1.0 PENDAHULUAN
Negara India merupakan penghubung
penting antara Asia dan Eropah. Kekayaan hasil buminya merupakan daya tarikan
utama kepada para pedagang. Bermula pada abad ke-15, kuasa-kuasa barat telah
berlumba-lumba mencari dunia baru untuk diteroka. Kuasa barat mengganggap dunia
di sebelah Timur termasuklah India mempunyai kekayaan yang besar. Portugis
merupakan kuasa barat pertama yang menjejakkan kaki di India.[1] Kemudian
, kehadiran kuasa Belanda, Perancis dan British di India dalam usaha menguasai
perdagangan semakin mengancam kedaulatan India. Persaingan mula wujud antara
kuasa-kuasa barat ini, persaingan antara British dan Perancis bermula ketika
Perancis menguasai Pondicherry 1674 dan British menguasai Madras. Namun
persaingan tersebut berakhir selepas Perjanjian Paris yang ditandatangani pada
tahun 1763. Oleh hal yang demikian, British dapat menguasai perdagangan melalui
hak yang diberikan oleh Mughal dan berjaya mengukuhkan kuasa di Bengal. Secara
beransur-ansur, India bertukar menjadi satu milikan yang menguntungkan ekonomi
British secara menyeluruh. [2] Berbanding
dengan kuasa barat yang lain, kedatangan British ke India telah membawa kesan
yang sangat besar terhadap perkembangan sejarah dan tamadun di benua kecil
tersebut.[3]
Walaupun British merupakan kuasa besar yang
berpengaruh serta telah berjaya menguasai hampir keseluruhan dunia. Namun
penjajahan yang dilakukan oleh British di India tidak menemui jalan mudah
apabila terdapat nasionalis dan tokoh tokoh politik India mula sedar dan bangkit
menentang penjajahan yang dilakukan oleh British terhadap India. Nasionalis
dalam India yang bekerjasama dalam menentang penjajahan British ini ialah
Mahatma Gandhi, Jawaharlal Nehru Deshbandhu Chittaranjan Das (C.R.Das) dan
lain-lain. Malah terdapat juga tokoh luar India yang membantu dalam
memerdekakan India seperti Subhas Chandra Bose yang memperjuangkan kemerdekaan
India di Asia. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan pihak nasionalis untuk
mengusir British daripada India, namun sentiasa menemui jalan buntu kerana
kekuatan British dari segi ketenteraan dan pentadbiran yang telah dikuasainya.
Lebih memburukkan keadaan, apabila British telah
menyebabkan India terlibat dalam Perang Dunia Kedua tanpa sebarang perundingan
dengan pemimpin tempatan.[4] Kerajaan
India menyertai peperangan tanpa persetujuan kongres.[5]Namun
begitu, British mula merasa goyah apabila Jepun terbabit secara langsung dalam
peperangan ini. Jepun dilihat memberi ancaman kepada India apabila berjaya
menguasai China dan Asia Tenggara dengan begitu pantas.[6]
Hal ini bererti perang telah sampai ke sempadan India.[7] Ancaman
semakin ketara apabila Jepun berjaya menguasai Burma dan memberi sokongan
terbuka kepada Netaji Subhas Chandra Bose[8] yang
mula melibatkan diri dengan Jepun apabila Netaji telah dipanggil dari Jerman ke
Tanah Melayu untuk mengambil alih pimpinan Indian
National Army (INA). Rentetan daripada tersebut, bermulalah hubungan di
antara Jepun dengan India yang telah membawa pelbagai pembaharuan yang telah
dilaksanakan oleh Netaji Subhas Chandra Bose dalam usaha membebaskan India dari
cengkaman British serta dalam usaha untuk memerdekakan India.
2.0 LATAR BELAKANG
PERANG DUNIA KE-II
Perang dunia kedua atau juga sering kali ditulis
sebagai Perang Dunia II merujuk kepada pergolakan politik sedunia yang memakan
masa hampir enam tahun iaitu pada tahun 1939-1945. Perang ini dikatakan sebagai
perang yang paling meluas dan mengakibatkan banyak kerosakan dalam sejarah
dunia moden. Perang ini dimulai dengan serangan bom oleh Jerman terhadap Poland
dan diakhiri dengan serangan bom atom Amerika terhadap Nagasaki pada 9 Ogos
1945.[9]
Akibat daripada tindakan Jepun mengebom pelabuhan Pearl atau Pearl Habour pada
jam 7.30 pagi, 8 Disember 1941, maka pihak Amerika tidak mempunyai pilihan lain
selain daripada mengambil keputusan untuk keluar daripada dasar mengasingkan
diri dalam pergolakan ini.
Peperangan ini membabitkan kuasa
bersekutu atau pakatan berikat yang diwakili oleh Perancis, Amerika Syarikat,
Kesatuan Soviet dan juga China untuk menentang kuasa Paksi atau Axis iaitu
Jerman, Itali dan Jepun. Kawasan pertempurannya terbahagi kepada empat medan
iaitu medan Eropah, medan Pasifik, Medan Afrika dan Timur Tengah. Kawasan
pertempuran yang luas ini telah menyebabkan ancaman kepada masyarakat seluruh
dunia yang walaupun tidak terlibat dalam peperangan ini. Oleh hal yang
demikian, peperangan ini juga secara tidak langsung telah membawa kepada
penubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang ditubuhkan oleh kuasa bersekutu
sebagai kuasa yang menang agar pertelingkahan yang begitu besar dan kejam tidak
akan berlaku lagi untuk selama-lamanya.
Dalam hal ini, harus kita ketahu
juga berkenaan dengan kesan perang dunia pertama (1914-1918) yang berlaku lama
sebelum itu. Tekanan ekonomi yang melanda Jerman menyebabkan golongan
Nasionalis pimpinan Adolf Hitler dari Parti Nazi (Nazi Party atau Nationalsozialistische Deutsche Arbeiterpartei, NSDAP)
yang melampau telah merebut kuasa di Jerman.[10]
Beliau membelakangi perjanjian yang menyebut tentang tatacara pembangunan
tentera Jerman yang disebut dalam perlembagaan demokratik. Sebaliknya beliau menguatkan tentera di
persempadanan dengan Perancis. Hal ini dirasakan sedikit sebanyak mengancam
kedudukan Perancis yang bersekutu dengan Berikat itu.
Pada tahun 1939, Hitler menuntut sebahagian daripada
wilayah Poland dan memeteraikan perjanjian Molotov-Ribbentrop
Pact dengan kesatuan Soviet yang juga sebagao membalas kepada tindakan
sokongan persekutuan pertahanan British dan Perancis dengan Poland pada bulan
Mac 1939.[11]
Tindakan Jerman ini bagaimanapun berakhir dengan penjajahan kepada Poland
seperti mana yang disebut sebagai “Germain
Invasion of Poland” pada 1 September 1939. Kemudiannya dua hari selepas
itu, 3 September 1939 pihak British dan Perancis iystiharkan perang ke atas
Jerman.[12]
Pada Mei1940 pula, pasukan Jerman menyerang Belgium, Belanda dan Luxembourg.
Sementara seperti yang dikatakan sebelum ini Jepun pula telah terlibat dalam
perang ini setelah terdesak dengan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika
Syarikat.
3.0 INDIA DAN PERANG
DUNIA KEDUA
Bagi membolehkan kita faham tentang hubungan
nasionalisme India dengan jepun dalam perang dunia kedua, kita mestilah
terlebih dahulu jelas tentang kedudukan India dalam tempoh masa peperangan ini.
Pertamanya, India pada masa pergolakan ini sedang rancak menuntut kemerdekaan
daripada British. Antara tokohnya ialah Mahatma Gandhi, Jawaralhal Nehru, dan
Netaji Shubas Chandra Bose yang berjuang melalui Indian National Congress (INC). Memandangkan beberapa cara
penentangan sebelum ini menghadapi kegagalan, pemimpin-pemimpin ini dilihat
menunggu peluang dan cara lain yang membolehkan suara mereka benar-benar
mendapat perhatian daripada British.
Keterlibatan India dalam perang
Dunia kedua sebenarnya berlaku secara tidak langsung iaitu kesan daripada
pendudukan British. India telah dibawa masuk dalam kancah peperangan ini tanpa
sebarang rundingan. British yang tidak memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin
India seperti yang disebutkan sebelum ini menyebabkan mereka berubah apabila
Jepun terlibat secara langsung dalam peperangan ini. Keupayaan Jepun dengan
pantas menguasai China dan meluaskan kuasanya di Asia Tenggara mulai menjadi
perhatin Britsih kerana bimbang kuasanya di India turut tergugat. Ancaman itu
menjadi semakin ketara apabila Jepun mula menjalankan operasi ketenteraan di
Myanmar serta sokongan secara terbuka yang diberikan oleh Netaji Shubas Chandra
Bose yang memimpin India Independence
Army pada ketika itu.[13]
Pasukan India Independence Army ini mengandungi sekitar 20,000 ahli yang
direkrut di Asia Tenggara yang berpusat di Singapura. Melihat perkembangan ini,
British merasakan bahawa hubungan dengan pemimpin-pemimpin INC perlu diperbaiki
semula. Pada tahap awal Wizurai Lord Linlithgow enggan menerima saranan
pemimpin INC yang meminta agar mereka diberikan kemerdekaan dan sebagai
balasannya mereka akan memberikan kerjasama dalam menangani masalah menghadapi
Jepun. Bagaimanapun, setelah kedatangan Stafford Cripps iaitu wakil Perdana
Menteri Britain, Winston Churchill pada katika itu, maka pandangan kerajaan British
itu telah berubah.
Dalam masa yang sama, Muhamad Ali
Jinnah dan Liga Muslim merupakan pihak yang mendapat keuntungan besar sewaktu
Perang Dunia Kedua ini. Sebelum ini kita dapati bahawa INC enggan berkerjasama
dengan British, maka pihak British telah memilih Liga Muslim sebagai sekutunya.
Hasilnya, pihak British telah berjanji untuk memberikan pertimbangan yang
sewajarnya terhadap keinginan Liga itu untuk menubuhkan sebuah negara Islam.
Bagi pihak INC pula, mereka menjalankan satu gerakan yang dipanggil sebagai
“Gerakan Meninggalkan India” yang bertujuan untuk mendesak pihak British
meninggalkan India.[14]
Hal ini dibuat demikian kerana, INC berpendapat bahawa jika British
meninggalkan India maka pihak Jepun tidak ada lagi alasan untuk menyerang
India.
Bagaimanapun British telah bertindak
tegas terhadap gerakan ini. Pemimpin-pemimpin INC telah ditangkap dan
dipenjarakan atas tuduhan memberikan ucapan-ucapan antipeperangan. Antara
mereka yang ditangkap ini ialah Mahatma Gandhi, Jawaralhal Nehru dan Kalam Azad
Khan bersama-sama dengan sekurang-kurangnya 20,000 penyokong gerakan ini. Hal
ini membawa kita kepada politik India yang kacau-bilau sepanjang tahun 1942
sehinggalah pada tahun 1945. Tindakan British menangkap pemimpin-pemimpin
gerakan itu nampaknya bukanlah satu penyelasan terbaik tetapi hanya menyebabkan
rakyat India menjadi ganas dengan memusnahkan harta benda awam dan menyerang
orang Eropah di India. Keadaan ini bertambah teruk dan sukar dikawal apabila ia
bukan sahaja berlaku di Bandar malah juga di kampung.
4.0 HUBUNGAN JEPUN DENGAN SUNDRA CHANDRA BOSE
Rash Behari Bose, merupakan salah
seorang pejuang pembebasan India.[15] Rash Behari Bose memainkan peranan yang
sangat penting dalam hubungan di antara Jepun dan India. Beliau juga merupakan
individu yang bertanggungjawab dalam penubuhan Indian National Army (INA) yang merupakan sayap terhadap penubuhan
ketenteraan Indian Indipendence League
(IIL) yang telah memperjuangkan kemerdekaan India. Namun begitu telah timbul
krisis di mana masyarakat India mempunyai satu perasaan negatif yang menganggap
Rash Behari Bose merupakan “patung” Jepun[16]
dan dianggap sebagai Pro Jepun. Pegawai-pegawai dan askar INA mula curiga dan
bimbang Rash Behari Bose akan cuba memihak kepada Jepun dan menakluk India. Hal
ini telah menyebabkan perubahan terhadap tampuk pimpinan dalam INA. Persidangan
yang dikenali sebagai Penubuhan Majlis Tindakan telah dilakukan dan dihadiri
perwakilan dari IIL dan INA untuk melantik bakal pengganti Rash Behari Bose dan
mengurangkan kuasa Jeneral Mohan Sigh yang merupakan komander INA. Kuasa
perlantikan telah diserahkan kepada Rash Behari Bose untuk melantik
penggantinya. Subhas Chandra Bose telah dijemput untuk menyelesaikan konflik.
Subhas Chandra Bose juga telah dilantik sebagai pemimpin IIL dan INA.
Subhas Chandra Bose merupakan pemimpin revolusiner
yang muncul pada era kontemporari India iaitu ketika era penglibatan Mahatma
Gandhi secara aktif dalam politik India. Subhas Chandra Bose lebih dikenali
sebagai “Netaji Subhas Chandra Bose”. Beliau merupakan salah seorang pejuang
kemerdekaan dari luar India yang mahu membebaskan India daripada cengkaman
pihak British. Tidak seperti pemimpin India yang lain, Netaji percaya bahawa
pemberontakan bersenjata adalah perlu untuk merebut kemerdekaan daripada
British.[17]
Pada awalnya, dalam usaha membebaskan India, Netaji telah bekerjasama dengan
pihak Jerman dan menghabiskan masa selama 3 tahun di Berlin, Jerman. Namun
begitu, semasa tahun 1943, Netaji mula merasakan Jerman tidak boleh memberikan
bantuan kepadanya untuk membebaskan India. Oleh hal yang demikian, Netaji
meninggalkan Jerman dan pergi ke Jepun untuk bersekongkol dengan Jepun, jelas
dilihat bahawa Netaji merupakan pemimpin yang gagal di Jerman.[18]
Di Jepun, mereka melayan Netaji lebih baik daripada
layanan yang diberikan oleh kerajaan Jerman.[19]
Netaji tiba di Tokyo pada Mei 1943 dan telah menarik perhatian perintah tinggi
Jepun termasuk Hideki Tojo, Perdana Menteri Jepun.[20]
Walaupun populasi penduduk India di Jepun adalah lebih kecil berbanding
penduduk negara lain di Asia Timur, namun kehadiran kumpulan kecil revolusiner
dan pihak-pihak buangan telah mendapat sokongan kuat daripada kumpulan Jepun
yang berpengaruh.[21]
Malah terdapat juga rakyat Jepun yang sanggup bersama-samanya dalam medan
perang.[22]
Jepun juga telah bersetuju untuk bekerjasam dengan pengasas Indian National Congress (INA) di Asia Tenggara, Netaji telah
diterbangkan ke Singapura dan menjadi komander INA dan ketua kerajaan India
secara percuma.[23]
Tujuan utama Netaji menjalinkan hubungan dengan
pihak Jepun adalah untuk mendapat sokongan dalam penubuhan sebuah kerajaan
sementara dan untuk memberi nafas baru ke dalam INA [24] dan cuba menjadikan INA sebagai satu
pasukan tentera yang cekap. Hubungan Netaji Subhas Chandra Bose dengan pihak
Jepun dikatakan telah bermula pada 28 Jun 1943 di mana beliau telah
membentangkan perancangan untuk memerdekakan India yang disiarkan secara rasmi
di sana. Hubungan ini dibentuk dengan tujuan ingin menjalankan gerakan
kemerdekaan bersama-sama sekutunya yang lain iaitu Itali-Jepun-Jerman dalam
menentang musuh bersama.[25]
Tujuan lain kerjasama yang dijalankan dengan Jepun adalah untuk mendapatkan pengiktirafan
dalam menubuhkan Free India Provisional
Government (FIPG) bagi menjadikan India merdeka buat sementara.
Oleh hal yang demikian, dalam gerakan kemerdekaan
India di Asia adalah dengan menubuhkan FIPG ini, India berkuasa mengisytiharkan peperangan menentang imperialis
selain bertujuan menarik perhatian daripada Jepun dan sekutu-sekutunya yang
lain. Kerjasama dengan Jepun telah menjadikan Netaji bertambah yakin dalam
usahanya membebaskan India daripada cengkaman British yang kejam. Gerakan Nasionalis
di Jepun semakin kuat dengan bantuan Jepun serta Hubungan Jepun dengan INA
bertambah kukuh selepas kedatangan Subhas Chandra Bose di Jepun.
5.0 HUBUNGAN JEPUN DENGAN INDIAN NATIONAL ARMY (INA)
Jepun merupakan sebuah kuasa yang memainkan peranan
yang sangat penting terutamanya dalam penubuhan Indian National Army (INA). Indian
National Army atau dikenali sebagai Azad Hind Fauj dalam bahasa Urdu
merupakan pasukan ketenteraan yang ditubuhkan
secara rasmi selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1942.Tujuan utama
pasukan tentera ini adalah untuk menghapuskan kekuasaan British di India
bersama-sama dengan Jepun. Tentera-tentera dalam INA adalah terdiri daripada
banduan-banduan peperangan yang ditangkap oleh Jepun di Malaya dan Singapura
dan juga sukarelawan daripada Populasi orang India yang menetap di Malaya dan
Burma. Pada Asalnya pasukan ini ditubuhkan pada tahun 1942 selepas kejatuhan
INA di Singapura semasa di bawah kepimpinan Mohan Singh. Pada 1943, INA telah
diambil ahli oleh Subhas Chandra Bose[26].
Semasa INA di bawah kepimpinan Subhas
Chandra Bose, INA berada dalam pasukan yang kuat dan mantap dan mempunyai
hubungan dengan Jepun yang pada ketika itu Jepun menentang British dan negara
Komenwal iaitu negara yang dijajah oleh British seperti Burma, Imphal dan
Kohima. Hal ini berbeza semasa INA dipegang oleh Mohan Singh iaitu, INA
terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah seperti kelemahan pihak kententeraan.
Buktinya terdapat segelintir tentera yang menolak untuk menjadi tentera [27]
di bawah jagaan Mohan Singh.
Pada awal perang di Eropah, Bose
telah melarikan diri dari India ketika beliau dikurung oleh British. Bose telah
lari ke Jerman bagi menyakinkan Hitler supaya memberi sokongan kepada Bose
dalam memperjuangkan tuntutan kebebasan oleh India[28].
Seterusnya, Bose telah ke Asia Tenggara kerana merasakan orang India yang
dikatakan ramai di kawasan Asia Tenggara mampu memberikan sokongan pada perjuangan Tentera Kebangsaan India atau
INA.
Hubungan
dengan Jepun bermula pada januari 1943, apabila Jepun telah menjemput Bose
untuk mengetuai pergerakan perjuangan India di sekitar Asia Tenggara. Jemputan
daripada Jepun mendapat sambutan yang positif daripada Bose apabila Bose
menerima jemputan Jepun. Kedaan ini telah menyebabkan Bose telah melakukan
pelbagai usaha untuk menjayakan misinya bagi menghapuskan kekuasaan British di
India. Salah satu usahanya adalah membuat pengumuman di radio supaya kaum India
mendapat informasi untuk menganggotai
perjuangan India. Bose juga telah
mengadakan perjumpaan dengan INA
bagi merancang perubahan dan penstrukturan semula INA. Ekoran daripada usaha
yang dilakukan oleh Bose, telah memperlihatkan kedudukan Tentera Kebangsaan
India semakin pulih dan maju. Bose juga berjaya mewujudkan Tentera Wanita tau
dikenali sebagai Rani Of Jhansi Regiment[29]di
Singapura.
Subhas Chandra Bose merupakan tokoh yang sangat
berjasa dan memainkan peranan yang penting dalam menjalinkan hubungan yang
rapat dengan Jepun terutamanya dalam memajukan India National Army (INA).Dalam sejarah India, hubungan dengan
Jepun sebenarnya telah lama terjalin semasa INA dipegang oleh Mohan Singh dan
Rase Behari Bose. Namun hubungan tersebut tidak berjalan dengan baik apabila
terdapatnya ketidaksefahaman di antara Mohan Singh dan Rase Behari Bose. Walau
bagaimanapun, keadaan telah berubah apabila Subhas Chandra Bose memimpin INA
dimana hubungan dengan Jepun terjalin dengan baik dan wujudnya kerjasama di
antara kedua-dua pihak. Buktinya, Bose rapat dengan pemimpin Jepun seperti
Mejar Fujiwara.
Hubungan baik yang terjalin diantara Jepun dengan
Bose dapat dilihat dalam penubuhan Sekolah Perisikan di Asia Tenggara dan
bantuan latihan sekolah Perisikan kepada INA. Golongan yang memainkan peranan
dalam sekolah perisikan adalah ejen-ejen
Jepun yang terbabit dalam Perang Dunia Kedua dan mereka ini terdiri daripada
lepasan sekolah perisikan Jepun seperti Sekolah Ogawa dan Nakkano Gakko[30].
Bukan itu sahaja, Jepun yang diwakili oleh Iwakura Kikan juga telah berusaha
membantu INA melahirkan beberapa perisik yang berkebolehan dan berwibawa. Bose
juga telah menubuhkan sekolah Sandycroft. Sekolah-sekolah yang ditubuhkan ini
adalah bertujuan untuk menyatupadukan sekolah-sekolah perisikan yang ada dan
memberi latihan operasi yang lengkap.
Dengan tertubuhnya sekolah ini, Indian National Army dapat dilatih untuk memperolehi maklumat
berkaitan dengan pihak tentera dan
pertahanan musuh. Hal ini kerana, pihak Jepun telah banyak kaedah
pengintipan. Seterusnya kerjasama INA dengan Jepun dapat dilihat dengan
menghantar pegawai-pegawai INA ke luar negara di bawah naungan Army Affairs Traning Office. Selain
daripada itu, kewujudan sekolah ini juga bagi melatih aktiviti –aktiviti
ketenteraan. Pelajar-pelajar yang
menuntut di sekolah ini akan dilatih mengenai dengan ilmu sabotaj yang melibat
fizikal dan mental.
Umumnya, walaupun objektif antara Jepun dengan INA
adalah berbeza namun disebabkan oleh penubuhan sekolah telah melahirkan
kerjasama diantara kedua-dua pihak. Buktinya, pihak dari Jepun iaitu Iwakuro
menganggap penubuhan sekolah Perisikan adalah bertujuan untuk melatih
pelajar-pelajar sebagai ejen-ejen sulit. Namun hal ini berbeza bagi pihak India
iaitu bagi Raghavan adalah untuk Kader. Secara keseluruhannya, kerjasama antara
Jepun dengan INA dapat dijalinkan dengan baik apabila Jepun telah memberi banyak bantuan dan tajaan
kepada sekolah perinsikan INA dan sekali gus memperlihatkan peranan yang
dimainkan oleh Bose dalam memantapkan lagi INA.
6.0 BANTUAN DAN SOKONGAN
JEPUN DALAM PENUBUHAN FREE INDIA PROVINSIONAL GOVERNMNET (FIPG)
FIPG
yang secara rasminya dibentuk di Cathay Hall Singapura pada 21 Oktober 1943
merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh Bose bagi membebaskan India dari
cengkaman British.[31]
FIPG merupakan idea yang diilhamkan oleh Bose dan untuk membentuk pertubuhan ini bukanlah mudah
kerana Bose perlu mendapat sokongan dari ramai pihak khususnya pihak Jepun yang
dilihat dapat menaikkan semangat nasionalisme dalam kalangan nasionalis India. Kehadiran
Bose ke Jepun tampaknya tidak sia-sia apabila perdana menterinya iaitu Tojo
sangat mengalakkannya untuk menubuhkan FIPG. Malah Tojo turut membenarkannya
untuk memberi ucapan mengenai manifestonya kepada masyarakat India menerusi
siaran Tokyo Radio. Hal ini memperlihatkan sokongan Jepun terhadap India
lebih-lebih lagi dalam membentuk sebuah kerajaan yang merdeka. Jadi tidak
hairanlah jika dilihat perjalanan Bose untuk membentuk FIPG ini sampai ke Asia
Tenggara dengan matlamat untuk menggantikan penguasaan pihak British terhadap
kerajaan India. Oleh itu atas undangan Liga Kemerdekaan India (LKI) Bose ke
Singapura bagi membincangkan pembentukan FIPG sehinggalah ia terbentuk secara
rasmi pada tahun 1943.[32]
Dengan menggunakan slogan “On To Delhi”, FIPG telah melancarkan
serangan ke atas British dan Amerika Syarikat bagi menentang kuasa imperialis
bertujuan untuk mendapat perhatian daripada kerajaan Nippon dan
sekutu-sekutunya di peringkat antarabanagsa.[33]
Dengan demikian Tojo telah menghantar wakilnya untuk ke Pulau Andaman dan Pulau
Nicobar bagi memberi sokongan kepada FIPG. Selain itu, pihak Jepun juga memberi sokongan
dan bantuan kepada FIPG menerusi pengistiharaan yang dibuat oleh Tojo ke atas
kawasan yang diduduki oleh tentera Jepun merupakan milik FIPG. Tujuan Tojo
melakukan hal seumpama ini adalah untuk menghapuskan kuasa musuh yang bertapak
di India serta mahu memindahkan kuasa ke tangan India yang memang layak ke atas
kawasan mereka sendiri. Strategi-strategi yang
diambil oleh Netaji turut mendorong pengiktirafan kerajaan Nippon ke atas Pulau
Andaman dan Nicobar sebagai kawasan kerajaan FIPG. Pulau Andaman dan Nicobar
merupakan pangkalan penting British di kawasan India. Namun kejayaan Jepun dalam menewaskan pasukan tentera
British membolehkan mereka menakluki kedua-dua Pulau tersebut.[34]
Maka, Perdana Menteri Tojo telah mengiktiraf kedua-dua pulau tersebut sebagai
kawasan FIPG tujuannya adalah untuk menunjukkan keikhlasan pihak Jepun membantu
gerakan kemerdekaan India. Malah, sebagai tanda penghormatan mereka terhadap
wakil Jepun itu, FIPG telah memberi gelaran Sahad
kepada Pulau Andaman dan Swaraj kepada
Pulau Nicobar. [35] Dengan demikian menerusi pengibaran bendera
kebangsaan India yang dikibarkan di pulau tersebut memperlihatkan bahawa
sokongan yang diberikan oleh Jepun terhadap India melayakkan bendera India
berkibar.
7.0 HUBUNGAN JEPUN DENGAN
PARTI LIGA KEMERDEKAAN INDIA/ INDIAN
INDEPENDENCE LEAGUE (IIL)
Jepun memilik populasi yang lebih kecil berbanding dengan India dan
negara lain di Asia Tenggara. Namun kehadiran kumpulan kecil dan parti-parti
golongan revolusi India ke Jepun sebagai pusat penting bagi aktivit revolusi
mereka mendapat galakan dari Jepun. Golongan nasionalis India yang dilihat
sangat menonjol dalam menuntut kemerdekaan India ialah Rash Behari Bose.[36]
Hal ini berlaku kerana bagi golongan India bukan Islam, fokus mereka masih lagi
pada negara India dan perjuangan mendapatkan kemerdekaan daripada pemerintahan
British. Orang Jepun mengeksploitasi keadaan ini dengan membantu orang India
membentuk Liga Kemerdekaan India ( Indian
Independence League).[37]
Dalam usaha mahu menuntut
kemerdekaan India dari cengkaman British, Subhas Bose telah bekerjasama dengan
Jepun. Propoganda anti-British oleh golongan nasionalis India seperti Rash Behari
Bose, A.M. Sahay dan Bhagwan Sing telah diperluaskan lagi menerusi persidangan
yang dijalankan di Nagasaki di bawah naungan Jepun. Seterusnya pada tahun 1937,
IIL kemudiannya dipanggil untuk menghadiri persidangan yang berlangsung di
Tokyo di samping merangka propaganda politik bagi negara yang dijajah oleh
British umpamnya China, Malaya, Burma dan India. Subhas Bose yang melarikan
diri ke Berlin melalui Moscow pada Januari 1942 telah melaung-laungkan
propaganda anti-British melalui siaran Radio Berlin dengan slogan “Free India”. Sementara itu, Ras Behari
Bose yang menerima perlindungan politik di Jepun telah membentuk Liga
Kebangsaan India (IIL) dengan sokongan warga India yang tinggal di Asia
Tenggara.[38]
LKI terbentuk hasil daripada persidangan yang berlangsung di Tokyo dari 28-30
Mac 1942 dan juga atas persetujuan INA.[39]
IIL atau dikenali juga sebagai Azad Hind
Fauj memutuskan bahawa matlamat utamanya adalah untuk mencapai kemerdekaan
bagi negara India dengan secepat yang mungkin. IIL yang mendapat sokongan Jepun
berjaya menyemai perasaan anti-British dalam kalangan orang India di Tanah Melayu. Para pemimpin liga ini
kebanyakannya dari India Utara dan merekalah yang kemudiannya membentuk Kongres
India Malaya pada tahun 1946.[40]
7.0 BANTUAN JEPUN DALAM
PENGORGANISASIAN SEMULA TENTERA KEBANGSAAN INDIA (INA)
Telah diketahui bahawa Jepun memainkan peranan yang sangat penting
dalam penubuhan Indian National Army (INA) bermula di Tanah Melayu kerana
penubuhannya yang menjadi sayap penting ketenteraan Indian Indipendence League
(IIL) yang memperjuangkan kemerdekaan India daripada British. Penubuhan INA di
Singapura merupakan usaha keras yang dilakukan oleh golongan nasionalis India.
INA diorganisasikan oleh Baba Amar Singh, Giani Pritam Singh, Rash Behari Bose,
Jeneral Mohan Singh dan beberapa orang nasionalis. INA secara rasminya tebentuk
pada Mac 1942 menerusi pengumuman yang dilakukan oleh Kapten Mohan Singh.[41]
Sejarah INA merupakan sejarah yang terulung kerana INA merupakan organisasi ketenteraan
yang berperang dengan Kerajaan British di India dengan pertolongan Jepun.
Keagungan INA dapat dilihat menerusi pimpinan Subhas Chandra Bose.[42]
Tercetusnya idea penubuhan INA adalah hasil pertemuan Kapten Mohan Singh dengan
Kapten Fujiwara.[43]
Namun masalah dalaman yang berlaku
dalam INA sehingga penghujung tahun 1942 menyebabkan Rash Behari Bose beserta
dengan beberapa orang nasionalis India cuba untuk menyelesaikan masalah
tersebut dengan teliti tetapi tidak berjaya sehinggalah INA diambil alih oleh
Subhas Chandra Bose. Subhas menyelesaikan konflik dalaman INA dengan bantuan
pihak Jepun.[44] Pada
25 Ogos rasminya Subhas Chandra Bose mengambil alih kepimpinan INA dan
menamkannya sebagai ‘Azad Hind Fauj’. Menerusi INA, Subhas menggunakan slogan “Onwards To Delhi” sebagai cara
menaikkan semangat kebangsaan para tentera INA. Pengorganisasian semula yang
dapat dilihat apabila beliau memperkenalkan jawatan Ketua Pegawai dan komander bagi menggantikan jawatan pengarah dalam
jabatan tentera.[45] Pengambilalihan
pemerintahan INA merupakan permulaan kepada usaha Subhas untuk membentuk sebuah
badan ketenteraan India yang setanding dengan kuasa British dan Amerika
Syarikat. INA kemudiannya diorganisasikan kembali di bawah kawalan M.Z. Kiani
sebagai Komander Tentera dan dibantu oleh J.K Bhonsles yang dihantar ke
Singapura dari Bangkok sebagai pembantunya serta menerima penasihat Jepun
berkenaan dengan hal ketenteraan iaitu Hideo Iwakura dn Isoda.[46]
Selain itu, dapat dilihat juga perubahan
yang dilakukan oleh Subhas dalam INA apabila wanita dan kanak-kanak dijadikan
sebagai sebahagian daripada anggota INA. Hal ini berlaku kerana INA kekurangan
dalam jumlah bilangan tentera-tentera yang sedia ada. Dalam usaha membesarkan
saiz INA , Pembaharuan-pembaharuan yang diperkenalkan oleh Netaji telah
memesatkan perkembangan perjuangan kemerdekaan India di Asia Tenggara. Kem
latihan ketenteran untuk sukarelawan turut dibuka di bawah pengurusan IIL.[47]
Pengurusan
INA oleh Subhas sangat tegas kerana beliau mewajibkan semua golongan muda
memasuki INA dan menetapkan beberapa kriteria yang melayakkan seseorang
individu menjadi tenteraINA . Sebab utama yang mendorong Subhas menambahkan
saiz INA sehingga membentuk barisan
ketenteraan kedua adalah disebabkan kekurangan dalam jumlah bilangan
tentera-tentera yang sedia ada. Selain itu, Subhas telah merancang untuk menambahkan bilangan
tentera INA kepada 40 000 orang sebagai pasukan tentera yang kuat dan setanding
dengan pasukan tentera British lalu dihantar ke kem ketenteraan Jepun.[48]
Dalam usaha membesarkan saiz INA, Subhas buat pertama kali telah membentuk
barisan ketenteraan yang diwakili oleh golongan wanita.[49].
Barisan ketenteraan ini dikenali sebagai Regimen Jhansi Rani dan diperkenalkan
secara rasminya pada 22 Oktober 1943 iaitu sehari selepas pengisytiharan FIPG.[50] Namun, Regimen Jhansi Rani mendapat bantahan
dan tidak disetujui oleh pihak Jepun. Pembaharuan-pembaharuan yang
diperkenalkan oleh Subhas telah memesatkan perkembangan perjuangan kemerdekaan
India di Asia Tenggara.[51]
Pihak Jepun mengorganisasikan kembali INA.
Setelah Jepun memberi kata setuju untuk
membantu Subhas memperkukuhkan INA. Hubungan yang dijalinkan ini membawa kepada
perkembangan INA iaitu disusun semula menjadi tiga bahagian, namun misi asas
mengekalkan perang gerila mampu beroperasi sebagai satu bahagian strategik.
Pada pertengahan tahun 1943, Subhas telah meningkatkan bilangan pegawai INA
iaitu terdapat bahawa 46 kanak-kanak lelaki remaja telah dipilih. Kanak-kanak
ini dihantar ke Jepun untuk latihan perwatakan, teknik pertahankan diri dan
kerohanian dalam menghadapi pertempuran.[52]
Pegawai-pegawai INA ini dimasukkan ke Military Academy Jepun yang
lengkap dengan kemudahan makanan dan pakaian iaitu melibatkan 35 Tentera Darat
dan 10 Tentera Udara.
Pada bulan Oktober 1943, Latihan ketenteraan dijalankan oleh pensyarah dari
universiti Jepun dan pegawai-pegawai tentera yang bersara. Seterusnya terdapat
10 individu dihantar untuk menyertai Akademi Tentera Udara Jepun. Latihan yang
dijalankan pihak Jepun benar-benar memuaskan hati. Terdapat 3 pasukan yang
dihantar ke Jepun untuk latihan pada Disember 1943, iaitu Kumpulan Bahadur,
Perisikan dan Pengukuhan. Dalam masa yang sama sebuah Tentera Kebangsaan India
dari kalangan banduan diwujudkan justeru jelas penglibatan dan sumbangan
tentera India dalam politik yang dilatih Jepun. Pada 7 Januari, 1944 Penyusunan
semula Kerajaan dilakukan dengan berbincang dengan Komander Jepun, Kawabe Besar
dan ketika itu Rejimen Subhash telah bersedia untuk bergerak ke hadapan.[53]
Kawabe mencadangkan supaya Rejimen berpecah menjadi parti yang kecil semua
formasi Jepun mengambil bahagian, dalam cara yang kumpulan khas sudah
dikerahkan. Pada tahun 1945 Jepun sering diserang Amerika namun latihan
ketenteraan tetap berjalan. Peranan INA adalah menjadi pengintipan dan kumpulan
propaganda di setiap bahagian Jepun, dan peranan bebas untuk Rejimen Subhash.
Dalam masa yang sama satu kumpulan khas telah ditubuhkan dan dilatih dengan
baik.[54]
Ringkasnya, hubungan yang dijalinkan Subhas dengan
pihak Jepun menyumbangkan peranan penting dalam membebaskan India daripada
British. Usaha beliau mengorganisasikan semula IIL dan membesarkan saiz INA merupakan
antara usaha beliau yang paling penting kepada pembentukan FIPG. Kejayaan
Subhas menubuhkan FIPG dan mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Nippon dan
negara-negara sekutunya merupakan kemuncak kepada perjuangan nasionalis-nasionalis
India. Hal ini kerana, Subhas telah mengisytiharkan peperangan terhadap kuasa
British selepas penubuhan FIPG. Di mana Subhas mengumumkan bahawa INA telah bersedia untuk berhadapan dengan kuasa
imperialis. Pembaharuan-pembaharuan yang diperkenalkan oleh Subhas telah
menghidupkan semula INA pertama sebagai sebuah badan ketenteraan yang revolusi.
Dengan kerjasama Tentera Jepun, mereka akhirnya berjaya memandu British keluar
dari negara mereka.
8.0
PENUBUHAN REJIMEN JHANSI RANI
Penubuhan rejimen
ini telah diutarakan oleh Subhas Chandra Bose yang merupakan pasukan baharu
dalam INA. Beliau menubuhkan tentera India wanita iaitu “Rani of Jhansi Regiment” selepas kisah perjuangan mereka pada Perjuangan
Kebangsaan Pertama 1857 dan menjadi pejuang wanita pertama menuntut perjuangan
India pada ketika itu. Tentera Rhani of Jhansi merupakan tentera wanita di
dalam Indian National Army iaitu INA
yang telah diperkenalkan pada 1942 di Asia Selatan dengan tujuan untuk membantu
INA menentang pemerintahan British di India dengan bantuan Jepun. Diketuai oleh
Kapten LakshmiSwaminathan, unit ini dirasmikan pada 1943 dengan penyertaan
sukarelawan dari penduduk India di serata negara.[55]
Pada Julai 1943
lebih 40 wanita diberi latihan di kem Bidadari di Singapura. Ramai wanita berumur 18 hingga 40 tahun
sanggup meninggalkan urusan kerja dan rumah bagi menyertai pasukan tersebut.
Rejimen Jhansi Rhani dibahagikan kepada tiga unit iaitu unit berperang, unit
rawatan dan unit pancaragam.[56]
Sewaktu operasi di Burma, pasukan ini telah menghantar 300 orang pegawai
terlatih dan 50 orang jururawat ke Burma mengikut perintah askar-askar INA.
Ramai juga ahli pasukan ini yang terbunuh ketika operasi, tercedera mahupun
menjadi cacat. Namun semangat kental merea mendorong mereka terus bangkit
mengangkat senjata dan menyertai misi di Burma sehingga tamat walaupun operasi
tersebut mengalami kegagalan.
Tentera Wanita
yang ditubuhkan oleh Subhas Bose ini memainkan
peranan penting dalam INA dan peperangan yang telah mereka hadapi untuk menentang
British. Kepimpinan Subhas Bose telah membawa pembaharuan dalam
TenteraKebangsaan India. Dalam ucapan Subhas Chandra Bose, beliau memberi
kepercayaan besar kepada tentera Rani of Jhansi. “Our brave sisters
have also played a prominent part in the secret revolutionary movement. They
have shown that when the need arises, theycould, like their brothers, shoot
very well..If today I express my fullestconfidence in you, it is because I know
what our women are capable of andtherefore I say without the slightest
exaggeration that there is no suffering, which our sisters are not
capable of enduring.”[57]
Pernyataan Dr. R.C Roy telah memperlihatkan idea Subash Chandra Bosedalam
penubuhan Tentera Wanita atau Rhani of Jhansi Regiment ini
telah memberikan memori dalam Indian
National Army (INA) selaras dengan prinsip beliau iaituemansipasi wanita.
Bose menyatakan bahawa wanita harus diberi peluang untuk menunjukkan bakat
dalam keluarga dan masyarakat. Beliau percaya bahawa wanita mampu menjadi
pejuang negara.[58]
9.0
INDIAN NATIONAL ARMY (INA) DALAM OPERASI IMPHAL DI BURMA
Operasi Imphal
merupakan satu Operasi besar yang melibatkan tentera INA dan Jepun memasuki
India daripada kawasan Imphal. Lokasi Imphal merupakan sempadan antara India
dan Burma. Operasi ini sangat dinanti-nantikan oleh Jepun kerana India berpeluang
melepaskan diri daripada cengkaman British. Manakala Jepun pula memperoleh
manfaat daripadanya kerana mampu untuk mengekalkan penguasaan terhadap Burma
kerana British pernah berhasrat untuk merampas Burma daripada Jepun. Subhas
Chandra Bose selaku panglima INA berunding dengan LT. Kol. Kawabe Masakzu iaitu
Komander tentera kawasan Burma kerana beliau tidak mahu berlaku sebarang
pertikaian antara askar Jepun dan India kerana INA sering kali dipandang rendah
oleh pegawai-pegawai Jepun.[59]
Dalam pertemuan yang melibatkan kuasa antara
INA dan Jepun matlamat mereka adalah sama, namun Jepun dilarang sama sekali
untuk membuat perubahan dalam INA,
malahan undang INA digunakan terhadap INA dan bukan berdasarkan
undang-undang Jepun. Sekiranya operasi berjaya, wilayah yang dikuasai adalah
dibahagi mengikut perjanjian asal serta syarat-syarat lain kemudian telah
dipersetujui oleh Kowabe. Netaji mencadangkan serangan dimulakan di Chittagong
kerana yakin penduduk di sana bakal menyokong INA namun ditolak Jepun kerana
INA hanya memiliki askar darat sahaja dan bukan unit udara dan laut. Jeneral
Mutaguchi mencadangkan serangan awal dilakukan keatas Imphal dan Kohoma. Namun
setelah persetujuan dicapai, Netaji menghantar pasukan 20 000 INA ke Rangoon yang melibatkan
Rejimennya, Ghadhi, dan Azad ke tiga lokasi yang berbeza. Rejimen Subhas
dipimpin oleh Lt. Kol. Shah Nawaz Khan dengan 3 000 askar.
Rejimen Ghandi,
Azad serta Jhansi Rani turut dihantar ke medan perang. Kebanyakan wilayah yang
diserang Jepun dan pasukan INA berjaya dikuasai mereka dan menaikkan semangat
tentera INA menentang British dengan lebih berani. Walau bagaimanapun, kejayaan
tersebut tidak berpanjangan. Musim hujan menyebabkan tentera INA dan Jepun
terpaksa berundur seketika dan hal ini memberi peluang kepada British untuk
melakukan serang balas yang hebat terhadap pasukan INA dan Jepun sehingga
menjatuhkan moral pejuang-pejuang INA. Pada mulanya, INA hampir berjaya
memasuki Imphal namun, akibat tiada bantuan tentera udara Jepun menyebabkan
mereka terpaksa berundur. Sepanjang serangan tersebut, ramai Ahli INA yang
terseksa sehingga meninggal. Akhirnya satu perintah telah diperintahkan untuk
membatalkan operasi Imphal pada 5 Julai 1944 dan memaksa pasukan INA dan Jepun
untuk berundur.
Walaupun
mengalami kekalahan, Subhas tetap menjalinkan hubungan dengan Jepun melalui
lawatannya ke Tokyo ketika peralihan kuasa Perdana Menteri Tojo kepada Perdana
Menteri Kuniaki Kaiso. Jepun turut berjanji untuk memberikan bantuan kewangan
dan persenjataan terhadap Netaji dan INA. Seorang diplomat Jepun sendiri
dilantik oleh Subhas dalam Provinsional Goverment of Free India (FIPG). Subhas
turut mengadakan lawatan ke China, Saigon, Taihoko dan Singapura bagi meraih
sokongan. Kegagalan Operasi Impheral telah menjadi pengajaran kepadanya dan
INA. Tidak berapa lama kemudian, serangan Tentera bersekutu ke atas Jepun
menyebabkan Jepun menurunkan senjata mereka. Situasi ini membawa masalah kepada
misi INA kerana Jepun adalah merupakan tulang belakang kepada INA. Walau
bagaimanapun, Subhas tetap dengan pendiriannya, iaitu walaupun tanpa kehadiran
pihak Jepun INA tetap dengan perjuangan
mereka untuk membebaskan India daripada British.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya wujudnya hubungan
baik di antara Jepun dengan nasionalisme India semasa era perang dunia kedua
disebabkan oleh Ras Behari Bose dan Subhas Chandra Bose. Ekoran daripada
hubungan yang terjalin ini telah melahirkan beberapa kerjasama seperti Jepun
telah membantu Indian National Army (INA) bagi menghalau British dari Indian. Buktinya
telah wujudnya sekolah perinsikan yang ditubuhkan . Jepun telah membantu INA
melahirkan beberapa perisik yang berkebolehan dan berwibawa. Justeru, dengan
tertubuhnya sekolah ini tentera INA dapat dilatih untuk memperolehi maklumat
berkaitan dengan pihak tentera dan pertahanam musuh. Bukan
itu sahaja, kerjasama INA dengan Jepun dapat dilihat dengan menghantar
pegawai-pegawai INA ke luar negara di bawah naungan ‘Army Affairs Traning Office.
Seterusnya, hubungan Jepun dengan
nasionalisme Indian juga dapat dilihat melalui penubuhan Free India Provisional Government (FIPG), Parti Liga Kemerdekaan India (LKI),
pengorganisasian semula Parti Liga Kemerdekaan India (LKI) dan Indian National Army (INA), penubuhan
Rejimen Jhansi Rani dan Indian National Army (INA) di Burma.
Hubungan
yang terjalin di antara Jepun dengan India adalah disebabkan oleh peranan yang
dimainkan oleh Subhas Chandra Bose dan beberapa
tokoh nasionalisme di India bagi menghalau kuasa British di India.
[1] Azharudin Mohd Dali. (2004). Tamadun
India. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 253
[2] Anil Seal. (1987). Kemunculan
Nasionalisme India : Persaingan dan Persubahatan Pada Akhir Abad ke-19.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm 1
[3] Azharudin Mohd Dali. Tamadun
India. Hlm 259
[4] Azharudin Mohd Dali. Tamadun
India. Hlm 313
[5] R. Rajakrishnan & M. Rajatheran. (1994). Pengantar Tamadun India. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm
147
[6] Azharudin Mohd Dali. Tamadun
India. Hlm 313
[7] R. Rajakrishnan & M. Rajatheran. Pengantar Tamadun India. Hlm 147
[8] Azharudin Mohd Dali. Tamadun
India. Hlm 314
[9] Joginder Singh
Jessey. (1978). Sejarah China dan Jepun.
Kuala Lumpur: Academe Art & Printing Service Sdn. Bhd. Hlm 320.
[10] Mitchell. O. C.
(2008). Hitler’s Stormtroopers and The Attack on the Germain Republic, 1919-1933.
United States: McFarland & Company
Inc. Hlm 29-58.
[11] Alan Sharp. dlm,
Frank McDonough. (2011). The Origins of
The Second World War: An International Perspective. New York: Continum International
Publishing Group. Hlm 10.
[12] Ibid. hlm 11.
[13] Azharudin Mohd Dali. Tamadun India. Hlm 314.
[14] Jim Masselos. (1993).
Indian Nationalism: A History. (3rd
Ed). New Delhi: Sterling Publishing. hlm 207.
[15]Kanailal Basu. (2010). Netaji :Rediscovered. Indiana : Author
House. Hlm 100
[16] Mihir Bose. (2004). Raj, Secret, Revolution : The Life of
Subhas Chandra Bose. Norwich
: Grice Chapman Publsihing. Hlm 220
[17] Vas. E. A.(2005). Subhas Chandra Bose: The Man And His Time. New Delhi : Lancer
Publishers.Hlm 35
[18] Subhash Chanra Chattopadhyay.(1989). Subhas Chandra Bose :Man, Mission And Means.
Calcutta: Minerva Associates. Hlm 170
[19] Marshall J. Getz. (1938). Subhas
Chandra Bose : A Bibliography. Carolina : McFarland & Company,
Inc. Hlm 111
[20] Shridhar Charan Sahoo.(1997). Subhas Chandra Bose: Political Philosophy.
New Delhi: Aph Publishers. Hlm 98
[21]
Harkirat Sigh. (2003) Indian National
Army Trial and the Raj. New Delhi :Atlantic Publishers and Distibutors. Hlm
9
[22] Tatsuo Hayashida (1970). Netaji
Subhas Chandra Bose: His Great Struggle and Martyrdom. Calcutta : Allied
Publisher. Hlm 5.
[24] Tatsuo Hayashida. Netaji
Subhas Chandra Bose: His Great Struggle and Martyrdom.Hlm 50
[25] Ibid. Hlm 45
[26] Milan Hauner. (1981). India
in Axiz Strategy, Germany, Japan and Indian Nationalists In The Second World
War. Hlm 606.
[27] Tatsuo Hayashida. Netaji
Subash Chandra Bose: His Great Struggle and Matyrdom. Hlm 11
[28] Christoper Bayle et. al. (2004). Forgotten Armies: The Fall Of British Asia 1941-1945. England:
Clays LTD. Hlm 42
[29] Rainer Jerosch. (2007). The
Rani Of Jhansi, Rebel Against Will: A Biography Of The Legendary Indian Freedom
Fighter In The Mutiny Of 1857-1858. Delhi: Aaskar Book. Hlm 3
[30] Azharuddin Mohd Dali. (2012). Sejarah
Masyarakat India Di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Hlm 256.
[31] M.Abel (2005). Glimpses Of
Indian Ntional Movement. India: ICFAI Books. Hlm 249
[32] Joyce C. Lebra (2008). The
Indian National Army and Japan. Institue of Southeast Asian Studies. Hlm
128.
[33] Himansu Roy (2000). Poverty
of Gandhian Philosophy. Concept Publishing Company. Hlm 75
[34] Harkirat Singh. Indian
National Army Trial and The Raj. Hlm 17
[35] Ibid.
[36] Harkirat Singh (2003). Indian
National Army Trial and The Raj.. Hlm 8.
[37] Wan Hashim (2011). Hubungan
Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Institut Teremahan Negara Malaysia. Hlm
43-44.
[38] Kernial Sing Sandhu & A. Mali (editor) (1993). Indian Communities In Southeast Asia.
Institute Of Southeast Asian Studies. Hlm 16.
[39] Vipul Singh (2008). The
Pearson Indian History Manual For The UPSC Civil Service Preliminary
Examination. India: Pearson Education in South Asia. Hlm 152.
[40] Ian Morrison (1949). Aspect
of the Racial Problem in Malay. Pacific Affairs. Hlm 240.
[41] Lion M.G Agrawal (2008). Freedom
Fighters of India Volume 4. Gyan Publishing House. Hlm 150
[43] Ibid. Hlm 11.
[44] Lion M.G Agrawal (2008). Freedom
Fighters of India Volume 4. Hlm 150
[46] Lion M.G Agrawal. Freedom
Fighters of India Volume 4. Hlm 150
[48] Judith E.Walsh (2006). A
Brief History of India. India: Infobase Publishing. Hlm 2001.
[49] Lion M.G Agrawal. Freedom
Fighters of India Volume 4. Hlm 154
[50] Joyce Lebra-Chapman (2010). Japanese Trained Armies in Southeast Asia.
Institute of Southeast Asian Studies. Hlm 29-30.
[53] Joyce Lebra-Chapman (2010). Japanese Trained Armies in Southeast Asia.
Hlm 32-34.
[54] Kumar Ray (2007). Aspects of
India’s International Relations 1700 to 2000: South Asia and the World.
India: Pearson Education India. Hlm 395-402.
[55]
Joyce Lebra, Women Against the Raj: The Rani of Jhansi Regiment .
2008. Hlm 21
[56]
Heehs, Peter, India‟s divided loyalties, History Today, Jul95, Vol.45, Issues
7.
[57]
Ranjan Borra, Subash Chandra Bose,The Indian National Army and the war of
India‟s Liberation, Journal of Historical Review: Vol 20(2001).
[58] R.C
Roy, Orissa Review, Social, Economic and Political Philosophy of Netaji
Subhas Chandra Bose. Hlm3.
[59]
Christopher Bayle et. al, Forgotten Armies : The Fall of British Asia
1941-1945, Clays Ltd : England, 2004.
No comments:
Post a Comment