nuffnang

Thursday, June 13, 2013

SUMBER SEJARAH

PENGENALAN

Apakah itu sumber sejarah? Menurut Christoper T.Husband, sumber sejarah merupakan kunci atau bahan penting sejarah bagi memperoleh pengetahuan yang luas mengenai sejarah. Melalui sumber sejarah corak perilaku, hidup, dan tulisan masyarakat masa lalu dapat dikaji. Sumber sejarah, baik bertulis mahupun lisan, sampai kepada kita dalam bentuk bahasa, penuh dengan kod, simbol serta segala jenis tanda makna, interprestasi dan persepsi manusia yang meniggalkannya.[1] Menurut Oxford English Dictinory, sumber atau “source” bermaksud sebuah karya, dan lain-lain yang menyediakan maklumat atau bukti (khusus yang bersifat tulen atau asli) berkenaan sesuatu fakta, kejadian, atau siri hal-hal tersebut.[2]
Menurut Kamus Dewan, Sumber ditakrifkan sebagai asal, punca, atau rekod.[3] Manakala R.G.Collingwood dalam bukunya Idea of History” menyatakan sumber ialah teks yang mempunyai kenyataan-kenyataan mengenai sesuatu peristiwa sejarah.[4] Sumber sejarah amat penting dalam penyelidikan sejarah dan dijadikan rujukan kepada ahli-ahli sejarah untuk menghasilkan penulisan sejarah yang tepat serta dapat memberitahu kepada masyarakat hari ini tentang kehidupan masyarakat dahulu. Menurut R. Suntharalingam dalam karya beliau yang bertajuk “Pengenalan Kepada Sejarah”, beliau menilai sejarah sebagai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua hal, ini termasuklah sosial, politik dan ekonomi.
Garraghan mendifinisikan sumber sebagai disiplin sejarah yang merangkumi berbagai-bagai bentuk, jenis, dan rupa.[5] Menurut Muhd. Yusof Ibrahim, sumber merupakan suatu yang boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan. Sumber itu berbeza dengan ilham kerana sumber tidaklah bersifat abstrak ataupun spontan tetapi sumber boleh dirujuk semula apabila diperlukan. Sumber juga dikatakan sebagai sekumpulan bahan yang tersimpan di arkib, perpustakaan, muzium, istana dan sebagainya dan boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan dalam semua bidang keilmuan.[6] Sumber sejarah ialah sesuatu yang boleh menjadi punca kepada sesuatu lahiran pemikiran ataupun penulisan dan kita boleh rujuk kembali apabila kita memerlukannya semula.[7] Sumber digunakan sebagai rujukan bagi kegunaan penyelidikan dalam mana-mana bidang ilmu. Kaedah penyelidikan sumber ini penting untuk membuktikan bahawa sejarah itu benar-benar wujud. Dalam kajian terhadap sumber sejarah, keaslian sumber sejarah terhadap keaslian sumber, kandungan, dan tujuan mengkaji sumber perlu dititik beratkan bagi membuktikan bukti itu benar.
Secara amnya, sumber juga boleh diertikan kumpulan bahan rujukan bagi kegunaan penyelidikan dalam mana-mana bidang keilmuan.[8] Umumnya dari segi sejarah, sumber itu kerap dibahagikan kepada dua iaitu Sumber Primer dan Sumber Sekunder. Walaupun begitu, satu lagi kumpulan ialah Sumber Lisan yang kadangkala boleh dikategorikan sebagai sumber utama ataupun sumber kedua, bergantung kepada kepentingan dan ketulenan serta kejituannya berhubung dengan sesuatu peristiwa yang sedang dikaji dan diselidiki. Sumber arkeologi turut dikategorikan sebagai sumber sejarah. Ini bermakna, sumber sejarah boleh dibahagikan kepada empat bahagian iaitu sumber primer, sumber sekunder, sumber arkeologi dan sumber lisan.

Sumber Primer
Sumber pertama merupakan sumber yang masih asli dan belum ditafsirkan atau sumber yang masih mentah bagi penghasilan sesuatu barangan. Hal ini menyaksikan sesuatu peristiwa atau seseorang yang terima maklumat dari mereka yang terlibat dalam peristiwa tersebut. Menurut Kamus Dewan, primer bermaksud yang pertama, yang terpenting, dan yang utama.[9] Sumber primer dihasilkan menerusi peristiwa sezaman dan kebanyakannya diceritakan semula oleh saksi atau orang yang pernah terlibat dalam peristiwa tersebut. Menurut  Louis Gottschalk dalam bukunya, “Understanding History: A Primer of Historical Method” menyatakan bahawa sumber primer adalah sumber yang diperolehi daripada saksi-saksi dalam bentuk tulisan, catatan dan juga saksi utama kepada sesuatu peristiwa yang berlaku.[10] Athur Marwick pula menyifatkan sumber primer adalah sebagai bahan yang wujud dalam keadaan asas, mentah dan tidak sempurna atau dengan kata lain sumber primer merupakan sumber yang masih belum diproses oleh ahli sejarah.[11] Manakala menurut Mohd. Yusof bin Ibrahim dalam bukunya, menyatakan bahawa sumber primer ialah kumpulan sumber mahupun bahan yang boleh dirujuk tetapi keadaannya masih asli dan belum ditafsirkan.[12] Garraghan mendefinisikan sumber sejarah sebagai disiplin sejarah yang merangkumi berbaga-bagai bentuk, jenis dan rupa. Rekod-rekod bertulis atau tidak bertulis, tradisi lisan, peninggalan kampung-kampung pra-sejarah, tulisan-tulisan purba pada dinding batu.[13] Secara ringkasnya, segala testimonial tentang sebarang objek yang dapat memberi gambaran sejarah manusia, dapat dikategorikan ke dalam apa yang kita panggil “sumber sejarah”.
Untuk mengenal pasti sumber primer, ia mempunyai ciri-ciri yang perlu dilihat. Sumber primer mempunyai kandungan yang masih baru dan dihasilkan oleh idea-idea kreatif dan ia tidak diterjemahkan ke bahasa yang lain dan mengekalkan tulisan yang asal. Sumber primer belum ditafsirkan dimana teks yang sebenar tidak diubahsuai dan ditokok tambah. Dalam sesuatu penyelidakan sejarah, sumber primer merupakan maklumat pertama yang diperolehi untuk membuat sesuatu kajian. Sumber primer juga merupakan bahan mentah yang belum diproses ataupun tidak mengalami perubahan secara fizikal. Sumber primer merupakan sumber yang sukar diperolehi kerana terhad, sulit, terhapus, milik peribadi atau orang perseorangan.
            Sumber primer terdiri daripada bahan dokumen, surat rasmi, catatan, laporan, buku harian, warkah watiqah dan titah perintah. Ahli-ahli sejarah dan penyelidik boleh memperolehi sumber primer dalam pelbagai bentuk dan jenis, seperti surat tulisan tangan yang meliputi surat-surat milik perseorangan (individu), pembesar (bangsawan) keturunan syed, penghulu, Ketua Adat, Arkib Negara Malaysia, perpustakaan, muzium, dan juga Pejabat Public Rekod di Singapura, India dan, London. Selain itu, artifak arkeologi juga merupakan salah satu sumber primer yang boleh membantu ahli sejarah dalam usaha mengumpul maklumat sejarah. Contohnya tinggalan artifak-artifak sejarah seperti jumpaan manik-manik serpihan dan pecahan tembikar dan kota candi adalah inskripsi di tapak-tapak arkeologi. Akhbar juga dikelaskan sebagai sumber primer dalam bidang kajian sejarah.
Sumber akhbar boleh diperolehi sama ada dengan merujuk di perpustakaan negeri, Arkib Negara Malaysia dan Syarikat Percetakan Surat Khabar. Ini bermakna, sumber seperti diari atau memoir yang pernah ditulis oleh seseorang tokoh silam, berita dalam akhbar lama, laporan polis pada masa lampau semuanya dikelaskan sebagai sumber pertama.[14] Sumber adalah bahan-bahan kajian yang sangat rapat dengan usaha penyelidikan sejarah. Ia merupakan bahan yang sangat penting  iaitu bahan asasi bagi penyelidikan sejarah yang boleh diertikan sebagai mencari dan mentafsirkan sumber-sumber. Secara asasnya sumber sejarah bererti “punca” ataupun “bahan”, “rujukan” yang mesti dicari dan diguna atau ditafsir oleh sejarawan untuk mendapatkan bukti-bukti ataupun maklumat bagi sesuatu peristiwa yang dikajinya.
Sumber-sumber adalah terdiri dari pelbagai bahan seperti dokumen, catatan, karya penulisan, buku harian, surat peribadi, suratkhabar dan majalah, mata wang, gambar foto, lukisan, batu bersurat, batu nisan, pita (tape), malah artifek-artifek dari zaman pra-sejarah. Penyaksi atau keterangan saksi yang sah adalah juga sumber sejarah. Contoh surat tulisan tangan seperti surat yang ditulis orang perseorangan, keturunan raja, keturunan syed, penghulu, ketua adat, dan lain-lain. Contohnya surat-surat daripada Mejar William Farquhar, surat-surat Perjanjian Pangkor (20 Jan 1874) yang ditandatangani diantara Raja Abdullah dengan Andrew Clark. Kebanyakan surat-surat tulisan tangan disimpan oleh individu-individu yang tertentu yang mempunyai perkaitan peristiwa sejarah. Autobiografi turut diklasifikasikan dalam sumber pertama kerana ia merupakan dokumen yang ditulis oleh orang pertama yang mengisahkan tentang peristiwa yang berlaku ke atas orang tersebut termasuklah kisanya sendiri. Contohnya, “Tuanku Abdul Rahman As I See It” dan “My Life in Sarawak” oleh Rancee of Sarawak (Margaret Brooke).  Penggunaan sumber harus melalui proses pemilihan atau penapisan, dan penilaian untuk menentukan ketulenan atau kesahihannya, kaitan dan seterusnya kebenaran fakta serta maklumat yang terdapat di  dalamnya. Louis Gottschalk mengistilahkan proses-proses ini sebagai “kritikan luaran” dan “kritikan dalaman”.[15]
Sumber primer mempunyai kelebihan-kelebihan yang tertentu. Antaranya ialah penggunaan sumber primer oleh ahli sejarah dapat menjelaskan tentang kebenaran sejarah dari sudut ‘Validity’ iaitu ketepatan fakta sejarah. Ahli sejarah turut dapat menghasilkan penyelidikan dan penulisan sejarah yang berkualiti dan baik kerana sumber primer merupakan sumber yang tepat dan tidak ada unsur bias. Selain itu, penulisan sejarah yang menggunakan sumber primer akan dijadikan rujukan utama kepada ahli sejarah lain apabila melakukan kajian sejarah. Seterusnya, penggunaan sumber primer dengan kaedah sejarah dan kaedah penulisan yang betul akan dapat mengelakkan kesilapan dan kesalahan dalam fakta-fakta sejarah. Dari segi hierarkinya, sumber pertama (primary source) sudah tentu dianggap lebih tinggi kedudukannya daripada sumber kedua (secondary source).[16] Misalnya, katakan seseorang itu menulis buku tentang Darurat yang diisytiharkan di Malaya dalam tahu 1948, maka sumber pertama yang digunakannya ialah dokumen kerajaan Inggeris pada masa itu, laporan akhbar tempatan dalam tahun tersebut, laporan polis, serta surat-surat peribadi dan, diari Chin Peng, Shamsiah Fakeh (jika ada dan jika ditemui) dan sebagainya.[17]
            Walaupun begitu, sumber primer turut mempunyai kelemahan. Sumber primer tidak akan memberikan apa-apa makna sekiranya ahli sejarah tidak melakukan proses tafsiran keatas sumber tersebut kerana ia sukar difahami oleh para pembaca. Oleh itu, ahli sejarah perlu membaca dan mentafsir sumber primer tersebut supaya dapat menjelaskan maksud yang terkandung dalam sumber-sumber berkenaan agar ia mudah difahami oleh pembaca. Perbezaan masa dan budaya yang terdapat pada zaman lampau tidak banyak memberi maklumat kepada ahli sejarah yang tidak wujud sezaman dengan sumber tersebut. Sumber primer dianggap amat sukar diperolehi, membosankan, serta sukar untuk dibaca kerana tidak terdapat katalog bagi membantu ahli sejarah dalam penyelidikan. Hal ini menyebabkan, ahli sejarah terpaksa memperuntukkan masa dan melakukan lebih banyak kerja sedangkan memperolehi hasil yang sedikit daripada penggunaan sumber primer.

Sumber Sekunder
Sumber seterusnya yang turut digunakan dalam penulisan sejarah ialah sumber sekunder. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, sekunder bermaksud yang kedua pentingnya atau tidak yang utama atau yang terbit atau terhasil daripada satu yang asas atau utama.[18] Ini bermakna sumber sekunder terhasil daripada sumber primer. Manakala menurut Arthur Marwick dalam bukunya “The Nature of Nasionan ”, sumber sekunder ialah karya-karya yang sudah diproses berdasarkan bahan-bahan mentah  tersebut ataupun daripada saksi-saksi yang terlibat dalam satu kejadian tertentu.[19] Muhd. Yusof Ibrahim mengatakan bahawa sumber sekunder ialah kajian-kajian ataupun penulisan-penulisan yang telah dilaksanakan oleh seseorang mahupun sesuatu kumpulan tentang sesuatu peristiwa ataupun tokoh-tokoh dan sebagainya.[20] Menurut Bilcher Bala, sumber sekunder ataupun disebut sumber kedua adalah sumber yang telah diproses.[21] Arba’iyah Mohd Noor mengatakan sumber sekunder adalah ibarat tulisan atau buku yang ditulis oleh sejarawan tentang seseorang tokoh, sesuatu peristiwa yang didasarkan kepada sumber pertama atau sumber-sumber yang lain dan sebagainya.[22] Manakala menurut Lousi Gottschalk, dalam bukunya “Understanding History: A Primer of Historical Method  ” sumber sekunder adalah sumber yang berbentuk catatan yang diperolehi daripada sesiapa sahaja yang bukan saksi iaitu seseorang yang tidak hadir semasa kejadian itu berlaku.[23] Dapat disimpulkan bahawa sumber sekunder merupakan tafsiran, penyeluruhan, kesimpulan dan malahan andaian-andaian yang dibuat oleh seseorang pengkaji terhadap perkara-perkara yang dikajinya dengan bersandarkan sumber primer yang berkaitan. Sumber sekunder turut menceritakan, menganalisis, mentafsir dan menilai sumber primer. Ia juga merupakan ulasan dan perbincangan tentang buku yang telah disediakan oleh sumber primer.
            Ahli-ahli sejarah sentiasa melakukan penyelidikan terhadap sumber primer untuk mendapatkan maklumat penting. Kemudian maklumat tadi akan ditulis dan, dianalisis  kemudian diterbitkan dalam sebuah buku. Buku yang telah diterbitkan dinamakan sumber sekunder. Sumber sekunder ini memberi gambaran kepada pembaca tentang sesuatu yang telah berlaku berdasarkan sumber primer. Sumber sekunder penting sebagai kajian, mahupun pandangan sekali lalu kerana sedikit sebanyak menggambarkan tentang pandangan seseorang pengkaji itu terhadap perkara dan juga terhadap alam persekitaran masa lalu yang dikajinya.[24] Contohnya, untuk menulis tentang sejarah Melayu, maka kita boleh merujuk kepada penulisan sarjana Barat seperti “A History of The Peninsular Malaya” oleh R.J. Wilkinson. Manakala bagi sarjana tempatan boleh merujuk kepada Buyong Adil dan penulis-penulis Sejarah yang lain.
Sumber sekunder dapat memberi teladan dan pengajaran kepada pembaca. Kita tahu bahawa sumber sekunder merupakan tafsiran menyeluruh sejarawan, maka buku-buku yang dihasilkan mudah difahami. Unsur-unsur yang diselitkan oleh sejarawan dalam penulisannya dapat memberi teladan kepada pembaca. Contohnya, buku “Sejarah Melayu”, dimana penulis banyak menekankan unsur mitos dan legenda untuk menunjukkan bahawa sultan mempunyai kedudukan yang tinggi, maka sebagai rakyat tidak boleh menderhaka kerana jika menderhaka akan terkena tulah. Sumber sekunder juga penting untuk melihat sejarah kita bukan sahaja dari kaca mata tempatan tetapi sedikit sebanyaknya dari kaca yang sebenarnya objektif dan barangkali alternatif dari pandangan sarjana barat yang ternama seperti R.J. Wilkinson dan R.O. Winstedt.[25]
Sumber sekunder turut digunakan  dan mempunyai kepentingan oleh penyelidik untuk mengukuhkan sesuatu hujah mereka. Ahli sejarah selalunya akan mencari sumber kedua yang ‘reliable’ (dipercayai) sebagai bahan rujukan supaya mereka dapat memahami dan menyesuaikan sumber primer yang akan digunakan.[26] Mark T. Gilderhus dalam bukunya, “ History and Historians: A Historiographical Introduction”, mengatakan namun begitu kedudukan sumber sekunder ini adalah hasil daripada rujukan ke atas sumber primer yang terdiri daripada bahan-bahan dokumen di arkib dan pelbagai bentuk artifak.[27] Minat ahli sejarah dikatakan cenderung menggunakan sumber sekunder berbanding sumber primer (first-hand source) apabila membuat penyelidikan dan penulisan hasil sejarah.[28] Untuk menghasilkan sumber sekunder yang padat dan jelas, maka pengkaji harus mempunyai sumber primer yan banyak agar sumber sekunder tadi tidak diragukan oleh pembaca. Menurut amalan ilmiah pada hari ini, penghasilan sumber sekunder haruslah melalui satu tatacara atau kaedah penyelidikan yang teratur supaya hasilnya akan merupakan suatu hasil yang boleh diterima kebenarannya.[29] Sumber sekunder terdiri daripada, penulisan yang lengkap, hasil kajian, karya diedit, buku rencana, latihan ilmiah, tesis, surat khabar, majalah, makalah, dan karya-karya sastera atau novel sejarah yang boleh diperolehi di arkib, serta perpustakaan.
Antara kepentingan sumber sekunder ialah sebagai bahan rujukan supaya mereka dapat memahami dan menyesuaikan sumber primer yang akan digunakan serta dapat menjelaskan sesuatu peristiwa yang dikaji. Selain itu, ia merupakan hujah-hujah berdasarkan sumber pertama. Setersnya, ia memberi gambaran akan sesuatu peristiwa yang hendak ditulis kerana telah ada orang yang terdahulu mengkaji tentang peristiwa tersebut. Selain itu,  dengan menggunakan sumber kedua ini dapat memberi hipotesis awal dan interpretasi mengenai masalah itu tapi hanya dengan tujuan memperbaiki dan tidak boleh ia diterima secara mentah. Oleh yang demikian, sumber kedua ini turut mempunyai kepentingan dalam membuktikan sesuatu peristiwa dan dalam penghasilan sesebuah tulisan.

Sumber Arkeologi
            Sumber ketiga yang digunakan dalam kaedah sejarah adalah sumber arkeologi. Perkataan arkeologi berasal dari perkataan Greek iaitu “ Arkhaiologi ” yang bermaksud barang-barang purba. Mengikut Kamus Dewan, arkeologi bermaksud kajian saintifik mengenai sesuatu kebudayaan terutamanya kebudayaan prasejarah dengan cara penggalian dan penghuraian kesan-kesan tinggalan.[30] Menurut Frank Hole dan Robert F. Heizer arkeologi adalah suatu kajian tentang masa silam manusia yang dikaji terutamanya melalui bahan-bahan peninggalan serta arkeologi merupakan susunan kaedah dan tatacara penyelidikan masa lalu yang menggambarkan data-data yang diperoleh dan latihan akedemik serta orentasi teori ahli arkeologi.[31] Manakala pendapat Mortimer Wheeler “archaeology uses the scientific method to answer the question of humanities”.[32]  Seterusnya berdasarkan pandangan Prof. Dato’ Dr. Nik Hassan Suhaimi Bin Nik Abd. Rahman yang merupakan antara ahli arkeologi yang terkenal di Malaysia menyatakan, arkeologi sebagai satu displin yang teratur dan melalui pendekatan-pendekatan sebagai dan method-method  yang ada padanya maka pengetahuan tentang zaman lampau manusia dapat dituntut kembali dan diinterpretasikan dari tinggalan budayanya.[33] Menurut pendapat G’rahame Clark pula, arkeologi adalah kajian sistematik keatas bahan-bahan purba bagi membentuk semula sejarah.[34] Seterusnya menurut pendapat Prof. Dr. Hasan Muarif Ambary, arkeologi berfungsi memberi penjelasan terhadap benda-benda tersebut peniggalan manusia yang sudah terkubur sehingga benda-benda tersebut kemudian berfungsi sebagai sumber sejarah.[35] Secara umumnya, sumber arkeologi bermaksud sumber yang mengkaji kehidupan manusia pada zaman lampau melalui bahan-bahan tinggalan seperti artifak, ekofak dan feature.  Sumber ini digunakan oleh sejarawan untuk melengkapkan lagi kajian yang dilakukan samada ia berurusan dengan masa prasejarah atau masa sejarah. Sumber ini kadangkala boleh dikategorikan sebagai sumber utama yang berbentuk ataupun sumber kedua, ia bergantung kepada kepentingan dan ketulenan serta kejituannya berhubung dengan sesuatu peristiwa yang sedang dikaji dan diselidiki.
Sumber ini terdiri daripada tiga jenis iaitu artifak, ekofak, dan feature. Artifak mengikut Kamus Dewan bermaksud barang-barang buatan manusia (terutamanya alat perkakas, senjata) yang merupakan peninggalan sesuatu zaman.[36] Artifak adalah segala benda yang dihasilkan daripada aktiviti dalam kehidupan manusia sebagai contoh alat batu, gendang gangsa, tembikar, gelang batu, kapak batu, tembikar, alatan batu dan lain-lain. Bukti-bukti artifak yang ditemui ini bukan sahaja menjelaskan peristiwa tentang sumber-sumber awal manusia dalam pelbagai bentuk dan rupa serta maklumat tentang corak kehidupan manusia dari segi keperluan asas, petempatan, aktiviti yang dilakukan serta lain-lain maklumat. Kebanyakan artifak yang ditemui oleh para ahli arkeologi adalah seramik yang terdiri daripada serpihan porselin, pottery, stoneware, dan celadon turut menemui pelbagai jenis alatan batu.[37] Contohnya, pada tahun 1983, E. Noetiling telah menemui perkakas batu yang pertama di Burma.[38] Di Sabah, jumpaan awal artifak zaman prasejarah dilakukan oleh I.H.N. Evans yang telah mengumpul alat-alat batu di daerah Tempasuk sekak tagun 1911.[39] Artifak boleh dikategorikan kepada artifak prasejarah dan protosejarah atau sejarah. Artifak prasejarah seperti tembikar, dan alat-alat batu manakala artifak sejarah merupakan artifak semasa zaman kemunculan sesebuah tamadun seperti monumen, manik, mata wang dan sebagainya. Contohnya manik-manik yang dijumpai di tapak-tapak arkeologi di Kuala Selinsing di Perak yang menunjukkan bahawa masyarakat zaman tersebut telah terlibat dengan perdangangan manik antara masyarakat setempat atau pedagang asing.[40]
  Ekofak pula sesuatu yang bukan dihasilkan atau dibuat oleh manusia tetapi dapat menjadi petunjuk bahawa pernah wujud ciri kehidupan manusia seperti fosil, tulang, kerangka manusia, arang, sisa pembakaran, polen tumbuhan, dan sebagainya. Ekofak juga meliputi tinggalan kulit siput serta flora dan fauna. Contohnya, Zurina Majid yang merupakan antara  ahli arkeologi tempatan yang terkemuka melakukan penyelidikan, galicari dan ekskavasi[41] di Gua Gunung Runtuh, Lenggong, Perak telah menemui satu rangka manusia dianggap hampir lengkap di Malaysia yang dikenali sebagai “Perak Man” yang pernah hidup di zaman prasejarah [42] dan ia merupakan yang tertua di Malaysia. Selain itu, jumpaan tengkorak Homo Sapiens telah dijumpai di gua Niah, Sarawak.[43]  Jenis arkeologi seterusnya iailah feature yang bermaksud sesuatu yang berada di permukaan tanah atau dibawah permukaan tanah dan sekiranya diubah atau dipindah tanpa rekod yang rapi maka akan memusnahkan data yang sedia ada. Antaranya seperti stuktur bangunan, nisan, benteng kota, bedul pintu, tempat pembuangan sampah dan asas pelapik tiang. Contohnya, kajian yang dilakukan oleh J.P. Moquette yang dikatakan orang pertama melakukan kajian arkeologi secara komprehensif pada 1913, beliau melakukan kajian dan penelitian serta pembacaan terhadap batu nisan di Kampung Samudra, Acheh. Hasilnya, beliau berjaya meterjemahkan atau mengidentifikasikan bahawa nama yang tercantum pada batu nisan tersebut adalah Malik al-Saleh dan anaknya, Malik al-Zahir yang masing-masing meninggal pada 969/1297 dan 726/1326. Hasil penelitian Moquette ini sangat bernilai kerana bukti ini memperkuatkan teks seperti Raja-Raja Pasai (A.H. Hill, 1960), dan Sejarah Melayu (R.O. Winstedt, 1938) mengenai sejarah kerajaan Samudra Pasai dan Melaka.[44] Selain itu, menurut Frank Hole dan Robert F. Hazer, ahli  arkeologi yang pertama muncul dalam sejarah adalah Nebonidus iaitu raja Babylon akhir telah melakukan ekskavasi terhadap bangunan purba serta menyimpan barangan yang ditemui ke dalam muzium yang didirikannya sendiri kerana beliau sangat meminati sejarah tamadun Babylon.[45]
            Arkeologi terbahagi kepada beberapa bidang kajian yang tertentu antaranya, bidang epigrafi yang mengkaji tentang prasasti[46], inskripsi[47], dan batu bersurat seperti batu bersurat yang dijumpai di Terengganu, dan bidang filologi yang mengkaji tentang naskhah-naskhah dan tulisan kuno seperti kajian terhadap tulisan cuniform dan hiroglif. Selain itu, bidang mengkaji tinggalan bangunan seperti Angkor Watt dan candu, seterusnya bidang ikonografi tentang kajian seni-seni pahatan dan ikon seperti taj mahal. Kajian tentang pola petempatan tempat tinggal seperti petempatan di Harappa dan Mohenjo Daro yang merupakan bandar yang sistematik turut termasuk dalam bidang dalam arkeologi serta bidang antropologi yang merupakan suatu kajian tentang asal-usul manusia (perkembangan fizikal dan kebudayaannya,  adat resam, serta kepercayaannya). Seterusnya, bidang sosiologi yang mengkaji tentang sejarah masyarakat dan bidang numismatik merupakan kajian terhadap tinggalan mata wang. [48] Bidang arkeologi ini turut memerlukan bidang atau ilmu lain dalam kajiannya seperti geografi dan sains. Terdapat pelbagai kategori ahli arkeologi antaranya ahli arkeologi antropologi manusia iaitu melihat arkeologi sebagai ilmu ethnologi dan displin antropologi yang saintifik. Golongan kedua adalah ahli arkeologi galicari yang terlibat dengan proses galicari dalam usaha membina semula sejarah dalam seluruh aspek dengan menggunakan rekod-rekod arkeologi sebagai method mengkaji dan membina semula sejarah.  Selain itu, ahli arkeologi sejarah seni yang lebih tertumpu kepada penemuan alat-alat seni berbeza dengan golongan ahli arkeologi geologi yang menumpukan bidan arkeologi zaman prasejarah kepada aepek geologi, kimia tanah, dan, kajian iklim. Terdapat banyak lagi ahli arkeologi yang berusaha membentuk pelbagai kaedah untuk menjalankan penyelidikan dalam bidang arkeologi sebagai satu bidang yang lebih bersifat saintifik. Antara ahli arkeologi barat yang terkenal seperti Thomas Jefferson, T.E. Lawrence, Gibson, dan I.H.N Evans.
            Sumber arkeologi ini sememangnya membantu dalam sesuatu kajian dan penulisan yang dibuat untuk membuktikan atau mengukuhkan penyataan disamping menggunakan sumber-sumber lain. Sumbangan arkeologi kepada ilmu pengetahuan boleh dilihat dari beberapa sudut. Pertama, melalui kejayaan penyelidikan arkeologi dapatlah kita melihat manusia secara menyeluruh dalam pelbagai ragam yang berkembang melalui tamadun dan kebudayaan yang berbeza. Seterusnya membantu kita untuk terus maju kehadapan melalui dapatan maklumat hasil penyelidikan arkeologi. Selain itu, kepentingan sumber arkeologi ini adalah untuk mengetahui dan memperolehi pengetahuan mengikut susunan peristiwa dan kronologi dengan ketiadaan dokumen bertulis atau tidak dapat dijelaskan oleh sumber bertulis. Di samping itu, arkeologi menggalakkan perkembangan ilmu epigrafi. Ahli-ahli epigrafi membantu ahli arkeoligi untuk membuat transkripsi inskripsi-inskripsi yang diperoleh oleh ahli arkeologi ketika proses carigali. Transkripsi itu membolehkan ahli sejarah menulis semula sejarah dan sejarah kebudayaan. Contohnya, beberapa inskripsi dijumpai di Sumatera, Jawa, Selatan Negara Thailand dan China telah menghasilkan maklumat mengenai kerajaan Srivijaya dan kerajaan tua lain dari abad ke-7 sehingga abad ke-14.[49] Secara tidak lansung, arkeologi membantu memperkembangkan  ilmu fiologi. Akhir sekali, sumber ini berperanan sebagai bidang untuk mencari data-data dengan memerhati monumen-monumen purba dan membuat gali cari bagi menambah pengetahuan sejarah yang sedia wujud dalam bentuk tulisan sejarah  oleh ahli sejarah terdahulu. Keadaan ini menyebabkan sesuatu maklumat yang diragui sebelumnya akan diyakini sepenuhnya.

Sumber Lisan
Sumber seterusnya ialah sumber lisan. Lisan dalam Kamus Dewan bermaksud sesuatu yang diucapkan (tidak ditulis).[50] Sumber lisan meliputi dua zaman iaitu zaman lampau dan zaman moden. Zaman lampau dipelopori oleh Herodotus yang mana beliau telah menjalankan proses temuramah individu untuk mendapatkan peristiwa-peristiwa sejarah yang dianggap penting pada masa lampau seperti Perang Parsi 5 S.M. Sumber lisan turut dipelopori oleh Thucydides yang menulis menggunakan pengalaman tentera-tentera yang terlibat dalam Peperangan Peloponnesian.[51] Zaman moden pula dipelopori oleh Profesor Allan Nevins yang telah melancarkan projek penggunaan sumber sejarah lisan di Universiti Columbia pada 1948 dan semakin berkembang dan diminati hingga 1960. Louis Star pula meneruskan projek ini dengan menjalankan proses pengumpulan data sejarah setelah hilang tradisi penulisan sejarah melalui kaedah ini.[52] Antara bukti penggunaan sumber lisan dalam penulisan sejarah  iailah Mamoru Shinozaki yang menulis buku “Syonan, My Story: The Japanese Occupation of Singapore”[53] berasaskan kepada sumber perang di Singapura telah menngunakan kaedah berdasarkan temuramah lisan. Hal ini menunjukkan sumber lisan penting untuk mengukuhkan dan bukti bagi sesuatu sejarah. Menurut Yusuf Ibrahim sumber dapat dibahagikan kepada sumber utama dan sumber kedua. Sumber utama adalah yang didapati daripada penyaksi-penyaksi atau orang-orang terlibat dalam peristiwa sejarah dimana mereka boleh beri maklumat asal tentang peristiwa sejarah dimana mereka saksikan atau yang mereka turut terlibat. Jika maklumat itu dimuatkan ke dalam pita rakaman ataupun apa-apa perakam suara, maka itu dianggap sebagai sumber utama. Tetapi  jika mereka menulisnya, maka ia menjadi sumber utama yang bertulis  bukan lisan lagi.[54] Menurut Louis Gottschalk dalam bukunya yang bertajuk “Understanding History”, sumber lisan dalam kategori sekunder pula,[55] ia adalah maklumat daripada mereka yang tidak menyaksikan atau terlibat dalam sesuatu peristiwa yang diterangkan. Bukti arkeologi amat berbeza dengan bukti lisan kerana bukti lisan telah ditafsirkan semula atau ditokok tambah oleh sejarawan itu sendiri dan ia hanya berlaku sejak berlakunya sesuatu peristiwa sejarah itu.[56] Oleh itu, kaedah lisan ini digunakan untuk mengukuhkan kesahihan fakta sejarah dengan syarat sejarawan bijak menapis sumber tersebut. Sumber lisan ini bermula sejak sebelum lahirnya penulisan dan ia merupakan satu kaedah pengumpulan fakta-fakta sejarah yang masih belum dikaji dan dirakam semula. Sumber lisan ini mestilah dilaksanakan mengikut kaedah dan teknik yang betul bagi memastikan hasilnya benar-benar sahih. Dalam proses mendapatkan sumber lisan terdapat tiga tahap utama  iaitu proses persediaan, teknik mengumpul iaitu menjalankan temuramah dan memproses rakaman.[57] Keterangan lisan termasuklah keterangan yang masih belum terakam atau yang telah dirakam atau telah didokumentasikan dalam transkrip sejarah lisan.
Sumber lisan adalah keterangan yang didapati melalui wawancara dan merakam ke dalam pita  atau lain-lain alat perakam suara tentang keterangan samada dalam bentuk pelaku seperti keterangan proto atau saksi mata, keterangan kata dengar atau saksi pendengar, keterangan daripada seseorang pemegang tradisi dan seseorang yang mengetahui tentang sesuatu peristiwa. Keterangan proto  iailah keterangan lisan yamg dituturkan oleh pelaku yang terlibat dalam sesuatu peristiwa yang dikaji. Keterangan yang dituturkan adalah merujuk kepada peranan dan pengalaman pribadi atau penglibatan secara lansung dalam peristiwa berkenaan. Contohnya keterangan hidup seseorang pada masa pendudukan Jepun antara tahun 1941-1945 menceritakan keadaan  pada ketika itu, terdapat kampung-kampung yang dibakar kerana kesalahan kecil, kekurangan makanan, serta siksaan yang dilakukan terhadap masyarakat melayu ketika itu.[58] Melalui penggunaan sumber lisan kita  dapat mengetahui dan membuktikan dengan lebih jelas sesuatu perstiwa namun penggunaannya perlu kepada berhati-hati. Seterusnya keterangan saksi mata pula iailah keterangan yang diberikan oleh seseorang yang melihat peristiwa yang telah berlaku itu. Pengisah itu tidak mempunyai peranan dalam peristiwa tersebut selain menjadi pemerhati dan atau saksi mata. Keterangan lisan yang diberikannya adalah keterangan yang telah diperhatikannya. Keterangan ini berbeza dengan keterangan proto kerana pengisah keterangan proto adalah pelaku yang terlibat secara lansung dalam peristiwa berkenaan berbeza dengan penutur keterangan saksi mata yang tidak memainkan peranan dalam peristiwa berkenaan.
 Seterusnya, keterangan kata dengar lisan atau saksi pendengar iaitu keterangan yang diceritakan oleh seseorang dari apa yang diketahui melalui sumber orang lain atau dengan kata lain, keterangan daripada orang kedua. Saksi pendengar mendengar atau mengetahui perkara berkenaan semata-mata dari apa yang telah didengarnya dari pelaku atau saksi mata. Contohnya, seorang bapa akan menceritakan peranannya dalam sesuatu perstiwa kepada si anak atau isterinya. Keterangan yang diperoleh orang kedua ini adalah keterangan kata dengar. Semua yang dikisahkannya kepada pengkaji itu adalah keterangan yang telah didengar daripada orang pertama.[59] Namun, tidak semua keterangan kata dengar tersebar sehingga mencapai ke tahap berikutnya. Sekiranya proses penuturan ini tidak berterusan kepada generasi berikutnya, maka lama kelamaan ia akan terhapus.
Pada tahap ketiga pula, keterangan kata dengar melalui proses penyebaran penuturan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke generasi. Pada tahap ini, keterangan lisan berkenaan telah mencapai tahap tradisi lisan dan penyampaiannya bergantung kepada kekuatan ingatan seseorang penutur. Kepada pengkaji sejarah, tradisi lisan itu boleh diertikan sebagai keterangan lisan yang dipertuturkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.[60]  Terdapat dua cara penyebaran dari satu generasi ke satu generasi dalam tradisi lisan ini iaitu, tradisi terkawal dan tradisi tidak terkawal. Tradisi terkawal ini kebiasannya berlaku kepada masyarakat yang tidak ada sistem penulisan. Bagi penutur yang terkawal, penutur merupakan adalah orang yang mempunyai tanggungjawab dalam masyarakatnya untuk mempelajari tradisi lisan tertentu dengan cara menghafal daripada penyimpan tradisi masyarakat berkenaan. Pada kebiasaanya, ia melibatkan undang-undang, politik, sosial, serta adat  masyarakat berkenaan. Contohnya, di kalangan masyarakat melayu tradisional, dapat dilihat melalui masyarakat adat pepatih. Terdapat orang tertentu yang boleh dianggap sebagai pemegang tradisi bagi sesuatu perut, suku, dan luak. Di peringkat perut, seseorang buapak yang diberi tanggungjawab perlu mengetahui tradisi lisan perutnya. Di peringkat suku, seseorang lembaga perlu mengetahui tradisi lisan sukunya dan berlaku perkara yang sama di peringkat seterusnya.[61] Oleh itu, ia dikategorikan sebagai tradisi lisan terkawal. Manakala tradisi lisan tidak terkawal pula, penyebarannya berleluasa dan tiada sekatan serta tiada penutur tententu. Dalam erti yang lebih luas, tradisi lisan yang tidak terkawal didefinisikan meliputi semua keterangan lisan tentang masa lalu yang telah diperturunkan dari seorang kepada seorang dengan cara penuturan. Dengan itu, ia meliputi suatu bidang yang luas seperti mitos, lagenda, cerita rakyat hingga kepada pantun, perumpamaan, bidalan, salasilah dan sebagainya. Sesuatu peristiwa yang berkesan kepada pengalaman sesebuah masyarakat maka, perkara berhubung dengan peristiwa berkenaan akan sentiasa menjadi ingatan dan dikenang kembali oleh generasi berikutnya turut termasuk dalam tradisi lisan tidak terkawal. Contohnya, peristiwa revolusi yang berlaku pada tahun 1789 serta peristiwa yang berkaitan seperti penderitaan, dan pembunuhan Louis XVI dan keluarganya  yang berlaku di negara Perancis[62] akan sentiasa diingati, dikaitkan dengan peristiwa lain, dan penuturannya masih berlaku sehingga kini. Tradisi yang memberi kesan kepada pengalaman masyarakat seperti yang berlaku dalam masyarakat Perancis ini kadangkala disebut sebagai  national tradition.
Sejarah lisan sering dipersoalkan tentang dari segi ketepatan dan kebenarannya. Oleh yang demikian para penyelidik mestilah menilai informan atau penyaksi yang hendak diwawancara tentang kewarasannya, kekuatan ingatannya dan akhlak peribadinya. Sekiranya terdapat informan lain, penyelidik mestilah turut menemuramah mereka serta mengkaji maklumat-mallumat yang telah dirakamkan serta membandingkan dengan sumber-sumber lain. Sekiranya informan hanya seorang sahaja, dalam hal ini kewibawaan sumber itu sangatlah bergantung pada faktor-faktor keikhlasan penyaksi yang tunggal itu, iaitu dari segi kejujurannya, keikhlasannya, malah keimanannya.[63] Kemantapan sifat-sifat tersebut dapat menyakinkan penyelidik bahawa apa yang diperkatakan adalah benar. Proses wawancara yang dilakukan akan dirakam dan peyaksi semasa proses dijalankan akan menggunakan sumber dengan merujuk gambar, surat, kertas, diari dan sebagainya. Maklumat yang diperoleh hasil wawancara yang dilakukan kemudiannya akan ditranskripsi, disemak dan disimpan menjadi bahan pengajaran dan penyelidikan pada masa hadapan.[64]
Sumber lisan ini walaupun sering diragui kebenarannya namun ia tetap mempunyai kepentingan iaitu memberi gambaran yang lebih lengkap dan jelas mengenai sesuatu peristiwa yang tidak terdapat dalam sumber lain. Contohnya, ramai yang mengetahui krisis antara Menteri Besar Negeri Sembilan dengan pihak istana.[65] Sebaliknya tidak ramai pula mengetahui tentang sebab-sebab berlakunya krisis berkenaan dan cara penyelesaiannya. Perkara ini tidak tercatat dalam keterangan bertulis. Oleh itu, peyelidikan tentang peristiwa seperti ini memerlukan pendekatan sejarah lisan untuk mengetahui dengan lebih mendalam. Seterusnya, ia menjadi  pelengkap kepada keterangan bertulis. Rekod lisan mempunyai keunikan berbanding dengan sumber lain kerana Ia dicipta untuk kepentingan kegunaan sejarah, menerangkan dan memelihara cerita-cerita sebenar, motivasi, memperlihatkan pemikiran, persepsi dan personaliti. Hal ini jelas kerana dokumen sejarah akan terus kekal selama-lamanya tetapi mereka yang mewarisi peristiwa sejarah tidak akan kekal untuk selama-lamanya,[66] Melalui sumber lisan ini juga kita akan dapat mengetahui tentang seseorang tokoh melalui penggunaan perakam suara yang digunakan ketika proses wawancara dilakukan atau penggunaan data transkrip[67] yang terdapat di Arkib Negara. Oleh itu sumber lisan perlu digunakan agar dapat melengkapkan sesuatu penulisan sejarah.


Kesimpulan


            Secara keseluruhannya, sumber pertama, kedua, arkeologi dan lisan saling memerlukan antara satu sama lain dan ia sangat penting dalam menghasilkan sesuatu sejarah dalam penulisan sejarah. Selain itu, ia juga penting dalam bidang pengajaran, penyelidikan, dan pengkajian sejarah. Dalam usaha untuk menghasilkan sesuatu karya sejarah, seseorang sejarawan mestilah berusaha untuk mendapatkan sumbernya. Kemudian memilih sumber yang bersesuian. Sejarawan juga perlu mengkaji dan menganalisis sumber sumber yang diperolehi untuk mendapatkan fakta yang sahih dan dan seterusnya melakukan penulisan serta membuat tafsiran terhadap peristiwa berkenaan. Etika dalam pencarian sumber sejarah perlu mengikut acuannya yang sebenar kerana dengan dengan sedikit sahaja kesilapan akan menyebabkan sesuatu sumber sejarah itu terpesong dan menyimpang.
            Oleh itu, dalam proses pengumpulan sumber yang baik dari segi ketulenan sumber membantu pengkaji menghasilkan penulisan  sejarah yang baik. Dengan itu, dalam proses pengumpulan sumber, pengkaji harus mengambil langkah serius agar sumber yang diperoleh merupakan satu sumber yang baik dan berkaitan dengan tajuk yang dikaji. Tanpa sumber, sejarawan tidak berupaya menghasilkan pensejarahannya.






Bibliografi

 Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah Perspektif Barat dan Timur, Selangor: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2000.

Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002.

Atan Long, Pengajian Am, Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1987.

Badriyah Hj. Salleh dan Tan Liok Ee, Alam Pensejarahan Dari Pelbagai Perspektif Penyelenggara, Kuala Lumpur: Dewan dan Pustaka, 1996.

Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Selangor: Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000.

Frank Hole dan Robert F. Heizer, Arkeologi Prasejarah Satu Pengenalan Ringkas, Terjemahan Shakila Yaacob, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1990.

Hasan Muarif Ambary, Menemukan Peradaban Jejak Arkeologi dan Historis Islam Indonesia, Editor, Jajat Burhanuddin,  Jakarta: Logos Wacana Ilmu, 1998.

Ishak Saat, Ilmu  Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2007.

J. G. Garraghan, Guide to Historical Method, New York: Fordham University Press, 1946.

Kamus Dewan, Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000.

Louis Gottschalk, Understanding history: A Primer of Historical Method, 2nd edition. New York: Alfred a Knopf, 1969.

Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1896.

Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000.

Qasim Ahmad, Isu-isu Pensejarahan (esei penghargaan kepada Dr. R. Sutharalingam),  Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 1995.

 Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd, 2004.

R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur:  Marican  & Sons (M) Sdn. Bhd, 1985.

Tan Liok Ee, Isu-isu Pensejarahan (esei penghargaan kepada Dr. R. Sutharalingam), Pulau   Pinang: Universiti Sains Malaysia, 1995.
















[1] Tan Liok Ee, Isu-isu Pensejarahan (esei penghargaan kepada Dr. R. Sutharalingam), Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 1995, hlm. 79.
[2] R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Kuala Lumpur:  Marican  & Sons (M) Sdn. Bhd, 1985, hlm. 28.
[3] Kamus Dewan, Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hlm. 1318.
[4] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Selangor: Karisma Publications Sdn. Bhd. 2004, hlm. 8.
[5] Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Selangor: Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hlm. 64.
[6] Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1896, hlm. 103.
[7]Ibid. hlm. 65.
[8]Ibid. hlm. 65.
[9] Kamus Dewan, Edisi Ketiga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hlm. 1056.
[10] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 18.
[11] Ibid.  hlm . 18.
[12] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, hlm. 156.
[13] J. G. Garraghan,, Guide to Historical Method, New York: Fordham University Press, 1946, hlm. 12.
[14] Qasim Ahmad, Isu-isu Pensejarahan (esei penghargaan kepada Dr. R. Sutharalingam),  Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 1995, hlm. 61.
[15] Louis Gottschalk, Understanding history: A Primer of Historical Method, 2nd edition. New York: Alfred a Knopf, 1969, hlm. 42.

                                                                                 
[16] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah Perspektif Barat dan Timur, Selangor: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2000, hlm. 83.
[17] Qasim Ahmad, Isu-isu Pensejarahan (esei penghargaan kepada Dr. R. Sutharalingam), Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia, 1995, hlm. 61.
[18] Kamus Dewan, Edisi Ketiga,  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hlm.1213.
[19] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah Perspektif Barat dan Timur. Selangor: Utusan   Publications & Distributors Sdn Bhd. 2000. hlm. 83.
[20]Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, Beberapa Perbahasan Mengenai Teori dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1896, hlm.157.      
[21]Bilcher Bala, Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Selangor: Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hlm. 64.
[22]Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 51.
[23]Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 24.

[24] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1896, hlm. 158.
[25] Ibid.  hlm . 159.
[26] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 24.

 
[27] Ibid.  hlm. 25.
[28] Ibid.  hlm. 29.
[29] Muhd Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan   Pustaka, 1896, hlm. 157.
[30] Kamus Dewan, Edisi Ketiga,  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hlm. 63.
[31] Frank Hole dan Robert F. Heizer, Arkeologi Prasejarah Satu Pengenalan Ringkas, Terjemahan Shakila Yaacob, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,1990, hlm. 5.
[32] Rozeman Abu Hassan,  Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, Hlm. 59.
[33] Ibid. hlm. 60
[34] Ibid. hlm. 59
[35] Hasan Muarif Ambary, Menemukan Peradaban Jejak Arkeologi dan Historis Islam Indonesia, Editor, Jajat Burhanuddin,  Jakarta: Logos Wacana Ilmu, 1998, hlm. 9.
[36] Kamus Dewan, Edisi Ketiga,  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hlm. 64.
[37] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 73.
[38] Ishak Saat, Ilmu  Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2007, hlm. 95.
[39] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 76.
[40]Ibid. hlm. 86.
[41] Kegiatan penggalian ysng dilakukan untuk mendapatkan maklumat tentang benda zaman purba.
[42]Ibid. hlm. 64.
[43] Ishak Saat, Ilmu  Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2007, hlm. 95.
[44] Hasan Muarif Ambary, Menemukan Peradaban Jejak Arkeologi dan Historis Islam Indonesia, Editor, Jajat Burhanuddin,  Jakarta: Logos Wacana Ilmu, 1998, hlm. x.
[45]Frank Hole dan Robert F. Heizer, Arkeologi Prasejarah Satu Pengenalan Ringkas, Terjemahan Shakila Yaacob, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, hlm. 33.

[46] Tulisan pada batu yang berupa peringatan, penghormatan.
[47] Sesuatu (kata atau ungkapan, lambang dan lain-lain) yang ditulis atau diukir pada permukaan sesuatu seperti tugu dan duit syiling.
[48] Hasan Muarif Ambary, Menemukan Peradaban Jejak Arkeologi dan Historis Islam Indonesia, Editor, Jajat Burhanuddin,  Jakarta: Logos Wacana Ilmu, 1998, hlm. 7.
[49] Atan Long, Pengajian Am, Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1987, hlm. 248.
[50] Kamus Dewan, Edisi Ketiga,  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hlm. 817.
[51] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 148.
[52] Loius Star. ed. David K Dunway & Willa K Baum, Oral History: An Interdisciplinary Anthology, Second Edition. London: Altamira Press, 1984, hlm. 8. 
[53] Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 185.
[54] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 161.
[55] Ibid. hlm. 161.
[56] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm. 42.
[57]  Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 153.
[58] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 162.
[59] Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hlm. 85.
[60] Badriyah Hj. Salleh dan Tan Liok Ee, Alam Pensejarahan Dari Pelbagai Perspektif Penyelenggara, Kuala Lumpur: Dewan dan Pustaka, 1996, hlm. 149.
[61]Ibid. hlm. 146-147.
[62]Ibid. hlm. 148.
[63] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah:Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, hlm. 162.
[64] Penyelidikan dan Penulisan Sejarah, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2000, hlm. 86.
[65] Badriyah Hj. Salleh dan Tan Liok Ee, Alam Pensejarahan Dari Pelbagai Perspektif Penyelenggara, Kuala Lumpur: Dewan dan Pustaka, 1996, hlm. 151-152.
[66]  Rozeman Abu Hassan, Mengenali dan Mentafsir Sumber Sejarah, Shah Alam: Karisma Production Sdn. Bhd, 2004, hlm. 188.
[67]kandungan rakaman yang disalim semula perkataan demi perkataan hingga menjadi draf transkrip

1 comment: