nuffnang

Thursday, June 13, 2013

PENULISAN TUHFAT AL-NAFIS KURANG OBJEKTIF

            Setelah membaca buku Tuhfat al-Nafis, saya mendapati karya tersebut kurang objektif setelah mempertimbangkan beberapa aspek dan bukti. Antaranya ialah disebabkan adanya hubungkait keturunan antara kedua-dua pengarang Tuhfat al-Nafis (TN) dengan Yang Dipertuan Muda Riau. Raja Ali Haji merupakan anak Raja Ahmad[1] manakala Raja Ahmad dan Raja Jaafar (Yang Dipertuan Muda ke-6) pula merupakan adik-beradik.[2] Keadaan ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi penulisan TN kepada pro-Bugis disebabkan wujudnya hubungan persaudaraan antara pengarang TN dengan pembesar Riau (Yang Dipertuan Muda). Hal ini kerana sudah menjadi lumrah manusia apabila wujudnya ikatan persaudaraan antara dua pihak maka tentunya sebelah pihak akan menjaga hak dan kepentingan pihak yang satu lagi. Begitu juga dalam hal hubungan persaudaraan antara pengarang TN dengan Yang Dipertuan Muda. Penulisan TN  oleh Raja Ahmad dan Raja Ali Haji tentunya sedikit-sebanyak akan condong ke arah menaikkan martabat dan kedudukan Yang Dipertuan Muda dan keturunan Bugis sesuai dengan matlamat asal penulisan TN.[3]
Misalnya Raja Ahmad yang menjadi ketua penasihat hal-ehwal agama dan pembantu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dalam urusan pentadbiran pastiya akan cenderung ke arah menaikkan martabat dan kedudukan Raja Jaafar.[4] Hal ini menyebabkan penulisan TN kurang objektif walaupun ianya memaparkan watak dan peristiwa yang benar-benar wujud.
            Selain itu, pengarang juga cuba memperkecilkan kewujudan Raja Kecil (Tuan Bujang)[5] menyebabkan penulisann TN kurang objektif. Kisah kemunculan Raja Kecil yang memang popular dan terkenal dengan pelbagai mitos dan lagenda sememangnya menarik dan penuh dengan misteri.
            Menurut Hikayat Siak[6], Sultan Mahmud Syah II merupakan ayah Raja Kecil yang sebenar. Baginda telah menyuruh Encik Pong (anak Laksamana) memakan mani baginda semasa baginda hampir mangkat setelah ditikam oleh Megat Seri Rama. Dengan izin tuhan, maka Encik Pong pun mengandungkan anak Sultan Mahmud. Peristiwa ini turut dipaparkan dalan TN tetapi dengan sedikit perubahan. Sekiranya Hikayat Siak (HS) amat yakin bahawa Raja Kecil sebenarnyalah Putera Sultan Mahmud Syah II, beribukan Encik Pong dan kedaulatannya pula telah dibuktikan dengan ‘pesaka’ Yamtuan Sakti dari Pagaruyung, maka kisah ini telah diceritakan dengan penuh keraguan dalam TN dengan menggunakan istilah “konon"[7]. Walaupun kisah kewujudan Raja Kecil turut dimuatkan dalam TN seolah-olah menunjukkan bahawa pengarang turut mempercayainya, namun jika diteliti pengarang seolah-olah cuba memperkecil serta memperlekehkan kewujudan Raja Kecil serta keturunan baginda seperti berikut :

 “…waktu baginda itu datang berahikan isterinya peri, maka terpancarlah mani baginda itu. Lalu disuruhya makan kepada Encik Pong itu. Maka jadilah Encik Pong bunting konon.” [8]

Jika kita perhatikan, sukar diterima akal seorang manusia yang waras bahawa seseorang wanita itu boleh hamil dengan hanya memakan mani lelaki. Bukti ini jelas bertentangan dengan fitrah asal kejadian manusia. Jadi bukti ini telah digunakan oleh pengarang TN untuk memperlekehkan kisah kewujudan Raja Kecil dan menghina seluruh kaum kerabat baginda dengan memaparkan kisah tersebut dalam karya mereka sekaligus akan menaikkan lagi martabat golongan Bugis.
            Adalah sesuatu yang menarik apabila Raja Ali Haji dapat menemui, merujuk dan menggunakan sumber bertulis dari Siak (Hikayat Siak) untuk menulis Tuhfat al-Nafis mengenai aktiviti keluarga Siak-Minangkabau yang telah sekian lama menjadi musuh nenek moyang mereka.[9] Walau bagaimanapun, tentulah penulisan TN lebih memfokuskan kepada menaikkan martabat golongan Bugis sesuai dengan tujuan asal penulisan TN. Hal ini membuktikan bahawa pengarang TN sememangnya kurang objektif dalam penulisan karya mereka kerana dipengaruhi sentimen pro-Bugis.
            Selain itu, pengarang TN juga cuba memperlekehkan Raja Kecil dengan menuduh Raja Kecil telah menyuruh pengikutnya menyebarkan dakyah tentang asal-usul keturunannya iaitu merupakan anak Sultan Mahmud Syah II. Pengarang cuba menyatakan bahawa Raja Kecil seorang yang jahat dan tidak jujur apabila sengaja mencipta pelbagai mitos dan lagenda bagi meyakinkan rakyat jelata terutamanya Orang Laut bahawa bagindalah anak Sultan Mahmud yang sebenar yang dikandung oleh Encik Pong. Baginda juga telah mengugut rakyat jelata yang enggan menurutinya bahawa mereka akan ditimpa daulat Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.[10]
            Pengarang TN juga kurang objektif dalam penulisannya apabila menyebut bahawa Raja Kecil cuba mempengaruhi Orang Laut dengan memberi rasuah berupa pelbagai barangan yang mahal seperti kain dan sebagainya. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan sokongan Orang Laut kerana penglibatan mereka amat penting dalam memecahkan ikatan pihak Melayu Johor dengan Bugis[11] yang selama ini menjadi tunjang kepada kekuatan tentera laut kerajaan Johor-Riau. Raja Kecil  cuba memujuk Orang Laut untuk menyertai baginda dalam komplot jahat baginda bagi menyerang Johor :
           
“…kurnia daripada Raja Kecik dan Raja Kecik sudah sedia dengan beberapa kayu kain yang baik akan persalinan jenang batin itu, apa lagi Raja Negara”.[12]
           
             Di samping itu, pengarang TN juga kurang objektif apabila menggambarkan bahawa Raja Kecillah yang sebenarnya pergi menemui keluarga Bugis dan mengajak mereka untuk turut serta menyerang Johor dalam peristiwa perjanjian antara pihak Bugis dengan pihak Minangkabau untuk menyerang Johor-Riau. Pihak Bugis pula menolak pelawaan tersebut dengan perasaan megah kerana menyangka bahawa ianya adalah tipu muslihat Raja Kecil sahaja.[13] Pengarang seolah-olah cuba menyembunyikan kisah sebenar sebagaimana yang terdapat dalam Hikayat Siak yang menyatakan bahawa Opu Bugis lima bersaudaralah yang telah pergi menemui Raja Kecil dan meminta untuk diadakan perjanjian dengan pihak Bugis bagi menyerang Johor[14]. Hal ini membuktikan pengarang kurang objektif kerana cuba menyembunyikan peristiwa sebenar.  
Dalam peristiwa yang lain pula, pengarang TN cuba memperlekehkan Raja Kecil dalam peristiwa percubaan baginda mendapatkan semula isterinya iaitu Tengku Kamariah.[15] Hikayat Siak menyatakan bahawa Raja Kecil datang ke istana Johor dengan sifat kepahlawanan dan ‘kejantanan’ bagi mendapatkan semula isterinya. [16] Namun begitu, pengarang TN pula menyatakan sebaliknya dengan menggambarkan kedatangan Raja Kecil dengan penuh rasa rendah diri dan merayu-rayu agar dikembalikan semula isterinya dan berjanji tidak akan membuat kacau di Johor-Riau lagi.[17] Pengarang sememangnya mempunyai motif untuk memperlekehkan Raja Kecil dengan menggambarkan baginda sebagai seorang yang penakut.
Kisah tersebut diteruskan lagi dengan peristiwa Raja Kecil mengingkari sumpah dan janjinya yang dilakukan di masjid. Hal ini menyebabkan baginda telah ditimpa tulah ‘besi kawi’ dan seterusnya menjadi gila sehingga membawa kepada kemangkatannya setimpal dengan perbuatannya melanggar sumpah yang telah dilakukan sebelumnya.[18] Pengarang TN cuba menunjukkan balasan seseorang yang telah melanggar sumpahnya selain menggambarkan Raja Kecil sebagai seorang yang tidak mematuhi janji dengan tujuan untuk memperkecilkan Raja Kecil.  
Tindakan pengarang TN yang cuba memperlekehkan Raja Kecil turut dibuktikan melalui kisah Raja Kecil yang cuba membuat fitnah terhadap pihak Bugis. Raja Kecil telah menuduh bahawa pihak Bugis hendak mengamuk dan membakar rumah penduduk tempatan sehingga menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu Terengganu.[19] Namun begitu, tuduhan tersebut adalah fitnah semata-mata setelah disiasat oleh Yang Dipertuan Muda serta Bendahara. Hal ini membuktikan ‘kebiadaban’ serta niat jahat Raja Kecil yang cuba memburuk-burukkan pihak Bugis sekaligus membuktikan pengarang TN kurang ojektif apabila cuba memperkecil serta menghina Raja Kecil.  
Di samping iu, pengarang TN juga cuba menaikkan martabat dan kedudukan Opu Bugis lima bersaudara, Yang Dipertuan Muda Riau serta keturunan mereka. Hal ini terbukti apabila Raja Ali Haji cuba menggambarkan Raja Jaafar sebagai seorang pembesar dan pemimpin rakyat yang sangat amanah, jujur, bertanggungjawab dan sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat jelata. Hal ini menyebabkan rakyat jelata serta kaum keluarga baginda berasa sangat sedih ketika kemangkatan baginda .[20]
            Dalam kisah yang lain, Bugis lima bersaudara juga digambarkan sebagai pahlawan yang amat berani dan bijak berpolitik sehingga telah dijemput untuk menyelesaikan masalah perebutan takhta Raja Kedah muda dan Raja Kedah tua.[21]
Pengarang TN turut menggembar-gemburkan bahawa Bugis lima bersaudara sebagai seorang yang baik rupa paras serta budi pekertinya selain seorang pahlawan yang hebat terutamanya Daeng Celak dengan kata-kata pujian seperti berikut :
           
“Adalah putera (Tanderi Burung Daeng Ralaka) yang lima itu baik belaka parasnya, serta dengan sikanya dan pahlawannya. Akan tetapi Upu Daeng Celaklah yang terlebih sangat baik parasnya, memberi ghairah hati perempuan-perempuan memandangnya…”[22]
            Selain itu, penulisan TN juga kurang ojektif apabila cuba menaikkan martabat Opu Bugis lima bersaudara dengan menggambarkan mereka dengan rasa rendah diri enggan dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda dan Raja Sulaimanlah yang bersungguh-sungguh ingin melantik mereka menyandang jawatan Yang Dipertuan Muda[23] walaupun sebelum itu dinyatakan bahawa pihak Bugis cuba mengambil kesempatan atas kekacauan politik Johor-Riau dengan menerima pelawaan Tengku Tengah dan Raja Sulaiman untuk menolong orang Melayu-Johor menentang Raja Kecil. Sebagai balasan, Raja Sulaiman akan dilantik sebagai sultan manakala salah seorang daripada Opu Bugis lima bersaudara akan dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda sebagaimana contoh berikut :
           
“…berjanji Raja Sulaiman dengan Opu-opu itu , jika hasil, salah satu Opu-opu itu menjadi Yang Dipertuan Muda turun-temurun”.[24]

Hal ini menunjukkan wujud campur tangan pengarang TN yang cuba memanipulasikan fakta-fakta tersebut mengikut matlamat dan motif pengarang yang sudah tentu cuba menaikkan martabat dan keperibadian puak Bugis.
            Usaha pengarang TN untuk ‘mengangkat martabat golongan Bugis’ diteruskan lagi dalam peristiwa kamangkatan Daeng Parani dalam peperangan antara pihak Minangkabau dengan Bugis di Kedah. Dalam Hikayat Siak, dikatakan bahawa Raja Kecil melalui muslihat peperangannya berjaya membedil Daeng Parani sehingga membawa kepada kemangkatan beliau.[25] Raja Ali Haji sebaliknya menyatakan bahawa kemangkatan Daeng Parani bukan kerana telah dibedil oleh Raja Kecil tetapi disebabkan ‘takdir Allah SWT’ sekaligus membangkitkan kemarahan pihak Bugis bagi menuntut bela atas kematian saudara mereka sehingga berjaya mengalahkan Raja Kecil.[26]
Penulisan Tuhfat al-Nafis juga kurang objektif apabila menceritakan tentang permusuhan orang Melayu dengan Bugis. Contohnya dalam peristiwa kedatangan pihak Belanda ke Riau bagi mengutip hutang yang tertunggak. Dalam TN, digambarkan bahawa Yang Dipertuan Muda Riaulah ( Raja Jaafar) yang telah menjelaskan hutang tersebut sedangkan pembesar Melayu iaitu Bendahara hanya tertunduk sahaja seperti berikut :
“…Syahadan maka Datuk Bendahara pun tertunduklah”.[27]
Bukti ini menggambarkan sikap puak Bugis yang cuba memperlekehkan orang Melayu yang tidak boleh diharap dan hanya mengharapkan bantuan orang lain. Dalam hal ini, pengarang TN cuba menggambarkan bahawa puak Bugislah yang telah menyelamatkan maruah orang Melayu dan merupakan keturunan yang mulia.  
            Dalam peristiwa yang lain, pengarang turut memburuk-burukkan orang Melayu dengan mengatakan bahawa orang Melayu sememangnya mempunyai perasaan hasad dan dengki tertahap keturunan Bugis :
            “Syahadan apabila dilihat oleh setengah suku-suku sebelah Melayu hal yang demikian itu, maka terbakarlah hatinya oleh api hasad yang tertanam di dalam hatinya”.[28]

            Perasaan hasad dengki ini timbul apabila mereka melihat kemesraan Sultan Sulaiman yang amat rapat dengan pihak Bugis sebagaimana berikut :
 “…tampak kasih sayangnya, tulus ikhlasnya dan mesranya dengan Yang Dipertuan Muda adik-beradik”.[29]
Contoh tersebut jelas menggambarkan sikap pengarang TN yang cuba memperlekehkan orang Melayu sebagai keturunan yang hina dan penuh dengan hasad dengki manakala keturunan Bugis pula diagung-agungkan sebagai bangsa yang mulia dan hebat dengan mengimbas kembali zaman kegemilangan mereka.[30]
            Pengarang TN juga kurang objektif dalam penulisannya apabila turut menyelitkan unsur mitos dan lagenda dalam karyanya. Misalnya asal-usul keturunan Bugis yang berasal dari keturunan Puteri Balqis walaupun pengarang kurang pasti tentang kebenarannya apabila menggunakan istilah “konon”.[31] Pembinaan mitos ini mungkin sengaja dicipta untuk memberikan keabsahan tentang kedatangan keluarga Bugis di Johor-Riau.[32] Begitu juga dengan kisah Daeng Menambun yang bermimpi tentang zakar Daeng Celak yang ‘menjulur menjadi naga dengan kepalanya menghadap Johor’.[33]
KESIMPULAN

            Setelah meneliti karya Tuhfat al-Nafis, saya dapati penulisannya kurang objektif kerana wujud unsur prejudis pengarangnya yang pro-Bugis. Sejarawan E. H. Carr telah menampilkan teori tentang hubungan yang erat antara seorang penulis sejarah dengan latar belakang masyarakat, masa, zaman serta bentuk pemikiran.[34] Melalui bukti dan contoh yang dikemukakan, jelaslah pengarang kurang objektif dalam penulisannya dan bercanggah dengan pandangan Collingwood yang mengatakan bahawa “sejarah perlu ditulis sebagaimana ia benar-benar berlaku”. Hal ini mungkin disebabkan penulisan Tuhfat al-Nafis bukanlah untuk keperluan sejarah dan pensejarahan semata-mata malah lebih daripada itu adalah sebagai piagam dan wasiat untuk menyedarkan ‘sekelompok masyarakat’ iaitu anak cucu Raja Ali Haji agar mengingati semula kejayaan dan keagungan yang pernah dicapai oleh datuk nenek mereka dahulu.[35]

















[1] Lihat Tuhfat al-Nafis, edisi 1982, hlm:37.
[2] Ibid, hlm:31.
[3] Lihat Muhammad Yusof f Hashim. 1992. Pensejarahan Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm:509.

[4] Ibid, hlm:482.
[5] Beliau merupakan Sultan Siak pertama dengan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Syah, memerintah Siak antara tahun 1723 hingga 1740 Masihi.
[6] Lihat Tengku Said. 1992. Hikayat Siak (diseleggarakan oleh Muhammad Yusoff Hashim). Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. hlm : 111.

[7] lihat Tuhfat al-Nafis, edisi 1982, hlm :16.
[8] Ibid, hlm:16.
[9] Lihat Tengku Said. 1992. Hikayat Siak (diseleggarakan oleh Muhammad Yusoff Hashim). Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. hlm :91.
[10] Lihat Tuhfat al-Nafis , edisi 1982, hlm:57.
[11] Lihat Leonard Y. Andaya. 1975. The Kingdom of Johor. Kuala Lumpur : Oxford University Press.hlm:22-28.
[12] Ibid, hlm:57.
[13] Lihat Tuhfat al-Nafis, edisi 1965, hlm:42.
[14] Tengku Said. 1992. Hikayat Siak (diseleggarakan oleh Muhammad Yusoff Hashim). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.hlm :124.
[15] Merupakan puteri Bendahara Abdul Jalil. Beliau berkahwin dengan Raja Kecik setelah baginda putus tunang dengan kakak Tengku Kamariah iaitu Tengku Tengah.
[16] Tengku Said. 1992. Hikayat Siak (diseleggarakan oleh Muhammad Yusoff Hashim). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.hlm :129.

[17] Lihat Tuhfat al-Nafis, edisi 1982, hlm:93-94.
[18] Ibid, hlm:119.
[19] Ibid, hlm:132.
[20] Lihat Tuhfat al-Nafis, edisi 1982, hlm:311-312.
[21] Mohd Yusof Mohd Noor. 1997. Salasilah Melayu dan Bugis. Shah Alam : Penerbitan Fajar Bakti Sdn Bhd.hlm:18.
[22] Lihat Tuhfat al-Nafis, edisi 1982, hlm:49.
[23] Ibid, hlm:83.
[24] Lihat Tuhfat al-Nafis, edisi 1965, hlm:45.
[25] Tengku Said. 1992. Hikayat Siak (diseleggarakan oleh Muhammad Yusoff Hashim). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.hlm :138.

[26] Lihat Tuhfat al-Nafis, edisi 1982, hlm:92.

[27] Ibid, hlm:156.

[28] Lihat Tuhfat al-Nafis, edisi 1982, hlm:132.
[29] Ibid, hlm:132.
[30] Lihat Muhammad Yusof Ibrahim. 1986. Pengertian Sejarah : Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm :70.
[31] Lihat Tuhfat al-Nafis, edisi 1982, hlm:22.
[32] Lihat Muhammad Yusof f Hashim. 1992. Pensejarahan Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm:476.


[33] Lihat Tuhfat al-Nafis, edisi 1965, hlm:40.
[34] Lihat E. H. Carr. 1962. What is History. hlm: 25-49.
[35] Lihat Muhammad Yusof f Hashim. 1992. Pensejarahan Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm:513.

No comments:

Post a Comment