nuffnang

Thursday, June 6, 2013

Idea ‘Negara Dua Bangsa’ menjadi punca kebangkitan nasionalisme Muslim di India. Bincangkan.

1.0 PENDAHULUAN
            Masyarakat India terbahagi kepada pelbagai suku kaum dan bangsa. Dianggarkan terdapat lebih 800 bahasa atau dialek yang dipertuturkan, namun hanya 15 bahasa sahaja yang diterima sebagai bahasa di India.[1] Walaupun mereka mempunyai persamaan dari segi kaum dan etnik namun terdapat perbezaan yang ketara pada mereka iaitu anutan agama. Kebanyakan masyarakat India menganut agama Hindu atau Sikh namun ada juga sebahagian daripada mereka menganut agama Islam.
            Perbezaan agama yang ada di India merupakan masalah yang dilihat tidak dapat mencapai persepakatan dan penyelesaian yang baik. Disebabkan perbezaan ini, teori dua bangsa telah diperkenalkan oleh Sayyid Ahmad Khan.[2] Teori ini dikemukakan kerana menyedari perbezaan yang wujud dari segi social, politik dan ekonomi antara masyarakat Hindu dan Islam. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan India dalam menyatukan masyarakat, namun tidak juga berhasil.[3]
            Idea teori dua bangsa telah menjadi faktor kebangkitan dan pengerak nasionalisme dalam kalangan rakyat di India. Selepas pilihanraya diadakan, Parti Kongres Kebangsaan India dianggap telah menganiaya umat Islam di India dan menyebabkan Parti Liga Muslim bangkit untuk mendapatkan kemerdekaan mereka sendiri. Hal ini secara tidak langsung telah menjadikan parti LM semakin matang dan telah berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan mereka sendiri dengan menuntut hak wilayah berasingan.
            Sayyid Ahmad Khan merupakan seorang pemikir moden Islam India. Beliau telah membawa idea pembaharuan tersebut apabila beliau mengunjungi Britain pada 1896-1897 dan melihat akan pemodenan di sana sehingga lahirlah idea pembaharuan oleh beliau.[4] Sumbangan Sayyid Ahmad Khan amat besar dari aspek pendidikan. Beliau menubuhkan Muhammad Anglo-Oriental College (MAOC). MAOC dibentuk berasaskan sekolah Inggeris, menggunakan bahasa Inggeris, guru-guru dan para pekerjanya berbangsa Inggeris dan menyediakan pelbagai mata pelajaran moden. Walau bagaimanapun, pendidikan agama tidak dipinggirkan.[5] Selain daripada Sayyid Ahmad Khan, terdapat juga tokoh-tokoh lain yang turut menyokong idea tersebut iaitu Chowdry Rahman Ali, Mohd Iqbal dan Ali Jinnah yang akan dibincangkan.

2.0 Kedudukan Islam Sebagai Minoriti
            Penyebaran agama Islam ke India telah bermula sejak zaman Khulafa’ Ar Rashidin lagi, namun kejayaan memasuki kawasan India ini adalah pada zaman Khalifah Umaiyah melalui Muhammad B. Al-Qasim. Justeru, kedatangan Islam secara dominan di India adalah pada abad ke 11. Penerimaan Islam di India ini adalah kesan daripada hubungan yang erat dengan negara Asia Barat. Hubungan yang terjalin ini adalah melalui hubungan perdagangan antara India dan Arab.  Selain daripada itu, terdapat juga empat teori yang mengatakan bahawa kedatangan Islam ini adalah melalui migrasi, peperangan, teori perlindungan politik dan teori liberal sosial.[6] Kedatangan islam telah dibuktikan dengan kejayaan kerajaan-kerajaan Islam yang memerintah. Kemuncak kepada tamadun Islam di India adalah pada kerajaan Mughal.
            Walaubagaimanapun, pemerintahan Islam ini telah menerima penentangan daripada masyarakat Hindu dan Hindu Buddha. Hal ini berlanjutan sehingga kepada kemuncak penentangan masyarakat hindu terhadap umat Islam India menjelang abad ke 19. Sehingga kini, India merupakan negara ketiga di dunia yang mempunyai populasi masyarakat muslim setelah Indonesia dan Pakistan. Walaubagaimanapun, jumlah ini hanyalah minoriti kepada India yang mempunyai majoriti masyarakat beragama hindu berjumlah 140 juta orang. Masyarakat minoriti Islam ini sentiasa di pinggirkan dan dikenakan dengan pelbagai kecaman oleh kerajaan India.

3.0 Pergolakan Antara Orang Hindu dan Orang Islam
            Parti politik utama di India yang memperjuangkan hak orang Hindu ialah Kongres Kebangsaan dibawah pimpinan Mahatma Gandhi bermula dari tahun 1920 hingga tahun 1939. Gandhi telah menyarankan agar barang-barang dari Eropah dan buatan British. Beliau mahu masyarakat di India kembali kepada kehidupan yang sederhana dan menggunakan barang tempatan India seperti kapas. Manakala sekolah-sekolah India akan dipergiatkan sekaligus memansuhkan pendidikan Inggeris. Idea Gandhi ini telah disokong oleh Jawaharlal Nehru.          
            Perjuangan utama kongres adalah untuk menuntut memperjuangkan persamaan hak dan kemerdekaan. Kerajaan telah meluluskan Akta Kerajaan India 1935 untuk menambah perwakilan orang India di Majlis Perundangan Pusat dan Wilayah. Namun, orang India tidak berpuas hati kerana mereka tidak dapat memilih perwakilan di majlis dan tidak berhak mengundi bagi belanjawan.[7] Pemimpin golongan radikal, Gopal Krishna Gokhale telah mengecam kerajaan British dan menyeru kepada semua orang India untuk memperjuangkan tanah air mereka.
            Perjuangan mereka bertambah runcing ekoran daripada bencana alam, wabak penyakit, kemerosotan ekonomi serta sikap anti-India Lord Curzon. Pengasingan pentadbiran Bengal dari kerajaan pusat pada 1905 telah menambahkan lagi api kebencian terhadap British kerana janji Curzon untuk memajukan orang Islam hanyalah alasan.[8] Shyamji Krishna Verma, ketua Persatuan Pemerintahan India di London menyokong dan membantu dengan menghantar senjata dan peluru ke India bagi mengadakan revolusi kebangsaan di India.
            Puan Annie Beasant telah memulakan Gerakan Pemerintahan India yang menuntut kerajaan sendiri sepenuhnya dan bebas daripada penguasaan British. Ketika ini juga, pemimpin Liga Islam, Muhammad Ali Jinnah bersama-sama Kongres juga menuntut berkerajaan sendiri. Satu pakatan pada tahun 1916 telah dipersetujui dalam Pakatan Kongres-Liga atau Pakatan Lucknow.[9] Masyarakat India telah membantu Bristish dalam Perang Dunia Pertama. Hal ini kerana mereka berpendapat British akan memberi hak berkerajaan sendiri selepas perang keranan British telah mengakuinya dalam deklarasi 1917 untuk India membina kerajaan sendiri. Montagu, Setiausaha Negara India telah melawat India dan menyerahkan laporan tentang pembaharuan perlembagaan India dan disatukan bersama Akta India 1919. Laporan ini bersifat perkauman yang memecah belahkan kan perpaduan rakyat India yang beragama Islam bahkan bangsa Sikh, Eropah, kaum India-Inggeris dan India Kristian.
            Perang Dunia Pertama juga memberi kesan kepada orang Islam termasuk di India. Hal ini kerana masyarakat Islam menganggap empayar Turki Uthmaniyah sebagai wakil pemerintahan Islam. Masyarakat di India diketuai oleh Abdul Kalam Azad Khan, Muhamad Ali dan Shaukat Ali dalam gerakan khilafat yang dilancarkan oleh mereka.[10] Mereka menghantar utusan ke London yang diwakili oleh Muhamad Ali tentang jawatan khalifah. Tarikh 27 Oktober 1919 telah diiktiraf sebagai hari Khilafat yang mana pada hari itu hubungan kerjasama dengan British terbatal, gelaran kurniaan daripada British dilucutkan, tidak terlibat dalam aktiviti kerajaan dan tidak bayar cukai serta pusat-pusat perniagaan juga tidak beroperasi.[11]            
            India telah diisytiharkan sebagai darul harb dan masyarakat Islam perlu berhijrah ke darul Islam menurut Maulana Abd. Bari, Shaukat Ali dan Abdul Kalam Azad Khan. Oleh yang demikian, seramai 500 000 hingga 2 000 000 orang Islam dari Sind dan Punjab terutamanya telah berhijrah ke Afghanistan namun gagal apabila pemerintah Afghanistan tidak dapat memenuhi keinginan orang Islam yang berhijrah ini. Gerakan ini turut disokong oleh Mahatma Gandhi untuk politik di India dan membina perpaduan Hindu-Islam. Sokongan Gandhi terhadap gerakan ini terbatal apabila berlaku perang British-Afghan dan kebangkitan Moplah pada tahun 1921. Gerakan ini juga lenyap apabila kebangkitan sekularisme oleh Mustafa Kamal Pasha pada tahun 1924 di Turki hingga menyebabkan kedudukan khalifah terhapus.[12]
            Orang Islam dan orang Hindu bersatu untuk menentang Akta Rowlatt yang diperkenalkan pada tahun 1919. Gandhi menjalankan kempen satyagraha iaitu penentangan secara aman dan padif terhadap akta tersebut. Mereka menutup kedai dan menjalankan pemogokan. Namun, pemogokan aman di Jallianwala Bangh, Amritsar bertukar menjadi peristiwa berdarah apabila pihak British menembak 379 orang terbunuh dan 1200 orang lagi cedera. Gandhi menjalankan gerakan tidak bersama British pada Ogos 1920 dengan memulaukan majlis perundangan, mahkamah, sekolah dan kolej.
            Dalam waktu yang sama ketika itu, hubungan orang Hindu dan orang Islam telah bersengketa selepas Gandhi dipenjarakan dibawah Pandit Jawaharlal Nehru.  Hal ini berpunca daripada perselisihan faham tentang polisi parti kerana ada yang mahu meneruskan usaha tidak bekerjasama dan ada yang menyokong usaha bekerjasama dengan British.[13] Misalnya, pada tahun 1921, satu penentangan telah berlaku yang dikenali sebagai Gerakan Moplah. Orang Hindu turut membalas penentangan ini yang diketuai oleh Arya Samaj.[14] Hubungan orang Hindu dan orang Islam menjadi lebih teruk apabila Gandhi membatalkan tindakan senyapnya kepada British.
            Gandhi berusaha untuk mewujudkan kerajaan kesatuan dengan menyatukan orang Hindu dan orang Islam untuk hidup aman bersama. Namun, usaha Gandhi dirasakan amat mustahil kerana perbezaan kedua-duanya menyebabkan mereka tidak boleh bersatu dan saling iri hati. Kongres Kebangsaan India (KKI) parti utama yang memperjuangkan hak orang India dan bersikap berat sebelah terhadap orang Islam. Orang Islam menubuhkan parti sendiri iaitu Liga Muslim untuk menjaga kepentingan mereka kerana mereka sedar KKI akan meminggirkan orang Islam. Perselisihan kaum berlaku dalam kalangan orang Hindu dan orang Islam. Ini dapat didengar melalui ucapan-ucapan yang disampaikan oleh pemimpin dua lapis mengenai ketidakadilan kerajaan dan rancangan-rancangan Kongres jika memerintah. Kebencian orang Hindu terhadap orang Islam juga didorong oleh faktor sosial kerana penganut agama Islam di India seperti Benggala merupakan orang Hindu dari kelas bawahan dan memeluk agama Islam semasa zaman Moghul bagi melepaskan diri daripada belenggu sistem kasta.[15]
            Pada tahun 1923, telah berlaku 11 rusuhan antara komuniti dan bilangan ini bertambah menjadi 30 rusuhan pada 1927. Ini menyebabkan jumlah yang terkorban seramai 450 orang dan 5000 orang lagi cedera. LM terus mempertikaikan tentang kesahihan sebuah negeri bersatu dan mula menuntut sebarang bentuk kerajaan persekutuan bagi India.[16] Mereka menuntut kerajaan persekutuan dengan autonomi bagi wilayah  dan membahagikan semula daerah wilayah untuk mengukuhkan majoriti Islam di Benggala, Punjab dan wilayah di Sempadan Barat Laut.[17]
            Kemudian, pada tahun 1926 berlaku satu rusuhan kaum yang besar di Calcutta telah mengorbankan nyawa iaitu 67 orang terbunuh dan 400 orang lain cedera. Ketika ini berlaku persaingan antara dua parti terbesar iaitu Kongres Kebangsaan India dan Liga Muslim.[18] Liga Muslim ditubuhkan 1906 yang memperjuangkan dan menjaga hak serta kebajikan orang Islam di India yang dipimpin oleh Muhammad Ali Jinnah. Pada tahun 1937, satu pilihan raya telah dijalankan dan KKI telah menang besar berbanding Liga Muslim. KKI telah memenangi 761 kerusi daripada 1161 kerusi yang dipertandingkan dan membolehkan menguasai 74 peratus daripada jumlah kerusi di Madras, 65 peratus di Orissa dan 59 peratus di wilayah Bersatu. Liga Muslim kalah di wilayah orang Islam di Sind dan Punjab ekoran kemenangan Parti Unionist.[19]
            Muhammad Ali Jinnah bertindak menukar strategi dan pendekatan untuk mengukuhkan Liga Muslim dengan menjadikan agama sebagai batu loncatan dengan slogan ‘Islam dalam bahaya’  mendapatkan sokongan masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar. LM tuurt berubah daripada parti orang-orang kaya Islam kelas pertengahan yang intelektual menjadi satu parti yang mempunyai ahli yang ramai seperti Kongres dengan menjadikan agama sebagai agen. Beliau turut mendesak kawasan-kawasan yang didiami oleh orang Islam seperti Sind, Punjab dan Bengal agar berjuang di bawah Liga Muslim termasuk Parti Unionist yang dipimpin oleh Sikander Hyatt Khan.[20] Kedudukan Liga Muslim dan Muhammad Ali Jinnah semakin kukuh dengan sokongan rakyat. Antara tahun 1937 hingga 1939 terdapat 85 rusuhan antara kaum telah berlaku menyebabkan 2000 kecederaan dan jurang golongan atasan dan bawahan juga semakin besar.
            Selain itu, Muhammad Ali Jinnah ialah pencetus kepada idea berkerajaan Islam sendiri dengan memperjuangkan idea Pakistan atau teori dua bangsa yang dikemukakan oleh Sayid Ahmad Khan pada abad ke-19 selepas penubuhan Kongres Kebangsaan. Pemisahan India dan Pakistan ini berkait dengan Sayid Ahmad Khan dan disokong oleh penggerak beliau di Aligarh yang menunjukkan semangat separatism India. Namun, kesedaran komunal yang terjadi kepada masyarakat Islam tidak berlaku secara menyeluruh dan penerimaan tersebut berbeza-beza yang dipengaruhi oleh kehidupan sosial dan doktrin yang dipegang oleh mereka.[21].  Liga menuntut sebuah kawasan berasingan untuk membentuk negeri yang berdaulat di kawasan majoriti orang Islam terutamanya di Punjab, Sind, wilayah sempadan Barat Laut, Benggala dan Assam menjadi negara berasingan iaitu Pakistan.  
Umat Islam merasa kehilangan kuasa apabila British dan kerajaan Hindu-India telah mula menghapuskan beberapa kepentingan masyarakat Islam India..[22] Keadaan bertambah meruncing apabila pemerintah Hindu cuba menukarkan bahasa Lingua Franca Urdu yang melambangkan bahasa identiti Islam kepada bahasa Hindi sebagai bahasa kebangsaan India.[23] Sayid Ahmad Khan pernah memberikan gambaran buruk yang akan dihadapi oleh orang Islam apabila berada dibawah pemerintahan Raj Hindu. Tiga buah laporan orang Islam dari tahun 1937 hingga 1939 yang menuduh ahli-ahli Kongres Hindu dalam jawatan, membezakan dan melawan orang Islam serta melakukan perbuatan buruk. [24]
Dalam Perang Dunia Kedua, Liga Muslim telah bersekutu dengan British apabila Kongres enggan memberi kerjasama. Kongres telah melancarkan “Gerakan Meninggalkan India” untuk mempertahankan India daripada Jepun.[25] British berjanji untuk mempertimbangkan hasrat Liga Muslim membentuk negara sendiri. Keadaan di India semakin meruncing dalam gerakan tersebut sehingga mengorbankan banyak nyawa, harta benda dan orang Eropah turut diserang. Pertembungan orang Islam dan Hindu telah menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal dan agak reda pada tahun 1945 setelah perang tamat. Namun, keadaan kecoh semula apabila Liga Muslim memilih tarikh 16 Ogos 1946 sebagai Hari Kelepasan Am untuk Pakistan telah ditentang oleh orang Hindu. Orang Hindu yang enggan bekerjasama diugut dengan pelbagai cara seperti membakar kedai. Kekecohan ini berlaku selama tiga hari dan menyebabkan seramai 4000 orang terbunuh dan 10 000 orang lagi cedera.[26]
            Pihak British telah mempertimbangkan idea Pakistan yang dibawa oleh Jinnah setelah melihat keadaan orang Hindu dan orang Islam yang sering bergaduh. Ini membawa kepada pemisahan India dan Pakistan serta kemerdekaan kedua-dua negara. Semasa pemindahan itu berlaku pembunuhan antara orang Islam dengan Hindu dan Sikh hingga menyebabkan ribuan mahupun setengah juta nyawa terkorban. Pakistan merdeka 14 Ogos 1947 yang merangkumi Pakistan Barat dan Pakistan Timur di bawah pimpinan Muhammad Ali Jinnah sebagai Gabenor Jeneral Pakistan. India mencapai kemerdekaan pada 15 Ogos 1947 dengan Jawaharlal Nehru menjadi Perdana Menteri yang pertama.[27] Kemerdekaan India dan Pakistan hanya dapat dicapai melalui perpecahan. Hubungan India dan Pakistan kembali tergugat kerana masalah Kashmir yang menyebabkan peperangan sehingga hari ini.
            Pilihan raya 1945 dan 1946 telah dimenangi oleh Liga Muslim. LM telah memenangi 30 buah kerusi yang diperuntukkan untuk masyarakat Islam dalam Majlis Undangan Pusat. LM juga turut mendapatkan 425 kerusi daripada 429 kerusi Islam dalam Majlis Undangan Wilayah. Manakala KKI  menang hampir semua kerusi dengan 57 kerusi dari Majlis Undangan Pusat dan 923 kerusi dari Majlis Undangan Wilayah. Kedua-dua parti ini menang besar dalam pilihan raya dan menjadi wakil India dalam perundingan kemerdekaan dengan kerajaan British.

4.0 Kesan Langsung  Kongres Kebangsaan India (KKI)
            Parti India National Congress (INC) atau lebih dikenali sebagai Kongres Kebangsaan India yang ditubuhkan pada tahun 1885 hasil daripada perkembangan persatuan-persatuan politik di seluruh India. Pada tahun 1883, sebuah persidangan kebangsaan telah diadakan di Calcutta dengan mengumpulkan semua persatuan-persatuan yang ada di negara ini yang akhirnya membawa kepada penubuhan INC dua tahun kemudian di Bombay. Tujuan asal penubuhan kongres ini adalah untuk memperkembangkan dan menyatukan perasaan perpaduan negara tanpa mengira kasta, agama, atau kawasan bagi membincangkan tuntutan-tuntutan popular dan mengemukakannya kepada kerajaan.[28] Perkembangan dan perjuangan yang dibawa oleh INC disepanjang penubuhannya menunjukkan rentak yang tidak sekata.
Di awal penubuhnnya, INC adalah sebuah pertubuhan yang bersifat sederhana,  namun setelah mendapat sokongan daripada masyarakat tempatan, perjuangan INC mula bersifat radikal dan militan yang melahirkan tokoh-tokoh INC seperti Bal Gangadhar Tilak [29], Kumar Dutt dan Raj Narain Bose. Namun, pada abad ke 20 perjuangan INC agak berbeza dengan sebelum ini apabila dasar  non-cooperation yang digunakan semasa dibawah kepimpinan Mahatma Ghandi.[30] Dasar yang diamalkan ini sedikit sebanyak menggambarkan tentang gaya kepimpinan dan keperibadian milik Mahatma Ghandi. Perkembangan kongres ini telah membawa kepada kemerdekaan negara India dari belenggu penjajah, penubuhan Liga Muslim dan pelbagai sejarah penentangan, perjuangan komunal yang tiada sempadan serta yang paling memberi kesan ialah tertubuhnya negara Pakistan pada tahun 1947.
Sejarah penubuhan INC pada akhir abad ke 19 ini adalah hasil nasihat daripada bekas pegawai British di India iaitu, Allan Octavian Hume yang didesak oleh ahli parti politik India untuk menubuhkan sebuah pertubuhan kebangsaan. Pada awal kepimpinan Hume dalam kongres ini, objektif penubuhan kongres hanya meliputi pembelaan ke atas nasib rakyat dan tidak ingin memperjuangkan ke arah bekerajaan sendiri. Perjuangan ini diteruskan oleh Mahatma Gandhi yang juga menjalankan dasar politik liberal semasa penglibatannya dalam kongres ini. Segala usaha yang telah dilaksanakan oleh Kongres pada tahap ini menjadi petanda kepada perkembangan nasionalisme liberal apabila menjadi pencetus kepada gerakan seterusnya yang lebih radikal namun sedikit sebanyak telah mencetus kepada pembentukan nasionalisme yang bercorak liberal di India.
Kongres Kebangsaan India telah berjaya memainkan peranan dalam memperkembangkan dan menyemarakkan semangat nasionalisme di India. Walau bagaimanapun, di awal abad ke 20, pergerakan INC mula menerima pengaruh ekstremis dan sering kali menjadikan demonstrasi sebagai medium untuk menunjukkan penentangan terhadap British. [31] Keadaan ini menyebabkan wujudnya ‘Ordinan Kecemasan’ yang dilaksanakan di dua wilayah yang sering terlibat dengan demonstrasi iaitu Bengal dan Punjab.[32]  Pada era ini juga berlaku penglibatan dan campurtangan daripada kalangan negara dan gerakan militan seperti Jerman dan gerakan ghadarwallah sehingga tahun 1920 untuk  cuba membebaskan india daripada cengkaman British tetapi gagal. 
Isu-isu perpaduan antara dua masyarakat dominan di India iaitu muslim dan hindu telah menjadi barah dalam pergerakan INC dan akhirnya telah membawa kepada penubuhan Liga Muslim sebagai sebuah parti yang menjamin serta menjaga hak-hak masyarakat Islam di India dari aspek pendidikan, pekerjaan, hak kemanusiaan masyarakat muslim sering kali diabaikan sehingga membawa kepada rasa tidak puas hati masyrakat islam di india.  Walau bagaimanapun, usaha membangunkan India dan persediaan menuju kemerdekaan telah memperlihatkan secara tidak langsung perubahan dalam bentuk perjuangan INC. Penubuhan Liga Pemerintahan Tempatan (Home Rule League) [33] pada tahun 1916 adalah untuk menyatukan semua parti politik dan kaum dalam menuntut Swaraj. Pemimpin-pemimpin Kongres dan Liga Muslim telah bermesyuarat pada bulan Disember 1916 di Lucknow.[34] 

Mohammad Ali Jinnah yang merupakan Presiden Liga Muslim telah menyatakan bahawa kerajaan tersendiri adalah matlamat politik orang-orang Muslim di India. Ghandi turut menyokong Gerakan Khilafat yang dilihat sebagai jalan untuk mengeratkan semula ‘tali perpaduan’ yang hampir putus antara Hindu dan Muslim di India. Persediaan ke arah kemerdekaan ini dimulai dengan wujudnya sebuah perlembagaan dan pilihanraya yang menyebelahi INC sehingga membawa kepada desakan Muhammad Ali  Jinnah agar wilayah-wilayah muslim seperti Sind, Punjab dan Bengal berjuang bersama Liga Muslim menentang INC. Persaingan ini telah membawa kepada peristiwa yang merealisasikan Teori Dua Negara oleh Syed Ahmed Khan iaitu pemisahan benua India kepada negara India dan Pakistan yang mewakili dua masyarakat yang berbeza agama iaitu Hindu dan Muslim sehari sebelum India menerima kemerdekaan secara rasmi pada 15 Ogos 1947.

5.0 Kebangkitan Tokoh Liga Muslim Yang Menyokong Idea
Kejayaan dan kebangkitan orang Islam di India adalah disebabkan pemimpin yang kuat dan berpengaruh, pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan ialah Syed Ahmad Khan, Chowdry Rahman Ali, Mohd Iqbal dan Ali Jinnah. Tokoh-tokoh ini memainkan peranan yang penting dalam pemikiran dan idea negara dua bangsa. Seterusnya ia telah mencetuskan kebangkitan masyarakat Islam dengan tertubuhnya Liga Muslim dan akhirnya berjaya menubuhkan negara Islam iaitu Pakistan. Jika dilihat setiap tokoh ini mempunyai peranan masing-masing dalam memperjuangkan hak masyarkat Islam yang juga merukan masyarakat minoriti di India.

5.1 Syed Ahmad Khan
      Syed Ahmad Khan merupakan seorang tokoh Islam yang mencetuskan idea negara dua bangsa. Perjuangan beliau pada asasnya adalah memajukankan orang India Islam. Beliau beranggapan bahawa dengan pendidikan yang baik akan memajukan masyarakat Islam India.[35] Pendidikan moden ini juga disertakan dengan ilmu agama Islam. Melalui pendidikan moden ini kesannya telah memperlihatkan lebih ramai tokoh-tokoh Islam muncul kemudiannya dalam arena politik di India. Sumbangan beliau telah diperlihatkan menerusi penubuhan kolej yang dipeloporinya iaitu Kolej Aligar.[36]
      Berkenaan dengan idea dua bangsa Syed Ahmad khan ini, bermula apabila beliau telah menyatakan bahawa masyarkat Hindu tidak boleh berkerjasama dengan masyarakat Islam. Kenyataan ini adalah berdasarkan kepada tindakan rakan hindunya dari ‘The Scientific Society’  iaitu Raja Jai Krishnan Dass yang menyokong penuh kepada desakan pemimpin Hindu dalam kes penggunaan bahasa Urdu di mahkamah pada tahun 1867.[37] Sejak itu Sayyid Ahmad Khan tidak mempercayai lagi bahawa rakyat India beragama Hindu boleh bekerjasama dengan ikhlas. Beliau meramalkan permusuhan yang dahsyat akan berlaku antara kedua-dua masyarakat yang berlainan agama ini. Dengan kata lain beliau percaya umat Islam tidak dapat membentuk kerajaan dengan orang Hindu. Justeru idea-ideanya ini telah mencetuskan bayangan kepada pembentukan negara Pakistan.

5.2 Muhammad Iqbal Allama Iqbal
Idea Syed Ahmad Khan ini telah diambil dan dijelaskan buat pertama kalinya oleh Allama Iqbal dalam persidangan Liga Muslim pada tahun 1930. Muhammad Iqbal adalah individu yang bertanggung jawab dalam mewujudkan dasar negara Islam untuk masyarakat Islam India. Beliau diberi jolokkan dengan nama ‘Founders of Pakistan’.[38] Muhammad Iqbal telah dilahirkan pada tahun 1877 dan mendapat pendidikan di beberapa Universiti dari Eropah. Beliau telah menerbitkan beberapa karya penting seperti Reconstructures of Religious Thought in Islam dan The Reconstruction of Muslim Jurisprudence.[39] Sekembalinya beliau ke India, beliau sangat prihatin dengan umat Islam India yang sangat mundur dan miskin. Dari sinilah beliau menceburkan diri dalam politik menerusi penyertaankan dalam Liga Muslim.
Walau pun beliau tidak menyatakan untuk melahirkan sebuah negara Pakistan, namun beliau memperjuangkan hak umat Islam sehinggakan beliau memberi kenyataan bahawa pentingnya untuk mewujudkan sebuah negara bagi kaum Muslim di India. Pemikiran beliau telah diangkat semasa majlis pidato Liga Muslim diadakan pada tahun1930.[40] Sejak itu dasar pembentukan negara Islam Pakistan diperjuangkan bersama-sama umat Islam yang lain di India. Usaha beliau telah dibantu oleh Muhammad Ali Jinnah dan sepanjang perjuangannya untuk perjuangan mereka mewujudkan sebuah negara Islam. Namun usaha telah dijadikan kenyataan  apabila negara Islam Pakistan wujud dibawah Muhamad Ali Jinnah.

5.3 Muhammad Ali Jinnah
            Muhammad Ali Jinnah telah dilahirkan di Karachi pada tahun 1876. Beliau telah menerima pendidikan di Lincoln dalam bidang perundangan. Muhammad Ali Jinnah telah menjadi president Liga Muslim pada 1937. Tokoh ini merupakan individu penting yang mengemukan idea dua bangsa secara terang-terangan.[41] Bermula dengan pilihan raya 1937 Ali Jinnah telah mengatur langkah untuk menyatukan masyarakat Islam di India. Tujuan penyatuan ini adalah untuk menuntut mendapat sokongan yang kuat dari masyarakat Islam. kekalahan dalam pilihan raya 1937 dan mendapat layanan buruk dari CNI, Ali Jinnah cuba menyatukan wilayah yang ramai penduduk Islam  dalam Liga Muslim. Usahanya berhasil apabila wilayah Sind, Punjab, dan Bengal serta parti Unionist dibawa masuk bergabung dengan Liga Muslim.[42]
            Secara tidak langsung Liga Muslim menjadi sebuah parti yang kuat. Sejak daripada ini, Ali Jinnah telah memperjuangkan negara dua bangsa. Melalui pilihan raya 1945, Liga Muslim di bawah pimpinan Ali Jinnah berjaya memenangi semua kerusi dipertandingkan diperingkat wilayah, di kawasan wilayah Islam.[43] Kemenangan tersebut telah memberi kuasa kepada Liga Muslim untuk menubuhkan kerajaan di wilayah-wilayah Islam ini. Namun keadaan India tidak tenteram kerana wilayah yang ditadbir sering berlaku pergaduhan antara masyarakat Islam dan masyarakat Hindu. Kadar pergaduhan ini semakin meningkat dan menimbulkan suasana yang tidak selamat untuk orang Islam. Akhirnya pertimbangan pihak British bagi menyelesaikan masalah ini, maka tindakan memisahkan wilayah Islam dengan Hindu ini sangat praktikal. Secara rasminya Pakistan telah diwujudkan seiring dengan kemerdekaan India.[44]
6.0 KESIMPULAN
            Kejayaan teori dua bangsa ini dapat dilihat daripada kejayaan Liga Muslim untuk mewujudkan sebuah negara Islam iaitu Pakistan kemudian Pakistan Timur berpecah. Antara tokoh terkenal yang menentang teori dua bangsa ialah Abul Kalam Azad. Abul Kalam Azad melihat bahawa hanya penjajah Inggeris yang harus diusir untuk menuntut kemerdekaan India dan sanggup berjuang bersama dengan Mahatma Ghandi dan parti Kongres Kebangsaan India. Abdul Kalam Azad bersama dengan Muhammad Ali dan Syaukat Ali telah mengasaskan gerakan Khilafat pada 1919. Apabila Liga Muslim ingin menubuhkan negara Islam Abul Kalam Azad lebih suka berjuang membangun nasionalisme India bersama Kongress dan telah dilantik menjadi presiden parti tersebut pada umur 35 tahun.
            Teori dua bangsa merupakan teori penting dalam sistem politik Islam dalam kalangan penduduk Islam di India. Walaupun wujud penentangan oleh sebahagian masyarakat Islam, namun kepentingan teori ini tidak terjejas dan terus mendapat sokongan umat Islam terutamanya apabila dihangatkan kembali oleh Muhammad Ali Jinnah dalam usaha untuk menyatukan umat Islam di bawah payung Liga Muslim. Teori dua bangsa ini juga telah memperlihatkan satu peristiwa sejarah yang penting iaitu perpindahan penduduk yang terbesar didunia iaitu kira-kira 500 000 hingga 2 juta penduduk masyarakat Islam terutamanya dari Sind dan Punjab berhijrah ke Afghanistan.[45] Perpindahan ini juga telah memakan korban jiwa seramai 250,000 orang yang kebanyakan adalah orang Islam yang dibunuh oleh tentera India.



[1] Azharudin Mohd Dali. 2004. Tamadun India. Kualau Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 25
[2] Ram Gopal. 1959. Indian Muslims a Political History (1858-1947). Bombay: Asia Publishing House. Hlm. 48
[3] Itihaas, "Chronology-Mahatma Gandhi.1869-1948", http://www.itihaas.com/mod-
ern/gandhi-chrono.html, 24 Januari 2003. Hlm. Xi.
[4] Md. Afandi Awang. 2006. Komunalisme: Kesannya Ke Atas Peradaban India. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Malaya. Hlm. 31
[5] Ibid. Hlm. 163
[6] Azharudin Mohd Dali. 2004. Tamadun India. Hlm 132.
[7] Abdullah Zakaria Ghazali et al. 2000. Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Shah Alam. Fajar Bakti Sdn. Bhd. hlm 382.
[8] Gilbert Khoo. 1978. Asia Dalam Perubahan. Petaling Jaya: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd. hlm 1207.
[9] Abdullah Zakaria Ghazali et al. Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. hlm 383.
[10] Azharudin Mohd Dali. 2004. Tamadun India. hlm. 303.
[11] Azharudin Mohd Dali. Tamadun India. hlm. 303.
[12] Ibid. 304.
[13] Abdullah Zakaria Ghazali et al. Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. hlm 384.
[14] Azharudin Mohd Dali. Tamadun India.  hlm. 305.
[15] Neil Ryan.1978. India: Nasionalisme dan Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Logman. hlm. 29.
[16] Neil Ryan.India: Nasionalisme dan Kemerdekaan. hlm 30.
[17] Ibid.
[18] Azharudin Mohd Dali. Tamadun India. hlm. 307.
[19] Ibid. hlm. 310.
[20] Azharudin Mohd Dali. Tamadun India. hlm 311.
[21] Abdullah Ahmed An-Na’im. 2007. Islam dan Negara Sekular (terj Murniati). hlm. 301.
[22] Zaenal Ali. 2008. Tragedi Benazir Bhutto. Yogyakarta: Penerbit NARASI. hlm 78.
[23] Ibid. hlm 78
[24] C.H. Philips. 1966. Sejarah India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia. hlm 1 52.
[25] Azharudin Mohd Dali.  Tamadun India. hlm. 314.
[26]Ibid hlm 315.
[27]Azharudin Mohd Dali. Tamadun India. hlm 316 .316.
[28] Ibid.  Hlm. 296
[29] A.L Basham.1998. A Cultural History of India. New York: Oxford University Press. Hlm. 373.
[30] Tay Gaik Yeong, 1966, Mahatma Ghandi’s Role In The Indian Nationalist Movement, Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya, hlm. 13

[31] Azharudin Mohd Dali. Tamadun India.  Hlm. 298
[32] Ibid.
[33] Gilbert Khoo dan Dorothy LO, 1978.  Asia Dalam Perubahan Sejarah Asia Tenggara, Selatan dan Timur Asia, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd, Hlm. 1210.
[34]Ibid. Hlm. 1211.
[35] M. Rajantheran, Md.Afandi Hj.Awang, 2004. Nasionalis atau Komunalis: Sir Syed Ahmad Khan dan Mahatma Gandhi dalam Sejarah Moden India, Malaysia: JATI, hlm  94.
[36] A.G. Noorani  2006, Islam dan Jihad: Prasangka atau Kenyataan, Kuala Lumpur: ITBM, 93
[37] Troll, C.W., Sayyid Ahmad Khan: A Reinterpretation of Muslim Theology, Karachi: Oxford University Press 1979, hlm 21.
[38] Iqbal Singh Sevea 2012, The Political Philosophy of Muhammad Iqbal: Islam and Nationalism in Late Colonial India, London: Cambridge University Press, hlm 24
[39] Ibid, hlm 23
[40] Azharudin Mohd Dali 2004,Tamadun India. hlm 312
[41] Akbar S.Amed 1997, Jinnah, Pakistan and Islamic Identity (The Search for Saladin), New York: Routledge, hlm 3
[42] Azharudin Mohd Dali 2004,Tamadun India, hlm 312
[43] Ibid.
[44] Akbar S.Amed 1997, Jinnah, Pakistan and Islamic Identity (The Search for Saladin), New York: Routledge, hlm 87
[45] Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun India. Hlm. 303

No comments:

Post a Comment