanjung tinggi dan mendapat tempat istimewa di hati para pemerintah. Aurangzeb berpendirian muzik akan membunuh jiwa perjuangan dan menyuburkan rasa khayal kepada cinta yang diharamkan dalam agama Islam. Seperti yang diketahui hampir kebanyakan dinasti mahupun kerajaan mengalami kemunduran ditandai dengan konflik dalaman keluarga pemerintah. Setelah kewafatannya pada tahun 1707M, kerajaan Mughal di India mengalami kemerosotan sedikit demi sedikit terutamanya ketika berlaku perebutan takhta antara putera-putera Aurangzeb. Ini disokong oleh tulisan Burton Stein yang menyatakan empayar Mughal dikira berakhir pada tahun 1707 apabila Maharajara Aurangreb generasi kelima keturunan Babur meninggal dunia. [xi]Pengganti Aurangzeb iaitu Bahadur Shah berjaya menguasai takhta kerajaan selepas menundukkan tentangan daripada Azam dan Muazzam. Menyedari situasi dinasti Mughal yang terancam rentetan pemberontakan yang dilakukan oleh golongan Mahratta, Sikh, Rajput dan Jar maka Bahadur Syah cuba mencari jalan penyelesaian dengan perdamian. Namun begitu, Bahadur digantikan oleh Jahandar Syah. Baginda juga terpaksa menghadapi tentangan daripada Putera Azim ush-Syah, Rafi-ush-Syah dan Jahan Syah. Keadaan ini telah melemahkan kepimpinan dalaman kerajaan Mughal. Beliau digambarkan seorang yang tidak cekap metadbir kerajaan dan suka menghabiskan wang perbendaharaan egara. Oleh hal yang demikian tidak hairanlah tahap ekonomi empayar Mughal mengalami kemerosotan yang ketara. Golongan Mansabdari yang bertanggungjawab terhadap pungutan cukai egara bertindak menyelewengkan wang untuk kepentingan peribadi semata-mata. 

2.2 Faktor luaran

2.2.1 Ketenteraan

Dasar ketenteraan British merupakan salah satu faktor terbesar yang menyumbang kepada kejayaan British menguasai India berbanding kuasa- kuasa Barat yang lain iaitu Portugis, Belanda, dan Perancis. Hal ini demikian kerana British merupakan kuasa besar yang tidak dapat ditandingi oleh mana- mana kuasa Barat lain terutamanya dalam bidang ketenteraan kerana mereka mempunyai peralatan ketenteraan yang canggih dan pemimpin ketenteraan yang berkaliber serta disiplin ketenteraan yang ketat.[xii] Gerakan ketenteraan yang sistematik dan terancang merupakan perkara yang sangat penting kepada British sebagai usaha untuk menakluki dan menguasai India khususnya terhadap negeri yang lemah atau telah dilemahkan. Keadaan inilah yang akan menyebabkan pemerintah tidak mempunyai pilihan kecuali untuk menyerah kalah kepada British.[xiii] Sebagai contoh, dapat dilihat bagaimana British menggunakan kuasa de facto sebelum mereka menggunakan kuasa de jure dalam memperluaskan kuasa di Bengal dan Karnatik.

Oleh sebab itulah senjata menjadi alat utama kepada British dan kuasa Barat lain dalam persaingan mendapatkan India. Pada pertengahan abad ke- 18, dasar ketenteraan ini telah digunakan oleh British untuk menyaingi kuasa Barat yang hebat iaitu Perancis. Perancis merupakan sebuah kuasa Barat yang mempunyai banyak kelebihan dari segi ketenteraan. Hal ini demikian kerana Perancis mempunyai angkatan ketenteraan yang besar, angkatan tentera tempatan yang terlatih, dan memiliki pangkalan ketenteraan yang social di Mauritius. 

Oleh sebab itu, British telah mula mengambil inisiatif untuk mempersiapkan ketenteraan mereka supaya dapat mewujudkan dasar ketenteraan yang lebih kuat dan mantap berbanding Perancis. Hal ini kerana British menganggap Perancis sebagai pesaing utamanya dari segi kekuatan ketenteraan dalam mendapatkan India. Dalam memastikan kehebatan ketenteraannya berbanding Perancis, British mula menggunakan dan membina kapal- kapal perang yang baru dan menubuhkan satu skuadron pasukan tentera laut yang kuat.[xiv] Akhirnya, usaha yang dilakukan British tidak sia- sia apabila British telah berjaya mengalahkan Perancis dengan mengusir Perancis dari Mauritius sekaligus melemahkan kepimpinan ketenteraan Perancis dan kedudukan mereka di India. Hal ini demikian kerana Perancis telah kehilangan sokongan mereka yang penting yang berpusat di Mauritius. Melalui kemenangan ini, British juga telah berjaya menawan Pondicherry.

Selain itu, British mempunyai ketenteraan yang terbahagi kepada dua pasukan iaitu tentera laut dan darat. Keanggotaan British terdiri daripada orang Eropah dan Sepoi yang telah dilatih dengan latihan ketenteraan yang sempurna dan dilengkapi dengan alatan senjata yang terbaik dan canggih.[xv] Sepoi ialah golongan askar dari kalangan penduduk tempatan dan mendapat layanan istimewa daripada pihak British. Di samping itu, Sepoi merupakan golongan yang dihormati dan mempunyai kedudukan yang penting kerana mereka dianggap sebagai golongan yang berani dan berdisiplin semasa di medan perang dalam memperluaskan kuasa British di India. Sebagai buktinya, kenyataan ini turut diakui oleh Lord Cornwallis pada tahun 1787 yang menyatakan bahawa satu briged tentera sepoi dapat menjadikan seseorang itu sebagai maharaja di India.[xvi]

Secara tidak langsung, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pihak British sangat bergantung kepada tentera sepoi untuk membantu pihak British dalam menakluki India sekaligus menumpaskan kuasa Barat yang lain terutamanya Perancis yang menjadi pesaing utama dalam mendapatkan India. Pihak British juga mempunyai Sains Ketenteraannya yang tersendiri yang bukan sahaja digunakan untuk menawan India tetapi juga digunakan dalam mendapatkan tanah jajahannnya yang lain. Ketenteraan British yang kuat dan kukuh di India juga disebabkan oleh wujudnya satu pasukan tentera yang mempunyai tugas- tugas yang telah ditetapkan. Antaranya ialah pasukan kalvari, ocialy, dan juga pasukan meriam yang ditugaskan dan ditempatkan di kawasan- kawasan tertentu seperti Bombay, Madras,dan Bengal.

Selain itu, British juga mempunyai pasukan ketenteraan yang kuat kerana mereka mempunyai sistem kewangan yang kukuh. Tentera British mendapat peruntukkan kewangan yang banyak dari pihak British di India, bantuan langsung dari London, dan juga daripada subsidi kerajaan tempatan yang bersekutu dengan pihak British. Jelaslah menunjukkan bahawa British mempunyai punca kewangan yang banyak menyebabkan British dapat bertapak di India sekaligus menewaskan kuasa- kuasa Barat yang lain. Peruntukkan kewangan inilah yang dibayar oleh British kepada tentera- tentera sebagai ganjaran mereka dalam memperluaskan kuasa British di India.[xvii] Sebagai bukti, dapat dilihat melalui belanjawan pada tahun 1853 apabila British membelanjakan wang peruntukkan tersebut sebanyak 60 peratus semata- mata untuk ketenteraan. Oleh sebab itu tidak hairanlah British merupakan kuasa Barat yang lebih berjaya dalam usaha menguasai India berbanding dengan kuasa- kuasa Barat yang lain.

Selain itu, pihak British dikatakan berjaya bertapak di India disebabkan oleh kemunduran India dalam semua segi kehidupannya termasuklah ilmu pelayaran, ketenteraan, ilmu pengetahuan, dan sebagainya. Kemunduran inilah yang menyebabkan British dapat mengatasi India dalam semua bidang sekaligus berjaya menakluki India.[xviii] Manakala menurut pendapat Jawaharlal Nehru yang menyatakan bahawa British lebih berjaya memperluaskan kekuasaannya di India disebabkan oleh pihak British bijak mempergunakan golongan pembesar feudal dengan mengeksploitasi golongan ini yang hampir pupus supaya bangun berkongsi kuasa dengan mereka.[xix] Jelaslah menunjukkan bahawa pihak British mempunyai kekuatan ketenteraan melalui bantuan yang diberikan oleh golongan feudal ini.

Dasar ketenteraan British menjadi semakin hebat dan kuat apabila munculnya Robert Clive yang bertindak sebagai panglima perang British. Robert Clive telah datang ke India pada tahun 1743 ketika berusia 19 tahun. Sebelum menjadi panglima perang, Robert Clive hanya pegawai rendah yang ditugaskan di Madras. Namun begitu, kehebatan dan kecekapannya dalam ketenteraan kian terserlah terutamanya selepas beliau mula menunjukkan kemampuannya dalam menumpaskan Perancis di India. Keupayaan Clive dalam bidang ketenteraan dalam membentuk pasukan angkatan tentera yang kuat dan teratur bukan sahaja digunakan untuk menggulingkan kerajaan Perancis tetapi juga untuk menghadapi kuasa tempatan. 

Jika kekuatan ketenteraan British disebabkan oleh adanya panglima perang yang hebat iaitu Robert Clive maka kekuatan ketenteraan Perancis pula disebabkan oleh terdapatnya seorang tokoh yang berwibawa iaitu Gabenor Pondicherry iaitu Joseph Francois Dupleix. Secara tidak langsung, keadaan ini telah menyebabkan berlakunya persaingan sengit antara kedua- dua buah pihak dalam meluaskan kuasa masing- masing di India.[xx] Keadaan ini dapat dilihat di Carnatik apabila pertelingkahan yang berlaku antara kedua- dua pihak ini berlanjutan dari tahun 1744 hingga tahun 1760. Bagi mendapatkan kemenanangan, Dupleix telah melancarkan serangan terhadap Port St. David yang terletak kira- kira 15 kilometer dari Madras pada Disember 1746 dengan membawa angkatan tentera seramai 1700 orang. Kemenangan berpihak kepada Perancis apabila Dupleix berjaya menawan kota berkenaan pada bulan Mac 1748 walaupun dalam jangka masa yang agak panjang. 

Namun begitu, dalam peperangan yang seterusnya, kemenangan menjadi milik British pula apabila pasukan tentera yang berada di bawah pimpinan Eyre Coote telah berjaya menumpaskan tentera Perancis yang dipimpin oleh Count de Latly.[xxi] Persaingan yang berlaku antara kedua- dua pihak ini di India juga dikatakan dipengaruhi oleh perkembangan yang berlaku di Eropah.[xxii] Pada tahun 1763, satu perjanjian telah ditandatangani yang dikenali sebagai Perjanjian Paris. Melalui perjanjian ini, perdamaian antara pihak British dan Perancis telah dicapai sekaligus menjadikan Perancis sebagai sebuah kuasa tidak lagi kuat dan penting serta pihak British juga tidak gentar lagi dengan ancaman pihak Perancis. Di sini jelaslah membuktikan bahawa British telah berjaya menguasai India dari segi politik, ekonomi, pemerintahan, dan ocial[xxiii] berbanding kuasa- kuasa Barat yang lain disebabkan oleh pihak British mempunyai dasar ketenteraan yang hebat dan kuat. 

2.2.2 Dasar diplomasi British

Robert Clive datang ke India sekitar tahun 1743 ketika usianya baru sahaja menginjak 19 tahun. Pada mulanya ia hanyalah seorang pegawai rendah di dalam East India Company (EIC) yang ditempatkan di Madras. Kecekapannya hanya dilihat selepas kemampuannya menumpaskan kerajaan Perancis di India. Setelah mempunyai kedudukan yang kuat, Clive seterusnya berusaha memperkukuhkan kedudukan British di India dengan memperluaskan kuasa ke Benggala (Bengal) sebelum ke Sungai Ganges. Namun begitu jalannya bukan mudah kerana raja Benggala, Nawab Suraj-ud-dowlah sama sekali tidak menyukai British. [xxiv]

Nawab tersebut tidak menyukai British atas beberapa sebab yang mana sebab utamanya adalah ekonomi. Pihak British yang telah bertapak di Bengal sejak abad ke-17 mula memperluaskan pengaruh mereka dalam bidang ekonomi. Peningkatan eksport tekstil dari Bengal dari tahun 1690 hingga 1740 serta keuntungan yang diperoleh oleh pihak British dalam perdagangan antara India, China, dan Britain telah menjadikan Calcutta sebagai pusat penting kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI/EIC). Bagi pihak Suraj-ud-dowlah, pengaruh EIC ini begitu besar dan menyebabkan rakyat terpaksa bergantung kepada British.[xxv]

Oleh sebab itu, Nawab bertindak merebut benteng British yang paling jauh dari laut iaitu Kasimbazar dengan menghantar lima puluh ribu soldadu yang sekelip mata menumpaskan dua ratus orang soldadu British di sana. Kota itu menyerah dalam masa enam hari iaitu pada bulan Jun 1756. Kesemua tawanan tersebut dimasukkan ke dalam ruangan penjara yang besarnya tidak lebih daripada 200 meter persegi. Menurut berita, keesokan harinya kesemua tawanan tersebut mati dibunuh oleh penjaga penjara tanpa arahan daripada nawab.[xxvi] Namun begitu terdapat pula pendapat yang mengatakan bahawa angka sebenar tawanan adalah seramai 146 orang warga British termasuk seorang wanita dan tentera yang cedera. Daripada jumlah itu, seramai 23 orang sahaja yang hidup. Semua ini terjadi secara mengejut kerana keyakinan pihak British begitu tinggi bahawa masyarakat tempatan tidak berani menentang mereka.[xxvii]

Pembunuhan ini dinamakan oleh orang British sebagai the ‘tragedy of the black hole’. Sebahagian pendapat pula mengatakan bahawa teragedi ini terkenal dengan gelaran ‘Black Hole of Calcutta’ yang mengambil nama tempat peristiwa ini terjadi. Hal ini menyebabkan Clive merasa sangat tercabar dan akhirnya pergi ke Calcutta bersama-sama angkatan lautnya. Dalam masa sepuluh bulan kota itu jatuh semula ke tangan British pada tahun 1757.[xxviii] Berdasar petikan di bawah, ember ini telah mewujudkan casus belli antara pihak British dan Nawab tersebut;

…referred to that great crime, which as every student of history knows, formed the casus belly between the English and the Nawab Suraj-ud-dowlah…[xxix]

Apabila British ember mengukuhkan semula kuasanya, Clive mengadakan perjanjian dengan Mir Jafar salah seorang menteri kepada Nawab yang berdendam kerana sering dihina oleh raja. Clive bersetuju menjadikan Mir Jafar sebagai Nawab yang baru sekiranya beliau bersetuju memberikan keterangan yang palsu kepada Nawab sedia ada tentang susunan dan kekuatan tentera British dalam pertempuran akan datang. Selain daripada itu, Clive telah melakukan sogokan kepada tentera di bawah pimpinan Suraj-ud-dowlah. Sebilangan besar tentera menjual senjata mereka dan ada pula yang sanggup mengkhianati tentera mereka semasa di medan pertempuran dan tak kurang pula yang mengundurkan diri. Akhirnya, semasa pertempuran berlangsung, Nawab tersebut melarikan diri dan meninggalkan askar-askarnya yang banyak terdiri daripada orang Perancis. Seperti yang dijanjikan Jafar naik menjadi Nawab yang baru sementara Nawab yang lama dibunuh oleh orang ember semasa mencari tempat perlindungan. Tindakan Clive ini turut mendapat kritikan oleh pemimpin Kongres, Jawarhalal Nehru dalam sebuah karyanya, ‘The Discovery of India’;

In Bengal, Clive by promoting treason and forgery and with very little fighting, had won the battle of Plassey in 1757, a date which is sometimes said to mark the beginning of the British Empire in India. It was an unsavoury beginning and something of that bitter taste has clung to it ever since. Soon the British held the whole of Bengal and Bihar and one of the early consequences of their rule was a terrible famine which ravaged these two provinces in 1770, kill over a third of the population of this rich, vast, and densely populated area.[xxx]

Pendapat lain pula mengatakan kemenangan British menyebabkan Bengal menghadapi kebuluran yang teruk pada tahun 1769 hingga 1770 yang mengakibatkan kematian satu per tiga daripada jumlah penduduknya.[xxxi] Clive pulang ke negara asalnya sebagai orang kaya hasil daripada harta rampasan dan diangkat menjadi Lord Clive.

Namun begitu empat tahun kemudian beliau dihantar semula ke India berikutan ketidakstabilan di sana. Kaum Maratha tidak henti menganggu penduduk Bengal dan ini mengancam kedudukan EIC. Nawab yang baru iaitu Mir Kasim yang menggantikan Mir Jafar tidak senang diperbodohkan oleh British terutama hal berkaitan soal kewangan. Mir kasim kemudiannya menjalinkan hubungan dengan wazir dari Awardh untuk menentang pihak British.[xxxii] Mir kasim mengarahkan agar orang British dibunuh di Kota Patna yang berjumlah lebih daripada 200 orang. Beberapa pertempuran berlaku dan berakhir dengan peperangan di Buxar pada bulan Oktober 1764.

Kekalahan pihak tempatan membolehkan Clive mengadakan Perjanjian Allahabad yang menandakan secara rasminya EIC berkuasa pada tahun 1765. Mir Kasim kemudiannya ditangkap setelah tidak ember mendapat bantuan daripada Sultan Shah Alam di Delhi. Hak Dewani/Diwan untuk seluruh Bengal, Bihar dan Orissa jatuh ketangan British yang ember peluang kepada British mengatur hal pajak dan kewangan di negeri tersebut. Begitulah caranya raja-raja di Bengal dan seterusnya sultan Hindustan tidak berkuasa lagi dan hanya semata-mata menerima gaji atau pencen dari EIC.[xxxiii] Keadaan itu secara langsung telah mengubah tradisi Diwan yang selama ini dipegang oleh orang perseorangan, namun pada tahun 1765, jawatan tersebut ‘disandang’ oleh sebuah organisasi asing. Clive bunuh diri pada umur 67 tahun kerana dia didapati bersalah memakan wang kerajaan British di India. 

2.2.3 Pengasingan wilayah Bengal

Hingga awal abad ke-18, tiga wilayah di India muala terbentuk di egara India iaitu Bengal Barat, Bihar dan Orissa serta egara Bangladesh merupakan satu gabungan perikatan yang longgar yang dikenali sebagai ‘Anjung Timur’ dalam empayar Mughal. Pada tahun 1765, penguasaan serta kekuasaan empayar Mughal terhadap Bengal, Bihar dan Orissa secara formal telah berpindah hak milik kepada British melalui SHTI dan menjelang tahun 1820-an, wilayah ini telah menjadi ‘Anjung Timur’ bagi empayar British di India. Peralihan kuasa dari Mughal kepada British sering diatkan kepada peralihan India ke era pemodenan dan sejarah India dan Bengal.[xxxiv]

Bengal merupakan sebuah wilayah yang subur kerana diari oleh Sungai Ganges bahkan menerima hujan lebat serta banjir yang kerap kali berlaku dan memberi kesuburan yang tinggi. Kesuburan tanah menyebabkan kegiatan pertanian seperti penanaman padi dapat dijalankan dengan baik. Petani tempatan dan penyewa tanah berusaha untuk memanipulasi peralihan saluran sungai untuk kelebihan terbaik adalah semata-mata untuk plot tanah.[xxxv] Keadaan ini juga membolehkan wilayah ini menjadi kawasan penanaman padi terbaik dan terbesar di India. Hingga abad ke -18, empayar Mughal secara teorinya merupakan sebuah sistem imperial yang menggabungkan wilayah-wilayah tertentu. Kesemua wilayah tersebut menjadi ‘kerajaan kecil’ yang bertanggungjawab terus kepada kerajaan pusat di Delhi. Kerajaan ini ditadbir oleh ketua yang dilantik oleh pemerintah pusat.[xxxvi] Pembesar wilayah mempunyai kuasa yang terhad bergantung pada hubungannya dengan pusat. Mereka akan dihukum sekiranya melakukan sebarang kesalahan. Dalam masa yang sama, pembesar wilayah terbahagi kepada beberapa golongan iaitu Nawab, Nazim dan Diwan.[xxxvii]

Penentangan mula berlaku di Punjab yang diwakili oleh golongan Sikh. Pada mulanya, Guru Sikh ke-10 iaitu Guru Govind Singh melebarkan tali persaudaraan dengan Delhi dan beliau telah diangkat untuk mengepalai angkatan Mughal bagi penyelesaian krisis di Deccan namun tidak sempat kerana beliau telah meninggal dunia.[xxxviii] Oleh yang demikian, di bawah kepimpinan Lachman Das iaitu Banda, Orang Sikh telah bertindak melakukan serangan terhadap wilayah-wilayah di bawah kekuasaan Mughal di antara Delhi dan Punjab.[xxxix] Gerakan ini telah mendapat reaksi balas yang positif dari golongan petani Sikh yang akhirnya dilatih untuk menyaingi tentera Mughal. Dalam konteks yang lain dapat dinyatakan bahawa Banda akhirnya mampu mendapatkan pengaruh yang besar di Punjab. Kebangkitan ini telah memberi impak yang luar dugaan terhadap Mughal dan ia menunjukkan kelemahan Mughal pada ketika itu.[xl]

Seperti wilayah yang lain, Bengal berada di bawah kekuasaan empayar Mughal dan ditadbir oleh Nawab. Antara pemimpin Bengal yang penting ialah Mursyid Quli Khan.[xli] Beliau meletakkan asas utama dalam melihat kewujudan Bengal sebagai sebuah wilayah yang merdeka dan bebas dari segala pengaruh kekuasaan Delhi. Beliau turut mengasaskan satu sistem pemerintahan bercorak dinasti di Bengal. Selepas beliau meninggal dunia pada tahun 1727, pentadbiran Bengal telah diserahkan kepada Sarfaraz Khan yang merupakan menantu Mursyid Quli Khan.[xlii] Sungguhpun begitu, peralihan kuasa ini tidak berjalan dengan sempurna oleh sebab timbulnya penentangan kuat dari Shuja Khan iaitu bapa Sarfaaz Khan. 

Kematian Shuja Khan pada tahun 1739 telah menyebabkan terputusnya hubungan antara jawatan Nawab dengan Mursyid Quli Khan setelah Alivardi Khan yang memegang kuasa pemerintahan.[xliii] Beliau merupakan seorang yang dipertanggungjawabkan oleh Shuja Khan untuk mentadbir Bihar yang pada ketika itu menjadi pusat gerakan untuk mengambil alih kuasa di Bengal.[xliv] Tahun 1740 menyaksikan kejayaan Alivardi Khan menguasai Bengal dan mendapat pengiktirafan oleh Maharaja Muhamas Syah di Delhi sebagai wakil Mughal di wilayah tersebut. Sementara itu, yang Nawab inovasi egara dan ketara yang dicapai, dan nilai yang dinilai daripada hasil Bengal meningkat sebanyak 40 peratus antara 1722 dan 1756.[xlv]

Bengal mengalami kekacauan politik yang hebat bermula tahun 1740 sehingga 1750-an. Hal ini disebabkan oleh kelemahan empayar Mughal yang menyebabkan para pembesar wilayah mula bertindak untuk melepaskan diri dari pengaruh Delhi. Kalangan Zamindar mula bergerak bebas. Situasi ini menjadi bertambah parah apabila Alivardi Khan terpaksa menghadapi ancaman-ancaman daripada orang Mahratta.[xlvi] Kebangkitan puak Maratha melalui pemberontakan yang dijalankan secara menyeluruh di seluruh India telah membawa kepada pembentukan Empayar Martha yang besar dan kuat pada abad ke-18. Di bawah pimpinan Raghuji Bhonsia dan Balaji Rao, Mahratta telah melancarkan serangan terhadap Bengal. Pada tahun 1756, Alivardi meninggal dunia dan tempatnya digantikan oleh Siraj-ud Daula. Beliau merupakan pemimpin yang agresif dan tidak bersedia menerima kuasa yang semakin terhad dan telah bertindak menyediakan pasukan tentera yang kuat. Siraj-ud Daula mula mengatur tentera yang kuat dan akhirnya berjaya mengalahkan British di Calcutta pada Jun 1756.[xlvii]

Namun begitu, penguasaan Nawab tidak lama kerana British mendapat bantuan dari Bombay dan Madras. Dalam perang ‘Battle of Plasse’ atau Pertempuran Plassey pada Julai 1757, tentera Siraj-ud Daula telah tewas. Kekalahan ini bukan menunjukkan bahawa pasukan British adalah kuat tetapi disebabkan mendapat bantuan oleh Mir Jaafar dan kemudiannya dilantik sebagai Nawab oleh pihak British.[xlviii] Kemenangan ini telah menjadi titik tolak kepada perluasan kuasa British di Bengal khasnya dan India umumnya. Kejatuhan Bengal pada kali ini dilihat sebagai satu peluang bagi pihak British kerana mereka dapat mengawal seluruh bahagian utara India. Kemudian Clive memasang Nawab baru di ibu egara wilayah Murshidabad, dan memperoleh geran daripada raja ini wilayah baru semata-mata untuk hasil cukai di seluruh Calcutta.[xlix]

Rentetan dari peristiwa itu jelas menunjukkan SHTI mula bertindak dalam mengawal dan menguasai perdagangan di Bengal. Antara barangan utama yang dikuasainya ialah seperti garam, indigo, dan pinang. Selain itu ia berfungsi menguruskan pelaburan komersial di rantau ini, seperti kapas dan produk sutera, serta mengumpul hasil wilayah dan menjaga keamanan.[l] Pengaruh politik mereka juga begitu luas sehingga Nawab hanya dijadikan seperti boneka. Bengal akhirnya mengalami masalah kebuluran yang teruk pada tahun 1769 hingga 1779. Impaknya telah menyebabkan kematian satu per tiga daripada jumlah penduduk di Bengal. Hal ini disedari oleh Mis Kasim yang menggantikan Mir Jaafar sebagai Nawab Bengal yang baru.[li] Kesan monopoli SHTI ini menyebabkan Mis Kasim menghadapi krisis kewangan yang teruk. Akhirnya beliau mengambil jalan dengan bergabung dengan wazir dari Awardh bagi menentang British. Beberapa pertempuran berlaku di Buxar pada Oktober 1764.[lii]

Kekalahan ini membolehkan Robert Clive mengadakan Perjanjian Allahabad yang menunjukkan SHTI berkuasa di pada 1765. SHTI mula dipertanggungjawabkan dalam urusan pentadbiran hal yang berkaitan pengutipan cukai. Keadaan ini terus mengubah tradisi Diwan yang sebelumnya dijawat oleh orang perseorangan, namun pada tahun 1765, jawatan tersebut dikuasai oleh sebuah organisasi asing.[liii] Situasi dapat disimpulkan bahawa lemahnya kedudukan kerajaan Mughal di Bengal yang membolehkan pengaruh British mampu menguasai Bengal. Keadaan ini menjadi titik tolak kepada kedudukan SHTI yang semakin kukuh dan ia mula meluaskan pengaruhnya ke seluruh India.[liv]

Pada Oktober 1905, Lord Curzon telah mengumumkan mengenai pembahagian Bengal kepada dua wilayah yang berasingan. Hal ini demikian untuk memudahkan pihak British menjalankan pentadbiran dengan berkesan. Sebenarnya, pembahagian Bengal adalah bertujuan untuk menempatkan golongan Muslim di sebuah wilayah yang majoritinya terdiri daripada orang-orang Islam. Hal ini adalah disebabkan oleh kesetiaan yang telah ditunjukkan oleh orang Muslim terhadap pentadbiran British. 

3.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, kedatangan kuasa eropah yang asasnya bermatlamatkan gold, gospel dan glory menjadi satu bentuk dorongan untuk muncul sebagai kuasa penakluk. Dalam kontek ini, kejayaan British sememangnya didukung oleh faktor dalaman dan luaran sebagaimana yang dibincangkan. Faktor dalaman terdiri daripada kelemahan pemimpin manakala faktor luaran pula aspek ketenteraan, dasar diplomasi British serta pembahagian wilayah Bengal. Dalam kebanyakan siri penjajahan kuasa asing, kelemahan kepimpinan menjadi punca utama yang mengakibatkan entia tergadai. Kegemilangan empayar Mughal umpamanya hanya mampu bertahan selama beberapa entian pemerintahan sebelum jatuh ke tangan British. Para pemerintah dilihat begitu selesa dengan kemewahan yang dikecapi tanpa memikirkan bahaya yang mendatang. Cara licik British menguasai India melalui langkah pengilhakan dilihat sebagai satu usaha yang bijak memanipulasi situasi. Namun begitu, kejayaan ini hanyalah bersifat sementara apabila pada tahun 1857 berlaku siri penentangan yang dikenali sebagai Dahagi India. Ini menjadi titik pemangkin kepada kemuncak penentangan rakyat India ke atas penjajahan Barat. Rentetan daripada peristiwa pemberontakan tersebut, membawa British kepada zaman Kemaharajaan British (British Raj). 






[i] T.S.G Moelia (1949). India : Sedjarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan. Jodjakarta : Balai Pustaka. Hlm. 68. 


[ii] Hermann Kulke & Dietmar Rothermund (1998). A History of India. New York : Routledge. Hlm. 203. 


[iii] Azharudin Mohd Dali (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 258. 


[iv] T.S.G Moelia (1949). India : Sedjarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan. Hlm. 70. 


[v] Anthony, Pagden (2003). Peoples and Empires : A Short History of European Migration, Exploration and Conquest From Greece to the Present. Modern Library. Hlm. 91. 


[vi] Hermann Kulke & Dietmar Rothermund (1998). A History of India. Hlm. 194. 


[vii] Vidya Dhar Mahajan. (1965). Muslim Rule in India. New Delhi: S. Chaud & Co. Hlm. 176. 


[viii] Ibid. hlm 7. 


[ix] Barbara D. Metcalf & Thomas R. Metcalf (2006). A Concise History of Modern India Second Edition. United Kingdom : Cambridge University Press. Hlm. 21. 


[x] Azharudin Mohd Dali (2004). Tamadun India. Hlm. 247. 


[xi] Burton Stein. (1998). A History of India. London: Blackwell. Hlm. 164. 




[xii] Percival Spear (1978). The Oxford History of Modern India, 1740- 1975. Edisi Kedua. Delhi: Oxford University Press. Hlm.. 2-10 


[xiii] Azharudin Mohd Dali (2004). Tamadun India. Hlm. 261 


[xiv] Azharudin Mohd Dali (2004). Tamadun India. Hlm. 262 


[xv] Ibid. Hlm. 263 


[xvi] Ibid. Hlm. 264 


[xvii] Herman Kulke & Dietmar Rothermund (1986). A History of India.Third Edition. Hlm. 250 


[xviii] C.H Philip (1966). Sejarah India. Kuala Lumpur: Oxford University Press. Hlm. 38 


[xix] Azharudin Mohd Dali (2004). Tamadun India. Hlm. 265 


[xx] Ibid. Hlm. 258 


[xxi] Ibid. Hlm. 259 


[xxii] T.A Raman. India. London: Oxford University Press. Hlm. 42 


[xxiii] Md. Afandi Awang (2006). Komunalisme: Kesannya ke atas Peradaban India. Kuala Lumpur: Universiti 

Malaya. Hlm. 136 




[xxiv] T. S. G. Moelia (1949). India: Sedjarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan. Hlm. 71. 


[xxv] Azharudin Mohd Dali (2004). Tamadun India. Hlm. 268-269. 


[xxvi] T. S. G. Moelia (1949). India: Sedjarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan. Hlm. 71. 


[xxvii] Azharudin Mohd Dali (2004). Tamadun India. Hlm. 269. 


[xxviii] T. S. G. Moelia (1949). India: Sedjarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan. Hlm. 72. 

[xxix] Mesrovb J. Seth (1937). Armenians in India: From the Earliest Times to the Present Day : A Work of Original Research. Calcutta: Asian Educational Services. Hlm. 471. 


[xxx] Jawarhalal Nehru (2004). The Discovery of India. New Delhi: Penguin Books India. Hlm. 297. 


[xxxi] Azharudin Mohd Dali (2004). Tamadun India. Hlm. 270. 


[xxxii] Ibid. Hlm. 270.. 


[xxxiii] T. S. G. Moelia (1949). India: Sedjarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan. Hlm. 72. 


[xxxiv] Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 266. 


[xxxv] Robert Travers. (2007). Ideology and Empire in Eighteenth-Century India: The British in Bengal. United Kingdom. Cambridge Press. Hlm. 89. 


[xxxvi] Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 267. 


[xxxvii] Ibid. 


[xxxviii] W. Stanley. ( 2004). Great Mughal Glory. Dlm. A New History of India . 7th ed. New York : Oxford University Press. Hlm. 162. 


[xxxix] Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 267. 


[xl] Ibid. Hlm. 250. 


[xli] Ibid. Hlm. 267. 


[xlii] Ibid. 


[xliii] Ibid. 


[xliv] Robert Travers. (2007). Ideology and Empire in Eighteenth-Century India: The British in Bengal. Hlm. 23. 


[xlv] Ibid. 


[xlvi] Ibid. Hlm. 88. 


[xlvii] Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 269. 


[xlviii] Ibid. Hlm. 270. 


[xlix] Robert Travers. (2007). Ideology and Empire in Eighteenth-Century India: The British in Bengal. Hlm. 4. 


[l]Ibid. Hlm. 87. 


[li] Ibid. Hlm. 42. 


[lii] Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 271. 


[liii] Ibid. 


[liv] Ibid.

No comments:

Post a Comment