nuffnang

Thursday, June 13, 2013

KEOBJEKTIFAN PENULISAN SEJARAH

Keobjektifan penulisan sejarah merupakan sesuatu yang diimpikan oleh para sejarawan. Penulisan sejarah sememangnya perlu ditulis secara objektif.[1] Namun, keobjektifan penulisan sejarah tidak dapat dicapai kerana wujudnya penulisan sejarah secara subjektif.[2]
Penulisan sejarah secara objektif diasaskan oleh Leopold Von Ranke (1795-1886).  Bagi Ranke matlamat penulisan sejarah adalah untuk menggambarkan kejadian-kejadian  “sebagaimana sebenarnya berlaku” (wie es eigentlich gewesen) yang membiarkan fakta-fakta sejarah bercakap dengan sendirinya tanpa penglibatan sejarawan.[3]Beliau menggariskan beberapa panduan seperti mempersembahkan fakta yang tulen, mengikis prasangka, mengelakkan pengadilan moral dan sebagainya.[4]  Melalui kaedah ini beliau percaya ahli sejarah pasti akan menghasilkan karya sejarah yang objektif. Bagi Lord Acton(1834-1902) menyatakan bahawa biarlah gambaran para sejarawan tentang sesuatu peristiwa itu serupa sahaja dan memuaskan hati setiap pihak tanpa sebarang perasaan subjektif atau sikap berat sebelah(bias).[5]  Ini membuktikan perjuangan Ranke untuk menulis sejarah secara objektif diteruskan oleh sejarawan yang lain.
Pendapat Ranke ditentang oleh golongan Relativisme, yang terdiri daripada Charles Beard dan Carl Becker dari Amerika Syarikat yang menulis sejarah secara subjektif. Menurut Beard, Ranke sebenarnya tidaklah menulis sejarah objektif, bahkan cuma menulis sejarah politik sahaja dan malah cuba mempertahankan kepentingan kelas-kelas konservatif yang berkuasa di Eropah.[6] Charles A. Beard(1874-1948) pula  menegaskan bahawa “sejarah ialah pemikiran sezaman mengenai masa lampau.” Ia merupakan hasil penulisan ahli sejarah yang mempunyai kepercayaan, nilai-nilai, atau prasangka yang dipengaruhi oleh pengalaman zaman tertentu. Bagi Beard, objektiviti dalam sejarah merupakan satu impian sahaja. Beliau menyatakan sejarah tidak boleh menjadi objektif selagi ahli sejarah tidak dapat memisahkan dirinya secara mutlak daripada subjek yang dikaji.[7]  Carl L Becker(1873-1945), sarjana yang sealiran dengan Beard juga mengakui pemisahan mutlak adalah di luar keupayaan semua bidang empirikal termasuk sains semulajadi. Bagi Carl  Becker misalnya, beliau menganggap bahawa  penulisan sejarah ditentukan oleh ahli sejarah sendiri, yang mempunyai akal fikiran, tujuan, pemilihan dan kecenderungan yang berasaskan pengalamannya pada zaman tertentu.[8]  Ini kerana, Becker menghujah, peristiwa sejarah sudah tidak ada lagi tetapi hanya wujud dalam pemikiran ahli sejarah sahaja.[9]  Hujah Beard dan Becker, walaupun nampaknya meyakinkan, hanya mencerminkan satu sikap negatif. Ini kerana, pemisahan mutlak antara subjek dengan objek tidak  boleh digunakan untuk mengukur keobjektifan penulisan sejarah.

Perkembangan penulisan sejarah objektif dibahagikan kepada dua zaman iaitu zaman klasik dan zaman moden. Sejarawan pada zaman klasik hanya berusaha untuk menulis sejarah secara objektif tetapi pada hakikatnya perkembangan penulisan dipelopori pada suku pertama kurun ke-19 iaitu Leopold Von Ranke. Tokoh pada zaman klasik yang menulis sejarah secara objektif ialah Herodotus (484-424 S.M) dan Thucydides (460-400 S.M). Herodotus dalam karyanya iaitu  Histories atau Sejarah Perang Parsi. Dalam karyanya, beliau telah menyaksikan sendiri tempat-tempat berlaku pertempuran, menemuduga saksi-saksi dengan melawat dan menemui mereka yang terlibat dalam peperangan serta menggunakan bahan-bahan bertulis seperti babad-babad Greek, karya-karya Hecateus dan sebagainya.[10] Tujuan Herodotus cuba menulis sejarah secara objektif adalah untuk merakamkan kegemilangan Greek dalam menghadapi Parsi, agar ia tidak dilupakan oleh generasi akan datang dan untuk mengesan sebab-sebab orang Greek dan Parsi berperang. Thucydides yang muncul tidak lama kemudian berusaha menulis karya sejarah secara objektif. Karyanya tentang Perang Pelopponesia merupakan sejarah sezamannya. Beliau memilih untuk menulis sejarah sezaman kerana  berasa hanya bagi sejarah sezaman sahajalah ahli sejarah dapat memberi jaminan bahawa apa-apa yang ditulis itu adalah benar.[11]  Kaedah yang digunakan oleh Thucydides untuk menulis sejarah secara objektif adalah sama dengan kaedah yang digunakan  oleh Herodotus.
Perkembangan penulisan objektif dimantapkan lagi pada zaman moden, iaitu oleh John Locke (1632-1704) dan Auguste Comte (1798-1857). John Locke yang berasal dari Wrington, England membawa aliran Empirisisme yang menghasilkan teori pengetahuan melalui sumber pancaindera. Manakala Auguste Comte pula berasal dari Montepellier, Perancis. Antara karya beliau yang terkenal ialah Sistem Filosofi Positif(1824). Beliau membawa aliran positivisme yang menganggap bahawa yang bererti itu hanya dapat dibuktikan secara  empirik dan saintifik.[12] Tradisi itu menjadi asas kepada Leopold Von Ranke untuk memperkembangkan penulisan sejarah secara objektif. Ranke yang dilahirkan di Wieche, Saxony, Jerman dianggap sebagai bapa pensejarahan moden kerana menggunakan kaedah saintifik dan objektif dalam kajian sejarahnya. Penulisan sejarah yang dilaksanakan Ranke sentiasa panjang dan terperinci yang melambangkan percubaan beliau merealisasikan teori sejarahnya melalui kaedah yang kritis. Sejarawan yang terpengaruh dan kemudian meneruskan pandangan Ranke ialah Lord Acton, J.B. Bury dan Fustel de Colenges. Coulanges berpendapat sejarah adalah sains dan sepatutnya demikian. Pendapat beliau dimantapkan lagi oleh J.B Bury. J.B Bury (1861-1927)  mengatakan bahawa “sejarah adalah sains, tidak kurang dan tidak lebih.”[13]                  

Pada awal kurun ke-20, pengaruh Ranke mula luntur disebabkan oleh sarjana dari Amerika Syarikat iaitu Charles Beard dan Carl Becker yang mempersoalkan keupayaan ahli sejarah untuk menghasilkan karya sejarah yang objektif. Mereka menyatakan bahawa kebenaran dalam sejarah bukanlah bersifat objektif tetapi relatif. Dengan berlakunya perbezaan pandangan antara golongan objektiviti dengan realitivisme ini telah menyebabkan berlakunya penulisan sejarah secara subjektif. Di antara tokoh terkenal yang menulis sejarah secara subjektif ialah Benedetto Croce (1866- 1952) dan R.G Collingwood (1889-1943). Mengikut Croce, beliau menegaskan bahawa semua sejarah ialah sejarah sezaman. Ini bermaksud bahawa sejarah pada dasarnya terdiri daripada melihat masa lampau melalui kaca mata masa kini dan dalam hubungannya dengan masalah-masalah dan bahawa kerja utama ahli sejarah bukanlah untuk mencatat tetapi untuk menilai.[14] Croce mendapat tempat yang meluas di Perancis dan Great Britain kerana beliau seorang pemikir yang lebih halus berbanding sejarawan Jerman terdahulu. Manakala bagi Collingwood, beliau menganggap bahawa semua sejarah ialah sejarah pemikiran yang memerlukan sejarawan menggambarkan kembali dalam fikirannya pengalaman-pengalaman yang lalu. Pandangan Collingwood dalam The Idea of History (1945) dapat diringkaskan seperti berikut. “Masa lampau yang dikaji oleh ahli sejarah bukanlah suatu masa lampau yang telah mati tetapi suatu masa lampau yang dari beberapa segi masih hidup pada masa kini.” Tetapi sesuatu tindakan masa lampau itu sudah mati iaitu tidak bermakna apa-apa kepada ahli sejarah kecualilah sekiranya dia dapat memahami pemikiran yang ada di belakangnya. Dengan demikian, “semua sejarah adalah sejarah pemikiran dan sejarah adalah pembentukan semula dalam fikiran ahli sejarah tentang pemikiran sejarah yang sedang dikaji olehnya.”[15]

Antara ciri penulisan sejarah secara objektif ialah tidak berat sebelah. Penulisan sejarah tidak boleh dipengaruhi oleh perasaan sejarawan itu sendiri. Ia perlulah berasaskan sumber dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Ini bererti seorang ahli sejarah tidak boleh membiarkan perasaan peribadinya bermaharajalela semasa menjalankan kajian.[16] Ini merupakan satu tugas yang agak susah tetapi tidak mustahil jika ahli sejarah sedar tentang ketidakupayaan dirinya untuk memisahkan secara mutlak daripada perkara yang dikaji serta kesan yang akan berlaku jika perasaan berat sebelah tidak dapat dikawal. Dengan kesedaran untuk mengelakkan perasaan berat sebelah ini, maka sejarawan dapat menulis sejarah secara objektif. Perasaan ragu-ragu dan seperti yang diketahui semua melalui pengalaman sendiri menyebabkan berlakunya berat sebelah.[17] Menurut pendapat Ibn Khaldun pula “kesemua catatan sejarah, oleh sifatnya itu sendiri, tidak bebas dan kekeliruan, bahkan catatan itu mengandungi faktor yang akan menuju ke arah kekeliruan.[18]  Ibn Khaldun dalam bukunya Muqaddimah ada memberi tujuh sebab mengapa penulisan sejarah tidak dapat ditulis secara objektif. Salah satu ciri tersebut ialah “adanya fakta bahawa terdapat manusia cenderung unuk mengambil hati orang-orang yang berpangkat besar dan orang yang berkedudukan tinggi dengan cara memuji-muji, menyiarkan kemasyhuran, membujuk-bujuk, menganggap baik segala perbuatan mereka dan memberi tafsiran yang selalu menguntungkan  terhadap semua tindakan mereka.”[19] Ini jelas menunjukkan sikap sejarawan yang berat sebelah dengan mempunyai maksud di dalam diri bagi kepentingan dirinya. Dengan ini sejarawan perlu berusaha untuk tidak mencampurkan perasaan dan fikiran semasa menghasilkan sesuatu karya.

Ciri seterusnya ialah mengkaji sumber dengan proses penyelidikan sistematik. Sejarawan harus memahami dan mengamalkan proses penyelidikan yang sistematik kerana teknik inilah yang akan memandu sejarawan dalam penghasilan karya sejarah yang objektif. Sejarah ada mengemukakan kaedah dan teknik penyelidikannya yang tersendiri. Dengan cara ini, dapat memudahkan sejarawan menyusun matlamat dan struktur penyelidikan serta penulisan agar dapat menepati kriteria-kriteria yang diperlukan dalam pengarangan sesebuah karya sejarah.[20] Ini amat penting untuk menghasilkan satu penyelidikan yang sistematik tanpa berlaku kepincangan. Perancangan yang teratur dan teliti diperlukan semasa penyelidikan dijalankan. Perancangan ini terdiri daripada langkah penyelidikan yang tersusun dengan sistematik bagi memudahkan proses penyelidikan dilaksanakan. Menurut Garragham terdapat tahap utama dalam penyelidikan sejarah iaitu mencari sumber maklumat untuk dikerjakan(heuristik), menilai sumber-sumber dari sudut pandangan nilai kebuktiannya(kritisme) dan pernyataan rasmi tentang penemuan-penemuan (sintaksis) heuristic dan kritisme termasuk pengumpulan data-data sejarah dan membentangkannya berasaskan objektif dan kesignifikasinya.[21] Oleh itu sejarawan perlu meneliti sumber yang diperolehi agar dapat disahkan sama ada sumber tersebut sumber asli atau sumber kedua.

Selain daripada itu ciri berikutnya ialah menggunakan sumber utama dan benar. Sejarawan seharusnya mendapatkan dan menggunakan sumber utama dan benar, sumber yang diselewengkan ataupun dipalsukan tidak boleh dijadikan sumber sejarah. Oleh itu sejarawan perlu menganalisis untuk memastikan sama ada sumber tersebut sumber asli atau tidak. Selain daripada itu, melalui sumber ini sejarawan juga mendapat dan menentukan fakta yang diperlukan dan juga penerangan yang berkaitan dengan fakta tersebut. Sumber asli dalam bidang sejarah dibahagikan kepada dua jenis iaitu sumber primer dan sumber sekunder.[22]sumber primer merupakan sumber yang masih asli dan masih belum ditafsirkan lagi termasuklah dokumen-dokumen awam, undang-undang dan sebagainya. Selain daripada itu, artifak-artifak yang dijumpai dalam proses carigali juga tergolong dalam sumber ini.

Menganalisis  sumber secara kritis dan jujur merupakan salah satu ciri yang perlu ada dalam menulis sejarah secara objektif. Sejarawan perlu bersikap jujur terhadap sumber sejarah agar maklumat yang diperolehi masih kekal. Sejarawan tidak boleh mengenepikan matlamat dan semangat untuk kebenaran agar tidak berlakunya salah tafsir fakta. Oleh itu semasa melakukan pentafsiran dan penerangan, sejarawan perlulah berfikiran terbuka iaitu dengan berpandukan sumber semata-mata dan bukannya didasarkan oleh ideologi, motif dalam diri, desakan-desakan, memenuhi permintaan seseorang dan sebagainya sehingga memyebabkan penulisan itu berat sebelah dan juga tidak objektif.[23] Dengan itu sejarawan tidak boleh mendiamkan diri apabila berlakunya kesalahan dalam maklumat. Ini diusulkan oleh Barzun(1977) yang menyatakan seorang penyelidik  yang tidak mencatat apa yang benar dengan penuh ketulusan hatinya, maka penyelidik itu menjadikan keputusan sesuatu peritiwa yang direkodkan itu sebagai tidak sah.[24] Bagi menganalisis sumber secara kritis terdapat dua cara iaitu kritikan luar dan juga kritikan dalaman. Kritikan luaran ialah usaha untuk mengesahkan ketulenan sesuatu sumber asli dari sifat luarannya iaitu yang lain dari yang keterangan isi kandungan sumber tersebut. Manakala kritikan dalaman pula tentang kemunasabahan keterangan atau perihal yang boleh dipercayai atau tidak boleh dipercayai. Tujuan kritikan sumber dilakukan ialah untuk menentukan keaslian sumber.[25] Selepas dapat menentukan ketulenan sumber maka tafsiran maklumat akan dilakukan bagi menghasilkan karya yang bersifat objektif.

Antara ciri-ciri dalam penulisan sejarah yang subjektif ialah sikap sejarawan itu sendiri yang telah menanamkan sikap subjektif dalam dirinya. Sikap subjektif ini sebenarnya telah wujud di dalam diri sejarawan itu sendiri sejak awal-awal lagi. Hal ini jelas dalam menjawab sesuatu persoalan pasti terdapat lebih daripada satu jawapan daripada ahli sejarawan. Menurut E.H. Carr, misalnya menyatakan sudah menjadi tugas ahli sejarah untuk mencari semua sebab-musabab yang mencetuskan sesuatu peristiwa dan mengaturnya dengan hierarki yang munasabah agar ia dapat menjelaskan apa-apa yang sebenarnya yang berlaku beliau menyatakan bahawa semasa susunan itu dilakukan, yang dianggap sebab  utama didahulukan dan dianggap sebagai sebab sampingan dikemudiankan. Semasa penghuraian pula, faktor utama itu dijelaskan dengan terperinci dengan faktor-faktor sampingan itu dikaitkan juga.[26] Maka, dengan memilih faktor utama dan faktor sampingan tersebut dan menyusunnya mengikut kepentingan sudah pun menonjolkan sifat subjektif sejarawan tersebut yang menyokong isinya sendiri sejak awal lagi. Begitu juga dalam menerangkan pengertian sejarah, ahli sejarawan pastinya mempunyai pandangan yang berbeza terhadap pengertian sejarah. Pengertian sejarah bagi mereka yang bersikap objektif cenderung memilih pengertian sejarah sebagai kisah-kisah yang berlaku pada masa lampau.Hal ini pula berbeza bagi sejarawan yang bersikap subjektif menganggap sejarah sebagai sesuatu kajian atau penyelidikan yang dilakukan oleh sejarawan. Sebenarnya dengan memilih salah satu antara dua takrif ini, maka sejak awal-awal lagi sejarawan sudah menonjolkan subjektivitinya.
Ciri seterusnya dalam penulisan sejarah yang subjektif  ialah motif dalam diri sejarawan yang mempunyai hasrat ataupun tujuan tertentu dalam penulisannya. Sebagai  contohnya, Abdullah Munsyi, cendekiawan Melayu kurun ke-19 yang terbilang. Telah menulis sebuah rikwayat  dirinya berjudul Hikayat Abdullah, kerana ingin memenuhi permintaan seorang sahabat karibnya. Dalam karya sejarah tradisional kita yang paling tersohor, iaitu Sulalatus Salatin yang telah diperbaiki oleh Tun Seri Lanang pada T.H. 1021 untuk mendapat unsur-unsur yang subjektif itu termuat dengan jelasnya. Misalnya, terdapat beberapa kisah yang dengan jelas dimuatkan untuk menganggungkan raja memerintah itu. Salah satu daripada contohnya ialah kisah Raja Cina, yang terkena sakit gatal seluruh tubuh yang hanya boleh diubati dengan kaki Sultan Mansur Syah.

            Setelah beberapa lamanya di jalan maka sampailah ke benua Cina. Maka surat dan air basuh kaki Raja Melaka itu pun diarak ke dalam. Tiadalah sempat Raja Cina membaca surat itu lagi; air basuh kaki Sultan Mansur Syah itu disantap, dimandi dan dibasuhkan muka baginda. Maka dengan sesaat itu juga penyakit kedal tubuh baginda itu pun hilanglah. Maka Raja Cina pun sembuhlah , dan baginda bersumpah tiada mahu disembah oleh segala anak cucu Raja Ujung Tanah datang sekarang . Maka, titah Raja Cina, “Segala anak cucu kita jangan lagi berkehendak disembah Raja Melaka datang kepada anak cucu Raja Melaka, kadar muafakat berkasih-kasih jua.[27] 

Hal ini jelas yang menunjukkan penulis ingin mengagung-agungkan kuasa Raja Melaka, iaitu Sultan Mansur Syah dalam penulisannya.

Di samping itu, ciri penulisan yang subjektif yang berikutnya adalah terdapat sentimen memihak kepada sesuatu pihak dalam penulisan. Antara sejarawannya ialah R.O. Winstedt, yang walaupun banyak menyelidik serta menulis sama ada tentang kesusasteraan mahupun sejarah tanah air kita, tetapi beliau lebih percaya kepada catatan orang Barat sendiri daripada bahan tempatan itu sendiri.[28] Beliau hanya menulis melalui tanggapan ataupun perasaannya sahaja. Begitu juga dengan Frank Swettenham, beliau menulis tentang apa yang dianggapnya sebagai The Real Malay, kebanyakan dalam penulisannya adalah berdasarkan pemerhatiannya sahaja. Selain daripada Frank Swettenham, R. J. Wilkinson juga menunjukkan penulisan subjektif yang jelas di dalam penulisannya. Beliau pernah mengatakan bahawa pertarungan di antara Hang Tuah dengan Hang Jebat itu sedikit pun tidak menarik minat citarasa orang Eropah. J. F. A Mc Nair juga merupakan salah seorang daripada orang Barat yang menulis tentang sistem politik orang Melayu Tradisional, penulisannya adalah lebih kepada tanggapannya sendiri daripada menggunakan atau merujuk kepada masyarakat tempatan itu sendiri. Dapat disimpulkan bahawa terdapat sejarawan menulis dengan berdasarkan anggapan peribadi mereka yerhadap sesuatu peristiwa.

Komited terhadap agama dan ideologi tertentu juga merupakan salah satu daripada penulisan yang subjektif. Akibat terlalu taksub dengan agama dan ideologi masing-masing telah menyebabkan lahirnya pelbagai penulis yang subjektif. Ada di antara sejarawan yang mengambil kesempatan dengan menjalankan dakwah dan menyebarkan ideologi tertentu. Dalam pensejarahan Kristian umpamanya, tujuannya tidak lain adalah untuk menegakkan kesucian ajaran Kristian.[29] Masih terdapat juga sejarawan zaman moden yang berpegang teguh kepada ajaran-ajaran moral Kristian. Oleh yang demikain, beliau menganggap penyingkiran orang-orang Arab Palestin oleh Israel sama ganasnya dengan pembunuhan enam juta Yahudi oleh golongon Nazi. Selain itu, karya-karya sejarawan komunis pastinya lebih kepada model Marxis, ia megandungi propaganda Marxisme dan polisi-polisi komunisme. Dengan ini dapat ditafsirkan bahawa penulisan sejarah secara subjektif dipengaruhi atau berasaskan ideologi dan juga agama. Ini kerana terdapat sejarawan menggunakan sejarah untuk menyebarkan dakwah dan propaganda.

Bagi menulis sejarah secara objektif, terdapat pelbagai halangan dan ini menyebabkan penulis terpesong lalu karya yang dihasilkan bersifat subjektif. Antara halangan untuk menulis sejarah secara objektif ialah sikap berat sebelah. Kegagalan  sejarawan untuk memisahkan antara objek dan subjek menyebabkan penulisan bersifat subjektif berlaku. Sejarawan perlu mengabaikan fikiran dan perasaan sejarawan itu sendiri. Ini dapat dilihat dalam penulisan Tuhfat An-Nafis yang bersifat berat sebelah. Ini kerana Raja Ali Haji dan Raja Haji Ahmad lebih memihak kepada orang Bugis. Selain itu beliau juga memperkecilkan Raja Kecik dari Siak. Kecenderungan Raja Ali Haji terhadap semangat Bugis menyebabkan beliau lebih menggambarkan tentang kehandalan pahlawan-pahlawan Bugis yang sememangnya handal dalam peperangan sehingga mereka dapat memegang jawatan tinggi dalam pemerintahan kerajaan Johor.[30] Walaupun Raja Ali Haji menyatakan tentang penentangan orang melayu yang dipimpin oleh Raja Kecik dari Siak terhadap orang Bugis, namun beliau bersikap berat sebelah dengan tidak menceritakan penentangan Sultan Sulaiman terhadap Bugis. Dalam Tuhfat An-Nafis terdapat susunan tentang peperangan antara Raja Kecik dengan opu-opu Raja Bugis.[31] Jelas disini sikap untuk mengagung-agungkan orang yang mempunyai pangkat telah menyebabkan penulisan sejarah bersifat berat sebelah.

Halangan yang kedua ialah pemesongan kerana motif dalam diri. Jika dilihat sebab pemesongan ini berlaku kerana motif tertentu seperti untuk mengekalkan kekuasaan dengan memperkecil-kecilkan keadaan. Namun tidak semua penulis menonjolkan motif ini dengan ketara dalam penulisannya. Penulis seperti Frank Swettenham, merupakan penulis yang terkenal dengan beberapa kenyataan sehingga menimbulkan persoalan di kalangan bangsanya sendiri dan juga kepada orang Melayu. Antara kenyataan yang di keluarkan sehingga menimbulkan kontroversi ialah beliau mengatakan orang melayu tidak mempunyai institusi politik dan secara semulajadinya orang Eropah lebih pandai berbanding orang Melayu.[32] Ini jelas tidak benar serta menunjukkan beliau menulis sejarah hanya berdasarkan pemerhatian sahaja dan bukannya melalui penyelidikan terhadap sumber sejarah. Selain beliau terdapat juga penulis sejarah lain seperti Harry Ord yang menulis tentang keadaan Tanah Melayu selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Beliau menceritakan bahawa pergolakkan yang berlaku di Tanah Melayu telah menimbulkan simpati orang British sehingga mereka bertindak untuk campur tangan di Tanah Melayu.
Selain itu terdapat juga  sejarawan yang mentafsir sumber sesuka hati. Pengumpulan fakta merupakan langkah pertama dalam usaha menghasilkan sejarah yang objektif. Jika langkah ini tidak dapat dijalankan maka penulis tidak berjaya menghasilkan karya sejarah yang objektif. Tafsiran atau interprestasi yang akan dikemukakan oleh ahli sejarah akan dibuat berpandukan kepada fakta-fakta yang diperolehinya. Interprestasi yang dibuat tanpa fakta yang mencukupi pasti akan ditolak sebagai kurang munasabah. Sebaliknya bilangan fakta yang banyak tidak semestinya menjadikan sesuatu tafsiran itu objektif.[33]  Kekurangan fakta sejarah telah menyebabkan cuba membuat spekulasi sendiri dan juga mengusulkan teori agar dapat mengukuhkan sesuatu peristiwa. Ini dapat dilihat tentang tarikh pembukaan Melaka dan juga raja pertama yang memerintah Negara berdaulat itu. Mengikut Sejarah Melayu  raja pertama yang membuka melaka ialah Iskandar Syah tetapi menurut sumber Cina pula mengatakan Parameswara ialah orang yang membuka Melaka.[34] Bagi tarikh pembukaan Melaka pula, tidak terdapat sumber asli yang membuktikan tarikh tersebut. Mengikut R. O. Winstead, berdasarkan sumber daripada Gadinho de Eredia ialah pada 1398. Manakala R. J Wilkinson menyatakan ia di buka pada kurun ke13. Ini jelas menunjukkan kekurangan bukti menyebabkan pelbagai tafsiran telah berlaku.

Halangan seterusnya yang menghalang keobjektifan penulisan sejarah ialah tafsiran yang di pesongkan. Terdapat sejarawan yang cuba menyembunyikan fakta kebenaran dengan motif tersendiri. Menurut Ibn Khaldun setiap sejarawan bersikap jujur pada diri sendiri dengan mengungkapkan perkara yang sebenarnya berlaku ialah dengan memisahkan kebenaran daripada kesilapan dengan membuat penyelidikan setiap fakta yang diterimanya.[35] Hal ini penting, jika sejarah yang ditulis tanpa meihat kebenaran, maka sejarah yang ditulis itu kurang bermutu. Tafsiran yang dipesongkan ini dapat dilihat dalam penulisan sejarah mengenai dasar campur tangan kepada dasar tidak campur tangan British di Tanah Melayu. Sebab campur tangan British di tanah melayu terdapat dua iaitu keadaan huru-hara dahsyat yang berlaku di Tanah Melayu sehingga menyebabkan pedagang Cina tidak dapat menjalankan perdagangannya. Manakala sebab yang kedua pula seperti yang disuarakan oleh Frank Swettenham iaitu akibat huru-hara itu menyebabakan orang Inggeris simpati dan kasihan dan seterusnya mereka menghulurkan bantuan.[36] Jika dilihat disini, tafsiran yang dipesongkan dapat dilihat apabila penulis hanya memberi sebab bagi suatu peristiwa sejarah yang berlaku bagi sebelah pihak sahaja. Mereka tidak menyatakan sebab yang berlaku di Eropah yang mendorong perluasan kuasa di Asia Tenggara.

Kesimpulannya, penulisan sejarah mestilah bersifat objektif. Ini adalah untuk membuktikan kesahihan dan kewibawaan sesuatu fakta. Terdapat beberapa tokoh yang menulis sejarah secara objektif iaitu John Locke, Auguste Comte dan Leopold Von Ranke. Pelbagai karya telah ditulis oleh tokoh-tokoh ini secara objektif. Penulisan sejarah yang objektif akan membiarkan dokumen bercakap dengan sendirinya. Ini bermakna para sejarawan tidak memerlukan penjelasan untuk menulis sesuatu sejarah. Penulisan sejarah yang objektif haruslah mempunyai ciri-ciri seperti tidak berat sebelah, mengunakan sumber yang dikaji dengan menggunakan proses penyelidikan yang sistematik, menggunakan sumber utama yang benar dan sumber dianalisis secara kritis dan jujur. Dengan adanya ciri-ciri ini, penulisan sejarah dapat ditulis secara objektif oleh sejarawan tanpa sebarang halangan. Antara halangan untuk mencapai keobjektifan penulisan sejarah ialah sikap berat sebelah, mempunyai motif dalam diri, mentafsir sesuka hati dan terdapat tafsiran yang dipesongkan. Namun begitu, pendapat tokoh-tokoh sejarawan aliran objektif  telah disangkal oleh tokoh-tokoh lain seperti Charles A. Beard dan Carl L. Becker ini menyebabkan wujudnya penulisan sejarah secara subjektif. Antara ciri-ciri penulisan sejarah secara subjektif ialah sikap sejarawan itu sendiri, motif dalam diri, sentiment memihak dan komited terhadap agama dan ideologi. 
  











BIBLIOGRAFI

Abd. Rahman Hj. Abdullah, 1994. Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abd. Rahman Hj. Abdullah, 2000. Wacana Falsafah Sejarah Perspektif Barat dan TImur. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributributors Sdn. Bhd.

Abdul Samad Ahmad, 2003. Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Thobie, 2001 Ibn Khaldun Muqaddimah. Jakarta : Penerbit Pustaka Firdaus.

Anabalakan. K, 1995. Isu-isu Pensejarahan(esei penghargaan kepada Dr. R. Sutharalingam). Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.   

Arbai’yah Mohd. Noor 2002, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bala. B, 2000. Penyelidikan dan Penulisan Sejarah. Selangor: Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Carr E. H. (terjemahan oleh Abd Rahman Hj. Ismail),1988. Apakah Sejarah? Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan edisi ke-4,2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhd. Yusof Ibrahim,2000. Ilmu Sejarah Falsafah Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji(editor Virgina Matheson),1977. Tuhfat An-Nafis. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Walsh W.H. 1967. An Introduction to Philosophy of History. London: Hutchinson University Library  London.
   







[1] Objektif mengikut Kamus Dewan ialah kenyataan berasaskan kepada fakta yang sebenarnya dimana fakta tersebut tidak dipengaruhi oleh perasaan dan prasangka diri sendiri. Kamus Dewan edisi keempat, 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm.1092.
[2] Subjektif mengikut kamus dewan ialah fakta yang terbit berasaskan pandangan orang atau pihak yang melihat atau menilai peristiwa tersebut. Kamus Dewan edisi keempat, 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 1529.
[3] Abdul Rahman Haji Abdullah, 1994. Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 106.
[4] K. Anbalakan (esei penghargaan kepada Dr.R Suntharalingam), 1995. Isu-isu Pensejarahan.Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia. hlm.44.
[5] Abdul Rahman Haji Abdullah, op. cit, hlm. 106.
[6] Ibid, hlm. 108.
[7] K. Anbalakan, op. cit,hlm.45.
[8] Ibid, hlm.108.
[9] K. Anbalakan, loc. cit.
[10] Abdul Rahman Haji Abdullah, 2000. Wacana Falsafah Sejarah Perspektif Barat dan Timur .Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd. hlm.11.
[11] K. Anabalakan, loc. cit.
[12] Abdul Rahman bin Haji Abdullah, op. cit,  hlm.162.
[13] Muhd. Yusof Ibrahim, 2000. Ilmu Sejarah Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 24.
[14] E.H. Carr (terjemahan oleh Ab. Rahman Haji Ismail), 1988. Apakah Sejarah?. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 17.
[15] Ibid, hlm. 18.
[16] K. Anabalakan, op. cit, hlm. 46.
[17] W. H. Walsh, 1967. An Introduction to Philosophy of History. London: Hutchinson Uniersity Library London. hlm. 99-100.
[18] Muhd. Yusof Ibrahim, op. cit. hlm.195.
[19] Ahmad Thobie, 2001. Ibn Khaldun Muqaddimah. Jakarta: Penerbit Pustaka Firdaus, hlm. 58.
[20] Belcher Bala, 2000, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah. Selangor: Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm.48.
[21] Bilcher Bala, loc. cit.
[22] Ibid, hlm.64.
[23] Mohd. Yusof  Ibrahim, loc. cit.
[24] Bilcher Bala , hlm. 35.
[25] Ibid, hlm. 66.
[26] E. H. Carr( terjemahan Ab. Rahman Haji Ismail), op. cit. hlm. 93-97.
[27] Abdul Samad bin Ahmad, 2003. Sulalatus Salatin . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 128.
[28] Mohd. Yusof Ibrahim, op. cit. hlm.233.
[29] Abdul Rahman Haji Abdullah, op. cit. hlm. 109.
[30] Arba’iyah Mohd Noor, 2002. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 125.
[31] Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji(editor Virgina Matheson),1997. Tuhfat An-Nafis, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, hlm. 149-150.
[32] Mohd. Yusof Ibrahim, op. cit, hlm. 204.
[33] K. Anabalakan, op. cit. hlm. 47
[34] Mohd. Yusof Ibrahim, op. cit. hlm. 207.
[35] Arbai’yah Mohd Nor, op. cit. hlm.194.
[36] Mohd. Yusof Ibrahim. op. cit. hlm. 200-201

No comments:

Post a Comment