nuffnang

Thursday, June 13, 2013

TEMA MANUSKRIP

1.0 PENDAHULUAN
            Tema merupakan sesuatu idea utama dalam sesebuah penulisan. Tema juga sering dijadikan sebagai tajuk utama dalam sesebuah karya atau penceritaan. Menurut kamus dewan tema ialah subjek yang menjadi dasar sesuatu pembicaraan, wacana, karangan, cerita dan sebagainya.[1] Dalam penciptaan sesuatu tema terdapat beberapa kriteria yang perlu dimasukkan. Sebagai contoh penceritaan tentang pergaduhan atau perbalahan perlu disesuaikan dengan tema yang muda, difahami yang mempunyai maksud yang umum bagi menggambarkan cerita tersebut. Tema merupakan perkara yang penting dalam sesuatu penulisan dalam menghasilkan pensejarahan. Selain itu, terdapat pelbagai jenis tema-tema sejarah dalam manuskrip Melayu yang telah menghasilkan karya yang mempunyai pelbagai variasi dalam temanya.
            Manakala manuskrip Melayu merupakan satu warisan intelek daripada zaman silam yang dimartabatkan sebagai warisan dokumen melayu. Ia juga merupakan naskah tulisan tangan terutama dalam tulisan jawiyang dihasilkan sekitar abad ke-14 dan awal abad ke-20. Ia juga adalah versi atau bahan sesuatu karya yang telah disediakan oleh penulis atau editor dan sebagainya untuk dicetak dan diterbitkan dalam bentuk tulisan. Pendek kata, manuskrip didefinisikan kepada dua iaitu nashkah tulisan tangan  dan versi atau bahan (sesuatu karya) yang telah disediakan oleh penulis(editor dan sebagainya) untuk dicetak dan diterbitkan dalam bentuk buku dan lain-lain. [2]

 Dalam buku Sulalatus Salatin iaitu Sejarah Melayu menyatakan bahawa terdapat tiga naskhah lama tulisan tangan. Naskhah-naskhah tersebut adalah (1) Naskhah Munshi Mohammad Ali, cod DBP MSS 86A (Naskhah A), (2) Naskhah Hj. Othman Abdullah, cod DBP MSS 86 (Naskhah B), dan (3) Naskhah DBP, cod DBP MSS 86B (Naskhah C).[3] Antara perkara manuskrip Melayu yang akan kami bincangkan ialah Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), Bustan al-Salatin, dan Salah silah melayu dan Bugis (Tuhfat Al-Nafis). Manakala tema-tema yang akan dibincangkan juga ialah tema peperangan, ekonomi, politik, kebudayaan, pemikiran, agama, sastera, wilayah, negara, dan tempatan.










2.0 TEMA POLITIK.
            Politik ialah sebuah institusi yang membincangkan tentang pemerintahan sesebuah kawasan. Tema politik merupakan perhatian utama selepas berlakunya kesedaran tentang pensejarahan. Tema politik dalam sejarah amat berpengaruh dan berterusan. Politik didefinisikan sebagai ilmu pengetahuan berkenaan pemerintahan (dasar pemerintahan). [4] Tema politik menjadi perhatian umum yang utama kerana ia melibatkan kuasa yang sememangnya menjadi keinginan hampir keseluruhan manusia yang turut melibatkan takhta selain harta dan wanita. Manakala factor-faktor yang lain hanyalah faktor sampingan sahaja. Terdapat golongan sejarawan yang melihat politik merupakan penggerak utama sejarah manusia selama ini.[5] Dalam penulisan karya Herodotus tertulis kejayaan Greek mengalahkan Parsi. Dan ini menunjukkan ia bertemakan politik dan kekuasaan. Pensejarahan tradisional yang bertemakan politik ini mencapai kemuncak pada zaman Leopold von Ranke(1795-1886).[6]Leopold berpendapat bahawa seluruh perjalanan sejarah berpusat pada Negara. Beliau juga menganggap Negara sebagai penggerak utama kepada penciptaan sejarah.Begitu juga dalam zaman Melayu tradisional, perjalanan sejarahnya lebih tertumpu kepada institusi raja dan kerajaan.




SULALATUS SALATIN ATAU SEJARAH MELAYU
Sebagai contoh dalam manuskrip Sulalatus Salatin yang banyak menceritakan lebih kepada institusi beraja dan salah silah raja itu sendiri. Kemudian apabila Inggeris datang dan mentadbir Tanah Melayu, sejarah yang tertulis juga mengisahkan tentang pentadbiran dan perubahannya. Selepas itu apabila Tanah Melayu mendapat kemerdekaan juga turut menekankan tentang politik iaitu tentang dasar-dasar pentadbiran yang bercorak kebangsaan.[7]  Manuskrip ini mempunyai tema politik yang amat ketara. Manuskrip ini telah dikarang seseorang yang tidak dapat dikenalpasti dan begitu juga tentang tarikh karya ini ditulis pada zaman empayar Melaka ditawan oleh Portugis pada tahun 1511. Namun, sejarah melayu telah wujud di Alam Melayu sebelum abad ke-16.
Tema politik dalam manuskrip ini dapat dilihat dari segi keturunan  raja-raja Melayu pada ketika itu yang digambarkan sebagai pemerintah yang agung. Dalam menjalankan pemerintahan, raja Melaka dibantu oleh Datuk Bendahara, Laksamana, Penghulu Bnedahari, Perdana Menteri, Temenggung, Bentara, Syahbandar dan sebagainya. [8]  Sruktur pemerintahan raja-raja Melaka, hubungan diplomatik antara kerajaan Majapahit, Acheh, Siak, Inderagiri dengan Kampar, Kisah penubuhan Melaka ke tangan Portugis dijelaskan dengan terperinci dalam karya ini.[9]



SEJARAH SOSIAL.
            Lahirnya aliran sejarah sosial kerana penentang kepada aliran sejarah politik tetap menganggap skop sejarah politik sempit yang khas untuk golongan yang memerintah sahaja. Sosial bermaksud kemasyarakatan. Dalam konteks sejarah sosial bermaksud sejarah orang kebanyakan atau masyarakat atau rakyat dengan mengetepikan politik (G.M. Trevelyan)[10].Dalam sejarah sosial ia meliputi beberapa aspek iaitu kebudayaan, kesenian, kesusasteraan, agama, ekonomi, pendidikan, perundangan, pemikiran, keluarga, wanita, etnik dan sebagainya. Bidang sejarah social ini sangat luas. Aspek social ini juga terdapat cirri-ciri yang utama iaitu penekanan terhadap aspek kualitatif daripada aspek kuantitatif. Kualitatif ialah sebuah sisitem yang menerangkan nilai atau sikap.[11]
Manakala kuantitatif lebih menggunakan rajah dan perangkaan dalam kajian yang dijalankan. Ia terbukti apabila ciri utama ini digunaankan dalam kajian sejarah etnik yang berkaitan dengan nilai-nilai dan kelakuan-kelakuan yang penting dalam etnik itu. Apabila tema sosial ini semakin meluas maka banyak aspek-aspek lain yang muncul, juga terdapat yang berdiri sendiri contohnya sejarah kebudayaan, sejarah kesusasteraan, sejarah ekonomi, dan sejarah pemikiran. Terdapat juga aspek-aspek lain yang termasuk dalam tema sejarah sosial ini, contohnya ialah aspek wanita dan aspek keluarga. Seperti sejarah keluarga ia menceritakan pembentukan keluarga tersebut dan asal-usulnya. Dan ia juga berkait rapat aspek wanita yang mengkaji tentang peranannya dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan Negara.[12]

3.0 TEMA NEGARA.
            Tema Negara turut disertakan dalam naskah manuskrip-manuskrip Melayu. Negara dapat dilihat dari kesatuan unit politiknya yang berubah dan tidak tetap. Hampir setiap Negara terlibat dalam masalah perebutan hak milik sesuatu kawasan tertentu.[13] Max Waber dalam buku "Politik sebagai vokasi" (Politics as a vocation)  memberi definasi Negara yang paling kerap digunakan dalam teori-teori politik masa kini. Menurut Weber, "Setiap negara wujud hasil penggunaan kekerasan.  Jika tiadanya institusi sosial ganas wujud, konsep 'negara' tidak membawa maksud dan satu keadaan yang diberi nama 'anarki' akan timbul. Maka, negara adalah "satu komuniti manusia yang dengan jayanya mendapat pengiktirafan penggunaan kekerasan dalam satu kawasan."[14] Definasi yang diberi Weber adalah penting kerana teorinya memperkenalkan usul  yang mana Negara adalah satu-satunya bentuk penggunaan kuasa yang sah. Dalam maksud itu, kuasa, yang berlawanan dengannya keganasan, organisasi, penagihan dan atribusi lain adalah konsep penting yang dapat dikaitkan dengan negara dalam politik sains pada masa ini.

3.1 HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI
Sumber Hikayat  Raja-Raja Pasai sememangnya ada menjelaskan sejarah kewujudan kerajaan Samudera-Pasai. Ini dapat dilihat daripada rekod kerajaan Monggol oleh Yuen Shih di mana ada memaparkan tentang  kedatangan utusan Cina dari Maabir sekitar tahun 1228 dan telah singgah di Samutula (dikatakan Samudera).[15] Dalam naskah Parker juga ada menyebut berkenaan kerajaan Fukien yang menghantar utusannya ke Nan Wu Li (Lambiri) dan Samudera untuk menuntut ufti. Hal ini dapatlah menjelaskan tentang sejarah kewujudan kerajaan Samudera-Pasai. Jika dilihat dari sudut Geografi pula terutamanya dari sudut kedudukan sebenar Kerajaan Samudera-Pasai, kerajaan ini dikatakan terletak di Sungai Pasangan. Terdapat kebenaran tentang penjelasan ini kerana Sungai Pasangan merupakan tempat Raja-raja Pasai bermain.
Ini dapat dibuktikan kerana nama-nama tempat dan negeri yang disebut dalam Hikayat Raja-Raja Pasai sememangnya wujud sehingga kini seperti Sungai Pasangan, Gaya, Jambu Air, Semerlangga, Ujung Tanah, Temiang, Jambi, Palembang dan Pasai. Perkembangan dalam pengkajian sejarah Negara terutamanya pensejarahan kerajaan-kerajaan Melayu turut didorong oleh faktor untuk mengenal pasti identiti nasionalisme masing-masing.  Jadi segala sesuatu diberi interprestasi nasionalisme termasuklah dalam kajian sejarah. Tema Negara juga dapat dilihat dalam Karya Sulalatus Salatin dimana karya ini turut menceritakan tentang penemuan dan pembukaan dua buah kerajaan awal di Tanah Melayu iaitu kerajaan Temasik (Singapura) dan juga Kerajaan Melayu Melaka. Kedua-dua buah kerajaan ini sememangnya merupakan kerajaan yang mahsyur di Kepulauan Tanah Melayu.



4.0 TEMA TEMPATAN.
            Dalam penghasilan manuskrip Melayu, tema tempatan turut disertakan di mana sejarah itu turut bersifat geografi. Ia menumpukan kepada unit kawasan kecil seperti daerah, kampung, komuniti atau kelompok sesuatu masyarakat.[16] Dalam tradisi pensejarahan Islam, penulisan sejarah tempatan adalah berkaitan dengan perasaan asabiyah atau kecintaan kepada kaum atau wilayah sendiri. Tema tempatan juga turut menjelaskan  tentang kecintaan kepada kisah atau pengalaman yang paling hampir dengan diri sendiri. Penulisan sejarah bertemakan temptan juga adalah lebih menarik berbanding dengan tema lain kerana ianya bersifat interdisiplin (interdisciplinary) kerana tema dan kaedah penyelidikaanya adalah luas dan menyeluruh.
            Sebagai contoh dalam manuskrip Sulalatus Salatin ada menyatakan berkenaan masyarakat Melayu yang bersifat feudal di mana mereka mempunyai susun lapis yang agak ketat. Hierarki dalam masyarakat Melayu menempatkan raja dan keturunanya di kedudukan yang tertinggi dan diikuti oleh pembesar yang berperanan sebagai pembantu raja yang telah diberikan tugas-tugas tertentu.[17] Manakala rakyat bawahan pula menduduki lapisan paling bawah dalam hierarki masyarakat Melayu. Selain Sulalatus Salatin, tema tempatan turut diceritakan dalam Tuhfat al- Nafis dimana dalam manuskrip ini Raja Ali Haji lebih cenderung kepada cerita raja-raja dan masyarakat Bugis atau boleh dianggap sebagai Bugis-centric. Kencenderungan  Raja Ali Haji terhadap semangat Bugis menyebabkan penulisan Tuhfat al-Nafis banyak menggambarkan tentang kehandalan pahlawan-pahlawan Bugis yang sememangnya handal dalam peperangan sehingga mereka dapat memegang beberapa jawatan tinggi dalam tampuk pemerintahan kerajaan Melayu Johor pada ketika itu.[18] Penceritaan dalam karya ini adalah bermula dengan kemasukan masyarakat Bugis dalam era pemerintahan di dalam Kerajaan Melaka setelah berlakunya pergolakan takhta kerajaan Melayu Melaka di mana Bugis Lima Bersaudara Telah memainkan peranan penting dalam institusi raja Melaka apabila timbulnya konflik angkara Raja Kecil yang mengaku sebagai putera Sultan Mahmud.[19]
            Penulisan Tuhfat al-Nafis juga adalah kerana kesedaran dan keyakinan penulis terhadap kepentingan karya-karya sejarah kepada masyarakat Melayu amnya. Ini berlaku disebabkan kebencian di kalangan pembesar Bugis merupakan pengikut dan pengamal tarekat Naqsyabandiyah terhadap penjajahan Belanda di Kepulauan Melayu. Setelah menyedari pengaruh Barat mula meresap dalam tradisi Melayu-Muslim, pemimpin Riau seperti Raja Ali Haji telah berusaha menyedarkan masyarakat melalui penulisan-penulisan mereka sehinggakan Pulau Penyengat terkenal sebagai pusat perkembangan ilmu agama, tasawuf dan falsafah terpenting di kepulauan Melayu pada abad ke-19.[20]
5.0 TEMA EKONOMI
               Antara tema yang terdapat dalam manuskrip melayu ialah tema ekonomi. Tema ekonomi ini merangkumi satu bidang yang luas dalam kehidupan manusia. Marshall berpendapat ekonomi adalah satu kajian manusia dalam pekerjaan sehari-hari, ia menyelidiki perbuatan-perbuatan seseorang dalam masyarakat yang berkait rapat  dengan cara mengkehendaki kehendak material dan penggunaannya. [21] Berdasarkan pengertian, ekonomi merupakan segala kegiatan atas pekerjaan yang dijalankan oleh setiap anggota masyarakat untuk mendapatkan hasil bagi keperluan hidup mereka sama ada dalam bentuk makanan atau barangan lain. [22]  Maksud ekonomi menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 ialah sistem pengendalian sumber kekayaan (kewangan,industry dan pandangan).[23] Tema ini sangat penting dalam manuskrip untuk menunjukkan kegiatan ekonomi pada zaman rut tentang pertanian sewaktu memperlihatkan kebesaran putera-putera Raja Suran yang turun di Bukit Siguntang. Di kawasan itu, terdapat perhumaan yang dikerjakan oleh penduduk Minangkabau. Sang sapurba yang dijemput menjadi Raja Minangkabau telah diuji oleh penduduk di situ dengan meminta baginda membunuh ular saktimun yang memusnahkan padi huma mereka yang sedang menguning. [24] pernyataan itu menunjukkan manuskrip ini mempunyai tema ekonomi dalam penulisannya.
5.1 SEJARAH MELAYU
Tema ekonomi dapat dilihat dalam manuskrip melayu seperti Sejarah Melayu. Di dalam Sejarah Melayu telah menggambarkan Melaka telah menjadi sebuah negara yang makmur dan tempat kunjungan para pedagang luar yang datang menjalankan kegiatan perdagangan di Melaka. Di dalam buku ini telah diceritakan zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah sudah terjalin hubungan yang amat baik antara kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dengan kerajaan China. Kemesraan ini dibuktikan dengan perkahwinan antara  Puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Syah. Dalam masa yang sama digambarkan bahawa saudagar  dan peniaga turut mendapat keuntungan, antaranya Tun Tahir dan Tun Mutahir yang masih muda. Tom Pires turut menyatakan bahawa para sultan turut bergiat  cergas dalam bidang ekonomi dengan cara menanam modal dalam setiap kapal yang keluar dari pelabuhan Melaka. Beliau turut mencatatkan, sewaktu beliau tiba di pelabuhan Melaka  terdapat 4 ribu saudagar dan daripada jumlah itu seramai 1000 orang adalah saudagar Gujerat. Duerte Barbosa pula berpendapat bahawa Melaka adalah tempat pertukaran barang yang paling besar dan sibuk di dunia dimana saudagar-saudagar yang datang berdagang adalah terlalu kaya sehingga ada yang terlupa akan jumlah harta mereka dan hanya mengira jumlah emas sahaja [25]. Gambaran sarjana-sarjana luar ini membuktikan bahawa kerajaan Kesultanan Melayu Melaka ttelah menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting pada waktu tersebut.
6.0 TEMA KEBUDAYAAN
              Tema kebudayaan juga terdapat dalam manuskrip melayu. Kebudayaan adalah satu nilai hidup yang dijelmakan oleh faktor-faktoaya akal dan daya rasa manusia. Kesanggupan daya akal akal dan daya rasa inilaah yang melahirkan kebudayaan. Kebudayaan merupakan hasil daripada kegiatan berfikir dan merasa manusia dalam bentuk perbuatan yang dipanggil juga sebagai cara hidup. Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, kebudayaan didefinisikan sebagai keseluruhan cara hidup masyarakat,tamadun,peradaban dan budaya [26]. Konsep kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia dan masyarakat  yang merangkumi unsur-unsur cultural universals seeperti sistem sosial , sistem ekonomi ,sistem politik ,sistem agama, moral ,adat istiadat, undang-undang, kesenian, bahasa, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Terdapat dua jenis kebudayaan iaitu kebudayaan tinggi atau elit dan kebudayaan popular atau masa. Tema kebudayaan dapat dilihat dalam manuskrip melayu seperti Sejarah Melayu. Di dalam Sejarah Melayu telah memaparkan gambaran tentang cara hidup, susun lapis dan budaya masyarakat. Terdapat empat peringkat susun lapis masyarakat. Peringkat pertama merupakan kerabat diraja iaitu sebagai pemerintah. Peringkat kedua ialah pentadbir dan golongan bangsawan, peringkat ketiga pula terdiri daripada rakyat biasa yang mana merupakan petani, saudagar, pedagang dan sebagainya. Peringkat yang terakhir atau keempat ialah golongan hamba. Didalam Tuhfat al Nafis turut terdapat tema kebudayaan. Di dalam buku tersebut telah menceritakan tentang masyarakat Bugis.

7.0 TEMA PEPERANGAN
               Tema lain yang turut terdapat dalam manuskrip melayu ialah tema peperangan. Tema yang berbentuk peperangan melibatkan aspek keperwiraan  dan kepahlawanan. Penulisan yang bertemakan peperangan dimuatkan dalam sesebuah karya itu bertujuan untuk menunjukkan kehebatan panglima-panglima perang serta mempertingkatkan semangat keperwiraan dalam kalangan mereka di samping menceritakan kisah-kisah perang yang sebenar-benarnya terjadi. [27] Menurut Kamus Dewan, perang bermaksud perkelahian (pertempuran dan lain-lain ) dengan menggunakan senjata antar negeri dengan negeri lain. [28] peperangan pula bermaksud perang, perjuangan, pertempuran, medan-medan tempat berperang. [29]  Tema ini telah sinonim dengan penulisan manuskrip pada abad itu.
7.1 Hikayat Raja-Raja Pasai.
Ini dapat dilihat dalam manuskrip melayu seperti Hikayat Raja-Raja Pasai. Dalam hikayat tersebut telah diceritakan tentang peperangan antara Kerajaan Pasai dengan Siam yang dikatakan berlaku selama tiga bulan. Teknik peperangan telah ditunjukkan dalam hikayat tersebut yang mana mereka berdiri bersaf-saf dan berhadapan kedua-dua belah pihak. Teknik perang muka bertemu muka ini dikatakan antara teknik peperangan zaman dahulu.
7.2 Tuhfat Al-Nafis
Tema peperangan turut boleh ditemui di dalam karya Tuhfat al Nafis yang telah ditulis oleh Raja Ali Haji yang mengisahkan peperangan antara Majapahit dengan Raja Paduka Iskandar Syah. Peperangan yang tercetus itu juga melibatkan kerajaan Majapahit dengan Singapura. Begitu juga terdapat peperangan yang lain yang telah berlaku iaitu Perang Kedah Pertama dan Kedua perang Mempawah, Perbalahan antara Perak dengan Selangor dan Perang Siantan. [30]  Manuskrip ini  menceritakan tentang kehandalan pahlawan-pahlawan Bugis yang mana sememangnya handal dalam peperangan sehingga mereka telah dapat memegang beberapa jawatan tinggi dalam tampuk pemerintahan kerajaan Melayu Johor. Selain itu, tema peperangan dapat dilihat dalam bahagian dua.


7.3 Misa Melayu
            Dalam aspek peperangan, karya sejarah juga turut menonjolkan kehebatan wira-wira atau panglima-panglima perang seperti dalam Misa Melayu yang menekankan kebesaran dan kehebatan Sultan Iskandar Zulkarnain. [31]  Tema peperangan dalam manuskrip ini telah menjadikan Misa Melayu salah satu manukrip yang hebat dan telah menimbulkan unsur peperangan sehingga menjadikan manuskrip itu terkenal dengan tema peperangan.

8.0 TEMA KEAGAMAAN

            Sebagai suatu bidang kajian dalam manuskrip Melayu, tema ini tidak sepopular tema yang lain dalam disiplin sejarah. Hal ini kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripada pengajian agama. Dalam tema ini, selalu dikhususkan kepada perbandingan agama yang pernah wujud di bumi dalam pelbagai bentuk dan rupa. [32]Dalam perkembangan ilmu agama turut dikaji sebagai salah satu bidang ilmu. Memang terdapat kecenderungan untuk memasukkan sahaja sejarah agama ini sebagai suatu aspek dalam sejarah kebudayaan atau pemikirin. Menurut pandangan sekular pula, agama adalah pencetus kepada cetusan budaya. Agama ialah kepercayaan kepada yang kudus, menyatakan diri pada hubungan dengan dia dalam bentuk upacara, penyembahan dan permohonan, membentuk sikap hisup dan berdasarkan ajaran tertentu. Tiap –tiap agama mempunyai ciri atau hakikat dan mempunyai perbezaan tentang kepercayaan, hubungannya dengan yang dipercayai, ajaran dan sikap hidupnya. Tema keagamaan dalam sesebuah manuskrip melayu sejarah dibawa sebagai  renungan kepada pembaca bahawa sejarawan pada masa lalu masih bersandar pada ketakdiran tuhan dalam sesuatu peristiwa yang berlaku, walaupun pengiktirafan peranan tuhan itu tidak dinyatakan secara jelas dan terang. [33]
8.1 TUHFAT AL-NAFIS
            Dalam aspek keagamaan, Raja Ali Haji yang merupakan  seorang tokoh sejarah dan agama, banyak menekankan aspek-aspek tersebut dalam penulisan manuskrip beliau. Misalnya, dalam karya Tuhfat Al-Nafis, beliau cuba memasukkan unsur ketakdiran Tuhan terutama apabila beliau cuba menggambarkan keadaan Riau yang dilanda bencana.
 “ kira-kira delapan tahun Yang di-Pertuan Muda Raja Haji memerintah kerajaan Riau…maka datanglah takdir AllahTaala yang amat kuasa serta melakukan kehendak-Nya atas hamba-hamba-Nya serta memberitahu atas hamba-Nya akan kekejian dunia yang tiada kekal dan nikmatnya yang tiada tentu…[34]
Kenyataan di atas menggambarkan bahawa Raja Ali Haji percaya pada konsep ketakdiran tuhan yang telah mentakdirkan bencana yang berlaku. Beliau juga seolah-olah cuba memberitahu dan menasihati pembaca bahawa sikap manusia yang gemarkan hal-hal keduniaan sahaja tanpa bertakwa kepada Allah adalh salah satu punca penyebab kepada tribulasi serta konflik yang berlaku di Riau. [35] oleh itu, dapat dilihat disini, manuskrip ini juga mempunyai tema keagamaan.
8.2 BUSTAN AL-SALATIN
Tema agama ini telah lama dijadikan satu disiplin dalam penulisan manuskrip. Sebagai contoh manuskrip Bustan al-Salatin. Karya ini dikarang oleh seorang ulama terkenal iaitu Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang dikatakan berasal dari Acheh pada sekitar abad ke 17. Karya yang ditulis dalam bahasa Arab ini mengandungi tujuh bab yang membincangkan tentang hal-hal agama Islam dan hukum-hakamnya termasuk bab kedua terutamanya fasal ke-12 dan ke-13 yang mengandungi cirri-ciri sejarah tentang Semenanjung Tanah Melayu dan kerajaan Acheh pada awal abad ke 17, terutamanya pemerintahan Sultan Iskandar Thani. [36] Jika dilihat karya ini didapati tema agama merupakan tema utama sebagaimana penjelasan tujuh bab ini.
Malah, beliau cuba mengetepikan penulisan yang mempunyai unsur-unsur mitos dan lagenda serta memandang rendah terhadap penulisan melayu yang mempunyai kepercayaan unsur Hindu. Yang jelas, pengaruh Islam cukup menonjol dalam penulisan terutamanya apabila beliau cuba menjelaskan perkembangan Islam yang pesat di Acheh pada ketika itu. [37] hal ini dapat dibuktikan melalui cara hidup masyarakat seperti upacara menyambut puasa, hari raya, perkahwinan dan sebagainya.  Tema agama dan sejarah agama wujud dan berkembang sendiri tanpa bergantung dengan yang lain. Selain daripada berusaha memahami dengan jelas golongan umat beragama itu, apa yang lebih penting ialah kefahaman tentang konsep dan ciri-ciri ajaran sesuatu agama tertentu. Tema agama ini menyebabkan manuskrip Melayu lebih menjadi satu medium untuk membantu memupuk keyakinan seseorang terhadap agama tertentu. Golongan yang mencari hakikat atau kebenaran sesuatu agama sudah tentu akan memanfaatkan pengkajian sejarah agama dengan sebaiknya. [38]

8.3 HIKAYAT ISKANDAR ZULKARNAIN
            Karya ini ditulis pada 1 Mei 1951 Masihi bersamaan 9 Rejab 1269 H. Hikayat ini merupakan karya yang disadurkan dengan kesusateraan Islam. Oleh itu, tema keagamaan dapat dilihat dengan watak Iskandar yang digambarkan sebagai seorang pehlawan Islam yang berjuang untuk menegakkan agama Allah iaitu agama nabi Ibrahim dipelbagai negeri yang ditaklukinya. [39]  Hikayat ini bermula dengan kisah Nabi Adam dan Nabi Allah yang lain diikung puterti dengan perbicaraan tentang datuk Raja Iskandar yang dikatakan tellah mengahwini puterinya sendiri bernama Humani sehingga melahirkan seorang putera yang dinamakan sebagai Darab.
Kemudian Darab telah berkahwin dengan Puteri Safiya Arqiya iaitu Puteri Raja Rom dan melahirkan Raja Iskandar  yang kemudiannya menggantikan datuknya menjadi Raja Rom. Darab juga telah berkahwin dengan Sudaqin yang juga telah melahirkan Dora dan akhirnya diangkat menjadi Raja Babil. Babil menuntut upeti dari Raja Rom. Namun, Raja Iskandar menolak tuntutan itu sehingga dia menjadi sombong dan dirasuk Iblis dan melakukan pelbagai perkara yang ditegah oleh Allah. Lalu, Allah mengirim Nabi Khaidir untuk member petunjuk kepadanya sehingga beliau menjadi seoarang yang beriman dan berjuang untuk menyebar agama Allah di negeri-negeri yang ditaklukinya. Akhirnya Raja Iskandar berkahwin dengan Puteri Nuraini. [40] oleh itu, dapat dilihat bahawa karya ini mempunyai tema keagamaan yang telah diselitkan penulis dan menjadi agenda utama atau pokok persoalan.
9.0 PERCINTAAN
Dalam penulisan manuskrip juga tema percintaan juga turut menjadi pokok persoalan dalam sesuatu karya agung pada zaman dahulu. Tema sering menjadi pokok persoalan pertama dalam mencantikkan lagi karya manuskrip.
9.2 HIkayat Panji Jayeng Kesuma
Hikayat Panji Jayeng Kusuma (HPJK) merupakan sebuah cerita panji yang ditulis dalam bahasa Melayu. Unsur-unsur utama yang diketengahkan dalam buku ini ialah percintaan, pengembaraan dan peperangan. Percintaan dalam HPJK berlangsung antara anak-anak raja dari beberapa buah kerajaan, seperti Kuripan, Daha, Gagelang, Singasari, Manjapahit (Majapahit) dan Lasem. Semua anak raja ini telah ditunangkan sesama mereka sejak kecil lagi. Raden Inu Kerta Pati, sebagai wira dalam cerita ini telah ditunangkan dengan Raden Galuh Candera Kirana, wirawatinya. [41]Namun, akibat tersilap mendapat gambaran tentang rupa paras Raden Galuh Candera Kirana, Raden Inu Kerta Pati telah memutuskan pertunangan mereka, sebaliknya berkahwin pula dengan anak raja Singasari, Raden Galuh Lasmi Ningrat.
 Walau bagaimanapun, Raden Inu Kerta Pati akhirnya mengetahui rupa paras sebenar Raden Galuh Candera Kirana selepas berangkat ke Daha untuk menghadiri perkahwinan Raden Galuh Candera Kirana. Raden Inu berazam untuk mengambil semula tunangnya itu, tetapi gagal apabila Raden Galuh Candera Kirana menghilangkan diri. Ekoran daripada peristiwa itu bermulalah pengembaraan mereka mencari Raden Galuh Candera Kirana.[42] Sepanjang pengembaraan ini, berlaku pelbagai peristiwa yang menarik seperti peperangan, penjelmaan, penyamaran dan sebagainya.

10. PENGEMBARAAN
            Tema ini telah lama diterapkan dalam penulisan manuskrip. Tema pengembaraan ini sangat berperanan dalam membentuk kupasan cerita yang menarik dan mempersembahkan karya menuskrip ini agar menjadi rujukan berzaman. Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kembara dan mengembara membawa maksud pergi kemana-mana dengan tidak tetap tempat kediaman dan tidak tentu pula tempat yang dituju. Manakala pengembaraan bermaksud satu perihal perbuatan mengembara. [43] Tema pengembaraan ini dapat ditemukan dalam penulisan manuskrip yang terkenal dan sehingga sekarang masih menjadi rujukan.
10.1 Syair Ken Tambuhan
Selesai disalin pada 20 September 1840 di Kampung Melayu, Negeri Makasar. Sebuah Cerita Panji yang dikarang dalam bentuk syair ini mengisahkan kisah percintaan & pengembaraan Raden Inu Kerta Pati dan Raden Galuh Candera Kirana. Walaupun cerita ini berasal dari Tanah Jawa, temanya merentas sempadan etnik dan budaya setempat, yang membuktikan bahasa Melayu telah mencapai taraf sebagai bahasa supraetnik sejak ratusan tahun lamanya. Karya ini menekan lebih kepada tema pengembaraan dan diikuti tema percintaan.

11.0 KESAKTIAN
Selain itu, tema kesaktian juga terdapat dalam banyak manuskrip Melayu. Menurut Kamus Dewan, sakti membawa maksud kesaktian kuasa yang di luar kemampuan manusia. Kesaktian pula membawa maksud perilaku sakti yang mempunyai sifat-sifat yang tidak dapat ditandingi. Terdapat banyak manuskrip yang mempunyai unsur kesaktian.
11.1 HIKAYAT SERI RAMA

Terdapat beberapa tema dalam hikayat Seri Rama ini. Pertama, unsur penjelmaan dan inkarnasi. Hanuman menjelmakan dirinya menjadi sejengkal untuk membolehkan dia memasuki Kota Langkapuri. Kedua, unsur kesaktian. Hikayat hindu selalunya mempunyai unsur-unsur kesaktian. Maharaja Rawana memiliki pedang sakti. Terdapat taman ajaib di kota Langkapuri yang mana tanaman dalam taman tersebut kayu-kayannya emas bertatahkan berlian dan sebagainya.
Ketiga ialah mengagung-agungkan dewa-dewa hindu. Mengikut kepercayaan Hindu, dewa-dewa berperanan sebagai perlindung dan mempunyai pangkat yang tinggi serta mulia. Unsur-unsur “karma” dan “Darma” pula ialah Sita Dewi melambangkan watak baik kerana dia telah melalui pelbagai dugaan tetapi akhirnya mendapat kebahagian dan hidup bahagia bersama suaminya. Maharaja Rawana pula melambangkan watak jahat kerana sifatnya yang tidak bermoral dan pada akhir cerita pula dia mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya.
Namun, unsur kesaktian jelas diterapkan dalam penulisan untuk memperlihatkan kesan yang menarik.

11.2 HIKAYAT HINDU ISLAM
Tema dan motif hikayat-hikayat masih dibelenggui dengan unsur cerita Hindu. Iaitu terdapat motifnya tentang pengembaraan, menyelamatkan kekasih dan sebagainya. Kalau dinilai tidak banyak perubahan dari segi temanya dengan Hikayat Hindu yang sering membawa tema pengembaraan, percintaan., dewa-dewi , kesaktian dan sebagainya. Tema kesaktian jelas dalam manuskrip ini dengan jalan cerita yang menarik.













12.0 KESIMPULAN
          Terdapat pelbagai tema di dalam  manuskrip melayu. Tema-tema tersebut ialah  tema politik, negara , tempatan, ekonomi, kebudayaan, peperangan, percintaan, kesaktian dan keagamaan. Tema-tema tersebut penting kerana ia merupakan tulang belakang kepada manuskrip-manuskrip Melayu. Kerana itulah tema amat penting dan menjadi rujukan utama sejarawan dalam sesuatu penulisan sejarah. Penggunaan unsur-unsur tema ini juga menjadi pelengkap daripada kesinambungan sesuatu penulisan sejarah tersebut.
            Sebagai contoh dalam manuskrip Sulalatus al-Salatin yang sarat dengan penceritaan tentang Tema Politik telah menjadi sumber rujukan dalam penulisan seperti cerita Tun Perak yang juga terdapat unsur-unsur Tema Sosial dan Peperangan serta Ekonomi. Walaupun terdapat unsur mitos yang dimasukkan dalam penulisan manuskrip Melayu, namun tema yang dijelaskan dapat menerangkan tujuan sesebuah penulisan manuskrip Melayu. Sumber-sumber yang dimasukkan dalam penulisan manuskrip Melayu sememangnya melengkapkan tema yang menjadi pendokong dalam sesebuah manuskrip.





BIBLIOGRAFI

A.,Samad Ahmad,2006,Sulalatus Salatin(Sejarah Melayu),Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.

Abdul Rahman Haji Abdullah,1996, Pengantar Ilmu Sejarah,Siri Pendidikan Jarak Jauh.

Arba’iyah Mohd Nor,2002,  Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah Siri Pendidikan Jarak Jauh: Dewan Bahasa dan Pustaka

Ishak Saat,  Ilmu Sejarah Antara Tradisi Dan Moden, Shah Alam, Karisma Publications  Sdn. Bhd. 2007.

Haron Daud, 1993, Sejarah Melayu Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur.

Hajah Noresah Binti Baharom (Ketua Editor). 2005. Kamus Dewan Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin, hlm. 130 dan Shellabear, Sejarah Melayu.

Anwar Din (2007) , Asas Kebudayaan Dan Kesenian Melayu , Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji, 1982, Tuhfat Al-Nafis, Virginia Matheson (ed), Kuala Lumpur : Fajar Bakti.

Katalog Pameran Manuskrip Melayu Antarabangsa : manuskrip Melayu Suatu Penghayatan Minda, 1995, Perpustakaan Negara Malaysia.





[1]  Hajah Noresah Binti Baharom (Ketua Editor), kamus Dewan Edisi Keempat, Selangor : Dawama Sdn Bhd, 2007, Hlm 1638
[2]  Hajah Noresah Binti Baharom (Ketua Editor), kamus Dewan Edisi Keempat, Selangor : Dawama Sdn Bhd, 2007, Hlm 997.
[3] A.,Samad Ahmad,2006,Sulalatus Salatin(Sejarah Melayu),Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur,hlm Xi
[4] Pusat Pendidikan jarak Jauh Universiti Kebangsaan Malaysia: 1999. Sejarah Malaysia 1400 – 1641, Univerisiti kebangsaan Malaysia Bangi Selangor, Hlm 184
[5] Abdul Rahman Haji Abdullah,1996, Pengantar Ilmu Sejarah,Siri Pendidikan Jarak Jauh,hlm 39.
[6] Ibid.hlm 40.
[7] Ibid.hlm 40.
[8] Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm 114
[9] Ibid, Hlm 115
[10] Abdul Rahman Haji Abdullah,1996, Pengantar Ilmu Sejarah,Siri Pendidikan Jarak Jauh,hlm 42
[11] Ibid,hlm 42
[12] Ibid,hlm 43
[13] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah Siri Pendidikan Jarak Jauh: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003, hlm 59.
[14] http://ms.wikipedia.org/wiki/Negara_(politik)
[15] Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm 111.
[16] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah Siri Pendidikan Jarak Jauh: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003, hlm 59.
[17] Ishak Saat,  Ilmu Sejarah Antara Tradisi Dan Moden, Shah Alam, Karisma Publications  Sdn. Bhd. 2007, hlm 146.
[18] Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah Dan Pensejarahan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, hlm 125.
[19] Ibid, hlm 128.
[20] Ibid, hlm 128
[21] Haron Daud, 1993, Sejarah Melayu Satu Kajian Daripada Aspek Pensejarahan Budaya, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, Hlm 191.
[22] Ibid, Hlm 191
[23] Hajah Noresah Binti Baharom (Ketua Editor). 2005. Kamus Dewan Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 379.
[24] Ibid, Hlm 192
[25] A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin, hlm. 130 dan Shellabear, Sejarah Melayu, hlm. 94-95.
[26] Anwar Din (2007) , Asas Kebudayaan Dan Kesenian Melayu , Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia , Hlm. 22.
[27] Arbaiyah Mohd. Nor, 2002, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan , Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,         Hlm 145
[28] Hajah Noresah Binti Baharom, 2007, Kamus Dewan Edisi Keempat, Dawama Sdn Bhd, Selangor  Hlm 1178
[29] Ibid, Hlm 1179
[30] Ibid, Hlm 146
[31] Ibid, Hlm 146
[32] Abdul Rahman  Haji Abdullah, 2003, Pengantar Ilmu Sejarah Siri Pendidikan Jarak Jauh, Dewan Bahasa dan Pustaka,  Kuala Lumpur, Hlm 50.
[33]  Arbaiyah Mohd. Nor, 2002, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan , Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Hlm  145
[34] Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji, 1982, Tuhfat Al-Nafis, Virginia Matheson (ed), Kuala Lumpur : Fajar Bakti, Hlm 201
[35] Arbaiyah Mohd. Nor, 2002, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan , Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Hlm  147
[36] Ibid, Hlm 118
[37]Ibid, Hlm 120
[38] Abdul Rahman  Haji Abdullah, 2003, Pengantar Ilmu Sejarah Siri Pendidikan Jarak Jauh, Dewan Bahasa dan Pustaka, Hlm 52.
[39] Katalog Pameran Manuskrip Melayu Antarabangsa : Manuskrip Melayu Suatu Penghayatan Minda, 1995,  Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur, HLm 136
[40]  Ibid, Hlm 136
[41]  ibid
[42] Ibid
[43] Hajah Noresah Binti Baharom, 2007, Kamus Dewan Edisi Keempat, Dawama Sdn Bhd, Selangor  Hlm 731

No comments:

Post a Comment