nuffnang

Thursday, June 13, 2013

Huraikan jenis-jenis fakta sejarah dan kepentingannya dalam penulisan sejarah.

Pengenalan
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, fakta adalah sesuatu peristiwa yang benar-benar berlaku dan boleh dibuktikan.[1] Dalam penulisan sejarah, peristiwa yang dikaji atau diselidik merupakan peristiwa yang benar-benar berlaku pada suatu masa yang lalu. Hal ini kerana, peristiwa yang sedang berlaku atau peristiwa yang akan berlaku pada masa hadapan tidak dianggap sebagai suatu peristiwa sejarah.
                   Menurut pendapat E. H. Carr, beliau mengatakan bahawa sejarah terdiri daripada sekumpulan fakta-fakta yang telah diteliti dan dipastikan kebenarannya. Fakta-fakta tersebut telah dikumpulkan oleh ahli sejarawan daripada dokumen-dokumen, surat-surat dan sebagainya untuk mendapatkan bukti agar sesuatu peristiwa itu benar-benar berlaku.[2] Tokoh ini juga turut menyatakan bahawa, ‘memuji seseorang ahli sejarawan kerana ketepatannya (fakta) adalah sama seperti memuji seorang jurubina kerana menggunakan kayu yang sempurna diawet atau konkrit yang telah sempurna diadun- gaulkan di dalam binaannya. Ia adalah satu syarat yang perlu bagi pekerjaannya, tetapi bukanlah tugas asasnya.’[3]
                   Manakala Carl L. Becker pula mengatakan bahawa fakta bukanlah semata-mata merujuk kepada tarikh asalnya sahaja tetapi adalah menjurus ke arah “penyeluruhan (generalazation)” bagi seribu satu macam fakta yang lebih kecil.[4] Justeru, fakta penting dalam semua disiplin ilmu terutamanya dalam penulisan sejarah kerana tanpa fakta, penulisan sejarah akan menjadi kosong dari segi kesejarahnya. Di samping itu, fakta mempunyai gabungan  yang erat dengan sumber kerana fakta lahir daripada sumber yang diperolehi oleh seseorang sejarawan itu untuk memperkukukhkan kebenaran penulisannya.[5]      
                   Kita beranggapan bahawa setiap peristiwa yang berlaku adalah penting kerana peristiwa tersebut mempunyai hubungan dengan seseorang, dengan sesebuah institusi, masyarakat, kerajaan, negara mahupun bangsa itu sendiri. Namun begitu, pada hakikat yang sebenarnya, fakta sejarah tidaklah semestinya demikian. Hal ini kerana, fakta sejarah yang sebenar adalah bergantung kepada kepentingan sesuatu peristiwa atau kejadian itu kepada masyarakat atau individu yang berkenanan kerana sekiranya ia tidak dianggap penting, maka ia akan dibiarkan lenyap begitu sahaja.[6] Justeru, ia tidak perlu diingati, dicatat atau dikaji pensejarahannya.
                   Secara umumnya, sesuatu fakta dalam karya sejarah adalah dipilih dan merupakan hasil pemikiran ahli sejarawan itu sendiri mengikut acuan kepentingannya sendiri dalam menghasilkan sebuah karya sejarah yang berwibawa.




Jenis-jenis Fakta Sejarah
                   Terdapat pelbagai jenis atau ciri bagi sesuatu fakta dalam disiplin ilmu sejarah. Antara jenis fakta yang digunakan dalam penulisan sesebuah karya sejarah ialah fakta yang tidak boleh berubah.[7] Ia juga dikenali sebagai fakta tetap atau fakta kukuh. Fakta ini merupakan fakta yang diterima secara umum dan tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun akan kebenaran atau kesahihannya. Hal ini kerana, fakta tersebut mempunyai bukti yang kukuh dan stabil untuk menjadikannya fakta yang tidak lagi boleh diragui akan kebenaran dan kesahihannya. Misalnya, pengisytiharan Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957 merupakan fakta sejarah yang tidak mungkin mengundang sebarang pertikaian pendapat.[8] Pada tanggal 31 Ogos 1957, Tanah Melayu telah menerima pengisytiharan kemerdekaannya tepat pada pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur.[9] Begitulah juga dengan pernyataan bahawa Melaka telah dijajah oleh Portugis pada tahun 1511.[10]  
                   Selain itu juga, satu-satunya peristiwa yang menukar arus sejarah dunia ialah Revolusi Perancis (1789- 1802).[11] Revolusi ini menjadi titik peralihan dalam mengubah masyarakat feudal kepada masyarakat Perancis moden. Pada zaman ini juga telah membawa perubahan pesat dalam bidang ekonomi, politik dan sosial yang bukan sahaja terbatas di Perancis malahan meluas ke kawasan-kawasan lain di Eropah. Penyataan-pernyataaan ini mengukuhkan bahawa fakta yang tidak boleh berubah dan stabil tidak akan dapat disangkal lagi kebenarannya.
                   Demikianlah setiap peristiwa atau tarikh yang dinyatakan itu merupakan kejadian yang penting bagi setiap negara yang berkaitan. Meskipun demikian, ia menjadi lebih penting sekiranya dilihat dari sudut yang lebih luas. Dalam erti kata lain, setiap kejadian yang berlaku merupakan lambang bagi sesuatu peristiwa yang sangat berharga atau diingati oleh masyarakat dalam negara itu sama ada peristiwa yang disanjung tinggi ataupun dibenci.[12] Contohnya, pada tanggal 13 Mei 1969, telah berlaku huru-hara, serta pertumpahan darah di Malaysia akibat daripada rusuhan antara kaum. Peristiwa ini telah mencatatkan satu titik hitam yang pasti tidak dapat dilupakan oleh setiap rakyat di negara ini.[13] Berikutan peristiwa tersebut terdapatnya beberapa perubahan dalam corak pentadbiran dan pemerintahan negara.
                   Antara perubahan yang berlaku ialah seperti pengenalan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Huseein dalam ucapannya ketika perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur pada 23 Januari 1871. Strategi-strategi yang dilakukan dalam DEB adalah mengadakan rancangan-rancangan untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi, mewujudkan satu golongan pengusaha dan pedagang dalam kalangan  orang-orang Melayu pada semua lapisan serta menyusun semula masyrakat. Strategi-strategi yang realistik ini adalah selaras dengan matlamat DEB iaitu untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta penyusunan semula masyarakat yang berbilang kaum bagi mengatasi jurang antara kaum yang wujud akibat daripada Peristiwa 13 Mei 1969.[14]
                   Di samping itu, Rukun Negara juga terbentuk akibat daripada peristiwa       13 Mei 1969 yang mana menggugat keamanan dan keutuhan negara ketika itu. Ekoran daripada peristiwa tersebut, sistem kerajaan berparlimen telah digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’ Huseein telah ditubuhkan bertujuan untuk mengembalikan keamanan, menegakkan semula undang-undang negara dan memupuk suasana harmoni serta percaya mempercayai dalam kalangan rakyat secara berkekalan.
                   Seterusnya, membentuk Majlis Perundingan Negara di bawah Undang-undang Darurat yang diwartakan pada 29 Januari 1970 bagi mengatasi  permasalaan yang timbul. Majlis ini telah merumuskan supaya satu ideologi negara yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diadakan di negara ini. Berasaskan keputusan tersebut, maka lahirlah Rukun Negara yang telah disytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-4 pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara sebagai ideologi kebangsaan negara.[15] Justeru, fakta sebagai lambang merupakan salah satu ciri fakta yang penting dalam penulisan sesebuah karya sejarah.
                   Menurut pendapat G.R Elton, beliau menyatakan bahawa terdapat banyak pengetahuan sejarah (fakta sejarah) yang dipersetujui dan tidak boleh dipertikaikan lagi kebenarannya, walaupun himpunan ini dengan sendirinya memberikan tafsiran yang canggih tentang masa lalu, namun ia sangat penting bagi kajian mengenainya.[16] Namun begitu, fakta sejarah tidak boleh dianggap sedemikian kerana ia bukan seperti fakta sains.    
                   Hal ini kerana, fakta sejarah merujuk kepada sesuatu rentetan peristiwa sejarah yang berlaku berdasarkan tingkah laku manusia yang tidak dapat dikawal. Dalam displin ilmu sains, sesuatu fakta sains itu ditentukan oleh bahan dan kaedahnya yang tertentu.[17] Ia merupakan perkara yang pernah dilakukan dan bukannya hasil daripada percubaan dengan mencampurkan, misalnya untuk menjalankan kajian tentang air, bahan yang digunakan dalam eksperimen tersebut ialah hidrogen dan oksigen. Apabila (hidrogen + oksigen = air) jelas  menunjukkan bahawa sekiranya eksperimen tentangnya dilakukan secara berulang, namun keputusannya adalah tetap sama dan tidak akan berubah dari segi keadaan, corak dan warnanya. Hal ini jelas menunjukkan perbezaannya  dengan fakta sejarah kerana sesuatu fakta itu adalah berdasarkan perlakuan manusia yang sentiasa berubah dan tidak dapat dikawal perlakuannya seperti fakta sains.  
                   Seterusnya, kebenaran dan kewibawaan sesuatu fakta sejarah itu adalah bergantung pada kesahihan sumber-sumber rujukannya.[18] Meskipun demikian, terdapat kemungkinan bahawa sesuatu fakta atau peristiwa sejarah yang telah dianggap benar boleh berubah sehingga menimbulkan pelbagai kesan yang meluas dan mendalam dari segi kesejarahannya. Perubahan sesuatu fakta yang benar, berlaku mengikut peredaran zaman, hasil daripada kajian dan penyelidikan terkini atau faktor kepentingan sejarawan itu sendiri. Contohnya, apabila terdapat sumber-sumber rujukan yang baru dan lebih sahih, ia akan memberikan fakta baru kepada sesuatu peristiwa yang telah berlaku. Fakta yang boleh berubah ini tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa ada alasan yang kukuh dan benar-benar konkrit untuk mengangkal fakta yang lama.
                   Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan ketokohan seorang negarawan Britain yang terkenal, iaitu Winston Churcill. Rakyat Britain kebanyakannya menganggap beliau merupakan salah seorang wira bangsanya kerana berjaya memimpin dan mempertahankan Britain dari dikalahkan oleh Nazi Jerman dibawah pimpinann Hitler sewaktu Perang Dunia ke-2 dahulu. Meskipun demikian, seorang tokoh sejarawan Britain iaitu Dr. John Charmley telah membuat kajian dan penyelidikan baru dan beliau telah menafikan keperwiraan Churchill itu. Menurut Charmley dalam karya penyelidikan yang berjudul “Churcill : The End of Glory”, beliau mempersoalkan kecekapan dan kebijaksanaan tokoh tersebut. Beliau menyatakan bahawa sikap Churcill untuk menumpaskan Hitler telah mengakibatkan negara Britain mengalami kemiskinan ekoran peperangan tersebut. Seterusnya, menyebabkan Britain terpaksa bergantung kepada Amerika Syarikat dan meyerahkan Eropah Timur kepada seorang lagi demagog – diktator Soviet, Joseph Stallin. Menurut beliau lagi, kegemilangan Britain turut berakhir ekoran peperangan tesebut. Hal ini memyebabkan peperangan Britain dengan Nazi Jerman itu membawa kepada kerugian yang besar kepada negara tersebut.
                   Justeru, hujah baru Charmley itu banyak menimbulkan reaksi dan kesan yang hebat. Meskipun demikian, cucunya yang bernama Winston Churcill tetap mempertahankan keperwiraan dan ketokohan datuknya. Manakala, dalam kalangan para akedamik Britain pula telah timbul suatu keadaan kelam kabut bagi menghadapi cabaran yang dilakukan terhadap tokoh seperti Churchill itu. Hakikatnya, kedudukan tokoh tersebut mula tercabar dan tergugat kerana timbulnya fakta baru yang dapat menyangkal fakta sebelumnya. Oleh itu, hal ini dapat memberi penjelasan bahawa sesuatu fakta yang pada awalnya kukuh dan stabil dapat disangkal kewibawaannya dengan penemuan bukti-bukti baru tentangnya.[19]
                   Di samping itu, subfakta juga merupakan salah satu jenis fakta yang terdapat dalam disiplin ilmu sejarah. Subfakta atau dikenali sebagai fakta kecil  merujuk kepada fakta-fakta yang melibatkan timbulnya persoalan seperti apa, mengapa, di mana, bagaimana dan siapa yang terlibat dalam sesuatu peristiwa sejarah itu. Fakta-fakta kecil ini, dianggap sebagai fakta “mudah” oleh Louis Gottchalk, manakala semata-mata dianggap oleh Carl Becker sebagai suatu pengesahan terhadap fakta yang lebih luas, iaitu demi mengesahkan kebenaran sesuatu fakta tersebut. Misalnya, faktor-faktor Perang Dunia ke-2, dapat dibahagikan kepada fakta-fakta kecil seperti serangan udara Pearl Harbour di Hawaii pada 8 Disember 1941 yang mana Jepun telah menyerang pengkalan utama tentera Pasifik Amerika Syarikat.[20] Di samping itu, faktor kajatuhan Kota Berlin di Jerman serta pendaratan yang paling besar dalam sejarah dunia iaitu pendaratan sekutu di bawah komando Jeneral Eisenhower di Pantai Normandy pada 6 Jun 1944 merupakan antara subfakta yang menyokong fakta Perang Dunia ke-2.[21]  
                   Terdapat banyak fakta yang menyatakan bahawa fakta tidak boleh berubah (sifatnya tetap) tetapi sebenarnya  terdapat fakta yang masih belum mantap. Hal ini kerana, sesuatu fakta itu masih menjadi kontrovesial dan timbulnya pelbagai pendapat dan teori yang berbeza berkaitan peristiwa tersebut.[22] Misalnya terdapat tiga teori yang sering dihubungkan dengan kedatangan Islam ke Nusantara. Teori yang menyokong kedatangan Islam dari China ialah menurut Emanual Dinho De Evedia, beliau mengatakan bahawa Islam datang ke Nusantara melalui Canton dan Hainan pada kurun ke-9 Masihi. Pendapat ini disokong oleh fakta yang menunjukkan telah berlaku kegiatan perdagangan di antara orang Islam dari Asia Barat (Arab-Parsi) sejak abad ke-3 Hijrah atau lebih awal iaitu pada abad pertama Hijrah (abad ke-7 Masihi). Namun, bukti-bukti menyatakan bahawa kedatangan Islam dari China masih boleh dipertikaikan kerana wujudnya penempatan orang-orang Islam yang lebih awal dari tarikh tersebut.
                   Manakala, teori kedatangan Islam ke Nusantara dibawa oleh pedagang-pedagang dari India telah mendapat sokongan daripada golongan orentalis Barat. Mereka mengaitkan kedatangan Islam dari India, berdasarkan hubungan perdagangan dan kebudayaan masyarakat Nusantara dengan pedagang-pedagang India Muslim sekitar abad 13 Masihi. Walau bagaimanapun, teori-teori ini didapati bertentangan dengan bukti-bukti daripada sumber-sumber yang lain. Teori kedatangan Islam dari Arab pula, dikatakan telah berlaku pada abad ke-7 Masihi yang dibawa oleh saudagar-saudagar dan mubaligh-mubaligh Arab yang berdagang dan berdakwah melalui jalan perdagangan Asia Tenggara untuk ke China. Berdasarkan ketiga-tiga teori kedatangan Islam ke Nusantara jelas menunjukkan timbulnya kontroversi dan percanggahan pendapat daripada ahli sejarawan berkaitan fakta sebenar kedatangan Islam ke Nusantara.[23]
                   Fakta juga adalah suatu konstruk yang dibuat oleh sejarawan yang mengandungi fakta subjektif iaitu unsur subjek ( penulis ialah unsur subjek ). Oleh yang demikian, sukar untuk mempercayai sama ada suatu fakta  itu benar atau sebaliknya kerana fakta tersebut merupakan perkara yang ditulis atau disusun oleh sejarawan itu sendiri.[24] Hal ini kerana, dari satu sudut, ia sememangnya subjektif kerana ia dipilih atau ditentukan oleh seseorang yang mempunyai kepentingannya terhadap sesuatu fakta itu disamping mempunyai nilai-nilai tertentu seperti dipengaruhi oleh sentimen perasaan, agama, kelas sosial, ras dan ideologi. Kemungkinan untuk berlakunya penyelewengan fakta, adalah tinggi seperti ditokok  tambah atau dikurangkan faktanya dalam penulisan sesebuah karya sejarah.
                   Misalnya, dalam karya agung Tuhfat Al-Nafis yang dikarang oleh Raja Ahmad dan anaknya Raja Ali Haji, penulisan mereka lebih cenderung atau bias untuk mengangkat martabat dan kedudukan keturunan kaum Bugis yang mentadbir pemerintahan Johor- Riau. Contohnya, mengangkat martabat dan kedudukan Yang Dipertuan Muda Riau serta keturunan lima bersaudara Daeng Relaka.[25] Justeru, hubungan yang terjalin akan mempengaruhi penulisan TN ke arah kurang objektif meskipun memaparkan watak dan peristiwa yang benar-benar berlaku pada zaman pengarang tersebut.
                   Hal ini juga dapat dibuktikan melalui penceritaannya yang bersifat tidak adil seperti memperlekeh dan merendah-rendahkan martabat Raja Kecil. Pengarang Tuhfat Al-Nafis dikatakan cuba memperlekahkan Raja Kecil apabila menceritakan kisah kelahiran Raja Kecil ini dengan penuh kesangsian dengan menggunakan istilah “konon” seperti berikut:
    ...“waktu baginda itu datang berahikan isterinya, maka terpancarlah mani baginda itu. Lalu disuruhnya makan kepada Encik Pong itu. Maka jadilah Encik Pong bunting konon”.[26]
                   Di samping itu, kewujudan Raja Kecik yang dinyatakan dalam TN juga, jika diperhatikan, pengarang seolah-olah cuba memperlekehkan dan menjijikkan Raja Kecik serta keturunan baginda seperti berikut :
“…tatkala mangkat baginda itu zakarnya berdiri, maka tiada berani menanam baginda itu”.[27]
                   Berdasarkan petikan di atas, jelas menunjukkan bahawa pengarang cuba menjatuhkan martabat dan mengaibkan kewujudan Raja Kecik serta keturunan baginda dalam karya TN sekaligus mahu menaikkan martabat kaum Bugis agar ketokohan mereka lebih dikenali.
                   Selain itu juga, pengarang bersifat bias dalam penulisan TN kerana tidak berlaku adil kepada masyarakat Melayu dan Minangkabau. Hal ini dapat dibuktikan melalui penulisan pengarang yang menyatakan sifat negatif masyarakat Melayu seperti mempunyai perasaan hasad dengki dan cemburu kepada kaum Bugis. Manakala penulis pula sering menyanjung dan mengagung-agungkan keperibadian kaum Bugis sebagai bangsa yang mempunyai sifat yang mulia dan disegani oleh masyarakat ketika itu.[28] Justeru, kebanyakan fakta sejarah dahulu dicampuradukkan oleh sentimen-sentimen tertentu dan fakta tersebut tidak dapat diterima secara sahih. 
                   Meskipun demikian, menurut pendapat Leopard Von Ranke, beliau menegaskan bahawa sesuatu fakta perlu diungkapkan dengan sebenar-benarnya oleh seseorang sejarawan itu. Hal ini kerana, Ranke menyarankan agar seseuatu fakta itu tidak boleh diwarnai, dihias dengan nilai-nilai subjektif seperti tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi atau sentimen-sentimen lain.[29]
                   Walau bagaimanapun ia bukanlah suatu kesalahan kerana seseorang itu memang bebas memilih serta menentukan manakah fakta atau peristiwa yang dianggapnya penting atau bersejarah, iaitu setelah mempertimbangkan kewujudan sumber-sumber rujukan tentangnya, kesannya terhadap masyarakat dan juga pandangan masyarakat mengenainya ataupun apa pendapat umum terhadap fakta atau peristiwa itu. Hakikatnya, pemilihan dan penentuan adalah perkara yang sukar dielakkan  kerana kedua-duanya adalah tindakan yang merupakan sebahagian daripada proses mengambil keputusan, iaitu dari satu waktu ke satu waktu. Penentuan dan pemilihan itulah yang menjadikan sejarah itu kelihatan berguna serta mempunyai pengertian bagi manusia.[30]
                                                                     


     
             
            

Kepentingan Fakta dalam Penulisan Sejarah.
                   Fakta merupakan elemen yang penting dalam penulisan sesebuah karya sejarah mahupun dalam penulisan disiplin ilmu yang lain. Hal ini kerana, fakta dianggap  sebagai nadi dan tulang belakang dalam penulisan sesebuah karya yang berwibawa. Sekiranya sesuatu penulisan itu tidak berlandaskan kepada fakta, penulisan tesebut akan menjadi kosong dari segi  kesejarahannya.[31] Ia berkemungkinan menjadi sebuah karya falsafah, logik ataupun hanya sebagai sebuah karya kreatif yang barangkali bermutu tinggi dari sudut berkenaan seperti dalam penulisan kesusasteraan dan falsafah. Justeru, dalam penulisan sejarah, ia tidak akan dianggap karya sejarah sekiranya tidak mempunyai fakta yang boleh menyokong dan membuktikan bahawa sesuatu kejadian atau peristiwa itu seperti sebenar-benarnya berlaku.
                   Selain itu juga, fakta penting sebagai lambang bagi seseuatu kejadian atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Hal ini dapat dibuktikan berdasarkan kepentingannya terhadap individu, masyarakat mahupun sesebuah negara. Contohnya, Kemerdekaan Tanah Melayu pada tanggal  31 Ogos 1957, membuktikan bahawa Malaysia telah mendapat kemerdekaan dan kebebasan daripada kecaman dan dibelenggu oleh penjajah. Justeru, ia merupakan suatu peristiwa yang sangat dikenang dan diingati oleh setiap lapisan masyarakat sehingga pada hari ini. Di samping itu, ia juga turut dijadikan sebagai suatu tarikh yang termaktub untuk menyatakan bahawa semenjak itulah pertukaran yang menimbulkan keadaan sekarang, atau beberapa tahun yang akan datang, mula berlaku. Misalnya, Peristiwa 13 Mei 1969, dianggap sebagai titik tolak yang mengubah struktur dan corak pentadbiran dan pemerintahan di negara kita.
                   Selain itu juga, fakta merupakan aspek penting dalan penulisan sejarah kerana boleh dijadikan sebagai panduan dan teladan dalam kehidupan kita pada hari ini. Setiap peristiwa atau kejadian mempunyai nilai-nilai yang tersurat dan tersirat. Di samping itu, setiap fakta tersebut dapat membantu menyedarkan masyarakat terhadap pentingnya sesuatu peristiwa yang berlaku. Contohnya, peristiwa pendudukan British di Tanah Melayu pada tahun 1974, membuktikan bahawa keadaan anarki atau hura-hara yang berlaku dalam kalangan pembesar mahupun pergaduhan kongsi gelap dan  sebagainya telah membuka peluang kepada pihak British untuk mentadbir Tanah Melayu secara rasmi melalui Perjanjian Pangkor pada 1974. Peristiwa ini telah menyedarkan kita bahawa pentingnya hidup bersatu-padu, aman dan harmoni bertujuan menggelakkan negara kita dijajah oleh kuasa-kuasa asing.
                   Kepentingan fakta yang terakhir ialah sebagai alat memperkukuhkan penghujahan atau teori. Memanglah pada hakikatnya, fakta adalah salah satu unsur yang dapat mengukuhkan dan menguatkan sesuatu kebenaran penulisan sejarah itu. Sekiranya  sejarawan berbicara tanpa berlandaskan fakta, mereka hanya berbicara kosong seolah-olah berbicara dalam perbualan harian yang tidak mengandungi maklumat yang penting untuk disampaikan di samping hubungannya yang rapat dengan sumber kerana dari sumberlah lahirnya fakta.






Kesimpulan.
                   Fakta memainkan peranan yang penting dalam sesuatu penulisan sejarah. Sesuatu penulisan sejarah itu tidak akan berhasil sekiranya tidak dilengkapi dengan fakta-fakta yang benar dan kukuh di samping gaya penulisan yang mantap. Oleh itu, sebelum penulisan dilakukan, sejarawan perlu menjalankan kajian dan penyelidikan dari sumber-sumber yang diperolehi dengan teliti. Hal ini bertujuan bagi mendapatkan fakta- fakta yang terbukti kebenarannya agar tidak dapat disangkal dan dipertikaikan lagi  kesahihannya oleh sesiapa pun. Justeru, fakta-fakta yang lengkap dan mantap perlu digunakan dalam menghasilkan penulisan sejarah yang  sebenar-benarnya berlaku dan berwibawa.                                                                                                       
           
                     



[1] Kamus Dewan Edisi ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005. hlm. 405.
[2] Carr, E.H, Apakah Sejarah. Terjemahan Ab. Rahman Haji Ismail. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1984. hlm. 4.
[3] Ibid. hlm.5.
[4] Carl Becker, L. “What are historical fact?” dlm. Guinsburg Thomas N. (peny.) Three Dimensions Of History, 1971.
[5] Muhd. Yusof  Ibrahim, Pengertian Sejarah.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustak,. 1986.hlm. 71.
[6] Muhd. Yusof Ibrahim, Ilmu Sejarah Falsafah, Pegertian dan Kaedah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000. hlm. 168.
[7] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002. hlm. 72.
[8] Qasim Ahmad, Karya Sejarah Pendekatan dan Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000. hlm. 2.
[9] Syed Mahadzir Syed Ibrahim, 365 Hari dalam Sejarah. Selangor: Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd., 2006. hlm. 608.
[10] Qasim Ahmad. Karya Sejarah Pendekatan dan Persoalan. hlm 2.
[11]Raja  Sivachandralingam Sundara, Sejarah Eropah. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd., 2002. hlm. 185.    
[12] Muhd. Yusof  Ibrahim, Pengertian Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986. hlm. 81.
[13] Syed Mahadzir Syed Ibrahim, 365 Hari dalam Sejarah. hlm 351.
[14] Khir Anual Mohd. Ramli, Norashid Md. Yassin, et. al. Hari Ini Dalam Sejarah Jilid 5, Arkib Negara Malaysia. 1987. hlm 65- 67.
[15] Lihat Rukun Negara (Siri Pengetahuan Am). Jabatan Penerangan Malaysia : Kementerian Penerangan.
[16] Elton, G.R, The Practise of History. Cetakan ketujuh. Collins, Fontana, In Association with Sydney University Press. 1976. hlm. 80.
[17] Muhd. Yusof Irahim, Ilmu Sejarah, Falsafah, Pergertian dan Kaedah.Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000. hlm.166.
[18] Ibid, hlm. 175.
[19] Ibid, hlm. 175-176.
[20] P.K. Ojong,  Perang Pasifik. Jakarta: Penerbit Buku Kompas, 2005. hlm. 145.
[21] Iseerman, Maurice, World War 2. Library of Congress Catologing- in- Publication Data, 1991. hlm. 129.
[22] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. hlm. 53.
[23] Zuraini Hj. Jamil, Ahmad Yunus Kasim et. al., Modul Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS),  2006. hlm. 71-75.
[24] Arba’iyah Mohd Noor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. hlm. 54. 
[25] Tuhfat Al-Nafis, edisi 1982. hlm. 31.
[26] Ibid, hlm:16.
[27] Ibid, hlm:16.
[28] Ibid, hlm:131.
[29] Arba’iyah Mohd Noor. Ilmu Sejarah dan Pensejarhan.hlm. 55.
[30] Muhd. Yusof Ibrahim. Ilmu Sejarah Falsafah, Pengertian, dan Kaedah. hlm 173.
[31] Ibid. hlm. 171.

No comments:

Post a Comment