PENGENALAN
Dalam pengajian sejarah, fakta
adalah antara elemen utama dan yang terpenting selain daripada sumber. Hal ini demikian, sekiranya fakta tidak
wujud dalam sesebuah pengajian sejarah, sudah tentu sesuatu sejarah itu tidak
akan dianggap sebagai sejarah yang sahih. Sebelum isu ini dikupas dengan lebih
mendalam lagi, maka perlulah diketahui makna fakta itu sendiri. Menurut kamus
dewan bahasa, fakta adalah kenyataan (bukan khayalan atau sangkaan, contohnya,
sekarang telah menjadi kenyataan untuk menjejakkan kaki ke bulan.[1]
Fakta adalah kebenaran yang telah terbukti sahihnya, stabil, kukuh dan tidak
boleh dinafikan lagi kebenarannya. Ia terdiri daripada pelbagai peristiwa masa
lalu yang telah didapati melalui sumber-sumber kajian sejarah. Menurut Arba’iyah
Mohd Noor, fakta boleh didefinisikan sebagai pernyataan tentang kejadian yang berlaku sama
ada telah disediakan oleh akhbar mahupun sumber-sumber lain.[2]
Menurut Louis Gottschalk, fakta sejarah itu boleh ditakrifkan sebagai suatu particular ( keterangan) yang didapatkan
secara langsung atau secara tidak langsung dari dokumen sejarah dan dianggap
benar setelah diuji dengan teliti mengikut aturan kaedah-kaedah sejarah.[3]
Disini jelas menunjukkan bahawa fakta
bergantung sepenuhnya kepada penyelidikan individu mahupun ahli sejarah untuk
mendapatkan bukti yang kukuh terhadap sesuatu peristiwa. Menurut Yusof Ibrahim,
fakta adalah adanya suatu konsep yang stabil, kukuh, terbukti, dan tidak boleh
dipersoalkan mahupun digugat lagi kebenarannya.[4]
G.R.Elton mengatakan bahawa memang terdapat banyak pengetahuan sejarah (fakta
sejarah) yang dipersetujui, tidak boleh dipertikaikan kebenarannya dan walaupun
himpunan ini dengan sendirinya memberikan tafsiran yang canggih tentang masa
lalu, namun ia sangat penting bagi kajian mengenainya. Manakala secara umumnya,
fakta dapat didefinisikan sebagai kebenaran asas bagi sesuatu ilmu, suatu
kejadian mahupun sesuatu peristiwa yang telah berlaku, malah telah dipastikan dengan teliti kebenarannya.[5]
Namun demikian, fakta sejarah sebenarnya bergantung kepada kepentingan sesuatu
peristiwa atau kejadian yang berlaku kepada individu mahupun dalam kelompok
masyarakat. Hal ini kerana, jika sesuatu fakta itu dianggap tidak penting, maka
ianya akan dibiarkan lenyap begitu sahaja. Namun sebaliknya, sekiranya sesuatu
fakta itu dianggap sebagai penting, maka akan dianggap sebagai bersejarah. Menurut
mohd Yusof Ibrahim, fakta sejarah boleh diumpakan sebagai kumpulan ikan yang
berenang-renang, ia bukanlah disediakan, tetapi perlu dicari dan diasingkan
untuk kegunaan masyarakat.[6]
HAKIKAT FAKTA SEJARAH
Sejarah
terdiri daripada sekumpulan fakta-fakta yang telah diteliti dan dipastikan.
Fakta-fakta tersebut dikumpulkan oleh ahli sejarah, dokumen-dokumen,
suratan-suratan dan sebagainya.[7]Fakta
sejarah yang sebenar adalah bergantung pada kepentingan sesuatu peristiwa atau
kejadian itu kepada masyarakat atau individu yang berkenaan. Jika ia tidak dianggap penting, maka ia
akan dibiarkan lenyap begitu sahaja. Maka ia tidak perlu diingat, dicatat
ataupun dikaji. Kebiasaanya, yang bersejarah itulah lazimnya dianggap sebagai
fakta sejarah kerana itulah yang biasanya dicatat dan dikekalkan dalam sumber-sumber
sejarah.[8]
Apabila sebut sahaja fakta
secara amnya mahupun khasnya, apa yang dapat digambarkan ialah satu konsep yang
stabil, kukuh, terbukti, serta tidak dapat dipersoalkan lagi kesahihannya. Apa
sahaja peristiwa yang telah berlaku dianggap sebagai fakta namun fakta yang
diperolehi itu mestilah mempunyai ciri-ciri kebenarannya berdasarkan sumber dan
hujahan yang diperolehi. Kedudukan fakta itu terpulang kepada sejarawan yang
menulisnya, kerana fakta sejarah itu adalah berasal daripada pemikiran
sejarawan.
JENIS-JENIS FAKTA SEJARAH
Seperti sumber, fakta juga mempunyai beberapa
jenis dan mempunyai ciri-ciri yang berbeza antara satu sama lain walaupun
membawa maksud yang sama. Antara fakta tersebut ialah fakta tetap, fakta
berubah, fakta nilai, subfakta, fakta
objektif, fakta masa lampau, fakta kecil, fakta asas, fakta tidak boleh
dikawal, dan fakta yang tidak berulang.
Fakta tetap adalah fakta yang
tidak berubah-ubah dan kesahihannya adalah kekal untuk selamanya. Oleh yang
demikian, fakta ini merupakan fakta yang menjadi bahan utama dalam kajian
sejarah, oleh itu tidak hairanlah sekiranya dikatakan bahawa fakta ini turut
menjadi bahan rujukan utama kepada ahli sejarawan dalam menjalankan sebarang
kajian. Bagi ahli sejarah, fakta ini amat diperlukan kerana fakta ini merupakan
fakta yang terpenting berbanding jenis-jenis fakta yang lain apabila
menjalankan kajian. Hal ini demikian, fakta ini telah mengalami pengukuhan
isinya, dan sesiapa sahaja tidak boleh menyangkal fakta tersebut. Sebagai
contoh, tarikh pengishtiharan kemerdekaan Malaysia pada 31 ogos 1957 telah
diterima umum oleh masyarakat, malah tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun
kesahihannya[9].
Selain itu, menurut orang Portugis,
Parameswara merupakan pemerintah Melaka yang pertama, dan telah berjaya
mengalahkan Melaka pada tahun 1511. Fakta ini telah diakui kebenarannya dan
diguna pakai sehinggalah ke hari ini.
Fakta tidak tetap adalah
berbeza berbanding fakta tetap kerana fakta ini bersifat berubah-ubah dan boleh
dipertikaikan kesahihannya. Fakta tidak tetap juga juga dikenali sebagai fakta
yang belum mantap atau boleh berubah, kerana fakta tersebut tidak disokong
dengan hujah serta bukti yang mantap dan kukuh. Banyak pendapat yang menyatakan
bahawa, fakta itu tidak boleh berubah, namun hakikatnya, fakta itu boleh
berubah.[10] Fakta
tidak tetap merupakan fakta yang berlaku apabila terdapat sumber-sumber baru
yang lebih sahih daripada sumber sebelumnya, telah memberikan maklumat yang
berbeza seterusnya telah mengubah fakta yang sebelumnya. Kebiasaannya, fakta
tidak tetap ini memerlukan masa yang lama untuk berubah kerana memerlukan
banyak bukti dan sumber untuk menyangkal kesahihannya. Fakta tidak tetap
berlaku disebabkan terdapatnya penyelewengan fakta, sama ada fakta tersebut
telah ditokok tambah ataupun telah dikurangkan faktanya. Hal ini berlaku
apabila ahli sejarah telah membuat andaian ataupun tafsiran tersendiri terhadap
sesuatu fakta tersebut. Oleh yang demikian, apabila terdapatnya sesuatu fakta
yang berdasarkan fakta sejarah yang baru dan lebih sahih daripada sebelumnya,
maka fakta yang sebelumnya akan ditolak dan tidak diterima lagi. Dalam erti
kata lain, sumber-sumber atau fakta lain tersebut boleh menafikan kebenaran
sejarah yang telah dikemukakan melalui fakta-fakta yang lebih awal. Sebagai
contoh, fakta Hang Tuah adalah orang melayu telah dinafikan apabila terdapat
fakta yang menyatakan bahawa, Hang Tuah adalah berasal daripada negara China. Selain
itu, nama Melaka tidak dapat diketahui kesahihannya kerana terdapat beberapa
pendapat yang menyatakan nama Melaka berasal daripada pokok Melaka, ‘Malakat’
berasal daripada perkataan Arab, dan pohon ‘Amalaka’ yang dipercayai berasal
daripada perkataan India.
Fakta
asas juga merupakan antara jenis-jenis fakta yang terdapat dalam sesebuah
sejarah. Fakta asas merupakan fakta yang wujud apabila ahli sejarah telah
membuat andaian awal atau inferens dalam sesuatu kajian sejarah mereka.
Kebenaran yang diperolehi adalah bersifat asas, tepat tentang sesuatu
peristiwa, kejadian, lahir, kematian, perkahwinan, kenangan, kejayaan,
kegagalan, dan sebagainya. Sesuatu fakta asas itu merangkumi tarikh, iaitu
merangkumi pembukaan rasmi, kemerdekaan, perjuangan, peperangan, pengeboman dan
peperiksaan. Kebanyakan fakta asas ini diperolehi melalui sumber sejarah atau
maklumat yang sahih. Fakta ini merupakan fakta yang telah menjadi asas
pembentukan fakta-fakta lain seperti fakta tetap, tidak tetap dan sebagainya.
Oleh itu, secara umumnya walaupun fakta ini belum sahih sepenuhnya kerana
diperolehi melalui andaian sahaja, namun fakta ini boleh menjadi fakta jenis
lain apabila terdapatnya pembuktian dan hujah-hujah lain yang mengukuhkannya.
Selain
itu, terdapat juga fakta sejarah yang dikenali sebagai fakta sejarah yang tidak
boleh dikawal. Rentetan peristiwa ini sering berkait rapat dengan manusia
kerana tindakan manusia itu sendiri tidak dapat dikawal oleh sesiapa pun. Hal
ini demikian, fakta yang tidak boleh dikawal in bukanlah seperti sains, di
dalam makmal mengikut suatu kaedah sains yang tertentu.[11]
Kebanyakan fakta jenis ini berlaku akibat daripada rentetan peristiwa.
Contohnya, semasa peristiwa berlakunya perang dunia, tindakan manusia yang
terlibat dalam peperangan tersebut tidak dapat dikawal.
Selain
daripada itu, fakta nilai merupakan antara fakta yang terdapat dalam
jenis-jenis fakta. Fakta nilai ini juga dikenali sebagai fakta yang subjektif
kerana fakta ini ditafsir oleh sejarawan mengikut persepsi mereka sendiri.
Fakta yang relatif atau subjektif pula berlaku kerana kewujudan atau
kemunculannya banyak dipengaruhi oleh pengkaji atau sejarawan kepentingan,
nilai budaya, agama dan sebagainya. Fakta-fakta sejarah tidak terpilih secara
sendiri tetapi dipilih oleh ahli sejarah dan oleh itu merupakan satu tindakan
pilihan, satu kepercayaan, dan satu interpretasi yang melibatkan nilai-nilai.[12]
Fakta subjektif ini didokong oleh
sejarawan seperti E.H Car, H.E. Barnes, dan Charles A.Beard. Nilai dalam
konteks ini merujuk kepada nilai masyarakat “world view”. Berdasarkan fakta ini, sejarawan tidak akan berjaya
menghasilkan sebuah karya sejarah yang objektif. Sesuatu kewibawaan atau
kebenaran fakta dengan konteks sejarah ditentukan melalui fakta nilai itu
sendiri, hal ini bermakna, nilai-nilai yang mempengaruhi fakta, maka fakta itu
akan menjadi tidak benar.[13]
Misalnya, fakta sejarah yang ditulis pada zaman sebelum kemerdekaan adalah
berbeza dengan fakta yang ditulis selepas kemerdekaan. Hal ini disebabkan,
fakta tersebut telah diselaputi oleh nilai-nilai subjektif pada diri penulis
itu sendiri. Fakta ini tidak diterima oleh Ranke, kerana fakta tidak harus
dipengaruhi nilai-nilai subjektif tetapi perlu diungkapkan dengan sebenar-benarnya
agar fakta ini tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, golongan, ras,
agama, dan ideologinya. Fenomena ini juga dapat dilihat melalui faktor
kedatangan british ke tanah melayu, iaitu pada pandangan sejarawan barat,
mereka meanggap faktor kedatangan british di tanah melayu adalah sebagai
penyelamat ekoran daripada sering berlaku pergelutan kuasa, pergaduhan antara
kongsi gelap, dan perang saudara. Namun berbeza dengan pandangan tempatan yang berpendapat
bahawa, kedatangan British pada masa tersebut adalah disebabkan oleh faktor
ekonomi. Revolusi perindustrian yang berlaku pada masa tersebut meyebabkan
british terpaksa campurtangan ke alam melayu. Oleh itu, disini dapat dilihat
terdapat unsur-unsur prejudis, bias dan condong seperti yang telah dikemukan
oleh ahli sejarawan ini.
Selain
daripada itu, fakta yang tidak boleh berulang juga merupakan antara jenis-jenis
fakta. Fakta ini berlaku apabila sesuatu fakta itu diyakini benar maka ia tidak
boleh berulang. Sememangnya sesuatu peristiwa itu boleh berulang, namun sesuatu
fakta itu tidak boleh berulang. Hal ini kerana, fakta tersebut sering dikaitkan
dengan tokoh, tempat, tarikh dan masa, namun peristiwa tersebut boleh berlaku
berulang-ulang kali. Misalnya, peperangan negara Iraq dan Amerika yang berlaku
sebanyak dua kali.
Subfakta
juga boleh dikategorikan sebagai jenis-jenis fakta. Subfakta adalah berasal
daripada fakta-fakta yang telah dibahagikan dalam bentuk-bentuk faktor.[14]
Faktor-faktor tersebut boleh didefinasikan sebagai perkara yang menyokong atau
mendorong berlakunya sesuatu peristiwa. Apabila sesuatu faktor ini dapat
ditafsirkan oleh ahli sejarawan, maka fakta tersebut akan menjadi subfakta. Contohnya,
faktor perang dunia kedua disebabkan oleh beberapa faktor seperti pendaratan di
pantai Normandy, serangan udara Pearl Harbour, dan jatuhnya kota Berlin. Selain
itu, kedatangan Portugis di Melaka, didorong oleh beberapa faktor, iaitu
perdagangan rempah, menyebarkan agama Kristian, dan galakan pemerintah Portugis.
Oleh itu, kesemua faktor-faktor tersebut telah menjadi subfakta dalam sesebuah
sejarah.
Terdapat
juga jenis fakta yang dikenali sebagai fakta yang tidak boleh berubah. Sesuatu
fakta akan menjadi fakta yang tidak boleh berubah apabila fakta itu telah diuji
kebenarannya melalui dua cara iaitu kritikan dalaman dan juga kritikan luaran.
Jika sesuatu fakta itu sahih dari segi luarannya, ia masih lagi belum dianggap
fakta yang boleh diguna pakai kerana ia masih belum sahih dari segi kritikan
dalaman. Fakta tidak boleh berubah diperolehi apabila ia sukar disangkal kerana
tiada fakta lain yang boleh menyangkal kesahihannya. Fakta jenis ini juga tidak
boleh berubah kerana telah sedia diterima umum oleh masyarakat. Sebagai contoh,
pada tahun 1948, Persekutuan Tanah
Melayu telah ditubuhkan. Peristiwa tersebut merupakan fakta yang tidak boleh
berubah kerana ia telah diterima umum dan sukar disangkal kerana disokong oleh
sumber bertulis yang kukuh dan telah
diuji kebenarannya.
Selain
itu, fakta kecil juga merupakan antara jenis fakta yang terdapat dalam pengajian
sejarah. Fakta kecil ini merupakan antara lambang yang mewakili, ataupun
terdiri daripada beberapa persoalan yang mengandungi fakta yang lain. Melalui
fakta ini, terdapat persoalan yang berkaitan, siapakah, bilakah, apakah dan
dimanakah. Persoalan ini, seolah-olah menyokong diantara satu sama lain,
sehingga membolehkan pengkaji mengambil keputusan. Menurut Louis Gottschalk,
fakta kecil dianggap sebagai “fakta mudah” hal ini demikian, fakta ini berlaku disebabkan
daripada jawapan yang diberikan oleh ahli sejarawan berkenaan
persoalan-persoalan tersebut. Menurut Carl Becker, fakta kecil sebagai suatu
pengesahan terhadap sesuatu fakta yang lebih luas iaitu demi mengesahkan
kebenaran fakta tersebut. Namun demikian, persoalan yang dijawab itu, mestilah
dilengkapi dengan sumber-sumber yang asli. Oleh yang demikian, fakta kecil ini
adalah fakta yang turut tergolong dalam jenis-jenis fakta sejarah.
Selain
daripada itu, antara jenis-jenis fakta yang terdapat dalam sesebuah sejarah
ialah, fakta yang objektif. Menurut sarjana barat yang bernama Gottschalk,
objektif adalah memperolehi pengetahuan yang tidak memihak dan benar serta
bebas daripada reaksi peribadi seseorang.[15]
Fakta jenis ini adalah fakta yang bersifat yang tidak memihak mana-mana pihak
dalam sesuatu pengkajian sejarah. Pentakrifan fakta objektif menurut Kamus Dewan suatu kenyataan yang
berasaskan fakta sebenar yang tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh perasaan
atau prasangka sendiri.[16]
Dari satu segi, fakta sejarah itu adalah bersifat objektif, dan benar-benar
wujud ataupun yang telah berlaku pada suatu ketika dalam suatu jangka masa yang
lalu.[17]Dalam
pada itu, bolehlah ia dianggap sebagai objektif dalam pengertian bahawa ia
semata-mata sesuatu yang benar, tanpa motif dalam diri dan sebagainya.[18]
Maka, dalam hal ini, fakta objektif
secara tuntasnya adalah fakta yang tidak memihak mana-mana pihaK. Oleh
itu fakta ini merupakan antara fakta yang penting dan perlu dijadikan sebagai
sumber yang utama. Dalam konteks ini, ia mestilah memaparkan kebenaran sesuatu
peristiwa sejarah melalui kaedah penelitian dan menganalisis secara kritis
sebagaimana ia benar-benar berlaku. Maka, dengan ini, fakta objektif mestilah
fakta yang benar-benar wujud iaitu yang berlaku pada masa lalu. Ahli sejarawan
pula cuba mentafsir fakta secara objektif iaitu tidak ditambah atau ditolak
hujahnya. Umumnya, sebelum kewujudan sesuatu fakta, ianya akan melalui dokumen,
sumber seterusnya menjadi fakta. Maka, fakta tersebut perlulah sahih dan kukuh,
di samping bersifat objektif. Dalam hal ini, fakta ini amat penting dalam
sesebuah kajian sejarah itu sendiri. Contohnya perjanjian pangkor 1874,
termeterai diatas sebuah kapal bernama Plato. Begitu juga dengan catatan yang
menyatakan bahawa orang Portugis telah mengalahkan Melaka pada tahun 1511, hal
ini juga adalah benar.[19]
Ahli sejarawan tidak boleh menyangkal perjanjian tersebut dilakukan ditempat
yang lain kerana terdapat dokumen yang menjadi bukti semasa peristiwa itu
berlaku.
KEPENTINGAN FAKTA
Fakta memainkan peranan yang penting dalam
sesebuah masyarakat. Hal ini demikian, kewujudan fakta itu sangan berkait rapat
dengan dokumen dan bukti-bukti. Antara kepentingan fakta sejarah ialah sebagai
tulang belakang kepada sejarah. Bagi sejarah, fakta itu boleh dianggap sebagai
tulang belakang, malah nadi bagi kesejarahannya. Tanpanya, sejarawan hanya
berbicara di arena yang kosong.[20]
Fakta merupakan salah satu aspek yang terpenting dalam penulisan sejarah selain
daripada sumber, kerana sejarah tanpa fakta boleh diibaratkan seperti rumah tanpa
tiang. Hal ini demikian, sesuatu sejarah itu tidak boleh berdiri sendirinya
tanpa kehadiran fakta kerana tanpa fakta sesebuah penulisan sejarah itu adalah
kosong dan penulisan itu akan menjadi sebuah sastera bukannya sejarah. Sejarah
yang telah berlalu tidak akan berulang semula, namun fakta yang ada menjadi
memori kepada kita untuk diungkapkan kembali. Sesuatu peristiwa itu pasti boleh
berulang, namun fakta tidak boleh berulang kembali. Jelaslah bahawa, fakta itu
merupakan tulang belakang kepada sejarah, malah nadi kepada kesejarahannya.[21]
Contohnya, semasa penaklukan Jepun ditanah melayu, jika peristiwa itu tidak
diperkukuhkan dengan fakta, maka ia akan menjadi sia-sia untuk dikenang
kembali.
Selain
itu, fakta juga turut memainkan peranan sebagai lambang sesebuah sesebuah
masyarakat. Kepentingan sesuatu fakta itu adalah bergantung kepada sesuatu
sesuatu peristiwa atau kejadian itu kepada masyarakat dan individu. Sesuatu
peristiwa itu akan menjadi lambang sebagai perkara yang disanjung tinggi
ataupun sebaliknya iaitu dibenci.[22]
Setiap sesuatu tarikh itu merupakan lambang bagi beberpa peristiwa lain yang
berkaitan dengannya. Menurut Car Becker, fakta itu bukanlah semata-mata suatu
tarikh tentang sesuatu peristiwa sahaja, tetapi sebagai lambang yang mewakili
sesuatu peristiwa atau sebuah gagasan.[23]
Dalam erti kata lain, setiap kejadian itu merupakan peristiwa yang sangat dihargai atau diingati oleh sesebuah
masyarakat.[24]
Mungkin ianya juga akan dipandang tinggi ataupun dibenci.[25]
Dalam pada itu, lambang ini turut menjadi simbol yang akan dikenali oleh
sesiapa sahaja kerana ianya amat penting dalam masyarakat tersebut. Misalnya,
semasa kewujudan kerajaan melayu Melaka, negeri Melaka amat terkenal dengan
pengaruh, kuasa dan kekuatanya di perairan melaka. Hal ini menjelaskan bahawa,
kemegahan yang diperolehi itu adalah sebuah lambang kepada negeri Melaka.
Fakta
juga berfungsi sebagai panduan kepada sejarawan sebagai garis panduan untuk
menulis sesuatu karya sejarah. Hal ini kerana akta sering menjadi rujukan dalam
menghasilkan karya sejarah yang bermutu dan baik dari segi kualiti hujahannya.
Fakta adalah dianggap penting oleh sejarawan kerana peristiwa tersebut
mempunyai kaitan dengan seseorang, institusi, masyarakat, kerajaan, negara
mahupun bangsa itu sendiri. Ahli sejarah bukan hanya berfungsi merujuk kepada
fakta semata-mata tetapi mereka berusaha menterjemahkan fakta secara tepat. Tanggungjawab
ahli sejarah untuk menghormati faktanya bukanlah sekadar mempastikan fakta
tersebut adalah benar, tetapi mesti berusaha memperlihatkan semua fakta yang
bersesuaian yang telah diketahui atau yang dapat diketahuinya.[26]
Sekiranya ahli sejarah bukan seorang pentafsir yang baik, ia tidak lebih
dikenali sebagai seorang kronologis.[27]
Tanpa fakta sejarah, sejarawan hanya berbicara kosong sahaja lantas penulisan
sejarah itu juga akan menjadi kosong dari segi kesejarahannya. Sejarawan
memerlukan bahan-bahan atau sumber-sumber rujukan terutamanya yang berupa
persuratan dalam usaha menerangkan tajuk atau peristiwa yang dikaji.[28]
Kewibawaan seseorang sejarawan boleh dilihat melalui kekuatan penulisannya
dengan berasaskan fakta yang lengkap dan jitu. Sejarawan haruslah memahami dan
mengamalkan proses penyelidikan yang sistematik sebelum membuat pentafsiran
demi mencapai kebenaran sejarah. Hal ini disebabkan sejarah itu bukanlah
semata-mata pentafsuran sahaja malah mengandungi fakta-fakta sejarah itu
sendiri.[29] Oleh
itu, semakin banyak dan pentingnya sesuatu fakta itu, maka penulisan sejarawan
itu akan menjadi lebih berkualiti. Fakta dan sejarawan saling berkaitan antara
satu sama lain, jika sejarawan dan fakta dipisahkan maka hilanglah kewibawaan
sesuatu penulisan itu. Semakin banyak fakta yang diperolehi, semakin banyak
yang akan diketahui tentang sesuatu peristiwa itu. Ahli-ahli sejarah dan
fakta-fakta sejarah adalah mustahak antara satu sama lain. Jika penyelidik
tidak catat apa yang sebenar berlaku dengan penuh ketulusan hati, maka
peristiwa yang direkodkan dianggap tidak sah.[30]
Ahli sejarah tanpa fakta tidak berpendirian, fakta-fakta tanpa ahli sejarawan,
adalah fakta yang mati dan tidak bermakna.[31]
Sememangnya, seseorang sejarawan itu tidak boleh menulis dan membuat tafsiran
dengan sesuka hati sahaja tanpa melibatkan fakta kerana fakta amat penting
dalam menghasilkan sesuatu penulisan karya sejarah. Sebagai contoh, jika
seseorang sejarawan itu ingin mengkaji Kota A.Famosa, maka sejarawan perlu
mengetahui fakta mengenai bilakah tarikh ia dibuat, daripada bahan apa ia
dibina, siapa yang membinanya, dan fungsinya atau kegunaanya ketika zamannya.
Fakta
juga penting dalam peranannya untuk mengukuhkan sesuatu penulisan sejarah.
Fakta mempunyai hubungan yang erat dan rapat dengan penulisan sejarah kerana
daripada fakta lahirnya sejarah. Sesuatu kebenaran penulisan itu dapat dinilai
melalui fakta yang diutarakan bertepatan dengan realiti (peristiwa yang
benar-benar berlaku). Sekiranya perkara itu tidak berlaku dengan
sebenar-benarnya, maka tahap kebenaran fakta itu akan berkurangan tetapi fakta
itu tetap diterima pakai oleh masyarakat. Penulisan sesuatu sejarah itu akan
menjadi kosong dari segi kesejarahannya jika ia tidak melibatkan fakta dalam
salah satu aspek dalam penghasilannya.
Kepentingan
fakta juga dapat dilihat melalui peranannya untuk dijadikan panduan dan
tauladan. Setiap fakta sejarah mempunyai nilai yang tersirat untuk disampaikan
sebagai pengajaran dan tauladan. Setiap fakta tersebut dapat membantu
menyedarkan masyarakat terhadap pentingnya sesebuah peristiwa yang berlaku.
Fakta sejarah penting untuk diingati dan dikaji kerana mereka yang tidak
mengingati sejarah pasti akan mengulanginya kembali. Setiap pengajaran dan
tauladan ini akan mengajar dan membentuk masyarakat agar tidak mengulangi
kesilapan disamping mengubah sikap buruk mereka. Dalam hal ini, fakta yang
mampu membentuk masyarakat akan melahirkan masyarakat yang berwawasan dan
bersatu padu. Nilai-nilai seperti inlah yang akan menjadi pemangkin kepada
pembangunan sebuah negara. Contohnya, Peristiwa kemerdekaan negara pada 31 Ogos
1957, telah memberi kesan yang mendalam dengan menyedarkan rakyat di negara ini
agar sentiasa bersatu padu dan memelihara keamanan yang dimiliki. Selain itu,
fakta peristiwa perang dunia kedua tyang berlaku telah menyedarkan masyarakat
di negara ini agar sentiasa memelihara keamanan yang diperolehi pada masa ini.
KESIMPULAN
Fakta
adalah suatu kebenaran asas yang diperlukan oleh ilmu-ilmu lain terutamanya
dalam sejarah. Terdapat beberapa jenis fakta yang mempunyai ciri-ciri berlainan
antara satu sama lain. Kepentingan fakta itu adalah secara menyeluruh, iaitu
kepada masyarakat mahupun negara. Menurut Ibnu Khaldun, kebenaran sejarah
adalah bergantung kepada kebenaran fakta yang diperolehi.[32]
Dalam menghasilkan sesuatu karya sejarah, seseoran sejarawan itu mestilah
menggunakan fakta yang lengkap dan berkaitan dengan tajuk penulisan sejarah
tersebut. Fakta sejarah itu masih boleh dibincangkan (discissable) atau ditokok
tambah kerana fakta boleh berubah-ubah sama ada mengikut peredaran zaman, hasil
penyelidikan terkini mahupun atas faktor kepentingan diri sejarawan itu
sendiri. Menurut C.P.Scott, “Fakta-fakta adalah suci, pandangan adalah bebas”.[33]
Namun demikian, perubahan fakta tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya
tanpa sebarang alasan yang kukuh atau benar-benar konkrit untuk membolehkan
serta membenarkan perubahan itu berlaku. Hakikatnya, fakta sejarah itu boleh berubah
kerana adanya unsur-unsur baru atau tafsiran baru tetapi tidak boleh dilakukan
dengan serta merta. Dalam hal ini, fakta sejarah itu boleh dibahaskan untuk
dibukti atau dicari kebenarannya. Fakta-fakta sejarah yang diperolehi perlu
melalui proses penilaian dan dapat ditentukan penilaian.[34]
Fakta sejarah juga boleh berubah keutuhannya bergantung kepada sahih atau
sebaliknya sumber-sumber sejarah itu. Namun kebanyakan fakta yang diperolehi
pada masa ini, sering diperngaruhi oleh unsur-unsur subjektif. Hal ini berkait
rapat dengan pandangan yang diterapkan oleh E.H Carr, yang menyatakan bahawa,
sejarah adalah satu proses berterusan interaksi diantara ahli sejarah dengan
fakta-faktanya, suatu dialog yang tidak berkesudahan diantara masa kini dengan
masa lampau.
[2] Arba’iyah Mohd Noor, 2002. Ilmu Sejarah
dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 53.
[3] Muhd. Yusof
Ibrahim, 2000. Falsafah, Pengertian, dan
Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 127.
[4] Muhd.Yusof Ibrahim, 1986. Pengertian
Sejarah,Beberapa Perbahasan Mengenai Teori Dan Kaedah. Dewan Bahasa dan
Pustaka, hlm.72.
[6] Mohd Yusof Ibrahim, 1986. Pengertian Sejarah, Beberapa Perbahasan Mengena Teori dan Kaedah, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 80.
[7] E.H. Carr, 1988. Apakah Sejarah?, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 4.
[8] Ibid, hlm. 168.
[9] Arba’iyah Mohd Nor, 2002. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, hlm .53.
[11] Muhd.Yusof Ibrahim, 1986. Pengertian
Sejarah,Beberapa Perbahasan Mengenai Teori Dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 73.
[12] R. Suntharalingam, 1985. Pengenalan Kepada Sejarah. Kuala Lumpur:
Marican
& Sons (M) Sdn Bhd, hlm. 123.
[13] Ibid, hlm. 54.
[14] Ibid, hlm. 55.
[15] Louis Gottschalk,
1969. Understanding history: Aprimer of Historical Method. 2nd edition. New York: Alfred a Knopf, hlm . 42.
[16] Noresah Baharom, 2000. Kamus Dewan ,Edisi Ketiga. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 939.
[17] Muhd. Yusof Ibrahim, 2000. Falsafah, Pengertian, dan Kaedah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 165.
[18] Muhd.Yusof Ibrahim, 1986. Pengertian Sejarah,Beberapa Perbahasan
Mengenai Teori Dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm. 73.
[20] Muhd.Yusof Ibrahim, 1986. Pengertian Sejarah,Beberapa Perbahasan
Mengenai Teori Dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm. 72.
[21] Muhd.Yusof Ibrahim, 1986. Pengertian
Sejarah, Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka, hlm. 72.
[22] Muhd. Yusof Ibrahim, 2000. Falsafah,
Pengertian, dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 170.
[24] Ibid, hlm. 170.
[25] Ibid, hlm. 170.
[26] E.H. Carr, 1988. Apakah Sejarah?. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm, 25
[27] Rozeman Abu Hassan, 2004. Mengenali Dan Mentafsir Sumber-Sumber
Sejarah. Shah Alam: Karisma Publications sdn bhd, hlm.55.
[28] Muhd Yusof Ibrahim, 2000. Ilmu Sejarah, Falsafah, Pengertian, dan
Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka, hlm. 144.
[29] Muhd. Yusuf .Ibrahim, 1975. Pengertian Sejarah,. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 52.
[30] Bilcher Bala, 2000. Penyelidikan dan
Penulisan Sejarah, Pusat Pengjian
Jarak Jauh. Selangor: Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd, hlm . 29.
[31] E.H. Carr, 1988. Apakah Sejarah? , Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm .27.
[32] Rozeman Abu Hassan, 2004. Mengenali dan Mentafsir Sumber-Sumber
Sejarah. Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd, hlm. 55.
[33] E.H.Carr, 1988. Apakah Sejarah?. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 4.
[34] Ishak Saat, 2007. Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden. Selangor: Karisma
Publications Sdn Bhd, hlm. 23.
No comments:
Post a Comment