nuffnang

Thursday, June 6, 2013

Pilihanraya 1937 mempunyai kesan politik yang besar dalam perjuangan parti kongres kebangsaan india (KKI) dan Liga Muslim (LI). Bincangkan.

1.0       PENDAHULUAN
Tahun 1930-an merupakan detik perubahan era baru dalam politik di India dengan berlakunya beberapa perkara penting yang membawa kepada pilihan raya pertama India pada tahun 1937. Perkara penting tersebut antaranya adalah Persidangan Meja Bulat yang berlangsung sebanyak tiga kali antara tahun 1930 hingga 1932 di mana beberapa wakil India telah dijemput bertemu dengan ahli politik British untuk menubuhkan sebuah perlembagaan yang akhirnya berjaya dibentuk dalam Akta Kerajaan India 1935. Peristiwa-peristiwa ini telah mendominasi suasana politik India dengan membantu mengubah hubungan antara kumpulan agama dan antara golongan paria (untouchables) dengan kasta Hindu.Pihak British pada ketika ini menerima pelbagai cabaran dalam memastikan kedudukan mereka sebagai pemerintah dengan kebangkitan kumpulan-kumpulan India seperti Kongres, parti-parti Islam dan golongan raja yang menjadi fokus alternatif kesetiaan rakyat India dan sumber autoriti politik.[1]Oleh itu, bab ini akan membincangkan dua perkara utama iaitu peristiwa Persidangan Meja Bulat dan  Penubuhan Akta Kerajaan India 1935.
2.0       PERSIDANGAN MEJA BULAT PERTAMA 1930
Persidangan pertama ini telah diadakan di London pada 12 November 1930 untuk membincangkan perkara berkaitan Suruhanjaya Simon namun telah diboikot olehKongres Kebangsaan India.Persidangan ini diadakan ketika gerakan pengingkaran perintah (Civil Disobedience) sedang berlaku.Perkara tersebut menjadi sebab utama Kongres Kebangsaan tidak menghadirkan diri dalam persidangan pertama ini kerana kebanyakan pemimpin mereka termasuk Mahatma Gandhi menjadi tahanan kerajaan British.[2]Walaupun begitu, mereka merasakan pihak Kongres diperlukan dalam persidangan tersebut walaupun wakil dari Liga Muslim, Liberal dan parti-parti lain telah menghadirkan diri dalam pertemuan tersebut.Oleh itu, Lord Irwin telah mengaturkan perjumpaan bersama Gandhi di penjara dan mengadakan perjanjian antara mereka pada 5 Mac 1931.Mahatma Gandhi telah bersetuju untuk menarik semula gerakan pengingkaran perintah dan menyertai Persidangan Meja Bulat.[3]Perjanjian tersebut menerima pelbagai reaksi.Terdapat sebilangan mereka mengalu-alukan keterbukaan Lord Irwin untuk mengadakan perjanjian dengan Gandhi manakala sebilangan mereka mengkritik tindakan Gandhi kerana perjanjian tersebut tidak mendatangkan manfaat kepada India lebih-lebih lagi apabila Gandhi tidak merayu untuk membebaskan tiga pemberontak revolusi iaitu Bhagat Singh, Sukhdev dan Rajguru.[4]
            Namun begitu, melalui persidangan pertama ini, beberapa perkara penting telah dibangkitkan oleh mereka yang hadir mewakili kepentingan masing-masing.Dari aspek pemerintahan politik India, British telah bersetuju untuk membentuk sistem kerajaan berparlimen merangkumi Persekutuan India termasuklah kerajaan India.Kerajaan British juga mengakui autonomi penuh terhadap wilayah dan menentang serta-merta kebenaran penguasaan kawasan.Bagi golongan paria (untouchables) pula, melalui wakil mereka iaitu Dr. Ambedkar, meminta layanan sebagai komuniti yang berasingan dalam pilihan raya. Begitu juga dengan golongan masyarakat Islam di India, perwakilan mereka dalam persidangan tersebut mengharapkan perlindungan keselamatan yang sewajarnya terhadap masyarakat Islam di sana. [5]
3.0       PERSIDANGAN MEJA BULAT KEDUA 1931
Persidangan kali kedua ini berlangsung pada 7 September 1931 dengan kehadiran Mahatma Gandhi sebagai wakil bagi pihak Kongres dan disertai oleh Sarojini Naidu sebagai wakil kepada kaum wanita India. Dalam persidangan kali ini, Gandhi menekankan kekuatan Kongres Kebangsaan India sebagai sebuah organisasi kebangsaan yang mewakili lebih daripada 85% penduduk India. Beliau menyatakan lagi kerjasama antara dua buah negara yang setaraf antara India dan British diperlukan dan meminta supaya penubuhan kerajaan  sendiri dilakukan dengan kadar segera dan menyeluruh meliputi kawasan pusat dan wilayah.[6] Pemikiran ini bertentangan dengan kesimpulan yang sudah tercapai dalam persidangan pertama namun seperti yang diberitahu sebelum ini, Gandhi menegaskan bahawa hanya Kongres sahaja yang mendengar suara rakyat keseluruhannya, kerana persatuan tersebut tidak memandang pada agama atau golongan.[7]
Namun begitu, dalam isu tuntutan minoriti terutamanya berkaitan kedudukan golongan paria, golongan Muslim, Christian India dan golongan minoriti yang lain tidak menemui jalan penyelesaian walaupun tuntutan tersebut dipersetujui dalam kalangan minoriti tetapi tidak oleh masyarakat Hindu dan Sikh. Oleh itu, isu berkaitan dengan isu komunal antara pihak Kongres Kebangsaan India dan Liga Muslim menemui jalan buntu di samping kerisauan pembesar-pembesar terhadap masalah kewangan dan penglibatan ahli mereka dalam badan kesatuan.[8]Persidangan ini ditutup pada 11 Disember 1931 tanpa keputusan yang konkrit.
4..0      PERSIDANGAN MEJA BULAT KETIGA 1932
Persidangan kali ketiga ini berlangsung dari 17 November hingga 24 Disember 1932.Persidangan kali ni hanya mengandungi 46 perwakilan dan tiada wakil daripada Kongres Kebangsaan India dan hanya seorang wakil pembesar India berikutan penahanan pemimpin kerajaan ketika itu. Isu-isu penting telah pun diselesaikan dalam pertemuan Jawatankuasa Kabinet India sebelum ini.Antara perkara yang telah diselesaikan ialah isu kewangan pusat dan wilayah, kedudukan Perhimpunan Legislatif Persekutuan, peruntukan undang-undang[9] dan sebagainya membawa kepada Kertas Putih dalam Pembaharuan Perlembagaan yang juga dikenali sebagai Jawatankuasa Parlimen Bersama berdasarkan laporan Akta Kerajaan India yang diluluskan pada tahun 1935.[10]
5.0       AKTA KERAJAAN INDIA 1935
Akta Kerajaan India 1935 merupakan salah satu titik penting dalam penubuhan institusi berpelembagaan India. Ini disebabkan oleh dua sebab iaitu pertama, akta ini ditubuhkan berdasarkan kepada reaksi pelbagai tuntutan dan cadangan untuk perlembagaan baru India dan kedua, ia menjadi sumber yang penting untuk Perlembagaan India. Akta ini diasaskan daripada pelbagai laporan dan cadangan. Ini termasuklah Laporan Suruhanjaya Simon (1930) yang dibincangkan dan di muktamadkan dalam Persidangan Meja Bulat (1930 hingga 1932) Kertas Putih yang diteliti oleh Jawatankuasa Pemilih Bersama (1932), Laporan Nehru (1928) dan Laporan Lothian yang mengkaji peruntukan pilihan raya untuk India. Memetik kata-kata Lord Lothian ketika membincangkan peruntukan pilihan raya mengenai demokrasi, ‘ia bukanlah satu anugerah untuk diberikan, tetapi kebiasaan yang perlu diperoleh’.[11]
            Sebenarnya, akta ini mengembangkan kandungan perlembagaan India yang sedia ada sebelum ini berkaitan autonomi wilayah, tugas dan tanggungjawab kementerian dan dwi kuasa (diarchy) yang disambung dan dikembangkan dengan lebih terperinci dalam akta ini. Sebagai tambahan, terdapat beberapa prinsip baru diperkenalkan yang digunakan untuk kerajaan persekutuan.Akta-akta tersebut adalah autonomi wilayah, penghapusan dwi-kekuasaan wilayah, dan pemberian tugas kepada menteri untuk bertanggungjawab terhadap legislatif dan persekutuan di bahagian pusat.[12]
Di bawah akta ini, peruntukan dibuat untuk semua Kesatuan India yang menyatakan bahawa semua wilayah akan menyertai Kesatuan India secara automatik. Untuk kerajaan pula, mereka diberi pilihan sama ada ingin menyertai Kesatuan atau tidak. [13] Dewan Perwakilan yang tertinggi dalam Kesatuan India berhak mengadakan peraturan-peraturan umum yang dibagikan kepada dua iaitu Dewan Kerajaan yang mempunyai 260 anggota yang ahlinya dipilih setiap tiga tahun sekali iaitu 1/3 ahlinya akan digantikan dengan yang baru dan Dewan Perwakilan Rakyat yang mempunyai 375 anggota yang dipilih setiap lima tahun.[14]Pada peringkat Kesatuan, Gabenor Jeneral memegang kuasa pemerintahan yang tertinggi yang mewakili kerajaan British dan dibantu oleh Dewan-Dewan Menteri dalam menjalankan pentadbiran.
Pada peringkat wilayah, terdapat dua perwakilan iaitu Dewan Provinsi dan Dewan Perwakilan.Pada peringkat ini, Gabenor Jeneral tidak mempunyai kuasa terhadap pemerintahan wilayah kerana hak-hak pemerintahan diserahkan semuanya kepada kerajaan wilayah tersebut.Kuasa pemerintahan tertinggi dipegang oleh Gabenor dan dibantu oleh Dewan Menteri-Menteri.Peraturan pemilihan pada peringkat wilayah agak sukar kerana didasarkan kepada golongan masyarakat, perbezaan agama, bangsa, pekerjaan dan pendidikan.Namun hanya 3% yang bersuara, ini kerana hak memilih tersebut bergantung pada hak milik tanah, sehingga petani yang tidak mempunyai tanah sendiri tidak dapat memilih.[15]Walaupun akta ini mendapat bantahan daripada Kongres Kerajaan India, namun mereka menyertai pilihan raya yang diadakan pada tahun 1937 untuk membentuk Parlimen.
6.0       PILIHANRAYA  1937
Pilihan raya 1937 merupakan pilihan raya yang pertama yang dilakukan di India. Ia merupakan pertandingan di antara beberapa parti namun tumpuan utama adalah kepada dua pasti yang hebat yang cuba bersaing membawa ideologi yang berasingan mengikut pengikut masing-masing. Kongres Kesatuan India (KKI) mendukung ideologi nasionalisme yang merangkumi seluruh rakyat di India. Malahan ahlinya juga bukan hanya terdiri daripada orang Hindu malah terdapat juga masyarakat Islam yang menyokongnya. Ia amat berbeza dengan Liga Muslim yang cuba memperjuangkan segala yang berkaitan dengan masyarakat Islam di India. Kongres Kerajaan India telah dipimpin oleh Mahatma Gandi manakala Liga Muslim dipimpin oleh Muhammad Ali Jinnah yang menginginkan sebuah negara Islam yang terpisah.[16] Kewujudan semangat nasionalisme ini telah melahirkan pertubuhan-pertubuhan politik seperti India National Congress (INC)  dan seterusnya penubuhan Liga Muslim yang bersifat militan dan Gerakan Nasionalisme Muslim.[17]
            Pilihan raya pertama yang diadakan pada tahun 1937 telah menyaksikan kekalahan parti Liga Muslim kepada Kongres Kerajaan India.Dalam pilihan raya yang pertama ini Kongres Kerajaan India telah memenangi sebanyak 716 kerusi daripada 1161 kerusi yang telah dipertandingkan.Hal ini bermakna, Kongres Kerajaan India telah menguasai 74% jumlah kerusi di Madras, 65% di Orissa, dan 59% di wilayah bersatu.[18]Ia merupakan satu kemenangan yang cukup besar kepada Kongres Kerajaan India.Kekalahan dalam pilihan raya ini telah menyebabkan Liga Muslim terpaksa menerima hakikat akan kejayaan INC. Namun begitu, Muhammad Ali Jinnah yang merupakan pemimpin Liga Muslim mula mengambil pendekatan dan strategi besar untuk menguatkan kedudukan Liga Muslim dan menjadikannya sebagai agen yang mewakili orang Islam. Kemenangan yang di kecapi oleh KKI telah memberi layanan yang tidak adil terhadap orang Islam di India yang hanya mementingkan persoalan penganut agama Hindu sahaja dan menyebabkan masyarakat Islam mula memikirkan secara serius tentang kedudukan dan nasib mereka.[19] Hal ini kerana, walaupun pemimpin KKI menyatakan hasratnya berkaitan dengan umat Islam namun hakikatnya ia hanyalah sekadar laungan suara sahaja.[20]

7.0       KONGRES KEBANGSAAN INDIA KEARAH PROSES PILIHANRAYA 1937
Nasionalisme di India telah dipelopori oleh golongan Hindu dan Muslim berikutan dengan beberapa penindasan yang berlaku kepada masyarakat Hindu dan Muslim khususnya.Nasionalisme ini merujuk kepada kesedaran sesebuah kumpulan iaitu kesedaran politik keahlian terhadap negara.[21] Nasionalisme di India mengalami beberapa peringkat antara tahun 1858 hingga tahun 1885 (Gerakan Sosiokeagamaan), Nasionalisme Liberal (1885-1905) yang ditonjolkan melalui penubuhan Kongres Kebangsaan India (KKI), 1905-1918 (Nasionalisme bersifat militan) dan seterusnya yang keempat ialah lebih kepada krisis yang berkaku dalam kalangan KKI dan Liga Muslim dan Peranan Mahatma Gandhi.[22]
            Pada akhir abad ke-19 telah membawa kepada kemunculan dan kewujudan semangat-semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat tempatan.Tahun 1885 merupakan permulaan tahun yang begitu penting dalam memastikan kebangkitan ini.[23]Antara pembawa kepada kemunculan parti-parti politik di India seperti Kongres Kebangsaan India (KKI) ialah kesedaran ini bermula dan didorong oleh dasar-dasar yang diambil oleh Gabenor Jeneral India seperti Lord Lytton dan Lord Ripon.[24]
Oleh hal yang demikian dapat dilihat bahawa KKI pada mulanya telah mengalami sedikit perubahan daripada bersifat sederhana kepada bersifat yang lebih agresif dengan adanya sokongan daripada masyarakat tempatan. Rentetan daripada itu, pihak British India menganggap KKI ini tidak perlu diberi perhatian kecuali tuntutan yang berkaitan dengan Akta Majlis 1892 dan ini telah membuatkan KKI hilang kepercayaan terhadap British India.[25]Tambahan lagi, KKI memainkan peranan yang begitu penting di dalam memperkembangkan dan menyemarakkan semangat nasionalisme di India.[26]KKI merupakan sebuah badan persatuan yang semakin stabil sebagai tempat untuk menyuarkan pendapat oleh semua komuniti dan masyarakat di India.[27]
Di samping itu, KKI mula menyebarkan sayapnya dalam menyemarakkan lagi semangat nasionalisme di India. Pada tahun 1906 yang mana berada di peringkat Nasionalisme Militan ektremis KKI  mula mendapat tempat.[28]Semasa menuju kepada kemerdekaan, KKI telah mengalami perubahan yang begitu besar dalam perjuangan yang dibawakan oleh mereka sebelum ini.Hal ini demikian kerana, Gandhi mula mengambil alih tampuk kepimpinan yang ada sebelum ini dan telah mengubah beberapa dasar, antaranya ialah dasar bekerjasama kepada dasar tidak bekerjasama.[29]Pada mulanya, Gandhi berusaha untuk merapatkan hubungan di antara masyarakat Hindu dan Muslim, serta ini telah membuahkan hasilnya dan orang Islam mula menyokong gerakan yang dibawakan oleh Gandhi.[30]Gandhi telah memimpin KKI ini dari tahun 1920 hingga tahun 1939.
            Namun begitu usaha yang dilakukan sebelum ini mula menampakkan kepincangan dalam pemerintahan Mahatma Gandhi kerana berlaku perselisisihan faham antara orang India dan Islam dalam sekitar tahun 1921.[31] Antara persitiwa yang berlaku ialah masyarakat Islam di Malabar yang dikenali sebagai Moplah telah melancarkan jihad  terhadap orang Inggeris dan orang Hindu yang kaya. Hal ini telah menjejaskan suasana yang tidak menentu dalam arena politik di India sehingga tahun 1930-an.[32] Seterusnya perkembangan bagi nasionalisme di India memasuki tahap perkembangan yang penting sekitar tahun 1935 di mana  undang-undang telah diluluskan, asas undang-undang tersebut ialah penubuhan persekutuan India dan memperkenalkan pemerintahan sendiri.[33]
Selain itu, pada tahun 1936 sebelum pilihan raya, KKI telah mengalami pergolakan yang hebat dan pada ketika inilah nama Jawaharlal Nehru dicalonkan sebagai Presiden KKI.[34] Selepas perlantikan Nehru, beliau telah mengetuai KKI dalam Pilihan Raya 1937 dan ini telah membuktikan bahawa pengaruh Nehru dan kemenangan secara besar-besaran kepada KKI, di mana KKI telah memenangi sebanyak 716 kerusi daripada 1161 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya tersebut.[35]KKI telah menewaskan Liga Muslim yang dipimpin oleh Muhammad Ali Jinnah.Oleh hal yang demikian, Liga Muslim terpaksa akur dan mereka mula menyusun strategi dalam usaha menarik sokongan baru.
Penubuhan Kongres Kebangsaan India telah berjaya menyuntik semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat tempatan di India.Penubuhan ini begitu penting dalam memastikan India dapat membentuk pemerintahan tersendiri dan di samping membuat pembaharuan kepada pembentukan masyarakat India yang lebih maju dan berdaya saing. Justeru, KKI telah merubah politik di India dan ia memberi beberapa kesan lain terhadap penubuhan dan asas-asas yang dibawakan oleh KKI ini.
8.0       KESAN POLITIK KONGRES KEBANGSAAN INDIA (KKI) SELEPAS 
            PILIHANRAYA 1937
8.1       Krisis Kongres kebangsaan India dan Liga Muslim
Pada tahap ini, Undang-Undang Tahun 1935 diluluskan. Undang-undang ini berkaitan dengan penubuhan sebuah persekutuan India dan memperkenalkan pemerintahan sendiri kepada kawasan – kawasan jajahan British di India dan kedua-duanya untuk memperkenalkan pemerintahan sendiri kepada jajahan-jajahan British di India. Satu lagi peristiwa penting dalam tahap ini adalah, Jawaharlal Nehru dilantik menjadi presiden KKI pada April 1936 dan ia direstui oleh Mahatma Gandhi. Pilihan raya diadakan pada 1937. Pilihanraya 1937, merupakan pilihanraya tahap awal dalam melihat pengaruh Liga Muslim di kalangan masyrakat India. Pilihanraya ini diadakan bagi menguji sejauhmanakah Liga Muslim mampu mempengaruhi orang Islam di wilayah-wilayah yang ditandingi.
Namun demikian, pilihan raya 1937, menunjukkan betapa lemahnya Liga Muslim. Dalam pilihan raya itu, KKI menjadi sebuah parti yang terkuat di India. Daripada sejumlah 1161 kerusi yang dipertandingkan, KKI memenangi sebanyak 716 kerusi.[36] Pada tahap ini KKI telah menumpukan perhatian untuk meluaskan propagandanya di merata-rata tempat negara India dan seluruh kekuatan mereka kebanyakannya ditumpukan Kashmir, Hyderabad, Mysore dan Travancore yang kebanyakannya penganut agama Islam. Kemenangan KKI dalam pilihan raya tahun 1937 telah diterima sebaliknya oleh Liga Muslim yang mewakili masyrakat Islam.[37] Parti itu mengalami kekalahan teruk di sebahagian kerusi yang dipertandingkan. Ia hanya Berjaya memenangi 109 dari jumlah 482 kerusi yang diperuntukkan bagi orang Islam. Kerusi- kerusi ini pula dimenangi di kawasan-kawasan yang didominasi oleh masyrakat Hindhu seperti Madras, Bombay dan Assam. Di kawasan lain seperti Punjab dan Sind, parti-parti wilayah berjaya mengatasi Liga Muslim. Keadaan ini telah memberi kesedaran kepada Liga Muslim. Maka pemimpin Liga Muslim iaitu Muhamad Ali Jinnah mula mengambil pendekatan dan strategi besar dalam usaha menguatkuasakan kedudukan Liga Muslim dan menjadikannya sebagai agen yang mewakili orang Islam. Liga Muslim ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib kaum Islam dan ia bertambah kuat apabila Muhamad Ali Jinnah politikius yang ulung itu melibatkan diri.[38] Beliau dilahirkan pada tahun 1876, mendapat pendidikan di England dan setelah pulang ke India menjadi ahli KKI, tetapi oleh kerana dasar-dasar serta cara Mohandas Karamchard Gandhi tidak dapat diterima, terutama sekali pergerakan bantahan awam, beliau berpindah ke Liga Muslim.[39]
Masyarakat Islam juga melihat bahawa KKI sebagai sebuah parti Hindhu yang hanya mementingkan penganut agama Hindhu dan menyebabkan masyarakat Islam mundur. Perasaan perkauman yang timbul digiatkan dengan perubahan – perubahan sosial dan politik yang menyebabkan kekacauan yang serius di India. Muhamad Ali Jinnah dan Liga Muslim pada awlanya memperjuangkan dasar kedua namun kemudiannya memperjuangkan dasar ketiga iaitu membahagikan India kepada dua buah negara yang berasingan masing-masing orang Hindhu dan Islam. Pada bulan September 1937, Muhamad Ali Jinnah telah mendesak wilayah-wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam seperti Sind, Punjab, dan Bengal agar berjuang dibawah bendera Liga Muslim. Kekuatan sokongan masyarakat Islam terhadap Muhamad Ali Jinnah dan Liga Muslim jugalah yang menjadikan persaingan dua penjuru iaitu di antara KKI dan Liga Muslim. Di samping itu, tiga buah laporan dihantar berturut-turut diantara tahun 1937 hingga 1939. Laporan ini menyatakan bahawa ahli-ahli KKI dalam jawatan, melakukan pembezaan antara orang Islam dan Hindhu.[40] Perdana Menteri Islam di wilayah-wilayah Punjab, Benggala serta Assam menyokong Liga muslim. Dari tahun 1937, dalam pilihanraya kecil untuk majlis Undangan Pusat dan jajahan Kesatuan Islam mendapat kebanyakan dari kerusi yang dipertandingkan. Kemenangan yang dicapai oleh KKI dan seterusnya layanan yang tidak adil yang diterima oleh Liga Muslim dan masyrakat Islam menyebabkan mereka mula memikirkan secara serius kedudukan dan nasib mereka.
Di bawah petunjuk Muhamad Ali Jinnah , Liga Muslim mula menggerakkan jenteranya di kawasan yang mempunyai majoriti penganut agama Islam. Tumpuan diberi bukan sahaja terhadap di kawasan bandar tetapi juga kawasan luar bandar. Muhamad Ali Jinnah telah berjaya mendesak parti-parti wilayah di Punjab dan Sind termasuk Parti Unionnist yang diterajui oleh Sikander Hyatt Khan agar berjuang di bawah bendera Liga Muslim. Muhamad Ali Jinnah digelar sebagai Quid-i- Azam yang bermaksud pemimpin agung oleh masyarakat Islam yang suaranya lantang kedengaran pada 1938-an. Keinginan Muhamad Ali Jinnah berhubung survival masyrakat Islam mula dikaitkan dengan penubuhan sebuah negara Islam yang merdeka.
8.2       Pertelingkahan Masyrakat Muslim dan Hindhu
Dalam keadaan ini juga, benua kecil India berada dalam keadaan yang tidak tentaram kerana pergaduhan antara masyrakat Hindhu dengan Islam seperti di Bandar Bengal, Sind, dan Punjab. Pertelingkahan diantara Islam dan hindhu telah berlaku di India sejak sekian lama namun ia semakin besar dan sukar dikawal pada 1940. Pertikaian mengenai penyelihan lembu, perarakan jenazah melalui masjid dan kuil menjadi asas pergaduhan kedua mereka. Pertelingkahan pada mulanya bersifat kecil-kecilan dan berubah menjadi besar. Masyarakat Islam melihat bahawa orang Hindhu dalam pelbagai aspek terutamanya menjejaskan ekonomi dan politik. Masyarakat Hindhu pula melihat idea penubuhan Pakistan satu pengkhianatan kepada negara. Gandhi misalnya berusaha menamatkan pertikaian di Bengal telah berpuasa beberapa minggu sebelum keadaan di Bengal menjadi reda. Iapun hanya untuk seketika sahaja sebelum ia bermula lagi. Pertelingkahan antara masyrakat Islam dan Kesan daripada keadaan inilah yang menyebabkan pihak British merasakan bahawa hanya terdapat satu jalan penyelasaian, iaitu memberikan masyrakat Islam sebuah wilayah yang merdeka sebagaimana yang menjadi tuntutan mereka. Maka seiring dengan kemerdekaan India pada tahun 1947, maka Pakistan juga ditubuhkan yang merangkumi Pakistan timur dan Pakistan barat.[41]
9.0       KESAN POLITIK LIGA MUSLIM SELEPAS PILIHANRAYA 1937
9.1       Persaingan Dengan Parti-Parti Wilayah
Salah satu faktor utama kepada kegagalan dan juga kekalahan Liga Muslim semasa pilihan raya 1937 ini adalah ekoran daripada wujudnya persaingan yang hebat di antara parti-parti politik yang bertanding. Tidak dinafikan bahawa Liga Muslim dan juga Kongres Kebangsaan India bersaing antara satu sama lain bagi mendapatkan kemenangan bagi membolehkan parti tersebut memegang tampuk pemerintahan. Namun begitu, satu perkara yang tidak dapat dielakkan ialah wujudnya parti-parti politik lain yang menguasai sesebuah wilayah khususnya di kawasan yang majoritinya beragama Islam. Parti-parti di kawasan wilayah inilah yang telah menyebabkan wujudnya pecahan di dalam undi terutamanya untuk parti yang memperjuangkan hak dan kebajikan umat Islam. Oleh sebab, wujudnya parti-parti wilayah ini, ia telah menjadi pesaing bagi parti Liga Muslim untuk memenangi sesuatu kawasan tersebut.
Selepas daripada pilihan raya pertama ini pada tahun 1937, Muhammad Ali Jinnah telah membuat satu gerakan dan menggesa jenteranya untuk pergi ke kawasan majoriti umat Islam.[42]Gerakan ini mula digesa ekoran daripada penindasan yang telah dilakukan oleh KKI terhadap masyarakat Islam di India.Maka, bagi menangani masalah tersebut, antara pilihan yang boleh dilaksanakan ialah dengan menyatukan semua parti-parti wilayah untuk bergabung bagi menentang KKI untuk pilihan raya yang seterusnya.Usaha yang telah dilakukan oleh Muhamad Ali Jinnah ini akhirnya telah membuahkan hasil. Beliau telah berjaya untuk mendesak parti-parti wilayah ini untuk terutama di Punjab dan Sind serta Parti Unionist yang diterajui oleh Sikander Hyatt Khan supaya berjuang di bawah bendera Liga Muslim.[43]

9.2       Perjuangan Muhamad Ali Jinnah
Kekalahan pada pilihan raya 1937 telah memberi banyak pengajaran kepada Liga Muslim khususnya Muhamad Ali Jinnah yang telah memimpin parti tersebut.Suara lantang Muhamad Ali Jinnah dalam memperjuangkan hak dan kebajikan masyarakat Islam di India telah menjadikan beliau sebagai jurucakap masyarakat Islam.Kelantangan beliau bersuara telah menjadikan beliau digelar sebagai Quid-i-Azam yang membawa maksud “Pemimpin Agung” oleh masyarakat Islam.[44]Malahan Muhamad Ali Jinnah dalam memperjuangkan perkara tersebut, beliau telah memegang teori dua bangsa yang mana idea ini telah dibawa oleh Sayid Ahmad Khan pada penghujung abad ke-19 kesan daripada penubuhan Kongres Kebangsaan India.[45]
Usaha berterusan yang telah dilakukan oleh Muhamad Ali Jinnah ini akhirnya terserlah apabila pada pilihan raya pada tahun 1945 dan 1946.Liga Muslim telah memenangi sebanyak 30 buah kerusi yang dipertandingkan kepada masyarakat Islam.Oleh yang demikian, jelas usaha yang telah dilakukan oleh Muhamad Ali Jinnah ini telah membuahkan hasil di mana selepas pilihan raya tersebut, Liga Muslim telah menubuhkan kementeriannya di Bengal dan Sind.[46]Maka pemimpin Liga Muslim iaitu Muhamad Ali Jinnah mula mengambil pendekatan dan strategi besar dalam usaha menguatkuasakan kedudukan Liga Muslim dan menjadikannya sebagai agen yang mewakili orang Islam. Liga Muslim ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib kaum Islam dan ia bertambah kuat apabila Muhamad Ali Jinnah politikius yang ulung itu melibatkan diri.[47]
Muhammad Ali Jinnah telah mengusulkan supaya kedua-dua parti bekerjasama dalam dewan pemerintahan provinsi, tetapi parti INC telah menolak permintaan Muhammad Ali Jinnah, sebaliknya parti INC mendesak parti Liga Muslim bersatu dengan INC dan membubarkan parti Liga Muslim.[48]Penyatuan antara kedua-dua parti ini sangat mustahil berikutan parti-parti ini berdasarkan agama.Ada yang berpendapat hanya parti INC yang mampu menggantikan kerajaan British kerana kemenangan INC adalah suara rakyat India.Idea Muhammad Ali Jinnah untuk bersama-sama dengan parti INC telah diutarakan pada tahun 1916 di Lucknow. Tetapi Gandi telah menolak idea tersebut dengan mengamalkan non-cooperasi ( dasar tidak bekerjasama ).[49]
Selepas Pilihan raya juga terjadi pergaduhan di antara parti Liga Muslim dan Kesatuan Kongres India.Usaha untuk mendamaikan antara kedua-dua parti menjadi rumit setelah Perdana Menteri Fazl-ul-Haq telah menuduh orang Hindu di Benggala yang bertindak kejam seterusnya menambahkan lagi kebencian orang Islam.[50] Pertelingkahan di antara Islam dan Hindu telah berlaku di India sejak sekian lama namun ia semakin besar dan sukar dikawal pada 1940. Perkara yang berkaitan dengan agama menjadi penyebab pertelingkahan mereka antaranya mengenai penyembelihan lembu, perarakan jenazah melalui masjid dan kuil.Dalam tahun 1937, lebih kurang 85 pergaduhan terjadi, 170 orang mati dan 2000 mendapat luka.Tetapi sepuluh tahun selepas itu kesannya lebih besar selepas Inggeris meninggalkan India.[51] Pada beberapa bulan yang berikut, mengikut perangkaan rasmi, lebih daripada 5000 penduduk serta kanak-kanak terbunuh dan cedera, bandar-bandar Amritsar dan Multan dijilat api, pekerjaan untuk mendirikan ibu negeri di Lahore diberhentikan dan kumpulan – kumpulan bersenjata di desa berlawan dengan askar-askar.[52] Semakin perundingan dijalankan perjuangan kuasa antara INC dan Liga Muslim, pembunuhan yang luar biasa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah moden India berlaku. Dalam masa enam bulan, di Bihar dan Benggala sahaja lebih dari sepuluh ribu penduduk mengalami kematian yang dahsyat.[53]
Pada tahun 1938 selepas setahun pilihan raya India, parti Liga Muslim semakin menjadi negatif setelah hanya menunjukkan reaksi menentang sahaja. Beliau sedar akan tindakan beliau di dalam politik sebelum ini, oleh itu beliau perlu menyiapkan idea yang dapat memberi kesan yang mendalam dalam politik dunia. Usul pertama yang diutarakan oleh pihak Muslimin melalui Sikander Hyat Khan Perdana Menteri di Punjab di dalam suatu buku.Di dalam usul beliau, beliau telah mengusulkan supaya India dibagi dalam 7 daerah iaitu 2 daerah Islam dan 7 daerah Hindu.Daerah pembahagian dalam provinsi dan kerajaan tetap seperti sebelum ini.Daerah-daerah ini menjadi satu kerajaan Persekutuan.Pemerintah pusat hanya berkuasa tentang urusan luar negeri, pertahanan dan mengenai kemasukan barangan dan peraturan wang.[54]
Slogan yang dimainkan oleh Liga Muslim tersebut ternyata mampu untuk menarik sokongan daripada masyarakat Islam.Muhammad Ali Jinnah juga mendesak wilayah-wilayah yang mempunyai majoriti masyarakat Islam supaya berjuang dibawah payung Liga Islam.[55]Muhammad Ali Jinnah telah berjaya mendesak parti-parti wilayah di Sind dan Punjab termasuklah parti Unionist yang dipimpin oleh Srikander Hyatt Khan.Desakan yang dilakukan oleh Muhammad Ali Jinnah telah diambil berat oleh masyarakat Islam.Slogan-slogan yang dibuat sangat menekankan nasib orang Islam serta kedudukan mereka di India.[56]Sejak itu, sokongan kepada Liga Muslim telah bertambah dan menjadi penentu kepada perkembangan nasionalisme Islam di India.Sokongan kuat masyarakat Islam ini kepada Liga Muslim telah menyebabkan persaingan sengit berlaku dengan parti INC sekaligus menjadi asas kepada pemisahan Pakistan daripada India.
Kesan Pilihan raya 1937 telah memberi suatu titik perubahan kepada parti Liga Muslim.Kekalahan teruk mereka bukan telah melemahkan semangat mereka bahkan memberi suatu usaha yang lebih besar yang dilakukan oleh Muhammad Ali Jinnah.Liga Muslim mula menggerakkan jenteranya di kawasan yang mempunyai majoriti penganut agama Islam.Tumpuan diberi bukan sahaja terhadap di kawasan bandar tetapi juga kawasan luar Bandar.Pada tahun 1940, masyarakat Islam secara keseluruhannya bersatu di bawah Liga Muslim. Setelah daripada itu, parti Liga Muslim bukan sahaja parti elit yang hanya menerima sokongan sebilangan masyarakat Islam sahaja tetapi telah bertukar menjadi parti media massa.[57]Sokongan masyarakat Islam kemudiannya diterjemahkan melalui kemenangan dalam pilihan raya 1945 dan 1946.Dalam pilihan raya ini, Liga Muslim memenangi kesemua 30 kerusi yang diperuntukkan kepada masyarakat Islam dalam Majlis Undangan Pusat.Liga Muslim juga telah merebut 425 daripada 492 kerusi Islam dalam Majlis Undangan Wilayah.Kejayaan Liga Muslim di Punjab, Bengal dan sind mempunyai implikasi besar kerana wilayah- wilayah tersebut dituntut sebagai kawasan Pakistan.[58]
Sokongan umat Islam kepada Liga Muslim telah memberi roh baru kepada “ gagasan Pakistan” yang selama ini hanya menyepi. Muhammad Ali Jinnah secara terang-terangan telah memegang teori dua bangsa.[59] Teori dua bangsa ialah teori yang menyatakan masyarakat Islam dan Hindu di India ialah terdiri daripada dua bangsa yang berbeza bukan hanya daripada segi agama bahkan kebudayaan, cara hidup, sejarah dan sebagainya yang mempunyai banyak perbezaan yang ketara dengan masyarakat Hindu. Berdasarkan teori inilah , Muhammad Ali Jinnah telah mengemukakan Resolusi Pakistan[60] ( Resolusi Lahore ) pada Mac 1940 semasa persidangan Liga Muslim di Lahore.[61]Resolusi itu mendesak supaya sebuah negara Islam diwujudkan di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Islam.[62]Persidangan ini dihadiri kira-kira 100 000 ribu orang.[63]Kewujudan Wilayah Islam itu dipercepatkan lagi dengan wujudnya pergaduhan komunal antara masyarakat Islam dan Hindu lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai penduduk Islam yang tinggi seperti di Bengal, Sind dan Punjab.Oleh itu, menjadi salah satu sebab British memikirkan untuk mewujudkan satu wilayah khusus untuk orang Islam.
Usaha Muhammad Ali Jinnah kearah pembentukan kerajaan Islam Pakistan tampak mudah setelah British bersetuju untuk menerima bantuan daripada parti Liga Muslim dalam menghadapi perang Dunia Kedua.Pada awalnya, British telah meminta kerjasama daripada INC untuk terlibat dalam perang dunia kedua, tetapi Mahatma Gandi menolaknya.INC tidak mahu lagi diperdayakan seperti pada perang dunia pertama.[64]Oleh itu, British menjadikan parti Liga Muslim sebagai sekutunya. British berjanji akan mempertimbangkan keinginan Liga Muslim untuk menubuhkan sebuah Kerajaan Islam.[65] Kerjasama yang diberikan oleh Liga Muslim adalah dengan bersyarat iaitu,  perubahan pemerintahan hanya dijalankan jikalau dipersetujui oleh Liga yang mewakili seluruh muslimin India dan golongan ini harus dilindungi pemerintah dalam provinsi-provinsi yang dikuasai Kongres.[66]
9.3       Kearah Kemerdekaan dan Pemisahan India
Seterusnya kesan yang dapat dilihat yang bermula sejak Pilihan raya India 1937 telah memberikan kemerdekaan dan pemisahan India daripada pihak British.Pada bulan April 1946, Jawaharlal Nehru telah menegaskan kepada Mountbatten bahawa wilayah-wilayah yang majoritinya penduduk Islam boleh dikeluarkan daripada India dan berdiri sebagai sebuah Negara merdeka.Perdana Menteri Attlee mengakui hak kemerdekaan untuk India.Beliau kemudian menghantar misi kabinet ke India bagi menyelesaikan masalah kemerdekaan India.Misi kabinet ini telah tiba di New Delhi pada Mac 1946.[67]Walaupun pemisahan India mendapat tentangan daripada Mahatma Gandi namun suatu Rancangan Pembahagian India telah dibentangkan pada Jun 1947.[68]namun pembahagian tetap dilaksanakan. Wilayah-wilayah Bengal, Sind, Baluchistan dan daerah Sylhet dari wilayah Assam telah bersetuju untuk menyertai Pakistan.[69]Penghijrahan berjuta- juta Muslim ke wilayah Pakistan ditambah dengan pengusiran yang dilakukan oleh pemerintah India telah menyebabkan bebanan ekonomi kepada Pakistan.  Bahkan lebih sadis apabila umat Islam telah dibunuh semasa proses pemindahan tersebut. Kereta api yang sarat dengan Muslim telah disekat oleh tentera India kemudian umat Islam telah dibunuh semasa dalam perjalanan. Daripada peristiwa-peristiwa inilah India mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947, sementara negara Pakistan pula diumumkan sebagai sebuah negara merdeka pada 14 Ogos 1947.[70]

10.0     KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, proses pilihanraya yang berlaku pada tahun 1937 telah memperlihatkan satu bentuk perubahan yang amat ketara terhadap sistem politik di India. Persaingan antara parti-parti bagi meraih kepercayaan masyarakat tempatan semakin rancak menjelang tarikh pilihanraya pada tahun 1937.Selain parti-parti wilayah, terdapat dua parto dominan di India yang bergerak dengan asas perjuangan yang berbeza.Kongres Kebangsaan India (KKI) merupakan parti yang memperjuangkan mmasyarakay India khususnya kaum Hindu, manakala parti Liga Muslim (LM) pula memperjuangkan hak kaum minoriti iaitu masyarakat Muslim di India. Namun demikian, pilihanraya 1937 memperlihatkan kekalahan Liga Muslim bagi meraih undi lantaran terdapat persaingan  antara parti-parti wilayah pada  ketika itu disamping kempen yang tidak menyeluruh. Kongres Kebangsaan India telah mecatat sejarah ketika memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan. Keadaan ini telah menyebabkan Liga Muslim berada dalam keadaan yang terdesak dan muncullah tokoh reformasi yang memperjuangkan hak dan juga kepentingan  masyarakat Muslim di India iaitu Muhamad Ali Jinnah yang telah memperjuangkan Liga Muslim dan menjadi salah satu tokoh terpenting kepada penubuhan Pakistan dan juga proses kemerdekaan India.



[1]Judith. M. Brown. (1994). Modern India: The Origins of an Asian Democracy. New York: Oxford University Press. Hlm 293
[2]Malcolm Chandler & John Wright. (2001). Modern World History for Edexcel Specification A. United Kingdom: Heineman Educational Publishers.  hlm 188.
[3]Brij Kishore Sharma. (2007). Introduction to the Constitution of India. New Delhi: Prentice-Hall of India Private Limited. Hlm 10.
[4]Ibid.
[5]S.N Sen. (1997). History Modern India.New Delhi: New Age International (P) Limited Publishers. hlm 195.
[6]S.N Sen. (1997). History Modern India. New Delhi: New Age International (P) Limited Publishers. hlm 195.
[7]T.S.G Moelia. (1949). India:Sejarah Dan Politik Pergerakan Kebangsaan. Jakarta: Balai Pustaka. hlm 186.
[8]John F. Riddick. (2006). The History of British India: A Chronology. New York: Greenwood Publishing Group.
hlm 110.
[9]John F. Riddick. (2006). The History of British India: A Chronology. New York: Greenwood Publishing Group. hlm 110.
[10]Brij Kishore Sharma. (2007). Introduction to the Constitution of India. New Delhi: Prentice-Hall of India Private Limited. Hlm 11.
[11]Abbas Hoveyda. (2010). Indian Government And Politics. New Delhi: Pearson Education India. Hlm 62.
[12]Edgar Thorpe. (2012). The Pearson General Knowledge Manual 2012. New Delhi: Pearson Education India. Hlm 33.
[13]N. Jayapalan. (1998). Constitutional History of India. New Delhi: Atlantic Publishers & Distributors. hlm 100.
[14]T.S.G Moelia. (1949). India: Sejarah Dan Politik Pergerakan Kebangsaan. Jakarta: Balai Pustaka. hlm 189.
[15]Ibid, hlm 190.
[16]C.H.Philips. (1966).Sejarah India. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 166.
[17]Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 291.
[18]Ibid.Hlm. 310.
[19]Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 308.
[20]Bishwa Nath Pandey. (1979). The Indian Nationalist Movement, 1885-1947 : Select Document. Macmillan. Hlm 150.
[21]Azharuddin Mohd Dali. (2004).  Tamadun India. Kuala Lumpr: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 290.
[22]Ibid. Hlmn 291.
[23]Ibid. Hlmn 295.
[24]Azharuddin Mohd Dali. (2004).  Tamadun India. Kuala Lumpr: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 295
[25]Ibid. Hlm 296
[26]Ibid. Hlm 297
[27]Ian Talbot & Gurhal Singh. (2009). The Partition of India. New York: Cambridge University Press. Hlmn 30.
[28]Azharuddin Mohd Dali. (2004).  Tamadun India. Kuala Lumpr: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 299
[29]Ibid. Hlm 302.
[30]Azharuddin Mohd Dali. (2004).  Tamadun India. Kuala Lumpr: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 302
[31]Ibid. Hlm 305.
[32]Ibid. Hlm 306.
[33]Ibid. Hlm 309.
[34]Ibid.
[35]Ibid.
[36]Azharuddin Mohd Dali. (2004).  Tamadun India. Kuala Lumpr: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 310
[37]Azharuddin Mohd Dali. (2004).  Tamadun India. Kuala Lumpr: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 310
[38]Muhamad Abu Ali-Banjari An Nadwi (1992). Sejarah Perkembangan Islam di India. Kuala Lumpur: Khazanah
Banjariah. Hlm 56.
[39]Philips. Henry, C. (2004). Sejarah India, Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 146
[40]Philips. Henry, C. (2004). Sejarah India, Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 152
[41]Azharuddin Mohd Dali. (2004).  Tamadun India. Kuala Lumpr: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 313
[42]Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 311.
[43]Ibid.
[44]Ibid.
[45]Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 311
[46]Ibid. Hlm 312.
[47]Muhamad Abu Ali-Banjari An Nadwi.(1992). Sejarah Perkembangan Islam di India. Kuala Lumpur: Khazanah Banjariah. Hlm. 56.
[48]T.S.G MOELIA. (1959). India Sedjarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan. Jakarta:Balai Pustaka. Hlm. 208.
[49]Ibid. Hlm. 209.
[50]T.S.G MOELIA. (1959). India Sedjarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan. Jakarta:Balai Pustaka. Hlm. 208.
[51]Ibid. Hlm. 211.
[52]Philips, Cyril Henry. (2004). Sejarah India.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 165.
[53]Ibid. Hlm. 160.
[54]Philips, Cyril Henry. (2004). Sejarah India.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Hlm. 212.
[55]Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 310.
[56]Ibid. Hlm 312.
[56]Ibid.
[57]Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 36
[58]Ibid.
[59]Herman Kulke and Dietmar Rothermund .(2004). A History Of India: Fourth Edition. London: Routledge Taylor and Francis Group. Hlm. 315.
[60]Robert  W. Stern. (1993). Changing India. Cambridge: Cambridge University Press. Hlm. 149.
[61]Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 312.
[62]Ibid.
[63]T.S.G MOELIA. (1959). India Sedjarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan. Jakarta:Balai Pustaka. Hlm. 208.
[63]Ibid. Hlm. 213.
[64]T.S.G MOELIA. (1959). India Sedjarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan. Jakarta:Balai Pustaka. Hlm. 208.Hlm. 213.
[65]Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 314.
[66]T.S.G MOELIA. (1959). India Sedjarah Politik dan Pergerakan Kebangsaan. Jakarta:Balai Pustaka. Hlm. 214.
[67]Farzana Shaikh. (1986). Muslims and Political Representation in Colonial India: The Making of Pakistan, Modern Asian Studies, Vol.20,No.3Cambridge University Press. Hlm. 553.
[68]Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 316.
[69]Abdullah Zakaria Ghazali, Azharudin Mohamed Dali, Azhar Mad Aros, Suffian Mansor .(2000). Sejarah AsiaTenggara, Asia Selatan dan Asia Timur, 1800-1963, Penerbit Fajar Bakthi, Sdn.Bhd. Hlm. 423.
[70]Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 317.

No comments:

Post a Comment