nuffnang

Thursday, June 13, 2013

Mengapa golongan relatif tidak bersetuju dgn pemikiran gol objektif

Pengenalan

            Dalam bidang sejarah sejak abad ke-19 lagi telah muncul golongan objektif iaitu satu golongan yang menghasilkan satu penulisan sejarah berpandukan konsep objektif dalam hasil-hasil penulisan seperti karya-karya sejarah terdahulu. Sebenarnya persoalan tentang keobjektifan sejarah, serta perkara-perkara yang berkait dengannya bukanlah semudah yang dianggapkan. Ia merupakan suatu persoalan yang intrinsik dalam kajian sejarah dan pensejarahan.[1] Kemunculan golongan objektif ini yang mendukung konsep objektif telah membawa kepada kemunculan golongan relatif atau subjektif yang tidak bersetuju dengan pemikiran dan hasil penulisan golongan objektif.
             Kemunculan golongan relatif ini telah menentang habis-habisan pemikiran yang dibawa oleh golongan subjektif. Situasi ini telah menimbulkan perbahasan antara sejarawan mengenai elemen-elemen yang terdapat dalam kajian sejarah dan perbahasan adalah berterusan dari semasa ke semasa seperti hal berkaitan dengan sumber, kritikan serta cara penulisan.[2] Secara umumnya, terdapat beberapa sebab mengapa golongan relatif tidak bersetuju dengan pemikiran golongan objektif. Antaranya ialah penulisan golongan objektif dikatakan mempunyai unsur mitos dan dongeng, bersifat berat sebelah iaitu membesarkan sesuatu peristiwa dan mengatakan bahawa golongan objektif mentafsir fakta sejarah sesuk hati. Golongan relatif juga membantah pemikiran golongan objektif yang mengatakan penulisan sejarah yang tepat adalah mustahil untuk dicapai.

Konsep Golongan Objektif

            Golongan objektif dan golongan relatif mempunyai perwatakan yang berbeza dan berlainan dari segi pengtakrifannya. Perkataan objektif dalam Kamus Dewan membawa tiga maksud iaitu sesuatu yang khusus yang ingin dicapai, matlamat atau tujuan. Maksud yang kedua ialah berasaskan kenyataan atau fakta sebenar manakala maksud ketiga ialah tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh perasaan atau prasangka sendiri.[3] Selain itu  menurut satu lagi sumber konsep objektif merupakan satu konsep yang cuba untuk mempersembahkan penulisan sejarah secara tepat sebagaimana ia berlaku yakni tiada unsur penambahan atau bias mahupun pengadilan moral.[4] Secara umumnya mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, relatif bermaksud bukan sesuatu yang berdasarkan perbandingan atau saling berkait dengan sesuatu yang lain, tidak mutlak, nisbi dan bandingan.[5] Dari segi pengtakrifan subjektif pula adalah terbit daripada atau berasaskan pandangan (perasaan dsb) orang atau pihak yang melihat atau menilai (tidak pada ciri-ciri sebenar sesuatu yang dilihat atau dinilai) melihat (menilai dll) daripada pandangan (perasaan sendiri). Konsep relatif dan subjektif juga merupakan dua perkara yang sangat rapat kaitannya dengan diri, pendirian, sudut pandangan, ideologi, orientasi, dan budaya seseorang sejarawan. Ia juga merujuk kepada sama ada boleh menimbulkan bias atau sikap berat sebelah dalam memaparkan sesuatu peristiwa sejarah.[6] Kebanyakan golongan yang berpegang kepada konsep relatif cenderung menentang pemikiran dan hasil penulisan golongan yang berpegang kepada konsep objektif. Konsep objektif juga merupakan satu konsep yang sukar untuk dicapai secara keseluruhan dalam penulisan seseorang ahli sejarawan.

Ciri-ciri Penulisan Objektiviti Dalam Penulisan Sejarah

            Penulisan sejarah yang bersifat objektif  mempunyai beberapa ciri antaranya ialah sesuatu ilmu sejarah yang benar-benar tulen dikatakan perlu membuat pemisahan mutlak. Seseorang sejarawan yang mahu menghasilkan satu penulisan sejarah perlu membuat satu pemisahan yang sepenuhnya diantara pengkaji yang berfungsi sebagai subjek atau pengarang dengan kajiannya iaitu merujuk kepada objek tersebut seperti buku yang dikarang. Ciri yang kedua ialah penulisan objektif hanya unsur-unsur yang berkaitan dengan objek dan memerlukan pemisahan atau batas perasaan subjektif manusia dengan kajian. Selain itu, sejarawan harus memahami dan mengamalkan proses penyelidikan yang sisitematik dalam menghasilkan karyanya.[7] Para sejarawan tidak boleh menghasilkan sesuatu karya tanpa perlu melakukan proses penyelidikan seperti melakukan kajian terhadap sumber-sumber  seperti sumber pertama atau primer sebelum sumber tersebut dimasukkan dalam karya dan sesuatu kajian yang hendak dilakukan. Contohnya pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942 hingga 1945. Kaedah ini perlu bagi memastikan penulisan sejarah yang bersifat objektif  dapat dihasilkan seterusnya golongan relatif tidak dapat lagi mempertikaikannya.
            Sehubungan itu, ciri yang keempat pula ialah sejarawan haruslah mendapatkan serta menggunakan sumber utama dan benar serta harus juga memeriksa, mengkaji dan menganalisis sumber itu dengan kritis dan jujur.[8] Tujuannya  adalah supaya keaslian sumber tersebut dapat dikenal pasti dan mempunyai perkaitan dengan fakta-fakta tersebut. Ciri-ciri lain dalam penulisan sejarah yang ojektif ialah seperti sesuatu penulisan atau pentafsiran mestilah dilakukan dengan fikiran terbuka berpandukan sumber dan bukannya ideologi, motif dalam diri, desakan, memenuhi permintaan seseorang dan sebagainya serta penonjolan penulisan secara objektiviti dapat dilihat melalui tarikh, bukti, sumber dan kebenaran sesuatu peristiwa. Ciri-cirinya juga dilihat melalui kebenaran peristiwa sejarah yang boleh dilihat melalui penemuan-penemuan sumber sejarah dan bukannya melalui penulisan dan pentafsiran sejarawan semata-mata. Untuk mencapai objektiviti dalam penulisan sejarah juga, seseorang sejarawan mesti mahir mengesan dan menggunakan sumber secara berterusan bagi memastikan keaslian kandungan dan tujuan kajian dalam sesebuah penulisan.

Sebab-sebab Mengapa Golongan Relatif Tidak Bersetuju Dengan Pemikiran Golongan Objektif

            Terdapat banyak sebab yang dikemukakan oleh golongan relatif bagi menyangkal pemikiran golongan objektif. Antaranya ialah mereka mengatakan bahawa penulisan golongan objektif banyak mempunyai unsur mitos dan lagenda dalam penulisannya. Sebagai contohnya dapat dilihat melalui seorang tokoh yang menjadi pelopor kepada golongan objektif iaitu Leopold Van Ranke yang berasal dari Jerman. Beliau telah dianggap sebagai bapa dan juga tokoh yang terbilang dalam pensejarahan moden di negara-negara Eropah pada abad ke-19.[9] Ranke juga turut dianggap sebagai pengasas agung kepada aliran sejarah objektif. Hasil karya Ranke yang termasyhur ialah “ The Histories of The Latin and Germanie Nations ” yang telah diterbitkan pada tahun 1824. Menurut Ranke lagi sejarah yang objektif adalah sejarah yang ditulis sezaman dengannya dimana seseorang sejarawan akan turut serta melihat dan mengalami bersama peristiwa yang ditulis. Katanya tujuan yang paling utama mengkaji sejarah ialah untuk mewujudkan sesuatu peristiwa yang dikaji itu seperti sebenarnya ia telah berlaku atau “wei es eigentlich gewesen” dan bukannya demi tujuan-tujuan yang membumbung seperti untuk mengadili  masa lalu ataupun untuk kepentingan zaman-zaman akan datang.[10]
            Namun begitu, golongan relatif tidak bersetuju dengan pemikiran dan hasil penulisan golongan objektif berdasarkan beberapa sebab. Seperti yang telah ditegaskan di atas, golongan relatif mengatakan bahawa penulisan golongan objektif banyak mempunyai unsur mitos dan dongeng yang bertujuan untuk menghiburkan pembaca. Unsur mitos dan dongeng boleh ditakrifkan sebagai cerita atau hasil karya yang karut-marut dan hanya bertujuan untuk menarik perhatian pembaca terhadap karya-karya pensejarahan mereka. Faktor ini telah dapat dikesan melalui Ranke di dalam penulisannya iaitu kegagalan beliau untuk menggunakan keseluruhan sumber-sumber yang boleh didapati bagi kajiannya sehingga menyebabkan unsur mitos dan dongeng diterapkan bagi menyedapkan penulisannya. Pendapat ini telah dikemukakan oleh H. E. Barnes iaitu golongan yang menentang konsep objektif yang dibawa oleh Ranke. Sebelum ini Ranke menyatakan bahawa, sejarah tidak boleh dicampur adukkan dengan dongeng, mitos dan lagenda ataupun pandangan-pandangan peribadi yang mungkin palsu, daripada penulisannya iaitu seperti yang sering berlaku dalam karya pensejarahan tradisi.[11] Namun begitu, Ranke sendiri telah melanggar apa yang telah dinyatakan itu dalam penulisan beliau. Situasi inilah yang telah ditentang oleh golongan relatif yang sememangnya telah mengkritik keras pemikiran dan penulisan golongan objektif. Jika dilihat, apa yang dikritik oleh golongan relatif itu adalah wajar kerana untuk menghasilkan satu penulisan yang objektif unsur-unsur seperti mitos dan dongeng tidak sepatutnya dimasukkan dalam penulisan sejarah. Penulisan sejarah yang berwibawa sepatutnya mengekalkan kesasihan kajian dengan menggunakan sumber-sumber yang asli dan bukannya hanya bertujuan untuk menyedapkan cerita semata-mata.
            Selain itu, sebab yang kedua ialah bagi mereka hasil penulisan sejarah yang tepat adalah mustahil untuk dicapai seratus peratus sebagaimana yang didokong oleh Ranke. Beliau menyatakan bahawa “penulisan sejarah memang mampu untuk menegakkan kebenaran objektif dengan memaparkan secara tepat dan betul kejadian-kejadian lampau”[12] Pemikiran yang dibawa oleh golongan objektif seperti Ranke, J. B. Bury dan Lord Acton telah disangkal oleh golongan relatif dengan melihat kembali empat elemen Ranke, yang telah dikemukakan oleh H. E. Barnes. Beliau mengatakan bahawa kelemahan Ranke ialah kegagalan menggunakan keseluruhan sumber-sumber yang boleh didapati bagi sesuatu kajian. Katanya lagi, Ranke terlalu menekankan soal-soal politik dan tokoh-tokoh iaitu dengan mempertahankan kelas-kelas konservatif yang berkuasa di Eropah. Selain itu, ketaatan agama juga telah disangkal oleh Barnes yang mengatakan Ranke cenderung untuk memihak kepada teori sejarahnya yang berbentuk ketuhanan. Kelemahan Ranke yang terakir dinyatakan oleh Barnes ialah terlalu ghairah untuk menulis sejarah mengenai Heather, keluarga Herenzollern dan Prussia.[13]
            Tokoh yang kedua iaitu J. B. Bury pada tahun 1902, dengan tegasnya mengatakan bahawa sejarah adalah sains “tidak lebih dan tidak kurang”. Penegasan ini merupakan kemuncak daripada tradisi pensejarahan Eropah sebagaimana Ranke. Ini bermakna dengan menyatakan sejarah itu adalah sains, maka sejarawan juga adalah ahli sains.[14] Kenyataan daripada J. B. Bury ini sememangnya boleh disangkal dengan pelbagai sebab oleh golongan relatif. Hal ini kerana dengan mengandaikan sejarah itu adalah sains maka, samalah ertinya dengan mengatakan bahawa sejarah itu adalalah seratus peratus objektif yang mana kebenarannya boleh dibuktikan secara saintifik dan objektif.[15] Berdasarkan pendapat J. B. Bury ini juga telah menyesuaikan bidang sejarah kepada bidang ilmu pengetahuan sains tetapi hakikatnya sejarah tidak semutlak kebenaran yang dicapai dalam bidang sains tulen. Hal ini kerana pengkajian sejarah adalah berdasarkan kepada sumber dan sifat sejarah itu sendiri boleh berubah. Umumnya, dari segi sejarah sumber itu kerap dibahagikan kepada dua kategori iaitu sumber utama dan sumber kedua. Salah satu lagi ialah sumber lisan yang kadangkala boleh dikategorikan sebagai sumber utama.[16] Bidang sains tulen adalah berdasarkan laporan ujian makmal dan penyelidikan yang dilakukan oleh saintis. Namun begitu, anggapan golongan objektif ini tidak dapat dipertahankan kerana kebenaran sejarah tidak semutlak kebenaran sains.[17]

            Sememangnya seorang sejarawan perlu bersifat objektif sepenuhnya dalam menghasilkan satu penulisan sejarah yang tepat dan objektif serta tidak memihak kepada mana-mana pihak walaupun pihak tersebut mempunyai pertalian sekalipun dengan sejarawan tersebut. Ini membuktikan bahawa seseorang sejarawan itu harus menghindarkan perasaan, sentimen, emosi, kesukaan, dan kebenciannya dalam penulisannya. Dengan kata lain, seperti yang telah disentuh tadi ia harus berdiri “diluar” peristiwa, masyarakat ataupun negara yang dikajinya.[18] Sebagai contohnya hasil penulisan sejarah yang dilakukan adalah tidak tepat sekiranya terdapat unsur dualisme. Hal ini didapati dalam karya Leopold Van Ranke seperti yang telah dikemukakan oleh H. E. Barnes di dalam empat kelemahan Ranke sebagai pendokong aliran objektif. Ini dapat dilihat melalui kelemahan yang ketiga dinyatakan iaitu Ranke memihak kepada teorinya yang berbentuk ketuhanan.
Berbalik kepada unsur dualisme yang terdapat dalam hasil penulisan Ranke yang mana di satu pihak beliau melihat proses sejarah itu daripada sudut ketuhanan iaitu sebagai suatu “idea” daripada Tuhan tetapi di satu pihak lain pula beliau tidaklah menerangkan prose itu dengan berlandaskan garis-garis keagamaan, ataupun wahyu Tuhan  seperti yang telah dilakukan oleh St. Augustina.[19] Oleh itu jelaslah bahawa penulisan sejarah tidak boleh wujud unsur dualisme kerana sejarah yang tepat hanya bersumberkan fakta-fakta yang benar dan seperti sebenarnya ia berlaku tanpa diselewengkan dengan mana-mana unsur yang boleh menghalang keobjektifan hasil penulisan sejarah itu.


            Selain itu, sebab ketiga yang boleh dikupas mengapa golongan relatif tidak bersetuju dengan pemikiran golongan objektif ialah kerana penulisan yang dihasilkan oleh golongan objektif seperti Ranke, Thucydides, J. B. Bury dan Herodotus merupakan penulisan yang bersifat berat sebelah iaitu membesarkan sesuatu peristiwa . Satu penulisan dan konsep objektif dalam sejarah merupakan proses pemaparan kebenaran sesuatu peristiwa  sejarah melalui kaedah meneliti, dan menganalisis secara kritis sebagaimana ianya berlaku. Kebenaran sejarah juga akan dipersembahkan berdasarkan fakta-fakta yang tulen, mengikis prasangka serta mengelakkan pengadilan moral. Unsur-unsur pengadilan moral ini seperti puji-pujian atau kutukan yang dilakukan oleh sejarawan . Oleh itu, penulisan yang berat sebelah atau bias seperti membesarkan sesuatu peristiwa harus dielakkan oleh para sejarawan sekiranya mereka mahu menghasilkan satu penulisan sejarah yang objektif.
 Penghasilan penulisan sejarah yang bersifat berat sebelah iaitu membesarkan sesuatu peristiwa dan cenderung kepada unsur pengadilan moral ini telah dikritik hebat oleh golongan beraliran relative. Profesor Charles A. Beard yang mengatakan bahawa tulisan-tulisan Ranke tetap mencerminkan sudut pandangan aliran konservatif yang cuba mempertahankan kepentingan kelas-kelas yang berkuasa di Eropah. Huraian Charles A. Beard ini telah dikecam oleh ahli-ahli tertentu dalam persatuan sejarah Amerika. Beard telah menegaskan dengan nada yang lebih keras berkaitan kebenaran hujah-hujahnya. Misalnya Beard mendakwa bahawa Ranke jauh daripada menulis sejarah yang objektif, merupakan salah seorang ahli sejarah yang paling berat sebelah yang dilahirkan oleh abad ke-19 kerana disamping mempertahankan kedudukan kelas-kelas konservatif di Eropah, Ranke juga telah mengabaikan sejarah sosial dan ekonomi.[20]     


                 

    

           

           
          





[1] Mohd Yusof Ibrahim, 2000. Iimu Sejarah: Falsafah,Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm 214.
[2] Ishak Saat, 2007. Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden. Selangor Darul Ehsan: Karisma Publication Sdn. Bhd, Hlm 4.
[3] Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm 1092.
[4] Ishak  Saat, Iimu Sejarah antara Tradisi dan Moden, Hlm. 4.
[5] Kamus Dewan Edisi Keempat ,Hlm. 1307
[6]Muhd Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian, dan Kaedah. Hlm. 219.
[7] Ibid, Hlm 9
[8] Ibid, Hlm 9
[9] Muhd Yusof  Ibrahim etc. Mahayuddin Haji Yahaya, 1988. Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm. 276.
[10] Ibid, Hlm. 250.
[11] Ibid, Hlm. 287
[12] R. Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Kuala Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn Bhd, Hlm. 119
[13] Ishak Saat. Ilmu Sejarah antara Tradisi dan Moden. Hlm. 30.
[14] Ibid, Hlm. 29.
[15] Mohd Yusuf Ibrahim etc. Mahayuddin Haji Yahaya. Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya, Hlm. 290.
[16] Muhd Yusuf Ibrahim, 1986. Pengertian Sejarah, Beberapa Teori dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm. 65.
[17] Ishak Saat. Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden ,Hlm. 30
[18] Muhd Yusuf Ibrahim etc. Mahayuddin Haji Yahaya. Sejarawan dan Pensejarahan Ketokohan dan Karya. Hlm. 290.
[19] Ibid, Hlm. 294.
[20] R. Suntharalingam. Pengenalan Kepada Sejarah. Hlm. 

No comments:

Post a Comment