nuffnang

Thursday, June 13, 2013

PENGADILAN MORAL

PENGENALAN
            Dalam bidang pensejarahan terdapat unsur-unsur penting yang perlu ada bagi memantapkan lagi suatu penulisan sejarah itu. Antaranya ialah unsur pengadilan moral. Unsur pengadilan moral ini banyak membantu dalam membuat tafsiran dalam penulisan sejarah.[1] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan pengadilan adalah berasal daripada kata dasar “adil” yang membawa maksud menyebelahi pihak yang benar tetapi bukan berdasarkan kepada seseuatu perkara, seseorang, tindakan, undang-undang mahupun keputusan. Seterusnya ialah meletakkan sesuatu pada tempat yang betul serta menepati hak seseorang atau sesuatu perkara yang ingin dibincangkan. Ia juga membawa maksud tidak menyebelahi mana-mana pihak dan tidak berat sebelah serta menimbangkan sesuatu perkara dangan saksama dan memutuskan atau menentukan dan menjatuhkan hukuman dengan adil. Pengadilan pula membawa maksud perihal mengadili perbicaraan ataupun sesuatu perkara yang ingin ditentukan betul dan salahnya serta membuat keputusan oleh seseorang.[2] Moral pula membawa maksud ajaran atau pegangan tentang baik buruk sesuatu perbuatan, sikap atau cara berkelakuan yang diukur dari segi baik dan buruk sesuatu akhlak: kadang-kadang unsur dongeng perlu ada sebagai saluran pendidikan ke arah membentuk akhlak yang baik. Ia juga berkaitan dengan perkara yang betul dan adil serta kata-kata yang mengakui kebenaran atau menyokong seseorang atau sesuatu pihak dan bukannya bersifat kebendaan semata-mata.[3]
        
             Menurut pandangan seorang sejarahwan barat, iaitu Adrian Oldfield, beliau mendifinisikan pengadilan moral sebagai :
pernyataan moral kerana pengadilan moral adalah berbentuk pujian dan kutukan. Pernyataan moral bergantung kepada perbezaan tahap sama ada baik ataupun buruk ”.[4]
 Manakala dari sudut pandangan Qasim Ahmad pula, beliau menyatakan bahawa pengadilan moral merupakan perlakuan-perlakuan yang manjatuhkan hukuman, ataupun mengenakan penilaian tertentu, kepada suatu peristiwa sejarah dan juga kepada seseorang pelaku dalam sejarah tersebut.[5] Berdasarkan kepada difinisi-difinisi di atas, unsur pengadilan moral memang tidak dapat dipisahkan dalam diri seseorang sejarahwan, lebih-lebih lagi mereka bertindak seperti seorang hakim dan menjatuhkan hukuman moral ke atas kajian dan penyelidikan sejarah yang telah dilakukan oleh mereka. Hal ini demikian kerana, penyelidikan seorang sejarahwan adalah berasaskan kepada pemahaman beliau tentang perlakuan-perlakuan dan watak-watak manusia yang terlibat dalam suatu sejarah itu sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.[6] Pengalaman dan latar belakang seseorang penulis itu amat mempengaruhi corak penulisannya seperti yang telah disebut oleh Mohd Yusof Hashim :
kemampuan untuk berbuat demikian terletak pada pengaruh yang membentuk pendirian dan pandangannya yang diperolehi daripada masyarakat, pelajaran, pengalaman, dan juga pemikirannya. Kesemua unsur ini merupakan sumber tenaga dalam penulisannya”.[7]   
Dalam pensejarahan, dengan menggunakan perkataan, ayat, dan frasa kadang-kadang telah mengambarkan nilai-nilai moral dan ini secara tidak langsung menunjukkan para ahli telah pun menjatuhkan pengadilan moral ke atas pelaku sejarah walupun mereka tidak menyedarinya. Contohnya pengunaan perkataan seperti jahat, zalim, merogol, membunuh dan kejam. Pengunaan perkataan-perkataan tertentu dalam pensejarahan menunjukkan pendirian moral dan nilai moral yang diamalkan oleh seseorang penulis sejarah sama ada perbuatan itu dilakukan secara langsung atau tidak langsung dan sedar atau tidak sedar langsung. Walaupun seseorang penulis itu mengatakan dirinya seorang yang neutral dalam penulisannya, tetapi dia tetap tidak akan terlepas daripada menjatuhkan hukuman pengadilan moral ke atas kajiannya. Contohnya karya Aron Shai ;
….kemudian diberitahu tentera udara Jepun menyerang penumpang kereta api di wilayah Honan dan Hopei telah membunuh dan mencederakan 24 penduduk awam China….[8]
Keadaan ini menunjukkan tindakan ganas tentera Jepun yang menyerang orang awam di wilayah Honan dan Hopei semasa peperangan Sino-Jepun. Dalam tidak sedar, penulis telah pun menjatuhkan pengadilan moral ke atas kajiannya berdasarkan kepada penggunaan perkataan-perkataan tertentu yang digunakan oleh beliau seperti membunuh dan menyerang. Secara tidak langsung, pengadilan moral telah dijatuhkan kepada pelaku sejarah.[9]


TINDAKAN LAHIRIAH SEBAGAI PENGUKUR PENGADILAN MORAL         
            Tindakan lahitiah si pelaku atau individu yang mencetuskan sesuatu peristiwa menjadi kayu pengukur atau asas untuk menjatuhkan pengadilan moral. Menurut Butterfield niat merupakan kayu pengukur untuk mengadili sesuatu tindakan atau peristiwa sejarah tanpa mengambil kira soal lahiriah tindakan itu.[10] Jika seseorang itu berniat baik tindakannya harus dipuji atau sekurang-kurangnya dilepaskan daripada sebarang pengadilan moral, sekali pun dia telah melanggar hak asasi orang lain.
            Merujuk kepada peristiwa penyeksaan orang Yahudi oleh pihak Nazi Jerman tulisan Lucy S.Dawidowiez mengenai Akta Nuremburg 1935 yang diperkenalkan oleh Hitler kepada Jerman bertujuan untuk membentuk satu bangsa Jerman yang dipanggil Aryan merupakan matlamat baik yang cuba disampaikan oleh Hitler kepada bangsanya. [11]Namun begitu, akibat daripada tindakannya melakukan kekerasan terhadap orang Yahudi untuk menjayakan niatnya itu telah menyebabkan niatnya untuk mewujudkan bangsa Aryan telah bertukar menjadi sebaliknya. Dengan itu Lucy S.Dawidowiez telah cuba memaparkan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh Hitler yang dianngap oleh beliau sebagai kejam terhadap orang Yahudi. Tindakan Hitler itu telah melanggar hukum moral dan agama sejagat.[12]
            Oleh itu,berdasarkan tingkah laku lahiriah yang dilakukan oleh pelaku sejarah merupakan kayu pengukur yang membolehkan seseorang pengkaji sejarah itu menjatuhkan pengadilan moral ke atas tindakan mereka. Manakala niat pula menjadi asas kepada seseorang pelaku sejarah itu untuk melakukan sesuatu tindakannya. Dari situlah seseorang pengkaji sejarah dapat mengenalpasti atau mengukur pengadilan moral ke atas apa yang telah dilakukan oleh pelaku sejarah.
SEBAB-SEBAB PENGADILAN MORAL TIDAK BOLEH DIPISAHKAN DALAM PENULISAN SEJARAH
PENGADILAN MORAL SEBAGAI TELADAN DAN PENGAJARAN
            Antara sebab pengadilan moral tidak dapat dipisahkan dalam penulisan sejarah ialah sebagai teladan dan pengajaran. Seperti yang telah dikatakan oleh Lord Acton, beliau menegaskan bahawa sejarahwan haurslah mengadili semua aspek dalam suatu sejarah itu dan bukan semata-mata hanya untuk memahami dan menjelaskan kejadian tersebut, kita dapat menjadikan sejarah sebagai pedoman hidup dan membantu dalam mengwujudkan kehidupan yang lebih baik.[13]  Hal ini demikian kerana, kita boleh jadikan sejarah sebagai bahan atau pengantara dalam pengajaran moral khususnya kepada masyarakat pada masa kini. Dengan menjadikan peristiwa-peristiwa masa lalu sebagai satu pengajaran ataupun teladan, masyarakat masa kini tidak akan mengulangi kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan pada masa lalu. Menurut Adrian Oldfield, pengadilan moral adalah sangat penting dalam penulisan sejarah dan merupakan satu aspek yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja.
            Hal ini demikian kerana, pengadilan moral dapat memberikan pengajaran kepada para pembaca dan dapat menyedarkan kita supaya tidak meniru kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat yang terdahulu. Dengan ini, perkara buruk yang bakal terhasil dari perbuatan tersebut dapat dielakkan daripada mengancam masyarakat dunia. Contohnya tentang peristiwa pengeboman bom atom oleh pihak Amerika ke atas Bandar raya Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada 9 Ogos 1945. Daripada pengkajiaan oleh para pengkaji dari Persatuan The Pacific War Research di Jepun, mereka telah menulis bahawa ;
Hiroshima Atomic Hospital melaporkan bahawa enam bulan awal dalam tahun 1971, 33 pesakit telah meninggal dunia 23 daripadanya adalah disebabkan oleh kanser yang disebabkan oleh pancaran radioaktif. Pada pertengahan tahun 1971, kematian pesakit yamg menghidapi penyakit leukemia meningkat sebanyak 16 kali ganda berbanding purata kematiannya, manakala kematian yang disebabkan oleh kanser meningkat sebanyak lapan kali ganda dan kesan terhadap genetik tidak akan diketahui melainkan selepas tiga atau empat generasi. ” . [14]
            Pengadilan moral harus dijatuhkan ke atas Amerika syarikat kerana hanya ingin membalas dendam, mereka sanggup mengorbankan jutaan nyawa yang sama sekali tidak besalah. Ini bermakana kesengsaraan yang dialami oleh masyarakat dunia khususnya Jepun tidak dapat kita bayangkan. Kejadian ini seharusnya dijadikan pengajaran dan iktibar kepada masyarakat dunia terutamanya kepada negara-negara yang gemar berperang dan ghairah mencipta senjata nuklear serta menggunakan senjata tersebut dengan sewenang-wenangnya dalam peperangan. Begitu juga dengan kekejaman Amerika yang telah menyerang Afghanistan selepas terjadinya peristiwa serangan 11 September 2000 yang memusnahkan World Trade Centre (WTC), New York, Amerika Syarikat. Tanpa usul periksa, tentera Amerika telah menyerang negara tersebut dan mengorbankan ramai nyawa yang tidak berdosa. Walaupun tiada bukti yang nyata tentang siapa sebenarnya bertanggungjawab terhadap peristiwa 11 September ini namun oleh kerana perasaan marah dan dendam, maka Amerika dengan sewenang-wenangnya bertindak menyerang Afghanistan. Di sini, pengadilan moral harus dijatuhkankepada Amerika kerana telah merampas hak dan kedaulatan sebuah negara yang telah pun merdeka.[15]
            Namun begitu, jika sekiranya pengadilan moral tidak dilakukan ke atas peristiwa ini akan menyebabkan peperangan terus berlaku. Jika perkara tersebut terus berlaku sudah pasti akan ramai yang terkorban dan banyak benda akan binasa. Tanpa pengadilan moral juga manusia tidak akan sedar bahawa sebenarnya tidak mereka menyerang atau berperang sebenarnya merupakan sesuatu yang salah serta menyebabkan ramai manusia yang tidak bersalah terkorban. Oleh itu, sama ada mahu atau tidak mahu pengadilan moral tidak dapat dipisahkan daripada dijatuhkan ke atas peristiwa tersebut kerana dengan adanya pengadilan moral akan dapat menunjukkan kesilapan yang telah dilakukan oleh mereka dan seterusnya dapat dijadikan sebagai teladan dan juga pengajaran oleh mereka bahawa peperangan tidak membawa sebarang kebaikan tetapi lebih kepada keburukan dan ianya perlu ditentang.
PENGADILAN MORAL SEBAGAI BENTENG MELINDUNGI HAK ASASI MANUSIA
            Selain itu pengadilan moral juga penting sebagai benteng melindungi serta memelihara hak asasi manusia. Menurut R.Suntharalingam, ukuran dalam penilaian ahli sejarah bukan sahaja berdasarkan kepada persoalan kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhannya, tetapi juga melihat kepada pihak tertentu yang memperlekehkan hak asasi manusia.[16] Hak asasi manusia ini juga harus diambil kira dalam penulisan sejarah kerana kepentingan-kepentingannya yang tersendiri dalam membantu ahli sejarah menghukum pelaku sejarah. Contoh paling sesuai ialah peristiwa pengeboman bandaraya Hiroshima dan Nagasaki serta serangan Amerika ke atas Afghanistan jelas mununjukkan penderitaan yang dialami oleh penduduknya yang tidak berdosa khususnya kaum perempuan dan kanak-kanak. Sudah semestinya pengadilan moral perlu dijatuhkan kepada Amerika kerana mereka telah mengakibatkan jutaan nyawa terkorban dan banyak lagi yang menderita. Apa yang jelas di sini ialah sejarah mestilah ditulis dalam bentuk seperti yang sebenarnya terjadi. Sejarah itu sendiri telah menjatuhkan hukuman pengadilan moral kepada Amerika Syarikat kerana telah mengakibatkan banyak kemusnahan dan kematian hanya disebababkan oleh perasaan ingin membalas dendam mereka.[17]
            Penganiayaan terhadap hak asasi manusia telah dilakukan oleh pihak Jepun ke atas kaum wanita di Tanah Melayu khususnya pada zaman Perang Dunia Kedua. Di sini, pengadilan moral memainkan peranan penting dalam menjelaskan tentang keadaan peperangan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh Jepun. Berdasarkan kepada pandangan Ghazali Bin Mayudin, kita dapat lihat dengan lebih jelas tentang penganiayaan Jepun kepada kaum wanita terutamanya di negeri Johor. Ghazali menyatakan bahawa  :
“ dari rekod-rekod yang tidak lengkap menunjukkan bahawa pihak Jepun telah membunuh sekurang-kurangnya 6199 penduduk di negeri Johor sahaja dan 5493 adalah orang Cina, 551 orang Melayu, 44 orang India dan Ceylon serta 31 orang Serani. Daripada jumlah ini, menunjukkan orang cina ynag paling banyak dibunuh berbanding kaum-kaum lain, selain dari penganiayaan ke atas kaum perempuan yang dilakukan di tempat-tempat terbuka, tempat khas juga diadakan dan wanita disediakan untuk askar-askar Jepun di tempat tersebut ”.[18]
Daripada kata-kata beliau ini, jelas menunjukkan penganiayaan terhadap kaum wanita oleh pihak Jepun dan menjadikan mereka sebagai hamba seks kepada askar-askar Jepun. Oleh itu pengadilan moral wajib dijatuhkan ke atas perbuatan Jepun ini yang telah melanggar hak asasi manusia dengan mengeksploitasi kaum wanita yang tidak mampu menentang mereka.[19]
…………………………….
PENGADILAN MORAL SEBAGAI PANDUAN DAN PEDOMAN HIDUP
Seterusnya ialah sebagai panduan dan pedoman hidup. Melalui pensejarahan China yang ditulis oleh pencatat-pencatat istana separti Su ma Chin dan anaknya Su Ma Hwa, mereka menulis tentang kelemahan dan kelebihan raja terdahulu dan meninggalkan hasil penulisan itu kepada maharaja yang seterusnya supaya maharaja tersebut tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh maharaja sebelumnya. Pencatat-pencatat istana ini mestilah menulis dengan sebenarnya-benarnya seperti apa yang berlaku tanpa dipengaruhi oleh sesiapa pun termasuklah maharaja sendiri. Sehinggakan maharaja yang memerintah pada masa itu tidak dibenarkan membaca penulisan oleh pencatat istana ini kerana ditakuti baginda akan murka apabila kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh baginda dicatat oleh pencatat istana dalam bukunya. Berdasarkan kepada keadaan ini, kita dapat lihat pencatat-pencatat istana telah menjatuhkan pengadilan moral ke atas maharaja yang melakukan kesalahan dan ini akan memyebabkan baginda lebih berhati-hati dengan tindakan yang akan diambil. Maharaja China telah menjadikan pensejarahan maharaja terdahulu sebagai pedoman dan panduan dalam memerintah negara.[20]
…………………………………..


PENGADILAN MORAL BERDASARKAN KEPADA BUKTI DAN PENYELIDIKAN
            Seorang ahli sejarah mestilah wajib membuat penyelidikan ke atas kajiannya demi mencari bukti-bukti yang releven dan berdasarkan kepada bukti-bukti tersebut barulah penulisan sejarah dapat dilakukan. Ini menjelaskan bahawa para ahli sejarah sebelum membuat sebarang keputusan, mereka akan menbuat kajian dan siasatan dengan meneliti sumber-sumber yang ditemui supaya dapat memastikan sama ada sumber itu adalah sahih ataupun palsu. Begitu juga dengan unsur pengadilan moral dalam penulisan sejarah, setiap ahli sejarah tidak akan terlepas daripada menjatuhkan pengadilan moral ke atas kajiannya kerana penyelidikan seseorang sejarahwan adalah berdasarkan kepada pemahaman terhadap watak dan pelaku sejarah yang mencetuskan satu peristiwa itu.[21] Pada kebiasaanya sesuatu pengadilan moral akan dijatuhkan pada penghujung kajian. Hal ini demikian kerana, ahli sejarah telah meneliti dan kemudiannya menyaring sumber-sumber yang diperolehinya sebelum menjatuhkan pengadilan moral pada akhir penulisannya. contoh yang paling menonjol ialah daripada buku bertajuk “ Darurat ” 1948-1960 yang telah disunting oleh Khoo Kay Kim dan Adnan Haji Nawang. Buku tersebut menceritakan tentang kisah pembunuhan Micheal Codner di Tanjung Malim, Peristiwa Berdarah menegaskan bahawa ;
serang hendap itu berlaku pada hari selasa, 25 Mac 1952, pada jam 7:00 pagi. Muka surat depan The Strait Times pada keesokan harinya terpampang tajuk Galant Fight In Bandit Trap, Twon Fears That Murders 12 Men. Antara yang terbunuh ialah Penolong Pegawai Daerah Tanjung Malim, iaitu R.M.C Corner, Jurutera Kerja Perak Selatan, W.H Fournies, Penolong Juruteknik, Teoh Eng Kiew dan Ahmad bin Jalil,8 orang pasukan keselamatan terkorban serta 5 orang lagi cedera. Bilangan pengganas yang menyerang hendap pada masa itu kira-kira 40 orang dan kesemua mereka menggunakan senjata automatic yang canggih.” [22]
Berdasarkan kepada petikan di atas, jelas sekali penulis ingin menggambarkan tentang kekejaman yang dilakukan oleh pihak komunis yang telah membawa kepada pembunuhan 12 orang. Malah penulis menggambarkan peristiwa ini adalah sesuatu yang kejam dan tidak dapat diampunkan kerana serengan hendap tersebut telah dirancang. Secara tidak langsung, penulis telah cuba memaparkan satu kebenaran tentang sejarah berdarah yang telah meragut nyawa 12 orang. Maka, ahli sejarah haruslah mejatuhkan pengadilan moral ke atas perbuatan kejam komunis ini.[23]
KESIMPULAN
            Kesimpulannya, sudah terbukti bahawa unsur pengadilan moral memang tidak dapat dipisahkan dalam penulisan sejarah. Persoalan untuk menjatuhkan pengadilan moral tidak harus diketepikandi dalam penulisan sejarah kerana seseorang ahli sejarah itu perlu memikul beban dan tanggungjawab tersebut. Hal ini demikian kerana, apabila seseorang ahli sejarahwan itu menggunakan suatu perkataan seperti kejam, jahat dan baik, secara sedar atau tidak sedar, mereka telah pun menjatuhkan pengadilan moral ke atas kajian mereka. Memang susah jika perkataan ini tidak digunakan dalam penulisan sejarah dan sekiranya pengadilan moral ini dipisahkan maka suatu penulisan itu tidak mempunyai sebarang makna. Di sini, dapat kita simpulkan bahawa pengadilan moral merupakan antara unsur dan kaedah yang harus diamalkan oleh ahli sejarah dalam melakukan penyelidikn bagi menghasilkan sebuah penulisan sejarah yang baik dan sempurna. Mahu ataupun tidak, seseorang ahli sejarah itu haruslah menjatuhkan pengadilan moral dalam penganalisaan penulisan sejarah yang ingin disampaikan.
            Sikap-sikap seperti pro, anti atau neutral dalam mempersoalkan unsur pengadilan moral akan mengakibatkan rentetan peristiwa sejarah seterusnya. Jikalau para sejarahwan tidak menjatuhkan pengadilan moral, maka para pembaca sudah semestinya dengan sendirinya akan menjatuhkan pengadilan moral untuk mereka.[24] Menurut Qasim Ahmad, jalan keluar dari masalah ini bukanlah lari daripadanya, tetapi melengkapkan lagi para ahli sejarah dengan kemahiran-kemahiran yang berkait supaya mudah bagi mereka untuk membuat sebuah penulisan yang baik.[25] Oleh hal yang demikian, sebagai seorang ahli sejarah, mereka tidak harus mengetepikan pengadilan moral di dalam penulisan mereka, sebaliknya mereka haruslah peka terhadap kepentingan pengadilan moral ini dalam menentukan baik buruk sikap pelaku sejarah. Sebenarnya pensejarahan mestilah mempunyai isi kandungan yang menarik supaya para pembaca tertarik untuk membaca buku tersebut dan seterusnya dapat memberikan pedoman dan pengajaran kepada generasi masa depan supaya kesilapan padan masa lalu tiidak diulangi lagi.


           
           

BIBLIOGRAFI        
Aron Shai,Origin of the war in the east,Crobm Hehlm,London,1976
Abdul Rahman Haji Abudullah, “Penghantar Ilmu Sejarah”, Dewan bahasa dan Puataka & Pusat Pengajian Luar Kampus Universiti SainS Malaysia Maiden, Kuala Lumpur, 1994.
Ghazali Bin Mayudin, Johor Semasa Pendudukn Jepun 1942-1945, Bangi, 1978.
Herbert  Butterfield, Moral Judgement in History, The Philosophy History in Our Time, New York, 1959.
Hajah Noresah Bt. Baharom, Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2007.
Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Karisma Publications Sdn.Bhd, Shah Alam,                 2007.
Khoo Kay Kim dan Adnan Haji Nawang, Darurat 1948-1960, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur,1978.
Mohd Yusof Hashim, Pengertian Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1975.
R.Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Marican dan Sons, Kuala Lumpur, 1985.
Tengku Anuar, Pengetahuan Kenegaraan Malaysia (Untuk Peperiksaan Am Kerajaan), Nurin Enterprise, Kuala Lumpur,  1991.
Qasim Ahmad, Pengadilan Moral dalam Sejarah :  Kes Nazi di Jerman, Dewan Masyarakat, Jilid XiX, bil.6, 1981.




[1] Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Karisma Publications Sdn.Bhd, Shah Alam, 2007,hlm 69.
[2] Hajah Noresah Bt. Baharom, Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2007, hlm 9.
[3] Ibid,hlm.9
[4] Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Karisma Publication Sdn Bhd, Shah Alam, 2007, hlm. 70.
[5] Qasim Ahmad, Pengadilan Moral dalam Sejarah : Kes Nazi di Jerman, Dewan Masyarakat, Jilid XiX, bil.6, 1981,hlm 54.
[6] Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Karisma Publication Sdn. Bhd,Shah Alam, 2007, hlm. 70.
[7] Mohd Yusof Hashim, Pengertian Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1975, hlm. 52.
[8]Aron Shai,Origin of the war in the east,Crobm Hehlm,London,1976,hlm.20
[9] Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Karisma Publications Sdn. Bhd, Shah Alam, 2007,hlm 83.
[10] R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Maricon dan Sons, Kuala Lumpur, 1985, hlm.112
[11] Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Karisma Publications Sdn. Bhd, Shah Alam, 2007, hlm.77
[12] Ibid, hlm.78
[13] R. Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Maricon dan Sons, Kuala Lumpur, 1985, hlm 94.
[14] Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi Dan Moden, Karisma Publications Sdn Bhd, Shah Alam, 2007, hlm.86
[15] Ibid,hlm 85-89.
[16] R.Suntharalingam, Pengenalan Kepada Sejarah, Marican dan Sons, Kuala Lumpur, 1985, hlm 118.
[17] Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Karisma Publications Sdn.Bhd, Shah Alam, 2007, hlm 88.
[18] Ghazali Bin Mayudin, Johor Semasa Pendudukn Jepun 1942-1945, Bangi, 1978, hlm 11.
[19] Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Karisma Publications Sdn. Bhd, Shah Alam, 2007, hlm 88-89.
[20] Ibid,hlm 89-90.
[21] Ibid, hlm 80.
[22] Khoo Kay Kim dan Adnan Haji Nawang, Darurat 1948-1960, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur,1978, hlm 179.
[23] Ishak Saat, Ilmu Sejarah Antara Tradisi dan Moden, Karisma Publications Sdn. Bhd, Shah Alam, 2007, hlm 82.
[24] Ibid, hlm 91.
[25] Qasim Ahmad, Karya sejarah ; Pendekatan dan Persoalan, Pengadilan Moral dalam Kes Nazi di Jerman, 1981, hlm 143.

No comments:

Post a Comment