nuffnang

Thursday, June 13, 2013

KEPENTINGAN SEJARAH

Seseorang sejarahwan juga  perlu mengetahui kepentingan sejarah tersebut berdasarkan kepada fakta yang akan telah dipilih. Kepentingan sejarah yang ditulis oleh sejarahwan  bersandarkan kepada fakta sebagai tulang belakang di dalam  penulisan mereka, mengambil kira aspek kepentingan  sejarah tersebut agar ia boleh dijadikan panduan dan teladan. Setiap peristiwa yang ditulis oleh sejarahwan megandungi makna tersirat dan tersurat kepada pembaca dan masyarakat amnya. Kebanyakan sejarah yang ditulis oleh sejarahwan   akan megambil kira kepentingan sejarah tersebut kepada bangsa dan agama agar tidak mengulangi ataupun sebagai motivasi kepada masyarakat yang di tulis untuk menyedarkan masyarakat terhadap pentingnya peristiwa tersebut di dalam kehidupan mereka. Contohnya, pengguguran bom atom di Horisima dan Nagasaki di Jepun merupakan titik hitam kepada kesan penggunaan kuasa nuklear terhadap manusia.[1] Hal ini kerana kuasa nuklear yang digunakan didalam peperangan memberikan kesan yang buruk terutama kepada genetik manusia. Lantaran itu, kuasa nuklear diharamkan oleh PBB didalam peperangan. Maka disini dapat dijelaskan bahawa peristiwa Perang Dunia kedua dimana sebagai fakta didalam penulisan oleh sejarahwan secara tidak langsung menjadi iktibar kepada masyarakat umum betapa bahayanya penggunaan nuklear didalam peperangan.
Selain itu , fakta  juga boleh membantu dalam menghasilkan sebuah penyelidikan sejarah yang efektif dan bermutu. Menurut Bilcher Bala didalam bukunya Penyelidikan dan Penulisan Sejarah menyatakan bahawa peristiwa yang ditulis dapat memberi kesan kefahaman atau daya tarikan kepada pembaca melalui penulisan.[2] Seseorang pengkaji sejarah yang tidak membuat sebarang pernyataan tanpa disokong oleh fakta akan menyebabkan penyelidikan tidak membawa kebenaran dan mungkin berlaku bias. Selain itu, seorang pengkaji sejarah perlu melatih diri supaya dapat mengimbangi semua kenyataan dengan disokong oleh sumbernya. Contohnya, penulisan Peter Bellwood  yakni bukunya yang bertajuk Pensejarahan Kepulauan Indo Malaysia yang diterbitkan di Jakarta pada tahun 2000 telah disokong oleh arkeologi tempatan dan luar  negara akan kesahihan prasejarah yang ditulis oleh beliau. Antaranya, Prof. Dr Zuraina Majid telah menyokong pandangan Peter Bellwood terhadap kebudayaan masyarakat paleolitik di Malaysia terutama kepercayaan masyarakat tersebut didalam pengebumian iaitu upacara ritual yang dilakukan.[3] Maknanya, penulisan sejarah prasejarah awal  yang ditulis oleh Peter Bellwood di Asia Tenggara tiada unsur bias malah bermutu dan efektif kerana penulisannya juga telah disokong oleh sejarahwan yang lain. Maka dapat disimpulkan bahawa peristiwa prasejarah yang ditulis oleh sejarahwan  tersebut berdasarkan fakta yang benar sebagai nadi penulisan telah menjadi efektif dan bermutu apabila kepentingannya dilihat tiada unsur bias dan juga memberikan kefahaman kepada pembaca yang lain.

CIRI-CIRI  FAKTA
Fakta sejarah sering dikaitkan dengan sesuatu peristiwa itu telah berlalu ataupun tersimpan dalam catatan dan dokumen atau sumber yang telah digunakan oleh sejarahwan sebagai tulang belakang penulisan mereka agar penulisan mereka bermutu. Melihat kepada peranannya yang penting maka ciri-ciri fakta yang sesuai perlu dipilih oleh sejarahwan untuk memastikan karyanya benar-benar  hidup dan memberikan kesan kepada masyarakat. Antara jenis fakta yang digunakan didalam penulisan sesebuah karya sejarah ialah fakta yang tidak boleh berubah.[4] Fakta yang tidak boleh berubah ini adalah bersifat umum dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana fakta yang diguna pakai merupakan tetap dan di ketahui umum oleh masyarakat yang terlibat didalam  peristiwa tersebut. Selain itu , fakta ciri ini juga memiliki kekuatan yang tidak boleh disangkal malah untuk diragukan juga adalah amat sukar kerana mempunyai ciri yang kukuh dan tidak mungkin berubah. Contohnya,  pembentukkan Malaysia pada 16 September 1963 merupakan detik bersejarah kepada pembentukkan Malaysia pada masa kini melalui gabungan Tanah Melayu , Sabah, Sarawak, dan Singapura yang bergabung membentuk sebuah negara. Selain itu tidak dilupakan juga pengisytiharan keluar Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 juga fakta yang tidak boleh berubah kerana pada masa kini pun Singapura merupakan sebuah negara sendiri tanpa bergabung bersama dengan kuasa lain.[5] Maka jelas disini bahawa fakta ini adalah tidak berubah dari dahulu hingga sekarang bagi mengukuhkan bukti atau nadi yang terdapat didalam karya seseorang ahli sejarahwan. Fakta yang kukuh, tidak berubah dan  tidak mempunyai unsur keraguan akan menjadikan penulisan ahli sejarahwan berkenaan  bermutu.
Namun, fakta sejarah juga boleh berubah apabila kesahihan sumber yang digunakan terdapat keraguan dalam kandungan sumber tersebut.[6] Fakta yang boleh berubah ini boleh diambil kira sebagai fakta baru bagi memantapkan penulisannya. Keraguan ini akan dikaji mengikut disiplin tertentu oleh sejarahwan  sebelum menjadikan fakta yang baru dapat merubah fakta yang asal. Oleh hal yang demikian, fakta atau sumber lain yang mempunyai bukti yang lebih kukuh untuk menyangkal sumber-sumber yang sebelumnya dan boleh menafikan kebenaran sejarahnya.[7] Misalnya, sememangnya semua tahu bahawa Francis Ligth telah membuka Pulau Pinang  pada tahun 1786 namun,  kesahihan fakta tersebut telah diragui apabila penemuan kubur Datuk Jonathan selepas 3 tahun pembukaannya.[8] Keadaan ini akan membolehkan para sejarahwan mengambil fakta yang baru yang diperoleh setelah dikritik dan mempunyai sumber yang sahih bagi mengenepikan fakta yang lama. Maknanya, fakta bahawa pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light adalah berubah  kerana sumber yang lebih sahih mampu mengenepikan fakta yang sebelum ini jika mempunyai bukti-bukti serta sumber yang nyata. Jelas bahawa, fakta yang boleh berubah mampu membuatkan penulisan sejarahwan bermutu kerana fakta sebegini merupakan tulang belakang penulisan mereka bagi memudahkan pemahamnan serta logikalnya.




[1] P.K. Ojong,  Perang Pasifik. Jakarta: Penerbit Buku Kompas, 2005. hlm. 146
[2] Bilcher Bala, 2000, Penyelidikan Dan Penulisan Sejarah, hlm.41
[3] Zuraina Majid.  Arkeologi di Malaysia. Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia,  Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia . 2003 . hlm 165 
[4] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002. hlm. 72.
[5] Syed Mahadzir Syed Ibrahim, 365 Hari dalam Sejarah. Selangor: Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd., 2006. hlm. 608.
[6] Muhd Yusof Ibrahim, 2000, Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian, dan Kaedah,  hlm.175
[7] Ibid., hlm.175
[8] Francis Light bukan yang pertama yang membuka Pulau Pinang Datuk Jannaton yang lebih dulu. Berita Harian. September 2006. hlm 3.

No comments:

Post a Comment